Wednesday, October 23, 2013

Apa Yang Anda Tahu Tentang Ekonomi Islam? : Pengenalan Kepada Iqtisaduna - Bahagian 1

Oleh Muhammed Baqir al-Sadr

PRAKATA
Sudah lama masyarakat meminta saya menerbitkan siri Pemikiran Islam, malah mereka juga meminta saya menulis siri baru untuk mereka.

Saya keberatan untuk memenuhi permintaan tersebut kerana ingin menyiapkan bahagian akhir jilid kedua Iqtisaduna. Penerbitan buku ini menjadi faktor meningkatnya permintaan dari masyarakat yang mahukan saya mengeluarkan edisi ringkas yang memudahkan pemahaman mereka dan seterusnya meluaskan akses buku tersebut kepada jumlah pembaca yang lebih ramai.

Atas dasar itu, saya telah menulis siri ini, dengan niat menjadikannya lebih santai dan mudah, mengelakkan ketelitian dan kedalaman fakta yang terdapat di dalam Iqtisaduna. Dalam banyak keadaan saya lebih suka menghuraikan idea berbanding menerangkan kerumitan bentuk dan isinya, kerana penerangan tersebut boleh didapati di dalam karya-karya saya yang lain.

Di samping memperkenalkan siri ini kepada pembaca, saya turut merumuskan idea-idea yang terdapat di dalamnya dan menyediakan isi kandungan untuk setiap idea bagi memudahkan mereka memahami setiap bab.

Siri ini telah menimbulkan satu persoaalan yang memang saya akan berikan jawapannya. Persoalannya ialah – adakah doktrin ekonomi wujud di dalam Islam?

Dalam siri ini, kita secara beransur-ansur boleh menjawab soalan tersebut. Selepas persoalan ditimbulkan, kita akan berusaha menjawabnya beserta semua persoalan-persoalan sampingan yang wujud daripadanya. Selepas itu, kita akan mengkaji jawapan tersebut menerusi pemahaman Islam, menyokongnya dengan bukti-bukti tertentu dan membincangkan sebarang kritikan terhadapnya.

MENJELASKAN PERSOALAN
Apa yang kita maksudkan apabila kita berbincang tentang doktrin ekonomi Islam ialah usaha kita untuk mencari kaedah bagi mengawal ekonomi berdasarkan prinsip keadilan sosial. Apabila kita bertanya tentang doktrin ekonomi Islam, kita meluahkan keinginan kita untuk menjawab persoalan; ada atau tidak Islam membawa satu sistem untuk menuruskan ekonomi sepertimana kapitalisme sebagai contoh, telah melahirkan prinsip kebebasan ekonomi, yang menjadi prinsip dan garis panduan asas dalam menguruskan  ekonomi.

KEPENTINGAN MENIMBULKAN PERSOALAN
Banyak faktor yang membuatkan kita perlu mengemukakan persoalan tersebut, antara yang paling signifikan ialah penolakan kita terhadap sistem kapitalisme dan Marxisme; dua sistem yang memerintah dunia kini. Penolakan Islam terhadap kedua-dua sistem ini menyebabkan individu Muslim berharap Islam mampu menyediakan sistem alternatif untuk menguruskan ekonomi, kerana tanpa kaedah dan metodologi tertentu sukar untuk melaksanakan pengurusan yang efektif.

SALAH FAHAM TERHADAP SOALAN
Setelah kenal persoalannya, menjelaskannya dan menerangkan kepentingannya, kita akan menunjukkan kesilapan sesetengah orang  ketika cuba untuk memahami persoalan ini tanpa terlebih dahulu membezakan di antara doktrin ekonomi dan sains (baca: ilmu) ekonomi dalam Islam. Apa yang kita maksudkan disini ialah doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi.

BAGAIMANA UNTUK MEMBEZAKAN DI ANTARA DOKTRIN DAN SAINS
Untuk mengelakkan salah faham terhadap soalan ini, kita perlu jelaskan perbezaan di antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi. Malah, perbezaan di antara keduanya adalah penting. Doktrin ekonomi, seperti yang kita telah ketahui, berperanan untuk menemukan kaedah untuk mengawal selia kehidupan ekonomi mengikut prinsip keadilan sosial. Bagi sains ekonomi, ia tidak menyediakan sebuah kaedah untuk mengawal selia;  sebaliknya, pendekatannya diekstrak dari masyarakat,  mengkaji kesan dan akibat, seperti ahli sains mengkaji mengkaji keputusan dan kesan-kesan penjanaan haba sebagai contoh.

