Tuesday, September 22, 2015

Anime Yang Kami Tonton

Ini bukan senarai anime terbaik. Ini cuma senarai anime yang aku tonton dan sedikit ulasan mengenainya. Malah untuk aku katakan 5 anime di bawah adalah yang terbaik mungkin agak semberono sebab ada beribu anime di dunia ini dan aku mampu tonton tak sampai 20 anime saja. Mungkin kalau aku rajin senarai ini akan ditambah.

1. MONSTER



People are so strange. Sadness keep fading away and only happy memory remains. People sure have a convenient make up. That’s why we can keep on living.”
- Eva Hienemann-

Monster secara umumnya berkisarkan manusia dan memori mereka. Persolan siapa kita adalah bergantung kepada koleksi memori yang kita simpan sepanjang hidup. Memori mendefinisikan kita. Ada memori yang menyeronokkan, ada yang menyedihkan, ada yang menakutkan. Ada memori yang boleh dilupakan atau dibuang, ada memori yang terus menghantui kita sepanjang hidup.

Tapi memori tak hanya melekat di kepala, ia juga dipotretkan kepada manusia yang kita kenal, ia dikongsi dengan manusia yang pernah bersama dengan kita. Selagi mereka wujud, memori itu juga kekal. Bagaimana cara untuk menghapuskan memori tersebut? Adakah dengan membunuh manusia yang pernah berkongsi memori yang sama? Atau membunuh diri kita sendiri?

Ada beberapa masalah kecil dalam Monster yang menganggu tumpuan aku. Tapi tak dinafikan ia tinggalkan kesan yang berbekas di hati aku kerana jalinan plotnya yang teliti dan canggih berbanding kebiasaan anime lain. Malang bagi Monster, ketelitian dan kecanggihan itu tak menumpu dan tak menghargai konflik yang mendasari dua watak utamanya, Kenzo Tenma dan Johann Liebert. Sebaliknya dalam Monster, aku rasa watak-watak sampingan pula (contohnya watak Eva Hienemann dan Inspektor Heinrich Lunge) yang lebih menonjol permainan emosi dan karakterisasi mereka. Selain dari faktor itu, Monster memang sebuah fenomena.

Monster adalah anime psiko-thriller yang langsung tak mengandungi khurafat fiksyen yang sering dikaitkan dengan anime. Dalam Monster tak ada elemen supernatural, kuasa ajaib, komedi slapstik, gadis bermata bundar yang bertetek besar dan segala mak nenek fanservice yang lain. Monster tak berminat dengan semua itu. Monster ialah serius. Lebih serius dari Zahid Hamidi.

Aku harap ada penerbit yang berminat untuk mengadaptasi Monster ke drama tv (walaupun ada berita ia bakal dirosakkan oleh Hollywood) dan membetulkan semula sendi-sendi plotnya yang longgar akibat kekurangan fokus kepada karakterisasi Tenma dan Johan. Cumanya perlu cari para pelakon berkredibiliti tinggi sebab karakterisasi setiap watak, terutamanya watak-watak utama sangat perlukan penjiwaan yang mendalam.

Dan itulah satu-satunya sebab yang munasabah kenapa Monster perlu diremake semula yang boleh aku fikirkan, yakni dengan sikit pengubahsuaian plot dan karakterisasi yang dilakonkan manusia, semangat naratif Monster pasti lebih hidup. Bukanlah satu kelemahan yang ketara, dan bukan satu masalah yang aku rasa besar pun, tapi animasi Monster kurang ruang untuk menegaskan karakterisasi dan kurang perincian untuk melukiskan riak emosi terdalam watak-watak utamanya. Macam aku cakap watak Eva dan Detektif Lunger pula terasa lebih hidup.

Monster mengisahkan perubahan drastik yang berlaku dalam hidup Kenzo Tenma, pakar bedah otak yang berkhidmat di Jerman, setelah dia menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak bernama Johann Liebert yang di masukkan ke hospital bersama kembarnya Anna. Tenma seorang doktor genius berhati mulia yang tak senang dengan layanan hospital yang mengutamakan kasta sosial dalam keutamaan merawat pesakit. Bagi beliau, semua pesakit (dan manusia) berhak menerima layanan yang adil dan saksama. Semua pesakit punya hak yang sama untuk hidup.

Dengan menyelamatkan Johan, Tenma mengabaikan arahan pengarah hospital yang mahu dia membedah datuk bandar yang tiba lewat berbanding Johann, seterusnya mempertaruhkan statusnya sebagai anak emas (dan bakal menantu) kepada pengarah hospital. Johann berjaya diselamatkan, datuk bandar mampus, Tenma disalahkan. Beliau hilang reputasi dan hilang peluang untuk mengisi jawatan Ketua Jabatan Pembedahan, dan anak pengarah hospital yang berperangai jalang meninggalkannya. Tak lama kemudian pengarah hospital dan dua doktor kanan mati dibunuh, serentak dengan kehilangan kembar Johann dan Anna.

Malang tak berhenti di situ, sebaliknya ia membawa kepada pelbagai urutan pembunuhan lain yang menyebabkan Tenma dimasukkan dalam senarai suspek. Tenma akhirnya sedar beliau telah menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang ditakdirkan muncul sebagai psikopat paling genius, paling berbahaya dan paling misteri dalam sejarah dunia, yakni Johann. Sejak itu bermula kembara vagabond seorang doktor yang berusaha membetulkan kesilapan di samping membersihkan semula namanya. Beliau berkelana sepanjang Jerman, merentas Republik Czech dalam usaha memburu Johann Liebert dan menyiasat bagaimana Johann boleh bermutasi menjadi dalang dalam pembunuhan bersiri paling hebat di Eropah.

Usaha ini tak pernah mudah, ada cerita di sebalik cerita, ada misteri di sebalik misteri, dan Tenma berdepan dengan ramai manusia yang memerlukan pertolongannya dan ramai juga manusia yang cuba menggagalkan usahanya. Berlatarbelakangkan Jerman pasca runtuhnya Tembok Berlin, Monster menghamparkan kondisi sosio-politik yang menarik untuk ditonton. Dan sudah tentu bukan satu kebetulan mengapa latar ini dipilih. Penulisnya, Naoki Urasawa menjadikan latar ini sebagai pemangkin kepada grand design bagi jaringan plot yang mantap.

Dengan jumlah 74 episod, aku ambil masa setahun lebih untuk habiskan Monster. Ya, 74 episod dengan setiap episod berdurasi 20 minit tak menjadikan Monster sebuah anime yang sangat panjang. Secara matematiknya jika dihimpun, durasi keseluruhan Monster adalah 24 jam lebih, maksudnya jika ditonton berterusan kau boleh habiskan Monster dalam masa satu hari lebih. Kalau kau peruntukkan satu episod untuk setiap hari, kau boleh habiskan dalam masa dua bulan setengah lebih kurang. Jadi kenapa ambil masa yang lama untuk habiskan Monster kalau ia sebuah anime psiko-thriller yang hebat?

Baiklah perkara ini perlu dijelaskan dengan baik. Alasan mudahnya ialah - macam aku cakap di awal tadi – ada beberapa masalah pada Monster yang menganggu tumpuan aku. Kalau aku fokus memang aku boleh meratah Monster paling cepat dalam masa dua minggu. Tapi untuk berlaku adil dengan Monster, kerana kenikmatan hasil menontonnya tetap aku rasa, aku akan jelaskan dua faktor yang menyebabkan aku ambil masa yang lama untuk habiskan Monster.

Masalah yang muncul dalam Monster aku rasa mungkin bersifat peribadi, bukan kerana Monster sebuah anime yang tak berkualiti, jauh sekali masalah-masalah itu merendahkan kualitinya.  Dia macam aku tak minat segala aneka bubur – dari bubur kacang ke bubur durian - bukan kerana bubur tak sedap, tapi kerana citarasa lidah aku kurang ghairah kepada benda-benda manis. Tapi lidah kamu pembaca semua berbeza dengan lidah aku. Jadi cuba dulu dan kemudian baru tentukan sama ada kamu suka atau tidak. Dan bagi aku menonton Monster adalah berbaloi walaupun kamu tak suka bubur. Bukankah hilang satu kenikmatan hidup jika kamu tak pernah makan bubur durian?

Faktor pertama, seperti yang kamu semua pembaca tahu, aku ada masalah untuk melayan sesuatu yang memerlukan komitmen yang panjang. Ini bukan masalah psikiatri, tapi fokus aku kepada sesuatu (dalam kes ini anime Monster) selalu diganggu oleh perkara-perkara lain yang menuntut dari aku perhatian yang lebih banyak. Ia tak ada kaitan dengan benda yang aku layan itu best atau tak best.

Anime Eyeshield 21 sebagai contoh, sudah 4 tahun terperap dalam external hard disk. Aku hanya sempat tonton sampai episod 10. Bagi mereka yang sudah tonton Eyeshield 21, kamu pasti tahu ianya sebuah anime yang best. Tapi mengenangkan ia terdiri dari 145 episod, aku berasa macam satu beban yang berat untuk melayan Eyeshield 21 sampai habis sebab aku sendiri tak tahu bila aku mampu habiskannya. Dan bagi aku kepuasan menonton itu ereksinya hanya dapat dicapai jika kita menontonnya tanpa gangguan atau tanpa hela waktu yang panjang. Stimnya jangan dipotong. Kalau boleh teruskan, maka teruskan tanpa henti. Kalau ditangguh-tangguh maklumat yang kita kumpul dan emosi yang kita labur akan hilang ditelan masa.

Faktor kedua, plot Monster bergerak perlahan. Ya, sudahlah panjang slow pulak lagi. Tapi ia tak menjemukan, ketika episod-episod awal, keterujaan tentang misteri yang melingkari Johann masih melekat di kepala aku. Perjalanan plotnya perlahan tapi berkesan. Malangnya di episod-episod pertengahan ia merebak kepada beberapa sub-plot dan memperkenalkan kita kepada watak-watak baru yang buat aku hilang fokus dan hilang keterujaan.  Watak-watak sampingan makin bertambah tapi kemisteriusan Johan tak banyak yang dicungkil. Sebab itu aku berhenti menontonnya untuk jangka masa yang lama. Ia gagal menarik aku untuk ketagih dengan penceritaannya.

Tapi episod-episod ini bukanlah filler. Ia sama ada untuk menguatkan karakter Tenma dan sebagai pengenalan kepada watak Johan itu sendiri atau watak-watak sampingan yang muncul itu bakal mengisi dan memaknakan grand design plot yang lebih besar. Sudah tentu hal ini kau akan sedar setelah kau tonton Monster sampai habis. Aku sendiri hanya tersangkut untuk terus melayan Monster sampai habis setelah tonton episod 40 dan ke atas. Dari situ kita mula nampak sub-plot dan watak-watak sampingan tadi berinteraksi dan berkolaborasi dalam susunan yang teratur. Kesimpulannya ia memang berbaloi ditonton dan endingnya bagi aku memang cerdik dan terbaik. Dan kau hanya mampu faham apatah lagi menghargai ending tersebut jika kau menonton keseluruhan episod Monster.

Masalah utama Monster ialah banyak sangat episod-episod (dan tentunya juga watak-watak) yang terjun ke dalam bingkai naratifnya. Memang tak jadi masalah kalau ia bertujuan menguatkan plot, tapi di sebalik usaha Urasawa untuk menambahkan kompleksiti plot dan kepelbagaian watak-watak dalam Monster, dia telah mengorbankan karakterisasi dua watak utamanya, Tenma dan Johan. Dan yang lebih teruk membuatkan fokus kita berkecamuk dan kepala kita pening dengan plot dasar anime ini.

