Monday, April 14, 2014

Tatkala Saya Mendengar Muzik


Selepas pulang dari kerja, biasanya saya berbaring dalam bilik, mata tembus menatap siling dan telinga menangkap bunyi-bunyian yang keluar dari speaker. Minggu ini album kedua Warpaint mengisi playlist saya. Berbeza dengan EP Exquisite Corpse dan album sulung mereka The Fool yang lebih catchy, album self-titled ini perlu dilayan dengan lebih ramah. Hal ini tak jadi masalah mengenangkan perempuan-perempuan Warpaint (dan muzik mereka) sudah menambat hati saya. Sudah lumrah dan saya faham, mana-mana band pasti akan bereksperimentasi sikit sebanyak dengan bunyi-bunyi baru, sebuah indikasi yang secara langsung menunjukkan mereka benar-benar serius dengan muzik mereka dan tidak hanya memilih jalan selamat dengan mengulang ramuan lama.

Aktiviti melayan perasaan mendengar muzik seakan menjadi rutin harian. Saya rasa hampir setahun video muzik Warpaint menjadi senarai-wajib-main selepas pulang bekerja. Tidak pasti sama ada ia berfungsi sebagai terapi jiwa selepas menempuh hari-hari yang mandom di pejabat atau sekadar habit yang sudah terprogram sekian lama. Mungkin ianya satu eskapisme dari persoalan politik negara yang tak menjanjikan apa-apa. Persoalan adakah reformasi politik itu aktiviti berkala yang perlu dilakukan hanya apabila Anwar masuk penjara misalnya. Mungkin juga Warpaint  berjaya menyentuh libido saya secara kecil-kecilan dan imejan seksual mereka mengubat kejantanan saya secara nakal. Mungkin.

Perempuan petik gitar atau bass memang nampak seksi, tapi bukan petik gitar seperti Ainan Tasneem, Najwa Latiff atau Yuna - tapi petik gitar dengan lagak seorang Theresa Wayman, Emily Kokal dan Jenny Lee Lindberg. Atau Kim Gordon dan Laura-Mary Carter. Jika anda seorang perempuan yang mahu kelihatan seksi dengan gitar, sila belajar dari perempuan-perempuan Warpaint. Tapi saya tak fikir jika perempuan-perempuan Warpaint berbunyi seperti The Veronicas saya akan ketagih memainkan video muzik mereka. Jadi ini bukan semata-mata tarikan seksual tapi juga muzikal. Gitaris lelaki yang seksi pula hanya Jonny Greenwood, itupun setelah seorang genius muzik dari Abeerden mengambil keputusan bangang dengan melubangkan kepala sendiri dengan shotgun.

Selalunya dengan mendengar muzik tertentu saya sebenarnya mahu menjemput mood tertentu - membiarkan komposisi bunyi-bunyian itu bebas menerawang dan berkeliaran memenuhi ruang bilik, bersatu dengan udara dan kemudian menyentuh dan menguasai emosi saya. Muzik adalah dadah yang menyentuh sensasi dan mewujudkan pseudo-halusinasi. Awak boleh baca pelbagai kajian yang melibatkan aspek farmakologi dalam muzik, bagaimana ia merangsang bahan kimia dalam badan - dopamin dan serotonin - dan apa fungsi kedua-duanya. Baca juga bagaimana kokain, amfetamin dan nikotin merangsang dopamin dan bagaimana LSD, ekstasi dan meskalin merangsang serotonin. Lepas itu mungkin awak boleh faham mengapa bersepah-sepah genius muzik seperti lelaki dari Abeerden yang mati kerana atau terlibat dengan dadah.

Saya tak kisah jika dikhayalkan dengan muzik kerna khayalannya mengghairahkan dan bersifat retrospektif, walau kadang-kadang sukar digambarkan patah-patah kata. Muzik itu sendiri bersifat semantik terhadap emosi, memunculkan perasaan dan mood tertentu yang seiring dan sejalan dengan lagi itu sendiri. Lagu Bjork misalnya, hanya saya dengar bila saya mahu mood pelik. Sukar untuk saya kisahkan mood pelik tersebut, kerana ia pelik, dan Bjork pun pelik, lalu mereka bergabung dan jiwa saya pun meletup. Kalau difikirkan, sebenarnya kebanyakan mood yang terhasil dari muzik yang saya dengar adalah pelik. Muzik itu sendiri tidak pelik, mood itu yang pelik - yang terhasil dari zarah-zarah muzik yang menyentuh, menghentam, atau melanggar permukaan jiwa saya (bergantung kepada muzik itu sendiri).  Ketika mendengar instrumental Tuju Tuju Opus dari As Sahar saya terbayangkan dunia yang dilitupi kegelapan, filem-filem seram lakonan Suzanna, imej tradisional suku Jawa dengan gambaran tentang keraton dan penari-penarinya. Lagu Ternyata dari Estrella pula sudah tentu memuatkan wajah comel Liyana Fizi, kemudian bergerak ke imej berdefinisi tinggi yang diisi dengan mood filem-filem yang ada sad ending - bercampur baur antara cinta tak berbalas, resah, rindu dan tragik - selalunya imej filem animasi 5 Centimeters Per Second terjun masuk ke dalam bingkai mood ini.

