Saturday, May 9, 2015

Topeng Psiko

Tunjukkan aku manusia yang waras dan aku akan rawat dia untuk kau
-Carl Jung-

Dulu saya fikir menjelang 2020 kita sepatutnya sudah menghasilkan psikopat setaraf Ted Bundy. Tapi hairan sampai sekarang kita tak pernah dengar tentang kewujudan pembunuh bersiri di Malaysia.

Saya tak pasti kenapa ketakwujudan pembunuh bersiri di Malaysia menerbitkan perasaan bimbang atau prihatin di hati saya. Mungkin saya bimbang kita gagal mengenalpasti atau cuba meredam (atau lebih malang menafikan) kegilaan, keganasan dan kesadisan yang sekian lama menghuni tubuh masyarakat kita. Atau mungkin saya prihatin yang negara kita sepatutnya mempunyai pembunuh bersiri hasil manifestasi kegilaan, keganasan dan kesadisan yang kita abaikan tadi. Entah kenapa kebimbangan dan keprihatinan yang merapu ini datang sekilas lalu dan minta diberi perhatian.

Selalu akal saya yang paranoid berteori yang kewujudan pembunuh bersiri ini disorokkan dari media massa dan pengetahuan umum. Empat faktor memungkinkan situasi ini berlaku. Pertama, untuk menutup fakta yang masyarakat kita - atau lebih tepat budaya kita yang sakit  - berpotensi melahirkan psikopat yang sadistik. Kedua, untuk mengelakkan kekalutan dan panik di kalangan massa. Ketiga, untuk mengekalkan keyakinan masyarakat kepada pihak berkuasa. Keempat, untuk mengelakkan kemunculan ramai lagi pembunuh bersiri.

Saya pernah suarakan hal ini kepada kawan saya. Dia cakap Malaysia belum mencapai tahap abnormaliti yang memungkinkan kita melahirkan pembunuh bersiri yang membanggakan tanahair. Saya pelik, abnormaliti apa lagi yang kita belum nampak di Malaysia. Mungkin kerana kita hidup dalam dunia yang sakit, dunia yang abnormal, maka satu-satunya yang normal adalah kesakitan dan abnormaliti itu sendiri. Abnormaliti sudah menjadi normaliti. Ianya ibarat kebijaksanaan konvensional, sebuah imitasi atau peneladanan, sebuah social proof, kita meniru sesuatu tindakan kerana semua orang bertindak dengan cara yang sama, walaupun tindakan tersebut menzalimi orang lain dan diri kita sendiri.

Tapi saya silap dalam hal ini. Saya sangka psikopat selalu muncul sebagai pembunuh kejam dan sadis yang ada masalah mental. Tapi realitinya tak. Tak semua psikopat begitu. Realitinya Malaysia mungkin tak melahirkan  - atau kita belum ditemukan - psikopat setaraf Ted Bundy, tapi setiap hari kita berhadapan dengan manusia-manusia yang mempunyai dorongan psikopatik seperti Ted Bundy.

Kita gagal mengesan mereka sebagai psikopat kerana mereka bukan penjenayah, jauh sekali pembunuh bersiri yang gila. Mereka bergaul intim dengan masyarakat, menduduki jawatan penting dalam sesebuah organisasi, menghuni kasta sosial yang tinggi, bijak berkomunikasi, tapi seperti Ted Bundy, mereka adalah manusia egosentrik yang manipulatif dan sanggup menggunakan apa saja kesempatan untuk mencapai tujuan mereka.

Mereka mungkin isteri, suami, kawan, pekerja, bos, ahli politik dan tokoh masyarakat yang kita kenal. Mereka mungkin juga kita. Mereka digelar ‘almost psychopath’, ‘subclinical psychopath’ atau ‘corporate psychopath’.

Antara buku terawal yang membincangkan subjek psikopat secara ilmiah dan spesifik ialah The Mask of Sanity tulisan Hervey Cleckley, ditulis pada tahun 1941 dan kini masih dianggap kitab kuning yang relevan untuk rujukan kumpulan psikiatris dan psikologis. Cleckley adalah orang terawal yang cuba menjelaskan psikopatik personaliti yang sebelum ini berterabur dengan pelbagai definisi. Melalui pengalamannya menjadi psikiatris di hospital sakit jiwa Cleckley membuat pemerhatian tentang beberapa pesakitnya yang unik kerana mereka bukan gila atau sakit mental (atau dalam istilah perubatan ‘psikotik’), malah jelas dalam banyak keadaan mereka nampak normal.  

Cleckley merekodkan bagaimana pesakit-pesakit unik ini menipu, memanipulasi dan mengambil kesempatan ke atas pesakit lain, ahli keluarga, malah staf hospital. Berbanding pesakit psikotik dan skitzofrenik yang ada masalah untuk menanggapi realiti, pesakit-pesakit ini secara klinikalnya waras dan faham realiti yang melingkungi mereka. Mereka tak alami delusi atau halusinasi. Tapi di sebalik topeng kewarasan (ini maksud judul The Mask of Sanity), jiwa mereka lebih kacau, lebih huru hara dan lebih terganggu dari pesakit psikotik dan skitzofrenik. Mereka dikenalpasti mengalami kekacauan personaliti (personality disorder).

