Saturday, April 2, 2016

Spotlight: Menyuluh Kegelapan Kuasa


Spotlight wajib ditonton rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi ketika negara kita diselubungi kejahilan untuk membezakan antara badan autoritatif dengan tindakan autoritarian, ketika otak kita tumpul untuk membezakan antara kewenangan dengan kesewenangan. Spotlight ialah cerita tentang  kita semua, tentang fungsi masing-masing dalam jaringan struktur kuasa.

Spotlight dibuka dengan imbasan ke tahun 1976. Lokasinya sebuah balai polis di Boston, Massachusetts. Kita nampak seorang anggota polis veteren berjalan sepanjang koridor menuju ke kaunter. Di kaunter dia berbual dengan seorang polis muda. Dari perbualan mereka kita tahu mereka sedang menguruskan masalah antara seorang ibu tunggal dengan seorang paderi bernama Geoghan.

Tiba-tiba seorang peguam masuk dan memberitahu kedua-dua anggota polis tadi bahawa perkara ini tak boleh sampai ke pengetahuan akhbar utama. Polis muda beritahu polis veteren jika sebutan kes di mahkamah berlangsung mustahil perkara ini dapat ditutup dari pengetahuan wartawan. Polis veteren dengan nada mengejek menjawab, “Sebutan kes apa?”

Seterusnya kita nampak Paderi Geoghan duduk bersendirian dalam sebuah bilik.

Sementara itu dalam sebuah bilik lain, seorang biskop mengingatkan seorang wanita yang gereja telah banyak berjasa kepada komuniti Boston. Peguam tadi masuk dan biskop memberitahu peguam dia sudah hampir selesai. Biskop berjanji kepada si wanita yang paderi itu akan dibuang dari Boston dan masalah ini takkan berulang lagi. Kemudiannya biskop bersama Paderi Geoghan meninggalkan balai polis menaiki sebuah kereta. Polis muda, sambil merokok, hanya memerhatikan.

Adegan awal ini sebuah premis yang halus dari Spotlight tentang perselingkuhan institusi kuasa untuk mendiamkan setiap ancaman yang boleh menggugat struktur kuasa mereka. Kita nampak kemunculan polis, peguam dan biskop di mana setiap satu mewakili institusi penguatkuasaan, perundangan dan agama. Dan ironinya kemunculan mereka bukan untuk mendakwa tertuduh atau menyiasat pertuduhan, sebaliknya peguam sekadar jadi broker undang-undang, biskop mengingatkan (atau mengugut) ibu mangsa tentang sumbangan gereja kepada masyarakat dan polis melepaskan penjenayah begitu saja.

Kita pergi ke tahun 2001 apabila akhbar The Boston Globe menerima kedua editor baru berbangsa Yahudi bernama Marty Baron (Liev Schreiber). Marty mahu dakwaan tentang pencabulan yang dilakukan Paderi Geoghan terhadap 80 kanak-kanak di 6 kariah yang berbeza dalam tempoh 30 tahun disiasat dengan lebih lanjut. Menurut Marty laporan ini tak mendapat liputan yang sepatutnya, hanya 2 kali dimuatkan dalam kolum kecil The Boston Globe dan tiada laporan susulan dibuat.

Bagi Marty, kes ini menarik kerana peguam kepada mangsa-mangsa cabul itu, Mitchell Garabedian (Stanley Tucci) mendakwa Archbishop Boston (lebih kurang macam Mufti Negeri) tahu tentang salah laku Paderi Geoghan sejak 15 tahun dulu tapi tiada sebarang tindakan yang diambil. Archbishop menafikan dakwaan ini tapi Garabedian mengaku yang dia ada dokumen yang membuktikan sebaliknya. Malangnya dokumen ini ditutup untuk bacaan awam.

Marty mahu mendapatkan perintah mahkamah supaya dokumen ini dibuka untuk orang awam dan mengarahkan siasatan susulan terhadap dakwaan ini dijalankan. Dia menyerahkan tugas ini kepada Spotlight; yakni sekumpulan wartawan penyiasat yang menjalankan kerja penyelidikan yang mendalam terhadap isu-isu yang besar. Spotlight diketuai Robby Robinson (Michael Keaton), dan dianggotai 3 orang wartawan; Michael Rezendes (Mark Ruffalo), Matty Carroll (Brian D’Arcy James) dan Sacha Pfeiffer.

Gereja Katolik adalah institusi yang lebih power dari Majlis Agama Islam Negeri atau JAKIM. Marty ketika dilantik sebagai ketua editor The Boston Globe pun perlu mengadap Archbishop terlebih dulu. Jadi tugasan ini memang mencabar dan berliku. Hasil siasatan awal mereka mendapati kemungkinan 70 paderi terlibat dalam jenayah cabul di Boston. Justeru dakwaan terhadap Paderi Geoghan bukanlah kes terpencil, tapi sebuah skandal pencabulan kanak-kanak yang sistemik melibatkan ramai paderi bukan saja di  Amerika, malah didakwa sampai ke Vatican.

Gereja Katolik Boston selama berpuluh-puluh tahun menutup bangkai jenayah ini dengan apa yang kita faham sebagai penyelesaian dalaman; memindahkan paderi-paderi yang terlibat dari satu kariah ke kariah yang lain, menggunakan peguam untuk menyuap mulut ibu bapa mangsa dengan sejumlah wang tertentu dan menggunakan pengaruh gereja untuk mengugut suara-suara yang cuba mendedahkan skandal ini. Justeru ini bukan jenayah biasa tapi jenayah yang dilindungi oleh sistem dan institusi kuasa.

Keputusan Marty untuk menyiasat skandal ini mewujudkan persepsi bahawa dia seorang Yahudi yang berniat jahat, dia didakwa menyimpan agenda peribadi untuk menaikkan namanya dan dia dituduh sebagai orang luar (bukan asal Boston) yang tak pernah peduli tentang Boston. “Marty bukan orang kita, ”kata Peter Conley kepada Robby.

Pendek kata, Marty dicitrakan sebagai Yahudi yang cuba berkonspirasi menggoncang kerukunan hidup masyarakat Katolik Boston. Isu yang didedahkan tak pernah dinilai, malah disanggah dengan jawapan eskapisme yang bersembunyi di sebalik simbol kolektif seperti “gereja banyak berjasa kepada masyarakat”, “mereka (elit gereja) adalah orang-orang baik yang banyak beri sumbangan kepada bandar ini” dan “kita tak boleh nafikan kebaikan Archbishop hanya kerana keburukan segelintir paderi” dan sebagainya. Polis pula cakap “tak ada siapa yang sanggup gari tangan paderi”, dan peguam pula cakap “kebanyakan mangsa hanya mahukan perhatian dan duit”.

Tapi pengarah dan penulis lakon layarnya, Tom McCarthy tak menonjolkan cerita ini dari perspektif antagonisme ‘Gereja Katolik vs Boston Globe’. Gereja Katolik bukan penjahat dan Boston Globe bukan hero. Martin Luther King, Jr. pernah cakap “tragedi sebenar muncul bukan dari penindasan yang dilakukan oleh orang jahat, tragedi sebenar muncul dari diamnya suara orang baik terhadap penindasan tersebut”.

Ini yang berlaku di Boston dan McCarthy mahu menyampaikan mesej bahawa salah laku paderi dan penyelewengan Gereja Katolik ini sudah sampai ke pengetahuan umum sekian lama tapi masyarakat hanya berdiam diri. Sebelum Boston Globe mendedahkannya akhbar lain pernah melaporkan skandal yang sama. Robby sendiri pernah terima maklumat tentang skandal ini beberapa tahun yang lalu tapi memilih untuk mengabaikannya. Ada yang pesimis skandal ini takkan dapat perhatian jika didedahkan, ada yang bimbang jika didedahkan ahli keluarga yang taat dengan ajaran Katolik mungkin kecil hati dan ada yang takut jualan akhbar akan menurun (Marty pernah diingatkan yang 54% pembaca The Boston Globe adalah Katolik).

Ini sikap ‘I know, but I don’t want to know that I know, so I don’t know’, yang dinamakan Zizek sebagai penyakit fetishist disavowal, pemujaan kepada sikap ketakbertanggungjawaban. Saya tahu tapi saya enggan untuk menanggung kesan dari pengetahuan ini, supaya saya boleh terus berlakon seolah-olah saya tak tahu.

Ada ibu mangsa menceritakan tekanan untuk mendiamkan pencabulan ini bukan saja datang dari gereja tapi juga dari kawan-kawan dan masyarakat. Masyarakat juga memikul beban dosa kerana kita ‘berfungsi’ sepertimana struktur kuasa dan kekuasaan mahu kita ‘berfungsi’. Berapa kali dalam filem ini kita melihat watak-wataknya mengungkapkan ayat “I was doing my job”. Polis enggan siasat sebab hendak jaga kestabilan, peguam hanya menjalankan tugas untuk selesaikan urusan anak guamannya, akhbar sekadar melaporkan berita. Pendek kata semua orang sekadar ‘cari makan’.

Harold Laswell pernah memperkenalkan terma collective symbols (atau master symbols) ketika mengajukan teori propagandanya. Kata Laswell untuk menjadikan sesebuah propaganda itu efektif, sebuah conditioning process perlu dijalankan ke atas masyarakat dengan mengenalpasti idea, imej dan tanda tertentu yang dikongsi bersama yang boleh dihubungkan secara terus dengan emosi tertentu (perasaan marah contohnya). Idea, imej dan tanda ini ditanam secara sofistikated melalui ucapan, tulisan, gambar atau muzik.

Idea, imej dan tanda ini apabila sudah subur akan membuahkan simbol kolektif yang mudah  dimanipulasi untuk menggerakkan emosi masyarakat. Simbol ini membina mitos (doktrin dan formula yang mengisi imaginasi masyarakat), naratif (konsepsi hidup) dan struktur nilai (mencipta hierarki sosial; siapa berkuasa, kenapa mereka berkuasa) kumpulan sosial tertentu. Justeru apabila propaganda datang menyapa masyarakat, ia tak lagi jadi propaganda tapi sebuah kebenaran yang perlu dibela atau hak yang perlu dipertahankan.

Aku tak maksudkan yang simbol kolektif ini palsu, mungkin ia benar mungkin tidak, tapi konteksnya di sini simbol itu dimanipulasi untuk kepentingan kuasa elit. Hal ini berlaku kerana kefahaman masyarakat tentang simbol ini bukan muncul sebagai wacana idea yang konkrit tapi sekadar permainan persepsi yang mudah dikawal.

Institusi kuasa cenderung mengaitkan kewujudan mereka dengan simbol kolektif. Merekalah pelindung, pembela, Messiah dan benteng terakhir yang akan mempertahankan simbol kolektif tadi. Dengan mewujudkan culture of fear, maka apa saja perkara yang mengganggu kestabilan struktur kuasa ini dianggap ancaman yang perlu dinafikan. Masyarakat dikhutbahkan yang kestabilan struktur kuasa adalah jalan selamat yang melindungi kepentingan semua lapis masyarakat. Justeru ancaman kepada struktur kuasa adalah ancaman kepada simbol kolektif dan ancaman kepada simbol kolektif adalah ancaman kepada masyarakat itu sendiri.

Sebab itu Garabedian cakap hanya orang luar (outsider) sepertinya yang berbangsa Armenia dan Marty yang berbangsa Yahudi saja boleh membongkar skandal ini. Marty bukan saja Yahudi tapi dia juga bukan penduduk asal Boston. Mungkin jika dia seorang Kristian Katolik yang warak dia takkan arahkan anak buahnya dedahkan skandal ini. Malah semua wartawan Spotlight mengaku mereka lapsed Catholic, yakni penganut Katolik yang tak lagi terikat dengan praktik Katolik.

Skandal jenayah begini hanya boleh dipecahkan oleh individu yang bebas dari permainan persepsi yang muncul dari simbol kolektif tadi. Individu yang merdeka dari ethical illusion dan berani berkata jenayah tetap jenayah walau bagaimana cantik sekali pun kita membungkusnya dengan kata-kata, dan jenayah tetap jenayah walau siapa pun yang melakukannya. Dan hari ini kita juga wajib mengambil posisi yang sama, dengan menjadi outsider, melepaskan prejudis, sentimen dan nostalgia yang mengikat kita kepada simbol kolektif yang mengelirukan dan menghalalkan banyak jenayah di dalam negara ini.

Sebelum menontonnya, aku jangka Spotlight akan melondehkan aib Gereja Katolik dengan nada subversif, kecaman dan kontroversi. Aku jangka Spotlight sebuah filem yang menyerang hendap institusi gereja tanpa belas ihsan dan aku bakal menyaksikan wartawan berperwatakan hero yang pintar bermain hujah yang mengagumkan. Ya, aku terbayangkan Newsroom dengan dialog bertubi-tubi Aaron Sorkin.

Tapi Spotlight tak berminat dengan kontroversi dan tak berniat mengangkat sesiapa sebagai hero. Ia sebuah filem doku-drama yang diolah dengan halus dan beradab. Keutamaan filem ini bukan untuk mengangkat watak tapi mengangkat cerita itu sendiri walaupun tak dinafikan kejayaannya banyak bergantung kepada kekuatan pelakon-pelakonnya. Kita menikmati filem ini bukan dari garisan antagonis-protagonis yang jelas tapi kekuatan karakter watak-watak dalam memainkan peranan masing-masing untuk menghidupkan cerita.

Spotlight enggan berlebih-lebihan. Tak ada muzik suspen dan thriller, tak ada elemen yang sensasi dan tak gelojoh untuk nampak dramatik. Semuanya dalam mood profesional dan tersusun. Dalam filem ini kita takkan nampak Archbishop Boston berkonspirasi dengan paderi lain untuk menafikan usaha para wartawan Spotlight. Begitu juga kita takkan nampak wartawan Spotlight mengeji Gereja Katolik dengan bahasa berapi-api. Ini tak bermaksud skripnya mendatar dan menjemukan. Cuma bahasanya tepat, licik, berdiplomasi dan penuh kiasan. Tom McCarthy sebagai pengarah tahu apa yang ingin disampaikan dan yang paling penting dia tahu cara menyampaikannya.

