Saturday, May 9, 2015

Dajal Yang Menunggang UFO

“Di dalam dunia yang penduduknya buta, lelaki bermata satu adalah raja”
-Disedarius Aresmus, Adagia-

Jam menunjukkan hampir pukul 3 pagi. Selesai tonton Empresses in The Palace¹, aku tahu aku berhadapan dengan satu masalah besar, yakni masalah untuk tidur. Body clock aku memang sudah disetkan begini. Jika aku masih belum tidur selepas jam 3 pagi – dan mungkin orang lain juga menghadapi masalah yang sama -  aku terpaksa merasai pengalaman neraka insomnia kecil-kecilan.

Neraka ini bahan bakarnya adalah kebosanan. Memang benar, nak tidur tapi tak boleh tidur ialah satu-satunya kebosanan dalam hidup aku.

Dan tolong jangan persoalkan kenapa aku tak buat solat tahajud.

Aku fikir dari mata terkebil-kebil di atas katil menunggu rasa mengantuk hinggap, lebih baik aku terus tonton tv yang – kalaulah dia makhluk bernyawa - jelas nampak makin bosan dan mengantuk melayan aku.

Dengan terus tonton tv, aku harap dapat jumpa rancangan yang boleh buat aku mengantuk dan tertidur dengan nyaman.  

Misi ini agak sukar sebenarnya. Demi memastikan misi ini tercapai, aku perlu cari rancangan tv yang tak terlalu bosan dan tak juga terlalu best. Masalahnya rancangan tv waktu begini semuanya masuk dalam klasifikasi ‘terlalu bosan’, macam aku cakap tv pun makin mengantuk. Tapi kalau terlalu bosan aku tak boleh tidur, kerana kebosanan adalah bahan bakar neraka insomnia, ia akan berpatah semula kepada situasi terkebil-kebil di atas katil tadi. Kalau terlalu best pulak memang tak tidurlah jawabnya.

Formula untuk lari dari neraka ini ialah mencari rancangan tv yang merepek. Merepek dengan maksud rancangan tersebut menghipnosis aku untuk melayannya dan setelah itu, akibat kemerepekannya yang ketara, nescaya rasa mengantuk akan datang tak semena-mena.

Apa beza ‘terlalu bosan’ dan ‘merepek’? Bezanya tak jauh. Analogi mudahnya begini; kata-kata Najib boleh diklasifikasikan sebagai ‘terlalu bosan’ manakala kata-kata Ibrahim Ali boleh diklasifikasikan sebagai ‘merepek’. Kedua-duanya berbaloi diabaikan, jika yang pertama boleh diabaikan terus, tapi yang kedua merangsang kita untuk melayannya sebagai sitkom oleh pelawak amatur.

Ketika jari aku sibuk tekan punat channel di remote, aku sampai di saluran History yang tengah siarkan rancangan America’s Book of Secret. Ya rabbi, inilah rancangan merepek yang aku cari! History Channel nampaknya makin konsisten menyiarkan rancangan-rancangan merepek macam America’s Book of Secret dan Ancient Aliens².

Tatkala inilah aku sedar yang adik aku ada pinjam buku Rahsia Simbol Yahudi dari kawannya. Pada fikiran aku, daripada menonton America’s Book of Secret dan tertidur di ruang tamu, baik aku baca Rahsia Simbol Yahudi di dalam bilik dan terus lelap di atas katil, kerana kedua-duanya beri kesan yang sama – kesan merepek yang buat aku mengantuk. Lebih-lebih lagi buku tersebut bagi aku lebih merepek, jadi rasa mengantuk mungkin datang lebih cepat dari yang aku jangka.

Seperti beribu-ribu teori konspirasi yang wujud di alam ini, buku Rahsia Simbol Yahudi dan rancangan America’s Book of Secret (juga Ancient Aliens) adalah kajian yang sarat dengan spekulasi liar tanpa bukti kukuh untuk menyokong maklumat-maklumat yang disampaikan, baik bukti historikal, arkeologikal atau antropologikal.

Aku tak ada masalah dengan spekulasi , kerana ‘teori’ harus pada awalnya berdiri dengan spekulasi yang akan menghasilkan beberapa proposisi. Bertolak dari sini, bahawa teori secara umumnya mungkin salah dari betul, maka untuk menjadikan sesebuah teori kukuh, spekulasi tadi perlu dihubungkan dengan fakta-fakta yang boleh disahkan dan mempunyai kredibiliti, bukan terus dikitar semula dengan sentimen emosional dan sawan paranoid yang keterlaluan.

Lebih-lebih lagi teori konspirasi berkait dengan fakta sosio-politik yang boleh dirujuk bersandarkan banyak sumber-sumber yang berautoriti, maka ia perlu dikaji, diselidik dan dianalisis secara ilmiah. Malah berbanding teori-teori lain, kerana teori konspirasi didakwa sebagai sebuah realiti sosio-politik, yakni tentang usaha pihak tertentu yang merancang plot untuk mengganggu-gugat keselamatan atau mengancam nyawa pihak lain, maka sudah pasti ia lebih berbaloi dikaji, diselidik dan dianalisis secara ilmiah.

Kau boleh belek semua buku (atau artikel) teori konspirasi dan kau akan tahu yang sumber rujukan penulis buku-buku ini adalah buku-buku teori konspirasi yang lain. Sebuah teori konspirasi dirujuk kepada teori konspirasi yang lain, sebuah spekulasi dirujuk kepada sekumpulan spekulasi yang lain, bukan dirujuk kepada autoriti atau maklumat yang valid. Rahsia Simbol Yahudi juga termasuk dalam spesis ini di mana rujukannya bersepah-sepah dari buku-buku konspirasi, website teori konspirasi dan Wikipedia.

Jadi kejelekan aku kepada penulis buku teori konspirasi (terutamanya Rahsia Simbol Yahudi) bukan kerana mereka ‘berteori’ tentang ‘konspirasi’. Konspirasi sudah tentu wujud dan dunia pascamoden sekarang penuh berselirat dengan konspirasi. Sudah tentu aku bukan cuba bersikap paranoid di sini, tapi sama ada kau suka atau tidak, kita sudah lama melangkah ke dunia Orwellian dan Big Brother. Kejelekan aku adalah kerana teori itu tidak dikembangkan secara analitikal dalam realiti politik (atau realpolitik) kontemporari. Malah teori tersebut selalu menyuap pembaca dengan kesendengan maklumat dan prejudis melampau.

Maksudnya aku tak kata teori itu salah secara total, tapi mungkin tak sempurna, tak komprehensif, tak holistik dan yang lebih penting, tak mendatangkan bukti-bukti yang mempunyai kredibiliti. Malah kebanyakan buku teori konspirasi masih mengulang maklumat yang sudah berusia lebih 200 tahun dulu, yakni sejak tercetusnya Revolusi Perancis³, dengan sedikit pengubahsuaian yang dangkal.

Teori konspirasi memang menarik. Menarik bukan bermaksud ia mendatangkan kepastian kepada kita yang teori konspirasi itu benar-benar berlaku. Sudah tentu jika teori konspirasi benar-benar berlaku (atau tak berlaku) ia tak lagi jadi ‘teori’. Tapi ia menarik kerana ia menghidangkan naratif alternatif berbanding naratif rasmi yang biasa disuapkan ke kepala kita. Jadi naratif alternatif ini menggiurkan bukan sebab ia betul tapi sebab ia berbeza, tak boring dan selalunya spektakular gaya naratifnya.

