Tuesday, August 19, 2014

Revolusi Yang Meluncur Laju

Dengan pelbagai penafsiran tentangnya, boleh disimpulkan globalisasi datang dalam paradoks, ia muncul bersama dua karakter yang kontradik:  ia memungkinkan pluraliti dan pada masa yang sama ia memungkinkan juga hegemoni, ia mewujudkan homogenisasi, pada masa yang sama juga heterogenisasi. Korea memanfaatkan ini sepenuhnya dengan membawa apa yang disebutkan sebagai hallyu atau gelombang Korea dengan mengeksport budaya popular ke seluruh pelosok dunia, termasuk Malaysia, bermula dengan drama, muzik dan kemudiannya filem (dan sekarang mungkin tv show dengan adanya Running Man). Dan seperti yang selalu aku sebut, dalam society of the spectacle budaya popular datang  bersama semangat konsumerisme yang kental - menjual imej, simbol, tanda dan penampakan - yakni sebuah gaya hidup bernuansakan pemaknaan yang artifisial, bukan esensial. Tapi zaman ini, siapa yang mahu gaya hidup yang serius, kan?

Dengan segala keterpesonaan yang dibawa budaya popular Korea, termasuk Psy yang popular dengan tarian ala kuda kepangnya itu - yang secara peribadi menuntut aku untuk bersabar memahami kompleksiti manusia – aku lebih tertarik kepada filem-filem Korea. Setakat ini, pada pendapat aku, berbanding drama dan muzik yang agak mendatar tema dan persembahannya, filem Korea telah melangkau jauh meninggalkan dua bidang tadi dengan terhasilnya filem-filem yang hebat serta menyentuh pelbagai genre dan pada masa yang sama mula membuatkan aku mencari filem Korea melalui nama pengarah-pengarah mereka. Kau akan sedar filem kau memang hebat bila Hollywood mula terhegeh-hegeh hendak merosakkan filem kau atas alasan remake.

Penilaian aku tentang muzik Korea mungkin agak bias kerana lagu Korea yang aku ulang dengar hanyalah lagu dari Youme (itupun cover song) yang terselit sebagai runut bunyi filem Windstruck, yakni filem Korea kedua yang aku tonton selepas Shiri, yang kemudiannya menghantar aku kepada filem My Sassy Girl dan membuatkan aku jatuh hati dengan lakonan Jun Ji-Hyun. Lagu-lagu lain hanyalah bunyi-bunyi yang aku tak ambil serius, hanya singgah di lubang telinga dan akhirnya pergi begitu saja. Aku hanya akan serius dengan muzik Korea bila mereka ada pemuzik seperti Elena Tonra.

Drama Korea pula hanya dua yang aku ikut sampai tamat episodnya: The Devil dan IRIS. Aku tonton IRIS kerana ada Lee Byung-Hun yang aku kagum menerusi filem-filemnya bersama pengarah Kim Jee-Woon. Jadi perkenalan aku dengan muzik dan drama Korea pun kerana filem-filem Korea. Drama The Devil adalah kes unik kerana aku menontonnya akibat dipaksa adik aku ketika aku berkeras mengatakan drama Korea terlalu emosional dan melekakan. Jadi dia cabar aku tonton The Devil walaupun aku tak pasti cabaran itu untuk membuktikan apa. Hasilnya tuduhan aku benar, ia memang melekakan. Aku menghabiskan 20 episod The Devil dengan penuh dedikasi tanpa banyak soal. Jelas sekali, walaupun tuduhan aku benar tapi adik aku yang menang dalam hal ini. Dan jelas apa yang dia cuba buktikan.

Aku pernah beritahu sebelum ini yang aku menolak untuk melayan lagu dan drama Korea secara konsisten kerana ia mendatangkan ketagihan kronik, lebih-lebih lagi lagu dan drama Korea datang silih berganti dengan kelajuan cahaya, berbanding filem yang datang dalam skala yang wasatiyyah. Justeru wajib untuk aku mengingatkan agar berhati-hati dengan produk budaya dari Korea kerana ketagihan terhadapnya satu hari nanti mungkin boleh diisytiharkan sebagai neurotik (menambah satu lagi “disoder” dalam kamus perubatan) dan kau mungkin terpaksa dimasukkan ke dalam pusat pemulihan. 

