Monday, January 2, 2017

2. Cermin Yang Mengejek




Jika struktur mental kita ibarat rumah, maka setiap batu bata yang disusun, setiap pintu dan jendela dan atap yang dipasang terdiri dari pelbagai cerita-cerita kecil yang kita kutip untuk disesuaikan dengan tiang-tiang cerita yang dipasak lebih awal. Tiang-tiang cerita ini adalah cerita-cerita besar yang boleh kita namakan sebagai metanaratif (cerita tentang cerita).  

Sepanjang hidup - bergantung kepada keterbukaan kita untuk mengubahsuai conception of selfhood - kita akan menemui cerita-cerita baru yang mungkin akan melemahkan atau menguatkan struktur mental yang sedia ada. Kita mungkin akan menemui cerita-cerita yang membuatkan kita terpaksa menggantikan batu-bata, pintu, jendela atau atap rumah dengan cerita-cerita baru yang lebih kukuh dan sesuai dengan tiang-tiang metanaratif. Atau mungkin kita terpaksa merobohkan seluruh rumah kerana tiang-tiang metanaratif itu sendiri bermasalah kerana kita tak mahu rumah kita senget dan rebah. Mungkin tiang, pintu, jendela, dinding dan atap cerita kita perlu sentiasa ditukar ganti kerana musim kehidupan sentiasa  berubah dan ribut pengalaman sukar dijangka. 

Naratif berupaya membuka ruang imaginasi yang luas, walaupun akhirnya ia bakal menuju kepada interpretasi yang sempit, dan mungkin interpretasi itu bakal mengundang lebih banyak interpretasi yang lain, sekali lagi terpulang kepada tahap keterbukaan individu atau bergantung kepada kesesuaian naratif-naratif lain (atau metanaratif) yang kita pasakkan sebagai tiang cerita. Jadi sebuah cerita boleh diolah tafsir dan diceritakan semula dari pelbagai sudut oleh pelbagai jenis manusia.

Mungkin benar apa yang ditulis oleh Joseph Campbell dalam karya monumentalnya, The Hero With A Thousand Faces, yakni dunia ini dilingkungi oleh cerita atau mitos yang sama, cuma diceritakan semula dalam pelbagai variasi yang berbeza. Dalam karya ini Campbell menulis yang semua cerita agung atau mitos dalam dunia ini mempunyai struktur kisah yang sama, yakni kembara seorang hero mencari sesuatu atau dalam terma Campbell corak ini dinamakan monomyth.

Monomyth menceritakan tentang seorang manusia biasa yang dilahirkan di sebuah tempat yang biasa-biasa. Dia kemudiannya menerima panggilan untuk mengembara atau keluar dari lingkungannya bagi menyelesaikan masalah. Pada mulanya dia menolak panggilan ini kerana takut, tapi setelah dinasihati oleh seorang mentor yang bijak dan baik hati, si hero menyertai kembara ini. Dia menempuh pelbagai cabaran dan ujian, bertemu ramai kawan dan mengalahkan ramai lawan, juga menerima pelbagai pertolongan dan bantuan. Hero akhirnya tiba di puncak kembara, menerima tentangan yang maha hebat dan hampir tewas. Setelah berjaya mengharungi tentangan itu, dia berjaya mendapatkan harta karun/pedang/kuasa/ilmu. Hasil dari kembara ini menukar karakter si hero dan dia memanfaatkan harta karun/pedang/kuasa/ilmu yang dimilikinya dengan pulang ke tempat asalnya dan mentransformasikan komunitinya.

Campbell menulis konsep monomyth ini berdasarkan idea ‘archetypes’ atau ‘tipainduk’ yang diperkenalkan gurunya, psikologis tersohor Carl Jung. Menurut Jung, archetypes ialah elemen atau karakter yang sering muncul dalam mimpi dan mitos manusia merentas sempadan pelbagai budaya. Ianya adalah refleksi dari minda manusia yang kemudiannya menterjemahkan idea ini dalam naratif kehidupan mereka. Karakter-karakter yang sering muncul dalam naratif manusia seperti hero muda, mentor atau pendeta yang bijaksana, perempuan yang boleh bertukar rupa (dalam mitos Melayu tentunya nenek kebayan) dan sebagainya adalah cerminan dari archetypes minda manusia, cara minda manusia beroperasi (sebab itu bukan semua mitos bersifat dongeng) secara collective unconscious.

Corak monomyth ini dapat dikesan dalam beratus ribu naratif, dari biografi tokoh sejarah seperti Rasulullah dan Buddha sehinggalah watak fiksyen seperti Luke Skywalker dan Neo, mempengaruhi pelbagai tukang cerita dari pengarah filem seperti Steven Spielberg sehinggalah penulis seperti J.K. Rowling. Plotnya sama tapi skripnya berbeza. Kalau mengikut teori Jungian, faktor yang menyebabkan corak naratif monomyth sentiasa berjaya dan mempunyai daya tarikan yang kuat kepada pembaca atau penonton ialah kerana ia muncul dari fitrah collective unconscious kita semua.

