Tuesday, December 6, 2011

Filem Kita, Wajah Siapa?

Aku perlu akui aku semakin skeptik dengan filem-filem Malaysia sekarang. Dan memang aku jarang tonton filem-filem Malaysia. Berilah label apa pun pada filem-filem ini, filem paling mahal pembikinannya, filem paling banyak menggunakan CGI, filem paling seram oleh itu jangan bawa ibu mengandung dan macam-macam lagi. Ini semua tidak pernah menggamit aku untuk tonton filem Melayu. Sejujurnya, aku bukanlah anti filem Malaysia, ada banyak filem kita yang aku cukup salut, terutamanya filem-filem Rahim Razali. Filem-filem beliau cukup kuat mesej dan persoalannya, kemas garapan naratif serta skripnya dan karya itu sendiri terasa originalitinya. Dan aku dihadapkan dengan persoalan Melayu yang kuat di dalam filem-filem beliau yang hilang di dalam filem-filem Melayu kini.

Aku bukanlah seorang pengkritik atau penonton filem yang teknikal, yang memahami secara fasih apa itu mise-en-scene, shot/reverse shot atau sight lines, tapi kita dianugerahkan Tuhan dengan fitrah untuk suka kepada keindahan, kecantikan dan kesempurnaan, maka seni (filem, muzik, lukisan, sastera, dll.) terhasil dari apresiasi manusia terhadap unsur-unsur ini. Malah dalam falsafah terdapat cabang yang mengkaji fitrah ini yang disebut aestetik (berasal dari perkataan Greek yang bermaksud merasa).

Oleh itu, manusia diberi rasa/ pancaindera untuk mereka mampu menikmati sesebuah hasil seni walaupun mereka bukan pakar atau tidak mempunyai ilmu yang tinggi dalam mana-mana bidang seni. Aku tidak memerlukan ijazah dalam bidang seni persembahan untuk menikmati dan tahu betapa hebatnya suara Sharifah Aini, aku tidak memerlukan ijazah sastera untuk menghargai sajak Usman Awang dan aku tidak memerlukan ijazah seni lakon/ layar untuk faham betapa teruk kualiti kebanyakan filem-filem Malaysia. Seolah-seolah filem kita dihasilkan berpandukan kaedah 'asal siap' dah 'asal untung'. Kreativitinya minima, isi dan bentuk berterabur.

Dan kadang-kadang aku terfikir apa yang sebenarnya hendak disampaikan oleh si pengarah atau penulis lakon layar. Bukankah ini hasil seni kau (itu pun kalau boleh dianggap seni), tapi kau sendiri tak menajamkan rasa yang kau ada untuk menghasilkan yang terbaik, kau malas belajar, berfikir dan malas mengkaji. Ada pengarah yang berhujah dia tidak mahu menghasilkan filem 'syok sendiri', katanya filemnya dihasilkan untuk masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan kepada setiap filem arahannya. Tengok, filem aku pecah panggung dan ini menjadi bukti betapa filem aku memenuhi kehendak penonton. Mengapa perlu bersusah payah buat filem yang tinggi nilai seninya tapi akhirnya gagal menarik orang untuk menonton. Filem untuk ditonton, bukan untuk dibincangkan. Mungkin itu hujahnya.

Bagi aku, kalau seumur hidup kita diberi makan mi segera, memanglah kita rasa itu makanan paling sedap. Tidak ada benda lain yang kita jamah dan tidak pernah ada benda lain yang sampai ke lidah kita. Sememangnya mi segeralah makanan terbaik bagi kita. Khasiatnya pun ada. Perisanya pun pelbagai-tom yam, kari, asam laksa. Kita selesa dengan mi segera dan kita juga jahil tentang piramid makanan. Kita tidak pernah bertanya adakah mi segera mampu memenuhi keperluan badan kita? Maka asyiklah kita menikmati kelazatan mi segera sambil bersenandung dan bercerita tentang 1001 khasiat mi segera.

