Tuesday, August 6, 2013

Penyelewengan Teori Marx

Oleh Erich Fromm*

Sering berlaku dan ianya telah dianggap ironi di dalam sejarah, bahawa akan wujud penyelewengan dan salah faham terhadap sesebuah teori, walaupun di zaman yang mana capaian kepada sumber maklumat adalah meluas, contoh paling mudah seperti yang menimpa teori Karl Marx dalam dekad kebelakangan ini. Wujud pelbagai rujukan tentang Marx dan Marxism di akhbar, ucapan ahli politik, di dalam buku-buku dan artikel yang ditulis oleh ahli sains sosial dan falsafah, namun apa yang mengecewakan, mereka tidak pernah membaca tulisan asal Marx dengan teliti dan sekadar berpuas hati dengan pemahaman yang minimum tentang teori Marx. Kelihatannya mereka berasa lega dan selamat dengan peranan seolah-olah pakar tersebut kerana tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa dan status di dalam bidang penyelidikan sosial yang mampu mencabar kejahilan mereka.

Di antara sekian banyak salah faham tersebut rasanya yang sering dikritik ialah idea Marx tentang 'materialisme'. Marx dikatakan percaya sifat dan motif utama psikologi manusia ialah keinginan manusia untuk mendapatkan keuntungan kewangan dan kesenangan, dan usaha untuk memenuhi keuntungan maksimum ini adalah nilai utama yang memandu kehidupan individu dan umat manusia secara kolektif. Pelengkap kepada idea ini ialah andaian yang sudah tersebar luas yakni Marx mengabaikan kepentingan individu serta tidak menghormati dan memahami keperluan spiritual manusia. Wawasan ideal Marx ialah melahirkan manusia yang cukup makan pakai tetapi kering spiritualitinya. Kritikan Marx terhadap agama pula diborong sebagai penafian terhadap semua nilai spiritual, dan ini menjadi masalah besar kepada mereka yang menganggap orientasi spiritual itu dibentuk oleh kepercayaan kepada Tuhan.

Pandangan terhadap Marx beralih kemudiannya kepada syurga sosialisnya di mana berjuta-juta manusia dilihat berserah nasib kepada birokrasi autoritarian negara, manusia yang menyerahkan kebebasan mereka, walaupun mungkin mereka telah mencapai kesaksamaan; namun manusia yang dipenuhi keinginan materialistik ini telah hilang keperibadian kerana telah ditukar menjadi mesin dan robot, yang diketuai oleh segolongan kecil elit politik yang hidup mewah.

Cukup untuk disebutkan bahawa pandangan popular tentang idea Marx terhadap materialisme, kecenderungan anti-spiritualnya, hasrat dan cita-citanya untuk menyeragamkan dan menakluk psikologi manusia - adalah tuduhan palsu. Matlamat Marx adalah pembebasan spiritual manusia, pembebasan dari belenggu ekonomi untuk mengembalikan kesempurnaan fitrah manusia supaya manusia dapat mewujudkan kesepaduan dan keharmonian sesama manusia dan juga alam. Falsafah Marx, di dalam bahasa sekular dan tidak bernada agama - ialah langkah baru yang radikal dalam tradisi kenabian messianisme, bertujuan membangkitkan kesedaran penuh individualisme - sebuah wawasan yang telah membimbing pemikiran Barat dari era Renaissance dan Reformation suatu ketika dulu.