Tapi sudah tentu kehadiran mood misteri ini tidak terpakai untuk semua lagu. Bob Dylan dengan Blowin' in the Wind misalnya hanya mengingatkan saya tentang persoalan kemanusiaan, tidak lebih dari itu. Mungkin melodinya yang simple itu tidak menghantar signal yang cukup untuk saya berkhayal ke tingkat yang lebih tinggi jadi liriknya yang puitis itu hanya tersangkut di imaginasi tahap satu. Tapi lain pula ceritanya dengan lagu Knockin' on Heaven's Door yang memprojeksikan imej tentang utopia yang tak kesampaian dan melukiskan perasaan sebal serta bersalah meninggalkan insan tersayang dengan kekosongan dan ketidakpastian. Biasanya momen dalam filem Windstruck bertumpang tindih dengan mood lagu ini dan beransur-ansur menggantikan vokal Dylan dengan Youme.

Untuk muzik tempatan, lagu-lagu Sudirman dan P. Ramlee memang kaya dengan pelbagai mood. Lagu Sudirman misalnya, dari Hidup Sederhana, Pelangi Petang, Merisik Khabar, Hujan, Milik Siapakah Gadis Itu - semua melakarkan pelbagai emosi dan mood, antara meluahkan erotisme hingga rasa sentimental yang tak berpenghujung. Dengan lagu-lagu Sudirman saya mahu menyanggah tesis Kant yang berpendapat muzik adalah superfisial. Di tangan Sudirman muzik menghadirkan dunia lain di mana kesedaran saya menyatu dengan lancar bersama lagu lalu meneroka melankolik hidup. Beliau contoh terdekat untuk menunjukkan bagaimana kesatuan vokal, muzikal, lirikal dan persembahan yang ekspresif dan eksotik adalah parameter untuk apa yang sebenarnya dimaksudkan sebagai seni persembahan. Kesimpulannya setiap lagu membawakan pengalaman yang berbeza-beza dan perbezaan tersebut tidaklah pula mengurangkan nilai lagu-lagu tersebut di mata saya kerana nyata ia memperkayakan rasa dan pengalaman.  Saya tak perlukan semua lagu yang mampu membawa mood misteri seperti yang saya sebutkan di atas, kerana saya tak mahu setiap masa hidup saya diselubungi misteri. Saya bukan psikopat.

Dulu saya fikir saya boleh definisikan mood yang muncul dari sesebuah lagu, contohnya ketika mendengar Dendang Perantau, saya boleh asosiasikan mood yang dibawa lagu tersebut dengan suasana Hari Raya atau kesedihan tidak dapat pulang berhari raya di kampung. Tapi bila difikirkan dengan mendalam mood yang terhasil sebenarnya menyentuh lubuk jiwa saya di tahap yang paling dasar. Ya, mood itu mungkin berkisarkan perasaan sentimental, kekecewaan, kesedihan dan perasaan celaka, tapi ia tidak hanya singgah di situ dan menerbitkan perasaan yang bersifat permukaan, tapi ia tembus dan menyelam ke dalam kesedaran yang misterius. Kerana itu Kant meletakkan muzik sebagai bentuk seni paling rendah lantaran sifatnya yang superfisial dan tak mampu merangsang daya kognitif. Saya rasa muzik memang tak pernah (dan tak sepatutnya) merangsang kita berfikir secara per se, kerana itu bukan fungsi muzik. Malah seni itu sendiri bukan bertujuan mengajak kita berfikir secara rumit tetapi lebih kepada kontemplasi dan imaginasi yang menyentuh emosi. Jadi di saat kita berfikir ketika mendengar muzik, kita telah curang terhadap muzik itu sendiri. Kita tidak lagi bersenggama dengannya.

Ketika membahaskan perbezaan antara seni muzik dan seni visual Kant mengatakan muzik bergerak daripada sensasi kepada idea yang berserakan manakala seni visual bergerak daripada idea yang boleh dikenalpasti kepada sensasi. Ini menjadikan seni muzik meninggalkan kesan sementara tatkala seni visual meninggalkan kesan yang lebih berbekas. Lantas Kant meletakkan seni visual sebagai medium seni paling agung. Secara asasnya saya setuju dengan tafsiran Kant terhadap gerakan dan kesan seni muzik tapi saya tidak setuju untuk merendahkan muzik hanya kerana sifat dan gelagatnya yang berbeza dengan seni lain. Dan untuk membincangkan soal ini pastinya akan membuka penerangan yang berjela-jela di sini - sesuatu yang sebolehnya saya mahu elakkan - kerana wacana Kant dalam Critique of Judgment itu memang telah mempengaruhi dan menelurkan pelbagai wacana estetik sampai hari ini. Setakat ini saya selesa dengan kata-kata Roslan Aziz, 'muzik kena dengar, tak boleh cakap' kerana bagi saya the philosophers have only interpreted the music in various ways; the point however is to feel it. Secara peribadi, saya tak pasti pengalaman manusia lain, tapi muzik di kepala saya selalu datang bergentayangan bersama emosi dan imej-imej tertentu, walaupun bukan dalam bentuk visual yang ketara tapi cukup untuk memunculkan sesuatu yang fenomenal.

