Friday, February 8, 2013

Sang Rausyanfikir

Bulan ini aku telah membaca tiga tulisan Ali Shariati. The Visage of Prophet Mohammad, Fatima is Fatima dan Once Again Abu-Dhar. Sungguh, intelektual hebat ini aku kenal harum namanya sudah lama. Sudah bertahun-tahun. Tetapi entah mengapa tak tergerak di hati aku untuk membaca karya-karyanya. Aku mengenalinya dari tulisan orang lain. Memahami gagasan rausyanfikir, menyelami pertentangan mustadh'afin dan mustakbirin, mengenali sintesis Marxisme dan Islam, memahami falsafah haji, semuanya dari sumber kedua. Malah minat aku untuk membaca tentang komunisme dan Marxisme pun bertolak dari pembacaan aku tentang Syariati. Lalu, aku tinggalkan dulu Shariati dan aku baca The German Ideology, The Communist Manifesto, Das Kapital (yang belum mampu aku hadam sepenuhnya) dan beberapa tulisan dari intelektual Marxisme yang lain. Tetapi rasanya tindakan aku tepat, sedikit sebanyak Syariati juga menggunakan pendekatan dialektik Hegel yang mempengaruhi Marx. Oleh itu, untuk lebih memahami idealisme Shariati harus lebih dulu faham apa itu komunisme dan Marxisme. Juga harus menelaah Syiah dari sudut teologi dan tasawwurnya. Kemudian baru kita boleh melihat saling kaitan antara keduanya dan bagaimana Shariati memadukan dua ideologi ini untuk membina kerangka idealisme dan gagasan pemikirannya serta bagaimana gagasan ini boleh menghasilkan sebuah revolusi. Dan kini, setelah membaca hanya tiga karya Shariati ini (belum habis dibaca sebenarnya), aku mula faham mengapa beliau disebut antara ideolog yang menggerakkan Revolusi Iran.

Melalui tiga karya ini, aku boleh membayangkan bagaimana Syariati mampu mempengaruhi dan mencerahkan pemikiran rakyat Iran. Bagaimana Shariati mengajar mereka untuk menjadi revolusioner atas nama agama, atas nama iman, iaitu kebenaran yang tak terkalahkan. Mungkin ada yang sinis, apalah sangat gambaran tentang pengaruh Shariati terhadap Revolusi Iran yang boleh aku dapat dari tiga buku ini, sedangkan aku tidak pernah membaca karya-karya Shariati yang lain yang lebih sarat mengusung idealisme dan pemikirannya. Memang karya-karya ini boleh dikatakan karya 'ringan' Shariati. Namun, Revolusi Iran itu adalah kebangkitan seluruh peringkat masyarakat. Untuk memungkinkan terjadinya revolusi politik, partisipasi semua golongan rakyat hukumnya wajib. Lelaki, wanita, golongan profesional, guru, pensyarah, petani, buruh, pelajar, golongan pertengahan, golongan miskin, semuanya bangkit menjatuhkan rejim Pahlavi. Ini bukan demonstrasi, ini revolusi. Semuanya ini berlaku hanya apabila kesedaran dan idealisme ditanamkan di dalam akal dan jiwa mereka, apabila mereka mampu berfikir dengan jernih secara kolektif apa yang terbaik untuk mereka. Maka Shariati mendekati dan menyampaikan mesejnya kepada semua golongan ini. Ketiga-tiga karya ini khusus untuk rakyat biasa memahami di mana posisi mereka, apa masalah sebenar yang mereka hadapi, apa yang sepatutnya mereka perjuangkan dan siapakah peribadi yang perlu mereka jadikan contoh. Di sinilah terserlah kepintaran Shariati menawarkan solusi dan memberikan contoh yang dekat di hati rakyat Iran khususnya penganut Syiah.

Boleh dikatakan ketiga-tiganya ialah biografi ringkas dengan isinya yang tidak terlalu berfalsafah atau berbau intelek. Tetapi cubalah baca bahasanya yang menggugah jiwa, membangunkan semangat dan retoriknya yang memukau perasaan. Di satu saat kita akan dibuai perasaan sedih, pilu, marah, manakala di saat yang lain bangkit semangat baru, seperti jasad ini diisi oleh roh pahlawan yang menyala-nyala api perjuangannya. Aku benar-benar terpukau dengan kehebatan Shariati menulis. Perlu diingat, karya yang aku baca adalah merupakan terjemahan bahasa Inggeris dari bahasa asalnya, iaitu Parsi. Sudah pasti ada kekurangan dan kekangan linguistik dalam proses penterjemahan untuk mengungkapkan maksud, hasrat dan semangat sebenar Shariati. Tetapi tetap dapat aku rasakan mesej yang ingin disampaikan. Bayangkan rakyat Iran yang membaca karya-karya ini di dalam bahasa asalnya. Bayangkan rakyat Iran yang sememangnya terkesan dengan tema penindasan, Rasulullah serta ahlul bait. Shariati menjelmakan sendiri watak rausyanfikir itu di dalam dirinya. Inilah fungsi sebenar intelektual yang bukan hanya berteori dan bermain falsafah di dewan kuliah atau seminar, atau berceramah tentang sesuatu yang dia sendiri tidak memahami atau menguasainya dengan mendalam, sekadar memuaskan nafsu intelek kononnya, melontarkan jargon-jargon yang kaku dan beku.

Intelektual atau ulamak atau ilmuwan (berikan apa saja nama) wajib cakna dengan masalah masyarakat, malah perlu turun menyantuni masyarakat dan merasakan sendiri denyut nadi mereka serta menyiasat sehingga ke akar untuk mengetahui masalah yang menimpa mereka. Kadang-kala intelektual kita setara sahaja tahap pemikirannya dengan pelajar atau mahasiswa mereka, sekadar menjadi penghafal teori dan ilmu. Kalau ulamak pula sekadar melontarkan ayat-ayat Quran, hadis Nabi dan pendapat ulamak-ulamak lain (yang semuanya bukan dari Malaysia) untuk menjawab persoalan masyarakat Malaysia. Itulah kemampuan kebanyakan intelektual dan ulamak kita, suka menempel dan mengikut punggung intelektual luar dan teori-teori yang pernah mereka pelajari. Yang agamawan ambil model penyelesaian masalah dari Arab Saudi dan Mesir, yang sosialis ambil model dari Cuba dan Libya, yang komunis hanya membaca The Communist Manifesto (dan terus mengaku komunis tegar), yang liberal ambil contoh dari United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang hedonis mengimport hiburan dari Korea Selatan. Aduh, adakah semuanya kita mahu cedok dari luar. Tumpul sangatkah otak intelektual dan ulamak kita hingga bebal untuk merumuskan persoalan yang muncul di tanah air sendiri, kerana penyelesaian masalah masyarakat baik dari segi politik, sosial dan ekonomi wajib bersifat setempat kerana situasi dan latar sosio-budaya yang berbeza, yang memunculkan punca masalah dan solusi yang juga berbeza. Kata Rendra dalam puisinya:

Kita harus berhenti membeli rumus-rumus asing.
Diktat-diktat hanya boleh memberi metode,
tetapi kita sendiri mesti merumuskan keadaan,
Kita mesti keluar ke jalan raya,
keluar ke desa-desa,
mencatat sendiri semua gejala,
dan menghayati persoalan yang nyata.  

Friday, February 1, 2013

Kemanusiaan dalam Liberal Arts

Baru menonton Liberal Arts, arahan, lakonan dan tulisan Josh Radnor (Ted Mosby dalam How I Met Your Mother). Sebuah filem yang menarik dan membuatkan aku begitu kepingin untuk menonton filem pertama arahan beliau, happythankyoumoreplease. Liberal Arts  bercerita tentang perjalanan beberapa manusia mencari makna dalam fasa baru hidup mereka. Makna cinta, kesepian, pengalaman, jati diri, hubungan manusia dengan manusia, pandangan alam, citarasa seni dan lain-lain lagi. Pencarian ini semuanya dilukiskan oleh manusia-manusia yang terlibat di dalam dunia akademik (yang belajar dan pernah belajar/ mengajar tentang liberal arts). Mesej yang menunjukkan bahawa konflik, krisis diri dan makna kehidupan perlu sentiasa diteroka dan diberi definisi baru. Walaupun kita belajar liberal arts sekalipun (sastera, sains kemanusiaan, seni, falsafah, etc.)  tidak beerti kita sudah memahami hakikat sebenar diri kita. Hakikat diri manusia itu ialah kita sentiasa belajar mengenal diri, Tuhan dan alam, sentiasa berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Kita akan dihadapkan dengan pilihan-pilihan hidup yang setiap satu ada musibah dan manfaatnya yang tersendiri.  Kita akan sentiasa berhadapan dengan wilayah-wilayah baru dalam kehidupan. Yang semuanya mengajar kita menjadi lebih dewasa dan semakin 'sedar diri'. Seperti kata Zibby (lakonan Elizabeth Olsen) kepada Jesse (Radnor) di dalam filem ini: "Have you ever thought about that? How everything in life is basically improvised? There’s no script. We’re just making this up as we go."

