Saturday, July 23, 2016

Siapa Penulis Chorak Dunia?


Oleh Karl Samuel

“Kau sukakan kebetulan. Senyuman dari gadis cantik dalam situasi yang hangat, sebuah jelingan yang dicuri, itulah yang kau cari, itulah motif untuk fantasi kau yang tak pernah berakhir. Kau yang sentiasa bangga untuk jadi pemerhati, kini mengalah untuk jadi objek yang diperhati. 
Ah, kau kawan yang pelik, sekejap kau jadi kanak-kanak, sekejap kau jadi orang tua; satu masa kau begitu komited memikirkan masalah ilmiah yang paling penting dalam dunia  dan bagaimana kau akan mengabdikan hidup kau untuk selesaikannya, dan satu masa yang lain kau jadi seorang bodoh yang mabuk cinta”.
- Sá´“ren Kierkegaard, Either/ Or -
Siapa penulis Chorak Dunia?  Kenapa dia tak mahu dedahkan identitinya? Adakah blog ini milik kolektif atau blog individu? Ini soalan-soalan yang saya tanya sekian lama.

Beberapa hari lepas saya dimaklumkan yang Benz Ali juga bertanya soalan yang sama kerana dia berminat untuk membukukan tulisan-tulisan dalam blog nyamuk ini. Malah ada beberapa pembaca blog ini yang mahu berta’aruf dengan penulisnya.

Saya ada satu berita buruk dan satu berita baik. Berita buruk; kita mungkin tak dapat mendedahkan identiti sebenar penulis Chorak Dunia dalam masa terdekat ini. Berita baik; walaupun tak dapat kenal identitinya, kita masih boleh menganalisa karakter, personaliti dan motivasi penulis ini. Itulah saja yang saya akan  buat dan mampu buat. Seperti Sherlock Holmes dan Detektif Conan saya akan cuba merungkai misteri ini satu persatu. Saya cuba meneliti bukti-bukti yang berselerak di tempat kejadian. Bukti-bukti yang tak diendahkan ramai pembaca kerana seperti kata Holmes, “kau nampak tapi kau tak perhati”.

Di mana tempat kejadian yang menjadi tumpuan siasatan kita? Jawapannya ialah blog ini. Di sinilah kita ditemukan dengan penulis blog Chorak Dunia, atau lebih tepat, di sinilah kita ditemukan dengan tulisan-tulisannya. Apa bukti-bukti yang boleh menjadi punca siasatan kita? Jawapannya ialah teks di dalam blog ini, tulisan-tulisan penulisnya.

Kita perlu sedar, penulis tak letakkan alamat e-mel, nombor telefon atau sebarang akaun media sosial untuk dihubungi. Ditambah dengan interaksi penulis dengan beberapa pembaca, saya rasa mudah untuk kita buat andaian yang penulis memang enggan dikenali identitinya dan enggan dikenali secara peribadi. Enggan identitinya dikenali (atau enggan dikenali secara peribadi) bukan maksudnya tak mahu dikenali langsung. Wujudnya blog ini adalah bukti kukuh yang penulisnya mahu dikenali, kalau pun bukan oleh pengunjung blog ini, pastinya oleh dirinya sendiri. Blog Chorak Dunia secara tak langsung menjadi tanda keberadaan penulisnya di dunia ini.

Lagi pun agak pelik untuk kita terus bertanya siapa penulis blog ini sedangkan dari awal dia sudah menghantar isyarat yang dia tak mahu dikenali dengan lebih dekat. Satu-satunya jawapan yang boleh diberi penulis blog ini tentang siapa dirinya ialah namanya ‘al-amin’ dan dia ‘seorang lelaki’. Untuk kita bertanya lebih lanjut siapa dirinya mungkin satu keganjilan, seperti teguran V kepada Evey dalam V For Vendetta. Kata V adalah satu paradoks untuk Evey bertanya “siapa awak” kepada orang yang pakai topeng kerana topeng yang dipakainya adalah tanda dia enggan dikenali. (Atau mungkin juga tujuan dia pakai topeng ialah supaya orang bertanya siapa dirinya.)

Dan saya syak al-amin, seperti petikan Kierkegaard di atas, memakai banyak topeng yang mungkin mengganggu fokus kita sebagai pembaca - dan mendatangkan perasaan gelisah kepadanya sebagai penulis - jika kita mengenali sosoknya yang sebenar.

Satu-satunya cara untuk kita mengenali al-amin -  kalaulah dia boleh dikenali – hanyalah dengan kita membedah tulisan-tulisannya. Situasi ini seperti membawa kita ke jalan buntu. Authorship profiling bidang yang baru saja berkembang dan banyak penambaikan yang masih berjalan dalam bidang ini. Tapi seperti kata Detektif Conan, “jika dilihat dari perspektif yang berbeza, tembok yang gagah hanyalah sebuah pintu yang besar.”

Jadi melalui tulisan-tulisan dalam blog inilah saya akan menguak pintu untuk mengintai sosok bernama al-amin ini. Mungkin mustahil untuk kita tahu banyak maklumat tentang al-amin, dan rasanya kita tak perlu tahu banyak pun. Kita sudah tahu dia seorang lelaki dan ini rasanya maklumat yang benar. Kriteria awal (dan boleh dikatakan penting) dalam authorship profiling ialah gender penulis. Dari maklumat tentang gender banyak profail lain boleh ditarik. Saya tak fikir penulis blog ini mahu meniru novelis, penyair dan pengkritik tersohor era Victoria, Mary Anne Evans* yang menggunakan nama samaran George Eliot untuk menyembunyikan gendernya dari pengetahuan pembaca.

Berdasarkan penelitian saya terhadap tulisan-tulisan dalam blog Chorak Dunia, baik dari sudut idea, langgam bahasa, corak tulisan, analisis semantik dan kekerapan penggunaan kata ganti nama, maka saya boleh sahkan al-amin memang seorang lelaki.

Saya bagi tips penting untuk mengenal pasti gender penulis menerusi tulisan mereka. Penulis perempuan lebih banyak guna kata ganti nama, lebih banyak membanding dan merujuk kepada orang lain, lebih banyak bercakap tentang perhubungan dan terlibat secara intim dengan topik yang ditulisnya. Penulis lelaki pula lebih banyak guna kata sendi nama, lebih banyak selitkan jargon dan leksikon  dan lebih banyak menghuraikan topik dengan cara memaklumkan.

Jadi sah al-amin seorang lelaki. Fokus kita seterusnya ialah untuk menyiasat karakter dan personalitinya dan seterusnya merungkai jawapan kenapa dia enggan dikenali dengan lebih dekat. Hipotesis saya ialah al-amin ini seorang introvert. Ini mungkin nampak seperti pendefinisian yang ringkas untuk menghuraikan karakter seorang manusia, tapi percayalah ia boleh membuka pintu yang lebih luas untuk kita memahami lebih banyak sisi-sisi terpencil al-amin.

Sebagai introvert, al-amin yakin dia bukan manusia yang dikejar majikan dan penemuduga dan dia yakin manusia yang sama spesis dengannya selalu gagal dalam temuduga. Dia lebih suka buat kerja seorang diri dan dia suka keadaan solitari. Dia banyak berdialog dengan diri sendiri berbanding bersembang dengan manusia lain. Dia tak suka aktiviti outdoor sebab itu hobinya baca buku, tengok filem, tonton tv, dengar muzik dan berangan-angan. Dia mabuk ditenggelami gerombolan idea, timbunan buku-buku,  filem-filem romantik dan tragedi serta bingit dan melankoli muzik.

Saya berpendapat al-amin amat berterima kasih kepada Carl Jung sebab memperincikan spesis manusia sepertinya. Tanpa Carl Jung, al-amin sendiri masih keliru tentang psikologi dan sikapnya dalam bersosial. Sampai sekarang pun, dalam dunia yang memuja sikap peramah, al-amin kadang-kadang bergelut dengan dirinya sendiri.

Hari Raya pada pendapat saya ialah hari yang menggelisahkan al-amin sebab dia terpaksa berjumpa dan beramah mesra dengan ramai orang yang bertandang ke rumahnya. Bukan maksudnya dia benci Hari Raya tapi dia kurang selesa dengan peristiwa-peristiwa yang mendesaknya untuk berjumpa dengan manusia lain dalam jumlah yang ramai. Dia benci untuk berjumpa dengan manusia lain ‘sempena’ peristiwa tertentu. Dia akan jumpa bila dia mahu jumpa.

Bukan al-amin sombong dan tak menghargai usaha mereka yang mahu mengenalinya dengan lebih dekat. Tapi buat masa sekarang dia lebih selesa begini. Dia lebih selesa untuk tak dikenali dengan lebih dekat. Dia rasa tulisannya lebih jujur dalam keadaan begini. Seperti petikan dari Kierkegaard di atas, peribadinya ada banyak belahan personaliti yang bertumpang tindih.

Dalam tulisannya pun sekejap al-amin gunakan kata ganti nama ‘aku’, sekejap dia gunakan ‘saya’, ada juga artikel dia gunakan ‘kami’. Dia tak pernah tetap dengan sesuatu atau percayakan sesuatu dalam tempoh masa yang lama. Secara umum, prinsip hidupnya masih sama cuma jalur perspektifnya tak statik. Alam fikirannya nomad dan berpindah-randah secara bersendiri.

