Friday, November 7, 2014

Berziarah ke Perkuburan Uchiha


Tulisan ini didedikasikan kepada Itachi Uchiha.




How much blood and horror lies behind all "good things".

-Friedrich Nietzsche-

Segala mak nenek pertelingkahan dalam dunia shinobi berasal dari impian Kaguya untuk mencipta keamanan yang utopia? Seni berperang ninjutsu mulanya adalah sebuah agama bernama Ninchu yang mengajarkan kedamaian? Dan chakra pada zaman purba bukan digunakan sebagai senjata tapi diagihkan sebagai medium menghubungkan spiritual manusia? Chakra diagihkan untuk menghubungkan spiritual?!! Fakta apakah ini? Yang aku tahu chakra di tangan Pein menjadikan Konoha padang jarak padang tekukur, bukan medium tahaluf siyasi antara manusia.

Ah, alegori Masashi Kishimoto memang menarik. Aku terfikir adakah dia sang postmodernist yang beriman dengan sabda Lyotard bahawa zaman ini dimaknakan oleh ketakpercayaan kepada metanaratif. Bukan juga satu kebetulan, tragedi adalah tema penting Naruto (siap ada watak bernama Pein). Dan Kishimoto memunculkan ramai manusia idealis yang bertukar kejam, dia mencipta ramai tragic hero bersama tragedi yang menimpa mereka. Adakah Kishimoto mahu menyambung legasi yang ditinggalkan Schopenhauer, Kierkegaard dan Nietzsche; yang mahu melihat tragedi sebagai idealisme yang akan menggantikan wacana teologikal dan metafizikal yang dikatakan sudah hilang gah. Dari sisi lain pula dia seolah-olah memakai tema Kafkaesque, mengajak kita untuk beriman dengan absurdisme Sisyphus dan menentang konsep tragedi sebagai pemaknaan hidup yang fatalistik. 

Madara, Obito dan Nagato adalah spesis manusia idealis yang terkurung dalam tragedi. Mereka manusia yang patah hati menunggu keamanan tak kunjung tiba, manusia yang kecewa dengan peperangan dan pertumpahan darah bersilih ganti. Tapi mereka enggan hidup dengan harapan yang diberi manusia lain. Seperti yang disebut Obito, ”berharap bermaksud menyerah”. Lantas kerana enggan menyerah mereka mahu menakluk. Mereka mahu menjadi tuhan dengan mencipta takdir mereka sendiri, sebuah dunia utopia tanpa kesengsaraan. Mereka memasang impian menyatukan manusia di bawah satu hegemoni. Di sini tanpa sedar idealisme keamanan digantikan dengan idealisme dominasi. Enggan menyerah satu semangat yang baik, yakni keinginan untuk menjauhkan diri dari sikap fatalistik, tapi semangat itu tidak membumikan idealisme keamanan yang mereka idamkan, seperti yang diperjuangkan Naruto. Sebaliknya ia hanya menelurkan kecenderungan untuk menindas kerana dominasi dalam bentuk apa pun, cenderung mewujudkan bibit-bibit penindasan. Idealisme dominasi akhirnya hanya berkisarkan kepentingan diri berbanding kepentingan bersama.

Obito contohnya bercita-cita melanjutkan projek legasi Madara, Tsukinome, sebuah genjutsu tahap supernova yang membuatkan seluruh dunia tunduk kepadanya, atau dalam pengertian Obito, dunia akan ‘menyatu’ dengannya, seterusnya membuang segala perselisihan dan mewujudkan keamanan. Secara teknikal, Projek Tsukinome sekadar sebuah projek perhambaan manusia sejagat yang bertujuan merogol segala keinginan dan hasrat manusia untuk akhirnya memberanakkan uniformity dan conformity. 

Semua manusia idealis ini, dengan sejarah dan latar belakang yang pelbagai, berusaha mengumpul weapon of mass destruction ketika itu yakni nine tailed beasts untuk mencapai matlamat masing-masing. Tanpa disedari mereka hanyalah bidak-bidak catur yang melengkapkan metanaratif Black Zetsu untuk membangkitkan semula Kaguya. Ini sebuah alegori jujur yang membentangkan hakikat realpolitik masa kini. Semua pertelingkahan dalam dunia ini – dengan pelbagai faktor yang rencam dan kompleks – jika ditelusuri berpunca dari sebuah kuasa besar yang mengambil kesempatan untuk mencaturi dunia. Setiap pertelingkahan adalah permainan sampingan yang diatur untuk mencapai matlamat tertentu dalam bingkai naratif yang lebih besar, yang selalunya ditutup dengan selubung konflik sektarian. Kuasa besar ini bukan setakat menciptakan permainan tapi juga peraturan permainan untuk memastikan kemenangan mutlak milik mereka.

Sebenarnya aku sudah lama tinggalkan Naruto. Ada beberapa sebab tentunya. Antaranya aku tak dapat terima kenyataan yang shinobi paling cool, yakni Itachi mati dalam keadaan tak cool di tangan adiknya yang perasaan cool. Selain itu aku juga menghadapi kesukaran untuk meneruskan perhubungan yang memerlukan komitmen yang panjang. Kenyataan ini mungkin mengguris hati ramai gadis di luar sana. Tapi kenyataan tetap kenyataan. Anime Naruto (termasuk Shippuden) sudah meleret sehingga ke beratus-ratus episod, sebagai jantan maskulin aku tidak boleh mendedikasikan hidup aku untuk ikut Naruto sampai mampus. Banyak lagi kerja berfaedah lain yang boleh dibuat. Aku juga perlu menyibukkan diri di media sosial, kerana berbanding Naruto, aku adalah entiti yang wujud. Maka untuk membuktikan kewujudan aku, aku wajib menyertai skim konvensi sosial yang bernama Facebook. Aku berFacebook, maka aku ada. 

