Wednesday, March 6, 2013

Seni Yang Mencerahkan

Autonomi seni adalah teori yang melihat seni sebagai bidang yang mandiri dan bebas. Seni dianggap sebagai ekspresi estetik yang terpisah dari disiplin ilmu yang lain dan kewujudannya tidak boleh dinilai oleh sebarang bentuk disiplin luar sama ada bersifat moral, sosial atau politik. Seni adalah untuk seni.

Aku berpendapat teori ini perlu disanggah. Namun jika difikirkan dengan cermat, bagi aku autonomi seni ini bukanlah bermaksud bahawa seni itu terpisah secara total dari realiti kehidupan (moral, sosial dan politik) tanpa ada penghubung atau jalinan dan saling kaitan, kerana mustahil  sesebuah karya seni (malah karyawan itu sendiri) wujud dengan keterasingannya dari kehidupan dan seterusnya akan memunculkan persoalan yang lain pula, dari mana sumber/ ilham atau ekspresi seni itu datang jika tidak dari kehidupan? Jika pencipta seni dan sumber seni itu sendiri adalah dari kehidupan, walau pun yang dilihat hanyalah nilai estetiknya, maka tidakkah interpretasi dan penilaian terhadap seni itu sendiri harus berdasarkan kepada realiti yang berasaskan nilai sosio-budaya khalayak terbabit, kerana kesedaran estetik mustahil datang secara tiba-tiba.  

Oleh itu, apresiasi terhadap seni hanya berlaku apabila seni dibawa ke luar dari dunianya (atau dunia  pengkaryanya) dan dihantar masuk ke minda dan jiwa khalayak yang seterusnya akan mengasosiasikan ekspresi seni tersebut berdasarkan konsep worldviewnya. Menurut Francis Hutcheson,  kecantikan yang difahami manusia bukanlah bergantung kepada kualiti sesebuah objek tetapi ianya ialah idea yang ditanam di dalam diri kita.Tidaklah menghairankan jika berlaku lambakan filem, drama, muzik dan novel yang ringan dan amat hedonisme sifatnya (terutama di Malaysia) kerana  worldview atau fikrah khalayak itu sendiri yang amat miskin dan kontang citarasa estetiknya. Ini semua merujuk kepada konsep supply and demand. Jika kita menghargai dan meminta kebodohan, maka kebodohanlah yang dilonggokkan kepada kita.

Persoalannya, bagaimana kita boleh menggilap citararasa seni kita? Bukankah citarasa itu subjektif sifatnya? David Hume dan Immanuel Kant bersependapat bahawa citarasa bukanlah sesuatu yang terpisah tetapi merupakan tindak balas kompleks yang melibatkan persepsi, imaginasi dan penilaian. Aku rasa ketiga-tiga faktor ini bukanlah wujud secara semulajadi tetapi diprogramkan di dalam minda dan jiwa kita melalui kepercayaan, pengetahuan, pengalaman dan latar sosio-budaya yang akhirnya membentuk kerangka pemikiran seseorang individu.  Mungkin boleh aku katakan bahawa persepsi, imaginasi dan penilaian inilah yang dikatakan worldview (pandangan hidup) atau mungkin sebahagian daripada worldview. Mengikut mazhab pemikiran aku (aku namakannya tradisionalisme liberal-sosialis), citarasa seni ini sememangnya dibentuk melalui proses-proses tertentu (bermakna ia bukan muncul secara tiba-tiba). Ianya memang subjektif (tidak seragam) tetapi kesubjektifannya itu dalam bentuk pola yang sekata. Maksudnya ia boleh dipupuk dan disemai untuk membenihkan sebuah citarasa yang spesifik. Hume mengatakan sememangnya sukar untuk membuat penilaian yang objektif terhadap seni jika kita menggunakan sentimen semata-mata. Tetapi menurut Hume, penilaian yang rasional boleh dibuat apabila common sense diguna pakai. 

Aku suka terjemahkan common sense ini sebagai akal budi. Ianya memang tidak tepat kerana konsep akal budi ini tidak diperincikan di dalam falsafah epistemologi Barat. Walaupun penilaian menggunakan akal budi itu sendiri tidak menghasilkan penilaian berbentuk benar dan salah setidak-tidaknya jika diberi pilihan kita boleh memilih yang terbaik. Kita mungkin tidak dapat membantu atau meyakinkan seseorang dengan pilihan kita tetapi kita boleh mengabaikan orang yang memilih Lagenda Budak Setan berbanding Tulang-tulang Berserakan, sebagai contoh. Menurut Aminudin Mansor, akal budi bertujuan untuk “mengembangkan kekuatan atau kemampuan akal dan melatihnya agar dapat dipergunakan pada jalan yang baik dan abadi melalui proses analisis, mencari sebab musabab, hikmah dan sebagainya." Malah konsep akal budi ini juga telah digunakan oleh nenek moyang kita untuk menghasilkan pelbagai seni sastera yang tinggi kualitinya. Kata Za'ba, "Pembangunan ‘akal budi’ dalam masyarakat Melayu sejak dahulu terpancar melalui pertuturan, kebudayaan, ukiran, dan tingkah laku serta hati budi seseorang. Melalui hasil kesenian khususnya kesusasteraan ‘akal budi’ terpancar dalam nyanyian, pantun, gurindam, seloka, syair, peribahasa dan sajak. Melalui hasil kesenian dan kesusasteraan terpancar ketinggian tamadun bangsa dan budaya bangsa yang dapat ditegakkan menunjangi kehidupan masyarakat sejak dahulu hingga sekarang.”

