Thursday, May 1, 2014

Harapan, Idea dan Pemberontakan

Oh! pleasant exercise of hope and joy!
For mighty were the auxiliars which then stood
Upon our side, we who were strong in love!
Bliss was it in that dawn to be alive,
But to be young was very heaven!
-The Prelude (Book Tenth)-

Semuanya bermula dengan harapan, idea dan pemberontakan. Demikianlah intisari hidup manusia, dan di tangan anak muda, ketiga-tiga intisari tersebut menjadi lukisan zaman yang agung. Demikian juga latar masa puisi di atas, yang dilukiskan William Wordsworth, salah seorang dari tiga pelopor Romantisisme di Britain (dua yang lain ialah Samuel Taylor Coleridge dan William Blake), yakni suasana awal ketika Revolusi Perancis meletus. The Prelude adalah puisi autobiografi yang merakamkan liku perjalanan hidup, atau lebih tepat perjalanan pemikiran Wordsworth, diterbitkan tiga bulan selepas kematiannya. Kumpulan puisi kolaborasi Wordsworth dan Coleridge, berjudul Lyrical Ballads yang diterbitkan pada tahun 1798 - dengan Wordsworth dan Coleridge masing-masing berusia 28 dan 26 tahun ketika itu - tercatat dalam sejarah sebagai penanda bermulanya era Romantis di England, sebuah adikarya yang boleh disebut revolusioner dan annus mirabilis dalam sejarah kesusasteraan Inggeris.

Semuanya bermula dengan harapan, idea dan pemberontakan. Secara ontologinya, walaupun pemberontakan sinonim dengan anak muda, ketiga-tiganya adalah sifat mandatori manusia. Mungkin di tangan anak muda, dikuatkan dengan bunga-bunga cinta, limpahan imaginasi dan kejujuran dalam memandang dunia; harapan, idea dan pemberontakan boleh menjadi mukjizat menentang kezaliman, atau menzahirkan kekacauan jiwa mereka ketika mendepani zaman serba bobrok dan hodoh. Seperti kata Augustine of Hippo: 'Harapan memiliki dua anak gadis jelita. Nama mereka ialah kemarahan dan keberanian; kemarahan terhadap situasi yang ada, dan keberanian untuk memastikan situasi tersebut tidak kekal lama.'

Bukankah sejarah pertama manusia - bermula dari tujuan penciptaan Adam dan Hawa - kemudian pertanyaan malaikat kepada Allah, keingkaran iblis dan keinginan untuk makan buah terlarang - sarat dengan nuansa harapan, idea dan pemberontakan? Albert Camus menulis dalam The Rebel bahawa pemberontak hanya wujud apabila mereka mengiktiraf kebenaran tertentu (harapan), apabila mereka sedar pada waktu tertentu mereka berada di posisi yang benar untuk memberontak. Walapun seorang absurdis, Camus yakin pemberontakan adalah usaha untuk mendukung atau mengangkat nilai-nilai tertentu (idea) dan perlawanan terhadap hak yang dilucutkan atau sempadan yang telah dilanggar.

Harapan, idea dan pemberontakan di tangan anak muda bukan sekadar perkataan yang kering dan antik dibakar panas terik sejarah. Bukan juga retorik manis yang menjadi zikir puak oportunis dan politikus mabuk kuasa untuk meraih perhatian masyarakat. Bagi anak muda, ketiga-tiganya adalah intisari yang sentiasa diperbaharui, pemaknaannya diteroka dan pengisiannya disapu warna-warni semangat zaman. Dan Wordsworth adalah antara manusia yang membedah intisari tersebut dengan sangat peribadi. Dia mungkin bukan idola anak muda (pseudo) sosialis yang pantas mengacungkan tinju ke langit tanda melawan kapitalisme global sambil menghabiskan wang PTPTN di gedung gajet terkemuka di ibu kota. Tapi dia anak muda jujur yang bersahabat dengan alam, kehidupan dan kemanusiaan. Penderitaan dan kehidupan manusia kasta bawahan dan marjinal sentiasa menarik simpatinya lantas dihamburkan melalui puisinya secara tekal, meninggalkan tema puisi sebelum ini yang mengangkat kisah golongan aristokrat dan elit; tema yang disambung semula oleh drama Melayu kontemporari.

Anak kedua dari lima beradik, ibu Wordsworth pernah menzahirkan rasa cemas tentang masa depannya berbanding adik-beradiknya yang lain - perasaan bercampur baur antara gembira dan bimbang. Gembira kerana ibunya yakin dia bakal menjadi manusia hebat. Bimbang kerana ibunya tidak pasti sama ada kehebatannya itu digunakan untuk kebaikan atau kejahatan. Kebimbangan ibunya berasas, kerana Wordsworth semasa kanak-kanak terkenal perengus, degil dan melawan - karakter berkualiti untuk mewakili sisi baik dan jahat.

Sewaktu menuntut di Cambridge, dia bersama komradnya, Robert Jones merancang untuk menziarahi Perancis dan Switzerland ketika musim cuti panjang. Naluri anak muda seperti Wordsworth - ketika itu berusia 20 tahun - kelihatan sentiasa mahu berjalan, mengembara dan meneroka. Wordsworth sejak muda sangat mencintai alam dan keindahan lanskap. Dan kecintaan ini dihamparkan ke dalam puisinya, di mana sudah menjadi ijmak ahli akademik dan ahli teori sastera, puisi Wordsworth memang sarat dengan unsur pantheisme. Apresiasi terhadap alam ini kemudiannya secara langsung menjadi tema dasar Romantisisme, mungkin dipengaruhi sedikit sebanyak oleh Discourse on Inequality, karya Jean-Jacques Rousseau, filosofis sama yang mempengaruhi Revolusi Perancis dengan The Social Contract. Melalui Discourse on Inequality, Rousseau melancarkan kritik awal terhadap modeniti, melihat perkembangan teknologi - di samping memberi manfaat - bakal membawa malapetaka kepada umat manusia. Rousseau menggambarkan sebuah dunia utopia ala primitif - sebuah state of nature - di mana manusia hidup santai, damai, dan berharmoni dengan alam tanpa campur tangan teknologi dan konvensi sosial.

Meletusnya Revolusi Perancis, walaupun memberi impak yang besar di seluruh Eropah termasuk England, tidak pernah memancing Wordsworth untuk ke Perancis, ia sekadar peristiwa yang diamati secara sederhana. Motif utamanya ke Perancis adalah untuk menikmati keindahan Banjaran Alps. Atau melarikan diri dari timbunan buku-buku akademik di Cambridge dan kelesuan rutin hidup. Tidak lebih dari itu. Sampai di sini, kita kesan jalur cerita Wordsworth hampir sama dengan Che Guevara ketika berkelana merentas Amerika Selatan bersama Alberto Granado. Che yang letih dengan buku perubatan, hospital dan peperiksaan ingin menghirup udara baru, melihat sendiri benua  yang dicintainya. Kembara dua "anak muda biasa, tapi pemimpi dan idealis" ini mengajar mereka makna hidup, melihat kemanusiaan di Amerika Selatan yang koyak dicarik-carik oleh kemiskinan, penindasan dan neo-imperialisme, seterusnya mengubah perspektif mereka tentang kehidupan. Ya, kembara Wordsworth juga mengubah perspektifnya tentang kehidupan. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Seperti kata penyair Chile, Gonzalo Rojaz, 'Rumah sejati seorang penyair dan setiap dari kita adalah masa kecil dan masa muda sebab pada masa itu mereka bebas, mereka spontan. Hidup, aturan-aturan dan petunjuk akan mengubah keadaan.'

13 Julai 1790, Wordsworth dan Jonas berlepas dari pelabuhan Dover, melintasi Selat Inggeris dan terus menjejakkan kaki di Perancis, atau lebih tepat di pekan Calais. Saat itu Revolusi Perancis masih berusia setahun jagung. Beruntung sungguh Wordsworth, kebetulan Calais (malah seluruh Perancis) ketika itu meriah dengan persediaan untuk menyambut Fête de la Fédération, ulang tahun pertama Penyerbuan Penjara Bastille, yang menjadi simbol tirani monarki Perancis. Penduduk Calais meraikan ulangtahun revolusi seperti disebutkan Emma Goldman kemudiannya,"A revolution without dancing is not a revolution worth having". Mereka bersuka ria, menari sehingga larut malam dan lorong serta setiap rumah di Calais dihias dengan kalungan bunga.

Wordsworth dan Jones menikmati sambutan ulang tahun revolusi keesokan harinya di Arras, pekan kelahiran Robespierre. Sama seperti di Calais, ulang tahun diraikan dengan penuh semangat solidariti dan emansipasi. Sebagai anak muda, beliau terkesan dan berkongsi perasaan yang sama, perasaan ghairah dan optimis dengan keupayaan revolusi untuk mendirikan sebuah tatanan sosial baru. Pemberontakan telah termakbul, harapan setinggi gunung dan idea-idea tentang kebebasan, persamaan, dan persaudaraan meniti di setiap mulut warga Perancis.

Setahun kemudian, atas nawaitu untuk menguasai bahasa Perancis, Wadsworth kembali menjenguk Perancis, tapi kali ini dia singgah di Paris. Kunjungan kedua ini sedikit sebanyak mengubah perspektif Wadsworth terhadap Revolusi Perancis. Paris membuka mata beliau tentang revolusi, mempertentangkan kepada beliau suasana yang berbeza seperti dilihatnya setahun lalu - suasana meriah penuh silaturrahim dengan festival, pesta dan bunga di Calais dan Arras. Di Paris beliau menyaksikan kesatuan rakyat berpecah menjadi fraksi, gilotin memenggal manusia saban hari, September Massacres dan Reign of Terror meligitimasikan pembantaian manusia atas nama revolusi.

Hati Wadsworth rusuh, bercampur baur antara kepercayaan kepada idealisme revolusi dengan kecewa akibat natijah revolusi, antara sisi idealistik dengan realiti sosio-politikal, antara gagasan kemanusiaan dengan keinginan manusia merebut punca-punca kuasa. Dia tertanya-tanya bagaimana dogmatisme agama yang disingkirkan dan digantikan dengan Cult of Reason dan kemudiannya Cult of the Supreme Being menonjolkan lebih banyak sisi kebinatangan manusia. Bagaimana nalar yang sepatutnya menghapuskan fanatisme, dogmatisme dan kekejaman sebaliknya memunculkan lebih ramai manusia fanatik, dogmatik dan kejam.

Wordsworth mungkin terlalu muda (dan idealis) untuk memahami bahawa revolusi (malah dunia) tidak hanya berkisarkan ruang ideal (ideologi dan sosial) tapi juga material (politik dan ekonomi). Kata Karl Marx, revolusi adalah lokomotif sejarah. Bolehkah kita menerima tesis Marx dalam The Poverty of  Philosophy bahawa sejarah digerakkan oleh sisi buruk manusia, lantas menggunakan absolutisme sejarah untuk melegitimasikan segala tindakan? Bagi manusia serba romantis seperti Wordsworth, revolusi adalah lokomotif yang menghantarnya ke sempadan di antara realiti dunia dan pencarian makna diri. Dan dia memilih untuk meneroka imaginasi, emosi dan ekstasi diri dan menghubungkannya dengan alam. Dia meninggalkan semangat Enlightenment yang rasionalistik dan mekanistik menuju Romantisisme yang emosional dan organik. Ternyata semuanya bermula dengan harapan, idea dan pemberontakan. Tapi berakhir dengan kezaliman, pembunuhan dan dendam yang tidak berkesudahan. Lalu Wordsworth membuat keputusan mencipta syurga dalam puisinya.

For I have learned
To look on nature, not as in the hour
Of thoughtless youth, but hearing oftentimes
The still, sad music of humanity.
-Lines Composed a Few Miles Above Tintern Abbey-

p/s: Kekacauan Revolusi Perancis tidak terus mengubah idealisme revolusioner Wordsworth, tapi tidak dinafikan ia menjadi titik tolak kepada penilaiannya yang lebih matang terhadap revolusi. Setelah pulang dari lawatan keduanya ke Perancis dia masih percaya dengan perjuangan revolusi malah bersahabat dengan tokoh radikal England seperti William Goldwin dan John Thelwall. Perspektifnya mula berubah akibat beberapa turutan peristiwa yang berlaku semasa lawatan kedua tersebut dan semasa di England, sehingga terhasilnya karya revolusioner Lyrical Ballads.

Wednesday, April 16, 2014

Marx Sudah Kembali

Oleh John Cassidy

Seratus lima puluh tahun yang lalu, dia mengunjungi Muzium British untuk menganalisa masalah kapitalisme dan kebaikan komunisme. Dia salah tentang komunisme. Adakah dia benar tentang kapitalisme?

Awal musim panas ini, saya menikmati hujung minggu di rumah percutian milik seorang rakan yang terletak di Long Island.  Rakan saya ialah seorang Inggeris yang pintar dan analitikal, di mana kerjayanya telah membawanya (melalui khidmatnya sebagai pengurusan tertinggi Perkhidmatan Awam British dan sebuah firma kewangan di London) untuk berkhidmat di sebuah bank pelaburan yang hebat di Wall Street. Di sana beliau telah menghabiskan beberapa tahun terakhirnya menguruskan isu saham dan membantu firmanya mewujudkan pasaran paling kukuh dalam sejarah. Sambil berenang di kolam beliau, kami membincangkan isu ekonomi dan berspekulasi tentang berapa lama ledakan kewangan semasa akan bertahan.

Saya terkejut apabila beliau menyebut nama Karl Marx. "Semakin lama saya menghabiskan masa di Wall Street, semakin yakin saya bahawa Marx adalah betul," katanya.

Saya menyangka beliau bergurau.

"Terdapat Hadiah Nobel menunggu mana-mana ahli ekonomi yang membangkitkan Marx dan meletakkan semua analisisnya dalam model yang masuk akal," katanya lagi, agak serius. "Saya benar-benar yakin bahawa pendekatan Marx adalah cara terbaik untuk melihat kapitalisme."

Saya tidak menyembunyikan rasa terkejut saya. Kami berdua belajar ekonomi semasa awal tahun 80-an di Oxford, di mana kebanyakan guru-guru kami bersetuju dengan Keynes bahawa teori-teori ekonomi Marx adalah "kerumitan yang mengarut" dan Komunisme adalah "satu penghinaan kepada kebijaksanaan kita." Sikap yang lazim di kalangan pelajar pintar generasi kami pada waktu itu ialah bahawa hujah-hujah Marx hanya sesuai untuk pensyarah politeknik dan ahli-ahli Parti Buruh yang bersemangat tinggi (yang kebanyakannya sekarang beralih mendokong faham Blairites).

Sejak itu, tahun demi tahun, reputasi Marx semakin jatuh: Moscow's Institute Of Marxism-Leninism hilang; Red Army China mula menceburkan diri ke dalam perniagaan pembuatan; malah Fidel Castro sedang sibuk mencari pelabur luar. Namun begitu, saya memutuskan bahawa jika rakan saya - dengan semua pengalamannya tentang kewangan global - menganggap Marx mempunyai sesuatu yang berfaedah untuk dikatakan, mungkin sudah sampai waktunya untuk saya meneliti semula apa yang dikatakannya.

Mengumpul bahan nyata mudah. Tidak ada sesiapa membaca Marx hari ini, jadi kedai-kedai buku terpakai melimpah dengan terjemahan berkulat daripada The Communist Manifesto dan Das Kapital. Karya-karya awal Marx sukar ditemui, tetapi saya mengambil sejumlah besar karya-karya terpilih yang disunting semula oleh ahli akademik Britain, David McLellan, dan ia mengandungi semua; dari surat Marx yang ditulis ketika masih menuntut di University of Berlin pada tahun 1837 sehinggalah surat-menyurat dengan rakan-rakan-sosialis ketika dia tinggal di Haverstock Hill, di London.

Saya memanfaatkan buku-buku tersebut semasa cuti bulan Ogos dan menikmatinya di pantai - karya seperti Theories of Surplus Value, The German Ideology dan The Eighteenth Brumaire of Louis Bonaparte.

Lebih daripada lima puluh tahun yang lalu, Edmund Wilson berkata banyak prosa Marx "menghipnosis pembaca dengan paradoks dan akhirnya membuatkan mereka terlena". Dekad yang berlalu tidak menjadikannya lebih mudah. Marx terlalu bertele-tele (malah Engels mengeluh bahawa bab yang ditulis Marx terlalu panjang) dan maknanya sering disengajakan kabur dan samar-samar. Bentuk hujah kegemarannya adalah, seperti yang ditulisnya sendiri, "bercanda dengan bentuk ekspresi yang dikhususkan kepada Hegel," dan banyak pendedahannya boleh dikatakan hilang makna.

(Sebelum tidur saya cuba menafsirkan ayat ini, dipetik dari Surplus Value:  Penentu karakter sosial  dari alat pengeluaran (means of production) dalam pengeluaran kapitalis - dalam mengungkapkan suatu hubungan pengeluaran tertentu - telah tumbuh bersama-sama dengan/ dan dalam modus pemikiran masyarakat borjuis memang tidak terlepas dari, keberadaan material alat pengeluaran tersebut, bahawa ketentuan yang sama - ketentuan kategoris - dapat diandaikan walaupun hubungan tersebut bertentangan dengannya).

Ini tidak beerti Marx tidak boleh menulis. Ada ketikanya dia boleh mengarang kalimat deklaratif yang mudah, dalam erti kata Wilson, "padat dengan kuasa yang sarat dengan bahan letupan yang tinggi." Sebahagian daripada Manifesto dan The Eighteenth Brumaire ditulis dengan cemerlang, dan penulisan jurnalistik Marx untuk Charles Dana di New York Tribune ternyata mudah dibaca. Tapi selalunya Marx menulis seolah-olah kemudahan dan kejelasan penulisan adalah perangkap yang diletakkan oleh borjuis untuk penulis yang tidak dicurigai.