Tapi di ruang virtual Facebook aku sesat dalam keriuhan kata-kata. Media sosial sudah jadi skizofrenia sosial. Akibat kesewelan yang memuncak di Facebook  - dan aku juga dengar manga Naruto hampir tamat - aku terlanjur tonton semula Naruto episod 1. Bagi peminat Naruto, menonton adegan awal sudah mendatangkan perasaan yang mengujakan, menonton beliau menangis ketika bayi sambil lagu Rocks berkumandang umpama semboyan menuju medan jihad dengan menghayun langkah kaki penuh positif. Menonton saat-saat awal Naruto sebagai kanak-kanak yang rindukan perhatian manusia lain. Menonton bagaimana dia kemudiannya menjadi idealis tegar yang berkhutbah tentang keamanan dan kasih sayang dalam dunia yang berselingkuh dengan peperangan dan memuntahkan kematian. Dan  menontonnya membuahkan hasil yang amat bernas. Umpama terkena genjutsu Kotoamatsukami, aku menjalin semula hubungan sulit yang lama terputus. Dengan rela hati aku mengulang semula episod-episod penting dan bersejarah dalam Naruto kerana dia dan komradnya ternyata dalam banyak hal, dalam nuansa yang lebih visualistik, santai dan kontemplatif tentunya - berbanding media sosial - selalu mengingatkan aku tentang beberapa perkara yang dipandang remeh. 

Sesetengah orang melihat Naruto sebagai sumber motivasi, mengajar erti kesusahan untuk berjaya, mendidik kita tentang setiakawan dan kasih sayang, memperlihatkan kepada kita keazaman yang tinggi boleh merobohkan benteng paling ampuh dan sebagainya. Elemen motivasi ini memang ada dalam Naruto. Dan aku boleh terima kerana Masashi Kishimoto sampaikannya melalui naratif yang bijak dan tidak nampak terdesak untuk kelihatan didaktik. Naruto sebuah manga (atau anime) yang tak terlampau berat dan tak juga terlalu ringan. Dan atas sifat wasatiyyah ini aku boleh menghargainya.

Tapi aku suka melihat sisi lain dalam Naruto, sisi yang lebih gelap. Sisi yang banyak ditonjolkan oleh watak-watak antagonisnya. Ya, sisi tragedi yang aku sebutkan di awal tadi. Aku suka melihat dengan teropong yang dipakai Huzaifah ibn Yaman, mengenal kejahatan untuk menghindari diri dari kejahatan. Kerana seperti kata Rasulullah kebaikan di zaman ini diselaputi asap, oleh sebab itu kita tak dapat memandangnya dengan mata yang jernih. Maka dengan mengenal kegelapan kita boleh menghargai cahaya. Kerana kegelapan bukan lawan kepada cahaya, tapi ketidakhadiran cahaya. Begitulah aku melihat plot Naruto, ia bermain dengan persoalan baik-jahat bukan dalam hubungan yang terlalu rigid. Dan dalam Naruto ada sebuah sejarah gelap yang menarik. Sejarah yang boleh mengajar kita sesuatu.

Semua negara ada sejarah gelap masing-masing. Sejarah yang cuba ditutup dari pengetahuan umum. Sejarah yang jika dimunculkan sekadar menerbitkan salah faham dan kerosakan yang kolektif. Sejarah jika dibuka semula tidak lagi berdiri sebagai peristiwa yang beku kerana sejarah tak mampu mewakili dirinya sendiri, tapi ia akan dicairkan sebagai naratif yang memungkinkan pelbagai penafsiran yang selalunya tidak jujur dengan konteks sejarah itu sendiri. Sejarah yang dibuka semula selalunya bukan ditafsir oleh pelaku sejarah, tetapi oleh manusia yang mungkin sudah hilang (atau sesat) hubungan dan pemahaman yang bersifat kontekstual dari sejarah itu sendiri. Dan bukan satu kebetulan yang kebanyakan sejarah adalah tragedi.

Pembantaian Puak Uchiha (Uchiha Massacre) adalah sejarah gelap yang amat realpolitik sifatnya, sebuah tragedi yang jujur menilai hakikat politik bernegara, yang dalam banyak hal membuatkan aku berfikir tentang pergelutan kuasa dan permusuhan yang mendasari plot utamanya dari perspektif yang lebih berani. Pembantaian Puak Uchiha adalah sisi paling realis, paling berpijak di bumi nyata dari Masashi Kishimoto, meninggalkan tema-tema idealis yang terlalu lurus dan kartun sifatnya. Pada awalnya sejarah ini tidak diperincikan. Ia sejarah terlarang yang tidak ditulis dalam buku teks Sejarah Konoha. Kita cuma tahu Itachi melakukannya secara solo untuk menguji kemampuannya. Tapi dalam Naruto Shippuden, sejarah ini dibongkar oleh Obito yang menyorotnya dari  perspektif clan struggle.

Pembantaian Puak Uchiha didedahkan sebagai konspirasi yang mendapat restu dari pihak tertinggi Konoha, dalam kes ini tiga mursyidul amnya, Koharu, Homura dan Danzo. Walaupun Hokage Ketiga tidak bersetuju dengan rancangan ini, tapi beliau sendiri merasa pendekatan diplomasi yang digunakannya tidak mampu lagi memujuk puak Uchiha. Dengan tekanan yang diterima dari tiga mursyidul am, yang mempersoalkan pendekatannya yang semakin tumpul, Hokage merasa buntu untuk mencari alternatif lain. Ditambah pula dengan kesediaan Itachi untuk melaksanakannya, yakni membunuh keluarga dan puaknya sendiri, sudah tentu pada perkiraan Hokage, Itachi sendiri sebagai ninja paling cool dan bijaksana merasakan bahawa itulah jalan terbaik. Malah Itachi sendiri telah menjalankan risikan yang terperinci terhadap puak Uchiha  dan rancangan kudeta mereka.

Persoalannya kenapa perlu melakukan penghapusan puak secara muktamad? Mengapa tidak mereka yang terlibat saja dibunuh? Mengapa perlu mengorbankan kaum wanita dan kanak-kanak?  Penyakit sewel apa yang menjangkiti Itachi, ninja yang percaya kepada idealisme Will of Fire, yakni cinta adalah asas keamanan, untuk akhirnya membenarkan pembunuhan beramai-ramai itu berlaku?