Penjelasan ini sudah tentu mengejutkan ramai pembaca kerana ianya bertentangan dengan apa yang mereka fahami sebelum ini tentang Marx. Tetapi sebelum diteruskan, molek rasanya untuk saya tekankan di sini bahawa apa yang menimbulkan ironi ialah; ulasan atau kritikan terhadap matlamat wawasan sosialisme Marx sangat menepati realiti masyarakat kapitalis Barat hari ini. Majoriti masyarakat telah didorong untuk memenuhi keinginan materialistik yang tidak pernah padam, membeli keselesaan dan perkakasan di mana semua keinginan ini hanya dibataskan oleh rasa takut kepada risiko dan keselamatan. Mereka semakin berpuas hati dengan hidup yang dikawal dan dimanipulasi oleh kerajaan, syarikat korporat dan birokrasi; mereka telah mencapai kepatuhan tahap dewa yang mengikis personaliti peribadi ke tahap luar biasa. Menggunakan istilah Marx, mereka adalah "commodity man" yang mati jati dirinya, sekadar berkhidmat untuk mesin-mesin. Semua nya ini ialah gambaran kapitalisme abad ke 20 yang tidak berbeza dari gambaran sosialisme Marx seperti yang diungkapkan oleh lawannya.

Apa yang lebih mengejutkan ialah; pihak yang mengecam idea materialisme Marx telah menyerang sosialisme sebagai tidak realistik atau di awang-awangan kerana tidak menyedari bahawa satu-satunya insentif yang berkesan untuk menggalakkan manusia bekerja terletak pada keinginan materialnya. Ini situasi terbaik untuk menunjukkan kemampuan manusia menidakkan percanggahan yang sudah terang lagi bersuluh menggunakan rasionalisasi, jika ianya sesuai dengan nafsu mereka. Sebab-sebab yang sama digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa idea Marx tidak sesuai dengan agama dan tradisi spiritual kita serta turut digunakan untuk mempertahankan sistem yang kita gunapakai - dan sekali lagi digunakan oleh pihak yang sama untuk membuktikan kapitalisme adalah seiring dan sejalan dengan fitrah manusia dan oleh kerana itu jauh lebih baik dari sosialisme yang tidak realistik.

Saya akan cuba menunjukkan yang interpretasi idea Marx ini salah; saya akan menunjukkan bahawa teori beliau tidak pernah menganggap motif utama manusia ialah keuntungan material kerana matlamat utama idea Marx ialah membebaskan manusia dari tekanan keperluan ekonomi; bahawa Marx prihatin dengan emansipasi manusia sebagai individu, beliau cuba mengatasi keterasingan (alienation), beliau mahu memulihkan kapasiti manusia untuk mengaitkan hubungan dirinya dengan manusia lain dan dengan alam; bahawa falsafah Marx merupakan eksistensialisme spiritual dalam bahasa sekular dan oleh kerana kualiti spiritual ini bertentangan dengan amalan materialistik, ia telah menyusup masuk ke dalam aliran falsafah masani (meminjam istilah al-Attas) yang juga dibumbui semangat materialistik. Matlamat Marx, sosialisme, bersandarkan teori tentang manusia, ialah Messianisme kenabian dalam bahasa abad kesembilan belas.

Kalau begitu, bagaimana falsafah Marx telah disalahfahami secara keseluruhannya dan boleh diselewengkan? Ada beberapa sebab. Yang utama dan paling jelas ialah kejahilan. Oleh kerana perkara ini tidak diajar di universiti maka ianya tidak menjadi subjek peperiksaan dan membuatkan sesiapa sahaja bebas untuk berfikir, bersembang dan menulis sesuka hati tanpa sebarang ilmu. Tidak ada autoriti yang mendesak untuk mendapatkan hujah, fakta dan kebenaran. Oleh itu semua orang berasa berhak untuk bercakap tentang Marx tanpa membaca karya-karyanya, atau sekurang-kurangnya membaca dengan secukupnya untuk mendapatkan idea asas tentang sistem pemikirannya yang kompleks, rumit dan halus. Ia tidak membantu menyampaikan idea Marx di dalam Economic and Philosophical Manuscripts, yakni karya falsafah utamanya yang menyentuh konsep manusia, keterasingan, pembebasan dan lain-lain, sehinggalah ianya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, menyebabkan sebahagian daripada ideanya tidak diketahui oleh masyarakat yang menggunakan bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, fakta ini tidak mencukupi untuk menyekat kejahilan yang sudah mengalir, pertamanya, kerana fakta bahawa karya Marx ini tidak pernah diterjemahkan ke bahasa Inggeris itu sendiri menunjukkan simptom sebuah kejahilan; kedua, kerana aliran falsafah Marx adalah cukup jelas di dalam penulisan yang sebelum ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris, di mana penyelewengan dan salah faham ini dapat dielakkan.

