Thursday, October 24, 2013

Apa Yang Anda Tahu Tentang Ekonomi Islam? : Pengenalan Kepada Iqtisaduna - Bahagian 2

Oleh Muhammed Baqir al-Sadr

SAINS EKONOMI DAN DOKTRIN EKONOMI: SEJARAH DAN ETIKA
Perbezaan yang kita lihat di antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi, yakni di antara mengkaji apa yang berlaku dan apa yang sepatutnya berlaku, adalah sama dengan hubungan di antara sains (baca: ilmu) sejarah dan kajian etika.Secara amnya, sains sejarah berkongsi ruang kajian yang sama dengan sains ekonomi. Dalam proses penilaian, polisi kajian etika  pula mirip dengan doktrin ekonomi. Masyarakat secara umumnya bersetuju untuk membezakan di antara sains sejarah dan kajian etika. Mereka tahu bahawa ahli sejarah memberitahu mereka  sebab-sebab yang membawa kepada kejatuhan Empayar Rom di tangan orang-orang Jerman, dan sebab-sebab yang menyebabkan meletusnya perang salib di Palestin, situasi yang menyumbang kepada pembunuhan Julius Caesar ketika zaman keagungannya, atau orang-orang yang membawa kepada pembunuhan atau revolusi menentang Uthman ibn Affan dan lain-lain. Sejarah mengkaji semua peristiwa ini, mencari punca dan hubungannya antara satu sama lain  dan hasil kajian tersebut didedahkan, yang seterusnya memberi sumbangan dalam pelbagai bidang. Sebagai sains sejarah, ia membataskan dirinya kepada penemuan saintifik seperti punca, saling hubungan dan akibat, ia tidak melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku menggunakan teropong etika.

Dalam skop saintifik, sejarah tidak menghukum pembunuhan Caesar atau  Uthman sebagai satu peristiwa yang beretika atau menyimpang dari etika dan moral. Tidak juga ia mengharapkan dirinya untuk menilai perang salib atau pencerobohan Rom oleh Jerman sebagai "adil" atau "tidak adil ". Tugas menilai semua peristiwa ini dikaitkan dengan kajian etika. Dari perspektif kriteria etika kita boleh menilai perbuatan dan tingkah laku, sama ada perbuatan ini adil atau tidak adil, atau bahawa norma tertentu adalah menyeleweng dan sebagainya.

Seperti sains sejarah yang menjelaskan peristiwa sebagai "apa yang berlaku", dan pengkaji etika datang kemudiannya dengan kriteria umum tertentu untuk menilai peristiwa tersebut; begitulah ahli ekonomi menjelaskan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam sistem ekonomi , dan penganjur doktrin ekonomi datang kemudiannya untuk menilai peristiwa itu, menentukan kaedah dan polisi apa ekonomi tersebut perlu dikawal, semuanya mengikut konsep-konsep umum keadilan dan kesaksamaan yang dipercayainya.

EKONOMI ADALAH SAMA DENGAN SAINS LAIN
Apa yang telah kita sebutkan ketika membincangkan fungsi sains ekonomi - menunjukkan bahawa ia adalah terhad kepada penemuan sahaja, dan bukannya untuk penilaian. Fungsi asas semua sains adalah penemuan. Tidak ada perbezaan antara ahli ekonomi dengan ahli fizik, saintis nuklear, ahli astronomi, ahli psikologi, dan lain-lain kecuali yang pertama melaksanakan fungsi mereka dalam bidang ekonomi,  manakala yang lain menemukan fakta-fakta, saling hubungan di antara elemen dan hukum yang mengawal bidang mereka, sama ada bersifat ruang fizikal atau tabie manusia.

Misalnya saintis yang menyelidik fizik semula jadi, mereka mengkaji pelbagai kelajuan cahaya, bunyi dan lain-lain, mencari pengiraan yang tepat untuk setiap kajian. Saintis yang terlibat dengan atom, iaitu saintis nuklear mengkaji struktur atom, bilangan elektron dan neutron, dan hukum yang mengawal pergerakannya. Ahli astronomi mengkaji planet besar di alam semesta dan hukum yang mengawal sistem orbit mereka. Psikologi mengkaji visi mental, implikasi psikologi dan unsur-unsur yang terhasil darinya.

