Tuesday, September 22, 2015

Anime Yang Kami Tonton

Ini bukan senarai anime terbaik. Ini cuma senarai anime yang aku tonton dan sedikit ulasan mengenainya. Malah untuk aku katakan 5 anime di bawah adalah yang terbaik mungkin agak semberono sebab ada beribu anime di dunia ini dan aku mampu tonton tak sampai 20 anime saja. Mungkin kalau aku rajin senarai ini akan ditambah.

1. MONSTER



People are so strange. Sadness keep fading away and only happy memory remains. People sure have a convenient make up. That’s why we can keep on living.”
- Eva Hienemann-

Monster secara umumnya berkisarkan manusia dan memori mereka. Persolan siapa kita adalah bergantung kepada koleksi memori yang kita simpan sepanjang hidup. Memori mendefinisikan kita. Ada memori yang menyeronokkan, ada yang menyedihkan, ada yang menakutkan. Ada memori yang boleh dilupakan atau dibuang, ada memori yang terus menghantui kita sepanjang hidup.

Tapi memori tak hanya melekat di kepala, ia juga dipotretkan kepada manusia yang kita kenal, ia dikongsi dengan manusia yang pernah bersama dengan kita. Selagi mereka wujud, memori itu juga kekal. Bagaimana cara untuk menghapuskan memori tersebut? Adakah dengan membunuh manusia yang pernah berkongsi memori yang sama? Atau membunuh diri kita sendiri?

Ada beberapa masalah kecil dalam Monster yang menganggu tumpuan aku. Tapi tak dinafikan ia tinggalkan kesan yang berbekas di hati aku kerana jalinan plotnya yang teliti dan canggih berbanding kebiasaan anime lain. Malang bagi Monster, ketelitian dan kecanggihan itu tak menumpu dan tak menghargai konflik yang mendasari dua watak utamanya, Kenzo Tenma dan Johann Liebert. Sebaliknya dalam Monster, aku rasa watak-watak sampingan pula (contohnya watak Eva Hienemann dan Inspektor Heinrich Lunge) yang lebih menonjol permainan emosi dan karakterisasi mereka. Selain dari faktor itu, Monster memang sebuah fenomena.

Monster adalah anime psiko-thriller yang langsung tak mengandungi khurafat fiksyen yang sering dikaitkan dengan anime. Dalam Monster tak ada elemen supernatural, kuasa ajaib, komedi slapstik, gadis bermata bundar yang bertetek besar dan segala mak nenek fanservice yang lain. Monster tak berminat dengan semua itu. Monster ialah serius. Lebih serius dari Zahid Hamidi.

Aku harap ada penerbit yang berminat untuk mengadaptasi Monster ke drama tv (walaupun ada berita ia bakal dirosakkan oleh Hollywood) dan membetulkan semula sendi-sendi plotnya yang longgar akibat kekurangan fokus kepada karakterisasi Tenma dan Johan. Cumanya perlu cari para pelakon berkredibiliti tinggi sebab karakterisasi setiap watak, terutamanya watak-watak utama sangat perlukan penjiwaan yang mendalam.

Dan itulah satu-satunya sebab yang munasabah kenapa Monster perlu diremake semula yang boleh aku fikirkan, yakni dengan sikit pengubahsuaian plot dan karakterisasi yang dilakonkan manusia, semangat naratif Monster pasti lebih hidup. Bukanlah satu kelemahan yang ketara, dan bukan satu masalah yang aku rasa besar pun, tapi animasi Monster kurang ruang untuk menegaskan karakterisasi dan kurang perincian untuk melukiskan riak emosi terdalam watak-watak utamanya. Macam aku cakap watak Eva dan Detektif Lunger pula terasa lebih hidup.

Monster mengisahkan perubahan drastik yang berlaku dalam hidup Kenzo Tenma, pakar bedah otak yang berkhidmat di Jerman, setelah dia menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak bernama Johann Liebert yang di masukkan ke hospital bersama kembarnya Anna. Tenma seorang doktor genius berhati mulia yang tak senang dengan layanan hospital yang mengutamakan kasta sosial dalam keutamaan merawat pesakit. Bagi beliau, semua pesakit (dan manusia) berhak menerima layanan yang adil dan saksama. Semua pesakit punya hak yang sama untuk hidup.

Dengan menyelamatkan Johan, Tenma mengabaikan arahan pengarah hospital yang mahu dia membedah datuk bandar yang tiba lewat berbanding Johann, seterusnya mempertaruhkan statusnya sebagai anak emas (dan bakal menantu) kepada pengarah hospital. Johann berjaya diselamatkan, datuk bandar mampus, Tenma disalahkan. Beliau hilang reputasi dan hilang peluang untuk mengisi jawatan Ketua Jabatan Pembedahan, dan anak pengarah hospital yang berperangai jalang meninggalkannya. Tak lama kemudian pengarah hospital dan dua doktor kanan mati dibunuh, serentak dengan kehilangan kembar Johann dan Anna.