Dengan mengambil kira ia berdasarkan kisah benar malah subjek filem ini sangat sensitif, McCarthy bijak kerana berjaya mengartikulasikan filem Spotlight dengan nada dokumentari yang menarik dan seterusnya membuka peluang untuk filem ini dihargai bukan saja oleh manusia yang mencari point untuk balun Gereja Katolik, tapi juga ditonton oleh penganut Katolik itu sendiri.

Dengan cara ini Spotlight bukan menembak sensitiviti penonton dengan machine gun, tapi menyuntik jarum halus yang terkandung serum kebenaran yang perlahan-lahan menyedarkan kita. Spotlight bukan melancarkan perang terhadap Tuhan atau Kristian Katolik atau mana-mana agama pun tapi mahu membongkar bagaimana struktur kuasa mengeksploitasi simbol kolektif masyarakat baik atas nama agama, kaum atau nasionalisme seterusnya serta bagaimana simbol tadi digunakan untuk memalingkan kita dari jenayah yang menyorok di sebalik simbol-simbol ini.

Dalam Spotlight ada paderi mengaku dengan selamba yang dia pernah cabul kanak-kanak tapi dia kata dia tak pernah merasa kepuasan seksual atau berbangga dengan pencabulan itu. Dia juga cakap ada beza antara cabul dan rogol. Dan perbuatannya itu bukan rogol kerana dia tahu perbezaan antara cabul dan rogol sebab dia sendiri pernah kena rogol.

Bagi aku dia menganggap kerja mencabul itu satu yang normal untuk dibuat oleh seorang paderi. Sama seperti penerima rasuah anggap suatu yang normal untuk terima rasuah walaupun dia tak pernah berbangga dengan tindakannya itu. Penerima rasuah juga mungkin mengatakan dia bukan terima rasuah tapi duit kopi, derma ikhlas, wang ihsan dan sebagainya. Abnormaliti sudah jadi normaliti. Kita lihat di sini bagaimana seseorang merasionalisasikan jenayah melalui kebiasaan yang sudah menjadi budaya.

Soalnya bukan perasaan puas atau tak puas, bangga atau tak bangga, soalnya aktiviti rasuah itu adalah jenayah. Jenayah wujud bila ada pihak yang dizalimi. Rasa bangga bukan kriteria yang menentukan sesuatu aktiviti itu jenayah atau tidak. (Banyak kajian menunjukkan kebanyakan jenayah seksual (rogol, liwat, cabul dan sebagainya) dilakukan bukan untuk mendapatkan kepuasan seksual tapi motivasinya muncul dari usaha mendapatkan kuasa dan kawalan (power and control) terhadap mangsa. Motivasi yang sama boleh dikaitkan dengan rasuah. Penerima rasuah terima rasuah bukan sebab kesempitan wang tapi sebab mereka sedar mereka ada power and control untuk mendapatkan wang dengan cara mudah).

Aku sebutkan tadi yang Spotlight tak bertujuan mencabut iman dari hati manusia. Dan aku mahu tambah di sini, Spotlight pada satu sisi ingin menguatkan harapan manusia kepada iman. Seperti yang disebutkan oleh salah seorang mangsa, “Jenayah (cabul) ini bukan saja pencabulan fizikal tapi juga pencabulan spiritual”. Paderi memilih mangsanya dari kumpulan sasaran yang sama, maksudnya semua mangsa cabul punya latar belakang yang sama; datang dari keluarga miskin, tak ada bapa dan perlukan kasih sayang. Justeru mereka dan keluarga mereka rasa dihargai bila ada orang yang beri perhatian. Apatah lagi orang itu manusia yang dekat dengan Tuhan. 

Jadi bila mereka dicabul ia bukan saja mencabut rasa percaya mereka kepada paderi tapi juga mencabut iman mereka kepada Tuhan. Ramai dari mereka tak dapat terima kenyataan yang mereka telah dicabul lalu memilih untuk jadi alkoholik, penagih dadah atau paling teruk membunuh diri. Sebab itu kita kena sedar institusi kekuasaan yang tak dikritik akan menghancurkan kepercayaan masyarakat kepada sebarang autoriti kuasa. Begitu juga institusi agama yang tak dikritik akan membunuh kepercayaan masyarakat kepada autoriti agama atau membunuh kepercayaan kepada Tuhan itu sendiri.   

Selepas skandal ini pecah, Cardinal Law letak jawatan sebagai Archbishop Boston dan dilantik mengetuai Santa Maria Maggiore, antara gereja berpengaruh di Vatican. Kesimpulannya, Cardinal Law bukan letak jawatan tapi dinaikkan pangkat. (Bukan di Malaysia pun pernah berlaku benda yang sama? )

Kata Martin Luther King, Jr. "Akan datang satu masa di mana kita perlu memilih kedudukan yang tak selamat, tak politikal, tak juga popular, tapi kita mesti memilihnya kerana hati nurani kita beritahu itulah kedudukan yang benar".

Rasanya kita sudah sampai di persimpangan di mana kita perlu mengambil kedudukan yang benar. Cahaya spotlight tak selalu bersinar untuk menunjuk arah jalan kepada kita. Lampunya mungkin rosak, kuasanya mungkin habis, dan kegelapan pasti datang kembali menyapa kita. 


Thursday, March 10, 2016

Sastera, Kritik & Ideologi

Ada empat jenis pengkritik buku – yang memuji anda kerana anda kawannya, yang mengecam anda kerana anda musuhnya, yang memuji anda kerana buku anda bermutu, yang mengecam anda kerana buku anda tidak bermutu. Lupakan dua pengkritik awal.’
-T. Alias Taib, Tuan Ibarat Songket Berkilau-

Kritikan terhadap teks novel KOMSAS bukanlah baru. Sebelum isu Pantai Kasih, novel Interlok dipermasalahkan. Sebelum Interlok, beberapa kritikan dihamburkan kepada banyak novel KOMSAS yang disifatkan sebagai novel popular, novel ringan dan sebagainya. Kemudian muncul isu apabila Pusat Perkembangan Kurikulum bercadang untuk tak menggunakan karya-karya sasterawan mapan sebagai teks KOMSAS (atas alasan ia terlalu berat) sehingga A. Samad Said ‘merajuk’ dan tak mahu lagi memakai gelar Sasterawan Negara.

Lama sebelum KOMSAS diwujudkan, Hikayat Umar Umaiyah yang dipilih sebagai teks klasik subjek Kesusasteraan Melayu dikritik kerana dikatakan sarat dengan nilai negatif. Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur tulisan Keris Mas pernah dikritik Awang Sariyan kerana banyak melanggar hukum tatabahasa. Saya tak pasti adakah Awang Sariyan ketika itu memposisikan dirinya sebagai kritikus sastera atau penyunting tatabahasa. Itu belum lagi dikira kritikan-kritikan tajam dari trio Mohd Affandi Hassan, Mohd Zariat Abdul Rani dan Ungku Maimunah Mohd Tahir, yang membawa gagasan Persuratan Baru yang saya kira sebuah antitesis kepada konsep kesusasteraan itu sendiri.

Saya enggan mengulas sama ada novel Pantai Kasih sesuai dijadikan teks KOMSAS atau tidak, apatah lagi untuk menghukumnya sebagai karya lucah (atau mengandungi elemen lucah). Faktor utama saya enggan mengulasnya adalah kerana saya tak pernah baca novel tersebut. Justeru saya bukan berada di posisi yang baik untuk mempertahankannya atau mengkritiknya.

Mungkin saya boleh cadangkan agar dimasukkan sebuah lagi buku dalam senarai KOMSAS sebagai bacaan tambahan. Dan buku ini wajib digunakan oleh pelajar tingkatan 1 sampai tingkatan 5 di seluruh Malaysia tanpa mengira zon. Nama buku itu ialah How To Read A Book oleh Mortimer Adler. Dalam buku tersebut, pada Bab 10 yang bertajuk Criticizing A Book Fairly, Adler menulis “Bersetuju tanpa pemahaman adalah kurang cerdik, tak bersetuju tanpa pemahaman adalah kurang ajar”.

Terlepas dari persoalan sama ada novel Pantai Kasih sesuai atau tak sesuai dimasukkan ke dalam KOMSAS, polemik-polemik yang melanda kesusasteraan Malaysia ini kembali mengingatkan saya kepada dua hal besar yang selalu mengetuk fikiran saya. Pertama, penilaian terhadap karya sastera di Malaysia dan kedua, objektif KOMSAS diwujudkan. Saya jangkakan seperti selalu saya akan membebel panjang, maka dalam posting ini saya akan menyentuh hal pertama sahaja, yakni penilaian sastera. Objektif KOMSAS kita cerita di kesempatan yang lain.

Polemik yang banyak menerkam subjek pendidikan sastera di Malaysia membawa kita kepada satu kenyataan; kita gagal membereskan persoalan paling kuno, yakni apa itu sastera dan kesusasteraan dan apa makna yang boleh kita tarik (atau mahu kita tarik) dari sastera dan kesusasteraan. Sebenarnya sebelum kita mencari maksud sastera dan kesusasteraan, terlebih dulu kita perlu menjawab persoalan apa yang kita mahu dari sastera dan kesusasteraan. Setelah jelas tentang apa yang kita mahu dari sastera dan kesusasteraan barulah kita boleh menjelaskan hakikat kesusasteraan, yakni apa maksud sastera dan kesusasteraan itu sendiri. Ini kerana saya sentiasa berpendapat sastera itu bersifat fungsional.

Sudah menjadi pengetahuan umum, bahawa mencari definisi kesusasteraan yang objektif dan stabil memang mustahil kerana apa yang mendefiniskan sesebuah tulisan itu sebagai karya sastera bukanlah hasil dari sebuah penilaian objektif yang terpakai  di sepanjang zaman dan di semua tempat, tapi hasil konvensyen yang dipersetujui oleh sebuah kultus seakan persepakatan sulit yang bertindak sebagai autoriti sastera. Justeru sejarah  sastera dan kesusasteraan terikat kuat dengan kepercayaan politik dan ideologi sesebuah masyarakat. Teks yang dulu dianggap sebagai karya sastera, sekarang mungkin tak lagi dianggap karya sastera, begitu juga sebaliknya.

Muhammad Haji Salleh dalam Puitika Sastera Melayu menjelaskan, ketika zaman pramoden fungsi sastera “ternyata lebih besar dan lebih pelbagai daripada yang kita saksikan dewasa ini”. Sastera tradisional mencakupi kaedah “ilmu pengasih hinggalah kepada peribahasa dan bidalan yang menyangkut sistem masyarakat, daripada pantun nasihat hinggalah kepada bimbingan membuat dakwat dan keris, daripada perubatan hinggalah kepada tauhid, fikah dan faraid.” Justeru sastera tradisonal bukan dibataskan kepada karya kreatif dan cereka, tapi juga termaktub di dalamnya seni pembuatan, ilmu mistik, sains dan teknologi.

Maka apa yang kita faham sebagai ‘kesusasteraan moden’ turut berubah, menganjak jauh dari pemahaman masyarakat tradisional tentang sastera dan kesusasteraan. Menurut Muhammad Haji Salleh, dalam ruang lingkup sastera moden Melayu-Indonesia, perkataan ‘kesusasteraan’ yang kita guna pakai hari ini (dalam maksudnya yang baru) hanya meletus pada tahun-tahun 1930-an. Di Tanah Melayu, ia giat digunakan selepas Perang Dunia Kedua untuk menggantikan perkataan ‘persuratan’ yang dipelopori Za’ba.

Luasnya definisi ‘kesusasteraan’ ketika zaman klasik bukan saja terjadi di Malaysia tapi turut berlaku di Barat. Terry Eagleton dalam Literary Theory: An Introduction menjelaskan “kesusasteraan Inggeris kurun ke-17 bukan saja merangkumi karya cereka Shakespeare, Webster, Marvell dan Milton, tapi juga mencakupi esei-esei Francis Bacon, khutbah John Donne, autobiografi Bunyan dan tulisan Sir Thomas Browne. Dalam waktu-waktu tertentu kesusasteraan mencakupi juga Leviathan tulisan Hobbes atau History of the Rebellion tulisan Clarendon. Kesusasteraan Perancis pada kurun ke-17 mengandungi, selain Corneille dan Racine, mutiara kata daripada Rochefoucauld, ucapan pengebumian oleh Bossuet, risalah Boileau tentang puisi, surat-surat Puan de Sevigne kepada anak perempuannya dan falsafah Descartes dan Pascal. Kesusasteraan Inggeris abad ke-19 biasanya mengambil kira karya-karya Lamb (walaupun bukan Bentham), Macaulay (tapi tidak Marx), Mill (tapi tidak Darwin atau Herbert Spencer).”

Sudah pasti nenek moyang umat Melayu tak pernah kenal perkataan ‘sastera’ (asal perkataan Sanskrit, shastera) atau membicarakan sastera sepertimana kita membicarakannya sekarang. Begitu juga apa yang diajar di universiti Barat, karya-karya yang kita sebut karya sastera Inggeris atau Latin pada abad ke-17 bukan menuntut para pelajar menginterpretasikannya seperti kita menginterpretasi karya sastera hari ini. Mereka menghafalnya, mengkaji struktur nahu, retorik dan argumen yang ada di dalamnya. Apa yang dimaksudkan sebagai ‘sastera’ ketika itu bukan merujuk kepada jenis penulisan tertentu (fiksyen-bukan fiksyen) tapi penulisan yang mempunyai bahasa dan retorik yang cantik.

Jadi siapa yang meletakkan definisi baru kesusasteraan atau ‘sastera moden’ seperti yang kita faham hari ini? Apakah kriteria yang dikongsi oleh kesusasteraan moden dan kesusasteraan klasik sehingga kita turut menggolongkan karya-karya tertentu hari ini sebagai karya sastera? Apa persamaan antara Salina dan Tuhfat al-Nafis?

Kalau kita bersetuju untuk mengiktiraf bahawa semua karya sastera itu ialah karya berkualiti – yakni yang popular, yang picisan itu bukan sastera tapi anak haram tak kenal asal-usulnya yang cuba menempek dengan sastera – maka datang pula persoalan, apa yang membezakan karya sastera dan bukan sastera? Apa beza Pantai Kasih dengan Suami Aku Ustaz? Soalan ini saya tanya atas anggapan yang Pantai Kasih sebuah karya sastera sebab ia dipilih sebagai teks KOMSAS dan jelas Dewan Sastera takkan memperakukan Suami Aku Ustaz sebuah karya sastera.