Kalau mengikut teori mimesis, seni adalah representasi kehidupan. Seni adalah gambaran/ peniruan/perwakilan kehidupan. Tapi jika kita merujuk kepada teori monomyth kehidupan juga boleh dikatakan sebagai representasi seni. Kehidupan itu sendiri dikonstruk dalam proses bawah sedar sebagai gambaran terhadap apa yang berlaku di dalam minda tak sedar kita semua. Jadi naratif menggambarkan kehidupan seiring dengan kehidupan menggambarkan naratif. Malah apa yang kita faham sebagai ‘kehidupan’ atau ‘realiti’ atau ‘hakikat’ itu sendiri adalah proses mengumpul, memanggil dan membina semula memori atau pengalaman atau makna yang sudah pun sedia disusun secara selektif dalam binaan pelbagai jalinan naratif.

Dan sebagai author atau pengarang kita sedar kita tak pernah mencapai kebebasan mutlak untuk menulis naratif hidup kita sesuka hati. Kita tak bebas sepenuhnya untuk menulis takdir hidup kita. Dalam banyak keadaan kita adalah pengarang bersama (co-author) dalam sebuah naratif yang lebih besar. 

Naratif setiap individu adalah sebahagian dari jaringan naratif yang mengikat pelbagai naratif manusia lain. Kita adalah watak utama dalam naratif kita dan pada masa yang sama watak pembantu dalam naratif manusia lain, dan setiap naratif membataskan naratif-naratif lain. Justeru, naratif kendiri ini bersifat korelatif, yakni berkait secara sistemik. Kita sebahagian dari cerita manusia lain sebagaimana manusia lain juga sebahagian dari cerita kita. Pada masa yang sama cerita kita dan cerita manusia lain bercantum dalam naratif besar yang berada di luar jangkauan dan kekuasaan kita.  

Cerita kehidupan kita adalah sama kerana hidup adalah pengulangan cerita dan pencerita yang hebat sedar akan hal ini. Cuma mereka bijak menukarkan perspektif cerita kita. Menjadikan yang pelik nampak biasa dan menjadikan yang biasa nampak pelik. Pencerita yang hebat memantulkan wajah kemanusiaan dengan ‘cermin-cermin yang mengejek*’ yang menyedarkan kita bahawa karakter yang keliru, korup, rosak akhlak, zalim dan bernafsu babi dalam cerita mereka itu bukan orang lain, tapi diri kita sendiri.

Dan tak ramai yang boleh menerima perspektif begini kerana tak ramai suka perspektif mereka diganggu. Tak ramai yang suka cermin yang mengejek. Mungkin bagi mereka cermin tak sepatutnya mengejek, cermin harus memantulkan kebenaran. Mereka mahu cermin yang memantulkan wajah kemanusiaan mereka yang segak, bahagia dan selamat. Sebab itu kaum penulis, seniman, sasterawan dan penyair selalu dianggap ancaman kepada masyarakat.
----------------------------
*Rangkai kata ini saya pinjam dari sebuah esei A. Samad Said yang saya lupa tajuknya. Saya juga lupa atas konteks apa Pak Samad merujuk rangkai kata ini. Saya cuma ingat ia datang dari Pak Samad dan saya ingat sebab saya suka penyimpangan semantiknya; ‘cermin-cermin yang mengejek’.



1. Idea Dan Cerita








Dalam filem Inception, Cobb (Leonardo DiCaprio) bertanya kepada Saito (Ken Watanabe), “Apakah parasit yang paling susah nak mampus?” 

Adakah ia bakteria atau virus atau cacing pita?

Bukan.

Parasit yang kuat bertahan dan senang berjangkit itu ialah ialah idea, kata Cobb. Idea yang bertindak seperti parasit ini; yang menumpang, menakluk, berkembang dan menguasai perumahnya, pasti bukan idea yang berselerak. Idea yang menakluk ialah idea yang tersusun, mudah difahami dan koheren. 

Tapi bagaimana idea ‘susah nak mampus’ ini boleh diartikulasikan ke dalam otak manusia? Bagaimana menjadikan sesebuah idea itu tersusun, mudah difahami dan koheren? Jawapannya melalui naratif, melalui cerita yang baik. ‘Idea melalui cerita’ ini yang cuba ditanam Cobb ke dalam minda bawah sedar Fisher supaya Fisher yakin bahawa ayahnya tak mahu dia mengikut jejak langkahnya.

Manusia hidup bersandarkan naratif. Kita menanggapi dunia melalui cerita-cerita. Oleh kerana kita hidup dalam dimensi ruang-masa (spatio-temporal), maka kita menyusun pengalaman dan memori kita dalam bentuk cerita. Kita membina konsepsi tentang tentang diri dan kehidupan kita dengan mendengar, membaca, menafsir, mengolah dan menulis cerita. Cerita menjadi perkakas mental dalam kita mempersepsikan realiti.