CONTOH PERBEZAANNYA ANTARA DOKTRIN DAN SAINS
Kita akan menggunakan banyak contoh untuk menjelaskan perbezaan di antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi. Fahaman kapitalis, sebagai contoh, mengawal ekonomi atas dasar prinsip kebebasan ekonomi, oleh itu, ia mengawal pasaran atas dasar kebebasan peniaga untuk menentukan harga barangan mereka. Sains ekonomi tidak berfungsi untuk melahirkan satu lagi kaedah untuk mengawal selia pasaran, sebaliknya, peranannya adalah untuk mengkaji keadaan pasaran di bawah naungan kaedah kapitalis, menyelidik turun naik, penetapan, kenaikan atau kejatuhan harga di pasaran bebas sebagaimana yang ditetapkan oleh kaedah kapitalis.

Oleh itu, doktrin ekonomi, berperanan mendapatkan satu kaedah untuk mengawal selia ekonomi sesuai dengan konsep ekuiti, manakala sains ekonomi mengkaji hasil kaedah tersebut apabila ia digunakan ke atas masyarakat.

PENEKANAN BAHAWA TERDAPAT DOKTRIN DI DALAM EKONOMI ISLAM
Selepas menyenaraikan beberapa contoh yang menjelaskan perbezaan di antara doktrin dan sains, kita akan memberi tumpuan kepada hakikat bahawa yang kita maksudkan sebagai doktrin ekonomi - yang wujudnya di dalam Islam telah menimbulkan persoalan yang rancak - bukanlah sains ekonomi. Sebagai sebuah agama, Islam tidak perlu membincangkan sains ekonomi, astronomi, matematik, dan lain-lain Apa yang kita maksudkan selama ini, sebaliknya ialah doktrin ekonomi itu sendiri. Justeru, penelitian dan penyelidikan kita adalah sama ada Islam menyediakan kaedah untuk mengawal sistem ekonomi, bukan sama ada Islam berkemampuan untuk menjalankan kajian saintifik terhadap pendekatan ekonomi kontemporari, begitu juga kemunculan dan kesan-kesannya. Itu adalah tugas ahli ekonomi.

Siri ini tiba kemudiannnya, pada  huraian terhadap jawapan yang diberikan - yang diperolehi melalui konsep yang dirujuk dari sistem perundangan Islam (Syariah) yang menyerap dan menggabungkan pelbagai bidang ilmu. Kita akan membuktikannya walaupun dengan sifat Syariah dan sumber-sumbernya. Selepas itu, kita akan menghapuskan beberapa keraguan yang dilemparkan terhadap kewujudan ekonomi Islam, dan kita akan menjawabnya juga.

Secara khusus, saya ingin merujuk kepada tuduhan yang mengatakan bahawa Islam telah membawa prinsip etika, tetapi ia tidak membawa sistem ekonomi untuk mengatur kehidupan; maka Islam dituduh hanyalah pendakwah semata-mata, bukan pembuat sistem. Kita akan menjelaskan bagaimana tuduhan ini ditumpukan kepada aspek etika Islam dan telah digunakan untuk membayangi karakter sosiologi Islam itu sendiri walaupun pada hakikatnya Syariah sememangnya menyentuh kedua-dua bidang tersebut. Sebagai sebuah agama, aspek etika diterapkan untuk memupuk etika Islami individu, dan ia telah mempraktiskan kaedah sosiologinya sebagai satu sistem yang dipilih oleh Allah untuk semua umat manusia.

Inilah rumusan apa yang akan kita dibincangkan. Penelitian terhadapnya adalah seperti dibawah.

APAKAH ADA SISTEM EKONOMI DALAM ISLAM?
Mungkin pertanyaan yang paling banyak timbul, yang meniti di setiap bibir dan diulang setiap kali timbul masalah adalah - soalan mengenai doktrin ekonomi di dalam Islam; maka, apakah ada teori ekonomi dalam Islam? Bolehkah kita mencari solusi terhadap kontradiksi di antara kapitalisme dan Marxisme yang menguasai dunia pada masa kini, melalui sebuah sistem baru yang berasal dari Islam dan diekstrak daripada kaedah legislatif dan organisasi Islam itu sendiri? Apakah potensi sistem Islam ini untuk menyediakan taraf hidup yang baik, di samping menyampaikan mesejnya kepada negara yang sedang menderita saat ini hasil dari dilema dan konflik doktrin  yang sengit dan huru hara di antara kapitalisme dan Marxisme?