Dari perspektifnya sendiri, ahli ekonomi pula menemukan hukum fenomena ekonomi, menentukan sama ada fenomena itu semula jadi atau sebaliknya, seperti fenomena rendahnya pengeluaran tanaman, atau sosial, seperti fenomena kenaikan atau kejatuhan harga dalam pasaran bebas mengikut tahap permintaan. Semua ini, dalam bahasa saintifiknya adalah penemuan, bukan penilaian.

PERBEZAAN DALAM FUNGSI, BUKAN NAMA
Setelah dijelaskan, anda kini tahu bahawa perbezaan antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi ialah fungsinya. Fungsi sains ekonomi adalah untuk mencari fenomena ekonomi dan saling hubungan mereka, manakala fungsi doktrin ekonomi adalah untuk mencari jalan untuk mengawal sistem ekonomi kerana ia perlu mengikut konsep keadilan sosialnya sendiri.

Atas asas itu, kita menyedari kesilapan mereka yang secara subjektif cuba membezakan antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi dengan hanya mengatakan bahawa sains ekonomi berkait dengan pengeluaran dan hukum serta elemen-elemen yang membantu pertumbuhannya, manakala doktrin ekonomi terlibat dengan pengagihan, peraturan-peraturan dan saling hubungan yang meningkat di kalangan individu masyarakat pada dasarnya. Anggapan tersebut adalah salah kerana kita sudah melihat sebelumnya - melalui contoh yang kita beri untuk membezakan antara sains dan doktrin - bahawa doktrin ekonomi berkait dengan kedua-duanya; pengeluaran dan pengedaran (rujuk contoh ketiga di atas), manakala sains ekonomi juga berkait dengan kedua-dua pengedaran dan pengeluaran (rujuk kepada contoh pertama dan kedua). "Iron law of wages", seperti dijelaskan contoh kedua, adalah undang-undang saintifik di sebalik relevansinya dengan pengedaran dan pengawalan pengeluaran. Berdasarkan konsep kebebasan ekonomi, atau berdasarkan penyeliaan dari negara, ia dianggap sebagai salah satu daripada isu-isu doktrin walaupun ia dijadikan kajian dalam pengeluaran.

Oleh itu adalah salah untuk menilai penyelidikan yang berkait dengan pengeluaran sebagai "saintifik," dan pada masa yang sama melabelkan penyelidikan yang melibatkan pengedaran sebagai "doktrin". Tanda yang membezakan antara penyelidikan saintifik dan doktrin adalah dengan melihat kepada penyelidikan itu sendiri; sama ada berdasarkan realiti atau berkait konsep keadilan dan ekuiti.  Jika penyelidikan ekonomi itu menjelaskan realiti, maka ia adalah "saintifik," tetapi jika ia mencari keadilan dan bermaksud untuk melaksanakan keadilan itu, maka ia adalah "doktrin." Dalam erti kata lain, hubungan antara konsep dan "ketidakadilan" adalah tanda umum doktrin yang membezakan ia dari kajian saintifik yang terdapat di dalam sains ekonomi.

DOKTRIN BOLEH MENJADI KERANGKA SAINS
Setakat ini kita tahu bahawa sains ekonomi selain berkait dengan pengeluaran, menemui teori rendahnya pengeluaran tanaman misalnya, ia juga berkait dengan pengedaran, menemukan teori seperti "iron law of wages".

Di sebalik semua ini , bagaimanapun, sering berlaku perbezaan antara penyelidikan saintifik yang berurusan dengan pengeluaran dan penyelidikan saintifik yang berurusan dengan pengedaran. Mari kita ambil teori pengurangan pengeluaran tanaman dan iron law of wages sebagai contoh: Teori pertama mewakili penyelidikan saintifik dalam pengeluaran, teori kedua mewakili penyelidikan saintifik dalam pengedaran. Jika kita mengkaji teori pengurangan pengeluaran tanaman, kita akan jumpa satu fakta mengenai pengeluaran pertanian yang boleh diaplikasikan di setiap masyarakat manusia, tanpa mengira doktrin ekonomi. Tanah masyarakat kapitalis, mengikut teori tersebut, berkurangan dalam menghasilkan tanaman - maka hasil yang sama boleh dilihat di dalam masyarakat sosialis atau masyarakat Islam. Ini bermakna teori pengurangan pengeluaran tanaman tidak terhad kepada satu doktrin tertentu, sebaliknya ia merupakan fakta saintifik yang mutlak.