Satu lagi sebab ialah kerana Komunis Russia menggunapakai teori Marx dan cuba meyakinkan dunia bahawa amalan dan teori mereka seiring dengan idea Marx. Walaupun realitinya berbeza, Barat menerima kenyataan propaganda tersebut dan menganggap bahawa idea Marx sejajar dengan amalan dan pandangan Russia. Walau bagaimanapun, pihak Russia bukanlah satu-satunya pihak yang harus dipersalahkan dalam menyelewengkan idea Marx. Walaupun pembantaian dan penghinaan kejam yang dilakukan Russia atas nama maruah individu dan nilai kemanusiaan adalah sememangnya beban yang perlu ditanggung mereka sendiri, salah faham terhadap Marx yang dianggap sebagai pendokong ekonomistik-hedonistik materialisme juga turut dikongsi oleh sosialis yang reformis dan anti-komunis. Alasannya tidak sukar dilihat. Walaupun teori Marx adalah kritikan terhadap kapitalisme, tetapi ramai pengikutnya telah diserap dengan semangat kapitalisme sehinggakan mereka mengintepretasikan pemikiran Marx ke dalam kategori ekonomik dan materialistik yang lazim digunakan dalam kerangka kapitalisme kontemporari. Walaupun Komunis Soviet, malah sosialis reformis percaya mereka adalah musuh kapitalisme - namun mereka memandang komunisme atau sosialisme dalam semangat kapitalisme. Bagi mereka, sosialisme bukanlah masyarakat yang berbeza sifat manusianya dari kapitalisme, tetapi sebaliknya merupakan satu bentuk kapitalisme di mana kelas pekerja mencapai status yang lebih tinggi, ironinya seperti mana yang dikatakan Engels, "the present-day society without its defects.

Setakat ini kita telah menjelaskan dengan rasional dan realistik sebab-sebab yang membawa kepada penyelewengan teori Marx. tetapi terdapat juga sebab-sebab yang tidak rasional yang membantu penyelewengan tersebut. Soviet Russia telah dipandang sebagai penjelmaan semua kejahatan dan oleh kerana itu idea-idea yang lahir dari mereka dianggap mempunyai unsur-unsur yang jahat. Sama seperti tahun 1917 - Kaiser dan Huns dilihat sebagai penjelmaan kejahatan, malah muzik Mozart dianggap sebahagian dari wilayah syaitan - maka komunis kini mengisi semula kerusi syaitan yang kosong tidak diduduki dan akibatnya doktrin mereka tidak dikaji dan disemak secara objektif.Alasan utama mengapa kebencian ini muncul ialah akibat daripada keganasan yang dicetuskan Stalinist selama bertahun-tahun. Tetapi ada sebab yang serius untuk meragui alasan ini; aksi keganasan dan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan, apabila dilakukan oleh Perancis di Algeria, dibuat oleh Trujillo di Santo Domingo, dilaksanakan oleh Franco di Sepanyol, tidak pula mencetuskan kemarahan moral yang sama, bahkan, tidak mendatangkan kemarahan langsung. Tambahan pula, perubahan daripada sistem kekejaman tak terkawal Stalin kepada negara polis yang reaksioner bawaan Khrushchev tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, walhal manusia yang serius berfikir tentang kebebasan manusia akan gembira dan menyambut baik perubahan ini, walaupun bukan perubahan yang total, tetapi tetap dianggap peningkatan yang besar berbanding keganasan terang-terangan Stalin. Semua ini menyebabkan kita tertanya-tanya sama ada kemarahan terhadap Russia benar-benar berakar umbi dari nilai moral dan kemanusiaan, atau bertolak dari pendapat bahawa sistem yang tidak mempunyai pemilikan persendirian dianggap tidak berperikemanusiaan dan mengancam.

