Thursday, November 9, 2017

5. Cerita Oedipus Tyrannus


Untuk mereka yang tak pernah baca tragedi Yunani, ada baiknya saya naratifkan semula tragedi Oedipus Tyrannus (Oedipus Sang Raja) olahan Sophocles supaya gambaran asas tentang apa itu ‘tragedi’ dapat difahami. Ini penting kerana kita akan melihat serangan Plato terhadap dramatis dan drama tragedi serta pembelaan anak murid Plato yang paling kanan, Aristotle terhadap tragedi dalam karyanya Poetics. 

Tambahan pula Aristotle sebenarnya merujuk secara langsung kepada teks Oedipus Tyrannus untuk menukilkan teorinya dalam Poetics. Dalam ayat lain, Aristotle secara tak langsung mengisytiharkan Oedipus Tyrannus adalah naratif terbaik yang boleh dijadikan contoh untuk mana-mana dramatis atau pencerita yang mahu merangka plot cerita mereka.

Oedipus Tyrannus adalah naratif psiko-thriller-misteri yang penuh dengan elemen suspens dan ironi di mana struktur plotnya sudah diculik oleh ramai pembikin filem, novelis dan penulis skrip pada zaman ini.

Drama ini bermula apabila Raja Oedipus selaku pemerintah kota Thebes yang karismatik telah diminta oleh rakyatnya untuk menyelesaikan wabak penyakit yang semakin banyak membunuh penduduk negara kota tersebut. Mereka mahu Oedipus menyelamatkan Thebes buat kali kedua setelah Oedipus berjaya mengusir raksasa Sphinx suatu ketika dulu. Melalui usahanya menyelesaikan teka-teki Sphinx dulu, Oedipus telah ditabalkan sebagai pemerintah Thebes yang baru, menggantikan mendiang Raja Laius yang mati dibunuh, seterusnya dinikahkan dengan Permaisuri Jocasta, balu kepada Raja Laius.

Oedipus meminta rakyatnya bertenang kerana dia sudah memerintahkan abang iparnya Creon meminta nasihat ahli nujum berkenaan wabak ini. Menurut Creon, ahli nujum memaklumkan wabak ini adalah sumpahan berdarah kepada kota Thebes kerana pembunuh Raja Laius belum ditangkap dan dihukum. Satu-satunya cara untuk menghentikan wabak ini adalah dengan menghukum dan mengusir pesalah itu dari Thebes.

Oedipus mempertikaikan kenapa kes pembunuhan Laius tak diselesaikan sejak dulu. Creon menjelaskan siasatan tak dapat diteruskan kerana Thebes dalam situasi huru hara akibat serangan Sphinx. Tambahan pula, hanya ada seorang saksi saja dalam kes ini, dan maklumat yang boleh didapatkan dari saksi itu hanyalah Laius diserang sekumpulan perompak. Kerana ancaman Sphinx telah berakhir, Oedipus mahu kes pembunuhan Laius diletakkan sebagai prioriti nombor satu. Oedipus bertekad untuk membawa pembunuh Laius ke muka pengadilan dan bersumpah yang hidup pembunuh itu akan berakhir dengan kemelaratan kerana membawa musibah kepada rakyat Thebes.

Oedipus meminta bantuan pendeta buta terkenal bernama Tiresias. Tiresias memaklumkan kepada Oedipus bahawa dia tahu siapa yang membunuh Laius, tapi dia tak akan mendedahkannya, malah dia meminta Oedipus supaya jangan meneruskan usaha mencari pembunuh ini. Oedipus murka dan menuduh Tiresias turut bersubahat dalam pembunuhan Laius. Tiresias yang marah dengan tuduhan Oedipus memberitahu yang pembunuh Laius ialah Oedipus sendiri.

Oedipus yang terperanjat dengan tuduhan yang merepek itu kemudiannya membuat kesimpulan yang Tiresias telah berkonspirasi dengan abang iparnya, Creon untuk menjatuhkannya. Oedipus mengejek Tiresias sebagai pendeta yang bukan saja buta mata, tapi juga buta akal dan tuli sehingga tak nampak kebenaran. Tiresias membalas ejeken Oedipus dengan mengatakan Oedipus yang sebenarnya buta. Oedipus membalas dengan mempersoalkan di mana Tiresias ketika Thebes diserang Sphinx? Dengan perasaan bangga Oedipus mengatakan yang Sphinx diusir dari Thebes bukan dengan magis Tiresias tapi kebijaksanaan akalnya dalam menyelesaikan teka-teki Sphinx. Dialah si Oedipus, satu-satunya manusia yang berjaya menjawab teka-teki Sphinx.