Malang tak berhenti di situ, sebaliknya ia membawa kepada pelbagai urutan pembunuhan lain yang menyebabkan Tenma dimasukkan dalam senarai suspek. Tenma akhirnya sedar beliau telah menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang ditakdirkan muncul sebagai psikopat paling genius, paling berbahaya dan paling misteri dalam sejarah dunia, yakni Johann. Sejak itu bermula kembara vagabond seorang doktor yang berusaha membetulkan kesilapan di samping membersihkan semula namanya. Beliau berkelana sepanjang Jerman, merentas Republik Czech dalam usaha memburu Johann Liebert dan menyiasat bagaimana Johann boleh bermutasi menjadi dalang dalam pembunuhan bersiri paling hebat di Eropah.

Usaha ini tak pernah mudah, ada cerita di sebalik cerita, ada misteri di sebalik misteri, dan Tenma berdepan dengan ramai manusia yang memerlukan pertolongannya dan ramai juga manusia yang cuba menggagalkan usahanya. Berlatarbelakangkan Jerman pasca runtuhnya Tembok Berlin, Monster menghamparkan kondisi sosio-politik yang menarik untuk ditonton. Dan sudah tentu bukan satu kebetulan mengapa latar ini dipilih. Penulisnya, Naoki Urasawa menjadikan latar ini sebagai pemangkin kepada grand design bagi jaringan plot yang mantap.

Dengan jumlah 74 episod, aku ambil masa setahun lebih untuk habiskan Monster. Ya, 74 episod dengan setiap episod berdurasi 20 minit tak menjadikan Monster sebuah anime yang sangat panjang. Secara matematiknya jika dihimpun, durasi keseluruhan Monster adalah 24 jam lebih, maksudnya jika ditonton berterusan kau boleh habiskan Monster dalam masa satu hari lebih. Kalau kau peruntukkan satu episod untuk setiap hari, kau boleh habiskan dalam masa dua bulan setengah lebih kurang. Jadi kenapa ambil masa yang lama untuk habiskan Monster kalau ia sebuah anime psiko-thriller yang hebat?

Baiklah perkara ini perlu dijelaskan dengan baik. Alasan mudahnya ialah - macam aku cakap di awal tadi – ada beberapa masalah pada Monster yang menganggu tumpuan aku. Kalau aku fokus memang aku boleh meratah Monster paling cepat dalam masa dua minggu. Tapi untuk berlaku adil dengan Monster, kerana kenikmatan hasil menontonnya tetap aku rasa, aku akan jelaskan dua faktor yang menyebabkan aku ambil masa yang lama untuk habiskan Monster.

Masalah yang muncul dalam Monster aku rasa mungkin bersifat peribadi, bukan kerana Monster sebuah anime yang tak berkualiti, jauh sekali masalah-masalah itu merendahkan kualitinya.  Dia macam aku tak minat segala aneka bubur – dari bubur kacang ke bubur durian - bukan kerana bubur tak sedap, tapi kerana citarasa lidah aku kurang ghairah kepada benda-benda manis. Tapi lidah kamu pembaca semua berbeza dengan lidah aku. Jadi cuba dulu dan kemudian baru tentukan sama ada kamu suka atau tidak. Dan bagi aku menonton Monster adalah berbaloi walaupun kamu tak suka bubur. Bukankah hilang satu kenikmatan hidup jika kamu tak pernah makan bubur durian?

Faktor pertama, seperti yang kamu semua pembaca tahu, aku ada masalah untuk melayan sesuatu yang memerlukan komitmen yang panjang. Ini bukan masalah psikiatri, tapi fokus aku kepada sesuatu (dalam kes ini anime Monster) selalu diganggu oleh perkara-perkara lain yang menuntut dari aku perhatian yang lebih banyak. Ia tak ada kaitan dengan benda yang aku layan itu best atau tak best.

Anime Eyeshield 21 sebagai contoh, sudah 4 tahun terperap dalam external hard disk. Aku hanya sempat tonton sampai episod 10. Bagi mereka yang sudah tonton Eyeshield 21, kamu pasti tahu ianya sebuah anime yang best. Tapi mengenangkan ia terdiri dari 145 episod, aku berasa macam satu beban yang berat untuk melayan Eyeshield 21 sampai habis sebab aku sendiri tak tahu bila aku mampu habiskannya. Dan bagi aku kepuasan menonton itu ereksinya hanya dapat dicapai jika kita menontonnya tanpa gangguan atau tanpa hela waktu yang panjang. Stimnya jangan dipotong. Kalau boleh teruskan, maka teruskan tanpa henti. Kalau ditangguh-tangguh maklumat yang kita kumpul dan emosi yang kita labur akan hilang ditelan masa.

Faktor kedua, plot Monster bergerak perlahan. Ya, sudahlah panjang slow pulak lagi. Tapi ia tak menjemukan, ketika episod-episod awal, keterujaan tentang misteri yang melingkari Johann masih melekat di kepala aku. Perjalanan plotnya perlahan tapi berkesan. Malangnya di episod-episod pertengahan ia merebak kepada beberapa sub-plot dan memperkenalkan kita kepada watak-watak baru yang buat aku hilang fokus dan hilang keterujaan.  Watak-watak sampingan makin bertambah tapi kemisteriusan Johan tak banyak yang dicungkil. Sebab itu aku berhenti menontonnya untuk jangka masa yang lama. Ia gagal menarik aku untuk ketagih dengan penceritaannya.