Spekulasi mengundang persepsi yang konspirasi itu mungkin benar dan mungkin tak benar. Ia membuatkan kita tak boleh menolak teori itu sepenuhnya. Teori konspirasi seolah-olah dibiarkan tergantung dalam sebuah naratif pembunuhan dalam bilik berkunci yang hanya boleh diselesaikan oleh Sherlock Holmes atau Detektif Conan.

Kita tak pernah bertemu bukti-bukti untuk menyanggah teori tersebut secara total bukan kerana kita tak berjumpa tapi kerana kita tak mencari. Kita tak berminat untuk mencari (atau kita memang tak mempedulikan bukti tersebut) kerana kita selesa mengekalkannya sebagai ‘teori’ lebih-lebih lagi jika teori konspirasi tersebut melibatkan pertembungan di antara pihak kita dan pihak mereka, atau the other. The other adalah pihak lawan yang sentiasa berniat jahat dan berkonspirasi untuk menjatuhkan kita.

Justeru, teori konspirasi tak memfardhukan bukti yang kukuh kerana rukun kepada teori konspirasi yang sempurna ialah plotnya tak perlu dibuktikan secara konkrit. Dalam skop grand conspiracy, cukup dengan mengaitkan peristiwa atau situasi tertentu kepada tiga kambing hitam utama dalam teori konspirasi; Freemason, Illuminati dan Yahudi. Dan bagi orang Islam akan muncul entiti keempat yang bertanggungjawab mengawal ketiga-tiganya, yakni Dajal.

Jeffrey M. Bale dalam artikelnya Political Paranoia vs Political Realism⁴ menyenaraikan tiga faktor mengapa manusia begitu berminat dengan teori konspirasi. Pertama, teori konspirasi membantu manusia memahami kompleksiti corak sebab-akibat dalam kehidupan seharian mereka yang sukar dirungkaikan dan memaknakan kompleksiti tersebut melalui kaedah reductionism dan over-simplification. Kedua, teori konspirasi bertujuan mengenalpasti punca kesengsaraan dan ketidakadilan dunia, seterusnya menjelaskan kenapa kejadian buruk menimpa orang yang baik atau vice versa. Dan ketiga, dengan mewujudkan punca tersebut – atau atas kesedaran yang mereka sudah mengenalpasti akar masalah - dapat membantu mereka mengesahkan kemampuan dan potensi mereka untuk mengawal hala tuju sejarah mereka sendiri.

Kesimpulannya, kata Bale, kecanduan kepada teori konspirasi membantu manusia memaknakan kekeliruan dan kekasaran realiti, merasionalisasikan kesusahan yang menimpa mereka dan menenangkan serba sedikit perasaan ketakberdayaan mereka⁵.

Ironi sekali ketiadaan bukti kukuh adalah bukti kukuh untuk melegitimasikan sebuah teori konspirasi. Kadang-kadang yang lebih menarik, bukti yang menyanggah dakwaan sebuah teori konspirasi cenderung menguatkan lagi teori konspirasi tersebut. Kalau kita beri pencerahan kepada seorang pencandu teori konspirasi tentang kepupusan Illuminati, sejarahnya dengan Freemason, bagaimana Knight Templar dikaitkan dengan Freemason, tentang Freemason sendiri terpecah kepada beberapa denominasi dan tentang sejarah bagaimana teori konspirasi Freemason-Illuminati-Knight Templar bermula. Selepas penat berhujah dengan fakta yang menimbun, ada kemungkinan jawapan balas yang kita terima berbunyi begini, “itu yang diberitahu kepada kita, tapi yang kita tak tahu?”.

Kalau kita terus berkeras dengan hujah kita, jangan terkejut kalau kita disuspek sebagai macai Freemason. Kalau begini standard penghujahan yang diguna pakai, sawan paranoid yang merasuk pencandu teori konspirasi memang sukar dirawat.

Kau pernah dengar teori yang agama Islam sebenarnya dicipta oleh Gereja Katolik Rom dan Rasulullah adalah protege gereja yang kemudian melawan mentornya? Bayangkan situasi kau cuba membela Islam dan Rasulullah dengan pelbagai hujah untuk akhirnya dibalas dengan, “itu yang diberitahu kepada kau, tapi yang kau tak tahu?”.

Ini bukan bermaksud yang aku melihat semua Mason sebagai sekumpulan manusia yang berbincang pasal usaha membantu masyarakat gelandangan. Tak sama sekali. Bukan begitu maksud aku. Setiap agama, kumpulan dan organisasi pasti ada cabang yang ekstrem dan gelap. Kalau kau seorang yang skeptik terhadap sebarang teori konspirasi berkenaan Freemason, maksudnya kau belum pernah dengar tentang cabang Freemason Itali yang bernama Propaganda Due⁶.

Tapi sepertimana kita tak setuju jika ada pihak yang melakukan hasty generalization dengan mengaitkan al-Qaeda atau IS dengan Islam secara keseluruhannya, maka tak adil juga untuk kita melakukan perkara yang sama kepada agama atau kumpulan lain.

Aku cuma mahu mengatakan tak pernah wujud konspirasi universal dalam skala gergasi, sebuah grand conspiracy, atau sebuah konspirator tunggal, sebuah kuasa monolitik yang mencorakkan SEMUA perjalanan sejarah dunia atau menentukan takdir manusia. Aku tekankan perkataan SEMUA kerana sudah tentu banyak sisi sejarah yang digerakkan oleh konspirasi.

Secara mudahnya semua revolusi utama yang pernah terjadi di dunia ini, dari Revolusi Amerika sehinggalah Revolusi Iran, walaupun bukan berpunca dari Freemason, Illuminati dan Yahudi, adalah hasil dari konspirasi dan komplot tertentu. Malah yang lebih menarik, sejarah mencatatkan, setiap revolusi kemudiannya pasti memberanakkan pelbagai teori konspirasi, dan teori konspirasi tersebut selalunya muncul dari pihak yang menggerakkan revolusi atau konspirator revolusi itu sendiri.

Sang konspirator (atau revolusioner elit) yang bimbang dengan situasi yang mungkin tak memihak kepada mereka mula mendengungkan kepada masyarakat tentang konspirasi pihak lain yang cuba menjatuhkan sistem yang mereka bangunkan. Oleh itu, mayat bergelimpangan bukan situasi yang pelik selepas revolusi lama berlangsung. Purge adalah terma wajib dalam kamus mana-mana revolusi.

Seperti biasa, kebanyakan pembunuhan (atau bahasa undang-undangnya hukuman) dijatuhkan tanpa siasatan terperinci dan bukti yang kukuh, cukup dengan khabar angin, cakap mulut dan spekulasi, kerana itulah rukun teori konspirasi. Fakta ini juga membuktikan walaupun individu tertentu mengambil sikap anti teori konspirasi, mereka tak boleh menafikan banyak sisi sejarah bermula dari konspirasi yang sudah disahkan kredibiliti teorinya.