Dan ketika melawat Dean di hospital yang cuba membunuh diri akibat tekanan emosi, Jesse memberi cadangan kepadanya supaya membaca siri novel Twilight (Dean amat meminati novel Infinite Jest tulisan David Foster Wallace yang kesudahan hidupnya juga membunuh diri).  "Trust me, they will empty your mind completely", kata Jesse merujuk kepada siri  dongeng pontianak jiwang tersebut.

Friday, January 18, 2013

Filem: Seni atau Hiburan?


Seni itu keindahan dan kecantikan. Apa sahaja yang dianggap indah dan cantik disebut sebagai hasil atau karya seni. Ini adalah tanggapan umum yang boleh diterima pakai untuk menafsirkan apa itu seni. Kamus Dewan mendefinisikan dua maksud utama seni sebagai; 1) Halus (kecil, elok) dan 2) karya (sajak, lukisan, muzik, dll) yang dicipta dengan bakat (kecekapan). Kesimpulannya seni itu ialah karya indah lagi molek yang dihasilkan dengan penuh ketelitian berdasarkan bakat dan kebolehan sang pengkarya. Ini hanyalah takrif umum. Maksud 'halus' di dalam Kamus Dewan itu sendiri menggambarkan karya seni itu dihasilkan dengan penuh ketelitian dan ekspresi, melibatkan perahan fizikal, mental dan jiwa sang pengkarya. Justeru, apa sahaja karya yang dihasilkan dengan cincai dan tidak bersungguh-sungguh dan gagal menepati ciri-ciri dan kriteria utama yang ditetapkan dalam sesebuah kerja seni tertentu, bolehlah dibuang label 'seni' dari karya tersebut. Semudah itu.

Seni itu terbahagi kepada juzuk-juzuk dan pembahagiannya yang tersendiri. Sebelum pergi lebih jauh, perlu aku nyatakan di sini bahawa skop penulisan ini hanya akan memfokuskan kepada salah satu bidang seni yang popular di Malaysia (atau yang aku anggap popular) iaitu filem. Tetapi, sejak dahulu sehingga kini status filem sebagai seni masih diperdebatkan. Adakah filem boleh disebut sebagai seni? Atau ianya semata-mata hiburan?

Golongan yang skeptik terhadap filem sebagai seni berhujah bahawa filem adalah semata-mata imej yang bergerak. Ianya sekadar fotografi yang melalui proses mekanikal dan seterusnya menghasilkan gerakan, situasi dan peristiwa. Bagi mereka, filem hanya merakamkan realiti di mana kebanyakan elemen didalamnya ialah semulajadi dan tidak memungkinkan campur tangan sepenuhnya seseorang pengkarya ke atas sesebuah filem. Pengkarya filem tidak dapat meluahkan kreativiti artistiknya ke tahap maksima dan menyebabkan filem itu sendiri gagal untuk berhubung dengan khalayak dalam menyatakan ekspresi pengkarya. Malah sekiranya filem ini mampu menyampaikan rasa estetiknya atau idea dan mesejnya kepada khalayak, peranan pengkarya filem ke atas filem tersebut masih boleh dipersoalkan. Adakah filem tersebut berjaya kerana unsur artistik atau kreativiti yang dihasilkan pengkarya atau disebabkan oleh wujudnya elemen-elemen semulajadi dan realiti di dalam filem tersebut, yang berada di luar kawalan pengkarya itu sendiri.

Untuk menjawab hujah ini kita perlu sedar bahawa fotografi dan filem bukanlah merakamkan realiti tetapi sekadar merakam imej kepada realiti. Ianya adalah representasi visual kepada apa yang kita faham sebagai realiti. Malah sesebuah filem telah menerima campur tangan dari pengkarya filem apabila filem itu dirakamkan. Mereka telah menentukan jenis lensa tertentu, penataan cahaya tertentu, situasi tertentu, lokasi tertentu untuk shot tertentu. Itu belum dikira props dan set yang digunakan, lakon layar yang disediakan, solekan dan sebagainya. Setiap susun atur, kelakuan, situasi dan dialog yang dituturkan segalanya telah ditentukan mengikut perkiraan kreativiti dan artistik pengkarya filem. Apabila selesai dirakamkan, imej ini akan terus di manipulasi, disunting dan diubahsuai di studio. Kita boleh bayangkan berapa ramai tenaga kerja yang menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan sesebuah filem. Oleh itu, ianya bukan lagi realiti tetapi kita menanggapinya sebagai realiti. Inilah yang cuba dimaksudkan oleh Rene Magritte dengan lukisan terkenalnya, la trahison des images (Kecurangan Imej).

Inilah kuasa dan pengaruh sebenar filem atau televisyen, iaitu ia mencipta imej untuk realiti, kelahiran semula realiti di dalam bentuk yang diinginkan dan diimaginasikan oleh manusia. Sejarah juga merakamkan bahawa manusia belajar melukis sebelum menulis. Dinding-dinding gua menjadi kanvas manusia pra sejarah melakarkan kisah hidup, intepretasi dan imaginasi mereka terhadap realiti. Ini menjadi bukti bahawa sejak awal lagi manusia sememangnya mempunyai keinginan untuk mencipta dan mengkonstruk realiti baru. Manusia ingin mengawal dan mengubah realiti. Ironi juga, rancangan yang disebut realiti TV itu pun adalah sebesar-besar penipuan kepada realiti. Sila tonton The Truman Show untuk lebih memahami konsep realiti TV ini.

Keberkesanan mesej dan rasa estetik pula tidak sepatutnya menjadi piawaian untuk menentukan sama ada sesebuah medium itu layak dianggap seni ataupun tidak. Ini kerana ianya bergantung kepada pemahaman dan intrepretasi khalayak sebagai audiens. Lukisan Mona Lisa yang dianggap 'the best known, the most visited, the most written about, the most sung about, the most parodied work of art in the world' itu pun tidak difahami oleh kebanyakan manusia. Kita menganggap ia istimewa kerana sekian lama manusia dan media mengagungkannya. Secara peribadi, aku lebih berminat kepada karya-karya Bayu Utomo Radjikin berbanding Mona Lisa. Malah elemen-elemen yang menimbulkan estetik dan keghairahan terhadap seni itu pun (sekali lagi Mona Lisa boleh dijadikan contoh kes) sukar dijustifikasikan adakah bersifat luaran (dari seni itu sendiri) atau dalaman (interpretasi manusia).

Antara isu lain ialah, jika filem itu sebuah kerja seni maka siapa artis atau pengkarya utama yang mendominasi dan menentukan hala tuju filem itu secara keseluruhannya. Ramai yang akan menjawab pengarah. Timbul persoalan yang lain benarkah pengarah mendominasi bentuk dan isi sesebuah filem? Bagaimana dengan penulis lakon layar? Bagaimana dengan jurugambar? Bukankah kesatuan idea dan kreativiti individu-individu ini yang melengkapkan filem? Bukankah kewujudan filem adalah hasil koloborasi sekumpulan manusia? Mengapa di majlis anugerah filem, Filem Terbaik di sampaikan kepada penerbit filem? Akhirnya siapa yang menghasilkan filem? Persoalan-persoalan ini dibangkitkan kerana wujud pernyataan yang tidak rasmi (tetapi popular dan kuat bukan sahaja di kalangan karyawan seni malah juga ahli akademik) bahawa untuk sesebuah medium itu dianggap seni (ataupun sebagai bidang pengkajian yang serius), seorang maestro perlu dikenal pasti. Maestro yang mendominasi dan menumpahkan kemahiran artistik dan kreativitinya ke dalam sesebuah filem. Maestro yang meninggalkan signature stylenya di dalam setiap filem. Dan muncul auteur theory menyelesaikan kekusutan ini dengan memberi jawapan, sang pengarahlah maestro yang kita cari!

