Thursday, June 30, 2016

Eye In The Sky: Melihat Dunia Dengan Mata Tuhan





Kenapa tindakan Henry Kissinger mengarahkan pengeboman ke atas Kemboja yang menyebabkan berpuluh ribu nyawa terkorban dianggap bukan satu jenayah jika dibandingkan dengan tindakan mereka yang bertanggungjawab meruntuhkan Twin Tower?

Itu persoalan yang ditanya Zizek dalam bukunya Violence. Zizek menamakan kejulingan perspektif ini sebagai ethical illusion. Ethical illusion atau ilusi etika - sama seperti ilusi optik - adalah gangguan-gangguan di sekitar subjek yang menggagalkan kita untuk mempersepsikan subjek tersebut dengan tepat. Contohnya, kita mudah bersimpati dengan penderitaan seorang manusia yang kita tengok dengan mata kita sendiri berbanding kematian ramai manusia lain yang kita hanya ada pengetahuan yang abstrak tentang mereka.

Sebab itu bagi kita, menembak seseorang dari jarak dekat nampak lebih kejam berbanding menekan punat alat kawalan jauh yang bakal membunuh beribu-ribu nyawa yang kita tak nampak.

Filem ini tentang pesawat kawalan jauh dan manusia-manusia yang bertanggungjawab memantau dan mengawalnya. Ia berkisarkan sekumpulan manusia yang berdebat dan perlu buat keputusan sama ada boleh atau tidak drone melepaskan peluru berpandu ke markas pengganas walaupun ia bakal mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak. Ya, kumpulan pengganas ini sudah tentu beragama Islam kerana pengganas agama lain sudah lama pencen dari mengancam kuasa besar dunia.

Debat dalam filem ini agak cerdik, ditambah dengan plot yang kemas, graf suspen yang meningkat dengan kadar sepatutnya, hasilnya filem ini tak mengecewakan. Cuma ada beberapa masalah di penghujung cerita yang menjadikan filem ini agak mengecewakan. Karisma Helen Mirren dan Alan Rickman menambah perencah filem ini. Walaupun pada pendapat saya wajah Helen Mirren yang semakin mengecut itu nampak tak secocok dengan seragam tentera. Dia rasanya lebih sesuai bawa watak ibu mertua yang kejam daripada kolonel tentera yang tegas.

Kisah bermula dengan kita diperkenalkan kepada keluarga tiga beranak yang tinggal di pinggir bandar Nairobi; si suami, si isteri dan anak mereka Alia, yakni kanak-kanak yang bakal mencetuskan debat dalam filem ini. Walaupun tinggal di kawasan yang dikuasai oleh militan al-Shabab, kita difahamkan keluarga ini tak dipengaruhi faham ekstremisme grup militan itu. Alia diajar membaca dan dibenarkan bermain hula hoop, dua aktiviti yang dilakukan secara sembunyi dan berhati-hati kerana bimbang sampai ke pengetahuan al-Shabab dan simpatisan mereka.

Pada masa yang sama kerajaan Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Kenya melancarkan joint operation bernama Ops Egret untuk menangkap dua individu paling dikehendaki Britain; Abdullah al-Hadi, seorang rakyat Somalia dan isterinya Aisha al-Hadi, warganegara Britain. Duo merbahaya ini dikaitkan dengan militan al-Shabab dan mereka dipercayai bertandang ke Nairobi untuk berta’aruf dengan dua rekrut baru al-Shabab, seorang warganegara Britain dan seorang lagi warganegara Amerika.

Operasi bersama ini melibatkan beberapa lokasi yang dijalin dengan cemerlang oleh pengarah filem. Di pihak Britain kita ada Kolonel Powell (Helen Mirren) yang berada di London mengepalai operasi ini. Kolonel Powell dipantau oleh jawatankuasa birokrat di Whitehall yang dipengerusikan bosnya, Leftenan Jeneral Benson (Alan Rickman). Termasuk di dalam jawatankuasa ini Menteri Pertahanan dan Peguam Negara Britain.