Kalau diteliti semula, episod-episod tersebut boleh dipadatkan dan watak-watak sampingan kebanyakannya boleh dibuang tanpa mengorbankan plot asal. Aku seolah-olah nampak macam Urasawa tambahkan kompleksiti plot supaya ia nampak kompleks, bukan untuk menguatkan naratif anime. Ibarat kau tambahkan ajinomoto supaya kau rasa ajinomoto dalam masakan kau, bukan untuk sedapkan masakan kau. Jadi akhirnya orang dapat rasa hidangan yang berperisa ajinomoto, bukan hidangan yang sedap, sama dalam Monster, yang kau rasa ialah kompleksiti (yang dihadirkan untuk nampak kompleks) tapi tak menghidupkan naratif anime.

Karakter Tenma mungkin boleh dimaafkan. Sebab dia hero, jadi kemunculannya agak banyak, walaupun karakternya masih lagi mendatar. Tapi Johan, sebagai watak kedua penting, gagal menyerlahkan kegeniusannya sebagai seorang ‘monster’. Kita hanya sedar betapa genius dan manipulatifnya Johan melalui testimoni beberapa pembunuh bersiri lain yang menjadikannya ‘imam muda’ mereka. Memang dalam episod tertentu, ditunjukkan perancangan dan strategi Johan dalam mengumpan mangsanya, tapi perancangan itu bukan hebat sangat, mana-mana pengarah drama bersiri Malaysia pun boleh fikirkan rancangan yang sama. Sekurang-kurangnya aku dambakan sikit kegeniusan ala Light Yagami untuk mencitrakan betapa berbahayanya Johan.

Buku bergambar berjudul ‘The Monster With No Name’ yang ada dalam anime ini memang menarik kisahnya. Ia minimalis, gelap dan seolah merumuskan hasrat setiap monster di dalam diri kita. Dan ya, Monster dirumuskan dengan baik. Itu kelebihan Urasawa di mana dia berjaya memintal segala benang persoalan menjadi kain yang cantik, walaupun bagi aku ada benang yang sepatutnya dia buang supaya kainnya bukan setakat cantik, tapi selesa dipakai.



2. NEON GENESIS EVANGELION



Homeostasis and transistasis. One is force for the status quo, and the other’s a force for change. Anything that contains these two conflicting forces is alive.”
- Ritsuko Akagi –

Aku tak minat dengan mecha anime. Tapi semua orang heboh Neon Genesis Evangelion (NGE) adalah mukjizat yang berjaya mengembalikan semula genre mecha ke landasan baru, malah mendekonstruksi lanskap genre anime itu sendiri. Pujian tinggi melangit begini tak wajar diabaikan. Tambahan lagi judulnya pun kedengaran sangat biblikal. Jadi aku tonton NGE dan ternyata - walaupun taklah  sehebat yang dihebohkan – ia memang anime yang wajib ditonton semua. NGE ibarat naskah filosofikal beranimasi yang layak dijadikan kajian assignment untuk semester pertama mana-mana kelas falsafah.

Latar tahunnya sekarang, 2015. Dikhabarkan (kononnya) 15 tahun dulu berlaku peristiwa yang dipanggil Second Impact di mana dunia dihempap meteor yang meragut kebanyakan populasi bumi. Kini malapetaka baru muncul apabila dunia diserang makhluk digelar Angels. Apabila senjata konvensional tak mampu menumpaskannya, PBB menugaskan sebuah organisasi bernama NERV untuk memainkan peranan menghapuskan makhluk-makhluk ini.

Sebagai solusi, NERV membangunkan robot gergasi bernama Evangelion. Shinji Ikari, Rei Ayanami dan Asuka Langley Soryu, semuanya remaja 14 tahun, ditugaskan untuk menjadi pilot Evangelion. Sedikit demi sedikit ada rahsia dan konspirasi yang didedahkan. Evangelion bukan sekadar robot mekanikal, begitu juga apa yang berlaku 15 tahun dulu bukan rempuhan meteor, dan watak-watak NGE bukan seperti yang kita sangkakan. Segala-galanya diselak ibarat sebuah hikayat eskatologi saintifik.

Tapi keseluruhan jalan cerita NGE ternyata lebih kompleks. Shinji, Rei dan Asuka bukanlah hero berakhlak mulia yang akan memujuk kanak-kanak menangis dengan memberi mereka gula-gula. Mereka adalah hero yang rosak mental. Malah tujuan mereka menjadi pilot Evangelion bukan untuk menyelamatkan dunia tapi untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Mereka bukan spesis hero yang berpegang kepada cogan kata ‘dengan kuasa yang hebat, muncul tanggungjawab yang hebat’. Tanggungjawab adalah perkara terakhir yang mereka fikirkan. Mereka adalah manusia yang mengalami alienation, tekanan, kesunyian dan kekecewaan, yang menggalas tanggungjawab untuk menjadi hero sebagai eskapisme dari masalah yang merantai diri mereka.

Di sini muncul keistimewaan NGE dalam menggaul semua konflik peribadi watak-wataknya untuk dipertentangkan dengan masalah besar yang mendepani mereka. Ya, semua watak-watak penting dalam anime ini bermasalah, dari pilot sampailah kepada kakitangan NERV, ia tentang pergolakan konflik bawah sedar yang membelenggu mereka. Serangan Angels seolah-olah memberi mereka peluang dan harapan untuk meredam masalah-masalah itu, tapi semakin ia dinafikan semakin ia muncul ke permukaan. Ketika mereka bertindak sebagai hero untuk menyelamatkan bumi dari anasir luar, mereka luka dirobek krisis dalaman mereka sendiri.

Shinji contohnya, setiap kali berjaya menumpaskan Angel akan berhadapan dengan dua situasi; sama ada di dalam dilema untuk meneruskan tugasnya sebagai pilot atau tersedar di katil hospital dengan matanya memandang ‘siling yang tak dikenali’. Tak ada perasaan bangga kerana selamatkan dunia, tak ada majlis meraikan kemenangan, tak ada juga upacara menjulang hero ke langit. Yang ada cuma kesakitan dan kekeliruan.

Perjuangan sebenar manusia di dalam NGE bukan untuk melawan Angels tapi melawan diri mereka sendiri. Justeru semakin alien menyerang bumi, semakin parah alienation yang menimpa mereka. Masing-masing hilang punca dalam memaknakan hubungan dengan unsur di luar diri mereka – masyarakat, institusi sosial, negara dan sebagainya - kerana mereka terputus hubungan dengan diri mereka sendiri. Bagaimana untuk memaknakan sebuah perlawanan jika mereka sendiri tak tahu tujuan mereka berlawan?

NGE berkisarkan perhubungan. Dan untuk berhubung adalah untuk menanggung kesakitan. Malah salah satu episodnya berjudul Hedgehog’s Dilemma, konsep yang dicetuskan oleh Schopenhauer sebagai analogi bahawa manusia tak boleh mencipta keintiman dalam hubungan tanpa bersedia menanggung kesakitan dari keintiman tersebut. Kenyataan ini disimbolikkan lebih awal melalui hubungan antara pilot dan robot mereka. Untuk mana-mana pilot synchronize dengan robot mereka adalah untuk bersedia menanggung sakit. Jadi anime ini bukan tentang robot gergasi lawan makhluk asing sangat, tapi lebih kepada perkembangan krisis psikologi watak-wataknya. Dan kerana watak-wataknya NGE akan terus diingati.

Kalau kau tengok, robot Evangelion itu sendiri hodoh dan Angels pula muncul dalam bentuk yang……………senang cakap dalam bahasa XPDC, ntahapahapantah. Ya, dengan bentuk penciptaan begitu Evangelion dan Angels dari satu segi nampak unik, tapi ia takkan boleh (dan takkan mampu) jadi sumber obsesi penonton untuk jangka masa lama. Walaupun tak dinafikan mekanisme bagaimana Evangelion berfungsi dan berinteraksi dengan pilot mereka sangat menarik dan perinciannya boleh dipuji.

NGE menimbulkan tona animasi yang bijak bergaul dengan emosi setiap watak lantas meluahkan gambaran atmosfera yang konsisten dengan naratifnya. Ia tak melankolik, ia tak romantik, ia tak harmoni, ia tak menakutkan. Ia macam sebuah kekosongan yang tak minta diisi dengan apa-apa pun. Bandar Tokyo-3 yang dihuni oleh watak-watak NGE juga nampak tersudut dan terasing, tegak berdiri di antara dua perasaan penghuninya; harapan yang mereka masih mampu teruskan hidup dan kekecewaan yang mungkin mereka sebaiknya mati dari hidup dengan harapan yang menyakitkan.

Elemen psikoanalisis Freud dan dialektik Hegel memang kental dalam NGE dengan Freudian mengisi plot mikro manakala falsafah Hegel membentuk plot makro. Elemen Freudian jelas bersepah-sepah, baik secara langsung melalui pelukisan watak dan perwatakan, atau secara tak langsung melalui simbolisme dan metafora yang digambarkan oleh robot Evangelian dan kehidupan manusia di Tokyo-3. Defence mechanism, oedipal complex, fear of abandonment dan berselerak lagi konsep psikoanalisis dalam anime ini. Menonton NGE ibarat kau menghimpunkan semua pesakit Freud dalam sebuah wad kehidupan.

Kemudian kita jumpa elemen dialektik Hegel yang menjadi motor menggerakkan konsep Geist/ Spirit/ Mind. Hegel adalah ahli falsafah terawal yang membincangkan subjek alienation secara mendalam dan dari perspektif inilah alienation yang menimpa watak-watak NGE cuba ditonjolkan, yakni dari dimensi ontologi manusia. Bagi Hegel, alienation adalah sebuah proses positif dalam usaha spirit menjalani proses self-discovery untuk mencapai tahap ‘menjadi’ (becoming). Ia tentang bagaimana watak-watak NGE bertarung untuk memaknakan eksistensi mereka.

Kau mungkin lebih faham letak duduk dialektik Hegelian ini lepas kau habis tonton NGE, atau lebih tepat selepas kau tonton ending NGE. Elemen Kristianiti dan Gnostik juga banyak ditonjolkan. Adam, Eva, Lilith, Lance of Longinus dan sebagainya. Kau boleh nampak perkaitan yang menarik tapi aku nampak ia lebih sebagai simbolisme dan alegori, bukan sebuah tema yang serius ditonjolkan. Tapi hal ini masih terpulang kepada interpretasi masing-masing.

Ending NGE akan sentiasa diperkatakan dan sentiasa membuka penafsiran selebar-lebarnya dari penonton. Ia bukan sebuah resolusi yang memuaskan hati kita, tapi di sebalik watak-wataknya yang rosak mental itu sekurang-kurangnya ia membuka sikit jendela harapan. Diberitahu kepada kita yang penulisnya, Hideaki Anno terputus bajet untuk menghasilkan ending yang konklusif. Justeru dua episod terakhir NGE ibarat pembentangan falsafah Hegel yang dibuat oleh budak darjah 1 dengan menggunakan Windows Movie Maker.

Sama ada Hideaki seorang genius atau dia cuma bernasib baik, ternyata ia bukan sebuah penamat yang teruk, juga aku tak rasakan ianya terbaik. Tapi bergelumang dengan watak-watak NGE – secara peribadi bagi aku – buat aku semakin menghargai diri aku, hidup aku dan manusia yang aku sayang, walaupun pada awalnya ia menyakitkan. Dan itu buat NGE cantik kerana itulah dialektik kehidupan.



3. ELFEN LIED


When you’re miserable, you need to make someone even more miserable than yourself.”
-Lucy-

Elfen Lied boleh disimpulkan kepada empat perkataan; seksi, ganas, romantik dan tragik. Dan aku boleh isytiharkan tanpa ragu-ragu yang Elfen Lied adalah salah satu anime kegemaran aku. Untuk bercakap tentang Elfen Lied tak sah kalau aku tak sentuh dulu lagu temanya berjudul Liliam yang power macam Mahathir.