Menurut Frank Kermode dalam The Sense of Ending, perkataan ‘tik-tok’ yang selalu kita gunakan sebagai bunyi detikan jam itu adalah usaha kita untuk beri struktur naratif kepada dua bunyi yang identikal, untuk memanusiawikan masa dengan menjadikan ‘tik’ sebagai permulaan dan ‘tok’ sebagai pengakhiran. Ritmanya memberikan susunan dan bentuk kepada struktur temporal manusia. Menurut Kermode naratif adalah sense-making paradigm bagi manusia.

Apa yang disebutkan Kermode senada dengan apa yang ditulis Paul Ricoeur dalam Time and Narrative. Menurut Ricoeur, masa dimanusiawikan apabila ia diartikulasikan dalam bentuk naratif dan naratif mencapai pemaknaannya yang penuh apabila ia menjadi syarat kepada kewujudan temporal. Tulis Ricoeur “…naratif adalah jalan utama untuk spesis kita mengatur pemahaman kita tentang masa….dan kemampuan kita untuk menguruskan masa dengan lancar di dalam naratif membolehkan peristiwa itu sendiri mencipta tata susunan dalam masa.” 

Eksperimen saintifik dengan label ‘kaedah’ (methods), ‘keputusan’ (results) dan ‘kesimpulan’ (conclusions) secara tak langsung mengacu kepada bentuk tipikal naratif – permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Teori-teori saintifik seperti teori evolusi dan teori relativiti masa juga bermula sebagai sebuah naratif atau cerita. Teori ialah nama lain bagi cerita. Dan dalam setiap teori juga ada cerita. Darwin menyusun mitos modennya tentang ‘survival of the fittest’ ketika perjalanannya dalam HMS Beagle. Newton menemui teori gravity setelah sebiji epal jatuh menimpa kepalanya. Archimedes menjerit ‘eureka, eureka’ dan keluar dari kolam mandi dengan bertelanjang  setelah menemui prinsip ketumpatan. 

Persoalan hidup paling primitif “why is there something rather than nothing?” takkan mampu dijelaskan oleh hukum saintifik dan hukum sebab-akibat yang mekanikal. Ia hanya boleh dijelaskan melalui cerita. Dan cerita kehidupan ini digubal bukan menggunakan verifikasi empirikal atau prosedur saintifik, tapi bersandarkan kepada hukum dan konvensyen cerita yang mempunyai logiknya yang tersendiri yang kita namakan verisilimitude. Kita tak pakai scientific causality tapi logic of story.

Testimoni pelanggan (yang bercerita) tentang produk atau perkhidmatan tertentu – dari skim takaful sehingga skim cepat kaya – lebih meyakinkan (dan mengujakan) pengguna berbanding sekadar penerangan ringkas tentang khasiat, manfaat dan faedah.

Teks-teks agama besar dunia sarat dengan pelbagai cerita. Sebelum kita mampu bercerita, kita telah dijadikan dari cerita. Lebih 60% dari kandungan Bible adalah dalam bentuk cerita. Malah Bible disusun dalam bentuk kronologi, bermula dengan Genesis (In the beginning…) dan berakhir (untuk permulaan yang baru) dengan Revelation/Apocalypse (The grace of our Lord Jesus Christ be with you all. Amen). Epik Ramayana dan Mahabharata lebih banyak mempengaruhi penganut Hindu (dan bukan Hindu) berbanding teks-teks Veda. Bhagavad Gita, sebahagian dari Mahabharata, yang memuatkan naratif dialog di antara Arjuna dan Krishna disebut sebagai handbook yang menjadi rujukan popular untuk memahami sintesis pelbagai falsafah, teori dan tradisi agama Hindu. 

Al-Quran bukan berbentuk kronologikal, tapi simetrikal. Quran bukan sebuah naratif biasa yang menjolokkan kepada otak kita struktur ‘beginning-middle-end’ kerana ia bukan fiksyen yang perlu dibaca dari kulit ke kulit. 

Sesetengah pendapat melihat aspek non-linear ini sebagai salah satu ciri kerancuan Quran, bahawa ia tak koheren dan tak ada aturan. 

Sesetengah pendapat pula melihat non-linear bukan secara langsung bermaksud  ia tak koheren atau tak ada aturan kerana linear bukanlah satu-satunya aturan yang kita ada dan linear pula tak semestinya koheren. Aspek non-linear ini juga diletakkan sebagai bukti yang Quran adalah kalam Tuhan yang tak terkurung dalam dimensi ruang-masa. Tuhan tak bercakap mengikut skema percakapan manusia. 

Tapi Quran masih berkisarkan sebuah naratif. Seperti yang disebutkan Jean-Luc Godard, naratif mesti ada beginning-middle-end, tapi tak semestinya ikut turutan tersebut. Tapi sebagai manusia kita masih mengidamkan sebuah jalinan kronologi dalam al-Quran. Dan ini yang diusahakan oleh Imam Ibnu Kathir menerusi karya historiografinya, al-Bidayah wan-Nihayah (Permulaan dan Pengakhiran).