Ini bukan satu yang al-amin banggakan sebab selalunya keadaan ini menyukarkan dia untuk berbual dan berhubung dengan orang lain, tapi tak dinafikan bagi al-amin ketakpastian ini merintis jalan untuknya meneroka kompleksiti manusia dengan lebih jujur. Bila berbual dengan kawan-kawan dan saudara mara, hatinya asyik nak membangkang dan menempelak pendapat mereka yang baginya dianggap picisan, semberono dan terlalu lurus. Tapi mulutnya terkunci. Mungkin sebab nak jaga hati mereka, mungkin untuk mengelakkan perselisihan faham yang remeh atau mungkin dia sendiri perlu semak semula hujah-hujahnya. Kadang-kadang dia cuba jadi idealis, kadang-kadang dia sedar dia realis, ada masanya dia rasa optimis, tapi selalunya dia pesimis. Benz Ali lebih dari manusia lain tentu faham semua ini.

Situasi ini selalunya berakhir dengan dia masuk bilik dan berbaring sambil berdebat dengan dirinya sendiri. Itu yang selalu berlaku. Dan kalau rajin dia akan luahkan dalam blog Chorak Dunia. Blog ini ialah medium dia mengkritik dan berkomunikasi dengan persekitarannya dan dirinya sendiri. al-amin sedar manusia introvert suka menulis dari bercakap. Idea yang bertakung di kepala mereka lebih lancar mengalir ke atas papan kekunci berbanding dihamburkan dengan gelombang bunyi. Sebab itu ramai yang bersolitari di tasik, pantai dan gunung lalu menjadi penulis, seniman dan penyair. Tapi selalunya al-amin malas.

Kadang-kadang al-amin rasa dia seorang yang egois dan narsisis, membenci dunia kerana dunia tak berjalan seperti yang diinginkannya. Mungkin ini sifat primordial dan hukum alam seorang idealis. Sebab itu bila sang idealis dapat kuasa kemungkinan besar dia bakal jadi diktator. Sejarah tak pernah menipu. Ramai diktator pada awalnya ialah idealis yang memberontak. Mereka mengkritik, mereka melawan, mereka disingkir dan dipenjarakan. Hanya apabila mereka ditauliahkan kuasa, sifat egoistik dan narsisistik tadi menjalar dan menguasai akal, hati dan nafsu. Idealisme dibentuk menjadi kuku besi, mencakar dan mengoyak suara-suara yang berseberangan. Macam Harvey Dent cakap dalam The Dark Knight, "Sama ada kau mati sebagai pejuang atau hidup cukup lama untuk tengok diri kau jadi penjahat."

Kadang-kadang bagi al-amin dia hanyalah petani pascamoden yang cuba menggali makna dari tanah yang dia gembur, untuk akhirnya dia sedar menggali sesuatu yang dia sendiri tak pasti apa dan di mana hanyalah usaha sia-sia, dan peluh yang dia tumpahkan sekian lama sebenarnya cukup untuk menyuburkan tanaman yang menguntungkan anak cucunya, hanya jika dia bercucuk tanam. Tapi sekali lagi dia memang pemalas.

Bagi al-amin, tulisannya – baik dari segi bentuk dan isi - belum mencapai kematangan yang diinginkannya. Dia hanya mencedok dan meminda secara minimum idea-idea liar yang singgah di kepalanya. Dia sangat militan dalam menculik mana-mana pendapat yang bersesuaian dengan ideologinya secara pukal dan menyeludupnya kembali ke dalam blog ini. Dan ini bukanlah sesuatu yang membanggakannya. Apa yang dilontarkan dalam blog Chorak Dunia hanyalah perca-perca idea yang miskin dan berserakan, yang mungkin banyak mengundang kekeliruan dari kefahaman.

Apabila Benz Ali sebut yang tulisan dalam blog ini perlu dibukukan kerana dia bimbang jika berlaku gempa bumi (saya faham Benz Ali bergurau) tulisan ini akan hilang begitu saja, saya teringatkan novel-drama Bila Tuhan Berbicara karya Faisal Tehrani. Dalam novel tersebut 3 manusia berbeza fahaman tertidur selama beribu-ribu tahun dalam gua, eh bukan gua tapi bunker, setelah berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Saya berpendapat al-amin pastinya bersyukur jika tulisannya yang miskin, liar dan nomad ini hilang dalam gempa bumi. Saya terfikir juga, jika berlaku gempa bumi, apa kemungkinan untuk al-amin terperangkap bersama Benz Ali dalam sebuah bunker?

al-amin mahu tulisannya di tulis kembali. Bagi al-amin teks hanya dapat dinikmati apabila ia ditulis semula kerana seharusnya pada tingkat yang lebih afdal, membaca teks itu tak dapat lari dari menulis semula teks. Menulis semula bukan maksudnya memplagiat tulisannya, tapi merangsang akal untuk menilainya secara kritis, memikirkannya dari sudut pandang berbeza, menyelaknya dari sisi-sisi yang lain. al-amin mahu pembaca melayan tulisan di blog ini bukan saja dengan menyiasat apa yang dinyatakan, tapi juga mengesan apa yang gagal dinyatakan. Ya, ini bukan pendapat al-amin tapi pendapat Roland Barthes. Lihat bagaimana dengan selamba al-amin menyeludup pendapat Barthes dan menulisnya seolah-olah pendapatnya sendiri.

Cuma berbeza dengan Barthes, al-amin beriman yang aktiviti buka dan lepas teks secara terus-terusan ini bukan sekadar ‘permainan teks’ yang kosong dari makna tertentu, sebaliknya ia sebahagian dari usaha untuk mencari dan membina makna.

al-amin mungkin berpendapat, buat masa sekarang, pembaca dapat lebih menghargai tulisan blog ini dengan menilai tulisannya berdasarkan tulisannya, bukan menilai tulisannya berdasarkan autoriti atau rupa paras atau akhlaknya sebagai manusia. Ini antara sebab kenapa Mary Anne Evans aka George Eliot menggunakan nama lelaki. Selain untuk mengelak stereotaip masyarakat era Victoria yang menganggap penulis wanita hanya pandai tulis novel pseudo-cinta, Mary Anne juga tak mahu karyanya dinilai dengan prejudis hanya kerana dia seorang agnostik yang tak segan untuk bersekedudukan dengan suami orang. Ya, awak perlu baca artikel hebat Mary Anne bertajuk “Silly Novels by Lady Novelists” yang keras mengkritik penulis-penulis wanita pada zamannya yang gian menulis novel pseudo-cinta untuk kita lebih faham mengapa Mary Anne pakai nama George Eliot.

Mungkin sedikit sebanyak al-amin juga terpengaruh dengan pendekatan Kierkegaard yang menggunakan banyak nama samaran dalam tulisannya terutamanya dalam periode pertama kepengarangannya. Kierkegaard ada tak kurang dari 15 nama samaran. Dalam buku Either/Or saja ada tiga nama pengarang; Victor Eremita selaku editor, A selaku pengarang bahagian pertama (Either) dan Judge Wilhelm sebagai pengarang bahagian kedua (Or), di mana ketiga-tiganya ialah Kierkegaard sendiri.

Malah lebih kurang seminggu selepas Either/Or diterbitkan, Kierkegaard siap tulis sebuah artikel berjudul ‘Who Is The Author of Either/ Or’ dengan menggunakan nama samaran lain pula! Dalam artikel ini Kierkegaard konon berteori tentang persoalan siapa pengarang buku Either/Or tanpa dia sebut yang dia tahu identiti pengarang yang sebenar, yakni dirinya sendiri.

Setiap nama samaran Kierkegaard mempunyai persona dan idea tematik mereka yang tersendiri. Setiap satu persona Kierkegaard - dalam projeknya meneroka tiga tahap eksistensi yakni estetika, etika dan agama - menggunakan idea-idea yang tak mempunyai titik temu yang jelas secara konsisten, kalau pun mereka tak berkontradik secara langsung. Sebagai contoh, Anti-Climacus agak kontra dengan persona Johannes Climacus. Ya, Anti-Climacus bukan alter-ego Kierkegaard, tapi alter-ego kepada alter-ego Kierkegaard!

Seperti Kierkegaard, al-amin tak mahu dikenali supaya dia dapat melihat sesuatu idea dengan lebih terbuka dan dapat pula meluahkan idea itu dengan terbuka. Buat masa sekarang al-amin mengalami dialectical tension seperti Kierkegaard, terbelah antara spiritual dan material, imanen dan transenden, pop culture dan high culture, gagal untuk menjadi diri sendiri dan pada masa yang sama tak dapat menjadi orang lain. Sickness unto death kata Kierkegaard.

Menjarakkan diri dengan pembaca adalah pendekatan terbaik bagi al-amin untuk berlaku jujur kepada dirinya sendiri dan mengekalkan kewarasannya.

Dalam artikel ‘Who Is The Author of Either/ Or’, Kierkegaard dengan nama samaran A.F. menulis:

“Kebanyakan orang, termasuk penulis artikel ini  berpendapat tak berbaloi bersusah-payah untuk peduli tentang siapa pengarang buku ini. Mereka gembira kerana tak tak tahu identiti pengarangnya, kerana dengan itu mereka hanya ada buku itu untuk ditangani, tanpa diganggu atau terganggu dengan keperibadian penulisnya”.
--------------------------------------------------------------------

*George Eliot ialah perempuan sasterawan yang bertanggungjawab menterjemahkan 2 karya kontroversi Jerman ke dalam bahasa Inggeris; The Life of Jesus oleh David Strauss dan The Essence of Christianity oleh Ludwig Feuerbach. Dia pernah jadi penyumbang artikel dan editor The Westminster Review, jurnal yang diasaskan oleh Jeremy Bentham dan menjadi suara rasmi puak Philosophical Radicals (zaman sekarang puak macam ini dipanggil liberal).