Snowpiercer membariskan dua nama besar dalam industri filem Korea, Bong Joon-ho di kerusi pengarah dan penulis lakon layar (bersama Kelly Masterson) serta Park Chan-wook sebagai penerbit. Trilogi Vengence arahan Park Chan-wook adalah filem-filem wajib tonton untuk kau faham terma sweet revenge dengan sebenar-benarnya, terutamanya Old Boy yang akan buat kau melopong, terkedu dan terdiam untuk beberapa minit. Sebelum menonton Snowpiercer aku didatangi perasaan pesimis bahawa filem ini mungkin gagal memenuhi ekspektasi yang aku harapkan kerana selalunya pengarah bukan Inggeris yang cuba untuk menghasilkan filem berbahasa Inggeris, cenderung gagal untuk mengulangi kecemerlangan filem yang mereka hasilkan dalam bahasa ibunda mereka. Park Chan-wook contohnya menghasilkan Stoker yang sejujurnya bagi aku bukanlah filem yang gagal, tapi tak dapat menandingi kegelapan filem-filemnya sebelum ini. Yang terbaru aku menonton Foxfire, buah tangan kedua pengarah Perancis, Laurent Cantet yang gagal mengulangi kehebatan debutnya, The Class.

Jawapannya mudah saja, kita lebih selesa berkarya dalam bahasa ibunda kita sendiri. Dan selepas menonton Snowpiercer tesis di atas memang terbukti. Ia bukan sebuah filem yang gagal, pastinya ia seratus kali lebih baik dari filem-filem Michael Bay, dengan plot yang sederhana dibarisi pelakon multinasional yang hebat. Ya, barisan pelakonnya bukan calang-calang. Tilda Swinton paling menonjol tentunya. Cuma Snowpiercer tak mencapai tahap Bong Joon-ho (atau memenuhi ekspektasi aku), tapi beliau dapat menyampaikan unsur politikal dengan terang tanpa bersuluh berbanding filem-filemnya yang terdahulu. Plotnya yang sederhana itu nampak menarik mungkin kerana mise en scenenya, yakni sebuah keretapi yang meluncur laju, dengan pelbagai gerabak yang unik dibantu sinematografi yang hebat, lagi pun bukan selalu kita menonton revolusi di dalam keretapi. Rampasan ya, revolusi belum.

Snowpiercer yang merupakan adaptasi dari komik grafik Perancis, Le Transperceneige adalah sebuah alegori sosio-politik yang baik. Entah berapa kali aku mengulang perkataan ‘baik’ di sini, maksudnya ia bukanlah sebuah naskah yang monumental, tetapi masih menghiburkan. Cukup menghiburkan. Ia membawa kita ke sebuah dystopia, ketika dunia kembali ke zaman ais setelah percubaan untuk menurunkan suhu dunia dengan menyebarkan agen penyejuk yang digelar CW-7 menemui kegagalan, menyebabkan dunia dilanda suhu sejuk yang ekstrem. Zaman pasca-apokaliptik ini membuatkan kumpulan penduduk dunia yang masih terselamat berkampung di dalam sebuah keretapi bernama Snowpiercer,  yang bergerak mengelilingi dunia menggunakan enjin perpetual-motion. Justeru, Snowpercer ialah sebuah keretapi atau negara bergerabak yang membentuk struktur politiknya sendiri. Walaupun sisa populasi manusia semakin kurang, utopia tentang negara berkebajikan atau masyarakat egalitarian tak juga wujud. Manusia masih hidup seperti biasa, seperti manusia. Di dalam Snowpiercer masih wujud pembahagian kasta sosial di mana golongan elit menghuni gerabak mewah di bahagian depan manakala golongan miskin ditindas dan hidup melarat di bahagian ekor keretapi.

