Thursday, June 30, 2016

10 Thriller Terbaik Korea Selatan (Bahagian 1)

Ianya tak mengambil masa yang lama untuk kau jadi peminat filem-filem Korea Selatan. Cukup dengan tonton dua atau tiga filem - tak kira sama ada kau peminat filem romantik, seram, aksi, thriller atau misteri – dan kau akan sedar ada sesuatu yang lain dari filem-filem Korea Selatan yang kau takkan jumpa dari filem-filem negara lain.

Filem Korea Selatan bukanlah wujud unik dalam bentuknya yang tersendiri atau terlalu avant-garde, formula mereka banyak ditarik dari filem-filem Hollywood, Hong Kong dan Jepun. Cuma mereka tak imitate, tapi mereka innovate. Melalui inovasi ini mereka bangunkan sebuah bahasa filem yang garang dengan semangat visual, sangat stailistik dan pintar bermain dengan emosi penonton.

Antara kecenderungan kebanyakan pembikin filem Korea Selatan ialah mereka tak tersangkut dengan konvensyen sesebuah genre. Kita boleh kesan kepelbagaian genre (atau sub-genre) disumbat masuk ke dalam sesebuah filem, atau sesebuah genre diberi suntikan yang lebih segar yang lari dari kebiasaan.

Jika kau suka filem yang ada elemen gelap, ganas, provokatif, sinikal dan absurd, yang melihat dunia bukan dari sudut hitam-putih, maka filem-filem thriller ini sesuai untuk senaman otak buat meregangkan sel-sel kau yang kendur akibat lama dicandu filem-filem Hollywood (dan Malaywood).


  1. Sympathy For Mr. Vengeance

Sinopsis: Ryu seorang pemuda pekak yang mahu kakaknya menjalani pembedahan buah pinggang. Masalahnya dia tak ada duit. Dan dia tak boleh dermakan buah pinggangnya sendiri kerana darah mereka tak sama. Akibat terdesak, dia buat perjanjian dengan sindiket organ haram. Menurut perjanjian, sindiket ini akan serahkan buah pinggang yang sesuai dengan kakak Ryu, dan sebagai tukarannya, Ryu akan serahkan buah pinggangnya kepada sindiket. Di samping itu, Ryu juga kena bayar sikit duit untuk kos pembedahan buah pinggangnya. Malang tak berbau, Ryu ditipu. Buah pinggang untuk kakaknya tak ada, duitnya lesap, buah pinggangnya hilang. Tekanan semakin menimpa Ryu apabila penderma buah pinggang untuk kakaknya muncul, tapi dia tak cukup duit sebab semuanya telah ditipu sindiket haram tadi. Aweknya mencadangkan supaya mereka culik anak bos Ryu dan minta duit tebusan. Anak bos berjaya diculik dan duit tebusan berjaya dikutip. Dan tragedi bermula di sini.

Ulasan: Ini adalah filem pertama dalam Trilogi Vengeance oleh pengarah Park Chan-wook. Ada beberapa elemen yang dikongsi filem-filem dalam trilogi ini, pertama ia berkait tentang dendam kesumat yang perlu dilunaskan, kedua bahasa filemya sangat puitis, ketiga aksi kejamnya sangat grafik dan keempat, pembalasan dendam itu dibuat oleh manusia-manusia biasa. Mereka bukan polis, pembunuh upahan atau kepala gangster.

Tema balas dendam bukan saja digunakan dalam Trilogi Vengeance, tapi turut terdapat dalam filem-filem lain yang ada dalam senarai ini. Entah kenapa pengarah Korea obses sangat dengan tema balas dendam. Atau mungkin aku yang obses dengan tema ini? Tapi tema balas dendam dalam filem thriller Korea Selatan bukanlah diisi dalam plot picisan macam I Spit On Your Grave. Pembikin filem Korea tak ikut konvensyen slasher film yang dibuat Hollywood yang semata-mataI merangsang chills and thrills penonton. I Spit On Your Grave juga tentang balas dendam dan paparkan banyak unsur-unsur ganas yang grafik, tapi filem ini hilang dimensi puitis yang ada dalam filem-filem Korea Selatan. Watak X dizalimi, watak X balas dendam, watak X puas hati. Corak plot macam ini ramai orang boleh buat.