Selamat untuk dikatakan yang status Eliot masih jadi khilaf, sama ada dia seorang agnostik atau atheis. Hal ini demikian kerana walaupun agak kritikal dengan agama, dia tak pernah mengecam agama, apatah lagi anti-agama. Dia memandang agama punya sisi-sisi positif yang boleh dimanfaatkan, baginya agama secara objektifnya salah, tapi secara subjektifnya benar. Agama adalah medium manusia mengobjektifikasikan keperluan mereka yang subjektif, sebuah pendapat yang meminjam kritik Feuerbach terhadap agama. Ada juga yang melabel Eliot sebagai religious atheist. Kita sendiri tak pasti. Mungkin Eliot juga tak pasti dan seperti al-amin, mungkin alam fikiran Eliot juga berstatus nomad, berpindah-randah secara bersendiri.

Thursday, June 30, 2016

10 Thriller Terbaik Korea Selatan (Bahagian 1)

Ianya tak mengambil masa yang lama untuk kau jadi peminat filem-filem Korea Selatan. Cukup dengan tonton dua atau tiga filem - tak kira sama ada kau peminat filem romantik, seram, aksi, thriller atau misteri – dan kau akan sedar ada sesuatu yang lain dari filem-filem Korea Selatan yang kau takkan jumpa dari filem-filem negara lain.

Filem Korea Selatan bukanlah wujud unik dalam bentuknya yang tersendiri atau terlalu avant-garde, formula mereka banyak ditarik dari filem-filem Hollywood, Hong Kong dan Jepun. Cuma mereka tak imitate, tapi mereka innovate. Melalui inovasi ini mereka bangunkan sebuah bahasa filem yang garang dengan semangat visual, sangat stailistik dan pintar bermain dengan emosi penonton.

Antara kecenderungan kebanyakan pembikin filem Korea Selatan ialah mereka tak tersangkut dengan konvensyen sesebuah genre. Kita boleh kesan kepelbagaian genre (atau sub-genre) disumbat masuk ke dalam sesebuah filem, atau sesebuah genre diberi suntikan yang lebih segar yang lari dari kebiasaan.

Jika kau suka filem yang ada elemen gelap, ganas, provokatif, sinikal dan absurd, yang melihat dunia bukan dari sudut hitam-putih, maka filem-filem thriller ini sesuai untuk senaman otak buat meregangkan sel-sel kau yang kendur akibat lama dicandu filem-filem Hollywood (dan Malaywood).


  1. Sympathy For Mr. Vengeance

Sinopsis: Ryu seorang pemuda pekak yang mahu kakaknya menjalani pembedahan buah pinggang. Masalahnya dia tak ada duit. Dan dia tak boleh dermakan buah pinggangnya sendiri kerana darah mereka tak sama. Akibat terdesak, dia buat perjanjian dengan sindiket organ haram. Menurut perjanjian, sindiket ini akan serahkan buah pinggang yang sesuai dengan kakak Ryu, dan sebagai tukarannya, Ryu akan serahkan buah pinggangnya kepada sindiket. Di samping itu, Ryu juga kena bayar sikit duit untuk kos pembedahan buah pinggangnya. Malang tak berbau, Ryu ditipu. Buah pinggang untuk kakaknya tak ada, duitnya lesap, buah pinggangnya hilang. Tekanan semakin menimpa Ryu apabila penderma buah pinggang untuk kakaknya muncul, tapi dia tak cukup duit sebab semuanya telah ditipu sindiket haram tadi. Aweknya mencadangkan supaya mereka culik anak bos Ryu dan minta duit tebusan. Anak bos berjaya diculik dan duit tebusan berjaya dikutip. Dan tragedi bermula di sini.

Ulasan: Ini adalah filem pertama dalam Trilogi Vengeance oleh pengarah Park Chan-wook. Ada beberapa elemen yang dikongsi filem-filem dalam trilogi ini, pertama ia berkait tentang dendam kesumat yang perlu dilunaskan, kedua bahasa filemya sangat puitis, ketiga aksi kejamnya sangat grafik dan keempat, pembalasan dendam itu dibuat oleh manusia-manusia biasa. Mereka bukan polis, pembunuh upahan atau kepala gangster.

Tema balas dendam bukan saja digunakan dalam Trilogi Vengeance, tapi turut terdapat dalam filem-filem lain yang ada dalam senarai ini. Entah kenapa pengarah Korea obses sangat dengan tema balas dendam. Atau mungkin aku yang obses dengan tema ini? Tapi tema balas dendam dalam filem thriller Korea Selatan bukanlah diisi dalam plot picisan macam I Spit On Your Grave. Pembikin filem Korea tak ikut konvensyen slasher film yang dibuat Hollywood yang semata-mataI merangsang chills and thrills penonton. I Spit On Your Grave juga tentang balas dendam dan paparkan banyak unsur-unsur ganas yang grafik, tapi filem ini hilang dimensi puitis yang ada dalam filem-filem Korea Selatan. Watak X dizalimi, watak X balas dendam, watak X puas hati. Corak plot macam ini ramai orang boleh buat.

Dalam Trilogi Vengeance balas dendam itu disulam dengan persoalan-persoalan lain yang lebih besar, umpamanya tentang identiti manusia,  tentang kebebasan untuk memilih, tentang penebusan dosa dan sebagainya. Ketiga-tiga filem dalam trilogi ini menyelak motif dendam dari perspektif etika dan estetika. Balas dendam dalam thriller Korea Selatan bukanlah matlamat akhir untuk dicapai sebaliknya alat untuk meneroka sesuatu yang lebih besar dari tindakan balas dendam itu sendiri. Dalam trilogi ini, dendam yang berbalas tak mampu memuaskan hati watak- watak utamanya. Dendam yang berbalas hanya menyuluh ke ruang gelap yang tak berani kita dekati sebelum ini. 

Aku lebih suka filem ini berbanding Oldboy yang merupakan poster boy dalam trilogi ini. Satu yang menjadikan Oldboy ikonik ialah twistnya yang gila babi itu. Tapi bila kau sudah tahu twistnya, tontonan kali kedua dan seterusnya – walaupun masih mengujakan - takkan sama dengan pengalaman ketika kau menontonnya kali pertama. Tapi berbeza dengan Sympathy For Mr. Vengeance, aku boleh menontonnya banyak kali dan masih mampu menggali pemaknaan yang berbeza setiap kali menontonnya.

Filem ini bergerak perlahan pada awalnya. Tapi kita patut sedar, dalam apa-apa perkara pun, kerja yang dinikmati perlahan-lahan meresap lebih jauh ke hati kita berbanding kerja yang dibuat secara ekspres. Ibarat mencicip kopi o panas, nikmatnya bukan kerana kepanasan kopi, tapi kerana kita mencicipnya perlahan-lahan, membiarkan perisa kopi tumpah ke deria rasa dengan saksama.



  1. Oldboy

Sinopsis: Dae-Su dikurung selama 15 tahun dalam sebuah bilik yang dilengkapi tv, meja dan katil. Dia tak tahu kenapa dia dikurung dan siapa yang mengurungnya. Semasa dalam kurungan, dia dapat tahu isterinya telah dibunuh, anaknya dihantar kepada keluarga angkat di luar negara, dan dia jadi suspek utama dalam kes bunuh isterinya. Setelah dibebaskan dia mula menyiasat siapa yang mendalangi semua angkara ini.

Ulasan: Oldboy adalah filem kedua dalam Trilogi Vengeance oleh Park Chan-wook. Berbanding dua filem yang lain, plot Oldboy lebih lurus dan elemen aksinya lebih banyak.  Lurus maksudnya ia mempunyai arah yang spesifik. Sebab itu ia lebih mudah dihadam penonton. Kita tahu watak utama dalam misi merungkai misteri mengapa dia dikurung dan kita tahu dia pasti akan menyelesaikan misteri tersebut. Sudah tentu apabila kita tekun melayannya secara lurus, filem ini menyimpang dengan twist paling brutal dan provokatif dalam sejarah filem. Thriller lain ada twist yang hebat juga, tapi Oldboy buat aku terkedu dan membawa otak dan emosi aku berlari jauh dari anggapan normal kita tentang cinta dan perasaan. Filem ini betul-betul dalam bentuk tragedi Yunani yang asli.

Soalan yang salah akan membawa kepada penyelesaian yang salah. Orang yang bertanggungjawab mengurung Dae-Su kata soalan yang patut ditanya Dae-Su bukannya “kenapa aku dikurung” tapi “kenapa aku dibebaskan”. Bukankah itu persoalan yang perlu ditanya semua manusia?



3.       Sympathy For Lady Vengeance



Sinopsis: Geum-ja dipenjarakan selama 13 tahun atas kesalahan menculik dan membunuh seorang kanak-kanak. Di dalam penjara, bagi kebanyakan banduan, dia terkenal dengan imej santa yang suci. Tapi bagi banduan yang kenal rapat dengannya dia adalah perempuan ahli sihir paling merbahaya. Sepanjang berada di penjara, Geum-ja mengatur rancangan untuk membalas dendam terhadap Baek, guru Bahasa Inggerisnya yang bertanggungjawab memerangkapnya sehingga dia dipenjarakan.