Cleckley melihat yang pesakit-pesakit unik ini sangat ramah bergaul, friendly, bijak berkomunikasi dan karismatik, punya superficial charm dan tahap intelektual yang baik. Tapi bila diteliti semuanya adalah personaliti yang menutup karakter mereka yang sangat manipulatif, egosentrik yang ekstrem, self-centered, tak bertanggungjawab, kurang penyesalan, kurang empati dan kurang rasa malu. Mereka kaki penipu sampai tahap perkara yang tak sepatutnya tipu pun mereka rasa nak menipu (rujuk Holden Caufield bila dia sebut yang dia ‘terrific liar’) Mereka mempunyai penilaian yang lemah tentang hidup dan jarang belajar dari kesilapan. Cleckley menamakan pesakit-pesakit unik ini sebagai psikopat.

Topeng kewarasan yang mereka pakai membolehkan mereka melepasi hukuman dan prejudis dari masyarakat, seterusnya menjadikan mereka sebagai pemangsa paling merbahaya. Mereka tak layak dimasukkan ke hospital sakit jiwa kerana mereka waras, kompeten dan - secara teoretikalnya - boleh dipertanggungjawabkan untuk setiap tindakan yang mereka buat.

Tulis Cleckley: “These people, whom I shall usually call psychopaths for want of a better word, are, as a matter of fact, the problem of juries, courts, relatives, the police, and the general public no less than of the psychiatrist.

Di zaman pascamoden, zaman budaya gelap yang  mendorong keserakahan nafsu manusia, apa yang menjadi kebimbangan ialah masyarakat sendiri mewujudkan karakter sosial yang cenderung terjebak ke dalam sikap, gelagat dan dorongan ke arah menjadi psikopat. Ketika semangat zaman ini dibumbui semangat kompetitif yang brutal, tidakkah kita semua berlumba-lumba menjadi pemangsa?

Jack Levin dan James Alan Fox dalam artikel mereka cuba menyanggah beberapa kebijaksanaan konvensional yang mencitrakan pembunuh bersiri sadistik secara berlebih-lebihan terutamanya medium pop culture dan penulisan ilmiah yang menggambarkan pembunuh bersiri sebagai ‘evil monsters’ yang karakter mereka jauh berbeza dengan manusia ‘normal’.

Jika diteliti, menurut Levin dan Fox, beberapa karakteristik yang disandarkan secara unik kepada pembunuh bersiri sadistik dan dianggap sebagai unsur penting kekacauan personaliti sebenarnya tak berbeza dengan karakter manusia yang kita sebut ‘normal’. Ironinya, karakteristik yang dikatakan unik ini langsung tak unik bila dilihat dari perspektif kelompok manusia ‘normal’ tadi yang langsung tak pernah membunuh.

Pertama, pembunuh bersiri selalu dikarakterkan sebagai manusia yang mempunyai kemahiran yang ekstrem untuk memikat dan mengaburi perhatian manusia lain. Mereka mampu bertindak melangkaui kesangsian dan kecurigaan masyarakat, tampil lebih tak bersalah dari manusia yang benar-benar tak bersalah dan mampu mengumpan mangsa dengan kelicikan dan daya penarik yang mereka miliki.

Sebagai contoh, Derrick Todd Lee, yang membunuh beberapa wanita di Baton Rogue berjaya meloloskan diri dari perhatian pihak berkuasa antara lain kerana dia bijak bergaul dengan masyarakat. Kepada ramai orang, Lee seorang yang friendly dan charming. Malah dia mengetuai kumpulan pengajian Bible dan lebih dianggap preacher dari killer. Gary Ridgway, yang disabitkan kesalahan membunuh 48 orang pelacur di Washington State, membawa anaknya ke tempat jenayah untuk mengaburi mata mangsanya. John Wayne Gacy, yang membunuh 33 lelaki dan kanak-kanak dengan kejam, dianggap oleh jiran-jirannya sebagai lelaki yang ramah dan suka berkawan. Dia sering menjadi badut di parti harijadi dan sering menganjurkan pertemuan antara penduduk di kejiranannya.

Kalau inilah kemahiran pembunuh bersiri, sebuah presentation of self yang mengagumkan, mereka bukanlah satu-satunya golongan yang berminat memprojeksikan imej diri untuk menarik perhatian manusia lain, atau lebih tepat untuk memperdayakan manusia lain. Ahli politik, pegawai perhubungan awam, ahli MLM, agamawan, pendek kata semua manusia perlu mencitrakan sebuah karakter, perlu memakai pelbagai topeng untuk menagih perhatian masyarakat.

Dalam zaman pascamoden, zaman society of the spectacles dan culture industry, kemahiran pencitraan ini menjadi kemahiran yang penting malah kemampuan untuk mempraktikkannya mungkin menjadi bukti yang seseorang itu ‘sihat’ atau ‘normal’, bukan ‘sakit’ atau ‘gila’. Sering juga kita memberi gelar kemampuan ini sebagai ‘bakat’. Apabila dunia kini hanya berkisarkan komoditi, manusia tak lagi jadi manusia, tapi menjadi ‘jenama’. Orang tak lagi bercakap tentang karakter tapi ‘personaliti’, etimologi dari persona yang bermaksud topeng. Untuk berjaya manusia perlu dicitrakan dengan imej tertentu, dipakej dengan topeng tertentu dan berfungsi untuk mencapai tujuan tertentu.

Kecenderungan ini disebutkan Erich Fromm dalam Man For Himself sebagai marketing orientation:
“…since success depends largely on how one sell one’s personality, one experiences oneself as a commodity or rather simultaneously as the seller and the commodity to be sold. A person is not concerned with his life or happiness, but with becoming saleable.”

