Saturday, July 23, 2016

Siapa Penulis Chorak Dunia?


Oleh Karl Samuel

“Kau sukakan kebetulan. Senyuman dari gadis cantik dalam situasi yang hangat, sebuah jelingan yang dicuri, itulah yang kau cari, itulah motif untuk fantasi kau yang tak pernah berakhir. Kau yang sentiasa bangga untuk jadi pemerhati, kini mengalah untuk jadi objek yang diperhati. 
Ah, kau kawan yang pelik, sekejap kau jadi kanak-kanak, sekejap kau jadi orang tua; satu masa kau begitu komited memikirkan masalah ilmiah yang paling penting dalam dunia  dan bagaimana kau akan mengabdikan hidup kau untuk selesaikannya, dan satu masa yang lain kau jadi seorang bodoh yang mabuk cinta”.
- Sᴓren Kierkegaard, Either/ Or -
Siapa penulis Chorak Dunia?  Kenapa dia tak mahu dedahkan identitinya? Adakah blog ini milik kolektif atau blog individu? Ini soalan-soalan yang saya tanya sekian lama.

Beberapa hari lepas saya dimaklumkan yang Benz Ali juga bertanya soalan yang sama kerana dia berminat untuk membukukan tulisan-tulisan dalam blog nyamuk ini. Malah ada beberapa pembaca blog ini yang mahu berta’aruf dengan penulisnya.

Saya ada satu berita buruk dan satu berita baik. Berita buruk; kita mungkin tak dapat mendedahkan identiti sebenar penulis Chorak Dunia dalam masa terdekat ini. Berita baik; walaupun tak dapat kenal identitinya, kita masih boleh menganalisa karakter, personaliti dan motivasi penulis ini. Itulah saja yang saya akan  buat dan mampu buat. Seperti Sherlock Holmes dan Detektif Conan saya akan cuba merungkai misteri ini satu persatu. Saya cuba meneliti bukti-bukti yang berselerak di tempat kejadian. Bukti-bukti yang tak diendahkan ramai pembaca kerana seperti kata Holmes, “kau nampak tapi kau tak perhati”.

Di mana tempat kejadian yang menjadi tumpuan siasatan kita? Jawapannya ialah blog ini. Di sinilah kita ditemukan dengan penulis blog Chorak Dunia, atau lebih tepat, di sinilah kita ditemukan dengan tulisan-tulisannya. Apa bukti-bukti yang boleh menjadi punca siasatan kita? Jawapannya ialah teks di dalam blog ini, tulisan-tulisan penulisnya.

Kita perlu sedar, penulis tak letakkan alamat e-mel, nombor telefon atau sebarang akaun media sosial untuk dihubungi. Ditambah dengan interaksi penulis dengan beberapa pembaca, saya rasa mudah untuk kita buat andaian yang penulis memang enggan dikenali identitinya dan enggan dikenali secara peribadi. Enggan identitinya dikenali (atau enggan dikenali secara peribadi) bukan maksudnya tak mahu dikenali langsung. Wujudnya blog ini adalah bukti kukuh yang penulisnya mahu dikenali, kalau pun bukan oleh pengunjung blog ini, pastinya oleh dirinya sendiri. Blog Chorak Dunia secara tak langsung menjadi tanda keberadaan penulisnya di dunia ini.

Lagi pun agak pelik untuk kita terus bertanya siapa penulis blog ini sedangkan dari awal dia sudah menghantar isyarat yang dia tak mahu dikenali dengan lebih dekat. Satu-satunya jawapan yang boleh diberi penulis blog ini tentang siapa dirinya ialah namanya ‘al-amin’ dan dia ‘seorang lelaki’. Untuk kita bertanya lebih lanjut siapa dirinya mungkin satu keganjilan, seperti teguran V kepada Evey dalam V For Vendetta. Kata V adalah satu paradoks untuk Evey bertanya “siapa awak” kepada orang yang pakai topeng kerana topeng yang dipakainya adalah tanda dia enggan dikenali. (Atau mungkin juga tujuan dia pakai topeng ialah supaya orang bertanya siapa dirinya.)