Oleh kerana muzik selalu menjelmakan visualisasi imej yang menghasilkan mood atau dalam bentuk mood (saya tak pasti sebab itu ia pelik), maka secara tak langsung setiap fragmen dalam naratif hidup saya mempunyai soundtrack tersendiri. Oleh sebab itu saya fikir hebatnya mood atau emosi yang dijana oleh muzik bergantung kepada imej, visualisasi dan gambaran fikiran yang dipandu oleh cebisan memori serta diperkuatkan dengan imaginasi dan interpretasi pendengar. Justeru takkan pernah wujud makna atau interpretasi yang baku dan seragam terhadap sesebuah muzik di antara individu dengan individu lain. Takkan ada pemaknaan kolektif. Maksud saya disini bukan makna yang bersifat harfiah, tapi lebih kepada pemaknaan individu yang bersifat intim dan peribadi kerana proses ini bertindak secara autopilot dan bergerak secara arbitrari.

Misalnya lagu My Heart Will Go On sudah tentu mengingatkan kita kepada filem Titanic dengan segala emosi yang dikumpulnya (dengan andaian semua pernah menontonnya). Malah tak keterlaluan saya katakan sampai kiamat mental kita akan mengasosiasikan lagu ini dengan imej visual filem tersebut. Tapi pengalaman emosi ini jika ditambah sikit imaginasi tidak hanya tersangkut di celah kelangkang Jack Dawson dan Rose Bukater, tapi menerawang jauh meninggalkan Titanic yang karam lalu menyentuh pengalaman psikologis dan sisi-sisi budaya kita sendiri. Mood seorang gadis remaja yang baru bercinta dengan mood seorang janda yang baru kematian suami setelah mendengar lagu ini sudah pasti berbeza (dengan andaian mereka pernah menonton Titanic). Mood dua lelaki yang mendengar lagu Sliver dengan salah seorang dari mereka pernah membaca Heavier Than Heaven sudah pasti juga berbeza.

Jadi jika saya ingin mengimbau nostalgia masa lalu, maka lebih mudah saya memutarkan semula lagu-lagu yang terakam di dalamnya zeitgeist atau roh period tertentu dalam hidup saya, yang seolah-olah bertindak sebagai soundtrack saya untuk fasa tersebut. Malah apresiasi terhadap muzik terkadang menjemput kita untuk menghargai kesejarahan atau historisiti yang mengikat lagu tersebut. Lagu-lagu Sex Pistols akan terasa lebih intim jika kita faham kondisi ekonomi dan politik di Britain pasca Beatles. Berkorban Apa Saja boleh jadi tearjerker song paling afdal jika kita sedar ianya tribut P. Ramlee kepada Norizan, di samping tahu bagaimana pertemuan awal mereka dan kesudahan kisah cinta mereka.

Penafsiran begini sudah tentu bertentangan dengan interperetasi yang dianjurkan Susan Sontag. Tapi saya yakin Sontag akan lebih histeria dengan ulasan filem Hassan Muthalib.Sebab itu saya sebutkan ia bersifat peribadi, ya terlampau peribadi sehinggakan saya sendiri tidak mampu menterjemahkan emosi yang ditanggung badan, walaupun sebolehnya saya ingin berkongsi emosi tersebut - antara mahu dan tak mampu - bagai makan buah simalakama. Saya sendiri kehilangan kata-kata dalam melukiskan emosi, perasaan, mood, makna atau apa saja istilah yang sama erti dengannya - istilah yang bermaksud ada rasa yang timbul, yang sukar diungkapkan akibat dari pertembungan saya dengan muzik (atau sebarang kerja seni).

Saya boleh setuju dengan beberapa hujah Sontag antaranya bila dia sebut bahawa interpretasi  - yakni usaha menafsir kerja seni, dengan melihatnya sebagai hasil yang sarat dengan simbol, metafora dan alegori yang boleh digali dengan pembacaan yang seragam dan komunis (atau istilah ringkasnya teori) - akan memiskinkan dan meracun kepekaan, kerana ia cenderung meletakkan seni di bawah hegemoni intelektualiti. Kerana bagi Sontag kerja seni itu sudah terang lagi bersuluh, tak perlu teori Marxist dan Freudian sibuk mencelah. Dan sedekat mungkin saya cuba untuk menikmati kerja seni dengan semangat transparence yang disebutkan Sontag, yakni experiencing the luminousness of the thing in itself, of things being what they are. Kerana saya bukanlah pendengar muzik yang teknikal, saya fikir saya boleh menikmati muzik dengan semangat tersebut. Justeru saya akui tulisan ini adalah tentang pengalaman bagaimana saya berpoya-poya dengan muzik, tak lebih dari itu. Dari perspektif lain, memang itulah yang sepatutnya kita kaji, yakni bagaimana untuk berpoya-poya dengan muzik (atau kerja seni) secara bijaksana. Tapi saya juga tak boleh menidakkan fakta yang kerja seni adalah produk budaya dan sudah tentu saya tidak beriman sepenuhnya dengan autonomi seni, jadi konsep menentang interpretasi anjuran Sontag tak boleh saya telan semuanya.

