Friday, November 7, 2014

Berziarah ke Perkuburan Uchiha


Tulisan ini didedikasikan kepada Itachi Uchiha.




How much blood and horror lies behind all "good things".

-Friedrich Nietzsche-

Segala mak nenek pertelingkahan dalam dunia shinobi berasal dari impian Kaguya untuk mencipta keamanan yang utopia? Seni berperang ninjutsu mulanya adalah sebuah agama bernama Ninchu yang mengajarkan kedamaian? Dan chakra pada zaman purba bukan digunakan sebagai senjata tapi diagihkan sebagai medium menghubungkan spiritual manusia? Chakra diagihkan untuk menghubungkan spiritual?!! Fakta apakah ini? Yang aku tahu chakra di tangan Pein menjadikan Konoha padang jarak padang tekukur, bukan medium tahaluf siyasi antara manusia.

Ah, alegori Masashi Kishimoto memang menarik. Aku terfikir adakah dia sang postmodernist yang beriman dengan sabda Lyotard bahawa zaman ini dimaknakan oleh ketakpercayaan kepada metanaratif. Bukan juga satu kebetulan, tragedi adalah tema penting Naruto (siap ada watak bernama Pein). Dan Kishimoto memunculkan ramai manusia idealis yang bertukar kejam, dia mencipta ramai tragic hero bersama tragedi yang menimpa mereka. Adakah Kishimoto mahu menyambung legasi yang ditinggalkan Schopenhauer, Kierkegaard dan Nietzsche; yang mahu melihat tragedi sebagai idealisme yang akan menggantikan wacana teologikal dan metafizikal yang dikatakan sudah hilang gah. Dari sisi lain pula dia seolah-olah memakai tema Kafkaesque, mengajak kita untuk beriman dengan absurdisme Sisyphus dan menentang konsep tragedi sebagai pemaknaan hidup yang fatalistik. 

Madara, Obito dan Nagato adalah spesis manusia idealis yang terkurung dalam tragedi. Mereka manusia yang patah hati menunggu keamanan tak kunjung tiba, manusia yang kecewa dengan peperangan dan pertumpahan darah bersilih ganti. Tapi mereka enggan hidup dengan harapan yang diberi manusia lain. Seperti yang disebut Obito, ”berharap bermaksud menyerah”. Lantas kerana enggan menyerah mereka mahu menakluk. Mereka mahu menjadi tuhan dengan mencipta takdir mereka sendiri, sebuah dunia utopia tanpa kesengsaraan. Mereka memasang impian menyatukan manusia di bawah satu hegemoni. Di sini tanpa sedar idealisme keamanan digantikan dengan idealisme dominasi. Enggan menyerah satu semangat yang baik, yakni keinginan untuk menjauhkan diri dari sikap fatalistik, tapi semangat itu tidak membumikan idealisme keamanan yang mereka idamkan, seperti yang diperjuangkan Naruto. Sebaliknya ia hanya menelurkan kecenderungan untuk menindas kerana dominasi dalam bentuk apa pun, cenderung mewujudkan bibit-bibit penindasan. Idealisme dominasi akhirnya hanya berkisarkan kepentingan diri berbanding kepentingan bersama.

Obito contohnya bercita-cita melanjutkan projek legasi Madara, Tsukinome, sebuah genjutsu tahap supernova yang membuatkan seluruh dunia tunduk kepadanya, atau dalam pengertian Obito, dunia akan ‘menyatu’ dengannya, seterusnya membuang segala perselisihan dan mewujudkan keamanan. Secara teknikal, Projek Tsukinome sekadar sebuah projek perhambaan manusia sejagat yang bertujuan merogol segala keinginan dan hasrat manusia untuk akhirnya memberanakkan uniformity dan conformity. 

Semua manusia idealis ini, dengan sejarah dan latar belakang yang pelbagai, berusaha mengumpul weapon of mass destruction ketika itu yakni nine tailed beasts untuk mencapai matlamat masing-masing. Tanpa disedari mereka hanyalah bidak-bidak catur yang melengkapkan metanaratif Black Zetsu untuk membangkitkan semula Kaguya. Ini sebuah alegori jujur yang membentangkan hakikat realpolitik masa kini. Semua pertelingkahan dalam dunia ini – dengan pelbagai faktor yang rencam dan kompleks – jika ditelusuri berpunca dari sebuah kuasa besar yang mengambil kesempatan untuk mencaturi dunia. Setiap pertelingkahan adalah permainan sampingan yang diatur untuk mencapai matlamat tertentu dalam bingkai naratif yang lebih besar, yang selalunya ditutup dengan selubung konflik sektarian. Kuasa besar ini bukan setakat menciptakan permainan tapi juga peraturan permainan untuk memastikan kemenangan mutlak milik mereka.

Sebenarnya aku sudah lama tinggalkan Naruto. Ada beberapa sebab tentunya. Antaranya aku tak dapat terima kenyataan yang shinobi paling cool, yakni Itachi mati dalam keadaan tak cool di tangan adiknya yang perasaan cool. Selain itu aku juga menghadapi kesukaran untuk meneruskan perhubungan yang memerlukan komitmen yang panjang. Kenyataan ini mungkin mengguris hati ramai gadis di luar sana. Tapi kenyataan tetap kenyataan. Anime Naruto (termasuk Shippuden) sudah meleret sehingga ke beratus-ratus episod, sebagai jantan maskulin aku tidak boleh mendedikasikan hidup aku untuk ikut Naruto sampai mampus. Banyak lagi kerja berfaedah lain yang boleh dibuat. Aku juga perlu menyibukkan diri di media sosial, kerana berbanding Naruto, aku adalah entiti yang wujud. Maka untuk membuktikan kewujudan aku, aku wajib menyertai skim konvensi sosial yang bernama Facebook. Aku berFacebook, maka aku ada. 

Tapi di ruang virtual Facebook aku sesat dalam keriuhan kata-kata. Media sosial sudah jadi skizofrenia sosial. Akibat kesewelan yang memuncak di Facebook  - dan aku juga dengar manga Naruto hampir tamat - aku terlanjur tonton semula Naruto episod 1. Bagi peminat Naruto, menonton adegan awal sudah mendatangkan perasaan yang mengujakan, menonton beliau menangis ketika bayi sambil lagu Rocks berkumandang umpama semboyan menuju medan jihad dengan menghayun langkah kaki penuh positif. Menonton saat-saat awal Naruto sebagai kanak-kanak yang rindukan perhatian manusia lain. Menonton bagaimana dia kemudiannya menjadi idealis tegar yang berkhutbah tentang keamanan dan kasih sayang dalam dunia yang berselingkuh dengan peperangan dan memuntahkan kematian. Dan  menontonnya membuahkan hasil yang amat bernas. Umpama terkena genjutsu Kotoamatsukami, aku menjalin semula hubungan sulit yang lama terputus. Dengan rela hati aku mengulang semula episod-episod penting dan bersejarah dalam Naruto kerana dia dan komradnya ternyata dalam banyak hal, dalam nuansa yang lebih visualistik, santai dan kontemplatif tentunya - berbanding media sosial - selalu mengingatkan aku tentang beberapa perkara yang dipandang remeh. 

Sesetengah orang melihat Naruto sebagai sumber motivasi, mengajar erti kesusahan untuk berjaya, mendidik kita tentang setiakawan dan kasih sayang, memperlihatkan kepada kita keazaman yang tinggi boleh merobohkan benteng paling ampuh dan sebagainya. Elemen motivasi ini memang ada dalam Naruto. Dan aku boleh terima kerana Masashi Kishimoto sampaikannya melalui naratif yang bijak dan tidak nampak terdesak untuk kelihatan didaktik. Naruto sebuah manga (atau anime) yang tak terlampau berat dan tak juga terlalu ringan. Dan atas sifat wasatiyyah ini aku boleh menghargainya.

Tapi aku suka melihat sisi lain dalam Naruto, sisi yang lebih gelap. Sisi yang banyak ditonjolkan oleh watak-watak antagonisnya. Ya, sisi tragedi yang aku sebutkan di awal tadi. Aku suka melihat dengan teropong yang dipakai Huzaifah ibn Yaman, mengenal kejahatan untuk menghindari diri dari kejahatan. Kerana seperti kata Rasulullah kebaikan di zaman ini diselaputi asap, oleh sebab itu kita tak dapat memandangnya dengan mata yang jernih. Maka dengan mengenal kegelapan kita boleh menghargai cahaya. Kerana kegelapan bukan lawan kepada cahaya, tapi ketidakhadiran cahaya. Begitulah aku melihat plot Naruto, ia bermain dengan persoalan baik-jahat bukan dalam hubungan yang terlalu rigid. Dan dalam Naruto ada sebuah sejarah gelap yang menarik. Sejarah yang boleh mengajar kita sesuatu.

Semua negara ada sejarah gelap masing-masing. Sejarah yang cuba ditutup dari pengetahuan umum. Sejarah yang jika dimunculkan sekadar menerbitkan salah faham dan kerosakan yang kolektif. Sejarah jika dibuka semula tidak lagi berdiri sebagai peristiwa yang beku kerana sejarah tak mampu mewakili dirinya sendiri, tapi ia akan dicairkan sebagai naratif yang memungkinkan pelbagai penafsiran yang selalunya tidak jujur dengan konteks sejarah itu sendiri. Sejarah yang dibuka semula selalunya bukan ditafsir oleh pelaku sejarah, tetapi oleh manusia yang mungkin sudah hilang (atau sesat) hubungan dan pemahaman yang bersifat kontekstual dari sejarah itu sendiri. Dan bukan satu kebetulan yang kebanyakan sejarah adalah tragedi.

Pembantaian Puak Uchiha (Uchiha Massacre) adalah sejarah gelap yang amat realpolitik sifatnya, sebuah tragedi yang jujur menilai hakikat politik bernegara, yang dalam banyak hal membuatkan aku berfikir tentang pergelutan kuasa dan permusuhan yang mendasari plot utamanya dari perspektif yang lebih berani. Pembantaian Puak Uchiha adalah sisi paling realis, paling berpijak di bumi nyata dari Masashi Kishimoto, meninggalkan tema-tema idealis yang terlalu lurus dan kartun sifatnya. Pada awalnya sejarah ini tidak diperincikan. Ia sejarah terlarang yang tidak ditulis dalam buku teks Sejarah Konoha. Kita cuma tahu Itachi melakukannya secara solo untuk menguji kemampuannya. Tapi dalam Naruto Shippuden, sejarah ini dibongkar oleh Obito yang menyorotnya dari  perspektif clan struggle.

Pembantaian Puak Uchiha didedahkan sebagai konspirasi yang mendapat restu dari pihak tertinggi Konoha, dalam kes ini tiga mursyidul amnya, Koharu, Homura dan Danzo. Walaupun Hokage Ketiga tidak bersetuju dengan rancangan ini, tapi beliau sendiri merasa pendekatan diplomasi yang digunakannya tidak mampu lagi memujuk puak Uchiha. Dengan tekanan yang diterima dari tiga mursyidul am, yang mempersoalkan pendekatannya yang semakin tumpul, Hokage merasa buntu untuk mencari alternatif lain. Ditambah pula dengan kesediaan Itachi untuk melaksanakannya, yakni membunuh keluarga dan puaknya sendiri, sudah tentu pada perkiraan Hokage, Itachi sendiri sebagai ninja paling cool dan bijaksana merasakan bahawa itulah jalan terbaik. Malah Itachi sendiri telah menjalankan risikan yang terperinci terhadap puak Uchiha  dan rancangan kudeta mereka.

Persoalannya kenapa perlu melakukan penghapusan puak secara muktamad? Mengapa tidak mereka yang terlibat saja dibunuh? Mengapa perlu mengorbankan kaum wanita dan kanak-kanak?  Penyakit sewel apa yang menjangkiti Itachi, ninja yang percaya kepada idealisme Will of Fire, yakni cinta adalah asas keamanan, untuk akhirnya membenarkan pembunuhan beramai-ramai itu berlaku?

