Tuesday, August 19, 2014

Revolusi Yang Meluncur Laju

Dengan pelbagai penafsiran tentangnya, boleh disimpulkan globalisasi datang dalam paradoks, ia muncul bersama dua karakter yang kontradik:  ia memungkinkan pluraliti dan pada masa yang sama ia memungkinkan juga hegemoni, ia mewujudkan homogenisasi, pada masa yang sama juga heterogenisasi. Korea memanfaatkan ini sepenuhnya dengan membawa apa yang disebutkan sebagai hallyu atau gelombang Korea dengan mengeksport budaya popular ke seluruh pelosok dunia, termasuk Malaysia, bermula dengan drama, muzik dan kemudiannya filem (dan sekarang mungkin tv show dengan adanya Running Man). Dan seperti yang selalu aku sebut, dalam society of the spectacle budaya popular datang  bersama semangat konsumerisme yang kental - menjual imej, simbol, tanda dan penampakan - yakni sebuah gaya hidup bernuansakan pemaknaan yang artifisial, bukan esensial. Tapi zaman ini, siapa yang mahu gaya hidup yang serius, kan?

Dengan segala keterpesonaan yang dibawa budaya popular Korea, termasuk Psy yang popular dengan tarian ala kuda kepangnya itu - yang secara peribadi menuntut aku untuk bersabar memahami kompleksiti manusia – aku lebih tertarik kepada filem-filem Korea. Setakat ini, pada pendapat aku, berbanding drama dan muzik yang agak mendatar tema dan persembahannya, filem Korea telah melangkau jauh meninggalkan dua bidang tadi dengan terhasilnya filem-filem yang hebat serta menyentuh pelbagai genre dan pada masa yang sama mula membuatkan aku mencari filem Korea melalui nama pengarah-pengarah mereka. Kau akan sedar filem kau memang hebat bila Hollywood mula terhegeh-hegeh hendak merosakkan filem kau atas alasan remake.

Penilaian aku tentang muzik Korea mungkin agak bias kerana lagu Korea yang aku ulang dengar hanyalah lagu dari Youme (itupun cover song) yang terselit sebagai runut bunyi filem Windstruck, yakni filem Korea kedua yang aku tonton selepas Shiri, yang kemudiannya menghantar aku kepada filem My Sassy Girl dan membuatkan aku jatuh hati dengan lakonan Jun Ji-Hyun. Lagu-lagu lain hanyalah bunyi-bunyi yang aku tak ambil serius, hanya singgah di lubang telinga dan akhirnya pergi begitu saja. Aku hanya akan serius dengan muzik Korea bila mereka ada pemuzik seperti Elena Tonra.

Drama Korea pula hanya dua yang aku ikut sampai tamat episodnya: The Devil dan IRIS. Aku tonton IRIS kerana ada Lee Byung-Hun yang aku kagum menerusi filem-filemnya bersama pengarah Kim Jee-Woon. Jadi perkenalan aku dengan muzik dan drama Korea pun kerana filem-filem Korea. Drama The Devil adalah kes unik kerana aku menontonnya akibat dipaksa adik aku ketika aku berkeras mengatakan drama Korea terlalu emosional dan melekakan. Jadi dia cabar aku tonton The Devil walaupun aku tak pasti cabaran itu untuk membuktikan apa. Hasilnya tuduhan aku benar, ia memang melekakan. Aku menghabiskan 20 episod The Devil dengan penuh dedikasi tanpa banyak soal. Jelas sekali, walaupun tuduhan aku benar tapi adik aku yang menang dalam hal ini. Dan jelas apa yang dia cuba buktikan.

Aku pernah beritahu sebelum ini yang aku menolak untuk melayan lagu dan drama Korea secara konsisten kerana ia mendatangkan ketagihan kronik, lebih-lebih lagi lagu dan drama Korea datang silih berganti dengan kelajuan cahaya, berbanding filem yang datang dalam skala yang wasatiyyah. Justeru wajib untuk aku mengingatkan agar berhati-hati dengan produk budaya dari Korea kerana ketagihan terhadapnya satu hari nanti mungkin boleh diisytiharkan sebagai neurotik (menambah satu lagi “disoder” dalam kamus perubatan) dan kau mungkin terpaksa dimasukkan ke dalam pusat pemulihan. 

Snowpiercer membariskan dua nama besar dalam industri filem Korea, Bong Joon-ho di kerusi pengarah dan penulis lakon layar (bersama Kelly Masterson) serta Park Chan-wook sebagai penerbit. Trilogi Vengence arahan Park Chan-wook adalah filem-filem wajib tonton untuk kau faham terma sweet revenge dengan sebenar-benarnya, terutamanya Old Boy yang akan buat kau melopong, terkedu dan terdiam untuk beberapa minit. Sebelum menonton Snowpiercer aku didatangi perasaan pesimis bahawa filem ini mungkin gagal memenuhi ekspektasi yang aku harapkan kerana selalunya pengarah bukan Inggeris yang cuba untuk menghasilkan filem berbahasa Inggeris, cenderung gagal untuk mengulangi kecemerlangan filem yang mereka hasilkan dalam bahasa ibunda mereka. Park Chan-wook contohnya menghasilkan Stoker yang sejujurnya bagi aku bukanlah filem yang gagal, tapi tak dapat menandingi kegelapan filem-filemnya sebelum ini. Yang terbaru aku menonton Foxfire, buah tangan kedua pengarah Perancis, Laurent Cantet yang gagal mengulangi kehebatan debutnya, The Class.