Jawapannya tak pernah mudah. Pertama sekali, dunia Naruto ialah dunia feudalisme berkuasa. Sebelum menubuhkan Konoha, puak Senju dan puak Uchiha adalah dua grup militia tersohor yang saling bersaing untuk mendapatkan kontrak perang dari kuasa feudal yang bercakaran. Perang dan pembunuhan adalah sumber pendapatan dan permainan mereka sehari-hari. Ada satu dialog menarik ketika Hokage Pertama dan Hokage Kedua dibangkitkan semula oleh Orochimaru. Kata Hokage Pertama dengan nada kesal, “Nampaknya setiap zaman pasti  ada peperangan.” Sebelum dibalas sinis Orochimaru, ”Tapi kau suka perang, kan?”

Perdamaian di antara Senju dan Uchiha, dari perspektif kritis aku, bukan sekadar bertujuan mewujudkan keamanan (agak absurd sebenarnya untuk sekumpulan pembunuh upahan bercakap tentang keamanan), tapi menghapuskan persaingan yang merugikan. Ya, aku percaya tahaluf siyasi antara Hashirama dan Madara berkait dengan soal untung-rugi, bukan soal keamanan-perang. Mereka bercakap sebagai dua orang businessman bukan pejuang keamanan ala Mandela.

Dengan tertubuhnya Konoha, puak Senju dan Uchiha telah menguatkan jenama mereka sebagai jentera perang paling efektif dan ternyata sehingga sekarang Konoha dianggap sebagai negara ninja paling kuat di muka bumi. Mungkin generasi selepas mereka yang terkesan dengan beberapa Perang Dunia Ninja yang berlaku mula sedar tentang pentingnya keamanan, perdamaian dan diplomasi. Mungkin Hokage Kedua dengan dasarnya yang lebih kosmopolitan mahu melakukan glasnost dan perestroika terhadap Konoha. Walaupun demikian bagi aku itu masih agak absurd. Sehingga kini Perang Dunia Ninja sudah berlangsung untuk kali yang keempat. Untuk berkhutbah tentang keamanan, Naruto sepatutnya berhenti menjadi ninja dan menghabiskan hidupnya sebagai petani. Itu baru betul.

Dengan tertubuhnya Konoha juga, kesetiaan dan fanatisme terhadap puak masing-masing digantikan dengan kesetiaan tunggal terhadap negara. Konoha adalah segala-galanya dan kepentingan Konoha mengatasi kepentingan lain. Itu yang dimaksudkan oleh Hokage Pertama dalam manifesto kenegaraannya, Will of Fire, yakni kecintaan kepada Konoha adalah kunci kepada keamanan. Will of Fire dikatakan berasal dari idealisme Asura jika dilihat dari konteks yang universal, tapi dalam konteks kenegaraan Konoha, cinta dan keamanan itu perlu dibaca dengan cara berbeza. Cinta yang ideal adalah cinta kepada Konoha, dan keamanan yang ideal adalah keamanan Konoha. Ini bai’ah penduduk Konoha dan ini konteks yang perlu difahami sebelum kita menilai tindakan Itachi dan mursyidul am Konoha.

Kedua, kudeta tersebut disokong oleh majoriti puak Uchiha. Kali terakhir seorang Uchiha yang bernama Madara memberontak, hasilnya adalah bencana berskala mega apabila Madara ketika berlawan dengan Hokage Pertama telah menggunakan Kyubi sebagai senjata. Anggap sahaja Kyubi atau nine tailed beasts sebagai senjata nuklear pada zaman itu. Jadi bayangkan risiko dan kesan yang bakal terjadi bila majoriti puak Uchiha memberontak. Selepas serangan Kyubi yang mengorbankan Hokage Keempat, muncul desas-desus yang puak Uchiha bertanggungjawab mendalangi serangan tersebut. Itachi sebagai ahli ANBU tentu lebih arif yang puak Uchiha di Konoha tak mampu melakukannya. Dia sedar ada Uchiha di luar Konoha yang melakukannya dan akan memanfaatkan konflik dalaman Konoha untuk melakukan serangan sekali lagi.

Itachi bimbang, jika tidak disekat, kudeta tersebut boleh menjemput kuasa luar untuk menangguk di air keruh dan merebak dari perang saudara menjadi Perang Dunia Ninja. Bagi Itachi, tanpa dia melakukan pembunuhan terhadap kaum Uchiha pun, mereka akan mati dalam perang terhadap Konoha (atau lebih awal, mati disembelih skuad ANBU). Bezanya perang akan memakan korban yang lebih besar, bukan saja kepada puak Uchiha tapi juga Konoha. Mungkin ada yang berpendapat lebih baik berperang dari melakukan pembunuhan beramai-ramai. Bagi manusia seperti Itachi, seorang kapten ANBU dan saksi mata Perang Dunia Ninja Ketiga, beza definisi bunuh dan perang itu cuma senipis kulit bawang.

Ketiga, peranan yang dimainkan Madara sebagai ideolog penting dalam puak Uchiha yang kerap menekankan elemen clan struggle antara Uchiha dan Senju dalam usahanya mengejar kuasa. Kudeta yang dirancang puak Uchiha sebahagian besarnya bermuara dari legasi Madara untuk mengabsahkan penentangannya terhadap Konoha. Madara ialah diktator yang hilang pengaruh, baik dari segi kredibiliti kepimpinan mahupun kekuatan fizikal. Kelebihan Hokage Pertama dari segi tindakan politikalnya yang bijak dan kekuatan ninjutsunya yang supremo telah membuatkan Madara terkial-kial mencari jalan untuk mempengaruhi puaknya. Jalan paling mudah ialah menciptakan ideologi permusuhan atas nama antagonisme puak. Ideologi clan struggle ini diwariskan dari satu generasi ke satu generasi Uchiha, sebelum menunggu masa yang sesuai untuk meledak.

