Tuesday, October 29, 2013

Apa Yang Anda Tahu Tentang Ekonomi Islam? : Pengenalan Kepada Iqtisaduna - Bahagian 3 (Akhir)

Oleh Muhammed Baqir al-Sadr

PENYATUAN DAN PENYERAPAN SYARIAH
Penyatuan  dan penyerapan Syariah dalam semua aspek kehidupan adalah salah satu karakter Syariah itu sendiri, bukan sahaja dengan mengikuti prinsipnya melalui aspek-aspek tertentu, tetapi juga dalam menekankan hakikat ini dalam kehidupan di mana prinsip tersebut diaplikasikan. Kita boleh menemukan banyak sumber teks yang jelas menekankan penyerapan Syariah dan pengaplikasiannya dalam semua aspek kehidupan manusia, sebagai sumber yang kaya dengan penyelesaian untuk semua masalah di  dalam pelbagai bidang.

Perhatikan teks-teks ini:

1)    Abu Busayr, melalui Imam Ja'far al-Sadiq, diriwayatkan berkata bahawa Imam Ja'far pernah menyebut tentang penyatuan dan penyerapan Syariah dan ilmu ahlul bait tentangnya, beliau berkata, "Ia memperincikan semua perkara yang dibenarkan dan dilarang, segala-galanya yang kita perlu tahu, bahkan sampai denda yang perlu dibayar kerana menyebabkan luka yang amat kecil di pipi seseorang." Kemudian dia menggenggam tangannya dan berkata, "Adakah kau mengizinkan aku, wahai Abu Muhammad? "Abu Busayr menjawab," Aku sanggup berkorban untuk kau! Lakukan apa yang kau mahu." Imam menyentuh pipiku dan mencubitnya sedikit," Walaupun aku melakukan ini!"

2)    Dalam Nahjul-Balagha, Amirul Mukminin Ali ibn Abu Talib berkata: "Allah swt telah mengutuskan Rasulullah saw selepas tempoh ketiadaan nabi yang panjang dan apabila negara-negara sedang dalam keadaan terlena dan sakit. Baginda datang untuk memberi penerangan (dalam tingkah laku dan peribadinya sendiri) kepada kebenaran yang dibawanya, cahaya petunjuk, yakni Al-Quran! Tanyalah kepadanya, tetapi ia tidak akan bercakap kepada kau (kerana kau tidak tergolong dalam ahlul bait), tetapi aku boleh memberitahu kau tentang hal ini: Ia mengandungi berita masa depan, sejarah dahulu kala, penyembuh untuk penyakit kau dan penyelesaian muktamad dalam sebarang pertikaian yang kau hadapi."

Semua ayat ini jelas menekankan kemasukan Syariah dalam semua aspek kehidupan. Jika syariat mengandungi penyelesaian untuk masalah yang paling remeh, seperti jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh orang yang melukakan pipi orang lain, maka menjadi satu kewajipan, mengikut logik teks di atas, bahawa Syariah juga mengandungi penyelesaian bagi masalah ekonomi, dan kaedah untuk mengawal sistem ekonomi, jika tidak, bagaimana ia boleh dipanggil "inklusif" jika ia mengabaikan salah satu daripada aspek paling penting dan luas dalam hidup, salah satu aspek yang paling penting dan rumit?

Bolehkah anda bayangkan bahawa syariat yang menentukan jumlah pampasan yang perlu anda terima apabila seseorang melukakan pipi anda, tapi tidak menentukan bahagian anda dari kekayaan yang anda hasilkan, tidak mengawal selia kontrak antara anda dan majikan anda, atau dengan pihak kapitalis dalam pelbagai pekerjaan yang memerlukan pekerja atau kapitalis?

Tak masuk akal jika syariat yang memberikan hak apabila anda dilukai tetapi tidak pula berbuat demikian dalam bidang ekonomi.

Oleh itu kita mengetahui bahawa Syariah dan sumber-sumbernya mampu memberi penyelesaian terhadap masalah ekonomi, mengawal selia bidang ekonomi dan akhirnya, mewujudan sistem ekonomi Islam yang diambil daripada al-Quran dan Sunnah.

Dengan merujuk teks-teks ini, pembaca boleh mengetahui kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang mendakwa bahawa syariat mengawal tingkah laku individu, bukan masyarakat, dan bahawa doktrin ekonomi adalah satu ‘sistem sosial’, oleh itu ia berada di luar batas undang-undang Syariah yang hanya mengawal selia perjalanan individu. Teks-teks yang dipetik di atas membuktikan sebaliknya. Ayat-ayat ini mendedahkan penerapan syariat dalam semua bidang kehidupan, dan ia mengawal kehidupan masyarakat dan individu.

Malah dakwaan bahawa Syariah mengawal tingkah laku individu dan bukan masyarakat adalah dakwaan yang saling kontradik kerana jika tingkah laku individu dan pengawalan tingkah laku tersebut dikaji secara berasingan daripada masyarakat, kesilapan yang besar telah dilakukan. Sistem sosial, yang mengawal aspek-aspek umum masyarakat, sama ada ekonomi atau politik, adalah wujud dari tingkah laku individu itu sendiri, ia adalah mustahil untuk mengawal tingkah laku individu tanpa mengawal selia masyarakat di mana dia hidup.

Kita lihat sistem kapitalis: Sebagai sistem sosial, ia mengawal sistem ekonomi dengan mengambil ekonomi bebas sebagai prinsipnya. Itu prinsip yang termaktub dalam pengendalian kapitalis ke atas pekerja, cara mereka membuat kontrak kerja dengan pekerja mereka, cara mereka menentukan nilai faedah ke atas pelanggan yang meminjam wang mereka dan cara mereka menjalankan kontrak tersebut dan lain-lain. Oleh itu, setiap sistem sosial dikaitkan dengan dan memberi kesan secara langsung kepada tingkah laku individu.

Jika Syariah mengawal tingkah laku individu, maka ia juga mempunyai kaedah tersendiri dalam mengawal selia etika individu apabila dia meminjam wang, atau mengupah pekerja, atau bekerja untuk orang lain, dan semua ini dikaitkan dengan sistem sosial . Mana-mana pemisahan antara kelakuan individu dan organisasi masyarakat sudah pasti saling berkontradiksi.

Setelah kita mengakui hakikat bahawa Syariah mengawal tingkah laku individu dan ia mempunyai hak untuk setiap perbuatan manusia, ia akan menghantar kepada kesimpulan bahawa wujudnya sistem sosial dalam syariat.

Saya tidak tahu tentang golongan yang tidak mempercayai kewujudan sistem ekonomi Islam, atau tidak mempercayai wujudnya  penyelesaian kepada masalah-masalah ekonomi dalam masyarakat Islam, apa pendapat mereka tentang penerapan syariah ketika zaman awal Islam. Adakah masyarakat Islam pada zaman awal Islam tidak hidup sebagai sebuah masyarakat yang menjalankan sistem ekonomi dan menerapkan Islam dalam semua aktiviti sosial mereka? Bukankah kepimpinan Islamik yang ditegakkan  Rasulullah saw ketika itu, dan ianya sejajar pula dengan ajaran Islam? Tidakkah kepimpinan ketika itu mempunyai penyelesaian tertentu dalam berurusan dengan masalah pengeluaran dan pengagihan dan pelbagai masalah ekonomi yang lain? Bagaimana jika kita mendakwa bahawa penyelesaian ini menunjukkan cara Islam dalam mengatur sistem ekonomi dan kemudian menunjukkan wujudnya doktrin ekonomi dalam Islam?
Jika kita melihat masyarakat Islam ketika kepimpinan Rasulullah saw, kita tidak boleh melihatnya sebagai sebuah masyarakat yang kurang menerapkan sistem ekonomi, kerana tidak ada masyarakat di dunia tanpa sistem ekonomi masing-masing yang mengawal kehidupan ekonomi dan pengagihan kekayaan di kalangan anggota masyarakatnya.

Kita tidak boleh melihat sistem ekonomi ketika kepimpinan  Rasulullah saw itu dipisahkan dari Islam dan dari Rasulullah saw sendiri selaku pembawa mesej yang telah diamanahkan untuk mengaplikasikannya. Maka sistem ekonomi perlu diperolehi daripada kata-kata, tindakan, atau kaedah baginda dalam menguruskan kehidupan sosial umat, kerana dia adalah Ketua Negara. Semua ini telah mengesahkan sebuah sistem ekonomi Islam.

DOKTRIN MEMERLUKAN ACUAN
Apabila kita membincangkan kewujudan sistem ekonomi Islam atau doktrin ekonomi Islam, ia tidak bermaksud bahawa kita akan berjumpa (secara langsung di dalam ayat-ayat ini) tentang teori-teori asas doktrin ekonomi Islam dalam bentuk umum. Sebaliknya, teks dan sumber hukum telah memberikan kita sejumlah besar hukum yang boleh mengawal sistem ekonomi dan hubungan antara manusia dan manusia dalam bidang pengeluaran, pengagihan dan pengendalian, seperti hukum Islam berkaitan dengan pertanian, perlombongan, pajakan, kontrak, faedah, zakat, khums, cukai dan perbendaharaan negara. Kumpulan peraturan dan hukum ini, apabila disusun dan dibandingkan, akan membawa kita kepada sumber-sumbernya dan teori-teori umum yang kita nyatakan di sini. Dari teori-teori inilah kita hasilkan satu doktrin ekonomi dalam Islam.

Tidak semestinya, sebagai contoh, bahawa kita harus mencari dalam teks dan sumber Syariah formula yang sama atau hampir sama dengan prinsip kebebasan ekonomi dalam sistem kapitalis. Tetapi kita boleh mencari dalam teks dan sumber tersebut beberapa hukum di mana kita boleh mendapatkan pendirian Islam terhadap prinsip kebebasan ekonomi dan dari situ kita boleh menggantikannya dengan prinsip yang selaras dengan perspektif Islam.

Islam melarang pelaburan luar biasa tinggi kapitalis dan pemilikan tanah tanpa menggunakannya sama ada untuk pertanian dan sebagainya, serta pemberian hak istimewa kepada individu untuk mengawal harga barang sesuka hati. Semua ini adalah contoh-contoh yang memberi keterangan kepada hujah kita. Ia membentuk pandangan kita mengenai pendirian Islam terhadap kebebasan ekonomi, dan ia mencerminkan prinsip umum Islam.