Jika Kant meletakkan harapan yang rendah kepada muzik, Imam al-Ghazali dalam Kimya as-Sa'adah memberi komentar yang berbeza. Zikir, puisi, muzik dan tarian memang memainkan peranan yang besar dalam tradisi sufi dan gnostik, walaupun bukan semua aliran sufi mempraktikkan setiap satu aktiviti-aktiviti tersebut. Benar, Imam al-Ghazali  meletakkan batasan tertentu dalam menikmati muzik, tapi beliau mengakui muzik (dalam hal ini muzik sufi) boleh menghasilkan ekstasi (wajd) yang mampu membawa manusia meninggalkan sisi fana dunia menuju kecintaan terhadap Tuhan. Sampai ke satu tahap, fizikal manusia sendiri tak mampu menampung bahang ekstasi ini. Kata al-Ghazali hati manusia mengandungi api yang nyalanya akan marak apabila disimbah muzik dan harmoni. Di tangan al-Ghazali muzik bukan superfisial, malah bersifat supernatural, transenden dan mistikal. Agak menarik sebenarnya apabila al-Ghazali memerihalkan muzik sebagai ekstasi dalam sebuah buku berjudul kimia.

Bagi ahli sufi, muzik itu bukan bermaksud menghadirkan semata-mata pengalaman sensual tapi pengalaman spiritual. Malah Ibnu 'Arabi mengecam mereka yang menganggap sesi meditasi sufi atau sama' sebagai sesi melayan muzik semata-mata. Sama' ini biasanya dilakukan di tempat tertutup, dengan syarat yang ketat dan bukan sembarangan orang boleh menyertainya, lebih-lebih lagi pseudo-sufi  yang mengaku mencapai puncak makrifat setelah habis baca kitab al-Hikam. Pengalaman dan mood ketika mendengar Fiona Apple melagukan Across the Universe bagi saya mungkin deep, tapi bagi para sufi hanyalah lintasan emosi yang kosong dan hampa. Muzik bagi ahli sufi hanyalah medium menuju tahapan tertentu yang tak mungkin dapat saya jelaskan di sini. Saya teringat kisah yang diceritakan Annemarie Schimmel tentang Junaid al-Baghdadi. Junaid yang sememangnya terkenal sebagai maestro sufi yang menggariskan etika tasawuf berlandaskan Quran dan sunnah, telah ditanya oleh kawannya mengapa dia tidak pernah bergerak ketika sama'. Jawab Junaid dengan memetik ayat Quran,"Kau lihat gunung-ganang dan kau sangkakan ia membeku, sedangkan ia bergerak seperti bergeraknya awan (An-Naml: 88).

Apa yang saya mahu sampaikan ialah; pergerakan muzik dengan notasi, skala dan temponya yang tersendiri secara langsung merangsang dan menggerakkan kita - mental, biologikal dan fizikal. Ketika mendengar muzik paling kurang, secara spontan kita akan menghentak kaki, atau menggerakkan jari, bahu dan sebagainya. Paling romantis dan appresiatif kita menari. Ketika berzikir kita menggerakkan kepala. Ketika hadir ke gigs atau konsert kita lihat aksi moshing, pogo atau headbanging. Lihat pula bagaimana muzik menggerakkan filem, menyentuh hati kita menyelusuri plot, memahami watak dan perwatakan. Muzik dalam filem-filem Hitchcock umpamanya yang selalu diistilahkan sebagai 'Hitchcock sound' sudah menjadi sebahagian dari naratif filem itu sendiri - memanipulasi, memandu dan menciptakan mood tertentu untuk penonton.

Bila kesedaran muzikaliti saya membuak-membuak, seingat saya  ketika berusia 14 tahun - terutama bila saya terjumpa beberapa kaset kepunyaan abah, antaranya After Hours (Gary Moore), The Very Best of Smokie, Crazy World (Scorpions), The Yngwie Malmsteen Collection, Silk Road II (Kitaro) dan The Legend of Power Rock (kompilasi cetak rompak) - majalah ROTTW sedikit sebanyak memberi pengaruh yang besar dalam hidup saya dan telah menyediakan wahana untuk saya memahami muzik dan keluasan dimensi muzik itu sendiri. Saya mula sedar muzik bukan hanya berkisarkan penyanyi dan pendengar. Saya mula sedar muzik bukan sahaja Search, Scorpions dan The Moffatts (saya peminat Hanson). Saya mula sedar muzik bukan hanya gitar, bass dan dram. Saya mula sedar kategori muzik bukan hanya pop-rock, balada dan irama Malaysia seperti yang saya lihat dalam Muzik-Muzik. Di sini ROTTW berperanan menyediakan rekomendasi, review, ulasan dan cadangan terhadap pemuzik-pemuzik dan karya-karya mereka yang sebelum ini tidak pernah menerjah otak dan telinga saya.