Ulasan: Merupakan naskah terakhir dalam Trilogi Vengeance, ini merupakan filem paling stail dan eksperimental berbanding dua pendahulunya. Mise-en-scene yang memikat, ibarat menonton filem Wong Kar Wai. Ditambah pula dengan muzik yang elegan, sangat sesuai sebagai simfoni untuk ritual balas dendam yang sempurna. Imej visualnya menyerlahkan keunikan filem ini. Contohnya, pesona Geum-ja sendiri ditonjolkan dengan cemerlang; maskara merah di matanya, kertas dinding di biliknya dan corak polka dot pada baju yang dipakainya.

Ada persamaan dari segi struktur plot antara filem ini dan Kill Bill. Cuma kita takkan tengok Geum-ja menetak sekumpulan manusia dengan pedang samurai atau membunuh Baek dengan Five Point Palm Exploding Heart Technique. Malah filem ini kurang aksi ganas berbanding dua filem-filem lain dalam trilogi ini. Tapi kesan emosinya lebih berbekas terutama ketika filem ini menuju penghujungnya.



4.       I Saw The Devil



Sinopsis: Soo-hyun seorang ejen khas dalam agensi perisikan Korea Selatan. Satu malam tunangnya dibunuh dengan kejam oleh pembunuh bersiri, Kyung-chul. Soo-hyun mahu Kyung-chul si psikopat menerima balasan setimpal. Maka dia ambil keputusan untuk tegakkan keadilan dengan caranya sendiri. Dengan bantuan bapa tunangnya, seorang bekas ketua polis, dia berjaya menjejaki Kyung-chul. Tapi dia tak terus bunuh Kyung-chul. Dia seksa dan dia lepaskan. Dia buru lagi, seksa dan lepaskan. Permainan cat and mouse bermula. Garisan yang memisahkan siapa baik dan siapa jahat semakin kabur. Mungkin ini permainan dua iblis untuk menebus dosa.

Ulasan: Kalau elemen ganas dalam Trilogi Vengeance sangat grafik, maka elemen ganas dalam I Saw The Devil adalah ultra-grafik. Kalau diukur dari scene punk, Trilogi Vengeance adalah Blink 182 manakala I Saw The Devil pula ialah Dead Kennedys.

Filem ini hanya diluluskan untuk tayangan di Korea Selatan setelah 3 kali dihantar ke badan penapis filem. Dua kali sebelumnya, filem ini dilabel untuk “Limited Screening”, yakni hanya boleh ditonton di panggung yang disediakan khas untuk penonton dewasa. Ironinya di Korea Selatan, panggung jenis ini belum diwujudkan. Jadi dalam bahasa mudahnya, di Korea Selatan filem ini pernah diharamkan. Menurut badan penapis filem, I Saw The Devil  “tanpa belas kasihan mencederakan kemuliaan nilai manusia”. Dalam filem ini ada adegan kepala dihentak dengan paip besi, badan manusia dilapah, kanibalisme, mata dihempuk dengan dumbbell, mulut dikopak dengan tangan, pipi dirodok dengan pemutar skru dan sebagainya.

Filem ini diterajui dua aktor heavyweight pujaan aku, Lee Byung-hyun dan Choi Min-sik. Dari segi penjiwaan watak, kemampuan kedua-dua aktor ini tak perlu dipersoalkan, terutamanya Choi Min-sik. Dialog antara Soo-hyun dan Kyung-chul memang tak banyak, sebab bila bertemu mereka akan bergasak, tapi riak wajah dan bahasa tubuh masing-masing cukup melukiskan emosi yang ditanggung mereka berdua. Tempo filem ini pantas. Apa yang menarik pada cerita ini ialah elemen aksinya yang dikoreografikan dengan cantik (dan ganas). Lihat saja aksi dalam teksi ketika Kyung-chul menikam dua lelaki dengan kamera bergerak pada sudut 360 darjah.

Hanya di penghujung cerita, ketika kita puas melayan permainan cat and mouse, ketika Soo-hyun sudah menjatuhkan hukuman yang dirasakan setimpal ke atas Kyung-chul, kita mungkin mencapai kesimpulan yang kedua-dua watak Soo-hyun dan Kyung-chul memiliki sifat iblis yang sama.



5.       Memories of Murder



Sinopsis: Pada tahun 1986 ketika Korea Selatan masih berada di bawah pemerintahan militari, Pekan Hwaseong dikejutkan dengan dua kes rogol dan bunuh. Detektif Park yang bertugas untuk kes ini ialah detektif old school yang percaya matanya mampu mengesan penjenayah. Dan kalau matanya tak berjaya tangan dan kakinya boleh buat penjenayah mengaku kesalahan mereka ketika sesi soal siasat. Namun beliau sedar kemahirannya sebagai detektif di sebuah pekan kecil takkan mampu menyelesaikan kedua kes ini, ditambah pula pasukan polis yang tak kompeten dan ketiadaan unit forensik, kes ini nampak sukar dirungkaikan. Detektif Seo yang lebih rasional dan sistematik dihantar untuk membantu siasatan. Dia berjaya mengenal pasti ini adalah angkara pembunuh bersiri. Kedua-duanya mempunyai kaedah penyiasatan yang berbeza. Ketika jumlah mangsa semakin bertambah, kedua-dua detektif tak sedar kes ini bakal membawa mereka ke ruang paling suram dalam diri mereka.

Ulasan: Kalau senarai ini disusun berdasarkan ranking, filem ini pasti menduduki senarai tiga teratas, bukan saja dalam senarai thriller, tapi senarai filem-filem terbaik Korea Selatan yang aku pernah tonton. Ini adalah filem kedua Bong Joon-ho, pengarah berkaliber yang terkenal bijak menggaul pelbagai genre ke dalam sebuah naratif. Kadang-kadang kita tersenyum dengan komedi gelapnya, ada masanya kita resah dengan  penyimpangan cerita, ada ketika kita turut beremosi dengan konflik watak-wataknya. Ia seperti pengalaman membaca Norwegian Wood. Cuma dengan intensiti emosi yang lebih baik. 

Seperti biasa, dalam setiap filem-filemnya beliau akan menyelitkan kritikan sosio-politik terhadap sistem masyarakat Korea Selatan. Polis, kerajaan dan ahli politik adalah mangsa satira dan parodi Joon-ho. Cerita omputih pertama yang diarahkannya ialah Snowpiercer, sebuah lagi naskah yang sarat dengan unsur politikal.

Filem ini gelap, komikal, realistik dan berhantu. Berhantu bukan kerana ia berkisarkan makhlus halus, tapi sebab filem ini punya rohnya yang tersendiri. Ia berhubung dengan kesedaran kita. Ia ‘menghantui’ kita walaupun lama selepas kita habis menontonnya. Filem ini walaupun pada separuh masa pertama agak sinikal, tapi pada separuh masa keduanya sangat meresahkan. Ia ada persamaan dengan drama True Detective (musim pertama tentunya) dari segi visual, mood dan persoalan yang dibawa. Adegan pembukaan di ladang jagung dalam True Detective mengingatkan kita pada pembukaan di sawah padi dalam filem ini. Seperti juga True Detective, fokus filem ini bukan pada pembunuh bersiri atau mangsa bunuh, tapi tentang detektif-detektif yang menyiasat kes ini, betapa kes ini meninggalkan kesan mendalam kepada mereka.

*Filem ini berdasarkan kisah benar pembunuh bersiri pertama dikenalpasti di Korea Selatan yang merogol dan membunuh 10 perempuan antara tahun 1986-1991.



6.       The Host



Sinopsis: Bahan toksik yang dibuang di Sungai Han telah menyebabkan seekor haiwan bermutasi menjadi raksasa hybrid. Dalam serangan pertamanya raksasa ini telah menculik seorang kanak-kanak bernama Hyeon-seo. Pada mulanya ahli keluarga Hyeon-seo, yang terdiri dari datuk, bapa, pakcik dan makciknya percaya dia telah mati. Tapi isyarat dari telefon bimbit Hyeon-seo mengubah fikiran mereka. Masalahnya pihak berkuasa juga percaya kanak-kanak itu telah mati, dan usaha mencari seorang kanak-kanak bukanlah prioriti utama ketika negara dilanda panik. Kerana tak ada jalan lain, bapa Hyeon-seo yang dikuarantin berusaha bersama ahli keluarganya yang lain untuk memburu raksasa tersebut dan mencari anaknya, walaupun terpaksa menentang kehendak kerajaan dan jadi musuh nombor 1 negara.

Ulasan: Ini bukan cerita raksasa biasa macam filem Godzilla. Ini satu lagi buah tangan Bong Joon-ho. Jadi hasilnya memang luar biasa, seperti mana raksasa itu sendiri yang boleh dikatakan hybrid berudu+cicak+ikan, maka filem ini sendiri hybrid melodrama, komedi, thriller dan tentunya satira politik. Bong Joon-ho seperti biasa sangat teliti dalam menyampaikan mesejnya dengan menggunakan simbol, alegori dan imej yang sarat dengan makna.

Sekali lagi subjek yang sentiasa menjadi fokus beliau ialah golongan marhaen. Ahli keluarga Hyeon-seo itu sendiri menarik kerana mereka bukan keluarga sempurna. Bayangkan ahli keluarga dalam filem Little Miss Sunshine yang masing-masing bermasalah dan kerap berselisih faham tapi terpaksa bersatu demi merealisasikan impian ahli keluarga yang paling mereka sayang.