Tapi episod-episod ini bukanlah filler. Ia sama ada untuk menguatkan karakter Tenma dan sebagai pengenalan kepada watak Johan itu sendiri atau watak-watak sampingan yang muncul itu bakal mengisi dan memaknakan grand design plot yang lebih besar. Sudah tentu hal ini kau akan sedar setelah kau tonton Monster sampai habis. Aku sendiri hanya tersangkut untuk terus melayan Monster sampai habis setelah tonton episod 40 dan ke atas. Dari situ kita mula nampak sub-plot dan watak-watak sampingan tadi berinteraksi dan berkolaborasi dalam susunan yang teratur. Kesimpulannya ia memang berbaloi ditonton dan endingnya bagi aku memang cerdik dan terbaik. Dan kau hanya mampu faham apatah lagi menghargai ending tersebut jika kau menonton keseluruhan episod Monster.

Masalah utama Monster ialah banyak sangat episod-episod (dan tentunya juga watak-watak) yang terjun ke dalam bingkai naratifnya. Memang tak jadi masalah kalau ia bertujuan menguatkan plot, tapi di sebalik usaha Urasawa untuk menambahkan kompleksiti plot dan kepelbagaian watak-watak dalam Monster, dia telah mengorbankan karakterisasi dua watak utamanya, Tenma dan Johan. Dan yang lebih teruk membuatkan fokus kita berkecamuk dan kepala kita pening dengan plot dasar anime ini.

Kalau diteliti semula, episod-episod tersebut boleh dipadatkan dan watak-watak sampingan kebanyakannya boleh dibuang tanpa mengorbankan plot asal. Aku seolah-olah nampak macam Urasawa tambahkan kompleksiti plot supaya ia nampak kompleks, bukan untuk menguatkan naratif anime. Ibarat kau tambahkan ajinomoto supaya kau rasa ajinomoto dalam masakan kau, bukan untuk sedapkan masakan kau. Jadi akhirnya orang dapat rasa hidangan yang berperisa ajinomoto, bukan hidangan yang sedap, sama dalam Monster, yang kau rasa ialah kompleksiti (yang dihadirkan untuk nampak kompleks) tapi tak menghidupkan naratif anime.

Karakter Tenma mungkin boleh dimaafkan. Sebab dia hero, jadi kemunculannya agak banyak, walaupun karakternya masih lagi mendatar. Tapi Johan, sebagai watak kedua penting, gagal menyerlahkan kegeniusannya sebagai seorang ‘monster’. Kita hanya sedar betapa genius dan manipulatifnya Johan melalui testimoni beberapa pembunuh bersiri lain yang menjadikannya ‘imam muda’ mereka. Memang dalam episod tertentu, ditunjukkan perancangan dan strategi Johan dalam mengumpan mangsanya, tapi perancangan itu bukan hebat sangat, mana-mana pengarah drama bersiri Malaysia pun boleh fikirkan rancangan yang sama. Sekurang-kurangnya aku dambakan sikit kegeniusan ala Light Yagami untuk mencitrakan betapa berbahayanya Johan.

Buku bergambar berjudul ‘The Monster With No Name’ yang ada dalam anime ini memang menarik kisahnya. Ia minimalis, gelap dan seolah merumuskan hasrat setiap monster di dalam diri kita. Dan ya, Monster dirumuskan dengan baik. Itu kelebihan Urasawa di mana dia berjaya memintal segala benang persoalan menjadi kain yang cantik, walaupun bagi aku ada benang yang sepatutnya dia buang supaya kainnya bukan setakat cantik, tapi selesa dipakai.



2. NEON GENESIS EVANGELION



Homeostasis and transistasis. One is force for the status quo, and the other’s a force for change. Anything that contains these two conflicting forces is alive.”
- Ritsuko Akagi –

Aku tak minat dengan mecha anime. Tapi semua orang heboh Neon Genesis Evangelion (NGE) adalah mukjizat yang berjaya mengembalikan semula genre mecha ke landasan baru, malah mendekonstruksi lanskap genre anime itu sendiri. Pujian tinggi melangit begini tak wajar diabaikan. Tambahan lagi judulnya pun kedengaran sangat biblikal. Jadi aku tonton NGE dan ternyata - walaupun taklah  sehebat yang dihebohkan – ia memang anime yang wajib ditonton semua. NGE ibarat naskah filosofikal beranimasi yang layak dijadikan kajian assignment untuk semester pertama mana-mana kelas falsafah.

Latar tahunnya sekarang, 2015. Dikhabarkan (kononnya) 15 tahun dulu berlaku peristiwa yang dipanggil Second Impact di mana dunia dihempap meteor yang meragut kebanyakan populasi bumi. Kini malapetaka baru muncul apabila dunia diserang makhluk digelar Angels. Apabila senjata konvensional tak mampu menumpaskannya, PBB menugaskan sebuah organisasi bernama NERV untuk memainkan peranan menghapuskan makhluk-makhluk ini.