Jawapannya tak pernah mudah. Pertama sekali, dunia Naruto ialah dunia feudalisme berkuasa. Sebelum menubuhkan Konoha, puak Senju dan puak Uchiha adalah dua grup militia tersohor yang saling bersaing untuk mendapatkan kontrak perang dari kuasa feudal yang bercakaran. Perang dan pembunuhan adalah sumber pendapatan dan permainan mereka sehari-hari. Ada satu dialog menarik ketika Hokage Pertama dan Hokage Kedua dibangkitkan semula oleh Orochimaru. Kata Hokage Pertama dengan nada kesal, “Nampaknya setiap zaman pasti  ada peperangan.” Sebelum dibalas sinis Orochimaru, ”Tapi kau suka perang, kan?”

Perdamaian di antara Senju dan Uchiha, dari perspektif kritis aku, bukan sekadar bertujuan mewujudkan keamanan (agak absurd sebenarnya untuk sekumpulan pembunuh upahan bercakap tentang keamanan), tapi menghapuskan persaingan yang merugikan. Ya, aku percaya tahaluf siyasi antara Hashirama dan Madara berkait dengan soal untung-rugi, bukan soal keamanan-perang. Mereka bercakap sebagai dua orang businessman bukan pejuang keamanan ala Mandela.

Dengan tertubuhnya Konoha, puak Senju dan Uchiha telah menguatkan jenama mereka sebagai jentera perang paling efektif dan ternyata sehingga sekarang Konoha dianggap sebagai negara ninja paling kuat di muka bumi. Mungkin generasi selepas mereka yang terkesan dengan beberapa Perang Dunia Ninja yang berlaku mula sedar tentang pentingnya keamanan, perdamaian dan diplomasi. Mungkin Hokage Kedua dengan dasarnya yang lebih kosmopolitan mahu melakukan glasnost dan perestroika terhadap Konoha. Walaupun demikian bagi aku itu masih agak absurd. Sehingga kini Perang Dunia Ninja sudah berlangsung untuk kali yang keempat. Untuk berkhutbah tentang keamanan, Naruto sepatutnya berhenti menjadi ninja dan menghabiskan hidupnya sebagai petani. Itu baru betul.

Dengan tertubuhnya Konoha juga, kesetiaan dan fanatisme terhadap puak masing-masing digantikan dengan kesetiaan tunggal terhadap negara. Konoha adalah segala-galanya dan kepentingan Konoha mengatasi kepentingan lain. Itu yang dimaksudkan oleh Hokage Pertama dalam manifesto kenegaraannya, Will of Fire, yakni kecintaan kepada Konoha adalah kunci kepada keamanan. Will of Fire dikatakan berasal dari idealisme Asura jika dilihat dari konteks yang universal, tapi dalam konteks kenegaraan Konoha, cinta dan keamanan itu perlu dibaca dengan cara berbeza. Cinta yang ideal adalah cinta kepada Konoha, dan keamanan yang ideal adalah keamanan Konoha. Ini bai’ah penduduk Konoha dan ini konteks yang perlu difahami sebelum kita menilai tindakan Itachi dan mursyidul am Konoha.

Kedua, kudeta tersebut disokong oleh majoriti puak Uchiha. Kali terakhir seorang Uchiha yang bernama Madara memberontak, hasilnya adalah bencana berskala mega apabila Madara ketika berlawan dengan Hokage Pertama telah menggunakan Kyubi sebagai senjata. Anggap sahaja Kyubi atau nine tailed beasts sebagai senjata nuklear pada zaman itu. Jadi bayangkan risiko dan kesan yang bakal terjadi bila majoriti puak Uchiha memberontak. Selepas serangan Kyubi yang mengorbankan Hokage Keempat, muncul desas-desus yang puak Uchiha bertanggungjawab mendalangi serangan tersebut. Itachi sebagai ahli ANBU tentu lebih arif yang puak Uchiha di Konoha tak mampu melakukannya. Dia sedar ada Uchiha di luar Konoha yang melakukannya dan akan memanfaatkan konflik dalaman Konoha untuk melakukan serangan sekali lagi.

Itachi bimbang, jika tidak disekat, kudeta tersebut boleh menjemput kuasa luar untuk menangguk di air keruh dan merebak dari perang saudara menjadi Perang Dunia Ninja. Bagi Itachi, tanpa dia melakukan pembunuhan terhadap kaum Uchiha pun, mereka akan mati dalam perang terhadap Konoha (atau lebih awal, mati disembelih skuad ANBU). Bezanya perang akan memakan korban yang lebih besar, bukan saja kepada puak Uchiha tapi juga Konoha. Mungkin ada yang berpendapat lebih baik berperang dari melakukan pembunuhan beramai-ramai. Bagi manusia seperti Itachi, seorang kapten ANBU dan saksi mata Perang Dunia Ninja Ketiga, beza definisi bunuh dan perang itu cuma senipis kulit bawang.

Ketiga, peranan yang dimainkan Madara sebagai ideolog penting dalam puak Uchiha yang kerap menekankan elemen clan struggle antara Uchiha dan Senju dalam usahanya mengejar kuasa. Kudeta yang dirancang puak Uchiha sebahagian besarnya bermuara dari legasi Madara untuk mengabsahkan penentangannya terhadap Konoha. Madara ialah diktator yang hilang pengaruh, baik dari segi kredibiliti kepimpinan mahupun kekuatan fizikal. Kelebihan Hokage Pertama dari segi tindakan politikalnya yang bijak dan kekuatan ninjutsunya yang supremo telah membuatkan Madara terkial-kial mencari jalan untuk mempengaruhi puaknya. Jalan paling mudah ialah menciptakan ideologi permusuhan atas nama antagonisme puak. Ideologi clan struggle ini diwariskan dari satu generasi ke satu generasi Uchiha, sebelum menunggu masa yang sesuai untuk meledak.

Keempat, muncul Danzo memainkan peranan. Danzo ialah ninja otai berwatak neo-kon, yang meletakkan kepentingan Konoha mengatasi perkiraan moral dan etika. Perkataan diplomasi tiada dalam kamus hidup Danzo. Sembelih, bunuh dan perang adalah solusi kegemarannya. Danzo adalah watak utama yang bertanggungjawab mengesahkan dakwaan Madara tentang wujudnya konflik puak di antara Uchiha dan Senju. Dia mungkin prejudis dengan puak Uchiha tapi semangat dan idealisme politiknya tak jauh berbeza dengan Madara. Dari sudut lain orang seperti Danzo adalah vanguard kepada sistem Konoha. Hokage Ketiga mungkin tidak bersetuju dengan pendekatan Danzo yang militan, tapi dia tak boleh menafikan - dalam banyak hal - tindakan Danzo adalah untuk kepentingan Konoha. Danzo spesis manusia yang melaksanakan kerja kotor untuk membersihkan Konoha luar dan dalam. Tapi seperti Madara, ideologi totalitarian Danzo akhirnya hanya bertumpu kepada cita-cita peribadi berbanding kemaslahatan Konoha sendiri.

Danzo mendekati dua lagi mursyidul am Konoha, Koharu dan Homura serta meyakinkan mereka tentang rancangannya untuk memastikan puak Uchiha tak lagi menjadi ancaman kepada Konoha buat selama-lamanya. Meyakinkan Koharu dan Himura bererti meyakinkan Hokage. Dan Danzo tak mempunyai masalah dalam hal ini kerana kemelut ini dilihat semakin pincang. Danzo juga meyakinkan Itachi – yang sedar masalah ini semakin sukar dikawal – bahawa rancangan ini akan mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar dan paling penting, mengelakkan adiknya Sasuke dari menjadi korban. Puak Uchiha mempunyai emosi yang mudah dimanipulasi (ini akan dijelaskan kemudian), justeru Itachi tanpa banyak soal menerima solusi ini. Bagi manusia seperti Danzo, kudeta yang dirancang puak Uchiha ialah peluang keemasan untuk dia menghapuskan mereka dari muka bumi Konoha.

Kelima, puak Uchiha dilihat sebagai puak yang dilaknat dengan saka kebencian, ibarat kaum Yahudi yang selalu mendatangkan kerosakan di muka bumi. Mereka sinonim sebagai puak pemberontak. Lebih merbahaya, mereka dianugerahkan senjata paling berharga yakni Sharingan. Oleh itu mereka berpotensi menjadi musuh yang boleh mengganggu gugat kestabilan Konoha. Puak Uchiha dianggap sebagai puak yang sentiasa mahu memerintah, bukan diperintah, lebih-lebih lagi oleh puak Senju. Lebih tepat lagi puak Uchiha ialah puak yang dahagakan perhatian atau gila glamour. Sayang sekali Facebook dan media sosial lain masih belum wujud ketika itu. Kalau ada, tak mustahil Sasuke yang perasan cool itu akan update setiap sejam foto-foto kacaknya beserta statusnya berlatih teknik ninjutsu terbaru.

Kekkei genkai yang mereka warisi sebenarnya ialah masalah psikiatri dan gila isim yang sukar diubati. Sharingan itu ialah kekkei genkai yang cenderung mewujudkan kegilaan. Puak mana yang paling banyak membunuh saudara mereka sendiri semata-mata untuk mengaktifkan Mangekyo Sharingan? Kemudian boleh pulak trauma dan letakkan kesalahan di bahu orang lain sambil mencela ketidakadilan dunia. Ya, memang babi. Puak Uchiha ialah puak yang paling emosional dalam sejarah ninja. Lebih mudah untuk meneka sinopsis Tanah Kubur dari menjangka tahap emosi puak Uchiha. Emosi mereka yang berbolak-balik ini dari satu segi memudahkan mereka dimanipulasi, tapi dari satu segi yang lain memudaratkan manusia di sekeliling mereka. 

Apa buktinya puak Uchiha psikopat? Baiklah aku jelaskan secara ringkas di sini. Psikopat adalah manusia egosentrik tahap ekstrem yang mahu mencorakkan dunia mengikut kemahuannya. Antara personaliti psikopat ialah antisosial, narsisistik, impulsif, sadis, kesepian, agresif dan yang paling penting: manusia dua dimensi (two-dimensional person) yakni manusia yang hanya mampu menggunakan emosinya apabila ia mendatangkan keuntungan kepada dirinya sendiri. Ini yang aku maksudkan emosi yang berbolak balik. Harap kau turut  perhatikan personaliti lain di atas dan kaitkan dengan mana-mana watak puak Uchiha. Ya, kebetulan juga kebanyakan ahli politik memiliki personaliti-personaliti ini.

Itachi sendiri mewarisi penyakit ini. Kau takkan boleh bunuh mak, ayah dan saudara mara kau dengan tangan kau sendiri dalam tempoh satu malam - atas justifikasi apa sekali pun pembunuhan itu dibuat - melainkan dalam diri kau memang ada sisi psikopat. Teori aku kemampuan Itachi melangkaui puak Uchiha sebelumnya, justeru dia mampu mengawal dan memprogramkan sisi psikopat dalam dirinya sepertimana dia memprogramkan Kotoamatsukami pada Naruto dan Amaterasu pada Sasuke. Kalau kau kenal Itachi kau tahu teori ini tak mustahil. Dan kalau kau belajar criminal psychology kau tahu psikopat spesis ini memang wujud.

Psikopat terbahagi kepada  dua; ordinary psikopat dan malignant psikopat. Ordinary sifatnya antisosial, impulsif dan jenayah yang dilakukan didorong faktor material. Malignant sifatnya pemangsa, kejam dan jenayah yang dilakukan didorong faktor dendam atau fantasi sadis. Itachi tergolong dalam kategori kedua. Berbeza dengan ordinary psikopat, malignant psikopat boleh mengorganisasi, mengarah dan memprogram dorongan negatifnya, dan kemudian melepaskannya pada waktu yang dirasakan sesuai. Itachi bukan sebarang psikopat, sebagai prodigy sudah tentu programming yang dilakukannya melepasi tahap expert. Mungkin dengan membantai puaknya sampai pupus Itachi cuba melepaskan dorongan yang ditahan sepanjang hidupnya. Atas kesedaran yang puak Uchiha adalah puak psikopat jugalah menyebabkan Itachi memilih untuk menyembelih mereka. Itachi sedar mereka adalah vermin yang perlu dihapuskan. Mana-mana Uchiha yang waras akan sedar yang diri mereka menghidap kesakitan psikologi yang kronik. Itachi sendiri dari awal memilih untuk mati di tangan Sasuke. Shisui juga memilih untuk bunuh diri. Kalau tak kerana keyakinan yang tinggi terhadap Naruto, Itachi mungkin akan menghapuskan Sasuke dengan tangannya sendiri. 

