Saturday, March 5, 2016

Mencintai Kritik

Kami membidas, kami membidas tanpa kulit. Kalau kami mengkritik, kami mengkritik sehebat-hebatnya. Kata-kata ‘kejam’, ‘tidak demokratik’ dan seumpamanya menjadi permainan kami hari-hari.”
-Ahmad Boestamam-

Perkataan ‘kritik’ berasal dari perkataan Inggeris, criticism yang diambil dari perkataan Perancis critique, yang berakar pula dari perkataan Yunani, krino yang bermaksud ‘untuk menentukan’ atau ‘untuk menilai’.

Kamus Dewan (Edisi Keempat) mendefinisikan ‘kritik’ sebagai:
1)      analisis, penilaian dan teguran terhadap karya seni, sastera, dsbnya
2)      teguran keras, kecaman, bidasan

‘Kritikan’ pula didefiniskan sebagai:
1)      Kritik (analisis, penilaian, dan ulasan terhadap sesuatu karya sastera dll)
2)     Kritik (ulasan atau kata-kata) tentang keburukan (kelemahan dsbnya) seseorang atau sesuatu, kecaman

Justeru dalam bahasa Melayu ‘kritik’ dan ‘kritikan’ memikul dua sifat penilaian seperti yang dinyatakan di atas. Pertama, kritikan bersifat analisis ilmiah/ akademik dan kedua, kritikan bersifat teguran, bidasan dan kecaman.

Dalam bahasa Inggeris, dua sifat yang sama wujud. Kalau dulu ‘kritikan’ ialah ‘criticism’ tanpa mengira kritikan itu ilmiah atau tidak. Tapi kini muncul  perkataan ‘critique’ (diambil terus dari bahasa Perancis) yang cenderung dikaitkan dengan kritikan ilmiah/ akademik (mungkin kesan pengaruh post-strukturalis Perancis). Dan criticism pula dikaitkan dengan kritikan berupa teguran dan bidasan.

McMillan English Dictionary mendefinisikan criticism sebagai:
1)      Comments that show that you think something is wrong or bad
2)   The activity of giving your professional opinion about things such as new books, plays or films

Manakala critique didefinisikan sebagai
1)      a careful written examination of a subject that includes the writer’s opinions.

Maka saya menyeru semua pembaca supaya mengambil semangat kritikan Allahyarham Ahmad Boestamam seperti petikan di atas. Mengkritik dengan teguran, bidasan dan kecaman. Mengkritik bukan dalam bentuk akademik, kerana bukan semua manusia ahli akademik, bukan juga kerana tuntutan akademik, tapi tuntutan untuk menyatakan yang hak. Dan desakan untuk menanamkan kesedaran kritikal ini makin kuat kerana akhir zaman adalah zaman krisis dan fitnah. Seperti kata Albert Camus "sebaik saja manusia, hasil dari karakter yang menipis, bersembunyi di sebalik doktrin, sebaik saja jenayah mengabsahkan dirinya, ia bercambah seperti bercambahnya pemikiran dan menakluk setiap aspek logik akal. Jika dulu jenayah adalah aktiviti solitari seperti sebuah protes, kini jenayah jadi universal seperti sains. Semalam jenayah dibicarakan; hari ini jenayah menjadi undang-undang."

Jelas sekali ‘kritikan’ bukan sekadar ‘mengulas’, ‘memerihalkan’ atau ‘menjelaskan’. Tapi ia datang bersama semangat untuk menyatakan kekurangan dan kelemahan, untuk mencela, menegur dan mengecam. Ia bukan datang dari perasaan marah, kerana kata orang Melayu, marah tandanya sayang. Sebaliknya, kritikan harus bermula dari rasa benci, meluat dan sakit hati. Benci kepada benda yang ada (atau sedang ada) dan cinta kepada benda yang sepatutnya ada (atau mungkin ada). 