Auteur theory (bahasa Perancis untuk pengarang/ author) pada asalnya adalah berupa kritikan dari sekumpulan pemuda Perancis terhadap industri perfileman negara mereka yang dibanjiri filem-filem yang buruk dan sampah. Para pemuda ini yang muncul sebagai antara pengkritik dan akhirnya pembikin filem yang berpengaruh- antaranya Francois Truffaut dan Jean-Luc Godard- telah mengangkat filem-filem Amerika sebagai contoh yang perlu diikuti oleh pengkarya filem Perancis. Mereka menyatakan pengarah-pengarah seperti Orson Welles, Alfred Hitchcock dan John Ford telah meninggalkan signature style di dalam setiap filem mereka dan biar siapa pun penerbit, penulis lakon layar, jurukamera atau pelakon, kita akan tetap melihat kesinambungan style/ teknik di dalam setiap filem arahan mereka. Inilah yang menjadi asas kepada auteur theory.

Teori ini dikembangkan di Amerika oleh Andrew Sarris (Sarris yang menggelarnya auteur theory). Prinsip utama teori ini ialah meletakkan pengarah sebagai nadi utama yang menggerakkan struktur (bentuk dan isi) sesebuah filem. Namun Sarris meletakkan tiga kriteria utama yang melayakkan seseorang pengarah itu digelar auteur. Pertama, seorang pengarah haruslah menguasai kemahiran teknikal di dalam menghasilkan filem. Kedua, seorang pengarah mesti mempunyai signature style yang tersendiri di mana ianya boleh dilihat di dalam setiap filem arahannya (bukan sahaja dalam bentuk teknikal malah idea dan simbol yang mengekspresikan pemikiran pengarah itu). Ketiga, kriteria terpenting, iaitu worldview atau pandangan alam seorang pengarah yang muncul secara konsisten di dalam setiap filemnya. Auteur theory ini pun menerima banyak kritikan daripada ahli teori filem yang mempersoalkan adakah semata-mata sang pengarah yang memberi sumbangan terbesar dari sudut artistik dan kreativiti kepada sesebuah filem. Bagi aku auteur theory bukan sekadar usaha meletakkan peranan pengarah sebagai pengarang utama tetapi lebih kepada menjawab persoalan apa sebenarnya peranan pengarah di dalam sesebuah filem. Aku bersetuju pengarah yang baik harus memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Sarris kerana filem bukan sahaja membawa representasi visual tetapi juga mengusung wacana dan idea pengarah. Pengarah memang mendominasi bentuk dan isi filem tetapi aku lebih suka melihat filem sebagai hasil artistik dan kreativiti kolektif sekumpulan pengkarya.

Sesetengah pengkaji seni pula menyatakan bukan semua filem boleh dimasukkan sebagai kerja seni kecuali filem-filem yang diangkat sebagai art film atau avant garde film yang ditayangkan di art house atau galeri seni manakala filem-filem yang dihasilkan untuk tontonan umum tidak layak diklasifikasikan sebagai seni. Pembahagian yang rigid dan keras sebegini membuatkan apa yang dikatakan 'seni' itu sendiri kelihatan bersifat elitist, eksklusif dan hanya mampu dinikmati oleh segolongan kecil penonton. Noel Carroll, seorang ahli falsafah seni Amerika menjelaskan 4 sebab dalam percubaannya untuk mempertahankan bahawa filem yang dihasilkan untuk tontonan umum juga layak di anggap seni. Pertama, filem mempunyai genre dan bentuk, yakni berasal dari genre dan bentuk karya-karya seni awal yang lain. Kedua, pengkarya filem telah melibatkan diri mereka di dalam aktiviti-aktiviti yang bersifat artistik untuk menghasilkan filem; penulisan, lakonan, seni pengambaran dan sebagainya. Ketiga, secara asasnya, aktiviti-aktiviti di atas sememangnya dipersetujui oleh pengkaji-pengkaji seni sebagai kerja-kerja seni. Aku amat bersetuju dengan sebab ketiga ini. Dan keempat, Carroll menjelaskan bahawa mereka yang menolak status seni hanya kerana ia popular mempunyai kefahaman yang juling tentang perbezaan di antara hasil seni dan bukan seni berdasarkan perbezaan penilaian yang bersifat tinggi/ rendah, seperti seni yang baik/ seni yang buruk dan seni berkualiti tinggi/ seni berkualiti picisan. Sesetengah filem popular mungkin kurang berkualiti dari art filem tetapi ia tetap sebuah kerja seni.

Filem-filem untuk tontonan umum juga selalunya dikaitkan dengan motif keuntungan di mana seolah-olah wujud hubungan yang kontra di antara seni dan perniagaan. Sesebuah karya yang dihasilkan untuk orang ramai seolah-olah hilang nilai artistik, kreativiti dan seni dari karya tersebut. David Bordwell menyebut ketika era Renaissance di Itali, para pelukis telah dibayar oleh gereja untuk menggambarkan kisah-kisah di dalam Bible. Malah Michaelangelo dan Leonardo Da Vinci turut dibayar atas hasil seni mereka dan ini tidak mengurangkan status seni atau kreativiti artistik mereka.

Ini adalah antara isi yang mendasari perbincangan tentang status filem sebagai seni. Masih banyak lagi sebenarnya yang menjadi isi pertikaian. Justeru aku menganggap adalah lebih selesa untuk kita menganggap semua filem adalah kerja seni kecuali yang tidak menepati kriteria-kriteria tertentu. Ini lebih baik daripada menganggap semua filem bukan kerja seni kecuali yang menepati kriteria-kriteria tertentu. Walau pelbagai perdebatan muncul, kita tidak boleh menidakkan filem telah menjadi medium yang paling berkuasa dan luas skop penyampaiannya. Filem telah dibuktikan berjaya menjadi sumber hiburan, medium propaganda, komoditi ekonomi, wacana pemikiran serta budaya dan saluran hedonisme. Di Malaysia, kebanyakan penonton filem malah mungkin para pengarahnya menganggap filem semata-semata hiburan sedangkan di luar kesedaran kita filem-filem telah menghantar idea dan mesej secara tidak langsung kepada kita melalui bahasa filem itu sendiri. Ini aku jelaskan kemudian.



Wednesday, November 28, 2012

Tukul dan Sabit: Idea Karl Marx Tentang Masyarakat Tertindas

Pada 17 Mac 1883 di Highgate Cemetery, London, Frederick Engels menyampaikan ucapan di hari pengebumian Karl Marx. Antara lain Engels menyebut, ”Marx was the best hated and most calumniated man of his time... And he died beloved, revered and mourned by millions of revolutionary fellow workers - from the mines of Siberia to California, in all parts of Europe and America - and I make bold to say that, though he may have had many opponents, he had hardly one personal enemy. His name will endure through the ages, and so also will his work”.

Satu fakta yang perlu kita faham, Marx bukanlah pengasas idea komunisme. Manusia pertama yang dikenal pasti memulakan idea awal komunisme ialah Francois-Noel Babeuf dan organisasi komunis pertama pula ialah Conspiracy of Equals. Marx telah menjadikan komunisme sebagai sebuah ideologi yang mapan dan tersusun dengan menyatukan teori politik, ekonomi dan sosial ke dalam analisisnya dan seterusnya mewujudkan gerakan komunisme yang tidak lagi berselindung dan bersembunyi di sebalik organisasi-organisasi rahsia. Menurut Marx, untuk melakukan perubahan sosial, gerak kerja perlu dilakukan secara terbuka dan melibatkan usaha yang bersifat kolektif dari masyarakat. Sepanjang hidupnya, Marx tidak menulis dengan analitikal dan mendalam tentang bagaimana rupa bentuk dan struktur politik negara komunis yang di cita-citakannya. Beliau tidak pernah menggambarkan dengan lengkap bentuk kepimpinan, hierarki pengurusan dan corak pentadbiran sebuah negara komunis dalam bentuk yang praktikal berkemungkinan kerana beliau sendiri tidak pernah menceburkan diri di dalam politik. The Communist Manifesto yang dianggap bahan bacaan tentang komunisme paling banyak dibaca itu pun tidak memperincikan dengan lengkap bagaimana sistem komunisme itu harus berjalan. Sistem politik komunisme yang dipraktikkan kini hanya dikembangkan dan dibangunkan setelah kematian Marx oleh pendukung-pendukung idea beliau yang menggelarkan diri mereka Marxist. Oleh itu sukar untuk mencari definisi yang seragam tentang teori-teori komunisme kerana ianya ditafsir, diolah dan dikembangkan oleh pelbagai pihak selepas Marx yang cuba menyesuaikannya dengan persekitaran mereka yang sudah pasti berbeza latar sosio-budayanya.