Kerana saka kebencian dan sisi psikopat yang mereka warisi, puak Uchiha hidup dalam kelompok mereka sendiri, terasing dan terpencil. Kemungkinan puak Uchiha yang memencilkan diri mereka atau mungkin komuniti Konoha yang menjauhkan diri dari mereka. Kedua-duanya boleh dijustifikasikan. Tapi sebagai komuniti psikopat, untuk memudahkan mereka menjalankan kerja-kerja psikopat tanpa gangguan dari pihak luar, rasanya puak Uchiha yang memilih untuk memencilkan diri. Dengan ini segala jenayah dapat disorok dengan mudah, lebih-lebih lagi mereka adalah pasukan polis. Mungkin ini tujuan tersembunyi Hokage Kedua menganugerahkan pasukan polis kepada puak Uchiha yakni supaya aktiviti gila yang mereka lakukan diuruskan sendiri oleh mereka. Campur tangan dari pihak pentadbir Konoha dalam sebarang masalah dalaman puak Uchiha mungkin akan menimbulkan konflik atau menimbulkan salah faham yang Konoha cuba menindas mereka.

Hokage Pertama mungkin sedar masalah psikologi puak Uchiha, kerana itu dia pernah mencalonkan Madara sebagai Hokage untuk mengelakkan krisis yang lebih besar berlaku. Tapi tindakan ini juga dilihat sebagai strategi serampang dua mata. Ini bukan tindakan yang idealis tapi pragmatis. Sebelum Konoha ditubuhkan dia pernah menghalang adiknya, Hokage Kedua dari membunuh Madara kerana dia sedar membunuh Madara ketika itu tidak akan menyelesaikan masalah, lebih teruk ianya akan menjauhkan lagi puak Uchiha dan melanjutkan perang yang tidak menguntungkan. Ramai menganggap Hokage Pertama seorang idealis berdasarkan beberapa tindakannya yang seolah-olah meletakkan keamanan sebagai prioriti utama. Tapi bagi aku, sekali lagi, dia hanyalah seorang pragmatis. Dia menyimpan Madara untuk menarik perhatian puak Uchiha supaya kagum dengan perjuangannya yang (kononnya) mahu memperjuangkan kedamaian. Malah usahanya untuk mencalonkan Madara sebagai Hokage adalah percubaan untuk menambah kekaguman puak Uchiha (dan juga puak lain) terhadap karisma dan kredibilitinya sebagai pemimpin.

Ternyata rancangannya berjaya apabila puak Uchiha (dan juga puak lain) bersetuju untuk melantiknya sebagai Hokage dan meminggirkan pemimpin mereka sendiri, Madara. Imej Madara sendiri ketika itu sudah tercalar, puak Uchiha sendiri melihat dia (malah mereka) bukan lawan kepada Hokage Pertama dan puak Senju. Madara hanya disimpan sebagai umpan untuk mendekati puak Uchiha. Bagi Hokage Pertama, lebih untung menjadikan puak Uchiha sebagai business partner dari menjadikan mereka sebagai musuh. Dia boleh menghapuskan Madara dan puak Uchiha pada bila-bila masa, tapi dia memilih untuk tidak melakukannya. Ini mesej yang mahu disampaikannya. Dan ini menjadikan dia semakin dihormati dan tentunya digeruni.

Berlainan dengan abangnya, Hokage Kedua sebagai seorang realis sejak awal melihat puak Uchiha adalah ancaman berbahaya kepada Konoha amnya dan puak Senju khasnya. Menjadikan puak Uchiha sebagai kawan adalah bencana jangka masa panjang yang membimbangkan. Hanya masa akan menentukan bilakah seorang lagi psikopat seperti Madara akan bangun melawan Konoha. Berbanding Hokage Pertama, pendekatan Hokage Kedua agak keras terhadap puak Uchiha sebelum Konoha ditubuhkan. Setelah penubuhan Konoha, mahu tak mahu Hokage Kedua melihat ancaman puak Uchiha perlu dineutralkan dengan cara yang lebih lurus dan berhati-hati. Kemungkinan beliau sedar puak Uchiha kini adalah sebahagian dari komuniti Konoha. Dan kontrak sosial ini perlu dipelihara sebaiknya untuk menjamin kelangsungan Konoha sendiri.

Hokage Kedua juga sedar tentang saka yang diwarisi puak Uchiha. Menurutnya, puak Uchiha dikurniakan perasaan cinta yang terlalu mendalam di mana kehilangan seseorang yang paling disayangi mereka akan menimbulkan kekacauan emosi yang berbahaya. Sebenarnya, penyakit puak Uchiha tidak spesifik kepada masalah cinta. Mereka menghidap penyakit narsisitik dan psikologi tahap kronik dan cinta hanyalah salah satu dari pencetusnya saja. Masalahnya siapa tahu apa pencetus yang lain. Mungkin ada berpuluh, mungkin juga beratus isu yang boleh mencetuskan kegilaan mereka. Dan untuk menstabilkan emosi puak Uchiha, Hokage Kedua menubuhkan Pasukan Polis Konoha dan melantik puak Uchiha untuk menguruskannya. Mengikut logik beliau, kesibukan menguruskan pasukan polis akan membantu puak Uchiha menfokuskan emosi dan minda mereka pada sesuatu tugasan, di samping itu ia sebagai tanda kepercayaan dan pengiktirafan kepada peranan yang dimainkan puak Uchiha dalam membangunkan Konoha.

Ya, ini memang strategi rawatan yang baik. Tapi seperti yang aku cakap, siapa boleh menjangka emosi gila babi puak Uchiha. Pada fikiran Uchiha seperti Itachi, pengurniaan Pasukan Polis Konoha kepada puak Uchiha adalah tanda penghormatan, kerana hanya ninja hebat mampu menghalang jenayah dilakukan oleh ninja lain. Tapi logik itu tak terpakai kepada Uchiha yang sewel, usaha Hokage Kedua tersebut dianggap sebagai jalan mengecilkan dan memencilkan puak Uchiha dari pentadbiran Konoha. Logik yang mereka pakai adalah, apa barang ninja jadi polis?!! Berbanding menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan baik dan menghormati kontrak sosial yang termeterai sejak dulu, puak Uchiha mempersoalkan tentang hak yang bukan milik mereka.

Oleh sebab itu, sebarang usaha tahaluf siyasi dengan puak Uchiha takkan berjaya kerana sifat memberontak, anarkisme dan psikologi yang sakit dan kacau ini menghalang mereka untuk melihat sesuatu dari segi manfaat bersama. Mereka masih terikat dengan mentaliti kepuakan. Justeru, pembantaian Puak Uchiha adalah usaha pemerintah tertinggi Konoha untuk memotong segala punca masalah di peringkat akar umbi, membuang barah yang merosakkan Konoha, memastian tiada lagi zuriat yang boleh menyambung penyakit warisan yang berbahaya ini. Sebagai anak murid Hokage Kedua, sudah tentu Hokage Ketiga dan mursyidul am Konoha, yakni Koharu dan Homura sejak awal sedia maklum tentang ancaman puak Uchiha terhadap kestabilan Konoha dan masalah psikologi mereka.

Dakwaan bahawa puak Uchiha menerima layanan kelas kedua dari pentadbiran Konoha juga perlu diteliti. Pada awalnya puak Uchiha mampu berasimilasi dengan baik dalam komuniti Konoha. Rasa tak puas hati hanya wujud di kalangan segelintir ahli Uchiha yang kembali mengulang ideologi Madara. Perasaan itu memuncak selepas serangan Kyubi yang mengorbankan Hokage Keempat, di mana sentimen dan prejudis terhadap puak Uchiha semakin kuat. Danzo si neo-kon berpendapat serangan tersebut didalangi oleh puak Uchiha kerana hanya Sharingan mampu mengawal dan menjinakkan Kyubi. Bermula dari sini pergerakan puak Uchiha dipantau dan diperhatikan. Pendekatan keras Danzo hanya menambah kebencian puak Uchiha.

Maka ideologi Madara dilaung semula dan dijadikan azimat. Puak Uchiha berpendapat mereka ditindas, dijadikan rakyat kelas bawahan untuk berkhidmat kepada puak Senju yang dianggap elit dan bangsawan. Bagi mereka, layanan begini tidak dapat diterima lebih-lebih lagi mereka adalah antara puak yang mengasaskan Konoha. Ideologi Madara yang diimani sekumpulan ahli Uchiha bertukar menjadi sebuah gerakan massa. Puak Uchiha menganggap Konoha melakukan diskriminasi dan usaha diplomasi yang dilakukan Hokake Ketiga menemui jalan mati.

Pada peringkat awal penubuhan Konoha, puak Senju memang menguasai pentadbiran. Ini fakta. Hokage Pertama dan Hokage Kedua adalah Senju, Hokage Ketiga pula murid mereka. Kedua-dua mursyidul am juga murid Hokage Kedua. Semua komuniti Konoha mengiktiraf kehandalan dan kepimpinan puak Senju. Mungkin pada pandangan puak Uchiha ini adalah kronisme yang merendahkan kemampuan mereka. Mereka mula terfikir tentang kata-kata Madara bahawa puak Senju akan menjatuhkan puak Uchiha sampai lumat. Setelah bersusah payah membangunkan Konoha, apa yang mereka dapat hanyalah portfolio untuk mengendalikan pasukan polis. Ini sesuatu yang tak boleh diterima akal mereka yang dangkal. Walaupun sebenarnya peranan pasukan polis dalam sebuah negara semi-diktator tak boleh diperkecilkan. Dari sudut logik, itu sebuah portfolio yang besar. Tapi psikologi sewel ini tidak memungkinkan puak Uchiha untuk melihat semua ini dari perspektif yang wajar. Mereka melihatnya dari kerangka dan sudut antagonisme antara puak Uchiha lawan puak Senju. Jadi apa saja tindakan Konoha walaupun bertujuan baik tetap dipandang sebagai konspirasi untuk menjatuhkan mereka.

Tapi jawatan Hokage tak dimonopoli atau diwarisi anak-beranak puak Senju sampai kiamat. Hokage Kedua menamakan Hokage Ketiga yang berasal dari puak Sarutobi sebagai penggantinya. Hokage Keempat juga bukan dari puak Senju. Puak Senju kembali memegang jawatan ketika giliran Hokage Kelima, itu pun setelah Jiraiya menolak tawaran untuk menduduki jawatan tersebut. Dalam dunia ninja, sudah tentu yang terhandal dalam seni perang akan dilantik sebagai ketua. Kemampuan mengarang takkan menjadikan kau terkenal di Konoha. Jiraiya dikenali sebagai Sannin Legenda kerana kehebatan teknik ninjanya, bukan kerana dia menulis Icha Icha Paradise. Selepas kematian Izuna dan pemergian Madara, puak Uchiha gagal melahirkan ninja yang berkaliber. Satu kemampuan dan juga mungkin kelemahan puak Uchiha ialah Sharingan. Sharingan yang membezakan mereka dari puak lain.

