Wednesday, October 23, 2013

Romantika Yunani dan Realisme Manusiawi

If there's any kind of magic in this world, it must be in the attempt of understanding someone, sharing something. I know, it's almost impossible to succeed, but…who cares, really? The answer must be in the attempt. 
 - Celine, Before Sunrise -

Di dalam filem Before Midnight, 8 manusia bersembang perihal cinta dan kehidupan di meja makan. Tapi ini bukan sembang kosong, hambar dan kering - bukan sembang tentang pembelian saham Teratai Holdings, niat untuk membeli belah ke Paris atau lain-lain sembang korporat bernada klise yang sering kita tonton di dalam drama TV dan filem tempatan. Menonton adegan meja makan di dalam drama TV dan filem tempatan membuatkan aku mencarut separa sedar. Kalau kita perhatikan, adegan di meja makan adalah antara adegan yang selalu diselit di dalam drama atau filem, aku kurang pasti kenapa tapi rasanya ia sebuah mise en scene semulajadi - sudah sedia comel dan menarik - hanya menunggu kreativiti sang direktur untuk mengisinya dengan dekorasi dialog yang segar. Mungkin juga ia cara paling mudah untuk mengumpulkan seramai watak yang boleh (terutamanya ahli keluarga) di dalam satu adegan lantas menghamparkan persoalan, mempertentangkan watak dan perwatakan kerana ironinya adegan meja makan ini bukan sekadar memuatkan nafas cerita yang romantik, penuh semangat kekeluargaan dan meluahkan detik bahagia, selalu juga ia diisi dengan rasa melankolik, kekeliruan dan mendedahkan konflik yang selama ini dipendam. Satu metafora bahawa interaksi antara watak-watak adalah untuk menimbulkan persoalan, berkonflik dan menghadirkan solusi. Di meja makan tersebut, Anna mengungkapkan pesan neneknya, "Her big advice was to not to be too consumed with romantic love. Friendships and work, she said, brought her the most happiness." Yang kemudian disambut oleh Ariadni, "I couldn't agree more. I mean, that's the thing that fucks us up.This idea of a soul mate, of someone who will come to complete us and save us from having to take care of ourselves."

Before Midnight adalah sekuel yang melengkapkan trilogi Before - dua filem lain ialah Before Sunrise (1995) dan Before Sunset (2004); sebuah trilogi yang memakan masa 18 tahun dengan rentang masa 9 tahun setiap filem. Tempoh 18 tahun adalah refleksi masa yang jujur terhadap perkembangan rohani, emosi dan jasmani dua watak utamanya - Jesse dan Celine - dalam usaha mereka meneroka dan memahami hubungan sepasang kekasih, manusia dan kemanusiaan. Kita menelusuri perjalanan hidup pasangan kekasih ini saat  mereka masih muda remaja mengharungi one night stand di Vienna  lalu berpisah membawa haluan masing-masing (Before Sunrise), bertemu semula 9 tahun kemudian di Paris (Before Sunset) sehinggalah mereka memiliki kembar comel dan menghabiskan cuti musim panas mereka di Greece (Before Midnight). Selain dari garis kedut dan kerut yang jelas kelihatan di wajah Jesse dan Celine seiring pertambahan usia mereka, kita turut menyaksikan perubahan idealisme dan persoalan yang bermain di fikiran mereka di setiap sekuel.

Trilogi ini telah menyembelih riwayat dongeng cinta jiwang yang selalu dipersembahkan kepada kita saban waktu - dari novel hingga ke drama TV - di mana cinta dimaknakan sebagai pasangan manusia yang hidup berkasih sayang bagai di sorga dan kehidupan dimaknakan sebagai usaha manusia untuk mengejar cinta yang penuh utopia tersebut. Romantisme sebegini cepat lusuh dan luput. Malah lebih malang lagi jika kita membaca novel pop dan menonton drama TV tempatan, kita diajar secara tak langsung bahawa untuk mencapai cinta yang ideal kita perlu menjadi seorang materialis; dengan suami anak hartawan, memiliki kereta mewah, rumah tahap mansion yang wajib ada swimming pool dan berbulan madu di Eropah - antara perkara yang bagi aku hanya menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah di Malaysia. Kesian orang Melayu. Mahu menghirup udara cinta pun perlu menggunakan tabung oksigen kapitalis. Konflik yang wujud pun sekadar kebencian ibu mertua terhadap menantu, kehadiran orang ketiga dan yang terbaru sekarang musim kahwin paksa. Jadi yang disentuh cuma sisi-sisi cinta yang amat superfisial. Jangan beritahu aku cerita itu sekadar hiburan atau TV dan filem tak memberi impak yang besar kepada hidup kita. Robert Kolker bertanya dari mana kita tahu cara untuk bercium? Sudah tentu jawapannya bukan melalui buku Permata Yang Hilang. 