Dalam Trilogi Vengeance balas dendam itu disulam dengan persoalan-persoalan lain yang lebih besar, umpamanya tentang identiti manusia,  tentang kebebasan untuk memilih, tentang penebusan dosa dan sebagainya. Ketiga-tiga filem dalam trilogi ini menyelak motif dendam dari perspektif etika dan estetika. Balas dendam dalam thriller Korea Selatan bukanlah matlamat akhir untuk dicapai sebaliknya alat untuk meneroka sesuatu yang lebih besar dari tindakan balas dendam itu sendiri. Dalam trilogi ini, dendam yang berbalas tak mampu memuaskan hati watak- watak utamanya. Dendam yang berbalas hanya menyuluh ke ruang gelap yang tak berani kita dekati sebelum ini. 

Aku lebih suka filem ini berbanding Oldboy yang merupakan poster boy dalam trilogi ini. Satu yang menjadikan Oldboy ikonik ialah twistnya yang gila babi itu. Tapi bila kau sudah tahu twistnya, tontonan kali kedua dan seterusnya – walaupun masih mengujakan - takkan sama dengan pengalaman ketika kau menontonnya kali pertama. Tapi berbeza dengan Sympathy For Mr. Vengeance, aku boleh menontonnya banyak kali dan masih mampu menggali pemaknaan yang berbeza setiap kali menontonnya.

Filem ini bergerak perlahan pada awalnya. Tapi kita patut sedar, dalam apa-apa perkara pun, kerja yang dinikmati perlahan-lahan meresap lebih jauh ke hati kita berbanding kerja yang dibuat secara ekspres. Ibarat mencicip kopi o panas, nikmatnya bukan kerana kepanasan kopi, tapi kerana kita mencicipnya perlahan-lahan, membiarkan perisa kopi tumpah ke deria rasa dengan saksama.



  1. Oldboy

Sinopsis: Dae-Su dikurung selama 15 tahun dalam sebuah bilik yang dilengkapi tv, meja dan katil. Dia tak tahu kenapa dia dikurung dan siapa yang mengurungnya. Semasa dalam kurungan, dia dapat tahu isterinya telah dibunuh, anaknya dihantar kepada keluarga angkat di luar negara, dan dia jadi suspek utama dalam kes bunuh isterinya. Setelah dibebaskan dia mula menyiasat siapa yang mendalangi semua angkara ini.

Ulasan: Oldboy adalah filem kedua dalam Trilogi Vengeance oleh Park Chan-wook. Berbanding dua filem yang lain, plot Oldboy lebih lurus dan elemen aksinya lebih banyak.  Lurus maksudnya ia mempunyai arah yang spesifik. Sebab itu ia lebih mudah dihadam penonton. Kita tahu watak utama dalam misi merungkai misteri mengapa dia dikurung dan kita tahu dia pasti akan menyelesaikan misteri tersebut. Sudah tentu apabila kita tekun melayannya secara lurus, filem ini menyimpang dengan twist paling brutal dan provokatif dalam sejarah filem. Thriller lain ada twist yang hebat juga, tapi Oldboy buat aku terkedu dan membawa otak dan emosi aku berlari jauh dari anggapan normal kita tentang cinta dan perasaan. Filem ini betul-betul dalam bentuk tragedi Yunani yang asli.

Soalan yang salah akan membawa kepada penyelesaian yang salah. Orang yang bertanggungjawab mengurung Dae-Su kata soalan yang patut ditanya Dae-Su bukannya “kenapa aku dikurung” tapi “kenapa aku dibebaskan”. Bukankah itu persoalan yang perlu ditanya semua manusia?



3.       Sympathy For Lady Vengeance



Sinopsis: Geum-ja dipenjarakan selama 13 tahun atas kesalahan menculik dan membunuh seorang kanak-kanak. Di dalam penjara, bagi kebanyakan banduan, dia terkenal dengan imej santa yang suci. Tapi bagi banduan yang kenal rapat dengannya dia adalah perempuan ahli sihir paling merbahaya. Sepanjang berada di penjara, Geum-ja mengatur rancangan untuk membalas dendam terhadap Baek, guru Bahasa Inggerisnya yang bertanggungjawab memerangkapnya sehingga dia dipenjarakan.

Ulasan: Merupakan naskah terakhir dalam Trilogi Vengeance, ini merupakan filem paling stail dan eksperimental berbanding dua pendahulunya. Mise-en-scene yang memikat, ibarat menonton filem Wong Kar Wai. Ditambah pula dengan muzik yang elegan, sangat sesuai sebagai simfoni untuk ritual balas dendam yang sempurna. Imej visualnya menyerlahkan keunikan filem ini. Contohnya, pesona Geum-ja sendiri ditonjolkan dengan cemerlang; maskara merah di matanya, kertas dinding di biliknya dan corak polka dot pada baju yang dipakainya.