Apabila saya sebut ‘cinta’, saya teringat terma ‘intelektual amatur’ yang dijelaskan oleh Edward Said dalam Representations of an Intellectual. Kata Said, intelektual tak boleh terkurung dalam tembok profesionalisme dan pengkhususan yang hanya memuntahkan leksikon yang berputar di kalangan elit profesional lain. Justeru, kritikan intelektual (jika mereka mengkritik) tak harus hanya beredar dalam jurnal akademik atau kertas kerja yang jauh dari arus kesedaran awam. Lebih malang lagi kritikan tersebut perlu disahkan pula oleh autoriti yang betul, diucapkan dalam lenggok bahasa yang betul, mengambil petikan dari orang yang betul dan disusun dalam konvensi yang betul. Kesannya, ia dibaca oleh orang yang salah, bukan oleh anggota masyarakat di mana idea atau wacana itu dibincangkan.

Said menjelaskan ancaman utama kepada intelektual ialah “sikap yang saya namakan sebagai profesionalisme; yakni berfikir yang kerja kau sebagai intelektual adalah kerja yang kau buat sebagai sumber pendapatan, antara pukul 9 hingga pukul 5 dengan satu mata melihat jam, satu mata lagi juling kepada apa yang dianggap sebagai kelakuan yang sesuai dan profesional – tak melawan arus, tak menyimpang dari paradigma atau batas yang diterima ramai, tonjolkan diri sebagai baik dan mudah didekati, dengan itu tak kontroversi dan tak politikal dan nampak ‘objektif’.”

Ketika ditanya mengapa beliau menggunakan terma ‘intelektual amatur’ dan bukan ‘intelektual umum’, Said menjawab dia suka maksud ‘amatur’ dalam bahasa Perancis yakni ‘cintakan sesuatu’, sangat pedulikan sesuatu tanpa jadi profesional. Amaturisme kata Said ialah “kemahuan untuk bertindak tanpa mengharapkan keuntungan atau ganjaran, tapi cinta kepada dan minat untuk, mendapatkan gambaran yang besar, untuk berhubung merentasi garisan dan sempadan, keengganan diikat oleh pengkhususan, kepedulian terhadap idea dan nilai meskipun dibataskan oleh pekerjaan.”

Kerana rasa benci dan cintalah maka kita perlu menghidupkan budaya kritikan. Benci kepada benda yang ada (atau sedang ada) dan cinta kepada benda yang sepatutnya ada (atau mungkin ada). Saya fikir jika intelektual menara gading di Malaysia tak sudi menjadi amatur seperti disarankan Said, maka kita yang amatur ini perlu mengambil fungsi intelektual. Jika intelektual sains politik enggan mengkritik kebobrokan politik negara, atas alasan profesionalisme, yakni kritikan biarlah mengikut saluran yang betul, maka biarlah operator kilang yang mengkritiknya. Jika intelektual sejarah enggan mengkritik pengurusan ekonomi negara, atas alasan pengkhususan, yakni beliau bukan dari bidang ekonomi, maka biarlah penoreh getah yang mengkritiknya. Saya pasti intelektual sejarah tak sedar harga sekilo getah sekarang lebih murah dari harga sekilo gula. Saya pasti beliau tak pernah dengar keluhan penoreh getah, ”dulu menoreh sehari boleh makan seminggu, sekarang menoreh seminggu tak cukup makan sehari.”

Justeru tak usah pedulikan sama ada kita penganggur, petani, pekebun, nelayan, buruh kasar, cikgu sekolah, blogger dan sebagainya, kita harus mengkritik setiap aspek yang kita benci dalam kehidupan ini, tak kira aspek politik, ekonomi, seni budaya, ekosistem, kesihatan dan apa saja. Kita harus mengkritik setiap aspek dalam kehidupan yang kita rasakan seseorang harus mengambil tanggungjawab untuk membetulkannya. Tak usah peduli dengan kelayakan yang kita ada, tak usah peduli jika kita tak ada pengkhususan dalam bidang tertentu, asal saja kritikan itu bertolak dari sebuah idea yang kita cintakan, terhadap perkara yang kita benci. Asal saja kita punya asas untuk mengkritik, maka segeralah mengkritik. Pengkhususan Edward Said adalah dalam bidang kesusasteraan, tapi itu tak menghalangnya dari bercakap tentang perjuangan Palestin. Noam Chomsky punya pengkhususan dalam bidang linguistik, tapi itu tak menghalangnya dari mengkritik kepincangan polisi luar Amerika Syarikat.