Tapi Sharingan hanyalah dojutsu biasa yang mudah ditumpaskan melainkan jika diaktifkan kepada Mangekyo Sharingan. Untuk mengaktifkan Mangekyo kau perlu menyaksikan dengan mata kau sendiri kematian tragik orang yang paling kau sayang. Sudah tentu mati kerana kencing manis tak dapat mengaktifkan Mangekyo. Jalan paling mudah (dan ironinya tragik) ialah membunuh orang yang kau sayang dengan tangan kau sendiri. Tapi penggunaan Mangekyo Sharingan secara kerap boleh membuatkan penggunanya buta. Untuk mengatasi masalah ini kau perlu mengaktifkan pula Eternal Mangekyo Sharingan dengan menggantikan mata kau dengan mata adik-beradik kau yang memiliki Mangekyo Sharingan. Tapi proses ini tak pernah mudah dan hasilnya jarang lumayan. Oleh itu, berlangsunglah eksperimen bunuh membunuh dan cabut mencabut mata dalam sejarah puak Uchiha. Faktor ini turut menambah masalah kepada kesewelan yang mereka warisi.

Mengapa perkara ini perlu dijelaskan. Pertama, seperti yang disebutkan Sharingan adalah kelebihan dan kekurangan puak Uchiha. Ia hanya mampu menjadi senjata paling menggerunkan apabila kapasitinya ditingkatkan melalui proses gila di atas. Jika tidak kemampuannya setara dengan ninjutsu lain. Kebergantungan puak Uchiha kepada Sharingan adalah kelemahan mereka. Terbukti puak Uchiha hanya muncul sebagai ninja yang hebat setelah Sharingan melalui transformasi di atas. Madara, Izuna, Itachi, Sasuke, Shisui dan Obito adalah buktinya. Masalahnya transformasi Sharingan memerlukan proses yang kritikal dan sangat tak manusiawi. Tak hairanlah puak Uchiha jarang melahirkan hero dan kalau ada pun kebanyakannya psikopat jiwang yang gilakan perhatian dan akhirnya memilih untuk jadi renegade atau vagabond. Faktor ini juga melahirkan puak Uchiha yang pemalas dan hanya mengharapkan teknik dojutsu pasang siap seperti Sharingan untuk menjadikan mereka hebat.

Isunya bukan peminggiran puak Uchiha tetapi kemampuan mereka sendiri terbatas dan tidak menonjol akibat kebergantungan mereka kepada Sharingan. Atau mereka sendiri memilih untuk mengasingkan diri (antisosial) dari komuniti Konoha akibat rendah diri atau merasa dipinggirkan. Selepas Madara puak Uchiha berjaya melahirkan dua ninja hebat, Shisui dan Itachi. Malangnya Danzo mungkin melihat ini sebagai ancaman  kepada Konoha dan bertindak menghapuskan potensi kedua-duanya. Dia mencuri mata Shisui dan menjadikan Itachi kambing hitam dalam peristiwa Pembantaian Puak Uchiha. Ini antagonisme yang memainkan peranan besar dalam konflik ini. Puak Uchiha menganggap diri mereka tuhan yang perlu disembah, manakala Konoha melihat puak Uchiha sebagai iblis yang perlu dihapuskan. Perseteruan tradisi ini adalah naratif gelap yang dijadikan lesen untuk menghalalkan pembantaian tersebut, sepertimana puak Uchiha menjadikannya lesen untuk melegitimasikan kudeta mereka.

Mungkin jika kedua-dua pihak tak meniupkan api permusuhan dan menghormati kontrak sosial yang dimeterai, sengketa ini dapat dipadamkan. Mungkin jika Danzo tak menganggotai Majlis Mursyidul Am Konoha, Pembantaian Puak Uchiha takkan berlaku. Mungkin jika puak Uchiha tak merancang kudeta, Danzo tak dapat mengambil kesempatan. Mungkin jika Itachi masih kekal di Konoha, puak Uchiha akan menyaksikan Hokage pertama dari puak mereka. Mungkin. Tapi apalah nilai ‘mungkin’ dalam sebuah sejarah melainkan ia dijadikan ibrah.

Itachi, wira tak didendang itu, tak pernah berbangga dengan tindakannya membantai puaknya sendiri, walaupun dia merasakan itulah tindakan yang wajar dilakukan pada masa itu. Sebagai seorang ninja – dan kita wajib melihat Itachi begitu – dia melakukan yang terbaik untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar menimpa Konoha. Itachi takkan bermonolog seperti monolog Tuah lakonan P. Ramlee, “Akukah benar atau Jebatkah benar?”. Itu kata-kata hero yang keliru. Dan Itachi tak pernah keliru.

Malah dia melarang kisah sebenar dibongkar supaya nama puak Uchiha tak dicemari, walaupun pembongkaran itu akan membersihkan namanya dan mengangkatnya sebagai tragic hero. Mungkin jika sejarah gelap ini tercatat dalam mana-mana buku sejarah, Itachi mahu kita menyelak semula sejarah tersebut bukan dengan mengkaji siapa betul dan siapa salah. Dengan melihatnya dari sudut ini, kita masih terperangkap dalam melodrama dan ruang sejarah yang lepas, masih menggunakan mentaliti Uchiha vs Senju, malah tak akan memberikan nilai tambah kepada sejarah itu sendiri. Itachi mahu kita mengkaji sejarah supaya sejarah yang sama tak muncul lagi, supaya kita sebagai pelaku yang akan mencipta sejarah tidak menghasilkan watak-watak sejarah seperti dirinya, Madara, Danzo dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam sejarah Pembantaian Puak Uchiha. Ya, Itachi tak mahu kita menerima takdir Sisyphus!


Tuesday, August 19, 2014

Revolusi Yang Meluncur Laju

Dengan pelbagai penafsiran tentangnya, boleh disimpulkan globalisasi datang dalam paradoks, ia muncul bersama dua karakter yang kontradik:  ia memungkinkan pluraliti dan pada masa yang sama ia memungkinkan juga hegemoni, ia mewujudkan homogenisasi, pada masa yang sama juga heterogenisasi. Korea memanfaatkan ini sepenuhnya dengan membawa apa yang disebutkan sebagai hallyu atau gelombang Korea dengan mengeksport budaya popular ke seluruh pelosok dunia, termasuk Malaysia, bermula dengan drama, muzik dan kemudiannya filem (dan sekarang mungkin tv show dengan adanya Running Man). Dan seperti yang selalu aku sebut, dalam society of the spectacle budaya popular datang  bersama semangat konsumerisme yang kental - menjual imej, simbol, tanda dan penampakan - yakni sebuah gaya hidup bernuansakan pemaknaan yang artifisial, bukan esensial. Tapi zaman ini, siapa yang mahu gaya hidup yang serius, kan?

Dengan segala keterpesonaan yang dibawa budaya popular Korea, termasuk Psy yang popular dengan tarian ala kuda kepangnya itu - yang secara peribadi menuntut aku untuk bersabar memahami kompleksiti manusia – aku lebih tertarik kepada filem-filem Korea. Setakat ini, pada pendapat aku, berbanding drama dan muzik yang agak mendatar tema dan persembahannya, filem Korea telah melangkau jauh meninggalkan dua bidang tadi dengan terhasilnya filem-filem yang hebat serta menyentuh pelbagai genre dan pada masa yang sama mula membuatkan aku mencari filem Korea melalui nama pengarah-pengarah mereka. Kau akan sedar filem kau memang hebat bila Hollywood mula terhegeh-hegeh hendak merosakkan filem kau atas alasan remake.

Penilaian aku tentang muzik Korea mungkin agak bias kerana lagu Korea yang aku ulang dengar hanyalah lagu dari Youme (itupun cover song) yang terselit sebagai runut bunyi filem Windstruck, yakni filem Korea kedua yang aku tonton selepas Shiri, yang kemudiannya menghantar aku kepada filem My Sassy Girl dan membuatkan aku jatuh hati dengan lakonan Jun Ji-Hyun. Lagu-lagu lain hanyalah bunyi-bunyi yang aku tak ambil serius, hanya singgah di lubang telinga dan akhirnya pergi begitu saja. Aku hanya akan serius dengan muzik Korea bila mereka ada pemuzik seperti Elena Tonra.

Drama Korea pula hanya dua yang aku ikut sampai tamat episodnya: The Devil dan IRIS. Aku tonton IRIS kerana ada Lee Byung-Hun yang aku kagum menerusi filem-filemnya bersama pengarah Kim Jee-Woon. Jadi perkenalan aku dengan muzik dan drama Korea pun kerana filem-filem Korea. Drama The Devil adalah kes unik kerana aku menontonnya akibat dipaksa adik aku ketika aku berkeras mengatakan drama Korea terlalu emosional dan melekakan. Jadi dia cabar aku tonton The Devil walaupun aku tak pasti cabaran itu untuk membuktikan apa. Hasilnya tuduhan aku benar, ia memang melekakan. Aku menghabiskan 20 episod The Devil dengan penuh dedikasi tanpa banyak soal. Jelas sekali, walaupun tuduhan aku benar tapi adik aku yang menang dalam hal ini. Dan jelas apa yang dia cuba buktikan.

Aku pernah beritahu sebelum ini yang aku menolak untuk melayan lagu dan drama Korea secara konsisten kerana ia mendatangkan ketagihan kronik, lebih-lebih lagi lagu dan drama Korea datang silih berganti dengan kelajuan cahaya, berbanding filem yang datang dalam skala yang wasatiyyah. Justeru wajib untuk aku mengingatkan agar berhati-hati dengan produk budaya dari Korea kerana ketagihan terhadapnya satu hari nanti mungkin boleh diisytiharkan sebagai neurotik (menambah satu lagi “disoder” dalam kamus perubatan) dan kau mungkin terpaksa dimasukkan ke dalam pusat pemulihan. 

Snowpiercer membariskan dua nama besar dalam industri filem Korea, Bong Joon-ho di kerusi pengarah dan penulis lakon layar (bersama Kelly Masterson) serta Park Chan-wook sebagai penerbit. Trilogi Vengence arahan Park Chan-wook adalah filem-filem wajib tonton untuk kau faham terma sweet revenge dengan sebenar-benarnya, terutamanya Old Boy yang akan buat kau melopong, terkedu dan terdiam untuk beberapa minit. Sebelum menonton Snowpiercer aku didatangi perasaan pesimis bahawa filem ini mungkin gagal memenuhi ekspektasi yang aku harapkan kerana selalunya pengarah bukan Inggeris yang cuba untuk menghasilkan filem berbahasa Inggeris, cenderung gagal untuk mengulangi kecemerlangan filem yang mereka hasilkan dalam bahasa ibunda mereka. Park Chan-wook contohnya menghasilkan Stoker yang sejujurnya bagi aku bukanlah filem yang gagal, tapi tak dapat menandingi kegelapan filem-filemnya sebelum ini. Yang terbaru aku menonton Foxfire, buah tangan kedua pengarah Perancis, Laurent Cantet yang gagal mengulangi kehebatan debutnya, The Class.

Jawapannya mudah saja, kita lebih selesa berkarya dalam bahasa ibunda kita sendiri. Dan selepas menonton Snowpiercer tesis di atas memang terbukti. Ia bukan sebuah filem yang gagal, pastinya ia seratus kali lebih baik dari filem-filem Michael Bay, dengan plot yang sederhana dibarisi pelakon multinasional yang hebat. Ya, barisan pelakonnya bukan calang-calang. Tilda Swinton paling menonjol tentunya. Cuma Snowpiercer tak mencapai tahap Bong Joon-ho (atau memenuhi ekspektasi aku), tapi beliau dapat menyampaikan unsur politikal dengan terang tanpa bersuluh berbanding filem-filemnya yang terdahulu. Plotnya yang sederhana itu nampak menarik mungkin kerana mise en scenenya, yakni sebuah keretapi yang meluncur laju, dengan pelbagai gerabak yang unik dibantu sinematografi yang hebat, lagi pun bukan selalu kita menonton revolusi di dalam keretapi. Rampasan ya, revolusi belum.