Merenung pada sistem baru ini, atau tertanya-tanya tentang realitinya dan konteks Islam, bukanlah kemewahan intelektual yang dinikmati individu Muslim, sebaliknya, ia adalah satu ekspresi kekecewaannya terhadap kedua-dua ahli gusti yang bertanding dan satu manifestasi terhadap reaksinya sendiri yang terus menyaksikan kegagalan sepanjang pengalaman hidupnya, kegagalan dua ahli gusti; kapitalisme dan Marxisme, dalam mengisi vakum doktrin dan ideologi dunia Islam.

Memikirkan tentang pengganti Islam, atau bertanya tentang hal itu - selain tambahan kepada indikasi kekecewaan individu Muslim terhadap ahli gusti yang bertanding - ia turut mendedahkan satu trend baru terhadap Islam, dan semuanya mencerminkan kesedaran Islam yang telah mula bersinar dan mengambil tempat dalam fikiran ramai orang di pelbagai peringkat intelektual, sesuai mengikut kadar kesediaan dan responnya masing-masing kepada Islam. Benih-benih kesedaran Islam mula muncul dalam minda sebilangan besar masyarakat dan dimanifestasikan dalam pelbagai bentuk; timbul pertambahan soalan mengenai Islam, wujud kecenderungan emosi yang kuat terhadap Islam, muncul kepercayaan terhadap Islam itu sendiri dan kepercayaan terhadap kepimpinan khilafah - dalam semua bidang - ia adalah kepercayaan yang membumi terhadap kehidupan itu sendiri.

Kesedaran Islam - yang kini menggelegak di dalam minda negara Islam di pelbagai peringkat - adalah elemen yang bersifat serampang dua mata, elemen yang meletakkan persoalan, dan turut sama menginspirasikan jawapan yang memihak kepada Islam. Pada kesempatan lain, ia telah termaktub sebagai kepercayaan dan kesedaran gergasi  yang ditanam tepat di tanah pemikiran yang mewakili Islam di kalangan umat Islam.

Di sisi lain, agama Islam itu sendiri menggerakkan umatnya untuk meletakkan soalan ini kepada iman atau 'ulama yang mewakili mereka, meminta mereka untuk menyediakan pengganti yang lebih baik bagi kedua-dua pihak yang bertanding, kapitalisme dan Marxisme. Islam mengisytiharkan dengan jelas dalam al-Quran, dalam teks perundangan Syariah, dan melalui semua medium lain yang dimilikinya, bahawa ia menentang kapitalisme dan Marxisme.

Sememangnya ia adalah satu tanggungjawab untuk mewujudkan situasi yang positif, selain dari yang negatif, untuk memimpin kita ke jalan yang berbeza mengikut pandangan dan struktur umum yang kita persetujui. Sikap negatif, apabila dipisahkan daripada tindak balas konstruktif yang menggariskan objektif dan maslahahnya, hanya bermaksud kita mengundurkan diri dari medan perjuangan hidup dan tanda akhir sebuah disintegrasi sosial, bukan semata-mata melanggan ideologi baru.

Karena Islam tidak bersetuju untuk dimasukkan dalam kerangka kapitalisme, sosialisme dan Marxisme, maka Islam harus memberikan alternatif, atau sekurang-kurangnya membawa kita kepada satu pilihan. Hal ini menjadi perkara biasa bagi umat Islam yang telah menyedari pandangan negatif Islam terhadap kapitalisme dan Marxisme serta penolakan Islam terhadap kedua-duanya, untuk bertanya tentang sejauh mana kekuatan dan keupayaan Islam untuk memberikan alternatif ini, dan sejauh mana kejayaan yang dapat dicapai sekiranya kita berpuas hati dengan Islam itu sendiri; semua persoalan ini telah memberi inspirasi untuk membangunkan sebuah sistem ekonomi Islam.