Dan saya syak al-amin, seperti petikan Kierkegaard di atas, memakai banyak topeng yang mungkin mengganggu fokus kita sebagai pembaca - dan mendatangkan perasaan gelisah kepadanya sebagai penulis - jika kita mengenali sosoknya yang sebenar.

Satu-satunya cara untuk kita mengenali al-amin -  kalaulah dia boleh dikenali – hanyalah dengan kita membedah tulisan-tulisannya. Situasi ini seperti membawa kita ke jalan buntu. Authorship profiling bidang yang baru saja berkembang dan banyak penambaikan yang masih berjalan dalam bidang ini. Tapi seperti kata Detektif Conan, “jika dilihat dari perspektif yang berbeza, tembok yang gagah hanyalah sebuah pintu yang besar.”

Jadi melalui tulisan-tulisan dalam blog inilah saya akan menguak pintu untuk mengintai sosok bernama al-amin ini. Mungkin mustahil untuk kita tahu banyak maklumat tentang al-amin, dan rasanya kita tak perlu tahu banyak pun. Kita sudah tahu dia seorang lelaki dan ini rasanya maklumat yang benar. Kriteria awal (dan boleh dikatakan penting) dalam authorship profiling ialah gender penulis. Dari maklumat tentang gender banyak profail lain boleh ditarik. Saya tak fikir penulis blog ini mahu meniru novelis, penyair dan pengkritik tersohor era Victoria, Mary Anne Evans* yang menggunakan nama samaran George Eliot untuk menyembunyikan gendernya dari pengetahuan pembaca.

Berdasarkan penelitian saya terhadap tulisan-tulisan dalam blog Chorak Dunia, baik dari sudut idea, langgam bahasa, corak tulisan, analisis semantik dan kekerapan penggunaan kata ganti nama, maka saya boleh sahkan al-amin memang seorang lelaki.

Saya bagi tips penting untuk mengenal pasti gender penulis menerusi tulisan mereka. Penulis perempuan lebih banyak guna kata ganti nama, lebih banyak membanding dan merujuk kepada orang lain, lebih banyak bercakap tentang perhubungan dan terlibat secara intim dengan topik yang ditulisnya. Penulis lelaki pula lebih banyak guna kata sendi nama, lebih banyak selitkan jargon dan leksikon  dan lebih banyak menghuraikan topik dengan cara memaklumkan.

Jadi sah al-amin seorang lelaki. Fokus kita seterusnya ialah untuk menyiasat karakter dan personalitinya dan seterusnya merungkai jawapan kenapa dia enggan dikenali dengan lebih dekat. Hipotesis saya ialah al-amin ini seorang introvert. Ini mungkin nampak seperti pendefinisian yang ringkas untuk menghuraikan karakter seorang manusia, tapi percayalah ia boleh membuka pintu yang lebih luas untuk kita memahami lebih banyak sisi-sisi terpencil al-amin.

Sebagai introvert, al-amin yakin dia bukan manusia yang dikejar majikan dan penemuduga dan dia yakin manusia yang sama spesis dengannya selalu gagal dalam temuduga. Dia lebih suka buat kerja seorang diri dan dia suka keadaan solitari. Dia banyak berdialog dengan diri sendiri berbanding bersembang dengan manusia lain. Dia tak suka aktiviti outdoor sebab itu hobinya baca buku, tengok filem, tonton tv, dengar muzik dan berangan-angan. Dia mabuk ditenggelami gerombolan idea, timbunan buku-buku,  filem-filem romantik dan tragedi serta bingit dan melankoli muzik.

Saya berpendapat al-amin amat berterima kasih kepada Carl Jung sebab memperincikan spesis manusia sepertinya. Tanpa Carl Jung, al-amin sendiri masih keliru tentang psikologi dan sikapnya dalam bersosial. Sampai sekarang pun, dalam dunia yang memuja sikap peramah, al-amin kadang-kadang bergelut dengan dirinya sendiri.