Di pihak AS ada seorang juruterbang drone bersama pembantunya di Pengkalan Tentera Udara Nevada dan seorang tentera dari Unit Analisis Imej yang berpengkalan di Pearl Harbor bagi tugas pemantauan visual.

Satu-satunya pihak yang berada di Nairobi secara fizikal ialah tentera Kenya dan perisik mereka yang bersedia  untuk menangkap pengganas-pengganas terbabit sebaik saja wajah mereka disahkan oleh tentera AS.

Operasi yang bertujuan “untuk tangkap, bukan bunuh” bertukar objektif apabila pengganas-pengganas bergerak ke sebuah rumah yang terletak di kawasan kediaman Alia dan keluarganya. Oleh kerana kawasan itu dikuasai al-Shabab, tentera Kenya tak boleh menyerbu ke kawasan tersebut kerana bimbang mengakibatkan korban nyawa dan konflik yang lebih serius.

Kolonel Powell yang sekian lama memburu pasangan al-Hadi sudah hilang sabar dan bercadang untuk melumatkan terus pengganas-pengganas ini dengan menggunakan drone. Cadangan ini ditentang oleh Peguam Negara dan politikus di Whitehall dengan mengambil kira objektif awal operasi ini sudah berpusing 360˚.

Hasil intipan ke dalam rumah tersebut kemudiannya mendedahkan yang pengganas-pengganas ini mahu melancarkan bom berani mati menggunakan dua rekrut baru mereka. Jika diletupkan di tempat awam bom itu dijangka mampu membunuh 80 nyawa. Kolonel Powell dan Leftenan Jeneral Benson melihat ancaman ini mesti dihapuskan segera dengan serangan drone.

Pihak birokrat Britain tak berani beri kata putus kerana ini sebuah ops multinasional. Justeru beberapa masalah melibatkan soal kepentingan timbul; Pertama: warganegara Amerika turut ada dalam senarai pengganas, Kedua: belum pernah serangan drone dilancarkan di sebuah negara sekutu Britain yang bukan dalam zon perang dan, Ketiga: serangan akan mengakibatkan korban orang awam.

Masing-masing enggan bertanggungjawab. Permainan tarik tali bermula. Menteri Pertahanan mahu keputusan dibuat oleh Setiausaha Luar Negara Britain dan Setiausaha Luar Negara Britain pula mahu perkara ini dirujuk kepada Setiausaha Negara AS. Situasi semakin rumit apabila Alia muncul menjual roti berhampiran  rumah pengganas.

Ada bom bakal meledak dan keputusan segera perlu dibuat. Dilema Dostoevsky dalam The Brothers Karamazov bermain di kepala; patutkah nyawa seorang kanak-kanak dipertaruhkan untuk mengelakkan korban nyawa yang lebih besar?

Debat pun bermula. Tapi jangan harapkan debat Socratik dalam Eye In The Sky. Premis hujah watak-watak dalam filem ini bukan ditarik dari idea asas tentang etika dan moraliti, tapi dari pendekatan realpolitik. Boleh atau tidak peluru berpandu Hellfire dilepaskan didebat dan dibincangkan dari sudut undang-undang, geo-politik, ketenteraan dan protokol. Sudah tentu ada unsur moraliti dan etika dalam setiap sudut-sudut ini, tapi banyak landasan hujahnya sudah dilapik dengan kepentingan-kepentingan yang bersifat strategik. Perkiraannya adalah untung dan rugi. Itu namanya realpolitik.