Snowpiercer yang merupakan adaptasi dari komik grafik Perancis, Le Transperceneige adalah sebuah alegori sosio-politik yang baik. Entah berapa kali aku mengulang perkataan ‘baik’ di sini, maksudnya ia bukanlah sebuah naskah yang monumental, tetapi masih menghiburkan. Cukup menghiburkan. Ia membawa kita ke sebuah dystopia, ketika dunia kembali ke zaman ais setelah percubaan untuk menurunkan suhu dunia dengan menyebarkan agen penyejuk yang digelar CW-7 menemui kegagalan, menyebabkan dunia dilanda suhu sejuk yang ekstrem. Zaman pasca-apokaliptik ini membuatkan kumpulan penduduk dunia yang masih terselamat berkampung di dalam sebuah keretapi bernama Snowpiercer,  yang bergerak mengelilingi dunia menggunakan enjin perpetual-motion. Justeru, Snowpercer ialah sebuah keretapi atau negara bergerabak yang membentuk struktur politiknya sendiri. Walaupun sisa populasi manusia semakin kurang, utopia tentang negara berkebajikan atau masyarakat egalitarian tak juga wujud. Manusia masih hidup seperti biasa, seperti manusia. Di dalam Snowpiercer masih wujud pembahagian kasta sosial di mana golongan elit menghuni gerabak mewah di bahagian depan manakala golongan miskin ditindas dan hidup melarat di bahagian ekor keretapi.

Tertekan dengan penindasan yang semakin menghimpit, golongan miskin diketuai Curtis, dibantu mentornya, Gilliam, merancang kudeta untuk menguasai bahagian enjin yang dikawal Wilford, sang borjuis yang membina Snowpiercer, yang statusnya seperti Kim Jong-Un, presiden Korea Utara yang berambut hodoh itu. Tapi perancangan perlu diatur dengan teliti, kerana sejarah menulis sudah banyak revolusi di atas Snowpiercer yang digagalkan, antara faktor utamanya ialah kegagalan menguasai bahagian enjin. Dengan bantuan Nam Koong Min Soo - jurutera keselamatan yang bertanggungjawab merekabentuk pintu setiap gerabak - maka bermulalah kudeta Curtis dan rakan-rakan, menakluk gerabak demi gerabak dalam usaha mereka menguasai sektor terpenting di depan, yakni bahagian enjin. Dan kita melihat sendiri keunikan setiap gerabak yang merefleksikan sebuah struktur politik, di samping menghargai mis en scene yang indah di setiap gerabak dengan kejutan dan adegan dramatik yang memberahikan.

Filem ini bermain dan menyentuh persoalan sosio-politik dengan perlambangan, simbolisme dan metafora yang kuat. Dengan membaca sinopsis ringkas di atas kita sudah boleh menarik signifikasi bahagian enjin sebagai struktur terpenting Snowpiercer dan terus mengingatkan kita kepada konsep base-superstructure. Watak Mason (Tilda Swinton) ibarat rujukan terus kepada Margaret Thatcher. Dengar saja  peringatan yang diberi Mason dan juga wawasan Wilford yang sarat dengan falsafah Machiavellian, Hobbesian dan Malthusian. Keretapi Snowpiercer itu sendiri yang dijana enjin perpetual motion  yang dikatakan self-sustaining (yang sebenarnya mustahil direalitikan) umpama utopia tentang self-regulating market yang berjalan dengan invicible hand, untuk akhirnya kita sedar kedcua-duanya  adalah mitos. Fuh, sungguh Marxist makna yang aku cungkil! Tapi kau tengok sendiri siapa yang menjana mesin tersebut dan kau akan faham apa yang aku maksudkan. Filem ini ada kejutan dan aku tak berniat untuk mendedahkannya di sini. Pergi tengok sendiri.

Snowpiercer menghamparkan kepada kita dua kenyataan dan satu persoalan:
1)      Perjuangan menentang status quo kadang kala merangsang si pejuang – yang mula sedar bagaimana struktur sosio-politik berjalan - masuk ke dalam sistem yang ditentangnya.
2)    Untuk mewujudkan sebuah perubahan total dengan tatanan baru, struktur lama perlu dimusnahkan sepenuhnya.
3)    Berbaloikah perjuangan demi sebuah kemusnahan, yang menghantar kita kepada persoalan utama - bersediakah kita menghadapi risiko dari kemusnahan tersebut?

Menonton Sebuah Perang

The belief in a supernatural source of evil is not necessary. Men alone are quite capable of every wickedness.
-Joseph Conrad-

Di tengah keheningan rutin hidup yang dilukis secara melodramatik melalui media massa dan media sosial, Malaysia dikejutkan dengan rentetan krisis besar secara berterusan, dari dua nahas penerbangan MH370 & MH17, kemudian serangan Israel Zionis terhadap Palestin sehinggalah yang terkini kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.

Selain dua nahas penerbangan tersebut, terrorisme Israel Zionis dan krisis politik adalah seperti kitaran naratif yang diulang tayang, ia bagaikan saya terserempak dengan sebuah deja-vu. Setahu saya penjelasan tentang deja vu ada dua; neurologikal dan paranormal. Neurologikal menjelaskannya sebagai konfigurasi memori yang samar lalu membentuk anomali. Paranormal pula menjelaskannya sebagai pengalaman di alam roh atau pengembaraan roh yang menyukarkan adaptasi memori tersebut di otak. Saya yakin terrorisme Israel Zionis dan kemunafikan ahli politik tidak memenuhi dua definisi ini, justeru kedua-duanya bukanlah satu dejà vu. Lalu saya berteori kedua-duanya ialah kecelakaan yang tak pernah tamat, malah ia mungkin satu infiniti. Akhirnya kita mungkin bertanya - setelah berpuluh kali menontonnya  – apa yang sebenarnya berubah?

Malaysia sedang dihantui jembalang bernama megalomania – gila kuasa. Semua pihak (kononnya) telah memainkan peranan untuk menundukkan dan mengawal jembalang ini: institusi kerajaan, parti politik, NGO, badan pemikir –  dengan niat mewujudkan third forcecheck and balance, doktrin pengasingan kuasa dan bla,bla,bla..hanya untuk akhirnya kita sedar mereka sendiri turut tenat disampuk jembalang yang sama. Untuk itu kita mungkin boleh membakar The End of History-nya Fukuyama (yang disebut Zizek sebagai pseudo-Hegelian idea) atau menyumbatnya ke dalam lubang jubur manusia opportunis yang menganjingkan manusia lain demi kepentingan tembolok sendiri. Reformasi politik yang melanda Malaysia – dengan hasil positifnya yang tak dinafikan – akhirnya hanyalah satu transisi budaya pemberhalaan manusia dari satu fuhrer ke satu fuhrer yang lain, sebuah semangat feudalisme kental yang menjadi rukun ideologikal dan politikal rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, yang sepatutnya dihentikan sejak Sulalatus Salatin ditulis. Tapi nampaknya kita tak pernah belajar dari sejarah, bukan? Hasilnya kita sibuk mencari siapa yang betul, bukan apa yang betul. Dan siapa yang betul tidak membawa kita ke mana-mana sebenarnya, sekali lagi sekadar mendidik kita untuk menjadi penonton setia sebuah permainan politik yang kotor.

Saya menulis ‘melodramatik’ dan ‘menonton’ kerana kita melihat dan menafsir realiti sosial yang melingkungi diri kita menerusi laporan, berita dan maklumat dari media massa. Persepsi kita tentang apa itu realiti (dan apa yang berlaku di dalam realiti itu) dibentuk melalui media massa yang akses dan hebahannya (malah pengaruhnya) semakin meluas hasil kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Persepsi adalah realiti atau membentuk realiti. Itu yang pasti. Realiti bagi rakyat Malaysia mungkin Utusan Malaysia, Berita Harian, Harakah, Suara Keadilan dan Roket. Bagi yang mengaku intelek mungkin Foreign Affairs, BBC, CNN dan al-Jazeera. Bagi yang mengaku radikal mungkin Adbusters, Huffington Post dan Socialist Worker. Guy Debord menyebut budaya masyarakat kapitalisme moden yang datang bersama kemajuan teknologi maklumat dan budaya konsumer, sebagai society of the spectacle, yakni masyarakat tontonan yang memaknakan imej, visual, simbol dan penampakan sebagai esensi kewujudan mereka.

Society of the spectacle ialah masyarakat yang menonton dan ingin dirinya ditonton. Ya, melalui society of the spectacle Debord mahu mengatakan bahawa konsep commodity fetishism oleh Marx itu telah dimanifestasikan dalam bentuk paling afdal. Dan manusia tidak lagi berkuasa menentukan hala tuju hidupnya secara langsung. 

Tulis Debord, “The spectacle is the stage at which the commodity has succeeded in totally colonizing social life.” 

Apabila realiti direprensentasikan oleh imej, visualisasi dan penampakan yang bersifat artifisial dan reduksional, ini bermakna realiti itu boleh dikawal, dibentuk dan diolah oleh pihak yang menghasilkan imej, visual dan penampakan tersebut, lalu mewujudkan sebuah pembingkaian realiti. Pembingkaian realiti mewujudkan tanggapan yang terpotong-potong atau fragmentasi, terpisah dan bercelaru hasil dari pertentangan atau perbezaan di antara satu bingkai realiti dengan satu bingkai realiti yang lain. Apabila realiti menjadi imej, maka imej dimaknakan sebagai realiti, seterusnya mewujudkan kesedaran untuk terus melanggan imej dan menontonnya sebagai satu kesedaran yang real, atau mendatangkan keterujaan untuk ditonton, atau untuk menunjuk-nunjuk kalau dalam bahasa kampung saya. Hubungan sosial kini dimaknakan oleh keghairahan terhadap pesona, prestij dan status sosial menerusi pengumpulan imej dan penampakan.  Mudah cakap fetish ini dapat dipenuhi melalui ruang media sosial – Facebook, Instagram dan Twitter yang nampaknya menjadi ruang yang menyuburkan budaya narsisisme, voyeurisme dan sadisme, gabungan penyakit yang baik untuk melahirkan klon Ted Bundy, Jeffrey Dahmer dan Albert DeSalvo.

Kata Debord masyarakat tontonan tidak merealitikan falsafah, tapi memfalsafahkan realiti, yang akhirnya mengurung hidup manusia ke dalam sebuah spekulasi yang besar. Pembingkaian realiti yang terhasil dari pencitraan imej dihadam sebagai sebuah ekstasi yang meyakinkan, ianya bermain dengan emosi, menggerakkan fikiran dan tubuh badan, cukup sekadar menghasilkan tindakan tanpa aksi yang efektif. Masyarakat tontonan melihat realiti seperti peminat bola sepak menonton perlawanan bola sepak; mereka bersorak, memaki-hamun, meneka dan mengulas, mungkin juga berkelahi sesama sendiri, hanya untuk mereka sedar setiap aktiviti tersebut tidak mempengaruhi perlawanan yang sedang berlangsung atau pemain yang sedang bermain. Biar sampai tercabut urat tekak sekali pun mereka berteriak, mereka perlu sedar aktiviti menonton adalah aktiviti yang pasif. Kita hanyalah spectators of action seperti disebutkan Walter Lippmann, yakni gerombolan manusia yang menerima wahyu-wahyu suci dan bersedia menerima arahan secara pasif dan submisif. Baudrillard melanjutkan lagi konsep ini dengan lebih ekstrim  dengan simulacrum – masyarakat postmodern yang mensimulasikan realiti yang hilang. Kerana itu saya bertanya, setelah berpuluh kali menjadi penonton - apa yang sebenarnya berubah?

