Wednesday, July 17, 2013

Tuhanku, Aku Hilang Bentuk, Remuk

Manusia yang benar-benar meneroka spiritualnya sehingga sampai ke takah yang mendalam akan berhadapan dengan kekeliruan. Meneroka di sini bermaksud merenung, menyemak dan mempersoalkan sehingga mengundang pertanyaan yang meresahkan. Bukan, bukan kekeliruan, mungkin boleh meminjam terma Marx (yang diambilnya dari Rousseau dan mungkin sedikit pengaruh Fuerbach) iaitu alienation atau keterasingan. Marx memaknakan keterasingan sebagai keterasingan yang muncul dari situasi ekonomi, Rousseau memaknakan keterasingan yang muncul dari situasi sosial, Fuerbach pula memaknakan keterasingan yang muncul dari wujud tuhan yang disifatkan manusia.

Mungkin juga terma Syed Naquib Al-Attas boleh digunakan yakni 'tekanan batin'. Bagi Al-Attas worldview Barat yang bersandarkan falsafah yang bersifat spekulatif dan "berpusat pada manusia sebagai entiti fizik dan haiwan rasional" untuk memenuhi keperluan material manusia telah menjauhkan manusia dari agama. Cara fikir ini menyebabkan manusia sentiasa menduga-duga, sentiasa berada di dalam ketidakpastian tentang kehidupan. Kata Al-Attas puncanya "adalah akibat daripada konflik antara unsur dan nilai yang saling bertentangan dalam cara pandang dualisme yang dipertahankan, sementara keraguan tersebut meneruskan keadaan tekanan batin. Tekanan batin itu pada gilirannya membangkitkan keinginan yang tidak pernah terpuaskan untuk melakukan pencarian tanpa akhir."

Ali Syariati menyebutnya dengan nada yang hampir serupa. Menurut Syariati, sistem sosial, baik kapitalisme atau komunisme walaupun kelihatan berbeza namun kedua-duanya menganggap manusia sebagai haiwan ekonomi (homo economicus); di mana pilihan manusia terhadap salah satu di antara sistem tersebut adalah berdasarkan perkiraan sistem mana yang berjaya memenuhi keperluan material manusia. Tulis Syariati, "Humanity is every day more condemned to alienation, more drowned in this mad maelstrom of compulsive speed. Not only is there no longer leisure for growth in human values, moral greatness, and spiritual aptitudes, but this being plunged headlong in working to consume, consuming to work, this diving into lunatic competition for luxuries and diversions, has caused traditional moral values to decline and disappear as well."

Keterasingan ini ialah akibat dari ketidakmampuan mencari dan mengaitkan persekitaran sosial dengan fitrah kewujudan diri. Manusia yang merasai krisis ini kesedaran spiritualnya melangkaui yang biasa-biasa dan mereka tinggal di zaman edan, kalau boleh disebut begitu. Zaman yang tidak lagi waras, zaman yang bobrok, zaman yang gila. Zaman yang gila melahirkan manusia yang cuba memaknakan wujud dirinya dengan zaman tersebut, namun tidak berhasil. Semakin dia berhadapan dengan kerenah zaman tersebut, sama ada secara harmoni atau konfrontasi, spiritualnya cedera dan luka. Spiritual yang luka jika tidak dirawat ianya boleh menjadi barah yang membunuh. Makan dalam kata orang. Dan cedera spiritual lebih sukar dirawat dari cedera jasadi.

Tetapi mengapa kegilaan zaman tersebut memberi kesan kepada sesetengah manusia tetapi tidak manusia lain. Tidak, ia memberi kesan kepada semua manusia. Ada yang menikmati dan mendakap kegilaan zaman tersebut sepenuh jiwa raga, ada yang cuba mengubahnya (melalui falsafah, melalui jalan agama, melalui pintu politik) namun akhirnya ditelan kegilaan (mungkin terjadi tanpa disedari, dengan mereka berprasangka mereka masih melawan kegilaan tersebut), ada yang cuba menyesuaikan kegilaan dengan kewarasan (dan masih lagi mencuba) dan ada yang sedar kegilaan itu sukar dirawat kerana telah terlembaga (institutionalized), dan satu-satunya solusi untuk menyelamatkan spiritual diri dari koyak dicarik-carik kegilaan bukan melalui jalan penerimaan atau penentangan, tetapi keluar dari kegilaan tersebut, mengasingkan diri, merenung, memerhati dan melakukan introspeksi tentang kewujudan diri. Mereka ini manusia yang sedar bahawa melawan kegilaan dengan kerangka berfikir yang terhasil dari sistem yang gila yakni materialistik takkan boleh menyelesaikan kecederaan spiritualistik. Ia ibarat merawat penyakit lembu gila dengan menghantar penternak lembu ke hospital bahagia. Solusi yang songsang dan zalim.

Rasulullah sendiri beruzlah - bersendiri dan bersunyi di Gua Hira', menjauhkan diri dari sistem politik, sosial dan ekonomi yang memeras dan menindas di Mekah. Baginda memperuntukkan beberapa hari setiap tahun mencari solitari dan ketenangan kerana di kota Mekah baginda terpaksa melalui pergumulan batin yang meremukkan spiritualnya, di mana baginda terpaksa berhadapan dengan sistem sosial yang kontra dengan worldviewnya sendiri. Di sinilah wahyu pertama diturunkan. Siddhartha, ketika keluar dari istana telah menyaksikan empat pemandangan (four passing sights) yang mengubah perspektifnya tentang dunia dan kehidupan. Lantas dia berkelana meninggalkan keluarga dan kemewahan, bermula dengan berguru, mengamalkan praktis asketik yang hampir mengorbankan dirinya sendiri dan akhirnya di bawah pohon bodhi beliau menerima pencerahan spiritual. Imam al-Ghazali telah berjaya membina karier, pengaruh dan karisma di Universiti Nizamiyyah, kuliah dan syarahannya dihadiri beratus pelajar, beliau mendapat harta yang banyak dan kedudukan yang tinggi. Akhirnya krisis spiritual menimpa dirinya, selama 6 bulan jiwanya meronta-ronta. Tulis beliau di dalam autobiografinya al-Munqidh min al-Dalal, "Aku berterusan dilambung di antara tarikan-tarikan nafsu keduniaan dan dorongan terhadap kehidupan yang abadi". Krisis ini memberi kesan sehingga beliau tidak mampu bercakap dan makan. Beliau meninggalkan Baghdad, berkelana ke Damsyik, Jerusalem, Hebron, Makkah dan Madinah; sebuah proses pemencilan diri yang berjalan selama 11 tahun sebelum beliau kembali mengajar di Baghdad.

Manusia yang mencari makna spiritual ini bukan semestinya berangkat dari sosok agama atau mencarinya dalam ruang lingkup iman dan ketuhanan. Chris McCandless contohnya mencari makna spiritual dari sisi yang lain. McCandless lahir di dalam keluarga yang bahagia kalaupun tidak sempurna. Bapanya jurutera NASA dan ibunya seorang setiausaha syarikat pembuatan pesawat terkemuka. Dia sendiri seorang pelajar yang cemerlang dan penuh idealisme. Setelah menamatkan pengajian di universiti dengan prospek yang cerah menanti di hadapan, dia sebaliknya mendermakan wangnya berjumlah US$20 000 kepada badan kebajikan, memutuskan semua hubungan dari dunianya sebelum ini lantas menggunakan nama samaran Alexander Supertramp dan merantau selama dua tahun sehingga akhirnya mayatnya ditemui di Alaska. Dan kembara McCandless bukan untuk mencari tuhan tetapi mencari dirinya sendiri. Dia cuba mencipta manusia baru, mungkin superman ala Nietzsche. Manusia yang lepas dari ikatan duniawi menuju kebebasan dan ketenangan hakiki. Walaupun buku Into The Wild yang ditulis Jon Krakauer dikritik (begitu juga adaptasi filemnya yang diarahkan Sean Penn) kerana terlalu 'mendewakan' McCandless (kerana bagi pengkritik kematiannya adalah akibat kejahilannya sendiri dan tidak ada apa-apa yang boleh dijadikan inspirasi dari kisah tragis itu), rasanya itu terpulang kepada sisi mana kita mahu melihat McCandless, sama ada matlamat kembara itu yang perlu dijadikan renungan atau kematiannya yang perlu dijadikan fokus.

Perkataan spiritual itu sendiri bukannya sinonim dengan agama walau selalu ditukar ganti di antara satu dengan yang lain. Spiritual lebih bersifat peribadi dan psikologi, manakala agama lebih bersifat institusi dan sosiologi. Spiritual melibatkan kepercayaan, nilai peribadi dan akhlak, manakala agama melibatkan nilai tradisi dan institusi. Ianya tidaklah berlawanan. Spiritualiti adalah pencarian makna, dan agama ialah salah satu jalan yang memberi makna. Tetapi dunia hari ini menyebabkan manusia beragama tanpa makna dan penyakit ini turut dihidapi oleh orang Islam. Hari ini agama hanya terdiri daripada hukum moral, nilai tradisi dan ritual. Isi atau ruh atau essence dari agama sudah hilang. Dikotomi antara agama dan spiritual berlaku apabila dunia semakin bobrok dan menyebabkan manusia tidak lagi cuba memenuhi keperluan spiritual mereka melalui agama (organized religion) kerana bagi mereka institusi agama itu sendiri telah dikorupkan oleh manusia atau pun kesukaran (atau kegagalan) mereka sendiri menyerap unsur spiritual dari agama (yakni mereka sendiri turut korup). Agama hanya bermakna apabila unsur spiritual terjelma dan menyatu dalam diri, hasil dan refleksi ajaran agama itu sendiri.Tulis Richard L. Gorsuch dalam The Psychology of Religion, "Spirituality is the quest for understanding ourselves in relationship to our view of ultimate reality, and to live in accordance with that understanding”.


Maka sempena Ramadhan ini, adakah kita benar-benar meneroka dimensi spiritual kita ke takah yang paling dalam? Adakah kita merawat kecederaan spiritual kita? Atau ianya masih sama seperti Ramadhan yang lepas di mana kita masih lagi berbincang soal bilangan rakaat tarawih, perkara-perkara yang membatalkan puasa  dan hadis palsu fadhilat tarawih?

*Dua buah buku Jeffrey Lang; Struggling to Surrender dan Even Angels Ask bagi aku setakat ini adalah bacaan terbaik yang meneliti dan menelusuri pencarian spiritualiti seorang Muslim. Tulisan yang mencerahkan dan berbekas di hati. Boleh dijadikan bacaan sampingan pada bulan Ramadhan selain al-Quran. The Road to Makkah nukilan Muhammad Asad juga boleh dimasukkan dalam senarai wajib baca.

Saturday, July 6, 2013

Idea Kalis Peluru

Aku teringat sesi wawancara di antara wartawan R.O.T.T.W dengan M. Nasir suatu ketika dahulu. Maaf, aku tak ingat R.O.T.T.W issue ke berapa kerana sudah hilang dari simpanan aku. Antara persoalan yang menarik ditanyakan kepada M.Nasir ialah mengapa band alternatif tempatan(kalau zaman aku dulu selalu ditulis sebagai band underground) sukar untuk menjual album mereka kepada pendengar mainstream, dan wartawan tersebut merujuk Seven Collar T-Shirt (SCTS) sebagai contoh, band berbakat yang gagal meluaskan pengaruh bunyi mereka ke strata yang lebih tinggi. Buat adik-adik yang tidak kenal nama-nama di atas, aku terangkan satu persatu secara ringkas.

R.O.T.T.W ialah akronim dari Rythms of the Third World, sebuah majalah muzik berpengaruh di Malaysia. M.Nasir ialah pemuzik tersohor yang cuba menceburi bidang pengiklanan dengan menjadi model iklan Kit Kat tetapi percubaan tersebut gagal. SCTS pula ialah band alternatif berbakat yang aku salut muzikaliti mereka (label alternatif terpaksa diletak untuk menunjukkan mereka bukan band arus perdana walaupun aku benci pelabelan seperti ini). Buat mereka yang berminat untuk menjelajah muzikologi SCTS, aku cadangkan cuba dengar Jangan Tinggal Daku, gubahan semula lagu P. Ramlee yang bagi aku paling mudah menangkap gegendang telinga kamu dan lagu terbaik untuk preliminari lagu-lagu SCTS yang seterusnya. Bimbang kalau kamu mula dengan album Freeway, Dreaming & Broke (album pertama), ada kemungkinan indera muzikal kamu akan sewel, dan akhirnya citarasa muzik kamu akan terus dipengaruhi lagu seperti putih-putih melati apa entah yang popular sekarang.

No offense, tiada masalah jika kamu bercitarasa begitu. Semua manusia ada citarasa masing-masing. Yang menjadi masalah ialah kesempitan taste atau citarasa kamu (dalam kes ini citarasa muzik). Jika kamu sudah mendengar segala aneka genre muzik dari Nusrat Fateh Ali Khan sampai Warpaint dan masih kamu berpendapat lagu putih-putih melati apa entah itu terbaik dan memenuhi citarasa kamu, maka teruskanlah. Begitu juga kepada manusia yang merasa diri mereka hebat dan superior kerana mereka mendengar Radiohead, Joy Division, The Smiths atau Bjork, lalu memandang rendah golongan yang mendengar lagu putih-putih melati apa entah tadi, aku katakan kalau setakat itu muzik yang kamu dengar, dan kamu tidak kenal siapa R. Azmi, nasihat aku ialah sapu hingus kamu dahulu. 