Ada persamaan dari segi struktur plot antara filem ini dan Kill Bill. Cuma kita takkan tengok Geum-ja menetak sekumpulan manusia dengan pedang samurai atau membunuh Baek dengan Five Point Palm Exploding Heart Technique. Malah filem ini kurang aksi ganas berbanding dua filem-filem lain dalam trilogi ini. Tapi kesan emosinya lebih berbekas terutama ketika filem ini menuju penghujungnya.



4.       I Saw The Devil



Sinopsis: Soo-hyun seorang ejen khas dalam agensi perisikan Korea Selatan. Satu malam tunangnya dibunuh dengan kejam oleh pembunuh bersiri, Kyung-chul. Soo-hyun mahu Kyung-chul si psikopat menerima balasan setimpal. Maka dia ambil keputusan untuk tegakkan keadilan dengan caranya sendiri. Dengan bantuan bapa tunangnya, seorang bekas ketua polis, dia berjaya menjejaki Kyung-chul. Tapi dia tak terus bunuh Kyung-chul. Dia seksa dan dia lepaskan. Dia buru lagi, seksa dan lepaskan. Permainan cat and mouse bermula. Garisan yang memisahkan siapa baik dan siapa jahat semakin kabur. Mungkin ini permainan dua iblis untuk menebus dosa.

Ulasan: Kalau elemen ganas dalam Trilogi Vengeance sangat grafik, maka elemen ganas dalam I Saw The Devil adalah ultra-grafik. Kalau diukur dari scene punk, Trilogi Vengeance adalah Blink 182 manakala I Saw The Devil pula ialah Dead Kennedys.

Filem ini hanya diluluskan untuk tayangan di Korea Selatan setelah 3 kali dihantar ke badan penapis filem. Dua kali sebelumnya, filem ini dilabel untuk “Limited Screening”, yakni hanya boleh ditonton di panggung yang disediakan khas untuk penonton dewasa. Ironinya di Korea Selatan, panggung jenis ini belum diwujudkan. Jadi dalam bahasa mudahnya, di Korea Selatan filem ini pernah diharamkan. Menurut badan penapis filem, I Saw The Devil  “tanpa belas kasihan mencederakan kemuliaan nilai manusia”. Dalam filem ini ada adegan kepala dihentak dengan paip besi, badan manusia dilapah, kanibalisme, mata dihempuk dengan dumbbell, mulut dikopak dengan tangan, pipi dirodok dengan pemutar skru dan sebagainya.

Filem ini diterajui dua aktor heavyweight pujaan aku, Lee Byung-hyun dan Choi Min-sik. Dari segi penjiwaan watak, kemampuan kedua-dua aktor ini tak perlu dipersoalkan, terutamanya Choi Min-sik. Dialog antara Soo-hyun dan Kyung-chul memang tak banyak, sebab bila bertemu mereka akan bergasak, tapi riak wajah dan bahasa tubuh masing-masing cukup melukiskan emosi yang ditanggung mereka berdua. Tempo filem ini pantas. Apa yang menarik pada cerita ini ialah elemen aksinya yang dikoreografikan dengan cantik (dan ganas). Lihat saja aksi dalam teksi ketika Kyung-chul menikam dua lelaki dengan kamera bergerak pada sudut 360 darjah.

Hanya di penghujung cerita, ketika kita puas melayan permainan cat and mouse, ketika Soo-hyun sudah menjatuhkan hukuman yang dirasakan setimpal ke atas Kyung-chul, kita mungkin mencapai kesimpulan yang kedua-dua watak Soo-hyun dan Kyung-chul memiliki sifat iblis yang sama.



5.       Memories of Murder



Sinopsis: Pada tahun 1986 ketika Korea Selatan masih berada di bawah pemerintahan militari, Pekan Hwaseong dikejutkan dengan dua kes rogol dan bunuh. Detektif Park yang bertugas untuk kes ini ialah detektif old school yang percaya matanya mampu mengesan penjenayah. Dan kalau matanya tak berjaya tangan dan kakinya boleh buat penjenayah mengaku kesalahan mereka ketika sesi soal siasat. Namun beliau sedar kemahirannya sebagai detektif di sebuah pekan kecil takkan mampu menyelesaikan kedua kes ini, ditambah pula pasukan polis yang tak kompeten dan ketiadaan unit forensik, kes ini nampak sukar dirungkaikan. Detektif Seo yang lebih rasional dan sistematik dihantar untuk membantu siasatan. Dia berjaya mengenal pasti ini adalah angkara pembunuh bersiri. Kedua-duanya mempunyai kaedah penyiasatan yang berbeza. Ketika jumlah mangsa semakin bertambah, kedua-dua detektif tak sedar kes ini bakal membawa mereka ke ruang paling suram dalam diri mereka.