ETIKA EKONOMI ISLAM
Mungkin ada yang berkata, “Apa yang anda dakwa sebagai ekonomi Islam bukanlah satu doktrin ekonomi tetapi sebuah kod etika Islam yang menyediakan garis panduan untuk diikuti oleh umat Islam. Sama seperti Islam memerintahkan larangan penipuan dan mengumpat, dan lain-lain, ia juga menyuruh membantu golongan miskin. Ia melarang ketidakadilan, menggalakkan orang kaya untuk membantu orang miskin, menegah yang kuat dari merampas hak yang lemah, dan memberi amaran kepada golongan yang kuat supaya tidak mencari pendapatan melalui cara yang menyalahi undang-undang. Ia hanyalah salah satu sarana ibadat umat Islam seperti zakat, solat, haji dan puasa, yang menekankan keperluan untuk membantu golongan miskin dan bermurah hati kepada mereka.”

“Semua ini telah dilakukan oleh Islam selaras dengan prosedur etika umum, dan perintah-perintah ini serta pelbagai nasihat dan arahan lain tidak lebih daripada etika yang bertujuan untuk pertumbuhan spiritual dalam diri individu Islam itu sendiri dan untuk mengikat mereka supaya lebih dekat kepada Tuhan mereka serta saudara Islamnya yang lain. Ia tidak membentuk sebuah doktrin ekonomi atau tahap organisasi amnya untuk seluruh masyarakat.”

“Dalam erti kata lain, perintah-perintah yang dinyatakan di atas, bertujuan membentuk individu yang beretika, bertujuan untuk reformasi individu dan pertumbuhan kebaikan dalam diri individu itu sendiri. Ia tidak bersifat organisasi sosial secara tabiinya. Fungsi yang sama di antara penkhutbah yang naik ke mimbar untuk mengajak kepada kebaikan, untuk memberi amaran kepada mereka terhadap ketidakadilan, penyelewengan dan pencerobohan hak-hak manusia lain, dengan reformis sosial yang merancang bentuk hubungan yang perlu wujud di kalangan rakyat, yang menentukan hak dan tanggungjawab mereka.”

Jawapan kita kepada semua hujah-hujah tersebut adalah seperti berikut:

Kita tidak bersetuju sama sekali dengan apa-apa tafsiran yang meletakkan tahap ekonomi Islam itu semata-mata untuk menyediakan sebuah kod etika. Benar bahawa elemen etika adalah jelas dalam semua prinsip Islam. Dan benar juga bahawa Islam mengandungi pelbagai mesej meliputi semua bidang kehidupan, kelakuan manusia, dan bidang ekonomi khususnya. Kita juga bersetuju bahawa Islam telah mengumpulkan cara yang paling menarik untuk memupuk etika individu Muslim, membantu pertumbuhan spiritual dan mewujudkan personaliti terbaik dari individu. Tetapi ini tidak sama sekali bermakna bahawa Islam hanya menumpukan kepada etika individu manakala bidang organisasi sosial diketepikan. Ia juga tidak bermakna bahawa Islam hanya mengajar individu dan menidakkan peranan dan sumbangan individu terhadap organisasi sosial termasuklah dalam sistem ekonominya.

Islam tidak melarang kezaliman, mengajak manusia berlaku adil, memberi amaran tentang pencerobohan terhadap hak-hak orang lain; tanpa menentukan konsep kezaliman dan keadilan dari perspektifnya sendiri, atau tanpa menggariskan hak-hak yang tidak boleh diceroboh. Islam tidak meninggalkan konsep keadilan, kezaliman dan kebenaran dalam ambiguiti, dan ia juga tidak membenarkan tafsirannya ditafsir pihak lain, berbeza dengan apa yang dilakukan oleh seorang pengkhutbah. Sebaliknya, ia telah membawa imej keadilan dan asas hukum sosial yang telah didefinisikan di dalam bidang pengeluaran , pengagihan dan pengendalian, meletakkan apa sahaja penyelewengan daripada peraturan dan keadilan yang telah ditakrifkannya sebagai ketidakadilan dan pelanggaran hak-hak orang lain secara terang-terangan.

Ini perbezaan antara pengkhutbah dan pembela doktrin ekonomi. Pengkhutbah mengajar tentang keadilan dan memberi amaran terhadap kezaliman, tetapi dia tidak meletakkan kriteria untuk keadilan dan kezaliman, sebaliknya, dia meninggalkan pemaknaan kriteria tersebut kepada budaya dan norma masyarakat yang didakwahnya.

Berkenaan dengan doktrin ekonomi, ini adalah usaha untuk meletakkan kriteria tertentu dan membentuk acuannya ke dalam sistem ekonomi terancang yang mengawal pelbagai bidang ekonomi.
Kalaulah Islam datang hanya untuk mengatakan kepada manusia, "Hentikan kezaliman! Amalkan keadilan! Jangan melampaui batas!"- dan menyerahkan kepada manusia untuk menentukan maksud 'kezaliman' itu sendiri berdasarkan keadaan, pendidikan dan ideal yang dipercayai mereka, dan pada masa yang sama melarang ketidakadilan dan memberi amaran kepada mereka melalui kaedah perintah dan amaran, maka ia sesungguhnya, kekal sebagai pengkhutbah.

Apabila Islam mengarahkan umatnya untuk menghentikan kezaliman dan mengamalkan keadilan, pada masa yang sama ia menyediakan definisinya sendiri untuk terma keadilan dan kezaliman. Ia bertanggungjawab untuk membezakan antara kaedah yang adil dalam pengagihan, pengendalian dan pengeluaran dan kaedah yang zalim dalam pengagihan, pengendalian dan pengeluaran. Ia telah menunjukkan, misalnya, bahawa pemilikan tanah secara paksa tanpa menggunakannya adalah kezaliman, tapi  tanah jika dimiliki dan digunakan adalah ‘dibenarkan’, bahawa pengumpulan kekayaan yang dihasilkan di atas nama ‘faedah ‘adalah kezaliman, tapi keuntungan yang dicapai melalui usaha sendiri adalah dibenarkan, dan banyak lagi hubungan dan norma ekonomi di mana Islam telah membezakan di antara kezaliman dan keadilan.

Berkenaan Islam menggesa golongan kaya untuk membantu saudara dan jiran-jiran mereka yang miskin, ia adalah benar, tetapi Islam tidak menghadkan dirinya semata-mata untuk menegur golongan kaya, sebaliknya, ia telah mempertanggungjawabkan kerajaan untuk menjamin dan mendapatkan hak orang miskin, dan untuk menyediakan mereka dengan taraf hidup yang baik, di mana Islam juga pada masa yang sama mengingatkan tentang hubungan di antara pemerintah dan yang diperintah. Menurut hadis yang diriwayatkan melalui Imam Mousa ibn Ja'far al- Kazim, ketika menyebut tentang tanggungjawab pemerintah terhadap hasil zakat, bahawa mereka perlu menggunakan hasil zakat tersebut untuk dibahagikan kepada lapan golongan yang berhak menerimanya dan mengagihkannya di antara golongan tersebut sehingga mereka boleh berdikari sepanjang tahun tanpa sebarang kesusahan. Jika terdapat baki dari hasil zakat tersebut, ia perlu dikembalikan kepada perbendaharaan negara, dan jika ia tidak mencukupi untuk orang ramai, pemerintah perlu menyediakan belanjawan mengikut keperluan mereka sehingga mereka boleh berdikari .

Adalah jelas, dari teks ini, bahawa konsep keselamatan dan keperluan untuk menyediakan semua orang dengan taraf hidup yang baik bukan semata-mata idea dakwah, sebaliknya ia adalah salah satu tanggungjawab pemerintah itu sendiri di dalam Islam. Justeru, ia termasuk di dalam hukum sosial yang terkandung di antara salah satu aspek struktur Islam yang berkaitan dengan kehidupan ekonomi.

Terdapat perbezaan yang besar antara hadis yang mengatakan, "Seseorang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat jika dia menghabiskan malamnya dengan hati yang senang manakala jirannya lapar", dan teks yang mengatakan, "Pemerintah perlu menggunakan harta mereka, mengikut keperluan masing-masing, sehingga mencukupi bagi mereka ." Teks pertama mempunyai sifat dakwah, manakala yang kedua ialah bersifat pengorganisasian, merefleksikan, salah satu aspek sistem Islam. Hadis terakhir ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sistem sosial umum dalam Islam.

Zakat adalah salah satu ibadah yang paling penting. Ia digunakan sebagai alat untuk mengimplementasikan polisi keselamatan sosial dalam masyarakat Islam, seperti yang kita lihat di dalam teks sebelumnya, ia memadai untuk membezakannya dari semua ibadat lain yang bersifat individu. Ini membuktikan bahawa ia bukan semata-mata satu bentuk ibadat individu, atau satu latihan etika bagi yang kaya untuk berbuat baik kepada yang miskin, sebaliknya, ia adalah tahap organisasi sosial yang perlu membumi dan diterapkan sebagai cara hidup. Tambahan kepada fakta ini ialah struktur hukum zakat mengekspresikan doktrin umum dalam Islam. Teks-teks yang berkaitan dengan zakat menunjukkan bahawa zakat diberikan kepada mereka yang memerlukan dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Ini membuktikan bahawa zakat adalah sebahagian daripada pelan asas Islam untuk mencari keharmonian dan taraf hidup umum masyarakat Islam. Ia adalah jelas bahawa perancangan untuk mencapai keharmonian bukanlah semata-mata dakwah tetapi merupakan ideologi pengorganisasian sosial pada tahap doktrin ekonomi.

KESIMPULAN: APA KURANGNYA EKONOMI ISLAM?
Saya tidak tahu mengapa mereka yang menafikan kewujudan ekonomi Islam  begitu bermurah hati dalam memberikan label 'doktrin ekonomi' kepada kapitalisme dan sosialisme, tetapi pada masa yang sama begitu sinis untuk memberikan status yang sama kepada ekonomi Islam, malah lebih suka melabelnya sebagai 'koleksi kod etika.' Kita berhak untuk bertanya kepada mereka, "Apa yang ada dengan kapitalisme dan sosialisme sehingga layak dipanggil doktrin ekonomi; yang tidak ada di dalam ekonomi Islam?"

Kita boleh melihat bahawa Islam telah menguruskan subjek yang sama seperti kapitalisme, dan pada tahap yang sama, memberikan kepadanya prinsip-prinsip yang diperolehi melalui perspektif yang berbeza dari kapitalisme itu sendiri. Oleh itu tiada justifikasi langsung untuk mengatakan bahawa kapitalisme adalah doktrin manakala Islam adalah dakwah, iaitu kod etika.

