Friday, February 8, 2013

Sang Rausyanfikir

Bulan ini aku telah membaca tiga tulisan Ali Shariati. The Visage of Prophet Mohammad, Fatima is Fatima dan Once Again Abu-Dhar. Sungguh, intelektual hebat ini aku kenal harum namanya sudah lama. Sudah bertahun-tahun. Tetapi entah mengapa tak tergerak di hati aku untuk membaca karya-karyanya. Aku mengenalinya dari tulisan orang lain. Memahami gagasan rausyanfikir, menyelami pertentangan mustadh'afin dan mustakbirin, mengenali sintesis Marxisme dan Islam, memahami falsafah haji, semuanya dari sumber kedua. Malah minat aku untuk membaca tentang komunisme dan Marxisme pun bertolak dari pembacaan aku tentang Syariati. Lalu, aku tinggalkan dulu Shariati dan aku baca The German Ideology, The Communist Manifesto, Das Kapital (yang belum mampu aku hadam sepenuhnya) dan beberapa tulisan dari intelektual Marxisme yang lain. Tetapi rasanya tindakan aku tepat, sedikit sebanyak Syariati juga menggunakan pendekatan dialektik Hegel yang mempengaruhi Marx. Oleh itu, untuk lebih memahami idealisme Shariati harus lebih dulu faham apa itu komunisme dan Marxisme. Juga harus menelaah Syiah dari sudut teologi dan tasawwurnya. Kemudian baru kita boleh melihat saling kaitan antara keduanya dan bagaimana Shariati memadukan dua ideologi ini untuk membina kerangka idealisme dan gagasan pemikirannya serta bagaimana gagasan ini boleh menghasilkan sebuah revolusi. Dan kini, setelah membaca hanya tiga karya Shariati ini (belum habis dibaca sebenarnya), aku mula faham mengapa beliau disebut antara ideolog yang menggerakkan Revolusi Iran.

Melalui tiga karya ini, aku boleh membayangkan bagaimana Syariati mampu mempengaruhi dan mencerahkan pemikiran rakyat Iran. Bagaimana Shariati mengajar mereka untuk menjadi revolusioner atas nama agama, atas nama iman, iaitu kebenaran yang tak terkalahkan. Mungkin ada yang sinis, apalah sangat gambaran tentang pengaruh Shariati terhadap Revolusi Iran yang boleh aku dapat dari tiga buku ini, sedangkan aku tidak pernah membaca karya-karya Shariati yang lain yang lebih sarat mengusung idealisme dan pemikirannya. Memang karya-karya ini boleh dikatakan karya 'ringan' Shariati. Namun, Revolusi Iran itu adalah kebangkitan seluruh peringkat masyarakat. Untuk memungkinkan terjadinya revolusi politik, partisipasi semua golongan rakyat hukumnya wajib. Lelaki, wanita, golongan profesional, guru, pensyarah, petani, buruh, pelajar, golongan pertengahan, golongan miskin, semuanya bangkit menjatuhkan rejim Pahlavi. Ini bukan demonstrasi, ini revolusi. Semuanya ini berlaku hanya apabila kesedaran dan idealisme ditanamkan di dalam akal dan jiwa mereka, apabila mereka mampu berfikir dengan jernih secara kolektif apa yang terbaik untuk mereka. Maka Shariati mendekati dan menyampaikan mesejnya kepada semua golongan ini. Ketiga-tiga karya ini khusus untuk rakyat biasa memahami di mana posisi mereka, apa masalah sebenar yang mereka hadapi, apa yang sepatutnya mereka perjuangkan dan siapakah peribadi yang perlu mereka jadikan contoh. Di sinilah terserlah kepintaran Shariati menawarkan solusi dan memberikan contoh yang dekat di hati rakyat Iran khususnya penganut Syiah.

Boleh dikatakan ketiga-tiganya ialah biografi ringkas dengan isinya yang tidak terlalu berfalsafah atau berbau intelek. Tetapi cubalah baca bahasanya yang menggugah jiwa, membangunkan semangat dan retoriknya yang memukau perasaan. Di satu saat kita akan dibuai perasaan sedih, pilu, marah, manakala di saat yang lain bangkit semangat baru, seperti jasad ini diisi oleh roh pahlawan yang menyala-nyala api perjuangannya. Aku benar-benar terpukau dengan kehebatan Shariati menulis. Perlu diingat, karya yang aku baca adalah merupakan terjemahan bahasa Inggeris dari bahasa asalnya, iaitu Parsi. Sudah pasti ada kekurangan dan kekangan linguistik dalam proses penterjemahan untuk mengungkapkan maksud, hasrat dan semangat sebenar Shariati. Tetapi tetap dapat aku rasakan mesej yang ingin disampaikan. Bayangkan rakyat Iran yang membaca karya-karya ini di dalam bahasa asalnya. Bayangkan rakyat Iran yang sememangnya terkesan dengan tema penindasan, Rasulullah serta ahlul bait. Shariati menjelmakan sendiri watak rausyanfikir itu di dalam dirinya. Inilah fungsi sebenar intelektual yang bukan hanya berteori dan bermain falsafah di dewan kuliah atau seminar, atau berceramah tentang sesuatu yang dia sendiri tidak memahami atau menguasainya dengan mendalam, sekadar memuaskan nafsu intelek kononnya, melontarkan jargon-jargon yang kaku dan beku.

Intelektual atau ulamak atau ilmuwan (berikan apa saja nama) wajib cakna dengan masalah masyarakat, malah perlu turun menyantuni masyarakat dan merasakan sendiri denyut nadi mereka serta menyiasat sehingga ke akar untuk mengetahui masalah yang menimpa mereka. Kadang-kala intelektual kita setara sahaja tahap pemikirannya dengan pelajar atau mahasiswa mereka, sekadar menjadi penghafal teori dan ilmu. Kalau ulamak pula sekadar melontarkan ayat-ayat Quran, hadis Nabi dan pendapat ulamak-ulamak lain (yang semuanya bukan dari Malaysia) untuk menjawab persoalan masyarakat Malaysia. Itulah kemampuan kebanyakan intelektual dan ulamak kita, suka menempel dan mengikut punggung intelektual luar dan teori-teori yang pernah mereka pelajari. Yang agamawan ambil model penyelesaian masalah dari Arab Saudi dan Mesir, yang sosialis ambil model dari Cuba dan Libya, yang komunis hanya membaca The Communist Manifesto (dan terus mengaku komunis tegar), yang liberal ambil contoh dari United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang hedonis mengimport hiburan dari Korea Selatan. Aduh, adakah semuanya kita mahu cedok dari luar. Tumpul sangatkah otak intelektual dan ulamak kita hingga bebal untuk merumuskan persoalan yang muncul di tanah air sendiri, kerana penyelesaian masalah masyarakat baik dari segi politik, sosial dan ekonomi wajib bersifat setempat kerana situasi dan latar sosio-budaya yang berbeza, yang memunculkan punca masalah dan solusi yang juga berbeza. Kata Rendra dalam puisinya:

Kita harus berhenti membeli rumus-rumus asing.
Diktat-diktat hanya boleh memberi metode,
tetapi kita sendiri mesti merumuskan keadaan,
Kita mesti keluar ke jalan raya,
keluar ke desa-desa,
mencatat sendiri semua gejala,
dan menghayati persoalan yang nyata.  

No comments:

Post a Comment