Manusia spesis ini bagi Fromm, melihat badan, nyawa dan jiwanya sebagai capital yang perlu dilaburkan untuk mencipta keuntungan untuk dirinya sendiri. Kondisi kemanusiaannya seperti bersopan santun, berbudi bahasa dan prihatin ditransformasikan sebagai komoditi atau aset yang bernama ‘pakej personaliti’ yang bernilai untuk dipasarkan di pasaran personaliti. Kesedaran tentang nilai kemanusiaan, atau lebih penting tentang nilai dirinya bergantung kepada faktor yang asing dari dirinya sendiri kerana nilai tersebut mengikut logik pasaran yang membuat penilaian sepertimana ia menilai setiap komoditi lain dan bukan disandarkan kepada fitrah manusia yang diciptakan untuk menyebar kebaikan demi kebenaran.

Tulis Levin dan Fox, apabila golongan ‘sihat’ dan ‘normal’ menggunakan kemahiran di atas untuk tujuan-tujuan mereka, kita menganggapnya sebagai kebiasaan, kebijaksanaan konvensional, malah mungkin melihatnya sebagai kesopanan, adab susila dan kebijaksanaan berkomunikasi. Tapi apabila pembunuh bersiri menggunakan kaedah yang sama kita memanggilnya sebagai manipulasi dan putar belit yang berniat jahat. Padahal dari segi motif, tak jauh berbeza, kedua-dua golongan menggunakan kemahiran tersebut untuk kepentingan peribadi mereka.

Kedua, pembunuh bersiri cenderung mensasarkan orang yang tak dikenali sebagai mangsa. Dari satu segi, ini dilihat sebagai strategi untuk menyukarkan pihak berkuasa menyiasat motif pembunuhan dan hubungan antara pembunuh dan mangsa. Tapi menurut Levin dan Fox, ini bukanlah sebab utama atau satu-satunya sebab pembunuh bersiri memilih orang asing sebagai mangsa mereka.

Kita selalu menganggap pembunuh bersiri sebagai binatang yang langsung hilang rasa kemanusiaan, tapi fakta sebenar adalah berbeza. Pembunuh bersiri menggunakan compartmentalizaton sebagai kaedah psikologikal untuk mengatasi atau meneutralkan perasaan bersalah terhadap mangsa. Dengan kaedah compartmentalization pembunuh bersiri membahagikan logik moraliti mereka yang istimewa kepada dua kumpulan manusia; pertama, kumpulan keluarga atau rakan-rakan mereka atau kroni yang mereka ambil berat dan layan dengan baik, dan kedua, individu yang tak ada sebarang hubungan dengan mereka dan layak dijadikan mangsa tanpa sebarang ikatan perasaan.

Sebagai contoh, Kenneth Bianchi membahagikan manusia kepada dua kutub. Pertama individu yang dia langsung tak peduli termasuk 12 wanita yang diseksanya secara kejam dan kemudian dibunuh. Kedua, inner circlenya yang terdiri dari ibu, isteri, anak lelaki termasuk sepupunya yang menjadi rakan subahat dalam jenayahnya. Isteri Bianchi penuh yakin memberitahu pegawai penyiasat yang suaminya takkan mencederakan apatah lagi membunuh sesiapapun.

Sudah tentu melalui compartmentalization ini pembunuh bersiri boleh memanipulasi dan meraih simpati inner circle atau kroni mereka. Lilian Grexa, jiran kepada John Wayne Gacy yang disabitkan dalam 33 pembunuhan, terus menyokong dan mengutus surat kepada Gacy ketika Gacy meringkuk di penjara menunggu hukuman mati. Grexa menganggap Gacy sebagai jiran paling baik pernah ditemuinya. Dan compartmentalization ini bukan perkara asing dalam hidup manusia ‘normal’.

Seorang bos boleh jadi anak haram paling dibenci para pekerjanya tapi boleh bertukar menjadi suami yang penyayang di rumah. Seorang ahli politik boleh jadi manusa paling kejam kepada rakyat tapi juga ayah paling mithali kepada anaknya. Seorang sexual sadist sanggup melayan isterinya macam anjing tapi tunduk menikus di depan bosnya sendiri.

Doktor-doktor Nazi yang melakukan eksperimen manusia di Auschwitz dan kem-kem tahanan lain telah mewujudkan compartmentalization dalam setiap tindakan, sikap dan emosi mereka. Levin dan Fox merujuk pendapat psikiatris Robert Jay Lifton yang para doktor maut ini mencipta proses psikologi yang digelar doubling di mana perasaan bersalah mereka akan diminimakan kerana mereka membahagikan diri mereka kepada dua belahan; satu untuk melakukan jenayah kotor dan satu lagi untuk meneruskan hidup mereka yang normal di luar kem tahanan.

Melalui jalan ini, walau bagaimana binatang sekali pun tindakan yang mereka buat di kem tahanan, mereka masih boleh menganggap diri mereka sebagai suami yang mithali, ayah yang penyayang dan doktor yang berdedikasi. Perkara sama mungkin dapat dijelaskan dalam laporan kontroversi dan polemikal Hannah Arendt terhadap perbicaraan Adolf Eichmann, antara pegawai SS yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Yahudi di kem-kem tahanan Nazi.

Arendt menyifatkan Eichmann bukan monster yang kejam dan sadistik atau menyimpan dendam terhadap kaum Yahudi. Eichmann hanya manusia yang mengambil sikap ‘saya yang menurut perintah’ hasil dari ‘sheer thoughtlessness’ yang disifatkan Arendt bukan satu kebodohan tapi ‘inability to think’. Kita boleh bersetuju dengan Arendt atau kita boleh saja menganggap yang Eichmann seorang psikopat yang bijak meraih simpati orang lain. Atau kita boleh terima kedua-duanya, ‘sheer thoughtlessness’ dan ‘inability to think’ kerana dia seorang psikopat.