Hari Raya pada pendapat saya ialah hari yang menggelisahkan al-amin sebab dia terpaksa berjumpa dan beramah mesra dengan ramai orang yang bertandang ke rumahnya. Bukan maksudnya dia benci Hari Raya tapi dia kurang selesa dengan peristiwa-peristiwa yang mendesaknya untuk berjumpa dengan manusia lain dalam jumlah yang ramai. Dia benci untuk berjumpa dengan manusia lain ‘sempena’ peristiwa tertentu. Dia akan jumpa bila dia mahu jumpa.

Bukan al-amin sombong dan tak menghargai usaha mereka yang mahu mengenalinya dengan lebih dekat. Tapi buat masa sekarang dia lebih selesa begini. Dia lebih selesa untuk tak dikenali dengan lebih dekat. Dia rasa tulisannya lebih jujur dalam keadaan begini. Seperti petikan dari Kierkegaard di atas, peribadinya ada banyak belahan personaliti yang bertumpang tindih.

Dalam tulisannya pun sekejap al-amin gunakan kata ganti nama ‘aku’, sekejap dia gunakan ‘saya’, ada juga artikel dia gunakan ‘kami’. Dia tak pernah tetap dengan sesuatu atau percayakan sesuatu dalam tempoh masa yang lama. Secara umum, prinsip hidupnya masih sama cuma jalur perspektifnya tak statik. Alam fikirannya nomad dan berpindah-randah secara bersendiri.

Ini bukan satu yang al-amin banggakan sebab selalunya keadaan ini menyukarkan dia untuk berbual dan berhubung dengan orang lain, tapi tak dinafikan bagi al-amin ketakpastian ini merintis jalan untuknya meneroka kompleksiti manusia dengan lebih jujur. Bila berbual dengan kawan-kawan dan saudara mara, hatinya asyik nak membangkang dan menempelak pendapat mereka yang baginya dianggap picisan, semberono dan terlalu lurus. Tapi mulutnya terkunci. Mungkin sebab nak jaga hati mereka, mungkin untuk mengelakkan perselisihan faham yang remeh atau mungkin dia sendiri perlu semak semula hujah-hujahnya. Kadang-kadang dia cuba jadi idealis, kadang-kadang dia sedar dia realis, ada masanya dia rasa optimis, tapi selalunya dia pesimis. Benz Ali lebih dari manusia lain tentu faham semua ini.

Situasi ini selalunya berakhir dengan dia masuk bilik dan berbaring sambil berdebat dengan dirinya sendiri. Itu yang selalu berlaku. Dan kalau rajin dia akan luahkan dalam blog Chorak Dunia. Blog ini ialah medium dia mengkritik dan berkomunikasi dengan persekitarannya dan dirinya sendiri. al-amin sedar manusia introvert suka menulis dari bercakap. Idea yang bertakung di kepala mereka lebih lancar mengalir ke atas papan kekunci berbanding dihamburkan dengan gelombang bunyi. Sebab itu ramai yang bersolitari di tasik, pantai dan gunung lalu menjadi penulis, seniman dan penyair. Tapi selalunya al-amin malas.

Kadang-kadang al-amin rasa dia seorang yang egois dan narsisis, membenci dunia kerana dunia tak berjalan seperti yang diinginkannya. Mungkin ini sifat primordial dan hukum alam seorang idealis. Sebab itu bila sang idealis dapat kuasa kemungkinan besar dia bakal jadi diktator. Sejarah tak pernah menipu. Ramai diktator pada awalnya ialah idealis yang memberontak. Mereka mengkritik, mereka melawan, mereka disingkir dan dipenjarakan. Hanya apabila mereka ditauliahkan kuasa, sifat egoistik dan narsisistik tadi menjalar dan menguasai akal, hati dan nafsu. Idealisme dibentuk menjadi kuku besi, mencakar dan mengoyak suara-suara yang berseberangan. Macam Harvey Dent cakap dalam The Dark Knight, "Sama ada kau mati sebagai pejuang atau hidup cukup lama untuk tengok diri kau jadi penjahat."

