Tuesday, August 6, 2013

Penyelewengan Teori Marx

Oleh Erich Fromm*

Sering berlaku dan ianya telah dianggap ironi di dalam sejarah, bahawa akan wujud penyelewengan dan salah faham terhadap sesebuah teori, walaupun di zaman yang mana capaian kepada sumber maklumat adalah meluas, contoh paling mudah seperti yang menimpa teori Karl Marx dalam dekad kebelakangan ini. Wujud pelbagai rujukan tentang Marx dan Marxism di akhbar, ucapan ahli politik, di dalam buku-buku dan artikel yang ditulis oleh ahli sains sosial dan falsafah, namun apa yang mengecewakan, mereka tidak pernah membaca tulisan asal Marx dengan teliti dan sekadar berpuas hati dengan pemahaman yang minimum tentang teori Marx. Kelihatannya mereka berasa lega dan selamat dengan peranan seolah-olah pakar tersebut kerana tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa dan status di dalam bidang penyelidikan sosial yang mampu mencabar kejahilan mereka.

Di antara sekian banyak salah faham tersebut rasanya yang sering dikritik ialah idea Marx tentang 'materialisme'. Marx dikatakan percaya sifat dan motif utama psikologi manusia ialah keinginan manusia untuk mendapatkan keuntungan kewangan dan kesenangan, dan usaha untuk memenuhi keuntungan maksimum ini adalah nilai utama yang memandu kehidupan individu dan umat manusia secara kolektif. Pelengkap kepada idea ini ialah andaian yang sudah tersebar luas yakni Marx mengabaikan kepentingan individu serta tidak menghormati dan memahami keperluan spiritual manusia. Wawasan ideal Marx ialah melahirkan manusia yang cukup makan pakai tetapi kering spiritualitinya. Kritikan Marx terhadap agama pula diborong sebagai penafian terhadap semua nilai spiritual, dan ini menjadi masalah besar kepada mereka yang menganggap orientasi spiritual itu dibentuk oleh kepercayaan kepada Tuhan.

Pandangan terhadap Marx beralih kemudiannya kepada syurga sosialisnya di mana berjuta-juta manusia dilihat berserah nasib kepada birokrasi autoritarian negara, manusia yang menyerahkan kebebasan mereka, walaupun mungkin mereka telah mencapai kesaksamaan; namun manusia yang dipenuhi keinginan materialistik ini telah hilang keperibadian kerana telah ditukar menjadi mesin dan robot, yang diketuai oleh segolongan kecil elit politik yang hidup mewah.

Cukup untuk disebutkan bahawa pandangan popular tentang idea Marx terhadap materialisme, kecenderungan anti-spiritualnya, hasrat dan cita-citanya untuk menyeragamkan dan menakluk psikologi manusia - adalah tuduhan palsu. Matlamat Marx adalah pembebasan spiritual manusia, pembebasan dari belenggu ekonomi untuk mengembalikan kesempurnaan fitrah manusia supaya manusia dapat mewujudkan kesepaduan dan keharmonian sesama manusia dan juga alam. Falsafah Marx, di dalam bahasa sekular dan tidak bernada agama - ialah langkah baru yang radikal dalam tradisi kenabian messianisme, bertujuan membangkitkan kesedaran penuh individualisme - sebuah wawasan yang telah membimbing pemikiran Barat dari era Renaissance dan Reformation suatu ketika dulu.

Penjelasan ini sudah tentu mengejutkan ramai pembaca kerana ianya bertentangan dengan apa yang mereka fahami sebelum ini tentang Marx. Tetapi sebelum diteruskan, molek rasanya untuk saya tekankan di sini bahawa apa yang menimbulkan ironi ialah; ulasan atau kritikan terhadap matlamat wawasan sosialisme Marx sangat menepati realiti masyarakat kapitalis Barat hari ini. Majoriti masyarakat telah didorong untuk memenuhi keinginan materialistik yang tidak pernah padam, membeli keselesaan dan perkakasan di mana semua keinginan ini hanya dibataskan oleh rasa takut kepada risiko dan keselamatan. Mereka semakin berpuas hati dengan hidup yang dikawal dan dimanipulasi oleh kerajaan, syarikat korporat dan birokrasi; mereka telah mencapai kepatuhan tahap dewa yang mengikis personaliti peribadi ke tahap luar biasa. Menggunakan istilah Marx, mereka adalah "commodity man" yang mati jati dirinya, sekadar berkhidmat untuk mesin-mesin. Semua nya ini ialah gambaran kapitalisme abad ke 20 yang tidak berbeza dari gambaran sosialisme Marx seperti yang diungkapkan oleh lawannya.