Sebahagian besar praksis politik komunisme dibangunkan oleh 3 orang tokoh, iaitu Vladimir Lenin, Josef Stalin dan Mao Zedong yang berjaya membumikan ideologi Marxisme setelah mendirikan dan memerintah negara yang mereka anggap sebagai negara komunis yang ideal, selaras dengan cita-cita Marx. Walhal apa yang mereka lakukan sebenarnya belum pun mencapai matlamat komunisme yang diidamkan Marx. Mereka hanya mendirikan negara sosialis (yang totalitarian) bukan komunis. Negara komunis hanya tinggal utopia yang sering dikumandangkan atau diimpikan oleh para penyokong Marx namun kelihatannya belum mampu direalisasikan di dunia ini. Memang Marx sendiri menyebut sebelum mencapai negara komunis, tahap sosialis sememangnya adalah transisi yang perlu dilalui oleh sesebuah negara selepas revolusi menumbangkan kapitalis berjaya. Tahap ini difahami sebagai fasa dictatorship of the proletariat, terma yang agak kabur maknanya kerana Marx sendiri hanya dua kali menyebut tentang terma ini di dalam penulisannya.

Konsep ini kemudiannya dikembangkan oleh Lenin sebagai satu fasa yang bersifat sementara yang penting untuk menghapuskan seluruh kuasa dan pengaruh kapitalis dengan menguasai semua sumber ekonomi dan meletakkan negara sepenuhnya di bawah kuasa golongan proletariat. Fasa ini disebutkan oleh Lenin sebagai stubborn struggle yang memungkinkan berlakunya kekerasan, perlawanan dan pertumpahan darah. Namun yang apa berlaku adalah negara diletakkan di bawah kuasa pemimpin elit parti komunis bukannya proletariat, dan parti komunis terus kekal memerintah negara secara kuku besi. Peralihan ke negara pure communist hanya tertulis di atas kertas.

Walaupun banyak perbincangan yang pro dan kontra terhadap idea-idea Marx, tidak kurang juga munculnya kumpulan-kumpulan yang cuba bertindak sebagai reformis dan revisionis yang cuba menilai dengan kritis dan berusaha melakukan perbaikan-perbaikan ke atas idea tersebut, aku lebih suka melihat Marx sebagai intelektual massa yang prihatin dengan masalah yang menimpa masyarakat dan berusaha menawarkan penyelesaian yang bersifat praktikal untuk masalah tersebut. Marx seorang realis yang melihat kezaliman, penindasan dan eksploitasi melanda masyarakat pekerja (proletariat) di Eropah setelah muncul Revolusi Industri di mana hasil keuntungan di bolot oleh golongan kecil pemodal (borjuis). Di London, Marx melihat sendiri bagaimana golongan aristokrat dan industrialis hidup mewah dan pada masa yang sama golongan proletariat terpaksa bekerja untuk tempoh yang lama dengan upah yang sedikit, ada yang tidur di jalanan dengan tahap kesihatan yang teruk malah golongan kanak-kanak turut dikerah sebagai tenaga kerja. Ini membuatkan Marx bertanya, mengapa di dalam negara yang kaya raya, masih ramai orang yang miskin dan ditindas, mengapa Revolusi Industri gagal meningkatkan taraf hidup masyarakat, dan bagaimana perkara ini boleh diubah?

Sewaktu zaman mudanya, ketika masih di Prussia, Marx memang terkenal dalam memperjuangkan keadilan sosial. Malah ketika di bangku sekolah lagi Marx mengatakan bahawa pemilihan kerjayanya nanti haruslah dapat membantu dan memberi sumbangan kepada masyarakat. Keputusan untuk menukar bidang pengajiannya di universiti daripada undang-undang kepada falsafah juga adalah hasil kesedarannya bahawa bidang falsafah dapat mengembangkan potensi akalnya untuk memahami dunia dan masyarakat dengan lebih baik. Ketika menjadi penulis dan editor akhbar Rhineland News, Marx mendedahkan pelbagai kepincangan kerajaan Prussia. Beliau menulis artikel tentang kemiskinan penanam anggur di Moselle, layanan buruk yang diterima petani yang terpaksa mencuri kayu untuk memanaskan badan, kecenderungan golongan bangsawan dan kelas pentadbiran awam yang mementingkan tembolok sendiri, nasib masyarakat kelas bawahan yang tidak terbela dan kezaliman yang dilakukan oleh banyak negara Eropah ketika itu. Marx berharap dengan pendedahan-pendedahan ini kerajaan Prussia akan melakukan perubahan. Malangnya, yang berlaku adalah sebaliknya, 6 bulan selepas itu akhbarnya telah diharamkan.

Tindakan kerajaan Prussia ini telah menyedarkan Marx bahawa perubahan sosial harus bermula dari masyarakat bawahan. Masyarakat sendiri harus bangun menegakkan keadilan dan membebaskan diri mereka tanpa mengharapkan bantuan kerajaan. Ini kerana kerajaan monarki Prussia ketika itu telah menggunakan seluruh institusi sosial sebagai perkakas untuk menghalalkan tindakan mereka dan mematahkan penentangan dari rakyat. Ketika inilah Marx menulis Contribution to the Critique of Hegel's Philosophy of Right yang mengandungi kata-katanya yang paling popular di Malaysia, ‘agama adalah candu masyarakat’. Frasa ini ditulis ketika Marx belum pun lagi menulis tentang komunisme. Sungguh memalukan apabila rakyat Malaysia (terutamanya orang Melayu) hanya merujuk kepada frasa ini apabila memperkatakan tentang komunisme atau Marx. Persamaannya mudah: Marx seorang Yahudi → Yahudi jahat → Marx mengasaskan komunis → komunis perancangan Yahudi untuk menakluk dunia/ menyesatkan orang Islam. Atau pun: Marx mengasaskan komunis → Marx seorang atheis → semua pengikut komunis adalah atheis. Mudah bukan sifirnya. Ketika dunia mengenali Marx sebagai ahli falsafah/ sejarah/ ekonomi/ sosiologi yang masih diwacanakan ideanya sampai kini, kita hanya mampu tahu yang Marx adalah seorang Yahudi dan atheis! Ironinya, konsep pembebasan Marx ini telah digunapakai oleh sebuah gerakan agama Kristian Katolik di Amerika Selatan yang dikenali sebagai Liberation Theology. Gerakan ini cuba menyampaikan ajaran Kristian Katolik melalui konteks masyarakat yang tertindas dan dizalimi sesuai dengan latar sosial di Amerika Selatan ketika itu. Ianya mempunyai matlamat untuk menyampaikan pesan-pesan agama Kristian mengikut konteks sosio-budaya masyarakatnya dengan menyelami konflik dan krisis yang dihadapi oleh masyarakat setempat tanpa hanya berkhutbah tentang ritual dan hari pembalasan. Aku tidak mencadangkan supaya idea pembebasan Marx ini disesuaikan dengan Islam tetapi sekadar untuk kita berfikir bagaimana ideologi yang dikatakan atheis ini boleh pula digunakan sebagai dasar teologi di dalam sebuah agama. Bagi aku, sentiasa ada sisi pandang dan perspektif baru yang boleh kita ambil panduan dan renungan dari teori, fahaman, falsafah dan idea yang dinukilkan oleh orang bukan Islam kerana kebanyakan intelektual Islam kita tidak suka berteori atau berfalsafah. Mereka lebih suka bercakap dan berceramah. Maka ada kemungkinan pada teori mereka itu ada kerangka penyelesaian yang tidak pernah kita fikirkan (kerana kejahilan kita atau kita sememangnya malas berfikir) yang boleh membantu kita. Keterbukaan minda kita kepada idea dari luar kepompong pemikiran yang berstatus quo adalah wajib untuk kita memahami dunia ini dengan 1001 warnanya. Dunia ini bukan sekadar hitam dan putih, ianya indah kerana disulami beragam warna. Adapun Islam memang agama yang membebaskan, itu sudah muktamad. Kita tidak memerlukan seorang Marxist untuk mengajar kita tentang perkara tersebut.