Adalah sukar untuk mengatakan yang mana satu faktor yang disebut di atas menjadi penyumbang dominan kepada penyelewengan dan salah faham falsafah Marx. Mereka mepunyai kepentingan yang berbeza-beza dari pelbagai latar individu dan kumpulan politik, dan nampaknya mustahil untuk menuding jari menyalahkan satu pihak sahaja.


*Erich Fromm ialah psikoanalis, psikologis, filosofis dan sosiologis serta merupakan generasi pertama Sekolah Frankfurt. Dianggap sebagai pelopor Marxist Humanism. Karyanya banyak menyentuh emansipasi manusia dari sudut psikologi dan sosiologi.

*Diterjemahkan secara longgar dari bab The Falsification of Marx's Concepts, dipetik dari Marx's Concept of Man.

Thursday, August 1, 2013

Sistem Yang Rabak

"For our part it is our task to drag the old world into the full light of day and to give positive shape to the new one. The more time history allows thinking humanity to reflect and suffering humanity to collect its strength the more perfect will be the fruit which the present now bears within its womb"
-Karl Marx, A Contribution to the Critique of Hegel’s Philosophy of Right-

Antara inspirasi yang boleh diambil dari Marx ialah beliau sentiasa kritis dengan persekitarannya. Beliau pengkritik tegar. Pengkritik kepada apa sahaja yang dilihatnya sebagai ideologi penindasan dan sesiapa sahaja yang membawa idea yang pasif dan membodohkan. Kita boleh gelarnya sebagai kaki kritik. Tetapi kritikannya berhujah dan beliau faham secara dasarnya tentang sesuatu isu atau idea yang dikritiknya. Kritikannya bermaruah, kalau boleh disebut begitu. Maka jika kita ingin counter semula idea Marx (atau idea sesiapa pun), hujah kita juga seharusnya bermaruah. Ini bukan ajaran Marxist, tetapi perintah Allah dalam surah an-Nahl. Kita boleh lihat karya-karyanya sebagai bukti; Critique of Hegel's Philosophy of Right - yang pastinya mengkritik Hegel, The Holy Family (juga dikenali dengan Critique of Critical Criticism!) - mengkritik Bauer bersaudara, The Poverty of Philosophy - mengkritik Pierre-Joseph Proudhon, The German Ideology - mengkritik Kaum Muda Hegel dan mungkin banyak lagi yang tidak disebutkan di sini. Jika dia dilahirkan dan tinggal di Malaysia sekarang, ada kemungkinan dia sudah menghasilkan lebih seribu karya kritikan tentang sistem politik, sosial dan ekonomi Malaysia. Atau pun mungkin dia hanya sempat menulis tidak kurang dari dua karya sahaja akibat kemungkinan dimasukkan ke dalam ISA, mati ditembak, mengalami alienation tahap tinggi sehingga mengidap PTSD, atau mindanya sendiri menjadi tumpul dan terbantut akibat lahir dan membesar di negara yang penuh kebijaksanaan ini.