Kami akan memberi dua contoh yang membuktikan bahawa Islam telah memberikan pandangannya pada tahap yang sama dengan doktrin ekonomi lain:

Contoh yang pertama berkaitan dengan pemilikan yang merupakan tumpuan utama perbezaan di antara semua doktrin ekonomi. Kapitalisme menganggap pemilikan persendirian sebagai hukum, dan pemilikan umum sebagai pengecualian. Ini bermakna setiap jenis kekayaan, dan setiap sumber semula jadi, membenarkan pemilikan persendirian melainkan terdapat keperluan tertentu yang memerlukan negara mengambilnya dari pemilikan persendirian. Marxisme menganggap pemilikan bersama sebagai asas dan hukum, dan  pemilikan persendirian tidak dibenarkan untuk apa-apa jenis sumber semula jadi atau alat pengeluaran melainkan jika terdapat keperluan tertentu yang menguatkuasakannya; hanya selepas itu pemilikan persendirian dibenarkan, dalam had keperluan tertentu dan selagi keperluan itu wujud.

Islam, di sisi lain adalah berbeza daripada kedua-dua doktrin tersebut dalam menanggapi subjek pemilikan ini. Ia menyeru kepada prinsip 'pemilikan bersama" iaitu, pemilikan pelbagai, memandangkan kedua-dua pemilikan awam dan persendirian berada di satu kedudukan yang sama, masing-masing mempunyai skop tersendiri. Tidakkah ini menyatakan bahawa perspektif Islam berada pada tahap doktrin yang sama seperti kapitalis dan sosialis? Apabila prinsip pemilikan persendirian menjadi asas doktrin kapitalis, dan prinsip pemilikan awam menjadi asas dalam doktrin Marxis sosialis, mengapa tidak boleh prinsip pemilikan gabungan (mempunyai kedua-dua sektor awam dan persendirian) menjadi asas dalam sistem ekonomi Islam?

Satu lagi contoh adalah berkaitan dengan pendapatan yang diperoleh daripada pemilikan sumber pengeluaran. Kapitalisme membenarkan pendapatan sebegitu melalui semua cara. Sesiapa yang memiliki sumber pengeluaran mempunyai hak untuk menyewa dan mendapat pendapatan dari sewa tanpa melakukan apa-apa kerja langsung. Sosialisme Marx melarang semua jenis pendapatan yang diperoleh daripada pemilikan sumber pengeluaran kerana pendapatan itu, mengikut falsafah mereka, tidak memerlukan apa-apa kerja. Misalnya, upah yang diterima pemilik kilang daripada mereka yang menggunakan kilangnya, dan upah yang diterima kapitalis atas nama faedah daripada orang-orang yang meminjam wang daripada mereka, tidak dibenarkan dalam sosialisme Marx, tetapi dibenarkan dalam kapitalisme .

Islam menanggapi hal yang sama dari sudut pandangan ketiga. Ia membezakan pelbagai kaedah pendapatan berdasarkan pemilikan sumber pengeluaran dan juga kaedah-kaedah yang lain. Ia melarang faedah tapi  membenarkan gaji yang diterima melalui sewaan kilang itu. Kapitalisme membenarkan kedua-dua faedah dan upah sewaan kilang itu dalam dalam rangka prinsip kebebasan ekonomi atau perusahaan bebas. Sosialisme Marx tidak membenarkan pihak kapitalis untuk mendapat faedah ke atas pinjaman, atau pemilik kilang itu untuk menerima gaji, kerana tenaga pekerja adalah satu-satunya justifikasi  untuk pendapatan: Apabila kapitalis meminjamkan wang, dan apabila pemilik kilang itu meminjamkan kilang beliau, kedua-mereka tidak melakukan apa-apa kerja langsung.

Islam tidak membenarkan kapitalis untuk mengaut faedah, tetapi ia mengakui hak pemilik kilang itu untuk mengutip sewa, mengikut teori pengagihan kapitalis yang akan kita terangkan dalam siri yang akan datang, Insya-Allah.

Ini adalah tiga situasi yang berbeza, masing-masing mengikut perspektif masing-masing dalam hal pengagihan.
Apabila seseorang menggambarkan pendirian kapitalis atau Marxsis sebagai 'doktrin', mengapa  dia tidak boleh berkata perkara yang sama tentang pendirian Islam, walaupun Islam menyatakan sudut pandangan doktrin ekonomi yang berbeza daripada kedua-duanya!

Ini adalah terjemahan bebas yang tidak mengikut skema penterjemahan tertentu. Kesilapan penterjemahan tidak dapat dielakkan akibat kelemahan dalam menterjemah dan kelemahan dalam bidang ekonomi. Untuk pemahaman yang lebih baik pembaca dinasihatkan untuk merujuk teks asal terjemahan berbahasa Inggeris di sini. Untuk wacana yang lebih mendalam dan teliti boleh muat turun teks penuh Iqtisaduna di sini. Semoga Allah merahmati kita. 

Thursday, October 24, 2013

Apa Yang Anda Tahu Tentang Ekonomi Islam? : Pengenalan Kepada Iqtisaduna - Bahagian 2

Oleh Muhammed Baqir al-Sadr

SAINS EKONOMI DAN DOKTRIN EKONOMI: SEJARAH DAN ETIKA
Perbezaan yang kita lihat di antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi, yakni di antara mengkaji apa yang berlaku dan apa yang sepatutnya berlaku, adalah sama dengan hubungan di antara sains (baca: ilmu) sejarah dan kajian etika.Secara amnya, sains sejarah berkongsi ruang kajian yang sama dengan sains ekonomi. Dalam proses penilaian, polisi kajian etika  pula mirip dengan doktrin ekonomi. Masyarakat secara umumnya bersetuju untuk membezakan di antara sains sejarah dan kajian etika. Mereka tahu bahawa ahli sejarah memberitahu mereka  sebab-sebab yang membawa kepada kejatuhan Empayar Rom di tangan orang-orang Jerman, dan sebab-sebab yang menyebabkan meletusnya perang salib di Palestin, situasi yang menyumbang kepada pembunuhan Julius Caesar ketika zaman keagungannya, atau orang-orang yang membawa kepada pembunuhan atau revolusi menentang Uthman ibn Affan dan lain-lain. Sejarah mengkaji semua peristiwa ini, mencari punca dan hubungannya antara satu sama lain  dan hasil kajian tersebut didedahkan, yang seterusnya memberi sumbangan dalam pelbagai bidang. Sebagai sains sejarah, ia membataskan dirinya kepada penemuan saintifik seperti punca, saling hubungan dan akibat, ia tidak melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku menggunakan teropong etika.

Dalam skop saintifik, sejarah tidak menghukum pembunuhan Caesar atau  Uthman sebagai satu peristiwa yang beretika atau menyimpang dari etika dan moral. Tidak juga ia mengharapkan dirinya untuk menilai perang salib atau pencerobohan Rom oleh Jerman sebagai "adil" atau "tidak adil ". Tugas menilai semua peristiwa ini dikaitkan dengan kajian etika. Dari perspektif kriteria etika kita boleh menilai perbuatan dan tingkah laku, sama ada perbuatan ini adil atau tidak adil, atau bahawa norma tertentu adalah menyeleweng dan sebagainya.

Seperti sains sejarah yang menjelaskan peristiwa sebagai "apa yang berlaku", dan pengkaji etika datang kemudiannya dengan kriteria umum tertentu untuk menilai peristiwa tersebut; begitulah ahli ekonomi menjelaskan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam sistem ekonomi , dan penganjur doktrin ekonomi datang kemudiannya untuk menilai peristiwa itu, menentukan kaedah dan polisi apa ekonomi tersebut perlu dikawal, semuanya mengikut konsep-konsep umum keadilan dan kesaksamaan yang dipercayainya.

EKONOMI ADALAH SAMA DENGAN SAINS LAIN
Apa yang telah kita sebutkan ketika membincangkan fungsi sains ekonomi - menunjukkan bahawa ia adalah terhad kepada penemuan sahaja, dan bukannya untuk penilaian. Fungsi asas semua sains adalah penemuan. Tidak ada perbezaan antara ahli ekonomi dengan ahli fizik, saintis nuklear, ahli astronomi, ahli psikologi, dan lain-lain kecuali yang pertama melaksanakan fungsi mereka dalam bidang ekonomi,  manakala yang lain menemukan fakta-fakta, saling hubungan di antara elemen dan hukum yang mengawal bidang mereka, sama ada bersifat ruang fizikal atau tabie manusia.

Misalnya saintis yang menyelidik fizik semula jadi, mereka mengkaji pelbagai kelajuan cahaya, bunyi dan lain-lain, mencari pengiraan yang tepat untuk setiap kajian. Saintis yang terlibat dengan atom, iaitu saintis nuklear mengkaji struktur atom, bilangan elektron dan neutron, dan hukum yang mengawal pergerakannya. Ahli astronomi mengkaji planet besar di alam semesta dan hukum yang mengawal sistem orbit mereka. Psikologi mengkaji visi mental, implikasi psikologi dan unsur-unsur yang terhasil darinya.

Dari perspektifnya sendiri, ahli ekonomi pula menemukan hukum fenomena ekonomi, menentukan sama ada fenomena itu semula jadi atau sebaliknya, seperti fenomena rendahnya pengeluaran tanaman, atau sosial, seperti fenomena kenaikan atau kejatuhan harga dalam pasaran bebas mengikut tahap permintaan. Semua ini, dalam bahasa saintifiknya adalah penemuan, bukan penilaian.

PERBEZAAN DALAM FUNGSI, BUKAN NAMA
Setelah dijelaskan, anda kini tahu bahawa perbezaan antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi ialah fungsinya. Fungsi sains ekonomi adalah untuk mencari fenomena ekonomi dan saling hubungan mereka, manakala fungsi doktrin ekonomi adalah untuk mencari jalan untuk mengawal sistem ekonomi kerana ia perlu mengikut konsep keadilan sosialnya sendiri.

Atas asas itu, kita menyedari kesilapan mereka yang secara subjektif cuba membezakan antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi dengan hanya mengatakan bahawa sains ekonomi berkait dengan pengeluaran dan hukum serta elemen-elemen yang membantu pertumbuhannya, manakala doktrin ekonomi terlibat dengan pengagihan, peraturan-peraturan dan saling hubungan yang meningkat di kalangan individu masyarakat pada dasarnya. Anggapan tersebut adalah salah kerana kita sudah melihat sebelumnya - melalui contoh yang kita beri untuk membezakan antara sains dan doktrin - bahawa doktrin ekonomi berkait dengan kedua-duanya; pengeluaran dan pengedaran (rujuk contoh ketiga di atas), manakala sains ekonomi juga berkait dengan kedua-dua pengedaran dan pengeluaran (rujuk kepada contoh pertama dan kedua). "Iron law of wages", seperti dijelaskan contoh kedua, adalah undang-undang saintifik di sebalik relevansinya dengan pengedaran dan pengawalan pengeluaran. Berdasarkan konsep kebebasan ekonomi, atau berdasarkan penyeliaan dari negara, ia dianggap sebagai salah satu daripada isu-isu doktrin walaupun ia dijadikan kajian dalam pengeluaran.