Tetapi mengapa Marx menulis agama adalah candu masyarakat? Marx di dalam tulisan tersebut sebenarnya mengkritik idea Friedrich Hegel, ahli falsafah tersohor yang mendominasi wacana intelektual di Jerman ketika itu di mana Marx sendiri pada awalnya mengagumi beliau. Hegel menafikan benda-benda yang dapat dikenali melalui pancaindera manusia (objek fizikal) sebagai realiti tertinggi. Bagi Hegel realiti sebenar ialah perkara yang difikirkan oleh akal (idea itu sendiri). Oleh itu objek yang ditanggapi oleh pancaindera adalah semata-mata kewujudan yang hadir hasil dari konsep yang difikirkan oleh realiti iaitu idea. Hegel sebenarnya cuba untuk membuktikan kewujudan Tuhan menggunakan akal. Menurut Hegel, sekiranya idea adalah realiti, maka realiti tertinggi adalah idea tentang Tuhan. Falsafah Hegel ini secara langsung telah mempertahankan status quo dan memberi justikikasi dan lesen kepada kerajaan Prussia untuk terus menindas dan menzalimi rakyat. Ini berlaku apabila Hegel menganggap negara adalah idea yang kudus serta suci dan segala yang berlaku di dalam negara adalah perkara yang tidak dapat dielakkan dan merupakan satu kepastian. Seperti kata Hegel, ’all that is real is rational; and all that is rational is real’. Maka apa yang sahaja yang berlaku di Prussia ketika itu adalah sesuatu yang rasional, sesuatu yang sepatutnya berlaku. Prussia menerima apa yang sepatutnya mereka terima. Sejarah manusia dilihat berjalan secara semulajadi hasil kawalan Tuhan atau kawalan individu seperti raja Prussia yang mempunyai hubungan dengan Tuhan. Maka manusia perlu menerimanya.

Pandangan Hegel menjadikan rakyat Prussia pasif dan sekadar menerima nasib mereka seadanya. Ini ditambah dengan sokongan dari institusi gereja yang bersekongkol dengan kerajaan dengan berceramah kepada mereka supaya menerima kesusahan dan penderitaan di dunia ini sebagai ujian dan kelak mereka akan diberi ganjaran di akhirat nanti hasil kesabaran mereka. Oleh sebab itu Marx menentang keras falsafah ini dan mencela institusi gereja kerana membutakan mata hati dan memandulkan fikiran rakyat dari melihat apa yang terbaik untuk mereka. Marx melihat agama telah digunakan sebagai perkakas untuk memukau manusia dengan ilusi kudus dan janji syurga.

Marx mentafsirkan sejarah dan sosiologi manusia sebagai materialist conception of history. Marx menolak pandangan Hegel yang melihat realiti sebagai semata-mata idea. Realiti haruslah ditafsirkan melalui kaedah empirikal dengan berpijak di bumi nyata berdasarkan existence of living human individual di mana Marx meletakkan manusia sebagai makhluk istimewa yang mempunyai potensi untuk memperkembangkan dirinya ke tahap yang lebih baik dengan menggerakkan sejarah. Manusia memerlukan keperluan-keperluan material untuk dipenuhi seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Usaha manusia untuk memenuhi keperluan ini disebut Marx sebagai tindakan pertama sejarah. Apabila keperluan-keperluan asas ini dipenuhi akan timbul keperluan-keperluan baru dan usaha memenuhinya disebut tindakan kedua sejarah. Seterusnya, tindakan sejarah ketiga berlaku apabila manusia mula berkembang dan berlaku pertambahan populasi. Menurut Marx tiga tindakan ini telah berlangsung sejak awal sejarah manusia dan masih berlaku sehingga kini.

Marx melihat sejarah sebagai satu proses manusia memenuhi keperluan material untuk terus hidup. Apabila timbul keperluan, maka wujudlah proses pengeluaran. Untuk meningkatkan daya pengeluaran, pengkhususan kerja perlu diwujudkan. Pengkhususan kerja muncul dalam bentuk dua kumpulan; iaitu di antara golongan yang memiliki alat pengeluaran (means of production) seperti tanah, kilang dan peralatan dan golongan yang hanya mampu menawarkan tenaga kerjanya sahaja. Golongan yang memiliki alat pengeluaran menjadi golongan yang dominan, manakala golongan pekerja pula dieksploitasi dan disisihkan kerana tidak menguasai . Maka wujudlah konflik di antara dua golongan ini akibat dari pengagihan hasil yang tidak adil. Marx menganggap konflik ini (class conflict) adalah faktor utama yang menggerakkan perubahan sosial di mana sejarah manusia zaman berzaman sememangnya dibentuk oleh pertentangan dan konfrontasi di antara dua kumpulan ini; golongan penindas dan golongan yang ditindas.

Sistem penindasan yang pertama di dalam sejarah adalah sistem perhambaan di mana pemilikan hamba melambangkan status dan kedudukan seseorang. Konflik tercetus apabila pemilik hamba memaksimakan kerja dan mengabaikan kebajikan hamba seperti makanan dan ubatan. Konflik ini berakhir apabila berlaku revolusi kebangkitan hamba untuk membebaskan diri mereka dari sistem perhambaan. Sistem penindasan kedua ialah feudalisme di mana berlaku konflik di antara petani dan tuan tanah. Tuan tanah yang tamak mahukan hasil produktiviti ditingkatkan dan mengenakan cukai yang tinggi manakala golongan petani ingin menikmati hasil yang dituai mereka sebanyak mungkin. Di negara seperti England, feudalisme runtuh apabila tuan tanah mahu mendapatkan keuntungan yang lebih banyak dengan beralih kepada sektor perindustrian. Apabila berlaku Revolusi Perindustrian, penguasaan feudal berakhir dan membuka laluan kepada kapitalisme. Dua golongan yang berkonflik ialah kelas pekerja (proletariat) dan kelas pemodal/ kapitalis (borjuis).

Menurut Marx, ciri paling penting di dalam kapitalisme ialah usaha yang berterusan oleh kapitalis untuk memaksimakan keuntungan dengan mengeksploitasi golongan pekerja. Marx percaya sumber yang memberi nilai sebenar kepada sesuatu barang atau komoditi ialah labor. Marx membezakan di antara labor dan labor power. Labor ialah proses pengeluaran/ penghasilan komoditi termasuk komoditi yang dihasilkan itu sendiri. Labor power pula ialah kemampuan dari segi mental dan fizikal yang dipraktikkan oleh seseorang di dalam proses pengeluaran tersebut, di mana labor power inilah yang dibeli oleh kapitalis dari golongan pekerja. Sebagai contoh, A membuat kerusi dan menjualnya kepada X, ini bermaksud A menjual labornya kepada X dalam bentuk produk. Tetapi jika A bekerja di kilang kerusi, A tidak menjual labor, kerana dia tidak menjual kerusi kepada sesiapa walaupun dia menghasilkan kerusi tersebut. Sebaliknya A menjual kemahiran dan masanya untuk menghasilkan kerusi kepada kapitalis. Labor power juga merupakan satu komoditi dan itulah satu-satunya yang boleh dijual oleh kelas pekerja kepada kapitalis. Marx melihat kelas pekerja sentiasa dieksploitasi dan ditindas di dalam hubungan dua hala ini.

Marx melihat kelas pekerja sentiasa menghasilkan komoditi yang akan menghasilkan keuntungan (surplus value) kepada kapitalis dan gaji untuk mereka. Malangnya kelas pekerja menggunakan gaji mereka untuk menguatkan dan mengekalkan dominasi kapitalis. Oleh kerana kapitalis memiliki alat pengeluaran dan komoditi, kelas pekerja akan mengembalikan semula gaji mereka kepada kapitalis demi untuk memenuhi keperluan hidup mereka dengan membeli pelbagai komoditi. Lalu kapitalis terus membuncitkan perut mereka dengan gaji pekerja dengan menghasilkan lebih banyak wang. Kitaran ini terus berlaku dan kelas pekerja terus dieksploitasi kerana mereka tidak menikmati keuntungan dari jualan komoditi yang mereka hasilkan, mereka hanya menjual tenaga kerja (labor power) mereka kepada kapitalis dan terus kekal hidup ditindas dan melahirkan generasi-generasi yang akhirnya turut ditindas.