Kalau kita bersetuju untuk mengiktiraf bahawa sastera itu sendiri membiakkan benih-benih berkualiti dan tak berkualiti – yakni sastera tinggi, sastera rendah, sastera popular, sastera picisan misalnya - maka kita datang kepada persoalan lain, yakni apa itu sastera berkualiti dan apa itu sastera tak berkualiti?

Mungkin kita tak boleh mendefinisikan sastera dengan  jelas. Tapi persoalan lain akan muncul bila kita dihadapkan dengan sekumpulan ‘karya sastera’. Kita akan bertanya apa pula persamaan sebuah karya sastera dengan sebuah karya sastera yang lain? Apa persamaan yang dikongsi Pantai Kasih dengan Seorang Tua Di Kaki Gunung? Di sini masalah muncul sebab kita lebih senang mencari (dan menjumpai) persamaan di antara ‘karya sastera’ dengan karya bukan sastera, berbanding mencari persamaan di antara dua ‘karya sastera’.

Dalam kekalutan definisi ini perkara paling mudah ialah dengan mendefinisikan ‘kesusasteraan ialah teks tertentu yang dianggap kesusasteraan oleh masyarakat tertentu atas sebab-sebab tertentu’. Jawapan ini akan menghadapkan kita kepada soalan seterusnya, yakni: apa yang membuatkan masyarakat mengangkat sesuatu teks sebagai karya sastera? Di sini kita terpaksa mengakui yang ‘kesusasteraan’ itu mempunyai fungsi sosial dan ‘kesusasteraan’ bukan merujuk kepada kriteria yang spesifik tetapi kriteria yang berubah mengikut kumpulan sosial. ‘Kesusasteraan’ bersifat fungsional berbanding ontologikal.

John M. Ellis menyamakan ‘kesusasteraan’ dengan ‘lalang’. Jika kita ditanya ‘apa itu lalang?’ memang sukar untuk kita mendefinisikan ciri-cirinya sebab ia tak ada ciri-ciri spesifik. Kalau begitu, bagaimana kita nak kenal lalang? Mudah saja, lalang ialah tumbuhan yang tak diperlukan dan dibenci oleh petani. Jadi memang mengarut kalau kita mahu kaji ciri-ciri lalang dari sudut sains botani untuk mengetahui apa yang menyebabkan lalang itu dipanggil lalang sebab pendefinisian lalang itu berbeza-beza mengikut latar masa, geografi dan muka bumi. Petani Mexico menyimpan definisi yang berbeza dengan petani Malaysia tentang lalang. Kalau kita mahu juga mengkaji lalang maka ia bukan saja tertakluk kepada ilmu sains botani tapi juga ilmu sejarah, geografi dan sosiologi. Jadi konsep ‘kesusasteraan’ sama seperti konsep ‘lalang’, cuma berbanding ‘lalang’, ‘kesusasteraan’ dianggap penting kepada masyarakat.

Ini akan memunculkan soalan seterusnya: apa atau siapa yang menentukan sesuatu teks itu sebagai kesusasteraan dalam sesebuah masyarakat? Jawapannya ialah seperti yang saya nyatakan di awal tadi, kesusasteraan dimaknakan oleh institusi bahasa dan budaya yang dominan dalam sesebuah masyarakat yang dibelakangnya berdiri struktur politik dan ideologi.

Justeru apabila politik dan ideologi berubah, budaya berubah, sisi pandangan penulis berubah, pengalaman khalayak pembaca berubah, maka definisi bahasa dan kesusasteraan turut berubah. Sejarah sastera dan kesusasteraan sentiasa bersifat politikal dan ideologikal, wacananya sentiasa dipengaruhi oleh institusi bahasa dan budaya yang dominan dalam sesebuah masyarakat. Kalau penulis-penulis indie menguasai badan sastera Malaysia, tak mustahil definisi sastera dan kesusasteraan juga akan berubah.

Maksud ‘politikal’ dan ‘ideologikal’ di sini bukan merujuk secara langsung kepada parti politik atau ideologi politik. Tiga pelopor Romantisisme Inggeris; William Wordsworth, William Blake, Samuel Taylor Coleridge – pada awalnya adalah manusia politikal dan radikal yang terkesan dengan Revolusi Perancis 1789.  Jangan salah faham pulak, era Romantik itu bukan era di mana novel cinta terjual laris atau bunga ros jadi komoditi paling mahal, ianya era politik Eropah sedang bergolak menentang kuasa monarki. Jadi bila sasterawan atau penyair Romantik ini bersembunyi di sebalik gunung dan bersahabat dengan air terjun, sungai dan batu, bukan bermaksud mereka tak ‘berpolitik’ atau tak ‘berideologi’ atau kurang ‘radikal’, tapi mereka mencipta ‘politik’ atau ‘ideologi’ mereka sendiri untuk menyampaikan pengaruh ‘radikal’ mereka kepada masyarakat. Malah bukan saja isi, bentuk karya Romantik itu sendiri radikal. Generasi kedua sasterawan Romantik Inggeris seperti Percy Bysshe Shelley (yang mempengaruhi konsep civil disobedience bawaan Thoreau) dan Lord Byron juga melanjutkan legasi politikal dan radikal pendahulu-pendahulu mereka. Jelas di sini Romantisisme itu muncul dari manusia politikal hasil dari sebuah reaksi politikal. Manusia yang menolak campur tangan politik dan ideologi dalam sastera itu sendiri sebenarnya telah mengeluarkan pernyataan politikal dan ideologikal.

Kalau merujuk kepada situasi di Malaysia, kenyataan bahawa legasi ASAS 50 itu mewujudkan hegemoni dalam kesusasteraan moden Malaysia bukanlah kenyataan yang tak berasas. Cuma pada pendapat saya ideologi sastera ASAS 50 itu – akibat miskinnya budaya kritikan sastera di negara kita -  tak boleh dipertahankan lagi. Institusi bahasa dan budaya kontemporari di Malaysia mandul dalam menghasilkan pola pemikiran baru dalam wacana kesusasteraan negara. Malah, wacana ini jelas makin diasak oleh wacana alternatif (gagasan Persuratan Baru antaranya) dan kemunculan masalah-masalah baru disebabkan kemandulan pemikiran ini.

Ketakberdayaan kita merumuskan sebuah teori yang sistematik, atau melahirkan wacana sastera yang serius, menyebabkan penilaian kita terhadap karya-karya sastera yang sesuai dijadikan teks untuk para pelajar juga berkecamuk dan bermasalah kerana penilaian karya sastera di peringkat asas, tentang apakah kaedah, pendekatan dan metodologi yang boleh diaplikasikan untuk menentukan sesebuah karya itu sebuah karya sastera (yang berkualiti tinggi) belum benar-benar mantap.

Saya lihat kita bukan miskin teori sastera, malah kita ada berderet-deret teori sastera. Kita bukan saja ada teori-teori yang diculik dari Barat, kita juga ada teori-teori yang dirumuskan oleh sarjana sastera tempatan. Kita ada Teksdealisme dan Takbudiyah, kita ada Takmilah, kita ada Puitika Sastera (sekadar sebut beberapa nama). Tapi saya lihat teori-teori ini tak berdaya menyediakan kerangka penilaian yang kukuh kerana kita miskin kritikan sastera. Atau lebih tepat kita miskin kritikan sastera yang kritis dan analitis. Banyak kritikan sastera muncul bukan untuk menilai, mempersoalkan dan mengecam, tapi sarat dengan kata-kata pujian yang bertujuan mengangkat sesebuah karya seolah-olah karya itu secocok benar dengan teori yang dipakai.

Kritikan sastera di Malaysia kebanyakannya menggunakan teori yang separuh masak bertujuan mengangkat karya yang lesu untuk menunjukkan yang sastera kita sebenarnya masih bernafas dalam menghasilkan karya-karya yang hebat. Teori-teori Barat yang kita gunakan itu pun bukanlah berdasarkan pemahaman kita yang mendalam terhadap teori tersebut, tapi memetik kata A. Wahab Ali “pemahaman secara tahi kambing terurai sebutir-butir lalu bermain dengannya. Yang timbul dari keadaan itu ada di antara kami bermain dengan teori seperti anak kecil leka bermain dengan butir-butir tahi kambing. Kesannya timbullah sarjana yang bukan menulis karya ilmiah tapi menulis karya kewartawanan dan separuh ilmiah yang bermain dengan teori.”

Kritikan sastera itu fungsinya menampung teori sastera. Teori sastera fungsinya menjelaskan hakikat kesusasteraan. Bila kita miskin kritikan yang berkualiti, teori sastera kita pun pincang, maka hakikat kesusasteraan – yakni apa yang kita faham dan apa yang kita mahu ambil dari kesusasteraan pun kelam kabut. Dan memang sepatutnya teori kesusasteraan ini bersifat tempatan. Tapi saya pun tak tau teori-teori tempatan di atas masih wujud atau sudah pupus dalam timbunan kertas kerja.

Akibatnya sastera kita bukan berdiri sebagai institusi budaya yang kukuh tapi industri budaya (culture industry) yang memandulkan kreativiti dan mempertahankan status quo. Ya, ia memang sudah jadi industri budaya. Antaranya sudah lama kita dengar tuduhan adanya unsur kronisme dan korupsi dalam pemilihan teks KOMSAS. Begitu juga kita pernah dengar tentang sikap bias dalam pemilihan karya-karya yang bakal disiarkan di majalah, akhbar dan sebagainya. Saya tak maksudkan sastera Malaysia penuh sampah sarap, tapi kita tahu sastera kita walaupun belum lumpuh tapi semakin lesu dalam melahirkan karya-karya (terutamanya novel) yang fenomenal. Ini kitaran biasa dalam kehidupan sebuah negara yang selesa dengan ketenangan yang rutin, dan sentiasa curiga dengan kritikan yang mencabar status quo seperti Malaysia.

Mohd Affandi Hassan dalam tulisan-tulisannya selalu sebut tentang budaya Mutual Admiration Club (atau saya terjemahkan sebagai Kelab Saling Memuji) yang sudah menular dalam sastera arus perdana sejak tokoh-tokoh ASAS 50 menguasai DBP, penerbitan majalah dan wacana sastera Malaysia. Hegemoni ASAS 50 menjadikan ideologi kesusasteraan mereka dan karya-karya mereka mendominasi lanskap sastera Malaysia seolah-olah kesusasteraan moden kita takkan wujud tanpa sumbangan ASAS 50. Legasi mereka diteruskan kemudiannya oleh anak-anak murid dan pengikut-pengikut mereka yang kini menjadi autoriti sastera di Malaysia.

Tulis Mohd Affandi Hassan, “Dalam budaya Mutual Admiration Club, anda tidak perlu berlaku kritis. Anda hanya perlu memuji dan memberikan sanjungan yang berlebihan.” Tulis beliau lagi, “…saling memuji satu sama lain, tenggelam dalam pretensi intelektual dan fatamorgana bahasa, lemas dalam retorik peragaan…”. Budaya ini juga boleh disimpulkan dalam nota Hafiz Hamzah dalam buku Dialog Dengan Sasterawan tulisan Kassim Ahmad, “…seorang menerbitkan buku, dan seorang lain (dari lingkungan sama) akan memuji-muji melangit. Tak ada keupayaan untuk menawarkan pandangan kritis untuk membolehkan khalayak menanggapi sastera dengan rasa hormat.”

Mutual Admiration Club ini bukan saja muncul dalam sastera perdana tapi turut mewabak ke dunia sastera indie. Saya sejujurnya tak peduli sangat pembahagian indie atau tak indie, tapi kritikan hukumnya wajib kalau kaum penulis indie serius dalam berkarya dan mahu karya mereka berkembang ke tahap yang lebih tinggi dan bukan hanya terkurung dan diiktiraf oleh kelompok kawan-kawan dan kroni sendiri.

Kalau penulis indie saling memuji karya kawan-kawan mereka atau berpandangan tak perlu wujud sebarang kritikan kepada karya indie atas alasan “dunia penulisan indie Malaysia kecil saja, jadi marilah saling menjaga periuk nasi masing-masing” maka saya rasa tak ada bezanya mentaliti sastera indie dan sastera arus perdana. Masing-masing kumpulan nampaknya bersikap kritis hanya kepada lawan. Sastera arus perdana mengkritik sastera indie manakala sastera indie pula mengkritik sastera arus perdana. Tapi kritikan kepada karya yang datang dari kelompok sendiri senyap sunyi tanpa suara. Ya, dan kemudian baru kita sedar bukankah ini Malaysia?

Saya tak menyifatkan ideologi sastera ASAS 50 itu satu yang negatif keseluruhannya. Malah saya sendiri tak pasti selepas 66 tahun adakah masih wujud sisa-sisa ‘ideologi’ dalam tinggalan ASAS 50 itu. Sekurangnya-kurangnya dalam tempoh 30 tahun sejak ASAS 50 ditubuhkan, slogan Seni Untuk Masyarakat telah memainkan peranan penting sebagai alat memperjuangkan kemerdekaan, semangat kebangsaan, perpaduan, keadilan sosial dan kemakmuran hidup. Tokoh dan pendokong ASAS 50 faham benar sifat sastera yang fungsional, mereka faham benar yang sastera, bahasa & budaya ialah senjata politikal dan ideologikal. Mereka bijak merumuskan idealisme kesusasteraan mereka sendiri dan menyebuarluaskannya menggunakan kebolehan masing-masing dalam penulisan dan pengaruh masing-masing dalam akhbar dan majalah.