Jawapan kita kepada  semua ini adalah: Islam mampu menyediakan kepada kita pendirian yang positif yang kaya dengan ciri-ciri perundangan, polisi umum dan peraturan-peraturan terperinci di mana sebuah sistem ekonomi yang lengkap dapat dirumuskan, sebuah sistem yang berbeza daripada semua doktrin ekonomi yang lain, yang berpaksikan kerangka Islami ; berpaksikan ketuhanan dan harmoni dengan kemanusiaan, semua manusia, dalam ruang spiritual dan material dan dimensi kedua-duanya dalam ruang masa dan tempat.

Ini adalah apa yang akan kita saksikan menerusi penelitian seterusnya.

SISTEM EKONOMI ISLAM YANG BAGAIMANA? 
Apa yang kita maksudkan dengan mengatakan bahawa terdapat sistem ekonomi dalam Islam? Apakah jenis sistem ekonomi Islam yang sedang kita bincangkan sekarang, merujuk kepada keprihatinan kita untuk mengetahui kewujudan sebelum menyatakan keyakinan kita terhadap sistem tersebut?

Ini adalah apa yang kita perlu jelaskan terlebih dahulu sebelum perincian lain dihuraikan, kerana apabila  kita mendakwa bahawa terdapat satu sistem ekonomi dalam Islam, kita tidak boleh mengesahkan pernyataan itu melainkan jika ia ditakrifkan secara komprehensif, melainkan kita menerangkan kepada pembaca apa yang kita maksudkan dengan "sistem ekonomi Islam."

Kita maksudkan di sini doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi. Doktrin Islam hanyalah upaya untuk mencari kaedah yang serasi dengan konsep keadilan sosial tertentu dalam usaha untuk menguruskan sistem ekonomi dengan sewajarnya.

Apabila kita, sebagai contoh, menggambarkan seseorang sebagai seorang jurutera, bukan doktor, kita perlu tahu konsep "jurutera". Apakah fungsinya? Apakah pendidikannya? Apakah jenis pekerjaan yang dia lakukan? Apakah perbezaan (dari segi fungsi) antara beliau dan doktor, sebagai contoh? Hanya apabila kita tahu jawapan kepada semua soalan-soalan ini barulah kita boleh memastikan bahawa individu itu benar-benar seorang jurutera, bukan doktor atau yang lain-lain. Juga, apabila dikatakan bahawa sistem ekonomi Islam adalah sebuah doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi, kita mesti memahami konsep umum doktrin ekonomi secara keseluruhan dan fungsinya, sifat pembentukannya dan perbezaan antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi, supaya jelas kepada kita berdasarkan semua ini - identiti sistem ekonomi Islam dan hakikat yang menjadikannya doktrin ekonomi dan bukannya sains ekonomi.

Dalam penilaian saya, penjelasan kepada identiti sistem ekonomi Islam mesti berdasarkan kepada perbezaan yang menyeluruh antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi, dan kepada hakikat bahawa sistem ekonomi Islam adalah sebuah doktrin dan kepercayaan, bukannya sains. Penjelasan tersebut akan banyak membantu kita dalam menguatkan dakwaan bahawa terdapat satu sistem ekonomi dalam Islam, dan ia menyangkal premis mereka yang menafikan kewujudan sistem ekonomi Islam, sekadar mendedahkan kekeliruan mereka dalam hal ini.

Atas dasar ini, kita akan cuba untuk menjalankan kajian umum terhadap doktrin ekonomi dan sains ekonomi, dan perbezaan di antara kedua-duanya.

DOKTRIN EKONOMI DAN SAINS EKONOMI
Setiap seorang dari kita menghadapi dua jenis pertanyaan dalam kehidupan seharian dan menyedari perbezaan antara kedua-duanya: Sebagai contoh, apabila kita ingin bertanya kepada seorang bapa mengenai kelakuan anaknya, kita boleh bertanya kepadanya, "Bagaimana seharusnya sikap anak anda?" atau kita juga boleh bertanya, "Bagaimana sebenarnya sikap anak anda?"

Apabila kita mengajukan soalan pertama kepada bapa tersebut, menanyakan kepadanya bagaimana sikap yang perlu ada pada anaknya dalam menjalani kehidupan, beliau secara spontan akan memberi jawapan berdasarkan prinsip-prinsip, cita-cita dan nilai hidup yang beliau junjung dan anuti . Dia mungkin berkata, "Anak saya harus berani, tabah, bercita-cita tinggi," atau dia boleh berkata, "Dia sepatutnya menjadi hamba yang benar-benar beriman kepada Tuhannya, yakin pada diri sendiri dan sedia berkorban untuk mencapai kebenaran dan kepercayaan yang jitu."