Dalam filem-filem Bong Joon-ho, keluarga adalah sel terkecil yang penting dalam struktur masyarakat. Keluarga menjadi benteng terakhir untuk melawan dominasi dan eksploitasi institusi kekuasaan. Pada masa yang sama Bong Joon-ho juga ingin menyatakan yang korupsi dalam institusi kekuasaan secara langsung (dan tanpa disedari) telah (atau mahu) meruntuh dan mengorbankan sel keluarga. Seolah-olah wujud unsur antagonistik dan pertentangan antara nilai kekeluargaan dan kehendak institusi kekuasaan yang –kalau mengikut filem ini – harus diselesaikan terlebih dulu dengan sebuah keluarga melancarkan serangan gerila melawan raksasa!



7.       Mother



Sinopsis: Emak dalam filem ini adalah ‘emak’. Tak ada nama diberikan kepada ‘emak’ ini. ‘Emak’ ada anak lelaki kurang cerdik berusia 27 tahun bernama Do-joon. Satu hari seorang remaja perempuan dijumpai mati. Berdasarkan bukti-bukti awal di tempat kejadian, polis menahan Do-joon sebagai suspek utama. ‘Emak’ tak percaya anaknya terlibat. Tapi apabila polis kelihatan tak bersungguh untuk cari suspek lain, manakala peguam yang diupah pula sekadar nasihatkan Do-joon supaya mengaku bersalah dan merayu supaya hukuman dikurangkan, ‘emak’ sedar dia sendiri perlu menyiasat kes ini dan membebaskan Do-joon dari pertuduhan. Siasatan ‘emak’ membuka semula memori pedih yang mahu disembunyikan dari Do-joon di samping menyuluh ke lubuk yang tak sepatutnya disuluh. Mungkin ‘emak’ tak sepatutnya siasat kes ini.

Ulasan: Ini juga filem arahan Bong Joon-ho. Dan sekali lagi beliau membawakan kisah seorang ‘Emak’ dari kaca mata golongan kasta bawahan. ‘Emak’ dalam filem ini tak ada karisma Meryll Streep atau Helen Mirren, apatah lagi pesona Rosmah Mansor atau Shahrizat Jalil. ‘Emak’ adalah emak yang primordial. Macam emak aku dan emak engkau yang seronok tengok ceramah Dr. Muhaya dan tersenyum bila  dengar Ustaz Kazim menyanyi lagu Hindi. Mereka bahagia bila anak mereka bahagia dan mereka bersedih bila anak mereka susah. Filem ini cemerlang mengungkapkan psikologi seorang ‘emak’.



8.       The Chaser



Sinopsis: Jung-ho, bekas polis yang kini jadi bapak ayam bimbang bila dua pelacurnya hilang tanpa dapat dikesan. Satu malam dia dapat panggilan dari seorang pelanggan. Oleh kerana tak ada pelacur yang boleh bekerja pada waktu itu, dia terpaksa kerahkan seorang pelacur yang sakit bernama Mi-jin untuk bekerja. Dia kemudiannya sedar pelanggan yang menelefonnya ialah pelanggan terakhir menggunakan dua khidmat pelacurnya yang hilang. Jadi dia sangka pelanggan itu telah menjual pelacur-pelacurnya. Untuk menangkap pelanggan itu, dia buat rancangan dengan Mi-jin supaya melengah-lengahkan pelanggan tersebut. Jung-ho berjaya jumpa pelanggan itu dan mereka bergaduh sehingga kedua-dua mereka ditahan polis. Malangnya Mi-jin gagal dijumpai. Si pelanggan mengaku kepada polis yang dia bukan jual tapi bunuh semua pelacur Jung-ho di samping bertanggungjawab ke atas beberapa pembunuhan lain.

Ulasan: Dari mana datangnya suspen? Adakah dari situasi “audien tahu sesuatu yang watak tak tahu”seperti yang disebutkan Hitchcock? Atau dari maklumat yang disembunyikan dari penonton? Atau dari rasa ketakberdayaan kita untuk menolong dan mengubah nasib watak?

Soalan-soalan ini boleh ditanya kepada pengarah The Chaser, Na Hong-jin yang nampaknya sudah menemui rahsia sebenar menghidupkan elemen suspen. Sejak awal kita tahu siapa pembunuh dalam filem ini, malah dia sudah ditahan polis dan dia mengaku kesalahannya, tapi maklumat ini sedikit pun tak mengurangkan elemen suspen dalam filem ini dari awal sampai ke akhir filem. Dalam Theorizing Moving Images, Noel Carrol tulis yang “races, chases, rescues and escapes” adalah prinsip-prinsip penting dalam elemen suspen. Jelas semua prinsip-prinsip ini dikumpulkan dalam The Chaser dan Na Hong-jin menggunakannya dengan cemerlang. Filem ini mungkin boleh jadi kes kajian untuk memahami elemen suuspen dengan lebih baik.

*Filem ini berdasarkan kisah benar pembunuh bersiri Yoo Young-chul yang telah membunuh 21 orang di mana kebanyakan mangsanya ialah pelacur.



9.       Bedevilled



Sinopsis: Kerana tekanan di tempat kerja, Hae-won, seorang pekerja bank yang pentingkan diri mengambil keputusan untuk bercuti ke Pulau Mudo, tempat asal datuknya dan tempat dia menetap semasa kanak-kanak. Di pulau ini dia bertemu semula sahabat lamanya, Bok-nam, yang sering mengutus surat kepadanya tapi tak pernah dia endahkan.

Di pulau ini Hae-won melihat bagaimana Bok-nam dilayan seperti binatang. Tenaganya dikerah untuk bekerja keras, dia dibelasah oleh suaminya dan dia dijadikan mesin seks kepada setiap lelaki di pulau itu. Dia diekploitasi secara fizikal, seksual dan emosional. Tapi Bok-nam pasrah, tunduk dan berserah. Satu-satunya harapan untuk Bok-nam meneruskan hidup ialah anak perempuannya, anak haram yang Bok-nam sendiri tak tahu siapa bapanya yang sebenar.

Hae-won pula hanya memerhatikan semua kekejaman ini tanpa sekelumit keinginan untuk membantu Bok-nam. Apabila anaknya mati terbunuh dalam satu kemalangan, gelombang dendam menyentuh hati Bok-nam. Dia membunuh setiap penghuni Pulau Mudo satu persatu dengan kejam.

Ulasan: Filem ini mungkin dapat kecaman golongan feminis kerana nada misoginis yang ketara. Ia bukan saja menceritakan kekejaman terhadap wanita, tapi juga kekejaman terhadap wanita yang tak dihiraukan wanita dan mendapat dokongan wanita. Dan yang lebih ketara ialah visualnya bukan dramatik tapi realistik dan sangat mengganggu emosi kita. Ia mengganggu hati nurani kita dan akal manusia kita yang sihat. Jika diulang tonton pun kesannya masih terasa. Ini filem paling suram, realis dan menakutkan dalam senarai ini.



10.   A Tale Of Two Sisters




Sinopsis: Dua beradik, Su-mi dan Su-yeon kembali tinggal bersama bapa mereka setelah keluar dari pusat psikiatri. Ibu mereka telah meninggal dunia dan bapa mereka telah berkahwin lain. Hubungan mereka dengan ibu tiri tak begitu baik. Su-mi melayan ibu tirinya dengan dingin sebaliknya Su-yeon amat takut kepadanya. Beberapa kejadian pelik dan tak masuk akal mula berlaku. Rumah yang mereka diami seakan cuba meluahkan rahsia yang jauh terpendam. Cinta, benci, cemburu dan dendam mengisi hubungan antara ahli keluarga ini. Tapi segala-galanya tak seperti yang kita fikirkan. Langsung.

Ulasan: Bagi sesetengah penonton filem ini lebih sesuai digolongkan sebagai filem seram tapi bagi aku ini sebuah filem psiko-thriller yang bijak. Kau boleh baca pelbagai teori – yang  muktabar dan yang dhaif - oleh penonton-penonton untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku dalam filem ini. Menontonnya menuntut kesabaran dan penelitian yang banyak kerana petunjuk dan isyarat tak dicampak terus ke mata kita. Plotnya canggih dan kompleks. Ini tentunya bukan filem untuk peminat-peminat Michael Bay. Kita perlu mengumpul perca-perca visual yang berserakan dari awal filem dan menyusunnya dengan teliti untuk menjawab teka-teki dalam filem ini. Sekali tengok tapi masih tak faham itu fenomena biasa. Sila tengok sekali lagi.




Nota: Simplisiti sinopsis tak melambangkan keseluruhan jalan cerita. Seperti mana tempoyak perlu dimakan (bukan dihidu), begitu juga filem perlu ditonton (bukan dibaca). 

Eye In The Sky: Melihat Dunia Dengan Mata Tuhan





Kenapa tindakan Henry Kissinger mengarahkan pengeboman ke atas Kemboja yang menyebabkan berpuluh ribu nyawa terkorban dianggap bukan satu jenayah jika dibandingkan dengan tindakan mereka yang bertanggungjawab meruntuhkan Twin Tower?