Tiresias menjawab kalau pun Oedipus meraguinya, tapi ibu bapa Oedipus sendiri percaya kepada kemampuannya sebagai pendeta buta yang disegani. Mendengar jawapan ini Oedipus berasa hairan, kerana dia berasal dari kota Corinth yang kedudukannya jauh dari Thebes. Jadi bagaimana Tiresias boleh kenal ibu bapanya? Persoalan Oedipus tak dijawab oleh Tiresias. Sambil meninggalkan Oedipus dengan perasaan marah, Tiresias membebel yang pembunuh Laius ialah warganegara Thebes, abang sekaligus ayah kepada anak-anaknya, dan anak sekaligus suami kepada ibunya.

Oedipus berang dan mahu Creon dihukum bunuh. Isterinya Jocasta meminta dia bertenang dan jangan terburu-buru dalam menghukum abangnya. Jocasta menasihatkan Oedipus jangan ambil serius dan percaya dengan ramalan ahli nujum kerana semua ramalan mereka adalah palsu. Sebagai bukti, kata Jocasta, ketika Laius masih hidup, lama sebelum Oedipus tiba di Thebes, ahli nujum pernah meramalkan yang anak mereka akan membunuh Laius, sedangkan hakikatnya anak mereka telah mati sejak bayi dan Laius pula dibunuh sekumpulan pencuri di sebuah simpang tiga di bandar Phokis.

Cerita pembunuhan Laius mengejutkan Oedipus dan mengingatkan dia kepada kisah silamnya. Oedipus beritahu Jocasta mungkin dialah yang bunuh Laius. Oedipus mendedahkan kisah hidupnya kepada Jocasta. Menurut Oedipus, ketika dia menjadi putera raja di kota Corinth, seorang pemabuk memberitahu yang dia bukanlah anak kandung kepada raja dan permaisuri Corinth. 

Dia bertanya kepada kedua ibu bapanya, Raja Polybus dan Permaisuri Merope untuk mendapatkan kepastian sama ada benar dia bukan anak kandung mereka. Tapi kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut. Tak berpuas hati dengan penjelasan mereka, dia berjumpa ahli nujum, yang memberitahu bahawa dia ditakdirkan akan membunuh bapanya dan mengahwini ibunya.

Untuk lari dari takdir ini, dia meninggalkan Corinth dan berkelana menuju ke Thebes. Sebelum tiba di Thebes, dia dimalukan dan diserang oleh sekumpulan pengembara. Untuk mempertahankan dirinya dia terpaksa membunuh mereka, betul-betul di simpang tiga tempat Laius dibunuh.

Oedipus beritahu Jocasta satu-satunya cara untuk menentukan benar atau tidak dia yang bunuh Laius kini bergantung kepada kenyataan dari satu-satunya saksi kejadian tersebut. Oedipus menitahkan penggembala yang menjadi satu-satunya saksi dalam pembunuhan Laius dibawa ke istana dengan harapan penggembala itu boleh mengesahkan dia bukanlah pembunuh Laius. Kalau menurut kenyataan awal saksi itu, pembunuh Laius ialah sekumpulan perompak.

Jadi bagi Oedipus, kalau saksi itu masih kekal dengan kenyataannya, yakni pembunuh itu adalah sekumpulan perompak, maka dia bukanlah pembunuh Laius. Tapi kalau saksi itu beritahu mereka yang pembunuh Laius ialah seorang pengembara, maka benarlah dia pembunuh yang dicari selama ini. Jocasta memujuk Oedipus bahawa kenyataan saksi itu takkan berubah kerana bukan dia saja yang mendengar pengakuan saksi itu, tapi seluruh rakyat Thebes mendengar pengakuan yang sama.

Tak lama kemudian tiba seorang utusan dari Corinth bertemu Jocasta dan memberitahu dia mahu memaklumkan kepada Oedipus yang bapa Oedipus, Raja Polybus telah mangkat. Jocasta berasa lega kerana kematian Raja Polybus mengesahkan bahawa ramalan yang Oedipus akan membunuh bapanya tak benar sama sekali. Oedipus turut lega dengan berita ini. Walaupun demikian dia masih bimbang dengan ramalan kedua, yakni dia bakal mengahwini ibunya sendiri.