Marxisme mendapat sokongan massa bukan kerana ramai yang terpesona dengan perincian analitikal Das Capital. Marxisme mendapat sokongan massa kerana ramai yang baca The Communist Manifesto, sebuah naratif eskatologi sekular yang mengesahkan bahawa golongan kelas pekerja bakal menikmati poetic justice yang mereka idam-idamkan. Walaupun pada tahun 2008 Amazon.com meletakkan Das Capital dalam senarai best-seller mereka, tapi rasanya selamat untuk kita membuat anggapan bahawa semua orang beli Das Capital selepas baca Communist Manifesto.

Menurut Alasdair MacIntyre dalam After Virtue, konsep kendiri (conception of selfhood) bergantung kepada pemahaman kita tentang kesatuan naratif yang menghubungkan kelahiran, kehidupan dan kematian (birth, life, death) kepada permulaan, pertengahan dan pengakhiran (beginning, middle, end). Kita terlibat di dalam naratif sebagai pelaku (actor), agen (agent) dan pengarang (author). (MacIntyre menyifatkan konsep kendiri inilah yang menatijahkan nilai-nilai murni kolektif di zaman pra-moden yang semakin dihakis oleh fragmentasi, semangat individualiti dan pecahan naratif postmoden. Melarikan manusia dari konteks sejarah, tradisi dan semangat persaudaraan.)

Dalam satu kajian psikologi, Dan McAdams menunjukkan bagaimana konsepsi kendiri manusia berkembang berdasarkan 3 aspek naratif ini; actor, agent dan author, daripada ‘subjective I’ kepada ‘constructed Me’. Ketiga-tiga aspek ini secara bertahap membina konsepsi individu tentang naratif hidup dan secara langsung konsepsi individu tentang diri mereka. 

Kita bukan menanggapi naratif melalui pola subjek (yang memerhati) dan objek (yang diperhatikan), tapi melalui kolaborasi yang aktif dengan kita bergelumang, bergaul dan terjun masuk ke babak cerita. Naratif adalah seni, ianya bukan alat seperti kerusi yang dicipta manusia untuk mencapai tujuan instrumental, tapi alat untuk mengungkapkan wujud dan kesedaran manusia itu sendiri.

Pada tahap awal, terutamanya zaman kanak-kanak, individu melihat dirinya sebagai social actor – sebagai anak, sebagai pelajar, sebagai abang - yang berfungsi dalam sel atau institusi sosial tertentu. Ketika akhir zaman kanak-kanak, individu mula melihat dirinya sebagai agent yang mampu menggerakkan hidupnya berdasarkan nilai dan motif tertentu. Apabila individu menjengah alam dewasa, aspek ketiga dan terakhir muncul, yakni sebagai author. Pada tahap ini individu mula mengkonstruk autobiografi hidupnya. 

Menurut McAdams, tiga trajektori kendiri ini boleh menerangkan mengapa manusia berminat pada bentuk fiksyen yang berbeza di setiap peringkat usia yang berbeza. Ketika kecil kita lebih berminat pada cerita yang mengutamakan plot dan ketika menganjak dewasa kita lebih tertarik kepada cerita yang memberi tumpuan kepada karakter dan personaliti watak.

Jika Pustakawan Jujur



Oleh Joseph Mills

“…sebuah buku memang kadang kala mencabul aku dari buat  kerja…” -Benjamin Franklin-


Jika pustakawan jujur,
mereka tak akan tersenyum,
atau menyambut kau dengan mesra.

Mereka akan kata, Kau perlu berhati-hati.
Di sini semuanya raksasa.

Mereka akan kata, Ini tempat orang kafir dan pembidaah, pembunuh dan psikopat, orang yang menipu, yang terdesak dan yang tak bermoral.

Mereka akan kata, Buku-buku ini berisi pengetahuan tentang kematian, nafsu dan kerosakan, pengkhianatan, darah dan lebih banyak darah; masing-masing ialah kotak Pandora, jadi kenapa kau mahu membukanya. Buku-buku ini terpacak tanda amaran bahaya yang jika disentuh mungkin mengakibatkan perubahan jiwa, perubahan serius pada penglihatan, dan kesan-kesan yang mengubah pemikiran.

Jika pustakawan jujur mereka akan mengaku yang rak buku lebih menggoda dan mengejutkan dari porno. Lagipun, setelah kau nampak banyak tetek, vagina dan kote, ia tak lagi mengujakan, sekadar kebiasaan yang selesa, tapi rak perpustakaan berisi keanehan yang sensasi, sebuah skandal yang bergaul bebas dengan Malcolm X, Marx, Melville, Merwin, Millay, Milton, Morrison, dan siapa saja boleh jemput mereka keluar, atau bawa mereka pulang ke rumah, atau menikmatinya di sudut tertentu di mana kau dapat mencabul mereka dan menghamilkan mereka dengan idea.

Jika pustakawan jujur,
Mereka akan kata, Tak ada siapa menghabiskan masa di sini tanpa berubah.
Lebih baik kau balik rumah.
Sementara kau masih ada peluang untuk balik.

Saturday, July 23, 2016

Siapa Penulis Chorak Dunia?