Freemason itu sendiri tak pernah mewujudkan sebuah unit pentadbiran pusat atau ibu pejabat di mana-mana pun di dunia ini. Semua Grand Lodge mempunyai autonomi dan bidang kuasa masing-masing. Atau dalam ayat Bale tak pernah wujud International Capitalist Conspiracy, Jewish World Conspiracy dan Universal Vatican Conspiracy. Tak pernah ada dan mustahil ada, walau pun pencandu teori konspirasi mungkin jawab ‘tak mustahil dengan bantuan Dajal’.

Untuk merealisasikan konspirasi tahap universal tersebut memerlukan seorang manusia atau sekumpulan manusia yang boleh meramal masa depan, penuh disiplin kerahsiaan yang tinggi dan tak pernah buat silap. Malangnya aku rasa ketiga-tiga sifat di atas buka sifat manusia atau mana-mana makhluk pun (termasuk Dajal), tapi sifat Tuhan.

Propaganda Due adalah bukti Freemason bukanlah sehebat yang kita sangkakan. Jika di peringkat domestik, yakni di Itali konspirasi mereka sudah kantoi, maka atas rasional apa lagi kita boleh meyakini mereka mampu mencaturi setiap konflik utama di dunia.

Manusia adalah makhluk yang kompleks yang kemudiannya membentuk apa yang kita namakan sebagai budaya, yang terdiri dari pelbagai lapis dan struktur sosio-politik yang kompleks dan melibatkan ragam kepentingan yang pelbagai. Usaha nak mengawal atau mencorak dunia tak semudah seperti yang digambarkan teori konspirasi universal. Usaha nak menukar kerajaan BN di Malaysia pun gagal dan masih merangkak, tak payah cakap pasal nak kawal seluruh umat manusia.

Aku bukan menolak semua teori konspirasi. Bila aku sebut yang aku menolak teori konspirasi universal, bukan bermaksud yang kita perlu menidakkan konspirasi yang dilakukan kapitalis, Freemason atau Yahudi. Bagi aku seruan untuk menolak semua teori konspirasi adalah kejayaan sebuah konspirasi.

Kita perlu bezakan di antara teori konspirasi dengan konspirasi. Teori konspirasi mungkin betul dan mungkin tak betul. Ada teori punya asas yang kuat dan ada teori yang merepek. Secara peribadi aku berpendapat kebanyakannya merepek macam Ibrahim Ali. Plotnya memang dramatik, selalunya lebih sudu dari kuah, mengulang semula maklumat-maklumat usang yang sudah disangkal berpuluh-puluh tahun dulu dengan beban pembuktian yang semakin menipis.

Bale dalam artikel yang sama mengajak kita membezakan di antara ‘conspiracy theories’ dan ‘conspiratorial politics’. Beliau menyarankan kita meninggalkan dua pihak yang ekstrem; pihak pertama yang menjadi pencandu teori konspirasi dan pihak kedua ialah mereka yang menolak terus konspirasi politik dan pakatan sulit organisasi tertentu.

Sebagai contoh mudah untuk membezakan di antara conspiracy theories dan conspiratorial politics, Bale merujuk kepada Protocol of the Elders of Zion (Protokol). Protokol yang kononnya merekodkan pertemuan sulit sekumpulan pemimpin Zionis yang mahu menawan dunia dengan bantuan Freemason telah memainkan peranan besar dalam menimbulkan ketakutan terhadap konspirasi Yahudi dan merangsang penindasan berterusan terhadap komuniti Yahudi di Eropah bermula abad ke 19.

Malah sampai sekarang, ia masih dipetik sebagai bukti wujudnya pakatan sulit Yahudi sedunia – atau seperti aku sebutkan di awal tadi sebuah konspirasi universal – yang bercita-cita meletakkan dunia di bawah telunjuk Yahudi. Walaupun sudah dibuktikan secara konklusif bahawa Protocol bukanlah konspirasi Yahudi, tapi kita tak boleh menafikan bahawa ianya adalah produk tulen sebuah conspiratorial politics yang disebarkan oleh Okhrana, polis rahsia Tsar. Maksudnya ia dijayakan oleh sebuah organisasi sulit yang memang wujud dengan matlamat meniupkan semangat anti-Yahudi dan memanipulasi ketakutan masyarakat.

Masalahnya bagi Bale, kebanyakan dari kita, baik golongan amatur atau golongan profesional, gagal membezakan di antara conspiracy theories dan conspiratorial politics. Di satu sisi, muncul banyak pihak yang mengaku ‘pakar’ dalam konspirasi tapi sebenarnya sekadar berkokok tentang teori konspirasi, di mana ulasan dan tulisan mereka tak lebih baik dari bomoh Siam yang membuat ramalan nombor ekor, yakni merepek tak tentu hala. Mereka beriman kepada kewujudan sebuah konspirasi besar yang luar biasa, yang berjaya memanipulasi peristiwa sejarah di belakang tabir, walaupun di kalangan mereka sendiri berbeza pendapat tentang siapa di belakang tabir tersebut. Kemunculan golongan ini secara langsung mematikan motivasi penyelidik tulen yang benar-benar berminat mengkaji konspirasi politik kerana bimbang terpalit dengan imej bomoh Siam yang merepek tadi.

Menurut Bale, sebagai reaksi terhadap kemunculan pelbagai teori konspirasi merepek, golongan intelektual dan akademia seolah-olah menolak kewujudan konspirasi dan menafikan kepentingan mengkaji pakatan konspirasi tertentu. Terdapat kecenderungan di kalangan golongan akademia untuk bersifat skeptik terhadap sebarang maklumat yang ‘berbau’ teori konspirasi tanpa ada usaha untuk mengkaji, menyiasat atau membongkarnya secara ilmiah.

Idea tentang kumpulan tertentu yang bertemu secara sulit untuk merancang tindakan tertentu, kata Bale, di mana sebahagian rancangan ini memberi pengaruh yang signifikan terhadap perkembangan sejarah tertentu, ditolak terus oleh golongan intelektual dan dianggap sebagai sebuah khayalan dari imaginasi paranoid. Malah perkataan ‘konspirasi’ itu sendiri – hasil dari teori konspirasi merepek – sudah mendatangkan pemaknaan yang pejoratif dan membuatkan golongan intelektual mengelakkan diri dari bercakap tentangnya kerana imej popular tentang konspirasi mencabar konsepsi golongan terpelajar dan sofistikated terhadap perjalanan sejarah dunia.

Oleh sebab itu, cadangan penyelidikan ilmiah tentang konspirasi politik selalu ditolak. Dalam tempoh berpuluh-puluh tahun, kajian akademik tentang politik cenderung dipenuhi dengan kajian yang menjelaskan atau menilai merit teori politik tertentu, atau menganalisa sisi politik yang lebih konvensional, formal dan praktikal.

Ironinya, menurut Bale, dunia ilmiah dan intelektual dipenuhi dengan karya ‘anti-teori konspirasi’ yang mendedahkan mentaliti paranoid pencandu teori konspirasi terutamanya dalam menyanggah teori konspirasi klasik berbanding membongkar karakter sebenar conspiratorial politics.