Apa yang lebih mengejutkan ialah; pihak yang mengecam idea materialisme Marx telah menyerang sosialisme sebagai tidak realistik atau di awang-awangan kerana tidak menyedari bahawa satu-satunya insentif yang berkesan untuk menggalakkan manusia bekerja terletak pada keinginan materialnya. Ini situasi terbaik untuk menunjukkan kemampuan manusia menidakkan percanggahan yang sudah terang lagi bersuluh menggunakan rasionalisasi, jika ianya sesuai dengan nafsu mereka. Sebab-sebab yang sama digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa idea Marx tidak sesuai dengan agama dan tradisi spiritual kita serta turut digunakan untuk mempertahankan sistem yang kita gunapakai - dan sekali lagi digunakan oleh pihak yang sama untuk membuktikan kapitalisme adalah seiring dan sejalan dengan fitrah manusia dan oleh kerana itu jauh lebih baik dari sosialisme yang tidak realistik.

Saya akan cuba menunjukkan yang interpretasi idea Marx ini salah; saya akan menunjukkan bahawa teori beliau tidak pernah menganggap motif utama manusia ialah keuntungan material kerana matlamat utama idea Marx ialah membebaskan manusia dari tekanan keperluan ekonomi; bahawa Marx prihatin dengan emansipasi manusia sebagai individu, beliau cuba mengatasi keterasingan (alienation), beliau mahu memulihkan kapasiti manusia untuk mengaitkan hubungan dirinya dengan manusia lain dan dengan alam; bahawa falsafah Marx merupakan eksistensialisme spiritual dalam bahasa sekular dan oleh kerana kualiti spiritual ini bertentangan dengan amalan materialistik, ia telah menyusup masuk ke dalam aliran falsafah masani (meminjam istilah al-Attas) yang juga dibumbui semangat materialistik. Matlamat Marx, sosialisme, bersandarkan teori tentang manusia, ialah Messianisme kenabian dalam bahasa abad kesembilan belas.

Kalau begitu, bagaimana falsafah Marx telah disalahfahami secara keseluruhannya dan boleh diselewengkan? Ada beberapa sebab. Yang utama dan paling jelas ialah kejahilan. Oleh kerana perkara ini tidak diajar di universiti maka ianya tidak menjadi subjek peperiksaan dan membuatkan sesiapa sahaja bebas untuk berfikir, bersembang dan menulis sesuka hati tanpa sebarang ilmu. Tidak ada autoriti yang mendesak untuk mendapatkan hujah, fakta dan kebenaran. Oleh itu semua orang berasa berhak untuk bercakap tentang Marx tanpa membaca karya-karyanya, atau sekurang-kurangnya membaca dengan secukupnya untuk mendapatkan idea asas tentang sistem pemikirannya yang kompleks, rumit dan halus. Ia tidak membantu menyampaikan idea Marx di dalam Economic and Philosophical Manuscripts, yakni karya falsafah utamanya yang menyentuh konsep manusia, keterasingan, pembebasan dan lain-lain, sehinggalah ianya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, menyebabkan sebahagian daripada ideanya tidak diketahui oleh masyarakat yang menggunakan bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, fakta ini tidak mencukupi untuk menyekat kejahilan yang sudah mengalir, pertamanya, kerana fakta bahawa karya Marx ini tidak pernah diterjemahkan ke bahasa Inggeris itu sendiri menunjukkan simptom sebuah kejahilan; kedua, kerana aliran falsafah Marx adalah cukup jelas di dalam penulisan yang sebelum ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris, di mana penyelewengan dan salah faham ini dapat dielakkan.