Tetapi apabila kita bertanya kepada bapa yang sama soalan yang kedua, di mana kita bertanya tentang tingkah laku sebenar anaknya, beliau tidak akan merujuk kepada prinsip-prinsip ideal beliau untuk memberikan jawapan, sebaliknya, beliau akan menjawabnya berdasarkan pemerhatiannya sendiri terhadap tingkah laku anaknya. Dia mungkin berkata, "Dia berkelakuan tak senonoh, imannya tak kuat dan pengecut apabila berhadapan dengan masalah dalam kehidupan."

Si bapa mendapat jawapan kepada soalan pertama daripada prinsip-prinsip ideal yang dipercayainya, sementara dia mendapat jawapan untuk soalan kedua dari pemerhatian dan penilaiannya sendiri  terhadap tingkah laku anaknya dalam kehidupan.

Kita boleh menggunakan contoh ini untuk menjelaskan perbezaan di antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi. Dalam sistem ekonomi, kita bertemu dua soalan yang berbeza, seperti yang yang dihadapi oleh si bapa ketika ditanya mengenai kelakuan anaknya tadi , oleh itu, kita mungkin boleh bertanya: "Bagaimana sistem ekonomi harus berjalan? " Sementara itu kita juga boleh bertanya: "Bagaimana sebenarnya sistem ekonomi berjalan?" Doktrin ekonomi cuba menjawab soalan pertama, mendapatkan jawapan dari prinsip-prinsip ideal dan konsep keadilan yang diyakininya, sama seperti si bapa yang menjawab soalan pertama berdasarkan prinsip-prinsip ideal yang dianutinya .

Sains ekonomi, di sisi lain , berkaitan dengan soalan kedua : Ia menjawab sebagai berdasarkan pemerhatian dan pengalaman. Sama seperti si bapa menjawab soalan kedua, menyandarkan jawapan beliau kepada pemerhatiannya sendiri terhadap tingkah laku anaknya dan pengalaman beliau bersama dengan anaknya, begitu juga dengan sains ekonomi: Ia menerangkan peristiwa-peristiwa yang menggerakkan sistem ekonomi berdasarkan kepada pemerhatian dan pengalaman .

Oleh itu kita mengetahui bahawa sains ekonomi menemukan apa yang sebenarnya berlaku dalam sistem ekonomi; fenomena sosial dan tabienya, membahas punca dan keterkaitan mereka. Doktrin ekonomi menilai sistem ekonomi dan menggariskan bagaimana ia sepatutnya berjalan bersesuaian konsep keadilan sosial dan kaedah yang saksama untuk mengurusnya. Sains meneroka, manakala doktrin menilai. Sains bercakap tentang apa yang sudah wujud dan sebab-sebab kewujudannya; doktrin membincangkan apa sepatutnya dan tak sepatutnya berlaku.

Marilah kita mulakan dengan ilustrasi yang membezakan antara fungsi sains dalam meneroka dan peranan doktrin dalam menilai:

Contoh Pertama
Mari kita ambil contoh hubungan antara harga pasaran dan tahap permintaan:
Kita semua sedar, daripada pemerhatian seharian kita, hakikat bahawa apabila sesuatu komoditi mempunyai permintaan dan keinginan masyarakat untuk membelinya semakin meningkat, harga akan naik. Jika kita menulis sebuah buku, sebagai contoh buku matematik, dan ia dijual ¼ dinar, dan jika Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menggunakannya sebagai buku teks sekolah, dan jika permintaan pelajar terhadap buku tersebut meningkat, harga pasaran juga akan meningkat. Begitu juga halnya dengan semua barang-barang lain: harga mereka dikaitkan dengan tahap permintaan pasaran, apabila permintaan meningkat, harga juga akan meningkat.

Hubungan antara harga dan permintaan adalah termasuk dalam perhitungan sains dan doktrin , tetapi masing-masing memperlakukannya dari sudut yang tersendiri. Sains ekonomi mengkajinya sebagai fenomena yang terbentuk dan boleh ditemui dalam pasaran bebas;  bebas daripada penguatkuasaan sekatan harga barangan oleh pihak berkuasa. Ia menerangkan bagaimana fenomena ini terbentuk hasil dari kebebasan pasaran, dan ia menemukan tahap hubungan antara harga dan permintaan. Ia menerangkan sama ada hubungan antara harga dan permintaan adalah sama untuk semua komoditi, atau sama ada hanya beberapa harga yang terjejas akibat dari meningkatnya permintaan terhadap komoditi terbabit .

Semua ini dikaji oleh sains untuk menemukan semua fakta yang berkaitan dengan fenomena hubungan di antara harga dan permintaan, dan ia menjelaskan apa yang berlaku dalam pasaran bebas sebagai hasil dari sifat kebebasannya sendiri, menjelaskan semua itu secara saintifik menerusi kaedah penyelidikan saintifik dan pemerhatian umum.

Dalam semua ini, sains tidak menambah apa-apa kepada kenyataan tersebut, sebaliknya, matlamat utamanya ialah untuk memahami dan membentuk idea yang tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku, apa fenomena yang muncul akibat dari pasaran bebas, apa hubungan yang wujud antara fenomena yang muncul, teori yang memunculkan hubungan tersebut, yang mencerminkan realiti luaran dengan lebih tepat dan jelas.

Berkenaan dengan doktrin ekonomi, ia tidak mengkaji pasaran bebas dalam rangka menemukan hasil dari kebebasannya itu dan kesannya ke atas harga, dan ia tidak juga mengkaji bagaimana harga dikaitkan dengan tahap permintaan pasaran bebas itu sendiri, tidak juga ia cuba menelaah mengapa harga komoditi dalam pasaran bebas meningkat apabila permintaan meningkat.
Doktrin tidak melakukan hal seperti itu. Ia tidak sepatutnya begitu. Ia tidak mempunyai hak untuk melakukannya -  kerana penemuan sebab dan akibat atau terbentuknya realiti ke dalam hukum umum yang merefleksi dan mewujudkannya - kedua-duanya adalah ruang lingkup sains dalam apa jua cara; pemerhatian, eksperimen dan deduksi .

Doktrin berinteraksi dengan kebebasan pasaran dengan tujuan untuk menilai kebebasan itu serta menilai hasilnya mengarah kepada apa. Keputusannya nanti adalah hasil dari menghubungkan harga kepada tahap permintaan yang akhirnya menyerang pasaran. Apa yang kita maksudkan dengan menilai kebebasan dan hasilnya adalah untuk menilainya mengikut konsep ekuiti (keadilan sosial) doktrin itu sendiri, kerana setiap doktrin ekonomi mempunyai konsep keadilan sosial masing-masing, jadi penilaian ke atas mana-mana elemen sistem ekonomi bergantung pada tahap keupayaan elemen itu termasuk konsep keadilan sosialnya dalam mempengaruhi konsep doktrin tersebut.

Kebebasan pasaran misalnya, apabila dikaji berdasarkan doktrin, tidak akan diambil kira sebagai suatu fenomena de facto yang mempunyai hasil dan undang-undang saintifik, sebaliknya, dianggap sebagai sebuah sistem ekonomi yang memerlukan ujian tahap ekuitinya sendiri.

Soalan-soalan "Apakah hasil pasaran bebas? Bagaimana harga dikaitkan dengan permintaan? Mengapa setiap satu dikaitkan dengan yang lain?" Semua soalan ini dijawab oleh sains ekonomi.

Soalan-soalan "Bagaimana pasaran harus berfungsi? Adakah kebebasannya menjamin pengagihan komoditi yang adil dan memenuhi keperluan mengikut cara yang digerakkan oleh keadilan sosial?" Semua soalan ini dijawab oleh doktrin ekonomi.
Oleh itu, adalah salah untuk mengharapkan apa-apa doktrin ekonomi untuk menjelaskan kepada kita sejauh mana hubungan antara harga dan permintaan dalam pasaran bebas atau teori penawaran dan permintaan ekonomi sepertimana ahli ekonomi memahami sifat pasaran bebas.

Contoh Kedua
Menurut David Ricardo (1772 - 1823), jika gaji pekerja bebas dari gangguan mana-mana pihak berkuasa, contohnya kerajaan, gaji tersebut akan kekal di tahap yang hanya akan mampu menampung kos sara hidup/ mengekalkan kewujudan pekerja (cukup makan/ sihat untuk terus bekerja). Jika ianya terus meningkat melebihi tahap itu, ia hanya sementara; tidak lama kemudian ia akan kembali ke tahap cukup makan tersebut (terma ini digunakan untuk mudah faham). Ricardo menjelaskan bahawa jika gaji pekerja meningkat di atas paras cukup makan, ia akan membawa kepada peningkatan bilangan pekerja disebabkan oleh peningkatan taraf hidup, perkahwinan dan kelahiran. Selagi pekerjaaan adalah komoditi dalam pasaran bebas, di mana gaji dan harga tidak dikawal, selagi itu juga ia akan tertakluk kepada peraturan yang sama - yakni penawaran dan permintaan. Jika jumlah pekerja bertambah, dan penawaran pekerjaan di pasaran adalah banyak, gaji mereka akan berkurangan sewajarnya. Jadi, apabila harga terus meningkat melebihi tahap cukup makan, akan ada faktor-faktor yang sekali lagi akan memaksa penurunan gaji mereka. Apabila gaji dikurangkan di bawah had cukup makan, penyakit dan kematian akan berlaku yang seterusnya akan mengurangkan bilangan pekerja. Apabila bilangan mereka berkurangan, gaji mereka akan meningkat dan kembali ke tahap cukup makan kerana apabila komoditi kurang, harganya akan meningkat dalam pasaran bebas. Ini adalah apa yang Ricardo namakan sebagai "the iron law of wages".

Dalam "hukum" ini, Ricardo membahaskan apa yang sebenarnya berlaku terhadap pekerja pasaran bebas dan apakah tahap gaji yang stabil dalam pasaran sebegitu, dan faktor-faktor sosial dan alamiah yang mengganggu untuk menetapkan dan mengekalkan tahap itu bersama peningkatan dan pengurangan gaji. Malah, dalam perbincangan hukum ini, Ricardo menjawab soalan "Apa yang sebenarnya berlaku?" Bukan "Apa yang sepatutnya berlaku?" Oleh kerana itu, kajian beliau memasuki ruang sains ekonomi, kerana ia bertujuan untuk mengkaji apakah yang sebenarnya berlaku dan apa hukum yang memunculkan peristiwa tersebut.

Doktrin ekonomi, di sisi lain, apabila berhadapan dengan gaji pekerja, ia tidak bertujuan untuk mengkaji apa sebenarnya berlaku dalam pasaran bebas. Sebaliknya, ia menemukan satu kaedah untuk mengawal selia, kaedah yang selaras dengan konsep keadilan sosialnya sendiri. Ia membincangkan asas di mana gaji yang patut dikawal selia, mengkaji kemungkinan sama ada prinsip kebebasan ekonomi sesuai untuk menjadi asas  mengawal gaji mengikut konsep keadilan sosialnya.

Justeru, kita tidak menganggap fungsi doktrin ekonomi untuk menjadi apa-apa selain daripada mentakrifkan bagaimana pasaran harus dikawal mengikut konsep keadilan sosialnya sendiri: Perlukah ia dikawal selia mengikut prinsip kebebasan ekonomi atau ada asas-asas yang lain? Sains ekonomi mengkaji pasaran yang sudah dikawal selia, mendasarkan kajian ke atas prinsip kebebasan ekonomi, sebagai contoh, untuk mengetahui apakah peristiwa yang berlaku di pasaran yang dikawal selia mengikut prinsip yang sama, bagaimana harga komoditi di dalamnya ditetapkan, bagaimana upah buruh ditentukan dan bagaimana ia meningkat atau menurun. Dalam erti kata lain sains mengkaji; doktrin menilai dan menghakimi.

Contoh Ketiga
Mari kita ambil contoh ketiga dan mari kita tentukan sudut dari mana sains ekonomi mengkaji pengeluaran mengikut doktrin ekonomi, supaya kita dapat membezakan antara kedua-duanya.

Sains ekonomi mengkaji kaedah umum pengeluaran yang membantu pertumbuhan pengeluaran seperti taburan tenaga buruh, pengkhususan, dan lain-lain. Dua projek yang menghasilkan jam tangan misalnya, setiap projek mengandungi sepuluh pekerja. Setiap pekerja dalam projek pertama perlu menghasilkan satu jam tangan. Dalam projek yang lain, pekerja diagihkan; setiap pekerja diamanahkan untuk menjalankan satu operasi yang diperlukan untuk membuat jam tangan. Beliau mengulangi operasi ini secara berterusan, tanpa mengambil bahagian dalam apa-apa kerja lain dalam proses pengeluaran jam tangan tersebut. Penyelidikan saintifik dalam ekonomi mengkaji kedua-dua projek ini, kaedah berbeza yang diguna pakai dan kesan setiap projek pada pengeluaran dan pada pekerja itu sendiri.

Sains ekonomi juga mengkaji segala-galanya yang berkaitan dengan pengeluaran ekonomi yang bersifat alamiah,seperti hukum sebab disebalik rendahnya pengeluaran tanaman dalam bidang pertanian yang mengatakan bahawa peratusan peningkatan dalam pengeluaran pertanian adalah kurang daripada pembiayaannya. Sains ekonomi mengkaji semua ini kerana ia menunjukkan penemuan fakta-fakta di peringkat ekonomi, menjelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran secara semula jadi, baik positif atau negatif.

Berkenaan dengan doktrin, ia melibatkan isu-isu berikut:
Adakah perlu pengeluaran kekal bebas, atau ia perlu tertakluk kepada perancangan kerajaan? Adakah perlu peningkatan dalam pengeluaran dianggap sebagai objektif penting, atau ia harus dilihat sebagai matlamat akhir yang perlu dicapai? Jika peningkatan pengeluaran dianggap sebagai matlamat akhir yang perlu dicapai, apakah had dan rangka kerja yang dikuatkuasakan oleh sifat "matlamat akhir" tersebut? Adakah dasar pengeluaran perlu menjadi asas bagi mengawal selia pengedaran, atau adakah ia sebaliknya? Dalam erti kata lain, yang mana satu dari keduanya harus dikawal untuk kepentingan yang lain? Perlukah kita mengawal pengagihan kekayaan dengan cara yang akan meningkatkan pengeluaran dan membantu pertumbuhan ekonomi, supaya kepentingan pengeluaran akan menjadi asas bagi pengagihan?

Jika negara memerlukan undang-undang faedah ke atas bon komersial untuk menarik pelaburan dalam bidang pengeluaran, adakah perlu langkah-langkah tertentu diambil dalam hal ini dan pengagihan dikawal mengikut faedah pelaburan syer, atau perlu kita mengawal pengagihan kekayaan mengikut keperluan pengagihan yang saksama, mengehadkan pengeluaran dengan kaedah dan cara yang serasi dengan konsep pengagihan yang saksama?

Semua ini adalah termasuk dalam ruang doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi, kerana ia dikaitkan dengan peraturan pengeluaran dan bagaimana polisi umum diuruskan.

Dari contoh-contoh sebelumnya, kita boleh lihat garis yang berbeza di antara sains dan doktrin: garis penemuan dan perkenalan dengan rahsia sistem ekonomi dan pelbagai fenomena yang terhasil darinya, dan garis penilaian dan penemuan cara-cara untuk mengawal kehidupan ekonomi mengikut konsep keadilan sosial tertentu.

KESIMPULAN DARI CONTOH-CONTOH YANG DIBERIKAN
Melaluinya kita dapat membezakan di antara idea-idea saintifik dan idea-idea doktrinal. Idea saintifik berkisar penemuan realiti, kerana ia adalah usaha untuk mengetahui punca, akibat dan hubungan. Ia seperti mikroskop untuk sistem ekonomi. Sama seperti seseorang meletakkan cermin mata di matanya (untuk penglihatan yang lebih baik), tujuannya adalah untuk melihat realiti, tanpa menambah atau mengubah apa-apa di dalamnya, begitu juga dengan corak  pemikiran saintifik yang megambil kira peranan undang-undang dan pelbagai hubungan. Kata kunci idea saintifik adalah "penemuan ".

Berkenaan idea doktrinal, ia bukan cermin yang merefleksikan realiti. Sebaliknya, ia adalah satu penilaian situasi tertentu bersandarkan konsep umum realiti. Doktrin mengatakan: "Ini yang sepatutnya berlaku."

Ini adalah terjemahan bebas yang tidak mengikut skema penterjemahan tertentu. Kesilapan penterjemahan tidak dapat dielakkan akibat kelemahan dalam menterjemah dan kelemahan dalam bidang ekonomi. Untuk pemahaman yang lebih baik pembaca dinasihatkan untuk merujuk teks asal terjemahan berbahasa Inggeris di sini. Untuk wacana yang lebih mendalam dan teliti boleh muat turun teks penuh Iqtisaduna di sini. Semoga Allah merahmati kita.



No comments:

Post a Comment