Berkenaan iron law of wages, yang diterangkan dalam contoh kedua, kita mendapati bahawa penetapan gaji pekerja berlaku di dalam masyarakat yang menikmati kebebasan ekonomi. Kesimpulan dari teori tersebut menyatakan bahawa dalam masyarakat yang meraikan kebebasan, gaji pekerja sentiasa kekal pada tahap sara hidup. Jika ia naik atau turun, atas apa jua sebab, ia sentiasa akan kembali semula ke tahap yang sama. Teori ini adalah bersifat saintifik secara dasar, konteks dan objektiviti kerana ia cuba untuk mengkaji realiti dengan niat memahami pergerakan dan arah gaji kerana ia berlaku dalam realiti masyarakat. Pada masa yang sama, ia memutuskan bahawa fakta tersebut adalah benar hanya dalam ruang lingkup masyarakat kapitalis di mana kebebasan ekonomi wujud, dan ia tidak boleh digunakan untuk masyarakat yang ekonominya menjurus ke arah lain, contohnya jika kerajaan menetapkan polisi tertentu ke atas gaji.

Kebebasan kapitalistik adalah pra-syarat untuk penerapan teori saintifik iron law of wages ini, yakni ia adalah rangka umum dalam ruang lingkup di mana hukum ini boleh diaplikasikan. Ini bermakna bahawa konteks teori itu adalah saintifik, dan rangka kerja umum (yang menghalang penerapannya) adalah doktrinal.
Kemungkinan besar, ketidakupayaan untuk membezakan antara konteks dan kerangka, atau di antara hukum saintifik dan pra-syaratnya, membawa kepada dakwaan bahawa semua teori pengagihan adalah doktrinal, dan sains tidak perlu mengkaji pengagihan. Berprasyarat dengan kerangka doktrin tertentu menggunakan teori saintifik pengagihan seperti yang dibuat oleh orang-orang yang mengemukakan dakwaan sedemikian membuatkan mereka menyangka teori tersebut adalah bersifat doktrinal .

KESIMPULAN YANG DIPEROLEH
PERTAMA: Sains ekonomi dan doktrin ekonomi berbeza dalam fungsi dasarnya: Fungsi sains adalah penemuan (dan analisis) dari sistem ekonomi dan fenomena yang terhasil darinya berdasarkan realiti, manakala fungsi doktrin adalah mencari jalan untuk mengawal sistem ekonomi , mengikut konsep-konsep umum keadilan sosial yang dipegangnya. Sains, oleh itu, cuba untuk menjelmakan realiti, manakala doktrin cuba untuk menjelmakan ekuiti.

KEDUA: Sains ekonomi dan doktrin ekonomi; kedua-duanya terlibat dan berkait dengan pengeluaran dan pengagihan. Tidak ada asas untuk membezakan di antara mereka (antara sains dan doktrin ) atas dasar subjek kajian dengan menjadikan pengeluaran seolah-olah berada di bawah skop sains dan pengagihan seolah-olah berada di bawah skop doktrin, kerana sains dan doktrin berbeza hanya dalam tugas dan kaedah kajian, bukan dalam subjek kajian.

KETIGA: Hukum sains ekonomi dalam pengeluaran menghasilkan fakta yang terpakai kepada semua masyarakat tanpa mengira doktrin ekonomi yang mereka ikuti. Tapi hukum sains ekonomi dalam pengagihan bersandarkan kepada doktrin tertentu, yakni ahli ekonomi mengenal pasti prasyarat kewujudan sebuah masyarakat yang mengamalkan doktrin itu, seperti kapitalisme dan kebebasan ekonomi, dan seterusnya cuba untuk menemui hukum dan sistem ekonomi dari masyarakat tersebut.

DOKTRIN TIDAK MEMAKAI KAEDAH SAINTIFIK
Dari analisis terhadap doktrin dan sains, kita telah mengetahui bahawa fungsi doktrin adalah untuk menyatakan tuntutan keadilan, manakala sains  bertanggungjawab mengkaji peristiwa ekonomi sebagaimana ia berlaku, sebab dan saling hubungan di antaranya.