Lilium yang dinyanyikan dalam bahasa Latin, menggerakkan Elfen Lied seperti California Dreamin’ menggerakkan Chungking Express. Tapi berbanding California Dreamin’ yang hanya menghidupkan mood romantik (sebab ia filem romantik), Liliam muncul dalam pelbagai versi dan berjaya menyokong pelbagai kombinasi mood dalam Elfen Lied dengan penuh intensiti.

John Keat pernah tulis ‘heard melodies are sweet, but unheard melodies are sweeter’. Macam itulah ibarat Lilium kepada Elfen Lied. Melodinya melantunkan emosi tertentu ke hati kita dengan nyaring. Emosi yang mungkin hilang tak lama selepas kita habis menonton Elfen Lied dan kita mungkin tak berjumpa emosi yang sama selepas itu. Bila aku fikirkan, tak ada yang fenomenal sangat tentang Elfen Lied, baik dari segi plot, watak, perwatakan dan animasi. Cuma elemen yang biasa-biasa ini diangkat dengan berkesan.

Elfen Lied memfokuskan kepada spesis mutan yang dinamakan Diclonius yang dikurung di sebuah pusat penyelidikan rahsia. Diclonius dilabel sebagai spesis yang mempunyai dorongan membunuh yang kuat. Fizikal mereka sama seperti manusia biasa kecuali mereka ada dua tanduk comel (yang kelihatan macam telinga kucing berbanding tanduk) dan beberapa tangan halimunan dipanggil vectors yang boleh memenggal, membelah dan memotong badan manusia macam  pisau memotong timun. Di samping itu, vectors juga boleh menahan peluru dari menembusi tubuh Diclonius dan mengangkat objek sebesar bot laju dengan selamba.  Justeru, Diclonius disifatkan sebagai mesin membunuh paling afdal.

Kisah bermula apabila Lucy, ‘ratu’ segala Diclonius, yakni satu-satunya Diclonius yang mampu beranak berjaya meloloskan diri dari pusat penyelidikan. Ketika melarikan diri, kepalanya tercedera lalu memunculkan alter ego yang berkarakter macam budak umur 2 tahun. Dia terdampar di pantai Kamakura dan dijumpai oleh pasangan sepupu, Kohta dan Yuka yang membawa Lucy pulang untuk tinggal bersama mereka. Nyu, begitulah nama yang diberikan Kohta dan Yuka kepada Lucy, kerana itu saja perkataan yang disebutnya. Tanduk comel di kepala Nyu mengingatkan Kohta kepada sejarah yang samar-samar dari ingatannya. Ternyata Nyu amat mesra dengan Kohta, seakan mereka sudah kenal lama, Kohta juga merasakan yang sama.

Organisasi yang menjalankan penyelidikan ke atas Lucy menghantar grup gerak khas dan dua Diclonius lain untuk menjejak Lucy. Ternyata Kamakura tak lagi seperti dulu, ada kasih yang disimpul, ada cinta yang terputus, ada memori gelap yang diselak, dan darah bakal memancut dan bersimbahan.

Elfen Lied tak menagih perhatian penonton dengan plot yang kompleks dan canggih, dan kita juga tak menghargai sesebuah naratif hanya kerana semata-mata ia kompleks dan canggih. Macam Noel Carroll sebut, naratif yang baik harus berupaya ‘to tell stories, express emotions, and trigger ideas’. Bagi aku Elfen Lied berjaya menggondol  tiga fungsi ini dengan baik.

Tak dinafikan plot Elfen Lied banyak unsur-unsur ‘kebetulan’, juga elemen yang tak koheren (yang kalau tak difikirkan sangat memang tak beri masalah kepada jalan cerita), seolah-olah penulisnya malas untuk fikirkan perkembangan plot yang lebih dinamik. Antaranya kenapa organisasi yang memburu Lucy, malah pengawal di pusat penyelidikan terbabit, masih menggunakan peluru biasa untuk membunuhnya, sedangkan ketika episod pertama lagi kita diberitahu ada peluru tertentu yang boleh mencederakan spesis Diclonius (peluru yang sama juga mencederakan kepala Lucy).

Ibarat kau tahu Magneto boleh manipulasi segala elemen besi dan logam, tapi kau masih guna senjata biasa untuk tangkapnya dan selepas itu kurung pulak dia dalam penjara besi. Kadang-kadang persoalan begini boleh mengganggu kepala hotak aku, bukan kerana aku cerewet, tapi ia menggangu konsistensi dan koherensi plot. Tapi entah kenapa dengan Elfen Lied ia jadi elemen-elemen trivia yang tak releven dibangkitkan. Membangkitkannya umpama membangkitkan soal hukum fizik light saber dalam Star Wars. Mungkin ini misteri naratologi yang tak dapat dijelaskan sepenuhnya di sini. Kita cerita di post yang lain.

Selalunya kita lebih menghargai plot yang ringkas (ringkas bukan bermaksud mudah atau selekeh) berbanding plot yang berbelit-belit tapi emosinya masih tersangkut di tahap yang sama dan tak menjanjikan kepuasan yang sepadan dengan pengalaman kita mengikuti plot tersebut. Plot berbelit-belit bagi aku selalunya lebih banyak melayan kesedaran kognitif dan intelek berbanding melayan emosi. Tapi bagi aku kerja menonton yang berkesan lebih banyak menusuk jiwa dari menyentuh akal, yakni lebih banyak beri kesan emosional berbanding intelektual. Bukan maksudnya akal tak mainkan peranan langsung. Akal (wajib) berfungsi dalam proses menghadam struktur naratif (hukum sebab-akibat, rantaian plot, motivasi, reaksi, justifikasi), dan ada naratif yang menawarkan kepuasan kepada kita pada tahap ini. Tapi efek yang lebih berbekas ialah sama ada kepuasan akal itu turut mencetuskan kesan yang besar kepada jiwa atau emosi kita.

Malah bila menonton plot berbelit-belit pun kau sebenarnya mahukan sebuah kepuasan emosi, sebuah peRASAan (atau kepuasan) bahawa cerita kau tonton membuatkan kau nampak bijak atau rasa bijak (atau menaikkan graf kebijaksanaan kau). Ketika tonton cerita misteri/ penyiasatan pun jarang kita ambil peduli dengan segala clue atau pembayang yang didedahkan kepada kita.

Justeru, kita marah kalau awal-awal lagi kita sudah tau endingnya, siapa yang bunuh, siapa punya angkara dan sebagainya. Sepatutnya kita teruja kerana berjaya selesaikan misteri sebelum filem tamat. Tapi sebaliknya tak, kerana filem yang mudah sebegitu (pada anggapan kita) tak memenuhi kepuasan intelek kita (kononnya). Ironinya, kalau terlampau berbelit-belit sampai susah nak faham pun kita marah juga!

Macam tengok persembahan silap mata, kita bukan tengok sebagai manusia yang nak menyiasat trick silap mata, tapi sebagai manusia yang sedia untuk ditipu oleh aksi silap mata tersebut. Kenikmatan menontonnya hanya datang dari situ. Dari sebuah perasaan dan emosi seorang spectator bukan investigator. Macam ditulis Stenberg,“No ignorance, no conflict; and no conflict, no plot.” Maksudnya makin sikit yang kau tahu, makin seronok kau layan sesebuah naratif.

Episod-episod awal Elfen Lied kelihatan seperti anime aksi dan romantik yang lain. Ibarat kisah boy meets girl, jatuh cinta, muncul konflik, datang peleraian, akhirnya boy and girl lived happily ever after. Memang ini asas dalam mana-mana plot romantik tapi macam aku cakap Elfen Lied tak hanya berkisarkan tema romantik yang baku. Ia bijak menghubungkan emosi romantik itu dengan emosi-emosi lain melalui jalinan plot yang ringkas tapi mantap.

Endingnya pun tak klise, penuh simbolik dan antara ending terbaik aku pernah tonton dalam anime. Personaliti Lucy yang femme fatale pula memang menarik tapi keletah Nyu sebagai alter ego Lucy kadang-kadang nampak menjengkelkan. Tapi kau perlu melayannya sampai ke hujung episod supaya ramuan cerita, emosi dan idea yang berjaya kita kumpulkan di episod awal dapat menggelegak ke takat didih yang berpatutan.

Sebagai Nyu, karakter Lucy memang mendatar, tapi kita takkan ambil masa yang lama untuk bersimpati dengannya, terutamanya bila personaliti Lucy kembali mengambil alih. Setiap watak dalam Elfen Lied menyimpan sejarah pahit yang diadun dalam konflik yang mudah menarik kita untuk memahami karakterisasi mereka. Mereka ada sisi baik dan buruk yang terkadang buat kita rasa benci dan marah, tapi pada ketika yang lain buat kita bersimpati dan sedih. Elfen Lied bijak menyusun plot dengan berkesan, membina perwatakan setiap wataknya dengan lancar, malah momentum konfliknya dibina dengan baik.

Contohnya kita dapat merasakan suasana aman serta selamat di rumah Kohta dan Yuka. Ia ibarat kubu yang melindungi watak-watak dari elemen kejahatan. Dan kita merasakan ancaman yang merbahaya bila mereka keluar dari rumah itu. Mood yang kontras tapi berkesan ini dibantu juga oleh pelukisan watak-watak yang secocok dengan pembangunan plot itu sendiri.

Elemen aksinya buat aku terpaku dan mengingatkan aku kepada filem Lady Snowblood dan Ichi, cuma dengan lebih banyak darah yang memancut dan anggota badan yang terkoyak. Keganasan dalam Elfen Lied memang sangat grafik dan menonjol, kepala dipenggal, badan terpotong dan darah memercik adalah senario biasa dalam Elfen Lied. Malah dalam opening scene pun kita sudah dihadapkan dengan perempuan bogel yang mengoyakkan tubuh manusia tanpa belas kasihan. Antara opening scene anime yang akan aku ingat sampai bila-bila.

Kalau kau lemah semangat (atau kuat syahwat) aku harap kau juga boleh bersabar dengan imej perempuan bogel dan lain-lain konotasi erotik yang ditonjolkan dalam anime ini. Walaupun ia tak menjolok mata kita untuk melayannya dengan rasa berahi, tapi aku rasa adegan-adegan begini tak perlu langsung dimasukkan. Setiap elemen memang cukup perasa dan perencah seadanya kecuali adegan separa porno yang aku sebut tadi yang bagi aku memang terlebih masuk. Tapi ia tak melarikan fokus, energi dan emosi kita. Kita melompat dari satu bingkai mood ke satu bingkai mood dengan tenang. Ia bukan rojak emosi yang caca merba tapi sebuah ekstasi yang tersusun dan lancar.

Bolehkah cinta dan kasih sayang subur dalam dunia yang penuh prejudis, diskriminasi dan dendam? Atau adakah cinta dan kasih sayang itu sendiri yang bakal melahirkan prejudis, diskriminasi dan dendam? Elfen Lied mempertanyakan persoalan paradoks ini. Dan adakah sifat kerendahan hati yang sering  kita pinggirkan, yakni kemaafan, mampu mendamaikan dua paradoks ini. Bak petikan lirik Liliam, “Blessed is the man that endureth temptation. For when he is tried, he shall receive the crown of life”.



4. PARANOIA AGENT



You musn’t run away from reality. Ad hoc relief is nothing but an illusion”.
- Mitsuhiro Maniwa -

Paranoia Agent ialah sebuah komentar sosial yang dibungkus dengan elemen satira paling hyper. Mungkin juga boleh dianggap sebuah tragikomedi yang sangat postmodern sentuhannya. Ia menyentuh tentang society of the spectacles, simulacrum, eskapisme, topeng personaliti, konsumerisme dan kecanduan masyarakat kepada elemen-elemen trivia dan superfisial.