Trilogi ini memberitahu kita bahawa cinta dan kehidupan bukan semata-mata mencari romantisme dan kebahagian material atau melarikan diri dari konflik. Konflik pasti datang. Bahkan konfliklah yang memaknakan cinta dan kehidupan, lantas kita disaran untuk berjihad menguruskan konflik. Kerana itu usaha mencari soulmate yang tak berkesudahan sekadar melahirkan love sickness yang merealisasikan tragedi Yunani yang hiba. Tak ada salahnya berangan-angan sampai ke Neverland tentang cinta yang idealis, yang menjadi masalah bila kita menganggap ia utopia yang wajib dicapai lalu bila realiti datang menyapa angan-angan, kita akan jatuh tersembam ke bumi kerana kita tak pernah sedar yang realiti itu menggigit, dan jika kita lemah ia mampu melapah kita sampai mati. Perbezaan sifat alamiah, personaliti dan cara berfikir antara lelaki dan perempuan itu memang akan menimbulkan konflik dan itulah nikmatnya berpasangan yang melengkapkan dialektik kehidupan - ada turun naik, ada dinamisme dan ada advencer.

Jesse dan Celine di dalam trilogi ini juga masing-masing memiliki karakter yang berbeza dan kita menyaksikan turun naik hubungan mereka. Sebab itu kalau falsafah cinta yang kita pegang ialah untuk mencari pasangan yang mempunyai minat dan personaliti yang sama macam diri kita sendiri; ada kebarangkalian misi tersebut akan gagal - sama ada gagal menemui pasangan sebegitu atau pun kita (kononnya) berjaya menemuinya tapi dia tak memenuhi ekspektasi  yang kita harapkan - kerana mustahil wujudnya manusia yang identikal dengan kita. Eksistensi setiap manusia adalah unik dan tiada pendua. Kata Celine "everyone is made up of such beautiful specific details." Tapi jangan salah faham, aku juga tak menganut ideologi cinta 'you complete me'. Frasa tersebut yang menjadi manifesto falsafah cinta kontemporari (dipopularkan aktor Tom Cruise lewat filem Jerry Maguire) mungkin meminjam secubit epistimologi cinta Plato di dalam The Symposium, seperti yang diungkapkan oleh Aristophanes; bahawa mencari cinta itu adalah mencari alter ego masing-masing yang telah dipisahkan Zeus. Aristophanes ialah komedian tersohor di Athens, walaupun dia sendiri (baca: Plato) menyebut (di dalam Symposium) kisah itu adalah mitos yang tak perlu diambil serius, ada kemungkinan tesisnya tentang 'the other half' adalah serius; tentang keinginan manusia untuk mencari dirinya 'yang satu lagi' seterusnya mencapai tahap sempurna.

Dan ini bukanlah pandangan Plato tentang cinta, malah dialog lain dalam Symposium seperti yang disebut oleh Diotima (yang diriwayatkan oleh Socrates) menyanggah tesis mencari yang satu lagi ini. Menurut Diatoma (baca: Plato) cinta bukanlah keinginan untuk mencari 'yang satu lagi' tapi keinginan untuk memiliki kebaikan yang abadi. Apabila kita mencintai sesuatu, kita ingin memiliki kebaikan yang ada di dalamnya buat selama-lamanya. Justeru, kerana ketaksempurnaan manusia, memiliki kebaikan yang abadi adalah mustahil, jadi keinginan ini hanya dapat dipenuhi melalui proses reproduksi - sebuah proses melahirkan kecantikan - secara fizikal dan mental. Jadi reproduksi kecantikan menjadi subjek cinta, bukan kecantikan itu sendiri.

Secara fizikal, proses reproduksi melahirkan manusia-manusia baru yang meneruskan kelangsungan dan keabadian manusia. Secara mental, proses reproduksi (perkongsian) melahirkan idea dan kebijaksanaan baru yang menurut Diatoma bersifat lebih abadi dari manusia itu sendiri. Oleh kerana realiti tertinggi bagi Plato ialah idea, maka sang pencinta sebenar ialah mereka yang mampu membuka misteri kepada kebaikan mutlak yang boleh menerangkan maksud cinta yang hakiki. Jadi pencinta sebenar ialah para filosofis yang tidak lagi terikat dengan kecantikan duniawi - tapi menghamparkan sebuah kebijaksanaan yang transenden menuju kecintaan metafizik. Ya, memang sufistik falsafah cinta Plato. Ini asal cinta platonik; sebuah frasa yang kini terpesong jauh dari maksud asalnya.