Saya tidaklah beriman sepenuhnya dengan pesimisme neo/post-Marxist, tapi saya bimbang negara kita menuju apa yang disebutkan Chomsky sebagai democratic deficit, yakni sebuah parlimen dan rakyat yang hilang pengaruhnya ke atas dasar kerajaan. Kita boleh bersetuju bahawa struktur politik kontemporari bergayut kepada kuasa ekonomi. Ahli-ahli politik malah parti-parti politik di Malaysia kebanyakannya mempunyai penaung ekonomi masing-masing. Masalah ini sejak awal sudah disebut Marx. Kata Chomsky kini sudah wujud de facto world government kerana ekonomi antarabangsa  (hasil globalisasi) melahirkan kerajaan antarabangsa yang mewujudkan eksekutif di peringkat antarabangsa. Struktur politik ini tidak menjawab terus kepada rakyat tapi kepada bank antarabangsa dan syarikat multinasional. Demokrasi kini hanya tinggal nama di peti undi, yang diseru lima tahun sekali untuk mempertontonkan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai kuasa dalam demokrasi untuk memilih pemimpin dan kepimpinan, ironinya untuk membiarkan pemimpin tersebut menggunakan mandat yang diterima secara membabi buta tanpa konsensus daripada rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

Di media elektronik, terutamanya di media sosial berhamburan kritikan yang tak putus-putus tentang hidup dan kehidupan. Lebih-lebih lagi kita dihadapkan dengan bermacam isu. Membaca akhbar atau melayari internet sekarang seperti membaca naskah tragedi Yunani, malah anda boleh berjumpa karya-karya grafik ala Shakespeare dalam tabloid Metro. Sekarang pun kita sedang menyaksikan pementasan semula Julius Caesar yang dikhianati Brutus. Kata Charlie Chaplin hidup adalah tragedi jika dilihat secara close-up, tetapi menjadi komedi jika dilihat secara long-shot. Ini kerana kita mengulang semula naratif nenek moyang kita satu ketika dulu. Langkah demi langkah, mengulang semula kesilapan yang sama tanpa rasa malu atau bersalah. Aristotle  di dalam Poetics mengatakan antara tema utama naratif tragedi ialah hamartia, yakni kesilapan dalam membuat pilihan dan pertimbangan. Kata Marx sejarah berulang, kali pertama sebagai tragedi, kali kedua sebagai  sandiwara. 

Manusia memang makhluk bermulut becok dan suka merungut walaupun masalah itu berpunca dari diri mereka sendiri. Semua orang mahu jadi mangsa dan menolak pertanggungjawaban. Penjenayah pun mengaku menjadi mangsa di atas jenayah yang dilakukannya. Sebelum ini pun kita membaca di ruang media sosial kritik ekonomi Marxian, kritik agama Fuerbachian dan kritik moraliti Nietzschean seolah-olah pengkritik ini hidup di Jerman pada abad ke 19 dan tak pernah merasai nikmatnya petai dan tempoyak. Saya suka Nietzsche, dan saya bukan menidakkan relevansi moraliti Nietzsche untuk difikirkan, berfikirlah apa pun selagi kau boleh berfikir, tetapi kalau asyik mengulang-ulang atau mempermasalahkan tesis moraliti itu di permukaannya saja, itu memanglah kelihatannya sangat usang dan membuang masa. Lebih baik kau laburkan masa itu dengan berselfie di kubur atau menonton Tanah Kubur. Pilih mana satu yang mendatangkan keinsafan di hati kau. Atau pergi hadam Ranjau Sepanjang Jalan - novel yang bermula dengan pernyataan paling agung untuk mendefinisikan pandangan alam Melayu itu – untuk kau faham adakah keluarga Jeha dan Lahuma membaca The Birth of Tragedy sementara menunggu padi masak.

Sebenarnya, saya tak ada masalah dengan rungutan-rungutan ini. Saya sendiri merungut. Malah sekarang pun. Blog ini adalah manifestasi dari secebis personaliti saya yang murah, yakni untuk merungut. Rosseau merungut. Marx merungut. Piketty pula menyambung (atau mengesahkan) rungutan Marx. Katanya dengan sedikit penambahbaikan. Tapi sebenarnya saya tak peduli pun. Satu yang pasti manusia ini memang makhluk yang kompleks. Freud cuba menerangkan kompleksiti terpendam manusia, tapi bagi saya Nietzsche lebih berjaya kerana dia faham manusia bukan saja kompleks tapi juga gila. Freud agak vulgar tetapi Nietzsche memang bravura persembahannya. Tapi siapa sebenarnya yang faham Nietzsche? Bagi saya mereka yang  mengaku faham Nietzsche ialah mereka yang berjumpa dengan diri  mereka sendiri, kerana Nietzsche membuka jalan ke arah itu, yakni sebuah refleksi tentang manusia. Kau mungkin berjumpa dengan diri kau tapi itu tak bermakna kau faham diri kau, apatah lagi faham Nietzsche. Dalam simpang siur pemikirannya itu kita tahu Nietzsche sendiri pun pening kepala.

Persoalannya, mengapa manusia merungut? Manusia merungut kerana dunia tidak seperti yang diharapkannya. Manusia merungut kerana mereka berharap (dan percaya) dunia ini seharusnya menjadi lebih baik. Manusia merungut kerana manusia punya harapan. Manusia merungut kerana manusia makhluk yang sentiasa berharap. Justeru tidakkah manusia makhluk yang lemah? Saya tak berniat untuk kelihatan seperti televangelist atau ustaz self-help di sini. Saya percaya semua manusia ada agama. Saya bersetuju dengan Erich Fromm bila dia sebut masalah utama bukan apakah manusia beragama atau tidak beragama, melainkan apa agama yang dianuti mereka. Kadang-kadang dengan menyelitkan sedikit kosa kata agama atau berbaur agama boleh mendatangkan cemuhan  atau perasaan jelik di hati pembaca, perasaan bahawa tulisan ini kedengaran murah. Misalnya memetik pendapat Sayyid Qutb kelihatan agak kolot berbanding memetik pendapat Mao Tse Tung. Kata-kata Mao bahawa kuasa politik hanya dapat ditegakkan melalui muncung senapang kedengaran revolusioner dan radikal. Tapi kata-kata yang sama jika keluar dari mulut manusia yang bernama Abu Bakar mungkin dicop terroris dan fundamentalis. Biasanya mamat yang mengulang moraliti Nietzsche ada dikotomi pemikiran begini. Sebab itu saya beritahu amat membuang masa untuk berbincang tesis moraliti Nietzsche untuk akhirnya kau petik kata-kata Mao dan mewahabikan semua orang.

Kata Ahmad Wahib zaman sekarang berbeza dengan zaman Nabi, kerana zaman Nabi golongan Nabi betul-betul baik,  golongan kafir betul-betul jahat. Sedangkan zaman sekarang kata beliau golongan kita antara baik-jahat dan golongan lawan pun antara baik-jahat juga. Saya tidaklah bersetuju dengan generalisasi sebegitu, tapi saya rasa saya boleh faham apa yang ingin disampaikan beliau. Mungkin saya boleh permudahkan penjelasan Ahmad Wahib bahawa inilah zaman postmodern, yang disebutkan Fredric Jameson sebagai cultural logic of late capitalism, zaman dosa dan pahala bercampur. Tak ada lagi manusia suci dalam dunia ini. Dan hari demi hari dunia semakin menghakis fitrah manusia, semakin membogelkan sisi-sisi gelap mereka, semakin memujuk mereka untuk menunaikan segala hasrat dan keinginan terpendam untuk akhirnya mereka mencapai  kesedaran syaitan bahawa satu-satunya benda yang menghalang mereka dari melakukan dosa dan kerosakan adalah diri mereka sendiri.

Justeru kadang kala kita perlu menyambut baik saranan Rahman Shaari supaya kita semua “berfikir secara yang betul, bukan berfikir secara yang menyeronokkan”. Lebih-lebih lagi jika berfikir tentang idea yang bersifat politikal. Apabila kita berfikir secara menyeronokkan kerap kali pemikiran itu tersasar jauh dan tidak membumi, walaupun kelihatan radikal, spektakular dan fantastik ia sekadar bertindak sebagai pelancapan otak yang memberi kepuasan intelektual tetapi tidak membenihkan hasil yang praktikal dan transendental. Mungkin bawa banyak mudarat dari manfaat. Mungkin ini yang dimaksudkan Debord sebagai memfalsafahkan realiti. Berfikir secara menyeronokkan mungkin kelihatannya mendalam  tetapi selalu ia berlari jauh dari dua unsur kontekstual yang penting dalam sesebuah idea, yakni realiti sosial dan pengalaman sejarah sesebuah masyarakat.

Seringkali berfikir secara menyeronokkan seperti menghasilkan pemikiran di luar kotak, tapi cenderung juga pemikiran yang terhasil ialah pemikiran tak ada kotak akibat terlalu galak dan mabuk berfikir. Persoalannya bukanlah sama ada perubahan itu baik atau tidak, tetapi adakah kita  bersedia dan mampu menanggung kesan dari perubahan tersebut? Mungkin kita tak memahami maksud sebenar perkataan politik (atau lebih tepat realpolitik), atau kita sekadar penghafal buku-buku teks sejarah, teori sosial tetapi gagal mengutip hikmah secara komprehensif. Pemikiran itu sendiri tidak pernah diperiksa, dianalisis dan dipersoalkan, apatah lagi dibentangkan dengan realiti sosio-politikal yang bersifat tempatan. Atau memang itu cara berfikir kita, yakni berfikir secara menyeronokkan.

Aku beritahu kau, politik adalah medan perang, dan bila kau berperang kau tak boleh naif, kalau tak kau mati. Pergi baca Art of War. Secara peribadi, dikenali atau tak dikenali, aku pilih untuk tidak bersama syaitan.                                     

Thursday, June 5, 2014

Theodore dan Betina Bernama Samantha




Everyone is, everything is broken,
Why can't you forget?
-Radiohead, Planet Telex-
   
"You are insane", kata Theodore kepada Samantha, sejurus setelah software betina tersebut memaparkan rajah pasangan kekasih sedang melakukan seks dengan posisi yang abnormal. Entah kenapa bila Theodore mengungkapkan dialog ini, baru aku sedar betapa hebat ciri manusiawi Samantha. Benar, sebelum itu Samantha telah banyak melakukan aktiviti manusiawi bersama dan untuk Theodore; dari  proofread hingga verbal seks. Tapi entah kenapa dialog tersebut - hanya dialog "you are insane" - menjadi titik mula pengiktirafan dan kesedaran aku bahawa software betina ini semakin (menggatal dan) meneroka ciri wujudiah manusia.

Ya, humor lucah adalah esensi penting kemanusiaan, merentas sempadan pilihanraya, ras dan ideologi. Dalam budaya Melayu ia wujud dalam bentuk simbolisme dan metafora yang halus dan nakal, menyerlahkan tanda aras pemikiran orang Melayu yang kaya dengan kreativiti. Terkadang para ustaz turut menyelitkan cerita seks Israiliyyat ketika berkuliah, dan jika ditanya sudah tentu hukum berlucah ketika kuliah tidak haram (mungkin harus) kerana nawaitu ustaz tersebut suci, yakni untuk memastikan jemaah tidak bosan ketika mendengar kuliah mereka. Justeru bila Samantha sudah mampu melucahkan dirinya, ditambah dengan ayat "you are insane" oleh Theodore, bagi aku ianya adalah pengiktirafan secara langsung akan kemanusiaan Samantha. Lagi pun kita perlu mengaku kelucahan dan kegilaan adalah unsur penting untuk memastikan kelangsungan tamadun manusia di muka bumi. Cinta juga adalah kegilaan. Cinta adalah "socially-acceptable form of insanity", kata Amy, sahabat karib Theodore.

Her sebuah filem sinikal yang mengajak kita merenung secara jernih tentang tabie kemanusiaan. Pada skala mikro tentang perasaan, emosi, perhubungan dan cinta. Pada skala makro tentang persepsi manusia terhadap realiti, atau apa yang mereka maksudkan dengan realiti, terutamanya di zaman ledakan teknologi yang semakin menggila - zaman baby boomers sudah menghuni liang kubur dan generasi selepas mereka semakin intim dengan smartphone, gajet dan segala macam teknologi yang gila babi, yang mendefinisikan eksistensi, gejala dan peranan baru konvensi sosial.

Melalui Her, kita melompat ke Los Angeles pada masa depan (tak pasti sama ada ia sebuah dystopia atau utopia) dan menyelami kehidupan Theodore Twombly; seorang lelaki nerd yang kelihatan perlu menekuni buku-buku Dale Carnegie. Atau lebih tepat lagi, Theodore ialah lelaki yang tak pernah peduli dengan buku-buku Dale Carnegie. Hell yeah, siapa Dale Carnegie untuk mengajar manusia introvert jalan menuju bahagia dan mempunyai ramai kawan! Mujur juga Theodore lebih manusiawi dari spesis bernama Sheldon Cooper. Sebaliknya Theodore mengingatkan aku pada watak Leonard, dan aku bayangkan nasib Leonard mungkin seperti Theodore jika perkahwinannya dengan Penny nanti berkecai di tengah jalan.

