Thursday, March 19, 2015

Kierkegaard Menulis Begini…

Berlaku kebakaran di belakang pentas. Seorang badut muncul untuk maklumkan hal tersebut kepada penonton. Malangnya, penonton sangka si badut cuba buat lawak lalu mereka bertepuk tangan dan ketawa. Badut mengulangi amaran tentang kebakaran sekali lagi. Tapi ketawa penonton semakin kuat. Jadi aku rasa begini dunia akan berakhir, di tengah tepukan gemuruh penonton yang akhirnya melihat kebijaksanaan sebagai sebuah lawak jenaka”.

Moral of the story ialah, kalau takut rentung terbakar, wajib ikut saranan Saidina Ali, yakni tengok apa yang dikatakan, bukan siapa yang mengatakannya. Dari sisi lain, wajib juga kita membuang jubah badut yang sering kita pakai, kerana di zaman pascamoden ini – zaman kita memaknakan hidup sebagai parodi seperti disebutkan Fredric Jameson, atau jenaka yang malang (awful jokes) bak kata Clarence Darrow, atau penipuan yang bodoh (stupid fraud) seperti kata Leo Tolstoy - kita memandang satu sama lain secara sinikal, sebagai sekumpulan badut yang memperbodohkan diri sendiri. 

Thursday, March 5, 2015

Bingkisan Dari Sandera


Sandera menyorot perjuangan nasionalis Tanah Melayu (dan Indonesia) pra-merdeka dan pasca-merdeka merentas pelbagai jalur pemikiran dan gerakan; kiri, kanan, radikal dan militan, malah golongan muda dan tua. Melalui Sandera kita dihadapkan dengan kerumitan konflik yang dihadapi para nasionalis serta kerencaman perspektif yang timbul untuk menyelesaikan konflik tersebut yang antaranya berpunca dari kepelbagaian pemikiran dan gerakan tadi.  

Walaupun dengan halaman yang terbatas, Arena Wati cuba menyelami kerumitan konflik dan kerencaman perspektif ini sejujur dan sebaik mungkin,  memahaminya dari setiap sisi pemikiran melalui pelukisan watak-watak yang menganggotai pelbagai gerakan kemerdekaan dan parti politik di Tanah Melayu (walaupun dari satu sisi usaha ini membataskan perkembangan watak dan plot menjadi kurang fokus).

Kesedaran, pandangan dan kritikan yang dipaparkan dalam Sandera masih relevan diulang baca oleh generasi pascamerdeka kerana persoalan-persoalan yang menjadi kebimbangan tok nenek kita dulu jelas masih gagal diselesaikan dengan tuntas, malah polemiknya kembali didendangkan. Sandera adalah salah satu daripada dokumen sosial yang menceritakan fragmen tertentu dari perjalanan sejarah bangsa. Menurut Jakob Sumardjo “Novel sejarah dapat membantu pembaca kembali pada sangkan parannya (asal-usulnya) sebagai bangsa. Akar dan identiti bangsa barangkali dapat diraba di sana, lewat hidangan gambaran, pengalaman masa silam para sasterawannya.”

Sandera mendapat tempat ketiga (tempat pertama dan kedua tak ada) dalam peraduan mengarang novel sempena sambutan 10 tahun merdeka (Interlok karya Abdullah Hussain antara yang turut bertanding). Untuk membuang klise semangat kebangsaan yang cenderung naik mendadak menjelang bulan Ogos setiap tahun, Chorak Dunia mengutip petikan-petikan dari Sandera untuk tatapan pembaca.

_________________________________________________________________________________

Busad: Sejarah tidak pernah menanyakan kepada kita, Jubir, bahawa suatu masalah yang kecil seperti kuman pun, dapat diselesaikan hanya oleh perasaan dan keluhan, dengan kata-kata yang memuja.

***

Busad: Soalnya ialah kesedaran. Tapi dengan hanya kesedaran tanpa kelanjutan, amat diragukan hasilnya. Tuan sedar akan rasa kebangsaan tuan, tuan sedar akan rasa kemanusiaan tuan. Tapi dengan status tuan, mau tidak mau tuan bertindak separuh-separuh. Tidak bulat, dan tidak akan bulat selagi masih separuh-separuh. Ambillah angka satu perdua, kemudian tuan tambah angka satu perempat, kemudian tambah lagi satu perlapan dan seterusnya, hingga kiamat, tuan tidak akan mencapai angka satu bulat. Inilah pegangan kami kaum non-koperator.

***

Mahmud: Kita mesti rasionil menetapkan konsep perjuangan kita. Kalau pertubuhan ini (Kesatuan Melayu Muda) hanya akan menerima orang-orang dalam takrif Melayu Jati, kita tidak akan dapat memperbanyak ahli. Bagi kita, sebagai partai politik Melayu yang pertama bersifat radikal, hendaknya erti kemelayuan itu yang berbahasa Melayu beragama Islam, yang berketurunan Melayu di Nusantara, kepulauan alam Melayu.

***

Sariyah: Aku, dengan rela hati memasuki perjuangan ini, sejak suamiku masih hidup, dan melanjutkannya hingga sekarang. Tujuannya bukan sekadar kemerdekaan bangsa kami, tapi juga kemerdekaan kami itu akan kami isi dengan manusia yang berpekerti baik.

***

Busad: Tak ada pilihan lain. Perjuangan untuk tanahair bukan fardu kifayah, tapi fardu ain. Mesti dibuat oleh semua orang.

***

Andang: Sekarang, dan hingga tiga puluh tahun akan datang, bangsa Melayu masih tetap akan menentukan kunci politik di negeri ini. Dalam masa tiga puluh tahun ini, kalau mereka bergerak secara teratur dengan sungguh-sungguh, bangsa Melayu akan kembali jadi besar dan kuat. Tapi pasti banyak tentangannya. Dan mereka ini, umumnya nasionalis belaka dan sedikit-sedikit keagamaan. Golongan pertama ekstrem, dan golongan sederhana, golongan guru-guru dari Tanjung Malim.

Busad: Ada tiga golongan, bukan dua.

Andang: Feudal?

Busad: Tidak, bukan feudal, tapi golongan didikan langsung dari Inggeris. Melihat suasana, walaupun kesedaran mereka belum tinggi, tapi satu waktu nanti mereka akan berkuasa. Jangan lupa, dasar pengetahuan mereka lebih luas, dan hanya dengan pengetahuan yang luas saja kita sanggup menyusun pemerintahan yang baik dalam negara yang merdeka. Malah juga hanya dengan pengetahuan yang luas saja baru kita sanggup mengatur organisasi yang rapi.

Andang: Golongan ketiga yang kau katakan ini mempertahankan Inggeris di negeri ini, demi keselamatan hidup anak bini mereka sendiri.

Busad: Buat sekarang ini, ya, saya sendiri mengakui keadaan yang wujud begitu. Tapi jangan lupa, mereka juga Bumiputera. Dan kita lihat sendiri, di mana-mana pun tanah jajahan dalam dunia ini, belum ada penjajah yang ikhlas hati dan tindakannya kepada Bumiputera, kerana penjajah tau, Bumiputera itulah musuh utama mereka. Tanpa tindakan kepada Bumiputera, kedudukan penjajah akan rapuh.

Andang: Tapi belum ada gejala yang aku lihat. Dan jangan pula kau lupa Busad, kalau kelak apa yang kau katakan golongan ketiga ini bertindak, aku yakin hanya untuk mempertahankan feudalisme.