Berbalik kepada pertanyaan wartawan tadi, M. Nasir menjawab dengan jujur yang lagu-lagu SCTS tidak sedap. Ia tidak mampu mempengaruhi khalayak pendengar yang lebih luas kerana idea muziknya hanya tertumpu kepada golongan-golongan pendengar tertentu. Seingat aku wartawan tersebut kemudiannya bertanya lagi mengapa kebanyakan pendengar mainstream lebih sukakan lagu-lagu bertema 'aku dikecewakan maka dengarlah keluhan hatiku yang luka' (ayat aku sendiri), M. Nasir menjawab kerana bagi mereka lagu-lagu itu lebih sedap. Dua jawapan M. Nasir ini mungkin kelihatan simplistik dan sinis, tetapi bagi aku itulah jawapan paling tepat, bahawa mahu tidak mahu kita terpaksa mengaku lagu-lagu 'cintan' sebegini lebih radio friendly. Aku pun boleh layan lagu-lagu sebegini. Kita suka sesuatu muzik kerana ia sedap dan begitulah sebaliknya. Secara asasnya ia semudah itu. Boleh sahaja kita membuka wacana tentang estetik dan estetika tetapi akhirnya kita tetap membuat dua klasifikasi; muzik ini sedap maka aku dengar, muzik itu tak sedap maka aku abaikan. Itu sahaja. Pertama kali aku mendengar SCTS ialah melalui album Freeway, Dreaming & Broke, sejujurnya album tersebut gagal menghasilkan dopamine untuk meledakkan adrenalin aku. Tak boleh masuk kata orang. Kemudiannya aku menonton video Rock the World III, SCTS membawakan lagu War is Over. Dan lagu ini adalah surat cinta pertama dari SCTS kepada aku. Lagu yang hebat, dengan vokal Duan yang ekpresionis, guitar work yang cemerlang dari Ham, segala-galanya masuk. Album kedua mereka, Drones ternyata membawakan ekspresi muzikal yang lebih matang berbanding album pertama. Selepas itu, aku cuba mendengar semula Freeway, Dreaming & Broke, dan sedikit demi sedikit bunyi-bunyian dalam album tersebut mula memesrai kedua gegendang telinga aku. Dan sampai sekarang mereka masih aku kagum dan hormati.

Ada perkara yang timbul di otak aku  apabila bernostalgia tentang kisah SCTS dan pandangan M. Nasir ini. Perkara tersebut ialah sikap manusia terhadap idea dan pembungkusan idea. Idea seperti juga lagu atau hasil seni yang lain, ianya akan menarik masyarakat melekat atau istiqamah terhadapnya, hanya apabila masyarakat dapat mengaitkan dirinya (worldview) dengan idea tersebut. Worldview atau pandangan alam atau pandangan hidup dibentuk oleh kepercayaan, sikap, budaya, dan nilai moral. Worldview terhadap citarasa muzik bukanlah bersifat statik dan beku, ianya sentiasa berubah, tak kira sama ada kau malas membaca atau berfikir, perubahan worldview di dalam diri kau pasti berlaku akibat pengaruh persekitaran selagi mana kau bernafas di dalam planet bumi ini-kerana kau makhluk yang bersosial, walaupun kau mengaku kau anti-sosial; sama ada progresif atau regresif, banyak atau sedikit perubahan tersebut ianya terpulang kepada kerangka worldview yang kau pegang sebelum ini, iaitu tahap keterbukaan kau mencerap idea-idea lain dan sejauhmana idea-idea baru memberi kesan kepada kerangka worldview tadi. Ianya proses yang bersifat interaktif, saling berkomunikasi dan mempengaruhi. Mengapa aku tidak berminat bila pertama kali mendengar album Freeway, Dreaming & Broke, dan kemudian boleh pula menerimanya sejurus selepas tertarik dengan album Drones (malah kadang-kadang aku rasakan Freeway, Dreaming & Broke lebih ekspresif, melankolik dan membuai emosi berbanding dua album selepasnya). Itu adalah proses menanam persepsi dan perspektif. Kali pertama mendengar secara pasif, kali kedua mendengar secara interaktif, lebih intim dan teliti, bukan setakat menadah telinga, tapi telinga mencari dan menangkap ritma bersama emosi dan akal. Bermula dengan sesuatu yang mudah dan akhirnya bersedia menerima yang lebih mencabar dan radikal.  

Tapi yang terlebih penting, dari perspektif subjek yakni orang yang menerima idea; objek yakni idea itu sendiri haruslah bersifat persuasif. Jadi dalam hubungan ini mana yang lebih penting, objek atau subjek. Persoalan ini tidak membawa kita ke mana-mana sebenarnya tetapi oleh kerana fokus aku ialah pembungkusan idea, maka objek atau idea itu sendiri yang akan ditekankan di sini. Aku ingin merujuk kepada PAS dalam soal ini. Kerana mereka parti politik yang membawa nama Islam. Maknanya mereka bermatlamat untuk mempengaruhi masyarakat melalui pendekatan politik dengan ideologi bercorak Islam. Ini gagasan besar dan bukan lagi soal lagu putih-putih melati apa entah tadi. Gagasan politik maksudnya PAS cuba mempengaruhi semua peringkat masyarakat untuk menerima idealisme mereka yang pastinya bersifat polisi dan dasar awam (kerana mereka parti politik) yang natijahnya nanti akan dipikul oleh masyarakat. Tidak timbul kalau kau mahu kau terima, kalau tidak mahu kau tinggalkan. Mustahil PAS hanya mahu ahli-ahli dan penyokongnya sahaja yang mendokong ideologi mereka. Masalahnya PAS cuba memaksa masyarakat menerima idea mereka yang mudah dan separuh siap itu. Kata Einstein "make things simple, not simpler". Idea yang kompleks memerlukan penerangan yang kompleks, bukan selamanya mudah dan santai. Maka masyarakat perlu dipersiapkan untuk menerima perkembangan idea yang kompleks tersebut. Aku melihat penyampaian idea ialah satu bentuk komunikasi dan semua komunikasi melibatkan tahap mesej dan hubungan. Pertama: komunikasi sebagai aksi - sebaik sahaja mesej dihantar maka komunikasi berlaku tidak kira mesej itu diterima atau pun tidak. Kedua: komunikasi sebagai interaksi - mesej dihantar dan maklumbalas diterima. Dan ketiga: komunikasi sebagai transaksi - pemahaman timbul di antara penghantar dan penerima mesej lalu mewujudkan perkongsian nilai dan makna.

Menyampaikan idea ialah satu bentuk komunikasi. Maka sebelum menyampaikan idea, matlamat dan objektif perlu ditetapkan supaya kita dapat menentukan model komunikasi mana yang akan kita ikut (yang sesuai dengan matlamat kita), di mana ini seterusnya akan mencambahkan kaedah komunikasi yang spesifik mengikut model yang spesifik. Model komunikasi terawal yang dibangunkan oleh Claude Shannon dan Warren Weaver (Shannon & Weaver Model) telah meletakkan komunikasi sebagai proses yang bersifat linear (one-way-process). Aku sudah hantar maklumat dan kau terima atau tidak itu masalah kau. Model kuno ini melihat pertukaran maklumat itu sebagai proses yang pasif, tidak ada simbiosis dan sintesis. Ini model komunikasi yang selalunya dipraktikkan oleh PAS. Tetapi, jika ada maklum balas yang bersifat kritikan pula akan ditentang dengan nada sinis dan dianggap sebagai tohmahan untuk melawan tuhan atau si pengkritik dengan mudah dilabel macai kerajaan. Sikap ini menggambarkan mentaliti kelas ketiga PAS yang sentiasa menganggap suara-suara ancaman itu ialah suara pro-kerajaan atau anti-Islam, sikap houlier-than-thou yang tak ubah seperti peminat-peminat Radiohead, Joy Division, The Smith atau Bjork tadi.

Aku memilih PAS kerana ada nilai sentimental dalam hubungan aku dan PAS. Ketika sekolah menengah, politik bagi aku ialah UMNO vs PAS, dan aku sokong PAS. Ketika belajar di universiti, politik bagi aku kapitalis vs proletariat, dan aku sokong PAS. Habis belajar, politik bagi aku mustad’afin vs mustakbirin, masih aku sokong PAS. Ketika mula bekerja, politik bagi aku ialah tahi, tetap aku simpati pada PAS. Dan sekarang pun, walaupun banyak perkara yang aku kesal dengan PAS, tetap aku menaruh sedikit harapan untuk PAS. Jadi apa masalahnya dengan PAS? Masalah PAS banyak. Dan masalah-masalah ini melahirkan simptom-simptom sampingan yang merosakkan PAS itu sendiri secara perlahan-lahan. Salah satu dari masalah PAS ialah kegagalan (atau kemalasan) untuk mengenengahkan idea menggunakan saluran dan kaedah yang sesuai di mana akibatnya idea mereka lebih menimbulkan konflik dari pemahaman, kelihatan kurang meyakinkan, dilihat tidak praktikal, sering menimbulkan salah faham dan nampak selekeh.

Justeru, idea mesti disampaikan dalam model komunikasi yang bersifat perkongsian makna; yakni interaktif dan transaktif. Sebagai contoh dalam isu pelaksanaan hudud. Hudud walaupun isu yang popular dan dijuarai oleh PAS, tetapi jika kita berfikir sejenak, adakah pemahaman masyarakat  sekarang tentang isu hudud , semakin mendalam atau ianya masih di permukaan, masih berlegar dan membebel tentang soal yang sama, masih sama ketika 10 tahun dahulu ia dibincangkan. Kerana tidak ada perkongsian makna yang intim dan segar tentang hudud. Sisi-sisi baru dan perbincangan yang kontemporari berkenaan dengan hudud tidak pernah dijengah dan diselak. Dan PAS hanya serius dengan hudud hanya apabila ia disergah oleh Utusan Malaysia, selepas itu baru terkial-kial mencari maklumat, menyemak semula hujah lama, sekadar untuk menjawab tuduhan yang dangkal dengan jawapan yang dangkal, sifat reaksioner yang yang biasa dikaitkan dengan PAS. Sehingga kita pulak tertanya-tanya berapa seriuskah PAS, dari skala 1 sampai 10 untuk melaksanakan hudud. Jawapannya, bergantung kepada Utusan Malaysia. Apabila Utusan Malaysia mempermasalahkan hudud, skala serius itu naik sampai 8 tapi untuk hari-hari biasa ia menurun ke angka 0.

Hudud kelihatan seperti isu yang baru walau kerap kali ia dimainkan oleh ahli politik kerana graf pemahaman kita masih sama; mendatar (dan kalau meningkat pun hanya sedikit). Masyarakat di Malaysia ini rata-ratanya masih jahil tentang hudud. Maka jika benar-benar serius untuk melaksanakan hudud bentangkanlah hujah, wujudkan wacana dan forum dan raikanlah kritikan dan perbezaan pandangan kerana hudud takkan terus terlaksana secara automatik jika PR memerintah atau Haji Hadi jadi PM sekalipun. Untuk menjadikan hudud satu undang-undang di Malaysia, ia perlu mendapat persetujuan Parlimen dengan jumlah sokongan tertentu yg membabitkan pindaan undang-undang tertentu. Soal perlu atau tidak pindaan ini pun masih dibincangkan sehingga hari ini. Ini hukum demokrasi berparlimen. Ianya tak semudah hari ni ke Putrajaya, esok turun harga minyak. Aku tau banyak wacana dan seminar mengenai hudud dijalankan. Masalahnya sampaikah isi perbincangannya kepada masyarakat atau sekadar berlegar di kalangan agamawan, ahli-ahli akademik dan golongan terpelajar sahaja. Hasil wacana dan seminar itu makin mencerahkan akal masyarakat atau makin mengelirukan mereka. Seperti mana kata M. Nasir, ada lagu sedap, ada lagu tak sedap. Begitu juga dengan idea, ada idea yang kita rasakan sesuai dan kita pakai, ada idea yang kita rasakan tidak sesuai dan kita tinggalkan. Persoalannya, bagaimana PAS ingin menjadikan idea mereka sesuai, bermakna dan relevan kepada masyarakat di semua peringkat. Bagaimana menjadikan idea itu menarik dan boleh 'masuk'. Perkara yang sama terjadi kepada  konsep negara Islam atau negara berkebajikan. Kalau Sartre boleh tulis Being and Nothingness dengan 700 muka surat hanya bersandarkan fahaman eksistensial yang absurd itu takkan PAS tidak mampu merumuskan konsep negara Islam ideal mereka dengan fakta dan hujah yang konkrit.

Di sini penting idea dilihat sebagai perkongsian makna. Masing-masing memberi input dan maklum balas supaya idea tersebut kelihatan lebih kuat dan meyakinkan. Perkongsian makna bermaksud kita berkongsi makna yang tidak diperselisihkan di samping cuba mencari sisi-sisi lain di mana mungkin terdapat makna lain yang boleh dikongsi. Kritikan sama ada negatif atau positif seharusnya memberi nilai tambah kepada idea itu sendiri sekiranya kita rajin menyemak semula dan membuat revision terhadap idea terbabit. Kata V dalam V for Vendetta 'ideas are bulletproof'. Kata-kata ini tepat kerana idea mustahil dapat dimusnahkan dengan peluru, ia hanya boleh ditembak dengan idea itu sendiri. Oleh kerana zaman sekarang sukar sekali untuk mencari polymath seperti al-Kindi, al-Razi, Ibnu Sina, al-Ghazali dan Ibnu Rusyd, maka mustahil idea-idea kita boleh berdiri sendiri, ia memerlukan sumbang saran, perbaikan, kritikan dan dari pihak lain untuk menjadikan idea tersebut holistik, komprehensif dan praktikal.

