Thursday, September 21, 2017

4. Ekstasi Dionysus



Selain Apollo, Dionysus juga dianggap sebagai dewa seni bagi umat Yunani. Berbanding Apollo yang dikaitkan dengan seni jasadiah seperti lukisan dan ukiran, Dionysus pula dikaitkan dengan seni rohaniah, yakni muzik. Jika Apollo dikaitkan dengan kesederhanaan, Dionysus mengutamakan keghairahan. Jika Apollo memilih kecantikan yang bersifat fizikal, harmoni dan ketenangan, Dionysus memilih kecantikan yang menyimpan mistikal, kontradiksi dan ekstasi. Jika Apollo meraikan seniman dan hero, Dionysus meraikan meleburnya seniman dan hero ke dalam alam. Jika Apollo memilih penampakan, imej dan ilusi, Dionysus memilih untuk mencipta dan memusnahkan imej tanpa kesudahan.

Dalam The Birth of Tragedy, Nietzsche cuba menyanggah pandangan umum yang mengaitkan tamadun Yunani itu dengan imej damai, tenang dan tersusun (perhatikan lukisan dan ukiran patung yang sering menggambarkan tokoh-tokoh Yunani dengan lagak cool dan relax). Menurut Nietzsche, imej budaya dan seni Apollonian yang tenang (di luar) itu sebenarnya berperang (di dalam) dengan inspirasi tragik Dionysian.

Melalui penyatuan (atau dialektik atau lebih tepat fusion) Apollonian dan Dionysian inilah yang menghidupkan denyut nadi budaya Yunani. Begitu juga karya-karya tragedi yang monumental itu sebenarnya terhasil dari penyatuan dua elemen artistik ini. Tragedi itu ialah penampakan Apollonian yang membawa roh Dionysian di dalamnya. Tragedi Yunani memaparkan sisi Dionysian; penderitaan, kekejaman dan kematian, dan menutupnya dengan selubung (ilusi) kecantikan Apollonian melalui persembahan artistik, prosa yang memikat dan muzik yang indah.

Dalam tragedi, elemen kecantikan yang dibawa Apollonian mengimbangi elemen kesakitan yang dibawa Dionysian, seterusnya membolehkan penonton bertoleransi dengan kesakitan itu, di mana kecantikan dan kesengsaraan itu wujud bersama, dengan penderitaan ditebus dengan kecantikan representasi seni. Ini bukan bermaksud Nietzsche beriman dengan agama pagan Yunani (walaupun saya yakin kalau Nietzsche percayakan Tuhan dia pasti sembah Dionysus), tapi Apollonian dan Dionysian itu bagi Nietzsche adalah kuasa artistik yang berpunca dari alam di mana tanpa manusia sebagai perantara atau seniman pun, alam tetap mengatur hidupnya berdasarkan prinsip seni Apollonian dan Dionysian; mencipta dan memusnahkan, hidup dan mati, harmoni dan kekalutan, keseronokan dan kesakitan. Ini adalah usaha Nietzsche untuk menjustifikasikan kehidupan (atau mencintai kehidupan) kerana bagi beliau hidup adalah seni dan hidup hanya boleh dinikmati sebagai fenomena estetika.

Nietzsche melabel pandangannya sebagai ‘inverted Platonism’ atau keterbalikan Platonisme, yakni berbanding Plato yang menganggap hasil seni 3 kali menjauhkan manusia dari realiti, Nietzsche pula melihat dunia artistik lebih real dari realiti. Realiti bagi Nietzsche adalah imitasi kepada dunia artistik, bukan sebaliknya. Bagi Nietzsche kuasa-kuasa yang berkonfrontasi dalam tragedi adalah ‘beyond good and evil’.