Busad: Soalnya sekarang, bagi kepentingan Nusantara, terutama kalau perang Pasifik nanti betul-betul pecah, kita mau bangsa Melayu dan bangsa Indonesia padu menjadi satu dalam suatu tindakan nasional, kerana dengan melalui mata rantai penjajahan yang tergunting rentas oleh perang Pasifik itu, bangsa Indonesia dan bangsa Melayu akan muncul ke permukaan dunia merdeka. Nah, jadi bukan soal golongan yang kita pandang penting di kalangan bangsa Melayu, tapi bangsa Melayu sebulat-bulatnya.

Andang: Termasuk kaum feudal?

Busad: Tentu. Dalam jangka sepuluh dua puluh tahun akan datang, sebagai strategi perjuangan bangsa Melayu, kaum feudal masih besar gunanya untuk kepentingan taktik nasional di Tanah Melayu ini.

***

Sariyah: Politik apa pun juga, faham apa pun juga, sikap apa pun juga, kalau menolak perikemanusiaan, kukira lebih baik jangan ada manusia yang berpolitik.

***

Bahar dan Busad sependapat, dan dapat dukungan Zahid sebagai golongan pemuda, supaya bertindak tegas memproklamirkan kemerdekaan Tanah Melayu, pada saat Jepun jatuh. 

Tapi ada beberapa orang, yang berpengaruh dalam KRIS, hendak menggabungkan Tanah Melayu merdeka ke dalam Indonesia Merdeka.

Menurut pendapat Busad, ini berbahaya dari segi politik internasional. Indonesia dengan masalahnya, menghadapi Belanda. Dan Tanah Melayu dengan masalahnya, menghadapi Inggeris, yang kelak akan keluar sebagai pemenang Perang Dunia Kedua.

Oleh sebab itu, Busad tidak mendapat muka baik dari kawan-kawan Bahar. Bahar juga terpengaruh oleh teman-temannya, terseret ke dalam emosi.

Bagi Busad, teorinya memang enak didengar, tetapi dalam praktiknya nanti akan sukar. Tradisi Tanah Melayu tidak sama dengan tradisi Indonesia dalam pelaksanaan pemerintahan Indonesia cara Belanda, berbau Kontinen, dan Tanah Melayu cara Inggeris. Indonesia tidak ada masalah racial strife. Tetapi Tanah Melayu akan bergelumang dengan racial strife, dalam bentuk sosio-politis-ekonomis.

Kemantapan gagasan ini, dengan keteguhannya pada pendiriannya tetap dihormati oleh Bahar dan kawan-kawan Bahar. Tetapi ambisi kepentingan diri, intuisi-intuisi yang menggelojak tanpa pengetahuan yang mendalam dari segi sosio-politis-ekonomis itu yang menjadi penyakit besar dalam diri mereka. Busad melihat ini, dan terbukti kadang-kadang dari kepincangan strategis dan kementahan taktis yang digunakan mereka. Betapapun, Busad tetap sayang dan menghargai golongan Zahid, anak-anak muda yang berapi-api.

***

Mahadi: Kami masuk PETA bukan untuk Jepun. Kami masuk PETA untuk kemerdekaan kita. Itulah janji pemimpin-pemimpin. Mereka kata, mereka tau Jepun mesti kalah nanti. Waktu Jepun kalah itulah kita akan terus rebut kemerdekaan negeri ini, dan kita akan lawan sekutu. Tapi apa yang jadi? Pemimpin-pemimpin itu ke mana perginya? Kami dibubarkan, kerana pemimpin tak ada. Sekarang British sudah datang, dan kami tidak dapat melawan, kerana komando tak ada.

***

Mahadi: Kata ayah, perjuangan kemerdekaan tidak cukup dengan miting-miting, dengan main muslihat antara satu sama lain dan mengabaikan tujuan pokok, mengabaikan lawan. Main interik-interik politik antara satu sama lain, akan menjauhkan kita dari tujuan asli. Kata ayah, yang mustahak, pertubuhan yang teratur dan berdisiplin, taktik yang tepat, strategi yang sempurna. Kata ayah, kebulatan padu antara pemimpin-pemimpin yang utama. Interik boleh dipakai sebagai muslihat semata-mata kalau bermain dengan lawan, berdasarkan pragmatisme. Tapi ini taktik, bukan tujuan.

***

Mahmud mau merdeka. Tapi secara matang. Tidak serampangan. Mahmud mau cita-cita kemerdekaan menyeluruh kepada rakyat. Tapi rakyat yang masih cinta feudal, terpisah jauh dari sikap Kesatuan Melayu Muda yang pada hakikatnya mau merdeka dengan tanpa raja.

Bukan Mahmud setuju adanya raja berkuasa mutlak. Tapi bagi Mahmud, dalam negeri-negeri Tanah Melayu, raja-raja masih tetap merupakan alat strategi yang pokok. Untuk itu taktik licin perlu untuk menguasai rakyat yang masih cinta kepada raja mereka.

Ini sebabnya Mahmud tidak terkemuka. Terpencil. Akhirnya Inggeris jatuh, harapan Mahmud amat akan mendapat keuntungan politik. Sebab dia melihat ada persefahaman antara KMM dengan beberapa orang raja secara rahsia. Mahmud cergas dan terus terang dalam gerakan ini. Tapi kemudian pertubuhan ini dibubarkan Jepun, sebab Jepun tau sudah ke mana tujuan pertubuhan ini yang sebenarnya. Jepun milik widasi KMM, dan memujuk pemimpin-pemimpin mereka bekerjasama.

                                                                                                    ***  
         
Mahadi: Bagaimana? Tidak percaya kepada PETA?

Zahid: Kami percaya. Tapi berapa batalionkah PETA itu? Berapa banyakkah senjatanya? Kau lihat, pasukan 136 dari hutan lebih kuat senjatanya dari PETA. Pasukan Bintang-tiga lebih kuat dari segala-galanya. Tapi pasukan 136 itu siapa? Dia British. Bintang-tiga itu siapa akhirnya? Dia setuju Inggeris datang. Nah, kami akan melawan? Sedang pemimpin-pemimpin KRIS sendiri pecah-belah.

Mahadi: Dan ada yang lari, bukan begitu?

Zahid: Lancang kau.

Mahadi: Kenyataan. Gunung boleh dihapuskan. Tapi siapa sanggup membuang sejarah?

***

Mahadi: Huh, habiskanlah dunia ini dengan tidur. Besok kalau kau bangun, kau dapati negerimu sudah dipenuhi musuh. Dan kau sudah kehilangan dirimu sendiri.

Zahid: Kalau kita lemah, kita mesti mengaku dengan sedar bahawa kita lemah. Dari kesedaran itu akan menjadi landasan utama untuk bertindak. Nah, demikian kami. KRIS tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Kami akan dirikan partai baru. Partai ini akan berjuang menurut yang termampu dari kenyataan-kenyataan yang wujud.

Mahadi: Jadi undur ke belakang dan mulai lagi, setelah membuang waktu yang terluang kosong selama dua minggu itu? Kenapa barisan pemuda tidak bertindak sendiri mengisytiharkan merdeka?
Zahid: Kita akan ditentang pasukan 136. Kita akan berlawan dengan Bintang-tiga. Kita akan diserbu Inggeris, mengerti engkau?

Mahadi: Kami dari perwira-perwira muda PETA sudah memperhitungkan semuanya, abang tau? Sayang komando tidak ada. Sayang hubungan tidak ada. Sayang mereka pengecut. Kami yakin, kalau merdeka diisytiharkan, kelak sebahagian besar pasukan 136 akan memihak kita. Sebahagian yang tidak mau turut akan dinon-aktifkan. Bintang-tiga juga mau merdeka. Merdeka dulu. Itu yang penting. Dalam merdeka, dengan umpan merdeka, kami yakin rakyat dapat dibangkitkan dengan senjata Jepun.

***

Pak Dollah: Bapak masuk Melayu Bersatu anak masuk Melayu Merdeka, mana yang betul, cikgu?