Berbalik kepada autonomi seni tadi, ia sebenarnya  adalah usaha untuk menjarakkan (bukan memisahkan) seni dari penilaian bersifat moral, sosial dan politik yang rigid dan keras. Contoh, apabila menonton video Gangnam Style (atau menonton video-video parodinya yang ternyata lebih menjengkelkan), penilaian yang bersifat moral perlu diketepikan. Kita dilarang untuk mengatakan bahawa video tersebut bersifat lucah, tidak membina minda, mempromosikan budaya hedonisme, menganjurkan cara hidup bebal dan sebagainya. Kita hanya perlu duduk dan menikmati video tersebut seadanya. Biarkan muziknya yang catchy dan videonya yang menjentik nafsu visual kita menghantar rasa estetiknya secara terus ke dalam jiwa kita. Biarlah muzik video itu yang berbicara sendiri tanpa gangguan daripada hukum-hukum moral. Atau jika anda menonton filem Bukit Kepong, tidak perlu sebarang tafsiran berdasarkan fakta sejarah dan ilmiah, pedulikan siapakah pemuda Melayu yang mengetuai serangan tersebut, persetankan kajian dan penyelidikan tentang cerita di sebalik cerita, biarkan Bukit Kepong berdiri sebagai sebuah seni, sebuah filem perang. Jadi apa masalahnya dengan pemikiran begini? Masalahnya ialah banyak sampah sarap bakal dilonggokkan atas nama ekspresi kemanusiaan dan estetik dan kita tanpa rasa bersalah serta malu menikmatinya kerana ia dinamakan seni. Akibatnya, pemikiran kita yang sudah sedia bobrok menjadi semakin songsang sehingga sukar untuk membuat penilaian dan pilihan.

Bagi aku seni itu harus memaparkan kebenaran, jati diri, perjuangan dan citra masyarakat serta merakam semangat zaman. Ia harus bertindak sebagai medium pencerahan dan kesedaran yang menyuluh minda dan jiwa masyarakat. Memang benar seni adalah ekspresi pengkarya. Namun kita tidak boleh hanyut dibawa arus songsang dan jahil dengan menikmati semua yang disogokkan kepada kita. Zaman ini adalah zaman di mana seni hanya menfokuskan kepada nilai hiburan hedonisme. Kita berhibur, berduka nestapa, menangis, senyum, teruja dan ketawa semahunya tanpa ada sedikit pun usaha untuk berfikir, bertafakur dan mengkaji apa sebenarnya yang dihidangkan kepada kita. Herbert Marcuse menyebut bahawa khalayak telah dibius minda mereka secara kolektif dengan idea-idea yang memudaratkan melalui hiburan-hiburan melampau dan  mereka tidak sedar perkara tersebut berlaku. Hasil-hasil seni yang disogokkan kepada kita hari ini adalah mesej dan propaganda hanyir yang sedikit demi sedikit (tanpa kita sedar) membentuk pandangan hidup kita dalam menanggapi dunia ini dan alamnya. 

Seni perlu menggerakkan pemikiran serta mencerdaskan akal dan bukannya menjadikan khalayaknya pasif dan dungu. Biar kita sebagai khalayak ini berfikir walau sekejap (tetapi mendalam) dan mengaitkan seni itu sendiri dengan jiwa dan rasa kemanusian yang ada di dalam diri kita. Maksud aku hasil seni itu nanti mampu melahirkan masyarakat yang matang, berilmu dan sentiasa berfikir untuk melakukan kebaikan atau paling tidak menjauhi keburukan. Biarlah rasa sedih, gembira, teruja, malu atau apa sahaja perasaan yang terhasil dari apresiasi seni ini adalah pergumulan kita dengan jiwa dan batin kita (iaitu rasa yang asli dan autentik dari dalam diri kita) bukannya akibat dari estetik hedonisme yang timbul di permukaan hati dan kemudiannya ghairahnya hilang entah kemana. 

Satu lagi dilema ialah kita semakin kekurangan karya-karya seni  yang mampu menjadi pesaing kepada karya-karya bebal ini. Karya-karya yang mempunyai idealisme kemanusiaan yang tinggi, yang mengungkapkan sejarah perjuangan manusia, yang mengangkat kekayaan warisan ilmu serta adat dan budaya tanahair, yang menceritakan jerih payah dan pahit getir manusia miskin dan tertindas, sukar untuk mencari karya-karya mahal begini di Malaysia. Kita hanya mampu mencela karya-karya yang tidak sealiran dengan kita tetapi malangnya kita tidak mampu menawarkan alternatif yang lebih baik. Ini sama seperti kita menyalahkan gerakan Kristianisasi yang menyebarkan agama mereka sedangkan pada masa yang sama kita gagal untuk menawarkan keunggulan ad-din kita. Kita hebahkan kejayaan misi mereka yang secara tidak langsung sebenarnya menunjukkan kegagalan kita. Ya, aku dan engkau. Kita gagal.

"Seni itu adalah bangunan atas dari kehidupan. Jadi di bawah seni ada masyarakat, ini merangkumi basis dari yang telah lewat, merangkumi basis yang akan datang. Jadi tanpa basis, tidak mungkin ada seni. Tapi soalnya bangunan atas ini mahu menengok kepala atau tidak. Kalau ia tidak mahu menengok kepala, itu beerti bahawa dia menjadi puncak yang terdiri sendiri. Dan itu tidak ada. Bahasa yang dia pakai berasal dari masyarakat. Kandungan bahasa yang dia pergunakan itu juga pengalaman bangsanya sendiri. Bagaimana dia tidak menengoknya. Kalau dia tidak mahu melihatnya, segala basisnya sendiri, dia tidak perlu di puncak situ. Bikinlah menara gadingnya sendiri."
-(Pramoedya Ananta Toer, temuramah dalam Nadi Insan No. 24)-