Friday, January 18, 2013

Filem: Seni atau Hiburan?


Seni itu keindahan dan kecantikan. Apa sahaja yang dianggap indah dan cantik disebut sebagai hasil atau karya seni. Ini adalah tanggapan umum yang boleh diterima pakai untuk menafsirkan apa itu seni. Kamus Dewan mendefinisikan dua maksud utama seni sebagai; 1) Halus (kecil, elok) dan 2) karya (sajak, lukisan, muzik, dll) yang dicipta dengan bakat (kecekapan). Kesimpulannya seni itu ialah karya indah lagi molek yang dihasilkan dengan penuh ketelitian berdasarkan bakat dan kebolehan sang pengkarya. Ini hanyalah takrif umum. Maksud 'halus' di dalam Kamus Dewan itu sendiri menggambarkan karya seni itu dihasilkan dengan penuh ketelitian dan ekspresi, melibatkan perahan fizikal, mental dan jiwa sang pengkarya. Justeru, apa sahaja karya yang dihasilkan dengan cincai dan tidak bersungguh-sungguh dan gagal menepati ciri-ciri dan kriteria utama yang ditetapkan dalam sesebuah kerja seni tertentu, bolehlah dibuang label 'seni' dari karya tersebut. Semudah itu.

Seni itu terbahagi kepada juzuk-juzuk dan pembahagiannya yang tersendiri. Sebelum pergi lebih jauh, perlu aku nyatakan di sini bahawa skop penulisan ini hanya akan memfokuskan kepada salah satu bidang seni yang popular di Malaysia (atau yang aku anggap popular) iaitu filem. Tetapi, sejak dahulu sehingga kini status filem sebagai seni masih diperdebatkan. Adakah filem boleh disebut sebagai seni? Atau ianya semata-mata hiburan?

Golongan yang skeptik terhadap filem sebagai seni berhujah bahawa filem adalah semata-mata imej yang bergerak. Ianya sekadar fotografi yang melalui proses mekanikal dan seterusnya menghasilkan gerakan, situasi dan peristiwa. Bagi mereka, filem hanya merakamkan realiti di mana kebanyakan elemen didalamnya ialah semulajadi dan tidak memungkinkan campur tangan sepenuhnya seseorang pengkarya ke atas sesebuah filem. Pengkarya filem tidak dapat meluahkan kreativiti artistiknya ke tahap maksima dan menyebabkan filem itu sendiri gagal untuk berhubung dengan khalayak dalam menyatakan ekspresi pengkarya. Malah sekiranya filem ini mampu menyampaikan rasa estetiknya atau idea dan mesejnya kepada khalayak, peranan pengkarya filem ke atas filem tersebut masih boleh dipersoalkan. Adakah filem tersebut berjaya kerana unsur artistik atau kreativiti yang dihasilkan pengkarya atau disebabkan oleh wujudnya elemen-elemen semulajadi dan realiti di dalam filem tersebut, yang berada di luar kawalan pengkarya itu sendiri.

Untuk menjawab hujah ini kita perlu sedar bahawa fotografi dan filem bukanlah merakamkan realiti tetapi sekadar merakam imej kepada realiti. Ianya adalah representasi visual kepada apa yang kita faham sebagai realiti. Malah sesebuah filem telah menerima campur tangan dari pengkarya filem apabila filem itu dirakamkan. Mereka telah menentukan jenis lensa tertentu, penataan cahaya tertentu, situasi tertentu, lokasi tertentu untuk shot tertentu. Itu belum dikira props dan set yang digunakan, lakon layar yang disediakan, solekan dan sebagainya. Setiap susun atur, kelakuan, situasi dan dialog yang dituturkan segalanya telah ditentukan mengikut perkiraan kreativiti dan artistik pengkarya filem. Apabila selesai dirakamkan, imej ini akan terus di manipulasi, disunting dan diubahsuai di studio. Kita boleh bayangkan berapa ramai tenaga kerja yang menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan sesebuah filem. Oleh itu, ianya bukan lagi realiti tetapi kita menanggapinya sebagai realiti. Inilah yang cuba dimaksudkan oleh Rene Magritte dengan lukisan terkenalnya, la trahison des images (Kecurangan Imej).