Paranoia Agent berkisah tentang Tsukiko Sagi, seorang pencipta pop icon bernama Maromi (bayangkan versi anjing untuk Hello Kitty) yang menerima tekanan dari majikan dan rakan sejawatnya untuk mencipta karakter baru yang mampu menyaingi populariti Maromi. Satu malam, selepas berjalan pulang dari kerja, dia diserang. Dua detektif, Keiichi Ikari dan Mitsuhiro Maniwa ditugaskan untuk menyiasat kes serangan ini. Sagi tak nampak wajah orang yang menyerangnya. Dia cuma nampak penyerang tersebut ialah seorang remaja berseluar pendek, pakai cap dengan pemukul baseball dan rollerblade berwarna emas.

Maniwa pada mulanya meragui keterangan yang diberikan Sagi, menganggap Sagi sengaja mencari jalan untuk lari dari tekanan yang diterimanya. Kita juga merasakan yang sama kerana pada momen lain kita nampak Sagi boleh pulak bersembang dengan watak kartun ciptaannya. Tapi kes ini semakin rumit apabila jumlah mangsa penyerang misteri ini - yang kini dipopularkan di media dengan nama Shounen Bat - semakin bertambah. Kes ini juga mula menunjukkan corak tersendiri; Sagi dan mangsa kedua (wartawan hiburan) kenal antara satu sama lain, begitu juga mangsa ketiga kenal dengan mangsa keempat dan mangsa keempat kenal dengan mangsa kelima. Dan yang lebik pelik, sebelum diserang, semua mangsa Shounen Bat mengalami depresi dan serangan Shounen Bat telah mengubah hidup mereka ke arah yang lebih positif.

Pada ketika tertentu kita juga akan meragui kewujudan Shounen Bat, tapi dia akhirnya berjaya ditangkap. Masalahnya dia cuma mengaku bertanggungjawab untuk dua serangan saja. Jadi, apa kejadahnya yang sedang berlaku? Adakah corak kes ini berjaya mengacu kepada penyelesaian yang muktamad?

Muktamad bukan perkataan yang sesuai untuk mencirikan Paranoia Agent. Pada ketika kau sibuk menekuni anime ini sebagai naskah misteri yang tulen, kau akan tiba pada episod yang akan membuatkan kau berbisik (atau menjerit) “apa kejadah punya cerita ni?”. Kau akan mula persoalkan apa yang kau faham dan hadam dari anime ini sejak mula. Setelah itu kau akan sedar anime ini tak lagi memilih pendekatan foreplay yang sentimental, tapi ia akan merogol otak kau dengan sadis. Kalau tak sabar memang kau tak mampu layan sampai habis.

Paranoia Agent memilih pendekatan yang surreal dan postmoden, dengan multi-plot dan multi-perspektif dalam plot yang non-linear. Anime ini meneroka secara sinikal apa yang kita maksudkan dengan realiti dan fantasi (atau hyper-reality), antara fakta dan mitos, antara kewarasan dan kegilaan, antara high culture dan pop culture. Paranoia Agent berjaya melukiskan budaya postmoden dengan penuh sinikal dan ironi. Ia menyindir polis yang korup, ia menyindir budaya popular, ia menyindir media massa, malah ia menyindir produksi anime itu sendiri.

Ia memparodikan self-delusion yang dipilih masyarakat, yang membawa mereka ke dunia fantasi dan mitologi (dengan turunnya messiah yang akan menyelesaikan masalah dunia secara ekspress), semata-mata sebagai eskapisme dari kesakitan yang tak pernah diperiksa akar masalahnya. Ia membuka mata kita tentang bagaimana kegilaan individu menjadi kegilaan kolektif masyarakat, dan voila! Kini kegilaan individu bertukar jadi kewarasan yang dikongsi bersama.

Ada tiga episod filler yang sangat menarik. Dan ketiga-tiganya masih berkait dengan Shounen Bat. Salah satu yang paling aku suka ialah ialah sesi gossip dan mengumpat empat orang suri rumah. Memang kelakar dan gelap. Episod itu saja seolah-olah sebuah rumusan untuk Paranoia Agent. Ia buat aku terfikir dua perkara: Berapa banyak penipuan yang kita kutip tanpa semakan untuk dihadam sebagai sebuah kebenaran dan; Berapa banyak pula masa yang kita laburkan kemudiannya untuk menyemak penipuan siapakah yang lebih menghampiri kebenaran?

Animasinya terbaik, suara pelakonnya real dan bervariasi, wataknya nampak ‘hidup’ dan eksentrik, plotnya kreatif dan lain dari yang lain. Bagi mereka yang mahu sesuatu yang mencabar, mahu mencari anime yang memaknakan kreativiti pada piawaian yang tinggi, Paranoia Agent adalah jawapannya. Seperti kata Satoshi Kon, Paranoia Agent memang bukan realiti, tapi kebenaran.



5. ANOHANA: THE FLOWER WE SAW THAT DAY



Sediakan tisu, minuman, snek, nasi, lauk pauk dan sebagainya. Kau akan layan anime ini secara marathon. Dan tisu bukan untuk kesat mulut, tapi untuk sapu air mata yang akan mengalir di pipi kau, walaupun kau jantan paling 3 line dalam dunia. Antara kelima-lima anime yang aku senaraikan, Anohana hukumnya fardhu ain untuk kau tonton. Aku pun dah malas nak tulis, tapi percayalah, untuk Anohana, kalau aku tulis pun, ia penuh dengan puji-pujian yang melangit. Next post kita sembang pasal Anohana lebih panjang.



Sunday, September 6, 2015

Dari Humanisme Ke Nihilisme: Gerhana Etika Sekular

Oleh Magnus Bradshaw

Soalannya bukan lagi seperti ditanyakan Dostoevsky “bolehkan manusia bertamadun jadi beriman?” Sebaliknya “bolehkah manusia tak beriman jadi bertamadun?”
-Philip Rieff-

Dalam usaha memperdalam pemahaman kita tentang kedudukan Islam dalam dunia kontemporari, penting untuk kita membezakan antara etika Islam dan etika sekular. Etika sekular hari ini berkait rapat dengan perspektif humanisme sekular – ‘penolakan agama untuk berpihak kepada kepercayaan bahawa kemajuan manusia dapat dicapai dengan usaha manusia itu sendiri’. Walaupun Muslim melihat autoriti moral berpunca dari Tuhan, humanis sekular melihat moraliti bersifat intrinsik dalam diri manusia itu sendiri. Autoriti moral yang tertanam di dalam  diri manusia, kata mereka, memberikan asas yang cukup untuk kita menegakkan hukum dan peraturan bagi kita meneruskan kelangsungan tamadun manusia.

Walaupun Islam mengakui fakulti rasional dan fakulti spiritual manusia mampu memberikan kesedaran moral yang intrinsik, tapi jelas manusia amat memerlukan panduan moral dan mereka akan – baik secara individu mahu pun kolektif – terjerumus ke kancah kemusnahan tanpa cahaya iman dan ketundukan kepada bimbingan Ilahi yang mengalir dari iman tersebut. Bagi mereka yang kufur, al-Quran menjelaskan yang ia adalah kondisi kejahilan dan kegelapan spiritual, yakni kesan moral dan sosial yang ketara dalam korupsi dan ketidakadilan ketika zaman pra-Islam Arab. Terdapat analogi yang hampir sama antara zaman tersebut dan zaman kita, sekurang-kurangnya jika unsur humanisme sekular dan ateisme diambil kira.

Dalam penerangan yang berikutnya, saya akan fokuskan kepada kebimbangan terhadap isu keruntuhan moral yang begitu ketara hari ini dan mengambil kira kritikan terhadap beberapa nilai humanisme sekular yang popular. Daripada menyampaikan perpsektif Islam tentang isu moral, fokus tulisan ini lebih kepada perbezaan asas antara etika agama dan etika sekular. Hakikatnya ialah sarjana bukan Islam telah mencapai kesimpulan tentang kerumitan etika kontemporari, kesimpulan yang sebenarnya dikongsi oleh ramai Muslim sekian lama.


Simptom Kejatuhan

Pengkritik sekularisme biasanya melihat ada hubungan antara sekularisasi masyarakat dan keruntuhan moral. Pada tahun 1948 pengarang Amerika, Richard Weaver menyebutkan bahawa “Ada sebab yang kukuh untuk mengisytiharkan yang manusia moden telah menjadi si bebal moral….kita menghampiri kondisi di mana kita bakal menjadi manusia tanpa ukuran moral dengan ketakupayaan kita untuk menyedarinya dan kita dilaknat tanpa jalan untuk mengukur berapa dalam keruntuhan kita”. Bagi Weaver, masalah ini dikaitkan dengan penafian terhadap elemen transenden, di mana dia menyamakannya sebagai penafian terhadap kebenaran itu sendiri.

Kata Weaver, jika tanggapan humanis bahawa “manusia adalah pengukur segala benda” harus menjadi penanda aras moral manusia, akhirnya yang muncul darinya ialah relativisme moral yang merosakkan, di mana antara simptom yang muncul adalah kelemahan dalam sentimen dan hubungan manusia, hilangnya kemampuan untuk mengenal kelucahan, egosime, narsisisme dan fitrah manusia. Terkini dalam After Virtue, sebuah naskah hebat yang membincangkan masalah etika kontemporari, Alasdair MacIntyre menyebut yang Barat telah mengidap sengsara ‘malapetaka moral’: “Kita telah – kebanyakannya kalau pun bukan semua – hilang pemahaman kita – baik teori dan praktikal – tentang moraliti.”

Sebenarnya kesinambungan budaya moral Barat telah dikoyak dan tak ada lagi konsensus yang wujud sehingga akhir-akhir ini. MacIntyre membuktikan yang masyarakat Barat kontemporari kurang kriteria moral yang boleh dipersetujui bersama: ‘persoalan tentang adakah kebaikan yang diukur berdasarkan pertimbangan moral tertentu betul atau salah tak mempunyai jawapan yang tuntas’.

Ahli sosiologi, James Davison Hunter menyatakan yang ‘kebenaran’ telah digantikan oleh ‘nilai-nilai’, yakni ‘kebenaran yang telah dilucutkan kekuatan karakternya. Ia kini menggantikan wahyu, sebuah keperluan yang kini dibubarkan ke dalam pelbagai kemungkinan…Perkataan ‘nilai’ itu sendiri menandakan perlucutan kebenaran kepada utiliti, taboo kepada fungsi, keyakinan kepada kecenderungan, semuanya sementara, semuanya boleh ditukar….kesakralan jelas hilang’. Semua perkembangan ini berlaku dalam konteks kebangkitan individualisme moral, kemerosotan institusi yang membenteng moraliti dan peremehan terhadap soal taqwa di mana soal rasa bersalah dan penilaian moral menjadi taboo yang pantang diusik.


Kekaburan Enlightenment

Bagi humanisme sekular, akal adalah fakulti manusia yang paling asas dan justeru ia menjadi dasar penting kepada sebarang pendekatan berkenaan etika. Namun dalam perspektif Islam, akal dilihat sebagai alat, bukan sebagai cara yang sepenuhnya lengkap untuk mencapai kesimpulan moral yang mutlak, seperti yang disebut Weaver, ‘Akal sendiri gagal menjustifikasikan dirinya. Bukan tanpa sebab syaitan digelar raja segala peguam, dan bukan satu kebetulan penjahat-penjahat Shakespeare adalah mereka yang pintar. Jika disposisi itu salah, akal menambahkan kecelakaan. Jika betul akal menggalakkan kebaikan.’ Namun begitu, usaha untuk mencari prinsip moraliti rasional yang boleh diaplikasikan secara universal adalah penting dalam etika sekular moden. Kedua-dua Immanuel Kant dan sang utilitarian, Jeremy Bentham dan John Stuart Mill cuba mencari prinsip tersebut, prinsip yang autoritinya takkan boleh dipersoalkan oleh manusia yang rasional.