Sebagai solusi, NERV membangunkan robot gergasi bernama Evangelion. Shinji Ikari, Rei Ayanami dan Asuka Langley Soryu, semuanya remaja 14 tahun, ditugaskan untuk menjadi pilot Evangelion. Sedikit demi sedikit ada rahsia dan konspirasi yang didedahkan. Evangelion bukan sekadar robot mekanikal, begitu juga apa yang berlaku 15 tahun dulu bukan rempuhan meteor, dan watak-watak NGE bukan seperti yang kita sangkakan. Segala-galanya diselak ibarat sebuah hikayat eskatologi saintifik.

Tapi keseluruhan jalan cerita NGE ternyata lebih kompleks. Shinji, Rei dan Asuka bukanlah hero berakhlak mulia yang akan memujuk kanak-kanak menangis dengan memberi mereka gula-gula. Mereka adalah hero yang rosak mental. Malah tujuan mereka menjadi pilot Evangelion bukan untuk menyelamatkan dunia tapi untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Mereka bukan spesis hero yang berpegang kepada cogan kata ‘dengan kuasa yang hebat, muncul tanggungjawab yang hebat’. Tanggungjawab adalah perkara terakhir yang mereka fikirkan. Mereka adalah manusia yang mengalami alienation, tekanan, kesunyian dan kekecewaan, yang menggalas tanggungjawab untuk menjadi hero sebagai eskapisme dari masalah yang merantai diri mereka.

Di sini muncul keistimewaan NGE dalam menggaul semua konflik peribadi watak-wataknya untuk dipertentangkan dengan masalah besar yang mendepani mereka. Ya, semua watak-watak penting dalam anime ini bermasalah, dari pilot sampailah kepada kakitangan NERV, ia tentang pergolakan konflik bawah sedar yang membelenggu mereka. Serangan Angels seolah-olah memberi mereka peluang dan harapan untuk meredam masalah-masalah itu, tapi semakin ia dinafikan semakin ia muncul ke permukaan. Ketika mereka bertindak sebagai hero untuk menyelamatkan bumi dari anasir luar, mereka luka dirobek krisis dalaman mereka sendiri.

Shinji contohnya, setiap kali berjaya menumpaskan Angel akan berhadapan dengan dua situasi; sama ada di dalam dilema untuk meneruskan tugasnya sebagai pilot atau tersedar di katil hospital dengan matanya memandang ‘siling yang tak dikenali’. Tak ada perasaan bangga kerana selamatkan dunia, tak ada majlis meraikan kemenangan, tak ada juga upacara menjulang hero ke langit. Yang ada cuma kesakitan dan kekeliruan.

Perjuangan sebenar manusia di dalam NGE bukan untuk melawan Angels tapi melawan diri mereka sendiri. Justeru semakin alien menyerang bumi, semakin parah alienation yang menimpa mereka. Masing-masing hilang punca dalam memaknakan hubungan dengan unsur di luar diri mereka – masyarakat, institusi sosial, negara dan sebagainya - kerana mereka terputus hubungan dengan diri mereka sendiri. Bagaimana untuk memaknakan sebuah perlawanan jika mereka sendiri tak tahu tujuan mereka berlawan?

NGE berkisarkan perhubungan. Dan untuk berhubung adalah untuk menanggung kesakitan. Malah salah satu episodnya berjudul Hedgehog’s Dilemma, konsep yang dicetuskan oleh Schopenhauer sebagai analogi bahawa manusia tak boleh mencipta keintiman dalam hubungan tanpa bersedia menanggung kesakitan dari keintiman tersebut. Kenyataan ini disimbolikkan lebih awal melalui hubungan antara pilot dan robot mereka. Untuk mana-mana pilot synchronize dengan robot mereka adalah untuk bersedia menanggung sakit. Jadi anime ini bukan tentang robot gergasi lawan makhluk asing sangat, tapi lebih kepada perkembangan krisis psikologi watak-wataknya. Dan kerana watak-wataknya NGE akan terus diingati.

Kalau kau tengok, robot Evangelion itu sendiri hodoh dan Angels pula muncul dalam bentuk yang……………senang cakap dalam bahasa XPDC, ntahapahapantah. Ya, dengan bentuk penciptaan begitu Evangelion dan Angels dari satu segi nampak unik, tapi ia takkan boleh (dan takkan mampu) jadi sumber obsesi penonton untuk jangka masa lama. Walaupun tak dinafikan mekanisme bagaimana Evangelion berfungsi dan berinteraksi dengan pilot mereka sangat menarik dan perinciannya boleh dipuji.

NGE menimbulkan tona animasi yang bijak bergaul dengan emosi setiap watak lantas meluahkan gambaran atmosfera yang konsisten dengan naratifnya. Ia tak melankolik, ia tak romantik, ia tak harmoni, ia tak menakutkan. Ia macam sebuah kekosongan yang tak minta diisi dengan apa-apa pun. Bandar Tokyo-3 yang dihuni oleh watak-watak NGE juga nampak tersudut dan terasing, tegak berdiri di antara dua perasaan penghuninya; harapan yang mereka masih mampu teruskan hidup dan kekecewaan yang mungkin mereka sebaiknya mati dari hidup dengan harapan yang menyakitkan.