Walaupun begitu, saya secara beransur-ansur mula memahami apa yang diperkatakan oleh rakan saya. Dalam banyak hal, legasi Marx telah dikaburi oleh kegagalan Komunisme, yang sebenarnya tidak pernah menjadi keutamaannya. Malah, beliau hanya menyentuh sedikit  tentang bagaimana masyarakat sosialis harus beroperasi, dan apa yang ditulisnya tentang terhapusnya kerajaan dan sebagainya, tidak begitu banyak membantu - sesuatu yang disedari oleh Lenin dan para komradnya setelah berjaya merampas tampuk kuasa.

Marx adalah seorang pengkaji kapitalisme, dan begitulah sepatutnya dia harus dinilai. Banyak percanggahan yang dilihatnya dalam kapitalisme era Victoria dan yang telah ditangani kemudiannya oleh kerajaan-kerajaan reformis telah muncul semula di dalam bentuk baru hari ini, seperti virus mutan. Apabila dia menulis dengan jelas, dia menulis petikan yang mengujakan tentang globalisasi, ketidaksamaan, rasuah politik, monopoli, kemajuan teknikal, kemerosotan budaya tinggi dan kelemahan modeniti - isu yang terpaksa dihadapi semula oleh ahli ekonomi kini, kadang-kadang tanpa disedari mereka mengikut jejak langkah Marx.

Moor, nama panggilan oleh anak-anaknya, kerana wajahnya yang menakutkan, dilahirkan di bandar Rhineland di Trier, yang ketika itu sebahagian daripada Prussia. Bapanya, seorang peguam Yahudi yang berjaya dan merupakan penganut Kristian, menggalakkan anaknya untuk belajar, dan Marx tidak memerlukan banyak galakan untuk hal tersebut. Pada tahun 1841, beliau mendapat ijazah kedoktoran dari Universiti Jena - tesis beliau adalah tentang falsafah semula jadi Democritus dan Epicurus - tetapi pandangan radikalnya menghalangnya untuk mendapat jawatan di universiti, dan untuk sepanjang hidupnya dia hanyut di antara jurnalisme dan politik kiri. Sepanjang 1840an, beliau tinggal di Bonn, Paris, dan Brussels. Pada tahun-tahun revolusi 1848, beliau kembali ke Paris, kemudian ke Cologne, dan akhirnya (selepas dicampak keluar dari Prussia), ke London, di mana beliau kekal hingga hujung nyawanya, pada tahun 1883.

Seperti kebanyakan pemikir, Marx menghasilkan idea-idea baru ketika usia dua puluhan dan tiga puluhan, kemudian menghabiskan tahun-tahun berikutnya mengembangkan idea yang telah dibangunkannya ketika muda. Wawasan dasarnya, yang diperkenalkan dalam The German Ideology  (1846), telah diperkenalkan semula baru-baru ini oleh James Carville: "It's the economy, stupid".  Istilah Marx untuk teori ini adalah" konsepsi materialis tentang sejarah (the materialist conception of history)", dan pandangan ini digunakan secara meluas sehingga pelbagai aliran politik menggunakannya sebagai analisis - seperti Carville - tanpa merujuk kepada Marx.

Ketika pihak konservatif berhujah bahawa negara kebajikan menyusahkan kerana ia menghambat perusahaan swasta, atau bahawa Kesatuan Soviet runtuh kerana ia tidak dapat menandingi efisiensi kapitalisme Barat, mereka sebenarnya menerima pakai hujah Marx bahawa ekonomi adalah daya penggerak dalam pembangunan manusia. Malah, Sir John Hicks, seorang ahli ekonomi British yang memenangi Hadiah Nobel berkata pada tahun 1969, apabila datang kepada teori-teori sejarah, Karl Marx telah meninggalkan tapak yang kukuh dalam bidang tersebut. Hicks menulis, "luar biasa sekali, seratus tahun selepas Das Kapital .... sedikit lagi yang perlu telah muncul."

Marx bukanlah reduksionis yang jahil, tetapi dia percaya   bahawa cara masyarakat menguruskan pengeluaran akan membentuk sikap dan keyakinan mereka. Kapitalisme, sebagai contoh, membuat manusia menundukkan diri mereka kepada asas ketamakan. "Wang adalah intipati alienasi kepada kewujudan dan pekerjaan manusia. Intipati asing ini menguasainya, dan dia mengaguminya," kata Marx. Bahasa ini mungkin agak berlebihan, tetapi realitinya kini anda lihat wujudkah sebarang perubahan? Rak majalah dipenuhi dengan tajuk seperti Money, Smart Money, Worth, dan Fortune; ia adalah sukar untuk menonton televisyen tanpa mendengar nasihat kewangan; dan pelabur yang berjaya seperti George Soros kerap dilayan secara kehormat oleh media.

Budaya popular yang direndahkan oleh semangat wang, seperti dicerminkan di Hollywood, juga diramalkan Marx.  Dalam Grundrisse (1857), beliau berhujah bahawa kualiti seni yang dihasilkan masyarakat mencerminkan keadaan-keadaan material yang wujud pada masa itu. Homer dan Virgil mencerminkan satu pandangan mitos yang naif tentang alam, yang tidak berkekalan pada zaman jentera, kereta api dan telegraf elektrik. "Di manakah kedudukan Vulcan  berbanding Roberts & Co? Musytari berbanding konduktor kilat? Hermes berbanding dengan Credit Mobilier?" Marx bertanya. "Apa yang terjadi kepada Dewi Fama apabila dibandingkan dengan Printing House Square?" Apabila kata-kata ini ditulis, Dickens dan Thackeray telah menulis untuk majalah bulanan, orang yang paling berpendidikan telah belajar bahasa Latin, dan kapitalisme belum menunjukkan keupayaan untuk menghasilkan TV.

The Communist Manifesto, di mana Marx adalah pengarang bersama dengan Friedrich Engels (sama seperti Marx dari Rhine, di mana bapanya memiliki kepentingan dalam sebuah kilang di Manchester), hampir tidak disiapkan. Engels menulis draf pertama pada akhir tahun 1847, tetapi Marx, yang sedang sibuk, hanya melengkapkannya selepas menerima rayuan dan desakan daripada rakan-rakan beliau dalam Liga Komunis. Mungkin kerana tekanan untuk menyiapkannya, bahasanya lebih kemas daripada biasa, dan versi akhir, yang muncul pada Februari 1848, mengandungi beberapa frasa beliau yang paling tajam: " Ada hantu berkeliaran di Eropah - hantu Komunisme "; " Sejarah dari semua masyarakat yang ada hingga sekarang ini adalah sejarah perjuangan kelas"; "Apa yang dihasilkan oleh borjuis  - yang paling penting - ialah penggali-penggali liang kuburnya sendiri. " Ramalan buku ini yang salah mengenai keruntuhan kapitalisme telah menguburkan satu pencapaian intelek yang lebih tahan lama: yakni penjelasan Marx dalam Manifesto tentang bagaimana kapitalisme berfungsi. Tidak seperti kebanyakan pengikut-pengikutnya, Marx tidak pernah memperkecilkan kuasa pasaran bebas.

"Pihak borjuis, selama kekuasaannya yang belum genap seratus tahun itu, telah menciptakan tenaga-tenaga produktif yang lebih teguh dan lebih besar daripada yang telah diciptakan oleh generasi-generasi yang terdahulu," kata Marx. Selain itu, lonjakan produktif ini - yang belum pernah terjadi sebelumnya- atau dikenal sebagai revolusi industri, tidak terbatas pada satu negara, karena keperluan yang selalu hadir untuk pasaran baru  "mengejar borjuis ke seluruh muka bumi". Di mana sahaja borjuis pergi, kata Marx, mereka merosakkan nilai tradisional dalam melakukan sesuatu. "Semua industri nasional yang sudah tua telah dihancurkan atau sedang dihancurkan setiap hari, "katanya.  "Mereka digantikan oleh industri-industri baru yang pelaksanaannya menjadi masalah hidup-mati bagi semua negara-negara bertamadun" Bukan sahaja perniagaan tempatan yang menderita. Seluruh budaya tersingkir oleh kekuatan tanpa henti dari modenisasi dan integrasi internasional." Ciptaan intelek dari satu-satu negara menjadi milik bersama,"katanya. "Kesepihakan serta kesempitan pandangan nasional menjadi mustahil, dan dari sejumlah besar kesusasteraan nasional dan tempatan timbullah suatu kesusasteraan dunia."

"Globalisasi" adalah topik yang hangat diperkatakan pada akhir abad ke 20 di bibir semua orang, dari Jiang Zemin kepada Tony Blair, tetapi Marx sudah meramalkan kesan-kesannya sejak 150 tahun yang lalu. Kapitalisme kini bergerak laju dalam perjalanan untuk mengubah dunia menjadi satu pasaran tunggal, dengan negara-negara di Eropah, Asia dan Amerika berkembang menjadi tiga blok perdagangan yang bersaing dalam pasaran itu. Novel John Grisham diterjemahkan ke dalam puluhan bahasa, remaja di Australia memakai topi Chicago Bulls, dan hampir semua orang yang terlibat dalam perniagaan bercakap dalam bahasa Inggeris, bahasa global wang. Kadang-kadang, beberapa kumpulan melawan untuk kepentingan tradisional - petani Perancis, pelombong British, pekerja automotif Amerika - tetapi usaha mereka sentiasa sia-sia. Tidak ada yang dapat menghentikan revolusi berterusan yang diwakili kapitalisme. "Kekacauan yang tidak putus-putus dalam segala kondisi sosial, ketiadaan kepastian serta kegelisahan yang abadi itu membezakan zaman borjuis dengan semua zaman yang terdahulu," tulis Marx.

Globalisasi telah sedia diatur untuk menjadi isu politik yang terbesar di abad yang akan datang . Tokoh Demokrat berpengaruh, Richard Gephardt sudah bertanding untuk jawatan Presiden di Amerika menggunakan platform "fair trade", dan populis serta pihak xenofobia muncul di Rusia , Perancis dan negara-negara lain. Menurut kajian Bank Dunia baru-baru ini - Rusia , China, India, Indonesia dan Brazil - semua akan menjadi kuasa industri utama dalam 25 tahun akan datang, dan ini hanya akan meningkatkan tekanan persaingan di negara-negara maju yang lain. Malah ahli ekonomi, yang secara tradisinya menjadi pembela paling setia globalisasi (atas alasan ia mewujudkan lebih ramai pemenang daripada yang kalah), kini ragu-ragu terhadap kesan-kesannya.

Pengkritik kontemporari cenderung untuk menggunakan bahasa yang lebih kering daripada Marx, tetapi mesej mereka adalah serupa. "Integrasi antarabangsa untuk pasaran bagi barangan, perkhidmatan dan modal telah mendesak masyarakat untuk mengubah praktik tradisional mereka, dan, sebagai hasilnya, berlaku pertarungan dalam kelompok masyarakat, "tulis Dani Rodrik, seorang ahli ekonomi Harvard, di dalam buku yang mencerahkan, yang diterbitkan pada awal tahun ini, bertajuk Has Globalization Gone Too Far? Rodrik menegaskan bahawa buruh kanak-kanak, pengelakkan cukai korporat, dan kilang-kilang Amerika yang ditutup adalah karakter dari yang bernama globalisasi. Dia tidak menyebut Marx secara langsung - kerana memetik karya Marx tidak baik untuk prospek kerjaya seorang pakar ekonomi Ivy League - tetapi beliau membuat kesimpulan bahawa kegagalan untuk memenuhi cabaran global boleh membawa kepada "disintegrasi sosial".

Walaupun Marx dibuang ke London, beliau mempunyai banyak masa untuk membaca. Setiap hari, dia bersusah-payah ke Muzium British dan duduk di sana dari 10 pagi hingga 7 malam, mengkaji laporan kerajaan yang tak jelas dan ekonomi klasik seperti Adam Smith dan David Ricardo. Bilik bacaan yang terkenal di muzium tersebut adalah tempat Marx melarikan diri dari penghinaan masyarakat di mana setiap hari dia meninggalkan isterinya, Jenny; tiga anak-anaknya; dan pembantu rumah mereka (yang pada tahun 1851 telah melahirkan anak luar nikahnya). Sehingga tahun 1856, apabila Jenny mewarisi sedikit harta, mereka semua tinggal di dua bilik sempit, dan mereka biasanya tidak ada duit untuk berbelanja. Pada satu ketika, seorang bailif datang untuk memungut £5, tetapi Marx tidak ada duit, jadi pemungut hutang menyita "katil, kain baju, segala-galanya, malah buaian bayi saya yang buruk turut diambil," tulis Jenny kepada rakannya. Marx yang angkuh dan cepat marah mengalami masalah bisul dan buasir, yang kadang-kadang menghalang beliau daripada duduk di Muzium British ("Saya berharap pihak borjuis, selagi mereka hidup, akan mempunyai sebab untuk mengingati bisul saya, "dia menulis kepada Engels ) tetapi dia tidak pernah berhenti bekerja.

Antara tahun 1848 dan 1867, dia menerbitkan sejumlah karya ekonomi, kemuncaknya ialah Das Kapital, yang, katanya, adalah usaha mendedahkan "hukum gerakan ekonomi bagi masyarakat moden". Dalam satu cara, usaha Marx gagal. Model matematika ekonomi Marx, yang bergantung pada idea bahawa tenaga kerja (labour) adalah punca semua nilai, telah terbelah dengan percanggahan dalaman dan jarang dikaji pada hari ini. Banyak konstruksi yang digunakan oleh ahli ekonomi moden - seperti keluk penawaran dan permintaan, fungsi-fungsi pengeluaran dan game theory - belum difahami pada 1860-an. Sebuah buku teks baru, Principles of Economics, oleh N Gregory Mankiw, seorang profesor Harvard, menyebut Marx hanya sekali dalam 800 halaman bukunya, itu pun dengan nada cemuhan.

Mankiw, memetik kata-kata ehli ekonomi tersohor, Alfred Marshall, mengatakan bahawa ekonomi adalah "kajian terhadap manusia dalam urusan hidup seharian", yang menjawab soalan-soalan seperti "Mengapa pangsapuri begitu sukar untuk dicari di New York?" dan "Mengapa syarikat penerbangan mengenakan bayaran kurang untuk tiket perjalanan pergi balik jika penumpang kekal sepanjang malam Sabtu?" dan "Mengapa Jim Carrey dibayar begitu tinggi untuk sebuah filem?" Marx tidak menolak soalan-soalan itu - walaupun labor theory of value yang diajukannya tidak mampu untuk menangani soalan-soalan tersebut - tetapi dia menganggap soalan tersebut bukan prioriti utama ekonomi, yakni untuk menjelaskan bagaimana masyarakat berkembang dari masa ke semasa.

Satu perkara penting yang diajar Marx adalah bahawa kapitalisme cenderung ke arah monopoli - satu pemerhatian yang tidak jelas kelihatan pada zamannya - yang membawa kepada keperluan untuk peraturan yang ketat. Masalah ini kemudiannya seolah-olah telah diurus oleh reformasi Teddy Roosevelt dan F.D.R., tetapi dekad yang lalu telah menyaksikan gelombang yang belum pernah berlaku sebelumnya - penggabungan dalam pelbagai sektor-sektor merangkumi hiburan, perubatan, pertahanan dan perkhidmatan kewangan. Pada masa yang sama, pemotongan bajet dan pengadilan mahkamah konservatif telah melemahkan keberkesanan agensi penguatkuasaan kerajaan, seperti Federal Trade Commission. Melainkan trend ini diterbalikkan, hasilnya adalah penggabungan yang lebih banyak, harga yang lebih tinggi dan pilihan yang terhad untuk pengguna.

Pencapaian utama Marx sebagai seorang ahli ekonomi ialah meletakkan pengusaha dan motif keuntungan sebagai dasar kajian dalam pembangunan ekonomi. Untuk orang biasa yang membaca halaman perniagaan, ini mungkin kelihatan jelas, tetapi ia tidak jelas kepada ahli ekonomi profesional. Dalam ekonomi neoklasik - perkara yang diajar oleh Mankiw - pengguna ialah fokus perhatian yang utama, manakala firma-firma adalah semata-mata "kotak hitam" yang mengubah bahan mentah dan buruh menjadi komoditi yang ingin dibeli pengguna. Dalam dunia yang dibayangkan oleh teori ini, ekonomi tumbuh pada kadar yang ditentukan oleh pengembangan tenaga buruh dan kadar kemajuan teknikal, yang kelihatan seperti hidangan dari syurga dan tidak dikawal oleh kuasa pasaran.

Pandangan Marx tentang pertumbuhan ekonomi adalah lebih gelap dan lebih kompleks. Dalam model beliau, kapitalis merupakan spesis terkepung, sentiasa di bawah tekanan daripada pesaing-pesaing yang cuba untuk memasuki pasaran mereka dan mencuri keuntungan mereka. Memandangkan tekanan itu, firma terpaksa mengurangkan kos dengan melabur dalam mekanisme penjimatan buruh, memaksa pekerja mereka untuk bekerja lebih keras, dan membangunkan produk baru. Proses ini, yang dinamakan oleh Marx sebagai "accumulation (pengumpulan)", adalah faktor utama menjadikan kapitalisme lebih produktif berbanding sistem sosial sebelum ini. Pada zaman feudal, golongan bangsawan memakan "surplus" ekonomi yang dicipta oleh petani, tetapi dalam masyarakat perindustrian kapitalis terpaksa melabur surplus yang diwujudkan oleh pekerja atau menghadapi risiko diketepikan oleh pesaing mereka. "Kumpulkan! Kumpulkan! Kumpulkan! Itulah Musa dan Nabi-nabi," isytihar Marx.