Ideologi sastera ASAS 50 kebanyakannya boleh kita baca melalui esei-esei Sasterawan Negara yang pertama, Keris Mas yang sekaligus bertindak sebagai ideologue gerakan tersebut. Malah ketika menerima Anugerah Sastera Negara pada 26 April 1981, Keris Mas memilih Politik Sastera sebagai tajuk ucapannya*:

Politik Sastera yang saya maksudkan ialah pendirian politik terhadap sastera, yakni polisi tentang sastera dalam hubungannya dengan kehidupan kebangsaan. Ini membezakannya daripada apa yang dikatakan Sastera Politik. Sastera Politik ialah sastera yang diperalat oleh golongan atau parti politik…

Sastera Politik dapat berfungsi hanya apabila kepentingan nasional mengatasi kepentingan golongan atau parti. Tiga puluh tahun yang lalu sastera kita pernah diperalatkan untuk kepentingan politik. Politik pada waktu itu ialah politik kemerdekaan yang diperjuangkan oleh semua golongan dan parti. Sastera mengambil peranan untuk membuka mata, menyedarkan setiap orang, baik rakyat mahupun  pemimpin, yang terlibat atau tidak terlibat dalam perjuangan parti politik, terhadap keburukan dan kebusukan penjajahan dan alat-alatnya – mendorongkan dan membangkitkan jiwa masyarakat, kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan hidup manusia.

Pada zaman ini apabila kepentingan golongan atau kepentingan parti kadang-kadang mengatasi kepentingan nasional, Sastera Politik tidak berfungsi lagi. Kemungkinan sastera menjadi alat mempertahankan kepentingan parti atau golongan menjadi lebih daripada alat cita-cita nasional dan masyarakat.

Maka dalam keadaan begini, kita seharusnya menentukan sikap politik bangsa kita dan negara kita terhadap sastera…Menentukan sikap terhadap sastera ini saya namakan Politik Sastera.

Cuma hampir 10 tahun kemudiannya, Keris Mas dalam syarahan Pendeta Za’ba sempena Minggu Sastera pada 5 Mac 1990, mengeluh betapa umat Melayu ini masih bermasalah untuk mengisi kemerdekaan, yang punca utamanya ialah akibat kemandulan intelektual, atau dalam kata-katanya “ketiadaan keunggulan ilmu, ketrampilan dan semangat”. Beliau merasakan ideologi sastera ASAS 50 perlu diperbaharui semula dengan pemaknaannya yang baru (atau mungkin digantikan dengan wacana sastera yang lain) yang lebih  sesuai dengan tuntutan semangat zaman dan krisis yang mendepani masyarakat Malaysia. Kata Keris Mas:

Bahawa setiap orang haruslah hidup dan komited pada aliran hidup pada zaman kehadirannya adalah penting disedari. Zaman lampau telah kita hadiri dan realitinya telah kita isi dengan sedar. Kita tidak perlu kembali kepadanya. Kita sedang hadir pada satu zaman lain dengan realitinya sendiri. Zaman khutbah Kajai, zaman propaganda ASAS 50 tidak diperlukan lagi, tetapi dilema Melayu pada zaman-zaman lampau itu masih wujud dan masih memerlukan penyelesaian. Jika zaman lampau itu telah dilalui dengan semacam revolusi, maka zaman ini boleh diberi julukan nama revolusi dilema. Intelek seni zaman ini haruslah tampil dengan pemikiran baharu, etika dan estetika baharu untuk menghadapi dan menangani revolusi zamannya dengan komitmen yang jujur. Kejujuran itu penting kerana apa yang kita hadapi ialah ketidakjujuran yang dihasilkan oleh tradisi-tradisi lama yang menekan dan menindas kebebasan berfikir, tekanan dan penindasan mental dan jiwa yang membunuh pertumbuhan ilmu, ketrampilan dan semangat.”

Petikan di atas di ungkapkan oleh manusia yang faham bahawa hakikat sastera dan kesusasteraan perlu sentiasa diwacanakan dengan kritis, bahawa sastera itu sentiasa berkait dengan nilai politik dan ideologi, bahawa sastera perlu dibawa mendepani kerenah dan tuntutan zaman.

Di Malaysia jawapan kepada soalan “apa itu karya sastera?” boleh dijawab dengan jawapan paling simplistik: Karya sastera ialah karya yang ditulis oleh Sasterawan Negara. Atau karya sastera ialah karya yang diterbitkan DBP, Utusan Publication atau Marwilis Publisher. Jawapan ini kalau dibaca sekali lalu nampak macam betul tapi kalau disemak semula ialah sebuah jawapan yang cacat. Ibarat ditanya “apa itu ulamak?” dan jawapan yang kita terima ialah “ulamak ialah mereka yang menyertai Persatuan Ulamak Malaysia”. Dengan analogi ini saya harap anda lebih faham apa maksud saya bila saya sebut definisi sastera dan kesusasteraan sentiasa dimaknakan oleh politik dan nilai ideologi serta wacana sastera dan kesusasteraan sentiasa bersifat politikal dan ideologikal.

Hegemoni sastera di Malaysia melayan semua karya Sasterawan Negara itu seolah-olah mencapai makam sastera yang ideal. Seolah-olah gelar Sasterawan Negara secara langsung menumbuhkan urat dan daging bernama sastera yang kemudiannya akan tumpah sebagai darah mengisi dakwat mesin cetak yang kemudiannya secara langsung melakar hasil yang bernama sastera. Jarang saya terbaca kritikan-kritikan yang menilai karya sasterawan kita dengan kritis dan ilmiah, kecuali dari pendokong-pendokong gagasan Persuratan Baru.

Definisi sastera – sama seperti ulamak - sentiasa dibayangi oleh wacana kuasa yang menyusun bentuk-bentuk kesedaran dan bawah sedar masyarakat dalam menentukan penafsiran kriteria-kriteria setiap elemen budaya.

Perkataan ‘ulamak’ itu sendiri dalam Islam menyimpan konotasi sebuah sosok yang semi-sakral dan dikaitkan secara terus sebagai pewaris para nabi. Kalibernya dalam wacana agama membangunkan sebahagian dari epistemologi agama itu sendiri. Justeru setiap kumpulan membina sosok ‘ulamak’ (atau membina wacana tentang keulamakan) berdasarkan penafsiran kelompok masing-masing untuk mempengaruhi masyarakat. Kita pernah baca ‘ulamak adalah revolusioner’, ‘ulamak mesti terlibat dengan politik’, ‘ulamak hanya menyampaikan’, ‘ulamak mesti tak berpihak’ dan macam-macam lagi kriteria yang kalau diperiksa setiap satu mungkin bercanggah di antara satu sama lain. Perkara yang sama berlaku kepada wacana ‘sastera dan kesusasteraan’ (malah juga kritikan sastera).

Selalu disebut, tujuan sastera yang paling primitif adalah untuk menghibur dan mendidik (to delight and to instruct). Ini satu kenyataan yang sukar disanggah, bukan saja jika kita meneliti sastera tradisional Melayu tapi juga khazanah sastera dunia, dari zaman Yunani kuno hinggalah sastera Inggeris. Sebab itu seperti yang saya tekankan sastera mempunyai fungsi sosial. Oleh sebab itu Gramsci sebut falsafah spontan (spontaneous philosophy) yang dimiliki oleh setiap manusia terdiri dari 3 unsur; bahasa, akal budi dan kesusasteraan rakyat (di samping agama), di mana setiap satu unsur ini secara langsung terlibat dalam asas-asas yang membentuk sastera. Dan sebab itu juga kuasa dan kekuasaan sentiasa berminat dengan wacana sastera dan kesusasteraan.

Cuma di tahap yang lebih analitis dan kritis kita perlu mempersoalkan ‘berapa rendah tahap hiburan dan berapa tinggi tahap didikan yang disampaikan ?’ dan yang lebih penting ‘siapa yang memperoleh manfaat dari tahap hiburan dan didikan sebegitu?’.

Tulis Eagleton “amat bermanfaat untuk melihat ‘kesusasteraan’ digunakan sebagai nama yang diberi orang dari semasa ke semasa kerana sebab-sebab yang pelbagai, kepada jenis-jenis tulisan tertentu dalam suatu bidang yang disebut Michel Foucault sebagai ‘amalan-amalan yang bersambung-sambung’, dan jikalau ada sesuatu yang dapat dikaji, yang harus dikaji ialah seluruh bidang amalan dan bukan saja yang kadang-kadang ditandakan secara samar sebagai ‘kesusasteraan’”.

Tulis Kassim Ahmad dalam Dialog Dengan Sasterawan,“salah satu kelemahan kritikan sastera ialah kegagalan untuk menyingkap dan menunjukkan hubungan karya-karya dengan aliran-aliran sastera (dan ideologi) yang wujud dalam masyarakat moden.”




*Ucapan penerimaan ini pernah dikritik oleh Syed Husin Ali yang dimuatkan dalam Dewan Sastera keluaran Ogos 1982 dengan tajuk ‘Politik Sastera: Suatu Komen Terhadap Keris Mas’. Kritikan ini juga dapat dibaca dalam buku ‘Sasterawan Negara Keris Mas: Tanggapan Tokoh dan Sarjana’. Antara lain Syed Husin Ali tidak setuju dengan pembahagian ‘Politik Sastera’ dan ‘Sastera Politik’ yang menurut beliau kedua-duanya berkait rapat di antara satu dengan yang lain.

Saturday, March 5, 2016

Mencintai Kritik

Kami membidas, kami membidas tanpa kulit. Kalau kami mengkritik, kami mengkritik sehebat-hebatnya. Kata-kata ‘kejam’, ‘tidak demokratik’ dan seumpamanya menjadi permainan kami hari-hari.”
-Ahmad Boestamam-

Perkataan ‘kritik’ berasal dari perkataan Inggeris, criticism yang diambil dari perkataan Perancis critique, yang berakar pula dari perkataan Yunani, krino yang bermaksud ‘untuk menentukan’ atau ‘untuk menilai’.

Kamus Dewan (Edisi Keempat) mendefinisikan ‘kritik’ sebagai:
1)      analisis, penilaian dan teguran terhadap karya seni, sastera, dsbnya
2)      teguran keras, kecaman, bidasan

‘Kritikan’ pula didefiniskan sebagai:
1)      Kritik (analisis, penilaian, dan ulasan terhadap sesuatu karya sastera dll)
2)     Kritik (ulasan atau kata-kata) tentang keburukan (kelemahan dsbnya) seseorang atau sesuatu, kecaman

Justeru dalam bahasa Melayu ‘kritik’ dan ‘kritikan’ memikul dua sifat penilaian seperti yang dinyatakan di atas. Pertama, kritikan bersifat analisis ilmiah/ akademik dan kedua, kritikan bersifat teguran, bidasan dan kecaman.

Dalam bahasa Inggeris, dua sifat yang sama wujud. Kalau dulu ‘kritikan’ ialah ‘criticism’ tanpa mengira kritikan itu ilmiah atau tidak. Tapi kini muncul  perkataan ‘critique’ (diambil terus dari bahasa Perancis) yang cenderung dikaitkan dengan kritikan ilmiah/ akademik (mungkin kesan pengaruh post-strukturalis Perancis). Dan criticism pula dikaitkan dengan kritikan berupa teguran dan bidasan.

McMillan English Dictionary mendefinisikan criticism sebagai:
1)      Comments that show that you think something is wrong or bad
2)   The activity of giving your professional opinion about things such as new books, plays or films

Manakala critique didefinisikan sebagai
1)      a careful written examination of a subject that includes the writer’s opinions.

Maka saya menyeru semua pembaca supaya mengambil semangat kritikan Allahyarham Ahmad Boestamam seperti petikan di atas. Mengkritik dengan teguran, bidasan dan kecaman. Mengkritik bukan dalam bentuk akademik, kerana bukan semua manusia ahli akademik, bukan juga kerana tuntutan akademik, tapi tuntutan untuk menyatakan yang hak. Dan desakan untuk menanamkan kesedaran kritikal ini makin kuat kerana akhir zaman adalah zaman krisis dan fitnah. Seperti kata Albert Camus "sebaik saja manusia, hasil dari karakter yang menipis, bersembunyi di sebalik doktrin, sebaik saja jenayah mengabsahkan dirinya, ia bercambah seperti bercambahnya pemikiran dan menakluk setiap aspek logik akal. Jika dulu jenayah adalah aktiviti solitari seperti sebuah protes, kini jenayah jadi universal seperti sains. Semalam jenayah dibicarakan; hari ini jenayah menjadi undang-undang."

Jelas sekali ‘kritikan’ bukan sekadar ‘mengulas’, ‘memerihalkan’ atau ‘menjelaskan’. Tapi ia datang bersama semangat untuk menyatakan kekurangan dan kelemahan, untuk mencela, menegur dan mengecam. Ia bukan datang dari perasaan marah, kerana kata orang Melayu, marah tandanya sayang. Sebaliknya, kritikan harus bermula dari rasa benci, meluat dan sakit hati. Benci kepada benda yang ada (atau sedang ada) dan cinta kepada benda yang sepatutnya ada (atau mungkin ada). 

Apabila saya sebut ‘cinta’, saya teringat terma ‘intelektual amatur’ yang dijelaskan oleh Edward Said dalam Representations of an Intellectual. Kata Said, intelektual tak boleh terkurung dalam tembok profesionalisme dan pengkhususan yang hanya memuntahkan leksikon yang berputar di kalangan elit profesional lain. Justeru, kritikan intelektual (jika mereka mengkritik) tak harus hanya beredar dalam jurnal akademik atau kertas kerja yang jauh dari arus kesedaran awam. Lebih malang lagi kritikan tersebut perlu disahkan pula oleh autoriti yang betul, diucapkan dalam lenggok bahasa yang betul, mengambil petikan dari orang yang betul dan disusun dalam konvensi yang betul. Kesannya, ia dibaca oleh orang yang salah, bukan oleh anggota masyarakat di mana idea atau wacana itu dibincangkan.

Said menjelaskan ancaman utama kepada intelektual ialah “sikap yang saya namakan sebagai profesionalisme; yakni berfikir yang kerja kau sebagai intelektual adalah kerja yang kau buat sebagai sumber pendapatan, antara pukul 9 hingga pukul 5 dengan satu mata melihat jam, satu mata lagi juling kepada apa yang dianggap sebagai kelakuan yang sesuai dan profesional – tak melawan arus, tak menyimpang dari paradigma atau batas yang diterima ramai, tonjolkan diri sebagai baik dan mudah didekati, dengan itu tak kontroversi dan tak politikal dan nampak ‘objektif’.”

Ketika ditanya mengapa beliau menggunakan terma ‘intelektual amatur’ dan bukan ‘intelektual umum’, Said menjawab dia suka maksud ‘amatur’ dalam bahasa Perancis yakni ‘cintakan sesuatu’, sangat pedulikan sesuatu tanpa jadi profesional. Amaturisme kata Said ialah “kemahuan untuk bertindak tanpa mengharapkan keuntungan atau ganjaran, tapi cinta kepada dan minat untuk, mendapatkan gambaran yang besar, untuk berhubung merentasi garisan dan sempadan, keengganan diikat oleh pengkhususan, kepedulian terhadap idea dan nilai meskipun dibataskan oleh pekerjaan.”

Kerana rasa benci dan cintalah maka kita perlu menghidupkan budaya kritikan. Benci kepada benda yang ada (atau sedang ada) dan cinta kepada benda yang sepatutnya ada (atau mungkin ada). Saya fikir jika intelektual menara gading di Malaysia tak sudi menjadi amatur seperti disarankan Said, maka kita yang amatur ini perlu mengambil fungsi intelektual. Jika intelektual sains politik enggan mengkritik kebobrokan politik negara, atas alasan profesionalisme, yakni kritikan biarlah mengikut saluran yang betul, maka biarlah operator kilang yang mengkritiknya. Jika intelektual sejarah enggan mengkritik pengurusan ekonomi negara, atas alasan pengkhususan, yakni beliau bukan dari bidang ekonomi, maka biarlah penoreh getah yang mengkritiknya. Saya pasti intelektual sejarah tak sedar harga sekilo getah sekarang lebih murah dari harga sekilo gula. Saya pasti beliau tak pernah dengar keluhan penoreh getah, ”dulu menoreh sehari boleh makan seminggu, sekarang menoreh seminggu tak cukup makan sehari.”

Justeru tak usah pedulikan sama ada kita penganggur, petani, pekebun, nelayan, buruh kasar, cikgu sekolah, blogger dan sebagainya, kita harus mengkritik setiap aspek yang kita benci dalam kehidupan ini, tak kira aspek politik, ekonomi, seni budaya, ekosistem, kesihatan dan apa saja. Kita harus mengkritik setiap aspek dalam kehidupan yang kita rasakan seseorang harus mengambil tanggungjawab untuk membetulkannya. Tak usah peduli dengan kelayakan yang kita ada, tak usah peduli jika kita tak ada pengkhususan dalam bidang tertentu, asal saja kritikan itu bertolak dari sebuah idea yang kita cintakan, terhadap perkara yang kita benci. Asal saja kita punya asas untuk mengkritik, maka segeralah mengkritik. Pengkhususan Edward Said adalah dalam bidang kesusasteraan, tapi itu tak menghalangnya dari bercakap tentang perjuangan Palestin. Noam Chomsky punya pengkhususan dalam bidang linguistik, tapi itu tak menghalangnya dari mengkritik kepincangan polisi luar Amerika Syarikat.

Tak usah juga peduli dengan suara-suara sumbang yang mengecam bahawa kita hanya becok mengkritik masalah tanpa beri solusi untuk selesaikan masalah, atau kita hanya pandai cakap tapi tak pandai buat, atau kita bijak meruntuh dari membina. Manusia yang mengecam ini jelas jahil murakkab tentang fungsi kritikan serta jenis dan tahap kritikan. Tugas utama pengkritik bukanlah memberi solusi, walaupun tak dinafikan kritikan bersama solusi ada meritnya yang tersendiri. Tapi yang perlu dinilai terlebih dulu adalah kritikan itu sendiri. Kritikan muncul untuk menilai, mempersoalkan dan menyatakan kelemahan, untuk membuka kepada kemungkinan sebuah solusi yang lebih baik, bukan secara langsung memberi solusi. Kritikan juga secara langsung memang sebuah proses meruntuhkan objek kritikan. Tanpa meruntuhkan objek yang dikritik – dengan mempersoalkan kelemahan dan keburukannya - bagaimana kita nak bina sebuah solusi yang lebih baik.

Dan berapa ramai pengkritik terbaik tak pernah pun berikan solusi terhadap objek yang mereka kritik, atau pernah hasilkan objek alternatif yang lebih baik dari objek kritikan mereka. Karl Marx, pengkritik tersohor kapitalisme itu tak pernah beri solusi yang tuntas untuk ganti kapitalisme. Mungkin ada yang anggap solusi Marx mengarut. Tapi solusi Marx yang gagal itu tak secara langsung menafikan kedalaman analisis dan kritikannya terhadap kapitalisme. Roger Ebert sebagai pengulas dan pengkritik filem yang bagus dan prolifik tak pernah pun buat filem. Kau sendiri pandai komen nasi beriyani di kedai mamak tak sedap walaupun kau rebus telur setengah masak pun gagal.

Maksud saya sebagai manusia biasa, kita tak selalu mendekati dan menilai sesuatu objek melalui teori atau metodologi yang ilmiah. Bak kata Bertrand Russell, ada beza antara knowledge by acquaitance dan knowledge by description. Yang pertama ‘pengetahuan hasil dari kebiasaan (melalui pengalaman)’, yang kedua ‘pengetahuan hasil dari penjelasan (melalui pembelajaran & pengkajian)’. Selalunya kita berinteraksi dengan sesuatu objek bukan dengan bertanya dulu ‘apakah’ objek itu atau ‘bagaimana’ kita harus mendekatinya, tapi ‘mengapa’ kita ingin melibatkan diri dengannya. Setelah kita tahu jawapan kepada soalan ‘mengapa’ dan mengenalpasti ekspektasi yang kita harapkan dari objek tersebut, barulah kita membangunkan sebuah set pemahaman, teori atau kaedah untuk mencapai ekspektasi tersebut.

Pengetahuan kita tentang politik tak semestinya bermula dengan membaca John Locke, atau dengan mencari pendefinisian yang jelas tentang ‘apa’ itu politik atau ‘bagaimana’ sistem politik berfungsi, tapi dari pengetahuan umum yang politik mengatur hubungan manusia dan mahu tak mahu kita mesti terlibat dalam politik, dari sini muncul ekspektasi kita bahawa sistem politik yang baik ialah sistem yang menjaga kemaslahatan rakyat. Atas pengetahuan ini, walaupun saya seorang petani dan bukan profesor sains politik, sudah tentu mudah untuk saya sedar bahawa sistem politik Malaysia memang korup dan menyusahkan rakyat dan ada pihak yang perlu bertanggungjawab atas korupsi ini. Maka saya mengkritik sistem politik Malaysia berdasarkan kapasiti pengetahuan saya. Tapi kalau ada minta saya tunjukkan solusi yang analitikal bagaimana untuk mentadbir negara dengan baik, atau anda minta saya keluar dari Malaysia dan mentadbir negara saya sendiri, jelas yang bodoh bukan saya. Ada beza antara ‘tahu bahawa’ (knowing that) dengan ‘tahu bagaimana’ (knowing how). ‘Tahu bahawa nasi beriyani begitu dan begini’ tak bermaksud ‘tahu bagaimana nak masak nasi beriyani’.

Bukan saya menafikan pentingnya ilmu pengetahuan dalam kritikan. Malah saya beriman yang kritikan menggalakkan percambahan dan pertukaran ilmu pengetahuan. Bila mengkritik, pengkritik secara tak langsung cuba untuk menyelidik dan mengkaji objek kritikannya dengan lebih baik. Cuma saya ingin menegaskan dalam situasi di mana krisis semua orang tak kira latar belakang mampu dan berhak mengkritik. Antonio Gramsci dalam The Prison Notebook mengatakan bahawa setiap orang adalah ahli falsafah spontan. Tulis Gramsci:

Adalah penting untuk menghapuskan prejudis yang tersebar luas bahawa falsafah adalah perkara yang pelik dan susah, hanya kerana ia aktiviti intelektual yang dijalankan secara spesifik oleh pakar atau ahli falsafah sistematik. Terlebih dulu perlu difahami yang semua orang adalah ahli falsafah dengan kita mendefinisikan karakter apa yang dinamakan ‘falsafah spontan’, yang sesuai dikaitkan dengan semua orang. Falsafah ini terkandung dalam:

  1. Bahasa itu sendiri, yang merupakan totaliti yang menentukan pengertian dan konsep, dan bukan sekadar perkataan yang tatabahasanya kosong dari pengisian.
  2. Akal budi.
  3. Agama besar dan seluruh sistem kepercayaan, tahayul, pendapat, cara melihat sesuatu dan bertindak terhadap sesuatu yang dikelompokkan secara kolektif di bawah nama ‘kesusasteraan rakyat’.  
Dengan memahami terlebih dulu yang setiap orang adalah ahli falsafah, walaupun dengan caranya sendiri tanpa dia menyedarinya, walau dimanifestasikan sikit dalam apa jua aktiviti intelektual, dan bahawa di dalam bahasa tersimpan konsepsi yang spesifik tentang dunia, kita seterusnya bergerak ke tahap kedua, yakni kesedaran dan kritikan…

Saya tak bermaksud tak ada langsung suara kritikan dari intelektual menara gading. Tapi Malaysia berhadapan dengan krisis di mana saya fikir suara-suara kritikan itu terlalu bersembunyi di sebalik jubah ‘profesionalisme’ dan ‘pengkhususan’ seperti yang dijelaskan Said, dan kedua-dua jubah itu pula biasanya dibeli oleh elit politik yang sering mengingatkan intelektual menara gading bahawa jubah itu boleh terus mereka pakai asal saja kekuasaan dan hegemoni mereka tak dicabar dan dipersoalkan.

Sejak sekian lama kita boleh persoalkan; adakah kritikan atau penyelidikan yang menghiasi jurnal akademik atau pandangan yang memenuhi majalah, tv dan akhbar yang disuarakan intelektual menara gading itu, demi sebuah perubahan sosial atau perubahan tangga gaji? Atau ia sekadar usaha untuk meninggikan lagi makam intelektual mereka? Berbangga dengan jargon dan leksikon yang tak dapat difaham rakyat berkasta bawahan seperti kita. Atau bagi mereka dunia intelektual mereka hanya berkisarkan kepentingan nilai tertinggi di puncak tertinggi bak Gunung Olympus, yang hanya boleh didaki (atau difahami) oleh manusia-manusia yang telah menemui ‘rahsia Tuhan’ seperti mereka, seraya mereka berikrar seperti Jesus, “my kingdom is not of this world”. Bukankah ini sama ada satu pelarian dari sebuah tanggungjawab atau pun satu kesombongan yang mencitrakan bahawa dunia ini dan segala isinya tak cukup baik untuk mereka?

Kesedaran untuk mengkritik di kalangan rakyat Malaysia pula - atau saya namakan kesedaran kritikal – selalu diekori rapat oleh semangat ketaksuban parti, fanatisme kelompok (baik kelompok agama, NGO, persatuan pelajar dan sebagainya) dan semangat perkauman yang tebal. Kritikan kita muncul dari kerangka faham yang sudah dibentuk oleh wacana politik elit. Justeru kita hanya bersikap kritikal terhadap tokoh atau kelompok yang berseberangan dengan kita. Apabila tokoh dari kelompok sendiri melakukan perkara yang sama kita sibuk pula mencari pembenaran untuk mengabsahkan tindakan tersebut. Jadi tak hairanlah ramai sekali tokoh ala sesumpah ini muncul di Malaysia. Jika dulu dia menggunakan kuasa mendiamkan suara lawan, kini bila lawan menggunakan kuasa meredam suaranya dia melalak meminta keadilan. Dulu dia melarang lawan berceramah di negerinya, bila lawan melakukan yang sama dia mengecam lawan takutkan kebenaran.

Sikap semi/kuasi-feudalisme yang menjunjung dan memborong idea tanpa saringan ini – antara lain akibat pembacaan yang cetek dan terpilih – menyebabkan perubahan sosial di Malaysia terencat dan kelam kabut. Kelam kabut kerana seperti kata Syed Hussin Alattas, kita bukan saja tak mampu menyelesaikan masalah, malah apa masalah kita pun kita tak tahu. Terencat kerana kita masih dikurung dalam struktur semi/kuasi-feudalisme yang sama yang menyebabkan kita masih berwacana menggunakan bahasa kekuasaan yang sama, bahasa yang melihat struktur kekuasaan (yang berkuasa & yang dikuasai) dalam bentuk kontradik dan antagonistik berbanding organik. Ini menyebabkan wacana alternatif yang sepatutnya menjadi counter-hegemony (atau lebih tepat untuk menciptakan hegemoni baru) nampak lebih bersifat coercion (paksaan) dari consent (kerelaan).

Pendek kata kita selalu berlari di belakang bontot kekuasaan. Kita selalu berlari di belakang bontot politik kelas elit. Hal ini menyebabkan selamanya orang-orang yang memegang kuasa dan politikus sentiasa berada di hadapan kita. Kita tak pernah membina kekuatan idea dan wacana politik yang substantif, apatah lagi kekuatan kritikan. Idea dan wacana kita kurus melidi, muncul secara sehala dan beku, tak pernah meliar dan bercambah mencari cahaya baru, tapi terkongkong dalam siklus fanatisme dan ketaksuban yang mengecilkan ruang dan dinamisme kritikan.

Kerana itulah kita harus menanamkan kesedaran kritikal ini dan terus melakukan kritikan ke atas setiap struktur kuasa yang menindas dan menzalimi. Saya tak maksudkan ‘kritikan’ di sini sebagai sebuah disiplin akademik yang padat dengan wacana teoretikal dan argumen yang sistematik, tapi sebagai tanggungjawab asasi semua manusia untuk menilai kehidupan mereka. Saya tak maksudkan ‘kritikan’ sebagai ‘critique’ tapi ‘criticism’. Saya tak maksudkan kritikan harus lompong dengan ilmu, malah saya juga tak beriman dengan semangat pemberontakan semberono - ‘mengkritik semata-mata untuk mengkritik’ - tanpa ada nilai objektif yang mendasari kritikan itu. Paling kurang tentunya dari rasa cinta yang saya sebutkan tadi. 