Realitinya ialah, tanpa teori merepek tentang Illuminati pun kita tahu bahawa Yahudi memang menguasai ekonomi, politik dan teknologi dunia. Tanpa teori merepek tentang Freemason pun kita tahu yang Zionis menerusi lobi mereka memainkan peranan besar dalam polisi luar Amerika. Tanpa teori merepek tentang Knight Templars pun kita tahu CIA selalu menjalankan covert operation ke atas negara-negara yang menyimpan kepentingan Amerika. Dan tanpa teori merepek tentang isyarat tangan pun kita tahu yang gerakan Zionis saling bekerjasama dengan industri militari, gergasi perbankan serta syarikat minyak demi menjaga kepentingan mereka yang kait-mengait di Timur Tengah.

Dan ini isu yang perlu diketengahkan, yakni bahawa konspirasi neo-imperialisme ini bukan hanya berkisarkan persoalan neo-perang salib semata-mata, atau hegemoni ideologi semata-mata, atau dominasi ekonomi kapitalisme semata-mata, tapi membabitkan setiap satu faktor-faktor tersebut, yakni sebuah pakatan strategik bersifat political-economic-military-theological yang rencam, walaupun motif utama kuasa imperialis dari dulu hingga sekarang lebih didorong faktor political-economy. Secara mudahnya kita perlu kaji semula konsep base-superstructure yang disebutkan Marx.
 
Untuk memudahkan kita faham asas konspirasi neo-imperialisme ini, ada baiknya kita mula dengan penjelasan Chomsky. Kata Chomsky, struktur pemerintahan moden kini berpusat pada ekonomi. Bila kita ada kerajaan di peringkat nasional, kita ada ekonomi nasional. Tapi globalisasi telah memunculkan ekonomi internasional, yang membuatkan kita bergerak kepada kerajaan internasional, yang bermaksud akhirnya akan wujud kumpulan eksekutif di peringkat internasional. Chomsky mengulang semula apa yang disebutkan Marx dalam Communist Manifesto: The executive of the modern state is but a committee for managing the common affairs of the whole bourgeoisie.

New imperialist age ini, kata Chomsky, akan menciptakan de facto world government. Dari penjelasan ini, kita boleh faham kerajaan internasional, sepertimana kerajaan BN kita, walaupun motif utamanya ialah pengumpulan kekayaan ekonomi di kalangan elit politik dan kelas pemodal mereka, tapi masih bergantung harap kepada apparat superstructure sebagai sumber hegemoni mereka.

Apparat superstructure ini bersifat dinamik dan berjalan menggunakan inner logic yang tersendiri, malah menyimpan ragam kepentingan yang tersendiri. Dan apparat superstructure ini yang rumit kerana ia menyentuh kepercayaan dan sistem nilai masyarakat di peringkat sosio-budaya yang seterusnya menciptakan ‘ideologi’ yang menurut Clifford Geertz, merupakan sistem aturan yang menyimpan simbol budaya yang kompleks.

Superstructure ini tak semestinya menyokong base secara melulu atau bersetuju dengan base seratus peratus. Macam aku cakap hubungan base-superstructure ini bersifat dinamik kerana masyarakat yang terdiri dari pelbagai kelas sosial menyimpan pelbagai ragam kepentingan. Apabila kita bercakap tentang kelas sosial, kita bukan bercakap tentang kelas ekonomi atau semata-mata tertakluk kepada faktor ekonomi. Kelas sosial bukan milik ekonomi semata-mata tapi sebuah social formation yang dibentuk oleh budaya, tradisi, norma, institusi sosial dan nilai hidup. Semua unsur inilah yang melahirkan persepsi, sentiment dan prejudis. Kalau kau beritahu Gramsci faktor kemenangan BN kerana mereka berjaya memanipulasi rakyat, Gramsci pasti akan menghantukkan kepala kau ke dinding dengan alasan simplistik tapi bangang itu. Bagi Gramsci, hegemoni bukan sekadar manipulasi, tapi lebih kepada legitimasi.

Kepentingan kelas sosial mungkin berbeza, mungkin wujud percanggahan dan konflik, tapi mereka saling bekerjasama, saling memerlukan dan mungkin saling berkompromi, mungkin terpaksa mengorbankan beberapa prinsip cabang untuk maslahah jangka panjang yang lebih besar. Pada tahap base logiknya mungkin berkisarkan ekonomi, tapi di tahap superstructure kepentingannya bercampur baur.

Sebab itu aku tak setuju bila ada orang berpendapat konspirasi Amerika dan sekutu mereka semata-mata didorong faktor ekonomi (atau semata-mata didorong niat menjatuhkan Islam), sama juga aku tak setuju bila orang cakap rakyat mengundi BN kerana mereka macai yang bodoh dan mudah dibeli dengan duit, beras dan kain pelikat. Rakyat tak bodoh, kalau mereka bodoh dah lama Pakatan Rakyat (PR) menang.

Tak kisahlah sama ada mereka mahu mendirikan New World Order (atau New World Disoder) atau memperkenalkan isyarat tangan sebagai lingua franca, tapi kenyataannya mereka sedang memerintah, mereka sedang berkuasa, mereka mendominasi tata kelola dunia. Mereka menakluk bukan dengan isyarat tangan tapi dengan apparat yang bernama WTO, IMF, Bank Dunia, AIPAC, NED, NATO, OECD dan bersepah-sepah lagi. Dan banyak kelas kapitalis dan elit politik tempatan sedia menjadi anjing suruhan mereka. Jadi kita tak perlukan teori konspirasi yang penuh dengan sawan paranoid untuk memberitahu kita ada kuasa tunggal (faktanya mereka bukan entiti tunggal tapi fraksi yang bersatu untuk kepentingan bersama) yang mahu menawan dunia. Kita tak perlukan ceramah dan tulisan merepek begini.

Selepas beratus tahun dunia diingatkan tentang ancaman Yahudi dan jelmaannya, selepas beribu-ribu buku menceritakan tentang plot jahat mereka, kita perlu bertanya apa yang berubah? Adakah kita berjaya menyekat konspirasi mereka atau melemahkan mereka? Realiti menunjukkan sebaliknya. Jadi apa signifikannya buku-buku merepek tersebut? Bukankah buku-buku tersebut yang semakin menguatkan semangat xenophobia dan rasisme Yahudi selama ini?

Ironi sekali buku teori konspirasi menjadikan Yahudi berwaspada dan kuat sebaliknya menjadikan kita lebih cuai dan bodoh. Ya, sudah tentu bagi pencandu teori konspirasi kecuaian dan kebodohan yang menimpa kita juga adalah natijah dari sebuah konspirasi Yahudi. Sedangkan punca kepada masalah ini adalah teori konspirasi kita yang merepek, pemalas dan semberono, analisis kita yang longgar, lapuk dan berkulat. Yahudi semakin maju ke depan sebaliknya kita terkapai-kapai dilemaskan oleh bontot pemimpin yang gagal memahami realpolitik kontemporari dan masih berebutkan kekayaan dan kepentingan peribadi.