Segala mak nenek analisis penilaian risiko dikeluarkan. Rules of engagement (ROE) dan collateral damage estimation (CDE) bermain di mulut Kolonel Powell untuk memastikan drone boleh melancarkan Hellfire. Bagi beliau, apa pun yang berlaku, pengganas-pengganas itu harus mampus di situ juga. Di mulut para birokrat pula keluar hujah-hujah tentang propaganda, reputasi yang perlu dijaga dan sebagainya. Hujah bahawa nyawa kanak-kanak itu sendiri berharga hanya disentuh sepintas lalu, dan kelihatannya tak cukup kuat untuk dipertahankan berbanding hujah-hujah strategik yang dikemukakan.

Menurut Zizek, apa yang menyebabkan kita mudah bersimpati dengan kesakitan seseorang bukan saja bergantung pada faktor kedekatan fizikal mangsa dengan kita - maksudnya tak semestinya kita wajib nampak mangsa diseksa, dibunuh atau ditembak secara langsung barulah kita mampu bersimpati – tapi ia tertakluk juga kepada kedekatan ‘persaudaraan’ kita dengan mangsa.

Mereka yang kita anggap ‘saudara’ ialah mereka yang berkongsi karakter sosial atau simbol kolektif yang sama dengan kita; warna kulit, agama, ideologi, mazhab dan sebagainya. Semakin dekat ‘persaudaraan’ kita dengan mereka, atau dalam ayat lain, semakin banyak karakter sosial dan simbol kolektif yang kita kongsi bersama mereka, semakin kuat rasa simpati kita terhadap penderitaan mereka.

Kata-kata ‘semua manusia adalah bersaudara’ bermaksud sesiapa yang tak boleh terima konsep ‘persaudaraan’ kita, maka mereka bukanlah manusia. Untuk seseorang dilayan sebagai manusia bermaruah, mempunyai harga diri, mempunyai naratif hidup yang unik dan nyawa yang berharga, mereka haruslah menyertai konvensyen ‘persaudaraan’ yang sama seperti kita. Jika tidak, maka penderitaan dan kesakitan yang mereka alami boleh dineutralkan dan diminimumkan dengan kiraan rasionaliti utilitarian, yakni kesakitan yang banyak boleh dikawtim jika ia boleh mencegah kesakitan yang lebih banyak. Dan kita dengan mudah melabelnya sebagai collateral damage atau ‘darurat perang’.

Ini rumus yang digunakan oleh Kolonel Powell untuk meneruskan niatnya meluncurkan peluru berpandu yang pastinya membahayakan nyawa Alia. Seperti mana rumus-rumus lain, angkanya boleh diubah bergantung kepada keputusan dan hasil yang kita mahu. Dan Kolonel Powell tak teragak-agak untuk mengubahnya.

Filem ini bagus kerana ia merangsang penonton untuk meneliti pro dan kontra setiap hujah yang dilantunkan dengan terbuka, di samping mengajak kita untuk menyelak topik ini dari pelbagai sudut pandang. Bahasa filemnya jelas ke arah itu. Ia tak tertutup atau bersifat hitam-putih.

Tapi ia mula hambar apabila Alia muncul dan diletakkan sebagai paksi plot. Bila Alia muncul jual roti, filem ini seolah-olah lupa kepada isu-isu yang disentuh dari awal, yang pada saya boleh jadi bahan debat yang lebih hebat, antaranya soal diplomasi antara negara, risiko orang awam mungkin akan terkorban dan sebagainya. Seolah-olah isu ini tak cukup kuat untuk mencengkam otak penonton, maka diperlukan seorang budak comel yang tak bersalah untuk menarik simpati kita kepada isu ini. Seolah-olah dua atau tiga orang awam terkorban tak cukup kasihan berbanding seorang kanak-kanak yang terkorban. Adakah ini satu lagi ilusi etika?

Saya memang tak bersetuju kalau anda cakap Alia digunakan untuk memenuhi tuntutan cerita yang lebih luas. Dengan menggunakan Alia, filem ini sendiri telah menyempitkan wacana dalam cerita dan yang paling penting mengundang persepsi yang salah terhadap realiti penggunaan drone. Macam yang saya cakap  di awal tadi, dilema yang terpaksa dihadapi watak-watak dalam filem ini ialah Dilema Dostoevsky. Dostoevsky menulis, jika kita berkuasa untuk menjadikan dunia ini dan penghuninya hidup aman damai dengan syarat kita mesti menyeksa seorang kanak-kanak sampai mati, maka sanggupkah kita melakukannya?