Compartmentalization dibantu oleh satu lagi proses universal bernama dehumanization, yakni menganggap kumpulan manusia lain (atau the other) sebagai syaitan atau binatang yang tak berbaloi untuk hidup. Melalui proses inilah pembunuh bersiri memilih mangsa dengan merendahkan elemen kemanusiaan mangsa-mangsa mereka. Justeru pelacur dianggap semata-mata sebagai mesin seks, gay sebagai penyebar AIDS dan pemabuk homeless sebagai sampah masyarakat. Dengan pemilihan mangsa-mangsa begini pembunuh bersiri menganggap mereka melakukan kerja-kerja suci berbanding kerja-kerja terkutuk. Pembunuh bersiri menganggap mereka telah merawat penyakit yang membarah dalam masyarakat.

Konsep the other yang berbaloi dibunuh ini juga bukan fenomena yang terhad kepada pembunuh bersiri. Kita boleh membaca catatan sejarah tentang semangat anti-Yahudi yang berleluasa di Eropah (yang bukan bermula hanya setelah rejim Nazi berkuasa, malah sebelum muncul Holocaust sudah ada pogrom) yang memandang Yahudi sebagai vermin yang perlu dihapuskan. Begitu juga penghapusan etnik Bosnia (yang menerima nasib sama seperti Yahudi tapi sejarahnya kurang didedahkan) oleh fasis chetnik yang bermula sejak akhir abad ke 17 lagi. Boleh juga rujuk semua perang utama yang berlaku dalam dunia yang mengorbankan berjuta nyawa orang awam yang tak terlibat dalam peperangan.

Tanya Levin, jika dikaji secara diagnostik, apa beza di antara pembunuh bersiri yang memujuk mangsa untuk jadi model dalam sesi photo-shoot, dengan kemahiran manipulatif seorang jurujual yang meyakinkan pelanggan untuk beli pakaian paling mahal di butiknya? Adakah role-playing behavior seorang pembunuh bersiri yang mengucup pipi isterinya sebelum berkeliaran ke lorong-lorong gelap untuk membunuh dan merogol pelacur berbeza dengan sifat penyayang seorang ketua keluarga yang mencintai keluarganya tapi melayan pekerjanya dengan zalim di tempat kerja? Jawab Levin, padangnya mungkin berbeza, tapi permainannya sama.

Tulis Levin dan Fox, ramai individu yang hidup dalam kehidupan konvensional mampu memenuhi keinginan sadistik mereka melalui jalan yang diterima secara umum, jalan yang mengikut skema konvensyen sosial. Ahli perniagaan boleh melantik dan memecat (malah mengherdik) pekerja mereka; sesetengah guru bersikap keras kepala dengan murid mereka; ibu bapa boleh bersikap kasar dan menakutkan dalam proses mendidik anak mereka.

Tapi pembunuh bersiri, atas pelbagai faktor, tak mampu untuk mencapai posisi yang dominan dalam sistem masyarakat. Kalau Ted Bundy berjaya menghabiskan ijazah undang-undangnya, dia mungkin ‘membunuh’ mangsanya di mahkamah berbanding di jalanan. Jika Aileen Wuornos dianugerahkan zaman kanak-kanak yang baik, dia mungkin menjadi usahawan yang agresif berbanding pelacur yang merbahaya.

Tapi benarkah jika Ted Bundy dan Aileen Wuornos tak menceburi dunia jenayah, sebaliknya terjun ke dunia kolar putih, kita bakal menyaksikan cerita yang sikit berbeza, cerita yang kurang kejam dan sadis?

Kata pepatah Melayu; benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau. Bagaimana pula psikopat yang jatuh ke dunia korporat?

Di mana ada pemangsa di situ ada mangsa. Seperti kata Hamza Yusuf, jenayah tak saja terjadi di ‘main street’ malah di ‘Wall Street’. Kejahatan bukan hanya berleluasa di lorong-lorong gelap tapi juga di bilik berhawa dingin syarikat multinasional. Kezaliman bukan saja dilakukan oleh penyangak yang mengungut dengan pisau tapi turut dilakukan oleh manusia bersut korporat yang memanipulasi dengan pujukan.

Kata seorang psikologis jenayah yang menjadi pakar rujuk bidang dalam psikopatik, Robert D. Hare (beliau bertanggungjawab mencipta senarai semak yang menjadi piawaian terkenal untuk mencirikan psikopat yang dikenali sebagai Psychopathy Checklist–Revised atau PCL-R), ketika ditanya oleh seorang jurnalis, “Not all psychopaths are in prison. Some are in the boardroom.”

Dalam buku Freakonomics tulisan Steven D. Levitt dan Stephen J. Dubner, ada kisah benar tentang seorang bekas penganalisis ekonomi yang kemudiannya mengambil keputusan menjual bagel. Nama lelaki itu Paul Feldman. Setiap pagi Feldman akan menghantar bagel ke beberapa buah syarikat sekitar Washington. Feldman seperti Adam Smith, percaya yang manusia secara fitrahnya jujur serta soleh, dan sistem ekonomi akan berjalan dengan lancar, adil dan saksama.

Justeru dia meletakkan bekas untuk para pelanggannya memasukkan duit bagi setiap bagel yang mereka ambil. Maksudnya seratus persen self-service. Ambil bagel dan masukkan duit dalam bekas yang disediakan. Harganya pun tak mahal. Hanya 1 dollar seketul. Sebelum tengahari, Feldman akan datang memungut hasil jualan dan lebihan bagel yang masih ada. Dan hasilnya memang menakjubkan. Dalam masa beberapa tahun, Feldman berjaya menjual 8400 ketul bagel seminggu kepada 140 syarikat dan pendapatannya menyamai pendapatannya dulu sebagai penganalisis ekonomi.