Oleh itu adalah salah untuk menilai penyelidikan yang berkait dengan pengeluaran sebagai "saintifik," dan pada masa yang sama melabelkan penyelidikan yang melibatkan pengedaran sebagai "doktrin". Tanda yang membezakan antara penyelidikan saintifik dan doktrin adalah dengan melihat kepada penyelidikan itu sendiri; sama ada berdasarkan realiti atau berkait konsep keadilan dan ekuiti.  Jika penyelidikan ekonomi itu menjelaskan realiti, maka ia adalah "saintifik," tetapi jika ia mencari keadilan dan bermaksud untuk melaksanakan keadilan itu, maka ia adalah "doktrin." Dalam erti kata lain, hubungan antara konsep dan "ketidakadilan" adalah tanda umum doktrin yang membezakan ia dari kajian saintifik yang terdapat di dalam sains ekonomi.

DOKTRIN BOLEH MENJADI KERANGKA SAINS
Setakat ini kita tahu bahawa sains ekonomi selain berkait dengan pengeluaran, menemui teori rendahnya pengeluaran tanaman misalnya, ia juga berkait dengan pengedaran, menemukan teori seperti "iron law of wages".

Di sebalik semua ini , bagaimanapun, sering berlaku perbezaan antara penyelidikan saintifik yang berurusan dengan pengeluaran dan penyelidikan saintifik yang berurusan dengan pengedaran. Mari kita ambil teori pengurangan pengeluaran tanaman dan iron law of wages sebagai contoh: Teori pertama mewakili penyelidikan saintifik dalam pengeluaran, teori kedua mewakili penyelidikan saintifik dalam pengedaran. Jika kita mengkaji teori pengurangan pengeluaran tanaman, kita akan jumpa satu fakta mengenai pengeluaran pertanian yang boleh diaplikasikan di setiap masyarakat manusia, tanpa mengira doktrin ekonomi. Tanah masyarakat kapitalis, mengikut teori tersebut, berkurangan dalam menghasilkan tanaman - maka hasil yang sama boleh dilihat di dalam masyarakat sosialis atau masyarakat Islam. Ini bermakna teori pengurangan pengeluaran tanaman tidak terhad kepada satu doktrin tertentu, sebaliknya ia merupakan fakta saintifik yang mutlak.

Berkenaan iron law of wages, yang diterangkan dalam contoh kedua, kita mendapati bahawa penetapan gaji pekerja berlaku di dalam masyarakat yang menikmati kebebasan ekonomi. Kesimpulan dari teori tersebut menyatakan bahawa dalam masyarakat yang meraikan kebebasan, gaji pekerja sentiasa kekal pada tahap sara hidup. Jika ia naik atau turun, atas apa jua sebab, ia sentiasa akan kembali semula ke tahap yang sama. Teori ini adalah bersifat saintifik secara dasar, konteks dan objektiviti kerana ia cuba untuk mengkaji realiti dengan niat memahami pergerakan dan arah gaji kerana ia berlaku dalam realiti masyarakat. Pada masa yang sama, ia memutuskan bahawa fakta tersebut adalah benar hanya dalam ruang lingkup masyarakat kapitalis di mana kebebasan ekonomi wujud, dan ia tidak boleh digunakan untuk masyarakat yang ekonominya menjurus ke arah lain, contohnya jika kerajaan menetapkan polisi tertentu ke atas gaji.

Kebebasan kapitalistik adalah pra-syarat untuk penerapan teori saintifik iron law of wages ini, yakni ia adalah rangka umum dalam ruang lingkup di mana hukum ini boleh diaplikasikan. Ini bermakna bahawa konteks teori itu adalah saintifik, dan rangka kerja umum (yang menghalang penerapannya) adalah doktrinal.
Kemungkinan besar, ketidakupayaan untuk membezakan antara konteks dan kerangka, atau di antara hukum saintifik dan pra-syaratnya, membawa kepada dakwaan bahawa semua teori pengagihan adalah doktrinal, dan sains tidak perlu mengkaji pengagihan. Berprasyarat dengan kerangka doktrin tertentu menggunakan teori saintifik pengagihan seperti yang dibuat oleh orang-orang yang mengemukakan dakwaan sedemikian membuatkan mereka menyangka teori tersebut adalah bersifat doktrinal .

KESIMPULAN YANG DIPEROLEH
PERTAMA: Sains ekonomi dan doktrin ekonomi berbeza dalam fungsi dasarnya: Fungsi sains adalah penemuan (dan analisis) dari sistem ekonomi dan fenomena yang terhasil darinya berdasarkan realiti, manakala fungsi doktrin adalah mencari jalan untuk mengawal sistem ekonomi , mengikut konsep-konsep umum keadilan sosial yang dipegangnya. Sains, oleh itu, cuba untuk menjelmakan realiti, manakala doktrin cuba untuk menjelmakan ekuiti.

KEDUA: Sains ekonomi dan doktrin ekonomi; kedua-duanya terlibat dan berkait dengan pengeluaran dan pengagihan. Tidak ada asas untuk membezakan di antara mereka (antara sains dan doktrin ) atas dasar subjek kajian dengan menjadikan pengeluaran seolah-olah berada di bawah skop sains dan pengagihan seolah-olah berada di bawah skop doktrin, kerana sains dan doktrin berbeza hanya dalam tugas dan kaedah kajian, bukan dalam subjek kajian.

KETIGA: Hukum sains ekonomi dalam pengeluaran menghasilkan fakta yang terpakai kepada semua masyarakat tanpa mengira doktrin ekonomi yang mereka ikuti. Tapi hukum sains ekonomi dalam pengagihan bersandarkan kepada doktrin tertentu, yakni ahli ekonomi mengenal pasti prasyarat kewujudan sebuah masyarakat yang mengamalkan doktrin itu, seperti kapitalisme dan kebebasan ekonomi, dan seterusnya cuba untuk menemui hukum dan sistem ekonomi dari masyarakat tersebut.

DOKTRIN TIDAK MEMAKAI KAEDAH SAINTIFIK
Dari analisis terhadap doktrin dan sains, kita telah mengetahui bahawa fungsi doktrin adalah untuk menyatakan tuntutan keadilan, manakala sains  bertanggungjawab mengkaji peristiwa ekonomi sebagaimana ia berlaku, sebab dan saling hubungan di antaranya.

Perbezaan dalam fungsi asas ini semestinya memerlukan setiap satunya menggunakan kaedah penyelidikan yang berbeza. Ini bermakna bahawa sains ekonomi, menemukan apa yang berlaku di dunia dan di dalam masyarakat yang berkaitan dengan sistem ekonomi, menggunakan kaedah saintifik pemerhatian dan eksperimen, memantau peristiwa yang berlaku di dalam sistem ekonomi untuk menentukan hubungan antara elemen dan mengeluarkan hukum hasil dari kajian. Apabila wujud kes yang meragukan, apabila sejauh mana kebenaran yang merefleksikan realiti itu sukar diketahui, ahli ekonomi mampu merujuk kepada kriteria saintifik dan pemerhatian yang dijalankannya terhadap kes-kes lain untuk mengetahui sejauh mana kebenaran kes itu dalam merefleksikan realiti.

Kedua-dua ahli ekonomi dan saintis berada di landasan yang sama dalam aspek ini: Apabila saintis mahu mengkaji takat didih air, dia secara saintifik boleh mengukur suhu air sebagai satu fenomena semulajadi, memerhatikan suhu apabila air mula mendidih. Apabila ahli ekonomi mahu mengkaji urutan krisis yang selalu menimpa masyarakat manusia dari semasa ke semasa, beliau boleh merujuk kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam sistem ekonomi kerana ia berlaku secara berturut-turut di samping meletakkan garis pemisah sejarah di antara satu krisis dengan krisis lain. Jika dia mendapati wujud garis yang sama dalam semua krisis, beliau dapat menentukan kitaran krisis dan akhirnya mencari punca serta faktor yang memberi kesan kepada krisis tersebut.

Sebaliknya, doktrin ekonomi tidak boleh mengukur subjeknya secara saintifik kerana ia mengkaji subjek-subjek tersebut dari sudut ekuiti dan keadilan, di mana dia cuba untuk mencari kaedah mengikut tuntutan keadilan dan ekuiti. Jelas sekali, keadilan adalah berbeza daripada suhu air dan takat didih, dan ia berbeza daripada kitaran krisis ekonomi, kerana ia bukan fenomena kosmik atau sosial yang boleh diperhatikan secara subjektif atau diukur secara saintifik melalui eksperimentasi. Dalam doktrin ekonomi, ia tidak memadai untuk melihat fakta dan peristiwa secara saintifik untuk mengetahui apa ekuiti dalam organisasi tertentu, berbanding ahli ekonomi yang mengkaji krisis ekonomi untuk mengetahui kitaran dan kodnya.

Mari kita lihat isu keadilan di dalam pengagihan sebagai contoh:
Ada orang mengatakan bahawa pengagihan yang adil boleh dicapai di bawah naungan satu sistem yang menjamin kesaksamaan di kalangan semua anggota masyarakat baik di masa susah mahu pun masa senang. Ada orang yang memilih kesaksamaan kebebasan di kalangan anggota masyarakat berbanding kesaksamaan dalam perlindungan diri. Walaupun individu yang mengamalkan hak kebebasannya menggunakan hak tersebut untuk mendapatkan pelbagai sumber pendapatan dan peningkatan kekayaannya lebih daripada orang lain, selagi mereka semua menikmati kebebasan yang sama yang diberikan sama rata kepada setiap seorang daripada mereka, maka itulah keadilan.Terdapat juga orang yang melihat bahawa keadilan pengagihan dicapai melalui jaminan dan penetapan terhadap tahap umum pendapatan untuk semua masyarakat, dan pada masa yang sama memberikan mereka kebebasan untuk mencapainya lebih dari tahap itu, seperti juga Islam.

Bolehkah keadilan dalam pengagihan dicapai? Adakah kesaksamaan dalam sara hidup dan kekayaan yang paling penting;  atau pun semua orang perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan pelbagai aktiviti ekonomi, tapi pada masa yang sama menghadkan kos saraan hidupnya mengikut cara dia mengamalkan kebebasan itu? Atau adakah ia mengikut kaedah ketiga yang terletak di antara ini dan itu?

Jika kita mahu tahu jawapan kepada semua soalan ini, dan untuk mengetahui pendekatan dan konsep keadilan sosial, kita tidak boleh menggunakan sains untuk mencapai objektif kita kerana keadilan bukan satu fenomena semula jadi yang bersifat eksternal seperti suhu atau takat didih air yang mana kita boleh mengukurnya dengan menggunakan penglihatan atau sentuhan atau seluruh deria fizikal kita, dan ia juga bukan fenomena sosial seperti krisis ekonomi dalam masyarakat kapitalis yang boleh dinilai, diperhatikan dan diuji.