Memang salah kita sebab tidak berani mencuba makanan lain yang mungkin lebih sedap dan berkhasiat dari mi segera.Tapi yang lebih bersalah ialah tukang masak yang saban waktu menjamu kita dengan mi segera. Ada beberapa sebab kenapa dia tidak pernah menyajikan makanan lain;
1) Dia malas, oleh kerana mi segera paling senang dimasak maka mi segera adalah sajian utama,
2) Dia tidak tahu masakan lain kecuali mi segera (malas belajar),
3) Dia tidak tahu kewujudan makanan lain, hanya mi segera yang dia tahu (jahil macam si pemakan),
4) Dia menganggap mi segera adalah hidangan terbaik untuk kita, makanan lain kita tidak mampu hadam (pemikiran songsang/bodoh)
5) Dia tidak mampu masak makanan lain, puas dicuba tidak menjadi, dia hanya pakar masak mi segera dan
6) Takut pelanggan lari kalau masak makanan lain

Analogi di atas mungkin kurang tepat, tetapi itulah yang boleh aku gambarkan tentang sikap karyawan-karyawan filem kita dan diri kita sendiri. Kadang-kadang ada kawan-kawan aku yang mengeluh atau sinis dengan filem-filem yang aku tonton. Perkataan yang selalu keluar dari mulut mereka ialah 'filem ni berat',walhal mereka tidak pernah cuba menonton filem-filem yang mereka klasifikasikan sebagai berat tu. Dengan hanya melihat barisan pelakon atau pengarah filem atau nama filem, terus diberi label filem berat. Aduhai kawan-kawan, aku menonton pun untuk berhibur jugak, bukannya untuk pecah kepala. Cumanya carilah sumber hiburan yang berfaedah dan berilah definisi baru untuk hiburan. Bagi aku filem-filem sebegitulah yang lebih dekat dengan kemanusiaan, yang menunjukkan nilai-nilai dan sikap manusiawi, yang memaparkan pahit getir dan gundah gulana jiwa yang dirasakan oleh setiap kita, yang mengisi jiwa kita dengan sesuatu untuk direnungkan.Kerana kita manusia.

Sejujurnya, aku tak boleh kaitkan secara langsung perjuangan Optimus Prime dengan diri aku, atau macam mana Pak Dollah, orang kampung aku hendak kaitkan Sam Witwicky dengan diri dia. Oh ya, watak Sam Witwicky memang menjengkelkan aku. Begitu juga dua heroinnya. Dan kesimpulannya kedua-dua filem Transformers memang menjengkelkan. Sekian.

Tatkala Aku Mengumpul Setem

Membaca dan menonton filem adalah dua hobi aku. Aku maksudkan hobi di sini sebagai kegiatan yang sering dilakukan seseorang ketika senggang, dan kegiatan ini mendatangkan kepuasan dan keseronokan kepada orang tersebut. Aku berikan maksud hobi di sini kerana sewaktu di sekolah rendah dahulu aku pernah cuba untuk menjadikan aktiviti mengumpul setem sebagai hobiku. Ini akibat pengaruh buku teks sekolah rendah dan mungkin juga kurikulumnya yang banyak menceritakan tentang hobi mengumpul setem selain membaca dan bermain bola sepak. Seolah-olah satu pernyataan tidak rasmi dari Kementerian Pendidikan pada masa itu bahawasanya "hobi mengumpul setem adalah hobi terbaik/paling sesuai/paling berfaedah untuk kanak-kanak, oleh itu marilah jadikan mengumpul setem sebagai satu hobi wahai anak-anak sekalian!!". Dan aku adalah antara murid sekolah rendah yang menerima mesej ini setulus hati. Tambahan pula bagi budak kampung seperti aku, mengumpul setem kelihatan seperti hobi yang elegan dan canggih.

Maka setiap bulan apabila aku mengikut mak ke Kuala Kangsar, kedai buku Chong Wah (kedai alat tulis/peralatan sekolah tersohor di Kuala Kangsar) dan supermarket Fajar (kini The Store) ialah dua tempat yang wajib aku kunjungi kerana di dua kedai ini sajalah (yang aku tahu) tempat mendapatkan koleksi setem. Tapi malangnya hobi ini tidak berbekas di hatiku, tidak mendatangkan keghairahan, keseronokan dan aktiviti ini seperti dipaksa-paksa. Apabila aku belek kembali album setem yang satu itu, aku cuba timbulkan rasa seronok dan bangga (nampak sangat dipaksa-paksa) dengan koleksi yang aku miliki, tapi apa yang aku rasa hanyalah kosong. Albumnya pun tidak sampai separuh diisi setem.

Kini album setem itu masih ada di rumah. Aku simpan sebagai nostalgia pengalaman seorang kanak-kanak mencari hobi.