Itu persoalan yang ditanya Zizek dalam bukunya Violence. Zizek menamakan kejulingan perspektif ini sebagai ethical illusion. Ethical illusion atau ilusi etika - sama seperti ilusi optik - adalah gangguan-gangguan di sekitar subjek yang menggagalkan kita untuk mempersepsikan subjek tersebut dengan tepat. Contohnya, kita mudah bersimpati dengan penderitaan seorang manusia yang kita tengok dengan mata kita sendiri berbanding kematian ramai manusia lain yang kita hanya ada pengetahuan yang abstrak tentang mereka.

Sebab itu bagi kita, menembak seseorang dari jarak dekat nampak lebih kejam berbanding menekan punat alat kawalan jauh yang bakal membunuh beribu-ribu nyawa yang kita tak nampak.

Filem ini tentang pesawat kawalan jauh dan manusia-manusia yang bertanggungjawab memantau dan mengawalnya. Ia berkisarkan sekumpulan manusia yang berdebat dan perlu buat keputusan sama ada boleh atau tidak drone melepaskan peluru berpandu ke markas pengganas walaupun ia bakal mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak. Ya, kumpulan pengganas ini sudah tentu beragama Islam kerana pengganas agama lain sudah lama pencen dari mengancam kuasa besar dunia.

Debat dalam filem ini agak cerdik, ditambah dengan plot yang kemas, graf suspen yang meningkat dengan kadar sepatutnya, hasilnya filem ini tak mengecewakan. Cuma ada beberapa masalah di penghujung cerita yang menjadikan filem ini agak mengecewakan. Karisma Helen Mirren dan Alan Rickman menambah perencah filem ini. Walaupun pada pendapat saya wajah Helen Mirren yang semakin mengecut itu nampak tak secocok dengan seragam tentera. Dia rasanya lebih sesuai bawa watak ibu mertua yang kejam daripada kolonel tentera yang tegas.

Kisah bermula dengan kita diperkenalkan kepada keluarga tiga beranak yang tinggal di pinggir bandar Nairobi; si suami, si isteri dan anak mereka Alia, yakni kanak-kanak yang bakal mencetuskan debat dalam filem ini. Walaupun tinggal di kawasan yang dikuasai oleh militan al-Shabab, kita difahamkan keluarga ini tak dipengaruhi faham ekstremisme grup militan itu. Alia diajar membaca dan dibenarkan bermain hula hoop, dua aktiviti yang dilakukan secara sembunyi dan berhati-hati kerana bimbang sampai ke pengetahuan al-Shabab dan simpatisan mereka.

Pada masa yang sama kerajaan Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Kenya melancarkan joint operation bernama Ops Egret untuk menangkap dua individu paling dikehendaki Britain; Abdullah al-Hadi, seorang rakyat Somalia dan isterinya Aisha al-Hadi, warganegara Britain. Duo merbahaya ini dikaitkan dengan militan al-Shabab dan mereka dipercayai bertandang ke Nairobi untuk berta’aruf dengan dua rekrut baru al-Shabab, seorang warganegara Britain dan seorang lagi warganegara Amerika.

Operasi bersama ini melibatkan beberapa lokasi yang dijalin dengan cemerlang oleh pengarah filem. Di pihak Britain kita ada Kolonel Powell (Helen Mirren) yang berada di London mengepalai operasi ini. Kolonel Powell dipantau oleh jawatankuasa birokrat di Whitehall yang dipengerusikan bosnya, Leftenan Jeneral Benson (Alan Rickman). Termasuk di dalam jawatankuasa ini Menteri Pertahanan dan Peguam Negara Britain.

Di pihak AS ada seorang juruterbang drone bersama pembantunya di Pengkalan Tentera Udara Nevada dan seorang tentera dari Unit Analisis Imej yang berpengkalan di Pearl Harbor bagi tugas pemantauan visual.

Satu-satunya pihak yang berada di Nairobi secara fizikal ialah tentera Kenya dan perisik mereka yang bersedia  untuk menangkap pengganas-pengganas terbabit sebaik saja wajah mereka disahkan oleh tentera AS.

Operasi yang bertujuan “untuk tangkap, bukan bunuh” bertukar objektif apabila pengganas-pengganas bergerak ke sebuah rumah yang terletak di kawasan kediaman Alia dan keluarganya. Oleh kerana kawasan itu dikuasai al-Shabab, tentera Kenya tak boleh menyerbu ke kawasan tersebut kerana bimbang mengakibatkan korban nyawa dan konflik yang lebih serius.

Kolonel Powell yang sekian lama memburu pasangan al-Hadi sudah hilang sabar dan bercadang untuk melumatkan terus pengganas-pengganas ini dengan menggunakan drone. Cadangan ini ditentang oleh Peguam Negara dan politikus di Whitehall dengan mengambil kira objektif awal operasi ini sudah berpusing 360˚.

Hasil intipan ke dalam rumah tersebut kemudiannya mendedahkan yang pengganas-pengganas ini mahu melancarkan bom berani mati menggunakan dua rekrut baru mereka. Jika diletupkan di tempat awam bom itu dijangka mampu membunuh 80 nyawa. Kolonel Powell dan Leftenan Jeneral Benson melihat ancaman ini mesti dihapuskan segera dengan serangan drone.

Pihak birokrat Britain tak berani beri kata putus kerana ini sebuah ops multinasional. Justeru beberapa masalah melibatkan soal kepentingan timbul; Pertama: warganegara Amerika turut ada dalam senarai pengganas, Kedua: belum pernah serangan drone dilancarkan di sebuah negara sekutu Britain yang bukan dalam zon perang dan, Ketiga: serangan akan mengakibatkan korban orang awam.

Masing-masing enggan bertanggungjawab. Permainan tarik tali bermula. Menteri Pertahanan mahu keputusan dibuat oleh Setiausaha Luar Negara Britain dan Setiausaha Luar Negara Britain pula mahu perkara ini dirujuk kepada Setiausaha Negara AS. Situasi semakin rumit apabila Alia muncul menjual roti berhampiran  rumah pengganas.

Ada bom bakal meledak dan keputusan segera perlu dibuat. Dilema Dostoevsky dalam The Brothers Karamazov bermain di kepala; patutkah nyawa seorang kanak-kanak dipertaruhkan untuk mengelakkan korban nyawa yang lebih besar?

Debat pun bermula. Tapi jangan harapkan debat Socratik dalam Eye In The Sky. Premis hujah watak-watak dalam filem ini bukan ditarik dari idea asas tentang etika dan moraliti, tapi dari pendekatan realpolitik. Boleh atau tidak peluru berpandu Hellfire dilepaskan didebat dan dibincangkan dari sudut undang-undang, geo-politik, ketenteraan dan protokol. Sudah tentu ada unsur moraliti dan etika dalam setiap sudut-sudut ini, tapi banyak landasan hujahnya sudah dilapik dengan kepentingan-kepentingan yang bersifat strategik. Perkiraannya adalah untung dan rugi. Itu namanya realpolitik.

Segala mak nenek analisis penilaian risiko dikeluarkan. Rules of engagement (ROE) dan collateral damage estimation (CDE) bermain di mulut Kolonel Powell untuk memastikan drone boleh melancarkan Hellfire. Bagi beliau, apa pun yang berlaku, pengganas-pengganas itu harus mampus di situ juga. Di mulut para birokrat pula keluar hujah-hujah tentang propaganda, reputasi yang perlu dijaga dan sebagainya. Hujah bahawa nyawa kanak-kanak itu sendiri berharga hanya disentuh sepintas lalu, dan kelihatannya tak cukup kuat untuk dipertahankan berbanding hujah-hujah strategik yang dikemukakan.

Menurut Zizek, apa yang menyebabkan kita mudah bersimpati dengan kesakitan seseorang bukan saja bergantung pada faktor kedekatan fizikal mangsa dengan kita - maksudnya tak semestinya kita wajib nampak mangsa diseksa, dibunuh atau ditembak secara langsung barulah kita mampu bersimpati – tapi ia tertakluk juga kepada kedekatan ‘persaudaraan’ kita dengan mangsa.

Mereka yang kita anggap ‘saudara’ ialah mereka yang berkongsi karakter sosial atau simbol kolektif yang sama dengan kita; warna kulit, agama, ideologi, mazhab dan sebagainya. Semakin dekat ‘persaudaraan’ kita dengan mereka, atau dalam ayat lain, semakin banyak karakter sosial dan simbol kolektif yang kita kongsi bersama mereka, semakin kuat rasa simpati kita terhadap penderitaan mereka.

Kata-kata ‘semua manusia adalah bersaudara’ bermaksud sesiapa yang tak boleh terima konsep ‘persaudaraan’ kita, maka mereka bukanlah manusia. Untuk seseorang dilayan sebagai manusia bermaruah, mempunyai harga diri, mempunyai naratif hidup yang unik dan nyawa yang berharga, mereka haruslah menyertai konvensyen ‘persaudaraan’ yang sama seperti kita. Jika tidak, maka penderitaan dan kesakitan yang mereka alami boleh dineutralkan dan diminimumkan dengan kiraan rasionaliti utilitarian, yakni kesakitan yang banyak boleh dikawtim jika ia boleh mencegah kesakitan yang lebih banyak. Dan kita dengan mudah melabelnya sebagai collateral damage atau ‘darurat perang’.

Ini rumus yang digunakan oleh Kolonel Powell untuk meneruskan niatnya meluncurkan peluru berpandu yang pastinya membahayakan nyawa Alia. Seperti mana rumus-rumus lain, angkanya boleh diubah bergantung kepada keputusan dan hasil yang kita mahu. Dan Kolonel Powell tak teragak-agak untuk mengubahnya.