Sebagai budak kampung di mana capaian terhadap zine, gigs atau maklumat yang berkait dengan muzik bersifat terhad, malah akses internet masih mewah ketika itu, maka ROTTW berfungsi seperti majalah al-Imam, yakni untuk 'mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan muzik yang menyeru dengan kebajikan kepada mereka itu'. Awak perlu faham, ketika itu, yakni zaman saya membesar, muzik adalah barang mewah dan eksklusif. Duplikasi muzik tidak semudah copy and paste atau muat turun dari internet atau perkongsian melalui Bluetooth. Muzik ketika itu disimpan secara analog dalam entiti yang bernama kaset dan muzik digital pula hanya mampu dinikmati peminat muzik berstatus borjuis. Agak mustahil untuk saya sedar tentang wujud sebuah band bernama Green River yang telah mempengaruhi scene muzik Seattle dan membiakkan band-band berpengaruh kemudiannya hanya berpandukan media arus perdana. Sudah tentu ROTTW bukan sahaja berbicara tentang pemuzik, band dan album sahaja, malah turut menyentuh sisi-sisi teknikal dan teori muzik itu sendiri (cuma sebagai remaja ketika itu, saya kurang berminat untuk belajar teori dan teknikal)- lihat sahaja kolumnya yang pelbagai - Bengkel Gitar Rom, Kolum Bass Hanafie Imam, Ruangan Vokal Siti Hajar, Teori Muzik, Akar Muzik Moden, Tips Gitar dan lain-lain.

Usaha penerokaan muzik ini perlu saya rintis secara solo kerana saya anak sulung, jadi tiada abang atau kakak yang menjadi kiblat atau pemandu arah. Tiada kaset-kaset warisan yang boleh membantu mencerahkan pergolakan batin saya dalam meneroka muzik. Kaset-kaset abah kebanyakannya tergolong dalam kategori heavy metal dan hard rock. Walaupun album Smokie milik abah adalah  slow rock terbaik sepanjang zaman bagi saya, dengan saya mengulang-ngulang track If You Think You Know How to Love Me, Lay Back in the Arms of Someone dan Living Next Door to Alice berkali-kali sehari, tapi itu semua tidak cukup untuk memuaskan nafsu saya. Dan saya tahu abah pemuja Scorpions dan Deep Purple yang serius. Scorpions Acoustica yang saya beli ditontonnya saban hari. Bapa saudara saya pula kebanyakannya layan band rock Malaysia, jadi nafsu saya meronta-ronta mahukan spektrum muzik yang lebih luas. Saya cepat jemu dengan sesuatu yang statik.

Ada juga perkongsian maklumat di antara kawan-kawan tapi saya tidak percaya semua maklumat yang disogokkan mereka kerana setelah melakukan rujuk silang ternyata banyak maklumat mereka songsang, sesat dan bidaah. Antara maklumat songsang tersebut ialah Che Guevara adalah ahli kumpulan Rage Against The Machine dan Black Sabbath adalah kumpulan Black Metal. Entah perawi mana sumber ini diambil masih tinggal tanda tanya. Di sini ROTTW memainkan peranan meluaskan skop muzik saya. Cuma yang celaka, bandar saya bukan berstatus metropolitan di mana saya boleh mendapatkan album Ten (Pearl Jam) dengan mudah. Mogwai, Sonic Youth atau Mudhoney, jangan haraplah. Bayangkan bila saya membaca artikel tentang Deftones, dan bila duit mencukupi, saya bergegas untuk mendapatkan album Around The Fur, hasil yang saya bawa pulang ialah album The Masterplan bersama poster percuma Liza Hanim (bayangkan poster pun terhad!).