Marx melihat struktur masyarakat terbahagi kepada dua bahagian iaitu base dan superstructure. Base ialah asas yang menggerakkan masyarakat iaitu struktur ekonomi yang melibatkan hubungan di antara kelas pemodal dan kelas pekerja. Manakala superstructure pula ialah institusi-institusi bukan ekonomi seperti negara, politik, perundangan, agama dan undang-undang yang akan dipengaruhi oleh base tadi. Marx percaya kelas kapitalis yang mendominasi ekonomi turut mendominasi pemikiran dan sosio-budaya masyarakat dengan membentuk ideologi menggunakan superstructure untuk melindungi kepentingan mereka dan menumpulkan otak masyarakat. Mereka bukan sahaja mengawal pengeluaran komoditi malah pengeluaran mental. Mereka berkuasa untuk mengawal corak pemikiran masyarakat dan berupaya menjadikan idea dan pemikiran mereka sebagai ideologi yang dominan. Marx mendefinasikan ideologi sebagai tanggapan palsu yang terpisah dari realiti sebenar di mana ianya ditanam ke dalam minda masyarakat untuk melegitimasikan kuasa kelas kapitalis. Masyarakat diberitahu bahawa kepentingan kelas kapitalis juga adalah kepentingan semua golongan. Masyarakat diberitahu bahawa status quo perlu dipertahankan demi menjamin kelangsungan dan keharmonian semua pihak. Ketika zaman feudalisme berkuasa, perkataan seperti kesetiaan, bayangan tuhan, penghormatan dan daulat dilaungkan. Ketika zaman kapitalisme pula, perkataan kebebasan, demokrasi dan persamaan disebut, semuanya untuk menjadikan matlamat dan kepentingan golongan yang berkuasa kelihatan sejagat dan mewakili semua kelas masyarakat dan wajib diperjuangkan oleh semua golongan masyarakat.

Akhirnya pemikiran masyarakat dibentuk oleh kesedaran palsu (false consciousness) tentang realiti sebenar bahawa mereka sedang ditindas. Mereka mengukur kejayaan atau kegagalan mereka dari sudut individu bukannya kerana faktor struktur sosial itu sendiri. Contohnya A gagal kerana dia malas berusaha, B berjaya kerana dia kuat bekerja atau dia datang dari keluarga yang kaya. Mereka meletakkan faktornya pada individu bukannya menyalahkan sistem secara keseluruhannya. Kesedaran tentang betapa pentingnya kerja keras juga telah mengekalkan dominasi golongan yang berkuasa dengan membiarkan golongan pekerja sibuk dengan pekerjaan mereka, sedangkan golongan berkuasa itu pun kebanyakannya mewarisi kekayaan abah mereka (bukannya dengan kerja keras). Kelas pekerja juga cuba untuk mengejar status apabila menerima sedikit ganjaran hasil dari kerja keras mereka dan seterusnya menggalakkan persaingan dan perlumbaan dalam hidup. Wujudnya rasa untuk bersaing menghilangkan solidariti sesama mereka dan menjauhkan mereka dari berfikir tentang kepentingan bersama.

Salah satu kesan yang diterima oleh kelas pekerja akibat dari kapitalisme ialah kesan psikologi yang disebut alienation. Alienation ialah rasa keterasingan, hilang kawalan diri, tidak dapat mengaitkan diri dengan persekitaran kerja dan masyarakat keseluruhannya. Ianya berpunca dari pembahagian kerja yang memaksa kelas pekerja berfungsi seperti mesin atau robot, di mana mereka hanya melakukan kerja tertentu dan pada masa yang sama tidak mampu mengawal dan memiliki kerja yang mereka hasilkan. Mereka tidak bebas membuat keputusan ke atas produk yang mereka hasilkan. Malah di tempat kerja juga mereka dipisahkan dari pekerja-pekerja lain menurut segmen kerja masing-masing. Secara langsung ini melawan fitrah manusia yang mempunyai sifat kreatif dan artistik, sentiasa inginkan pembaharuan dan perlu berhubung serta berkomunikasi. Kesimpulannya, kelas pekerja diasingkan dari komoditi yang dihasilkannya, diasingkan dari proses pengeluaran, diasingkan dari dirinya sendiri dan diasingkan dari masyarakat.

Menurut C. Wright Mills, alienation juga menimbulkan rasa takut kepada kelas pekerja. Oleh kerana kapitalis menguasai alat pengeluaran, kelas pekerja sentiasa berasa curiga dan bimbang dengan masa depan mereka. Ketakutan mereka terhadap kapitalis membuatkan mereka mengalihkan ketakutan itu kepada mereka yang tidak berkuasa, iaitu rakan pekerja sendiri. Ini menjawab persoalan mengapa kebanyakan pekerja kulit putih menganggap musuh mereka bukan kelas atasan tetapi pekerja bukan kulit putih dan wanita yang akan bersaing untuk mengambil jawatan mereka. Dan kepada pekerja bukan berkulit putih dan wanita pula menganggap lelaki kulit putih sebagai musuh mereka kerana menghalang kenaikan pangkat mereka dengan mengekalkan kawalan mereka ke atas kerja. Sikap prejudis dan saling mencurigai ini menghalang mereka untuk bersatu dan mengenal pasti belenggu sebenar yang mengikat mereka. Hanya apabila kelas pekerja mencapai class consciousness, apabila mereka sedar tentang hak dan nasib yang menimpa mereka, dan apabila kapitalisme berada di ambang kejatuhan, barulah revolusi proletariat dapat dilancarkan. Era komunis adalah era utopia, di mana kelas sosial akan dimusnahkan, hak kedaulatan akan diserahkan sepenuhnya kepada rakyat dan demokrasi tulen terlaksana dan seterusnya melengkapkan putaran sejarah, kembali kepada masyarakat tanpa kelas dan penindasan, seperti kata Marx, ”from each according to his ability, to each according to his needs.”

Aku tidak bertujuan mengagungkan Karl Marx. Malah aku tidak bersetuju dengan idea revolusi yang bersifat matlamat menghalalkan cara. Pemikiran Marx sendiri terdapat kecacatan dan lompong di sana sini. Beberapa idea yang dikemukakannya dari segi teori sejarah, sosiologi, ekonomi dan politik telah dikritik kerana analisisnya yang longgar dan kurang teliti menjadikan beberapa ramalannya gagal. Tetapi perlu diakui Marx telah membina kerangka asas yang kukuh dalam kritiknya ke atas sistem ekonomi kapitalis yang merosakkan sistem masyarakat dan sifat manusiawi. Ideanya tentang masyarakat tertindas bagi aku sentiasa relevan untuk di kaji. Di mana sahaja ada penindasan dan kezaliman, pasti kita boleh mengaitkannya dengan teori Marx, tidak terkecuali di Malaysia. Marx adalah intelektual terawal yang sedar bahawa kuasa ekonomi dan politik mempunyai kaitan yang erat dan kedua-duanya boleh mempengaruhi pemikiran dan budaya masyarakat dan dia akan sentiasa dikenang sebagai intelektual massa yang revolusioner dan radikal.









Friday, November 16, 2012

Membunuh Jiwa Sambil Tersenyum

Budaya ilmu antara lain bermaksud kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung, dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Budaya ilmu juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun syura. Dalam budaya ini ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat.
-(Prof. Dr. Wan Mohd Noor Wan Daud, Penjelasan Budaya Ilmu)-


Berdasarkan penjelasan di atas, aku amat yakin bahawa negara ini sedang berada dalam situasi yang berlawanan. Di Malaysia, segalanya kontra dengan apa yang ditulis oleh Prof. Dr. Wan Mohd Noor. Aku amat bersetuju dengan kata-kata Hishamuddin Rais yang sering beliau sebut, bahawa dosa besar UMNO bukanlah rasuah dan penyelewengan, tetapi dosa besar mereka ialah membodohkan orang Melayu. Sinis tetapi sukar untuk dinafikan kebenarannya. Aku bukanlah skeptis dengan UMNO dan menuduh mereka bertanggungjawab sepenuhnya di dalam projek pembodohan rakyat Malaysia, malah kadang-kadang pihak pembangkang pun bertindak dan mengeluarkan pendapat/ kenyataan yang kalau tidak lebih pun, setara kebodohannya dengan UMNO (di sini kelihatan projek pembodohan tersebut amat efektif  kerana pembangkang pun menerima kesannya). Cuma sudah tentulah tindakan atau kenyataan bodoh yang dijalan dan dikeluarkan oleh UMNO (baca: kerajaan) secara langsung berkemungkinan besar menjadi dasar atau polisi awam yang akan diwahyukan terus kepada rakyat. Maksud aku disini, berlaku projek pembodohan terancang dalam skala yang besar. Projek ini melibatkan cabang agama, pendidikan, media massa, institusi sosial dan lain-lain.