Kadang-kadang bagi al-amin dia hanyalah petani pascamoden yang cuba menggali makna dari tanah yang dia gembur, untuk akhirnya dia sedar menggali sesuatu yang dia sendiri tak pasti apa dan di mana hanyalah usaha sia-sia, dan peluh yang dia tumpahkan sekian lama sebenarnya cukup untuk menyuburkan tanaman yang menguntungkan anak cucunya, hanya jika dia bercucuk tanam. Tapi sekali lagi dia memang pemalas.

Bagi al-amin, tulisannya – baik dari segi bentuk dan isi - belum mencapai kematangan yang diinginkannya. Dia hanya mencedok dan meminda secara minimum idea-idea liar yang singgah di kepalanya. Dia sangat militan dalam menculik mana-mana pendapat yang bersesuaian dengan ideologinya secara pukal dan menyeludupnya kembali ke dalam blog ini. Dan ini bukanlah sesuatu yang membanggakannya. Apa yang dilontarkan dalam blog Chorak Dunia hanyalah perca-perca idea yang miskin dan berserakan, yang mungkin banyak mengundang kekeliruan dari kefahaman.

Apabila Benz Ali sebut yang tulisan dalam blog ini perlu dibukukan kerana dia bimbang jika berlaku gempa bumi (saya faham Benz Ali bergurau) tulisan ini akan hilang begitu saja, saya teringatkan novel-drama Bila Tuhan Berbicara karya Faisal Tehrani. Dalam novel tersebut 3 manusia berbeza fahaman tertidur selama beribu-ribu tahun dalam gua, eh bukan gua tapi bunker, setelah berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Saya berpendapat al-amin pastinya bersyukur jika tulisannya yang miskin, liar dan nomad ini hilang dalam gempa bumi. Saya terfikir juga, jika berlaku gempa bumi, apa kemungkinan untuk al-amin terperangkap bersama Benz Ali dalam sebuah bunker?

al-amin mahu tulisannya di tulis kembali. Bagi al-amin teks hanya dapat dinikmati apabila ia ditulis semula kerana seharusnya pada tingkat yang lebih afdal, membaca teks itu tak dapat lari dari menulis semula teks. Menulis semula bukan maksudnya memplagiat tulisannya, tapi merangsang akal untuk menilainya secara kritis, memikirkannya dari sudut pandang berbeza, menyelaknya dari sisi-sisi yang lain. al-amin mahu pembaca melayan tulisan di blog ini bukan saja dengan menyiasat apa yang dinyatakan, tapi juga mengesan apa yang gagal dinyatakan. Ya, ini bukan pendapat al-amin tapi pendapat Roland Barthes. Lihat bagaimana dengan selamba al-amin menyeludup pendapat Barthes dan menulisnya seolah-olah pendapatnya sendiri.

Cuma berbeza dengan Barthes, al-amin beriman yang aktiviti buka dan lepas teks secara terus-terusan ini bukan sekadar ‘permainan teks’ yang kosong dari makna tertentu, sebaliknya ia sebahagian dari usaha untuk mencari dan membina makna.

al-amin mungkin berpendapat, buat masa sekarang, pembaca dapat lebih menghargai tulisan blog ini dengan menilai tulisannya berdasarkan tulisannya, bukan menilai tulisannya berdasarkan autoriti atau rupa paras atau akhlaknya sebagai manusia. Ini antara sebab kenapa Mary Anne Evans aka George Eliot menggunakan nama lelaki. Selain untuk mengelak stereotaip masyarakat era Victoria yang menganggap penulis wanita hanya pandai tulis novel pseudo-cinta, Mary Anne juga tak mahu karyanya dinilai dengan prejudis hanya kerana dia seorang agnostik yang tak segan untuk bersekedudukan dengan suami orang. Ya, awak perlu baca artikel hebat Mary Anne bertajuk “Silly Novels by Lady Novelists” yang keras mengkritik penulis-penulis wanita pada zamannya yang gian menulis novel pseudo-cinta untuk kita lebih faham mengapa Mary Anne pakai nama George Eliot.