Tapi kenapa kita paranoid dengan keinginan mereka menguasai dunia? Apa yang nak dihairankan?  Islam pun bercita-cita menguasai dunia. Marxisme juga mahu memerintah dunia. Skim MLM paling cikai pun bercita-cita meletakkan seluruh penduduk dunia sebagai downline mereka. Adakah kita perlu bimbang kerana Freemason – berbanding Islam, Marxisme dan MLM – sudah menemui rahsia paling mudah dan murah untuk menguasai dunia, yakni dengan isyarat tangan dan simbol? Adakah itu puncanya? Adakah simbol dan isyarat tangan adalah senjata paling afdal kini yang perlu diberi perhatian?

Atau sebenarnya yang membuatkan kita paranoid dengan keinginan mereka untuk menguasai dunia ialah kerana ketakupayaan kita untuk menguasai dunia. Jadi apa yang kita mampu lakukan hanyalah berteori tentang konspirasi mereka, sedangkan mereka bukan sekadar berteori, mereka bekerja, mereka bergerak dan mereka bertindak, yang bertele-tele dengan teori usang hanyalah kita, kita sebagai kaum tertewas yang mencari kambing hitam untuk disalahkan atas setiap kegagalan sendiri.

Kalau kita fikirkan dengan mendalam, seperti yang disebutkan Bale dalam artikelnya, faktor yang membuatkan kita menelan bulat-bulat teori konspirasi adalah kerana faktor ketakutan, kemarahan dan kelemahan yang wujud dalam diri kita sendiri. Ia sebuah kondisi psikologi, sebuah emosi ketakutan, kekeliruan, kelemahan dan cognitive dissonance yang diprojeksikan ke luar diri, kepada the other, mereka yang lain. Merekalah yang salah, merekalah yang jahat, merekalah yang zalim.

Dalam sesetengah kes, teori konspirasi ini diwujudkan oleh elit politik – selain untuk melegakan ketakutan dalam diri mereka sendiri – juga bertujuan untuk mengalihkan tumpuan masyarakat daripada masalah sebenar yang menimpa mereka, atau menimpa negara. Dan apabila aku sebut elit politik, ia bukan merujuk kepada politikus kerajaan secara spesifik, tapi juga politikus oposisi secara langsung. Sejarah selalu membuktikan, teori konspirasi sering muncul ketika masyarakat dihadapkan dengan kekalutan serta krisis sosio-politik yang meruncing.

Di Malaysia, kita sekian lama terperangkap dalam retorik teori konspirasi yang memecah-belahkan masyarakat. Sudah tentu satu pihak menganggapnya sebagai konspirasi untuk menjatuhkan karier pemimpin mereka, dan satu pihak lagi melihat tuduhan konspirasi itu sebagai alasan meraih simpati rakyat, yakni sebuah konspirasi dalam konspirasi. Tuduh-menuduh ini kemudiannya mengulang spectacle politik yang sama, kerana kita masih menyanyi melodi perjuangan yang sama, yakni membela kepentingan elit politik dan kaum kerabat mereka.

Perseteruan yang melelahkan di antara dua fanatisme ini gagal mengundang rehat yang berkesan dan keadaan bertenang yang memungkinkan kita menganalisa semula perjalanan teori konspirasi tersebut, meneliti semula fakta kes dan perca-perca maklumat yang berserakan dari awal kemunculannya sehinggalah sekarang. Dan yang lebih penting melihat gambaran keseluruhan perjalanan politik negara yang semakin punah dengan retorik politik yang berbakul-bakul.

Kedua-dua pihak kadang-kala mengambil pendirian yang berkecamuk, bila pemimpin mereka atau kelompok mereka dikaitkan dengan skandal tertentu, mereka menjadi pencandu teori konspirasi, tapi bila pemimpin lawan atau kelompok lawan dikaitkan dengan tuduhan yang sama, teori konspirasi tiba-tiba menjadi terma pejoratif dan diserang sebagai ‘spekulasi liar’ dan ‘andaian yang tak berasas’. Dari pencandu teori konspirasi mereka bertukar menjadi makhluk analitikal yang mahu mengesahkan tuduhan tersebut berdasarkan bukti-bukti yang nyata dan kukuh.

Kesimpulannya, kedua-dua pihak sebenarnya memilih untuk kekal sebagai pencandu teori konspirasi hasil kesendengan perspektif dan prejudis yang sudah tertanam di kepala hotak mereka sejak dulu. Kedua-dua pihak selesa dengan soalan ‘itu yang diberitahu kepada kita, yang kita tak tahu?’. Dalam zaman pascamoden yang meraikan spectacle dan kedangkalan bentuk, zaman yang memudah-mudahkan kompleksiti dan kerumitan hidup, bukan satu yang menghairankan bila kita mudah tergoda dengan retorik yang simplistik, penjelasan yang provokatif, maklumat yang bersifat sensasi dan pernyataan yang anti-ilmiah.

Mungkin ini situasi yang tepat untuk mendefinisikan gejala thoughtlessness yang disebut Hannah Arendt, yakni bukan bodoh, bukan jahat, bukan jahil, tapi ketakberfikiran, yakni enggan berfikir secara benar, sebaliknya hanya mengikut telunjuk pemimpin dan kelompok.

Dalam kes ini, ketakutan di kalangan masyarakat akan menghantar negara kepada situasi permanent war, yakni perang berterusan terhadap musuh yang tak mampu mereka tewaskan dalam medan perang ciptaan yang merugikan masyarakat. Permanent war tak semestinya melibatkan parang dan pistol (walaupun boleh menuju ke situ), bukan juga dalam bentuk perlawanan ideologi yang ketara, ia muncul sebagai slogan, perhimpunan, memorandum dan forum picisan, selalunya ia digerakkan oleh collective symbols, mungkin atas nama keadilan, agama, bangsa, nasionalisme atau patriotisme. Ianya adalah mekanisme paling lumayan untuk meniup prejudis, menjana syak wasangka, memomokkan ketakutan dan menanam rasa kebergantungan kepada elit politik.

Mungkin lebih jelas kalau aku simpulkan yang mentaliti suka melanggan teori konspirasi ini lebih kurang sama dengan kondisi psikologi yang disebutkan Nietzsche, yakni ressentiment. Melalui karyanya, On the Geneology of Morals (walaupun ia adalah kajian antropologi dan psikologi yang bersifat spekulasi tapi lebih berbaloi dibaca berbanding buku teori konspirasi), Nietzsche mengulas persoalan ressentiment dalam usahanya untuk mengkaji asal-usul moraliti Kristian.

Secara umumnya, ressentiment adalah sebuah sentimen kemarahan/ kebencian yang bertukar kreatif menjadi sebuah imaginasi yang memunculkan konsep ‘kejahatan’ (evil). Tapi di sini aku akan menggunakan terma ressentiment dalam bentuk yang abstrak, kerana Nietzsche seperti selalu tak pernah gagal melakukan provokasi yang boleh membuatkan iman kita tersentak.

Moraliti yang muncul dari ressentiment ialah moraliti double standard. Moraliti hipokrit, palsu dan plastik. Moraliti yang tak mengakar di dalam hati dan menjadi kesedaran yang menguatkan karakter dan peribadi. Moraliti hipokrit ialah moraliti pendendam dan pendengki yang tak mampu memiliki apa yang orang lain miliki. Berkereta mewah hanya dianggap satu pembaziran bila diri sendiri tak mampu mendapatkan kereta mewah. Berbelanja besar membina istana hanya dituduh penyelewengan bila diri sendiri tak mampu beli rumah besar. Menganiaya orang hanya dianggap berdosa bila diri sendiri dianayai. Menindas pekerja dianggap agenda kapitalis bila musuh yang menindas.