Sepanjang menjual bagel, mungkin kerana dilatih atau sudah terbiasa sebagai bekas penganalisis ekonomi, Feldman dengan teliti menyimpan rekod dan statistik setiap urus niaganya. Hasilnya, secara tak langsung dia telah mengumpul data yang menatijahkan sebuah eksperimen ekonomi yang menarik. Eksperimen ekonomi yang membuktikan tesis Adam Smith (dan sangkaan Feldman) tentang ekonomi dan manusia bukanlah 100% tepat. Feldman seperti juga Adam Smith lupa yang nature perlu dipupuk dan nurture perlu dibentuk. Kalau nature dan nurture diserahkan bulat-bulat mengikut kepala hotak manusia, kesannya yang paling minima ialah muncul manusia haram jadah yang mengambil kesempatan untuk makan bagel secara percuma. Dan mangsanya ialah Feldman.

Seperti yang disebutkan penulis Freakonomics, “Morality, it could be argued, represents the way that people would like the world to work - whereas economics represents how it actually does work. Ya, ini bukan kata-kata Karl Marx, dan perlukah saya ulang apa yang Marx maksudkan apabila dia sebut bagaimana sistem ekonomi berjalan akan menentukan karakter sosial sesebuah masyarakat?

Jelas sekali dalam kes Feldman, boleh dikatakan yang majoriti pelanggannya jujur. Sebab itu dia untung. Tapi faktanya tak sikit juga yang menipu. Dari statistik yang dikumpulnya, antara lain Feldman bertemu dengan apa yang kita namakan penjenayah kolar putih, atau dalam variasinya yang lebih ekstrem psikopat korporat, yakni pemangsa yang bersut kemas tapi hatinya tak lebih baik dari Geng Mamak.

Feldman mendapati syarikat besar dengan pekerja yang ramai lebih banyak menipu berbanding syarikat kecil dengan jumlah pekerja yang sedikit. Ini bukan bermaksud syarikat kecil pekerjanya lebih jujur. Tapi dengan pekerja yang sedikit, jenayah mencuri bagel sukar dilakukan kerana sentiasa ada mata-mata atau saksi yang memerhati dan memantau sama ada kita bayar atau curi bagel yang kita makan.

Satu lagi fakta menarik yang dijumpai Feldman ialah, sesebuah syarikat lebih jujur bila para pekerjanya suka dengan bos mereka dan suka dengan kerja yang mereka lakukan. Dan fakta yang paling saya mahu tekankan ialah, menurut Feldman, paling tinggi pangkat atau status seorang pekerja, paling kuat mereka menipu. Fakta ini berdasarkan pengalaman Feldman menghantar bagel ke sebuah syarikat yang beroperasi dalam pejabat tiga tingkat; tingkat atas dihuni eksekutif dan tingkat bawah dihuni pekerja jualan, perkhidmatan dan pentadbiran. Feldman terfikir mungkin golongan eksekutif menipu kerana perasaan self-entitlement yang berlebihan. Tapi kata penulis Freakonomics, Feldman tak terfikir yang mungkin melalui jalan penipuanlah mereka jadi eksekutif.

Robert D. Hare dan Paul Babiak memperincikan tentang psikopat korporat dalam buku mereka, Snakes in Suit: When Psychopaths Go To Work. Psikopat korporat adalah psikopat yang bergaul di dalam ranah masyarakat, tak terlibat secara langsung dengan aktiviti jenayah tapi menimbulkan masalah ekonomi, psikologi dan emosi tersembunyi kepada manusia di sekeliling mereka. Mereka disifatkan oleh Hare dan Babiak sebagai social chameleons, yakni pemangsa halimunan paling merbahaya yang kurang rasa empati, rasa bersalah dan kesetiaan kepada orang lain kecuali diri mereka sendiri.

Psikopat mempunyai reputasi sebagai penilai personaliti terbaik dan mempunyai kemampuan untuk memprojeksikan persona paling efektif dengan memakai topeng custom-design untuk memenuhi persona tertentu berdasarkan mangsa tertentu. Bagi psikopat, wajah, perkataan dan bahasa tubuh kita adalah autobiografi yang dicetak secara besar-besaran, ianya mudah dibaca, dikawal dan dikendalikan menurut kemahuan mereka. Kebanyakan psikopat ialah master manipulator dan game player. Mereka bijak menggunakan segala helah untuk mencapai tujuan mereka.

Menurut Hare dan Babiak, dua kekacauan personaliti yang sering dikaitkan dengan psikopatik ialah narcissistic personality disorder dan histrionic personality disorder. Individu yang menghadapi kekacauan personaliti melihat dunia dari perspektif yang terhad dengan pendekatan yang tak fleksibel. Mereka menghadapi kesukaran hidup dalam dunia yang tak berjalan mengikut jalan sehala yang mereka inginkan.

Narcissistic personality ialah desakan yang hyper untuk mendapatkan sanjungan dari orang lain dan rasa superior terhadap orang lain. Mereka dikarakterkan oleh sifat bermegah-megah (melalui fantasi atau kelakuan), gilakan sanjungan dan status dan kurang perasaan empati. Mereka menganggap apa yang berlaku di sekeliling mereka, malah apa yang orang lain lakukan dan bualkan, haruslah tentang mereka. Masalah besar muncul bila ciri narcissistic terutamanya gilakan status dan kurang rasa empati bermanifestasi kepada sikap antisosial dan perosak. Dan bila ini berlaku, mereka akan bermutasi menjadi aggressive/ malignant narcissism, makhluk yang tak ada beza besar dengan psikopat. Histrionic personality ialah manusia over dramatik, emosional dan teatrikal, atau dalam bahasa rangginya ‘drama king’ atau ’drama queen’. Mereka juga gilakan perhatian, tapi berbeza dengan narcissistic, mereka tak mengharapkan rasa superior, cukup dengan watak side-kick asalkan kehendak psikologi mereka dipenuhi.