Oleh Karl Samuel

“Kau sukakan kebetulan. Senyuman dari gadis cantik dalam situasi yang hangat, sebuah jelingan yang dicuri, itulah yang kau cari, itulah motif untuk fantasi kau yang tak pernah berakhir. Kau yang sentiasa bangga untuk jadi pemerhati, kini mengalah untuk jadi objek yang diperhati. 
Ah, kau kawan yang pelik, sekejap kau jadi kanak-kanak, sekejap kau jadi orang tua; satu masa kau begitu komited memikirkan masalah ilmiah yang paling penting dalam dunia  dan bagaimana kau akan mengabdikan hidup kau untuk selesaikannya, dan satu masa yang lain kau jadi seorang bodoh yang mabuk cinta”.
- Sá´“ren Kierkegaard, Either/ Or -
Siapa penulis Chorak Dunia?  Kenapa dia tak mahu dedahkan identitinya? Adakah blog ini milik kolektif atau blog individu? Ini soalan-soalan yang saya tanya sekian lama.

Beberapa hari lepas saya dimaklumkan yang Benz Ali juga bertanya soalan yang sama kerana dia berminat untuk membukukan tulisan-tulisan dalam blog nyamuk ini. Malah ada beberapa pembaca blog ini yang mahu berta’aruf dengan penulisnya.

Saya ada satu berita buruk dan satu berita baik. Berita buruk; kita mungkin tak dapat mendedahkan identiti sebenar penulis Chorak Dunia dalam masa terdekat ini. Berita baik; walaupun tak dapat kenal identitinya, kita masih boleh menganalisa karakter, personaliti dan motivasi penulis ini. Itulah saja yang saya akan  buat dan mampu buat. Seperti Sherlock Holmes dan Detektif Conan saya akan cuba merungkai misteri ini satu persatu. Saya cuba meneliti bukti-bukti yang berselerak di tempat kejadian. Bukti-bukti yang tak diendahkan ramai pembaca kerana seperti kata Holmes, “kau nampak tapi kau tak perhati”.

Di mana tempat kejadian yang menjadi tumpuan siasatan kita? Jawapannya ialah blog ini. Di sinilah kita ditemukan dengan penulis blog Chorak Dunia, atau lebih tepat, di sinilah kita ditemukan dengan tulisan-tulisannya. Apa bukti-bukti yang boleh menjadi punca siasatan kita? Jawapannya ialah teks di dalam blog ini, tulisan-tulisan penulisnya.

Kita perlu sedar, penulis tak letakkan alamat e-mel, nombor telefon atau sebarang akaun media sosial untuk dihubungi. Ditambah dengan interaksi penulis dengan beberapa pembaca, saya rasa mudah untuk kita buat andaian yang penulis memang enggan dikenali identitinya dan enggan dikenali secara peribadi. Enggan identitinya dikenali (atau enggan dikenali secara peribadi) bukan maksudnya tak mahu dikenali langsung. Wujudnya blog ini adalah bukti kukuh yang penulisnya mahu dikenali, kalau pun bukan oleh pengunjung blog ini, pastinya oleh dirinya sendiri. Blog Chorak Dunia secara tak langsung menjadi tanda keberadaan penulisnya di dunia ini.

Lagi pun agak pelik untuk kita terus bertanya siapa penulis blog ini sedangkan dari awal dia sudah menghantar isyarat yang dia tak mahu dikenali dengan lebih dekat. Satu-satunya jawapan yang boleh diberi penulis blog ini tentang siapa dirinya ialah namanya ‘al-amin’ dan dia ‘seorang lelaki’. Untuk kita bertanya lebih lanjut siapa dirinya mungkin satu keganjilan, seperti teguran V kepada Evey dalam V For Vendetta. Kata V adalah satu paradoks untuk Evey bertanya “siapa awak” kepada orang yang pakai topeng kerana topeng yang dipakainya adalah tanda dia enggan dikenali. (Atau mungkin juga tujuan dia pakai topeng ialah supaya orang bertanya siapa dirinya.)

Dan saya syak al-amin, seperti petikan Kierkegaard di atas, memakai banyak topeng yang mungkin mengganggu fokus kita sebagai pembaca - dan mendatangkan perasaan gelisah kepadanya sebagai penulis - jika kita mengenali sosoknya yang sebenar.

Satu-satunya cara untuk kita mengenali al-amin -  kalaulah dia boleh dikenali – hanyalah dengan kita membedah tulisan-tulisannya. Situasi ini seperti membawa kita ke jalan buntu. Authorship profiling bidang yang baru saja berkembang dan banyak penambaikan yang masih berjalan dalam bidang ini. Tapi seperti kata Detektif Conan, “jika dilihat dari perspektif yang berbeza, tembok yang gagah hanyalah sebuah pintu yang besar.”