Keempat, muncul Danzo memainkan peranan. Danzo ialah ninja otai berwatak neo-kon, yang meletakkan kepentingan Konoha mengatasi perkiraan moral dan etika. Perkataan diplomasi tiada dalam kamus hidup Danzo. Sembelih, bunuh dan perang adalah solusi kegemarannya. Danzo adalah watak utama yang bertanggungjawab mengesahkan dakwaan Madara tentang wujudnya konflik puak di antara Uchiha dan Senju. Dia mungkin prejudis dengan puak Uchiha tapi semangat dan idealisme politiknya tak jauh berbeza dengan Madara. Dari sudut lain orang seperti Danzo adalah vanguard kepada sistem Konoha. Hokage Ketiga mungkin tidak bersetuju dengan pendekatan Danzo yang militan, tapi dia tak boleh menafikan - dalam banyak hal - tindakan Danzo adalah untuk kepentingan Konoha. Danzo spesis manusia yang melaksanakan kerja kotor untuk membersihkan Konoha luar dan dalam. Tapi seperti Madara, ideologi totalitarian Danzo akhirnya hanya bertumpu kepada cita-cita peribadi berbanding kemaslahatan Konoha sendiri.

Danzo mendekati dua lagi mursyidul am Konoha, Koharu dan Homura serta meyakinkan mereka tentang rancangannya untuk memastikan puak Uchiha tak lagi menjadi ancaman kepada Konoha buat selama-lamanya. Meyakinkan Koharu dan Himura bererti meyakinkan Hokage. Dan Danzo tak mempunyai masalah dalam hal ini kerana kemelut ini dilihat semakin pincang. Danzo juga meyakinkan Itachi – yang sedar masalah ini semakin sukar dikawal – bahawa rancangan ini akan mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar dan paling penting, mengelakkan adiknya Sasuke dari menjadi korban. Puak Uchiha mempunyai emosi yang mudah dimanipulasi (ini akan dijelaskan kemudian), justeru Itachi tanpa banyak soal menerima solusi ini. Bagi manusia seperti Danzo, kudeta yang dirancang puak Uchiha ialah peluang keemasan untuk dia menghapuskan mereka dari muka bumi Konoha.

Kelima, puak Uchiha dilihat sebagai puak yang dilaknat dengan saka kebencian, ibarat kaum Yahudi yang selalu mendatangkan kerosakan di muka bumi. Mereka sinonim sebagai puak pemberontak. Lebih merbahaya, mereka dianugerahkan senjata paling berharga yakni Sharingan. Oleh itu mereka berpotensi menjadi musuh yang boleh mengganggu gugat kestabilan Konoha. Puak Uchiha dianggap sebagai puak yang sentiasa mahu memerintah, bukan diperintah, lebih-lebih lagi oleh puak Senju. Lebih tepat lagi puak Uchiha ialah puak yang dahagakan perhatian atau gila glamour. Sayang sekali Facebook dan media sosial lain masih belum wujud ketika itu. Kalau ada, tak mustahil Sasuke yang perasan cool itu akan update setiap sejam foto-foto kacaknya beserta statusnya berlatih teknik ninjutsu terbaru.

Kekkei genkai yang mereka warisi sebenarnya ialah masalah psikiatri dan gila isim yang sukar diubati. Sharingan itu ialah kekkei genkai yang cenderung mewujudkan kegilaan. Puak mana yang paling banyak membunuh saudara mereka sendiri semata-mata untuk mengaktifkan Mangekyo Sharingan? Kemudian boleh pulak trauma dan letakkan kesalahan di bahu orang lain sambil mencela ketidakadilan dunia. Ya, memang babi. Puak Uchiha ialah puak yang paling emosional dalam sejarah ninja. Lebih mudah untuk meneka sinopsis Tanah Kubur dari menjangka tahap emosi puak Uchiha. Emosi mereka yang berbolak-balik ini dari satu segi memudahkan mereka dimanipulasi, tapi dari satu segi yang lain memudaratkan manusia di sekeliling mereka. 

Apa buktinya puak Uchiha psikopat? Baiklah aku jelaskan secara ringkas di sini. Psikopat adalah manusia egosentrik tahap ekstrem yang mahu mencorakkan dunia mengikut kemahuannya. Antara personaliti psikopat ialah antisosial, narsisistik, impulsif, sadis, kesepian, agresif dan yang paling penting: manusia dua dimensi (two-dimensional person) yakni manusia yang hanya mampu menggunakan emosinya apabila ia mendatangkan keuntungan kepada dirinya sendiri. Ini yang aku maksudkan emosi yang berbolak balik. Harap kau turut  perhatikan personaliti lain di atas dan kaitkan dengan mana-mana watak puak Uchiha. Ya, kebetulan juga kebanyakan ahli politik memiliki personaliti-personaliti ini.

Itachi sendiri mewarisi penyakit ini. Kau takkan boleh bunuh mak, ayah dan saudara mara kau dengan tangan kau sendiri dalam tempoh satu malam - atas justifikasi apa sekali pun pembunuhan itu dibuat - melainkan dalam diri kau memang ada sisi psikopat. Teori aku kemampuan Itachi melangkaui puak Uchiha sebelumnya, justeru dia mampu mengawal dan memprogramkan sisi psikopat dalam dirinya sepertimana dia memprogramkan Kotoamatsukami pada Naruto dan Amaterasu pada Sasuke. Kalau kau kenal Itachi kau tahu teori ini tak mustahil. Dan kalau kau belajar criminal psychology kau tahu psikopat spesis ini memang wujud.

Psikopat terbahagi kepada  dua; ordinary psikopat dan malignant psikopat. Ordinary sifatnya antisosial, impulsif dan jenayah yang dilakukan didorong faktor material. Malignant sifatnya pemangsa, kejam dan jenayah yang dilakukan didorong faktor dendam atau fantasi sadis. Itachi tergolong dalam kategori kedua. Berbeza dengan ordinary psikopat, malignant psikopat boleh mengorganisasi, mengarah dan memprogram dorongan negatifnya, dan kemudian melepaskannya pada waktu yang dirasakan sesuai. Itachi bukan sebarang psikopat, sebagai prodigy sudah tentu programming yang dilakukannya melepasi tahap expert. Mungkin dengan membantai puaknya sampai pupus Itachi cuba melepaskan dorongan yang ditahan sepanjang hidupnya. Atas kesedaran yang puak Uchiha adalah puak psikopat jugalah menyebabkan Itachi memilih untuk menyembelih mereka. Itachi sedar mereka adalah vermin yang perlu dihapuskan. Mana-mana Uchiha yang waras akan sedar yang diri mereka menghidap kesakitan psikologi yang kronik. Itachi sendiri dari awal memilih untuk mati di tangan Sasuke. Shisui juga memilih untuk bunuh diri. Kalau tak kerana keyakinan yang tinggi terhadap Naruto, Itachi mungkin akan menghapuskan Sasuke dengan tangannya sendiri. 