Imam al-Ghazali telah dituduh sebagai punca kemunduran pemikiran saintifik, rasionaliti dan falsafah di dalam Islam apabila beliau menulis Tahafut al-Falasifah. Benar atau tidak tuduhan tersebut bukan untuk dibincangkan di sini. Beliau telah menyerang tiga elemen utama yang didokong oleh ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan Neoplatonisme. Hujah al-Ghazali dibalas oleh Ibnu Rusyd menerusi Tahafut al-Tahafut. Polemik intelektual ini membahagikan dunia kepada dua kutub pemikiran, pemikiran al-Ghazali dikatakan mempengaruhi epistemologi Islam dan pemikiran Ibnu Rusyd mempengaruhi epistemologi Barat. Moral of the story ialah, pertamanya; pertarungan idea sentiasa menguatkan idea itu sendiri. Ianya takkan pernah tamat dan akan kekal selagimana idea tersebut dilihat relevan kepada masyarakat. Apabila hujah al-Ghazali dikritik oleh Ibnu Rusyd, adakah Tahafut al-Falasifah tenggelam begitu sahaja dan nama al-Ghazali ditolak dari korpus intelektual Islam. Begitu juga dengan Ibnu Rushd, adakah serangan balasnya terhadap al-Ghazali  Jawapannya tidak. Malah kedua-dua hujah dari dua tokoh ini diperhalusi, diteliti dan diwacanakan dan kedua-duanya dianggap telah memperkayakan tradisi falsafah Islam keseluruhannya. Tetapi syaratnya, idea dan persembahan idea itu sendiri perlulah kemas, berlandaskan hujah keilmuan dan bersifat persuasif. Dan yang menghasilkan idea itu pun perlulah faham sebenar-benarnya dengan idea yang dikemukakan.

Apabila ada yang mengatakan bahawa al-Ghazali mematikan semangat saintifik dan rasionaliti di dalam Islam, aku katakan (sekiranya benar tuduhan tersebut) itu bukan salah al-Ghazali tetapi salah kita sendiri, kita sendiri yang bebal dan bengap tetapi berpura-pura mahir dalam ilmu falsafah. Maksud aku begini, kalau benar kita rasakan hujah al-Ghazali salah, maka datangkanlah hujah kita untuk melawannya. Kalau pun kita tak mampu (aku tahu kita memang tak mampu) huraikan sahaja Tahafut al-Tahafutnya Ibnu Rusyd, permudahkan isi kritikan beliau agar masyarakat faham bahawa al-Ghazali salah. Tetapi, masalah sebenarnya bukan kesalahan al-Ghazali tetapi kebengapan kita dalam menghalusi polemik tersebut. Kedua-dua buku tersebut pun kita tak pernah sentuh, tiba-tiba terbaca artikel tentang kesalahan al-Ghazali di FB, rasa teruja, share dulu dan kemudian terus mengaku faham idea al-Ghazali (faham maksudnya kita mampu mengkritik dengan hujah yang baik). Kalau pun kita menjawab sukar untuk mengubah hegemoni pemikiran (kalau boleh disebut begitu) al-Ghazali ke atas umat Islam kerana ianya sudah terpasak kukuh, maka tidakkah itu sendiri menunjukkan kehebatan idea al-Ghazali itu sendiri dari sudut elemen persuasifnya hingga masih kekal diangkat masyarakat Islam zaman berzaman. maksudnya kita sendiri tidak mampu melawan idea itu, malah kalau boleh disebut Ibnu Rusyd sendiri gagal. Mungkin perkara yang sama boleh dirujuk kepada pemikiran Ibnu Rusyd di Barat di mana pemikiran al-Ghazali sukar diterima di sana. Idea itu bertahan kerana ia kuat, kuat dari segi apa, itu persoalan yang lain, tetapi kesediaan masyarakat untuk menerima sesuatu idea itu menunjukkan idea tersebut ada sesuatu yang istimewa. Ia berbalik kepada apa yang aku katakan di awal tadi; lagu sedap kita dengar, lagu tak sedap kita tak dengar dan semuanya kembali kepada worldview individu tersebut.

Contoh seperti kita membuka restoran laksa, tetapi laksa kita kurang laris kerana kita ada pesaing yang juga menjual laksa. Laksanya tersangatlah laris walaupun kita berasa hairan kerana bagi kita laksa kita lebih sedap. Untuk mendapatkan perhatian pelanggan kita perlu menyiasat apa rahsia laksanya dan apa punca masalah laksa kita kurang laris. Hanya dengan beranggapan laksa kita lebih sedap dan terus menyalahkan pesaing kita dengan menuduhnya memakai tangkal pelaris atau pengamalan Islamnya lemah kerana kita tidak pernah melihatnya bersolat takkan menyelesaikan masalah kekurangan pelanggan di restoran kita. Dengan menghebohkan kepada orang ramai bahawa laksa kita lebih sedap dari laksa pesaing kita juga mustahil menyelesaikan masalah. Tumpuan orang ramai terhadap restoran pesaing kita adalah bukti nyata yang menunjukkan laksa mereka memang istimewa dari laksa kita. Apa yang istimewa? Sama ada kuahnya pekat, laksanya diperbuat dari tepung gandum, telur goreng mata dihidangkan bersama laksa, kuahnya dari belut, ini semua persoalan yang perlu kita tangani. Dan yang pasti untuk menarik kembali pelanggan datang ke restoran kita ialah dengan menghasilkan laksa yang lebih baik dari pesaing kita, selama mana kita masih gagal menyaingi mereka menunjukkan mereka masih yang terbaik walaupun bermacam usaha yang kita lakukan. Faktor paling utama ialah kegagalan kita memenuhi selera pelanggan. Begitulah juga dengan idea, lebih-lebih lagi kita yang memperjuangkan ideologi Islam dan beriman bahawa Islam itu rahmatan lil alamin. Bagaimana Islam yang bersifat syumul, tawazun, waqi'iyyah dan wasatiyyah boleh gagal memenuhi keperluan dan aspirasi spiritual, mental dan fizikal masyarakat manusia? Kita sendiri yang sebenarnya gagal mencungkil dan menggali makna Islam dan menterjemahkannya dalam bentuk idea yang progresif dan praktikal.

Apabila kita sebutkan idea harus bersikap persuasif kita harus melihat idea bukan hanya sebagai representation tetapi juga presentation. Apabila PAS ingin mengajukan hukum hudud atau konsep negara berkebajikan idea tersebut bukan dihasilkan semata-mata mewakili PAS sebagai badan politik tetapi idea itu sendiri perlu berdiri sendiri di mana masyarakat boleh mengaitkan idea tersebut dengan diri mereka secara langsung. Teknik persuasif selalu dikaitkan dengan konsep retorik yang dibangunkan Aristotle. Kata Aristotle retorik ialah "the faculty of observing in any given case the available means of persuasion." Aristotle mengatakan retorik ialah seni yang boleh mengemukakan kebenaran dan mampu meyakinkan khalayak yang kurang kemampuan intelektual terhadap sesuatu isu. Ulamak PAS pun tahu di dalam Islam juga mempunyai tradisi ilmu retoriknya yang tersendiri, disebut sebagai balaghah. Ianya disiplin ilmu yang berkembang hebat  di dalam tradisi Islam di mana pesan-pesan Al-Quran sendiri penuh dengan elemen balaghah. Kata Ali al-Jarim dan Mustapa Amin seperti yang diterjemahkan oleh Dr. Azhar Muhammad, balaghah ialah " Melaksanakan makna yang unggul lagi jelas, dengan ibarat yang betul lagi lancar, memberi kesan tarikan yang mendalam kepada diri seseorang, beserta kesesuaian setiap ucapan yang dilafazkan dengan tajuk perbincangan, di samping bersesuaian dengan orang yang ditujukan ucapan itu".  Balaghah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu al-ma’ani (kaedah menyesuaikan lafaz ayat dengan maksud idea), al-bayan (kaedah menyelaraskan idea asal dengan bentuk penyampaian dan konteks persekitaran serta khalayak - content knowledge & procedural knowledge) dan al-badi’ (kaedah menggubah bahasa) dan ilmu-ilmu ini wajib diketahui oleh seorang mufassir. Aku rasa ilmu ini memang dipraktikkan oleh PAS kerana mereka parti politik, cuma ianya tidak dikaji dengan teliti, sekadar dipraktikkan secara murahan dan sambil lewa dengan topik yang mudah dan popular.

Kata Ziauddin Sardar dalam bukunya Masa Hadapan Islam: Bentuk Idea Akan Datang (terjemahan dari Islamic Future: The Shape of Ideas to Come), "Agama Islam dan masyarakat Islam adalah seperti sebuah bangunan yang indah tetapi tua dan telah menjadi lemah kerana terabai sekian lama. Asasnya adalah sangat kukuh, tetapi pembinaan batu bata memerlukan perhatian segera, plasternya perlu diganti, bahagian hadapannya perlu dihiaskan semula untuk menjadikannya lebih menarik.Di dalamnya bangunan itu memerlukan keselarasan dengan keperluan sezaman, masa kini dan masa hadapan.Kita perlu membina semula peradaban Islam: jika tidak dengan cara sedikit demi sedikit maka kemudian sudah pasti dengan cara yang sewajarnya."
 
*Imam al-Ghazali menulis Maqasid al-Falasifah sebelum menulis Tahafut al-Falasifah. Aku selalu berharap ulamak atau intelektual PAS menulis buku bertajuk Marxism and Socialism: An Introduction (Volume I,II & III), kemudian baru mereka tulis Marxism and Socialism: An Islamic Critique and Perspectives (Volume I, II & III) lepas tu confirm Anwar Ibrahim, IKD, budak Jalan Telawi, budak UBU, semua hormat PAS terutamanya Majlis Syura Ulamak. Hishamuddin Rais dan Dr. Nasir PSM juga berkemungkinan mendaftar sebagai ahli PAS seumur hidup.

Wednesday, July 3, 2013

Yang Mengharap dan Yang Melepas

Ahli teori media telah mengkaji kesan propaganda politik terhadap masyarakat yang akhirnya membenihkan kemahuan untuk mereka memeluk sistem politik totalitarianisme pada awal 1930an (rujuk Jerman dan Itali). Ketika itu, pengaruh akhbar sangat kuat, radio dan filem pula mula mendapat tempat di hati masyarakat, Hitler contohnya, sebelum memegang tampuk kuasa, menggunakan akhbar Völkisch dan Der Angriff, menggunakan kepakaran sang orator Joseph Goebbels dalam bidang propaganda dan psikologi untuk menyampaikan idealisme fasisnya (malah Hitler sendiri orator yang hebat). Ramai ahli teori media melihat pengaruh media massa ketika itu telah mendorong para diktator seperti Hitler dan Mussolini meraih publisiti dan populariti, seterusnya membentuk persepsi dan pemikiran masyarakat untuk menyokong ideologi mereka. Selepas memegang tampuk kuasa Third Reich, Hitler dan Goebbels meluaskan medium propaganda melalui filem, antara yang terkenal ialah Triumph of the Will dan Eternal Jew. Muncul teori media seperti direct-effects perspective (lawannya limited-effects perspective) yang menghuraikan peranan media massa yang dilihat sebagai elemen yang merbahaya kerana mampu membius pemikiran masyarakat secara langsung. Juga teori simplistik, magic bullet, yakni hasil gabungan idea Freudianisme dan behaviorisme yang melihat propaganda akan menembus minda masyarakat, memukau mereka dan akhirnya propagandis boleh bertindak seperti puppet master; mampu mengarahkan masyarakat untuk bertindak mengikut kemahuan propagandis. George Orwell pada tahun 1948 mengungkapkan dengan baik peranan media yang membentuk hegemoni pemikiran di dalam novelnya, Nineteen Eighty-Four.

Tetapi ada faktor lain selain media massa yang menggerakkan masyarakat secara kolektif untuk memilih kerajaan yang totalitarian ketika itu. Media massa memang berperanan, tetapi keadaan sosio-politik dan mentaliti masyarakat turut membantu menyumbat propaganda tersebut ke akal masyarakat. Pada awal tahun 1930 telah berlaku The Great Depression, kemelesetan ekonomi global paling teruk dalam sejarah dunia. Bermula di Amerika Syarikat, kemudiannya berjangkit ke negara-negara lain. Pasaran saham, sektor perbankan, perindustrian, pertanian dan perladangan menjadi lumpuh. Pengangguran berleluasa, kebuluran berlaku, ramai yang kehilangan tempat tinggal serta hidup merempat. Menurut ahli ekonomi tersohor John Kenneth Galbraith (beliau bukan sosialis atau Marxist), faktor utama yang mendorong The Great Depression ialah amalan perdagangan yang tidak sihat serta struktur ekonomi dan perbankan yang bobrok dan pengagihan kekayaan negara yang tidak adil. Pada tahun 1929, 5% penduduk Amerika Syarikat menguasai 1/3 kekayaan negara. Dan, kalau mengikut logik kapitalis, baki 95% yang lain malas bekerja, kerana itu mereka miskin dan tidak berharta.