Filem ini bagus kerana ia merangsang penonton untuk meneliti pro dan kontra setiap hujah yang dilantunkan dengan terbuka, di samping mengajak kita untuk menyelak topik ini dari pelbagai sudut pandang. Bahasa filemnya jelas ke arah itu. Ia tak tertutup atau bersifat hitam-putih.

Tapi ia mula hambar apabila Alia muncul dan diletakkan sebagai paksi plot. Bila Alia muncul jual roti, filem ini seolah-olah lupa kepada isu-isu yang disentuh dari awal, yang pada saya boleh jadi bahan debat yang lebih hebat, antaranya soal diplomasi antara negara, risiko orang awam mungkin akan terkorban dan sebagainya. Seolah-olah isu ini tak cukup kuat untuk mencengkam otak penonton, maka diperlukan seorang budak comel yang tak bersalah untuk menarik simpati kita kepada isu ini. Seolah-olah dua atau tiga orang awam terkorban tak cukup kasihan berbanding seorang kanak-kanak yang terkorban. Adakah ini satu lagi ilusi etika?

Saya memang tak bersetuju kalau anda cakap Alia digunakan untuk memenuhi tuntutan cerita yang lebih luas. Dengan menggunakan Alia, filem ini sendiri telah menyempitkan wacana dalam cerita dan yang paling penting mengundang persepsi yang salah terhadap realiti penggunaan drone. Macam yang saya cakap  di awal tadi, dilema yang terpaksa dihadapi watak-watak dalam filem ini ialah Dilema Dostoevsky. Dostoevsky menulis, jika kita berkuasa untuk menjadikan dunia ini dan penghuninya hidup aman damai dengan syarat kita mesti menyeksa seorang kanak-kanak sampai mati, maka sanggupkah kita melakukannya?

Dilema ini sebuah debat filsafat yang memerlukan kita meneliti konsep deontoligikal Kant, memahami etika utilitarian atau paling ringan baca buku Zizek. Barulah kewujudan (atau kematian) Alia (berbanding kematian 80 nyawa lain) dapat diwajarkan dalam konteks wacana yang lebih segar. Filem ini malangnya tak mengandungi debat sedemikian. Dan saya rasa debat sedemikian memang tak sesuai ditonton dalam filem, ia perlu dibaca dalam buku.

Nada debat dalam filem ini ialah realpolitik. Dan saya tak dapat terima realpolitik memerlukan debat yang panjang berkenaan soal mana yang lebih utama; menyelamatkan nyawa seorang manusia atau menyelamatkan nyawa 80 manusia. Para jeneral, para peguam dan ahli politik takkan membahaskan isu ini dengan dahi berkerut. Ia bukan sebuah persoalan yang rumit apatah lagi debat dalam realpolitik! Berdasarkan rekod yang dipegang Obama saya memang tak percaya.
  
Sebab itu pengarah dan penulis lakon layar filem ini sepatutnya memfokuskan kepada isu-isu awal tadi, isu-isu yang bila Alia muncul terus tak diendahkan lagi, tentang batas geopolitik, tentang nyawa orang awam yang berada berhampiran rumah pengganas itu dan sebagainya.

Kerana realitinya, jarang kita berdepan dengan Dilema Dostoevsky dalam medan perang apatah lagi dalam hal serangan drone. Realitinya, persoalan etika serangan drone yang panas didebatkan sekarang ialah “bolehkah kita korbankan berpuluh nyawa orang awam untuk membunuh seorang pengganas”, bukan “bolehkah kita korbankan seorang kanak-kanak untuk selamatkan 80 orang awam”.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Reprieve, dalam usaha membunuh 4 orang pengganas di Pakistan, serangan drone telah mengorbankan 221 orang awam (termasuk di dalamnya 103 kanak-kanak), di mana ironinya 3 daripada pengganas ini masih hidup dan seorang lagi mati sakit. Di Yaman, untuk membunuh 17 pengganas, 273 orang awam menjadi korban. Antara tahun 2004 sehingga 2013, usaha memburu 14 pengganas di Pakistan telah mengorbankan 142 kanak-kanak, di mana hanya 6 kanak-kanak mati dalam serangan yang benar-benar membunuh sasaran. Dalam laporan ini, saya tak jumpa lagi situasi di mana drone perlu buat pilihan antara nak selamatkan seorang budak atau selamatkan 80 nyawa lain, yang jelas kedua-duanya drone sapu bersih.

Apa yang paling teruk, orang awam terbunuh tapi pengganas tak juga mampus. Dalam senarai nama mereka yang terbunuh, didapati beberapa nama individu yang sama muncul dalam beberapa serangan. Ada nama individu yang sama muncul dalam tujuh serangan. Secara purata individu-individu ini dilaporkan terbunuh sebanyak tiga kali sebelum mereka benar-benar mati. Kalau sasaran sebenar belum mati, siapa yang dibunuh AS dalam dua serangan sebelumnya? Fakta ini menunjukkan perisikan AS dan sekutunya memang gagal untuk benar-benar mengenalpasti sasaran mereka. Serangan drone boleh disebut serangan rambang yang diragui ketepatannya. Tapi masalah ini tak disentuh dalam filem ini, sebaliknya penonton ditunjukkan yang kamera drone mampu merakamkan video beresolusi tinggi dan pengecaman wajah sasaran dapat dilakukan dengan mudah. Ini seolah-olah menyokong Obama yang yang sentiasa meyakinkan rakyatnya tentang ketepatan serangan drone.

Filem ini yang pada awalnya mampu untuk mengajak penonton menekuni soal serangan drone secara kritikal (kerana memang itu niat pengarahnya) bakal bertukar menjadi propaganda murahan yang mengabsahkan penggunaan drone. Anda boleh baca pelbagai ulasan yang mengangkat filem ini, kononnya ia memaparkan betapa kompleksnya keputusan yang perlu dibuat untuk meluncurkan peluru berpandu dari drone, betapa ia meneroka etika serangan drone dan sebagainya. Seolah-olah tindakan melumatkan tubuh 142 kanak-kanak di Pakistan telah melalui proses deliberatif yang murni. Jadi ini masalah Eye in The Sky. Ia cuba bersikap kritikal terhadap realiti serangan drone tapi segan (atau gagal) untuk menyelongkar isu-isu yang berkaitan dengan drone secara jujur, sebaliknya melihatnya dari sudut yang salah, dan seterusnya mematikan debat yang kritikal.

Saya faham filem ini fiksyen. Tapi fiksyen bukan bermaksud ia tak mempengaruhi persepsi orang awam. Operasi yang melibatkan drone adalah operasi sulit di mana tak banyak maklumat yang didedahkan kepada pengetahuan umum. Munculnya filem sebegini seolah-olah memberi isyarat yang ia menggambarkan realiti sebenar serangan drone.

Walaupun begitu, Eye In The Sky masih bukan sebuah filem yang buruk. Garapannya kemas dan berbaloi ditonton. Paling penting, dalam adegan akhir, filem ini cuba memberitahu kita yang terrorisme takkan boleh mencegah terrorisme, malah ia memunculkan lebih banyak terrorisme. Ketika Alia cedera parah, bukan tentera Kenya apatah lagi tentera Britain atau Amerika yang bawa dia ke hospital, tapi militan al-Shabab. Tak susah untuk kita faham jika si ayah yang sebelum ini tak menyokong ekstremisme memilih jalan yang berbeza.

Dan subjek terrorisme tak boleh dilihat berpunca dari keganasan individu yang berhati syaitan semata-mata. Manusia adalah manusia. Dia punya potensi untuk menyayangi, dia juga punya potensi untuk mengganas. Dia boleh menyayangi seseorang dan pada masa yang sama bertindak ganas terhadap orang lain. Isunya, apa yang mendorong manusia untuk melakukan kedua-duanya. Adakah militan al-Shabab yang bersimpati membantu Alia seorang yang kejam? Adakah Leftenan Jeneral Benson yang baru selesai beli anak patung untuk cucunya (tapi tak teragak-agak untuk korbankan Alia) seorang yang kejam?

Terrorisme adalah pertarungan politik dan psikologi kelompok tertentu dalam menegakkan, mengekalkan dan menguatkan legitimasi kelompok masing-masing dengan cara kekerasan. Ketakutan ialah bahan bakar terrorisme. Ia boleh dilakukan oleh sebuah kumpulan seperti ISIS, ia juga boleh dilakukan oleh sebuah negara seperti Amerika Syarikat.

I have attended the immediate aftermath of five suicide bombings, on the ground, with the bodies. What you witnessed today with your coffee and biscuits is terrible. What these men would've done would've been even more terrible. Never tell a soldier that he does not know the cost of war,” balas Leftenan Jeneral Benson kepada politikus yang mengeji tindakannya melancarkan peluru berpandu tanpa mempedulikan keselamatan Alia.

Kenyataan di atas mungkin boleh dijawab dengan apa yang ditulis Zizek:

The experience that we have of our lives from within, the story we tell ourselves in order to account for what we are doing, is fundamentally a lie, the truth lies outside, in what we do.”

Mengkritik Rendang Tok

SITUASI: kita ke sebuah majlis kenduri kahwin. Juadah yang disediakan ialah nasi putih bersama rendang tok dan jelatah, air sirap dan tembikai potong sebagai pencuci mulut. Selesai makan, kita diminta mengkritik rendang tok yang dihidangkan tadi.