Perbezaan dalam fungsi asas ini semestinya memerlukan setiap satunya menggunakan kaedah penyelidikan yang berbeza. Ini bermakna bahawa sains ekonomi, menemukan apa yang berlaku di dunia dan di dalam masyarakat yang berkaitan dengan sistem ekonomi, menggunakan kaedah saintifik pemerhatian dan eksperimen, memantau peristiwa yang berlaku di dalam sistem ekonomi untuk menentukan hubungan antara elemen dan mengeluarkan hukum hasil dari kajian. Apabila wujud kes yang meragukan, apabila sejauh mana kebenaran yang merefleksikan realiti itu sukar diketahui, ahli ekonomi mampu merujuk kepada kriteria saintifik dan pemerhatian yang dijalankannya terhadap kes-kes lain untuk mengetahui sejauh mana kebenaran kes itu dalam merefleksikan realiti.

Kedua-dua ahli ekonomi dan saintis berada di landasan yang sama dalam aspek ini: Apabila saintis mahu mengkaji takat didih air, dia secara saintifik boleh mengukur suhu air sebagai satu fenomena semulajadi, memerhatikan suhu apabila air mula mendidih. Apabila ahli ekonomi mahu mengkaji urutan krisis yang selalu menimpa masyarakat manusia dari semasa ke semasa, beliau boleh merujuk kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam sistem ekonomi kerana ia berlaku secara berturut-turut di samping meletakkan garis pemisah sejarah di antara satu krisis dengan krisis lain. Jika dia mendapati wujud garis yang sama dalam semua krisis, beliau dapat menentukan kitaran krisis dan akhirnya mencari punca serta faktor yang memberi kesan kepada krisis tersebut.

Sebaliknya, doktrin ekonomi tidak boleh mengukur subjeknya secara saintifik kerana ia mengkaji subjek-subjek tersebut dari sudut ekuiti dan keadilan, di mana dia cuba untuk mencari kaedah mengikut tuntutan keadilan dan ekuiti. Jelas sekali, keadilan adalah berbeza daripada suhu air dan takat didih, dan ia berbeza daripada kitaran krisis ekonomi, kerana ia bukan fenomena kosmik atau sosial yang boleh diperhatikan secara subjektif atau diukur secara saintifik melalui eksperimentasi. Dalam doktrin ekonomi, ia tidak memadai untuk melihat fakta dan peristiwa secara saintifik untuk mengetahui apa ekuiti dalam organisasi tertentu, berbanding ahli ekonomi yang mengkaji krisis ekonomi untuk mengetahui kitaran dan kodnya.

Mari kita lihat isu keadilan di dalam pengagihan sebagai contoh:
Ada orang mengatakan bahawa pengagihan yang adil boleh dicapai di bawah naungan satu sistem yang menjamin kesaksamaan di kalangan semua anggota masyarakat baik di masa susah mahu pun masa senang. Ada orang yang memilih kesaksamaan kebebasan di kalangan anggota masyarakat berbanding kesaksamaan dalam perlindungan diri. Walaupun individu yang mengamalkan hak kebebasannya menggunakan hak tersebut untuk mendapatkan pelbagai sumber pendapatan dan peningkatan kekayaannya lebih daripada orang lain, selagi mereka semua menikmati kebebasan yang sama yang diberikan sama rata kepada setiap seorang daripada mereka, maka itulah keadilan.Terdapat juga orang yang melihat bahawa keadilan pengagihan dicapai melalui jaminan dan penetapan terhadap tahap umum pendapatan untuk semua masyarakat, dan pada masa yang sama memberikan mereka kebebasan untuk mencapainya lebih dari tahap itu, seperti juga Islam.

Bolehkah keadilan dalam pengagihan dicapai? Adakah kesaksamaan dalam sara hidup dan kekayaan yang paling penting;  atau pun semua orang perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan pelbagai aktiviti ekonomi, tapi pada masa yang sama menghadkan kos saraan hidupnya mengikut cara dia mengamalkan kebebasan itu? Atau adakah ia mengikut kaedah ketiga yang terletak di antara ini dan itu?

Jika kita mahu tahu jawapan kepada semua soalan ini, dan untuk mengetahui pendekatan dan konsep keadilan sosial, kita tidak boleh menggunakan sains untuk mencapai objektif kita kerana keadilan bukan satu fenomena semula jadi yang bersifat eksternal seperti suhu atau takat didih air yang mana kita boleh mengukurnya dengan menggunakan penglihatan atau sentuhan atau seluruh deria fizikal kita, dan ia juga bukan fenomena sosial seperti krisis ekonomi dalam masyarakat kapitalis yang boleh dinilai, diperhatikan dan diuji.