Sains sudah tentu boleh menilai individu dengan individu lain dalam rangka menentukan sejauh mana persamaan atau perbezaan kedua-duanya baik ciri-ciri fizikal atau psikologi untuk menentukan sama ada ia adalah adil untuk menyamakan kedua-duanya dalam sistem kehidupan. Keadilan dan kebenaran bukan kualiti subjektif yang boleh diukur dengan sains atau oleh pancaindera sepertimana semua unsur fizikal atau fenomena semulajadi diukur, dirasai, dilihat, dan lain-lain.

Kita ambil contoh, kapitalis yang percaya bahawa manusia mempunyai hak yang sama untuk menikmati kebebasan walaupun saraan hidup mereka berbeza-beza, dan sosialis yang percaya bahawa semua orang mempunyai hak yang sama untuk dilindungi, maka kita minta kedua-dua mereka menjawab soalan ini: "Adakah terdapat termometer untuk keadilan seperti yang digunakan untuk mengukur suhu supaya saya boleh mengetahui tahap keadilan dalam masyarakat di mana kebebasan rakyat adalah sama walaupun gaji dan sara hidup mereka berbeza-beza? Adakah 'hak' yang dinikmati oleh anggota masyarakat merupakan fenomena semulajadi yang dapat dirasai seperti kita dapat merasakan warna mereka sendiri, ketinggian, kecerdasan, suara dan lain-lain. Dan cara apa yang digunakan untuk mengkaji hak yang disebutkan ini jika kaedah saintifik digunapakai -  deria atau eksperimen?"

Jawapannya, sudah tentu tidak. Keadilan tidak mempunyai termometer kerana ia bukan satu fenomena yang boleh dicapai melalui pancaindera atau melalui pemerhatian; tidak juga hak rakyat untuk mengambilnya sebagai karateristik peribadi mereka seperti ketinggian atau kepandaian dan boleh menggunakan sains untuk menentukan hak tersebut.

Kesimpulannya adalah, selagi mana kita mengkaji sesuatu isu dari sudut keadilan dan kebenaran, doktrin itu sendiri boleh mengenal pasti kaedah mana yang mahu dipakainya untuk mengawal sistem ekonomi daripada konsep keadilannya sendiri, daripada prinsip dan ideal yang didukungnya.

EKONOMI ISLAM YANG KITA JUNJUNG
Saya percaya penjelasan sebelumnya telah membantu kita untuk membentuk satu konsep tentang apa itu doktrin ekonomi dan relevansinya kepada sains ekonomi, fungsi masing-masing, serta kaedah penyelidikan yang digunakan kedua-duanya. Oleh itu, kita kini boleh menjelaskan sifat konsep kita tentang sistem ekonomi Islam, apa yang kita maksudkan apabila kita menekankan kewujudan ekonomi dalam Islam, atau apabila kita merujuk kepada sistem ekonomi Islam.

Ekonomi Islam, seperti yang kita faham di awal kajian ini, terdiri daripada satu doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi. Apabila kita berkata, "Islam menghasilkan doktrin ekonomi," kita tidak mendakwa bahawa Islam mencipta sains ekonomi. Islam tidak datang untuk mengetahui peristiwa-peristiwa dalam kehidupan ekonomi, saling hubungan dan sebab-sebab, ini bukan tanggungjawabnya. Ia juga tidak bertanggungjawab untuk mengungkapkan kepada manusia hukum semula jadi, fenomena kosmik, saling hubungan dan causations mereka dan lain-lain. Seperti Islam yang tidak semestinya perlu mengandungi astronomi dan sains tulen, maka Islam juga tidak perlu untuk mempunyai sains ekonomi.

Islam menggabungkan sistem untuk mengawal sistem ekonomi selaras dengan konsep keadilannya sendiri dan bukannya untuk menerokai satu lagi sistem. Sistem ekonomi Islam merupakan perspektif Islam tentang ekuiti dan kaedah untuk mengawal sistem ekonomi. Ia tidak mengumumkan penemuan saintifik mengenai hubungan dan saling hubungan sistem ekonomi yang berjalan. Ini yang dimaksudkan dengan mengatakan bahawa sistem ekonomi Islam adalah doktrin, bukan sains.

Dalam erti kata lain, jika Islam datang untuk menceritakan kepada kita tentang sistem ekonomi di Hijaz (di mana Islam bermula), dan sebab-sebab yang menyebabkan masyarakat Hijazi, misalnya, meningkatkan kadar faedah peminjam, maka ianya telah menjadi saintifik, yakni berkaitan dengan sains ekonomi. Tanpa bertindak begitu, Islam sebaliknya telah datang untuk menilai dan seterusnya melarang faedah sedemikian, Islam mengatur hubungan antara modal dan pemilik projek itu atas dasar kontrak berbanding riba dan faedah; dengan itu, Islam menggunakan kedudukan doktrin, bukan sains.

Apabila kita sudah mengenal sifat ekonomi Islam sebagai sebuah doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi, maka dengan mudah kita dapat menghapuskan hambatan terbesar untuk mempercayai kewujudan sebuah ekonomi Islam.

APAKAH HALANGAN TERBESAR?
Hambatan terbesar yang membuatkan masyarakat menolak konsep sistem ekonomi Islam ialah paradigma yang dipegang mereka, yang tidak berupaya untuk membezakan antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi. Apabila orang yang tidak mampu untuk membezakan antara sains dan doktrin mendengar bahawa terdapat sistem ekonomi Islam, dia akan membantah: "Bagaimana mungkin wujud ekonomi dalam Islam apabila kita tidak dapat mencari kajian ekonomi oleh seorang Muslim yang setanding dengan Adam Smith, David Ricardo dan lain-lain? Islam tidak memberitahu kita apa-apa tentang teori pengurangan pengeluaran tanaman, serta teori penawaran dan permintaan, juga ia tidak melahirkan teori yang sama dengan iron law of wages, ia juga tidak menghasilkan teori analisis dan kajian saintifik tentang nilai sebagaimana yang telah dilakukan oleh ahli-ahli ekonomi. Bagaimana kita boleh mempercayai kewujudan 'ekonomi Islam' apabila kita semua tahu bahawa penyelidikan dalam sains ekonomi dimulakan dengan sempurna dalam tempoh empat abad lalu di tangan perintis awal sains ekonomi seperti Adam Smith dan pedagang lain yang mendahuluinya?"

Mereka yang menafikan kewujudan ekonomi Islam berhujah dengan semua ini, dengan anggapan bahawa kita mendakwa Islam menjalankan kajian saintifik dalam bidang ekonomi.
Setelah mengetahui perbezaan di antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi, dan sistem ekonomi Islam adalah doktrin, bukan sains, tidak sepatutnya wujud lagi penafian seperti di atas kerana kewujudan doktrin ekonomi dalam Islam tidak bermakna bahawa Islam membincangkan tentang hukum penawaran dan permintaan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa Islam telah menyeru untuk hukum yang berbeza daripada sistem ekonomi lain, menentukan asas dan tiang-tiang di mana sistem itu perlu berdiri.

Kepercayaan akan kewujudan ekonomi Islam dari segi ini nampaknya munasabah dan bukannya pelik.

Kita tidak akan memulakan siri ini dengan kajian terperinci tentang ekonomi Islam. Kita akan bincangkannya dalam siri yang akan datang, Insya-Allah, kita akan menyediakan bukti-bukti yang konkrit, dari Al-Quran dan As-Sunnah, tentang kewujudan doktrin dalam Islam. Tidak ada bukti bagi kewujudan satu perkara yang lebih baik, selain daripada membawa bukti yang mengatasi pancaindera, dan ini yang kami mahu lakukan dalam siri akan datang, Insya-Allah.

Sekarang, sebelum kita menyediakan bukti-bukti bagi kewujudan doktrin ekonomi Islam, dan menunjukkan tempat-tempat di dalam al-Quran dan Sunnah di mana ia boleh diperolehi, kita ingin memberikan bukti bagi kewujudan doktrin ekonomi Islam dari sifat Syariah Islam dan kefahaman kita daripadanya.

Ini adalah terjemahan bebas yang tidak mengikut skema penterjemahan tertentu. Kesilapan penterjemahan tidak dapat dielakkan akibat kelemahan dalam menterjemah dan kelemahan dalam bidang ekonomi. Untuk pemahaman yang lebih baik pembaca dinasihatkan untuk merujuk teks asal terjemahan berbahasa Inggeris di sini. Untuk wacana yang lebih mendalam dan teliti boleh muat turun teks penuh Iqtisaduna di sini. Semoga Allah merahmati kita.

Wednesday, October 23, 2013

Apa Yang Anda Tahu Tentang Ekonomi Islam? : Pengenalan Kepada Iqtisaduna - Bahagian 1

Oleh Muhammed Baqir al-Sadr

PRAKATA
Sudah lama masyarakat meminta saya menerbitkan siri Pemikiran Islam, malah mereka juga meminta saya menulis siri baru untuk mereka.

Saya keberatan untuk memenuhi permintaan tersebut kerana ingin menyiapkan bahagian akhir jilid kedua Iqtisaduna. Penerbitan buku ini menjadi faktor meningkatnya permintaan dari masyarakat yang mahukan saya mengeluarkan edisi ringkas yang memudahkan pemahaman mereka dan seterusnya meluaskan akses buku tersebut kepada jumlah pembaca yang lebih ramai.

Atas dasar itu, saya telah menulis siri ini, dengan niat menjadikannya lebih santai dan mudah, mengelakkan ketelitian dan kedalaman fakta yang terdapat di dalam Iqtisaduna. Dalam banyak keadaan saya lebih suka menghuraikan idea berbanding menerangkan kerumitan bentuk dan isinya, kerana penerangan tersebut boleh didapati di dalam karya-karya saya yang lain.

Di samping memperkenalkan siri ini kepada pembaca, saya turut merumuskan idea-idea yang terdapat di dalamnya dan menyediakan isi kandungan untuk setiap idea bagi memudahkan mereka memahami setiap bab.

Siri ini telah menimbulkan satu persoaalan yang memang saya akan berikan jawapannya. Persoalannya ialah – adakah doktrin ekonomi wujud di dalam Islam?

Dalam siri ini, kita secara beransur-ansur boleh menjawab soalan tersebut. Selepas persoalan ditimbulkan, kita akan berusaha menjawabnya beserta semua persoalan-persoalan sampingan yang wujud daripadanya. Selepas itu, kita akan mengkaji jawapan tersebut menerusi pemahaman Islam, menyokongnya dengan bukti-bukti tertentu dan membincangkan sebarang kritikan terhadapnya.