Ketika masyarakat putus asa, kecewa dan hilang arah tuju, kerajaan pula dilihat tidak mampu membantu malah dilihat sebagai punca masalah, tiba-tiba muncul tokoh yang menjanjikan peluang pekerjaan, kestabilan dan keadilan sosial. Kehadirannya dengan gaya pengucapan yang mengujakan, dengan semangat dan retorik penuh meyakinkan, menawarkan janji-janji manis tentang matlamat dan manfaat bersama (situasi yang sama di Malaysia). Ketika pilihan lain sirna, tidakkah ini kelihatan sebagai alternatif terbaik, malah mungkin satu-satunya alternatif untuk keluar dari penderitaan dan kesengsaraan, ditambah pula dengan propaganda di radio dan akhbar dan keadaan sosio-politik yang menekan. Dari sudut psikologi, memang minda masyarakat kelihatannya pasif akibat krisis yang berlaku dan menyebabkan unsur propaganda ini mudah saja disuap kepada mereka. Teori propaganda Harold Laswell cuba menghuraikan keadaan ini. Bagi Laswell, kuasa propaganda bukanlah bergantung kepada isi atau kandungan propaganda tersebut semata-mata tetapi dibantu oleh kelemahan minda masyarakat. Menurut Laswell lagi, propaganda bukanlah semata-mata penipuan atau putar belit maklumat untuk mengawal manusia tetapi ia melibatkan kempen yang tersusun dan spesifik di mana masyarakat perlu dilatih untuk menerima idea-idea dan tindakan-tindakan yang radikal atau bertentangan dengan status quo secara berperingkat. Imej dan idea baru perlu diperkenalkan dan ditanam ke dalam minda masyarakat dengan berhati-hati. Setelah itu barulah apa yang disebutkan oleh Laswell sebagai master atau collective symbols dicipta. Collective symbols dikaitkan dengan emosi khalayak di mana ia berkuasa merangsang mereka untuk bertindak secara kolektif sekiranya digerakkan dengan betul. Contoh? Di Jerman ketika itu mungkin ancaman kaum Yahudi atau Aryan Supremacy dijadikan simbol. Di Malaysia mungkin Ketuanan Melayu, kedaulatan Raja-raja Melayu atau Islam boleh dijadikan simbol.

Laswell mengajukan supaya kuasa propaganda ini dilawan juga dengan propaganda. Laswell bersikap pesimis dan skeptik dengan kemampuan masyarakat untuk menganalisis setiap sumber media massa melalui pemikiran yang rasional dan objektif. Bagi Laswell, mustahil masyarakat mampu menapis dan membezakan propaganda yang ditabur kepada mereka, oleh itu perlu diwujudkan elit baru yang digelar scientific technocracy yang berperanan menapis dan menangkis propaganda ‘jahat’ tersebut. Pendapat Laswell disokong oleh intelektual awam, Walter Lippman. Menurut Lippmann, untuk mewujudkan demokrasi yang stabil, proses membuat keputusan harus dihadkan kepada golongan tertentu kerana kejahilan masyarakat memahami kompleksiti sosio-politik mereka. Bagi Lippmann terdapat perbezaan yang ketara di antara realiti dunia dan pemahaman masyarakat terhadap dunia dan dia menolak sistem demokrasi klasik yang terlalu idealis yang menggalakkan partisipasi semua kelompok masyarakat di dalam politik negara. Sama seperti Laswell, Lippmann mengajukan agar diwujudkan sebuah agensi yang boleh mengawal pengorganisasian maklumat di kalangan masyarakat, di mana sudah ditentukan siapa mendapat maklumat apa, juga perlu diwujudkan intelligensia yang menentukan maklumat apa yang perlu dipaparkan dan maklumat apa yang perlu disembunyikan dari pengetahuan masyarakat. Lippmann memperkenalkan konsep manufacturing of consent (yang dipopularkan oleh Chomsky). Dan sudah tentulah ini solusi yang feudal, meletakkan kuasa mengawal maklumat di tangan segelintir manusia dengan harapan manusia ini dengan niatnya yang baik boleh melakukan propaganda yang ‘baik’ dengan maksud melawan propaganda yang ‘jahat’. Apa yang baik, sesuai, unggul dan suci ditentukan oleh sekumpulan manusia. Kesan buruknya masyarakat diajar untuk kenal siapa yang baik, bukan apa yang baik. Dan siapa yang baik tentulah mereka yang berkuasa dan dominan, yang menjadi majikan kepada scientific technocrat tadi. Akhirnya propaganda tetap kekal sebagai propaganda dan minda masyarakat masih seperti dulu, disuap dan dibodohkan.

John Dewey mengkritik sekeras-kerasnya teori propaganda ini yang merendahkan kemampuan akal manusia untuk menilai dengan kritis kandungan media dan propaganda. Bagi Dewey, masyarakat mampu menilai isi kandungan media jika mereka dididik dengan pemikiran kritikal, pendidikan media dan wacana serta debat awam, tugas media menurut Dewey ialah to interest the public in the public interest. Dewey melihat usaha untuk melibatkan partisipasi masyarakat secara aktif dalam pembinaan negara adalah langkah awal untuk mewujudkan demokrasi yang sihat. Demokrasi bagi Dewey ialah proses yang sentiasa berjalan ke arah pembaikan dan bukannya matlamat akhir yang statik. Idea dan konsep partisipasi aktif masyarakat ini akhirnya mencambahkan pemikiran demokrasi deliberatif yang diwacanakan oleh Jurgen Habermas.

Di sini ada saling kaitan di antara propaganda media, keadaan sosio-politik negara dan mentaliti masyarakat. Hitler contohnya mengambil kesempatan di atas krisis ekonomi dan konflik politik Jerman untuk meraih sokongan masyarakat terhadapnya. Tapi, kita tak dapat nafikan Hitler menjanjikan sesuatu kepada masyarakat Jerman, yakni harapan. Harapan untuk masa depan yang lebih baik. Harapan untuk negara kembali pulih dan stabil dari segi politik, ekonomi dan sosial. Maksudnya masyarakat menerima Hitler bukan semata-mata kerana kebebalan mereka dalam memahami propaganda politik atau kejahilan mereka tentang sistem politik (walaupun sedikit sebanyak unsur tersebut turut memainkan peranan), tetapi turut berdasarkan perkiraan mereka tentang keadaaan sosio-politik negara mereka sendiri yang perlukan rawatan segera. Kita tidak boleh melihat penerimaan masyarakat terhadap sesuatu ideologi dan perubahan sikap mereka hanya semata-mata atas faktor propaganda media dan kebodohan mereka tetapi ianya perlu dilihat secara mikroskopik, yakni kewujudan faktor-faktor lain yang saling melengkapi (complementary) yang akhirnya menjustifikasikan tindakan mereka.

Kegagalan menumbangkan BN ketika PRU13 membuatkan aku terfikir apa kekangan yang menghalang rakyat Malaysia terutama orang Melayu untuk berubah? Tidak cukup harapankah yang diberi PR kepada masyarakat? Mengapa ketika BN menghadapi krisis terburuk pun PR masih gagal untuk mengambil kesempatan meraih sokongan? Tidak cukup kuatkah Islam yang berdiri di dalam tubuh PAS bagai jasad dan ruh, untuk diterima sebagai rahmatan lil alamin di dalam mempengaruhi majoriti masyarakat Melayu? Ada pelbagai analisis terhadap PRU13 yang kita baca. Daripada teori simplistik orang Melayu bodoh, malas dan sukar untuk berubah sehinggalah kepada akses media yang berat sebelah, pilihanraya yang tidak telus dan gerrymandering. Aku tak nafikan semua masalah ini berlaku. Cuma analisis itu sendiri tidak tuntas dan komprehensif. Ia sekadar ditujukan kepada ‘mereka’ tanpa analisis yang reflektif dan introspektif terhadap ‘kita’, kerana ‘kita’ sentiasa benar dan suci. Kitalah pejuang-pejuang keadilan yang bermandi keringat dan berkorban tenaga untuk kemaslahatan masyarakat (konon). Kita katakan kekalahan ini akibat penipuan, manipulasi dan penindasan. Bagi aku ini hanyalah defence mechanism untuk menutup kelemahan dan kegagalan sendiri. Sepertimana Barat kurang melihat The Great Depression antara faktor yang memunculkan fasisme ketika itu (malah sistem kapitalisme adalah teras utama didalam konflik ini). Yang menjawab bukan lagi akal yang sihat tetapi ego dan nafsu yang luka, lantas yang muncul ialah delusi bahawa sesiapa yang berbeza dengan kita ialah musuh dan kita ialah mangsa keadaan.

Semua orang ada analisis simplistik terhadap kekalahan PR di dalam PRU13. Alasan simplistik aku ialah semuanya akibat reproduction of social formations. Kita semai benih yang kita tuai. Ianya satu kitaran sosial. Sebuah kitaran sistem. Di dalam diri setiap seorang daripada kita ini pun wujud sikap zalim, tamak dan rakus. Maka tiba-tiba kita mendambakan pemimpin maha adil dan berkebajikan muncul dari tengah-tengah sistem sosial ini? Kenyataannya sistem sosial yang kita angkat, peluk dan puja setiap masa ini sukar melahirkan malaikat berhati suci. Sistem yang mewujudkan culture industry yang memaknakan kehidupan ini dengan konsumerisme dan hedonisme melampau, di mana pemilikan material tercantik, termahal dan terhebat menjadi prestij dan tanda aras strata sosial. Sistem yang kontang nilai rohani dan spiritual. Keruntuhan moral telah terlembaga di dalam sistem sosial kita. Dan kita asyik berkompang dan berkokok tentang kezaliman ahli politik dan pemimpin negara, bilamana diri kita sendiri pun tak kurang zalimnya. Malah, ramai yang sedar mereka bukan manusia yang baik, cuma dengan hati yang pasrah mereka mahukan pemimpin yang berintegriti muncul untuk memimpin mereka. Seolah-olah seperti bangsa yang rosak dan sesat yang mahu tuhan mengutuskan nabi atau messiah untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar. Sedangkan diri sendiri enggan berubah. Tak dinafikan akan ada pemimpin-pemimpin yang baik budi akan muncul melakukan perubahan, tetapi malangnya mereka tidak membawa apa-apa yang baru dari segi pemikiran. Mereka hanya conform kepada sistem dan nilai yang sedia ada. Jangan bermimpi jika PR naik takhta segala masalah ini akan selesai. Apa yang dibawa Rasulullah ialah revolusi pemikiran yang kemudiannya menukar sistem politik, ekonomi dan sosial. PR setakat ini tidak membawa apa-apa pemikiran yang antithesis kepada sistem yang sedia ada. Jadi usah mengeluh, kitalah batu bata dari binaan sistem yang bobrok ini. Hubungan kita dengan sistem ini ibarat love-hate relationship yang tak pernah selesai dan surut.

"Dan demikianlah kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan"
(Al-An'am: 129)


Monday, July 1, 2013

Manusia Eksistensial: Dari Moraliti Hamba kepada Kompleksiti Dasein

Nietzsche telah memperkenalkan konsep will to power. Menurut Nietzsche, manusia secara tabiinya mempunyai keinginan untuk menguasai, samada menguasai dirinya sendiri atau menguasai manusia lain. Ada yang menganggap will to power tidak hanya terbatas kepada manusia sahaja, tetapi Nietzsche turut merujuknya sebagai sifat alam dan segala isinya. Namun itu tidak memberi kesan yang besar kerana peranan manusia dalam will to power lebih signifikan. Will to power bertindak sebagai kuasa yang menggerakkan sejarah dunia dari segi politik, ekonomi dan sosial. Asas dari perubahan berskala besar tersebut bermula dari naluri manusia yang bersifat saling ingin menguasai dan mendominasi. Namun berbanding memilih untuk menguasai dirinya sendiri, manusia lebih selesa untuk menguasai manusia lain. Dialektik kuasa ini menjadikan nilai moral manusia sentiasa berubah dan berbolak balik serta memunculkan transvaluation of values. Maksudnya nilai moral ini boleh dikonstruk semula mengikut kesesuaian manusia itu sendiri, cuma yang menjadi penghalang ialah sikap the herd tadi yang mengajar manusia supaya sentiasa tunduk dan patuh kepada nilai-nilai moral dan tradisi yang sedia ada. Nietzsche membahagikan nilai moral kepada dua; master-morality dan slave-morality. Master-morality ialah moral tahap tinggi yang melihat nilai moral sebagai satu yang wujud di luar kerangka baik-jahat. Mereka yang menganut master-morality bertindak sebagai creator of values.

Tulis Nietzsche,”The noble type of man regards himself as a determiner of values; he does not require to be approved of; he passes the judgment: What is injurious to me is injurious in itself; he knows that it is he himself only who confers honour on things; he is a creator of values.

Slave-morality yang juga digelar herd-morality pula sentiasa bersifat skeptik, pesimis dan reaksioner terhadap nilai moral yang kontra atau berbeza dari nilai yang mereka anuti. Slave-morality berpegang kepada nilai baik-jahat yang ketat kerana kedua-duanya menjadi nilai piawaian moral mereka. Namun transvaluation of values akan muncul apabila kuasa bertukar tangan (pemerintah atau golongan yang dominan digantikan dengan yang baru) dan nilai-nilai moral yang baru akan diperkenalkan. Sebagai contoh, Nietzsche mengatakan kerajaan Rome purba menganut master-morality sehinggalah kedatangan Kristian (Nietzsche sejak awal melihat Kristian sebagai punca masalah) yang membawa slave-morality kepada mereka. Dan keadaan ini berterusan sehingga ke hari ini di mana slave-morality telah menakluk segenap peribadi masyarakat. Nietzsche mengajak manusia menggunakan will to power untuk menguasai diri dan melepaskan diri dari belenggu eksternal dan conformity seterusnya mewujudkan transvaluation of values secara peribadi.