Ulasan: Kalau senarai ini disusun berdasarkan ranking, filem ini pasti menduduki senarai tiga teratas, bukan saja dalam senarai thriller, tapi senarai filem-filem terbaik Korea Selatan yang aku pernah tonton. Ini adalah filem kedua Bong Joon-ho, pengarah berkaliber yang terkenal bijak menggaul pelbagai genre ke dalam sebuah naratif. Kadang-kadang kita tersenyum dengan komedi gelapnya, ada masanya kita resah dengan  penyimpangan cerita, ada ketika kita turut beremosi dengan konflik watak-wataknya. Ia seperti pengalaman membaca Norwegian Wood. Cuma dengan intensiti emosi yang lebih baik. 

Seperti biasa, dalam setiap filem-filemnya beliau akan menyelitkan kritikan sosio-politik terhadap sistem masyarakat Korea Selatan. Polis, kerajaan dan ahli politik adalah mangsa satira dan parodi Joon-ho. Cerita omputih pertama yang diarahkannya ialah Snowpiercer, sebuah lagi naskah yang sarat dengan unsur politikal.

Filem ini gelap, komikal, realistik dan berhantu. Berhantu bukan kerana ia berkisarkan makhlus halus, tapi sebab filem ini punya rohnya yang tersendiri. Ia berhubung dengan kesedaran kita. Ia ‘menghantui’ kita walaupun lama selepas kita habis menontonnya. Filem ini walaupun pada separuh masa pertama agak sinikal, tapi pada separuh masa keduanya sangat meresahkan. Ia ada persamaan dengan drama True Detective (musim pertama tentunya) dari segi visual, mood dan persoalan yang dibawa. Adegan pembukaan di ladang jagung dalam True Detective mengingatkan kita pada pembukaan di sawah padi dalam filem ini. Seperti juga True Detective, fokus filem ini bukan pada pembunuh bersiri atau mangsa bunuh, tapi tentang detektif-detektif yang menyiasat kes ini, betapa kes ini meninggalkan kesan mendalam kepada mereka.

*Filem ini berdasarkan kisah benar pembunuh bersiri pertama dikenalpasti di Korea Selatan yang merogol dan membunuh 10 perempuan antara tahun 1986-1991.



6.       The Host



Sinopsis: Bahan toksik yang dibuang di Sungai Han telah menyebabkan seekor haiwan bermutasi menjadi raksasa hybrid. Dalam serangan pertamanya raksasa ini telah menculik seorang kanak-kanak bernama Hyeon-seo. Pada mulanya ahli keluarga Hyeon-seo, yang terdiri dari datuk, bapa, pakcik dan makciknya percaya dia telah mati. Tapi isyarat dari telefon bimbit Hyeon-seo mengubah fikiran mereka. Masalahnya pihak berkuasa juga percaya kanak-kanak itu telah mati, dan usaha mencari seorang kanak-kanak bukanlah prioriti utama ketika negara dilanda panik. Kerana tak ada jalan lain, bapa Hyeon-seo yang dikuarantin berusaha bersama ahli keluarganya yang lain untuk memburu raksasa tersebut dan mencari anaknya, walaupun terpaksa menentang kehendak kerajaan dan jadi musuh nombor 1 negara.

Ulasan: Ini bukan cerita raksasa biasa macam filem Godzilla. Ini satu lagi buah tangan Bong Joon-ho. Jadi hasilnya memang luar biasa, seperti mana raksasa itu sendiri yang boleh dikatakan hybrid berudu+cicak+ikan, maka filem ini sendiri hybrid melodrama, komedi, thriller dan tentunya satira politik. Bong Joon-ho seperti biasa sangat teliti dalam menyampaikan mesejnya dengan menggunakan simbol, alegori dan imej yang sarat dengan makna.

Sekali lagi subjek yang sentiasa menjadi fokus beliau ialah golongan marhaen. Ahli keluarga Hyeon-seo itu sendiri menarik kerana mereka bukan keluarga sempurna. Bayangkan ahli keluarga dalam filem Little Miss Sunshine yang masing-masing bermasalah dan kerap berselisih faham tapi terpaksa bersatu demi merealisasikan impian ahli keluarga yang paling mereka sayang.

