Wednesday, January 18, 2012

Kisah Ali dan Zahra



Sehingga artikel ini ditaip, Children of Heaven masih lagi filem numero uno di dalam carta filem terbaik aku. Sukar untuk aku senaraikan filem-filem yang menghuni tangga kedua, ketiga dan seterusnya di dalam carta ini. Tetapi, tanpa ragu dan was-was, filem Iran yang satu ini tetap kekal bertakhta di puncak carta tanpa boleh diganggu gugat oleh mana-mana filem. Filem arahan Majid Majidi ini telah memenangi anugerah di Montreal World Film Festival, Singapore International Film Festival, International Children's Film Festival dan pernah dicalonkan di Academy Award tahun 1998 untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik tetapi tewas kepada filem Itali, Life is Beautiful.

Naratif filem ini cukup mudah. Kisah dua kanak-kanak, Ali dan adiknya, Zahra yang terpaksa berkongsi sepasang kasut untuk ke sekolah setelah Ali secara tidak sengaja menyebabkan kasut Zahra hilang. Pelbagai sub peristiwa muncul dari situasi ini. Bagi aku, filem ini secara umumnya membawa nilai kekeluargaan. Plot dan mesejnya sangat mudah tetapi berkesan untuk menyentuh jiwa dan akal kita. Mesejnya dihantar kepada kita secara terang tanpa perlu berselindung dan sebagai manusia yang malas untuk membaca imej atau mesej tersirat dan berlapis di dalam sesebuah filem, aku merasakan filem ini telah berjaya menyampaikan mesejnya dengan sangat berkesan (walaupun bukan semua dan bagi aku tetap ada mesej dan simbol tersirat di dalam filem ini). Itu yang membuatkan filem ini sangat tinggi kualitinya kerana persoalan dan mesejnya yang mudah tetapi dibungkus dalam persembahan yang ekstravaganza.

Aku suka kepada filem yang cuba membawa mesej dan pesan mulia tetapi selalunya filem seperti ini sama ada lesu akibat terlalu cuba untuk menjadi khutbah (yang khatibnya terlampau bersemangat tetapi jemaahnya bosan) atau pemahaman si pengarah terhadap mesej itu sendiri sedikit berbeza/kontra dengan pemahaman kebanyakan khalayak penonton lalu mesej itu tidak dapat dihadam oleh mereka dan kadangkala mengundang rasa keliru dan kontroversi. Tetapi ini tidak berlaku di dalam filem ini. Mesej dan persoalannya jelas dan universal. Asal sahaja kita ialah makhluk bernama manusia maka secara langsung filem ini boleh dikaitkan dengan diri kita. Tidak kira apa agama, bangsa, peringkat umur dan negara mana kita berpijak, filem ini memberikan sesuatu kepada kita semua untuk direnungkan. Kita semua dapat merasa girang duka dan jerih payah manusia-manusia di dalamnya.

Pesanan dan mesej tentang moral, integriti, tanggungjawab, toleransi, hormat-menghormati dan kasih sayang saling mengisi 85 minit plot filem ini. Antara adegan yang menarik ialah apabila si bapa tidak mahu menggunakan gula batu yang dimiliki oleh masjid untuk dimasukkan ke dalam tehnya walhal kita boleh nampak betapa banyaknya gula itu dan apalah sangat jika sekadar untuk digunakan untuk secawan teh. Ia telah diberikan kepada kita sebagai amanah, kata si bapa. Itulah integriti, bukan sedikit atau banyak, gula batu atau projek mega ternakan lembu yang menjadi ukuran tetapi prinsip untuk tidak mengambil sesuatu yang bukan hak kita. Si bapa ajar itu kepada Zahra ketika anak kecil itu bertanya kenapa tidak digunakan sahaja gula tersebut.

Malah jika anda sudah bergelar ibu bapa, aku sarankan agar anda menonton filem ini bersama anak-anak. Biar anak-anak anda faham watak dan perwatakan Ali dan Zahra. Biar mereka kagum dengan kedua-duanya. Jangan cemarkan jiwa dan minda anak-anak anda yang naif (terutama yang masih kanak-kanak) dengan unsur-unsur ganas, khurafat, tahyul, fantasi melampau dan imej hantu bodoh. Ini filem yang bijak, dihasilkan oleh pengarah yang bijak, maka raikanlah kebijaksanaan ini dengan menontonnya.

"In this film from Iran, I found a sweetness and innocence that shames the land of Mutant Turtles, Power Rangers and violent video games. Why do we teach our kids to see through things, before they even learn to see them?" -Roger Ebert