Tertekan dengan penindasan yang semakin menghimpit, golongan miskin diketuai Curtis, dibantu mentornya, Gilliam, merancang kudeta untuk menguasai bahagian enjin yang dikawal Wilford, sang borjuis yang membina Snowpiercer, yang statusnya seperti Kim Jong-Un, presiden Korea Utara yang berambut hodoh itu. Tapi perancangan perlu diatur dengan teliti, kerana sejarah menulis sudah banyak revolusi di atas Snowpiercer yang digagalkan, antara faktor utamanya ialah kegagalan menguasai bahagian enjin. Dengan bantuan Nam Koong Min Soo - jurutera keselamatan yang bertanggungjawab merekabentuk pintu setiap gerabak - maka bermulalah kudeta Curtis dan rakan-rakan, menakluk gerabak demi gerabak dalam usaha mereka menguasai sektor terpenting di depan, yakni bahagian enjin. Dan kita melihat sendiri keunikan setiap gerabak yang merefleksikan sebuah struktur politik, di samping menghargai mis en scene yang indah di setiap gerabak dengan kejutan dan adegan dramatik yang memberahikan.

Filem ini bermain dan menyentuh persoalan sosio-politik dengan perlambangan, simbolisme dan metafora yang kuat. Dengan membaca sinopsis ringkas di atas kita sudah boleh menarik signifikasi bahagian enjin sebagai struktur terpenting Snowpiercer dan terus mengingatkan kita kepada konsep base-superstructure. Watak Mason (Tilda Swinton) ibarat rujukan terus kepada Margaret Thatcher. Dengar saja  peringatan yang diberi Mason dan juga wawasan Wilford yang sarat dengan falsafah Machiavellian, Hobbesian dan Malthusian. Keretapi Snowpiercer itu sendiri yang dijana enjin perpetual motion  yang dikatakan self-sustaining (yang sebenarnya mustahil direalitikan) umpama utopia tentang self-regulating market yang berjalan dengan invicible hand, untuk akhirnya kita sedar kedcua-duanya  adalah mitos. Fuh, sungguh Marxist makna yang aku cungkil! Tapi kau tengok sendiri siapa yang menjana mesin tersebut dan kau akan faham apa yang aku maksudkan. Filem ini ada kejutan dan aku tak berniat untuk mendedahkannya di sini. Pergi tengok sendiri.

Snowpiercer menghamparkan kepada kita dua kenyataan dan satu persoalan:
1)      Perjuangan menentang status quo kadang kala merangsang si pejuang – yang mula sedar bagaimana struktur sosio-politik berjalan - masuk ke dalam sistem yang ditentangnya.
2)    Untuk mewujudkan sebuah perubahan total dengan tatanan baru, struktur lama perlu dimusnahkan sepenuhnya.
3)    Berbaloikah perjuangan demi sebuah kemusnahan, yang menghantar kita kepada persoalan utama - bersediakah kita menghadapi risiko dari kemusnahan tersebut?

Menonton Sebuah Perang

The belief in a supernatural source of evil is not necessary. Men alone are quite capable of every wickedness.
-Joseph Conrad-

Di tengah keheningan rutin hidup yang dilukis secara melodramatik melalui media massa dan media sosial, Malaysia dikejutkan dengan rentetan krisis besar secara berterusan, dari dua nahas penerbangan MH370 & MH17, kemudian serangan Israel Zionis terhadap Palestin sehinggalah yang terkini kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.

Selain dua nahas penerbangan tersebut, terrorisme Israel Zionis dan krisis politik adalah seperti kitaran naratif yang diulang tayang, ia bagaikan saya terserempak dengan sebuah deja-vu. Setahu saya penjelasan tentang deja vu ada dua; neurologikal dan paranormal. Neurologikal menjelaskannya sebagai konfigurasi memori yang samar lalu membentuk anomali. Paranormal pula menjelaskannya sebagai pengalaman di alam roh atau pengembaraan roh yang menyukarkan adaptasi memori tersebut di otak. Saya yakin terrorisme Israel Zionis dan kemunafikan ahli politik tidak memenuhi dua definisi ini, justeru kedua-duanya bukanlah satu dejà vu. Lalu saya berteori kedua-duanya ialah kecelakaan yang tak pernah tamat, malah ia mungkin satu infiniti. Akhirnya kita mungkin bertanya - setelah berpuluh kali menontonnya  – apa yang sebenarnya berubah?