Legasi kritikan paling penting yang ditinggalkan Marx kepada kita ialah kritikannya kepada kapitalisme. Bagaimana struktur dan kerangka kapitalisme mempengaruhi idea politik dan sosial masyarakat serta bagaimana ia bertukar menjadi simbol perhambaan moden. Revolusi kelas pekerja dan utopia komunisme hanyalah idea-idea yang bagi aku tidak lagi relevan untuk diperjuangkan. Seorang muslim boleh sahaja mendalami dan memahami kritikan Marx terhadap kapitalisme ini tanpa menganut fahaman materialisme dialektikal atau Marxisme. Kita tidak pernah beriman dengan Marx apatah lagi menadah kitab mengambil asas agama atau akidah dari mana-mana tokoh Marxist. Baqir al Sadr memberikan kritik yang menarik terhadap materialisme dialektikal Marx di dalam karya monumentalnya, Iqtisaduna (Ekonomi Kita). Kata al-Sadr, kaedah dialektikal yang digunakan Marx untuk menafsirkan sejarah manusia adalah kontra dengan matlamat akhir masyarakat ideal Marx, yakni komunisme. Kerana menurut Marx, asas dialektik ialah - konflik antara kelas masyarakat menjadi hukum yang memandu sejarah manusia, dan krisis-krisis lain yang wujud semuanya bertolak dari pertentangan di antara dua kelas ini, penindas dan yang ditindas. Tetapi pada masa yang sama Marx mengatakan sejarah manusia sedang menuju ke arah masyarakat tanpa kelas. Jadi bagaimana hukum dialektik ini akan berjalan setelah masyarakat komunis (masyarakat tanpa pertentangan kelas) tercapai kerana ia hanya wujud melalui konflik dan pertentangan. Adakah setelah masyarakat komunis diwujudkan dunia akan berhenti berputar atau jarum jam akan berhenti berpusing dan hukum dialektikal materialisme turut terbatal. Bukankah dialektikal materialisme ini natural law menurut Marx? Lagi satu, tidak perlulah juga bersyarah tentang peribadi Marx kerana semua orang tahu peribadinya  bukanlah terpuji, jasadnya pun sudah mereput di Highgate Cemetery dan ruhnya sudah berada di alam barzakh, apa yang tinggal ialah teori dan pemikirannya. Jadi manfaatkan apa yang baik dan tinggalkan apa yang buruk dari idea tersebut. Teori dan idea ekonomi Marx ialah antithesis kepada status quo, sebuah alternatif dan kritikan kepada laissez faire bawaan Adam Smith dan rakan-rakan, sistem yang kita gunapakai sekarang.

Adan Smith menulis di dalam The Wealth of Nations, “It is not from the benevolence of the butcher, the brewer, or the baker that we expect our dinner, but from their regard to their own interest,”. Menurut John E. Roemer, Smith berpendapat usaha individu untuk mengejar kepentingan diri akan memberi manfaat kepada masyarakat, manakala Marx pula melihat  usaha untuk mengejar kepentingan diri akan membawa  kepada krisis, hura hara dan kemusnahan kepada sistem masyarakat itu sendiri. Smith tidak bermaksud bahawa kepentingan individu lebih utama berbanding kepentingan masyarakat. Beliau sendiri seorang filosofis moral, malah lebih religious dari Marx (kalau boleh disebut begitu), karya pertamanya, The Theory of Moral Sentiments penuh dengan idea berkaitan konsep simpati, kebajikan dan etika.

Tulis Smith, "How selfish soever man may be supposed, there are evidently some principles in his nature, which interest him in the fortunes of others, and render their happiness necessary to him, though he derives nothing from it, except the pleasure of seeing it."

Smith melihat kebajikan masyarakat dan kepentingan diri bukanlah sesuatu yang terpisah atau kontra di antara satu dengan yang lain, tetapi untuk memastikan kehidupan yang lebih baik kedua-duanya perlu seiring dan saling melengkapi. Kehidupan tidak akan lebih baik jika masing-masing hanya mengharapkan kebajikan dan simpati, begitu juga kehidupan akan rosak jika masing-masing meletakkan kepentingan individu sebagai matlamat utama. Untuk mengumpul kekayaan, individu perlu mengeluar, menukar atau menjual komoditi yang bernilai, yang  memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat. Menurut Smith, transaksi ini bersifat serampang dua mata, walaupun bermula dengan niat untuk kepentingan diri tetapi hasilnya memberi pulangan kepada masyarakat itu sendiri. Apabila keseimbangan di antara kepentingan diri dan kemaslahatan masyarakat ini wujud, ditambah dengan penerapan nilai moral dan etika yang tinggi oleh masyarakat, akan mewujudkan campur tangan invisible hand (terdapat pelbagai penafsiran tetapi jumhur mengatakan ia merujuk kepada tuhan - bersifat teleologikal) yang mengkoordinasikan kepentingan manusia yang berbeza-beza menjadi manfaat bersama. Marx pula merujuknya sebagai kuku besi dalam persaingan pasaran bebas, yang menghancurlumatkan kelas pekerja dan memburukkan situasi mereka dari masa ke semasa. Kita telah menyaksikannya sendiri bagaimana sistem ini telah gagal, bagaimana masyarakat Malaysia menanggung hutang isi rumah yang makin bertambah saban tahun, kos sara hidup yang semakin meningkat, kemiskinan yang melata, statistik jenayah yang semakin tinggi, pendidikan yang korup akibat diniagakan, kronisme dan banyak lagi. Ya, kalau anda telusuri dengan teliti, semua masalah ini berkaitan dengan sistem. Semuanya adalah simptom dari sistem yang sudah rosak.