Martin Heidegger ialah pemikir besar yang melahirkan eksistensialisme. Tokoh yang memberi nafas dan disiplin falsafah yang konkrit dan komprehensif, yang menjadikan eksistensialisme sebagai aliran falsafah yang perlu diberi perhatian. Heidegger memaknakan exist sebagai intipati sebenar eksistensialisme.

Didalam magnum opusnya, Being and Time (Sein und Zeit), Heidegger memulakannya dengan memetik kenyataan Plato, “For manifestly you have long been aware of what you mean when you use the expression ‘being’. We however, who used to think we understood it, have now become perplexed”.

Ini intipati dasar yang cuba dirungkaikan oleh Heidegger, persoalan yang jarang di tanya oleh ahli falsafah dan jika dijawab pun tidak membantu manusia memahami secara mendalam dan konkrit apa yang dimaksudkan dengan wujud itu sendiri. Descartes contohnya cuba menjawab persoalan ontologi ini dengan kata-kata magisnya, “I think, therefore I am.” Bagi Heidegger rasionaliti, sains dan metafizik tidak mampu menyelesaikan kekusutan ini kerana ia memaknakan wujud melalui pandangan unsur eksternal, yang melihat wujud berdasarkan parameter dan karakteristik tertentu yang juga bersifat luaran, asing dan terpisah dari wujud itu sendiri, sedangkan wujud harus dimaknakan melalui wujud itu sendiri, secara internal dan komprehensif.

Being and Time ialah naskah falsafah berat yang sukar difahami kerana beberapa faktor. Pertama, ini bukan karya fiksyen atau majalah Mangga. Kedua, Heidegger ialah filosofis dan ahli akademik tulen, maka struktur bahasa dan persembahan ideanya penuh dengan philosophical grammar yang akan membuatkan kita putus asa dan terus buka TV dan menonton rancangan Melodi untuk melepaskan geram. Ketiga, Heidegger amat cerewet di dalam penggunaan bahasa untuk memaknakan sesuatu, maka pemilihan perkataannya amat teliti. Keempat, kerana ketelitian tersebut Heidegger telah mencipta terma-terma baru (neologism) dan menggunakan ayat-ayat yang kompleks untuk menerangkan sistem falsafahnya yang sememangnya kompleks. Menambahkan lagi masalah ialah Heidegger menulis dalam bahasa Jerman. Kalau menurut penterjemah edisi yang diterbitkan oleh State University of New York Press, Joan Stambaugh, buku tersebut “pose a challenge even to a German reader”. Kalau orang Jerman sendiri pun sukar untuk faham, maka sendiri fahamlah.

Untuk menjawab persoalan makna kewujudan manusia, perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu ialah menjawab apa maksud wujud? Kaedah yang digunapakai Heidegger untuk menjawab persoalan ini dikenali sebagai phenomenology, idea yang bermuara dari sifunya sendiri, Edward Husserl. Phenomenology ialah kaedah mengkaji makna kehidupan dari kesedaran manusia. Melalui persepsi dan pandangan manusia itu sendiri dengan sudut pandang orang pertama, kesedaran internal tulen manusia kerana hanya manusia yang benar-benar memahami kewujudannya sendiri. Fokusnya bukan kepada objek yang dipandang, bukan juga subjek yang memandang (pembahagian subjek-objek ditolak) tetapi pengalaman atau kesedaran yang timbul hasil dari pertembungan atau pandangan tadi. Maka semua benda adalah fenomena (dari sini timbul phenomenology) hasil kesedaran manusia. Heidegger menekankan supaya kita membezakan diantara wujud (beings) dan kewujudan (existence). Heidegger menulisnya sebagai ontic (wujud) dan ontology (kewujudan). Wujud ialah semua entiti yang wujud; manusia, haiwan, pokok dan sebagainya. Wujud bukanlah kewujudan. Kewujudan pula penerangan tentang kehadiran sesuatu wujud. Kewujudan bukanlah wujud itu sendiri. Wujud ialah sesuatu yang indefinable kerana ia bersifat self-evidence. Wujud sesuatu bersifat terbuka untuk sebarang usaha pemaknaan. Untuk mencari makna kewujudan, persoalan wujud itu sendiri yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Untuk mencari makna kewujudan komputer, persoalan apa itu komputer perlu diselesaikan dahulu. Oleh kerana Heidegger seorang manusia, maka wujud manusialah yang akan dikaji (dan hubungannya dengan wujud yang lain).

Hadeigger menjelaskan wujud manusia sebagai dasein. Karakter utama dasein ialah dia wujud dan dia sedar akan kewujudannya. Wujud manusia dan kesedaran tentang kewujudan itu sendiri membentuk dasein. Malah ianya ciri terpenting dasein kerana kesedaran akan kewujudan itu memaknakan wujudnya. Tulis Heidegger,”Dasein is ontically distinctive in that it is ontological.” Setiap individu ialah dasein. Dasein wujud bukan hanya kerana dia mampu berfikir tentang kewujudannya semata-mata (lantas menyanggah Descartes) tetapi kerana interaksinya (fizikal, mental dan sosial) dengan dunia, yang disebutkan sebagai being-in-the-world. Being-in-the-world bermaksud interaksi dan komitmen yang intim dan mendalam, saling mempengaruhi di antara satu dengan yang lain. Dunia dan dasein adalah satu yang tidak terpisah. Ianya bersatu dan menyatu. Perhatikan penggunaan tanda sempang (hyphen) untuk menunjukkan bahawa terma tersebut sebagai satu kesatuan yang kukuh (selain istilah ini banyak lagi istilah yang digunakan Heidegger menggunakan tanda sempang). Dasein wujud dalam struktur ruang dan masa (temporal) dan kerana itu wujudnya adalah satu perjalanan yang disebut sebagai being-towards-death. Dasien bukan sahaja menginterpretasikan dunia tetapi pengalaman tersebut (hasil interpretasi) turut membantunya menginterpretasikan wujudnya sendiri. Di sini Heidegger berbeza dengan Husserl yang melihat kesedaran sebagai satu pemerhatian yang pasif. Bagi Heidegger ianya adalah pengalaman dan penglibatan praktikal dan interaktif di antara dasein dan dunia.

Dasein berinteraksi dengan dunia secara asasnya melalui alatan atau tools yang dipanggil readiness-to-hand. Ianya ialah sebarang entiti yang digunakan secara langsung untuk menjalani kehidupan. Satu lagi tools dipanggil present-at-hand yakni entiti yang berinteraksi secara pasif. Kehadirannya disedari oleh dasein tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan secara langsung. Contoh, komputer yang rosak tidak akan dihiraukan oleh dasein (tapi masih ada kemungkinan dasein mampu memanfaatkannya lalu ia tetap menjadi readiness-to-hand). Hubungan dasein dan dunia banyak berkisarkan readiness-to-hand kerana kemampuan dasein mengguna dan memanipulasi dunia untuk objektif tertentu. Present-at-hand hanyalah mode sekunder dalam hubungan ini. Dasein mewujudkan circumspection, suatu keadaan dimana mereka sentiasa berasimilasi atau bersikap reseptif dengan readiness-to-hand, mewujudkan kesedaran akan sesuatu entiti dari segi utiliti atau fungsinya terhadap dasein dalam situasi atau keadaan tertentu. Begitu juga dengan present-at-hand, circumspection menjadikan dasien sentiasa meneroka utiliti dan fungsinya untuk menjadikannya readiness-to-hand. Hubungan dasein (individu) dengan dasein yang lain disebut being-with. Heidegger melihat hubungan dan interaksi sosial di antara dasein dengan dunia ialah elemen yang penting di dalam wujud dasein. Apabila dasein melihat atau menilai wujud dasein yang lain dia sebenarnya menilainya dari konsep wujudnya sendiri yang disebut mineness. Perspektif dasein A terhadap dasein B bukanlah perspektif tentang wujud dasein B tetapi tentang wujudnya sendiri. Mineness menentukan samada dasein mampu mencapai authenticity, yakni mengawal dan menentukan wujudnya sendiri atau sekadar menyerah kepada conformity, melakukan sesuatu kerana mengikut arus masyarakat; Heidegger menyebutkan ia sebagai Das man atau diterjemahkan kepada the They. Tidak ada piawaian atau sasaran tertentu untuk dasein mencapai authenticity kerana ianya bergantung kepada pemahaman dasein tentang dirinya sendiri. Pening..

Bersambung..



Monday, June 24, 2013

Manusia Eksistensial: Dari Nota Bawah Tanah Kepada Superman

I am sick man..I am spiteful man. An unattractive man. I think that my liver hurts. But actually, I don’t  know a damn thing about my illness. I am not even sure what it is that hurts. I am not in treatment and never have been, although I respect both medicine and doctors. Besides, I am superstitious in the extreme; well at least to the extent of respecting medicine.”


Sila jangan salah faham. Bait di atas bukan lirik lagu Nirvana, Pearl Jam atau mana-mana band Seattle ketika zaman emas grunge. “Teenage angst has paid off well, now i'm bored and old,” kata Cobain. Ia adalah petikan dari novel Notes from Underground yang diterbitkan pada tahun 1864, karya Fyodor Dostoyevski, penulis Russia yang membawa tema tentang subjektiviti, individualiti, kebebasan mutlak, psikologi negatif, persoalan serta pilihan moral dan kesedaran diri manusia di dalam karyanya. Dostoyevski menelanjangkan semua underground thought ini tanpa rasa takut dan malu. Melalui Notes from Underground, karakter di dalamnya menjelaskan bahawa terlalu banyak kesedaran (conciousness) ialah satu penyakit dan simptom penyakit ini ialah ketidakmampuan untuk bertindak. Dostoyevski mengajukan satu paradoks, adakah manusia berani melakukan perkara-perkara yang merbahaya dan bodoh yang bakal menjejaskan keselamatan mereka sendiri, demi membuktikan bahawa mereka memiliki kebebasan mutlak untuk bertindak semahunya?

Persoalan-persoalan ini menjadi benih awal pertanyaan yang cuba dijawab oleh pemikir-pemikir eksistensialisme kemudiannya dan telah mempengaruhi kesusasteraan moden dari segi gaya penulisan dan tema. Apa yang menarik ialah faktor yang menyebabkan eksistensialisme menjadi popular terutamanya di kalangan anak muda adalah kerana ia turut menjadi fenomena seni dan sastera. Trio eksistensialis Perancis; Jean-Paul Sartre, Simone de Beauvoir dan Albert Camus, selain dari pemikir, mereka juga penulis yang berbakat, yang menginterpretasikan kerumitan pemikiran eksistensialisme melalui medium penulisan. Sartre dengan No Exit, Camus dengan The Stranger dan de Beauvior dengan The Blood of Others. Pemikir  pra-eksistensialisme iaitu Friedrich Nietzsche dan Søren Kierkegaard juga menulis fiksyen (mereka tidak pernah dirujuk sebagai eksistensialis tetapi idea dan pemikiran mereka melahirkan konsep-konsep penting yang menjadi asas eksistensialisme kini). Dua penulis tersohor, Frank Kafka dan Richard Wright (juga tidak pernah dianggap sebagai eksistensialis) turut menggarap tema eksistensialisme di dalam penulisan mereka.
 
Beat Generation di Amerika Syarikat turut terinspirasi dari konsep-konsep eksistensialisme walaupun orang kuat mereka, Jack Kerouac dan Allen Ginsberg menafikan kaitan secara langsung antara Beat Generation dan eksistensialisme. Kerouac menyifatkan eksistensialisme terlalu politikal manakala Ginsberg menyebut eksistensialisme sebagai ‘intellectual practice rather than a physical practice’. Ketika falsafah ini berkembang dan popular di Perancis (dan mula merebak ke negara Eropah lain dan Amerika Syarikat) sekitar pertengahan abad ke 20 , elemen eksistensialisme ini diteroka dan disebarluaskan lagi melalui filem di tangan pengarah-pengarah French New Wave  seperti Jean-Luc Godard dan Francois Truffaut. Legasi konsep eksistensialisme melalui seni diteruskan lagi oleh Terrence Malick, Stanley Kubrick, Woody Allen dan David Lynch melalui filem serta Chuck Palahniuk, Haruki Murakami dan David Foster Wallace melalui penulisan. Karya-karya ini biasanya berkongsi elemen yang sama seperti konsep anti-hero, absurdity, alienation, bentuk atau form yang tidak konvensional dan penentangan terhadap norma sosial. Penyatuan antara falsafah dengan seni dan kesusasteraan adalah kes istimewa yang selalu dirujuk kepada eksistensialisme, yang jarang berlaku kepada aliran pemikiran lain.