Dalam filem-filem Bong Joon-ho, keluarga adalah sel terkecil yang penting dalam struktur masyarakat. Keluarga menjadi benteng terakhir untuk melawan dominasi dan eksploitasi institusi kekuasaan. Pada masa yang sama Bong Joon-ho juga ingin menyatakan yang korupsi dalam institusi kekuasaan secara langsung (dan tanpa disedari) telah (atau mahu) meruntuh dan mengorbankan sel keluarga. Seolah-olah wujud unsur antagonistik dan pertentangan antara nilai kekeluargaan dan kehendak institusi kekuasaan yang –kalau mengikut filem ini – harus diselesaikan terlebih dulu dengan sebuah keluarga melancarkan serangan gerila melawan raksasa!



7.       Mother



Sinopsis: Emak dalam filem ini adalah ‘emak’. Tak ada nama diberikan kepada ‘emak’ ini. ‘Emak’ ada anak lelaki kurang cerdik berusia 27 tahun bernama Do-joon. Satu hari seorang remaja perempuan dijumpai mati. Berdasarkan bukti-bukti awal di tempat kejadian, polis menahan Do-joon sebagai suspek utama. ‘Emak’ tak percaya anaknya terlibat. Tapi apabila polis kelihatan tak bersungguh untuk cari suspek lain, manakala peguam yang diupah pula sekadar nasihatkan Do-joon supaya mengaku bersalah dan merayu supaya hukuman dikurangkan, ‘emak’ sedar dia sendiri perlu menyiasat kes ini dan membebaskan Do-joon dari pertuduhan. Siasatan ‘emak’ membuka semula memori pedih yang mahu disembunyikan dari Do-joon di samping menyuluh ke lubuk yang tak sepatutnya disuluh. Mungkin ‘emak’ tak sepatutnya siasat kes ini.

Ulasan: Ini juga filem arahan Bong Joon-ho. Dan sekali lagi beliau membawakan kisah seorang ‘Emak’ dari kaca mata golongan kasta bawahan. ‘Emak’ dalam filem ini tak ada karisma Meryll Streep atau Helen Mirren, apatah lagi pesona Rosmah Mansor atau Shahrizat Jalil. ‘Emak’ adalah emak yang primordial. Macam emak aku dan emak engkau yang seronok tengok ceramah Dr. Muhaya dan tersenyum bila  dengar Ustaz Kazim menyanyi lagu Hindi. Mereka bahagia bila anak mereka bahagia dan mereka bersedih bila anak mereka susah. Filem ini cemerlang mengungkapkan psikologi seorang ‘emak’.



8.       The Chaser



Sinopsis: Jung-ho, bekas polis yang kini jadi bapak ayam bimbang bila dua pelacurnya hilang tanpa dapat dikesan. Satu malam dia dapat panggilan dari seorang pelanggan. Oleh kerana tak ada pelacur yang boleh bekerja pada waktu itu, dia terpaksa kerahkan seorang pelacur yang sakit bernama Mi-jin untuk bekerja. Dia kemudiannya sedar pelanggan yang menelefonnya ialah pelanggan terakhir menggunakan dua khidmat pelacurnya yang hilang. Jadi dia sangka pelanggan itu telah menjual pelacur-pelacurnya. Untuk menangkap pelanggan itu, dia buat rancangan dengan Mi-jin supaya melengah-lengahkan pelanggan tersebut. Jung-ho berjaya jumpa pelanggan itu dan mereka bergaduh sehingga kedua-dua mereka ditahan polis. Malangnya Mi-jin gagal dijumpai. Si pelanggan mengaku kepada polis yang dia bukan jual tapi bunuh semua pelacur Jung-ho di samping bertanggungjawab ke atas beberapa pembunuhan lain.

Ulasan: Dari mana datangnya suspen? Adakah dari situasi “audien tahu sesuatu yang watak tak tahu”seperti yang disebutkan Hitchcock? Atau dari maklumat yang disembunyikan dari penonton? Atau dari rasa ketakberdayaan kita untuk menolong dan mengubah nasib watak?