Secara asasnya dari dua perasaan inilah kita mengkritik kerana kritikan datang bersama penilaian. Justeru apabila kita mengkritik, kita sebenarnya menilai. Penilaian itu pula muncul dari ukuran/ piawaian/ kriteria tertentu. Apabila kita menyimpan ukuran/ piawaian/ kriteria, secara langsung juga kita menyimpan kerangka nilai yang memaknakan diri kita – benar/ palsu, baik/ buruk, betul/ salah. Kita membuat perbandingan antara benda yang ada (atau sedang ada) dengan benda yang sepatutnya ada (atau mungkin ada). Kita benci benda yang ada (atau sedang ada) dan kita inginkan gantikannya dengan benda yang sepatutnya ada (atau mungkin ada). 

Komodifikasi Agama

Seorang gadis cantik yang mahu bertaubat berjumpa dengan seorang ustaz.

“Awak pakai gaun orang putih. Salah dari segi agama. Sila tanggalkan gaun awak,” kata ustaz.

Si gadis akur dengan permintaan ustaz .

Memandang si gadis yang hanya memakai coli dan seluar dalam, uztaz berkata lagi, “Coli dan seluar dalam Victoria's Secret ni macam mana pulak? Awak tahu tak yang mereka beri dana kepada Israel?”

Selesai tanggalkan kedua-duanya, si gadis bertanya,” Sekarang apa yang saya patut buat?”

Sambil membuka kedua tangannya ustaz berkata, “Mari sini dan peluklah Islam.”



Jenaka ini disunting semula dari buku Postmodernism and Islam: Predicament and Promise tulisan Akbar S. Ahmed. Ia mengingatkan aku kepada segala unsur komodifikasi agama yang menculik nama ‘Islam’ dan menjadikannya sebagai tebusan untuk mendapatkan wang dan kuasa. Jenaka ini tak berniat menghina golongan ustaz, peminat Victoria's Secret ataupun gadis cantik. Aku hormat para ustaz. Aku sayang peminat Victoria's Secret dan gadis cantik.

Tuesday, September 22, 2015

Anime Yang Kami Tonton

Ini bukan senarai anime terbaik. Ini cuma senarai anime yang aku tonton dan sedikit ulasan mengenainya. Malah untuk aku katakan 5 anime di bawah adalah yang terbaik mungkin agak semberono sebab ada beribu anime di dunia ini dan aku mampu tonton tak sampai 20 anime saja. Mungkin kalau aku rajin senarai ini akan ditambah.

1. MONSTER



People are so strange. Sadness keep fading away and only happy memory remains. People sure have a convenient make up. That’s why we can keep on living.”
- Eva Hienemann-

Monster secara umumnya berkisarkan manusia dan memori mereka. Persolan siapa kita adalah bergantung kepada koleksi memori yang kita simpan sepanjang hidup. Memori mendefinisikan kita. Ada memori yang menyeronokkan, ada yang menyedihkan, ada yang menakutkan. Ada memori yang boleh dilupakan atau dibuang, ada memori yang terus menghantui kita sepanjang hidup.

Tapi memori tak hanya melekat di kepala, ia juga dipotretkan kepada manusia yang kita kenal, ia dikongsi dengan manusia yang pernah bersama dengan kita. Selagi mereka wujud, memori itu juga kekal. Bagaimana cara untuk menghapuskan memori tersebut? Adakah dengan membunuh manusia yang pernah berkongsi memori yang sama? Atau membunuh diri kita sendiri?

Ada beberapa masalah kecil dalam Monster yang menganggu tumpuan aku. Tapi tak dinafikan ia tinggalkan kesan yang berbekas di hati aku kerana jalinan plotnya yang teliti dan canggih berbanding kebiasaan anime lain. Malang bagi Monster, ketelitian dan kecanggihan itu tak menumpu dan tak menghargai konflik yang mendasari dua watak utamanya, Kenzo Tenma dan Johann Liebert. Sebaliknya dalam Monster, aku rasa watak-watak sampingan pula (contohnya watak Eva Hienemann dan Inspektor Heinrich Lunge) yang lebih menonjol permainan emosi dan karakterisasi mereka. Selain dari faktor itu, Monster memang sebuah fenomena.

Monster adalah anime psiko-thriller yang langsung tak mengandungi khurafat fiksyen yang sering dikaitkan dengan anime. Dalam Monster tak ada elemen supernatural, kuasa ajaib, komedi slapstik, gadis bermata bundar yang bertetek besar dan segala mak nenek fanservice yang lain. Monster tak berminat dengan semua itu. Monster ialah serius. Lebih serius dari Zahid Hamidi.

Aku harap ada penerbit yang berminat untuk mengadaptasi Monster ke drama tv (walaupun ada berita ia bakal dirosakkan oleh Hollywood) dan membetulkan semula sendi-sendi plotnya yang longgar akibat kekurangan fokus kepada karakterisasi Tenma dan Johan. Cumanya perlu cari para pelakon berkredibiliti tinggi sebab karakterisasi setiap watak, terutamanya watak-watak utama sangat perlukan penjiwaan yang mendalam.

Dan itulah satu-satunya sebab yang munasabah kenapa Monster perlu diremake semula yang boleh aku fikirkan, yakni dengan sikit pengubahsuaian plot dan karakterisasi yang dilakonkan manusia, semangat naratif Monster pasti lebih hidup. Bukanlah satu kelemahan yang ketara, dan bukan satu masalah yang aku rasa besar pun, tapi animasi Monster kurang ruang untuk menegaskan karakterisasi dan kurang perincian untuk melukiskan riak emosi terdalam watak-watak utamanya. Macam aku cakap watak Eva dan Detektif Lunger pula terasa lebih hidup.

Monster mengisahkan perubahan drastik yang berlaku dalam hidup Kenzo Tenma, pakar bedah otak yang berkhidmat di Jerman, setelah dia menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak bernama Johann Liebert yang di masukkan ke hospital bersama kembarnya Anna. Tenma seorang doktor genius berhati mulia yang tak senang dengan layanan hospital yang mengutamakan kasta sosial dalam keutamaan merawat pesakit. Bagi beliau, semua pesakit (dan manusia) berhak menerima layanan yang adil dan saksama. Semua pesakit punya hak yang sama untuk hidup.

Dengan menyelamatkan Johan, Tenma mengabaikan arahan pengarah hospital yang mahu dia membedah datuk bandar yang tiba lewat berbanding Johann, seterusnya mempertaruhkan statusnya sebagai anak emas (dan bakal menantu) kepada pengarah hospital. Johann berjaya diselamatkan, datuk bandar mampus, Tenma disalahkan. Beliau hilang reputasi dan hilang peluang untuk mengisi jawatan Ketua Jabatan Pembedahan, dan anak pengarah hospital yang berperangai jalang meninggalkannya. Tak lama kemudian pengarah hospital dan dua doktor kanan mati dibunuh, serentak dengan kehilangan kembar Johann dan Anna.

Malang tak berhenti di situ, sebaliknya ia membawa kepada pelbagai urutan pembunuhan lain yang menyebabkan Tenma dimasukkan dalam senarai suspek. Tenma akhirnya sedar beliau telah menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang ditakdirkan muncul sebagai psikopat paling genius, paling berbahaya dan paling misteri dalam sejarah dunia, yakni Johann. Sejak itu bermula kembara vagabond seorang doktor yang berusaha membetulkan kesilapan di samping membersihkan semula namanya. Beliau berkelana sepanjang Jerman, merentas Republik Czech dalam usaha memburu Johann Liebert dan menyiasat bagaimana Johann boleh bermutasi menjadi dalang dalam pembunuhan bersiri paling hebat di Eropah.

Usaha ini tak pernah mudah, ada cerita di sebalik cerita, ada misteri di sebalik misteri, dan Tenma berdepan dengan ramai manusia yang memerlukan pertolongannya dan ramai juga manusia yang cuba menggagalkan usahanya. Berlatarbelakangkan Jerman pasca runtuhnya Tembok Berlin, Monster menghamparkan kondisi sosio-politik yang menarik untuk ditonton. Dan sudah tentu bukan satu kebetulan mengapa latar ini dipilih. Penulisnya, Naoki Urasawa menjadikan latar ini sebagai pemangkin kepada grand design bagi jaringan plot yang mantap.

Dengan jumlah 74 episod, aku ambil masa setahun lebih untuk habiskan Monster. Ya, 74 episod dengan setiap episod berdurasi 20 minit tak menjadikan Monster sebuah anime yang sangat panjang. Secara matematiknya jika dihimpun, durasi keseluruhan Monster adalah 24 jam lebih, maksudnya jika ditonton berterusan kau boleh habiskan Monster dalam masa satu hari lebih. Kalau kau peruntukkan satu episod untuk setiap hari, kau boleh habiskan dalam masa dua bulan setengah lebih kurang. Jadi kenapa ambil masa yang lama untuk habiskan Monster kalau ia sebuah anime psiko-thriller yang hebat?

Baiklah perkara ini perlu dijelaskan dengan baik. Alasan mudahnya ialah - macam aku cakap di awal tadi – ada beberapa masalah pada Monster yang menganggu tumpuan aku. Kalau aku fokus memang aku boleh meratah Monster paling cepat dalam masa dua minggu. Tapi untuk berlaku adil dengan Monster, kerana kenikmatan hasil menontonnya tetap aku rasa, aku akan jelaskan dua faktor yang menyebabkan aku ambil masa yang lama untuk habiskan Monster.

Masalah yang muncul dalam Monster aku rasa mungkin bersifat peribadi, bukan kerana Monster sebuah anime yang tak berkualiti, jauh sekali masalah-masalah itu merendahkan kualitinya.  Dia macam aku tak minat segala aneka bubur – dari bubur kacang ke bubur durian - bukan kerana bubur tak sedap, tapi kerana citarasa lidah aku kurang ghairah kepada benda-benda manis. Tapi lidah kamu pembaca semua berbeza dengan lidah aku. Jadi cuba dulu dan kemudian baru tentukan sama ada kamu suka atau tidak. Dan bagi aku menonton Monster adalah berbaloi walaupun kamu tak suka bubur. Bukankah hilang satu kenikmatan hidup jika kamu tak pernah makan bubur durian?

Faktor pertama, seperti yang kamu semua pembaca tahu, aku ada masalah untuk melayan sesuatu yang memerlukan komitmen yang panjang. Ini bukan masalah psikiatri, tapi fokus aku kepada sesuatu (dalam kes ini anime Monster) selalu diganggu oleh perkara-perkara lain yang menuntut dari aku perhatian yang lebih banyak. Ia tak ada kaitan dengan benda yang aku layan itu best atau tak best.

Anime Eyeshield 21 sebagai contoh, sudah 4 tahun terperap dalam external hard disk. Aku hanya sempat tonton sampai episod 10. Bagi mereka yang sudah tonton Eyeshield 21, kamu pasti tahu ianya sebuah anime yang best. Tapi mengenangkan ia terdiri dari 145 episod, aku berasa macam satu beban yang berat untuk melayan Eyeshield 21 sampai habis sebab aku sendiri tak tahu bila aku mampu habiskannya. Dan bagi aku kepuasan menonton itu ereksinya hanya dapat dicapai jika kita menontonnya tanpa gangguan atau tanpa hela waktu yang panjang. Stimnya jangan dipotong. Kalau boleh teruskan, maka teruskan tanpa henti. Kalau ditangguh-tangguh maklumat yang kita kumpul dan emosi yang kita labur akan hilang ditelan masa.

Faktor kedua, plot Monster bergerak perlahan. Ya, sudahlah panjang slow pulak lagi. Tapi ia tak menjemukan, ketika episod-episod awal, keterujaan tentang misteri yang melingkari Johann masih melekat di kepala aku. Perjalanan plotnya perlahan tapi berkesan. Malangnya di episod-episod pertengahan ia merebak kepada beberapa sub-plot dan memperkenalkan kita kepada watak-watak baru yang buat aku hilang fokus dan hilang keterujaan.  Watak-watak sampingan makin bertambah tapi kemisteriusan Johan tak banyak yang dicungkil. Sebab itu aku berhenti menontonnya untuk jangka masa yang lama. Ia gagal menarik aku untuk ketagih dengan penceritaannya.

Tapi episod-episod ini bukanlah filler. Ia sama ada untuk menguatkan karakter Tenma dan sebagai pengenalan kepada watak Johan itu sendiri atau watak-watak sampingan yang muncul itu bakal mengisi dan memaknakan grand design plot yang lebih besar. Sudah tentu hal ini kau akan sedar setelah kau tonton Monster sampai habis. Aku sendiri hanya tersangkut untuk terus melayan Monster sampai habis setelah tonton episod 40 dan ke atas. Dari situ kita mula nampak sub-plot dan watak-watak sampingan tadi berinteraksi dan berkolaborasi dalam susunan yang teratur. Kesimpulannya ia memang berbaloi ditonton dan endingnya bagi aku memang cerdik dan terbaik. Dan kau hanya mampu faham apatah lagi menghargai ending tersebut jika kau menonton keseluruhan episod Monster.

Masalah utama Monster ialah banyak sangat episod-episod (dan tentunya juga watak-watak) yang terjun ke dalam bingkai naratifnya. Memang tak jadi masalah kalau ia bertujuan menguatkan plot, tapi di sebalik usaha Urasawa untuk menambahkan kompleksiti plot dan kepelbagaian watak-watak dalam Monster, dia telah mengorbankan karakterisasi dua watak utamanya, Tenma dan Johan. Dan yang lebih teruk membuatkan fokus kita berkecamuk dan kepala kita pening dengan plot dasar anime ini.

Kalau diteliti semula, episod-episod tersebut boleh dipadatkan dan watak-watak sampingan kebanyakannya boleh dibuang tanpa mengorbankan plot asal. Aku seolah-olah nampak macam Urasawa tambahkan kompleksiti plot supaya ia nampak kompleks, bukan untuk menguatkan naratif anime. Ibarat kau tambahkan ajinomoto supaya kau rasa ajinomoto dalam masakan kau, bukan untuk sedapkan masakan kau. Jadi akhirnya orang dapat rasa hidangan yang berperisa ajinomoto, bukan hidangan yang sedap, sama dalam Monster, yang kau rasa ialah kompleksiti (yang dihadirkan untuk nampak kompleks) tapi tak menghidupkan naratif anime.