Visi pertumbuhan ekonomi ini sebahagian besarnya dilupakan oleh profesion ekonomi selepas kematian Marx, tetapi ia telah dibangkitkan ketika 40-an oleh Joseph Schumpeter, bekas Menteri Kewangan Austria yang menjadi ahli akademik Harvard. Schumpeter melabelnya sebagai "creative destruction". Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, karya Schumpeter telah diformalkan oleh sekumpulan ahli teori matematik, termasuk Paul Romer dari Stanford dan Philippe Aghion daripada University of London. Ahli ekonomi yang bekerja dalam bidang ini, yang menamakan diri mereka sebagai endogenous-growth theory, biasanya gagal untuk meletakkan kredit kepada Marx sebagai sumber intelektual mereka (untuk berbuat demikian akan mengundang ejekan), tetapi model mereka tidak dinafikan jati dirinya adalah Marxist, kerana tujuan utama mereka adalah untuk menunjukkan kemajuan teknikal sebenarnya muncul dari proses persaingan, dan bukan dari syurga seperti yang dianjurkan oleh model neoklasik.

Perusahaan bebas versi Marx juga senada dengan pandangan ramai ahli perniagaan kontemporari, yang lebih rela disebat daripada dilabel sebagai Marxist. Ketika 80-an, misalnya, Jack (Neutron Jack) Welch Jr, pengerusi yang keras hati tetapi sangat dihormati di General Electric, mentransformasikan syarikat, menutup berpuluh-puluh cawangan dan memecat berpuluh-puluh ribu pekerja. Faktor beliau berbuat demikian tidak perlu dijelaskan kepada mana-mana pembaca Marx. "Peristiwa-peristiwa yang mengejar kita menjadikan huru-hara tahun 80-an kelihatan seperti sedekad berada di pantai," kata Welch pada mesyuarat pemegang saham pada tahun 1989. "Di hadapan kita ialah penghapusan ikan bilis yang bersifat Darwinian dalam setiap pasaran utama, dengan ketiadaan pampasan untuk kehilangan syarikat dan negara."

Pada tahun 1881, Jenny Marx meninggal dunia. Marx tidak dapat melupakannya - " Moor turut Mati," katanya kepada Engels. Dan dua tahun kemudian beliau mengikut jejak isterinya. Pada upacara pengebumiannya, Engels menyampaikan eulogi dengan cara yang pasti menggembirakan Marx , mengisytiharkan, "Sama seperti Darwin menemukan hukum evolusi di dalam alam organik, maka Marx menemui hukum evolusi di dalam sejarah manusia." Hal ini tidak sepenuhnya benar, tetapi ia tidak sama sekali palsu. Kapitalisme jelas tidak digantikan oleh komunisme tetapi ia juga tidak kekal dalam bentuk Dickensian seperti yang disaksikan Marx. Seabad selepas kematian Marx, kerajaan di negara-negara perindustrian memperkenalkan pelbagai pembaharuan yang direka untuk meningkatkan taraf hidup pekerja: undang-undang buruh, undang-undang upah minimum, faedah kebajikan , perumahan awam , sistem kesihatan awam, levi warisan, cukai pendapatan yang regresif dan sebagainya. Langkah-langkah ini mungkin dilabel sosialisme pada zaman Marx; malah, banyak pembaharuan ini dianjurkan Marx di dalam Manifesto, dan sukar untuk melihat bagaimana kapitalisme dapat bertahan tanpa pembaharuan tersebut.

Hanya dalam dua dekad terakhir serangan sistematik terhadap demokrasi sosial telah dijalankan atas nama "efisiensi ekonomi." Tindak balas sayap kanan ini telah menghasilkan peningkatan mendadak dalam ketidaksetaraan, seperti diramalkan Marx. Di antara tahun 1980 dan 1996, jumlah pendapatan isi rumah bagi 5 peratus keluarga terkaya di Amerika Syarikat meningkat daripada 15.3 peratus kepada 20.3 peratus, manakala pendapatan bagi 60 peratus keluarga termiskin jatuh dari 34.2 peratus kepada 30 peratus. Di antara tahun 1979 dan 1994, 10 peratus rakyat termiskin di UK menyaksikan pendapatan mereka - selepas mengambil kira kos perumahan - menurun sebanyak 13 peratus. Pendapatan 10 peratus rakyat terkaya meningkat 60 peratus dalam tempoh yang sama, menurut Joseph Rowntree Foundation.

Marx percaya bahawa jurang asas dalam mana-mana masyarakat adalah antara orang yang memiliki jentera dan kilang-kilang yang digunakan untuk membuat barangan (borjuis) dan orang-orang yang hanya mempunyai upaya untuk bekerja sebagai aset mereka (proletariat). Pemisahan ini terlalu kaku - ia tidak mengambil kira pekerja  yang bekerja sendiri, penjawat awam dan pekerja yang memiliki saham dalam firma majikan mereka - tetapi tidak ada keraguan bahawa pemenang terbesar, setakat ini, dalam tempoh dua dekad yang lalu, ialah orang-orang yang menguasai alat pengeluaran (means of production): yakni pengarah syarikat dan pemegang saham. Pada tahun 1978, seorang pengarah biasa di sebuah syarikat besar AS memperoleh kira-kira 60 kali ganda dari apa yang diterima pekerja biasa; pada tahun 1995, dia telah menerima kira-kira 170 kali ganda. Para pemegang saham juga telah melakukan perkara yang sama, dan ini telah menyerlahkan ketidaksetaraan. Menurut Edward Wolff, profesor ekonomi di Universiti New York, separuh daripada aset kewangan di Amerika adalah milik 1 peratus golongan terkaya.

Angka-angka ini menunjukkan salah satu daripada idea-idea Marx yang paling kontroversi - "theory of immiseration"- akan membuat kemunculan semula. Dia tidak percaya, seperti disebutkan beberapa pengkritik, bahawa gaji tidak boleh meningkat di bawah kapitalisme, tetapi dia mengatakan bahawa keuntungan akan meningkat lebih cepat daripada upah, jadi pekerja akan menjadi lebih miskin berbanding kapitalis dari semasa ke semasa, dan ini adalah apa yang telah berlaku semasa dua dekad yang lalu. Di Amerika, purata upah yang disesuaikan dengan inflasi adalah di bawah tahap  ketika 1973, tetapi keuntungan telah meningkat. Pada tahun 1979, 16 peratus daripada semua wang yang dihasilkan oleh sektor korporat masuk ke kantung keuntungan dan faedah; hari ini, angkanya adalah 21 peratus.

Persoalan penting yang jawapannya akan menentukan nasib pasaran saham dan banyak yang lain, adalah sama ada modal boleh berpegang kepada keuntungan yang dinikmatinya.  Kuasa tawar-menawar pekerja adalah terhad, kerana firma-firma boleh berpindah ke negara-negara yang menawarkan sumber buruh yang lebih murah. Marx, untuk kesekian kali, tidak ragu-ragu pihak mana yang bakal meraih keuntungan. "Pihak kapitalis tidak mahu mengeksploitasi darah dan daging segar, dan akan membiarkan orang mati menguburkan orang mati," katanya dalam Wage-Labour and Capital.

Perkuburan Highgate hanya jalan kaki yang singkat dari bandar yang menggunakan nama yang sama di utara London. Untuk sampai ke sana, anda perlu berjalan melalui deretan kedai-kedai dan kanak-kanak sekolah dalam pakaian seragam biru dan kelabu, pusing kiri ke lorong yang sempit, melepasi beberapa gelanggang tenis dan pusing kiri sekali lagi hingga berrsua pintu pagar berwarna hitam yang tinggi. Di sana anda akan bertemu dengan seorang wanita tua bernama Kathleen, yang berskirt tweed, berbaju sejuk dan berkasut sederhana. Satu petang di bulan September, saya mengambil bas ke Highgate dan berjalan ke tanah perkuburan untuk berjumpa beliau.

"Ramai orang datang melawat Marx hari ini?" Saya bertanya seraya memberinya 2 pound sebagai bayaran masuk.

"Oh ya, ada, tapi saya tak boleh mengatakan mengapa," jawabnya. "Kami ada ramai orang yang lebih menarik di sini, anda tahu. George Eliot, Sir Ralph Richardson. Adakah anda pasti anda tidak mahu melihat mereka?"

Saya berkata saya pasti, dan Kathleen mengarahkan saya ke bahagian utara-barat tanah perkuburan di mana saya melihat sebuah batu nisan marmar yang besar dengan sebuah patung berupa kepala Marx dan inskripsi "Workers of all lands unite". Terdapat bunga segar di sebelah kubur, tetapi hanya tiga orang di situ: dua pelajar berjanggut dari Turki dan seorang wanita muda dari Korea Selatan yang mengatakan dia adalah seorang sosialis. Semua mereka berada di London untuk belajar Bahasa Inggeris.

"Marx sangat berpengaruh di Turki meskipun komunisme diharamkan," salah seorang daripada warga Turki memberitahu saya. Dia menambah bahawa dia telah dipenjarakan sebentar di Ankara akibat aktiviti sosialis.

Saya bertanya sama ada mereka telah membaca mana-mana karya Marx - Das Kapital, khususnya.

Sosialis Korea Selatan memberitahu dia belum pernah membacanya.

"Saya cuba, tetapi ia sangat besar," jawab warga Turki yang pernah dipenjarakan. "Saya pernah baca, tetapi saya tak faham," kata kawannya.

Ketika di dalam bas untuk kembali ke pusat bandar, saya tertanya-tanya mengapa karya Marx kurang dibaca pada hari ini. Mungkin kerana kondisi ekonomi yang baik. Tetapi ketika kondisi yang baik pun Marx boleh mengajar sesuatu kepada kita, seperti fakta bahawa peningkatan taraf hidup pekerja bergantung kepada pengekalan kadar pengangguran yang rendah - fakta yang dahulunya dinafikan ramai ahli ekonomi ortodoks. Marx percaya bahawa gaji telah diadakan oleh kehadiran "tentera simpanan" yang dianggotai oleh penganggur yang cuba untuk menawarkan harga yang lebih rendah dari yang ditawarkan pekerja. Kata Marx, dengan mengurangkan barisan tentera ini, upah akan meningkat - seperti yang telah mula dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun lepas. Sejak pertengahan tahun 1996, kadar purata pengangguran ialah kira-kira 5 peratus, paras terendah dalam tempoh 24 tahun, dan gaji penyesuaian inflasi setiap jam median telah meningkat sebanyak 1.4 peratus, peningkatan ketara pertama dalam hampir satu dekad. Di UK angka pengangguran median dalam tempoh yang sama menurun kepada kira-kira 8 peratus, dan kebanyakan orang telah melihat peningkatan sebenar dalam gaji mereka.

Mungkin elemen yang paling lestari dalam karya Marx adalah perbincangan tentang kedudukan kuasa dalam masyarakat kapitalis. Ini adalah satu perkara yang diabaikan oleh ahli ekonomi selama beberapa dekad - dengan mereka meletakkan pilihan pengguna sebagai faktor utama - tetapi baru-baru ini beberapa daripada mereka telah kembali ke gagasan Marx bahawa keadaan di mana orang terpaksa membuat pilihan sering sama pentingnya dengan pilihan itu sendiri. (Ambil kes mangsa rompakan yang diberi "pilihan" sama ada menyerahkan wang atau ditikam.) Di Harvard, sebagai contoh, ahli ekonomi Oliver Hart telah membangunkan teori baru bagaimana firma beroperasi dengan bergantung kepada perebutan kuasa di kalangan pemegang saham, pengurus dan pekerja. Ahli ekonomi lain melihat secara kritikal pada pelaksanaan kuasa politik. Elhanan Helpman, seorang lagi profesor Harvard, dan Gene Grossman, dari Princeton, telah membina sebuah model rasmi untuk menggambarkan cara bagaimana kerajaan didorong untuk memperkenalkan dasar-dasar perdagangan yang merosakkan hasil tekanan daripada pelobi perniagaan.

Marx sudah tentu gembira untuk mengisytiharkan bahawa ahli-ahli politik hanya melayan tauke korporat mereka. "Badan eksekutif negara moden hanyalah merupakan sebuah jawatankuasa untuk menguruskan hal ehwal umum borjuis,"tulis beliau dalam Manifesto, dan dia kemudian menyelar ahli politik Amerika, katanya mereka telah "disubordinat" untuk "pengeluaran borjuis" sejak zaman George Washington lagi. Situasi di mana seorang Presiden mengalu-alukan akses ahli perniagaan ke Rumah Putih sebagai balasan untuk sumbangan kempennya tidak akan membuatkan Marx terkejut sama sekali. Meski ada kesilapan, Marx adalah seorang lelaki yang kerananya sistem ekonomi kita menimbulkan beberapa kejutan. Buku-buku beliau akan bernilai dibaca selagi kapitalisme tetap kekal.

Diterjemahkan dari artikel berjudul The Return of Karl Marx yang dimuatkan di dalam The New Yorker, 20 Oktober 1997, ms. 248.

Monday, April 14, 2014

Tatkala Saya Mendengar Muzik


Selepas pulang dari kerja, biasanya saya berbaring dalam bilik, mata tembus menatap siling dan telinga menangkap bunyi-bunyian yang keluar dari speaker. Minggu ini album kedua Warpaint mengisi playlist saya. Berbeza dengan EP Exquisite Corpse dan album sulung mereka The Fool yang lebih catchy, album self-titled ini perlu dilayan dengan lebih ramah. Hal ini tak jadi masalah mengenangkan perempuan-perempuan Warpaint (dan muzik mereka) sudah menambat hati saya. Sudah lumrah dan saya faham, mana-mana band pasti akan bereksperimentasi sikit sebanyak dengan bunyi-bunyi baru, sebuah indikasi yang secara langsung menunjukkan mereka benar-benar serius dengan muzik mereka dan tidak hanya memilih jalan selamat dengan mengulang ramuan lama.

Aktiviti melayan perasaan mendengar muzik seakan menjadi rutin harian. Saya rasa hampir setahun video muzik Warpaint menjadi senarai-wajib-main selepas pulang bekerja. Tidak pasti sama ada ia berfungsi sebagai terapi jiwa selepas menempuh hari-hari yang mandom di pejabat atau sekadar habit yang sudah terprogram sekian lama. Mungkin ianya satu eskapisme dari persoalan politik negara yang tak menjanjikan apa-apa. Persoalan adakah reformasi politik itu aktiviti berkala yang perlu dilakukan hanya apabila Anwar masuk penjara misalnya. Mungkin juga Warpaint  berjaya menyentuh libido saya secara kecil-kecilan dan imejan seksual mereka mengubat kejantanan saya secara nakal. Mungkin.

Perempuan petik gitar atau bass memang nampak seksi, tapi bukan petik gitar seperti Ainan Tasneem, Najwa Latiff atau Yuna - tapi petik gitar dengan lagak seorang Theresa Wayman, Emily Kokal dan Jenny Lee Lindberg. Atau Kim Gordon dan Laura-Mary Carter. Jika anda seorang perempuan yang mahu kelihatan seksi dengan gitar, sila belajar dari perempuan-perempuan Warpaint. Tapi saya tak fikir jika perempuan-perempuan Warpaint berbunyi seperti The Veronicas saya akan ketagih memainkan video muzik mereka. Jadi ini bukan semata-mata tarikan seksual tapi juga muzikal. Gitaris lelaki yang seksi pula hanya Jonny Greenwood, itupun setelah seorang genius muzik dari Abeerden mengambil keputusan bangang dengan melubangkan kepala sendiri dengan shotgun.

Selalunya dengan mendengar muzik tertentu saya sebenarnya mahu menjemput mood tertentu - membiarkan komposisi bunyi-bunyian itu bebas menerawang dan berkeliaran memenuhi ruang bilik, bersatu dengan udara dan kemudian menyentuh dan menguasai emosi saya. Muzik adalah dadah yang menyentuh sensasi dan mewujudkan pseudo-halusinasi. Awak boleh baca pelbagai kajian yang melibatkan aspek farmakologi dalam muzik, bagaimana ia merangsang bahan kimia dalam badan - dopamin dan serotonin - dan apa fungsi kedua-duanya. Baca juga bagaimana kokain, amfetamin dan nikotin merangsang dopamin dan bagaimana LSD, ekstasi dan meskalin merangsang serotonin. Lepas itu mungkin awak boleh faham mengapa bersepah-sepah genius muzik seperti lelaki dari Abeerden yang mati kerana atau terlibat dengan dadah.

Saya tak kisah jika dikhayalkan dengan muzik kerna khayalannya mengghairahkan dan bersifat retrospektif, walau kadang-kadang sukar digambarkan patah-patah kata. Muzik itu sendiri bersifat semantik terhadap emosi, memunculkan perasaan dan mood tertentu yang seiring dan sejalan dengan lagi itu sendiri. Lagu Bjork misalnya, hanya saya dengar bila saya mahu mood pelik. Sukar untuk saya kisahkan mood pelik tersebut, kerana ia pelik, dan Bjork pun pelik, lalu mereka bergabung dan jiwa saya pun meletup. Kalau difikirkan, sebenarnya kebanyakan mood yang terhasil dari muzik yang saya dengar adalah pelik. Muzik itu sendiri tidak pelik, mood itu yang pelik - yang terhasil dari zarah-zarah muzik yang menyentuh, menghentam, atau melanggar permukaan jiwa saya (bergantung kepada muzik itu sendiri).  Ketika mendengar instrumental Tuju Tuju Opus dari As Sahar saya terbayangkan dunia yang dilitupi kegelapan, filem-filem seram lakonan Suzanna, imej tradisional suku Jawa dengan gambaran tentang keraton dan penari-penarinya. Lagu Ternyata dari Estrella pula sudah tentu memuatkan wajah comel Liyana Fizi, kemudian bergerak ke imej berdefinisi tinggi yang diisi dengan mood filem-filem yang ada sad ending - bercampur baur antara cinta tak berbalas, resah, rindu dan tragik - selalunya imej filem animasi 5 Centimeters Per Second terjun masuk ke dalam bingkai mood ini.