Dilema ini sebuah debat filsafat yang memerlukan kita meneliti konsep deontoligikal Kant, memahami etika utilitarian atau paling ringan baca buku Zizek. Barulah kewujudan (atau kematian) Alia (berbanding kematian 80 nyawa lain) dapat diwajarkan dalam konteks wacana yang lebih segar. Filem ini malangnya tak mengandungi debat sedemikian. Dan saya rasa debat sedemikian memang tak sesuai ditonton dalam filem, ia perlu dibaca dalam buku.

Nada debat dalam filem ini ialah realpolitik. Dan saya tak dapat terima realpolitik memerlukan debat yang panjang berkenaan soal mana yang lebih utama; menyelamatkan nyawa seorang manusia atau menyelamatkan nyawa 80 manusia. Para jeneral, para peguam dan ahli politik takkan membahaskan isu ini dengan dahi berkerut. Ia bukan sebuah persoalan yang rumit apatah lagi debat dalam realpolitik! Berdasarkan rekod yang dipegang Obama saya memang tak percaya.
  
Sebab itu pengarah dan penulis lakon layar filem ini sepatutnya memfokuskan kepada isu-isu awal tadi, isu-isu yang bila Alia muncul terus tak diendahkan lagi, tentang batas geopolitik, tentang nyawa orang awam yang berada berhampiran rumah pengganas itu dan sebagainya.

Kerana realitinya, jarang kita berdepan dengan Dilema Dostoevsky dalam medan perang apatah lagi dalam hal serangan drone. Realitinya, persoalan etika serangan drone yang panas didebatkan sekarang ialah “bolehkah kita korbankan berpuluh nyawa orang awam untuk membunuh seorang pengganas”, bukan “bolehkah kita korbankan seorang kanak-kanak untuk selamatkan 80 orang awam”.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Reprieve, dalam usaha membunuh 4 orang pengganas di Pakistan, serangan drone telah mengorbankan 221 orang awam (termasuk di dalamnya 103 kanak-kanak), di mana ironinya 3 daripada pengganas ini masih hidup dan seorang lagi mati sakit. Di Yaman, untuk membunuh 17 pengganas, 273 orang awam menjadi korban. Antara tahun 2004 sehingga 2013, usaha memburu 14 pengganas di Pakistan telah mengorbankan 142 kanak-kanak, di mana hanya 6 kanak-kanak mati dalam serangan yang benar-benar membunuh sasaran. Dalam laporan ini, saya tak jumpa lagi situasi di mana drone perlu buat pilihan antara nak selamatkan seorang budak atau selamatkan 80 nyawa lain, yang jelas kedua-duanya drone sapu bersih.

Apa yang paling teruk, orang awam terbunuh tapi pengganas tak juga mampus. Dalam senarai nama mereka yang terbunuh, didapati beberapa nama individu yang sama muncul dalam beberapa serangan. Ada nama individu yang sama muncul dalam tujuh serangan. Secara purata individu-individu ini dilaporkan terbunuh sebanyak tiga kali sebelum mereka benar-benar mati. Kalau sasaran sebenar belum mati, siapa yang dibunuh AS dalam dua serangan sebelumnya? Fakta ini menunjukkan perisikan AS dan sekutunya memang gagal untuk benar-benar mengenalpasti sasaran mereka. Serangan drone boleh disebut serangan rambang yang diragui ketepatannya. Tapi masalah ini tak disentuh dalam filem ini, sebaliknya penonton ditunjukkan yang kamera drone mampu merakamkan video beresolusi tinggi dan pengecaman wajah sasaran dapat dilakukan dengan mudah. Ini seolah-olah menyokong Obama yang yang sentiasa meyakinkan rakyatnya tentang ketepatan serangan drone.