Sukar untuk mendefinisikan eksistensialisme. Dan ia bukanlah falsafah yang boleh berdiri dengan ontologi, epistemologi dan etika tertentu. Walaupun ia memang berbicara tentang ontologi. Seperti teras ideanya yang anti-uniformity dan anti-conformity, begitulah juga kita akan melihat jalur ideanya yang pelbagai. Ini boleh dilihat dari kehidupan tokoh-tokoh eksistensialis itu sendiri; Søren Kierkegaard dan Paul Tillich adalah theologian Kristian (sedangkan atheisme selalu disebutkan sebagai aspek yang intrinsik di dalam eksistensialisme), Heidegger menyokong Nazi, Sartre adalah seorang Marxist, namun tetap mereka mendukung eksistensialisme. Jadi ada apa dengan eksistensialisme? Eksistensialisme adalah upaya baru untuk memaknakan semula humanisme. Ini kerana manusia bukan sahaja sedar (conscious) tetapi juga sedar diri (self-conscious), mereka sedar bahawa mereka wujud dan mereka mampu mempersoalkan kewujudan mereka. Kita akan menemui banyak konsep the self ini dalam perbincangan eksistensialisme; self-discovery, self-reflection, self-definition, self-determination dan sebagainya. Oleh itu eksistensialisme melihat kemanusiaan dari perspektif manusia dan kewujudannya sendiri, secara individualiti bukan kolektif, manusia sebagai objek bukan subjek yang dicirikan oleh falsafah, politik, agama, budaya atau ekonomi. Irrasionality adalah aspek penting dalam eksistensialisme. Makna individu digali dari ruang dan perspektif peribadi dan kewujudan manusia mesti bersandarkan perenungan dalam diri, memaknakan diri dengan memeluk kebebasan mutlak sepenuhnya, lepas dari sebarang belenggu, dogma dan sebarang unsur eksternal. Bagi eksistensialis hidup dilihat tidak mempunyai maksud, matlamat dan tujuan yang mutlak, maka manusialah yang menentukan haluan masing-masing.  Oleh itu individualiti , subjektiviti dan kebebasan menjadi tema utama di dalam eksistensialisme. Setiap manusia adalah unik kerana mereka bebas  memberi makna kepada diri masing-masing. Jadi conformity dan uniformity adalah sikap terlarang dalam eksistensialisme.

Perkembangan falsafah eksistensialisme boleh dibahagikan kepada tiga tahap paling asas. Tahap pembenihan, kelahiran dan kematangan. Pembenihan eksistensialisme dikesan bermula dari dua pemikir irrasional, Søren Kierkeegard dan Friedrich Nietzsche (Dostoyevski juga dikaitkan dengan kemunculan eksistensialisme). Kierkegaard ialah theologian Kristian tetapi aliran eksistensialisme kontemporari yang dikaitkan dengan Sartre dan angkatan eksistensialis Perancis selalu diasosiasikan dengan atheisme kerana mereka adalah golongan yang dominan. Ironinya persoalan eksistensialisme  awal di tangan Kiekegaard ialah usaha mencari makna individu melalui iman (faith). Kierkeegard ialah eksistensialis yang cuba menghubungkan makna kewujudan manusia dengan tuhan. Namun seperti semua eksistensialis yang lain, Kierkegaard menolak doktrin agama (malah apa sahaja dogma) yang menentukan secara sistematik nilai, moral dan norma manusia. Seperti katanya, “I refuse to be a paragraph of a system.” Dalam hal ini, Kierkegaard menyerang dogma Kristian yang kurang memberikan penekanan terhadap hubungan manusia-tuhan yang bersifat personal dan berusaha membuat renewal  Dia menyanggah idea Frierich Hegel yang mengutamakan idea dan pemikiran sebagai ‘essence’ dalam diri manusia kerana ianya sentiasa tertakluk kepada latar sosio-politik tertentu. Bagi Kierkeegard, kebenaran itu adalah subjektiviti. Subjektiviti di sini bukan bermaksud manusia memilih secara semborono apa yang dirasakannya benar, tetapi hasil dari perenungan, tafakur, berfikir dengan penuh komitmen untuk mencari kebenaran.

Proses mencari makna kewujudan diri  bagi Kierkegaard ialah suatu proses yang melelahkan, memerlukan motivasi dan semangat yang tak pernah luntur. Ianya adalah pertarungan sengit diantara dua unsur yang saling berlawan di dalam diri manusia; wujud kini dan wujud hakiki (telos) yang berebutkan satu nyawa. Pilihan manusia samada untuk kekal di dalam wujudnya kini atau berusaha mencapai maqam wujud hakiki, kedua-duanya membawa manusia kepada putus harapan (despair) yang disebutkan oleh Kierkeegard sebagai ‘sickness unto death’. Untuk mencapai wujud hakiki manusia perlu hidup dengan penuh authenticity;  berusaha menggunakan kesedaran dengan penuh honesty, menggunakan kebebasan sepenuhnya dan sentiasa berfikir di luar kotak. Dan masih kedua-duanya membawa kepada ketidakpastian jalan dan risiko.

Bagi manusia yang tegar untuk mencari wujud hakikinya mereka akan sampai ke satu tahap di mana kesedaran baru akan timbul bahawa kembara tersebut tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya. Mereka memerlukan pergantungan kepada Yang Maha Kuasa, melalui penyerahan diri kepadaNya. Bagi Kierkeegard wujud hakiki manusia hanya dapat dicapai apabila manusia menghubungkan dirinya dengan Tuhan melalui apa yang disebut sebagai ‘leap of faith’; satu usaha untuk mencerap pengalaman beragama (bertuhan) bukan hanya sebagai sistem kepercayaan tetapi sebagai satu cara hidup dengan mengenepikan sebarang dogma dan doktrin agama atau pembuktian kewujudan Tuhan melalui bukti rasional dan empirikal. Bagi Kierkeegard, manusia yang meminta bukti rasional dan objektif tentang kewujudan Tuhan adalah manusia yang sudah tercabut fitrah imannya. Dan leap of faith adalah kembara rohani individu bukannya pengalaman beragama sekumpulan manusia. Melaluinya manusia menerima segala absurdity dan paradoks agama serta dapat mengaitkan dirinya terus dengan Tuhan. Tetapi Kierkeegard sendiri yakin, untuk melakukan leap of faith ialah satu perkara yang jarang berlaku dan menyebutkan Nabi Ibrahim sebagai salah seorang yang berjaya mencapainya. Dia menulis kisah ini di dalam Fear and Trembling, yang memuatkan empat penceritaan semula kisah ini dari perspektif yang berbeza.

Menurut Kierkegaard, kisah Nabi Ibrahim menerima arahan dari Tuhan untuk mengorbankan anaknya Ishak (terdapat perbezaan di antara Kristian dan Islam tentang siapa yang dikorbankan, di dalam Bible Genesis yang disembelih ialah Ishak) adalah paradoks di dalam iman; orang beriman wajib patuh perintah Tuhan walaupun perintah itu sendiri melanggar hukum Tuhan. Dalam kes Nabi Ibrahim, baginda akur untuk membunuh anaknya walaupun kepatuhan tersebut melanggar larangan Tuhan (malah hukum universal) supaya jangan membunuh. Kierkegaard cuba membezakan di antara kepatuhan, keyakinan dan keimanan di dalam Fear and Trembling. Dia menceritakan bahawa Nabi Ibrahim bersedia untuk mengorbankan Ishak kerana baginda mempunyai keimanan bahawa Tuhan akhirnya tidak akan membenarkan perkara tersebut berlaku.  Dan inilah maksud iman yang tulen. Jika baginda akur semata-mata kerana itu adalah perintah Tuhan, itu hanyalah kepatuhan bukan keimanan. Apabila baginda yakin Tuhan tidak akan mengorbankan Ishak, adakah perkara tersebut pasti akan berlaku? Jawapannya tidak. Baginda terpaksa menerima kemungkinan Ishak akan dikorbankan. Sekiranya baginda benar-benar pasti Ishak akan selamat pula, ianya bukan lagi iman, tetapi keyakinan, dan tiada lagi nilai ujian, pencarian makna dan absurditi di dalam kisah tersebut kerana semuanya telah difikir dan ditimbang oleh akal. Iman di sini bermaksud keyakinan tahap tinggi yang tidak memerlukan pembuktian empirikal atau rasionaliti akal. Kierkegaard menyebutkan konsep ini sebagai ‘teleological suspension of the ethical’. Baginda telah melakukan ‘teleological suspension of the ethical’ dengan mengenepikan rasionaliti, etika universal dan hukum moral (jangan membunuh) demi mencapai wujud hakiki (telos) yakni hubungan yang erat dan sempurna dengan Tuhan. Manusia yang mencapai tahap ini digelar knight of faith, manusia yang menerima segala absurditi, hidup dengan penuh autentik dan passionate dan menghubungkan dirinya dengan Tuhan, melalui iman. Ramai yang mengatakan Kierkegaard cuba untuk mengaitkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dengan kisah cintanya terhadap Regina Olsen. Oh, kisah cinta super syahdu. Harus difilemkan. Patutlah tema eksistensialis tak pernah surut dalam karya seni dan kesusasteraan.

Jika Kierkegaard cuba mengaitkan wujud diri dengan Tuhan, Nietzsche tanpa berbasa basi terus melontarkan kata saktinya, “God is Dead”. Pengaruh Nietzsche melalui deklarasi God is Dead telah memberikan kesan yang besar kepada pemikiran eksistensialis Perancis yang dikepalai Sartre. Berbanding Kierkgaard, idea-idea Nitzsche telah menyumbang impak yang lebih besar kepada pemikiran dunia walaupun isi dari idea-ideanya dilihat terlalu nihilistik. Melalui ungkapan God is Dead, Nietzsche cuba melepaskan manusia dari ikatan entiti Maha Kuasa dan teologi agama, yakni doktrin pemikiran yang dianggap sakral untuk diperdebatkan oleh manusia. Dengan kemajuan di dalam bidang saintifik, dia melihat agama sudah gagal menawarkan sesuatu yang bermakna kepada manusia. Bagi Nietzsche apabila tuhan mati, hidup ini terlepas dari makna yang spesifik, dan manusia yang autentik ialah manusia yang mencipta tata moralnya sendiri. Nietzsche merasakan falsafah, agama dan sains telah menyeragamkan pemikiran dan tingkah laku manusia menjadi kelompok tertentu, di mana kreativiti, kebebasan dan keberanian untuk mencuba dan mencipta sesuatu yang baru hilang dan manusia sekadar mengulang kitaran kehidupan yang telah ditentukan oleh mereka sebelum ini.

Bagi Nietzsche, pemikiran berkelompok (the herd) dan sikap comformity adalah sangkar yang mengurung manusia daripada menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Jika Kierkegaard menjadikan knight of faith sebagai matlamatnya, Nietzsche mahu mencipta manusia ideal, übermensch atau superman (juga disebut overman). Superman ialah manusia yang menguasai takdir hidupnya sendiri, sentiasa melakukan introspeksi diri, menguasai diri dengan memberi makna dan tujuan kepada hidup, menguasai inner animal nature (the herd) di dalam diri yang mengurung sifat unik dan dinamik manusia. Superman ialah manusia yang berani mendepani risiko, cabaran hidup dan sanggup berkorban untuk mencapai ideal yang diimpikannya, sikap yang hilang dari manusia biasa di mana akhirnya mereka kembali kepada agama, politik dan  masyarakat sebagai medium eskapisme. Tulis Nietzsche, “The genius who can embrace becoming,  who acknowledges the death of all external values, could become a superman.  Such a superman would be a this-world antithesis to God and would affirm life without any resentment. The superman would be to humans as humans are to apes. But, most important, the superman would be the one who acknowledges and celebrates the will to power. Oleh itu, “All gods are dead: now we want the superman to live”, kata karekter Zarathustra, di dalam novel masterpiece Nietzsche, Thus Spoke Zarathustra.

Bersambung..

Thursday, June 13, 2013

Muslim dan Radikal

Marxisme/ komunis (selepas ini dirujuk sebagai Marxisme sahaja) adalah ideologi yang kelihatannya akrab dengan anak muda Malaysia kini. Mereka berdiskusi, membaca, mengkaji dan menyelidik tentangnya, malah ada yang mengaku mereka adalah seorang komunis. Aku tidak tahu di tahap mana pemahaman mereka tentang Marxisme, dan tidaklah pula aku mahu merendah-rendahkan pilihan mereka untuk menganuti ideologi tersebut, kerana aku sendiri memang tertarik dengan ideologi Marxisme, terutamanya dengan idea-idea neo-Marxisme, dari The Frankfurt School misalnya. Tetapi tidaklah sampai mengaku seorang komunis. Tidak, dalam era kapitalisme global ini, sukar rasanya untuk mencari seorang komunis yang benar-benar komunis. Malah, tak keterlaluan untuk aku katakan tak pernah ada komunis di dalam dunia ini. Anda boleh rujuk artikel Hishamuddin Rais bertajuk ‘Kenapa saya bukan komunis?’ Itu adalah tafsiran utopia tentang komunis yang mungkin jujur dari beliau. Atau pun sinis.

Walau bagaimana pun, ini satu perkembangan budaya ilmu yang baik sebenarnya, di mana ideologi Marxisme yang suatu ketika dahulu dipaparkan sebagai atheis, kiri, radikal, ganas, militan dan revolusioner di negara ini,  tidak lagi dianggap taboo untuk dibincang dan dikaji. Cuma aku berharap janganlah ideologi ini dipegang hanya kerana mereka terpaut dengan imej ikonik Che Guevara, atau terpana dengan kecantikan Camila Vallejo, atau bersimpati setelah membaca biografi tokoh-tokoh Rejimen Ke-10 PKM, atau sekadar mahu dianggap cool, rebel dan trendy dengan memakai t-shirt atau clothing dengan simbol-simbol seperti hammer and sickle dan clenched fist sambil melaung jargon-jargon Marxisme (yang paling terkenal tentunya borjuis dan proletariat) yang seterusnya sekadar mengabsahkan konsep culture industry. Janganlah ada manusia mengaku sebagai seorang komunis kerana faktor-faktor ini. Terutamanya faktor terakhir. Ianya merendahkan nama komunis itu sendiri.