Kerana saka kebencian dan sisi psikopat yang mereka warisi, puak Uchiha hidup dalam kelompok mereka sendiri, terasing dan terpencil. Kemungkinan puak Uchiha yang memencilkan diri mereka atau mungkin komuniti Konoha yang menjauhkan diri dari mereka. Kedua-duanya boleh dijustifikasikan. Tapi sebagai komuniti psikopat, untuk memudahkan mereka menjalankan kerja-kerja psikopat tanpa gangguan dari pihak luar, rasanya puak Uchiha yang memilih untuk memencilkan diri. Dengan ini segala jenayah dapat disorok dengan mudah, lebih-lebih lagi mereka adalah pasukan polis. Mungkin ini tujuan tersembunyi Hokage Kedua menganugerahkan pasukan polis kepada puak Uchiha yakni supaya aktiviti gila yang mereka lakukan diuruskan sendiri oleh mereka. Campur tangan dari pihak pentadbir Konoha dalam sebarang masalah dalaman puak Uchiha mungkin akan menimbulkan konflik atau menimbulkan salah faham yang Konoha cuba menindas mereka.

Hokage Pertama mungkin sedar masalah psikologi puak Uchiha, kerana itu dia pernah mencalonkan Madara sebagai Hokage untuk mengelakkan krisis yang lebih besar berlaku. Tapi tindakan ini juga dilihat sebagai strategi serampang dua mata. Ini bukan tindakan yang idealis tapi pragmatis. Sebelum Konoha ditubuhkan dia pernah menghalang adiknya, Hokage Kedua dari membunuh Madara kerana dia sedar membunuh Madara ketika itu tidak akan menyelesaikan masalah, lebih teruk ianya akan menjauhkan lagi puak Uchiha dan melanjutkan perang yang tidak menguntungkan. Ramai menganggap Hokage Pertama seorang idealis berdasarkan beberapa tindakannya yang seolah-olah meletakkan keamanan sebagai prioriti utama. Tapi bagi aku, sekali lagi, dia hanyalah seorang pragmatis. Dia menyimpan Madara untuk menarik perhatian puak Uchiha supaya kagum dengan perjuangannya yang (kononnya) mahu memperjuangkan kedamaian. Malah usahanya untuk mencalonkan Madara sebagai Hokage adalah percubaan untuk menambah kekaguman puak Uchiha (dan juga puak lain) terhadap karisma dan kredibilitinya sebagai pemimpin.

Ternyata rancangannya berjaya apabila puak Uchiha (dan juga puak lain) bersetuju untuk melantiknya sebagai Hokage dan meminggirkan pemimpin mereka sendiri, Madara. Imej Madara sendiri ketika itu sudah tercalar, puak Uchiha sendiri melihat dia (malah mereka) bukan lawan kepada Hokage Pertama dan puak Senju. Madara hanya disimpan sebagai umpan untuk mendekati puak Uchiha. Bagi Hokage Pertama, lebih untung menjadikan puak Uchiha sebagai business partner dari menjadikan mereka sebagai musuh. Dia boleh menghapuskan Madara dan puak Uchiha pada bila-bila masa, tapi dia memilih untuk tidak melakukannya. Ini mesej yang mahu disampaikannya. Dan ini menjadikan dia semakin dihormati dan tentunya digeruni.

Berlainan dengan abangnya, Hokage Kedua sebagai seorang realis sejak awal melihat puak Uchiha adalah ancaman berbahaya kepada Konoha amnya dan puak Senju khasnya. Menjadikan puak Uchiha sebagai kawan adalah bencana jangka masa panjang yang membimbangkan. Hanya masa akan menentukan bilakah seorang lagi psikopat seperti Madara akan bangun melawan Konoha. Berbanding Hokage Pertama, pendekatan Hokage Kedua agak keras terhadap puak Uchiha sebelum Konoha ditubuhkan. Setelah penubuhan Konoha, mahu tak mahu Hokage Kedua melihat ancaman puak Uchiha perlu dineutralkan dengan cara yang lebih lurus dan berhati-hati. Kemungkinan beliau sedar puak Uchiha kini adalah sebahagian dari komuniti Konoha. Dan kontrak sosial ini perlu dipelihara sebaiknya untuk menjamin kelangsungan Konoha sendiri.

Hokage Kedua juga sedar tentang saka yang diwarisi puak Uchiha. Menurutnya, puak Uchiha dikurniakan perasaan cinta yang terlalu mendalam di mana kehilangan seseorang yang paling disayangi mereka akan menimbulkan kekacauan emosi yang berbahaya. Sebenarnya, penyakit puak Uchiha tidak spesifik kepada masalah cinta. Mereka menghidap penyakit narsisitik dan psikologi tahap kronik dan cinta hanyalah salah satu dari pencetusnya saja. Masalahnya siapa tahu apa pencetus yang lain. Mungkin ada berpuluh, mungkin juga beratus isu yang boleh mencetuskan kegilaan mereka. Dan untuk menstabilkan emosi puak Uchiha, Hokage Kedua menubuhkan Pasukan Polis Konoha dan melantik puak Uchiha untuk menguruskannya. Mengikut logik beliau, kesibukan menguruskan pasukan polis akan membantu puak Uchiha menfokuskan emosi dan minda mereka pada sesuatu tugasan, di samping itu ia sebagai tanda kepercayaan dan pengiktirafan kepada peranan yang dimainkan puak Uchiha dalam membangunkan Konoha.