MENJELASKAN PERSOALAN
Apa yang kita maksudkan apabila kita berbincang tentang doktrin ekonomi Islam ialah usaha kita untuk mencari kaedah bagi mengawal ekonomi berdasarkan prinsip keadilan sosial. Apabila kita bertanya tentang doktrin ekonomi Islam, kita meluahkan keinginan kita untuk menjawab persoalan; ada atau tidak Islam membawa satu sistem untuk menuruskan ekonomi sepertimana kapitalisme sebagai contoh, telah melahirkan prinsip kebebasan ekonomi, yang menjadi prinsip dan garis panduan asas dalam menguruskan  ekonomi.

KEPENTINGAN MENIMBULKAN PERSOALAN
Banyak faktor yang membuatkan kita perlu mengemukakan persoalan tersebut, antara yang paling signifikan ialah penolakan kita terhadap sistem kapitalisme dan Marxisme; dua sistem yang memerintah dunia kini. Penolakan Islam terhadap kedua-dua sistem ini menyebabkan individu Muslim berharap Islam mampu menyediakan sistem alternatif untuk menguruskan ekonomi, kerana tanpa kaedah dan metodologi tertentu sukar untuk melaksanakan pengurusan yang efektif.

SALAH FAHAM TERHADAP SOALAN
Setelah kenal persoalannya, menjelaskannya dan menerangkan kepentingannya, kita akan menunjukkan kesilapan sesetengah orang  ketika cuba untuk memahami persoalan ini tanpa terlebih dahulu membezakan di antara doktrin ekonomi dan sains (baca: ilmu) ekonomi dalam Islam. Apa yang kita maksudkan disini ialah doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi.

BAGAIMANA UNTUK MEMBEZAKAN DI ANTARA DOKTRIN DAN SAINS
Untuk mengelakkan salah faham terhadap soalan ini, kita perlu jelaskan perbezaan di antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi. Malah, perbezaan di antara keduanya adalah penting. Doktrin ekonomi, seperti yang kita telah ketahui, berperanan untuk menemukan kaedah untuk mengawal selia kehidupan ekonomi mengikut prinsip keadilan sosial. Bagi sains ekonomi, ia tidak menyediakan sebuah kaedah untuk mengawal selia;  sebaliknya, pendekatannya diekstrak dari masyarakat,  mengkaji kesan dan akibat, seperti ahli sains mengkaji mengkaji keputusan dan kesan-kesan penjanaan haba sebagai contoh.

CONTOH PERBEZAANNYA ANTARA DOKTRIN DAN SAINS
Kita akan menggunakan banyak contoh untuk menjelaskan perbezaan di antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi. Fahaman kapitalis, sebagai contoh, mengawal ekonomi atas dasar prinsip kebebasan ekonomi, oleh itu, ia mengawal pasaran atas dasar kebebasan peniaga untuk menentukan harga barangan mereka. Sains ekonomi tidak berfungsi untuk melahirkan satu lagi kaedah untuk mengawal selia pasaran, sebaliknya, peranannya adalah untuk mengkaji keadaan pasaran di bawah naungan kaedah kapitalis, menyelidik turun naik, penetapan, kenaikan atau kejatuhan harga di pasaran bebas sebagaimana yang ditetapkan oleh kaedah kapitalis.

Oleh itu, doktrin ekonomi, berperanan mendapatkan satu kaedah untuk mengawal selia ekonomi sesuai dengan konsep ekuiti, manakala sains ekonomi mengkaji hasil kaedah tersebut apabila ia digunakan ke atas masyarakat.

PENEKANAN BAHAWA TERDAPAT DOKTRIN DI DALAM EKONOMI ISLAM
Selepas menyenaraikan beberapa contoh yang menjelaskan perbezaan di antara doktrin dan sains, kita akan memberi tumpuan kepada hakikat bahawa yang kita maksudkan sebagai doktrin ekonomi - yang wujudnya di dalam Islam telah menimbulkan persoalan yang rancak - bukanlah sains ekonomi. Sebagai sebuah agama, Islam tidak perlu membincangkan sains ekonomi, astronomi, matematik, dan lain-lain Apa yang kita maksudkan selama ini, sebaliknya ialah doktrin ekonomi itu sendiri. Justeru, penelitian dan penyelidikan kita adalah sama ada Islam menyediakan kaedah untuk mengawal sistem ekonomi, bukan sama ada Islam berkemampuan untuk menjalankan kajian saintifik terhadap pendekatan ekonomi kontemporari, begitu juga kemunculan dan kesan-kesannya. Itu adalah tugas ahli ekonomi.

Siri ini tiba kemudiannnya, pada  huraian terhadap jawapan yang diberikan - yang diperolehi melalui konsep yang dirujuk dari sistem perundangan Islam (Syariah) yang menyerap dan menggabungkan pelbagai bidang ilmu. Kita akan membuktikannya walaupun dengan sifat Syariah dan sumber-sumbernya. Selepas itu, kita akan menghapuskan beberapa keraguan yang dilemparkan terhadap kewujudan ekonomi Islam, dan kita akan menjawabnya juga.

Secara khusus, saya ingin merujuk kepada tuduhan yang mengatakan bahawa Islam telah membawa prinsip etika, tetapi ia tidak membawa sistem ekonomi untuk mengatur kehidupan; maka Islam dituduh hanyalah pendakwah semata-mata, bukan pembuat sistem. Kita akan menjelaskan bagaimana tuduhan ini ditumpukan kepada aspek etika Islam dan telah digunakan untuk membayangi karakter sosiologi Islam itu sendiri walaupun pada hakikatnya Syariah sememangnya menyentuh kedua-dua bidang tersebut. Sebagai sebuah agama, aspek etika diterapkan untuk memupuk etika Islami individu, dan ia telah mempraktiskan kaedah sosiologinya sebagai satu sistem yang dipilih oleh Allah untuk semua umat manusia.

Inilah rumusan apa yang akan kita dibincangkan. Penelitian terhadapnya adalah seperti dibawah.

APAKAH ADA SISTEM EKONOMI DALAM ISLAM?
Mungkin pertanyaan yang paling banyak timbul, yang meniti di setiap bibir dan diulang setiap kali timbul masalah adalah - soalan mengenai doktrin ekonomi di dalam Islam; maka, apakah ada teori ekonomi dalam Islam? Bolehkah kita mencari solusi terhadap kontradiksi di antara kapitalisme dan Marxisme yang menguasai dunia pada masa kini, melalui sebuah sistem baru yang berasal dari Islam dan diekstrak daripada kaedah legislatif dan organisasi Islam itu sendiri? Apakah potensi sistem Islam ini untuk menyediakan taraf hidup yang baik, di samping menyampaikan mesejnya kepada negara yang sedang menderita saat ini hasil dari dilema dan konflik doktrin  yang sengit dan huru hara di antara kapitalisme dan Marxisme?

Merenung pada sistem baru ini, atau tertanya-tanya tentang realitinya dan konteks Islam, bukanlah kemewahan intelektual yang dinikmati individu Muslim, sebaliknya, ia adalah satu ekspresi kekecewaannya terhadap kedua-dua ahli gusti yang bertanding dan satu manifestasi terhadap reaksinya sendiri yang terus menyaksikan kegagalan sepanjang pengalaman hidupnya, kegagalan dua ahli gusti; kapitalisme dan Marxisme, dalam mengisi vakum doktrin dan ideologi dunia Islam.

Memikirkan tentang pengganti Islam, atau bertanya tentang hal itu - selain tambahan kepada indikasi kekecewaan individu Muslim terhadap ahli gusti yang bertanding - ia turut mendedahkan satu trend baru terhadap Islam, dan semuanya mencerminkan kesedaran Islam yang telah mula bersinar dan mengambil tempat dalam fikiran ramai orang di pelbagai peringkat intelektual, sesuai mengikut kadar kesediaan dan responnya masing-masing kepada Islam. Benih-benih kesedaran Islam mula muncul dalam minda sebilangan besar masyarakat dan dimanifestasikan dalam pelbagai bentuk; timbul pertambahan soalan mengenai Islam, wujud kecenderungan emosi yang kuat terhadap Islam, muncul kepercayaan terhadap Islam itu sendiri dan kepercayaan terhadap kepimpinan khilafah - dalam semua bidang - ia adalah kepercayaan yang membumi terhadap kehidupan itu sendiri.

Kesedaran Islam - yang kini menggelegak di dalam minda negara Islam di pelbagai peringkat - adalah elemen yang bersifat serampang dua mata, elemen yang meletakkan persoalan, dan turut sama menginspirasikan jawapan yang memihak kepada Islam. Pada kesempatan lain, ia telah termaktub sebagai kepercayaan dan kesedaran gergasi  yang ditanam tepat di tanah pemikiran yang mewakili Islam di kalangan umat Islam.

Di sisi lain, agama Islam itu sendiri menggerakkan umatnya untuk meletakkan soalan ini kepada iman atau 'ulama yang mewakili mereka, meminta mereka untuk menyediakan pengganti yang lebih baik bagi kedua-dua pihak yang bertanding, kapitalisme dan Marxisme. Islam mengisytiharkan dengan jelas dalam al-Quran, dalam teks perundangan Syariah, dan melalui semua medium lain yang dimilikinya, bahawa ia menentang kapitalisme dan Marxisme.

Sememangnya ia adalah satu tanggungjawab untuk mewujudkan situasi yang positif, selain dari yang negatif, untuk memimpin kita ke jalan yang berbeza mengikut pandangan dan struktur umum yang kita persetujui. Sikap negatif, apabila dipisahkan daripada tindak balas konstruktif yang menggariskan objektif dan maslahahnya, hanya bermaksud kita mengundurkan diri dari medan perjuangan hidup dan tanda akhir sebuah disintegrasi sosial, bukan semata-mata melanggan ideologi baru.

Karena Islam tidak bersetuju untuk dimasukkan dalam kerangka kapitalisme, sosialisme dan Marxisme, maka Islam harus memberikan alternatif, atau sekurang-kurangnya membawa kita kepada satu pilihan. Hal ini menjadi perkara biasa bagi umat Islam yang telah menyedari pandangan negatif Islam terhadap kapitalisme dan Marxisme serta penolakan Islam terhadap kedua-duanya, untuk bertanya tentang sejauh mana kekuatan dan keupayaan Islam untuk memberikan alternatif ini, dan sejauh mana kejayaan yang dapat dicapai sekiranya kita berpuas hati dengan Islam itu sendiri; semua persoalan ini telah memberi inspirasi untuk membangunkan sebuah sistem ekonomi Islam.

Jawapan kita kepada  semua ini adalah: Islam mampu menyediakan kepada kita pendirian yang positif yang kaya dengan ciri-ciri perundangan, polisi umum dan peraturan-peraturan terperinci di mana sebuah sistem ekonomi yang lengkap dapat dirumuskan, sebuah sistem yang berbeza daripada semua doktrin ekonomi yang lain, yang berpaksikan kerangka Islami ; berpaksikan ketuhanan dan harmoni dengan kemanusiaan, semua manusia, dalam ruang spiritual dan material dan dimensi kedua-duanya dalam ruang masa dan tempat.

Ini adalah apa yang akan kita saksikan menerusi penelitian seterusnya.

SISTEM EKONOMI ISLAM YANG BAGAIMANA? 
Apa yang kita maksudkan dengan mengatakan bahawa terdapat sistem ekonomi dalam Islam? Apakah jenis sistem ekonomi Islam yang sedang kita bincangkan sekarang, merujuk kepada keprihatinan kita untuk mengetahui kewujudan sebelum menyatakan keyakinan kita terhadap sistem tersebut?

Ini adalah apa yang kita perlu jelaskan terlebih dahulu sebelum perincian lain dihuraikan, kerana apabila  kita mendakwa bahawa terdapat satu sistem ekonomi dalam Islam, kita tidak boleh mengesahkan pernyataan itu melainkan jika ia ditakrifkan secara komprehensif, melainkan kita menerangkan kepada pembaca apa yang kita maksudkan dengan "sistem ekonomi Islam."

Kita maksudkan di sini doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi. Doktrin Islam hanyalah upaya untuk mencari kaedah yang serasi dengan konsep keadilan sosial tertentu dalam usaha untuk menguruskan sistem ekonomi dengan sewajarnya.

Apabila kita, sebagai contoh, menggambarkan seseorang sebagai seorang jurutera, bukan doktor, kita perlu tahu konsep "jurutera". Apakah fungsinya? Apakah pendidikannya? Apakah jenis pekerjaan yang dia lakukan? Apakah perbezaan (dari segi fungsi) antara beliau dan doktor, sebagai contoh? Hanya apabila kita tahu jawapan kepada semua soalan-soalan ini barulah kita boleh memastikan bahawa individu itu benar-benar seorang jurutera, bukan doktor atau yang lain-lain. Juga, apabila dikatakan bahawa sistem ekonomi Islam adalah sebuah doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi, kita mesti memahami konsep umum doktrin ekonomi secara keseluruhan dan fungsinya, sifat pembentukannya dan perbezaan antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi, supaya jelas kepada kita berdasarkan semua ini - identiti sistem ekonomi Islam dan hakikat yang menjadikannya doktrin ekonomi dan bukannya sains ekonomi.

Dalam penilaian saya, penjelasan kepada identiti sistem ekonomi Islam mesti berdasarkan kepada perbezaan yang menyeluruh antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi, dan kepada hakikat bahawa sistem ekonomi Islam adalah sebuah doktrin dan kepercayaan, bukannya sains. Penjelasan tersebut akan banyak membantu kita dalam menguatkan dakwaan bahawa terdapat satu sistem ekonomi dalam Islam, dan ia menyangkal premis mereka yang menafikan kewujudan sistem ekonomi Islam, sekadar mendedahkan kekeliruan mereka dalam hal ini.

Atas dasar ini, kita akan cuba untuk menjalankan kajian umum terhadap doktrin ekonomi dan sains ekonomi, dan perbezaan di antara kedua-duanya.

DOKTRIN EKONOMI DAN SAINS EKONOMI
Setiap seorang dari kita menghadapi dua jenis pertanyaan dalam kehidupan seharian dan menyedari perbezaan antara kedua-duanya: Sebagai contoh, apabila kita ingin bertanya kepada seorang bapa mengenai kelakuan anaknya, kita boleh bertanya kepadanya, "Bagaimana seharusnya sikap anak anda?" atau kita juga boleh bertanya, "Bagaimana sebenarnya sikap anak anda?"

Apabila kita mengajukan soalan pertama kepada bapa tersebut, menanyakan kepadanya bagaimana sikap yang perlu ada pada anaknya dalam menjalani kehidupan, beliau secara spontan akan memberi jawapan berdasarkan prinsip-prinsip, cita-cita dan nilai hidup yang beliau junjung dan anuti . Dia mungkin berkata, "Anak saya harus berani, tabah, bercita-cita tinggi," atau dia boleh berkata, "Dia sepatutnya menjadi hamba yang benar-benar beriman kepada Tuhannya, yakin pada diri sendiri dan sedia berkorban untuk mencapai kebenaran dan kepercayaan yang jitu."

Tetapi apabila kita bertanya kepada bapa yang sama soalan yang kedua, di mana kita bertanya tentang tingkah laku sebenar anaknya, beliau tidak akan merujuk kepada prinsip-prinsip ideal beliau untuk memberikan jawapan, sebaliknya, beliau akan menjawabnya berdasarkan pemerhatiannya sendiri terhadap tingkah laku anaknya. Dia mungkin berkata, "Dia berkelakuan tak senonoh, imannya tak kuat dan pengecut apabila berhadapan dengan masalah dalam kehidupan."

Si bapa mendapat jawapan kepada soalan pertama daripada prinsip-prinsip ideal yang dipercayainya, sementara dia mendapat jawapan untuk soalan kedua dari pemerhatian dan penilaiannya sendiri  terhadap tingkah laku anaknya dalam kehidupan.

Kita boleh menggunakan contoh ini untuk menjelaskan perbezaan di antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi. Dalam sistem ekonomi, kita bertemu dua soalan yang berbeza, seperti yang yang dihadapi oleh si bapa ketika ditanya mengenai kelakuan anaknya tadi , oleh itu, kita mungkin boleh bertanya: "Bagaimana sistem ekonomi harus berjalan? " Sementara itu kita juga boleh bertanya: "Bagaimana sebenarnya sistem ekonomi berjalan?" Doktrin ekonomi cuba menjawab soalan pertama, mendapatkan jawapan dari prinsip-prinsip ideal dan konsep keadilan yang diyakininya, sama seperti si bapa yang menjawab soalan pertama berdasarkan prinsip-prinsip ideal yang dianutinya .

Sains ekonomi, di sisi lain , berkaitan dengan soalan kedua : Ia menjawab sebagai berdasarkan pemerhatian dan pengalaman. Sama seperti si bapa menjawab soalan kedua, menyandarkan jawapan beliau kepada pemerhatiannya sendiri terhadap tingkah laku anaknya dan pengalaman beliau bersama dengan anaknya, begitu juga dengan sains ekonomi: Ia menerangkan peristiwa-peristiwa yang menggerakkan sistem ekonomi berdasarkan kepada pemerhatian dan pengalaman .

Oleh itu kita mengetahui bahawa sains ekonomi menemukan apa yang sebenarnya berlaku dalam sistem ekonomi; fenomena sosial dan tabienya, membahas punca dan keterkaitan mereka. Doktrin ekonomi menilai sistem ekonomi dan menggariskan bagaimana ia sepatutnya berjalan bersesuaian konsep keadilan sosial dan kaedah yang saksama untuk mengurusnya. Sains meneroka, manakala doktrin menilai. Sains bercakap tentang apa yang sudah wujud dan sebab-sebab kewujudannya; doktrin membincangkan apa sepatutnya dan tak sepatutnya berlaku.

Marilah kita mulakan dengan ilustrasi yang membezakan antara fungsi sains dalam meneroka dan peranan doktrin dalam menilai:

Contoh Pertama
Mari kita ambil contoh hubungan antara harga pasaran dan tahap permintaan:
Kita semua sedar, daripada pemerhatian seharian kita, hakikat bahawa apabila sesuatu komoditi mempunyai permintaan dan keinginan masyarakat untuk membelinya semakin meningkat, harga akan naik. Jika kita menulis sebuah buku, sebagai contoh buku matematik, dan ia dijual ¼ dinar, dan jika Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menggunakannya sebagai buku teks sekolah, dan jika permintaan pelajar terhadap buku tersebut meningkat, harga pasaran juga akan meningkat. Begitu juga halnya dengan semua barang-barang lain: harga mereka dikaitkan dengan tahap permintaan pasaran, apabila permintaan meningkat, harga juga akan meningkat.

Hubungan antara harga dan permintaan adalah termasuk dalam perhitungan sains dan doktrin , tetapi masing-masing memperlakukannya dari sudut yang tersendiri. Sains ekonomi mengkajinya sebagai fenomena yang terbentuk dan boleh ditemui dalam pasaran bebas;  bebas daripada penguatkuasaan sekatan harga barangan oleh pihak berkuasa. Ia menerangkan bagaimana fenomena ini terbentuk hasil dari kebebasan pasaran, dan ia menemukan tahap hubungan antara harga dan permintaan. Ia menerangkan sama ada hubungan antara harga dan permintaan adalah sama untuk semua komoditi, atau sama ada hanya beberapa harga yang terjejas akibat dari meningkatnya permintaan terhadap komoditi terbabit .

Semua ini dikaji oleh sains untuk menemukan semua fakta yang berkaitan dengan fenomena hubungan di antara harga dan permintaan, dan ia menjelaskan apa yang berlaku dalam pasaran bebas sebagai hasil dari sifat kebebasannya sendiri, menjelaskan semua itu secara saintifik menerusi kaedah penyelidikan saintifik dan pemerhatian umum.

Dalam semua ini, sains tidak menambah apa-apa kepada kenyataan tersebut, sebaliknya, matlamat utamanya ialah untuk memahami dan membentuk idea yang tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku, apa fenomena yang muncul akibat dari pasaran bebas, apa hubungan yang wujud antara fenomena yang muncul, teori yang memunculkan hubungan tersebut, yang mencerminkan realiti luaran dengan lebih tepat dan jelas.

Berkenaan dengan doktrin ekonomi, ia tidak mengkaji pasaran bebas dalam rangka menemukan hasil dari kebebasannya itu dan kesannya ke atas harga, dan ia tidak juga mengkaji bagaimana harga dikaitkan dengan tahap permintaan pasaran bebas itu sendiri, tidak juga ia cuba menelaah mengapa harga komoditi dalam pasaran bebas meningkat apabila permintaan meningkat.
Doktrin tidak melakukan hal seperti itu. Ia tidak sepatutnya begitu. Ia tidak mempunyai hak untuk melakukannya -  kerana penemuan sebab dan akibat atau terbentuknya realiti ke dalam hukum umum yang merefleksi dan mewujudkannya - kedua-duanya adalah ruang lingkup sains dalam apa jua cara; pemerhatian, eksperimen dan deduksi .