Tapi paradoksnya, akal membawa mereka kepada kesimpulan yang bercanggah, dan terbukti tak berdaya menyediakan garis pandangan yang neutral untuk sebarang keputusan dibuat dari perspektif moral dan tuntutan masing-masing yang memang berbeza. Teori deontologikal Kant dan pendekatan teleologikal utilitarianisme kedua-duanya jauh terpesong – selain dari kelemahan intrinsik mereka – disebabkan kebergantungan mereka kepada andaian Enlightenment tentang peranan akal di dalam etika yang kini dilihat antara lain oleh MacIntyre dan John Gray sebagai usang.

Mereka mengatakan yang percubaan untuk menyediakan tapak rasional semata-mata dalam mencapai objektif moraliti akhirnya akan mengacu kepada asas yang tak rasional yang jika diperiksa semula hanyalah sekadar kumpulan-kumpulan andaian dan keutamaan yang dikongsi kelompok tertentu. Ramai sekularis kini mengakui yang akal semata-mata tak dapat menyediakan asas yang cukup untuk menjustifikasikan moraliti, dan tak ada sebab untuk menganut moraliti yang boleh dijustifikasikan atau terpaksa diakui oleh manusia yang rasional.

Satu lagi masalah tentang teori universal berasaskan akal ini ialah tak semua pemikir sekular menganggap akal dapat membuktikan teori tersebut. David Hume sebagai contoh melihat akal sepatutnya menjadi hamba nafsu dan bukan tuannya, manakala rasionalisme mengabaikan fakta – agama dan psikologi moden jelas bersepakat dalam hal ini – bahawa terdapat satu aspek dalam diri manusia yang tak pernah dan takkan jadi rasional, dan aspek ketakrasionalan ini memainkan peranan yang penting dalam hidup manusia. Oleh itu apabila usaha mengejar prinsip abstrak seperti peranan atau kebahagiaan majoriti bercanggah dengan nafsu egoistik kita, percayalah nafsu akan sentiasa menang, kerana secara praktikalnya prinsip abstrak itu tak dapat menggenggam keinginan manusia dengan kuat apatah lagi untuk menimbulkan kepatuhan atau ketakutan.

Percubaan meletakkan akal di atas kepentingan diri juga mengabaikan fakta kita tak boleh melayan semua manusia dengan adil tanpa sekelumit prejudis, oleh itu mungkin lebih rasional, dari perspektif sekular tulen, untuk memuaskan keinginan kita seefektif yang mungkin; seperti disebutkan Roger Scruton, ‘ianya sifat soleh dan bukan akal yang menanamkan kepada kita rasa hormat kepada dunia, untuk setiap masa lalu dan masa depan, yang menghalang kita dari merampas segala-segalanya sebelum cahaya kesedaran kita gagal berfungsi.’

Banyak nilai moral lama Enlightenment sebenarnya diwarisi - dalam bentuk yang telah ditukar – dari agama Kristian. Walaupun begitu, ramai masyarakat liberal moden kemudiannya berusaha untuk membebaskan diri dari tradisi moral yang dilihat zalim dan ketinggalan zaman dengan memilih untuk beriman dengan prinsip universal yang disepakati ramai. Walau bagaimanapun, MacIntyre berhujah bahawa projek pencerahan yang mahu mencari justifikasi moraliti yang rasional dan kemajuan yang rasional melalui nilai liberal telah gagal, mengakibatkan relativisme dan apa yang disifatkan Gray sebagai ‘keadaan postmoden dengan perspektif yang patah dan amalan yang tak ada asas’, yang seterusnya menolak konsep Enlightenment tentang nalar. Postmodenisme, berakar dari kritikan Friedrich Nietzsche terhadap Enlightenment, menekankan kepelbagaian perspektif yang tak punya penyatuan atau sebarang asas objektif, kerana semua nilai adalah soal perspektif dan dalam dunia ini tak ada titik pandangan yang neutral.

Dari perspektif postmoden, liberalisme, jauh dari menyediakan satu set prinsip moral yang universal, ternyata hanya satu lagi pandangan alam yang tertakluk kepada satu unsur kesejarahan manusia, yakni sama terdedah kepada pusaran puting beliung relativisme moral. Enlightenment akhirnya merendahkan dirinya kerana kaedah pengetahuannya yang rasional tanpa belas kasihan telah mendedahkan kelemahan prinsip asasnya sendiri sehingga ia tidak dapat bertahan dalam jangka masa panjang.

Tamatnya projek Enlightenment ini menurut Gray, telah menjejaskan banyak asas dalam tradisi Barat, yang mungkin tak dapat diperbaharui, tapi ditakdirkan untuk kejatuhan yang tak mungkin bangkit semula. Dengan akal mengenepikan nilai-nilai lain, kata Gray, Enlightenment mewariskan kepada kita dunia yang ‘asing kepada manusia dengan hidup tanpa tujuan yang merosakkan…ia tak memunculkan sesuatu yang menyerupai sebuah tamadun baru….tapi sebaliknya nihilisme.’


Kemajuan Yang Merosot

‘Kemajuan bukan satu kemalangan, tapi keperluan. Sesungguhnya kejahatan dan kesumbangan mesti hilang; sesungguhnya manusia mesti jadi sempurna’.
-Herbert Spencer-

Menurut Robert Nisbet dalam History of the Idea of Progress, ‘tak ada idea yang lebih penting daripada, atau mungkin sama penting dengan, idea kemajuan dalam tamadun Barat selama hampir tiga ribu tahun’. Walaupun malapetaka abad ke-20 menyedar dan membetulkan kita dari harapan tersebut, kecenderungan untuk melihat sejarah sebagai sebuah proses kenaikan yang beransur-ansur menuju matlamat utopia masih kekal kini, malah kita boleh mengesannya di kalangan liberal sekular kontemporari yang dengan bangganya menggelar diri mereka sebagai ‘progressivists’.

Buku berpengaruh Francis Fukuyama, The End of History and the Last Man meluahkan kepercayaan yang dikongsi ramai manusia, yakni ‘kapitalisme demokratik global’ ialah sistem sosio-politik yang muktamad. Kepercayaan bahawa dengan mengembangkan pengetahuan, kemanusiaan mampu membentuk semula dunia, menghapuskan kelaparan, kemiskinan dan kezaliman, kini dikaitkan dengan promosi sedunia tentang demokrasi – bahawa ia wajib dimunculkan dengan kekuatan senjata jika perlu.

Seperti yang dihujahkan oleh Gray, ‘kemerosotan agama Kristian dan kebangkitan revolusi utopianisme bergerak seiring. Apabila agama Kristian ditolak, harapan eskatologi itu tak hilang, sebaliknya muncul semula sebagai projek emansipasi universal’.

Namun di zaman kita, ideal progresif itu perlu mendepani kekasaran realiti seperti krisis ekonomi dan ekologi, penambahan senjata pemusnah besar-besaran dan perjuangan mendapatkan sumber yang semakin berkurangan. Abad ke-20 memberi tamparan yang hebat kepada harapan yang politik boleh menjadi medium pembebasan. Visi distopia George Orwell melalui 1984 dan Aldous Huxley melalui Brave New World nampak lebih munasabah untuk jadi kenyataan berbanding mana-mana kepercayaan utopia.

Gray menyebut yang pseudo-agama yang bernama Sains telah menggantikan politik sebagai  medium aspirasi progresif, dengan ‘fundamentalis saintifik’ menjanjikan ‘jalan keselamatan’ melalui teknologi dan penghapusan penyakit, kemiskinan dan kematian. Sambil menafikan tanggapan ini tak masuk akal, Gray walaupun seorang atheis, berhujah bahawa kepercayaan Kristian yang pengetahuan manusia boleh membawa kedua-dua kesan positif dan negatif lebih mendekati kebenaran berbanding kepercayaan naif terhadap kemajuan tanpa batasan.

Beliau berhujah manusia keseluruhannya bukanlah sepenuhnya rasional atau mengalami peningkatan moral secara bertahap.  Sejarah kejam abad ke 20 membuktikan kenyataan ini sama sekali palsu. Hakikat bahawa sains dan teknologi sentiasa ada manfaat dan mudarat akibat dari ketaksempurnaan manusia kerap diabaikan:

Kemajuan dan pembunuhan beramai-ramai berjalan seiring. Sebagaimana jumlah yang mati kerana kelaparan dan wabak menurun, begitulah jumlah yang mati kerana keganasan meningkat. Sebagaimana sains dan teknologi semakin maju, begitulah juga teknik membunuh. Sebagaimana harapan untuk dunia yang lebih baik berkembang, begitu juga pembunuhan beramai-ramai…Tak ada ruang yang banyak untuk kebenaran yang menunjukkan bahawa masalah kita tak dapat diselesaikan. Sedangkan dulu agama menjadikan kita bertolak-ansur dengan fakta yang janggal ini, tapi sekarang ia langsung tak disebut.’

Masalah untuk humanis sekular ialah idea kemajuan dan peningkatan moral manusia seolah-olah semakin jelas tak rasional dan semakin bertentangan dengan akal. Pokok percanggahan golongan progresif ini ialah untuk melihat manusia sebagai seekor haiwan yang dipacu oleh kepentingan biologi dan juga untuk mempercayai yang manusia boleh berjaya dalam projek rasional untuk menambah baik dunia.

Mengambil kira perspektif Darwin, Gray menegaskan ‘pandangan dunia yang benar-benar naturalistik tak meninggalkan sebarang ruang untuk harapan sekular’, lagipun Darwinisme sendiri tak meletakkan mekanisme teleologikal yang mungkin membawa kepada peningkatan kualitatif - apatah lagi kesempurnaan - hidup manusia. Namun tanggapan bahawa ada aspek dalam sifat manusia yang tuli terhadap nalar dan pemulihan mungkin tak dapat diterima oleh mentaliti progresif. Jadi bagaimana keyakinan yang gigih terhadap elemen progresif ini mahu dijelaskan? Gray mencadangkan sebab keyakinan ini terus dipertahankan:

Bagi lelaki dan wanita hari ini, kepercayaan yang tak rasional kepada kemajuan mungkin satu-satunya penawar kepada nihilisme….Mereka mempercayainya bukan atas kepercayaan yang disabitkan atas justifikasi yang kukuh tapi dari rasa takut terhadap kekosongan yang mengancam jika harapan untuk masa depan yang lebih baik dibiar begitu saja. Kepercayaan terhadap kemajuan adalah Prozac bagi kelas pemikir.’

Humanisme sekular mendapati dirinya terpaksa memilih percanggahan tuntutan di antara akal dan sentimen, di antara konsep kuasi-agama yang seolah-olah semakin tak masuk akal dan ‘realisme’ saintifik yang terus dihantui jembalang nihilisme. Namun begitu, dengan dunia Barat kontemporari terkoyak di antara kecemerlangan dan keraguan diri yang mendalam, idea kemajuan mungkin terus kekal, walaupun dalam bentuk yang berbeza, seperti yang disebutkan Philip Rieff ada idea yang boleh membodek imej kendiri kita: ‘Kita percaya kita tahu sesuatu yang nenek moyang kita tak tahu, kita percaya yang kita boleh hidup bebas akhirnya, kita percaya kita mampu menikmati semua deria inderawi kita –kecuali kesedaran masa lalu – dan menikmati hidup sebagai manusia barbarik yang pelupa, jujur dan mesra dalam sebuah syurga teknologi.’