Tak usah juga peduli dengan suara-suara sumbang yang mengecam bahawa kita hanya becok mengkritik masalah tanpa beri solusi untuk selesaikan masalah, atau kita hanya pandai cakap tapi tak pandai buat, atau kita bijak meruntuh dari membina. Manusia yang mengecam ini jelas jahil murakkab tentang fungsi kritikan serta jenis dan tahap kritikan. Tugas utama pengkritik bukanlah memberi solusi, walaupun tak dinafikan kritikan bersama solusi ada meritnya yang tersendiri. Tapi yang perlu dinilai terlebih dulu adalah kritikan itu sendiri. Kritikan muncul untuk menilai, mempersoalkan dan menyatakan kelemahan, untuk membuka kepada kemungkinan sebuah solusi yang lebih baik, bukan secara langsung memberi solusi. Kritikan juga secara langsung memang sebuah proses meruntuhkan objek kritikan. Tanpa meruntuhkan objek yang dikritik – dengan mempersoalkan kelemahan dan keburukannya - bagaimana kita nak bina sebuah solusi yang lebih baik.

Dan berapa ramai pengkritik terbaik tak pernah pun berikan solusi terhadap objek yang mereka kritik, atau pernah hasilkan objek alternatif yang lebih baik dari objek kritikan mereka. Karl Marx, pengkritik tersohor kapitalisme itu tak pernah beri solusi yang tuntas untuk ganti kapitalisme. Mungkin ada yang anggap solusi Marx mengarut. Tapi solusi Marx yang gagal itu tak secara langsung menafikan kedalaman analisis dan kritikannya terhadap kapitalisme. Roger Ebert sebagai pengulas dan pengkritik filem yang bagus dan prolifik tak pernah pun buat filem. Kau sendiri pandai komen nasi beriyani di kedai mamak tak sedap walaupun kau rebus telur setengah masak pun gagal.

Maksud saya sebagai manusia biasa, kita tak selalu mendekati dan menilai sesuatu objek melalui teori atau metodologi yang ilmiah. Bak kata Bertrand Russell, ada beza antara knowledge by acquaitance dan knowledge by description. Yang pertama ‘pengetahuan hasil dari kebiasaan (melalui pengalaman)’, yang kedua ‘pengetahuan hasil dari penjelasan (melalui pembelajaran & pengkajian)’. Selalunya kita berinteraksi dengan sesuatu objek bukan dengan bertanya dulu ‘apakah’ objek itu atau ‘bagaimana’ kita harus mendekatinya, tapi ‘mengapa’ kita ingin melibatkan diri dengannya. Setelah kita tahu jawapan kepada soalan ‘mengapa’ dan mengenalpasti ekspektasi yang kita harapkan dari objek tersebut, barulah kita membangunkan sebuah set pemahaman, teori atau kaedah untuk mencapai ekspektasi tersebut.

Pengetahuan kita tentang politik tak semestinya bermula dengan membaca John Locke, atau dengan mencari pendefinisian yang jelas tentang ‘apa’ itu politik atau ‘bagaimana’ sistem politik berfungsi, tapi dari pengetahuan umum yang politik mengatur hubungan manusia dan mahu tak mahu kita mesti terlibat dalam politik, dari sini muncul ekspektasi kita bahawa sistem politik yang baik ialah sistem yang menjaga kemaslahatan rakyat. Atas pengetahuan ini, walaupun saya seorang petani dan bukan profesor sains politik, sudah tentu mudah untuk saya sedar bahawa sistem politik Malaysia memang korup dan menyusahkan rakyat dan ada pihak yang perlu bertanggungjawab atas korupsi ini. Maka saya mengkritik sistem politik Malaysia berdasarkan kapasiti pengetahuan saya. Tapi kalau ada minta saya tunjukkan solusi yang analitikal bagaimana untuk mentadbir negara dengan baik, atau anda minta saya keluar dari Malaysia dan mentadbir negara saya sendiri, jelas yang bodoh bukan saya. Ada beza antara ‘tahu bahawa’ (knowing that) dengan ‘tahu bagaimana’ (knowing how). ‘Tahu bahawa nasi beriyani begitu dan begini’ tak bermaksud ‘tahu bagaimana nak masak nasi beriyani’.