Elemen psikoanalisis Freud dan dialektik Hegel memang kental dalam NGE dengan Freudian mengisi plot mikro manakala falsafah Hegel membentuk plot makro. Elemen Freudian jelas bersepah-sepah, baik secara langsung melalui pelukisan watak dan perwatakan, atau secara tak langsung melalui simbolisme dan metafora yang digambarkan oleh robot Evangelian dan kehidupan manusia di Tokyo-3. Defence mechanism, oedipal complex, fear of abandonment dan berselerak lagi konsep psikoanalisis dalam anime ini. Menonton NGE ibarat kau menghimpunkan semua pesakit Freud dalam sebuah wad kehidupan.

Kemudian kita jumpa elemen dialektik Hegel yang menjadi motor menggerakkan konsep Geist/ Spirit/ Mind. Hegel adalah ahli falsafah terawal yang membincangkan subjek alienation secara mendalam dan dari perspektif inilah alienation yang menimpa watak-watak NGE cuba ditonjolkan, yakni dari dimensi ontologi manusia. Bagi Hegel, alienation adalah sebuah proses positif dalam usaha spirit menjalani proses self-discovery untuk mencapai tahap ‘menjadi’ (becoming). Ia tentang bagaimana watak-watak NGE bertarung untuk memaknakan eksistensi mereka.

Kau mungkin lebih faham letak duduk dialektik Hegelian ini lepas kau habis tonton NGE, atau lebih tepat selepas kau tonton ending NGE. Elemen Kristianiti dan Gnostik juga banyak ditonjolkan. Adam, Eva, Lilith, Lance of Longinus dan sebagainya. Kau boleh nampak perkaitan yang menarik tapi aku nampak ia lebih sebagai simbolisme dan alegori, bukan sebuah tema yang serius ditonjolkan. Tapi hal ini masih terpulang kepada interpretasi masing-masing.

Ending NGE akan sentiasa diperkatakan dan sentiasa membuka penafsiran selebar-lebarnya dari penonton. Ia bukan sebuah resolusi yang memuaskan hati kita, tapi di sebalik watak-wataknya yang rosak mental itu sekurang-kurangnya ia membuka sikit jendela harapan. Diberitahu kepada kita yang penulisnya, Hideaki Anno terputus bajet untuk menghasilkan ending yang konklusif. Justeru dua episod terakhir NGE ibarat pembentangan falsafah Hegel yang dibuat oleh budak darjah 1 dengan menggunakan Windows Movie Maker.

Sama ada Hideaki seorang genius atau dia cuma bernasib baik, ternyata ia bukan sebuah penamat yang teruk, juga aku tak rasakan ianya terbaik. Tapi bergelumang dengan watak-watak NGE – secara peribadi bagi aku – buat aku semakin menghargai diri aku, hidup aku dan manusia yang aku sayang, walaupun pada awalnya ia menyakitkan. Dan itu buat NGE cantik kerana itulah dialektik kehidupan.



3. ELFEN LIED


When you’re miserable, you need to make someone even more miserable than yourself.”
-Lucy-

Elfen Lied boleh disimpulkan kepada empat perkataan; seksi, ganas, romantik dan tragik. Dan aku boleh isytiharkan tanpa ragu-ragu yang Elfen Lied adalah salah satu anime kegemaran aku. Untuk bercakap tentang Elfen Lied tak sah kalau aku tak sentuh dulu lagu temanya berjudul Liliam yang power macam Mahathir.

Lilium yang dinyanyikan dalam bahasa Latin, menggerakkan Elfen Lied seperti California Dreamin’ menggerakkan Chungking Express. Tapi berbanding California Dreamin’ yang hanya menghidupkan mood romantik (sebab ia filem romantik), Liliam muncul dalam pelbagai versi dan berjaya menyokong pelbagai kombinasi mood dalam Elfen Lied dengan penuh intensiti.

John Keat pernah tulis ‘heard melodies are sweet, but unheard melodies are sweeter’. Macam itulah ibarat Lilium kepada Elfen Lied. Melodinya melantunkan emosi tertentu ke hati kita dengan nyaring. Emosi yang mungkin hilang tak lama selepas kita habis menonton Elfen Lied dan kita mungkin tak berjumpa emosi yang sama selepas itu. Bila aku fikirkan, tak ada yang fenomenal sangat tentang Elfen Lied, baik dari segi plot, watak, perwatakan dan animasi. Cuma elemen yang biasa-biasa ini diangkat dengan berkesan.

Elfen Lied memfokuskan kepada spesis mutan yang dinamakan Diclonius yang dikurung di sebuah pusat penyelidikan rahsia. Diclonius dilabel sebagai spesis yang mempunyai dorongan membunuh yang kuat. Fizikal mereka sama seperti manusia biasa kecuali mereka ada dua tanduk comel (yang kelihatan macam telinga kucing berbanding tanduk) dan beberapa tangan halimunan dipanggil vectors yang boleh memenggal, membelah dan memotong badan manusia macam  pisau memotong timun. Di samping itu, vectors juga boleh menahan peluru dari menembusi tubuh Diclonius dan mengangkat objek sebesar bot laju dengan selamba.  Justeru, Diclonius disifatkan sebagai mesin membunuh paling afdal.