Utusan dari Corinth yang terdengar perbualan mereka berdua, memberitahu yang Oedipus tak perlu bimbang kerana Raja Polybus dan Permaisuri Merope bukanlah ibu bapa kandungnya. Dia mendedahkan bahawa dialah yang menyerahkan Oedipus kepada Raja Polybus dan Permaisuri Merope ketika Oedipus masih bayi. Menurut utusan itu lagi, suatu ketika dahulu, ketika bekerja sebagai penggembala, seorang penggembala lain menyerahkan Oedipus kepadanya. Oedipus bertanya kepada utusan itu siapa penggembala yang lain itu. Utusan itu menjawab yang penggembala itu adalah hamba kepada keluarga diraja Laius.

Oedipus mahu penggembala ini dibawa kepadanya untuk membuat pengakuan. Jocasta yang mula mengesyaki sesuatu, merayu Oedipus membatalkan hasratnya itu dan menghentikan semua usaha mencari ‘kebenaran’ ini. Oedipus tak mengendahkan rayuan Jocasta. Pada fikiran Oedipus, Jocasta bimbang dia anak haram dari hubungan sulit kerabat diraja Laius dan bukan berdarah istana. Itu saja. 

Akhirnya penggembala itu berjaya ditemui dan dibawa mengadap Oedipus. Penggembala ini rupa-rupanya ialah penggembala sama yang menjadi saksi kepada pembunuhan Laius. Oedipus bertanya kepada penggembala siapa yang menyerahkan bayi kepadanya dulu. Penggembala pada mulanya enggan menjawab soalan tersebut, tapi bila Oedipus mengugut untuk menyeksanya, dia mendedahkan bayi itu datang dari keluarga diraja Laius.

Bila disoal lagi, dia memberitahu bayi itu ialah anak Laius dan Jocasta di mana Jocasta menyerahkan bayi itu kepadanya untuk dibunuh, kerana ahli nujum meramalkan bayi itu kelak akan membunuh bapanya. Tapi gembala mengaku dia tak sampai hati untuk bunuh bayi tersebut, lalu merancang untuk membawa bayi itu keluar dari Thebes. Pada fikirannya, jika bayi itu dipisahkan jauh dari tempat bapa kandungnya, ramalan itu mungkin dapat dielakkan. Gembala kemudiannya menyerahkan bayi itu kepada penggembala dari Corinth.

Pendedahan penggembala mengesahkan yang ramalan ahli nujum telah menjadi kenyataan. Oedipus telah membunuh bapanya dan mengahwini ibunya. Oedipus kemudiannya pergi mendapatkan Jocasta. Jocasta yang tak dapat terima kenyataan bahawa dia telah berkahwin dengan pembunuh suaminya merangkap anak kandungnya sendiri telah membunuh diri. Oedipus yang bersedih mengambil pin dari gaun Jocasta lalu menikam kedua matanya sehingga buta, sama seperti disebutkan Tiresias, Oedipus seorang yang buta. Ketika matanya celik, hatinya buta akan kebenaran, ketika hatinya celik, matanya buta dari penglihatan. Dia keluar dari istana dan meminta Creon membuangnya jauh dari Thebes serta menjaga dua anak perempuannya bersama Jocasta dengan baik.

Sebagai penutup, korus menyanyikan bait “Now as we keep our watch and wait the final day, count no man happy ‘till he dies, free of pain at last”.

Versi awal kisah Oedipus boleh dijumpai dalam Iliad dan Odyssey karya Homer. Dalam versi Homer, kisah Oedipus dimuatkan dalam bentuk syair 10 baris dan tak ada unsur suspense dan thriller dalam versi awal itu kerana identiti Oedipus sudah diceritakan lebih awal. Berbeza dengan versi Sophocles, versi Homer mensurahkan yang isteri Oedipus bernama Epicaste bukan Jocasta. Oedipus dan Jocasta juga tak dikurniakan anak. Selepas kematian isterinya, Oedipus juga tak menikam matanya seperti Kasim Selamat, sebaliknya terus memerintah Thebes, walaupun terpaksa menanggung perasaan paling tragik dalam hidupnya. Dua lagi dramatis agung Athens, Aeschylus dan Euripides juga pernah mengolah Oedipus mengikut versi masing-masing.