Inilah kuasa dan pengaruh sebenar filem atau televisyen, iaitu ia mencipta imej untuk realiti, kelahiran semula realiti di dalam bentuk yang diinginkan dan diimaginasikan oleh manusia. Sejarah juga merakamkan bahawa manusia belajar melukis sebelum menulis. Dinding-dinding gua menjadi kanvas manusia pra sejarah melakarkan kisah hidup, intepretasi dan imaginasi mereka terhadap realiti. Ini menjadi bukti bahawa sejak awal lagi manusia sememangnya mempunyai keinginan untuk mencipta dan mengkonstruk realiti baru. Manusia ingin mengawal dan mengubah realiti. Ironi juga, rancangan yang disebut realiti TV itu pun adalah sebesar-besar penipuan kepada realiti. Sila tonton The Truman Show untuk lebih memahami konsep realiti TV ini.

Keberkesanan mesej dan rasa estetik pula tidak sepatutnya menjadi piawaian untuk menentukan sama ada sesebuah medium itu layak dianggap seni ataupun tidak. Ini kerana ianya bergantung kepada pemahaman dan intrepretasi khalayak sebagai audiens. Lukisan Mona Lisa yang dianggap 'the best known, the most visited, the most written about, the most sung about, the most parodied work of art in the world' itu pun tidak difahami oleh kebanyakan manusia. Kita menganggap ia istimewa kerana sekian lama manusia dan media mengagungkannya. Secara peribadi, aku lebih berminat kepada karya-karya Bayu Utomo Radjikin berbanding Mona Lisa. Malah elemen-elemen yang menimbulkan estetik dan keghairahan terhadap seni itu pun (sekali lagi Mona Lisa boleh dijadikan contoh kes) sukar dijustifikasikan adakah bersifat luaran (dari seni itu sendiri) atau dalaman (interpretasi manusia).

Antara isu lain ialah, jika filem itu sebuah kerja seni maka siapa artis atau pengkarya utama yang mendominasi dan menentukan hala tuju filem itu secara keseluruhannya. Ramai yang akan menjawab pengarah. Timbul persoalan yang lain benarkah pengarah mendominasi bentuk dan isi sesebuah filem? Bagaimana dengan penulis lakon layar? Bagaimana dengan jurugambar? Bukankah kesatuan idea dan kreativiti individu-individu ini yang melengkapkan filem? Bukankah kewujudan filem adalah hasil koloborasi sekumpulan manusia? Mengapa di majlis anugerah filem, Filem Terbaik di sampaikan kepada penerbit filem? Akhirnya siapa yang menghasilkan filem? Persoalan-persoalan ini dibangkitkan kerana wujud pernyataan yang tidak rasmi (tetapi popular dan kuat bukan sahaja di kalangan karyawan seni malah juga ahli akademik) bahawa untuk sesebuah medium itu dianggap seni (ataupun sebagai bidang pengkajian yang serius), seorang maestro perlu dikenal pasti. Maestro yang mendominasi dan menumpahkan kemahiran artistik dan kreativitinya ke dalam sesebuah filem. Maestro yang meninggalkan signature stylenya di dalam setiap filem. Dan muncul auteur theory menyelesaikan kekusutan ini dengan memberi jawapan, sang pengarahlah maestro yang kita cari!

Auteur theory (bahasa Perancis untuk pengarang/ author) pada asalnya adalah berupa kritikan dari sekumpulan pemuda Perancis terhadap industri perfileman negara mereka yang dibanjiri filem-filem yang buruk dan sampah. Para pemuda ini yang muncul sebagai antara pengkritik dan akhirnya pembikin filem yang berpengaruh- antaranya Francois Truffaut dan Jean-Luc Godard- telah mengangkat filem-filem Amerika sebagai contoh yang perlu diikuti oleh pengkarya filem Perancis. Mereka menyatakan pengarah-pengarah seperti Orson Welles, Alfred Hitchcock dan John Ford telah meninggalkan signature style di dalam setiap filem mereka dan biar siapa pun penerbit, penulis lakon layar, jurukamera atau pelakon, kita akan tetap melihat kesinambungan style/ teknik di dalam setiap filem arahan mereka. Inilah yang menjadi asas kepada auteur theory.