Tapi jangan salah faham, bandar ini bukan bandar pedalaman dihuni manusia psikopat bergigi rongak yang nekad menebas batang tubuh awak semahunya. Kalau itu yang awak bayangkan maka hanya taubat nasuha yang boleh menebus dosa imaginasi liar awak yang tak berpedoman itu. Ini bandar kesayangan saya dan seharusnya menjadi contoh kepada bandar-bandar lain. Keseimbangan antara tradisi dan modeniti masih terpelihara dengan penduduk yang peramah, elegan dan maju. Malah ada dua kedai kaset dan VCD di sini -  setakat diskografi Metallica, Nirvana, Greenday dan Sepultura memang boleh jumpa. Cuma semua album ini saya tak perlu beli kerana boleh pinjam dari kawan-kawan. Dan perkara yang buat saya meroyan ialah album yang saya mahu beli selalunya tak ada di sini. Inilah yang kerap berlaku, kunjungan saya ke bandar dengan harapan untuk mendapatkan album tertentu berakhir dengan saya membeli album lain. Akhirnya saya nekad ke bandar tanpa sebarang ekspektasi  untuk mengelakkan rasa hampa yang kepalang. Bila tidak ada pilihan yang baik, jalan selamat ialah dengan membeli album kompilasi. Setiap pembelian itu harus berbaloi kerana bapa saya tidak memiliki syarikat multinasional dan kami tak punya kolam renang di halaman rumah, maka saya tidak boleh berbelanja sewenang-wenangnya. Perlu ada pertimbangan yang cermat sebelum mendapatkan sesuatu.

Ada waktunya saya berharap untuk beli album tertentu tapi berakhir dengan pembelian album lain oleh band yang sama. Kaedah ini berisiko yakni bergantung kepada keimanan saya kepada band tersebut, sejauhmana saya mengenali mereka dan muzik mereka kerana seperti yang saya sebutkan di awal tadi kebanyakan band cenderung untuk bereksperimentasi dengan bunyian baru. Jadi kebarangkalian untuk saya dikecewakan adalah tinggi. Malah saya jarang praktikkan kaedah ini jika saya tak pernah dengar langsung satu haram pun lagu mereka - maksudnya album yang akan dibeli nanti adalah karya pertama yang saya dapatkan dari band tersebut dan saya tidak ada maklumat berkaitan album lain yang dihasilkan mereka kecuali album yang satu itu. Ini untuk mengelakkan saya mencarut dan menghantukkan kepala ke stereo bila hasilnya tak seperti disangkakan. Saya secara peribadi berpendapat, untuk bertaaruf dengan sesebuah band/ penyanyi/ pemuzik, awak perlu mendapatkan album atau lagu yang betul. Betul di sini bermaksud bersifat easy listening dan catchy, yakni bertindak sebagai ice breaker session untuk pertautan yang lebin intim dan jitu.

Saya sendiri ada pengalaman suka duka bila berlaku situasi ini. Tapi kebanyakannya positif kerana jika sesi melayan lagu pusingan pertama kurang memuaskan hati, saya ulang dengar untuk kedua kali dan meneliti semula setiap lagu satu persatu untuk membolehkan gist lagu tersebut meresap ke dalam jiwa saya. Ini juga kelebihan kaset berbanding CD atau MP3 kerana saya tak boleh skip lagu seterusnya sesuka hati. Tipsnya hanya satu: ulang dengar hanya jika saya rasakan album tersebut berbaloi untuk diulang dengar. Jika sejak awal bunyi-bunyian album tersebut hanya menerbitkan rasa penyesalan maka anak haram tersebut memang wajar diabaikan. Selalunya first track boleh jadi penentu sama ada sesebuah album itu berbaloi diulang atau tidak.

Biar saya ceritakan pengalaman saya. Pada suatu petang, saya menjenguk bandar dengan nawaitu untuk membeli album Ok Computer, sebuah mukjizat rock baru dari Radiohead. Ya, ketika itu saya sudah mendengar Paranoid Android dan ia memang kerja tangan yang gila babi. Kalau saya peminat Misteri Nusantara mungkin saya percaya Pick of Destiny kini milik Radiohead. Dan saya tak nafikan lagu-lagu Radiohead paling banyak menimbulkan mood pelik kepada diri saya. Saya bukan peminat tegar Radiohead, saya peminat tegar Butterfingers. Saya juga peminat tegar seorang genius dari Abeerden yang mengambil keputusan bangang dengan melubangkan kepala sendiri dengan shotgun. Tapi ironinya kalau anda peminat tegar Butterfingers dan genius muzik dari Aberdeen, kebarangkalian untuk anda menjadi peminat tegar Radiohead adalah besar. Kadang-kadang saya fikir Radiohead ini meneruskan legasi kekecewaan genius muzik dari Aberdeen dengan tema lirikal yang berkait dengan alienation, depresi, kesepian dan eksistensialisme bersama musical attitude yang menongkah arus - cuma Radiohead melakukannya dalam bentuk yang lebih majestik. Dan harus saya akui, Radiohead genius yang muncul di tempat yang betul pada masa yang betul dengan muzik yang betul. Tapi waktu itu nasib saya kurang baik, OK Computer tak ada, dan kerana keimanan saya yang teguh kepada Radiohead akhirnya saya beli Kid A.