Cikgu Karim: Tak taulah lagi. Besok-besok kita tengoklah. Sama-sama lawan orang putih. Sama-sama mau merdeka. Tapi Melayu Merdeka mau merdeka sama orang Cina dan orang India sama. Melayu Bersatu mau merdeka sendiri saja.

Pak Dollah: Habis bagaimana pasal kabung-mengabung marah orang putih itu, apa jadinya?

Cikgu Karim: Itu pasal orang putih mahu buang raja-raja Melayu. Orang Melayu naik marahlah. Tapi itu bukan hal Melayu Bersatu saja. Melayu Merdeka juga bantah sama.

Pak Dollah: Jadi sama-sama sayang rajalah nampaknya?

***

Hamzah: Tapi kita mesti bersatu, cikgu. Orang Melayu mesti bersatu. Tengok, orang Cina sekarang sudah mulai minta diakui. Orang India juga minta diakui. Semua mau sama dengan kita. Manakan boleh. Itu pasal kami lawan habis-habisan Malayan Union ini. Sebab negeri ini mau dijadikan Malayan,  bukan Melayu lagi.

Cikgu Karim: Itu kata kau, Hamzah. Tapi orang lain, lain pula fikirnya. Tengok Zahid saja. Bukan dia tidak cinta Melayu. Dia cinta Melayu. Dia cinta Tanah Melayu. Dia mau merdeka. Tapi Zahid kata dulu, dalam dunia dan politik moden sekarang ini, bukan turunan bangsa itu yang jadi pokok. Yang jadi pokok ialah menyatukan semua turunan bangsa dalam suatu negeri, dijadikan satu rakyat yang sama, menjadi satu bangsa dalam sebuah negara yang merdeka. Jadi betul juga. Mau buang ke mana orang-orang Cina yang sudah lahir beranak-pinak di sini ratusan tahun itu? Mau buang ke laut? Menurut Zahid, asal mereka tidak mengacau, asal mereka mau betul-betul jadi orang sini, apa salah mereka jadi rakyat? Kau tengok siapa yang meniaga? Cina dan India bukan? Siapa jadi kuli? Cina dan India bukan? Ah, panjang cerita, Hamzah. Itu sebab saya tidak mau lagi campur politik ini semua. Jadi guru sudahlah.

***

Orang Perak: Kalau kita lihat peta Asia itu, hanya negara kita saja yang belum apa-apa ke arah kemerdekaan. Belum apa-apa, walaupun sudah sepuluh tahun kita bergerak cara tegas. India akan merdeka tahun depan. Tak lama lagi. Juga Pakistan. Thailand memang negara yang merdeka. Filipina merdeka tahun ini. Indonesia memerdekakan dirinya tahun lalu, dan sekarang sedang berjuang hidup atau mati untuk mempertahankan kemerdekaannya. Indo-Cina sedang berjuang keras untuk merdeka. Tapi kita, bagaimana?

Cikgu Karim: Kita juga berjuang.

Orang Perak: Betul, cikgu, betul, kita juga berjuang. Tapi cara bagaimana? Bulan Ogos tahun lalu, kami dicabar saudara Zahid ini. Dia cabar kami, supaya kemerdekaan diisytiharkan waktu itu juga. Mengisytiharkan kemerdekaan, mudah. Amat mudah. Tapi mempertahankannya, lain soalnya. Mengekalkannya, lain soalnya. Menyusun pemerintahannya, lain soalnya. Semua memerlukan tenaga yang lengkap dan tidak setengah-setengah.

Cikgu Karim: Ya, kenapa tidak diisytiharkan seperti Indonesia?

Orang Perak: Ini yang hendak saya jawab sekarang. Memang benar, bahawa rata-rata kita semua sudah berfikir hendak merdeka. Memang benar, bahawa kita sudah sedar sebagai satu bangsa dan sebuah negara yang mesti merdeka. Tapi sebahagian besar dari bangsa kita, baru kepada dua taraf ini saja. Ada tiga taraf lagi, pada waktu itu yang belum jelas, kita tidak boleh bertindak gopoh. Ini soal nyawa jutaan manusia. Ini soal sejarah saudara-saudara.

Zahid : Apalagi yang tiga itu?

Orang Perak: Soal kesanggupan mengambil kesimpulan muktamad dari kesedaran dan fikiran hendak merdeka itu. Saudara Zahid dapat mengikuti hal ini selama Jepun berkuasa. Dari seluruh pemimpin-pemimpin, belum ada kesanggupan muktamad yang dapat diambil secara padu dari mereka. Ini saya akui, saya tidak malu-malu. Ramai di antara mereka, berpolitik hanya untuk beras dapurnya sendiri. Ramai untuk melindungi nyawanya sendiri. Ramai yang munafik. Munafik, kataku. Lain hatinya, lain katanya, lain perbuatannya. Dan puncak dari bukti itu, ialah dalam kongres kita di Kuala Lumpur. Mereka berpecah, ada yang merajuk, ada yang tak sanggup lagi, sebab tuannya sudah diyakininya akan datang, tuan Inggeris lamanya.

Zahid: Tapi sekarang bagaimana? Sudah adakah kesanggupan mengambil kesimpulan muktamad dari para pemimpin?

Orang Perak: Politik negeri ini kian meruncing. Mungkin Inggeris mengalah tentang Malayan Union. Tapi dia akan bertindak meleburkan lawannya yang terkuat, kalau dia berhasil, hakikat Malayan Union itu akan jalan terus juga. Waktu itu, kita akan lihat, benar-benarkah sudah ada kesanggupan mengambil tekad bulat dari kesimpulan yang muktamad.

Cikgu Karim: Dua lagi?

Orang Perak: Ini penting, lebih penting dari tadi. Iaitu keberanian bertindak berdasarkan dari kesimpulan muktamad tadi. Keberanian, kataku. Keberanian. Bukan berani buta, tapi dengan ikhlas hati, dengan akal yang jernih, dengan jiwa yang teguh, merelakan hidupnya sebagai orang politik. Zahid ingat Busad? Saudara-saudara tentu dapat melihat, berapa ramaikah dari orang-orang yang mengaku dirinya pemimpin rakyat, yang berani seperti itu? Jangan lupa, dulu, sekarang dan akan datang, banyak orang masuk politik, banyak orang menepuk dada mengaku mau merdeka, tapi hanya katanya saja. Ini perlu diuji. Apa tindakannya?

Orang tak dikenali: Sekarang baru dua dari yang tiga Encik katakan tadi, jadi yang satu lagi apa dia?

Orang Perak: Ini kuncinya. Konsekwen. Orang mesti konsekwen menerima dengan jiwa teguh akibat dari keberaniannya bertindak. Kalau dia tidak konsekwen, tidak akan ada gunanya. Dia akan mengkhianat, bukan saja kepada orang lain, tapi juga kepada dirinya sendiri. Jadi saya ulangi; kita perlu lima lapis. Pertama kesedaran akan kemerdekaan. Kedua, sanggup memikirkan secara muktamad dan menyeluruh kemerdekaan itu. Ketiga, berani mengambil keputusan muktamad dari pemikiran itu. Keempat, berani bertindak berdasarkan dari keputusan muktamad itu. Dan yang penting sekali, iaitu yang kelima, konsekwen memikul tanggungjawab akibat dari tindakan itu.

Cikgu Karim: Apa semuakah rakyat mesti ada sifat-sifat ini baru kita boleh isytiharkan merdeka?

Orang Perak: Tidak. Bagi umum, cukup dengan tingkat pertama dan kedua. Tapi bagi pemimpin, mesti cukup hingga kepada tingkat kelima.

Zahid: Sekarang sudah jauh lebih baik dari tahun lalu, bagaimana kalau kita isytiharkan merdeka sekarang ini?