Kritikan Tahap 1
Pengkritik            : “Rendang tok ini sempurna. Sedap. Tak ada apa yang boleh dikritik.”

Ulasan                  : Kritikan ini diletakkan di tahap terbawah kerana ia gagal menjalankan fungsi kritikan, yakni menyatakan kelemahan dan kekurangan subjek. Malah, paling teruk ia mengaku bahawa subjek telah mencapai kesempurnaan. Bagi saya, kesempurnaan adalah milik Tuhan, sedangkan manusia dan setiap aspek kemanusiaan yang berada dalam tanggungjawab manusia, berhak menerima kritikan. Dan ya, Tuhan juga tak dapat lari dari kritikan.

Ada beberapa faktor yang memungkinkan kritikan di atas berlaku. Paling utama, pengkritik jahil tentang rendang tok, sama ada dari segi ontologi (apa sebenarnya rendang tok/ apa yang membezakan rendang tok dengan rendang-rendang lain), epistemologi (di mana sumber untuk mendapatkan resipi rendang tok yang sebenar) dan etika (bagaimana yang dikatakan rendang tok yang berkualiti). Mungkin dia jahil salah satu dari aspek-aspek ini, atau mungkin dua darinya, atau mungkin ketiga-tiganya sekali.

Mungkin dia pernah makan rendang tok, tapi rendang tok yang dia makan sebelum ini lebih teruk dari rendang tok yang dimakannya sekarang. Jadi normal untuk dia cakap rendang tok yang dia makan sekarang sedap. Masih - akibat kecetekan pengetahuannya tentang rendang tok – penilaian pengkritik jadi tak berkualiti.


Kritikan Tahap 2
Pengkritik            : “Rendang tok ini tak sedap. Saya tak tahu kenapa tapi rasanya banyak yang tak kena.”

Ulasan                  : Secara umumnya pengkritik tahu tentang rendang tok. Dia sedar ada kekurangan pada rendang tok yang dimakannya. Di sini penilaian telah muncul dan perbandingan telah dibuat. Mungkin juga pengkritik tak pernah makan rendang tok, tapi disebabkan rendang tok ini terlalu hampeh, sehinggakan untuk memenuhi kriteria sebuah rendang pun ia gagal, maka kelemahannya ketara. Tapi dari satu segi pengkritik tahu apa yang dimaksudkan dengan rendang secara umumnya.

Mungkin juga pengkritik pernah makan rendang tok berpuluh kali dari berpuluh tukang masak. Hasil pengalamannya, dia tahu bagaimana rasanya rendang tok yang sedap. Dia mampu bezakan antara rendang tok yang sedap dengan rendang tok yang hampeh. Tapi sekadar pengalaman bukan secara langsung memunculkan pengetahuan, walaupun pengalaman boleh jadi sarana mendapatkan pengetahuan.

Ini menyebabkan walaupun pengkritik tahu rendang tok yang dia makan tak sedap, tapi dia tak tahu jelaskan kenapa rendang tok itu tak sedap. Tapi kita tak patut mengecam pengkritik dengan kata-kata “komen je pandai, solusinya tak tahu” atau “kenduri warrior” dan pelabelan lain yang bertujuan mematikan kritikan si pengkritik. Bak kata Bertrand Russell, ada beza antara know by acquaitance dan know by description. Yang pertama hasil dari kebiasaan, yang kedua hasil dari penjelasan. Pandai menikmati KFC tak semestinya tahu resepi KFC, apatah lagi tahu masak KFC. Penjelasan memerihalkan kebiasaan.


Kritikan Tahap 3
Pengkritik            : “Rendang tok ini tak sedap. Dagingnya liat dan perisanya tak meresap ke dalam daging.   Lemaknya tak bertenaga. Saya teka tukang masak gunakan santan segera, bukan santan original, dan ini merosakkan keseluruhan perisa rendang. Paling gagal kerisik langsung tak dimasukkan. Paling bangang awak letakkan cheese sebagai hiasan. Kesimpulan saya, ini adalah hidangan untuk ahli neraka”.

Soalan                   : “Boleh tunjukkan cara masak rendang tok yang sedap?”

Pengkritik            : “Saya tak tahu masak rendang tok. Saya cuma tahu rendang tok ni tak sedap dan apa punca ia tak sedap.”

Ulasan                  : Ini kritikan yang lebih ilmiah dari kritikan tahap 2. Pengkritik bukan saja tahu rendang tok yang dihidangkan tak sedap tapi dia juga mampu menjelaskan kenapa ia tak sedap. Maksudnya pengkritik tahu unsur dan komposisi yang mewujudkan sebuah rendang tok dan kepentingan setiap unsur-unsur itu dalam mewujudkan totaliti rendang tok. Tapi pengkritik cuma mampu mengkritik rendang tok yang dikatakan tak sedap tanpa dia boleh masak rendang tok yang dikatakan sedap. Di sini muncul selisih antara ruang teori dan praktis.

Sudah tentu pengkritik tak boleh dikecam kerana tak boleh masak rendang tok. Pengkritik hadir ke kenduri untuk makan dan dia diminta untuk mengkritik rendang tok yang dia makan. Dalam situasi ini tak ada apa-apa syarat yang meletakkan bahawa pengkritik mestilah tukang masak yang pakar dalam rendang tok. Semua manusia mahu/ mampu menikmati rendang tok, tapi bukan semua manusia mahu/ mampu jadi tukang masak rendang tok yang berkualiti.

Jika kita rujuk semula kepada penjelasan Russell tentang ‘tahu melalui kebiasaan’ (know by acquaitance) dan ‘tahu melalui penjelasan’ (know by description), maka pengkritik ini tahu .  Tapi sekali lagi sempadan perlu digariskan di sini. ‘Tahu melalui penjelasan’ maksudnya pengkritik ‘tahu bahawa’ rendang tok adalah sekian dan sekian. Tapi ‘tahu bahawa’ (knowing that) perlu dibezakan dengan ‘tahu bagaimana’ (knowing how). Mengkritik adalah satu kemahiran, mempraktikkan kritikan itu pula memerlukan kemahiran yang lain.


Kritikan Tahap 4
Pengkritik            : “Rendang tok ini tak sedap dan huru hara. Dagingnya liat sebab awak tak guna daging batang pinang. Perisanya tak meresap ke dalam daging sebab tukang masak perap daging kurang dari 2 jam. Satu elemen terpenting dalam mana-mana rendang ialah kelapa segar sebab ia unsur yang menyedapkan rendang. Santan dan kerisik mesti dari kelapa segar. Santan segera dan kerisik segera adalah jenayah terbesar dalam proses masak rendang.

Awak kena sedar perkataan ‘segera’ tak pernah wujud dalam resipi rendang tok. Sejak proses awal lagi rendang tok berkisarkan ketelitian, kesabaran dan tradisionalisme. Postmodenisme, parodi, pastiche, mentaliti McDonaldization dan cheese yang awak masukkan ni boleh pergi ke neraka!

Awak kena potong kelapa, perah santan dari kelapa, goreng kelapa, tumbuk kelapa sampai berminyak untuk dapatkan kerisik, perap ayam sekurang-kurangnya 2 jam, potong beraneka jenis bahan kisar – dari ketumbar sampai buah keras, dan semua ni kena masak dengan api yang perlahan dan terkawal. Dalam semua proses ni perkataan ‘segera’ tak sepatutnya buat kemunculan apatah lagi dalam bentuk santan. Mari sini saya tunjukkan cara buat rendang tok yang sebenar!

Ulasan                  : Ini adalah kritikan yang sempurna. Pengkritik faham wujud rendang tok (being - ontology), tahu apa yang mencirikan rendang tok (knowing - epistemology) dan boleh masak rendang tok yang sedap (acting - ethics).


Kritikan Tahap Radikal
Pengkritik            : Rendang ini memang tak sedap. Antara punca tak sedap sebab dibuat dari bahan-bahan murahan. Daging murah, santan segera dan kerisik segera. Saya dimaklumkan syarikat katering mengenakan bayaran RM 20.00 satu kepala. Dengan hidangan nasi putih, rendang yang hampeh, jelatah kurang nanas, air sirap dan tembikai potong, saya rasa bayaran yang dikenakan kepada tuan rumah adalah melampau. Ini satu penipuan, penganiayaan dan amanah yang pecah. Ini bukan lagi isu rendang tok yang tak sedap tapi melibatkan kezaliman kepada keluarga tuan rumah yang membayar harga yang mahal dan tetamu yang dinafikan hak untuk menerima hidangan yang lebih berkualiti.

Ulasan                  : Pada tahap ‘teori kritis’, kritikan bukan lagi ditujukan kepada rendang tok atau usaha penambahbaikan rendang tok, tapi melangkaui semua itu. Seperti kritikan lain, ia juga bermula dari perasaan benci, meluat dan sakit hati, cuma ditambah satu lagi perasaan, yakni curiga. Curiga bukan saja terhadap unsur yang ‘buruk’ dan ‘salah’, tapi terhadap sebarang kategori yang disifatkan ‘terbaik’, ’berguna’, ‘sesuai’, ‘produktif’ dan ‘bernilai’ seperti yang difahami oleh ideologi yang dominan.  Ia bukan lagi menanyakan “kenapa rendang tok ni tak sedap?” tapi “kenapa mesti rendang tok?”, “siapa dapat untung dari rendang tok yang tak sedap ni?”.