Tapi apabila diri sendiri atau kelompok sendiri berpeluang melakukan kerja-kerja jahat yang sama, pemaknaannya berubah, gelarannya tak lagi sama. Bila kelompok sendiri terlibat dalam korupsi, kita membelanya dengan mengatakan dia juga seorang yang dermawan. Begitulah yang selalu berlaku, kejelekan akhlak kelompok sendiri diabsahkan atas pelbagai faktor dengan pelbagai dalil.

Baiklah, secara mudahnya Nietzsche menerangkan yang pada zaman dulu, struktur masyarakat aristokrasi terbahagi kepada dua kumpulan; kumpulan tuan (masters) dan kumpulan hamba (slaves). Kumpulan tuan adalah kumpulan yang berkuasa, aktif, berani, positif dan ghairah mendepani hidup. Sama ada melalui aspek fizikal dan intelektual, kumpulan tuan sentiasa mendahului dalam strata sosial.

Kumpulan tuan melihat musuh dan oposisi sebagai cabaran yang perlu diundang dan menjadi pengukur kepada superioriti mereka. Mereka hidup dan bernafas dengan kejayaan-kejayaan yang mereka nikmati. Oleh kerana mereka sentiasa berjaya menundukkan lawan, maka mereka mendefinisikan tindakan-tindakan mereka dan diri mereka sendiri sebagai ‘baik’ (good). Sebagai lawan kepada ‘baik’, mereka mendefinisikan mana-mana manusia, terutamanya kumpulan hamba, yang tak mampu dan tak berani menjalani hidup yang bersemangat seperti yang mereka lakukan sebagai ‘buruk’ (bad). Terma ‘baik’ dan ‘buruk’ menjadi asas moraliti kepada kumpulan tuan.

Sejarah baru dikatakan bermula apabila kumpulan hamba melakukan pemberontakan terhadap penilaian moraliti kumpulan tuan tadi. Kumpulan hamba adalah kumpulan tertindas dan lemah dimana ketakberdayaan ini menghalang mereka dari melihat dan menjalani hidup dengan berani, apatah lagi untuk menceburi gaya hidup sehebat kumpulan tuan. Mereka sedar kelemahan mereka takkan mampu mengalahkan kumpulan tuan. Justeru, mereka membangunkan sentimen negatif dan reaksioner terhadap penindasan kumpulan tuan yang dinamakan ressentiment.

Ressentiment adalah dendam kumpulan hamba terhadap kumpulan tuan dalam bentuk imaginasi kreatif di mana ia menatijahkan sebuah nilai baru yang menghasilkan penilaian baru, yakni ‘jahat’ (evil). ‘Jahat’ merujuk kepada kehidupan dan semua aktiviti kumpulan tuan. Kerana mereka, yakni kumpulan hamba di pihak yang berlawanan dengan kumpulan tuan, sudah tentulah mereka di pihak yang baik. Daripada moraliti yang berkisarkan ‘baik’/‘buruk’ yang dipegang kumpulan tuan kini sejarah menyaksikan  moraliti ‘baik’/’jahat’ yang dibina kumpulan hamba.

Nilai-nilai yang dipegang kumpulan tuan dipertentangkan sebagai nilai yang jahat manakala nilai yang dimiliki kumpulan hamba dianggap sebagai nilai yang baik. Contohnya sifat lambat dimaknakan sebagai kesabaran, ketundukan kepada pihak yang kita benci dipanggil kepatuhan, sifat pengecut dipanggil sabar dan tak mampu membalas dendam dipanggil kemaafan. Melalui moraliti ‘baik’/’jahat’ ini kumpulan hamba mampu memaknakan kemiskinan dan penderitaan mereka. Kumpulan hamba mencipta imaginasi yang kelemahan mereka adalah kekuatan dan kekurangan mereka adalah kelebihan, sebuah proses rasionalisasi yang menjadikan moraliti mereka lebih superior dari kumpulan tuan.

Kalau menurut Hegel, situasi ini adalah fitrah, yakni membandingkan diri kita dengan ‘the other’ atau unsur eksternal dari diri kita, dalam langkah kita untuk memaknakan diri kita sendiri. Tapi tidak bagi Nietzsche kerana dia melihat mentaliti begini mengekang manusia untuk membina pemaknaan dan prinsip kendiri, menghalang self-affirmation, mematikan kesedaran manusia untuk percaya pada apa yang benar-benar mereka percaya. Kalau tak yang muncul adalah mentaliti reaksioner.

Kumpulan hamba bersikap reaksioner kerana mereka terlebih dulu menilai kumpulan tuan secara negatif, dan kemudian sebagai reaksi, baru menilai kumpulan mereka secara positif. Hal ini berbeza dengan kumpulan tuan yang menilai kumpulan mereka terlebih dulu secara positif, dan kemudian - atas faktor kumpulan hamba tak memiliki nilai yang mereka anuti - baru menilai kumpulan hamba secara negatif.

Contohnya macai PR melihat pertembungan PR-BN dengan rumus begini: BN jahat dan kerana PR menentang BN maka PR baik. Maka yang difokuskan adalah unsur ‘jahat’ lawan tanpa menyoal dengan mendalam apa yang kita sendiri percaya sebagai ‘baik’. Kita sibuk menyesatkan semua orang. Kebenaran kita bergantung kepada kebatilan pihak lain. Semakin batil pihak lain, semakin benarlah kita. Kita tak mampu berdiri sendiri dengan kebenaran kita. Penyakit ini melanda semua individu dan kumpulan dari parti politik sampailah kepada kumpulan agama.

Tulis Nietzsche:
“This reversal of the evaluating glance – this essential orientation to the outside instead of back onto itself – is a feature of ressentiment: in order to come about, slave morality first has to have an opposing, external world, it needs, physiologically speaking, external stimuli in order to act at all, – its action is basically a reaction.”

Sudah pasti Nietzsche tak menutup perbahasannya tentang moraliti setakat itu saja. Tapi apa yang ingin aku sebut dalam tulisan ini bukan tentang moraliti tapi tentang mentaliti ressentiment atau mentaliti teori konspirasi tadi. Ressentiment adalah mentaliti reaksioner yang cenderung memprojeksikan kelemahan diri kepada kekuatan musuh. Kelemahan diri tak menjadi titik tolak sebagai sarana membangunkan kekuatan dalaman atau muhasabah diri, begitu juga kekuatan musuh tak menjadi sumber motivasi untuk meningkatkan keupayaan diri, sebaliknya kedua-duanya menjadi justifikasi untuk terus kekal dalam kemunduran dan penderitaan.

Logik yang dipakai ialah kemunduran bukan kerana diri lemah tapi kerana lawan kuat. Dan kekuatan lawan adalah satu kesalahan yang perlu dikecam sebagai keinginan jahat yang merosakkan, seolah-olah lawan perlu meletakkan diri mereka di takuk kelemahan yang sama dengan diri kita, kemudiannya barulah persaingan sebenar bermula. Semuanya adalah usaha untuk meletakkan kita lebih superior dari pihak lawan seterusnya memunculkan penyakit ‘mereka lebih teruk dari kita’. Semua kejayaan lawan adalah kesyaitanan yang perlu ditentang habis-habisan.