Tapi sudah tentu kehadiran mood misteri ini tidak terpakai untuk semua lagu. Bob Dylan dengan Blowin' in the Wind misalnya hanya mengingatkan saya tentang persoalan kemanusiaan, tidak lebih dari itu. Mungkin melodinya yang simple itu tidak menghantar signal yang cukup untuk saya berkhayal ke tingkat yang lebih tinggi jadi liriknya yang puitis itu hanya tersangkut di imaginasi tahap satu. Tapi lain pula ceritanya dengan lagu Knockin' on Heaven's Door yang memprojeksikan imej tentang utopia yang tak kesampaian dan melukiskan perasaan sebal serta bersalah meninggalkan insan tersayang dengan kekosongan dan ketidakpastian. Biasanya momen dalam filem Windstruck bertumpang tindih dengan mood lagu ini dan beransur-ansur menggantikan vokal Dylan dengan Youme.

Untuk muzik tempatan, lagu-lagu Sudirman dan P. Ramlee memang kaya dengan pelbagai mood. Lagu Sudirman misalnya, dari Hidup Sederhana, Pelangi Petang, Merisik Khabar, Hujan, Milik Siapakah Gadis Itu - semua melakarkan pelbagai emosi dan mood, antara meluahkan erotisme hingga rasa sentimental yang tak berpenghujung. Dengan lagu-lagu Sudirman saya mahu menyanggah tesis Kant yang berpendapat muzik adalah superfisial. Di tangan Sudirman muzik menghadirkan dunia lain di mana kesedaran saya menyatu dengan lancar bersama lagu lalu meneroka melankolik hidup. Beliau contoh terdekat untuk menunjukkan bagaimana kesatuan vokal, muzikal, lirikal dan persembahan yang ekspresif dan eksotik adalah parameter untuk apa yang sebenarnya dimaksudkan sebagai seni persembahan. Kesimpulannya setiap lagu membawakan pengalaman yang berbeza-beza dan perbezaan tersebut tidaklah pula mengurangkan nilai lagu-lagu tersebut di mata saya kerana nyata ia memperkayakan rasa dan pengalaman.  Saya tak perlukan semua lagu yang mampu membawa mood misteri seperti yang saya sebutkan di atas, kerana saya tak mahu setiap masa hidup saya diselubungi misteri. Saya bukan psikopat.

Dulu saya fikir saya boleh definisikan mood yang muncul dari sesebuah lagu, contohnya ketika mendengar Dendang Perantau, saya boleh asosiasikan mood yang dibawa lagu tersebut dengan suasana Hari Raya atau kesedihan tidak dapat pulang berhari raya di kampung. Tapi bila difikirkan dengan mendalam mood yang terhasil sebenarnya menyentuh lubuk jiwa saya di tahap yang paling dasar. Ya, mood itu mungkin berkisarkan perasaan sentimental, kekecewaan, kesedihan dan perasaan celaka, tapi ia tidak hanya singgah di situ dan menerbitkan perasaan yang bersifat permukaan, tapi ia tembus dan menyelam ke dalam kesedaran yang misterius. Kerana itu Kant meletakkan muzik sebagai bentuk seni paling rendah lantaran sifatnya yang superfisial dan tak mampu merangsang daya kognitif. Saya rasa muzik memang tak pernah (dan tak sepatutnya) merangsang kita berfikir secara per se, kerana itu bukan fungsi muzik. Malah seni itu sendiri bukan bertujuan mengajak kita berfikir secara rumit tetapi lebih kepada kontemplasi dan imaginasi yang menyentuh emosi. Jadi di saat kita berfikir ketika mendengar muzik, kita telah curang terhadap muzik itu sendiri. Kita tidak lagi bersenggama dengannya.

Ketika membahaskan perbezaan antara seni muzik dan seni visual Kant mengatakan muzik bergerak daripada sensasi kepada idea yang berserakan manakala seni visual bergerak daripada idea yang boleh dikenalpasti kepada sensasi. Ini menjadikan seni muzik meninggalkan kesan sementara tatkala seni visual meninggalkan kesan yang lebih berbekas. Lantas Kant meletakkan seni visual sebagai medium seni paling agung. Secara asasnya saya setuju dengan tafsiran Kant terhadap gerakan dan kesan seni muzik tapi saya tidak setuju untuk merendahkan muzik hanya kerana sifat dan gelagatnya yang berbeza dengan seni lain. Dan untuk membincangkan soal ini pastinya akan membuka penerangan yang berjela-jela di sini - sesuatu yang sebolehnya saya mahu elakkan - kerana wacana Kant dalam Critique of Judgment itu memang telah mempengaruhi dan menelurkan pelbagai wacana estetik sampai hari ini. Setakat ini saya selesa dengan kata-kata Roslan Aziz, 'muzik kena dengar, tak boleh cakap' kerana bagi saya the philosophers have only interpreted the music in various ways; the point however is to feel it. Secara peribadi, saya tak pasti pengalaman manusia lain, tapi muzik di kepala saya selalu datang bergentayangan bersama emosi dan imej-imej tertentu, walaupun bukan dalam bentuk visual yang ketara tapi cukup untuk memunculkan sesuatu yang fenomenal.

Oleh kerana muzik selalu menjelmakan visualisasi imej yang menghasilkan mood atau dalam bentuk mood (saya tak pasti sebab itu ia pelik), maka secara tak langsung setiap fragmen dalam naratif hidup saya mempunyai soundtrack tersendiri. Oleh sebab itu saya fikir hebatnya mood atau emosi yang dijana oleh muzik bergantung kepada imej, visualisasi dan gambaran fikiran yang dipandu oleh cebisan memori serta diperkuatkan dengan imaginasi dan interpretasi pendengar. Justeru takkan pernah wujud makna atau interpretasi yang baku dan seragam terhadap sesebuah muzik di antara individu dengan individu lain. Takkan ada pemaknaan kolektif. Maksud saya disini bukan makna yang bersifat harfiah, tapi lebih kepada pemaknaan individu yang bersifat intim dan peribadi kerana proses ini bertindak secara autopilot dan bergerak secara arbitrari.

Misalnya lagu My Heart Will Go On sudah tentu mengingatkan kita kepada filem Titanic dengan segala emosi yang dikumpulnya (dengan andaian semua pernah menontonnya). Malah tak keterlaluan saya katakan sampai kiamat mental kita akan mengasosiasikan lagu ini dengan imej visual filem tersebut. Tapi pengalaman emosi ini jika ditambah sikit imaginasi tidak hanya tersangkut di celah kelangkang Jack Dawson dan Rose Bukater, tapi menerawang jauh meninggalkan Titanic yang karam lalu menyentuh pengalaman psikologis dan sisi-sisi budaya kita sendiri. Mood seorang gadis remaja yang baru bercinta dengan mood seorang janda yang baru kematian suami setelah mendengar lagu ini sudah pasti berbeza (dengan andaian mereka pernah menonton Titanic). Mood dua lelaki yang mendengar lagu Sliver dengan salah seorang dari mereka pernah membaca Heavier Than Heaven sudah pasti juga berbeza.

Jadi jika saya ingin mengimbau nostalgia masa lalu, maka lebih mudah saya memutarkan semula lagu-lagu yang terakam di dalamnya zeitgeist atau roh period tertentu dalam hidup saya, yang seolah-olah bertindak sebagai soundtrack saya untuk fasa tersebut. Malah apresiasi terhadap muzik terkadang menjemput kita untuk menghargai kesejarahan atau historisiti yang mengikat lagu tersebut. Lagu-lagu Sex Pistols akan terasa lebih intim jika kita faham kondisi ekonomi dan politik di Britain pasca Beatles. Berkorban Apa Saja boleh jadi tearjerker song paling afdal jika kita sedar ianya tribut P. Ramlee kepada Norizan, di samping tahu bagaimana pertemuan awal mereka dan kesudahan kisah cinta mereka.

Penafsiran begini sudah tentu bertentangan dengan interperetasi yang dianjurkan Susan Sontag. Tapi saya yakin Sontag akan lebih histeria dengan ulasan filem Hassan Muthalib.Sebab itu saya sebutkan ia bersifat peribadi, ya terlampau peribadi sehinggakan saya sendiri tidak mampu menterjemahkan emosi yang ditanggung badan, walaupun sebolehnya saya ingin berkongsi emosi tersebut - antara mahu dan tak mampu - bagai makan buah simalakama. Saya sendiri kehilangan kata-kata dalam melukiskan emosi, perasaan, mood, makna atau apa saja istilah yang sama erti dengannya - istilah yang bermaksud ada rasa yang timbul, yang sukar diungkapkan akibat dari pertembungan saya dengan muzik (atau sebarang kerja seni).

Saya boleh setuju dengan beberapa hujah Sontag antaranya bila dia sebut bahawa interpretasi  - yakni usaha menafsir kerja seni, dengan melihatnya sebagai hasil yang sarat dengan simbol, metafora dan alegori yang boleh digali dengan pembacaan yang seragam dan komunis (atau istilah ringkasnya teori) - akan memiskinkan dan meracun kepekaan, kerana ia cenderung meletakkan seni di bawah hegemoni intelektualiti. Kerana bagi Sontag kerja seni itu sudah terang lagi bersuluh, tak perlu teori Marxist dan Freudian sibuk mencelah. Dan sedekat mungkin saya cuba untuk menikmati kerja seni dengan semangat transparence yang disebutkan Sontag, yakni experiencing the luminousness of the thing in itself, of things being what they are. Kerana saya bukanlah pendengar muzik yang teknikal, saya fikir saya boleh menikmati muzik dengan semangat tersebut. Justeru saya akui tulisan ini adalah tentang pengalaman bagaimana saya berpoya-poya dengan muzik, tak lebih dari itu. Dari perspektif lain, memang itulah yang sepatutnya kita kaji, yakni bagaimana untuk berpoya-poya dengan muzik (atau kerja seni) secara bijaksana. Tapi saya juga tak boleh menidakkan fakta yang kerja seni adalah produk budaya dan sudah tentu saya tidak beriman sepenuhnya dengan autonomi seni, jadi konsep menentang interpretasi anjuran Sontag tak boleh saya telan semuanya.

Jika Kant meletakkan harapan yang rendah kepada muzik, Imam al-Ghazali dalam Kimya as-Sa'adah memberi komentar yang berbeza. Zikir, puisi, muzik dan tarian memang memainkan peranan yang besar dalam tradisi sufi dan gnostik, walaupun bukan semua aliran sufi mempraktikkan setiap satu aktiviti-aktiviti tersebut. Benar, Imam al-Ghazali  meletakkan batasan tertentu dalam menikmati muzik, tapi beliau mengakui muzik (dalam hal ini muzik sufi) boleh menghasilkan ekstasi (wajd) yang mampu membawa manusia meninggalkan sisi fana dunia menuju kecintaan terhadap Tuhan. Sampai ke satu tahap, fizikal manusia sendiri tak mampu menampung bahang ekstasi ini. Kata al-Ghazali hati manusia mengandungi api yang nyalanya akan marak apabila disimbah muzik dan harmoni. Di tangan al-Ghazali muzik bukan superfisial, malah bersifat supernatural, transenden dan mistikal. Agak menarik sebenarnya apabila al-Ghazali memerihalkan muzik sebagai ekstasi dalam sebuah buku berjudul kimia.

Bagi ahli sufi, muzik itu bukan bermaksud menghadirkan semata-mata pengalaman sensual tapi pengalaman spiritual. Malah Ibnu 'Arabi mengecam mereka yang menganggap sesi meditasi sufi atau sama' sebagai sesi melayan muzik semata-mata. Sama' ini biasanya dilakukan di tempat tertutup, dengan syarat yang ketat dan bukan sembarangan orang boleh menyertainya, lebih-lebih lagi pseudo-sufi  yang mengaku mencapai puncak makrifat setelah habis baca kitab al-Hikam. Pengalaman dan mood ketika mendengar Fiona Apple melagukan Across the Universe bagi saya mungkin deep, tapi bagi para sufi hanyalah lintasan emosi yang kosong dan hampa. Muzik bagi ahli sufi hanyalah medium menuju tahapan tertentu yang tak mungkin dapat saya jelaskan di sini. Saya teringat kisah yang diceritakan Annemarie Schimmel tentang Junaid al-Baghdadi. Junaid yang sememangnya terkenal sebagai maestro sufi yang menggariskan etika tasawuf berlandaskan Quran dan sunnah, telah ditanya oleh kawannya mengapa dia tidak pernah bergerak ketika sama'. Jawab Junaid dengan memetik ayat Quran,"Kau lihat gunung-ganang dan kau sangkakan ia membeku, sedangkan ia bergerak seperti bergeraknya awan (An-Naml: 88).

Apa yang saya mahu sampaikan ialah; pergerakan muzik dengan notasi, skala dan temponya yang tersendiri secara langsung merangsang dan menggerakkan kita - mental, biologikal dan fizikal. Ketika mendengar muzik paling kurang, secara spontan kita akan menghentak kaki, atau menggerakkan jari, bahu dan sebagainya. Paling romantis dan appresiatif kita menari. Ketika berzikir kita menggerakkan kepala. Ketika hadir ke gigs atau konsert kita lihat aksi moshing, pogo atau headbanging. Lihat pula bagaimana muzik menggerakkan filem, menyentuh hati kita menyelusuri plot, memahami watak dan perwatakan. Muzik dalam filem-filem Hitchcock umpamanya yang selalu diistilahkan sebagai 'Hitchcock sound' sudah menjadi sebahagian dari naratif filem itu sendiri - memanipulasi, memandu dan menciptakan mood tertentu untuk penonton.

Bila kesedaran muzikaliti saya membuak-membuak, seingat saya  ketika berusia 14 tahun - terutama bila saya terjumpa beberapa kaset kepunyaan abah, antaranya After Hours (Gary Moore), The Very Best of Smokie, Crazy World (Scorpions), The Yngwie Malmsteen Collection, Silk Road II (Kitaro) dan The Legend of Power Rock (kompilasi cetak rompak) - majalah ROTTW sedikit sebanyak memberi pengaruh yang besar dalam hidup saya dan telah menyediakan wahana untuk saya memahami muzik dan keluasan dimensi muzik itu sendiri. Saya mula sedar muzik bukan hanya berkisarkan penyanyi dan pendengar. Saya mula sedar muzik bukan sahaja Search, Scorpions dan The Moffatts (saya peminat Hanson). Saya mula sedar muzik bukan hanya gitar, bass dan dram. Saya mula sedar kategori muzik bukan hanya pop-rock, balada dan irama Malaysia seperti yang saya lihat dalam Muzik-Muzik. Di sini ROTTW berperanan menyediakan rekomendasi, review, ulasan dan cadangan terhadap pemuzik-pemuzik dan karya-karya mereka yang sebelum ini tidak pernah menerjah otak dan telinga saya.

Sebagai budak kampung di mana capaian terhadap zine, gigs atau maklumat yang berkait dengan muzik bersifat terhad, malah akses internet masih mewah ketika itu, maka ROTTW berfungsi seperti majalah al-Imam, yakni untuk 'mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan muzik yang menyeru dengan kebajikan kepada mereka itu'. Awak perlu faham, ketika itu, yakni zaman saya membesar, muzik adalah barang mewah dan eksklusif. Duplikasi muzik tidak semudah copy and paste atau muat turun dari internet atau perkongsian melalui Bluetooth. Muzik ketika itu disimpan secara analog dalam entiti yang bernama kaset dan muzik digital pula hanya mampu dinikmati peminat muzik berstatus borjuis. Agak mustahil untuk saya sedar tentang wujud sebuah band bernama Green River yang telah mempengaruhi scene muzik Seattle dan membiakkan band-band berpengaruh kemudiannya hanya berpandukan media arus perdana. Sudah tentu ROTTW bukan sahaja berbicara tentang pemuzik, band dan album sahaja, malah turut menyentuh sisi-sisi teknikal dan teori muzik itu sendiri (cuma sebagai remaja ketika itu, saya kurang berminat untuk belajar teori dan teknikal)- lihat sahaja kolumnya yang pelbagai - Bengkel Gitar Rom, Kolum Bass Hanafie Imam, Ruangan Vokal Siti Hajar, Teori Muzik, Akar Muzik Moden, Tips Gitar dan lain-lain.

Usaha penerokaan muzik ini perlu saya rintis secara solo kerana saya anak sulung, jadi tiada abang atau kakak yang menjadi kiblat atau pemandu arah. Tiada kaset-kaset warisan yang boleh membantu mencerahkan pergolakan batin saya dalam meneroka muzik. Kaset-kaset abah kebanyakannya tergolong dalam kategori heavy metal dan hard rock. Walaupun album Smokie milik abah adalah  slow rock terbaik sepanjang zaman bagi saya, dengan saya mengulang-ngulang track If You Think You Know How to Love Me, Lay Back in the Arms of Someone dan Living Next Door to Alice berkali-kali sehari, tapi itu semua tidak cukup untuk memuaskan nafsu saya. Dan saya tahu abah pemuja Scorpions dan Deep Purple yang serius. Scorpions Acoustica yang saya beli ditontonnya saban hari. Bapa saudara saya pula kebanyakannya layan band rock Malaysia, jadi nafsu saya meronta-ronta mahukan spektrum muzik yang lebih luas. Saya cepat jemu dengan sesuatu yang statik.

Ada juga perkongsian maklumat di antara kawan-kawan tapi saya tidak percaya semua maklumat yang disogokkan mereka kerana setelah melakukan rujuk silang ternyata banyak maklumat mereka songsang, sesat dan bidaah. Antara maklumat songsang tersebut ialah Che Guevara adalah ahli kumpulan Rage Against The Machine dan Black Sabbath adalah kumpulan Black Metal. Entah perawi mana sumber ini diambil masih tinggal tanda tanya. Di sini ROTTW memainkan peranan meluaskan skop muzik saya. Cuma yang celaka, bandar saya bukan berstatus metropolitan di mana saya boleh mendapatkan album Ten (Pearl Jam) dengan mudah. Mogwai, Sonic Youth atau Mudhoney, jangan haraplah. Bayangkan bila saya membaca artikel tentang Deftones, dan bila duit mencukupi, saya bergegas untuk mendapatkan album Around The Fur, hasil yang saya bawa pulang ialah album The Masterplan bersama poster percuma Liza Hanim (bayangkan poster pun terhad!).