Bukan saya menafikan pentingnya ilmu pengetahuan dalam kritikan. Malah saya beriman yang kritikan menggalakkan percambahan dan pertukaran ilmu pengetahuan. Bila mengkritik, pengkritik secara tak langsung cuba untuk menyelidik dan mengkaji objek kritikannya dengan lebih baik. Cuma saya ingin menegaskan dalam situasi di mana krisis semua orang tak kira latar belakang mampu dan berhak mengkritik. Antonio Gramsci dalam The Prison Notebook mengatakan bahawa setiap orang adalah ahli falsafah spontan. Tulis Gramsci:

Adalah penting untuk menghapuskan prejudis yang tersebar luas bahawa falsafah adalah perkara yang pelik dan susah, hanya kerana ia aktiviti intelektual yang dijalankan secara spesifik oleh pakar atau ahli falsafah sistematik. Terlebih dulu perlu difahami yang semua orang adalah ahli falsafah dengan kita mendefinisikan karakter apa yang dinamakan ‘falsafah spontan’, yang sesuai dikaitkan dengan semua orang. Falsafah ini terkandung dalam:

  1. Bahasa itu sendiri, yang merupakan totaliti yang menentukan pengertian dan konsep, dan bukan sekadar perkataan yang tatabahasanya kosong dari pengisian.
  2. Akal budi.
  3. Agama besar dan seluruh sistem kepercayaan, tahayul, pendapat, cara melihat sesuatu dan bertindak terhadap sesuatu yang dikelompokkan secara kolektif di bawah nama ‘kesusasteraan rakyat’.  
Dengan memahami terlebih dulu yang setiap orang adalah ahli falsafah, walaupun dengan caranya sendiri tanpa dia menyedarinya, walau dimanifestasikan sikit dalam apa jua aktiviti intelektual, dan bahawa di dalam bahasa tersimpan konsepsi yang spesifik tentang dunia, kita seterusnya bergerak ke tahap kedua, yakni kesedaran dan kritikan…

Saya tak bermaksud tak ada langsung suara kritikan dari intelektual menara gading. Tapi Malaysia berhadapan dengan krisis di mana saya fikir suara-suara kritikan itu terlalu bersembunyi di sebalik jubah ‘profesionalisme’ dan ‘pengkhususan’ seperti yang dijelaskan Said, dan kedua-dua jubah itu pula biasanya dibeli oleh elit politik yang sering mengingatkan intelektual menara gading bahawa jubah itu boleh terus mereka pakai asal saja kekuasaan dan hegemoni mereka tak dicabar dan dipersoalkan.

Sejak sekian lama kita boleh persoalkan; adakah kritikan atau penyelidikan yang menghiasi jurnal akademik atau pandangan yang memenuhi majalah, tv dan akhbar yang disuarakan intelektual menara gading itu, demi sebuah perubahan sosial atau perubahan tangga gaji? Atau ia sekadar usaha untuk meninggikan lagi makam intelektual mereka? Berbangga dengan jargon dan leksikon yang tak dapat difaham rakyat berkasta bawahan seperti kita. Atau bagi mereka dunia intelektual mereka hanya berkisarkan kepentingan nilai tertinggi di puncak tertinggi bak Gunung Olympus, yang hanya boleh didaki (atau difahami) oleh manusia-manusia yang telah menemui ‘rahsia Tuhan’ seperti mereka, seraya mereka berikrar seperti Jesus, “my kingdom is not of this world”. Bukankah ini sama ada satu pelarian dari sebuah tanggungjawab atau pun satu kesombongan yang mencitrakan bahawa dunia ini dan segala isinya tak cukup baik untuk mereka?