Moraliti Psikologikal

‘Psikologi moden telah mengembangkan sempadan ketakbertanggungjawaban: mereka perlukan lebih banyak ruang dalam bidang ini’.
-Karl Krauss-

Menurut pandangan yang muktabar dalam bidang sains sosial, manusia kontemporari telah dikarakterkan sebagai ‘manusia psikologikal’, dikaitkan dengan modeniti dan ketakpercayaan berbanding budaya tradisional dan kepercayaan agama. Dengan mencari makna di dalam ruang peribadi dan psikologi berbanding di dalam domain sosial,  ‘manusia psikologikal’ ditandakan dengan kecenderungan ke arah alienation dan narsisisme; atau, seperti yang diluahkan Philip Rieff, ‘manusia beragama lahir untuk diselamatkan, manusia psikologikal lahir untuk dipuji’.

Ditanam dengan apa yang disifatkan Richard Weaver sebagai ‘kebimbangan psikik yang mendalam, kelaziman neurosis yang luar biasa, yang membuatkan zaman kita unik’, sikap manusia psikologikal di dalam ruang moral adalah individualisme. Menyedari yang manusia psikologikal muncul seiring dengan mendadaknya sekularisasi, Peter Hormans menyebut yang ‘psikologi muncul berterusan seiring dengan penurunan kuasa agama…hubungan yang dapat dilihat di antara dua fenomena ini: psikologi ialah ‘agama halimunan’ manusia moden.’

Dalam konteks inilah etos terapeutik, dengan ‘paderi sekular’ yang lunak dan tak menghukum telah menggunakan wilayah makna dan moraliti yang dulu tertakluk di dalam naungan agama. Perkembangan manusia psikologikal sudah tentu serentak dengan kecenderungan yang tinggi untuk mempersoalkan, dan selalu juga untuk menolak sumber tradisional autoriti moral. Jika dulu Tuhan secara tradisinya dianggap sebagai kuasa moral yang mutlak, dengan institusi sosial yang bertindak sebagai perantara kuasa tersebut, kini  penekanan diberikan kepada individu dan pilihan peribadi. Menurut Paul Vitz dalam Psychology as Religion: The Cult of Self-Worship, psikologi humanistik yang dibawa Abraham Maslow, Carl Rogers dan lain-lain telah menggantikan konsep moral dengan usaha mencapai pemenuhan diri, seterusnya memainkan peranan yang besar dalam kerosakan moral di Barat.

Dalam kajian terbarunya tentang pendidikan moral  di Amerika, The Death of Character: Moral Education in an Age Without Good or Evil, James Davison Hunter melihat yang psikologi moden telah berjaya menggantikan perkataan ‘karakter’, dengan segala konotasi dan implikasi etikanya, dengan perkataan yang lebih ‘neutral’ yakni ‘personaliti’.  Daripada moraliti, kita kini ada nilai, yang ‘tak lebih sekadar sentimen…sebuah ekspresi kecenderungan individu’. Tambahan pula menurut Hunter, ‘berdasarkan penekanannya kepada proses terapeutik, strategi psikologi cenderung untuk menolak  idea (selalunya dengan nada sinis) bahawa ada agenda moral yang perlu kita sampaikan kepada generasi kemudian. Sebaliknya, dengan penekanannya kepada perasaan individu dan sikap benci kepada kod moral tradisional, ‘etos terapeutik mewujudkan logik moral  yang berakar dalam usaha kepuasan nafsu’.

Selalu dikaitkan dengan pengaruh unsur psikologi yang semakin meningkat ialah kecenderungan anti-autoritarian yang amat memusuhi pemahaman pedagogi tradisional dan penyampaian nilai moral. Berikutan trauma Nazisme, pemikir seperti Theodore Adorno dan Erich Fromm yang kuat dipengaruhi pandangan Marx dan Freud, telah berusaha untuk mengurangkan risiko masyarakat massa dari dipengaruhi manipulasi kuasa jahat. Daripada membezakan kuasa yang sah dan tak sah, bagaimanapun solusi mereka adalah untuk melemahkan autoriti secara umum – dengan pengecualian kepada diri mereka sendiri – baik di dalam undang-undang, keluarga atau kelas. Bagi pemikir anti-autoritarian seperti Rousseau, ‘manusia dilahirkan bebas tapi di mana-mana pun mereka dirantai’. Persoalan siapa yang mulanya mencipta rantai tersebut tak pernah pula mereka fikirkan.


Soal Kebebasan

Di sebalik setiap pemikiran yang bengkok di situ ada molekul yang bengkok
-Roy Fuller-

Adakah manusia bebas membuat pilihan moral dan bertindak mengikutnya, atau mereka ditentukan oleh kuasa di luar kawalan mereka? Memang jelas tanpa kehendak bebas (free will), pengertian tentang karakter, kemahuan dan hati nurani, kebaikan dan kejahatan akan hilang pemaknaannya. Jalan yang paling munasabah bagi humanis sekular dalam soal ini adalah mengalah kepada autoriti sains, yang mungkin sudah pasti menyokong determinisme. David Berlinski mengatakan jika fikiran manusia adalah sebuah ekspresi  gen, determinisme adalah kemestian yang logik. Terdapat juga percanggahan di antara kepercayaan kehendak bebas dan psikologi evolusi seperti dicadangkan oleh Steve Pinker atau Richard Dawkins di dalam The Selfish Gene.

Namun seperti yang disebutkan Berlinski, kedua-dua Pinker dan Dawkins memilih untuk mengabaikan kesan yang jelas deterministik dalam tulisan mereka. Masalahnya ialah apa yang dinyatakan sains mungkin tak sesuai dengan cara fikir dan cara manusia menjalani kehidupan di mana akhirnya saintis yang paling reduksionis pun tak mampu melakukan apa-apa dan hanya mengalah begitu saja. Tapi determinisme membentangkan kesulitan yang lebih serius, seperti yang ditegaskan Anthony O’Hear, jika hidup sudah ditentukan maka rasionaliti kita sebenarnya tertanam di lubuk sebuah kuasa yang non-rasional. Hasil kajian saintifik yang didorong rasionaliti akhirnya menundukkan rasionaliti itu sendiri.

Implikasi moral dari determinisme adalah jelas dalam hubungannya yang intim dengan psikologi dan kecenderungannya untuk melihat penjenayah sebagai mangsa kecacatan fizikal, sosial dan psikologikal yang tak berdaya. Dalam One Nation Under Therapy, Christina Hoff Sommers dan Sally Satel merujuk fenomena ini sebagai ‘the abuse excuse’, manakala Frank Furedi menulis dalam Therapy Culture yang ‘pengalaman traumatik telah ditukar kepada penjelasan multi-fungsi untuk semua bentuk jenayah dan kelakuan anti-sosial. Psikologi moden cenderung melihat manusia ditentukan oleh motif tak sedar atau trauma; seperti disebutkan Sommers dan Satel, ‘pendokong therapisme…tak selesa dengan terma tanggungjawab peribadi’.

Konsep jenayah semakin digantikan dengan gangguan psikologi yang membawa seseorang kepada ‘pilihan yang buruk’ atau ‘tingkah laku yang tak sesuai’. Konsep ‘jahat’ dan ‘rasa bersalah’ dilihat secara meluas sebagai pertimbangan yang bersifat menghukum dan tak toleran, dan idea tentang dosa digantikan dengan tanggapan deterministik yang merendahkan tanggungjawab moral. Psikologis humanistik seperti Carl Rogers menyokong  usaha ‘penerimaan total’ terhadap pesakit, kerana  mereka yang melakukan kesalahan dilihat sebagai pesakit yang kurang pencapaian diri serta memerlukan terapi dan bukan hukuman.

Keadaan semakin membimbangkan menurut Gertrude Himmelfarb di mana ‘prinsip moral yang kini dilihat penilaian moral dianggap seolah-olah kesedaran intelektual yang memalukan, lebih teruk lagi dianggap sebagai tak liberal dan sebuah aturan yang menindas’.

Dalam Life at the Bottom, sebuah kajian masyarakat kelas bawahan British berdasarkan pengalamannya sebagai psikiatris penjara, Theodore Dalrymple mengatakan tanggapan yang manusia tak mempunyai tanggungjawab individu untuk tindakan yang mereka lakukan kini diterima dengan meluas dengan kesan moral dan sosial yang buruk. ‘Matlamat berjuta manusia ialah untuk bebas berbuat apa yang mereka inginkan dan orang lain harus dipertanggungjawabkan jika tindakan tersebut salah’.

Dalrymple mengatakan di UK sebuah sosial determinisme yang dipengaruhi Marxist kini semakin diterima pakai, di mana dikhutbahkan bahawa kesedaran kita ditentukan oleh status sosial dan kemiskinan menghalalkan jenayah. Dia melihat trend ini disokong oleh ahli terapi dan pekerja sosial yang mungkin mempunyai kepentingan dalam melihat orang yang melakukan jenayah atau orang yang tak bertanggungjawab sebagai mangsa pasif yang tak berdaya dan memerlukan pertolongan mereka.

Begitu juga menurut sosiologis Alan Wolfe, ‘Amerika telah masuk ke era baru di mana kebaikan dan kejahatan ditakrifkan semula dari segi wacana kesihatan awam dan ketagihan’. Dalrymple turut mencatatkan peningkatan penggunaan istilah ‘addiction’ dan ‘addictive personality’ untuk menutup kelakuan berhibur yang berbahaya terutamanya berkaitan dengan jenayah, dadah, makanan dan seks. Ini telah membuat ramai orang hilang kesedaran tentang disiplin dan kawalan diri dan digantikan dengan tanggapan bahawa semua kelakuan tersebut adalah satu bentuk penyakit yang pelakunya tak mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan langsung. Tanggapan bahawa manusia tak bertanggungjawab atas tindakan mereka digalakkan oleh worldview terapeutik yang melihat penjenayah dan penagih sebagai tak berdaya dan perlu dilayan seperti kanak-kanak atau seperti manusia yang lemah dan sentiasa bergantung kepada manusia lain, yakni kurang kawalan atas kehidupan mereka sendiri.


Evolusi dan Materialisme

‘Idea bahawa manusia telah dikurniakan kuasa dan harta yang mustahil ditemui  di alam binatang – atau alam semesta, setakat yang kita tahu – muncul dari keperluan yang mudah: Tengok sekeliling kita’.
-David Berlinski-

Jika ada satu kepercayaan yang boleh menyatukan semua humanis, ia adalah teori evolusi Charles Darwin. Ia memainkan peranan berharga sebagai kubu untuk menentang kepercayaan agama, dan dengan koloborasinya dengan idea kemajuan ia bertindak sebagai pengganti agama. Namun sudah diketahui ramai yang Darwinisme - dalam perkataan yang sopan - mempunyai sejarah moral yang bermasalah. Dalam kajian terbarunya, From Darwin to Hitler: Evolutionary Ethics, Eugenics and Racism in Germany, Richard Weikert mengkaji kesan teori Darwin dalam Nazi Jerman. Doktrin Darwinisme Sosial yang diperkenalkan Herbert Spencer telah menggunapakai konsep Darwin tentang survival of the fittest ke alam manusia, dan biologis seperti Ernst Haeckel  telah menyimpulkan dari sini yang persaingan antara spesis bertukar menjadi pertarungan antara kaum dalam domain manusia: ‘jurang antara fikiran yang bernas dari manusia bertamadun dengan fikiran yang hampa dari manusia liar berjiwa binatang adalah sangat luas – lebih luas dari jurang yang memisahkan kumpulan kedua dengan nyawa seekor anjing’.