Sains sudah tentu boleh menilai individu dengan individu lain dalam rangka menentukan sejauh mana persamaan atau perbezaan kedua-duanya baik ciri-ciri fizikal atau psikologi untuk menentukan sama ada ia adalah adil untuk menyamakan kedua-duanya dalam sistem kehidupan. Keadilan dan kebenaran bukan kualiti subjektif yang boleh diukur dengan sains atau oleh pancaindera sepertimana semua unsur fizikal atau fenomena semulajadi diukur, dirasai, dilihat, dan lain-lain.

Kita ambil contoh, kapitalis yang percaya bahawa manusia mempunyai hak yang sama untuk menikmati kebebasan walaupun saraan hidup mereka berbeza-beza, dan sosialis yang percaya bahawa semua orang mempunyai hak yang sama untuk dilindungi, maka kita minta kedua-dua mereka menjawab soalan ini: "Adakah terdapat termometer untuk keadilan seperti yang digunakan untuk mengukur suhu supaya saya boleh mengetahui tahap keadilan dalam masyarakat di mana kebebasan rakyat adalah sama walaupun gaji dan sara hidup mereka berbeza-beza? Adakah 'hak' yang dinikmati oleh anggota masyarakat merupakan fenomena semulajadi yang dapat dirasai seperti kita dapat merasakan warna mereka sendiri, ketinggian, kecerdasan, suara dan lain-lain. Dan cara apa yang digunakan untuk mengkaji hak yang disebutkan ini jika kaedah saintifik digunapakai -  deria atau eksperimen?"

Jawapannya, sudah tentu tidak. Keadilan tidak mempunyai termometer kerana ia bukan satu fenomena yang boleh dicapai melalui pancaindera atau melalui pemerhatian; tidak juga hak rakyat untuk mengambilnya sebagai karateristik peribadi mereka seperti ketinggian atau kepandaian dan boleh menggunakan sains untuk menentukan hak tersebut.

Kesimpulannya adalah, selagi mana kita mengkaji sesuatu isu dari sudut keadilan dan kebenaran, doktrin itu sendiri boleh mengenal pasti kaedah mana yang mahu dipakainya untuk mengawal sistem ekonomi daripada konsep keadilannya sendiri, daripada prinsip dan ideal yang didukungnya.

EKONOMI ISLAM YANG KITA JUNJUNG
Saya percaya penjelasan sebelumnya telah membantu kita untuk membentuk satu konsep tentang apa itu doktrin ekonomi dan relevansinya kepada sains ekonomi, fungsi masing-masing, serta kaedah penyelidikan yang digunakan kedua-duanya. Oleh itu, kita kini boleh menjelaskan sifat konsep kita tentang sistem ekonomi Islam, apa yang kita maksudkan apabila kita menekankan kewujudan ekonomi dalam Islam, atau apabila kita merujuk kepada sistem ekonomi Islam.

Ekonomi Islam, seperti yang kita faham di awal kajian ini, terdiri daripada satu doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi. Apabila kita berkata, "Islam menghasilkan doktrin ekonomi," kita tidak mendakwa bahawa Islam mencipta sains ekonomi. Islam tidak datang untuk mengetahui peristiwa-peristiwa dalam kehidupan ekonomi, saling hubungan dan sebab-sebab, ini bukan tanggungjawabnya. Ia juga tidak bertanggungjawab untuk mengungkapkan kepada manusia hukum semula jadi, fenomena kosmik, saling hubungan dan causations mereka dan lain-lain. Seperti Islam yang tidak semestinya perlu mengandungi astronomi dan sains tulen, maka Islam juga tidak perlu untuk mempunyai sains ekonomi.

Islam menggabungkan sistem untuk mengawal sistem ekonomi selaras dengan konsep keadilannya sendiri dan bukannya untuk menerokai satu lagi sistem. Sistem ekonomi Islam merupakan perspektif Islam tentang ekuiti dan kaedah untuk mengawal sistem ekonomi. Ia tidak mengumumkan penemuan saintifik mengenai hubungan dan saling hubungan sistem ekonomi yang berjalan. Ini yang dimaksudkan dengan mengatakan bahawa sistem ekonomi Islam adalah doktrin, bukan sains.