Tapi bagaimana seorang psikopat boleh memanjat hierarki korporat dengan cemerlang, jika beberapa faktor diambil kira?

Pertama, psikopat adalah rule breakers. Mereka tak suka dan tak mahu terikat dengan polisi, prosedur dan peraturan yang menentukan bagaimana sesebuah organisasi perlu beroperasi, apatah lagi dikawal oleh pengurus atau penyelia. Dalam birokrasi tradisional, psikopat takkan bertahan lama.

Kedua, psikopat bukan team players. Mereka adalah egoistik keparat yang ikut kepala sendiri dan mementingkan diri sendiri. Keadaan yang kondusif untuk psikopat memanipulasi mangsa adalah dengan bersemuka secara persendirian dalam ruang yang sangat peribadi. Dalam organisasi korporat yang cenderung birokratik, di mana kerja berkumpulan adalah mandatori, mendekati dan memanipulasi individu tanpa diketahui sesiapa adalah sukar.

Ketiga, psikopat tak berminat dengan matlamat jangka pendek atau jangka panjang sesebuah organisasi. Mereka tak berminat dengan sebarang dedikasi, kerja keras dan pengorbanan untuk sebarang matlamat yang tak pasti. Mereka mahu melahap kepuasan segera dan cepat.

Keempat, struktur korporat tradisional menyebabkan penipuan, gangguan seksual, buli dan segala macam salah laku lain sukar disembunyikan. Audit dalaman akan menyiasat setiap penipuan dan penyelewengan dan jika dibuktikan akan membawa kepada tindakan undang-undang. Natijahnya, pemecatan dan muncul rekod buruk dalam daftar pengambilan pekerja.

Dan kelima, psikopat tak berkongsi etika kerja yang sama dengan pekerja lain. Mereka bukan jenis manusia yang mampu tekun bekerja dari 9 pagi sampai 5 petang, atau bekerja untuk mendapatkan rezeki yang halal, atau percaya yang berkat Tuhan akan sampai pada pekerja yang jujur.

Ini yang membezakan psikopat korporat dengan psikopat lain. Mereka mempunyai kecenderungan keusahawanan dan kemahiran sosial melampaui psikopat lain. Seperti pemangsa lain, psikopat korporat akan terjun ke mana-mana lubuk yang menyediakan posisi, jawatan, profesion dan organisasi yang menawarkan peluang kepada mereka untuk meraih kuasa, pengaruh, status dan pemilikan yang lebih besar serta melibatkan diri dengan hubungan interpersonal yang eksploitatif.

Walaupun berdepan masalah dan cabaran untuk beradaptasi dengan organisasi yang besar dan kompleks, bagi psikopat korporat, habuan yang menanti berbaloi dengan risiko yang diambil. Kemampuan psikopat korporat untuk mengambil kesempatan dari organisasi yang disertai mereka – untuk menyeleweng, mencuri, menzalimi rakan sekerja, mendapatkan gaji besar – memerlukan kemahiran hebat berbanding manipulasi biasa. Dan ini cabaran utama yang disambut psikopat korporat dengan senyuman dan hati yang kering.

Menurut Babiak dan Hare, untuk memahami kejayaan psikopat korporat, kita harus sedar yang textbook bureaucracies atau birokrasi tradisional jarang wujud, dan pada zaman moden (atau kapitalisme global) organisasi yang mengamalkannya tak banyak yang berjaya. Kini struktur organisasi, proses dan budaya kerja kerap berkembang – dengan pihak pengurusan, objektif dan misi yang bertukar ganti – menuju matlamat yang tak jelas dan sentiasa berubah.

Kepesatan kapitalisme global dan perubahan teknologi yang mendadak memunculkan perubahan drastik dalam struktur korporat melalui penstrukturan semula (restructures), pengambilalihan (take overs) dan percantuman (mergers) yang mengakibatkan kestabilan korporat mula terganggu. Perubahan yang berterusan dan kesementaraan sistem dan struktur organisasi (temporariness seperti disebutkan Alvin Toffler) dengan pertukaran pekerja dari pengurusan atasan ke pekerja bawahan boleh menyebabkan tekanan pada pekerja dan pengurusan, tapi tidak pada psikopat. Struktur korporat moden yang chaotic ini menyediakan ruang dan peluang kepada mereka untuk menyusup dan memanjat tangga hierarki korporat dengan mudah melalui persona, penipuan, manipulasi dan pelbagai topeng kemunafikan yang mereka pakai.

Untuk memanipulasi rakan sekerja dan memperdayakan pemantauan pihak pengurusan secara konsisten, bukan satu kerja yang mudah. Ramai yang gagal, tapi ada yang berjaya. Dan sudah tentu psikopat yang berjaya ialah psikopat paling berbakat dan cekal. Juga paling merbahaya. Tahap Hannibal Lecter punya bahaya.