Orang Perak: Kalau diperhitungkan perimbangan kekuatan, kita sekarang berada pada titik yang terlemah. Jangan lupa, kita masuk golongan kebangsaan sayap kiri. Lawan kita bukan Inggeris semata-mata, tetapi juga orang-orang kebangsaan sayap kanan. Orang ini akan dimanjakan Inggeris untuk mempercepat kematian kita. Dan ketika kita mati, orang ini juga tak lebih dari alat, alat seperti steam-rol, meratakan jalan untuk dilalui tuan-tuan. Jadi kelak, kalau kita sudah lumpuh, orang-orang itu akan digunakan, tetap dipelihara, untk menguasai rakyat, supaya kapitalis dan imperialis Inggeris melaksanakan eksploitasinya dengan tidak terganggu. Lihat peta itu! Kekuatan Inggeris dan sekutunya mengepung kita. Dia ada di India, walaupun India akan merdeka. Dia ada di Filipina, walaupun Filipina sudah merdeka, tetapi sekutu Inggeris ada di sana. Lihat di Indo-Cina, di sana Perancis, sekutu Inggeris yang berkuasa. Dan lihat dalam negeri……

***

Bahar: Kalau kita perhatikan, sebagai taktik, kita sudah melangkah tiga tapak. Tapak pertama, kita selamatkan orang-orang kita yang tertangkap zaman British Military Administration dengan menggunakan pengaruh orang-orang dari MPAJA dan jasa-jasanya. Untuk itu kita bergabung dengan badan-badannya, dengan suatu ikatan tujuan bersama. Kau lihat, konsep dalam rangkap pertama itu nampaknya kita lemah. Cuba baca Gani, apa ikhtisar dari dasar persetujuan itu?

Gani: Memperjuangkan tercapainya persatuan Malaya dengan Singapura termasuk di dalamnya. Memperjuangkan tercapainya Dewan Undangan Pusat seluruh Malaya dengan jalan pilihanraya. Memperjuangkan adanya hak-hak politik yang sama bagi semua orang yang menganggap Malaya sebagai tanahairnya dan tempat tumpah darahnya.

Bahar: Memang dalam konsep itu hak-hak orang Melayu sebagai suatu bangsa tidak tersebut. Tapi pokok perjuangan tidak merugikan kita. Ini pula yang jadi senjata Melayu Bersatu menghentam kita mengatakan Melayu Merdeka mau jual negeri ini kepada bangsa lain.

Zahid: Tapi itukan sudah ditambah?

Bahar: Memang betul. Sebab kita sudah makin kuat, sebab orang-orang kita sudah lepas, maka dalam persidangan yang kedua, All Malayan Council Of Joint Action dan Putra menambah lagi tiga perkara. Cuba baca lagi Gani!

Gani: Sultan-sultan Melayu berkedudukan sebagai Raja-raja di bawah perlembagaan dengan tidak menerima nasihat dari penasihat-penasihat Inggeris, melainkan dari rakyat melalui cara demokrasi. Hal ehwal agama Islam dan adat-istiadat orang-orang Melayu adalah urusan orang-orang Melayu sendiri. Perhatian istimewa akan diberikan kepada orang-orang Melayu untuk kemajuannya.

Bahar: Jadi tiga tambahan itu khas untuk kita, bukan untuk mereka. Ini memang wajar, sebab pada langkah kedua itu, memang kita mulai makin kuat, malah mereka sendiri mulai tertekan, sebab Inggeris bukan saja tidak menerima permintaan mereka, malah hendak meleburkannya. Kita tau, kita tidak bergantung lagi padanya, tapi dia berharap kepada kita.

Hamid: Tapi mengapa Melayu Bersatu terus juga menghina dan memfitnah kita?

Bahar: Dalam politik kau jangan menaruh dendam, Hamid. Aku dengar suaramu mengancam.

Zahid: Hati memang panas.

Bahar: Biarkan mereka. Dia mau merdeka. Kita mau merdeka. Kita sudah jelaskan konsep yang akan kita tuju. Tapi mereka apa? Dia tidak berunding sesama rakyat menentukan haluan, tapi berunding dan tawar-menawar dengan Inggeris sendiri. Memang lemak, tapi semut juga mati dalam gula. Puncak yang kita capai dalam menentukan sesama rakyat berbilang turunan ini, kita peroleh dalam langkah ketiga. Ini memang wajar kita dapat, sebab mereka sendiri sudah berpecah, sebagaimana kita juga. Kita pecah jadi dua, Melayu Bersatu dan Melayu Merdeka. Mereka pecah lebih parah, antara golongan miskin dan  ketiga. Mana salinannya tadi Zahid, kau ada ambil sekeping dari naskhah siaran untuk akhbar bukan?

Zahid: Bahasa Melayu harus dijadikan bahasa rasmi di Malaya. Urusan luar negeri dan pertahanan negeri harus menjadi tanggungjawab bersama antara kerajaan Malaya dan kerajaan Inggeris. Istilah ‘Melayu’ harus merupakan istilah bagi kewarganegaraan rakyatnya. Bendera kebangsaan iaitu Merah Putih.

Bahar: Besok, kalau berita itu tersiar, kau perhatikan, apa pula kata Melayu Bersatu, tentu banyak pula dalihnya.

Zahid: kalau dia orang berhati perut, tentu mereka berterima kasih kepada kita.

Bahar: Dalam hal ini, Melayu Bersatu tidak jadi soal. Mereka tau, apa kepentingan kita, itu juga kepentingan mereka dalam hal ini. Tapi jangan lupa, puncak ini kita capai. Inggeris tidak akan diam begitu saja. Inggeris tau, kalau rakyat menyedari hal ini, mereka akan memihak kepada kita semua. Ini Inggeris tidak rela. Maka hati-hatilah. Inggeris akan memasang perangkap supaya kita jatuh dan patah.

Gani: Patah tumbuh hilang berganti, kata Sapiah dalam mesyuarat semalam.

Bahar: Memang betul. Tapi kalau kita patah, yang akan jadi ganti membawa cita-cita ini bukan kita lagi. Mungkin Melayu bersatu, atau lain-lain partai politik yang lahir nanti.

Hamid: Kalau akan begitu jadinya, apa salahnya kalau mereka juga dari sekarang berdasar seperti kita juga?

Bahar: Tentu tidak sekarang, belum masanya. Jangan paksa buah supaya masak. Dia masak sendiri bila tiba waktunya.

Zahid: Bagaimana kalau kelak Melayu Merdeka diharamkan, dan Melayu Bersatu masih hidup, bolehkah kita dorong dia supaya mengambil alih dasar kita itu?

Bahar: Partai bukan soal. Yang soal dasar itulah. Apa partai saja yang mau mengikut dasar itu, ayuh, dorong dia. Kalau perlu, kau masuk ke dalamnya.

***

Sapiah: Aku anak dara. Menurut adat, kalau ada pemuda yang mau kawin dengan aku, dia mesti pergi meminang aku pada orang tuaku. Dia mesti bayar mas-kahwin. Dia mesti bawa wang belanja kawin. Tapi aku tidak mau itu, dan tidak akan kawin cara itu.

Bahar: Cara apa kau kehendaki?

Sapiah: Bawa kepala Inggeris. Itu mas-kahwin aku. Pemuda yang tidak sanggup membawa kepala Inggeris, tidak akan jadi suamiku!