Marx melihat kapitalisme ialah sistem yang mewujudkan alienasi, dominasi dan eksploitasi. Kapitalisme ialah sistem di mana manusia mengikut telunjuk pasaran.  Mereka tidak boleh lari atau menjauhkan diri dari sistem ini kerana ianya sistem yang hegemonik. Kapitalisme telah mewujudkan proses komodifikasi di dalam segenap aspek kehidupan manusia, menjadikan individu sebagai homo economicus dan masyarakat sebagai consumer society dimana segala hubungan sosial mereka semata-mata berkisarkan komoditi. Manusia di dalam dunia kapitalis - sejak bangun tidur pada waktu pagi sampailah tidur semula pada waktu malam – mental dan fizikalnya terus bekerja dan berfikir bagaimana untuk memenuhi keperluan materialnya. Anwar Shaikh di dalam eseinya, An Introduction to the History of Crisis Theories mengungkapkan pernyataan yang menarik tentang kapitalisme. Kata Anwar Shaikh, persoalan yang sukar dijawab bukanlah mengapa sistem ini selalu dilanda krisis (kapitalisme dan krisis bagai isi dan kuku) tetapi mengapa ia masih terus berfungsi setelah dilanda krisis.  Capitalist reproduction ini memang menjadi perbincangan yang hangat di kalangan ahli ekonomi dan telah membuahkan beberapa teori. Menurut Anwar, analisis atau jawapan terhadap faktor capitalist reproduction akan menyediakan analisis atau jawapan juga (secara langsung atau tidak langsung) terhadap faktor yang mewujudkan krisis kapitalisme itu sendiri. Ianya tidak boleh dipisahkan.

Menurut Marx, punca kapitalisme terdedah kepada krisis ialah kerana ia memisahkan pengeluaran dan penggunaan (production & consumption). Teori ini dinamakan teori underconsumption/ overproduction. Ini adalah teori klasik Marx yang sering dikritik dan dianggap tidak lagi relevan.  Tetapi tak salah kita melihatnya semula. Di dalam sistem kapitalisme, komoditi dihasilkan semata-mata di atas jangkaan ianya boleh dijual walaupun pasaran tidak mampu menerimanya. Maksudnya pengeluaran tidak lagi ditentukan oleh kehendak atau penawaran. Perlumbaan di antara kapitalis untuk mengaut untung yang lebih tinggi membuatkan mereka menghasilkan komoditi di dalam jumlah yang besar dan banyak untuk mengurangkan kos pengeluaran. Komoditi dilonggokkan dan ditimbun tanpa diketahui sebanyak mana permintaan dari pengguna.

Hasilnya berlaku pengeluaran berlebihan (overproduction). Overproduction sekiranya tidak ditangani akan mewujudkan krisis ekonomi. Ini memaksa kapitalis mencari jalan melariskan komoditi mereka. Kini, mereka tidak boleh bergantung harap hanya kepada kehendak atau keperluan pengguna kerana ianya terbatas. Sekadar menurut kehendak dan keperluan pengguna yang terbatas hanya akan mengurangkan keuntungan mereka. Justeru mereka perlu menentukan untuk pengguna, apakah yang sepatutnya menjadi keperluan atau kehendak mereka, malah dua terma tersebut kini sering dijungkar balikkan, biasanya kehendak kini menjadi keperluan.