Karakter Tenma mungkin boleh dimaafkan. Sebab dia hero, jadi kemunculannya agak banyak, walaupun karakternya masih lagi mendatar. Tapi Johan, sebagai watak kedua penting, gagal menyerlahkan kegeniusannya sebagai seorang ‘monster’. Kita hanya sedar betapa genius dan manipulatifnya Johan melalui testimoni beberapa pembunuh bersiri lain yang menjadikannya ‘imam muda’ mereka. Memang dalam episod tertentu, ditunjukkan perancangan dan strategi Johan dalam mengumpan mangsanya, tapi perancangan itu bukan hebat sangat, mana-mana pengarah drama bersiri Malaysia pun boleh fikirkan rancangan yang sama. Sekurang-kurangnya aku dambakan sikit kegeniusan ala Light Yagami untuk mencitrakan betapa berbahayanya Johan.

Buku bergambar berjudul ‘The Monster With No Name’ yang ada dalam anime ini memang menarik kisahnya. Ia minimalis, gelap dan seolah merumuskan hasrat setiap monster di dalam diri kita. Dan ya, Monster dirumuskan dengan baik. Itu kelebihan Urasawa di mana dia berjaya memintal segala benang persoalan menjadi kain yang cantik, walaupun bagi aku ada benang yang sepatutnya dia buang supaya kainnya bukan setakat cantik, tapi selesa dipakai.



2. NEON GENESIS EVANGELION



Homeostasis and transistasis. One is force for the status quo, and the other’s a force for change. Anything that contains these two conflicting forces is alive.”
- Ritsuko Akagi –

Aku tak minat dengan mecha anime. Tapi semua orang heboh Neon Genesis Evangelion (NGE) adalah mukjizat yang berjaya mengembalikan semula genre mecha ke landasan baru, malah mendekonstruksi lanskap genre anime itu sendiri. Pujian tinggi melangit begini tak wajar diabaikan. Tambahan lagi judulnya pun kedengaran sangat biblikal. Jadi aku tonton NGE dan ternyata - walaupun taklah  sehebat yang dihebohkan – ia memang anime yang wajib ditonton semua. NGE ibarat naskah filosofikal beranimasi yang layak dijadikan kajian assignment untuk semester pertama mana-mana kelas falsafah.

Latar tahunnya sekarang, 2015. Dikhabarkan (kononnya) 15 tahun dulu berlaku peristiwa yang dipanggil Second Impact di mana dunia dihempap meteor yang meragut kebanyakan populasi bumi. Kini malapetaka baru muncul apabila dunia diserang makhluk digelar Angels. Apabila senjata konvensional tak mampu menumpaskannya, PBB menugaskan sebuah organisasi bernama NERV untuk memainkan peranan menghapuskan makhluk-makhluk ini.

Sebagai solusi, NERV membangunkan robot gergasi bernama Evangelion. Shinji Ikari, Rei Ayanami dan Asuka Langley Soryu, semuanya remaja 14 tahun, ditugaskan untuk menjadi pilot Evangelion. Sedikit demi sedikit ada rahsia dan konspirasi yang didedahkan. Evangelion bukan sekadar robot mekanikal, begitu juga apa yang berlaku 15 tahun dulu bukan rempuhan meteor, dan watak-watak NGE bukan seperti yang kita sangkakan. Segala-galanya diselak ibarat sebuah hikayat eskatologi saintifik.

Tapi keseluruhan jalan cerita NGE ternyata lebih kompleks. Shinji, Rei dan Asuka bukanlah hero berakhlak mulia yang akan memujuk kanak-kanak menangis dengan memberi mereka gula-gula. Mereka adalah hero yang rosak mental. Malah tujuan mereka menjadi pilot Evangelion bukan untuk menyelamatkan dunia tapi untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Mereka bukan spesis hero yang berpegang kepada cogan kata ‘dengan kuasa yang hebat, muncul tanggungjawab yang hebat’. Tanggungjawab adalah perkara terakhir yang mereka fikirkan. Mereka adalah manusia yang mengalami alienation, tekanan, kesunyian dan kekecewaan, yang menggalas tanggungjawab untuk menjadi hero sebagai eskapisme dari masalah yang merantai diri mereka.

Di sini muncul keistimewaan NGE dalam menggaul semua konflik peribadi watak-wataknya untuk dipertentangkan dengan masalah besar yang mendepani mereka. Ya, semua watak-watak penting dalam anime ini bermasalah, dari pilot sampailah kepada kakitangan NERV, ia tentang pergolakan konflik bawah sedar yang membelenggu mereka. Serangan Angels seolah-olah memberi mereka peluang dan harapan untuk meredam masalah-masalah itu, tapi semakin ia dinafikan semakin ia muncul ke permukaan. Ketika mereka bertindak sebagai hero untuk menyelamatkan bumi dari anasir luar, mereka luka dirobek krisis dalaman mereka sendiri.

Shinji contohnya, setiap kali berjaya menumpaskan Angel akan berhadapan dengan dua situasi; sama ada di dalam dilema untuk meneruskan tugasnya sebagai pilot atau tersedar di katil hospital dengan matanya memandang ‘siling yang tak dikenali’. Tak ada perasaan bangga kerana selamatkan dunia, tak ada majlis meraikan kemenangan, tak ada juga upacara menjulang hero ke langit. Yang ada cuma kesakitan dan kekeliruan.

Perjuangan sebenar manusia di dalam NGE bukan untuk melawan Angels tapi melawan diri mereka sendiri. Justeru semakin alien menyerang bumi, semakin parah alienation yang menimpa mereka. Masing-masing hilang punca dalam memaknakan hubungan dengan unsur di luar diri mereka – masyarakat, institusi sosial, negara dan sebagainya - kerana mereka terputus hubungan dengan diri mereka sendiri. Bagaimana untuk memaknakan sebuah perlawanan jika mereka sendiri tak tahu tujuan mereka berlawan?

NGE berkisarkan perhubungan. Dan untuk berhubung adalah untuk menanggung kesakitan. Malah salah satu episodnya berjudul Hedgehog’s Dilemma, konsep yang dicetuskan oleh Schopenhauer sebagai analogi bahawa manusia tak boleh mencipta keintiman dalam hubungan tanpa bersedia menanggung kesakitan dari keintiman tersebut. Kenyataan ini disimbolikkan lebih awal melalui hubungan antara pilot dan robot mereka. Untuk mana-mana pilot synchronize dengan robot mereka adalah untuk bersedia menanggung sakit. Jadi anime ini bukan tentang robot gergasi lawan makhluk asing sangat, tapi lebih kepada perkembangan krisis psikologi watak-wataknya. Dan kerana watak-wataknya NGE akan terus diingati.

Kalau kau tengok, robot Evangelion itu sendiri hodoh dan Angels pula muncul dalam bentuk yang……………senang cakap dalam bahasa XPDC, ntahapahapantah. Ya, dengan bentuk penciptaan begitu Evangelion dan Angels dari satu segi nampak unik, tapi ia takkan boleh (dan takkan mampu) jadi sumber obsesi penonton untuk jangka masa lama. Walaupun tak dinafikan mekanisme bagaimana Evangelion berfungsi dan berinteraksi dengan pilot mereka sangat menarik dan perinciannya boleh dipuji.

NGE menimbulkan tona animasi yang bijak bergaul dengan emosi setiap watak lantas meluahkan gambaran atmosfera yang konsisten dengan naratifnya. Ia tak melankolik, ia tak romantik, ia tak harmoni, ia tak menakutkan. Ia macam sebuah kekosongan yang tak minta diisi dengan apa-apa pun. Bandar Tokyo-3 yang dihuni oleh watak-watak NGE juga nampak tersudut dan terasing, tegak berdiri di antara dua perasaan penghuninya; harapan yang mereka masih mampu teruskan hidup dan kekecewaan yang mungkin mereka sebaiknya mati dari hidup dengan harapan yang menyakitkan.

Elemen psikoanalisis Freud dan dialektik Hegel memang kental dalam NGE dengan Freudian mengisi plot mikro manakala falsafah Hegel membentuk plot makro. Elemen Freudian jelas bersepah-sepah, baik secara langsung melalui pelukisan watak dan perwatakan, atau secara tak langsung melalui simbolisme dan metafora yang digambarkan oleh robot Evangelian dan kehidupan manusia di Tokyo-3. Defence mechanism, oedipal complex, fear of abandonment dan berselerak lagi konsep psikoanalisis dalam anime ini. Menonton NGE ibarat kau menghimpunkan semua pesakit Freud dalam sebuah wad kehidupan.

Kemudian kita jumpa elemen dialektik Hegel yang menjadi motor menggerakkan konsep Geist/ Spirit/ Mind. Hegel adalah ahli falsafah terawal yang membincangkan subjek alienation secara mendalam dan dari perspektif inilah alienation yang menimpa watak-watak NGE cuba ditonjolkan, yakni dari dimensi ontologi manusia. Bagi Hegel, alienation adalah sebuah proses positif dalam usaha spirit menjalani proses self-discovery untuk mencapai tahap ‘menjadi’ (becoming). Ia tentang bagaimana watak-watak NGE bertarung untuk memaknakan eksistensi mereka.

Kau mungkin lebih faham letak duduk dialektik Hegelian ini lepas kau habis tonton NGE, atau lebih tepat selepas kau tonton ending NGE. Elemen Kristianiti dan Gnostik juga banyak ditonjolkan. Adam, Eva, Lilith, Lance of Longinus dan sebagainya. Kau boleh nampak perkaitan yang menarik tapi aku nampak ia lebih sebagai simbolisme dan alegori, bukan sebuah tema yang serius ditonjolkan. Tapi hal ini masih terpulang kepada interpretasi masing-masing.

Ending NGE akan sentiasa diperkatakan dan sentiasa membuka penafsiran selebar-lebarnya dari penonton. Ia bukan sebuah resolusi yang memuaskan hati kita, tapi di sebalik watak-wataknya yang rosak mental itu sekurang-kurangnya ia membuka sikit jendela harapan. Diberitahu kepada kita yang penulisnya, Hideaki Anno terputus bajet untuk menghasilkan ending yang konklusif. Justeru dua episod terakhir NGE ibarat pembentangan falsafah Hegel yang dibuat oleh budak darjah 1 dengan menggunakan Windows Movie Maker.

Sama ada Hideaki seorang genius atau dia cuma bernasib baik, ternyata ia bukan sebuah penamat yang teruk, juga aku tak rasakan ianya terbaik. Tapi bergelumang dengan watak-watak NGE – secara peribadi bagi aku – buat aku semakin menghargai diri aku, hidup aku dan manusia yang aku sayang, walaupun pada awalnya ia menyakitkan. Dan itu buat NGE cantik kerana itulah dialektik kehidupan.



3. ELFEN LIED


When you’re miserable, you need to make someone even more miserable than yourself.”
-Lucy-

Elfen Lied boleh disimpulkan kepada empat perkataan; seksi, ganas, romantik dan tragik. Dan aku boleh isytiharkan tanpa ragu-ragu yang Elfen Lied adalah salah satu anime kegemaran aku. Untuk bercakap tentang Elfen Lied tak sah kalau aku tak sentuh dulu lagu temanya berjudul Liliam yang power macam Mahathir.

Lilium yang dinyanyikan dalam bahasa Latin, menggerakkan Elfen Lied seperti California Dreamin’ menggerakkan Chungking Express. Tapi berbanding California Dreamin’ yang hanya menghidupkan mood romantik (sebab ia filem romantik), Liliam muncul dalam pelbagai versi dan berjaya menyokong pelbagai kombinasi mood dalam Elfen Lied dengan penuh intensiti.

John Keat pernah tulis ‘heard melodies are sweet, but unheard melodies are sweeter’. Macam itulah ibarat Lilium kepada Elfen Lied. Melodinya melantunkan emosi tertentu ke hati kita dengan nyaring. Emosi yang mungkin hilang tak lama selepas kita habis menonton Elfen Lied dan kita mungkin tak berjumpa emosi yang sama selepas itu. Bila aku fikirkan, tak ada yang fenomenal sangat tentang Elfen Lied, baik dari segi plot, watak, perwatakan dan animasi. Cuma elemen yang biasa-biasa ini diangkat dengan berkesan.

Elfen Lied memfokuskan kepada spesis mutan yang dinamakan Diclonius yang dikurung di sebuah pusat penyelidikan rahsia. Diclonius dilabel sebagai spesis yang mempunyai dorongan membunuh yang kuat. Fizikal mereka sama seperti manusia biasa kecuali mereka ada dua tanduk comel (yang kelihatan macam telinga kucing berbanding tanduk) dan beberapa tangan halimunan dipanggil vectors yang boleh memenggal, membelah dan memotong badan manusia macam  pisau memotong timun. Di samping itu, vectors juga boleh menahan peluru dari menembusi tubuh Diclonius dan mengangkat objek sebesar bot laju dengan selamba.  Justeru, Diclonius disifatkan sebagai mesin membunuh paling afdal.

Kisah bermula apabila Lucy, ‘ratu’ segala Diclonius, yakni satu-satunya Diclonius yang mampu beranak berjaya meloloskan diri dari pusat penyelidikan. Ketika melarikan diri, kepalanya tercedera lalu memunculkan alter ego yang berkarakter macam budak umur 2 tahun. Dia terdampar di pantai Kamakura dan dijumpai oleh pasangan sepupu, Kohta dan Yuka yang membawa Lucy pulang untuk tinggal bersama mereka. Nyu, begitulah nama yang diberikan Kohta dan Yuka kepada Lucy, kerana itu saja perkataan yang disebutnya. Tanduk comel di kepala Nyu mengingatkan Kohta kepada sejarah yang samar-samar dari ingatannya. Ternyata Nyu amat mesra dengan Kohta, seakan mereka sudah kenal lama, Kohta juga merasakan yang sama.

Organisasi yang menjalankan penyelidikan ke atas Lucy menghantar grup gerak khas dan dua Diclonius lain untuk menjejak Lucy. Ternyata Kamakura tak lagi seperti dulu, ada kasih yang disimpul, ada cinta yang terputus, ada memori gelap yang diselak, dan darah bakal memancut dan bersimbahan.