Jadi melalui tulisan-tulisan dalam blog inilah saya akan menguak pintu untuk mengintai sosok bernama al-amin ini. Mungkin mustahil untuk kita tahu banyak maklumat tentang al-amin, dan rasanya kita tak perlu tahu banyak pun. Kita sudah tahu dia seorang lelaki dan ini rasanya maklumat yang benar. Kriteria awal (dan boleh dikatakan penting) dalam authorship profiling ialah gender penulis. Dari maklumat tentang gender banyak profail lain boleh ditarik. Saya tak fikir penulis blog ini mahu meniru novelis, penyair dan pengkritik tersohor era Victoria, Mary Anne Evans* yang menggunakan nama samaran George Eliot untuk menyembunyikan gendernya dari pengetahuan pembaca.

Berdasarkan penelitian saya terhadap tulisan-tulisan dalam blog Chorak Dunia, baik dari sudut idea, langgam bahasa, corak tulisan, analisis semantik dan kekerapan penggunaan kata ganti nama, maka saya boleh sahkan al-amin memang seorang lelaki.

Saya bagi tips penting untuk mengenal pasti gender penulis menerusi tulisan mereka. Penulis perempuan lebih banyak guna kata ganti nama, lebih banyak membanding dan merujuk kepada orang lain, lebih banyak bercakap tentang perhubungan dan terlibat secara intim dengan topik yang ditulisnya. Penulis lelaki pula lebih banyak guna kata sendi nama, lebih banyak selitkan jargon dan leksikon  dan lebih banyak menghuraikan topik dengan cara memaklumkan.

Jadi sah al-amin seorang lelaki. Fokus kita seterusnya ialah untuk menyiasat karakter dan personalitinya dan seterusnya merungkai jawapan kenapa dia enggan dikenali dengan lebih dekat. Hipotesis saya ialah al-amin ini seorang introvert. Ini mungkin nampak seperti pendefinisian yang ringkas untuk menghuraikan karakter seorang manusia, tapi percayalah ia boleh membuka pintu yang lebih luas untuk kita memahami lebih banyak sisi-sisi terpencil al-amin.

Sebagai introvert, al-amin yakin dia bukan manusia yang dikejar majikan dan penemuduga dan dia yakin manusia yang sama spesis dengannya selalu gagal dalam temuduga. Dia lebih suka buat kerja seorang diri dan dia suka keadaan solitari. Dia banyak berdialog dengan diri sendiri berbanding bersembang dengan manusia lain. Dia tak suka aktiviti outdoor sebab itu hobinya baca buku, tengok filem, tonton tv, dengar muzik dan berangan-angan. Dia mabuk ditenggelami gerombolan idea, timbunan buku-buku,  filem-filem romantik dan tragedi serta bingit dan melankoli muzik.

Saya berpendapat al-amin amat berterima kasih kepada Carl Jung sebab memperincikan spesis manusia sepertinya. Tanpa Carl Jung, al-amin sendiri masih keliru tentang psikologi dan sikapnya dalam bersosial. Sampai sekarang pun, dalam dunia yang memuja sikap peramah, al-amin kadang-kadang bergelut dengan dirinya sendiri.

Hari Raya pada pendapat saya ialah hari yang menggelisahkan al-amin sebab dia terpaksa berjumpa dan beramah mesra dengan ramai orang yang bertandang ke rumahnya. Bukan maksudnya dia benci Hari Raya tapi dia kurang selesa dengan peristiwa-peristiwa yang mendesaknya untuk berjumpa dengan manusia lain dalam jumlah yang ramai. Dia benci untuk berjumpa dengan manusia lain ‘sempena’ peristiwa tertentu. Dia akan jumpa bila dia mahu jumpa.

Bukan al-amin sombong dan tak menghargai usaha mereka yang mahu mengenalinya dengan lebih dekat. Tapi buat masa sekarang dia lebih selesa begini. Dia lebih selesa untuk tak dikenali dengan lebih dekat. Dia rasa tulisannya lebih jujur dalam keadaan begini. Seperti petikan dari Kierkegaard di atas, peribadinya ada banyak belahan personaliti yang bertumpang tindih.

Dalam tulisannya pun sekejap al-amin gunakan kata ganti nama ‘aku’, sekejap dia gunakan ‘saya’, ada juga artikel dia gunakan ‘kami’. Dia tak pernah tetap dengan sesuatu atau percayakan sesuatu dalam tempoh masa yang lama. Secara umum, prinsip hidupnya masih sama cuma jalur perspektifnya tak statik. Alam fikirannya nomad dan berpindah-randah secara bersendiri.

Ini bukan satu yang al-amin banggakan sebab selalunya keadaan ini menyukarkan dia untuk berbual dan berhubung dengan orang lain, tapi tak dinafikan bagi al-amin ketakpastian ini merintis jalan untuknya meneroka kompleksiti manusia dengan lebih jujur. Bila berbual dengan kawan-kawan dan saudara mara, hatinya asyik nak membangkang dan menempelak pendapat mereka yang baginya dianggap picisan, semberono dan terlalu lurus. Tapi mulutnya terkunci. Mungkin sebab nak jaga hati mereka, mungkin untuk mengelakkan perselisihan faham yang remeh atau mungkin dia sendiri perlu semak semula hujah-hujahnya. Kadang-kadang dia cuba jadi idealis, kadang-kadang dia sedar dia realis, ada masanya dia rasa optimis, tapi selalunya dia pesimis. Benz Ali lebih dari manusia lain tentu faham semua ini.