Tapi jangan salah faham, bandar ini bukan bandar pedalaman dihuni manusia psikopat bergigi rongak yang nekad menebas batang tubuh awak semahunya. Kalau itu yang awak bayangkan maka hanya taubat nasuha yang boleh menebus dosa imaginasi liar awak yang tak berpedoman itu. Ini bandar kesayangan saya dan seharusnya menjadi contoh kepada bandar-bandar lain. Keseimbangan antara tradisi dan modeniti masih terpelihara dengan penduduk yang peramah, elegan dan maju. Malah ada dua kedai kaset dan VCD di sini -  setakat diskografi Metallica, Nirvana, Greenday dan Sepultura memang boleh jumpa. Cuma semua album ini saya tak perlu beli kerana boleh pinjam dari kawan-kawan. Dan perkara yang buat saya meroyan ialah album yang saya mahu beli selalunya tak ada di sini. Inilah yang kerap berlaku, kunjungan saya ke bandar dengan harapan untuk mendapatkan album tertentu berakhir dengan saya membeli album lain. Akhirnya saya nekad ke bandar tanpa sebarang ekspektasi  untuk mengelakkan rasa hampa yang kepalang. Bila tidak ada pilihan yang baik, jalan selamat ialah dengan membeli album kompilasi. Setiap pembelian itu harus berbaloi kerana bapa saya tidak memiliki syarikat multinasional dan kami tak punya kolam renang di halaman rumah, maka saya tidak boleh berbelanja sewenang-wenangnya. Perlu ada pertimbangan yang cermat sebelum mendapatkan sesuatu.

Ada waktunya saya berharap untuk beli album tertentu tapi berakhir dengan pembelian album lain oleh band yang sama. Kaedah ini berisiko yakni bergantung kepada keimanan saya kepada band tersebut, sejauhmana saya mengenali mereka dan muzik mereka kerana seperti yang saya sebutkan di awal tadi kebanyakan band cenderung untuk bereksperimentasi dengan bunyian baru. Jadi kebarangkalian untuk saya dikecewakan adalah tinggi. Malah saya jarang praktikkan kaedah ini jika saya tak pernah dengar langsung satu haram pun lagu mereka - maksudnya album yang akan dibeli nanti adalah karya pertama yang saya dapatkan dari band tersebut dan saya tidak ada maklumat berkaitan album lain yang dihasilkan mereka kecuali album yang satu itu. Ini untuk mengelakkan saya mencarut dan menghantukkan kepala ke stereo bila hasilnya tak seperti disangkakan. Saya secara peribadi berpendapat, untuk bertaaruf dengan sesebuah band/ penyanyi/ pemuzik, awak perlu mendapatkan album atau lagu yang betul. Betul di sini bermaksud bersifat easy listening dan catchy, yakni bertindak sebagai ice breaker session untuk pertautan yang lebin intim dan jitu.

Saya sendiri ada pengalaman suka duka bila berlaku situasi ini. Tapi kebanyakannya positif kerana jika sesi melayan lagu pusingan pertama kurang memuaskan hati, saya ulang dengar untuk kedua kali dan meneliti semula setiap lagu satu persatu untuk membolehkan gist lagu tersebut meresap ke dalam jiwa saya. Ini juga kelebihan kaset berbanding CD atau MP3 kerana saya tak boleh skip lagu seterusnya sesuka hati. Tipsnya hanya satu: ulang dengar hanya jika saya rasakan album tersebut berbaloi untuk diulang dengar. Jika sejak awal bunyi-bunyian album tersebut hanya menerbitkan rasa penyesalan maka anak haram tersebut memang wajar diabaikan. Selalunya first track boleh jadi penentu sama ada sesebuah album itu berbaloi diulang atau tidak.

Biar saya ceritakan pengalaman saya. Pada suatu petang, saya menjenguk bandar dengan nawaitu untuk membeli album Ok Computer, sebuah mukjizat rock baru dari Radiohead. Ya, ketika itu saya sudah mendengar Paranoid Android dan ia memang kerja tangan yang gila babi. Kalau saya peminat Misteri Nusantara mungkin saya percaya Pick of Destiny kini milik Radiohead. Dan saya tak nafikan lagu-lagu Radiohead paling banyak menimbulkan mood pelik kepada diri saya. Saya bukan peminat tegar Radiohead, saya peminat tegar Butterfingers. Saya juga peminat tegar seorang genius dari Abeerden yang mengambil keputusan bangang dengan melubangkan kepala sendiri dengan shotgun. Tapi ironinya kalau anda peminat tegar Butterfingers dan genius muzik dari Aberdeen, kebarangkalian untuk anda menjadi peminat tegar Radiohead adalah besar. Kadang-kadang saya fikir Radiohead ini meneruskan legasi kekecewaan genius muzik dari Aberdeen dengan tema lirikal yang berkait dengan alienation, depresi, kesepian dan eksistensialisme bersama musical attitude yang menongkah arus - cuma Radiohead melakukannya dalam bentuk yang lebih majestik. Dan harus saya akui, Radiohead genius yang muncul di tempat yang betul pada masa yang betul dengan muzik yang betul. Tapi waktu itu nasib saya kurang baik, OK Computer tak ada, dan kerana keimanan saya yang teguh kepada Radiohead akhirnya saya beli Kid A.

Ramai yang sangka Kid A bukanlah batu loncatan terbaik untuk sesiapa yang mahu bertaaruf dengan Radiohead kerana ia bukan album dengan karakter user-friendly yang mahu mencubit-cubit telinga kita dengan manja. Ia akan melempang dan kemudian bercumbu dengan awak, mengejutkan tapi kemudian merasuk, menyakitkan tapi satu kenikmatan - ibarat perlakuan sadomasokisme tahap avant-garde. Perlu sabar dan tahan sakit untuk menikmatinya. Kid A ialah - kalau boleh pinjam terma Althusser - epistemological break dari bunyi-bunyian dalam tiga album awal mereka. Oleh itu, untuk jatuh cinta dengan Radiohead saya sarankan awak mengikuti album mereka secara kronologi, kerana momentum muzik mereka dibina fasa demi fasa, bersifat kaleidoskopik dan kontinuiti muzik ke arah Kid A sudah terbina sejak Pablo Honey lagi. Saya yakin setelah mendengar Pablo Honey,The Bends dan Ok Computer - walau bagaimana novis sekali pun citarasa muzik awak - awak boleh menghargai Kid A dan kembarnya, Amnesiac. Saya sebolehnya mahu semua manusia menikmati Kid A (dan Radiohead) dan saya benci manusia yang mahu menjadikan Radiohead sebuah band elit yang hanya mampu dinikmati oleh dewa-dewa yang bersemayam di Gunung Olympus. Semua orang boleh menikmati Radiohead - itu saya pasti - tapi harus bermula dengan jalan yang betul.

Kid A seperti bunyian yang dihasilkan oleh Frankenstein yang cuba memberi amaran tentang bencana yang akan menimpa umat manusia 100 tahun dari sekarang. Apabila track pertama Everything In Its Right Place berkumandang, saya didatangi perasaan yang pelik. Muncul  track kedua Kid A, saya kesan perasaan itu makin kuat...perasaan yang saya telah membeli album yang salah! Walaupun terdetik di hati saya apa kejadahnya Radiohead berbunyi seperti The Chemical Brothers, tapi saya tidak tekan punat stop, saya terus melayan. Terus layan melepasi How to Disappear Completely, yakni track paling radio-friendly dan masuk akal dalam album ini hingga disudahi Motion Picture Soundtrack. Saya bukan ingin menjual ubat berjenama Radiohead di sini, kerana untuk kata 'ubat' saya rekomendasikan jenama Damien Rice, tapi saya ingin kongsikan pengalaman muzikal paling ajaib dalam diri saya.

Setelah habis satu album, perasaan untuk mengulang semula album tersebut adalah kuat. Saya yakin ia bukan satu usaha untuk menjadikan pembeliannya berbaloi. Ia memang desakan untuk menikmati sekali lagi bunyian tersebut kerana ia masih terngiang-ngiang di telinga saya. Saya fikir kekuatan album ini (malah semua album Radiohead) tetap vokal Yorke sendiri yang walaupun dirogol dengan pelbagai efek - tetap memberi emosi pada lagu - kerana tanpa vokal beliau (jika Kid A sebuah instrumental), album ini sudah lama saya bakul sampahkan. Peliknya, album ini saya gemar mainkan pada waktu pagi ketika berada di kampung - satu-satunya waktu dan lokasi yang mujarab untuk Kid A beraksi. Saya rasa elemen tenang di kampung yang dikelilingi pokok merimbun, dengan bunyi kuali mak menyediakan sarapan di dapur, ditambah mise en scene pagi yang menawan seolah-olah menawarkan harapan untuk umat manusia melawan kegelapan yang menanti mereka di hadapan. Tapi pada ketika yang lain saya bayangkan ketenangan itu dipecahkan oleh gerombolan makhluk asing yang mahu menjajah kampung kami. Sampai sekarang saya masih pelik bagaimana saya boleh menikmati muzik begini. Memang celaka.

Ada manusia memilih untuk lari dari kebiasaan hanya untuk kelihatan cool. Untuk kelihatan berbeza, rebel dan trendy. Itu saja. Memilih untuk jadi bohemian, vagabond, anarkis dan indie tak menjadi masalah pada saya. Tapi memilih untuk menjadi yang di atas dengan niat untuk cool saya ada sikit masalah. Bila mereka mahu diri mereka ditampal dengan jenama cool, mereka cenderung memilih band atau penyanyi luar (atau personaliti) yang kelihatan serasi dengan terma cool tersebut. Walaupun saya sering tertanya-tanya binatang spesis apakah cool ini? Dan siapa yang menentukan kriteria cool tersebut? Saya rasa cool ini ialah persepsi yang dikonstruk oleh media massa yang sentiasa menjadi apparat rejim korporat dan ideologi picisan untuk menjual personaliti yang berjenama self-identity. Semua imej berjenama rebel, anarkis, indie dan segala mak nenek subculture ini sudah menjalani proses komodifikasi budaya kerana ia adalah jenama kegemaran anak muda yang menolak gaya hidup mat belia. Dan jual gaya hidup memang boleh untung.

Saya, awak dan mereka takkan dapat lepas lari dari culture industry ini, tak kisahlah berapa cool, atau radikal, atau rebel atau indie sekalipun diri awak. Malah saya rasa mereka yang cool, radikal, rebel dan lain-lain ini lebih cenderung menjadi mangsa konsumerisme global berbanding mereka yang layan Ahmad Jais, yang menurut saya lebih autentik dan jantan. Inilah argumen utama buku The Rebel Sell, yakni sebarang counterculture dan subculture - yang muncul dari keinginan untuk berbeza atau menjadi yang lain - telah menggalakkan budaya konsumerise secara langsung. Genius muzik dari Aberdeen yang mengambil keputusan bangang dengan melubangkan kepala sendiri dengan shotgun juga berdepan dilema yang sama.

Sudah tentu argumen ini terlalu umum tetapi dalam masyarakat yang disifatkan Guy Debord sebagai society of the spectacle - masyarakat yang memuja penampakan yang dangkal dan melulu, masyarakat yang hubungan dan status sosial mereka dimaknakan oleh pencitraan imej dan simbol yang (kononnya) spektakular  - argumen ini tidak boleh diperlekehkan begitu saja. Jadi janganlah manusia yang suka merendahkan taste manusia lain kalau kita - yakni saya, awak dan mereka - lahir dari rahim budaya yang sama.

Saya tak kisah berapa kilo cool yang mereka mahu, tapi kadang-kadang perangai mereka menjengkelkan, seperti Barry dalam High Fidelity - berasa diri mereka elitis dalam muzik dan melecehkan citarasa seni manusia yang berbeza dengan mereka, malah kadang-kadang lebih celaka sentimen itu melajak ke citarasa lain seperti jenama rokok, seluar dalam dan kuah rojak. Biarlah mereka pilih kuah rojak An-Nur berbanding Mak Bee kerana pakej kacang yang diletakkan berasingan itu mungkin memberi estetika bentuk kepada mereka. Apa masalahnya? Apa mereka fikir mereka Dewa Apollo? Saya rasa sekarang pun bibir mereka terjuih sambil mengeji citarasa muzikal saya yang miskin. No, you're not an asshole. You're just trying so hard to be. Ya, saya tahu saya petik dialog filem The Social Network.

Saya tak ada masalah kalau pengetahuan muzik mereka bersifat ensiklopedik seperti Barry kerana manusia makhluk yang hidup dengan membuat pilihan melalui penilaian. Penilaian adalah perbandingan di antara satu objek dengan objek yang lain dengan menggunakan piawaian tertentu. Hasilnya sudah tentu ada objek (menurut penilaian kita) yang lebih baik dari objek yang lain. Saya tak ada masalah dengan hal ini. Cuma saya rasa citarasa muzikal mereka hanyalah bersaiz mini dan mereka hipokrit pada diri sendiri. Saya kasihankan mereka kerana citarasa mereka yang (kononnya) mahal itu menghalang mereka untuk menikmati horizon muzik yang lebih luas. Saya syak nawaitu mereka sebenarnya minat pada Mawi, tapi oleh kerana emak mereka sendiri dan semua kawan-kawan mengaji emak mereka pun minat Mawi, mereka terpaksa tolak Mawi. Mahu saja saya memeluk dan menyapu ubun-ubun kepala mereka seraya menasihati mereka tidak ada salahnya minat Mawi.

Dengan tak mahu jadi diri sendiri mereka terpaksa menjadi orang lain - pakai t-shirt Pixies dan 'like' FB page Joy Division, The Beta Band, The Who, Velvet Underground - walaupun haram mereka tak pernah dengar lagu-lagu band tersebut. Semua ini terpaksa dilakukan kerana kawan-kawan mereka (dan media massa) memberitahu mereka untuk  jadi cool dan tersendiri mereka perlu dengar muzik tertentu, pakai pakaian tertentu, baca buku tertentu dan hidup dengan lifestyle tertentu. Walaupun dalam hati mereka meronta-ronta nak dengar lagu Gadis Melayu, tapi mereka rasa malu - takut tak indie, tak rebel dan tak cool. Hasilnya pemikiran begini memunculkan manusia pseudo dan hipokrit di semua aspek kehidupan. Baik mereka dengar bait-bait lirik High and Dry, "you’d kill yourself for recognition, kill yourself to never, ever stop, you broke another mirror, you’re turning into something you are not". Nanti dulu, bukan setakat High and Dry, rasanya molek mereka dengar semua lagu dalam album The Bends baru puas hati.

Saya fikir beginilah, hanya kerana awak minat Daft Punk yang bertopeng Gaban tidak menjadikan taste awak lebih tinggi dari manusia lain yang minat Uji Rashid. Saya tak ada masalah dengan Daft Punk, saya ada masalah dengan attitude awak yang belajar tak pernah habis. Dan bagi saya gejala tak kenal Uji Rashid dan Hail Amir yang melanda generasi muda sekarang adalah satu fenomena yang membimbangkan.

Thursday, March 13, 2014

Jauh Dari Semua Jalan



"Pikiranku sedang dipenuhi hal-hal seram, merampas segala yang dikatakan nikmat. Bumiku, bumi manusia ini, kehilangan segala kepastiannya. Semua ilmu dan pengetahuan yang telah menjadi diriku sendiri, meruap hilang. Tak ada sesuatu yang bisa diandalkan," begitu kata Minke ketika memikirkan tentang urutan peristiwa yang mengocak akal dan jiwanya dalam roman Bumi Manusia. Minke cuba mengaitkan semula pengetahuan yang dimilikinya dengan realiti yang menimpanya. Mungkin bagi Minke, dunia ternyata sukar dimaknakan dan pengetahuan kita tentang dunia sebenarnya tidak pernah menghampiri kebenaran. Pengetahuan sekadar menyingkap pemaknaan-pemaknaan baru yang tidak pernah menawarkan kepastian. Penafsiran semakin banyak, tapi kebenaran semakin menjauh dan tragedi beratur panjang menunggu giliran menghenyak manusia.

Seorang manusia jujur yang meneliti kehidupan pasti akan berkongsi perasaan yang sama dengan Minke. Manusia yang mahu melihat dunia yang lebih baik, dunia yang dipenuhi manusia yang beradab dimana akhirnya segala kekacauan akan berakhir dengan munculnya cahaya di hujung terowong. Tetapi bagi manusia idealis, kadang kala harapan hanya tinggal harapan. Manusia akhirnya dilihat sebagai makhluk celaka yang memang diciptakan untuk menderita. Dan rasa putus asa kadang-kadang menghantar mereka dalam kondisi yang disebutkan Soren Kierkegaard sebagai 'sickness unto death' - situasi di mana individu punya kesedaran yang tinggi tapi masih gagal mencari makna kewujudan. Merasa patah hati mencari diri sendiri tapi pada masa yang sama tak dapat menjadi yang lain.

Tiba pada titik tertentu, mereka lelah mencari jawapan dan mula berserah kepada skeptisisme, pesimisme dan relativisme. Bukan bermaksud menolak kepastian tetapi menangguhkannya kerana seperti painkiller, ia melegakan kesakitan. Menangguhkan sebuah kepastian tentang kebenaran kerana realiti menunjukkan tiada yang pasti tentang manusia apatah lagi jika kepastian itu sendiri datangnya dari manusia. Mungkin apa yang disebut realiti itu pun perlu dicabar. Ditambah dengan pembacaan karya-karya eksistensialisme nukilan Kierkegaard, Nietzsche, Dostoevsky, Camus dan Sartre - atau yang terbaru dengan menonton True Detective yang menelanjangkan paradoks, hipokrasi dan psikologi gelap manusia ke tahap paling agung - justeru ketidakpastian itu sendiri kelihatan sesuatu yang meyakinkan untuk disandarkan. Menonton True Detective adalah kepuasan sinematik yang mengujakan dan menjadikan Se7en seperti filem Disney. Tapi itu cerita lain.