Filem ini yang pada awalnya mampu untuk mengajak penonton menekuni soal serangan drone secara kritikal (kerana memang itu niat pengarahnya) bakal bertukar menjadi propaganda murahan yang mengabsahkan penggunaan drone. Anda boleh baca pelbagai ulasan yang mengangkat filem ini, kononnya ia memaparkan betapa kompleksnya keputusan yang perlu dibuat untuk meluncurkan peluru berpandu dari drone, betapa ia meneroka etika serangan drone dan sebagainya. Seolah-olah tindakan melumatkan tubuh 142 kanak-kanak di Pakistan telah melalui proses deliberatif yang murni. Jadi ini masalah Eye in The Sky. Ia cuba bersikap kritikal terhadap realiti serangan drone tapi segan (atau gagal) untuk menyelongkar isu-isu yang berkaitan dengan drone secara jujur, sebaliknya melihatnya dari sudut yang salah, dan seterusnya mematikan debat yang kritikal.

Saya faham filem ini fiksyen. Tapi fiksyen bukan bermaksud ia tak mempengaruhi persepsi orang awam. Operasi yang melibatkan drone adalah operasi sulit di mana tak banyak maklumat yang didedahkan kepada pengetahuan umum. Munculnya filem sebegini seolah-olah memberi isyarat yang ia menggambarkan realiti sebenar serangan drone.

Walaupun begitu, Eye In The Sky masih bukan sebuah filem yang buruk. Garapannya kemas dan berbaloi ditonton. Paling penting, dalam adegan akhir, filem ini cuba memberitahu kita yang terrorisme takkan boleh mencegah terrorisme, malah ia memunculkan lebih banyak terrorisme. Ketika Alia cedera parah, bukan tentera Kenya apatah lagi tentera Britain atau Amerika yang bawa dia ke hospital, tapi militan al-Shabab. Tak susah untuk kita faham jika si ayah yang sebelum ini tak menyokong ekstremisme memilih jalan yang berbeza.

Dan subjek terrorisme tak boleh dilihat berpunca dari keganasan individu yang berhati syaitan semata-mata. Manusia adalah manusia. Dia punya potensi untuk menyayangi, dia juga punya potensi untuk mengganas. Dia boleh menyayangi seseorang dan pada masa yang sama bertindak ganas terhadap orang lain. Isunya, apa yang mendorong manusia untuk melakukan kedua-duanya. Adakah militan al-Shabab yang bersimpati membantu Alia seorang yang kejam? Adakah Leftenan Jeneral Benson yang baru selesai beli anak patung untuk cucunya (tapi tak teragak-agak untuk korbankan Alia) seorang yang kejam?

Terrorisme adalah pertarungan politik dan psikologi kelompok tertentu dalam menegakkan, mengekalkan dan menguatkan legitimasi kelompok masing-masing dengan cara kekerasan. Ketakutan ialah bahan bakar terrorisme. Ia boleh dilakukan oleh sebuah kumpulan seperti ISIS, ia juga boleh dilakukan oleh sebuah negara seperti Amerika Syarikat.

I have attended the immediate aftermath of five suicide bombings, on the ground, with the bodies. What you witnessed today with your coffee and biscuits is terrible. What these men would've done would've been even more terrible. Never tell a soldier that he does not know the cost of war,” balas Leftenan Jeneral Benson kepada politikus yang mengeji tindakannya melancarkan peluru berpandu tanpa mempedulikan keselamatan Alia.

Kenyataan di atas mungkin boleh dijawab dengan apa yang ditulis Zizek:

The experience that we have of our lives from within, the story we tell ourselves in order to account for what we are doing, is fundamentally a lie, the truth lies outside, in what we do.”

No comments:

Post a Comment