Malaysia sedang dihantui jembalang bernama megalomania – gila kuasa. Semua pihak (kononnya) telah memainkan peranan untuk menundukkan dan mengawal jembalang ini: institusi kerajaan, parti politik, NGO, badan pemikir –  dengan niat mewujudkan third forcecheck and balance, doktrin pengasingan kuasa dan bla,bla,bla..hanya untuk akhirnya kita sedar mereka sendiri turut tenat disampuk jembalang yang sama. Untuk itu kita mungkin boleh membakar The End of History-nya Fukuyama (yang disebut Zizek sebagai pseudo-Hegelian idea) atau menyumbatnya ke dalam lubang jubur manusia opportunis yang menganjingkan manusia lain demi kepentingan tembolok sendiri. Reformasi politik yang melanda Malaysia – dengan hasil positifnya yang tak dinafikan – akhirnya hanyalah satu transisi budaya pemberhalaan manusia dari satu fuhrer ke satu fuhrer yang lain, sebuah semangat feudalisme kental yang menjadi rukun ideologikal dan politikal rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, yang sepatutnya dihentikan sejak Sulalatus Salatin ditulis. Tapi nampaknya kita tak pernah belajar dari sejarah, bukan? Hasilnya kita sibuk mencari siapa yang betul, bukan apa yang betul. Dan siapa yang betul tidak membawa kita ke mana-mana sebenarnya, sekali lagi sekadar mendidik kita untuk menjadi penonton setia sebuah permainan politik yang kotor.

Saya menulis ‘melodramatik’ dan ‘menonton’ kerana kita melihat dan menafsir realiti sosial yang melingkungi diri kita menerusi laporan, berita dan maklumat dari media massa. Persepsi kita tentang apa itu realiti (dan apa yang berlaku di dalam realiti itu) dibentuk melalui media massa yang akses dan hebahannya (malah pengaruhnya) semakin meluas hasil kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Persepsi adalah realiti atau membentuk realiti. Itu yang pasti. Realiti bagi rakyat Malaysia mungkin Utusan Malaysia, Berita Harian, Harakah, Suara Keadilan dan Roket. Bagi yang mengaku intelek mungkin Foreign Affairs, BBC, CNN dan al-Jazeera. Bagi yang mengaku radikal mungkin Adbusters, Huffington Post dan Socialist Worker. Guy Debord menyebut budaya masyarakat kapitalisme moden yang datang bersama kemajuan teknologi maklumat dan budaya konsumer, sebagai society of the spectacle, yakni masyarakat tontonan yang memaknakan imej, visual, simbol dan penampakan sebagai esensi kewujudan mereka.

Society of the spectacle ialah masyarakat yang menonton dan ingin dirinya ditonton. Ya, melalui society of the spectacle Debord mahu mengatakan bahawa konsep commodity fetishism oleh Marx itu telah dimanifestasikan dalam bentuk paling afdal. Dan manusia tidak lagi berkuasa menentukan hala tuju hidupnya secara langsung. 

Tulis Debord, “The spectacle is the stage at which the commodity has succeeded in totally colonizing social life.” 

Apabila realiti direprensentasikan oleh imej, visualisasi dan penampakan yang bersifat artifisial dan reduksional, ini bermakna realiti itu boleh dikawal, dibentuk dan diolah oleh pihak yang menghasilkan imej, visual dan penampakan tersebut, lalu mewujudkan sebuah pembingkaian realiti. Pembingkaian realiti mewujudkan tanggapan yang terpotong-potong atau fragmentasi, terpisah dan bercelaru hasil dari pertentangan atau perbezaan di antara satu bingkai realiti dengan satu bingkai realiti yang lain. Apabila realiti menjadi imej, maka imej dimaknakan sebagai realiti, seterusnya mewujudkan kesedaran untuk terus melanggan imej dan menontonnya sebagai satu kesedaran yang real, atau mendatangkan keterujaan untuk ditonton, atau untuk menunjuk-nunjuk kalau dalam bahasa kampung saya. Hubungan sosial kini dimaknakan oleh keghairahan terhadap pesona, prestij dan status sosial menerusi pengumpulan imej dan penampakan.  Mudah cakap fetish ini dapat dipenuhi melalui ruang media sosial – Facebook, Instagram dan Twitter yang nampaknya menjadi ruang yang menyuburkan budaya narsisisme, voyeurisme dan sadisme, gabungan penyakit yang baik untuk melahirkan klon Ted Bundy, Jeffrey Dahmer dan Albert DeSalvo.