Menurut Babiak dan Hare, sikap dan kelakuan kebanyakan individu yang dikaitkan dengan karakter psikopat adalah sistemik; yakni gaya hidup yang meresap secara alamiah dan spontan dalam tingkah laku mereka. Walaubagaimanapun, terdapat sesetengah psikopat yang lain yang karakter mereka lebih pragmatik berbanding psikopatik, di mana mereka mengamalkan gaya hidup psikopatik (psychopathic lifestyles) dalam usaha mereka untuk berjaya dalam lapangan yang mereka ceburi. Mereka ditarbiah oleh buku-buku pop-psikologi dan self-help yang mempromosikan falsafah hidup yang mengutamakan ketamakan, self-entitlement dan ‘menjadi nombor satu’. Buku-buku begini boleh menjadi ­blue-print kepada psikopat.

Dari kajian yang mereka jalankan kepada 200 eksekutif, Hare dan Babiak mendapati 3.5% dari mereka memenuhi profail seorang psikopat berdasarkan PCL: SV (berbanding PCL: R yang digunakan terhadap pesakit psikiatrik, PCL: SV digunapakai untuk orang awam). Mereka mendapati kesemua eksekutif yang memenuhi profail tersebut mempunyai sifat-sifat psikopat manipulatif: superfisial, berketrampilan, kaki penipu, menolak pertanggungjawaban untuk setiap tindakan yang mereka buat dan kurang matlamat, penyesalan dan empati.

Malangnya menurut Hare dan Babiak, sesetengah organisasi cenderung aktif merekrut pekerja yang memiliki sifat-sifat seorang moderate psikopat, yakni organisasi yang tersalah anggap bahawa sifat psikopat itu adalah sifat seorang pemimpin atau ketua yang baik, suatu penemuan yang langsung tak mengejutkan saya mengenangkan kita adalah society of the spectacles. Macam yang saya sebutkan di awal tadi, dalam dunia yang songsang, abnormaliti menjadi normaliti. Garis yang memisahkan batas di antara kewarasan dan kegilaan, pemimpin dan psikopat sudah hilang disalut pencitraan dan kerancuan makna yang berbondong-bondong menutup kesedaran kita. Betapa ramai manusia pascamoden yang bercakap macam Buddha tapi berakhlak macam babi. Justeru saya tak hairan kalau psikopat boleh diangkat sebagai negarawan terhormat.

Sesetengah eksekutif berkata kepada Hare dan Babiak: “Many of the traits you describe to us seem to be valued by our company. Why shouldn’t companies hire psychopaths to fill some jobs?”

Clive R. Boddy dalam artikelnya, Corporate Psychopaths Theory of the Global Financial Crisis, cuba mengaitkan krisis kewangan global dan peranan yang dimainkan oleh pengarah-pengarah korporat senior dalam krisis tersebut. Boddy cuba mengajukan teori yang krisis kewangan global secara langsung berpunca dari psikopat yang menjawat jawatan tinggi di dalam organisasi perniagaan dan organisasi kewangan. Artikel Boddy sekadar menguatkan statistik Feldman si penjual bagel - semakin tinggi jawatan seseorang, semakin kuat dia menipu -  dengan satu hipotesis baru yakni psikopat korporat lebih banyak menghuni hierarki teratas pengurusan korporat berbanding pekerja biasa.

Kenyataan ini penting menurut Boddy, kerana apabila banyak organisasi kewangan gulung tikar akibat tindakan pengarah-pengarah senior mereka, bila ramai pekerja hilang mata pencarian dan simpanan, bila pemegang saham hilang pelaburan dan masyarakat hilang infrastruktur ekonomi yang menunjangi mereka, pengarah-pengarah senior ini boleh berlalu pergi tanpa penyesalan (apatah lagi hukuman) dengan duit membuncit di kocek masing-masing.

Mereka tak pernah peduli dengan musibah yang mereka timpakan kepada ramai orang yang bergantung harap kepada mereka, selalu juga mereka menafikan penglibatan mereka dalam krisis yang muncul, dan lebih celaka, mereka meletakkan beban kesalahan di bahu orang lain.

Menurut Boddy, mereka bergembira menempuh kecelakaan ekonomi yang mereka hasilkan, malah mendapat habuan yang banyak dan boleh pula menjadi penasihat kepada kerajaan untuk memastikan krisis yang sama tak berulang lagi. Dan mungkin bukan kebetulan psikopat korporat mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli politik (malah ada ahli korporat yang terjun ke lapangan politik dan begitu juga sebaliknya) kerana mereka berkongsi kecenderungan dan personaliti yang sama. Apa orang cakap? Ya, psychopath minds think alike.

Bayangkan kita dirempuh krisis kewangan global akibat manipulasi psikopat korporat dan kerajaan yang juga dibarisi ahli politik psikopat meminta nasihat dari penasihat kewangan yang juga terdiri dari panel psikopat. Kata Boddy, ini takkan menamatkan masalah tapi sekadar the end of the beginning yang lebih haru biru, gelap, menakutkan dan celaka.

Tulis Boddy: “This disaster has now happened and is still happening. Across the western world the symptoms of the financial crisis are now being treated. However, if the Corporate Psychopaths Theory of the Global Financial Crisis is correct, then this treatment of the symptoms will have little effect because the root cause is not being addressed. The very same Corporate Psychopaths, who probably caused the crisis by their self-seeking greed and avarice, are now advising governments on how to get out of the crisis. That this involves paying themselves vast bonuses in the midst of financial hardship for many millions of others, is symptomatic of the problem.

Kita tahu manusia punya potensi untuk berbuat baik dan berbuat jahat. Tanpa perlu meneliti perbincangan filsafat yang panjang lebar tentang konsep good vs evil pun kita tahu manusia dilahirkan dengan potensi-potensi ini. Potensi-potensi ini belum diterjemahkan kepada konsep baik dan jahat yang konkrit selagi mana ia masih melekat dalam diri manusia dalam bentuk yang abstrak, selagi ia belum diluahkan ke ranah kemanusiaan, sama ada melalui perkataan atau tindakan. Potensi-potensi ini mempunyai saiz yang pelbagai, terpulang kepada cara kita menjamunya. Ada yang sebesar kutu, ada yang secomel kucing Parsi dan ada pula seganas monster.