Ramai yang sangka Kid A bukanlah batu loncatan terbaik untuk sesiapa yang mahu bertaaruf dengan Radiohead kerana ia bukan album dengan karakter user-friendly yang mahu mencubit-cubit telinga kita dengan manja. Ia akan melempang dan kemudian bercumbu dengan awak, mengejutkan tapi kemudian merasuk, menyakitkan tapi satu kenikmatan - ibarat perlakuan sadomasokisme tahap avant-garde. Perlu sabar dan tahan sakit untuk menikmatinya. Kid A ialah - kalau boleh pinjam terma Althusser - epistemological break dari bunyi-bunyian dalam tiga album awal mereka. Oleh itu, untuk jatuh cinta dengan Radiohead saya sarankan awak mengikuti album mereka secara kronologi, kerana momentum muzik mereka dibina fasa demi fasa, bersifat kaleidoskopik dan kontinuiti muzik ke arah Kid A sudah terbina sejak Pablo Honey lagi. Saya yakin setelah mendengar Pablo Honey,The Bends dan Ok Computer - walau bagaimana novis sekali pun citarasa muzik awak - awak boleh menghargai Kid A dan kembarnya, Amnesiac. Saya sebolehnya mahu semua manusia menikmati Kid A (dan Radiohead) dan saya benci manusia yang mahu menjadikan Radiohead sebuah band elit yang hanya mampu dinikmati oleh dewa-dewa yang bersemayam di Gunung Olympus. Semua orang boleh menikmati Radiohead - itu saya pasti - tapi harus bermula dengan jalan yang betul.

Kid A seperti bunyian yang dihasilkan oleh Frankenstein yang cuba memberi amaran tentang bencana yang akan menimpa umat manusia 100 tahun dari sekarang. Apabila track pertama Everything In Its Right Place berkumandang, saya didatangi perasaan yang pelik. Muncul  track kedua Kid A, saya kesan perasaan itu makin kuat...perasaan yang saya telah membeli album yang salah! Walaupun terdetik di hati saya apa kejadahnya Radiohead berbunyi seperti The Chemical Brothers, tapi saya tidak tekan punat stop, saya terus melayan. Terus layan melepasi How to Disappear Completely, yakni track paling radio-friendly dan masuk akal dalam album ini hingga disudahi Motion Picture Soundtrack. Saya bukan ingin menjual ubat berjenama Radiohead di sini, kerana untuk kata 'ubat' saya rekomendasikan jenama Damien Rice, tapi saya ingin kongsikan pengalaman muzikal paling ajaib dalam diri saya.

Setelah habis satu album, perasaan untuk mengulang semula album tersebut adalah kuat. Saya yakin ia bukan satu usaha untuk menjadikan pembeliannya berbaloi. Ia memang desakan untuk menikmati sekali lagi bunyian tersebut kerana ia masih terngiang-ngiang di telinga saya. Saya fikir kekuatan album ini (malah semua album Radiohead) tetap vokal Yorke sendiri yang walaupun dirogol dengan pelbagai efek - tetap memberi emosi pada lagu - kerana tanpa vokal beliau (jika Kid A sebuah instrumental), album ini sudah lama saya bakul sampahkan. Peliknya, album ini saya gemar mainkan pada waktu pagi ketika berada di kampung - satu-satunya waktu dan lokasi yang mujarab untuk Kid A beraksi. Saya rasa elemen tenang di kampung yang dikelilingi pokok merimbun, dengan bunyi kuali mak menyediakan sarapan di dapur, ditambah mise en scene pagi yang menawan seolah-olah menawarkan harapan untuk umat manusia melawan kegelapan yang menanti mereka di hadapan. Tapi pada ketika yang lain saya bayangkan ketenangan itu dipecahkan oleh gerombolan makhluk asing yang mahu menjajah kampung kami. Sampai sekarang saya masih pelik bagaimana saya boleh menikmati muzik begini. Memang celaka.

Ada manusia memilih untuk lari dari kebiasaan hanya untuk kelihatan cool. Untuk kelihatan berbeza, rebel dan trendy. Itu saja. Memilih untuk jadi bohemian, vagabond, anarkis dan indie tak menjadi masalah pada saya. Tapi memilih untuk menjadi yang di atas dengan niat untuk cool saya ada sikit masalah. Bila mereka mahu diri mereka ditampal dengan jenama cool, mereka cenderung memilih band atau penyanyi luar (atau personaliti) yang kelihatan serasi dengan terma cool tersebut. Walaupun saya sering tertanya-tanya binatang spesis apakah cool ini? Dan siapa yang menentukan kriteria cool tersebut? Saya rasa cool ini ialah persepsi yang dikonstruk oleh media massa yang sentiasa menjadi apparat rejim korporat dan ideologi picisan untuk menjual personaliti yang berjenama self-identity. Semua imej berjenama rebel, anarkis, indie dan segala mak nenek subculture ini sudah menjalani proses komodifikasi budaya kerana ia adalah jenama kegemaran anak muda yang menolak gaya hidup mat belia. Dan jual gaya hidup memang boleh untung.