Kisah bermula apabila Lucy, ‘ratu’ segala Diclonius, yakni satu-satunya Diclonius yang mampu beranak berjaya meloloskan diri dari pusat penyelidikan. Ketika melarikan diri, kepalanya tercedera lalu memunculkan alter ego yang berkarakter macam budak umur 2 tahun. Dia terdampar di pantai Kamakura dan dijumpai oleh pasangan sepupu, Kohta dan Yuka yang membawa Lucy pulang untuk tinggal bersama mereka. Nyu, begitulah nama yang diberikan Kohta dan Yuka kepada Lucy, kerana itu saja perkataan yang disebutnya. Tanduk comel di kepala Nyu mengingatkan Kohta kepada sejarah yang samar-samar dari ingatannya. Ternyata Nyu amat mesra dengan Kohta, seakan mereka sudah kenal lama, Kohta juga merasakan yang sama.

Organisasi yang menjalankan penyelidikan ke atas Lucy menghantar grup gerak khas dan dua Diclonius lain untuk menjejak Lucy. Ternyata Kamakura tak lagi seperti dulu, ada kasih yang disimpul, ada cinta yang terputus, ada memori gelap yang diselak, dan darah bakal memancut dan bersimbahan.

Elfen Lied tak menagih perhatian penonton dengan plot yang kompleks dan canggih, dan kita juga tak menghargai sesebuah naratif hanya kerana semata-mata ia kompleks dan canggih. Macam Noel Carroll sebut, naratif yang baik harus berupaya ‘to tell stories, express emotions, and trigger ideas’. Bagi aku Elfen Lied berjaya menggondol  tiga fungsi ini dengan baik.

Tak dinafikan plot Elfen Lied banyak unsur-unsur ‘kebetulan’, juga elemen yang tak koheren (yang kalau tak difikirkan sangat memang tak beri masalah kepada jalan cerita), seolah-olah penulisnya malas untuk fikirkan perkembangan plot yang lebih dinamik. Antaranya kenapa organisasi yang memburu Lucy, malah pengawal di pusat penyelidikan terbabit, masih menggunakan peluru biasa untuk membunuhnya, sedangkan ketika episod pertama lagi kita diberitahu ada peluru tertentu yang boleh mencederakan spesis Diclonius (peluru yang sama juga mencederakan kepala Lucy).

Ibarat kau tahu Magneto boleh manipulasi segala elemen besi dan logam, tapi kau masih guna senjata biasa untuk tangkapnya dan selepas itu kurung pulak dia dalam penjara besi. Kadang-kadang persoalan begini boleh mengganggu kepala hotak aku, bukan kerana aku cerewet, tapi ia menggangu konsistensi dan koherensi plot. Tapi entah kenapa dengan Elfen Lied ia jadi elemen-elemen trivia yang tak releven dibangkitkan. Membangkitkannya umpama membangkitkan soal hukum fizik light saber dalam Star Wars. Mungkin ini misteri naratologi yang tak dapat dijelaskan sepenuhnya di sini. Kita cerita di post yang lain.

Selalunya kita lebih menghargai plot yang ringkas (ringkas bukan bermaksud mudah atau selekeh) berbanding plot yang berbelit-belit tapi emosinya masih tersangkut di tahap yang sama dan tak menjanjikan kepuasan yang sepadan dengan pengalaman kita mengikuti plot tersebut. Plot berbelit-belit bagi aku selalunya lebih banyak melayan kesedaran kognitif dan intelek berbanding melayan emosi. Tapi bagi aku kerja menonton yang berkesan lebih banyak menusuk jiwa dari menyentuh akal, yakni lebih banyak beri kesan emosional berbanding intelektual. Bukan maksudnya akal tak mainkan peranan langsung. Akal (wajib) berfungsi dalam proses menghadam struktur naratif (hukum sebab-akibat, rantaian plot, motivasi, reaksi, justifikasi), dan ada naratif yang menawarkan kepuasan kepada kita pada tahap ini. Tapi efek yang lebih berbekas ialah sama ada kepuasan akal itu turut mencetuskan kesan yang besar kepada jiwa atau emosi kita.

Malah bila menonton plot berbelit-belit pun kau sebenarnya mahukan sebuah kepuasan emosi, sebuah peRASAan (atau kepuasan) bahawa cerita kau tonton membuatkan kau nampak bijak atau rasa bijak (atau menaikkan graf kebijaksanaan kau). Ketika tonton cerita misteri/ penyiasatan pun jarang kita ambil peduli dengan segala clue atau pembayang yang didedahkan kepada kita.

Justeru, kita marah kalau awal-awal lagi kita sudah tau endingnya, siapa yang bunuh, siapa punya angkara dan sebagainya. Sepatutnya kita teruja kerana berjaya selesaikan misteri sebelum filem tamat. Tapi sebaliknya tak, kerana filem yang mudah sebegitu (pada anggapan kita) tak memenuhi kepuasan intelek kita (kononnya). Ironinya, kalau terlampau berbelit-belit sampai susah nak faham pun kita marah juga!

Macam tengok persembahan silap mata, kita bukan tengok sebagai manusia yang nak menyiasat trick silap mata, tapi sebagai manusia yang sedia untuk ditipu oleh aksi silap mata tersebut. Kenikmatan menontonnya hanya datang dari situ. Dari sebuah perasaan dan emosi seorang spectator bukan investigator. Macam ditulis Stenberg,“No ignorance, no conflict; and no conflict, no plot.” Maksudnya makin sikit yang kau tahu, makin seronok kau layan sesebuah naratif.