Walaupun sudah tentu Darwin tak boleh dipersalahkan akibat perkembangan yang berlaku kemudiannya, tapi Darwinisme terutamanya Darwinisme sosial dan eugenik telah membekalkan dorongan yang penting kepada Nazi yang melihat pembunuhan beramai-ramai pada skala industri boleh menjadi sumbangan morak yang terpuji dalam kemajuan manusia. Pandangan begini tak harus dilihat sebagai pandangan terpencil kerana sokongan kepada eugenik* sebelum Perang Dunia Kedua adalah fenomena yang boleh diperhatikan di British, Amerika dan juga Jerman. (*Eugenik: sebuah gerakan pseudo-sains yang cuba menghasilkan ‘manusia pilihan’ atau ‘kaum pilihan’ melalui eksperimentasi genetik).

Masalah moral untuk humanis sekular adalah  jika tak ada yang sakral dalam kehidupan manusia, jika kita hanyalah haiwan dengan struktur otak yang lebih kompleks dengan tak ada langsung nilai kualitatif yang membezakan kita dengan saudara kita, yakni binatang-binatang yang lain, refleksi sebegini  mungkin berbaloi dipertimbangkan semula.

Menurut perpsektif neo-Darwinian yang cuba menjelaskan setiap tingkah laku manusia dari segi evolusi, kelihatannya tingkah laku tak pentingkan diri sendiri atau altruistik sebenarnya didorong oleh kecenderungan genetik atau reproduktif. Ianya jelas, jika semua moraliti, termasuk altruisme didorong oleh kepentingan diri, maka egosime adalah penjelasan yang logik dan pengorbanan diri jadi satu yang tak masuk akal. Seperti yang dicadangkan Keith Ward, pandangan biologikal tentang moraliti menjadikan sifat marah, mengikut hawa nafsu, iri hati, kesombongan dan sebagainya sebagai sifat semula jadi manusia.

Dalam usaha mengelakkan pandangan yang sinikal terhadap sifat alamiah manusia yang muncul dari pemerhatian sebegitu, Michael Ruse menegaskan bahawa ‘tak dapat dipersoalkan lagi yang kita licik merancang sesuatu untuk kepentingan diri dan kemudiannya berpura-pura menjadi budiman. Sebaliknya kita jadi lebih baik jika kita ditipu oleh biologi kita sendiri….kita jadi moral kerana gen kita, seperti yang dibentuk oleh natural selection, mengisi fikiran-fikiran kita tentang menjadi manusia moral’.

Persoalan yang timbul di sini adalah sama ada penipuan diri sendiri (self-deception) adalah asas yang kukuh untuk moraliti berbanding kelicikan kerana jika kita mampu melihat melalui penipuan diri maka kelicikan adalah kaedah yang lebih logik. Setelah membuat kenyataan yang luar biasa, ‘Tak ada langsung apa yang disebut asas etika…moraliti hanyalah tak lebih daripada ilusi kolektif yang dipaksakan ke atas kita oleh gen kita untuk matlamat reproduktif’ – sebuah kenyataan yang membayangkan nihilisme moral, Ruse mengakui yang ‘fakta mudahnya ialah kita mengiktiraf moraliti tak lebih dari epiphenomenon dari biologi kita, kita akan berhenti percaya kepadanya dan bertindak kerananya’. Justeru, Ruse menjelaskan, biologi perlu mencari jalan untuk memastikan manusia percaya yang moraliti adalah sebuah kebenaran objektif, walaupun sebenarnya ia hanya ilusi.

Walau bagaimanapun, jika moraliti adalah mekanisme sosial tanpa asas yang objektif atau hanya sebuah mekanisme yang membolehkan replikasi gen, maka adalah tak rasional untuk kita patuh kepadanya apabila ia bercanggah dengan kepentingan diri sendiri, apatah lagi untuk mengenakan kepercayaan yang sama ke atas orang lain kerana jelas ia satu penipuan. Seperti yang disebutkan Keith Ward, pandangan begini adalah resipi terbaik untuk anarki moral, kerana kalau moraliti disandarkan pada pragmatisme dan dikekalkan sekadar untuk aplikasi sosial, ia pastinya dilihat mempunyai asas dalam realiti, jika tidak kuasanya untuk memaksa kita pasti akan dikurangkan secara dramatik kalaupun tak dihapuskan terus.

Terdapat banyak keengganan, walaupun di antara pendokongnya sendiri, untuk menerima implikasi dari pandangan alam yang ditawarkan evolusi, pandangan subversifnya yang mendalam tentang tanggapan manusia terhadap dirinya, makna dan moraliti. Daniel Dennett menyifatkan Darwinisme sebagai ‘asid universal’ yang menghakis setiap kepercayaan tradisional tentang sifat manusia yang tak selaras dengan materialisme. Namun, hanya segelintir humanis yang menerima untuk melihat manusia sebagai binatang semata-mata, kerana John Gray sebut, ‘Darwin kata manusia seperti haiwan-haiwan lain, humanis mendakwa mereka bukan haiwan’.

Malah saintis juga terbukti tak kebal dari ketakselarasan ini; lihat saja fakta yang mencurigakan apabila Ruse dan Dawkins yang melihat moraliti tak mempunya asas, tapi akhirnya beriman dengan nilai moral liberal. Ward berhujah bahawa, ‘Apa yang moralis biologi benar-benar lakukan adalah untuk menanamkan cita-cita moral mereka ke atas proses evolusi, berbanding  seperti yang didakwa mereka, mendapatkan idea moral dari proses evolusi itu sendiri.’

Seperti yang kita lihat, Enlightenment dan etika sekular yang muncul darinya adalah berdasarkan tanggapan theistik tentang keunikan manusia. Darwinisme, teutamanya neo-Darwinisme meremehkan soal ini dengan memberitahu kita tak ada sifat alamiah manusia yang kekal, yang ada hanyalah situasi saling pengaruh mempengaruhi di antara gen dan persekitaran. Akal dianggap mempunyai asal usul yang tak rasional di dalam esensi manusia yang sentiasa berorientasikan semangat survival. Malah konsep kebenaran dan akal dilemahkan, ia sekadar jadi mekanisme biologikal untuk proses replikasi gen (walaupun ironinya akal sendiri yang menghasilkan penemuan ini).

Justeru menurut Ward, ‘apabila moralis biologikal sebut yang moraliti hanyalah sebuah set corak kelakuan yang ditekapkan pada diri manusia dan pada masa yang sama mencadangkan agar kita perlu mendepani dan menerimanya kerana ianya kebenaran, sebenarnya mereka mengeluarkan kenyataan yang bercanggah’. Tambahan pula kalau moraliti berkembang dan terus berkembang, maka perkembangannya adalah relatif, kerana evolusi bermaksud perubahan dan ia tak boleh dijadikan asas yang objektif untuk piawaian moral. Kita kemudiannya tak dapat membandingkan sebuah set nilai moral dengan set nilai moral yang lain kerana apa yang dulu dianggap jahat kini dianggap baik.

Mana-mana moraliti yang diasaskan kepada prinsip evolusi seharusnya bersifat relatif terhadap tahap perkembangan evolusi yang memunculkannya kerana tahap itu sendiri adalah sebahagian dari perubahan yang berterusan (flux) tanpa titik rujukan.

Dalam Moral Darwinism: How We Became Hedonist, Benjamin Wiker menyebutkan bahawa perbezaan mendasar dalam pemikiran Barat adalah antara pemahaman theistik tentang alam semesta yang mempunyai tujuan dan dicipta oleh kuasa tertinggi, dan pandangan materialistik yang mengatakan hidup terdiri dari proses material yang tak bermakna. Wiker mengatakan menurut Epicurus semua yang wujud adalah jirim yang bergerak dan ‘tak ada tindakan yang secara intrinsiknya jahat kerana alam sendiri tak bermoral. Kerana manusia itu sendiri adalah kelompok atom yang beragam dan bertindak secara rawak dan tak ada satu penyatuan yang boleh kita sandarkan untuk mendapatkan penilaian moral’.

Epicurus melihat kehidupan yang baik tak serasi dengan kepercayaan kepada Tuhan dan keabadian roh, kerana hari akhirat meletakkan halangan untuk kita meneruskan hidup dan menimbulkan rasa bimbang yang merencatkan kenikmatan hidup. Bagi Epicurus, baik dan jahat sinonim dengan keseronokan dan kesakitan, justeru kebahagiaan meminta kebebasan tanpa gangguan dan batasan.

Wiker menjejak sejarah materialisme dari Epicurus kepada Darwin dan mengesahkan yang suasana kontemporari di Barat menandakan kemunculan semula materialisme dari etika Kristian. Sebagai contoh Wiker menganggap penolakan Peter Singer terhadap kemurnian hidup berdasarkan pendiriannya yang manusia tak jauh berbeza dengan binatang, sama juga percubaan Alfred Kinsey untuk menormalisasikan praktis nafsu haiwani dan pedofilia, sebagai lanjutan dari perspektif materialis dan Epicurean.

Berdasarkan perkembangan ini dan kemungkinan yang ia mungkin berterusan di masa akan datang, Wiker menyebut: ‘kita boleh penggil fenomena ini hukum tolak ansur moral; apa yang dianggap barbarik dan tak dapat dibayangkan semalam, dianggap boleh diterima di bawah kondisi darurat hari ini, dan dianggap sebahagian daripada unsur masyarakat bertamadun dan kita mungkin tak dapat hidup tanpanya esok’.

Materialisme bukanlah falsafah yang dimanifestasikan terus dari toleransi Epicurean. Kita tak boleh memandang enteng pengaruh Marquis de Sade dalam menyifatkan kejahatan manusia dan ekstremiti manusia. Sade dalam banyak keadaan boleh disebut mewakili sisi gelap Enlightenment. Dia menolak untuk percaya kepada unsur roh manusia dan membandingkan  manusia dengan mesin, malah dia menegaskan yang hati nurani manusia sendiri mempunyai asal yang bersifat material dan moraliti hanyalah satu pragmatisme sosial. Kerana kebebasan adalah ilusi, kita dijustifikasikan untuk berbuat jahat kerana kita tak ada pilihan selain melakukannya, tak ada apa yang dinamakan tanggungjawab moral dan konsep jenayah tak membawa apa-apa maksud. Kita menghuni dunia yang tak ada pemaknaan yang mutlak selain hidup untuk berseronok.

Berdasarkan logik proto-Darwinian yang dipegang Sade, hidup tanpa moral dengan hanya kecenderungan instiktual yang mengatur alam menjustifikasikan egoisme radikal, penyiksaan, pembunuhan dan kesongsangan seksual yang ekstrem seperti yang dinukilkan dalam tulisannya: ‘tanamkan dalam diri kau bahawasanya kau punya kedaulatan mutlak atas dunia yang sujud di kaki kau, bahawa kau punya hak tertinggi yang tak boleh dicabar untuk mengubah, memotong, memusnahkan, membinasakan setiap dan semua makhluk yang kau suka…’

Dalam banyak keadaan Sade mendahului zamannya, individualisme radikalnya yang mencabul dan kebenciannya kepada kekudusan menjadikan Sade lambang pemikir moden. Seperti disebutkan John Phillips, tulisan Sade ‘mengangkat logik materialisme atheistik kepada kesimpulan tertinggi.’ Bahkan kesimpulan tersebut harus dilihat sebagai penerokaan worldview materialisme yang konsisten dan logikal untuk mencabar humanisme sekular.


Merenung ke Jurang Terdalam

Kepada atheis saintifik, idea kuno ‘homo homini lupus’ – manusia adalah serigala kepada manusia lain – membuatkan kepala mereka bergoncang seperti anjing yang kebingungan’.
-David Berlinski-

Dalam surat tahun 1878, novelis Rusia Fyodor Dostoevsky menulis:

Sekarang bayangkan Tuhan tak wujud, begitu juga keabadian roh tak wujud. Sekarang beritahu aku jika aku mati di dunia dan takkan dibangkitkan semula nanti, adakah aku patut hidup di dunia dengan baik dan berbuat kebajikan?…..Dan kalau benarlah semuanya, kenapa aku tak patut sembelih manusia lain, merompak dan mencuri (selagi aku boleh menggunakan kepintaran dan ketangkasan aku untuk mengelakkan diri dari dihukum)?’