Pergumulan akal dan emosi dalam mencari kebenaran adalah satu sikap positif, hanya jika disertakan dengan semangat yang bersungguh dan cermat. Bersungguh kerana ia bukan aktiviti sampingan setelah kau terpana dengan idea Ahmad Wahib. Cermat kerana ia memerlukan disiplin dan kaedah, bukan bermaksud ia mesti dipandu metodologi falsafah yang ketat dan sistematik, cukup sekadar kemampuan untuk membaca gejala dan tanda kehidupan, dan mampu pula melihat sifat, hubungan dan peranan setiap gejala tersebut. Tapi bak kata Murthada Muthahhari, keraguan yang membimbangkan ialah keraguan yang tidak diteliti dan diperhalusi. Attribut penting manusia ialah kita makhluk yang berakhlak dan beradab. Alam ini juga dicipta dengan keteraturan dan ketertiban. Untuk memahami apa yang mahu disampaikan alam, kita harus mendekatinya dengan tertib, kesungguhan dan disiplin. Tenggelam dalam melankoli eksistensi yang tak berkesudahan pastinya tidak menawarkan sebuah kepastian. Tapi itu juga cerita lain.

Jadi benarkah ini zaman ketidakpastian atau zaman keraguan bersarang di kepala manusia. Zaman kerancuan makna dan nilai. Zaman postmodenisme katanya. Jean-Francois Lyotard dalam bukunya yang disifatkan sebagai Bible kepada postmodenisme, The Postmodern Condition: A Report on Knowledge, menulis bahawa postmodenisme dicirikan oleh ketidakpercayaan kepada metanaratif (incredulity towards metanarratives). Seakan mengambil semangat Nietzsche yang melontarkan God is dead, Lyotard juga secara tidak langsung mengisytiharkan metanarratives are dying. Postmodenisme adalah rantaian baru dari rasa patah hati manusia mencari kepastian. Lantas diisytiharkan bukan sahaja tuhan telah mati, tetapi subjek, objek dan kesedaran manusia juga telah mati. Gagasan postmodenisme yang bersimpang siur ini selalu disebut bermuara dari Nietzsche, satu percubaan untuk menyambung idea skeptisisme beliau dalam melakukan 'penolakan radikal terhadap nilai, makna dan keinginan' yang ditawarkan modeniti.

Tapi lebih awal lagi, atau lebih tepat lagi, sebelum Nietzsche, postmodernisme sejujurnya lebih mendekati golongan Sofis era Yunani yang mendendangkan soal relativiti, subjektiviti, retorik dan peranan bahasa dalam politik - lagu-lagu yang dimainkan semula oleh postmodenisme kini. Nietzsche sendiri memang akademis filologi dan meminati budaya, sastera dan falsafah Yunani. Berbanding golongan Sofis, Nietzsche lebih mendekati aliran skeptik Pyrrhonisme. Pendiri mazhab ini, Pyrrho telah mengkaji karya-karya nukilan Democritus, filosofis yang turut diminati Nietzsche. Democritus adalah sifu kepada Protagoras dan selalu disebut sebagai pelopor awal skeptisisme (walaupun ada kritikan terhadap kenyataan ini) yang terkenal dengan kata-kata "in truth we know nothing, for truth is in the depth". Nietzsche tertarik dengan Democritus yang menolak penjelasan bersifat supernatural, mistikal dan mitos terhadap dunia dan kehidupan.

Postmodenis cuba mengangkat semula manifesto kaum sofis yang dilaungkan Protagoras -'man is the measure of all things, of things which are, that they are, and of things which are not, that they are not." Pertembungan modenis dan postmodenis seakan mengulang pertembungan Plato dan golongan sofis suatu ketika dulu. Plato mengecam golongan sofis yang mahu berkhutbah tentang keadilan tanpa memahami maksud sebenar keadilan itu sendiri. Turut dikecam Plato ialah penggunaan retorik yang dihias indah dengan falasi bijak oleh golongan sofis untuk menguatkan hujah mereka. Tulis Plato (sudah tentu melalui lidah Socrates) dalam Gorgias,"Thus rhetoric, it seems, is a producer of persuasion for belief, not for instruction in the matter of right or wrong". Penting untuk kita sedar bahawa Plato sendiri menggunakan berbakul-bakul retorik dalam siri dialog Sokratik yang ditulisnya (yang kebanyakan watak antagonisnya adalah sofis). Malah seruan golongan sofis agar segala ilmu, pengetahuan dan keyakinan sentiasa diperiksa dan dipersoalkan adalah selaras dengan seruan Socrates, sifu Plato sendiri. Masalah Plato bukanlah retorik itu sendiri melainkan pendirian dan matlamat golongan sofis terhadap keadilan dan kebenaran.

Nietzsche dan postmodernisme mungkin berkongsi pendekatan yang sama - anti idealisme dan Dionysianisme, tetapi ternyata matlamat akhir mereka berbeza. Nietzsche yang rapsodik dan puitis itu telah memperkenalkan konsep transvaluation of values, will to power dan superman sebagai upaya umat manusia melepasi segala kekangan, menciptakan spesis baru manusia – dengan moraliti baru -  yang akan terus bertahan melawan kegilaan zaman di mana tuhan sudah mati dan manusia hilang punca dalam kekacauan moral dan spiritual. Satu yang menarik dengan Nietzsche ialah ideanya digunapakai oleh pelbagai aliran; dari anarkis (John Moore), fasis (Nazi), Islamis (Iqbal) dan postmodenis. Postmodenisme bukanlah wacana yang tercabut terus dari akar epistimologi Barat, justeru di tangan Lyotard, Braudrillard, Derrida dan Foucalt kita berjumpa semula sentuhan Nietzsche, Marx dan Heidegger yang jika digali lagi akan menemukan kita dengan Hegel, Schopenhauer dan Kant - boleh dikatakan ia hanyalah kesinambungan dari perca-perca tradisi falsafah romantis dan idealis Jerman yang dibumbui semangat counter-Enlightenment, dan sudah tentu finishingnya diperkemaskan oleh intelektual-intelektual kiri Perancis.

Postmodernisme adalah istilah yang sukar dimaknakan secara spesifik, ia melibatkan hubungan sah dan terlarang merentas pelbagai organ reproduksi dan melahirkan benih halal dan haram yang juga pelbagai. Perbahasannya meluas dan mencakupi pelbagai bidang; asalnya muncul dari teori seni bina, masuk ke ranah seni, berkembang ke dalam kesusasteraan, mencelah di balik teori sosial dan bercambah dalam bidang psikologi dan falsafah. Walaupun kamus dalam talian, Urban Dictionary mendefinisikan postmodernisme sebagai “pseudo-intellectual Trojan Horse of tyrants everywhere in the western world” dan “dressing up bullshit in flowery language”, tapi dengan kepesatan teknologi maklumat, media massa, komunikasi serta ledakan audio-visual ke tahap histeria, postmodenisme nyata bukan sekadar catch-phrase dan mumbo-jumbo intelektual. Kata Lyotard postmodenisme ialah sebuah transformasi budaya yang mengubah hukum sains, kesusasteraan dan seni. 

Lawrence Kuznar dalam bukunya Reclaiming a Scientific Anthropology menyenaraikan tujuh rukun pemikiran postmodenisme:
1. Mengangkat teks dan bahasa sebagai asas kewujudan fenomena
2. Penerapan kaedah analisis bahasa kepada semua fenomena
3. Mempersoalkan realiti dan representasi
4. Kritik kepada metanaratif
5. Argumen terhadap metodologi dan penilaian
6. Hubungan di antara kekuasaan dan hegemoni
7. Kritik kepada institusi pengetahuan Barat

Neo-sofisme moden ini pada awalnya dikembangkan oleh intelektual kiri yang putus asa dengan sosialisme dan Marxisme. Antagonisme Marxisme dan kapitalisme (malah apa saja 'isme') menurut mereka bersifat ironi, merepek dan poyo- kesemuanya bercerita tentang emansipasi, kemajuan dan pembangunan tetapi natijahnya cenderung mewujudkan tirani, penderitaan dan kesengsaraan yang tidak pernah surut. Modeniti hanya melahirkan Hitler, Stalin, Little Boy, Fat Man dan generasi hippies yang menganggap LSD dan seks adalah penawar segala kebejatan dunia. Postmodeniti adalah reaksi kritikal kepada modeniti yang gagal mewujudkan kemanusiaan yang adil dan harmoni. Sebuah perlawanan kepada Enlightenment yang gagal memanfaatkan rasionaliti bagi mengubah kondisi umat manusia ke arah yang lebih baik. Ianya sebuah kritik terhadap teori dan projek modenisasi - perlawanan kepada metanaratif dan segala mak nenek ortodoksi yang hanya mampu menawarkan makna hidup yang tidak bermakna. Postmodeniti memilih anarki berbanding hierarki,  antitesis berbanding sintesis, imanen berbanding transenden, retorik berbanding semantik dan disensus berbanding konsensus. Postmodenisme boleh disebut sebagai radikalisme baru yang dibenihkan oleh wacana kritis post-Marxisme.

Bagi postmodenis, manusia tidak pernah (dan tidak dapat) hidup (dan memahami) realiti kerana kehidupan manusia dikonsepsikan oleh teks yang merepresentasikan realiti. Manusia dilingkungi oleh sistem linguistik yang terdiri dari perkataan, ayat dan ucapan yang memaknakan kehidupan mereka. Mereka dibentuk oleh sistem sosio-linguistik. Setiap sistem sosio-linguistik saling sandar menyandar di antara satu dengan yang lain kerana setiap dari sistem tersebut menawarkan pemaknaan yang berbeza untuk menangkap realiti. Di sini pemaknaan yang benar terhadap realiti tidak pernah siap dan selesai. Oleh itu, tiada sistem sosio-linguistik yang boleh mendakwa mereka mencapai pemaknaan yang absolut tentang sesuatu (malah pemaknaan itu pun sekadar representasi dari realiti), menjadikan konsepsi manusia tentang dunia dan kehidupan bersifat relatif. Penjelasan (teks) tentang fenomena tertentu hanya menghubungkan teks tersebut kepada serangkaian teks lain. Oleh itu tidak ada yang wujud di luar teks atau bahasa. Ini menjadikan kehidupan seperti cerita, kisah atau fiksyen – sebuah naratif yang bebas diinterpretasikan. Jadi metanaratif adalah cerita tentang cerita atau bapak segala cerita; yakni ideologi yang menghubungjalinkan aspirasi manusia dengan melegitimasikannya melalui cita-cita universal kemanusiaan - ianya sebuah totaliti perspektif terhadap kehidupan - tentang bagaimana realiti dimaknakan dalam sebuah cerita yang koheren. Contoh metanaratif adalah seperti doktrin agama, saintisme, kemurnian demokrasi, Marxisme dan lain-lain. Oleh itu, postmoden menurut Lyotard ialah zaman metanaratif dicairkan dan dibentuk semula sebagai naratif-naratif kecil.  


Jika modeniti adalah era metanaratif dilegitimasikan dan diangkat statusnya sebagai sahih atau sakral - menjadikan metanaratif tersebut sebuah komitmen dan  jihad yang tidak dapat diragukan - sebaliknya era postmodeniti pula menjadikan metanaratif tidak lagi wujud sebagai cerita dominan yang dikongsi bersama. Sumber legitimasinya kini diperiksa, dipersoalkan malah dicabut, maka yang tinggal adalah penafsiran-penafsiran yang bersifat relatif dan berselerak. Dengan demikian muncul naratif-naratif kecil, terhapusnya pemikiran dikotomi dan binary opposition, yang wujud kemudian adalah era dekonstruksi, desakralisasi, zaman segala pengetahuan perlu dirombak dan dibongkar, di mana kebekuan penafsiran boleh dicairkan untuk menyingkap makna-makna baru yang bersifat prospektif berbanding retrospektif. Makna-makna baru ini dibongkar secara berterusan tanpa merujuk kepada logos dengan menggunakan kaedah free-play of language. Namun perlu dipertanyakan juga, sampai ke dasar mana ia perlu dibongkar dan dijungkirbalikkan, jika logos tidak lagi memainkan peranan, apa makna yang mahu digali – atas maksud apa – bilakah kita sedar makna sebenar atau prospektif itu dijumpai – apa penanda makna itu bersifat prospektif berbanding retrospektif? Pertanyaan demi pertanyaan ini kadang-kadang membuat kita lupa bahawa seperti yang disarankan, teori dekonstruksi juga sekadar free-play of language atau mungkin boleh disebut sebuah foreplay atau ringan-ringan kata orang.

Jika modeniti mengangkat rasionaliti saintifik sebagai kebenaran tertinggi (Marxisme itu pun dinamakan sosialisme saintifik untuk menumpang legitimasi sains) dan naratif agama disingkirkan, di era postmodeniti pula, pengetahuan saintifik juga dibuang sebagai kebenaran tertinggi kerana sains sendiri menyandarkan dirinya kepada naratif. Malah menurut Lyotard, nalar adalah produk kecerdasan manusia, bukan sesuatu yang pasti mengarah kepada kebenaran. Sains terpaksa bersandar kepada naratif dalam usaha melegitimasikan dirinya kerana sains sendiri tidak mempunyai sumber legitimasi -  ia tidak dapat menggunakan kaedah, metodologi dan prosedur saintifik untuk mengabsahkan kewujudannya. Contohnya sains tidak dapat menjawab persoalan mengapa penemuan sains penting kepada masyarakat? Maka sains menyandarkan dirinya kepada dua metanaratif; politik dan falsafah. Dalam politik ia bermula dari Enlightenment – era rasionaliti dijunjung di kepala dan dikhabarkan penyatuannya dengan kaedah saintifik akan membawa kemajuan dan pembebasan kepada umat manusia. Dalam falsafah ia bermula dengan konsep knowledge unity/ absolute knowledge anjuran Hegel yang mendakwa pengetahuan akan berkembang secara progresif dan membawa manfaat kepada manusia. Dan akibat keruntuhan dua metanaratif ini, sains hilang legitimasinya.

Postmodernisme meraikan pluraliti serta subjektiviti, supaya natijahnya nanti tiada lagi yang mendabik dada bahawa kebenaran milik mereka, tiada lagi kebenaran yang objektif, tiada dominasi wacana, tiada lagi totalitarianisme, kerana Lyotard melihat pengetahuan kini tidak lagi dibangunkan untuk maslahat kemanusiaan tetapi telah dikomoditikan. Dan ini yang cuba disentuh Lyotard yakni hubungan antara pengetahuan, kekuasaan dan autoriti. Tanya Lyotard "who decides what knowledge is (pengetahuan), and who knows what needs to be decided (kekuasaan & autoriti)?". Beliau bimbang hegemoni wacana yang dilegitimasikan dengan rasionaliti universal akan menindas wacana pinggiran dan marjinal, menutup keterbukaan wacana yang positif, prospektif dan pelbagai kerana kemanusiaan realitinya bersifat jamak sosio-budaya. Jadi mana mungkin kesatuan wacana boleh diwujudkan menerusi kompleksiti kemanusiaan. Yang membimbangkan Lyotard bukan utopia kemajuan, kisah syurga atau pembebasan kelas pekerja yang dimuatkan di dalam metanaratif tersebut, tetapi legitimasi yang diterima oleh metanaratif tersebut menerusi logik universalisme yang dipanggil metadiscourse, yakni wacana-wacana besar dan universal yang tidak diperhalusi secara kritikal dan seterusnya memadam wacana-wacana sampingan yang berkemungkinan menawarkan wacana yang lebih signifikan. Di sini postmodenisme membuang elitisme dari wacana falsafah dan pemikiran moden (malah seni) dan seterusnya menyuntik elemen popular dan meraikan diversiti budaya.

Postmodenis berbeza matlamat dengan golongan sofis Yunani yakni dari sudut matlamat subjektiviti dan relativiti yang diperjuangkan oleh kedua-dua pihak. Postmodenis memperjuangkan subjektiviti dan relativiti untuk membela golongan lemah dan ditindas, manakala di tangan golongan sofis, subjektiviti dan relativiti diperjuangkan untuk puak yang berkuasa. Golongan sofis hanya menawarkan khidmat tuisyen berbayar mereka kepada golongan elit untuk terus menjustifikasikan idea-idea Hellenistik kepada seluruh kelas masyarakat. Kerana golongan elit sahaja mampu membayar yuran pengajian tersebut dan sudah tentu mereka tidak memegang konsep teach for the needs, ilmu retorik dan kekuatan orator tersebut telah membantu kelas elit Yunani mencanangkan idea-idea yang kelihatan lemah menjadi dominan. Justeru mereka kelihatannya kurang berminat untuk mencari kebenaran tetapi cenderung dan asyik dengan seni retorik dan kepintaran berhujah, menjadikan penilaian tentang kepentingan sesebuah pengetahuan bergantung sejauh mana ia menyumbang atau berkait dengan seni retorik itu sendiri, bukannya setakat mana pengetahuan itu mendekati kebenaran. Kerana itu Bertrand Russell menyifatkan golongan sofis di Athens sama seperti para peguam korporat di Amerika, menggunakan retorik bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk menang perdebatan.