Episod-episod awal Elfen Lied kelihatan seperti anime aksi dan romantik yang lain. Ibarat kisah boy meets girl, jatuh cinta, muncul konflik, datang peleraian, akhirnya boy and girl lived happily ever after. Memang ini asas dalam mana-mana plot romantik tapi macam aku cakap Elfen Lied tak hanya berkisarkan tema romantik yang baku. Ia bijak menghubungkan emosi romantik itu dengan emosi-emosi lain melalui jalinan plot yang ringkas tapi mantap.

Endingnya pun tak klise, penuh simbolik dan antara ending terbaik aku pernah tonton dalam anime. Personaliti Lucy yang femme fatale pula memang menarik tapi keletah Nyu sebagai alter ego Lucy kadang-kadang nampak menjengkelkan. Tapi kau perlu melayannya sampai ke hujung episod supaya ramuan cerita, emosi dan idea yang berjaya kita kumpulkan di episod awal dapat menggelegak ke takat didih yang berpatutan.

Sebagai Nyu, karakter Lucy memang mendatar, tapi kita takkan ambil masa yang lama untuk bersimpati dengannya, terutamanya bila personaliti Lucy kembali mengambil alih. Setiap watak dalam Elfen Lied menyimpan sejarah pahit yang diadun dalam konflik yang mudah menarik kita untuk memahami karakterisasi mereka. Mereka ada sisi baik dan buruk yang terkadang buat kita rasa benci dan marah, tapi pada ketika yang lain buat kita bersimpati dan sedih. Elfen Lied bijak menyusun plot dengan berkesan, membina perwatakan setiap wataknya dengan lancar, malah momentum konfliknya dibina dengan baik.

Contohnya kita dapat merasakan suasana aman serta selamat di rumah Kohta dan Yuka. Ia ibarat kubu yang melindungi watak-watak dari elemen kejahatan. Dan kita merasakan ancaman yang merbahaya bila mereka keluar dari rumah itu. Mood yang kontras tapi berkesan ini dibantu juga oleh pelukisan watak-watak yang secocok dengan pembangunan plot itu sendiri.

Elemen aksinya buat aku terpaku dan mengingatkan aku kepada filem Lady Snowblood dan Ichi, cuma dengan lebih banyak darah yang memancut dan anggota badan yang terkoyak. Keganasan dalam Elfen Lied memang sangat grafik dan menonjol, kepala dipenggal, badan terpotong dan darah memercik adalah senario biasa dalam Elfen Lied. Malah dalam opening scene pun kita sudah dihadapkan dengan perempuan bogel yang mengoyakkan tubuh manusia tanpa belas kasihan. Antara opening scene anime yang akan aku ingat sampai bila-bila.

Kalau kau lemah semangat (atau kuat syahwat) aku harap kau juga boleh bersabar dengan imej perempuan bogel dan lain-lain konotasi erotik yang ditonjolkan dalam anime ini. Walaupun ia tak menjolok mata kita untuk melayannya dengan rasa berahi, tapi aku rasa adegan-adegan begini tak perlu langsung dimasukkan. Setiap elemen memang cukup perasa dan perencah seadanya kecuali adegan separa porno yang aku sebut tadi yang bagi aku memang terlebih masuk. Tapi ia tak melarikan fokus, energi dan emosi kita. Kita melompat dari satu bingkai mood ke satu bingkai mood dengan tenang. Ia bukan rojak emosi yang caca merba tapi sebuah ekstasi yang tersusun dan lancar.

Bolehkah cinta dan kasih sayang subur dalam dunia yang penuh prejudis, diskriminasi dan dendam? Atau adakah cinta dan kasih sayang itu sendiri yang bakal melahirkan prejudis, diskriminasi dan dendam? Elfen Lied mempertanyakan persoalan paradoks ini. Dan adakah sifat kerendahan hati yang sering  kita pinggirkan, yakni kemaafan, mampu mendamaikan dua paradoks ini. Bak petikan lirik Liliam, “Blessed is the man that endureth temptation. For when he is tried, he shall receive the crown of life”.



4. PARANOIA AGENT



You musn’t run away from reality. Ad hoc relief is nothing but an illusion”.
- Mitsuhiro Maniwa -

Paranoia Agent ialah sebuah komentar sosial yang dibungkus dengan elemen satira paling hyper. Mungkin juga boleh dianggap sebuah tragikomedi yang sangat postmodern sentuhannya. Ia menyentuh tentang society of the spectacles, simulacrum, eskapisme, topeng personaliti, konsumerisme dan kecanduan masyarakat kepada elemen-elemen trivia dan superfisial.

Paranoia Agent berkisah tentang Tsukiko Sagi, seorang pencipta pop icon bernama Maromi (bayangkan versi anjing untuk Hello Kitty) yang menerima tekanan dari majikan dan rakan sejawatnya untuk mencipta karakter baru yang mampu menyaingi populariti Maromi. Satu malam, selepas berjalan pulang dari kerja, dia diserang. Dua detektif, Keiichi Ikari dan Mitsuhiro Maniwa ditugaskan untuk menyiasat kes serangan ini. Sagi tak nampak wajah orang yang menyerangnya. Dia cuma nampak penyerang tersebut ialah seorang remaja berseluar pendek, pakai cap dengan pemukul baseball dan rollerblade berwarna emas.