Lalu apa kaitannya projek pembodohan dengan budaya ilmu? Nah, ini tidak sukar dihubung jalinkan. Bodoh sudah tentu lawannya pandai. Masyarakat yang bodoh dan tidak sedar atau tidak peduli akan kebodohan mereka akan terus tersesat dalam lingkaran pembodohan. Sekiranya projek pembodohan ini terus berjalan dan tidak ditentang, dan pencerahan akal tidak dipancarkan ke minda masyarakat, mana mungkin boleh kita mewujudkan budaya ilmu. Oleh itu, perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah menanam kesedaran di dalam diri kita bahawa kita ini masyarakat yang bodoh dan keadaan bodoh ini bukanlah terjadi dengan spontan dan semulajadi melainkan akibat kejahilan kita sendiri dan terdapat kuasa yang cuba memaksakan elemen-elemen bodoh ke dalam otak kita.

Projek pembodohan ini berjalan melalui beberapa cara. Media massa adalah cara yang paling popular dan berkesan. Melalui media massa, projek pembodohan dan penyerapan nilai hedonisme berjalan serentak. Kedua-duanya saling melengkapi dan memerlukan di antara satu dengan yang lain. Saban hari, kita dibius dan dipukau dengan kemilau dan simbol-simbol hedonisme yang menyerang kita dari setiap penjuru rumah kita; majalah, akhbar, televisyen, novel, filem, internet, radio dan lain-lain. Semuanya membawa imej-imej syurga dan kebahagiaan palsu. Syurga dan kebahagiaan yang maknanya diberikan oleh mereka dan kita sebagai manusia harus berusaha meraihnya demi mengecap kenikmatan hidup (kononnya). Mereka menentukan apa yang ideal untuk kita, apa makna keluarga yang bahagia, bagaimana untuk menjadi wanita cantik idaman lelaki, bagaimana untuk menjadi lelaki maskulin, apa kereta yang sesuai untuk keluarga kita dan sebagainya. Ini yang disebut oleh Theodor Adorno and Max Horkheimer sebagai ‘culture industry’.

‘Culture industry’ atau industri budaya ialah keadaan dimana budaya sesebuah masyarakat telah menjadi komoditi ekonomi, dalam bahasa mudahnya budaya telah menjadi peluang perniagaan. Budaya kini dipasarkan dengan dalam pelbagai bentuk dan cara. Hukum asas dalam sistem kapitalis ialah memaksimakan keuntungan. Oleh itu soal halal atau haram, betul atau salah, patut atau tidak, soal etika dan moral, ini semua tidak wujud (dan kalau wujud pun tidak menjadi keutamaan) di dalam pertimbangan para kapitalis. Mereka hanya melihat peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan menjual gaya hidup, status dan prestij kepada masyarakat dalam bentuk produk-produk budaya. Produk-produk budaya ini direka, diperkenal, diiklan dalam bentuk budaya popular demi untuk menarik nafsu masyarakat.

Strategi pemasaran dan pengiklanan memainkan peranan penting dengan mempromosikan produk-produk budaya ini sebagai satu keperluan, satu gaya hidup yang sihat, yang elegan dan moden, bergantung kepada latar sosial masyarakat tersebut. Di sinilah pentingnya unsur hiburan dimasukkan sebagai pelaris dan umpan kepada masyarakat. Media massa yang mengusung bersamanya budaya popular perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan kompleks yang mencakupi struktur, objektif, nilai, mesej dan kesan yang dibawanya kepada masyarakat. Ia bukan hanya medium hiburan dan santai, tetapi juga turut membawa simbol hedonisme, konsumerisme dan propaganda. Penyanyi, pelakon dan selebriti popular umpamanya adalah antara agen-agen utama dalam usaha mempengaruhi minda masyarakat. Imej dan gaya hidup mereka ini menjadi pendorong untuk membentuk persepsi tentang kecantikan, kebahagiaan dan sebagainya. Ini seterusnya mewujudkan produk-produk budaya yang dicipta oleh para peniaga.

Kata para hedonis ini, untuk apa melarikan diri dari keseronokon dan hiburan, bukankah itu matlamat hidup kita? Islam pun tidak melarang kita berhibur, tambah sebahagian mereka yang mungkin selalu menonton kuliah Ustaz Azhar Idrus. Mereka tidak sedar bahawa hiburan dan keseronokan itu sendiri pun bukan ditakrif maknanya oleh mereka. Mereka tidak pernah bertanya kepada diri mereka sendiri, bermonolog dengan jujur apa sebenarnya bahagia dan seronok yang mereka mahukan. Mereka mungkin lupa atau tidak tahu Rasulullah sering berdoa, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat”. Sedangkan ilmu yang tidak bermanfaat pun Rasulullah mohon dijauhkan, apatah lagi hiburan melampau dan gaya hidup yang membodohkan masyarakat. Untuk mereka yang mungkin tidak selesa dengan hujah agama kerana takut digelar tidak liberal, hedonisme ini juga merosakkan fungsi kemanusiaan, sifat manusiawi untuk mereka menjalani hidup ini sebagai warga yang baik telah dirosakkan.

Inilah segmen pembodohan yang paling berjaya memandulkan otak masyarakat sehingga kelihatan kini apa sahaja perlu disuntik elemen hiburan. Kebergantungan masyarakat kepada hiburan melampau melahirkan minda yang pasif, beku, tidak menghargai ilmu dan mudah untuk dimanipulasikan. Harold Laswell, seorang ahli komunikasi massa dari AS menjelaskan bahawa kuasa propaganda bukanlah bergantung sepenuhnya kepada isi atau bentuk propaganda yang disampaikan tetapi dibantu oleh keadaan minda masyarakat yang lemah dan mudah dipengaruhi. Menurut Laswell, untuk mewujudkan propaganda yang berkesan simbol-simbol mesti dicipta dan masyarakat haruslah dilatih untuk menghubungkan emosi-emosi tertentu dengan simbol-simbol ini. Ini akan mewujudkan ‘master’ atau ‘collective symbols’ yang mempunyai hubungan emosi yang kuat dengan masyarakat dan mampu menggerakkan masyarakat untuk bertindak mengikut kemahuan propagandis.

Kesannya, minda dan emosi kita terpasung dengan tema-tema dan simbol-simbol yang menyempitkan perspektif kita dalam menyikapi dunia ini. Sebarang perbincangan yang meliputi topik sosial, ekonomi dan politik hanya berlegar di permukaan tanpa menerobos ke isi permasalahan dan selalunya perbincangan itu pun hanya untuk memancing emosi bukannya menilai hujah dan fakta. Inilah mungkin yang dimaksudkan sebagai ‘hegemony’ oleh Antonio Gramsci apabila cuba untuk menerangkan mengapa pemerintah yang zalim tetap menjadi pilihan masyarakat walaupun ianya nyata menindas dan memeras mereka. Menurut Gramsci, selain dari cuba untuk mengekang masyarakat dari segi fizikal dengan menggunakan kuasa tentera dan polis, pemerintah juga mengurung minda masyarakat dengan menggunakan ‘hegemony’; satu usaha untuk membentuk horizon pemikiran masyarakat ke dalam skop ideologi tertentu, mengehadkan dan memfokuskan pemikiran mereka ke dalam blok yang sempit, di mana kerangka idea dan solusinya sudah disediakan oleh kerajaan. Perkara yang sama juga disebutkan oleh Louis Althusser sebagai ‘Ideological State Apparatuses’ (ISAs), menggunakan institusi-institusi sosial untuk memprogramkan minda masyarakat.

Projek ini berjaya, apabila idea, perspektif dan solusi tersebut diterima oleh masyarakat bukan sebagai satu paksaan ke atas mereka, tetapi sesuatu yang perlu, wajib diterima, sesuatu yang normal dan semulajadi dan mereka yang menolaknya mungkin dilabel pengkhianat, komunis, eksrimis, kiri, kuno dan pelbagai label lain. Minda yang sudah diprogramkan ini akhirnya mudah disuntik propaganda. Hegemoni mempersiapkan minda untuk diprogramkan, propaganda pula adalah program-programnya. Kita pula dengan rela hati menerimanya dengan lapang dada rasa bangga dan teruja.