Di sini kita faham bukan subjektiviti dan relativiti yang diraikan kerana postmodenisme sendiri melihat ada penilaian betul/ salah yang perlu diperjuangkan. Seriously, walaupun kau menanam azam di kepala kau bahawa kau benar dan orang lain juga mungkin benar dalam sesuatu perkara, namun jauh di sudut hati, kau tetap menganggap diri kau lebih benar. Tak susah untuk faham soal ini kan? Justeru pengkritik postmodenisme melihat timbul pelbagai paradoks dalam pemikiran postmodenis yang perlu diteliti.  Kita lihat kritikan Allan Bloom dalam The Closing of the American Mind. Walaupun Bloom mengarahkan kritikannya kepada sistem nilai liberalisme Amerika tetapi kritikan terbesarnya adalah terhadap relativisme nilai (dan memang postmodenisme mendapat sambutan baik di sana). Menurut Bloom, relativisme moral dan keterbukaan yang dicanangkan sebagai nilai murni Amerika sebenarnya merosakkan struktur nilai masyarakat. Bagi menjalani hidup bermasyarakat yang baik, kata Bloom, masyarakat itu sendiri perlu didedahkan dengan dan berkongsi set prejudis tertentu sebagai pemisah nilai baik-jahat dan betul-salah. Jadi Bloom bertanya,"But when there are no shared goals or vision of the public good, is the social contract any longer possible?". Malah apabila asas moral sudah kabur, yang muncul kemudiannya kata Bloom ialan totalitarianisme yang mengambil kesempatan atas masyarakat yang hilang punca, masyarakat yang tidak pasti atas dasar etika dan moraliti apa penentangan mereka perlu dijustifikasikan.

Menurut Bloom relativisme dan subjektivisme bukanlah keterbukaan dalam erti kata sepenuhnya. Di atas kertas tertulis yang ia toleran dan menerima semua kepelbagaian, tapi realitinya tidak. Ia menentang dan menutup pintu pihak yang menolak relativiti dan subjektivisme itu sendiri. Jadi menurut Bloom di sini sudah berlaku penilaian betul-salah terhadap ideologi yang berseberangan. Mereka mengatakan kebenaran adalah relatif, tapi mereka bertegang urat berteriak bahawa seolah-olah kerelatifan itulah kebenaran. Bloom sebenarnya mengulang semula hujah Plato di dalam Theaetetus yang merupakan sanggahan Socrates terhadap kaum Sofis.

Hujah yang hampir sama disebutkan oleh John Searle dalam artikelnya, Refutation of Relativism. Tulis Searle, "If you say there are no universally valid truths except the truth that there are no universally valid truths, then you have already allowed for an exception and no reason has been given why there will not be other exceptions. If you say there are no universally valid truths including the claim that there are no universally valid truths, then you have contradicted yourself. You have said the claim both is and is not universally valid." Stephen R.C. Hicks merumuskan dari paradoks ini yang postmodenisme telah memeluk relativisme yang sebenarnya mengarah kepada absolutisme. Namun perlu juga diteliti kata Hicks, arah mana yang dituju oleh postmodenisme; adakah ia benar-benar komited dengan relativisme tetapi terjerumus ke kancah absolutisme, atau absolutisme itu sebenarnya yang menjadi matlamat, sedangkan relativisme sekadar retorik yang menutup niat sebenar mereka.

Sisi paradoks ini memang disedari oleh pemikir postmodenis dan mereka tidak berniat untuk menjelaskannya kerana mungkin dari awal mereka sedar manusia dan paradoks itu satu tak terpisah. Mungkin mereka menganggap dunia ini terdiri dari paradoks yang tidak mungkin diselesaikan. Mungkin paradoks, ironi dan kebenaran itulah yang cuba dipertentangkan kerana ia akan terus menimbulkan persoalan yang jawapan akhirnya takkan pernah ditemui - di mata manusia itu adalah tragedi - di sisi lain mungkin itulah kebenaran. Dalam bahasa mudah, menjelaskan paradoks postmodenisme adalah kontra kepada postmodenisme itu sendiri. Malah postmodenis tidak pernah menawarkan penyelesaian, mereka cuma memerihalkan kondisi. Oleh sebab itu postmodenisme bukan sebuah form, projek, wacana, struktur (atau namakan apa saja) yang telah siap, ianya adalah fragmen dan batu bata binaan dalam pembikinan - works in progress. Mungkin postmodenis berkongsi impian yang sama seperti tulisan Kierkegaard yakni 'deceiving reader into the truth'. Bagi Kierkegaard yang banyak dipengaruhi oleh Hegel, kesedaran (consciousness) mungkin satu kepastian, tetapi apabila ia masuk ke ranah pemikiran dan bahasa kepastian itu akan hilang kerana pemikiran dan bahasa bukan realiti (lihat relevansinya dengan sikap anti-realisme postmodenis dan idea mereka tentang teks dan bahasa), tetapi sisi lain (the other) realiti. Ianya adalah pemaknaan, konsepsi dan interpretasi yang mengundang kontradiksi antara kepastian dan kemungkinan. Kontra dengan Descartes yang mengatakan kesedaran (cogito) adalah wahana membuang keraguan yakni semuanya boleh diragukan kecuali kesedaran. Kierkegaard pula mengisytiharkan kesedaran itu sebenarnya keraguan. Menurut beliau, kebenaran harus bersandarkan kepercayaan (belief), bukan kepastian.

Agama sebagai sebuah metanaratif yang menawarkan kebenaran mutlak sudah pasti menerima tempias dari gagasan postmodenisme. Masyarakat beragama perlu mempertahan dan memposisikan wujud tuhan dan keimanan, persoalan moral dan etika ketika berhadapan dengan gagasan yang menganggap kebenaran sebagai relatif dan subjektif, dengan kecenderungan untuk mendekonstruksi teks-teks suci agama. Akbar Ahmed dalam Postmodernism and Islam: Predicament and Promise, mengingatkan bahawa walaupun Muslim boleh menghargai semangat toleransi, optimisme dan upaya individu memahami ilmu pengetahuan, tapi ironi disebaliknya perlu diwaspadai dan garis pemisah yang jelas perlu diletakkan. Ironinya, kata Akbar, pluralisme dan relativisme ternyata tidak menghadirkan masyarakat toleran sebaliknya menimbulkan konflik sektarian yang lebih sengit dan rencam. Malah postmodenisme dikatakan menjadi punca (cause) sekaligus akibat (effect) kepada fundamentalisme agama yang semakin berkembang. Ini tidak menghairankan kerana di sepanjang catatan sejarah (nyata sekali sejarah tak pernah jadi ibrah kepada umat manusia) menunjukkan ekstrimisme di satu pihak akan memunculkan ektrimisme di pihak lawan, ini hukum aksi-reaksi yang tak memerlukan rocket science untuk kita faham. Tapi Akbar bersikap positif dengan postmodernisme. Menurut beliau, apa yang selalu ditekankan ialah anarki dan kegilaan postmodenisme, sedangkan ia juga meraikan kepelbagaian, kepentingan toleransi dan keperluan untuk memahami yang lain. Postmodernisme bagi Akbar, tidak wajar dilihat sebagai keangkuhan intelektual, sebuah wacana akademik yang mendewa, tapi perlu disuluh sebagai salah satu fasa sejarah manusia yang menawarkan kepelbagaian kemungkinan, sebuah fasa yang membawa kemungkinan untuk mendekatkan kemanusiaan dalam lompleksiti budaya.

Kata John Esposito, maklum balas terhadap postmodeniti terbahagi dua. Pertama, yang menyambut baik gagasan tersebut kerana absolutisme yang menjustifikasikan kekejaman diramal akan berakhir. Kedua, yang mencemuhnya kerana bimbang relativisme total akan memunculkan barbarisme dan apabila perbezaan mutlak di antara baik dan jahat mula direlatifkan, kita akan terjerumus ke dalam nihilisme etika di mana segala kerosakan dilegitimasikan. Kerisauan ini mungkin dapat dipetik dari kata-kata Allan Bloom, "The point is not to correct the mistakes and really be right; rather it is not to think you are right at all".

Bila Lyotard menyebut tentang metanaratif, aku teringat kepada persoalan wujud dan signifikan tuhan serta agama dalam kehidupan manusia. Apa perlunya manusia kepada tuhan dan agama? Kita lihat sejak the Madmen dalam The Gay Science memberitahu ‘God is dead’ sehingga Black Sabbath menjawabnya dengan ‘I don’t believe that God is dead’, golongan yang skeptik dengan agama meramalkan (atau cenderung mahukan) agama dengan segala kerosakan yang dibawanya lambat laun akan terpuruk dan dibuang jauh dari keyakinan masyarakat. Tetapi sampai kini tidak boleh kita nafikan, walaupun mungkin pengalaman beragama dalam culture industry bersifat superfisial dan kering makna spiritualnya, tuhan dan agama terus wujud dan memainkan peranan yang sentral dalam denyut nadi tamadun manusia. Menanyakan sama ada agama akan terus relevan dan bertahan melawan era rasionaliti dan saintifik seperti bertanyakan adakah buku bercetak (printed book) akan terus relevan dan bertahan melawan teknologi digital dan elektronik - kedu-duanya adalah mumbo jumbo yang tidak relevan kerana realiti membuktikan kedua-duanya kekal signifikan. Realitinya agama (seperti buku bercetak), bukan spesis mudah pupus.

Jadi, mengapa manusia perlukan tuhan dan agama? Apabila Lyotard menyentuh tentang metaranatif - agama, sistem ideologi, saintisme dan sebagainya - kita boleh katakan semua metanaratif menjanjikan sesuatu kepada manusia, iaitu harapan. Jenis atau tahap harapan tersebut bukan persoalannya di sini tetapi semuanya mendokong aspirasi kemanusiaan universal yang cuba mengubah peradaban manusia secara progresif, membawa cita-cita pembebasan, menjanjikan kemanusiaan yang lebih harmoni. Kapitalisme-liberalisme itu sebagai contoh, pada awalnya sebuah harapan yang besar untuk masyarakat. Menurut Chris Hedges, era liberalisme telah berkembang dengan cemerlang pada akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke 20 kerana dipenuhi dengan reformasi sosial seperti penambahbaikan taraf hidup pekerja, kempen kesihatan awam, perumahan untuk orang miskin dan sosialisme, tetapi akhirnya runtuh dengan tercetusnya Perang Dunia Pertama (WW1) yang memunculkan pesimisme terhadap perubahan progresif manusia. Golongan liberal yang pada awalnya memperjuangkan idea reformasi sosial telah di kudeta oleh kerajaan dan elit korporat yang menguasai ruang politik, ekonomi dan sosial masyarakat.

Kita lihat persamaan di antara Marxisme dengan eskatologi agama - antara faktor yang menyebabkan ideologi ini didokong dengan penuh komited dan ghairah oleh penyokong-penyokongnya. Komunisme sebagai hasil akhir dari sejarah kelihatan ibarat eskatologi dan faham millennialisme - muncul Messiah yang akan menamatkan penderitaan dan kesengsaraan serta mewujudkan kerajaan tuhan di muka bumi. Kerajaan adil tanpa penindasan. Menurut Esposito, ketika empayar kolonial rakus menjarah negara lain, dan mitos bahawa sains, teknologi dan kapitalisme mampu menjana pembangunan manusia runtuh dengan munculnya Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, maka Marxisme/ sosialisme telah muncul sebagai protes terhadap dunia saintifik dan kapitalisme yang menindas manusia. Walaupun Marxisme mengaku diri mereka moden, sekular dan saintifik, menurut Esposito tidak seperti kapitalisme, mereka masih mengekalkan (atau meminjam) etika dan tradisi biblikal yang menekankan keadilan kepada orang miskin sebagai hasil akhir bagi sejarah. Cuma Marx telah menggantikan tuhan dengan hukum sosialisme saintifik sebagai kuasa yang menggerakkan sejarah.

Karl Lowith di dalam Meaning of History menyebutkan bahawa bukan satu kebetulan antagonisme antara borjuis dan proletariat berkait rapat dengan kepercayaan Judeo-Kristian tentang perlawanan akhir di antara Christ dan Antichrist, dan proletariat adalah the chosen people (seperti yang tertuang di dalam Communist Manifesto) yang akan menggerakkan sejarah manusia kepada yang lebih bermakna. Tulis Lowith, "Though perverted into secular prognostication, The Communist Manifesto still retains the basic features of a messianic faith." Nada yang sama disebutkan oleh Erich Fromm, "Marx's philosophy was, in secular, nontheistic language, a new and radical step forward in the tradition of prophetic Messianism." Konsep borjuis dan proletariat, malah pergerakan sejarah dunia yang dimaknakan sebagai pertentangan di antara dua kelas, menurut Lowith tidak pernah dibuktikan dengan mendalam secara empirikal. Hanya melalui ideological conciousness Marx konsep ini dijelmakan, yang menurut Lowith digerakkan oleh transparent messianism yang tertanam dalam diri Marx sendiri.

Marx telah menyahsakralkan eskatologi agama dan menyalutnya dengan elemen sekular, namun ironinya komunisme itu sendiri kelihatan berdiri sebagai sebuah gagasan yang sakral; disanjung, dipuja dan mereka yang mengkritik atau menentang gagasan tersebut walaupun tidak dipanggil kafir, ada kemungkinan dilabel atau dianggap sebagai golongan yang berseberangan. Ini mungkin hal yang kurang diperhatikan oleh atheis Marxist/ sosialis yang kritikal dengan agama, berkenaan dengan interaksi idealisme mereka dengan agama dan bagaimana ideologi mereka sendiri sudah menjadi seperti agama; malah mungkin candu kepada masyarakat. Marxisme berpengaruh dan disokong kerana ia memberi jaminan yang sama seperti agama (dan metanaratif lain); yakni harapan. Harapan untuk pembebasan, harapan untuk kehidupan yang lebih baik, harapan untuk keadilan dilaksanakan. Justeru kita boleh melihat munculnya sosialisme Islam, sosialisme Kristian, sosialisme Hindu, sosialisme Yahudi - masing-masing menawarkan teologi pembebasan berdasarkan konsep teologi masing-masing. Point aku di sini bukan sama ada benarkah Marx meminjam eskatologi agama atau tidak kerana polemik mengenai persoalan ini tidak pernah selesai, pointnya ialah gagasan komunisme yang dilukiskan oleh Marx memang terkandung di dalamnya eskatologi agama.

Harapan mewujudkan makna. Seperti Rust yang nihilis dalam True Detective menemui harapan. Harapan memerlukan kepercayaan, tidak lebih dari itu - mungkin itu yang dimaksudkan Kierkegaard. Dan kepercayaan terhadap harapan sebenarnya tidak lahir dari ruang yang kosong atau taqlid melulu, ia melibatkan satu proses yang kompleks. Setiap aksi dan reaksi manusia, pembacaan dan konsepsi manusia tentang tanda, simbol, dunia ini mewujudkan pemaknaan tertentu dalam usaha memenuhi aspirasi dan harapan mereka. Oleh kerana metanaratif ialah ruang manusia mencari makna, maka mustahil untuk menghadirkan ketidakpercayaan kepada metanaratif. Pengkritik Lyotard menganggap kenyataan tersebut (sekali lagi) bersifat paradoks kerana menurut mereka ketidakpercayaan kepada metanaratif itu sendiri adalah sebuah metanaratif, yakni harapan untuk menciptakan keadilan.  Malah golongan atheis atau freethinker pun mungkin menyandarkan kewujudan mereka kepada metanaratif - sebuah konsepsi dan pemaknaan hidup tertentu.

Timbul persoalan, apa yang menggerakkan manusia mencari makna dalam hidup mereka? Jawab Ralph W. Hood, Jr. dalam Psychology of Religion ialah the need for control. Manusia mahu menguasai hidupnya dalam erti kata dia mampu mengawal wujud dirinya dengan mengartikulasikan hidupnya terhadap sesuatu. Manusia mahu mencari raison d'etre dan niche mereka di dunia ini. Manusia ini secara fitrahnya tidak mahu berspekulasi dan teraba-raba dalam hidup tanpa arah tuju, mereka mahu menyandarkan diri mereka kepada sesuatu. Ianya keperluan insani dan bersifat mandatori. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk mencerap dan mengumpul maklumat, idea, konsep, teori dan cuba membentuknya menjadi sebuah pemaknaan yang koheren. Kata Crystal L. Park, agama bukan saja bertindak sebagai jalan mencari makna tetapi juga mencipta makna (meaning making) dan menyusunnya untuk membentuk makna global (global meaning). Makna global ini boleh difahami sebagai metanaratif.

Manusia mencipta makna melalui tanda-tanda. Di dalam al-Quran terkandung ayat-ayat yang mengajak manusia agar memerhatikan, berfikir, merenung dan mengkaji alam semesta sebagai tanda-tanda kebesaran tuhan. Al-Quran juga mengajak manusia berjalan-jalan dan mengembara. Perkataan IQRA' itu sendiri diambil dari kata qoro’a  yang bermaksud menghimpun manakala perkataan AYAT itu sendiri bermaksud tanda lantas menjadikan seruan iqra' sebagai usaha manusia mengumpul dan menghimpun tanda-tanda menjadi sebuah teks - bertulis atau tidak bertulis - dan membentuknya menjadi sebuah makna. Jadi al-Quran adalah tanda yang memerihalkan tanda-tanda; menceritakan bagaimana sepatutnya tanda-tanda tersebut dibaca dan apa makna disebalik tanda-tanda tersebut - seterusnya menunjukkan hubungan di antara tanda-tanda yang perlu dibaca (al-Quran) & tanda-tanda yang perlu diperhatikan (alam) - di mana kedua-duanya saling membuktikan antara satu dengan yang lain.