Maniwa pada mulanya meragui keterangan yang diberikan Sagi, menganggap Sagi sengaja mencari jalan untuk lari dari tekanan yang diterimanya. Kita juga merasakan yang sama kerana pada momen lain kita nampak Sagi boleh pulak bersembang dengan watak kartun ciptaannya. Tapi kes ini semakin rumit apabila jumlah mangsa penyerang misteri ini - yang kini dipopularkan di media dengan nama Shounen Bat - semakin bertambah. Kes ini juga mula menunjukkan corak tersendiri; Sagi dan mangsa kedua (wartawan hiburan) kenal antara satu sama lain, begitu juga mangsa ketiga kenal dengan mangsa keempat dan mangsa keempat kenal dengan mangsa kelima. Dan yang lebik pelik, sebelum diserang, semua mangsa Shounen Bat mengalami depresi dan serangan Shounen Bat telah mengubah hidup mereka ke arah yang lebih positif.

Pada ketika tertentu kita juga akan meragui kewujudan Shounen Bat, tapi dia akhirnya berjaya ditangkap. Masalahnya dia cuma mengaku bertanggungjawab untuk dua serangan saja. Jadi, apa kejadahnya yang sedang berlaku? Adakah corak kes ini berjaya mengacu kepada penyelesaian yang muktamad?

Muktamad bukan perkataan yang sesuai untuk mencirikan Paranoia Agent. Pada ketika kau sibuk menekuni anime ini sebagai naskah misteri yang tulen, kau akan tiba pada episod yang akan membuatkan kau berbisik (atau menjerit) “apa kejadah punya cerita ni?”. Kau akan mula persoalkan apa yang kau faham dan hadam dari anime ini sejak mula. Setelah itu kau akan sedar anime ini tak lagi memilih pendekatan foreplay yang sentimental, tapi ia akan merogol otak kau dengan sadis. Kalau tak sabar memang kau tak mampu layan sampai habis.

Paranoia Agent memilih pendekatan yang surreal dan postmoden, dengan multi-plot dan multi-perspektif dalam plot yang non-linear. Anime ini meneroka secara sinikal apa yang kita maksudkan dengan realiti dan fantasi (atau hyper-reality), antara fakta dan mitos, antara kewarasan dan kegilaan, antara high culture dan pop culture. Paranoia Agent berjaya melukiskan budaya postmoden dengan penuh sinikal dan ironi. Ia menyindir polis yang korup, ia menyindir budaya popular, ia menyindir media massa, malah ia menyindir produksi anime itu sendiri.

Ia memparodikan self-delusion yang dipilih masyarakat, yang membawa mereka ke dunia fantasi dan mitologi (dengan turunnya messiah yang akan menyelesaikan masalah dunia secara ekspress), semata-mata sebagai eskapisme dari kesakitan yang tak pernah diperiksa akar masalahnya. Ia membuka mata kita tentang bagaimana kegilaan individu menjadi kegilaan kolektif masyarakat, dan voila! Kini kegilaan individu bertukar jadi kewarasan yang dikongsi bersama.

Ada tiga episod filler yang sangat menarik. Dan ketiga-tiganya masih berkait dengan Shounen Bat. Salah satu yang paling aku suka ialah ialah sesi gossip dan mengumpat empat orang suri rumah. Memang kelakar dan gelap. Episod itu saja seolah-olah sebuah rumusan untuk Paranoia Agent. Ia buat aku terfikir dua perkara: Berapa banyak penipuan yang kita kutip tanpa semakan untuk dihadam sebagai sebuah kebenaran dan; Berapa banyak pula masa yang kita laburkan kemudiannya untuk menyemak penipuan siapakah yang lebih menghampiri kebenaran?

Animasinya terbaik, suara pelakonnya real dan bervariasi, wataknya nampak ‘hidup’ dan eksentrik, plotnya kreatif dan lain dari yang lain. Bagi mereka yang mahu sesuatu yang mencabar, mahu mencari anime yang memaknakan kreativiti pada piawaian yang tinggi, Paranoia Agent adalah jawapannya. Seperti kata Satoshi Kon, Paranoia Agent memang bukan realiti, tapi kebenaran.



5. ANOHANA: THE FLOWER WE SAW THAT DAY



Sediakan tisu, minuman, snek, nasi, lauk pauk dan sebagainya. Kau akan layan anime ini secara marathon. Dan tisu bukan untuk kesat mulut, tapi untuk sapu air mata yang akan mengalir di pipi kau, walaupun kau jantan paling 3 line dalam dunia. Antara kelima-lima anime yang aku senaraikan, Anohana hukumnya fardhu ain untuk kau tonton. Aku pun dah malas nak tulis, tapi percayalah, untuk Anohana, kalau aku tulis pun, ia penuh dengan puji-pujian yang melangit. Next post kita sembang pasal Anohana lebih panjang.



No comments:

Post a Comment