Satu lagi sebab ialah kerana Komunis Russia menggunapakai teori Marx dan cuba meyakinkan dunia bahawa amalan dan teori mereka seiring dengan idea Marx. Walaupun realitinya berbeza, Barat menerima kenyataan propaganda tersebut dan menganggap bahawa idea Marx sejajar dengan amalan dan pandangan Russia. Walau bagaimanapun, pihak Russia bukanlah satu-satunya pihak yang harus dipersalahkan dalam menyelewengkan idea Marx. Walaupun pembantaian dan penghinaan kejam yang dilakukan Russia atas nama maruah individu dan nilai kemanusiaan adalah sememangnya beban yang perlu ditanggung mereka sendiri, salah faham terhadap Marx yang dianggap sebagai pendokong ekonomistik-hedonistik materialisme juga turut dikongsi oleh sosialis yang reformis dan anti-komunis. Alasannya tidak sukar dilihat. Walaupun teori Marx adalah kritikan terhadap kapitalisme, tetapi ramai pengikutnya telah diserap dengan semangat kapitalisme sehinggakan mereka mengintepretasikan pemikiran Marx ke dalam kategori ekonomik dan materialistik yang lazim digunakan dalam kerangka kapitalisme kontemporari. Walaupun Komunis Soviet, malah sosialis reformis percaya mereka adalah musuh kapitalisme - namun mereka memandang komunisme atau sosialisme dalam semangat kapitalisme. Bagi mereka, sosialisme bukanlah masyarakat yang berbeza sifat manusianya dari kapitalisme, tetapi sebaliknya merupakan satu bentuk kapitalisme di mana kelas pekerja mencapai status yang lebih tinggi, ironinya seperti mana yang dikatakan Engels, "the present-day society without its defects.

Setakat ini kita telah menjelaskan dengan rasional dan realistik sebab-sebab yang membawa kepada penyelewengan teori Marx. tetapi terdapat juga sebab-sebab yang tidak rasional yang membantu penyelewengan tersebut. Soviet Russia telah dipandang sebagai penjelmaan semua kejahatan dan oleh kerana itu idea-idea yang lahir dari mereka dianggap mempunyai unsur-unsur yang jahat. Sama seperti tahun 1917 - Kaiser dan Huns dilihat sebagai penjelmaan kejahatan, malah muzik Mozart dianggap sebahagian dari wilayah syaitan - maka komunis kini mengisi semula kerusi syaitan yang kosong tidak diduduki dan akibatnya doktrin mereka tidak dikaji dan disemak secara objektif.Alasan utama mengapa kebencian ini muncul ialah akibat daripada keganasan yang dicetuskan Stalinist selama bertahun-tahun. Tetapi ada sebab yang serius untuk meragui alasan ini; aksi keganasan dan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan, apabila dilakukan oleh Perancis di Algeria, dibuat oleh Trujillo di Santo Domingo, dilaksanakan oleh Franco di Sepanyol, tidak pula mencetuskan kemarahan moral yang sama, bahkan, tidak mendatangkan kemarahan langsung. Tambahan pula, perubahan daripada sistem kekejaman tak terkawal Stalin kepada negara polis yang reaksioner bawaan Khrushchev tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, walhal manusia yang serius berfikir tentang kebebasan manusia akan gembira dan menyambut baik perubahan ini, walaupun bukan perubahan yang total, tetapi tetap dianggap peningkatan yang besar berbanding keganasan terang-terangan Stalin. Semua ini menyebabkan kita tertanya-tanya sama ada kemarahan terhadap Russia benar-benar berakar umbi dari nilai moral dan kemanusiaan, atau bertolak dari pendapat bahawa sistem yang tidak mempunyai pemilikan persendirian dianggap tidak berperikemanusiaan dan mengancam.

Adalah sukar untuk mengatakan yang mana satu faktor yang disebut di atas menjadi penyumbang dominan kepada penyelewengan dan salah faham falsafah Marx. Mereka mepunyai kepentingan yang berbeza-beza dari pelbagai latar individu dan kumpulan politik, dan nampaknya mustahil untuk menuding jari menyalahkan satu pihak sahaja.


*Erich Fromm ialah psikoanalis, psikologis, filosofis dan sosiologis serta merupakan generasi pertama Sekolah Frankfurt. Dianggap sebagai pelopor Marxist Humanism. Karyanya banyak menyentuh emansipasi manusia dari sudut psikologi dan sosiologi.

*Diterjemahkan secara longgar dari bab The Falsification of Marx's Concepts, dipetik dari Marx's Concept of Man.

No comments:

Post a Comment