Cabaran Dostoevsky yang selalu difrasakan semula dengan kenyataan ‘kalau Tuhan sudah mati, semua dibenarkan’, mencadangkan yang kalau pun atheist mahu memilih untuk tunduk kepada prinsip moral tertentu mereka sebenarnya tak terikat oleh prinsip tersebut. Dalam dunia tak bertuhan yang kosong dari perhitungan eskatologi, Dostoevsky mencadangkan takkan ada autoriti mutlak yang boleh memaksa moraliti dan semua perkara tak lagi boleh dinilai dalam bentuk ‘baik’ dan ‘jahat’ seperti sebelumnya.

Malah sesuatu tak boleh jadi nilai moral hanya kerana seseorang memberitahu kita ia harus jadi sumber moral. Untuk menjadikannya efektif, untuk menjauhkannya dari nafsu dan keinginan manusia yang berbolak balik, ia mesti diRASAkan yang ia sememangnya benar dalam bentuknya yang objektif. Sumber nilai moral psikologikal dan sosial hanya mampu menahan bolak balik tersebut pada tahap jika ia dilihat berakar dari sumber nilai yang objektif, dan ia jadi lemah pada tahap manusia sedar bahawa ia adalah sebaliknya.

Dalam ketakhadiran Tuhan, humanisme bukan satu-satunya alternatif kerana nihilisme juga calon yang setanding untuk mengisi kekosongan tersebut. Bagi mendefinisikan terma ini, kita perlu membezakan di antara nihilisme eksistensial, yakni kepercayaan yang hidup ini tak bernilai dan tak bermakna, dan kemudian rasa putus harapan dan kekosongan yang muncul darinya, dari nihilisme etika, yakni pendapat yang moraliti adalah bersandarkan pandangan subjektif berbanding fakta objektif, bahawa ianya adalah sekadar ciptaan manusia yang membolehkan kita mengendalikan kehidupan dalam dunia yang tak bermakna.

Nihilisme juga menyimpan pandangan tersirat bahawa persoalan utama dalam hidup tak dapat dijawab, kalau pun ia mampu ditanya, kerana dunia tak menyimpan kebenaran mutlak. Pada nihilisme, humanisme adalah himpunan nilai yang diekstrak dari agama dan sekadar pengoalahan ilusi yang menyenangkan manusia. Malah nihilisme kelihatannya dalam banyak jalan ialah refleksi jujur terhadap humanisme sekular yang dibawa saintifik kontemporari – atau lebih tepat scientistic weltanschauung yang dibawa oleh Richard Dawkins yang katanya ‘alam yang kita cerap adalah bertepatan dengan sifat yang kita jangkakan jika di dasarnya tak ada rancangan, tak ada tujuan, tak ada kebaikan dan tak ada kejahatan, tak ada apa-apa selain ketakacuhan’.

Barangkali kita terpaksa mencari keamanan di ruang peribadi. Tapi mungkin juga mustahil, kalau pandangan Francis Crik kita pandang serius, ‘kau, kegembiraan kau dan kesedihan kau, memori kau dan cita-cita kau, identiti peribadi kau dan kehendak bebas kau, sebenarnya tak lebih dari tindak balas sekumpulan sel saraf yang besar dan molekul-molekul yang bersekutu dengannya…kau tak lebih dari segerombolan neuron’. Jarang disimpulkan yang worldview reduksionisme saintifik mempunyai banyak persamaan dengan nihilis bahkan punya banyak persamaan dengan psikopat. Melihat kenyataan ini, agak pelik apabila Dawkins dan konco-konconya melihat tak wujud kepincangan langsung dalam keimanan mereka kepada pemikiran advencer sains dan sekular konvensional serta ketakjuban mereka pada spectacle dan penampakan lahiriah alam.

Nihilisme adalah satu kesan logikal, bukan saja dari saintisme yang tak manusiawi, tapi dari relativisme radikal dan penafian posmoden terhadap kebenaran objektif, termasuk kebenaran etika. Louis Pojman memetik rakaman perbualan di antara pembunuh bersiri Ted Bundy – seorang peguam terlatih – dengan salah seorang mangsanya dalam usaha Bundy menjustifikasikan jenayah yang dilakukannya. Argumen Bundy menyuluh cahaya yang mengganggu ke atas wilayah gelap di mana relativisme dan nihilisme berkumpul.

Kemudian saya sedar semua penilaian moraliti adalah “penilaian nilai” dan semua penilaian nilai adalah subjektif, dan tak ada yang boleh dibuktikan sama ada “betul” atau “salah”. Saya juga pernah baca yang Ketua Hakim Amerika pernah tulis yang Perlembagaan Amerika meluahkan tak lebih dari penilaian sebuah moral kolektif. Percayalah saya sudah jumpa –apa yang jelas tak dijumpai Ketua Hakim – yakni kalaulah rasionaliti satu penilaian moral bernilai sifar. Maka menggandakannya dengan sejuta takkan menjadikannya 1 kali lebih rasional.

Juga tak ada sebab untuk seseorang patuh pada undang-undang, orang macam saya, yang punya keberanian dan kegagahan, kekuatan karakter untuk membuang segala rantai yang membelenggu…..Saya sedar untuk jadi bebas sebenar-benarnya, untuk melepaskan diri dari rantai sepenuh-penuhnya, saya harus jadi manusia tanpa sekatan seluas-luasnya. Dan saya cepat sedar bahawa penghalang terbesar kepada kebebasan dan limitasi saya, terkandung dalam penilaian moral yang rapuh yakni saya disuruh menghormati hak manusia lain.

Saya bertanya diri saya sendiri, siapa ‘manusia lain’? Manusia lain, dengan hak asasi manusia? Kenapa bunuh seekor binatang bernama manusia dikira lebih bersalah dari bunuh binatang lain, seekor babi, seekor kambing atau seekor lembu? Adakah hidup kau lebih bernilai kepada diri kau  tapi hidup seekor babi tak bernilai kepada babi itu sendiri?Kenapa saya harus mengorbankan keseronokan saya untuk satu makhluk berbanding makhluk yang lain?

Sudah tentu dalam era Enlightenment yang saintifik ini kau takkan isytiharkan yang Tuhan atau alam telah memberi tanda yang satu keseronokan sebagai ‘bermoral’ dan ‘baik’ manakala satu keseronokan lagi ‘tak bermoral’ dan ‘jahat’. Itulah kesimpulan yang jujur hasil dari kesimpulan yang saya terima, selepas pemeriksaan yang cermat dari diri saya yang lepas bebas dan spontan.’

Bundy yang pernah baca tulisan Sade, menawarkan cabaran yang serius kepada argumen kontrak sosial yang menjadikan moraliti adalah persoalan yang terhasil dari konsensus dan pragmatisme, malah cabaran juga kepada sebarang cadangan yang asas objektif untuk moraliti boleh wujud untuk humanis sekular. David Berlinski menyimpulkan bahawa ‘Jika kemutlakan moral bukan dari Tuhan, dan kalau ia dalam sisi tertentu bukan bersifat mutlak, justeru apa yang berlaku hanya berkisarkan keputusan-keputusan yang dibuat oleh manusia. Tak ada lagi sumber pengadilan.’


Kesimpulan

Penebukan terhadap peradaban Barat hasil nihilisme sudah sempurna.’
-John Gray-

Adalah amat meragukan jika moraliti sekular tulen yang menolak kuasa ketuhanan yang transenden – di mana ianya tak pernah berlaku dalam tamadun kuno Yunani, Rom dan China – dapat membuktikan dirinya efektif walaupun dalam tempoh tertentu yang signifikan. Malah sehingga kini apabila masyarakat cuba bereksperimen dengan moraliti begini, hasilnya adalah malapetaka seperti disebut John Gray:

Peranan pemikiran humanis dalam membentuk rejim terburuk dalam sejarah abad lalu tak sukar dilihat, tapi ia dinafikan, dibiarkan begitu saja oleh golongan yang kerap membebel tentang jenayah agama. Pembunuhan beramai-ramai pada abad ke-20 bukan dijalankan dalam bentuk Spanish Inquisition versi moden. Ia dilakukan oleh rejim atheis berdasarkan idea kemajuan Enlightenment….hasilnya adalah satu bentuk tirani terbaru dalam sejarah, sebuah jenayah besar-besaran dalam usaha mengejar syurga di dunia.’

Seperti disebutkan Christopher Lasch, demokrasi liberal telah banyak meminjam banyak nilai dari tradisi agama-agama besar; humanisme telah berkembang subur dalam hubungannya yang parasitik dengan tuan yang tak pernah diakuinya, yakni konsep agama tentang makna hidup dan sifat manusia. Bahkan, humanis menyerap nilai-nilai tersebut tanpa menyedari bahawa usahanya meremehkan agama, dalam jangka masa panjang akan merosakkan sendi-sendi prinsip moralnya sendiri. Menurut Friedrich Nietzsche, apabila Kristianiti merosot, konsep moral yang dikaitkan secara intrinsik dengan Kristianiti takkan dapat difahami lagi, walaupun ia muncul seperti: ‘Apabila seseorang tak lagi percaya kepada Kristianiti, dia pada masa yang sama menarik haknya untuk tunduk kepada moraliti Kristian dari kakinya….jatuh atau tegak berdirinya bergantung kepada keimanannya kepada Tuhan.’

Tapi seperti dihujahkan Gray, dalam banyak hal humanisme tak lebih baik dari Kristianiti sekular. Tapi humanisme memijak pemahaman yang mendalam tentang percanggahan sifat manusia dan keterbatasan pengetahuan yang dipelihara dalam tradisi Kristian.

Humanisme hari ini mendapati dirinya dilabel tak koheran oleh sains reduksionis yang jelas tak serasi dengan dirinya, kerana apabila saintis kontemporari yang tak sedar tentang keterbatasan sains itu sendiri mahu kita percaya  yang manusia hanyalah binatang dengan kasta tertinggi, di mana minda mereka hanyalah epifenomena yang ditentukan oleh proses dan hukum fizikal yang sukar ditenangkan dan sentiasa bergolak, humanis yang menerima premis materialistik sains dan meletakkan metodnya di puncak tertinggi, semakin tak mampu menjustifikasikan kepatuhan mereka kepada idea tentang manusia yang unik, tentang akal dan tentang kehendak bebas. Pendirian ini hanya kekal koheren di hati manusia beragama, dan humanis berdepan jalan yang tak konsisten dalam usaha mereka menjustifikasikan bahawa mereka juga menyimpan pendirian yang sama. Seperti disebutkan Gray, ‘apabila dakwaan yang manusia sangat jauh berbeza dengan haiwan lain dicabut dari akar teologikalnya, dakwaan tersebut bukan saja tak boleh dipertahankan, malah sukar difaham dan sukar dihadam.’

Walaubagaimanapun, humanisme akan terus wujud, sekurang-kurangnya sebagai gaya pemikiran untuk tempoh tertentu, kerana ia secara samar-samar merefleksikan doktrin agama tentang keunikan manusia yang sangat berharga untuk moraliti, kalau pun tak, untuk peradaban manusia itu sendiri. Jelas sekali kelaziman yang semakin memuncak tentang kerosakan moral saintisme dan nihilisme seharusnya mencuit keprihatinan mereka – sama ada manusia sekular atau manusia beragama – yang mahu mempertahankan kelangsungan nilai manusia baik dari sisi mana sekalipun. 


p/s: Ini adalah terjemahan bebas tanpa mengikut skema penterjemahan tertentu. Kesilapan dalam penterjemahan tak dapat dielakkan.