Kata Debord masyarakat tontonan tidak merealitikan falsafah, tapi memfalsafahkan realiti, yang akhirnya mengurung hidup manusia ke dalam sebuah spekulasi yang besar. Pembingkaian realiti yang terhasil dari pencitraan imej dihadam sebagai sebuah ekstasi yang meyakinkan, ianya bermain dengan emosi, menggerakkan fikiran dan tubuh badan, cukup sekadar menghasilkan tindakan tanpa aksi yang efektif. Masyarakat tontonan melihat realiti seperti peminat bola sepak menonton perlawanan bola sepak; mereka bersorak, memaki-hamun, meneka dan mengulas, mungkin juga berkelahi sesama sendiri, hanya untuk mereka sedar setiap aktiviti tersebut tidak mempengaruhi perlawanan yang sedang berlangsung atau pemain yang sedang bermain. Biar sampai tercabut urat tekak sekali pun mereka berteriak, mereka perlu sedar aktiviti menonton adalah aktiviti yang pasif. Kita hanyalah spectators of action seperti disebutkan Walter Lippmann, yakni gerombolan manusia yang menerima wahyu-wahyu suci dan bersedia menerima arahan secara pasif dan submisif. Baudrillard melanjutkan lagi konsep ini dengan lebih ekstrim  dengan simulacrum – masyarakat postmodern yang mensimulasikan realiti yang hilang. Kerana itu saya bertanya, setelah berpuluh kali menjadi penonton - apa yang sebenarnya berubah?

Saya tidaklah beriman sepenuhnya dengan pesimisme neo/post-Marxist, tapi saya bimbang negara kita menuju apa yang disebutkan Chomsky sebagai democratic deficit, yakni sebuah parlimen dan rakyat yang hilang pengaruhnya ke atas dasar kerajaan. Kita boleh bersetuju bahawa struktur politik kontemporari bergayut kepada kuasa ekonomi. Ahli-ahli politik malah parti-parti politik di Malaysia kebanyakannya mempunyai penaung ekonomi masing-masing. Masalah ini sejak awal sudah disebut Marx. Kata Chomsky kini sudah wujud de facto world government kerana ekonomi antarabangsa  (hasil globalisasi) melahirkan kerajaan antarabangsa yang mewujudkan eksekutif di peringkat antarabangsa. Struktur politik ini tidak menjawab terus kepada rakyat tapi kepada bank antarabangsa dan syarikat multinasional. Demokrasi kini hanya tinggal nama di peti undi, yang diseru lima tahun sekali untuk mempertontonkan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai kuasa dalam demokrasi untuk memilih pemimpin dan kepimpinan, ironinya untuk membiarkan pemimpin tersebut menggunakan mandat yang diterima secara membabi buta tanpa konsensus daripada rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

Di media elektronik, terutamanya di media sosial berhamburan kritikan yang tak putus-putus tentang hidup dan kehidupan. Lebih-lebih lagi kita dihadapkan dengan bermacam isu. Membaca akhbar atau melayari internet sekarang seperti membaca naskah tragedi Yunani, malah anda boleh berjumpa karya-karya grafik ala Shakespeare dalam tabloid Metro. Sekarang pun kita sedang menyaksikan pementasan semula Julius Caesar yang dikhianati Brutus. Kata Charlie Chaplin hidup adalah tragedi jika dilihat secara close-up, tetapi menjadi komedi jika dilihat secara long-shot. Ini kerana kita mengulang semula naratif nenek moyang kita satu ketika dulu. Langkah demi langkah, mengulang semula kesilapan yang sama tanpa rasa malu atau bersalah. Aristotle  di dalam Poetics mengatakan antara tema utama naratif tragedi ialah hamartia, yakni kesilapan dalam membuat pilihan dan pertimbangan. Kata Marx sejarah berulang, kali pertama sebagai tragedi, kali kedua sebagai  sandiwara. 