Situasi ini selalunya berakhir dengan dia masuk bilik dan berbaring sambil berdebat dengan dirinya sendiri. Itu yang selalu berlaku. Dan kalau rajin dia akan luahkan dalam blog Chorak Dunia. Blog ini ialah medium dia mengkritik dan berkomunikasi dengan persekitarannya dan dirinya sendiri. al-amin sedar manusia introvert suka menulis dari bercakap. Idea yang bertakung di kepala mereka lebih lancar mengalir ke atas papan kekunci berbanding dihamburkan dengan gelombang bunyi. Sebab itu ramai yang bersolitari di tasik, pantai dan gunung lalu menjadi penulis, seniman dan penyair. Tapi selalunya al-amin malas.

Kadang-kadang al-amin rasa dia seorang yang egois dan narsisis, membenci dunia kerana dunia tak berjalan seperti yang diinginkannya. Mungkin ini sifat primordial dan hukum alam seorang idealis. Sebab itu bila sang idealis dapat kuasa kemungkinan besar dia bakal jadi diktator. Sejarah tak pernah menipu. Ramai diktator pada awalnya ialah idealis yang memberontak. Mereka mengkritik, mereka melawan, mereka disingkir dan dipenjarakan. Hanya apabila mereka ditauliahkan kuasa, sifat egoistik dan narsisistik tadi menjalar dan menguasai akal, hati dan nafsu. Idealisme dibentuk menjadi kuku besi, mencakar dan mengoyak suara-suara yang berseberangan. Macam Harvey Dent cakap dalam The Dark Knight, "Sama ada kau mati sebagai pejuang atau hidup cukup lama untuk tengok diri kau jadi penjahat."

Kadang-kadang bagi al-amin dia hanyalah petani pascamoden yang cuba menggali makna dari tanah yang dia gembur, untuk akhirnya dia sedar menggali sesuatu yang dia sendiri tak pasti apa dan di mana hanyalah usaha sia-sia, dan peluh yang dia tumpahkan sekian lama sebenarnya cukup untuk menyuburkan tanaman yang menguntungkan anak cucunya, hanya jika dia bercucuk tanam. Tapi sekali lagi dia memang pemalas.

Bagi al-amin, tulisannya – baik dari segi bentuk dan isi - belum mencapai kematangan yang diinginkannya. Dia hanya mencedok dan meminda secara minimum idea-idea liar yang singgah di kepalanya. Dia sangat militan dalam menculik mana-mana pendapat yang bersesuaian dengan ideologinya secara pukal dan menyeludupnya kembali ke dalam blog ini. Dan ini bukanlah sesuatu yang membanggakannya. Apa yang dilontarkan dalam blog Chorak Dunia hanyalah perca-perca idea yang miskin dan berserakan, yang mungkin banyak mengundang kekeliruan dari kefahaman.

Apabila Benz Ali sebut yang tulisan dalam blog ini perlu dibukukan kerana dia bimbang jika berlaku gempa bumi (saya faham Benz Ali bergurau) tulisan ini akan hilang begitu saja, saya teringatkan novel-drama Bila Tuhan Berbicara karya Faisal Tehrani. Dalam novel tersebut 3 manusia berbeza fahaman tertidur selama beribu-ribu tahun dalam gua, eh bukan gua tapi bunker, setelah berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Saya berpendapat al-amin pastinya bersyukur jika tulisannya yang miskin, liar dan nomad ini hilang dalam gempa bumi. Saya terfikir juga, jika berlaku gempa bumi, apa kemungkinan untuk al-amin terperangkap bersama Benz Ali dalam sebuah bunker?

al-amin mahu tulisannya di tulis kembali. Bagi al-amin teks hanya dapat dinikmati apabila ia ditulis semula kerana seharusnya pada tingkat yang lebih afdal, membaca teks itu tak dapat lari dari menulis semula teks. Menulis semula bukan maksudnya memplagiat tulisannya, tapi merangsang akal untuk menilainya secara kritis, memikirkannya dari sudut pandang berbeza, menyelaknya dari sisi-sisi yang lain. al-amin mahu pembaca melayan tulisan di blog ini bukan saja dengan menyiasat apa yang dinyatakan, tapi juga mengesan apa yang gagal dinyatakan. Ya, ini bukan pendapat al-amin tapi pendapat Roland Barthes. Lihat bagaimana dengan selamba al-amin menyeludup pendapat Barthes dan menulisnya seolah-olah pendapatnya sendiri.