Sebenarnya aku ingin menyentuh dua pihak yang saling terlibat dalam polemik sosialis/ komunis/ Marxisme dan Islam ini. Satu pihak ialah agamawan yang menyelar golongan sosialis/ komunis/ Marxisme manakala satu pihak lagi golongan Muslim yang menganut ideologi ini atau cenderung menyokong atau simpati kepada ideologi dan penganut ideologi ini. Pertama sekali molek rasanya jika kita terlebih dahulu faham dengan tiga terma ini: sosialis, komunis dan Marxisme. Ketiga-tiga terma ini kadang kadang mengundang keliru kerana sering ditukar ganti di antara satu dengan yang lain. Tetapi ketiga-tiganya membawa maksud yang berbeza. Aku mahu kecilkan skop sosialisme dan komunisme ini dengan mengambil maksudnya dari ideologi Marxisme sahaja, tanpa melihat kepada wacana dan perbincangan tentang dua terma ini dalam skala yang lebih luas.

Ramai yang tahu, ideologi sosialisme dan komunisme ini sudah dibincangkan lama sebelum kemunculan Marx lagi dengan tokoh-tokoh seawal Francois-Noel Babeuf, Jean-Jacques Rousseau, Saint-Simon, Robert Owen, Pierre-Joseph Proudhon dan lain-lain.  Marxisme itu sendiri adalah cabang dari sosialisme. Disebutkan sebagai sosialisme yang paling radikal. Marx bersama BFFnya  Engels (selepas ini gabungan mereka dirujuk sebagai Marx sahaja) telah berjaya merumuskan sosialisme bawaan mereka kepada satu kerangka falsafah yang kukuh merangkumi aspek falsafah, sosiologi, ekonomi dan politik. Untuk membezakannya dari cabang sosialisme yang lain, Freidrich Engels menulisnya sebagai sosialisme saintifik.

Sosialisme saintifik ialah satu kaedah untuk membolehkan perubahan sosial manusia dikaji menerusi kaedah empirikal dimana dinamika sosial, ekonomi dan politik masyarakat dapat dikaji ,diselidik dan diramal berdasarkan pattern tertentu.  Ianya disebutkan sebagai hasil sintesis cemerlang teori falsafah Jerman, teori politik Perancis dan teori ekonomi British. Komunisme pula adalah bentuk masyarakat ideal yang menjadi matlamat Marx berdasarkan teori sosialisme saintifik tadi. Ia adalah condition of a society bukannya sebuah gerakan politik atau militan. Setelah revolusi kelas pekerja berjaya, satu fasa transisi yang disebut sebagai dictatorship of the proletariat akan memimpin masyarakat. Fasa ini dikenali sebagai sosialisme. Ianya bertindak sebagai kerajaan provisional atau sementara sebelum masyarakat komunisme tercapai. Boleh rujuk latar belakang idea Marx di sini.

Sosialisme Marxist bertujuan untuk menyediakan pelan peralihan ke arah masyarakat komunis dengan menyediakan sarana ekonomi, politik dan sosial. Fasa ini perlu ke arah menguasai sepenuhnya capital negara dari golongan kapitalis di samping membentuk sifat sosial masyarakat daripada masyarakat materialistik kepada masyarakat komunis yang saling hidup bersolidariti. Komunisme adalah matlamat Marx. Dan komunisme tidak pernah wujud di dunia sehinggalah artikel ini ditaip. Yang pernah wujud hanyalah parti komunis, bukan negara komunis. Apa itu negara komunis? Komunisme adalah masyarakat tanpa pemilikan harta persendirian, masyarakat tanpa kelas sosial, tanpa penindasan, tanpa eksploitasi, tanpa dominasi. Manusia hidup rukun damai dalam bersolidariti di dalam sebuah komuniti. Bagi Marx komunisme ini seharusnya situasi yang bersifat international, bukan regional.

Sosialisme saintifik ini dikembangkan oleh pemikir-pemikir yang tertarik dengan idea Marx menjadi sebuah analisis sejarah, teori ekonomi dan doktrin politik yang dikenali kemudiannya dengan nama Marxisme. Kini setelah 130 tahun kematian Marx, sekolah pemikiran Marxist ini berkembang dan bercambah menjadi cabang-cabang ilmu yang kaya dengan pelbagai perspektif. Ramai intelektual membahagikan pemikiran Marx kepada dua kumpulan. Pemikiran awal Marx lewat kumpulan tulisannya Economic and Philosophic Manuscripts of 1844 dan pemikiran keduanya, bermula dengan The German Ideology, yang disebutkan sebagai epistemological break di antara kedua kumpulan pemikiran ini. Pemikiran awalnya mempengaruhi aliran humanisme Marxist. Ali Shariati menulis, pemikiran awal Marx tegas menyerang sistem kapitalisme yang merosakkan kemanusiaan manakala pemikiran kedua cuba untuk menyusun sistem sosial dan politik komunisme. Menurut Shariati, pemikiran kedua ini telah membayangi unsur moral dan kemanusiaan yang menjadi teras pemikiran awalnya, digantikan dengan semangat revolusi dan cita-cita politik komunisme dan menjadikan beliau tak ubah seperti ahli politik lain yang dahagakan kuasa.

Antara hujah utama mengapa agamawan menentang komunisme ialah pandangan alam Marxisme itu sendiri yang bersandarkan falsafah dialectical materialism. Pandangan Marx terhadap agama (malah pemikiran materialisnya selepas itu) banyak dipengaruhi oleh Ludwig Feuerbach (Marx memang banyak mencedok idea pemikir-pemikir lain), satu-satunya ahli Kaum Muda Hegelian (Young Hegelians) yang disanjung tinggi oleh beliau. Bagi Feuerbach, manusia meletakkan semua sumber kebaikan yang wujud di dalam diri mereka kepada entiti super sempurna, iaitu tuhan.  Seperti katanya,”what man praises and approves, that is God to him; what he blames and condemned is the nondivine.” Beliau menolak sebarang usaha untuk menilai agama melalui kaedah non-empirical. Pandangan materialis ini memberi kesan besar kepada pemikiran Marx kemudiannya yang sedar bahawa ia boleh digunakan untuk mengkaji hubungan manusia dengan institusi sosial lain yang membelenggu mereka walaupun ia  ciptaan mereka sendiri.  Marx sendiri mengalami alienation hasil interaksinya dengan agama Kristian waktu itu. Ia menjadi agama yang pasif, tidak dapat menampung dinamisme pemikiran Marx yang menggelegak ketika itu. Agama Kristian menjadi eskapisme untuk masyarakat menghilangkan penderitaan mereka dengan berkhayal tentang janji-janji kudus. Berbeza dengan Islam yang bagi aku walau bagaimana superb pun pemikiran kau, walaupun institusi agama menekan dan menindas rakyat, kau masih mampu melihat gagasan pencerahan dan pembebasan Islam di dalam al-Quran. Kerana itu mungkin muncul Islam Liberal, Islam Marxist, Islam Feminis dan sebagainya. Kerana akhirnya yang kau cabar ialah tradisi, bukan Islam itu sendiri yang kau lihat tetap hebat pesan-pesan mulianya, dan tetap kau tak mahu melepaskan diri kau dari Islam, kerana ianya indah. Tapi tidak bagi Marx. Dia melihat agama Kristian ketika itu tidak mampu memecahkan kebuntuan sosial masyarakat malah bersekongkol dengan kelas feudal untuk menindas rakyat. Dia gagal untuk mengaitkan unsur spiritual agama dengan kehidupan manusia kerana sememangnya agama. Bagi aku Islam itu sudah cukup kuat sebagai agama yang membebaskan sehingga aku terfikir apa perlunya seorang Muslim mengaku sebagai Marxist atau komunis. Menggunakan Marxisme sebagai alat analisis satu hal, mengaku seorang komunis bagi aku hal yang lain. Ini mungkin kena fikirkan lagi.

Aku faham konsep dialectical materialism ini meminggirkan elemen ketuhanan dari kehidupan. Dan kerangka asas konsep ini telah mencambahkan idea-idea Marx mencakupi aspek ekonomi, sosiologi dan politik. Tapi kita bukan cuba memborong semua falsafahnya sebagai akidah kita. Pemikir-pemikir atheis ini semuanya gagal membuktikan ketidakwujudan tuhan secara tuntas atau melalui perspektif falsafah, apa yang mereka mampu lakukan hanyalah mengkritik agama atau membuat quote sinis tentang tuhan dengan harapan tuhan dapat disingkirkan dari kehidupan. Persoalan kewujudan tuhan itu sendiri tidak dibincangkan dengan mendalam dan teliti. Marx pun sama. Kita pun tidak mahu mengambil agama dari dia. Cumanya ada sisi tertentu dari ideanya yang boleh kita jadikan panduan untuk membantu kita memahami manusia dan masyarakat dengan lebih baik. Lebih-lebih lagi ideologi Marxisme ini sudah pun berkembang membentuk disiplin-disiplin sampingan seperti Critical Theory, kritikan sastera, cultural studies, komunikasi media dan sebagainya. Ia sekadar alat untuk membantu, bukan matlamat yang kita tuju. Lihat sendiri bagaimana Sartre yang eksistensialis itu pun cuba menempel dengan Marxisme. Bukanlah maksud aku penyertaan Sartre ke dalam kem Marxist menjadi justifikasi untuk kita mengkaji Marxisme. Cuma kita boleh lihat pengaruh Marxisme itu sendiri menyebabkan raja eksistensialis yang dulu mengkritik Marxisme tiba-tiba mahu kahwin campur dengan Marxisme. Mungkin dia sudah menjumpai matlamat wujudiahnya di dalam Marxisme. Siapa tahu.

Pada pendapat aku, penyokong Marxisme perlu cuba mendapatkan bahan bacaan Marxisme yang lebih kontemporari. Cukuplah dengan membaca The Communist Manifesto atau The German Ideology tu. kalau boleh faham dan tafsirkan Capital lagi bagus. Kita sekarang bukan lagi berhadapan dengan ancaman kapitalisme seperti yang dihadapi oleh Marx. Kapitalisme kini semakin rencam malah imejnya semakin gergasi dan perkasa. Seperti kata Trotsky, “What does this terrible word dialectics mean? It means to consider things in their development, not in their static situation". Maksudnya, jika anda masih bernostalgia tentang kapitalisme kurun ke 18 dan 19, anda sebenarnya masih belum faham wacana dialectical materialism di peringkat paling asas. Kelas sosial masyarakat kini bukan lagi terbahagi kepada proletariat dan borjuis. Kalau al-Quran ada asbabun nuzul, maka tulisan Marx juga perlu dilihat konteks masa dan persekitarannya. Janganlah literalis sangat. 

Agamawan pula perlu mempersiapkan diri mereka dengan sekurang-kurangnya membaca serba sedikit buku culturul studies, falsafah, ekonomi dan teori politik Barat supaya tidak nanti hujah mereka kelihatan selekeh dan komedi di mata masyarakat. Janganlah sekadar membaca buku teks sejarah SPM untuk memahami komunisme. Kepelbagaian bahan bacaan penting untuk kita memahami sisi pandang dan perspektif lawan sebelum kita membidas hujah mereka. Kata-kata seperti ‘kamu sesat’, ‘anda kafir’, ‘tidak ikut Quran dan Sunnah’, tidak dikira sebagai hujah, itu melabel, kerja paling senang untuk mematikan hujah. Ideologi perlu dilawan dengan ideologi. Kita perlu menggalakkan pertarungan idea di ruang awam. Pertarungan idea yang sihat menggalakkan perkembangan budaya ilmu. Sekiranya kita yakin Islam adalah kebenaran maka apa perlu kita takut untuk membentangkan hujah dan dalil kebenaran. Pertarungan ideologi ialah proses di mana ideologi dipasarkan, diiklankan, dibentangkan dengan hujah yang bersifat persuasif dan meyakinkan. Kita berasa takut kerana kita malas membaca, mengkaji dan berfikir. Kita rasa selesa kerana Islam itu cukup sempurna, fikir kita mana mungkin ada ideologi yang lebih baik selain dari Islam. Maka apa sahaja yang datang dari Barat, lebih-lebih lagi dari Marxisme yang kita anggap slogan utamanya ialah ‘agama candu masyarakat’ adalah sesat atau konspirasi Yahudi. Betul Islam memang sempurna, yang tak sempurna ialah kita yang menganutnya. Dan yang ingin merobah dunia ialah kita, bukannya al-Quran dan hadis. Perubahan sosial itu bukan menjelma dengan magis al-Quran dan keramat agama, ianya datang dengan ilmu, idea dan pemikiran yang sofistikated yang menghasilkan tindakan betul. Solusi kepada masalah-masalah di dunia ini takkan pernah wujud jika kita masih goyang kaki dan bersandar kekenyangan sambil mengharapkan nas al-Quran dan hadis merumuskan semuanya untuk kita.  Masalah kita ialah kita malas bekerja dan malas berfikir. Proses beragama ini ialah satu proses perkembangan spiritual dan mental yang mana kita cuba mencari makna dan kebijaksanaan (hikmah) dari kehidupan.