Maka muncul dongeng yang kekuatan lawan terlalu raksasa, Freemason, Illuminati dan Knight Templar ada di mana-mana, ideologi lawan muncul di dalam bentuk simbolisme melalui filem, muzik, kasut dan sejadah, semua Yahudi yang famous berniat jahat, segala gerak isyarat disyaki sebagai konspirasi musuh, pasukan pengakap, The Beatles, muzik punk adalah ejen Yahudi dan pelbagai lagi karut-marut Israilliyyat. Aku fikir, kalau  banyak sangat benda kita benci dalam dunia ini, ada kemungkinan sebenarnya yang kita benci ialah diri kita sendiri.

Pendek kata, musuh sudah menyusup jauh ke dalam kehidupan kita, sejauh seluar dalam kita dan coli bini kita juga mungkin konspirasi Yahudi laknatullah. Dan dengan rasa ketakberdayaan ini, maka apa solusi kita? Jawabnya menunggu kedatangan Imam Mahdi!

Dengan segala mak nenek teori yang memang mengarut dan dangkal akhirnya kita dihadapkan dengan sebuah penyelesaian yang pasif, kalau ia boleh dinamakan penyelesaian, yakni tunggu saja untuk diselamatkan.

Aku tutup tulisan ini dengan petikan dari On the Geneology of Morals oleh Nietzsche:

Bukan satu yang pelik jika sekumpulan anak kambing menyimpan dendam kepada sekumpulan burung pemangsa, tapi burung pemangsa juga tak boleh disalahkan jika menangkap anak kambing. Dan jika anak kambing berbual sesama mereka: ‘Burung pemangsa memang jahat, dan sesiapa saja yang tak menyerupai burung pemangsa, atau lebih mendekati lawan mereka – yakni anak kambing, tentu dia baik, kan?’.

Tak ada sebab untuk kita mencari salah dalam cara berfikir begini, cuma mungkin burung pemangsa melihatnya secara sinis dan berkata: ‘Kami langsung tak menyimpan dendam kepada anak-anak kambing yang baik ini, bahkan kami sayang anak kambing, tak ada yang lebih sedap melainkan daging kambing yang lembut’.

Untuk meminta kekuatan supaya jangan meluahkan dirinya sebagai kekuatan – supaya jangan menyimpan hasrat untuk menggulingkan sesuatu, menewaskan, menjadi tuan, dahagakan musuh,  perlawanan dan kemenangan – adalah sama merepek dengan meminta kelemahan meluahkan dirinya sebagai kekuatan.

______________________________________________________________

¹ Empresses in the Palace (juga dikenali sebagai The Legend of Zhen Huan) adalah drama bersiri China yang diadaptasi dari sebuah novel internet. Ia mengisahkan konspirasi politik di antara maharani, permaisuri, gundik dan perempuan simpanan di Kota Larangan ketika era Dinasti Qing, dalam usaha masing-masing meraih kuasa, pengaruh dan perhatian dari Maharaja Yongzheng. Ini kisah politik kaum hawa peringkat tinggi. Pendek kata ini kisah politik orang perempuan yang tak lagi terbatas kepada gosip murahan, mengumpat dan drama tarik rambut semata-mata, tapi dipakej dengan menarik dalam plot survival of the fittest, tikam belakang, sabotaj dan pembunuhan. Fokus drama ini ialah transformasi watak Zhen Huan, dari gadis jelita yang bijaksana dan baik hati menjadi seorang pendendam dan kejam, dari gundik biasa sehingga dia menduduki status tertinggi di istana sebagai Maharani Balu.


² Ancient Aliens menjengkelkan aku kerana pengkajinya menidakkan fakta yang paling penting, yakni lama sebelum era Renaissance, Reformation dan Enlightenment; ketamadunan, peradaban dan keintelektualan manusia sudah lama bermula. Jadi kecanggihan struktur piramid (atau mana-mana teknologi kuno) tak ada kena mengena langsung dengan alien.

Teori kedatangan alien untuk membantu tamadun manusia telah merendahkan kehebatan pemikiran dan pencapaian umat manusia dalam tamadun-tamadun awal. Ianya satu lagi faham eurosentrik melulu yang meletakkan peradaban Barat sebagai kunci peradaban manusia seluruhnya. Seolah-olah semasa manusia Barat diselimuti kejahilan semua manusia adalah makhluk separa beruk yang pakai cawat dan hidup secara barbarik. Seolah-olah sebelum Kant sebut ‘sapere aude’ manusia tak pernah berfikir atau belum mula berfikir.

Kenyataannya manusia pertama di dunia ini, yakni Nabi Adam sebelum diturunkan ke dunia telah dibekalkan ilmu oleh Allah. Kenyataanya selain berfungsi menyampaikan risalah tauhid, nabi dan rasul diutuskan untuk setiap kaum di setiap belahan dunia untuk membina peradaban dan tamadun. Kalau mereka jahil fakta ini, kalau pun mereka tak boleh terima elemen ketuhanan dan nubuwwah memainkan peranan dalam pembinaan tamadun manusia, tapi kenapa alien tak bersalah itu yang dibabitkan dalam hal ini. Biarlah alien bersiar-siar dengan piring terbang mereka. Kenapa tak pernah muncul di kepala hotak pengkaji-pengkaji ini yang kehebatan piramid adalah tanda kehebatan manusia sendiri kerana sebelumnya yang mereka selalu mengagungkan akal manusia. Dari dimensi mana alien boleh mencelah dalam kes ini?


³Benih sawan paranoid ini jika ditelusuri sudah disemai sejak Revolusi Perancis, sebuah peristiwa yang berpunca dari ressentiment, dan sudah tentu dikecam Nietzsche. Revolusi Perancis selain memunculkan idealisme politik baru, turut melahirkan teori baru yang bernama teori konspirasi. 
     
Apabila kejatuhan ancien regim bawa malapetaka yang lebih dahsyat, apabila slogan revolusi – liberty, fraternity, equality - hanya melekat di celah gigi, bila darah mengalir dari gilotin turun melimpah di setiap lorong jalan Perancis, rakyat mula bingung dan keliru dengan kekejaman yang menimpa mereka. Mereka tertanya-tanya bagaimana sebuah negara Eropah paling elegan boleh terseret dalam kancah berdarah yang mengorbankan beratus ribu manusia.

Seperti biasa, manusia tak melihat ke dalam diri mereka sendiri. Mereka perlu memprojeksikan kekeliruan, rasa bersalah, kelemahan dan kemarahan tersebut kepada orang lain. Maka kambing hitam perlu dicari.

Bermula dengan Revolusi Perancis, muncul tulisan-tulisan yang sampai sekarang masih menjadi panduan kepada pencandu teori konspirasi dan munculnya tiga dajal dalam teori konspirasi; Knight Templars, Illuminati dan Freemason. Sepanjang sejarah manusia moden, mengikut teori konspirasi yang muktabar, ketiga-tiga entiti inilah yang bertanggungjawab merosakkan dunia; komunisme, liberalisme-kapitalis, kumpulan Anwarinas, penubuhan UMNO, filem-filem MIG, pendek kata apa saja kejahatan boleh dinisbahkan kepada mereka.