Cuma berbeza dengan Barthes, al-amin beriman yang aktiviti buka dan lepas teks secara terus-terusan ini bukan sekadar ‘permainan teks’ yang kosong dari makna tertentu, sebaliknya ia sebahagian dari usaha untuk mencari dan membina makna.

al-amin mungkin berpendapat, buat masa sekarang, pembaca dapat lebih menghargai tulisan blog ini dengan menilai tulisannya berdasarkan tulisannya, bukan menilai tulisannya berdasarkan autoriti atau rupa paras atau akhlaknya sebagai manusia. Ini antara sebab kenapa Mary Anne Evans aka George Eliot menggunakan nama lelaki. Selain untuk mengelak stereotaip masyarakat era Victoria yang menganggap penulis wanita hanya pandai tulis novel pseudo-cinta, Mary Anne juga tak mahu karyanya dinilai dengan prejudis hanya kerana dia seorang agnostik yang tak segan untuk bersekedudukan dengan suami orang. Ya, awak perlu baca artikel hebat Mary Anne bertajuk “Silly Novels by Lady Novelists” yang keras mengkritik penulis-penulis wanita pada zamannya yang gian menulis novel pseudo-cinta untuk kita lebih faham mengapa Mary Anne pakai nama George Eliot.

Mungkin sedikit sebanyak al-amin juga terpengaruh dengan pendekatan Kierkegaard yang menggunakan banyak nama samaran dalam tulisannya terutamanya dalam periode pertama kepengarangannya. Kierkegaard ada tak kurang dari 15 nama samaran. Dalam buku Either/Or saja ada tiga nama pengarang; Victor Eremita selaku editor, A selaku pengarang bahagian pertama (Either) dan Judge Wilhelm sebagai pengarang bahagian kedua (Or), di mana ketiga-tiganya ialah Kierkegaard sendiri.

Malah lebih kurang seminggu selepas Either/Or diterbitkan, Kierkegaard siap tulis sebuah artikel berjudul ‘Who Is The Author of Either/ Or’ dengan menggunakan nama samaran lain pula! Dalam artikel ini Kierkegaard konon berteori tentang persoalan siapa pengarang buku Either/Or tanpa dia sebut yang dia tahu identiti pengarang yang sebenar, yakni dirinya sendiri.

Setiap nama samaran Kierkegaard mempunyai persona dan idea tematik mereka yang tersendiri. Setiap satu persona Kierkegaard - dalam projeknya meneroka tiga tahap eksistensi yakni estetika, etika dan agama - menggunakan idea-idea yang tak mempunyai titik temu yang jelas secara konsisten, kalau pun mereka tak berkontradik secara langsung. Sebagai contoh, Anti-Climacus agak kontra dengan persona Johannes Climacus. Ya, Anti-Climacus bukan alter-ego Kierkegaard, tapi alter-ego kepada alter-ego Kierkegaard!

Seperti Kierkegaard, al-amin tak mahu dikenali supaya dia dapat melihat sesuatu idea dengan lebih terbuka dan dapat pula meluahkan idea itu dengan terbuka. Buat masa sekarang al-amin mengalami dialectical tension seperti Kierkegaard, terbelah antara spiritual dan material, imanen dan transenden, pop culture dan high culture, gagal untuk menjadi diri sendiri dan pada masa yang sama tak dapat menjadi orang lain. Sickness unto death kata Kierkegaard.

Menjarakkan diri dengan pembaca adalah pendekatan terbaik bagi al-amin untuk berlaku jujur kepada dirinya sendiri dan mengekalkan kewarasannya.

Dalam artikel ‘Who Is The Author of Either/ Or’, Kierkegaard dengan nama samaran A.F. menulis:

“Kebanyakan orang, termasuk penulis artikel ini  berpendapat tak berbaloi bersusah-payah untuk peduli tentang siapa pengarang buku ini. Mereka gembira kerana tak tak tahu identiti pengarangnya, kerana dengan itu mereka hanya ada buku itu untuk ditangani, tanpa diganggu atau terganggu dengan keperibadian penulisnya”.
--------------------------------------------------------------------

*George Eliot ialah perempuan sasterawan yang bertanggungjawab menterjemahkan 2 karya kontroversi Jerman ke dalam bahasa Inggeris; The Life of Jesus oleh David Strauss dan The Essence of Christianity oleh Ludwig Feuerbach. Dia pernah jadi penyumbang artikel dan editor The Westminster Review, jurnal yang diasaskan oleh Jeremy Bentham dan menjadi suara rasmi puak Philosophical Radicals (zaman sekarang puak macam ini dipanggil liberal).

Selamat untuk dikatakan yang status Eliot masih jadi khilaf, sama ada dia seorang agnostik atau atheis. Hal ini demikian kerana walaupun agak kritikal dengan agama, dia tak pernah mengecam agama, apatah lagi anti-agama. Dia memandang agama punya sisi-sisi positif yang boleh dimanfaatkan, baginya agama secara objektifnya salah, tapi secara subjektifnya benar. Agama adalah medium manusia mengobjektifikasikan keperluan mereka yang subjektif, sebuah pendapat yang meminjam kritik Feuerbach terhadap agama. Ada juga yang melabel Eliot sebagai religious atheist. Kita sendiri tak pasti. Mungkin Eliot juga tak pasti dan seperti al-amin, mungkin alam fikiran Eliot juga berstatus nomad, berpindah-randah secara bersendiri.