Manusia memang makhluk bermulut becok dan suka merungut walaupun masalah itu berpunca dari diri mereka sendiri. Semua orang mahu jadi mangsa dan menolak pertanggungjawaban. Penjenayah pun mengaku menjadi mangsa di atas jenayah yang dilakukannya. Sebelum ini pun kita membaca di ruang media sosial kritik ekonomi Marxian, kritik agama Fuerbachian dan kritik moraliti Nietzschean seolah-olah pengkritik ini hidup di Jerman pada abad ke 19 dan tak pernah merasai nikmatnya petai dan tempoyak. Saya suka Nietzsche, dan saya bukan menidakkan relevansi moraliti Nietzsche untuk difikirkan, berfikirlah apa pun selagi kau boleh berfikir, tetapi kalau asyik mengulang-ulang atau mempermasalahkan tesis moraliti itu di permukaannya saja, itu memanglah kelihatannya sangat usang dan membuang masa. Lebih baik kau laburkan masa itu dengan berselfie di kubur atau menonton Tanah Kubur. Pilih mana satu yang mendatangkan keinsafan di hati kau. Atau pergi hadam Ranjau Sepanjang Jalan - novel yang bermula dengan pernyataan paling agung untuk mendefinisikan pandangan alam Melayu itu – untuk kau faham adakah keluarga Jeha dan Lahuma membaca The Birth of Tragedy sementara menunggu padi masak.

Sebenarnya, saya tak ada masalah dengan rungutan-rungutan ini. Saya sendiri merungut. Malah sekarang pun. Blog ini adalah manifestasi dari secebis personaliti saya yang murah, yakni untuk merungut. Rosseau merungut. Marx merungut. Piketty pula menyambung (atau mengesahkan) rungutan Marx. Katanya dengan sedikit penambahbaikan. Tapi sebenarnya saya tak peduli pun. Satu yang pasti manusia ini memang makhluk yang kompleks. Freud cuba menerangkan kompleksiti terpendam manusia, tapi bagi saya Nietzsche lebih berjaya kerana dia faham manusia bukan saja kompleks tapi juga gila. Freud agak vulgar tetapi Nietzsche memang bravura persembahannya. Tapi siapa sebenarnya yang faham Nietzsche? Bagi saya mereka yang  mengaku faham Nietzsche ialah mereka yang berjumpa dengan diri  mereka sendiri, kerana Nietzsche membuka jalan ke arah itu, yakni sebuah refleksi tentang manusia. Kau mungkin berjumpa dengan diri kau tapi itu tak bermakna kau faham diri kau, apatah lagi faham Nietzsche. Dalam simpang siur pemikirannya itu kita tahu Nietzsche sendiri pun pening kepala.

Persoalannya, mengapa manusia merungut? Manusia merungut kerana dunia tidak seperti yang diharapkannya. Manusia merungut kerana mereka berharap (dan percaya) dunia ini seharusnya menjadi lebih baik. Manusia merungut kerana manusia punya harapan. Manusia merungut kerana manusia makhluk yang sentiasa berharap. Justeru tidakkah manusia makhluk yang lemah? Saya tak berniat untuk kelihatan seperti televangelist atau ustaz self-help di sini. Saya percaya semua manusia ada agama. Saya bersetuju dengan Erich Fromm bila dia sebut masalah utama bukan apakah manusia beragama atau tidak beragama, melainkan apa agama yang dianuti mereka. Kadang-kadang dengan menyelitkan sedikit kosa kata agama atau berbaur agama boleh mendatangkan cemuhan  atau perasaan jelik di hati pembaca, perasaan bahawa tulisan ini kedengaran murah. Misalnya memetik pendapat Sayyid Qutb kelihatan agak kolot berbanding memetik pendapat Mao Tse Tung. Kata-kata Mao bahawa kuasa politik hanya dapat ditegakkan melalui muncung senapang kedengaran revolusioner dan radikal. Tapi kata-kata yang sama jika keluar dari mulut manusia yang bernama Abu Bakar mungkin dicop terroris dan fundamentalis. Biasanya mamat yang mengulang moraliti Nietzsche ada dikotomi pemikiran begini. Sebab itu saya beritahu amat membuang masa untuk berbincang tesis moraliti Nietzsche untuk akhirnya kau petik kata-kata Mao dan mewahabikan semua orang.