Tuesday, June 5, 2012

Manusia Sesumpah


Slogan, motto, cogan kata, ideologi atau apa sahaja perkataan yang seerti dengannya, walau mulia atau indah mana sekalipun maksud dan tujuannya, tetapi jika gagal diterjemah dan diaplikasikan dalam realiti hidup manusia, tidak akan membawa erti apa-apa.

James Miles di dalam bukunya The Legacy of Tiananmen: China in Disarray, menulis ramai pegawai-pegawai atasan Parti Komunis China dan ahli-ahli Politburo (badan penggubal dasar tertinggi di dalam parti komunis), telah menyalahgunakan kedudukan dan pengaruh mereka untuk mengumpul kekayaan peribadi ketika berlakunya reformasi ekonomi di China. Jawatan-jawatan tinggi dalam syarikat-syarikat dipegang oleh kaum kerabat golongan elit. Malah nepotisme dan kronisme sudah mengakar kuat dalam politik China dan usaha membenteras rasuah oleh pihak kerajaan sekadar melepaskan batuk di tangga. Ini antara isu utama yang menyebabkan protes pelajar yang terkenal di Dataran Tiananmen pada tahun 1989. Begitu juga dengan golongan apparatchik di Soviet Union yang mendapat kedudukan istimewa dan membolot aset negara.

Aku sebutkan situasi di China kerana ia merupakan negara yang mengamalkan ideologi komunis, ideologi yang meletakkan matlamat utamanya adalah pengagihan kekayaan yang sama (sama rata, sama rasa) untuk rakyat dan menghapuskan ekploitasi sesama manusia . Ideologi idaman marhaen. Ideologi yang asalnya ingin membuang sistem kapitalis dan menghapuskan pertentangan dan jurang kelas antara manusia kini mencipta sistem feudal dan kelas baru dalam masyarakat. Apa yang aku maksudkan di sini ialah dari segi pendekatan pemimpin dan kepemimpinan mereka,bukan dasar politik ideologi itu sendiri, kerana pemimpin atau manusia yang mencorak dan memberi warna sebenar kepada sesebuah fahaman/ ideologi/ idea. Jika Karl Marx dan Friedrich Engels masih hidup, mungkin mereka akan tertunduk dan menggeleng kepala melihat betapa ideologi mereka semakin rosak oleh putar belit pemimpin yang bobrok.

Idea yang murni dan bersih belum tentu dapat dipraktikkan seandainya manusia yang sepatutnya mendokong idea tersebut gagal merealisasikan teori-teorinya atau mempunyai kefahaman yang dangkal tentang objektif dan matlamat idea tersebut. Yang lebih mengecewakan tentulah kegagalan manusia mengawal nafsunya dengan mengambil kesempatan dari idea tersebut untuk kepentingan diri dan kelompoknya. Perkara ini berlaku kepada semua pihak hatta kepada  mereka yang mengangkat dan melaungkan slogan Islam, reformasi, pencerahan dan lain-lain.

Aku selalu terbayang apa yang akan terjadi jika tampuk kuasa negara bertukar tangan. Walaupun sejujurnya aku mahu ia berlaku. Cuma kadang-kadang bermain di fikiran aku, adakah pihak yang mendapat kuasa benar-benar prihatin akan kebajikan rakyat seperti yang mereka laungkan sebelum ini? Jika diberi pilihan, antara wang dan hak rakyat, apakah keutamaan mereka. Bolehkah kita pasti yang kita golongan marhaen ini menjadi keutamaan dalam setiap tindakan mereka. Aku teringatkan kata Che Guevara, "Cruel leaders are replaced only to have new leaders turn cruel”. Ya, aku sedikit skeptik dengan manusia politik.

Wednesday, January 18, 2012

Kisah Ali dan Zahra



Sehingga artikel ini ditaip, Children of Heaven masih lagi filem numero uno di dalam carta filem terbaik aku. Sukar untuk aku senaraikan filem-filem yang menghuni tangga kedua, ketiga dan seterusnya di dalam carta ini. Tetapi, tanpa ragu dan was-was, filem Iran yang satu ini tetap kekal bertakhta di puncak carta tanpa boleh diganggu gugat oleh mana-mana filem. Filem arahan Majid Majidi ini telah memenangi anugerah di Montreal World Film Festival, Singapore International Film Festival, International Children's Film Festival dan pernah dicalonkan di Academy Award tahun 1998 untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik tetapi tewas kepada filem Itali, Life is Beautiful.

Naratif filem ini cukup mudah. Kisah dua kanak-kanak, Ali dan adiknya, Zahra yang terpaksa berkongsi sepasang kasut untuk ke sekolah setelah Ali secara tidak sengaja menyebabkan kasut Zahra hilang. Pelbagai sub peristiwa muncul dari situasi ini. Bagi aku, filem ini secara umumnya membawa nilai kekeluargaan. Plot dan mesejnya sangat mudah tetapi berkesan untuk menyentuh jiwa dan akal kita. Mesejnya dihantar kepada kita secara terang tanpa perlu berselindung dan sebagai manusia yang malas untuk membaca imej atau mesej tersirat dan berlapis di dalam sesebuah filem, aku merasakan filem ini telah berjaya menyampaikan mesejnya dengan sangat berkesan (walaupun bukan semua dan bagi aku tetap ada mesej dan simbol tersirat di dalam filem ini). Itu yang membuatkan filem ini sangat tinggi kualitinya kerana persoalan dan mesejnya yang mudah tetapi dibungkus dalam persembahan yang ekstravaganza.

Aku suka kepada filem yang cuba membawa mesej dan pesan mulia tetapi selalunya filem seperti ini sama ada lesu akibat terlalu cuba untuk menjadi khutbah (yang khatibnya terlampau bersemangat tetapi jemaahnya bosan) atau pemahaman si pengarah terhadap mesej itu sendiri sedikit berbeza/kontra dengan pemahaman kebanyakan khalayak penonton lalu mesej itu tidak dapat dihadam oleh mereka dan kadangkala mengundang rasa keliru dan kontroversi. Tetapi ini tidak berlaku di dalam filem ini. Mesej dan persoalannya jelas dan universal. Asal sahaja kita ialah makhluk bernama manusia maka secara langsung filem ini boleh dikaitkan dengan diri kita. Tidak kira apa agama, bangsa, peringkat umur dan negara mana kita berpijak, filem ini memberikan sesuatu kepada kita semua untuk direnungkan. Kita semua dapat merasa girang duka dan jerih payah manusia-manusia di dalamnya.

Pesanan dan mesej tentang moral, integriti, tanggungjawab, toleransi, hormat-menghormati dan kasih sayang saling mengisi 85 minit plot filem ini. Antara adegan yang menarik ialah apabila si bapa tidak mahu menggunakan gula batu yang dimiliki oleh masjid untuk dimasukkan ke dalam tehnya walhal kita boleh nampak betapa banyaknya gula itu dan apalah sangat jika sekadar untuk digunakan untuk secawan teh. Ia telah diberikan kepada kita sebagai amanah, kata si bapa. Itulah integriti, bukan sedikit atau banyak, gula batu atau projek mega ternakan lembu yang menjadi ukuran tetapi prinsip untuk tidak mengambil sesuatu yang bukan hak kita. Si bapa ajar itu kepada Zahra ketika anak kecil itu bertanya kenapa tidak digunakan sahaja gula tersebut.

Malah jika anda sudah bergelar ibu bapa, aku sarankan agar anda menonton filem ini bersama anak-anak. Biar anak-anak anda faham watak dan perwatakan Ali dan Zahra. Biar mereka kagum dengan kedua-duanya. Jangan cemarkan jiwa dan minda anak-anak anda yang naif (terutama yang masih kanak-kanak) dengan unsur-unsur ganas, khurafat, tahyul, fantasi melampau dan imej hantu bodoh. Ini filem yang bijak, dihasilkan oleh pengarah yang bijak, maka raikanlah kebijaksanaan ini dengan menontonnya.

"In this film from Iran, I found a sweetness and innocence that shames the land of Mutant Turtles, Power Rangers and violent video games. Why do we teach our kids to see through things, before they even learn to see them?" -Roger Ebert