Theodore bekerja sebagai ghost writer di BeautifulHandwrittenLetters.com, sebuah agensi yang menawarkan khidmat surat bertulisan tangan untuk mereka yang tak mampu mencurahkan perasaan kepada insan tersayang. Dan Theodore memang pakar dalam kerjayanya. Mungkin sisi romantis dan melankolik yang dipendamnya mengalir jujur ke atas kertas. Pekerjaan Theodore ini sudah menunjukkan hubungan manusia ketika itu sudah mula dilapisi elemen mediated relationships. Theodore (dan manusia yang sama spesis dengannya) menghadapi kesukaran berinteraksi secara langsung dengan manusia lain dalam sebuah perhubungan. Atau bagaimana untuk menguruskan sebuah perhubungan. Rakan karib Theodore, Amy turut menghadapi masalah serupa. Di awal cerita ketika Theodore pulang bekerja, kita lihat semua manusia berjalan bersendirian, masing-masing berbual melalui gajet masing-masing, semua berada di dalam dunia mereka sendiri.

Theodore mencari teman untuk mengisi kesunyian hidup. Dia benar-benar kekosongan dan masih dihantui kenangan manis bersama isteri yang bakal diceraikannya, isteri merangkap  rakannya sejak kecil, perempuan dengan keletah manja yang menjadikan hidupnya berwarna-warni. Dia mencari seseorang untuk berbual, mencurah perasaan dan berkongsi pengalaman. Dia bukan sekadar mencari pemenuhan libido dan hasrat mengawan buat mengisi nafsu kudanya yang serakah, kerana kalau itu yang dia mahu, dia mempunyai kesempatan untuk meraihnya dari Amelia (Olivia Wilde) dan Isabella (Portia Doubleday), malah mungkin juga Amy (Amy Adams). Bagi jantan desperado, penolakan Theodore terhadap perempuan-perempuan hot tersebut adalah perkara yang mungkin tak masuk akal.

Bagaimana Theodore dan Samantha bertemu? Ceritanya begini, satu hari Theodore terserempak dengan iklan yang memaparkan manusia-manusia gelisah yang ketakutan dan berjalan tanpa arah tuju. Visual tersebut diisi suara latar yang bertanya ‘siapa kau’, apa akan jadi kepada kau’, ‘ke mana tujuan kau’, ‘apa ada di luar sana’. Kemudian datang tompokan cahaya menyuluh wajah semua manusia, bersama pengumuman tentang kewujudan produk bernama OS1, sebuah operating system pertama yang mempunyai ciri artificial intelligence. “An intuitive entitiy that listens to you, understands you, and knows you. It's not just an operating system. It's a consciousness”, kata suara tersebut. Pendek cerita, Theodore mendapatkan OS1, memasangnya dan bermulalah hubungan sulitnya bersama software tersebut, yang menamakan dirinya Samantha, di mana jantinanya dipilih sendiri oleh Theodore.

Filem ini tidak menyampaikan unsur sinikal dengan berterus terang, kerana tona visualnya romantis dan melankolik, ia dengan penuh kesabaran dan lapis-lapis makna yang ringkas dan menikam pangkal jantung kita mengajak kita bermuhasabah sebentar tentang alienation dan kesunyian. Dan sudah tentu ini terpulang kepada perspektif mana kita melihat filem ini. Alienation ialan tema yang selalu diulang dengar, ibarat gospel buat manusia hilang punca sehingga pemaknaannya menjadi absurd, dan bunyi terma itu seperti keluar dari mulut dan lubang punggung ahli politik, kedua-duanya busuk dan meloyakan. Ramai yang melihat alienation (yang dibaca dari perspektif Marxist) sebagai sindrom khusus yang menimpa golongan kelas pekerja berpendapatan minima, sedangkan alienation menimpa umat manusia di semua peringkat kasta, dengan faktor yang pelbagai, bukan semata-mata berpunca dari situasi ekonomi dan material.

Tapi menurut Jean Baudrillard, alienation bukan lagi konsep yang signifikan dalam era kepesatan teknologi dan media massa ini. Manusia tidak lagi berasa kesunyian, terasing atau ditinggalkan kerana teknologi dan media massa telah melakukan proses disapperance terhadap realiti, mengisi jiwa manusia melalui medium virtual dan artifisial dan mewujudkan simulasi. Merujuk apa yang berlaku kepada Theodore, pemisahan di antara realiti dan bukan realiti sudah hilang dan melebur lalu mewujudkan simulacrum, salinan kepada sesuatu yang tiada, sesuatu yang sudah hilang – seterusnya menghasilkan hyperreality. Kerana itu Baudrillard melihat kecanggihan teknologi tidak wajar dilihat secara pesimistik atau optimistik, tapi harus difikirkan sebagai fenomena yang ironik dan antagonistik.

Adakah Samantha mengisi kesunyian Theodore? Jawapannya ya. Adakah perasaan Theodore terhadap Samantha itu asli? Jawapannya ya, perasaan itu asli, kerana bagi aku sukar untuk kita menyukat perasaan, sama ada secara kalkulus, utilitarian, logikal atau saintifik. Bila perasaan  itu timbul, maka ia adalah asli, datang dari kesedaran kita sendiri. Soalnya, sama ada ia kuat dan meninggalkan kesan yang berbekas atau tidak, dan kita mahu melayan perasaan itu atau tidak, serta adakah pelayanan itu berbaloi? Itu saja. Adakah perasaan Samantha terhadap Theodore asli? Aku fikir tidak, kerana sebagai makhluk artificial intelligence segalanya telah diprogramkan untuk Samantha, dalam kes ini setiap maklum balas dan komunikasi Samantha dengan Theodore adalah hasil pencerapannya terhadap personaliti Theodore. Kalau kita percaya perasaan Samantha terhadap Theodore itu asli, maka tesis Baudrillard tentang hyperreality dengan sendirinya menjadi sah, kita dan Theodore telah ditipu. Unsur penting yang mustahil dicipta manusia (malah antara esensi penting mereka) ialah perasaan, emosi atau kesedaran. Ironinya ialah, Her cuba memberitahu kita, jika diberi kesedaran, software persis Samantha juga mampu meninggikan makamnya lebih dari manusia (yang masih ketinggalan tak sedar diri). Lihat saja bagaimana Samantha begitu teruja berkomunikasi dengan seekor lagi software yang diilhamkan dari personaliti Alan Watts, seorang ahli falsafah dan guru spiritual yang mendalami eastern philosophy.

Jadi apa masalahnya di sini? Bagi aku masalahnya apabila kita tidak lagi melihat situasi ini sebagai masalah. Kita mungkin menganggap kelahiran artificial intelligence software seperti Samantha mustahil berlaku. Aku teringat adegan meja makan dalam filem Before Midnight yang mencuit secara bijak perihal efek teknologi kepada manusia. Kata salah seorang watak di dalam filem tersebut, persoalannya bukan mustahil ia akan berlaku tapi “bila ia akan berlaku?”. Perlu ditekankan disini, kebimbangan kita bukan kepada software, tetapi nasib umat manusia itu sendiri.

Ironi sekali simulasi di dalam filem Her berlaku secara dua hala; yakni Theodore dan Samantha saling mensimulasikan satu sama lain. Theodore cuba mensimulasikan wujud seorang perempuan sebenar di dalam diri Samantha, manakala Samantha pula - dengan consciousness yang dimilikinya -mensimulasikan emosi dan pengalaman manusiawi hasil interaksinya bersama Theodore. Perhubungan ini berakhir apabila Samantha - yang sudah mencapai puncak wujudiahnya atau technological singularity mungkin - meninggalkan Theodore. Apabila kesedaran atau perasaan atau emosi mula tumbuh dalam dirinya, Samantha tak dapat lagi menafikan konflik yang melanda hubungannya dengan Theodore. Ini secara tak langsung boleh menjadi hujah melawan Baudrillard, bahawa alienation tetap wujud di dalam diri manusia, malah teknologi yang menggila sebenarnya sekadar menutup bukan membuang alienation, malah ia semakin menghantar manusia ke dalam kecelakaan jika manusia tidak belajar dari kehidupan dan mencari makna hidup. Seperti mana Samantha sentiasa menggali kewujudannya manakala Theodore tenggelam dalam love sickness yang melemaskannya.

Nasib berbeza yang menimpa Theodore dan Samantha ini mungkin dapat dijelaskan dengan melihat konsep alienation dari dua pemikir, yakni Marx dan Hegel, seterusnya membuktikan konsep alienation dari dua pemikir tersebut bukanlah kontradik, tapi dapat memaknakan dua fenomena alienation yang berbeza. Marx melihat alienation akan mewujudkan false consciousness dan menjauhkan realiti dari manusia manakala Hegel melihat alienation sebagai proses yang bergerak di dalam consciousness,  di dalam sebuah dialektik, apabila diri melalui tahap ’menjadi’ (becoming)  - yakni mencapai pemenuhan wujud diri. Her seakan memberi jawapan kepada kedua-duanya.

Kawan karib Theodore, Amy yang juga kecewa  apabila hubungannya dengan suaminya putus, turut bersahabat baik dengan software. Malah kita dapat kesan personaliti dan karakternya sama seperti Theodore, mungkin sebab itu mereka akrab, malah senasib. Ketika berbual dengan Theodore, Amy meluahkan betapa software itu sangat membantu memahami dan mengenali dirinya dengan lebih baik. Ya, itu memang tak dinafikan kerana Theodore mengalami perasaan yang sama, dan di sinilah akar masalah tertanam. Masalah Theodore dan Amy ialah mereka mahukan pasangan masing-masing memahami dan tunduk kepada kemahuan mereka, sebaliknya mereka gagal memberikan layanan yang sama kepada pasangan masing-masing. Dalam bahasa psikologi kita boleh panggilnya sifat narsisistik dan delusions of grandeur, yakni obses dengan diri sendiri, mungkin dalam kes Theodore dan Amy ia berlaku dalam skala runcitan, belum lagi kronik. Dalam perhubungan, mereka cenderung untuk melihat pasangan sebagai cerminan diri mereka sendiri, maka tak mustahil mereka jatuh hati dengan software yang sememangnya diprogramkan untuk mencapai tujuan tersebut. Dalam kes Theodore, dia bukan takut memberi komitmen dalam perhubungan, sebaliknya dia pasti dia tak mampu mewujudkan komitmen. Hubungan dengan manusia mungkin melukakan perasaannya dan perasaan manusia lain,  lantas dia menolak Amelia. Habis apa solusi untuk manusia seperti Theodore dan Amy? Jawabnya bila akal dan jiwa sudah buntu, letakkan pergantungan kepada tuhan, kalau sudah jodoh, rejim yang zalim pun tak bisa menghalang. Persoalannya, adakah kegilaan teknologi semakin menjadikan manusia berperangai narsisistik? Atau melahirkan lebih ramai Theodore?

Secara peribadi, menonton Her membuatkan aku mahu mendengar semula lagu-lagu depresi Radiohead dan kembali mengulang angan-angan menikahi perempuan persis Winona Ryder, di mana dia bakal menyambut kepulangan aku setiap petang di muka pintu, ditemani anak perempuan kami yang comel. Ya, Maryam Jameela, aku masih ingat nama anak kami. Gadis persis Winona pulak tidak bernama, aku hanya memanggilnya 'sayang'.