Soalan-soalan ini boleh ditanya kepada pengarah The Chaser, Na Hong-jin yang nampaknya sudah menemui rahsia sebenar menghidupkan elemen suspen. Sejak awal kita tahu siapa pembunuh dalam filem ini, malah dia sudah ditahan polis dan dia mengaku kesalahannya, tapi maklumat ini sedikit pun tak mengurangkan elemen suspen dalam filem ini dari awal sampai ke akhir filem. Dalam Theorizing Moving Images, Noel Carrol tulis yang “races, chases, rescues and escapes” adalah prinsip-prinsip penting dalam elemen suspen. Jelas semua prinsip-prinsip ini dikumpulkan dalam The Chaser dan Na Hong-jin menggunakannya dengan cemerlang. Filem ini mungkin boleh jadi kes kajian untuk memahami elemen suuspen dengan lebih baik.

*Filem ini berdasarkan kisah benar pembunuh bersiri Yoo Young-chul yang telah membunuh 21 orang di mana kebanyakan mangsanya ialah pelacur.



9.       Bedevilled



Sinopsis: Kerana tekanan di tempat kerja, Hae-won, seorang pekerja bank yang pentingkan diri mengambil keputusan untuk bercuti ke Pulau Mudo, tempat asal datuknya dan tempat dia menetap semasa kanak-kanak. Di pulau ini dia bertemu semula sahabat lamanya, Bok-nam, yang sering mengutus surat kepadanya tapi tak pernah dia endahkan.

Di pulau ini Hae-won melihat bagaimana Bok-nam dilayan seperti binatang. Tenaganya dikerah untuk bekerja keras, dia dibelasah oleh suaminya dan dia dijadikan mesin seks kepada setiap lelaki di pulau itu. Dia diekploitasi secara fizikal, seksual dan emosional. Tapi Bok-nam pasrah, tunduk dan berserah. Satu-satunya harapan untuk Bok-nam meneruskan hidup ialah anak perempuannya, anak haram yang Bok-nam sendiri tak tahu siapa bapanya yang sebenar.

Hae-won pula hanya memerhatikan semua kekejaman ini tanpa sekelumit keinginan untuk membantu Bok-nam. Apabila anaknya mati terbunuh dalam satu kemalangan, gelombang dendam menyentuh hati Bok-nam. Dia membunuh setiap penghuni Pulau Mudo satu persatu dengan kejam.

Ulasan: Filem ini mungkin dapat kecaman golongan feminis kerana nada misoginis yang ketara. Ia bukan saja menceritakan kekejaman terhadap wanita, tapi juga kekejaman terhadap wanita yang tak dihiraukan wanita dan mendapat dokongan wanita. Dan yang lebih ketara ialah visualnya bukan dramatik tapi realistik dan sangat mengganggu emosi kita. Ia mengganggu hati nurani kita dan akal manusia kita yang sihat. Jika diulang tonton pun kesannya masih terasa. Ini filem paling suram, realis dan menakutkan dalam senarai ini.



10.   A Tale Of Two Sisters




Sinopsis: Dua beradik, Su-mi dan Su-yeon kembali tinggal bersama bapa mereka setelah keluar dari pusat psikiatri. Ibu mereka telah meninggal dunia dan bapa mereka telah berkahwin lain. Hubungan mereka dengan ibu tiri tak begitu baik. Su-mi melayan ibu tirinya dengan dingin sebaliknya Su-yeon amat takut kepadanya. Beberapa kejadian pelik dan tak masuk akal mula berlaku. Rumah yang mereka diami seakan cuba meluahkan rahsia yang jauh terpendam. Cinta, benci, cemburu dan dendam mengisi hubungan antara ahli keluarga ini. Tapi segala-galanya tak seperti yang kita fikirkan. Langsung.

Ulasan: Bagi sesetengah penonton filem ini lebih sesuai digolongkan sebagai filem seram tapi bagi aku ini sebuah filem psiko-thriller yang bijak. Kau boleh baca pelbagai teori – yang  muktabar dan yang dhaif - oleh penonton-penonton untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku dalam filem ini. Menontonnya menuntut kesabaran dan penelitian yang banyak kerana petunjuk dan isyarat tak dicampak terus ke mata kita. Plotnya canggih dan kompleks. Ini tentunya bukan filem untuk peminat-peminat Michael Bay. Kita perlu mengumpul perca-perca visual yang berserakan dari awal filem dan menyusunnya dengan teliti untuk menjawab teka-teki dalam filem ini. Sekali tengok tapi masih tak faham itu fenomena biasa. Sila tengok sekali lagi.




Nota: Simplisiti sinopsis tak melambangkan keseluruhan jalan cerita. Seperti mana tempoyak perlu dimakan (bukan dihidu), begitu juga filem perlu ditonton (bukan dibaca). 

1 comment: