Autonomi
seni adalah teori yang melihat seni sebagai bidang yang mandiri dan bebas. Seni
dianggap sebagai ekspresi estetik yang terpisah dari disiplin ilmu yang lain
dan kewujudannya tidak boleh dinilai oleh sebarang bentuk disiplin luar sama
ada bersifat moral, sosial atau politik. Seni adalah untuk seni.
Aku
berpendapat teori ini perlu disanggah. Namun jika difikirkan dengan cermat,
bagi aku autonomi seni ini bukanlah bermaksud bahawa seni itu terpisah secara
total dari realiti kehidupan (moral, sosial dan politik) tanpa ada penghubung
atau jalinan dan saling kaitan, kerana mustahil
sesebuah karya seni (malah karyawan itu sendiri) wujud dengan
keterasingannya dari kehidupan dan seterusnya akan memunculkan persoalan yang
lain pula, dari mana sumber/ ilham atau ekspresi seni itu datang jika tidak
dari kehidupan? Jika pencipta seni dan sumber seni itu sendiri adalah dari
kehidupan, walau pun yang dilihat hanyalah nilai estetiknya, maka tidakkah
interpretasi dan penilaian terhadap seni itu sendiri harus berdasarkan kepada
realiti yang berasaskan nilai sosio-budaya khalayak terbabit, kerana kesedaran
estetik mustahil datang secara tiba-tiba.
Oleh
itu, apresiasi terhadap seni hanya berlaku apabila seni dibawa ke luar dari
dunianya (atau dunia pengkaryanya) dan
dihantar masuk ke minda dan jiwa khalayak yang seterusnya akan mengasosiasikan
ekspresi seni tersebut berdasarkan konsep worldviewnya. Menurut Francis
Hutcheson, kecantikan yang difahami
manusia bukanlah bergantung kepada kualiti sesebuah objek tetapi ianya ialah
idea yang ditanam di dalam diri kita.Tidaklah menghairankan jika berlaku
lambakan filem, drama, muzik dan novel yang ringan dan amat hedonisme sifatnya
(terutama di Malaysia) kerana worldview
atau fikrah khalayak itu sendiri yang amat miskin dan kontang citarasa
estetiknya. Ini semua merujuk kepada konsep supply and demand. Jika kita
menghargai dan meminta kebodohan, maka kebodohanlah yang dilonggokkan kepada
kita.
Persoalannya,
bagaimana kita boleh menggilap citararasa seni kita? Bukankah citarasa itu
subjektif sifatnya? David Hume dan Immanuel Kant bersependapat bahawa citarasa
bukanlah sesuatu yang terpisah tetapi merupakan tindak balas kompleks yang
melibatkan persepsi, imaginasi dan penilaian. Aku rasa ketiga-tiga faktor ini
bukanlah wujud secara semulajadi tetapi diprogramkan di dalam minda dan jiwa
kita melalui kepercayaan, pengetahuan, pengalaman dan latar sosio-budaya yang
akhirnya membentuk kerangka pemikiran seseorang individu. Mungkin boleh aku katakan bahawa persepsi,
imaginasi dan penilaian inilah yang dikatakan worldview (pandangan hidup) atau
mungkin sebahagian daripada worldview. Mengikut mazhab pemikiran aku (aku
namakannya tradisionalisme liberal-sosialis), citarasa seni ini sememangnya
dibentuk melalui proses-proses tertentu (bermakna ia bukan muncul secara tiba-tiba).
Ianya memang subjektif (tidak seragam) tetapi kesubjektifannya itu dalam bentuk
pola yang sekata. Maksudnya ia boleh dipupuk dan disemai untuk membenihkan
sebuah citarasa yang spesifik. Hume mengatakan sememangnya sukar untuk membuat
penilaian yang objektif terhadap seni jika kita menggunakan sentimen
semata-mata. Tetapi menurut Hume, penilaian yang rasional boleh dibuat apabila
common sense diguna pakai.
Aku
suka terjemahkan common sense ini sebagai akal budi. Ianya memang tidak tepat
kerana konsep akal budi ini tidak diperincikan di dalam falsafah epistemologi
Barat. Walaupun penilaian menggunakan akal budi itu sendiri tidak menghasilkan
penilaian berbentuk benar dan salah setidak-tidaknya jika diberi pilihan kita
boleh memilih yang terbaik. Kita mungkin tidak dapat membantu atau meyakinkan seseorang
dengan pilihan kita tetapi kita boleh mengabaikan orang yang memilih Lagenda
Budak Setan berbanding Tulang-tulang Berserakan, sebagai contoh. Menurut Aminudin Mansor, akal
budi bertujuan untuk “mengembangkan kekuatan atau kemampuan akal dan melatihnya
agar dapat dipergunakan pada jalan yang baik dan abadi melalui proses analisis,
mencari sebab musabab, hikmah dan sebagainya." Malah konsep akal budi ini
juga telah digunakan oleh nenek moyang kita untuk menghasilkan pelbagai seni
sastera yang tinggi kualitinya. Kata Za'ba, "Pembangunan ‘akal budi’ dalam
masyarakat Melayu sejak dahulu terpancar melalui pertuturan, kebudayaan,
ukiran, dan tingkah laku serta hati budi seseorang. Melalui hasil kesenian
khususnya kesusasteraan ‘akal budi’ terpancar dalam nyanyian, pantun, gurindam,
seloka, syair, peribahasa dan sajak. Melalui hasil kesenian dan kesusasteraan
terpancar ketinggian tamadun bangsa dan budaya bangsa yang dapat ditegakkan
menunjangi kehidupan masyarakat sejak dahulu hingga sekarang.”
Berbalik
kepada autonomi seni tadi, ia sebenarnya
adalah usaha untuk menjarakkan (bukan memisahkan) seni dari penilaian
bersifat moral, sosial dan politik yang rigid dan keras. Contoh, apabila
menonton video Gangnam Style (atau menonton video-video parodinya yang ternyata
lebih menjengkelkan), penilaian yang bersifat moral perlu diketepikan. Kita
dilarang untuk mengatakan bahawa video tersebut bersifat lucah, tidak membina
minda, mempromosikan budaya hedonisme, menganjurkan cara hidup bebal dan
sebagainya. Kita hanya perlu duduk dan menikmati video tersebut seadanya.
Biarkan muziknya yang catchy dan videonya yang menjentik nafsu visual kita
menghantar rasa estetiknya secara terus ke dalam jiwa kita. Biarlah muzik video
itu yang berbicara sendiri tanpa gangguan daripada hukum-hukum moral. Atau jika anda menonton filem Bukit Kepong, tidak perlu sebarang tafsiran berdasarkan fakta sejarah dan ilmiah, pedulikan siapakah pemuda Melayu yang mengetuai serangan tersebut, persetankan kajian dan penyelidikan tentang cerita di sebalik cerita, biarkan Bukit Kepong berdiri sebagai sebuah seni, sebuah filem perang. Jadi apa
masalahnya dengan pemikiran begini? Masalahnya ialah banyak sampah sarap bakal
dilonggokkan atas nama ekspresi kemanusiaan dan estetik dan kita tanpa rasa
bersalah serta malu menikmatinya kerana ia dinamakan seni. Akibatnya, pemikiran
kita yang sudah sedia bobrok menjadi semakin songsang sehingga sukar untuk
membuat penilaian dan pilihan.
Bagi
aku seni itu harus memaparkan kebenaran, jati diri, perjuangan dan citra masyarakat serta
merakam semangat zaman. Ia harus bertindak sebagai medium pencerahan dan
kesedaran yang menyuluh minda dan jiwa masyarakat.
Memang benar seni adalah ekspresi pengkarya. Namun kita tidak boleh hanyut
dibawa arus songsang dan jahil dengan menikmati semua yang disogokkan kepada
kita. Zaman ini adalah zaman di mana seni hanya menfokuskan kepada nilai
hiburan hedonisme. Kita berhibur, berduka nestapa, menangis, senyum, teruja dan
ketawa semahunya tanpa ada sedikit pun usaha untuk berfikir, bertafakur dan
mengkaji apa sebenarnya yang dihidangkan kepada kita. Herbert Marcuse menyebut
bahawa khalayak telah dibius minda mereka secara kolektif dengan idea-idea yang
memudaratkan melalui hiburan-hiburan melampau dan mereka tidak sedar perkara tersebut berlaku. Hasil-hasil
seni yang disogokkan kepada kita hari ini adalah mesej dan propaganda hanyir
yang sedikit demi sedikit (tanpa kita sedar) membentuk pandangan hidup kita
dalam menanggapi dunia ini dan alamnya.
Seni
perlu menggerakkan pemikiran serta mencerdaskan akal dan bukannya menjadikan
khalayaknya pasif dan dungu. Biar kita sebagai khalayak ini berfikir walau
sekejap (tetapi mendalam) dan mengaitkan seni itu sendiri dengan jiwa dan rasa
kemanusian yang ada di dalam diri kita. Maksud aku hasil seni itu nanti mampu
melahirkan masyarakat yang matang, berilmu dan sentiasa berfikir untuk
melakukan kebaikan atau paling tidak menjauhi keburukan. Biarlah rasa sedih,
gembira, teruja, malu atau apa sahaja perasaan yang terhasil dari apresiasi
seni ini adalah pergumulan kita dengan jiwa dan batin kita (iaitu rasa yang
asli dan autentik dari dalam diri kita) bukannya akibat dari estetik hedonisme
yang timbul di permukaan hati dan kemudiannya ghairahnya hilang entah kemana.
Satu
lagi dilema ialah kita semakin kekurangan karya-karya seni yang mampu menjadi pesaing kepada karya-karya
bebal ini. Karya-karya yang mempunyai idealisme kemanusiaan yang tinggi, yang
mengungkapkan sejarah perjuangan manusia, yang mengangkat kekayaan warisan ilmu
serta adat dan budaya tanahair, yang menceritakan jerih payah dan pahit getir
manusia miskin dan tertindas, sukar untuk mencari karya-karya mahal begini di
Malaysia. Kita hanya mampu mencela karya-karya yang tidak sealiran dengan kita
tetapi malangnya kita tidak mampu menawarkan alternatif yang lebih baik. Ini
sama seperti kita menyalahkan gerakan Kristianisasi yang menyebarkan agama
mereka sedangkan pada masa yang sama kita gagal untuk menawarkan keunggulan
ad-din kita. Kita hebahkan kejayaan misi mereka yang secara tidak langsung
sebenarnya menunjukkan kegagalan kita. Ya, aku dan engkau. Kita gagal.
"Seni itu adalah bangunan atas dari kehidupan. Jadi di bawah seni ada masyarakat, ini merangkumi basis dari yang telah lewat, merangkumi basis yang akan datang. Jadi tanpa basis, tidak mungkin ada seni. Tapi soalnya bangunan atas ini mahu menengok kepala atau tidak. Kalau ia tidak mahu menengok kepala, itu beerti bahawa dia menjadi puncak yang terdiri sendiri. Dan itu tidak ada. Bahasa yang dia pakai berasal dari masyarakat. Kandungan bahasa yang dia pergunakan itu juga pengalaman bangsanya sendiri. Bagaimana dia tidak menengoknya. Kalau dia tidak mahu melihatnya, segala basisnya sendiri, dia tidak perlu di puncak situ. Bikinlah menara gadingnya sendiri."
-(Pramoedya Ananta Toer, temuramah dalam Nadi Insan No. 24)-
No comments:
Post a Comment