***

….Bahar tenggelam dalam pemikiran-pemikiran sejarah politik Tanah Melayu yang dilaluinya sejak Inggeris datang semula. Partainya, Melayu Merdeka, yang didirikan pada saat Jepun jatuh, sudah kehilangan kesempatan yang terbesar, sebab ramai pemimpin pemimpin yang ditangkap dalam zaman pemerintahan British Military Administration, sebagai orang-orang yang dituduh kolaborator. Dan pada waktu itu juga terjadi kebangkitan yang mendadak dari kalangan bangsa Melayu, bangun serentak menentang Malayan Union. Walaupun Melayu Merdeka turut menentang rancangan itu, tapi suaranya tenggelam oleh suara-suara golongan sederhana dari kalangan pemimpin-pemimpin Melayu masa itu. Malah dari kawan-kawan Bahar sendiri dalam KRIS dulu, yang menarik diri pada saat yang tergenting yang juga menyebabkan gagalnya pengisytiharan merdeka itu, sekarang jadi juara-juara yang terbilang di mana-mana. Ini jadi saingan hebat kepada Melayu Merdeka.

Oleh kerana kehilangan banyak pemimpin, dan oleh kerana sebahagian besar bangsa Melayu masih takut-takut bersikap tegas dalam politik, maka Melayu Merdeka hanya dimasuki oleh orang yang benar-benar ekstrem saja. Dan ketika kebangkitan serentak itu, kedudukan Melayu Merdeka sebagai sebuah badan politik yang tegas, kehilangan kesempatan yang terbaik menjadi juara menghimpunkan seluruh-seluruh pertubuhan-pertubuhan bangsa Melayu yang sudah bangun semula waktu itu. Melayu Merdeka hanya jadi salah satu anggota saja dalam gabungan pertubuhan itu, Melayu Bersatu.

Kemudian keluar pula dari Melayu Bersatu itu, akibat dari beberapa anggota-anggota pemimpin Melayu Merdeka menentang tegas-tegas hal corak bendera.

Satu kemujuran, iaitu sahabat-sahabat Bahar dalam bekas Malayan People Anti-Japanese Army, yang masih masin mulutnya kepada Inggeris, dapat berjasa besar, hingga sebahagian besar dari pemimpin-pemimpin Melayu Merdeka bebas kembali.

Tetapi percaturan itu kian meruncing juga. Melayu Merdeka dapat bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Cina dan India. Tapi umumnya pertubuhan-pertubuhan kiri. Ini ditakuti oleh bangsa Melayu, yang umumnya berpandangan politik sederhana. Dan ini juga menyebabkan Melayu Bersatu makin kuat. Orang-orang didikan Inggeris yang mempunyai kesedaran politik, masuk Melayu Bersatu, dan menjauhi Melayu Merdeka.

Inggeris juga bersikap membimbing kepada Melayu Bersatu, dan keras menekan kepada Melayu Merdeka, terutama setelah nyata bekas kawan Inggeris pada zaman Jepun, iaitu orang-orang Malayan People Anti-Japanese Army itu sudah menentang dasar Inggeris di Tanah Melayu.

Bahar menyedari hal ini, bahawa sikap Inggerismemang tidak mengejutkan, sebab adanya kaitan kerjasama dan persahabatan peribadi antara orang-orang Melayu Merdeka dengan orang-orang yang berkawan dan kemudian menentang Inggeris itu.

Kesedaran inilah yang menyebabkan Bahar berkata tadi di rumah Zahid, bahawa mungkin Inggeris akan memasang perangkap, untuk kita jatuh dan patah.

Tetapi dari gambaran umum, Bahar tetap gembira, sebab bagaimanapun juga, perjuangan kemerdekaan sudah dimulai dengan sungguh-sungguh, dan badan-badan politik, terutama Melayu Bersatu sudah diakui secara de fakto dan de jure oleh Inggeris. Melayu Bersatu sudah dibawa berunding, untuk membentuk suatu pemerintahan baru sebagai ganti dari rancangan Malayan Union itu.

“Siapa saja, ayuh jalan, asal kemerdekaan itu jadi tujuan utama,”demikian keputusan dalam hati Bahar.
***

Bahar: Dalam politik ini, ada kalanya kita berteman, bergabung tetapi dengan kemahuan yang berlainan. Kami misalnya dengan rakan gabungan kami. Kami dari Melayu Merdeka masih tetap menghormati dan mempertahankan Raja-raja Melayu. Tapi rakan gabungan kami, dari awal sudah menekankan tidak mau adanya raja, mereka terus mahu pemerintahan republik dalam Tanah Melayu merdeka nanti. Dalam hal ini, kami bertelagah, dan akhirnya mereka mengalah. Kami berjaya menundukkan mereka, sebagaimana dasar tambahan yang kami putuskan dalam persidangan kedua itu.

***

Zahid: Modal utama bagi seseorang pemimpin, ialah moralnya yang terjaga. Tanpa moral lebih baik jangan hidup.

***

Zahid terdiam. Kepalanya penuh masalah-masalah yang timbul sejak semalam. Dia sudah dalam Melayu Bersatu tiga tahun. Dia sudah bekerja keras untuk menarik masuk kawan-kawannya. Dia sudah banyak berjasa menyelamatkan krisis dalam partai itu yang timbul akibat dari faham konsep Melayu saja. Akhirnya Zahid mempengaruhi ayahnya berlembut dalam konsep yang menimbulkan krisis itu.

Setelah berhasil melembutkan ayahnya sendiri, dia bekerja lebih kuat lagi, memberikan penerangan di mana-mana dalam bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan Melayu Bersatu di seluruh Johor. Itu semua sudah berlalu, tapi yang difikirkannya sekarang, ialah adanya gelombang baru dalam partai. Partai sudah bergabung dengan partai politik orang-orang Cina yang berhaluan kanan. Zahid terlalu hati-hati dalam hal ini.

Dilihat dari keadaan yang wujud, ini amat baik, sebab tenaga perjuangan untuk kemerdekaan kian padu dan kuat. Tetapi ada element pelampau dalam Melayu yang mulai bersuara kembali. Terutama kerana partai kawan Melayu Bersatu ini mengemukakan tuntutan yang menggemparkan; mereka mau segala orang-orang Cina yang lahir di Malaya nanti dengan sendirinya jadi rakyat.

Kalau menurut perhitungan Zahid, dan menurut cita-cita sosial politiknya, baginya tidak ada keberatan apa-apa, sebab dari dulu pun, dalam partai Melayu Merdeka, ini juga sebahagian dari perjuangannya. Tetapi yang jadi masalah, ke mana tujuan taat setia golongan kanan ini? Dataran Tiongkok pasti bukan, mereka sudah ketakutan oleh momok komunis. Tetapi dari kalangan pemimpin-pemimpin mereka, dulu orang-orang Kuomintang, dan sekarang pun terang-terang pemuja Chiang Kai Shek. Akan ke Formasakah taat setia mereka?

***

Zahid: Soalnya kita mahu merdeka. Selagi kita gunakan jalan perjuangan kemerdekaan dengan perundingan, selama itu kita mesti pandai bermain. Menolak mentah-mentah tak akan memberi faedah.

Matali: Kalau begitu, hakikat dari maksud Malayan Union kita terima.

Zahid: Tidak benar! Jus solai hanya salah satu dari maksud Malayan Union.

Matali: Mungkin betul. Tapi saudara tau apa akibatnya dalam jangka tiga atau empat puluh tahun? Katalah itu diterima, dan semua orang yang lahir di Tanah Melayu mulai tahun kemerdekaan wujud; mereka akan jadi rakyat, apa ertinya itu? Kukira, dua puluh satu tahun kemudian, kalau ada pilihanraya, bangsa Melayu akan dilebihi dari orang-orang Cina dan India.

Zahid: Kita tak boleh terlalu fanatik berdasarkan turunan darah. Kita perlu membentuk bangsa merdeka di Tanah Melayu berdasarkan dari process nation, bukan process race.

Matali: Soalnya keselamatan bangsa kita.