Di dalam Oedipus versi Sophocles teka-teki Sphinx tak diperincikan. Dalam versi-versi lain, walaupun dalam bentuknya yang pelbagai, teka-teki tersebut bukanlah asing kepada kita. Teka-tekinya berbunyi begini: Apa yang berjalan dengan empat kaki pada waktu pagi, 2 kaki pada waktu petang dan 3 kaki pada waktu malam. Sphinx akan bertanya teka-teki ini kepada sesiapa saja yang terserempak dengannya dan dia akan makan mereka yang tak dapat menjawab teka-teki tersebut.

Hanya Oedipus satu-satunya manusia yang berjaya memberi jawapan yang tepat. Oedipus dengan kepintaran akalnya berjaya mengenal pasti teka-teki Sphinx itu sebagai ‘the human condition’. Inilah kelebihan Oedipus yang akhirnya memakan dirinya sendiri. Oedipus Tyrannus ialah tragedi seorang manusia yang sentiasa yakin bahawa kekuatan akal rasionalnya mampu menyelamatkan dirinya, mampu menyelesaikan semua masalah dan mampu menakluk semua kebenaran. Sebagai satu-satunya individu yang berjaya menyelesaikan ‘teka-teki tentang manusia’, Oedipus terlalu meletakkan pergantungan kepada akalnya, tanpa ‘sedar diri’ bahawa ilmu pengetahuan yang dimilikinya ada had dan batas tertentu.

Ada yang menafsirkan tindakan Oedipus membutakan matanya ialah simbolik kepada anagnorisis atau pengiktirafan atau kesedaran Oedipus terhadap kejahilannya selama ini. Butanya mata Oedipus ialah simbolik butanya manusia kepada kebenaran tentang kondisi mereka. Butanya Oedipus ialah butanya kita semua. Oedipus membutakan matanya bukan sebagai hukuman kerana membunuh bapanya atau mengahwini ibunya, kerana kedua-dua tindakan ini dilakukan tanpa dia sedar identiti ibu bapa kandungnya. Oedipus membutakan matanya sebagai hukuman kerana dia jahil terhadap ‘the human condition’.

Salah satu ciri human condition ialah kita tak mampu menguasai atau menentukan naratif hidup kita sepenuhnya dan kita tak mampu membahagiakan semua manusia. Tragedi pasti berlaku. Oedipus boleh saja mengikut saranan Tiresias dan Jocasta supaya berhenti mencari pembunuh Laius, tapi tindakan itu bakal mengorbankan rakyat Thebes. Kita tahu kematian rakyat di bawah naungannya tetap satu tragedi besar kepada Oedipus kerana dia seorang raja yang mengambil berat kepentingan rakyatnya. Dan dengan meneruskan usahanya mencari pembunuh Laius, walaupun Oedipus berjaya menyelamatkan rakyat Thebes, dia akhirnya memusnahkan hidupnya sendiri. Kesimpulannya, Oedipus tak dapat lari dari takdir yang tragik (ini antara kegeniusan Sophocles menyusun plot Oedipus Tyrannus).

Oedipus Tyrannus juga membincangkan persoalan sisi-sisi gelap kebenaran dan keadilan. Sejak awal plot Oedipus Tyrannus berkisarkan usaha Oedipus mencari kebenaran. Bermula dengan usahanya mencari identitinya, setelah itu usahanya mengenal pasti punca yang menyebabkan wabak melanda Thebes, kemudian mencari pembunuh Laius dan akhirnya berpatah semula mencari identitinya. Dan Oedipus sangat taksub dengan usahanya mencari kebenaran sehingga dia murka kepada sesiapa saja yang menghalang atau melambatkan proses mencari kebenaran. Dia marah pembunuh Laius tak pernah ditangkap, dia mengecam Tiresias yang menasihatkan supaya siasatan untuk mencari pembunuh Laius dihentikan, dia berburuk sangka terhadap Jocasta yang juga menasihatinya.

Semua orang percaya kebenaran dan keadilan adalah baik, sekurang-kurangnya untuk kemaslahatan dirinya sendiri. Baik dalam erti kata ia menyelamatkan kita dari kezaliman dan kesengsaraan. Tapi manusia yang bercakap begini belum benar-benar faham konsep kebenaran dan keadilan, belum benar-benar faham sisi-sisi gelap kebenaran dan keadilan. Kerana jika kita menganggap kebenaran dan keadilan itu dapat menyelamatkan kita, maka kita bukan inginkan kebenaran dan keadilan, tapi inginkan jalan selamat untuk diri kita. Dan bila tiba masanya kita diminta untuk berkata benar dan berlaku adil, dan kebenaran dan keadilan itu mungkin merugikan kita atau tak dapat menyelamatkan kita, kita memilih untuk berpaling dari keadilan. Kebenaran adalah dasar keadilan. Kebenaran adalah pahit dan menyakitkan dan semua di kalangan kita tak mampu menanganinya.