Teori ini dikembangkan di Amerika oleh Andrew Sarris (Sarris yang menggelarnya auteur theory). Prinsip utama teori ini ialah meletakkan pengarah sebagai nadi utama yang menggerakkan struktur (bentuk dan isi) sesebuah filem. Namun Sarris meletakkan tiga kriteria utama yang melayakkan seseorang pengarah itu digelar auteur. Pertama, seorang pengarah haruslah menguasai kemahiran teknikal di dalam menghasilkan filem. Kedua, seorang pengarah mesti mempunyai signature style yang tersendiri di mana ianya boleh dilihat di dalam setiap filem arahannya (bukan sahaja dalam bentuk teknikal malah idea dan simbol yang mengekspresikan pemikiran pengarah itu). Ketiga, kriteria terpenting, iaitu worldview atau pandangan alam seorang pengarah yang muncul secara konsisten di dalam setiap filemnya. Auteur theory ini pun menerima banyak kritikan daripada ahli teori filem yang mempersoalkan adakah semata-mata sang pengarah yang memberi sumbangan terbesar dari sudut artistik dan kreativiti kepada sesebuah filem. Bagi aku auteur theory bukan sekadar usaha meletakkan peranan pengarah sebagai pengarang utama tetapi lebih kepada menjawab persoalan apa sebenarnya peranan pengarah di dalam sesebuah filem. Aku bersetuju pengarah yang baik harus memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Sarris kerana filem bukan sahaja membawa representasi visual tetapi juga mengusung wacana dan idea pengarah. Pengarah memang mendominasi bentuk dan isi filem tetapi aku lebih suka melihat filem sebagai hasil artistik dan kreativiti kolektif sekumpulan pengkarya.

Sesetengah pengkaji seni pula menyatakan bukan semua filem boleh dimasukkan sebagai kerja seni kecuali filem-filem yang diangkat sebagai art film atau avant garde film yang ditayangkan di art house atau galeri seni manakala filem-filem yang dihasilkan untuk tontonan umum tidak layak diklasifikasikan sebagai seni. Pembahagian yang rigid dan keras sebegini membuatkan apa yang dikatakan 'seni' itu sendiri kelihatan bersifat elitist, eksklusif dan hanya mampu dinikmati oleh segolongan kecil penonton. Noel Carroll, seorang ahli falsafah seni Amerika menjelaskan 4 sebab dalam percubaannya untuk mempertahankan bahawa filem yang dihasilkan untuk tontonan umum juga layak di anggap seni. Pertama, filem mempunyai genre dan bentuk, yakni berasal dari genre dan bentuk karya-karya seni awal yang lain. Kedua, pengkarya filem telah melibatkan diri mereka di dalam aktiviti-aktiviti yang bersifat artistik untuk menghasilkan filem; penulisan, lakonan, seni pengambaran dan sebagainya. Ketiga, secara asasnya, aktiviti-aktiviti di atas sememangnya dipersetujui oleh pengkaji-pengkaji seni sebagai kerja-kerja seni. Aku amat bersetuju dengan sebab ketiga ini. Dan keempat, Carroll menjelaskan bahawa mereka yang menolak status seni hanya kerana ia popular mempunyai kefahaman yang juling tentang perbezaan di antara hasil seni dan bukan seni berdasarkan perbezaan penilaian yang bersifat tinggi/ rendah, seperti seni yang baik/ seni yang buruk dan seni berkualiti tinggi/ seni berkualiti picisan. Sesetengah filem popular mungkin kurang berkualiti dari art filem tetapi ia tetap sebuah kerja seni.

Filem-filem untuk tontonan umum juga selalunya dikaitkan dengan motif keuntungan di mana seolah-olah wujud hubungan yang kontra di antara seni dan perniagaan. Sesebuah karya yang dihasilkan untuk orang ramai seolah-olah hilang nilai artistik, kreativiti dan seni dari karya tersebut. David Bordwell menyebut ketika era Renaissance di Itali, para pelukis telah dibayar oleh gereja untuk menggambarkan kisah-kisah di dalam Bible. Malah Michaelangelo dan Leonardo Da Vinci turut dibayar atas hasil seni mereka dan ini tidak mengurangkan status seni atau kreativiti artistik mereka.

Ini adalah antara isi yang mendasari perbincangan tentang status filem sebagai seni. Masih banyak lagi sebenarnya yang menjadi isi pertikaian. Justeru aku menganggap adalah lebih selesa untuk kita menganggap semua filem adalah kerja seni kecuali yang tidak menepati kriteria-kriteria tertentu. Ini lebih baik daripada menganggap semua filem bukan kerja seni kecuali yang menepati kriteria-kriteria tertentu. Walau pelbagai perdebatan muncul, kita tidak boleh menidakkan filem telah menjadi medium yang paling berkuasa dan luas skop penyampaiannya. Filem telah dibuktikan berjaya menjadi sumber hiburan, medium propaganda, komoditi ekonomi, wacana pemikiran serta budaya dan saluran hedonisme. Di Malaysia, kebanyakan penonton filem malah mungkin para pengarahnya menganggap filem semata-semata hiburan sedangkan di luar kesedaran kita filem-filem telah menghantar idea dan mesej secara tidak langsung kepada kita melalui bahasa filem itu sendiri. Ini aku jelaskan kemudian.