Bagi aku paradigma 'you complete me' ini adalah pandangan yang juling tentang hubungan cinta manusiawi kerana motivasi manusia untuk mencapai kesempurnaan akhirnya menghantar manusia kepada rasa untuk mencuba-cuba, menjadikan pasangan masing-masing seperti lampin pakai buang dan menjadikan matlamat hubungan cinta adalah untuk memenuhi ekspektasi individu bukan perkongsian makna hidup yang kolektif. Justeru Allah mengikat cinta manusia dengan perkahwinan; sebuah perjanjian yang Allah sebut sebagai mitsaqan ghaliza - sebagai amaran bahawa ia ikatan yang menuntut perjuangan dan komitmen dari setiap pihak, bukannya makmal untuk menguji hipotesis cinta sejati. Cinta sesama manusia adalah perkongsian makna yang kolektif, cinta kepada Allah adalah pengalaman peribadi.

Berbalik kepada trilogi Before, ia hanya berkisarkan Jesse dan Celine. Tak ada watak lain yang signifikan. Cuma di dalam Before Midnight mereka berinteraksi dengan watak-watak lain dalam durasi yang panjang. Di sepanjang trilogi anda hanya menikmati sembang mereka yang realistik dan segar tentang cinta, institusi keluarga, masa depan, politik, feminisme, metafizik dan macam-macam lagi. Mereka berjalan, duduk, berdiri dan berbaring; semuanya dipandu dengan dialog. Filem ini banyak menggunakan long takes. Mereka saling bertanya, menjawab, membenarkan, mempersoalkan dan  mengkritik. Kita akan berjumpa banyak quotes menarik dari Jesse dan Celine. Mereka seolah-olah mewakili umat manusia meneroka misteri cinta dan kehidupan dengan persoalan yang nampak mudah tapi memerlukan perenungan yang kompleks. Cinta dan kehidupan bagi mereka adalah subjek yang tak pernah mencapai kata putus dan perlu sentiasa digali oleh manusia. Bagi aku, filem ini lebih banyak menimbulkan persoalan dari memberi jawapan. Tontonan kali kedua akan membawa perspektif baru berbanding menontonnya kali pertama dan begitulah seterusnya.

Dan sudah tentu melalui Jesse dan Celine kita tahu bahawa cinta romantik bukan matlamat yang perlu dikejar manusia. Tandanya sudah diberi ketika pertemuan terawal mereka di dalam keretapi (Before Sunrise) yang penuh simbolik apabila Celine menukar tempat duduknya berdekatan dengan Jesse kerana diganggu pertengkaran sepasang suami isteri (atau kekasih), seterusnya dialog awal mereka tentang konflik pasangan yang dipanjat usia. Kemudian pelawaan Jesse kepada Celine supaya menemaninya bersiar-siar di Vienna. Menurut Jesse ini merupakan peluang yang perlu diraih Celine untuk mengenali dirinya, supaya nanti jika rumahtangga Celine berantakan tak timbul sesal di hatinya kerana tak mengambil peluang sebegini (untuk mengenali lelaki-lelaki lain yang pernah muncul dalam hidupnya). Dialog Jesse ini satu ironi kerana akhirnya setelah bersama dalam Before Midnight mereka tetap berkrisis. Penunjuk bahawa krisis antara pasangan itu tak dapat dielakkan kecuali kita berpasangan dengan malaikat. Lokasi filem ini di bumi mitos dan tragedi, Greece juga seolah-olah satu petanda bahawa kisah cinta mereka akan ditimpa konflik. Lantas hidup ini mahu dianggap sebagai utopia, tragedi atau perjuangan menghapuskan tragedi dan mencapai utopia? Kata Jesse, "This is real life. It's not perfect, but it's real."

You know what drives me crazy? It's all these people talking about how great technology is, and how it saves all this time. But, what good is saved time, if nobody uses it? If it just turns into more busy work. You never hear somebody say - 'With the time I've saved by using my word processor, I'm gonna go to a Zen monastery and hang out'. I mean, you never hear that.
- Jesse, Before Sunrise -

No comments:

Post a Comment