Oedipus berani mencari kebenaran dan berani memikul tanggungjawab dari kebenaran itu. Oedipus (seperti tragic hero yang lain) menerima kemisteriusan takdir dan kesengsaraan bukan dengan mempersoalkan kenapa ia harus berlaku dan bagaimana ia berlaku, sebaliknya bagaimana dia harus bertindak dan apa yang perlu dilakukannya. Atas sebab itu kita boleh faham kenapa Aristotle sangat mengagumi sentuhan tragik Sophocles, berbanding Aeschylus yang terlalu teologikal  dan Euripides yang sangat sinikal dan pesimis terhadap agama dan budaya Yunani.

Satu lagi ironi yang boleh kita jumpa dalam naskah Oedipus Tyrannus ialah misteri sama ada Oedipus benar-benar membunuh Laius tak pernah dijawab. Persoalan ‘siapa pembunuh Laius?’ adalah penggerak utama naskah ini tapi kalau kita teliti kita sedar tak ada bukti yang benar-benar konklusif untuk menyabitkan Oedipus sebagai pembunuh.

Kita tahu separuh dari ramalan ahli nujum tentang takdir Oedipus memang benar, yakni dia memang mengahwini ibu kandungnya, Jocasta. Tapi ramalan yang separuh lagi, yakni dia akan membunuh bapa kandungnya, tak pernah diselesaikan. Dari segi logiknya - atas asas kita tak percaya kepada ramalan ahli nujum - perkahwinan Oedipus dengan Jocasta (dan fakta yang Oedipus anak Laius) tak secara automatiknya menjadikan Oedipus sebagai pembunuh Laius.

Apabila satu-satunya saksi dalam pembunuhan Laius (yakni orang yang sama diarahkan oleh Jocasta untuk membunuh Oedipus ketika bayi) muncul di istana, Oedipus tak pernah tanya soalan yang sepatutnya dia tanya kepada saksi itu, yakni pembunuh Laius itu seorang atau ramai. Sedangkan jawapan kepada soalan inilah yang menentukan dia bersalah atau tidak dalam pembunuhan Laius. Oedipus sebaliknya hanya berminat untuk mengetahui hubungannya dengan Laius dan perihal asal-usulnya.

Oedipus tahu dan kita juga tahu; ahli nujum meramalkan Oedipus akan bunuh bapanya, ahli nujum juga meramalkan Laius akan dibunuh oleh anaknya, Oedipus juga pernah bunuh orang di tempat yang sama dan pada masa yang sama Laius dibunuh, jadi bila saksi mengesahkan yang Oedipus ialah anak Laius, secara serta merta Oedipus (dan juga kita) terus melompat pada kesimpulan bahawa dialah pembunuh Laius dan pembawa musibah kepada Thebes.

Kesimpulan ini dicapai bukan melalui pembuktian atau pengesahan konkrit yang boleh kita kutip dari cerita, tetapi melalui verisilimitude atau logik cerita atau tuntutan cerita sebab cerita tak pakai logik hukum sebab-akibat yang mekanikal, tapi pemaknaan cerita datang kepada kita melalui konvensyen yang dibina oleh cerita. Oedipus yakin – sepertimana kita yakin – dialah pembunuh Laius, bukan dari pengesahan saksi tetapi melalui konvensyen cerita yang disuapkan kepada kita.

Dari sisi kritis, persoalan siapa pembunuh Laius yang tak dijawab dengan tuntas ini boleh dinilai sebagai kelompongan plot (plot holes), atau boleh juga difikirkan sebagai kemungkinan kepada wacana dan interpretasi naratif yang lebih analitikal, di mana kedua-duanya tak merendahkan kegeniusan Sophocles dalam mengolah mitos Oedipus. Sudah tentu jika Oedipus melawan konvensyen cerita dengan berteriak “Kalau pun Laius bapak aku, tak bermaksud aku yang bunuh dia”, naskah ini tak lagi signifikan sebagai sebuah tragedi Yunani dan Oedipus tak layak dinobatkan sebagai tragic hero.

Walau bagaimanapun, untuk adaptasi filem dengan sentuhan moden, saya lebih suka Oedipus Tyrannus diakhiri dengan Creon tersenyum megah sebagai pemerintah Thebes apabila konspirasinya terhadap keluarga Laius berjaya.