Mahmud: Kalau kita dalam Melayu Bersatu masih bertengkar tentang ini, kita akan tak sampai ke mana. Jangan dilupakan partai-partai lawan yang menjadikan masalah ini alat menentang kita.

Matali: Saya sedari itu. Malah ini juga sudah banyak kali saya terangkan di Terengganu. Tapi orang-orang kita di sana terlalu ghairah. Mereka melihat ini sebagai momok masa akan datang.

Zahid: Saudara terpengaruh?

Matali: Memang.

Zahid: Saudara melangkah mundur, kalau begitu. Sebelum perang dalam Melayu Muda saudara sudah menerima konsep kerakyatan dari berbagai turunan ini dengan memperjuangkannya menghadapi British. Dalam Melayu Merdeka saudara salah seorang dari yang menyokong kami dalam hal ini.

Mahmud: Kita lupakan ini buat sementara. Kita sekarang dalam proses penyusunan tenaga menghadapi pilihanraya. Jus solai akan diselesaikan dalam parlimen kalau kita sudah merdeka.

Zahid: Saya kira itu lebih tepat. Kita tidak mau sekarang British dapat helah menolak tuntutan kita!

Matali: Jadi ini taktik?

Mahmud: Benar!

Matali: Kalau itu hanya taktik, saya setuju. Tapi kalau itu jadi tujuan, saya keberatan. Sebab kalau tidak pandai-pandai mengendalikan masalah ini waktu-waktu akan datang, saya dapat satu kesimpulan; kalau Jus solai diterima dan dilupakan bahawa itu hanya taktik, maka akan wujud satu kenyataan.

Mahmud: Kenyataan apa?

Matali: Jus solai mungkin akan dapat menolong membina satu negara yang kita cinta, tapi lambat launnya kita akan membenamkan bangsa yang kita cinta.

Zahid: Kau takut?

Matali: Tidak!

Zahid: Nah, sudah. Kita ada waktu. Kalau kita merdeka dalam jangka 10 atau 20 tahun, dan kita bekerja dengan jujur dan sunguh-sungguh, bangsa kita tidak akan hanyut seperti yang kau katakan.

Matali: Mudah-mudahan.

***

Zahid: Dia musuh negara? Negara mana? Dia bangsa Melayu. Bangsa Melayu berpolitik, dan ada di antaranya, termasuk Sapiah terlibat dalam tindakan keganasan orang-orang gerila, sebagai puncak dari sikap politiknya. Tapi pasti bukan kerana bencinya kepada negara. Malah kerana sayangnya kepada negara itulah. Menurut perhitungannya, dengan bertindak demikian, dia membuktikan cintanya.

Gani: Kenapa Sapiah turut berontak?

Zahid: Sudah kukatakan, itu kerana cintanya kepada negara Tanah Melayu.
Gani: Dia melawan.

Zahid: Betul, dia melawan. Tapi melawan siapa? Dia melawan kekuasaan yang wujud sekarang. 
Tapi kekuasaan yang wujud sekarang siapa? Itu bukan kekuasaan negara Tanah Melayu. Itu kekuasaan pemerintahan penjajah. Itu yang dilawan Sapiah.

Gani: Baiklah, kalau kita ditakdirkan Tuhan mencapai kemerdekaan, adakah Sapiah akan keluar dan bersama kita lagi berjuang untuk mengisi kemerdekaan?

Zahid: Itu harapan saya. Tapi jangan lupa, pertentangan politik yang bertolak dari faham, tidak mudah mempertemukannya. Jangan kau lupa, kita Melayu Bersatu sekarang ini saja partai rasmi yang kuat. Jadi mungkin tangan kita akan capai kemerdekaan itu. Ertinya, dalam negara yang merdeka itu, kita akan bentuk pemerintahan. Tapi itu pemerintahan saja. Kalau Sapiah tentang lagi dasar pemerintahan kita kelak, pasti dia tidak akan bekerjasama dengan kita.

Gani: Nah, kalau begitu kita akan lawan.

Zahid: Sudah pasti. Juridis politik, aku dalam Melayu Bersatu, kelak kalau Melayu Bersatu membentuk pemerintahan, dan Sapiah masih melawan, kau tau, Gani? Aku melawan Sapiah, Sapiah melawan aku. Ini kewajipanku dari segi hukum politik. Mungkin kelak aku mati, atau dia mati…

Gani: Tapi fikir aku, kalau sudah merdeka, Sapiah tak akan melawan lagi. Buat apa dia lawan negara lagi?

Zahid: Sapiah tidak pernah melawan negara. Yang dia lawan pemerintah. Pemerintah sekarang dia lawan, sebab dia tidak setuju caranya pemerintah ini melakukan kekuasaan atas negara Tanah Melayu. Masa depan pun mungkin demikian. Mungkin dia akan melawan, tapi pasti yang dilawannya ialah pemerintahan kita, bukan negara kita.

Gani: Karut…Negara dan pemerintah apa beza?

Zahid: Memang berbeza. Pemerintah ialah kekuasaan. Negara ialah tempat kekuasaan itu menjalankan kekuasaannya. Jadi kita bandingkan sebuah rumah besar ialah negara. Orang yang berkuasa dalam rumah itu ialah pemerintah. Tapi adakah seluruh penghuni rumah setuju dengan yang berkuasa dalam rumah itu? Ini yang selalu terjadi di mana-mana. Selalu ada pertentangan dalam rumah. Tapi yang bangkit menentang kepada yang berkuasa, bukan kerana melawan rumah, tapi melawan yang berkuasa itulah.

Gani: Kau setuju dengan pemerintah sekarang?

Zahid: Tidak.

Gani: Kenapa masuk Melayu Bersatu?

Zahid: Melayu Bersatu melawan pemerintah sekarang. Kita berjuang hendak merebut kemerdekaan kita, hendak mengambil kekuasaan dari pemerintah sekarang ke tangan kita.

***

Busad: Ayah mesti fikirkan. Melayu Bersatu tidak berdiri sendiri dalam pemerintahan. Melayu Bersatu berkongsi tiga. Setiap kongsi itu masing-masing dari golongan sayap kanan. Dan terang tidak mendukung segala golongan suku bangsanya masing-masing. Dari dua suku bangsa yang lain itu, telah menancapkan tonggak strateginya dalam rebutan-rebutan hidup masa depan di Tanah Melayu. Golongan kanan dalam pemerintahan, golongan kiri di luar sebagai pembangkang. Nah, apa akan jadi kepada Melayu Bersatu kalau seluruh bangsa Melayu hanya dalam Melayu Bersatu saja?

Mahmud: Pasti kita lebih kuat.

Busad: Pada lahirnya memang betul. Tapi betapa kuatnya pun, dengan pertaruhan total itu, kalau menurut perlembagaan yang ada, dan menurut platform yang ada dalam Melayu Bersatu dengan kongsi-kongsinya, Melayu Bersatu tidak akan dapat berbuat lebih dari yang ditentukan.

Mahmud: Kenapa?

Zahid: Sebab keputusan mutlak tidak di tangan Melayu Bersatu saja. Keputusan mutlak di tangan dewan nasional partai, Dan dewan nasional partai jelas, bahawa suara Melayu hanya enam dibanding dengan suara Cina enam dan suara India 3.

Mahmud: Dari mana awak tau hal ini? Siapa beritau?

***

Andang: Kami mau menyerah. Bagi kami, perjuangan ini sudah selesai, negeri ini sudah merdeka menurut pilihan rakyat. Yah, memang tidak memuaskan, itu pasti. Tapi kita sekarang ada negara, pemerintah, dan perlembagaan tempat kita berpegang untuk kita berjuang mengisi kemerdekaan.