Jawapannya mudah saja, kita lebih selesa berkarya dalam bahasa ibunda kita sendiri. Dan selepas menonton Snowpiercer tesis di atas memang terbukti. Ia bukan sebuah filem yang gagal, pastinya ia seratus kali lebih baik dari filem-filem Michael Bay, dengan plot yang sederhana dibarisi pelakon multinasional yang hebat. Ya, barisan pelakonnya bukan calang-calang. Tilda Swinton paling menonjol tentunya. Cuma Snowpiercer tak mencapai tahap Bong Joon-ho (atau memenuhi ekspektasi aku), tapi beliau dapat menyampaikan unsur politikal dengan terang tanpa bersuluh berbanding filem-filemnya yang terdahulu. Plotnya yang sederhana itu nampak menarik mungkin kerana mise en scenenya, yakni sebuah keretapi yang meluncur laju, dengan pelbagai gerabak yang unik dibantu sinematografi yang hebat, lagi pun bukan selalu kita menonton revolusi di dalam keretapi. Rampasan ya, revolusi belum.

Snowpiercer yang merupakan adaptasi dari komik grafik Perancis, Le Transperceneige adalah sebuah alegori sosio-politik yang baik. Entah berapa kali aku mengulang perkataan ‘baik’ di sini, maksudnya ia bukanlah sebuah naskah yang monumental, tetapi masih menghiburkan. Cukup menghiburkan. Ia membawa kita ke sebuah dystopia, ketika dunia kembali ke zaman ais setelah percubaan untuk menurunkan suhu dunia dengan menyebarkan agen penyejuk yang digelar CW-7 menemui kegagalan, menyebabkan dunia dilanda suhu sejuk yang ekstrem. Zaman pasca-apokaliptik ini membuatkan kumpulan penduduk dunia yang masih terselamat berkampung di dalam sebuah keretapi bernama Snowpiercer,  yang bergerak mengelilingi dunia menggunakan enjin perpetual-motion. Justeru, Snowpercer ialah sebuah keretapi atau negara bergerabak yang membentuk struktur politiknya sendiri. Walaupun sisa populasi manusia semakin kurang, utopia tentang negara berkebajikan atau masyarakat egalitarian tak juga wujud. Manusia masih hidup seperti biasa, seperti manusia. Di dalam Snowpiercer masih wujud pembahagian kasta sosial di mana golongan elit menghuni gerabak mewah di bahagian depan manakala golongan miskin ditindas dan hidup melarat di bahagian ekor keretapi.

Tertekan dengan penindasan yang semakin menghimpit, golongan miskin diketuai Curtis, dibantu mentornya, Gilliam, merancang kudeta untuk menguasai bahagian enjin yang dikawal Wilford, sang borjuis yang membina Snowpiercer, yang statusnya seperti Kim Jong-Un, presiden Korea Utara yang berambut hodoh itu. Tapi perancangan perlu diatur dengan teliti, kerana sejarah menulis sudah banyak revolusi di atas Snowpiercer yang digagalkan, antara faktor utamanya ialah kegagalan menguasai bahagian enjin. Dengan bantuan Nam Koong Min Soo - jurutera keselamatan yang bertanggungjawab merekabentuk pintu setiap gerabak - maka bermulalah kudeta Curtis dan rakan-rakan, menakluk gerabak demi gerabak dalam usaha mereka menguasai sektor terpenting di depan, yakni bahagian enjin. Dan kita melihat sendiri keunikan setiap gerabak yang merefleksikan sebuah struktur politik, di samping menghargai mis en scene yang indah di setiap gerabak dengan kejutan dan adegan dramatik yang memberahikan.

Filem ini bermain dan menyentuh persoalan sosio-politik dengan perlambangan, simbolisme dan metafora yang kuat. Dengan membaca sinopsis ringkas di atas kita sudah boleh menarik signifikasi bahagian enjin sebagai struktur terpenting Snowpiercer dan terus mengingatkan kita kepada konsep base-superstructure. Watak Mason (Tilda Swinton) ibarat rujukan terus kepada Margaret Thatcher. Dengar saja  peringatan yang diberi Mason dan juga wawasan Wilford yang sarat dengan falsafah Machiavellian, Hobbesian dan Malthusian. Keretapi Snowpiercer itu sendiri yang dijana enjin perpetual motion  yang dikatakan self-sustaining (yang sebenarnya mustahil direalitikan) umpama utopia tentang self-regulating market yang berjalan dengan invicible hand, untuk akhirnya kita sedar kedcua-duanya  adalah mitos. Fuh, sungguh Marxist makna yang aku cungkil! Tapi kau tengok sendiri siapa yang menjana mesin tersebut dan kau akan faham apa yang aku maksudkan. Filem ini ada kejutan dan aku tak berniat untuk mendedahkannya di sini. Pergi tengok sendiri.

Snowpiercer menghamparkan kepada kita dua kenyataan dan satu persoalan:
1)      Perjuangan menentang status quo kadang kala merangsang si pejuang – yang mula sedar bagaimana struktur sosio-politik berjalan - masuk ke dalam sistem yang ditentangnya.
2)    Untuk mewujudkan sebuah perubahan total dengan tatanan baru, struktur lama perlu dimusnahkan sepenuhnya.
3)    Berbaloikah perjuangan demi sebuah kemusnahan, yang menghantar kita kepada persoalan utama - bersediakah kita menghadapi risiko dari kemusnahan tersebut?

No comments:

Post a Comment