Kapitalis menerusi media massa menanam propaganda korporat mereka di minda pengguna bahawa komoditi tertentu membawa nilai magis, persona, kuasa, simbol, status dan prestij. Komoditi tidak lagi dimaknakan oleh nilai guna tetapi oleh pemaknaan semula nilai  intrinsik yang wujud dari komoditi tersebut. Membeli jam Piaget contohnya bukan sekadar untuk melihat masa tetapi kerana jenama itu sendiri membawa gah dan status kepada pemakainya. Itu mungkin contoh yang nampak mudah. Contoh yang agresif kita boleh baca di dalam akhbar hari ini (ketika post ini ditaip), terselit berita tentang seorang artis Barat mempunyai mangkuk jamban diperbuat daripada emas berharga RM1.5 juta. Apa manfaat menghasilkan mangkuk jamban daripada emas yang fungsinya hanya untuk menyalurkan tahi ke tangki? Tapi akhirnya ini yang berlaku. Wujud masyarakat yang meraikan pembelian komoditi sebagai aktiviti membina status dan kuasa, walaupun komoditi itu sendiri tidak memberi nilai guna yang signifikan seterusnya  mewujudkan pembaziran di mana kekayaan di maknakan dengan memiliki benda-benda tak berguna.  Konsep ini dikembangkan oleh Sekolah Frankfurt sebagai culture industry.

Malah kini kita lihat kehendak-kehendak baru dicipta (masalah-masalah baru sebenarnya) selaras dengan penghasilan komoditi-komoditi baru.  Persaingan yang sengit memaksa kapitalis menggunakan pengiklanan dan pemasaran dengan gigih untuk memanipulasi mental manusia. Vance Packard  di dalam bukunya The Hidden Persuaders menyentuh bagaimana media massa dan pengiklanan komersial mengkaji manusia dari sudut psikiatrik, psikologi dan public relations. Bagaimana mereka menganalisis tingkah laku manusia untuk mencari hidden meaning - apa yang yang menimbulkan rasa takut, marah, seronok, bangga, teruja - faktor unconscious dan subconscious, supaya semuanya ini dapat dimanipulasikan untuk kepentingan kapitalis. Packard memberi contoh bagaimana agensi pengiklanan dari Chicago mengkaji kitaran haid suri rumah dan tahap psikologinya untuk mencari imej paling efektif melariskan produk makanan mereka.

Disebutkan juga penjualan produk berbillion ringgit kebanyakannya disumbangkan melalui manipulasi perasaan negatif di dalam diri manusia seperti rasa bersalah, ketakutan, tekanan perasaan dan kebimbangan. Packard menyebut tentang ubat gigi jenama Gleem yang pada awalnya tidak mampu menawarkan sesuatu yang istimewa kepada pengguna. Ramuan GL-70 yang terdapat di dalam ubat gigi tersebut (dikatakan handal membunuh bakteria) gagal menarik perhatian pengguna setelah Fortune merendahkan kemampuannya. Namun nasib Gleem berubah apabila mereka mengetahui ramai pengguna yang menyesal - akibat propaganda syarikat ubat gigi tentang kesan kerosakan gigi dan sebagainya - kerana tidak memberus gigi selepas makan. Jadi Gleem menawarkan penebusan dosa untuk pengguna spesis ini dengan mempromosikan bahawa jenama mereka dihasilkan khusus untuk pengguna yang "can't brush their teeth after every meal". Dua tahun selepas itu Gleem berjaya menyaingi pesaing utama mereka. Kemudian muncul teori seperti planned obsolescence yang menggalakkan pengguna terus menjadi hamba konsumerisasi. Tragedi pengiklanan melampau ini hanya melahirkan manusia materialistik, narsisistik dan berotak lembu.