Ya, secara peribadi saya percaya setiap dari kita menyimpan sisi-sisi psikopat yang kerdil. Dan pada zaman pascamoden, semakin sukar mengekalkan sisi-sisi psikopat pada saiz kerdil. Semuanya sudah menjadi monster. Persoalannya bagaimana kita harus menjinakkan ‘monster’ (ibarat seorang Jinchuriki menjinakkan Biju) yang tersimpan dalam diri kita ini dan pada tahap yang lebih afdal mampu pula menghalakannya ke jalan yang sepatutnya, jalan fitrah.

Ada Biju yang mudah dijinakkan, ada Biju yang degil, yang jika tersilap dikeluarkan bakal membawa padah dan menukarkan kita menjadi pemangsa. Dan pada takah akhir, kita akan sedar mangsanya adalah diri kita sendiri. Monster ini sentiasa cuba melepaskan diri, malah mempengaruhi kita untuk melepaskannya, sepertimana Kurama sentiasa cuba mempengaruhi Naruto. Jika ia terlepas, usaha menangkapnya semula tak pernah mudah kerana ia cenderung bermutasi menuju monster yang lebih ekstrem. Usaha penjinakan ini sudah tentu memerlukan latihan, disiplin, pengorbanan dan iltizam yang jitu. Dan yang paling penting, kaedah yang benar.

Kata Erich Fromm, sepanjang proses sejarah, manusia sentiasa membangunkan atau menggali potensi-potensinya – tak kira baik atau jahat – dan menukarkan potensi-potensi tadi berdasarkan kemungkinan-kemungkinan yang didepaninya. Kebaikan adalah potensi yang kondusif untuk kebahagiaan manusia manakala kejahatan adalah punca kesengsaraan manusia. Setiap sistem sosial tak menciptakan persaingan di antara kedua-dua potensi tadi, tapi ia akan menentukan potensi mana yang akan dimanifestasikan dan menjadi dominan.

Manusia di dalam setiap budaya dan tamadun, menurut Fromm, adalah manifestasi dari sifat fitrah manusia, manifestasi yang walau bagaimanapun dalam hasilnya yang spesifik ditentukan oleh aturan sosial yang melingkungi manusia itu sendiri. Sepertimana seorang bayi dilahirkan dengan segala potensi yang akan dibangunkan mengikut aturan sosial dan budaya tertentu, begitu juga umat manusia dalam proses sejarah, berkembang mengikut aturan sosial dan budaya yang sama.

Tulis Fromm: “The approach of normative humanism is based on the assumption that, as in any other problem, there are right and wrong, satisfactory and unsatisfactory solutions to the problem of human existence. Mental health is achieved if man develops into full maturity according to the characteristics and laws of human nature. Mental illness consists in the failure of such development. From this premise the criterion of mental health is not one of individual adjustment to a given social order, but a universal one, valid for all men, of giving a satisfactory answer to the problem of human existence.”

Saya suka terjemahkan ‘human nature’ sebagai fitrah. Justeru, kalau ayat kedua dan ketiga dari perenggan di atas dibaca semula dengan dengung dan makhraj agama akan berbunyi begini; “kesihatan mental manusia bergantung sejauh mana manusia itu mematuhi karakteristik dan hukum fitrah yang sudah ditetapkan oleh Penciptanya. Kesakitan mental berpunca dari penyelewengan dari hukum pembangunan fitrah tadi”.

Dalam dunia yang sarat faham kapitalisme dan materialisme, dunia yang sendat dengan spectacle yang mengujakan, dunia di mana dosa pahala kerap bertukar ganti, dunia yang sentiasa menggerakkan mesin keinginan manusia, kita perlu bertanya; Adakah kita sudah beriman dengan kata-kata bellum omnum contra omnes. Adakah kegembiraan kita wajib menjadi derita manusia lain. Adakah ia kebijaksanaan konvensional yang sudah meresap jauh ke dalam kesedaran kita. 

Entah berapa kali saya sebut perkataan ‘kebijaksanaan konvensional’ dalam tulisan ini. 

Sebagai penutup saya belanja awak satu quote dari Dracula: "Peduli apa: 2 perkataan dijamin dapat menolak kedangkalan berfikir yang menyamar sebagai kebijaksanaan konvensional.

_____________________________


Babiak, Paul dan Hare, Robert D. Snakes in Suit: When Psychopaths Go To Work. USA: HarperCollins, 2006.

Body, Clive R. “The Corporate Psychopaths Theory of the Global Financial Crisis.” Journal of Business Ethics 102 (2011): 255-259.

Cleckley, Harvey. The Mask of Sanity: An Introduction to Clarify Some Issues About the So-Called Psychopathic Personality. 5th. Ed. Copyright Emile S. Cleckley. Non-Profit Educational Use Version, 1988.

Fromm, Erich. The Sane Society. UK: Routledge, 2008.

Levin, Jack dan Fox, James Alan. “Normalcy in Behavioral Characteristics of the Sadistic Serial Killer.” Serial Murder and the Psychology of Violent Crimes. Ed. Richard N. Kocsis. USA: Humana Press, 2008.

Levitt, Steven D. dan Dubner, Stephen J. Freakonomics: A Rogue Economist Explores the Hidden Side of Everything. USA: HarperCollins, 2005.




No comments:

Post a Comment