Saya, awak dan mereka takkan dapat lepas lari dari culture industry ini, tak kisahlah berapa cool, atau radikal, atau rebel atau indie sekalipun diri awak. Malah saya rasa mereka yang cool, radikal, rebel dan lain-lain ini lebih cenderung menjadi mangsa konsumerisme global berbanding mereka yang layan Ahmad Jais, yang menurut saya lebih autentik dan jantan. Inilah argumen utama buku The Rebel Sell, yakni sebarang counterculture dan subculture - yang muncul dari keinginan untuk berbeza atau menjadi yang lain - telah menggalakkan budaya konsumerise secara langsung. Genius muzik dari Aberdeen yang mengambil keputusan bangang dengan melubangkan kepala sendiri dengan shotgun juga berdepan dilema yang sama.

Sudah tentu argumen ini terlalu umum tetapi dalam masyarakat yang disifatkan Guy Debord sebagai society of the spectacle - masyarakat yang memuja penampakan yang dangkal dan melulu, masyarakat yang hubungan dan status sosial mereka dimaknakan oleh pencitraan imej dan simbol yang (kononnya) spektakular  - argumen ini tidak boleh diperlekehkan begitu saja. Jadi janganlah manusia yang suka merendahkan taste manusia lain kalau kita - yakni saya, awak dan mereka - lahir dari rahim budaya yang sama.

Saya tak kisah berapa kilo cool yang mereka mahu, tapi kadang-kadang perangai mereka menjengkelkan, seperti Barry dalam High Fidelity - berasa diri mereka elitis dalam muzik dan melecehkan citarasa seni manusia yang berbeza dengan mereka, malah kadang-kadang lebih celaka sentimen itu melajak ke citarasa lain seperti jenama rokok, seluar dalam dan kuah rojak. Biarlah mereka pilih kuah rojak An-Nur berbanding Mak Bee kerana pakej kacang yang diletakkan berasingan itu mungkin memberi estetika bentuk kepada mereka. Apa masalahnya? Apa mereka fikir mereka Dewa Apollo? Saya rasa sekarang pun bibir mereka terjuih sambil mengeji citarasa muzikal saya yang miskin. No, you're not an asshole. You're just trying so hard to be. Ya, saya tahu saya petik dialog filem The Social Network.

Saya tak ada masalah kalau pengetahuan muzik mereka bersifat ensiklopedik seperti Barry kerana manusia makhluk yang hidup dengan membuat pilihan melalui penilaian. Penilaian adalah perbandingan di antara satu objek dengan objek yang lain dengan menggunakan piawaian tertentu. Hasilnya sudah tentu ada objek (menurut penilaian kita) yang lebih baik dari objek yang lain. Saya tak ada masalah dengan hal ini. Cuma saya rasa citarasa muzikal mereka hanyalah bersaiz mini dan mereka hipokrit pada diri sendiri. Saya kasihankan mereka kerana citarasa mereka yang (kononnya) mahal itu menghalang mereka untuk menikmati horizon muzik yang lebih luas. Saya syak nawaitu mereka sebenarnya minat pada Mawi, tapi oleh kerana emak mereka sendiri dan semua kawan-kawan mengaji emak mereka pun minat Mawi, mereka terpaksa tolak Mawi. Mahu saja saya memeluk dan menyapu ubun-ubun kepala mereka seraya menasihati mereka tidak ada salahnya minat Mawi.

Dengan tak mahu jadi diri sendiri mereka terpaksa menjadi orang lain - pakai t-shirt Pixies dan 'like' FB page Joy Division, The Beta Band, The Who, Velvet Underground - walaupun haram mereka tak pernah dengar lagu-lagu band tersebut. Semua ini terpaksa dilakukan kerana kawan-kawan mereka (dan media massa) memberitahu mereka untuk  jadi cool dan tersendiri mereka perlu dengar muzik tertentu, pakai pakaian tertentu, baca buku tertentu dan hidup dengan lifestyle tertentu. Walaupun dalam hati mereka meronta-ronta nak dengar lagu Gadis Melayu, tapi mereka rasa malu - takut tak indie, tak rebel dan tak cool. Hasilnya pemikiran begini memunculkan manusia pseudo dan hipokrit di semua aspek kehidupan. Baik mereka dengar bait-bait lirik High and Dry, "you’d kill yourself for recognition, kill yourself to never, ever stop, you broke another mirror, you’re turning into something you are not". Nanti dulu, bukan setakat High and Dry, rasanya molek mereka dengar semua lagu dalam album The Bends baru puas hati.

Saya fikir beginilah, hanya kerana awak minat Daft Punk yang bertopeng Gaban tidak menjadikan taste awak lebih tinggi dari manusia lain yang minat Uji Rashid. Saya tak ada masalah dengan Daft Punk, saya ada masalah dengan attitude awak yang belajar tak pernah habis. Dan bagi saya gejala tak kenal Uji Rashid dan Hail Amir yang melanda generasi muda sekarang adalah satu fenomena yang membimbangkan.

2 comments:

  1. Im justick around with niravana..

    ReplyDelete
  2. Tak boleh aku dengan kid A. Bunyi terlalu robot. Aku boleh terima ok computer. Paranoid android, karma police, no suprises,ni memang lazat.

    ReplyDelete