Ya, ini memang strategi rawatan yang baik. Tapi seperti yang aku cakap, siapa boleh menjangka emosi gila babi puak Uchiha. Pada fikiran Uchiha seperti Itachi, pengurniaan Pasukan Polis Konoha kepada puak Uchiha adalah tanda penghormatan, kerana hanya ninja hebat mampu menghalang jenayah dilakukan oleh ninja lain. Tapi logik itu tak terpakai kepada Uchiha yang sewel, usaha Hokage Kedua tersebut dianggap sebagai jalan mengecilkan dan memencilkan puak Uchiha dari pentadbiran Konoha. Logik yang mereka pakai adalah, apa barang ninja jadi polis?!! Berbanding menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan baik dan menghormati kontrak sosial yang termeterai sejak dulu, puak Uchiha mempersoalkan tentang hak yang bukan milik mereka.

Oleh sebab itu, sebarang usaha tahaluf siyasi dengan puak Uchiha takkan berjaya kerana sifat memberontak, anarkisme dan psikologi yang sakit dan kacau ini menghalang mereka untuk melihat sesuatu dari segi manfaat bersama. Mereka masih terikat dengan mentaliti kepuakan. Justeru, pembantaian Puak Uchiha adalah usaha pemerintah tertinggi Konoha untuk memotong segala punca masalah di peringkat akar umbi, membuang barah yang merosakkan Konoha, memastian tiada lagi zuriat yang boleh menyambung penyakit warisan yang berbahaya ini. Sebagai anak murid Hokage Kedua, sudah tentu Hokage Ketiga dan mursyidul am Konoha, yakni Koharu dan Homura sejak awal sedia maklum tentang ancaman puak Uchiha terhadap kestabilan Konoha dan masalah psikologi mereka.

Dakwaan bahawa puak Uchiha menerima layanan kelas kedua dari pentadbiran Konoha juga perlu diteliti. Pada awalnya puak Uchiha mampu berasimilasi dengan baik dalam komuniti Konoha. Rasa tak puas hati hanya wujud di kalangan segelintir ahli Uchiha yang kembali mengulang ideologi Madara. Perasaan itu memuncak selepas serangan Kyubi yang mengorbankan Hokage Keempat, di mana sentimen dan prejudis terhadap puak Uchiha semakin kuat. Danzo si neo-kon berpendapat serangan tersebut didalangi oleh puak Uchiha kerana hanya Sharingan mampu mengawal dan menjinakkan Kyubi. Bermula dari sini pergerakan puak Uchiha dipantau dan diperhatikan. Pendekatan keras Danzo hanya menambah kebencian puak Uchiha.

Maka ideologi Madara dilaung semula dan dijadikan azimat. Puak Uchiha berpendapat mereka ditindas, dijadikan rakyat kelas bawahan untuk berkhidmat kepada puak Senju yang dianggap elit dan bangsawan. Bagi mereka, layanan begini tidak dapat diterima lebih-lebih lagi mereka adalah antara puak yang mengasaskan Konoha. Ideologi Madara yang diimani sekumpulan ahli Uchiha bertukar menjadi sebuah gerakan massa. Puak Uchiha menganggap Konoha melakukan diskriminasi dan usaha diplomasi yang dilakukan Hokake Ketiga menemui jalan mati.

Pada peringkat awal penubuhan Konoha, puak Senju memang menguasai pentadbiran. Ini fakta. Hokage Pertama dan Hokage Kedua adalah Senju, Hokage Ketiga pula murid mereka. Kedua-dua mursyidul am juga murid Hokage Kedua. Semua komuniti Konoha mengiktiraf kehandalan dan kepimpinan puak Senju. Mungkin pada pandangan puak Uchiha ini adalah kronisme yang merendahkan kemampuan mereka. Mereka mula terfikir tentang kata-kata Madara bahawa puak Senju akan menjatuhkan puak Uchiha sampai lumat. Setelah bersusah payah membangunkan Konoha, apa yang mereka dapat hanyalah portfolio untuk mengendalikan pasukan polis. Ini sesuatu yang tak boleh diterima akal mereka yang dangkal. Walaupun sebenarnya peranan pasukan polis dalam sebuah negara semi-diktator tak boleh diperkecilkan. Dari sudut logik, itu sebuah portfolio yang besar. Tapi psikologi sewel ini tidak memungkinkan puak Uchiha untuk melihat semua ini dari perspektif yang wajar. Mereka melihatnya dari kerangka dan sudut antagonisme antara puak Uchiha lawan puak Senju. Jadi apa saja tindakan Konoha walaupun bertujuan baik tetap dipandang sebagai konspirasi untuk menjatuhkan mereka.

Tapi jawatan Hokage tak dimonopoli atau diwarisi anak-beranak puak Senju sampai kiamat. Hokage Kedua menamakan Hokage Ketiga yang berasal dari puak Sarutobi sebagai penggantinya. Hokage Keempat juga bukan dari puak Senju. Puak Senju kembali memegang jawatan ketika giliran Hokage Kelima, itu pun setelah Jiraiya menolak tawaran untuk menduduki jawatan tersebut. Dalam dunia ninja, sudah tentu yang terhandal dalam seni perang akan dilantik sebagai ketua. Kemampuan mengarang takkan menjadikan kau terkenal di Konoha. Jiraiya dikenali sebagai Sannin Legenda kerana kehebatan teknik ninjanya, bukan kerana dia menulis Icha Icha Paradise. Selepas kematian Izuna dan pemergian Madara, puak Uchiha gagal melahirkan ninja yang berkaliber. Satu kemampuan dan juga mungkin kelemahan puak Uchiha ialah Sharingan. Sharingan yang membezakan mereka dari puak lain.

Tapi Sharingan hanyalah dojutsu biasa yang mudah ditumpaskan melainkan jika diaktifkan kepada Mangekyo Sharingan. Untuk mengaktifkan Mangekyo kau perlu menyaksikan dengan mata kau sendiri kematian tragik orang yang paling kau sayang. Sudah tentu mati kerana kencing manis tak dapat mengaktifkan Mangekyo. Jalan paling mudah (dan ironinya tragik) ialah membunuh orang yang kau sayang dengan tangan kau sendiri. Tapi penggunaan Mangekyo Sharingan secara kerap boleh membuatkan penggunanya buta. Untuk mengatasi masalah ini kau perlu mengaktifkan pula Eternal Mangekyo Sharingan dengan menggantikan mata kau dengan mata adik-beradik kau yang memiliki Mangekyo Sharingan. Tapi proses ini tak pernah mudah dan hasilnya jarang lumayan. Oleh itu, berlangsunglah eksperimen bunuh membunuh dan cabut mencabut mata dalam sejarah puak Uchiha. Faktor ini turut menambah masalah kepada kesewelan yang mereka warisi.