Seorang paderi Perancis bernama LeFranc menulis The Veil Withdrawn pada tahun 1791. LeFranc membongkar ritual Freemason dan menuduh mereka sebagai dalang sebenar Revolusi Perancis. Pada tahun 1792, Cadet de Gassicourt menulis The Tomb of Jacques Molay. Jacques Molay ialah Grand Master terakhir Knight Templars yang dihukum bunuh di Perancis oleh Raja Philip IV pada tahun 1314. Karya ini menceritakan bagaimana Knight Templars telah merancang selama 4 abad untuk membalas dendam kepada monarki Perancis dan Gereja Katolik serta bagaimana mereka kini muncul sebagai Freemason.

Pada tahun 1797, seorang ahli Freemason Scotland, John Robinson menulis Proofs of Conspiracy Against All the Religions and Governments of Europe Carried On in the Secret Meetings of Freemasons, Illuminati and Reading Societies. Robinson mendakwa Illuminati telah menyusup masuk ke dalam Freemason Perancis yang kemudiannya melahirkan Jacobin. Dalam tulisannya, Robinson memuji Freemason Inggeris yang yang tak mengikut jejak langkah Freemason Perancis.

Augustin de Barruel, seorang bekas ahli Jesuit telah bertemu dengan Robinson dan tertarik dengan tulisan beliau. Antara tahun 1797 sehingga 1798, Barruel menulis 4 jilid buku berjudul Memoirs Illustrating the History of Jacobinism. Melalui buku ini - yang boleh disebut sebagai perintis kepada epistemologi teori konspirasi moden  - Knight Templars, Illuminati, Freemason dan Jacobin disatukan sebagai sebuah entiti monolitik dan tunggal.

Apa yang menarik, Jesuit yang pernah dianggotai Barruel itu sendiri adalah kumpulan pendeta Katolik yang diharamkan oleh raja-raja Eropah kerana dituduh sebagai organisasi rahsia yang terlalu berpengaruh dalam kancah politik Eropah. Di Perancis, ia diharamkan pada tahun 1766. Malah, nama Jesuit turut dikaitkan sebagai dalang Revolusi Perancis. Ada juga teori yang mengaitkan Jesuit dengan Freemason.

Satu-satunya benda yang boleh dikaitkan secara langsung dengan Freemason dalam tragedi berdarah Revolusi Perancis ialah gulotin yang diinspirasikan oleh seorang Mason, Dr. Joseph-Ignace Guillotine. Ironinya ketika revolusi berlangsung, ahli Freemason sendiri yang banyak disembelih kerana ramai di antara mereka terdiri dari golongan aristokrat.

Ini bukan bermaksud Freemason langsung tak terlibat dalam revolusi. Ramai di antara ahli Freemason adalah pengasas kelab-kelab Jacobin terawal di Perancis. Tapi di kalangan Freemason sendiri  terdapat pendapat yang berbeza-beza tentang revolusi. Mason dari golongan aristokrat menentangnya manakala Mason dari golongan borjuis pula menyokongnya. Dan di kalangan penyokong ini pun ada yang menolak pendekatan radikal dan kekerasan.


⁴Jeffrey M. Bale. “Political Paranoia v. Politcal Realism: On Distinguishing Between Bogus Conspiracy Theories and Genuine Conspitarorial Politics”. Pattern of Prejudice. Vol. 41, No. 1, 2007.


⁵Kalau merujuk kepada kesimpulan yang dibuat Bale, fungsi teori konspirasi sama seperti agama. Oleh sebab itu, kalau tak mahu agama kita direndahkan setahap dengan teori konspirasi, kita perlu banyak membaca, berfikir dan merenung perihal agama yang kita anuti.


⁶Propaganda Massonica Lodge atau Propaganda Due atau P2 adalah cabang Freemason elit yang bernaung di bawah Grand Orient of Italy. Di bawah kendalian Grand Master Lucio Gelli, yang pernah berkhidmat sebagai militia Fasis Mussolini dan pernah menjadi pegawai perhubungan di antara Third Reich dan kerajaan Mussolini, P2 berkembang menjadi sebuah cabang Freemason yang membariskan individu-individu berpengaruh di Itali.

Gelli yang memang berada di bawah perhatian polis, dikaitkan dengan penipuan kes culik Michele Sindona, yang sebelumnya didakwa kerana skandal kewangan. Sindona seorang pengurus bank antarabangsa yang dipercayai menjadi penasihat kewangan kepada Mafia dan Vatican.

Serbuan polis ke atas rumah Gelli menemui senarai nama 962 ahli P2. Selain Sindona, antara yang tersenarai ialah 43 orang ahli parlimen (di dalamnya 3 menteri kabinet), 51 orang jeneral dan laksamana (merangkumi angkatan tentera darat, laut dan udara), 4 ketua polis negeri, beratus diplomat serta kakitangan kerajaan, beberapa pengarah agensi perisikan dan kumpulan industrialis serta pelabur. Antara nama tokoh terkenal ialah Silvio Berlusconi, bekas Perdana Menteri Itali.

Pendedahan nama-nama yang berpengaruh ini telah menakutkan masyarakat tentang wujudnya shadow government di Itali (ala Akatsuki dalam Naruto) dan secara langsung membawa kepada kejatuhan kabinet Arnaldo Forlani. Melalui P2, Gelli mahu mempersiapkan Itali ke arah menjadi sebuah daulah neo-fasis yang bercirikan demokrasi autoritarian dan anti-komunis.

Salah seorang yang terselit namanya dalam senarai Gelli ialah Roberto Calvi, seorang pengurus bank yang digelar God’s Banker kerana hubungannya yang rapat dengan Vatican. Calvi yang juga protégé Sindona, merupakan pengerusi Banco Ambrosiano, sebuah bank yang sebahagian besar ekuitinya dimiliki Bank Vatican.

Banco Ambrosiano disiasat kerana disyaki menjalankan money laundering, terutamanya untuk perdagangan dadah yang dijalankan Mafia. Calvi ditemui mati akibat bunuh diri (bukti forensik kemudiannya mengesahkan yang dia dibunuh) di Jambatan Blackfriars, London. Ramai pihak yakin punca utama Calvi dibunuh adalah kerana dia menyimpan rahsia sumber kewangan parti politik, organisasi dan individu berpengaruh di Itali, rahsia yang boleh menggegarkan bukan saja struktur politik, malah kestabilan Itali sendiri.

Kematian Calvi membuka satu demi satu konspirasi pembunuhan dan kewangan paling mengejutkan yang melibatkan rangkaian tiga entiti paling berpengaruh di Itali; Freemason, Vatican dan Mafia.

Skandal dan konspirasi P2 sebenarnya bukan saja mendedahkan kemunafikan Freemason, tapi juga kejahatan elit politik, pihak berkuasa dan agamawan yang terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah demi mencapai matlamat masing-masing. Skandal ini membuktikan konspirasi tertinggi tak pernah berpunca dari konspirator tunggal, tapi melibatkan pelbagai pihak yang menyimpan pelbagai ragam kepentingan yang bekerjasama demi mencapai objektif masing-masing.

No comments:

Post a Comment