Bagi aku, tidak ada salahnya mengambil sesuatu idea dari pemikir-pemikir bukan Islam selagi mana idea tersebut tidak bercanggah dengan syariat Allah. Seperti kata Rasulullah, kebijaksanaan itu perlu dikutip oleh Muslim di mana sahaja mereka menjumpainya kerana sememangnya ia milik mereka. Bersikap anti ilmu secara semberono yakni dengan menganggap orang Islam itu tahu dan faham segala-galanya tentang dunia dan segala isinya dan memandang segala yang datang dari luar Islam itu sesat adalah satu kesombongan yang nyata. Justeru untuk menolak atau menerima sesuatu idea haruslah kita memahami idea itu secara keseluruhannya. Faham dalam erti kata walaupun kita bersedia menerima idea tersebut, kita masih mampu mengkritiknya dari sudut pandang dan perspektif kita sendiri, melalui worldview Islam. Malah bersedia juga menerima kritikan dari orang lain. Sentiasa terbuka tetapi pada masa yang sama bersifat kritis dan korektif. Kita tidak suka pandangan stereotype orang terhadap Islam, tapi kita boleh pula buat hasty generalization terhadap ideologi lain. Cuba baca Falsafatuna dan Iqtisaduna karya ulamak Syiah, Mohammad Baqir al-Sadr dan lihat huraian dan kritikannya kepada sistem falsafah dan ekonomi kapitalis, sosialis dan komunis dan apa sistem yang Islam tawarkan kepada masyarakat.

Kepada mereka yang menggelarkan diri mereka komunis, aku amat berharap agar kita juga adil dan kritis dengan Marxisme. Proses untuk mencipta utopia komunisme ini berjalan bukan sekadar dengan menundukkan kapitalis, malah yang lebih utama ialah menundukkan hawa nafsu kita sendiri. Kamu ingat komunisme itu boleh tercapai dengan mentaliti masing-masing seperti Firaun, Haman dan Qarun. Kerana itulah negara-negara yang diperintah oleh parti komunis hanya melahirkan diktator-diktator yang kejam dan menindas rakyat mereka sendiri. Matlamat untuk menghapuskan kelas masyarakat tidak kesampaian, sebaliknya yang muncul ialah kelas elit baru. Soviet Union melahirkan kelas nomenklatura dari apparatchik. Ahli politburo dan kroni mereka dalam Parti Komunis China membolot harta negara. Mana pergi slogan from each according to his ability, to each according to his needs? Kalau benar komunisme itu menitik beratkan solidariti, kasih sayang, rasa kebersamaan sesama manusia, maka apa justifikasi Lenin untuk membunuh lebih 700 rakyatnya dalam Pemberontakan Kronstadt, apa justifikasi untuk Stalin merencanakan pembunuhan terancang (The Great Terror) lebih 600 000 orang  terhadap musuh-musuh politik, pesaing dan intelektual yang cuba menentangnya, termasuk di dalamnya ahli-ahli senior Parti Komunis Soviet Union sendiri? Apa justifikasi Mao Zedong dalam meneruskan program Great Leap Forward yang mengorbankan lebih 15 juta rakyat China? Pembunuhan pelajar di Dataran Tianamen hasil kerja siapa, ya atas arahan birokrat kapitalis China,  tapi bagaimana dalam negara komunis ada kapitalis pulak?  Apa pula justifikasi rejim Khmer Rouge Pol Pot yang membantai 1 juta rakyat Kemboja? Itu jumlah yang dibunuh, yang mati kebuluran, yang diseksa di dalam rumah pasung, yang cacat anggota badan belum dikira lagi. Kalau Marx masih hidup dan melihat semua huru hara ini, mungkin dia akan mengulang apa yang pernah disebutkan kepada menantunya, Paul Lafargue, “If they are Marxists, then I am not a Marxist.”

Anda jawab sistem kapitalis pun sama. Ya, aku setuju, malah ianya menzalimi dan mengorbankan lebih ramai manusia. Senarai tragedinya lebih panjang. Kata Randolph Bourne,“War is the health of the state.” Perang anti-kolonialisme, perang neo-imperialisme tajaan Amerika telah mengorbankan ramai manusia. Perang telah menjadi oksigen kepada sistem kapitalis untuk terus bernafas. Konsep permanent war cuba menjelaskan bagaimana perang menjana ekonomi kapitalis melalui dua cara; Pertama melariskan jualan industri militari dan kedua menakluk negara-negara lain untuk menjarah hasil bumi.  Perang di Afghanistan mengorbankan lebih 16 000 orang awam, penaklukan ke atas Iraq mengorbankan lebih 200 000 rakyat Iraq (laporan dari Opinion Business Research ialah 1000 0000 orang). Dan anda masih percaya tujuan perang itu ialah untuk menghapuskan al-Qaeda serta memusnahkan Weapon of Mass Destruction (WMD)? Jangan naif sangat. Paling bangang ialah apabila Bush mengisytiharkan tiada WMD ditemui di Iraq, mengaku setelah korban nyawa mencecah sejuta orang. Ini peranan syaitan yang dikenali, Amerika Syarikat untuk mengekal dan melanjutkan legasi kapitalisme global. Dan aku paling bengang bila ramai orang suka tonton filem-filem propaganda murahan Michael Bay yang suka menonjolkan Amerika sebagai adiwira dunia. WTF??!! Nampaknya aku dah melalut. Berbalik kepada korban nyawa tadi, itu yang mati, yang hidup tapi mati akal dan spiritual, yang hidup bergembira dalam culture industry macam kita ini? Komunisme menentang agama, kapitalisme mematikan ruh beragama. Itu belum kira peranan yang dimainkan oleh Bank Dunia, WTO dan IMF. Di depan mata kita sendiri sekarang, kita berdepan dengan termeterainya Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA), perjanjian perdagangan sulit yang disertai oleh Malaysia. Ini adalah satu lagi projek neo-imperialisme AS untuk meluaskan dominasi, cengkaman dan pengaruh ekonomi serta politik mereka ke atas negara-negara Asia-Pasifik. Melalui TPPA, kuasa kerajaan untuk mengawal dan menentukan polisi perdagangan negara akan terbatas dan kuasa tersebut akan diambil oleh kapitalis-kapitalis asing.

Negara kapitalis juga melahirkan apa yang diistilahkan oleh Sheldon Wolin sebagai inverted totalitarianism. Chris Hedges menyatakan ia berbeza dengan totalitarianisme yang kita kenali. Tulis Hedges,”It finds its expression in the anonymity of the corporate state. The corporate forces behind inverted totalitarianism do not, as classical totalitarian movements do, replace decaying structures with new, revolutionary structures. They do not import new symbols and iconography. They do not offer a radical alternative. Corporate power purports, in inverted totalitarianism, to honor electoral politics, freedom, and the Constitution. But these corporate forces so corrupt and manipulate power as to make democracy impossible." Anda nampak dengan jelas kaitan antara penerangan Hedges dengan situasi di sini bukan?

Membuang terus kapitalis dan menggantikannya dengan sistem komunis bukanlah jawapan yang kita cari kerana akhirnya nanti birokrat elit dalam parti komunis pula yang akan mendominasi dan mengeksploitasi rakyat. Malah dominasinya lebih authoritarian. Tanya Ali Shariati,”is not Marxism more bourgeois than the bourgeoisie?” Boleh rujuk Soviet dan China sebagai case studies. Inilah antara punca perselisihan Mikhail Bakunin dengan Marx di mana Bakunin tidak bersetuju dengan fasa dictatorship of proletariat kerana baginya ia akan mengulangi eksploitasi yang berlaku sebelum ini. Tanya Bakunin, “If the proletariat is to be the ruling class, one may ask whom will it govern? There must be yet another proletariat that will be subjected to this new domination, this new state.” Yang memburukkan keadaan sebenarnya, bukan proletariat yang memerintah tetapi golongan ahli politik. Tak perlulah aku ceritakan di sini apa masalahnya dengan orang politik.

Berbalik kepada masalah yang wujud dalam kerajaan komunis, anda mungkin menjawab ini semua adalah masalah pelaksanaan bukan masalah sistem atau ideologi. Anda juga menjawab sistem tirani serta unsur ekstremisme juga wujud di dalam Islam. Tetapi kita tidak pernah menyalahkan Islam, kita meletakkan beban kesalahan kepada pelakunya yang jahil dalam menginterpretasikan Islam. Itu jawab anda. Ya, aku bersetuju, sudah tentulah pelakunya yakni manusia yang kita salahkan. Dan sifat zalim ini tidak mengenal warna ideologi, baik hijau, merah dan sebagainya. Kuasa dan punca-punca kuasa selalu menzahirkan sifat syaitan manusia. Bagi aku masalah utama bukannya ideologi, tetapi manusia itu sendiri yang berperanan mencipta dan mengubah ideologi. Kerana itu Rasulullah bermula dengan mengubah manusia. Kita lihat ideologi komunisme Marx sudah distorted oleh praksis pemimpin-pemimpin parti komunis. Kerana mereka sendiri yang kononnya paling arif dengan ideologi Marxisme tidak dapat melawan nafsu dan fitrah manusia itu sendiri. Ini juga konflik dalam Marxisme. Persoalannya ialah, adakah sistem Marxisme ini mampu menjinakkan nafsu serakah manusia atau lebih menzahirkannya di mana muncul kelas elit lain pula yang mengambil kesempatan menzalimi masyarakat. Adakah Marxisme membuka pintu seluasnya-luasnya untuk manusia membina solidariti dengan manusia lain dan pada masa yang sama juga membuka ruang seluas-luasnya untuk kemungkinan sebuah pemerintahan diktator? Atau adakah kemungkinan kepada munculnya pemerintahan diktator itu lebih besar dari kemungkinan wujudnya masyarakat yang harmoni dan ideal?

Aku berharap agar kita jangan menonjolkan cult of personality di dalam mana-mana ideologi pun. Anda membenci golongan agamawan terutamanya dari parti politik yang mengamalkan pemujaan tokoh, maka aku berharap anda juga buang sikap cult personality terhadap tokoh-tokoh Marxist. Marx, Lenin, Stalin, Trosky dan Mao bukanlah maksum dan suci. Pendekatan mereka juga perlu dikritik. Kesalahan mereka terhadap rakyat mereka juga banyak walaupun ada manfaat yang mereka bawa kepada negara, tetapi itu tidak memadamkan sejarah hitam yang mereka tumpahkan kepada rakyat mereka sendiri. Cubalah bersikap adil. Kita tidak boleh nafikan kebanyakan negara-negara komunis dan sosialis yang selalu mengamalkan upacara menjunjung pemimpin ke langit  ini. Korea Utara tak perlu sebutlah. Marx pun geleng kepala kalau dia hidup, komunisme kejadah apa siap dengan sistem dinasti pulak.

Oleh kerana itu jugalah aku berharap agar penyokong komunisme ini melihat isu eksploitasi dan ketidakadilan ini menggunakan kanta mata yang kontemporari. Tinggalkan kitab-kitab kuning Marxisme dan luaskan perspektif pandangan  dengan membaca karya-karya neo-Marxisme dan New Left. Idea-idea Marx sendiri adalah sintesis hebat dari beberapa idea pemikir yang lain. Kita boleh lihat konsep dialektiknya yang dipengaruhi Aristotle dan Hegel, konsep konsep alienation yang dipengaruhi Rosseau, theory of value hasil pengaruh David Ricardo dan sebagainya. Marx adalah pembaca yang tegar, yang membaca dari pelbagai sumber pemikiran, walaupun banyak mencedok idea-idea pemikir lain, tapi dia  sentiasa kritis dengan pembacaannya dan lihat apa yang dia tinggalkan kepada dunia. Teori-teori politik, ekonomi, sosiologi dan sejarah yang tidak pernah habis digali dan dibincangkan yang  ideanya sentiasa relevan sampai sekarang.

Akhirnya soalan aku ialah: kepada agamawan; bahagian mana dalam Marxisme (atau komunisme) yang kamu tentang? Takkanlah semua sekali? Marxisme sekarang sudah berkembang pesat idea dan falsafahnya. Cabang mana yang kamu fikir dalam Marxisme merosakkan? Mungkin idea Marxisme tentang agama? Jadi ideanya yang lain kamu setuju?  Adakah kamu rasa terdapat persamaan idea di antara Marxisme dan Islam? Yang mana kamu setuju yang mana kamu tidak setuju? Pilih yang mana satu dan hujahkan dengan teliti dan mendalam. Kalau semua sekali pun, hujahkan dengan teliti dan mendalam juga. Kepada komunis; adakah kamu pasti kamu menyokong 100% ideologi ini. Cabang mana yang kamu sokong? Aliran Marxisme klasik? Yang mana satu, Leninisme, Maoisme, Stalinisme, Trotskyisme?  Kamu faham pendirian Marxisme tentang agama? Mksudnya kamu tetap Islam? Jadi kamu bersetuju dengan sistem politik dan ekonomi Marxist? Kamu rasa kamu sudah bersedia? Atau kamu tidak bersetuju dengan sistem ekonomi dan politik Marxisme? Kamu pernah dengar mixed economy? Jadi kamu hanya tertarik dengan konflik kelas dan idea revolusi?  Jadi sekarang kamu ini betul-betul komunis atau bukan? Habis apa yang aku cadangkan sebenarnya? Aku pun kurang pasti. Ini post paling panjang dan paling aku benci, isi berterabur dan tak komprehensif. Baiklah, aku rasa cadangan aku ialah mari menimbulkan persoalan dan mari cari jawapan. Jangan cari siapa yang betul, cari apa yang betul. Hidup ini kan kembara mencari makna..

Where all think alike, no one thinks very much
-Walter Lippman-