Mengapa perkara ini perlu dijelaskan. Pertama, seperti yang disebutkan Sharingan adalah kelebihan dan kekurangan puak Uchiha. Ia hanya mampu menjadi senjata paling menggerunkan apabila kapasitinya ditingkatkan melalui proses gila di atas. Jika tidak kemampuannya setara dengan ninjutsu lain. Kebergantungan puak Uchiha kepada Sharingan adalah kelemahan mereka. Terbukti puak Uchiha hanya muncul sebagai ninja yang hebat setelah Sharingan melalui transformasi di atas. Madara, Izuna, Itachi, Sasuke, Shisui dan Obito adalah buktinya. Masalahnya transformasi Sharingan memerlukan proses yang kritikal dan sangat tak manusiawi. Tak hairanlah puak Uchiha jarang melahirkan hero dan kalau ada pun kebanyakannya psikopat jiwang yang gilakan perhatian dan akhirnya memilih untuk jadi renegade atau vagabond. Faktor ini juga melahirkan puak Uchiha yang pemalas dan hanya mengharapkan teknik dojutsu pasang siap seperti Sharingan untuk menjadikan mereka hebat.

Isunya bukan peminggiran puak Uchiha tetapi kemampuan mereka sendiri terbatas dan tidak menonjol akibat kebergantungan mereka kepada Sharingan. Atau mereka sendiri memilih untuk mengasingkan diri (antisosial) dari komuniti Konoha akibat rendah diri atau merasa dipinggirkan. Selepas Madara puak Uchiha berjaya melahirkan dua ninja hebat, Shisui dan Itachi. Malangnya Danzo mungkin melihat ini sebagai ancaman  kepada Konoha dan bertindak menghapuskan potensi kedua-duanya. Dia mencuri mata Shisui dan menjadikan Itachi kambing hitam dalam peristiwa Pembantaian Puak Uchiha. Ini antagonisme yang memainkan peranan besar dalam konflik ini. Puak Uchiha menganggap diri mereka tuhan yang perlu disembah, manakala Konoha melihat puak Uchiha sebagai iblis yang perlu dihapuskan. Perseteruan tradisi ini adalah naratif gelap yang dijadikan lesen untuk menghalalkan pembantaian tersebut, sepertimana puak Uchiha menjadikannya lesen untuk melegitimasikan kudeta mereka.

Mungkin jika kedua-dua pihak tak meniupkan api permusuhan dan menghormati kontrak sosial yang dimeterai, sengketa ini dapat dipadamkan. Mungkin jika Danzo tak menganggotai Majlis Mursyidul Am Konoha, Pembantaian Puak Uchiha takkan berlaku. Mungkin jika puak Uchiha tak merancang kudeta, Danzo tak dapat mengambil kesempatan. Mungkin jika Itachi masih kekal di Konoha, puak Uchiha akan menyaksikan Hokage pertama dari puak mereka. Mungkin. Tapi apalah nilai ‘mungkin’ dalam sebuah sejarah melainkan ia dijadikan ibrah.

Itachi, wira tak didendang itu, tak pernah berbangga dengan tindakannya membantai puaknya sendiri, walaupun dia merasakan itulah tindakan yang wajar dilakukan pada masa itu. Sebagai seorang ninja – dan kita wajib melihat Itachi begitu – dia melakukan yang terbaik untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar menimpa Konoha. Itachi takkan bermonolog seperti monolog Tuah lakonan P. Ramlee, “Akukah benar atau Jebatkah benar?”. Itu kata-kata hero yang keliru. Dan Itachi tak pernah keliru.

Malah dia melarang kisah sebenar dibongkar supaya nama puak Uchiha tak dicemari, walaupun pembongkaran itu akan membersihkan namanya dan mengangkatnya sebagai tragic hero. Mungkin jika sejarah gelap ini tercatat dalam mana-mana buku sejarah, Itachi mahu kita menyelak semula sejarah tersebut bukan dengan mengkaji siapa betul dan siapa salah. Dengan melihatnya dari sudut ini, kita masih terperangkap dalam melodrama dan ruang sejarah yang lepas, masih menggunakan mentaliti Uchiha vs Senju, malah tak akan memberikan nilai tambah kepada sejarah itu sendiri. Itachi mahu kita mengkaji sejarah supaya sejarah yang sama tak muncul lagi, supaya kita sebagai pelaku yang akan mencipta sejarah tidak menghasilkan watak-watak sejarah seperti dirinya, Madara, Danzo dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam sejarah Pembantaian Puak Uchiha. Ya, Itachi tak mahu kita menerima takdir Sisyphus!


6 comments:

  1. Keep on writing..lame dah kau tak update..ade facebook tak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih saudara. Maaf, Facebook aku tenggelam timbul, tak berbaloi jadi friends saudara.

      Delete
  2. Monolog Tuah mungkin tidak dimainkan oleh Itachi, tetapi dialog yg hampir sama dgn monolog sebegitu tetap ada. Ini dapat dilihat ketika Itachi berdialog dgn Sasuke setelah dia berjaya leraikan edo tensei.

    Jika menurut penghujahan yang telah diberikan oleh naratif pembongkaran cerita di sebalik tragedi pembataian itu, iya, Itachi boleh dinilai sebagai hero yang tidak keliru. Namun kekesalannya tetap ada dan bukanlah kerana kekeliruannya atas penghujahan itu. Sebaliknya dikarenakan dirinya terlepas pandang akan penglibatan Sasuke dan potensinya dalam menguruskan permasalahan itu.

    Jika dialog ada, pasti sebelumnya turut ada monolog (bertanya-tanya dan mempersoalkan dalam wilayah diri sendiri), bukan?

    http://www.mangareader.net/naruto/590/15

    Perkara itu, justeru, dapat dilihat sebagai apa yang membezakan Itachi dan Naruto. Naruto tidak membebankan dirinya secara berseorangan, sebaliknya Naruto kumpulkan sahabat-sahabat yang kesemuanya bersedia dan sanggup menanggung beban secara bersama.