***

Busad menarik nafas lega, lalu menghembusnya panjang-panjang. Sejenak hatinya melayang jauh, kepada Bahar, dan mengingat keterangan Mahmud beberapa hari dulu…

“…saya terlalu sedih, tapi apa yang mesti saya buat? Dia tidak diundang.”

Hati Busad tersayat, sebab dia tau benar, siapa-siapa sebenarnya pejuang kemerdekaan, siapa-siapa sebenarnya penentang penjajahan. Kemudian diubatinya hatinya sendiri dengan suatu anggapan yang negatif; mungkin Bahar tidak sesedih apa yang dirasakan Busad dan Mahmud sendiri. Tapi Busad tau dari Zahid, bahawa banyak pegawai-pegawai tinggi, saudagar-saudagar, membeli dengan harga mahal kad undangan kepada pejuang-pejuang yang diundang, untuk mereka hadir dan memperlihatkan muka dalam penyambutan merdeka ini. Busad melihat suasana ini, ramai yang berlagak; kelihatan lebih gagah dan lebih gembira dari pejuang-pejuang yang sebenarnya.

***

Zahid: Saya tidak pandang ringan kemenangan yang kita capai. Tetapi saya tak mahu golongan pemuda diperkecil jasanya. Jelas, pemuda yang selalu menyorong kepalanya ke depan, bersedia menanggung akibatnya. Tapi apa akan didapat oleh golongan pemuda, dan apa erti perjuangan kemerdekaan yang kita lakukan, kalau di samping kita merdeka, British juga yang menguasai pertahanan?

Mahmud: Kenapa kau terlalu titik beratkan soal ini? Kau sedar apa yang aku katakan? Hah? Jangan pandang ruginya semata-mata dengan perjanjian pertahanan itu. Kau tau, kita masih dalam taraf belum kuat mempertahankan diri sendiri. Kau mesti tau, kemerdekaan ini dicapai bukan semata-mata kerana jasa-jasa pemuda, malah bukan semata-mata kerana hasil perjuangan bangsa Melayu seluruhnya. Kau pun tau, kalau dibandingkan sebagai sebuah syarikat perniagaan, syer bangsa Melayu seluruhnya hanya sepuluh persen. Ertinya kemerdekaan ini dicapai, dengan perjuangan kita seluruhnya yang hanya sepuluh persen dari semua sebab-sebab maka Inggeris menyerahkan kemerdekaan ini.

Zahid: Jadi jasa pemuda tidak dihargai?

Mahmud: Bukan saya katakan tidak dihargai. Harganya memang ada. Yang penting sebagai kenyataan, pemuda telah menjadi batu catur yang paling taat.

Zahid: Kami bukan batu catur semata-mata, kami pelaku dan kami pelaksana dalam kerja-kerja perjuangan kemerdekaan ini.

Mahmud: Memang betul. Memang benar, pemuda pelaku dan pelaksana. Tapi apa lebihnya dari itu? Kurasa belum ada. Pemuda hanya bergerak, hanya bersuara, kalau diberikan inisiatif. Dan kau sedari atau tidak, pemuda hanya bernyala-nyala perasaannya, kalau ditimbulkan suatu katalisator di depan hidung mereka. Tunjukkan, apa tindakan spontan dari mereka, yang lahir dari jiwa dan akal mereka sendiri? Semuanya dari kami, dari orang tua begini! Jangan kau sangka, bahawa ayah hendak menekan pemuda. Tidak! Tapi kadang-kadang ayah merasa kesal. Mengapa mereka tidak mau dan tidak sanggup membuat suatu moment yang bersifat abadi dalam sejarah partai? Lihat, perjanjian pertahanan itu bukan perkara baru, bukan semalam atau sehari sebelum merdeka. Kalau benar-benar pemuda tidak setuju, kenapa tidak tolak dari dulu?

Zahid: Saya sendiri bantah!

Mahmud: Nah, ini dia. Ini dia. Kau bantah. Tapi bantah dengan apa? Dengan mulut saja, bukan? Tapi kerja tak pernah selesai hanya dengan mulut. Tangan mau. Akal mau. Ini dia typical pemuda kita. Kau bantah, bantah, mentah, dan kau kalah. Lalu kau mahu tarik diri, masuk lain partai, begitu? Itu yang kau buat tinggal beberapa hari di Kuala Lumpur? Kau sedar? Sekarang banyak jin-jin politik buruk.

***

…Busad menggagas kepalanya, suatu cerita perbandingan:

Ada seekor kucing. Kucing ini dipelihara dari kecil lalu dididik supaya tunduk kepada pengasuhnya. Dia diberi bulu harimau, dan setiap saat dikatakan bahawa dirinya itu memang harimau, bukan kucing.Setelah kucing ini besar, sungguh-sungguh yakin, bahawa dirinya memang harimau, bukan kucing. Oleh sebab itu, pada suatu hari, kerana dia sudah tau bahawa makanan harimau ialah babi, anjing dan binatang-binatang lainnya dalam rimba, maka kucing yang disunglap jadi harimau ini pergi menyerang anjing yang akan dijadikan makanannya. Tetapi kerana dia kucing, dan bukan harimau sebagaimana sanjungan-sanjungan pengasuhnya atas dirinya, maka ketika dia menyerang anjing itu, bukan anjing yang kalah, tapi kucing ini luka parah, dan melarikan diri naik ke atas pokok.
Busad ketawa dalam perut, dan berkata dalam hati, “Kelak bangsa Melayu akan ditimpa nasib malang seperti kucing ini. Selama ini mereka didendangkan oleh pemimpin-pemimpin mereka, bahawa mereka kuat dan gagah berani, tidak diterangkan hakikat kelemahannya yang sudah menjadi penyakit kronik. Tapi nanti, kalau menghadapi kenyataan yang wujud, mereka akan kalah parah, kalau tidak dari sekarang menyedari wujud hakikat dirinya.”

***

Mahmud: Itulah sebabnya maka saya selalu katakan, pemuda-pemuda mesti mempermatang dirinya dalam politik. Bukan hanya pandai bercakap di sana sini. Dalam gerakan politik ada beberapa hal yang mesti kita perhatikan. Terutama yang tiga ini; geo-politik, geo-ekonomi, geo-strategi.

Matali: Kita tidak membicarakan politik internasional. Yang kita mau pecahkan ialah politik nasional kita.

Mahmud: Memang betul. Tetapi jangan lupa, politik di negara kita ini tidak dapat terpisah dari politik internasional. Jangan kau lupa, senjata siapa yang ada di sini, modal siapa yang ada di sini.

Zahid: Jadi?

Mahmud: Kita main. Kita jangan tinggalkan gelanggang, tapi kita mesti masuk ke tengah gelanggang itu.

Hamid : Tapi kalau kita lemah? Kalau ditarik kesimpulan dari keterangan Tuan Hakim tadi kita akan lemah dalam bilangan undi, kita lemah dalam kewangan. Kalau kita masuk gelanggang, kita akan ranap. Jadi saya fikir, lebih baik kalau dicari jalan lain, atau buat gelanggang lain.

Mahmud: (Ketawa terbahak-bahak) Jangan marah ya? Saya ini orang tua. Kalau kita keluar dari gelanggang sekarang, kita tidak akan dapat lagi masuk ke dalam. Biar kita lemah, tapi kita mesti masuk. Makin kita lemah, makin kita rapati, kalau dapat, kita masuk ke dalam jantungnya, mengerti?

***

Busad: Zahid, darahku adalah darah Melayu. Darahmu adalah darah Melayu juga. Darah sebangsa kita inilah yang hendak kita bela. Tapi kukira, kau sekali-kali mesti memisahkan diri dari kelaziman-kelaziman mereka. Kalau kau terbenam langsung ke dalam mereka dalam segala hal, kau tidak akan dapat berbuat banyak untuk mereka.

Zahid: Kenapa?