Kesedaran untuk mengkritik di kalangan rakyat Malaysia pula - atau saya namakan kesedaran kritikal – selalu diekori rapat oleh semangat ketaksuban parti, fanatisme kelompok (baik kelompok agama, NGO, persatuan pelajar dan sebagainya) dan semangat perkauman yang tebal. Kritikan kita muncul dari kerangka faham yang sudah dibentuk oleh wacana politik elit. Justeru kita hanya bersikap kritikal terhadap tokoh atau kelompok yang berseberangan dengan kita. Apabila tokoh dari kelompok sendiri melakukan perkara yang sama kita sibuk pula mencari pembenaran untuk mengabsahkan tindakan tersebut. Jadi tak hairanlah ramai sekali tokoh ala sesumpah ini muncul di Malaysia. Jika dulu dia menggunakan kuasa mendiamkan suara lawan, kini bila lawan menggunakan kuasa meredam suaranya dia melalak meminta keadilan. Dulu dia melarang lawan berceramah di negerinya, bila lawan melakukan yang sama dia mengecam lawan takutkan kebenaran.

Sikap semi/kuasi-feudalisme yang menjunjung dan memborong idea tanpa saringan ini – antara lain akibat pembacaan yang cetek dan terpilih – menyebabkan perubahan sosial di Malaysia terencat dan kelam kabut. Kelam kabut kerana seperti kata Syed Hussin Alattas, kita bukan saja tak mampu menyelesaikan masalah, malah apa masalah kita pun kita tak tahu. Terencat kerana kita masih dikurung dalam struktur semi/kuasi-feudalisme yang sama yang menyebabkan kita masih berwacana menggunakan bahasa kekuasaan yang sama, bahasa yang melihat struktur kekuasaan (yang berkuasa & yang dikuasai) dalam bentuk kontradik dan antagonistik berbanding organik. Ini menyebabkan wacana alternatif yang sepatutnya menjadi counter-hegemony (atau lebih tepat untuk menciptakan hegemoni baru) nampak lebih bersifat coercion (paksaan) dari consent (kerelaan).

Pendek kata kita selalu berlari di belakang bontot kekuasaan. Kita selalu berlari di belakang bontot politik kelas elit. Hal ini menyebabkan selamanya orang-orang yang memegang kuasa dan politikus sentiasa berada di hadapan kita. Kita tak pernah membina kekuatan idea dan wacana politik yang substantif, apatah lagi kekuatan kritikan. Idea dan wacana kita kurus melidi, muncul secara sehala dan beku, tak pernah meliar dan bercambah mencari cahaya baru, tapi terkongkong dalam siklus fanatisme dan ketaksuban yang mengecilkan ruang dan dinamisme kritikan.

Kerana itulah kita harus menanamkan kesedaran kritikal ini dan terus melakukan kritikan ke atas setiap struktur kuasa yang menindas dan menzalimi. Saya tak maksudkan ‘kritikan’ di sini sebagai sebuah disiplin akademik yang padat dengan wacana teoretikal dan argumen yang sistematik, tapi sebagai tanggungjawab asasi semua manusia untuk menilai kehidupan mereka. Saya tak maksudkan ‘kritikan’ sebagai ‘critique’ tapi ‘criticism’. Saya tak maksudkan kritikan harus lompong dengan ilmu, malah saya juga tak beriman dengan semangat pemberontakan semberono - ‘mengkritik semata-mata untuk mengkritik’ - tanpa ada nilai objektif yang mendasari kritikan itu. Paling kurang tentunya dari rasa cinta yang saya sebutkan tadi. 

Secara asasnya dari dua perasaan inilah kita mengkritik kerana kritikan datang bersama penilaian. Justeru apabila kita mengkritik, kita sebenarnya menilai. Penilaian itu pula muncul dari ukuran/ piawaian/ kriteria tertentu. Apabila kita menyimpan ukuran/ piawaian/ kriteria, secara langsung juga kita menyimpan kerangka nilai yang memaknakan diri kita – benar/ palsu, baik/ buruk, betul/ salah. Kita membuat perbandingan antara benda yang ada (atau sedang ada) dengan benda yang sepatutnya ada (atau mungkin ada). Kita benci benda yang ada (atau sedang ada) dan kita inginkan gantikannya dengan benda yang sepatutnya ada (atau mungkin ada). 

No comments:

Post a Comment