    Pemerihalan tindakan Naruto itu disuarakan oleh Kakashi sendiri lewat dialognya dgn Obito setelah bentuk jinchuriki juubi Obito dilucutkan. Kakashi tidak menyalahkan jalan yang dipilih oleh Obito dan Kakashi juga menyatakan bahawa jalan yang dipilih oleh Naruto juga mungkin akan temui kegagalan. Namun yang membezakan Naruto dgn Obito (Itachi juga) adalah ketika Naruto gagal, akan ada manusia ingin menolongnya.

    http://www.mangareader.net/naruto/655/14

    ReplyDelete
  3. Aku cadangkan kau tonton Naruto Shippuden bermula episod 355 sehingga 359, kisah di mana Kakashi bermula hidup setelah kehilangan Rin. Kisah itu bertembung dgn babak Itachi direkrut sebagai anbu. Kemudian diteruskan lagi dgn penceritaan di sebalik coup d' etat itu. Naratif ini, seingat aku, tiada dalam manga. Ada babak di mana peranan Shisui diketengahkan. Shisui telah diberikan misi diplomatik untuk menguruskan permasalahan itu oleh hokage ketiga. Malangnya, perkara itu diketahui oleh Danzo dan Danzo membuat keputusan untuk merosakkan jalan perdamaian itu. Perkara ini berlaku di luar pengetahuan hokage ketiga.

    Jadi, tulisan anda "Walaupun hokage ketiga tidak bersetuju dengan rancangan ini, tapi beliau sendiri merasa pendekatan diplomasi yang digunakannya tidak mampu lagi memujuk puak Uchiha. Dengan tekanan yang diterima dari tiga mursyidul am, yang mempersoalkan pendekatannya yang semakin tumpul, hokage merasa buntu untuk mencari alternatif lain" mungkin dapat lebih dicerahkan.

    Pendekatan hokage ketiga menerusi peranan Shisui, aku kira, tidak tumpul. Danzo sendiri yang telah dengan sengaja menggagalkan hajat itu.

    Tulisan anda berkenaan Danzo amat tepat, bahawa dia meletakkan kepentingan Konoha mengatasi perkiraan moral dan etika. Namun, iya, ideologi totalitarian Danzo akhirnya bertumpu kepada cita-cita peribadi berbanding kemaslahatan Konoha sendiri.

    Danzo memiliki pertembungan idealisme dgn 'will of fire'. Seperti yang anda tulis, dan saya menjelaskan sedikit lagi, bahawa, Danzo seringkali ditewaskan oleh emosi. Ini dapat dilihat ketika di penghujung nyawa, Danzo mengimbas semula memori lama. Dia pernah berada dalam satu misi yang turut disertai oleh hokage ketiga di bawah arahan hokage kedua. Ketika timbul persoalan siapa yang ingin menjadi 'decoy', Danzo ingin memberi respon positif (mencalonkan dirinya) namun emosinya tidak membenarkannya. Dari situlah bermulanya pertentangan idealisme dia dan will of fire - selain cinta, ianya secara mudah dapat dikatakan sebagai apa-apa emosi yang menyumbang kepada kemaslahatan Konoha, antaranya adalah sikap mempercayai.

    Kerana tidak merasa emosi sebagai sesuatu yg signifikan - malah melemahkan - dalam usaha menjaga kepentingan Konoha, Danzo menubuhkan Akar -- suatu organisasi di mana ahli-ahlinya dibersihkan daripada emosi.

    Danzo tidak mempercayai will of fire, lalu dilihat sering mengkritik tindakan hokage. Ini dapat dilihat pada babak dia berdialog dgn Tsunade. Walhal, semuanya adalah kerana dirinya sendiri tidak mampu mengawal emosi lalu dia memilih jalan gelap dan sukar untuknya memilih jalan cahaya (dicalonkan sebagai hokage menerusi jalan sah). Tidak berakhir dengan dirinya sahaja, dia projeksi-kan permasalahan emosi itu kepada manusia lain dan berhajat mahu kembangkan lebih luas.

    Babak akhir hayatnya menghuraikan perasaan kekagumannya terhadap hokage ketiga -- sesuatu yg bertentangan dgn peribadinya yang selalu dilihat tidak merestui tindakan hokage.

    Tindakan Danzo menggagalkan Shisui, aku lihat, bukan semata-mata kerana skeptik terhadap Uchiha dan ingin menjadikan Uchiha bernama buruk. Danzo mensasarkan kegagalan itu dapat mencalarkan kewibawaan hokage ketiga, yang dengan melakukan itu, berharap dirinya akan dapat menjawat jawatan tersebut agar idealisme-nya dapat di-nasional-kan.

    Apa yang aku mahu sampaikan adalah, kaum Uchiha dapat diselamatkan. Mereka mampu melepaskan diri dari sumpahan laknat dan saka kebencian. Tema sumpahan atau bahasa halusnya takdir pernah diceritakan dalam keluarga Hyuuga. Hyuuga branch perlu patuh kepada Hyuuga utama, Naruto mengubah pendirian Neji dan Hinata. Perkaitan Uchiha dan psycopath itu mungkin perlu diperincikan lagi. Apakah ianya congenital/inherited atau acquired.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih saudara atas penjelasan yg amat bernas. Berbanding aku, saudara nampaknya peneliti Naruto yg lebih tajam. Cuma tulisan aku tentang Naruto lebih kepada unsur 'cerita atas cerita', kononnya mahu mengkonstruk naratif baru dalam melihat Naruto, seperti apa yg dibuat Nietzsche terhadap Zarathustra dan apa yg dibuat Camus terhadap Sisyphus.

      Delete
    2. Boleh aku contact kau selain daripada medium ini? Apapun, aku suka tulisan kau. Takda pertentangan sangat, aku kira. Cuma aku perincikan sedikit sahaja. Apa yang aku perincikan sedikit itu pun sememangnya tidak terlepas daripada menjadi butir hujah kau. Lagi pula, sememangnya kisah-kisah sebegini bersifat terbuka untuk interpretasi bebas.

      Delete