Elfen Lied tak menagih perhatian penonton dengan plot yang kompleks dan canggih, dan kita juga tak menghargai sesebuah naratif hanya kerana semata-mata ia kompleks dan canggih. Macam Noel Carroll sebut, naratif yang baik harus berupaya ‘to tell stories, express emotions, and trigger ideas’. Bagi aku Elfen Lied berjaya menggondol  tiga fungsi ini dengan baik.

Tak dinafikan plot Elfen Lied banyak unsur-unsur ‘kebetulan’, juga elemen yang tak koheren (yang kalau tak difikirkan sangat memang tak beri masalah kepada jalan cerita), seolah-olah penulisnya malas untuk fikirkan perkembangan plot yang lebih dinamik. Antaranya kenapa organisasi yang memburu Lucy, malah pengawal di pusat penyelidikan terbabit, masih menggunakan peluru biasa untuk membunuhnya, sedangkan ketika episod pertama lagi kita diberitahu ada peluru tertentu yang boleh mencederakan spesis Diclonius (peluru yang sama juga mencederakan kepala Lucy).

Ibarat kau tahu Magneto boleh manipulasi segala elemen besi dan logam, tapi kau masih guna senjata biasa untuk tangkapnya dan selepas itu kurung pulak dia dalam penjara besi. Kadang-kadang persoalan begini boleh mengganggu kepala hotak aku, bukan kerana aku cerewet, tapi ia menggangu konsistensi dan koherensi plot. Tapi entah kenapa dengan Elfen Lied ia jadi elemen-elemen trivia yang tak releven dibangkitkan. Membangkitkannya umpama membangkitkan soal hukum fizik light saber dalam Star Wars. Mungkin ini misteri naratologi yang tak dapat dijelaskan sepenuhnya di sini. Kita cerita di post yang lain.

Selalunya kita lebih menghargai plot yang ringkas (ringkas bukan bermaksud mudah atau selekeh) berbanding plot yang berbelit-belit tapi emosinya masih tersangkut di tahap yang sama dan tak menjanjikan kepuasan yang sepadan dengan pengalaman kita mengikuti plot tersebut. Plot berbelit-belit bagi aku selalunya lebih banyak melayan kesedaran kognitif dan intelek berbanding melayan emosi. Tapi bagi aku kerja menonton yang berkesan lebih banyak menusuk jiwa dari menyentuh akal, yakni lebih banyak beri kesan emosional berbanding intelektual. Bukan maksudnya akal tak mainkan peranan langsung. Akal (wajib) berfungsi dalam proses menghadam struktur naratif (hukum sebab-akibat, rantaian plot, motivasi, reaksi, justifikasi), dan ada naratif yang menawarkan kepuasan kepada kita pada tahap ini. Tapi efek yang lebih berbekas ialah sama ada kepuasan akal itu turut mencetuskan kesan yang besar kepada jiwa atau emosi kita.

Malah bila menonton plot berbelit-belit pun kau sebenarnya mahukan sebuah kepuasan emosi, sebuah peRASAan (atau kepuasan) bahawa cerita kau tonton membuatkan kau nampak bijak atau rasa bijak (atau menaikkan graf kebijaksanaan kau). Ketika tonton cerita misteri/ penyiasatan pun jarang kita ambil peduli dengan segala clue atau pembayang yang didedahkan kepada kita.

Justeru, kita marah kalau awal-awal lagi kita sudah tau endingnya, siapa yang bunuh, siapa punya angkara dan sebagainya. Sepatutnya kita teruja kerana berjaya selesaikan misteri sebelum filem tamat. Tapi sebaliknya tak, kerana filem yang mudah sebegitu (pada anggapan kita) tak memenuhi kepuasan intelek kita (kononnya). Ironinya, kalau terlampau berbelit-belit sampai susah nak faham pun kita marah juga!

Macam tengok persembahan silap mata, kita bukan tengok sebagai manusia yang nak menyiasat trick silap mata, tapi sebagai manusia yang sedia untuk ditipu oleh aksi silap mata tersebut. Kenikmatan menontonnya hanya datang dari situ. Dari sebuah perasaan dan emosi seorang spectator bukan investigator. Macam ditulis Stenberg,“No ignorance, no conflict; and no conflict, no plot.” Maksudnya makin sikit yang kau tahu, makin seronok kau layan sesebuah naratif.

Episod-episod awal Elfen Lied kelihatan seperti anime aksi dan romantik yang lain. Ibarat kisah boy meets girl, jatuh cinta, muncul konflik, datang peleraian, akhirnya boy and girl lived happily ever after. Memang ini asas dalam mana-mana plot romantik tapi macam aku cakap Elfen Lied tak hanya berkisarkan tema romantik yang baku. Ia bijak menghubungkan emosi romantik itu dengan emosi-emosi lain melalui jalinan plot yang ringkas tapi mantap.

Endingnya pun tak klise, penuh simbolik dan antara ending terbaik aku pernah tonton dalam anime. Personaliti Lucy yang femme fatale pula memang menarik tapi keletah Nyu sebagai alter ego Lucy kadang-kadang nampak menjengkelkan. Tapi kau perlu melayannya sampai ke hujung episod supaya ramuan cerita, emosi dan idea yang berjaya kita kumpulkan di episod awal dapat menggelegak ke takat didih yang berpatutan.

Sebagai Nyu, karakter Lucy memang mendatar, tapi kita takkan ambil masa yang lama untuk bersimpati dengannya, terutamanya bila personaliti Lucy kembali mengambil alih. Setiap watak dalam Elfen Lied menyimpan sejarah pahit yang diadun dalam konflik yang mudah menarik kita untuk memahami karakterisasi mereka. Mereka ada sisi baik dan buruk yang terkadang buat kita rasa benci dan marah, tapi pada ketika yang lain buat kita bersimpati dan sedih. Elfen Lied bijak menyusun plot dengan berkesan, membina perwatakan setiap wataknya dengan lancar, malah momentum konfliknya dibina dengan baik.

Contohnya kita dapat merasakan suasana aman serta selamat di rumah Kohta dan Yuka. Ia ibarat kubu yang melindungi watak-watak dari elemen kejahatan. Dan kita merasakan ancaman yang merbahaya bila mereka keluar dari rumah itu. Mood yang kontras tapi berkesan ini dibantu juga oleh pelukisan watak-watak yang secocok dengan pembangunan plot itu sendiri.

Elemen aksinya buat aku terpaku dan mengingatkan aku kepada filem Lady Snowblood dan Ichi, cuma dengan lebih banyak darah yang memancut dan anggota badan yang terkoyak. Keganasan dalam Elfen Lied memang sangat grafik dan menonjol, kepala dipenggal, badan terpotong dan darah memercik adalah senario biasa dalam Elfen Lied. Malah dalam opening scene pun kita sudah dihadapkan dengan perempuan bogel yang mengoyakkan tubuh manusia tanpa belas kasihan. Antara opening scene anime yang akan aku ingat sampai bila-bila.

Kalau kau lemah semangat (atau kuat syahwat) aku harap kau juga boleh bersabar dengan imej perempuan bogel dan lain-lain konotasi erotik yang ditonjolkan dalam anime ini. Walaupun ia tak menjolok mata kita untuk melayannya dengan rasa berahi, tapi aku rasa adegan-adegan begini tak perlu langsung dimasukkan. Setiap elemen memang cukup perasa dan perencah seadanya kecuali adegan separa porno yang aku sebut tadi yang bagi aku memang terlebih masuk. Tapi ia tak melarikan fokus, energi dan emosi kita. Kita melompat dari satu bingkai mood ke satu bingkai mood dengan tenang. Ia bukan rojak emosi yang caca merba tapi sebuah ekstasi yang tersusun dan lancar.

Bolehkah cinta dan kasih sayang subur dalam dunia yang penuh prejudis, diskriminasi dan dendam? Atau adakah cinta dan kasih sayang itu sendiri yang bakal melahirkan prejudis, diskriminasi dan dendam? Elfen Lied mempertanyakan persoalan paradoks ini. Dan adakah sifat kerendahan hati yang sering  kita pinggirkan, yakni kemaafan, mampu mendamaikan dua paradoks ini. Bak petikan lirik Liliam, “Blessed is the man that endureth temptation. For when he is tried, he shall receive the crown of life”.



4. PARANOIA AGENT



You musn’t run away from reality. Ad hoc relief is nothing but an illusion”.
- Mitsuhiro Maniwa -

Paranoia Agent ialah sebuah komentar sosial yang dibungkus dengan elemen satira paling hyper. Mungkin juga boleh dianggap sebuah tragikomedi yang sangat postmodern sentuhannya. Ia menyentuh tentang society of the spectacles, simulacrum, eskapisme, topeng personaliti, konsumerisme dan kecanduan masyarakat kepada elemen-elemen trivia dan superfisial.

Paranoia Agent berkisah tentang Tsukiko Sagi, seorang pencipta pop icon bernama Maromi (bayangkan versi anjing untuk Hello Kitty) yang menerima tekanan dari majikan dan rakan sejawatnya untuk mencipta karakter baru yang mampu menyaingi populariti Maromi. Satu malam, selepas berjalan pulang dari kerja, dia diserang. Dua detektif, Keiichi Ikari dan Mitsuhiro Maniwa ditugaskan untuk menyiasat kes serangan ini. Sagi tak nampak wajah orang yang menyerangnya. Dia cuma nampak penyerang tersebut ialah seorang remaja berseluar pendek, pakai cap dengan pemukul baseball dan rollerblade berwarna emas.

Maniwa pada mulanya meragui keterangan yang diberikan Sagi, menganggap Sagi sengaja mencari jalan untuk lari dari tekanan yang diterimanya. Kita juga merasakan yang sama kerana pada momen lain kita nampak Sagi boleh pulak bersembang dengan watak kartun ciptaannya. Tapi kes ini semakin rumit apabila jumlah mangsa penyerang misteri ini - yang kini dipopularkan di media dengan nama Shounen Bat - semakin bertambah. Kes ini juga mula menunjukkan corak tersendiri; Sagi dan mangsa kedua (wartawan hiburan) kenal antara satu sama lain, begitu juga mangsa ketiga kenal dengan mangsa keempat dan mangsa keempat kenal dengan mangsa kelima. Dan yang lebik pelik, sebelum diserang, semua mangsa Shounen Bat mengalami depresi dan serangan Shounen Bat telah mengubah hidup mereka ke arah yang lebih positif.

Pada ketika tertentu kita juga akan meragui kewujudan Shounen Bat, tapi dia akhirnya berjaya ditangkap. Masalahnya dia cuma mengaku bertanggungjawab untuk dua serangan saja. Jadi, apa kejadahnya yang sedang berlaku? Adakah corak kes ini berjaya mengacu kepada penyelesaian yang muktamad?

Muktamad bukan perkataan yang sesuai untuk mencirikan Paranoia Agent. Pada ketika kau sibuk menekuni anime ini sebagai naskah misteri yang tulen, kau akan tiba pada episod yang akan membuatkan kau berbisik (atau menjerit) “apa kejadah punya cerita ni?”. Kau akan mula persoalkan apa yang kau faham dan hadam dari anime ini sejak mula. Setelah itu kau akan sedar anime ini tak lagi memilih pendekatan foreplay yang sentimental, tapi ia akan merogol otak kau dengan sadis. Kalau tak sabar memang kau tak mampu layan sampai habis.

Paranoia Agent memilih pendekatan yang surreal dan postmoden, dengan multi-plot dan multi-perspektif dalam plot yang non-linear. Anime ini meneroka secara sinikal apa yang kita maksudkan dengan realiti dan fantasi (atau hyper-reality), antara fakta dan mitos, antara kewarasan dan kegilaan, antara high culture dan pop culture. Paranoia Agent berjaya melukiskan budaya postmoden dengan penuh sinikal dan ironi. Ia menyindir polis yang korup, ia menyindir budaya popular, ia menyindir media massa, malah ia menyindir produksi anime itu sendiri.

Ia memparodikan self-delusion yang dipilih masyarakat, yang membawa mereka ke dunia fantasi dan mitologi (dengan turunnya messiah yang akan menyelesaikan masalah dunia secara ekspress), semata-mata sebagai eskapisme dari kesakitan yang tak pernah diperiksa akar masalahnya. Ia membuka mata kita tentang bagaimana kegilaan individu menjadi kegilaan kolektif masyarakat, dan voila! Kini kegilaan individu bertukar jadi kewarasan yang dikongsi bersama.

Ada tiga episod filler yang sangat menarik. Dan ketiga-tiganya masih berkait dengan Shounen Bat. Salah satu yang paling aku suka ialah ialah sesi gossip dan mengumpat empat orang suri rumah. Memang kelakar dan gelap. Episod itu saja seolah-olah sebuah rumusan untuk Paranoia Agent. Ia buat aku terfikir dua perkara: Berapa banyak penipuan yang kita kutip tanpa semakan untuk dihadam sebagai sebuah kebenaran dan; Berapa banyak pula masa yang kita laburkan kemudiannya untuk menyemak penipuan siapakah yang lebih menghampiri kebenaran?

Animasinya terbaik, suara pelakonnya real dan bervariasi, wataknya nampak ‘hidup’ dan eksentrik, plotnya kreatif dan lain dari yang lain. Bagi mereka yang mahu sesuatu yang mencabar, mahu mencari anime yang memaknakan kreativiti pada piawaian yang tinggi, Paranoia Agent adalah jawapannya. Seperti kata Satoshi Kon, Paranoia Agent memang bukan realiti, tapi kebenaran.



5. ANOHANA: THE FLOWER WE SAW THAT DAY



Sediakan tisu, minuman, snek, nasi, lauk pauk dan sebagainya. Kau akan layan anime ini secara marathon. Dan tisu bukan untuk kesat mulut, tapi untuk sapu air mata yang akan mengalir di pipi kau, walaupun kau jantan paling 3 line dalam dunia. Antara kelima-lima anime yang aku senaraikan, Anohana hukumnya fardhu ain untuk kau tonton. Aku pun dah malas nak tulis, tapi percayalah, untuk Anohana, kalau aku tulis pun, ia penuh dengan puji-pujian yang melangit. Next post kita sembang pasal Anohana lebih panjang.