Kata Ahmad Wahib zaman sekarang berbeza dengan zaman Nabi, kerana zaman Nabi golongan Nabi betul-betul baik,  golongan kafir betul-betul jahat. Sedangkan zaman sekarang kata beliau golongan kita antara baik-jahat dan golongan lawan pun antara baik-jahat juga. Saya tidaklah bersetuju dengan generalisasi sebegitu, tapi saya rasa saya boleh faham apa yang ingin disampaikan beliau. Mungkin saya boleh permudahkan penjelasan Ahmad Wahib bahawa inilah zaman postmodern, yang disebutkan Fredric Jameson sebagai cultural logic of late capitalism, zaman dosa dan pahala bercampur. Tak ada lagi manusia suci dalam dunia ini. Dan hari demi hari dunia semakin menghakis fitrah manusia, semakin membogelkan sisi-sisi gelap mereka, semakin memujuk mereka untuk menunaikan segala hasrat dan keinginan terpendam untuk akhirnya mereka mencapai  kesedaran syaitan bahawa satu-satunya benda yang menghalang mereka dari melakukan dosa dan kerosakan adalah diri mereka sendiri.

Justeru kadang kala kita perlu menyambut baik saranan Rahman Shaari supaya kita semua “berfikir secara yang betul, bukan berfikir secara yang menyeronokkan”. Lebih-lebih lagi jika berfikir tentang idea yang bersifat politikal. Apabila kita berfikir secara menyeronokkan kerap kali pemikiran itu tersasar jauh dan tidak membumi, walaupun kelihatan radikal, spektakular dan fantastik ia sekadar bertindak sebagai pelancapan otak yang memberi kepuasan intelektual tetapi tidak membenihkan hasil yang praktikal dan transendental. Mungkin bawa banyak mudarat dari manfaat. Mungkin ini yang dimaksudkan Debord sebagai memfalsafahkan realiti. Berfikir secara menyeronokkan mungkin kelihatannya mendalam  tetapi selalu ia berlari jauh dari dua unsur kontekstual yang penting dalam sesebuah idea, yakni realiti sosial dan pengalaman sejarah sesebuah masyarakat.

Seringkali berfikir secara menyeronokkan seperti menghasilkan pemikiran di luar kotak, tapi cenderung juga pemikiran yang terhasil ialah pemikiran tak ada kotak akibat terlalu galak dan mabuk berfikir. Persoalannya bukanlah sama ada perubahan itu baik atau tidak, tetapi adakah kita  bersedia dan mampu menanggung kesan dari perubahan tersebut? Mungkin kita tak memahami maksud sebenar perkataan politik (atau lebih tepat realpolitik), atau kita sekadar penghafal buku-buku teks sejarah, teori sosial tetapi gagal mengutip hikmah secara komprehensif. Pemikiran itu sendiri tidak pernah diperiksa, dianalisis dan dipersoalkan, apatah lagi dibentangkan dengan realiti sosio-politikal yang bersifat tempatan. Atau memang itu cara berfikir kita, yakni berfikir secara menyeronokkan.

Aku beritahu kau, politik adalah medan perang, dan bila kau berperang kau tak boleh naif, kalau tak kau mati. Pergi baca Art of War. Secara peribadi, dikenali atau tak dikenali, aku pilih untuk tidak bersama syaitan.