Busad: Selama saya di negeri ini, saya lihat, mereka hidup untuk makan. Tapi bagaimana caranya mendapat makan, itu tidak dihiraukan mereka. Tak usahkannya berjuang untuk mengambil. Masyarakat bangsa kita ini berada dalam taraf masyarakat menerima, bukan masyarakat merebut. Jauh sekali dari masyarakat memberi. Nah, itu sebabnya kukatakan, jangan terlibat kepada mereka dalam segala hal. Hindarkan sifat hanya menerima ini. Pertama, belajarlah merebut. Kalau kau berjaya ini, kau berjuang pula dalam dirimu sendiri, iaitu bertindak memberi. Jadi rebut, lalu memberi. Bukan meminta dan menerima saja.

***

Sapiah: Kalau bangunan balai raya, bangunan surau-surau, lapangan sepakraga jaring, apa benarlah ertinya bagi orang-orang Melayu di luar bandar dari segi ekonomi. Itu penanaman modal mati. Kenapa tidak dilaksanakan pembangunan luar bandar yang mengarah kepada terhapusnya kaum tengah yang menyebabkan orang-orang luar bandar kurus kuntang terperah?

***

Kadir: Nanti, kalau tiba giliran kami memegang tampuk kemudi untuk mengendalikan mereka, kami akan buat itu, ayah. Bukan menggiringnya ke peti undi semata-mata, tetapi membawanya juga ramai-ramai ke lapangan pendidikan. Masyarakat kita belum dididik. Masyarakat kita baru diajar. Ajar dan didik berlainan. Seperti juga muzik tadi. Mungkin mereka sudah diajar menggunakan instrument, tetapi belum dididik untuk mengenal fungsi instrument itu. Itu sebabnya tukang-tukang muzik diperalat oleh instrumentnya, bukan dia menjadikan instrument itu alatnya. Orang boleh diajar teknik, tetapi tanpa didikan akan fungsinya teknik, orang akan jadi alat teknik, bukan teknik alat orang.

***

Bagi Sapiah, persoalan jumlah; persoalan sosial, persoalan ekonomi; persoalan politik bangsa Melayu tidak akan selesai dengan pelaksanaan politik tampal-tampal. Dia memerlukan perubahan radikal, berani, tunggang-balik-roboh dan isi. Dia perlu revolusi mutlak. Tapi bagaimana? Dia sudah terlalu optimis dulu, dan melibatkan diri dan turut serta mengangkat senjata, tapi ternyata bagi Sapiah, bahawa pemuda-pemuda Melayu, yang penting bukan senjata melawan Inggeris, tapi yang enak ialah roti dan mentega Inggeris.

***

Zahid: Jumlah kita sudah kurang dari bangsa-bangsa lain. Sudahlah kurang, nilai pelajaran; nilai kecergasan; nilai ekonomi rendah pula lagi. Berapa lama boleh tahan? Bertahan saja sudah jadi persoalan besar, belum lagi mara…

Sapiah: Inikan persoalan lama? Kenapa baru sekarang disedari? Huh, demokrasi parlimen. Itu tak tepat. Itu penggali kubur dengan bangsa Melayu dalam masa begini.

Mahmud: Hakikat inilah maka kita mau bentuk Malaysia, Hid. Jangan kau tak tau. Kalau Malaysia jadi, kita bertambah.

Zahid: Bertambah? Memang! Tetapi berapa ribu orang Melayu di Sarawak? Dayak dan Cina yang menimbuni mereka. Berapa ribu Melayu di Sabah? Kadazan dan Cina yang menutup lingkup mereka. Berapa orang di Singapura? Melayu tak sampai 20%. Nah, katalah Berunai masuk, tak sampai seratus ribu, campur Kedayan, Dusun dan Cina.

Zahid: Kalau Malaysia hendak dibentuk dengan perhitungan ini, saya fikir mesti dipertimbangkan dulu. Tapi satu hal; kenapa tidak dilaksanakan dulu Claim Nasional kita? Itu lebih tepat, dari segi historis, dan politis, juga strategis.

Mahmud: Claim Nasional apa yang kau maksud?

Zahid: Kembalikan empat buah negeri Melayu di Selatan Siam itu! Kalau ayah sanggup mengadakan lobby kepada kawan-kawan ayah dalam parlimen, saya akan kemukakan usul ini. Saya fikir ini lebih tepat. Kita ada hak sejarah, hak kebudayaan, hak geografis, dan hak politik, malah hak hukum dalam hal ini.

***

Zahid: Ayah fikirlah, di mana-mana tanah dibuka untuk luar bandar, sebelum orang Melayu dapat makan hasil, bangsa lain dulu makan untungnya. Pertama, perputaran modal mereka. Kedua, kerja-kerja pelaksanaannya. Ketiga, tenaga-tenaga yang mengerjakannya. Nah, siapa yang dapat? Modal mereka punya, tenaga mereka punya, material mereka punya. Melayu dapat apa? Tanah kubur?

***

Mahmud: Ayah tau, kau orang-orang muda sudah banyak yang dihinggapi penyakit putus asa. Ini disebabkan karana kau orang punya visi kepada bangsa kita, kau ukur dari zaman Abdullah Munsyi hingga sekarang.

Kadir: Ya, itu kenyataan sejarah.

Mahmud: Memang kenyataan sejarahnya begitu. Tapi jangan kau ukur bangsa Melayu dari perenggan itu saja. Dari Abdullah Munsyi hingga hari ini, itu meletakkan bangsa kita pada zaman surutnya.

Kadir: Hum, amat menarik, tak pernah saya dengar ayah berkata begini.

Mahmud: Kalau kau hendak mengukur bangsa Melayu, lebih dulu kau mesti melihat Kedah lama, Perak lama, Pahang lama, dan Melaka. Di sana ada zaman pasangnya bangsa kita.

Kadir: Dulu memang pasang, tapi sekarang sudah timpas.

Mahmud: Tunggu dulu, ayah terangkan. Kalau kau ukur bangsa Melayu pada zaman surutnya, dan dari ukuran itu kau menetapkan dasar untuk bertindak, kau akan kecewa. Sebab kelak kau akan hanyut bila tiba gelombang pasangnya. Gelombang pasang ini, kau mau atau kamu tidak mau, dia pasti akan datang. Ini hukum sejarah, dan ini kudrat alam yang tak terbantah. Tapi jangan lupa, caranya gelombang pasang itu datang, tentu tidak sama dengan caranya ketika zaman Kedah lama, Perak lama, Pahang lama, dan Melaka.

Kadir: Keretapi sudah jauh.

Mahmud: Tidak, tidak. Tidak pernah jauh. Perjuangan tidak pernah terlambat. Kita boleh mulai lagi di mana saja.

Kadir: Dengan bilangan bangsa kita yang sudah dilebihi oleh bangsa asing?

Mahmud: Jangan kau fikir bangsa Melayu hanya ada di Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah, Kadir. Bangsa Melayu ada di seluruh Nusantara, kau tahu? Inilah anak-anak muda, berfikiran selapis.

***

Busad: Saya fikir kaum intelek di negeri ini belum betul-betul memenuhi tanggungjawabnya, sebagai kaum intelek negara baru merdeka…Kaum intelek bukan hanya diperlukan tekun dengan kerja hari-harinya sebagai jentera yang tak berwatak. Kaum intelek hendaknya memahami sungguh-sungguh erti filsafat instrumentalisme, iaitu fungsi mutlak kaum intelek dalam hidup ini…Sebab dunia sekarang, tanpa kaum intelektual, dunia tak dapat dibangun. Tapi kaum intelek tanpa menyedari hakikat instrumentalisme, dia tak lebih daripada suatu jentera mati. Kita mahu dia berwatak, dan bertugas.