Dalam erti kata lain, jika Islam datang untuk menceritakan kepada kita tentang sistem ekonomi di Hijaz (di mana Islam bermula), dan sebab-sebab yang menyebabkan masyarakat Hijazi, misalnya, meningkatkan kadar faedah peminjam, maka ianya telah menjadi saintifik, yakni berkaitan dengan sains ekonomi. Tanpa bertindak begitu, Islam sebaliknya telah datang untuk menilai dan seterusnya melarang faedah sedemikian, Islam mengatur hubungan antara modal dan pemilik projek itu atas dasar kontrak berbanding riba dan faedah; dengan itu, Islam menggunakan kedudukan doktrin, bukan sains.

Apabila kita sudah mengenal sifat ekonomi Islam sebagai sebuah doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi, maka dengan mudah kita dapat menghapuskan hambatan terbesar untuk mempercayai kewujudan sebuah ekonomi Islam.

APAKAH HALANGAN TERBESAR?
Hambatan terbesar yang membuatkan masyarakat menolak konsep sistem ekonomi Islam ialah paradigma yang dipegang mereka, yang tidak berupaya untuk membezakan antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi. Apabila orang yang tidak mampu untuk membezakan antara sains dan doktrin mendengar bahawa terdapat sistem ekonomi Islam, dia akan membantah: "Bagaimana mungkin wujud ekonomi dalam Islam apabila kita tidak dapat mencari kajian ekonomi oleh seorang Muslim yang setanding dengan Adam Smith, David Ricardo dan lain-lain? Islam tidak memberitahu kita apa-apa tentang teori pengurangan pengeluaran tanaman, serta teori penawaran dan permintaan, juga ia tidak melahirkan teori yang sama dengan iron law of wages, ia juga tidak menghasilkan teori analisis dan kajian saintifik tentang nilai sebagaimana yang telah dilakukan oleh ahli-ahli ekonomi. Bagaimana kita boleh mempercayai kewujudan 'ekonomi Islam' apabila kita semua tahu bahawa penyelidikan dalam sains ekonomi dimulakan dengan sempurna dalam tempoh empat abad lalu di tangan perintis awal sains ekonomi seperti Adam Smith dan pedagang lain yang mendahuluinya?"

Mereka yang menafikan kewujudan ekonomi Islam berhujah dengan semua ini, dengan anggapan bahawa kita mendakwa Islam menjalankan kajian saintifik dalam bidang ekonomi.
Setelah mengetahui perbezaan di antara sains ekonomi dan doktrin ekonomi, dan sistem ekonomi Islam adalah doktrin, bukan sains, tidak sepatutnya wujud lagi penafian seperti di atas kerana kewujudan doktrin ekonomi dalam Islam tidak bermakna bahawa Islam membincangkan tentang hukum penawaran dan permintaan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa Islam telah menyeru untuk hukum yang berbeza daripada sistem ekonomi lain, menentukan asas dan tiang-tiang di mana sistem itu perlu berdiri.

Kepercayaan akan kewujudan ekonomi Islam dari segi ini nampaknya munasabah dan bukannya pelik.

Kita tidak akan memulakan siri ini dengan kajian terperinci tentang ekonomi Islam. Kita akan bincangkannya dalam siri yang akan datang, Insya-Allah, kita akan menyediakan bukti-bukti yang konkrit, dari Al-Quran dan As-Sunnah, tentang kewujudan doktrin dalam Islam. Tidak ada bukti bagi kewujudan satu perkara yang lebih baik, selain daripada membawa bukti yang mengatasi pancaindera, dan ini yang kami mahu lakukan dalam siri akan datang, Insya-Allah.

Sekarang, sebelum kita menyediakan bukti-bukti bagi kewujudan doktrin ekonomi Islam, dan menunjukkan tempat-tempat di dalam al-Quran dan Sunnah di mana ia boleh diperolehi, kita ingin memberikan bukti bagi kewujudan doktrin ekonomi Islam dari sifat Syariah Islam dan kefahaman kita daripadanya.

Ini adalah terjemahan bebas yang tidak mengikut skema penterjemahan tertentu. Kesilapan penterjemahan tidak dapat dielakkan akibat kelemahan dalam menterjemah dan kelemahan dalam bidang ekonomi. Untuk pemahaman yang lebih baik pembaca dinasihatkan untuk merujuk teks asal terjemahan berbahasa Inggeris di sini. Untuk wacana yang lebih mendalam dan teliti boleh muat turun teks penuh Iqtisaduna di sini. Semoga Allah merahmati kita.

No comments:

Post a Comment