Mungkin sedikit sebanyak al-amin juga terpengaruh dengan pendekatan Kierkegaard yang menggunakan banyak nama samaran dalam tulisannya terutamanya dalam periode pertama kepengarangannya. Kierkegaard ada tak kurang dari 15 nama samaran. Dalam buku Either/Or saja ada tiga nama pengarang; Victor Eremita selaku editor, A selaku pengarang bahagian pertama (Either) dan Judge Wilhelm sebagai pengarang bahagian kedua (Or), di mana ketiga-tiganya ialah Kierkegaard sendiri.

Malah lebih kurang seminggu selepas Either/Or diterbitkan, Kierkegaard siap tulis sebuah artikel berjudul ‘Who Is The Author of Either/ Or’ dengan menggunakan nama samaran lain pula! Dalam artikel ini Kierkegaard konon berteori tentang persoalan siapa pengarang buku Either/Or tanpa dia sebut yang dia tahu identiti pengarang yang sebenar, yakni dirinya sendiri.

Setiap nama samaran Kierkegaard mempunyai persona dan idea tematik mereka yang tersendiri. Setiap satu persona Kierkegaard - dalam projeknya meneroka tiga tahap eksistensi yakni estetika, etika dan agama - menggunakan idea-idea yang tak mempunyai titik temu yang jelas secara konsisten, kalau pun mereka tak berkontradik secara langsung. Sebagai contoh, Anti-Climacus agak kontra dengan persona Johannes Climacus. Ya, Anti-Climacus bukan alter-ego Kierkegaard, tapi alter-ego kepada alter-ego Kierkegaard!

Seperti Kierkegaard, al-amin tak mahu dikenali supaya dia dapat melihat sesuatu idea dengan lebih terbuka dan dapat pula meluahkan idea itu dengan terbuka. Buat masa sekarang al-amin mengalami dialectical tension seperti Kierkegaard, terbelah antara spiritual dan material, imanen dan transenden, pop culture dan high culture, gagal untuk menjadi diri sendiri dan pada masa yang sama tak dapat menjadi orang lain. Sickness unto death kata Kierkegaard.

Menjarakkan diri dengan pembaca adalah pendekatan terbaik bagi al-amin untuk berlaku jujur kepada dirinya sendiri dan mengekalkan kewarasannya.

Dalam artikel ‘Who Is The Author of Either/ Or’, Kierkegaard dengan nama samaran A.F. menulis:

“Kebanyakan orang, termasuk penulis artikel ini  berpendapat tak berbaloi bersusah-payah untuk peduli tentang siapa pengarang buku ini. Mereka gembira kerana tak tak tahu identiti pengarangnya, kerana dengan itu mereka hanya ada buku itu untuk ditangani, tanpa diganggu atau terganggu dengan keperibadian penulisnya”.
--------------------------------------------------------------------

*George Eliot ialah perempuan sasterawan yang bertanggungjawab menterjemahkan 2 karya kontroversi Jerman ke dalam bahasa Inggeris; The Life of Jesus oleh David Strauss dan The Essence of Christianity oleh Ludwig Feuerbach. Dia pernah jadi penyumbang artikel dan editor The Westminster Review, jurnal yang diasaskan oleh Jeremy Bentham dan menjadi suara rasmi puak Philosophical Radicals (zaman sekarang puak macam ini dipanggil liberal).

Selamat untuk dikatakan yang status Eliot masih jadi khilaf, sama ada dia seorang agnostik atau atheis. Hal ini demikian kerana walaupun agak kritikal dengan agama, dia tak pernah mengecam agama, apatah lagi anti-agama. Dia memandang agama punya sisi-sisi positif yang boleh dimanfaatkan, baginya agama secara objektifnya salah, tapi secara subjektifnya benar. Agama adalah medium manusia mengobjektifikasikan keperluan mereka yang subjektif, sebuah pendapat yang meminjam kritik Feuerbach terhadap agama. Ada juga yang melabel Eliot sebagai religious atheist. Kita sendiri tak pasti. Mungkin Eliot juga tak pasti dan seperti al-amin, mungkin alam fikiran Eliot juga berstatus nomad, berpindah-randah secara bersendiri.

No comments:

Post a Comment