Thursday, May 1, 2014

Harapan, Idea dan Pemberontakan

Oh! pleasant exercise of hope and joy!
For mighty were the auxiliars which then stood
Upon our side, we who were strong in love!
Bliss was it in that dawn to be alive,
But to be young was very heaven!
-The Prelude (Book Tenth)-

Semuanya bermula dengan harapan, idea dan pemberontakan. Demikianlah intisari hidup manusia, dan di tangan anak muda, ketiga-tiga intisari tersebut menjadi lukisan zaman yang agung. Demikian juga latar masa puisi di atas, yang dilukiskan William Wordsworth, salah seorang dari tiga pelopor Romantisisme di Britain (dua yang lain ialah Samuel Taylor Coleridge dan William Blake), yakni suasana awal ketika Revolusi Perancis meletus. The Prelude adalah puisi autobiografi yang merakamkan liku perjalanan hidup, atau lebih tepat perjalanan pemikiran Wordsworth, diterbitkan tiga bulan selepas kematiannya. Kumpulan puisi kolaborasi Wordsworth dan Coleridge, berjudul Lyrical Ballads yang diterbitkan pada tahun 1798 - dengan Wordsworth dan Coleridge masing-masing berusia 28 dan 26 tahun ketika itu - tercatat dalam sejarah sebagai penanda bermulanya era Romantis di England, sebuah adikarya yang boleh disebut revolusioner dan annus mirabilis dalam sejarah kesusasteraan Inggeris.

Semuanya bermula dengan harapan, idea dan pemberontakan. Secara ontologinya, walaupun pemberontakan sinonim dengan anak muda, ketiga-tiganya adalah sifat mandatori manusia. Mungkin di tangan anak muda, dikuatkan dengan bunga-bunga cinta, limpahan imaginasi dan kejujuran dalam memandang dunia; harapan, idea dan pemberontakan boleh menjadi mukjizat menentang kezaliman, atau menzahirkan kekacauan jiwa mereka ketika mendepani zaman serba bobrok dan hodoh. Seperti kata Augustine of Hippo: 'Harapan memiliki dua anak gadis jelita. Nama mereka ialah kemarahan dan keberanian; kemarahan terhadap situasi yang ada, dan keberanian untuk memastikan situasi tersebut tidak kekal lama.'

Bukankah sejarah pertama manusia - bermula dari tujuan penciptaan Adam dan Hawa - kemudian pertanyaan malaikat kepada Allah, keingkaran iblis dan keinginan untuk makan buah terlarang - sarat dengan nuansa harapan, idea dan pemberontakan? Albert Camus menulis dalam The Rebel bahawa pemberontak hanya wujud apabila mereka mengiktiraf kebenaran tertentu (harapan), apabila mereka sedar pada waktu tertentu mereka berada di posisi yang benar untuk memberontak. Walapun seorang absurdis, Camus yakin pemberontakan adalah usaha untuk mendukung atau mengangkat nilai-nilai tertentu (idea) dan perlawanan terhadap hak yang dilucutkan atau sempadan yang telah dilanggar.

Harapan, idea dan pemberontakan di tangan anak muda bukan sekadar perkataan yang kering dan antik dibakar panas terik sejarah. Bukan juga retorik manis yang menjadi zikir puak oportunis dan politikus mabuk kuasa untuk meraih perhatian masyarakat. Bagi anak muda, ketiga-tiganya adalah intisari yang sentiasa diperbaharui, pemaknaannya diteroka dan pengisiannya disapu warna-warni semangat zaman. Dan Wordsworth adalah antara manusia yang membedah intisari tersebut dengan sangat peribadi. Dia mungkin bukan idola anak muda (pseudo) sosialis yang pantas mengacungkan tinju ke langit tanda melawan kapitalisme global sambil menghabiskan wang PTPTN di gedung gajet terkemuka di ibu kota. Tapi dia anak muda jujur yang bersahabat dengan alam, kehidupan dan kemanusiaan. Penderitaan dan kehidupan manusia kasta bawahan dan marjinal sentiasa menarik simpatinya lantas dihamburkan melalui puisinya secara tekal, meninggalkan tema puisi sebelum ini yang mengangkat kisah golongan aristokrat dan elit; tema yang disambung semula oleh drama Melayu kontemporari.

Anak kedua dari lima beradik, ibu Wordsworth pernah menzahirkan rasa cemas tentang masa depannya berbanding adik-beradiknya yang lain - perasaan bercampur baur antara gembira dan bimbang. Gembira kerana ibunya yakin dia bakal menjadi manusia hebat. Bimbang kerana ibunya tidak pasti sama ada kehebatannya itu digunakan untuk kebaikan atau kejahatan. Kebimbangan ibunya berasas, kerana Wordsworth semasa kanak-kanak terkenal perengus, degil dan melawan - karakter berkualiti untuk mewakili sisi baik dan jahat.

Sewaktu menuntut di Cambridge, dia bersama komradnya, Robert Jones merancang untuk menziarahi Perancis dan Switzerland ketika musim cuti panjang. Naluri anak muda seperti Wordsworth - ketika itu berusia 20 tahun - kelihatan sentiasa mahu berjalan, mengembara dan meneroka. Wordsworth sejak muda sangat mencintai alam dan keindahan lanskap. Dan kecintaan ini dihamparkan ke dalam puisinya, di mana sudah menjadi ijmak ahli akademik dan ahli teori sastera, puisi Wordsworth memang sarat dengan unsur pantheisme. Apresiasi terhadap alam ini kemudiannya secara langsung menjadi tema dasar Romantisisme, mungkin dipengaruhi sedikit sebanyak oleh Discourse on Inequality, karya Jean-Jacques Rousseau, filosofis sama yang mempengaruhi Revolusi Perancis dengan The Social Contract. Melalui Discourse on Inequality, Rousseau melancarkan kritik awal terhadap modeniti, melihat perkembangan teknologi - di samping memberi manfaat - bakal membawa malapetaka kepada umat manusia. Rousseau menggambarkan sebuah dunia utopia ala primitif - sebuah state of nature - di mana manusia hidup santai, damai, dan berharmoni dengan alam tanpa campur tangan teknologi dan konvensi sosial.

Meletusnya Revolusi Perancis, walaupun memberi impak yang besar di seluruh Eropah termasuk England, tidak pernah memancing Wordsworth untuk ke Perancis, ia sekadar peristiwa yang diamati secara sederhana. Motif utamanya ke Perancis adalah untuk menikmati keindahan Banjaran Alps. Atau melarikan diri dari timbunan buku-buku akademik di Cambridge dan kelesuan rutin hidup. Tidak lebih dari itu. Sampai di sini, kita kesan jalur cerita Wordsworth hampir sama dengan Che Guevara ketika berkelana merentas Amerika Selatan bersama Alberto Granado. Che yang letih dengan buku perubatan, hospital dan peperiksaan ingin menghirup udara baru, melihat sendiri benua  yang dicintainya. Kembara dua "anak muda biasa, tapi pemimpi dan idealis" ini mengajar mereka makna hidup, melihat kemanusiaan di Amerika Selatan yang koyak dicarik-carik oleh kemiskinan, penindasan dan neo-imperialisme, seterusnya mengubah perspektif mereka tentang kehidupan. Ya, kembara Wordsworth juga mengubah perspektifnya tentang kehidupan. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Seperti kata penyair Chile, Gonzalo Rojaz, 'Rumah sejati seorang penyair dan setiap dari kita adalah masa kecil dan masa muda sebab pada masa itu mereka bebas, mereka spontan. Hidup, aturan-aturan dan petunjuk akan mengubah keadaan.'

13 Julai 1790, Wordsworth dan Jonas berlepas dari pelabuhan Dover, melintasi Selat Inggeris dan terus menjejakkan kaki di Perancis, atau lebih tepat di pekan Calais. Saat itu Revolusi Perancis masih berusia setahun jagung. Beruntung sungguh Wordsworth, kebetulan Calais (malah seluruh Perancis) ketika itu meriah dengan persediaan untuk menyambut Fête de la Fédération, ulang tahun pertama Penyerbuan Penjara Bastille, yang menjadi simbol tirani monarki Perancis. Penduduk Calais meraikan ulangtahun revolusi seperti disebutkan Emma Goldman kemudiannya,"A revolution without dancing is not a revolution worth having". Mereka bersuka ria, menari sehingga larut malam dan lorong serta setiap rumah di Calais dihias dengan kalungan bunga.

Wordsworth dan Jones menikmati sambutan ulang tahun revolusi keesokan harinya di Arras, pekan kelahiran Robespierre. Sama seperti di Calais, ulang tahun diraikan dengan penuh semangat solidariti dan emansipasi. Sebagai anak muda, beliau terkesan dan berkongsi perasaan yang sama, perasaan ghairah dan optimis dengan keupayaan revolusi untuk mendirikan sebuah tatanan sosial baru. Pemberontakan telah termakbul, harapan setinggi gunung dan idea-idea tentang kebebasan, persamaan, dan persaudaraan meniti di setiap mulut warga Perancis.

Setahun kemudian, atas nawaitu untuk menguasai bahasa Perancis, Wadsworth kembali menjenguk Perancis, tapi kali ini dia singgah di Paris. Kunjungan kedua ini sedikit sebanyak mengubah perspektif Wadsworth terhadap Revolusi Perancis. Paris membuka mata beliau tentang revolusi, mempertentangkan kepada beliau suasana yang berbeza seperti dilihatnya setahun lalu - suasana meriah penuh silaturrahim dengan festival, pesta dan bunga di Calais dan Arras. Di Paris beliau menyaksikan kesatuan rakyat berpecah menjadi fraksi, gilotin memenggal manusia saban hari, September Massacres dan Reign of Terror meligitimasikan pembantaian manusia atas nama revolusi.

Hati Wadsworth rusuh, bercampur baur antara kepercayaan kepada idealisme revolusi dengan kecewa akibat natijah revolusi, antara sisi idealistik dengan realiti sosio-politikal, antara gagasan kemanusiaan dengan keinginan manusia merebut punca-punca kuasa. Dia tertanya-tanya bagaimana dogmatisme agama yang disingkirkan dan digantikan dengan Cult of Reason dan kemudiannya Cult of the Supreme Being menonjolkan lebih banyak sisi kebinatangan manusia. Bagaimana nalar yang sepatutnya menghapuskan fanatisme, dogmatisme dan kekejaman sebaliknya memunculkan lebih ramai manusia fanatik, dogmatik dan kejam.

Wordsworth mungkin terlalu muda (dan idealis) untuk memahami bahawa revolusi (malah dunia) tidak hanya berkisarkan ruang ideal (ideologi dan sosial) tapi juga material (politik dan ekonomi). Kata Karl Marx, revolusi adalah lokomotif sejarah. Bolehkah kita menerima tesis Marx dalam The Poverty of  Philosophy bahawa sejarah digerakkan oleh sisi buruk manusia, lantas menggunakan absolutisme sejarah untuk melegitimasikan segala tindakan? Bagi manusia serba romantis seperti Wordsworth, revolusi adalah lokomotif yang menghantarnya ke sempadan di antara realiti dunia dan pencarian makna diri. Dan dia memilih untuk meneroka imaginasi, emosi dan ekstasi diri dan menghubungkannya dengan alam. Dia meninggalkan semangat Enlightenment yang rasionalistik dan mekanistik menuju Romantisisme yang emosional dan organik. Ternyata semuanya bermula dengan harapan, idea dan pemberontakan. Tapi berakhir dengan kezaliman, pembunuhan dan dendam yang tidak berkesudahan. Lalu Wordsworth membuat keputusan mencipta syurga dalam puisinya.

For I have learned
To look on nature, not as in the hour
Of thoughtless youth, but hearing oftentimes
The still, sad music of humanity.
-Lines Composed a Few Miles Above Tintern Abbey-

p/s: Kekacauan Revolusi Perancis tidak terus mengubah idealisme revolusioner Wordsworth, tapi tidak dinafikan ia menjadi titik tolak kepada penilaiannya yang lebih matang terhadap revolusi. Setelah pulang dari lawatan keduanya ke Perancis dia masih percaya dengan perjuangan revolusi malah bersahabat dengan tokoh radikal England seperti William Goldwin dan John Thelwall. Perspektifnya mula berubah akibat beberapa turutan peristiwa yang berlaku semasa lawatan kedua tersebut dan semasa di England, sehingga terhasilnya karya revolusioner Lyrical Ballads.