Sekiranya lambakan komoditi masih berlaku yakni permintaan masih lagi kurang, maka krisis ekonomi tidak dapat dielakkan. Apabila berlaku krisis ekonomi, kapitalisme tidak terus mati, sebaliknya kapitalis-kapitalis yang lemah akan disingkirkan dan penutupan syarikat atau kilang akan meningkatkan kembali permintaan. Malah gaji yang rendah akan meningkatkan keuntungan, harga yang murah pula akan merangsang permintaan komoditi dan kadar faedah yang rendah akan memudahkan pinjaman untuk pelaburan. Ini seterusnya hanya mengulang kitaran sistem kapitalis -  pengeluaran baru akan berkembang, peluang pekerjaan menjadi tinggi dan manusia terus diperhambakan dengan duit.

Seperti ditulis Marx di dalam The Communist Manifesto,"And how does the bourgeoisie get over these crises? On the one hand by enforced destruction of a mass of productive forces; on the other, by the conquest of new markets, and by the more thorough exploitation of the old ones. That is to say, by paving the way for more extensive and more destructive crises, and by diminishing the means whereby crises are prevented."

Kerana itu bagi Marx sistem ini hanya boleh ditumbangkan melalui kuasa revolusi proletariat, kerana Marx sedar walaupun dilanda krisis, kapitalisme akan bangkit semula dengan sifat yang lebih memusnahkan. Konsep yang sama dihuraikan oleh Joseph Schumpeter sebagai creative destruction.

Tulis Schumpeter di dalam Capitalism, Socialism and Democracy, “The fundamental impulse that sets and keeps the capitalist engine in motion comes from the new consumers, goods, the new methods of production or transportation, the new markets, the new forms of industrial organization that capitalist enterprise creates.”

Kapitalisme sentiasa berada di dalam keadaan yang tidak stabil akibat konflik di antara elemen-elemen ini yang nampak sejajar dan harmoni di mata kasar, tetapi saling memusnahkan di antara satu dengan yang lain. Apabila kita menyebut tentang pembahagian kek ekonomi yang adil sila jangan bermimpi ia dapat dilaksanakan di dalam kapitalisme. Dua solusi didalam teori kek ekonomi -  sama ada pembahagian kek yang adil atau menghasilkan kek yang lebih besar – kedua-duanya tidak akan menguntungkan masyarakat terbanyak di dalam sistem kapitalisme. Kita sebagai marhaen mungkin masih sibuk berbincang tentang kek sedangkan kapitalis sudah membaham setiap makanan berkhasiat yang lebih baik dari kek – meninggalkan kita yang masih lagi terpinga-pinga berbincang untuk memilih pembahagian kek atau menghasilkan kek lebih besar, satu lagi hegemoni  pemikiran yang membodohkan.

Ini hanya sebahagian daripada analisis yang menelanjangkan sisi-sisi negatif kapitalisme yang sudah menjadi selubung hegemoni menutup kewarasan manusia dari berfikir secara kritis dan reflektif ke atas realiti hidup kita.  Idea dan teori Marx berkembang kemudiannya di tangan Sekolah Frankfurt menjadi sebuah disiplin ilmu yang digelar Critical Theory atau Teori Kritis. Akan diulas sedikit tentang Sekolah Frankfurt nanti.

*Pergi ke Youtube dan tonton video Hamza Yusuf yang bertajuk The Middle Path. Jika anda tidak kenal Hamza Yusuf, kemungkinan anda fikir ucapan tersebut disampaikan oleh seorang tokoh sosialis di sebuah simposium atau persidangan sosialis antarabangsa. Bukan kerana Hamza Yusuf menggunakan vocabulary sosialis atau Marxist, tetapi kerana jarang benar seorang Islamis (kalau boleh disebut begitu) mengungkapkan tema-tema kemiskinan, penindasan, kebebasan dan maruah manusia (tema yang sinonim dan selalu dikaitkan dengan sosialisme dan Marxisme) dengan begitu cemerlang seperti Hamza Yusuf, tema yang sebenarnya sudah lama didokong oleh Islam, lama sebelum sosialisme Barat lahir.