Doktrin berinteraksi dengan kebebasan pasaran dengan tujuan untuk menilai kebebasan itu serta menilai hasilnya mengarah kepada apa. Keputusannya nanti adalah hasil dari menghubungkan harga kepada tahap permintaan yang akhirnya menyerang pasaran. Apa yang kita maksudkan dengan menilai kebebasan dan hasilnya adalah untuk menilainya mengikut konsep ekuiti (keadilan sosial) doktrin itu sendiri, kerana setiap doktrin ekonomi mempunyai konsep keadilan sosial masing-masing, jadi penilaian ke atas mana-mana elemen sistem ekonomi bergantung pada tahap keupayaan elemen itu termasuk konsep keadilan sosialnya dalam mempengaruhi konsep doktrin tersebut.

Kebebasan pasaran misalnya, apabila dikaji berdasarkan doktrin, tidak akan diambil kira sebagai suatu fenomena de facto yang mempunyai hasil dan undang-undang saintifik, sebaliknya, dianggap sebagai sebuah sistem ekonomi yang memerlukan ujian tahap ekuitinya sendiri.

Soalan-soalan "Apakah hasil pasaran bebas? Bagaimana harga dikaitkan dengan permintaan? Mengapa setiap satu dikaitkan dengan yang lain?" Semua soalan ini dijawab oleh sains ekonomi.

Soalan-soalan "Bagaimana pasaran harus berfungsi? Adakah kebebasannya menjamin pengagihan komoditi yang adil dan memenuhi keperluan mengikut cara yang digerakkan oleh keadilan sosial?" Semua soalan ini dijawab oleh doktrin ekonomi.
Oleh itu, adalah salah untuk mengharapkan apa-apa doktrin ekonomi untuk menjelaskan kepada kita sejauh mana hubungan antara harga dan permintaan dalam pasaran bebas atau teori penawaran dan permintaan ekonomi sepertimana ahli ekonomi memahami sifat pasaran bebas.

Contoh Kedua
Menurut David Ricardo (1772 - 1823), jika gaji pekerja bebas dari gangguan mana-mana pihak berkuasa, contohnya kerajaan, gaji tersebut akan kekal di tahap yang hanya akan mampu menampung kos sara hidup/ mengekalkan kewujudan pekerja (cukup makan/ sihat untuk terus bekerja). Jika ianya terus meningkat melebihi tahap itu, ia hanya sementara; tidak lama kemudian ia akan kembali ke tahap cukup makan tersebut (terma ini digunakan untuk mudah faham). Ricardo menjelaskan bahawa jika gaji pekerja meningkat di atas paras cukup makan, ia akan membawa kepada peningkatan bilangan pekerja disebabkan oleh peningkatan taraf hidup, perkahwinan dan kelahiran. Selagi pekerjaaan adalah komoditi dalam pasaran bebas, di mana gaji dan harga tidak dikawal, selagi itu juga ia akan tertakluk kepada peraturan yang sama - yakni penawaran dan permintaan. Jika jumlah pekerja bertambah, dan penawaran pekerjaan di pasaran adalah banyak, gaji mereka akan berkurangan sewajarnya. Jadi, apabila harga terus meningkat melebihi tahap cukup makan, akan ada faktor-faktor yang sekali lagi akan memaksa penurunan gaji mereka. Apabila gaji dikurangkan di bawah had cukup makan, penyakit dan kematian akan berlaku yang seterusnya akan mengurangkan bilangan pekerja. Apabila bilangan mereka berkurangan, gaji mereka akan meningkat dan kembali ke tahap cukup makan kerana apabila komoditi kurang, harganya akan meningkat dalam pasaran bebas. Ini adalah apa yang Ricardo namakan sebagai "the iron law of wages".

Dalam "hukum" ini, Ricardo membahaskan apa yang sebenarnya berlaku terhadap pekerja pasaran bebas dan apakah tahap gaji yang stabil dalam pasaran sebegitu, dan faktor-faktor sosial dan alamiah yang mengganggu untuk menetapkan dan mengekalkan tahap itu bersama peningkatan dan pengurangan gaji. Malah, dalam perbincangan hukum ini, Ricardo menjawab soalan "Apa yang sebenarnya berlaku?" Bukan "Apa yang sepatutnya berlaku?" Oleh kerana itu, kajian beliau memasuki ruang sains ekonomi, kerana ia bertujuan untuk mengkaji apakah yang sebenarnya berlaku dan apa hukum yang memunculkan peristiwa tersebut.

Doktrin ekonomi, di sisi lain, apabila berhadapan dengan gaji pekerja, ia tidak bertujuan untuk mengkaji apa sebenarnya berlaku dalam pasaran bebas. Sebaliknya, ia menemukan satu kaedah untuk mengawal selia, kaedah yang selaras dengan konsep keadilan sosialnya sendiri. Ia membincangkan asas di mana gaji yang patut dikawal selia, mengkaji kemungkinan sama ada prinsip kebebasan ekonomi sesuai untuk menjadi asas  mengawal gaji mengikut konsep keadilan sosialnya.

Justeru, kita tidak menganggap fungsi doktrin ekonomi untuk menjadi apa-apa selain daripada mentakrifkan bagaimana pasaran harus dikawal mengikut konsep keadilan sosialnya sendiri: Perlukah ia dikawal selia mengikut prinsip kebebasan ekonomi atau ada asas-asas yang lain? Sains ekonomi mengkaji pasaran yang sudah dikawal selia, mendasarkan kajian ke atas prinsip kebebasan ekonomi, sebagai contoh, untuk mengetahui apakah peristiwa yang berlaku di pasaran yang dikawal selia mengikut prinsip yang sama, bagaimana harga komoditi di dalamnya ditetapkan, bagaimana upah buruh ditentukan dan bagaimana ia meningkat atau menurun. Dalam erti kata lain sains mengkaji; doktrin menilai dan menghakimi.

Contoh Ketiga
Mari kita ambil contoh ketiga dan mari kita tentukan sudut dari mana sains ekonomi mengkaji pengeluaran mengikut doktrin ekonomi, supaya kita dapat membezakan antara kedua-duanya.

Sains ekonomi mengkaji kaedah umum pengeluaran yang membantu pertumbuhan pengeluaran seperti taburan tenaga buruh, pengkhususan, dan lain-lain. Dua projek yang menghasilkan jam tangan misalnya, setiap projek mengandungi sepuluh pekerja. Setiap pekerja dalam projek pertama perlu menghasilkan satu jam tangan. Dalam projek yang lain, pekerja diagihkan; setiap pekerja diamanahkan untuk menjalankan satu operasi yang diperlukan untuk membuat jam tangan. Beliau mengulangi operasi ini secara berterusan, tanpa mengambil bahagian dalam apa-apa kerja lain dalam proses pengeluaran jam tangan tersebut. Penyelidikan saintifik dalam ekonomi mengkaji kedua-dua projek ini, kaedah berbeza yang diguna pakai dan kesan setiap projek pada pengeluaran dan pada pekerja itu sendiri.

Sains ekonomi juga mengkaji segala-galanya yang berkaitan dengan pengeluaran ekonomi yang bersifat alamiah,seperti hukum sebab disebalik rendahnya pengeluaran tanaman dalam bidang pertanian yang mengatakan bahawa peratusan peningkatan dalam pengeluaran pertanian adalah kurang daripada pembiayaannya. Sains ekonomi mengkaji semua ini kerana ia menunjukkan penemuan fakta-fakta di peringkat ekonomi, menjelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran secara semula jadi, baik positif atau negatif.

Berkenaan dengan doktrin, ia melibatkan isu-isu berikut:
Adakah perlu pengeluaran kekal bebas, atau ia perlu tertakluk kepada perancangan kerajaan? Adakah perlu peningkatan dalam pengeluaran dianggap sebagai objektif penting, atau ia harus dilihat sebagai matlamat akhir yang perlu dicapai? Jika peningkatan pengeluaran dianggap sebagai matlamat akhir yang perlu dicapai, apakah had dan rangka kerja yang dikuatkuasakan oleh sifat "matlamat akhir" tersebut? Adakah dasar pengeluaran perlu menjadi asas bagi mengawal selia pengedaran, atau adakah ia sebaliknya? Dalam erti kata lain, yang mana satu dari keduanya harus dikawal untuk kepentingan yang lain? Perlukah kita mengawal pengagihan kekayaan dengan cara yang akan meningkatkan pengeluaran dan membantu pertumbuhan ekonomi, supaya kepentingan pengeluaran akan menjadi asas bagi pengagihan?

Jika negara memerlukan undang-undang faedah ke atas bon komersial untuk menarik pelaburan dalam bidang pengeluaran, adakah perlu langkah-langkah tertentu diambil dalam hal ini dan pengagihan dikawal mengikut faedah pelaburan syer, atau perlu kita mengawal pengagihan kekayaan mengikut keperluan pengagihan yang saksama, mengehadkan pengeluaran dengan kaedah dan cara yang serasi dengan konsep pengagihan yang saksama?

Semua ini adalah termasuk dalam ruang doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi, kerana ia dikaitkan dengan peraturan pengeluaran dan bagaimana polisi umum diuruskan.

Dari contoh-contoh sebelumnya, kita boleh lihat garis yang berbeza di antara sains dan doktrin: garis penemuan dan perkenalan dengan rahsia sistem ekonomi dan pelbagai fenomena yang terhasil darinya, dan garis penilaian dan penemuan cara-cara untuk mengawal kehidupan ekonomi mengikut konsep keadilan sosial tertentu.

KESIMPULAN DARI CONTOH-CONTOH YANG DIBERIKAN
Melaluinya kita dapat membezakan di antara idea-idea saintifik dan idea-idea doktrinal. Idea saintifik berkisar penemuan realiti, kerana ia adalah usaha untuk mengetahui punca, akibat dan hubungan. Ia seperti mikroskop untuk sistem ekonomi. Sama seperti seseorang meletakkan cermin mata di matanya (untuk penglihatan yang lebih baik), tujuannya adalah untuk melihat realiti, tanpa menambah atau mengubah apa-apa di dalamnya, begitu juga dengan corak  pemikiran saintifik yang megambil kira peranan undang-undang dan pelbagai hubungan. Kata kunci idea saintifik adalah "penemuan ".

Berkenaan idea doktrinal, ia bukan cermin yang merefleksikan realiti. Sebaliknya, ia adalah satu penilaian situasi tertentu bersandarkan konsep umum realiti. Doktrin mengatakan: "Ini yang sepatutnya berlaku."

Ini adalah terjemahan bebas yang tidak mengikut skema penterjemahan tertentu. Kesilapan penterjemahan tidak dapat dielakkan akibat kelemahan dalam menterjemah dan kelemahan dalam bidang ekonomi. Untuk pemahaman yang lebih baik pembaca dinasihatkan untuk merujuk teks asal terjemahan berbahasa Inggeris di sini. Untuk wacana yang lebih mendalam dan teliti boleh muat turun teks penuh Iqtisaduna di sini. Semoga Allah merahmati kita.