Alam, makhluk dan kehidupan ialah tanda-tanda besar yang memunculkan persoalan kosmologi kepada manusia lantas mengingatkan kita bahawa wujud alam dan manusia itu bukanlah satu yang sia-sia. Justeru makna kewujudan manusia itu perlu dicerap dari keteraturan dan ketertiban alam. Ini yang perlu diperhatikan. Inilah motif sains Islam yang mengapresiasi alam sebagai tanda yang menghamparkan makna, bukannya sains yang gila isim dengan tanda yang hanya bertindak sebagai medium tetapi langsung mengabaikan unsur intrinsiknya. Ujian, musibah, kesusahan, kesakitan dan kesengsaraan; kesemuanya ini menyampaikan sesuatu. Jadi proses mencari dan mengumpul makna ini tidak pernah selesai, ia berlarutan dan berkesinambungan, sebuah struggle  - ianya berbolak-balik, ada turun naik. Masalahnya sekarang kalau menurut Horkheimer dan Adorno, manusia telah membuang 'makna' dan menggantikannya dengan 'formula', hasil logik hukum dan kemungkinan, oleh itu semua yang tidak boleh dihitung menurut hukum calculability dan utility harus diragui. Jadi pembacaan tanda sebeginilah yang melahirkan sains barat. 
Pembacaan tanda sebegini juga melahirkan kelompok manusia yang cuba menjustifikasikan/ mempermasalahkan persoalan tuhan serta keimanan menggunakan logik dan positivisme sains.

Sains sendiri adalah disiplin yang dibina berasaskan worldview yang bersifat materialistik dan naturalistik; yang dipanggil saintisme. Seperti yang disebutkan oleh Thomas Kuhn dalam The Structure of Scientific Revolutions, sains sejak dulu telah mengalami beberapa evolusi (paradigm shift) yang disandarkan kepada perubahan paradigma atau set kepercayaan yang dipegang oleh komuniti saintis. Apabila sesebuah penemuan saintifik tidak dapat dijelaskan oleh paradigma sedia ada dan memunculkan anomali maka paradigma baru yang lebih valid akan mengambil tempat. Sebarang penemuan sains tertakluk kepada latar sosiologikal dan bersifat ideologikal, bukannya bebas nilai seperti yang kerap didongengkan. Sesebuah sistem ilmu lahir dan berkembang dari sistem nilai (aksiologi), pandangan alam dan ideologi tertentu sesebuah sistem budaya. Ini boleh kita bersetuju dengan pandangan postmodernisme yakni tentang peranan budaya dalam pembinaan pengetahuan. Cuma seperti yang disebutkan oleh Wan Mohd Nor Wan Daud, kritikan terhadap konsep ilmu bebas nilai ini cenderung "menyifatkan ilmu sebagai sesuatu yang nisbi, bukan sejagat sifatnya; yang benar di suatu tempat dan waktu tidak semestinya benar di tempat dan waktu yang lain." Maka pengetahuan sains bukanlah kebenaran mutlak, dan kecenderungan untuk melegitimasikannya sebagai parameter untuk the ultimate truth adalah satu kesongsangan. Ini juga yang dikritik oleh Sekolah Frankfurt yakni tentang usaha untuk menundukkan ilmu pengetahuan sosial kepada saintisme dengan menjadikan positivisme sebagai berhala kebenaran, mereduksikan tindakan-tindakan sosial di bawah rasio-instrumental. Malah Marx dan Marxist ortodoks sendiri dikritik kerana terlalu berpegang kepada materialisme positivis dalam menghuraikan perkembangan sosiologi masyarakat.

Ziauddin Sardar menyamakan sains kontemporari dengan sentuhan emas Midas di mana keupayaannya untuk mendatangkan manfaat diselubungi oleh keupayaannya yang lebih besar untuk melakukan kerosakan. Sains bukanlah penelitian berterusan untuk mendekati kebenaran tetapi sekadar perca-perca teori yang datang dan pergi, terbina oleh konstruksi ideologi dan metodologi yang bersifat sosiologikal. Sains yang muncul dari kosmologi Islam menekankan harmoni, keseimbangan dan keadilan. Menurut Seyyed Hossein Nasr dalam Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam, sains kosmologi Islam yang berkait langsung dengan idea metafizik seharusnya menjadi parameter dan menawarkan perspektif konseptual dalam menilai sains tabii. Di sini gagasan Tauhid yang berasaskan inti pati wahyu memainkan peranan utama dengan melihat dan mencerap alam menjadi sebuah kesatuan alam tabii, seterusnya menjadi matlamat kepada tujuan pemikiran sains itu sendiri, yakni bagi menguatkan dan mengesahkan gagasan tauhidik itu sendiri. Tulis beliau," pemikiran manusia, iaitu bayangan kepada akal - hatinya atau intelek, apabila dalam keadaan sihat dan seimbang, akan dengan sendirinya mengarah kepada Tauhid dan bukannya kepada penolakan Tuhan".

Kata Syed Naquib al-Attas, “Barat telah mendefinisikan ilmu dalam pengertian sebagai usaha sains untuk mengendalikan alam dan masyarakat. Dalam hal manusia sebagai individu, Barat tidak lagi memberi perhatian atau merealisasikan usaha perbaikan, pengenalan dan peningkatan keperibadiannya serta hasratnya mempelajari aturan Ilahi di dunia dan keselamatan. Padahal perkara ini adalah tujuan yang paling penting – yang bermaksud hakikat sejati – dari ilmu.”

Mohamad Asad dalam Islam at the Crossroads mengkritik Barat dengan nada yang serupa yakni Barat cuba bereksperimentasi dengan potensi kehidupan tanpa menyandarkannya kepada realiti moral. Kata Asad, makna dan matlamat hidup manusia diarahkan kepada praktikaliti hidup dalam usaha manusia menakluk alam. Mereka percaya kepada moral tetapi mereka memberi penekanan kepada perkembangan moral dan sosial yang progresif secara kolektif melalui pencapaian praktikal dan pemikiran saintifik. Penting juga diteliti pandangan Ziauddin Sardar dalam Islamic Futures: The Shape of Ideas to Come, di mana beliau mengutip idea Kurshid Ahmad tentang tazkiyah sebagai salah satu elemen penting pembangunan di dalam Islam  (sebagai lawan kepada kerangka konseptual dan paradigma kapitalis Barat yang bermotifkan keuntungan) selaras dengan institusi zakat yang menyucikan pendapatan untuk meningkatkan kekayaan.

Bagi Sardar, tazkiyah mengajar individu dan masyarakat mestilah tumbuh dalam batasan-batasan tertentu yang memberi mereka masa, kebolehan dan persekitaran bagi menilai diri sendiri. Pada dasarnya, konsep pembangunan yang digalakkan oleh tazkiyah adalah sama dengan corak pembangunan yang kita temui dalam ekosistem. Pokok misalnya patuh kepada tazkiyah dengan mengeluarkan daun dan buah kerana memenuhi fitrah kepada sifat  pokok itu sendiri. Namun cabang-cabang pokok tidak tumbuh tanpa batasan, ia berkembang mengikut fitrahnya yang dipriskripsikan kepadanya. Mungkin kerana itu Quran selalu menekankan tentang pentingnya meneliti alam; berfikir, merenung dan mengkaji keharmonian, keteraturan dan ketertibannya. Sayangnya alam dirosakkan oleh tangan-tangan manusia yang bertindak sebagai penakluk dan bukan sebagai peneliti ciptaan tuhan.

Kalau mengikut Jean Baudrillard, pemikir post-Marxisme yang kemudiannya terjun ke postmodernisme (sama seperti Lyotard), simbol atau tanda di dunia ini telah gagal menghadirkan makna yang sebenar, ianya membuang realiti serta menggantikannya dengan ilusi dan yang wujud hanyalah simulacra yang tidak lagi memaknakan realiti tetapi mewujudkan hyperreality. Sebagai seorang Marxist murtad seperti Lyotard, beliau kemudiannya telah mengkritik  Marxisme (terutamanya aliran ortodoks) kerana terlalu menumpukan analisisnya terhadap pengaruh ekonomi, material dan produksi sehingga meminggirkan elemen budaya dalam perkembangan masyarakat. Beliau berpendapat idea Marxisme klasik tentang pengaruh base terhadap superstructure dan perbezaan di antara use value dan exchange value. Kata Baudrillard dikotomi itu sudah tidak signifikan, sama seperti soal benar atau salah kerana yang wujud kini hanyalah simulasi dan simulacra - hasil pencitraan tanda, imej dan simbol.

Perbezaan di antara base-superstructure dan use value-exchange value sebenarnya sudah kabur kerana kapitalisme global bukan lagi digerakkan oleh mode of production tetapi mode of consumption. Use value-exchange value telah digantikan dengan signs-value. Ini dikuatkan oleh dominasi teknologi dan media massa yang menjadikan pencitraan tanda, imej dan visual sebagai fetishisme. Consumer society meraikan consumption sebagai esensi hidup mereka, sebagai pemenuhan hasrat (desire) yang memaknakan hidup dan hubungan mereka dengan masyarakat. Hubungan ini dimaknakan dengan pemilikan komoditi sebagai tanda, simbol dan imej yang membezakan mereka dengan anggota masyarakat yang lain (social distinction). Oleh itu status sosial bukan lagi ditentukan oleh kelas ekonomi tetapi oleh penampakan tanda, imej dan simbol. Ini dapat anda perhatikan dalam setiap pamphlet testimoni multi level marketing dan program cepat kaya lain yang sama celaru dengannya.

Menurut Baudrillard pencitraan tanda/ imej terbentuk melalui 4 tahap. Pertama, ia muncul sebagai REFLEKSI KEPADA REALITI. Kedua, ia bertindak sebagai topeng yang MENUTUP REALITI, yakni tahap yang difahami Marxisme sebagai false consciousness di mana ideologi adalah representasi yang menyimpang dari realiti. Ketiga, ia bertindak sebagai topeng yang MENUTUP KETIADAAN REALITI. Dan keempat, ia bebas dan TIDAK lagi MENJALINKAN HUBUNGAN DENGAN REALITI - ia wujud sebagai simulacrum dan yang wujud ialah hyperrealiti, kondisi di mana tanda dan imej menjelmakan pengaruh dan peranannya sendiri. Kita menelan tanda/ imej berbanding menghadam makna kerana tanda/ imej adalah salinan kepada realiti tetapi tanpa kita sedar makna kepada realiti sebenarnya telah hilang - jadi ia sekadar salinan kepada sesuatu yang tiada - itulah simulacrum. Apa yang real, original dan autentik hilang digantikan pastiche dan parodi. Hidup bergelak ketawa dengan masing-masing meraikan kebodohan masyarakat yang sebenarnya ialah refleksi diri mereka sendiri. Memang postmodenisme sebagai sebuah aliran falsafah umpama tenggelam timbul, namun ia tumbuh subur dalam bentuk simbol, imej, visual dan produk budaya.

Masyarakat konsumer mewujudkan society of the spectacle, yakni masyarakat yang dilingkungi kehidupan mereka oleh upaya mempertontonkan, menampakkan dan menjelmakan identiti yang superfisial melalui tanda, simbol dan imej. Oleh itu komoditi yang laris dipasarkan kepada masyarakat ialah yang paling kuat kesan penampakkan dan tontonannya; fesyen pakaian, aksesori, penampilan fizikal dan lain-lain. Dan tidak ada ruang paling narsisistik untuk mempertontonkan hasrat, keinginan, nafsu dan imej diri selain dari media sosial - Facebook, Twitter dan seumpamanya. Dalam bukunya, The Transparency of Evil: Essays on Extreme Phenomena, Baudrillard menyifatkan masa kini (yang disebutnya sebagai 'after the orgy') ialah zaman kekacauan dan kerancuan makna. Kerancuan dalam membaca tanda, imej dan simbol akan menimbulkan kekacauan dalam menerima makna. Penelitian terhadap alam yang sepatutnya menghantar makna tentang kesedaran bertuhan mungkin akhirnya menghantar makna yang berlawanan, yakni ketidakwujudan tuhan.

After the orgy ialah era selepas revolusi pembebasan terjadi dalam semua lapangan; pembebasan politik, pembebasan seksual, pembebasan wanita, pembebasan kanak-kanak dan sebagainya. Ketika semua perjuangan, keinginan dan hasrat sudah dicapai, nilai sudah menjadi sesuatu yang absurd dan manusia hilang arah dan punca. Mereka mula menanyakan ‘apa lagi yang boleh kita bebaskan?’ Maka bermulalah kitaran pembebasan yang bersifat repititif dan tak pernah habis. Nilai yang sudah mapan dicabar dan diterbalikkan. Hukum nilai hilang digantikan dengan epidemik nilai, malah nilai itu sendiri sudah tidak relevan disebut kerana reaksi berantai ini menjadikan ‘penilaian’ adalah mustahil. Kata Baudrillard, “Once again we are put in mind of microphysics: it is as imposibble to make estimations between beautiful and ugly, true and false, or good and evil, as it is simultaneously to calculate a particle’s speed and position. Good is no longer the opposite of evil, nothing can now be plotted on a graph…This is the pattern of the fractal, and hence the current pattern of our culture.”

Penting diteliti komentar Baudrillard tentang tanda dan makna kekacauan tanda dan makna ini berlaku dalam pengalaman beragama, lebih-lebih lagi kerana agama-agama besar dunia terutamanya Islam sentiasa berinteraksi dengan tanda, imej dan simbol. Ibadah-ibadah khusus itu sendiri (solat, zakat, puasa, haji, etc..) kaya dengan simbolisme tanda yang cuba menghantarkan makna tertentu bersesuaian dengan resam dan fitrah kemanusiaan tetapi seringkali gagal direnung dan dimanfatkan. Kita terpesona dan terpana dengan tanda, simbol dan medium itu sendiri, bukan falsafah yang dihantar olehnya. Apabila hanya bentuk (form) yang menjadi rutin sedangkan esensi yang bersifat transenden dan intrinsik gagal dihadam maka  ia gagal membentuk karakter dan peribadi Muslim. Rasa asyik masyuk dengan tanda ini berjangkit dalam segenap aspek pengalaman beragama. Ceramah atau kuliah agama popular contohnya disendatkan dengan elemen santai, humor ringan dan gelak ketawa sehingga muncul komen 'kuliah agama kalau tak lawak tak best'. Bagaimana penilaian sebuah majlis ilmu boleh disukat dengan parameter lawak – parameter yang sepatutnya dipakai untuk rancangan Raja Lawak.

Mungkin ada yang bertanya, apa sebenarnya yang dianalisa oleh Lyotard dan Baudrillard; adakah mereka meramalkan kondisi yang bakal berlaku serta kritikan terhadap kondisi tersebut atau penjelasan kepada kondisi yang sudah sedia wujud di mana mereka meraikannya? Stuart Hall dalam wawancara yang dimuatkan dalam Critical Dialogues in Cultural Studies berkata Lyotard dan Baudrillard terperangkap dalam polemik ini – bermula sebagai satu ramalan kepada trends tertentu atau kajian terhadap konfigurasi baru budaya, tetapi mereka akhirnya menjadi penyokong setia trends tersebut. Hall menyebutkan hal yang serupa berlaku kepada Marshall McLuhan di mana melalui buku The Mechanical Bride, McLuhan bersikap kritikal terhadap perkembangan teknologi, tetapi beliau mengambil pusingan 360° apabila meraikan kepesatan teknologi dalam buku beliau yang seterusnya. Kata Hall sikap sebegini jelas menunjukkan bahawa pemikir postmodenis di samping meramalkan/ menjelaskan perubahan budaya moden turut menyarankan dua pilihan: Pertama, perubahan tersebut adalah signifikan dan mutlak tanpa percanggahan mendasar. Dan kedua, perubahan tersebut adalah hebat dan kita wajib menerima, menyesuaikan diri dan mendakap perubahan tersebut. Bagi Hall ini adalah sikap tidak kritikal dan esensialis, sekadar sebuah lagi wacana yang bergayut pada ideologi Euro-Western-centric.

Inikah yang kita pilih; pendangkalan makna kemanusiaan dan kebebasan tanpa struktur moraliti yang kukuh dan pandangan alam yang jitu dengan niat menegakkan keadilan hanya bersandarkan penalaran yang selekeh.

Molek direnung kata-kata Charles Le Gai Eaton dalam Dzikir Plus:
Saat ini, apakah Muslim atau Kristen, nampaknya kita telah kehilangan kunci untuk memahami bahasa "tanda-tanda", bahasa Tuhan. Bahasa Tuhan itu telah menjadi tidak dapat dimengerti dan tidak relevan. Hal ini terutama berbahaya bagi Muslim, untuk siapa al-Quran akhirnya harus menjadi sebuah kitab yang tertutup sebahagian jika perujukan yang terus menerus terhadap alam sebagai jaringan tanda-tanda tidak lagi sesuai dengan pengalamannya atau menyentuh hatinya. Dunia itu, bila dilihat melalui jendela sebuah mobil atau dari ketinggian 30 000 kaki, tidak berarti apa-apa bagi kita, meskipun ia memberi sebuah gambaran yang indah. Selain itu, kerana pada waktu sekarang segala sesuatu harus dijelaskan secara terperinci, merupakan petanda yang khas dari zaman moden untuk bertanya: apa yang sebenarnya dimaksud oleh "tanda-tanda" ini? Jika dapat diungkapkan dalam kata-kata maka ungkapan tentang "tanda-tanda" itu akan berlebih-lebihan. Tanda-tanda tersebut menyentuh kita pada level yang lebih dalam dibandingkan pidato yang fasih, namun al-Quran memang sudah menyentuh dan, ketika dibacakan kepada mereka yang tidak memiliki pengetahuan bahasa Arab, masih menggerakkan hati mereka meskipun mereka tidak mengerti apa-apa dari segi bahasa manusia. Jadi Tuhan mempunyai dua bahasa, yang satu tersusun dari kata-kata dan satunya lagi tersusun dari "tanda-tanda", meskipun juga dapat dikatakan bahawa, dalam praktiknya, Dia mempunyai tiga sarana komunikasi, yang ketiga adalah nasib-nasib kita. Semua ini pun memuat pesan-pesan bagi kita jika kita siap untuk memahami, dan bahkan orang skeptis yang paling memuakkan, ketika ditimpa oleh kemalangan yang pahit, bertanya, "Mengapa? Mengapa aku?". Ia tidak diharuskan untuk percaya bahawa kehidupan memiliki sesuatu makna, namun bagaimanapun juga ia percaya, atau malah ia mengetahui dalam hatinya apa yang disangkal fikirannya.