Saturday, April 2, 2016

Spotlight: Menyuluh Kegelapan Kuasa


Spotlight wajib ditonton rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi ketika negara kita diselubungi kejahilan untuk membezakan antara badan autoritatif dengan tindakan autoritarian, ketika otak kita tumpul untuk membezakan antara kewenangan dengan kesewenangan. Spotlight ialah cerita tentang  kita semua, tentang fungsi masing-masing dalam jaringan struktur kuasa.

Spotlight dibuka dengan imbasan ke tahun 1976. Lokasinya sebuah balai polis di Boston, Massachusetts. Kita nampak seorang anggota polis veteren berjalan sepanjang koridor menuju ke kaunter. Di kaunter dia berbual dengan seorang polis muda. Dari perbualan mereka kita tahu mereka sedang menguruskan masalah antara seorang ibu tunggal dengan seorang paderi bernama Geoghan.

Tiba-tiba seorang peguam masuk dan memberitahu kedua-dua anggota polis tadi bahawa perkara ini tak boleh sampai ke pengetahuan akhbar utama. Polis muda beritahu polis veteren jika sebutan kes di mahkamah berlangsung mustahil perkara ini dapat ditutup dari pengetahuan wartawan. Polis veteren dengan nada mengejek menjawab, “Sebutan kes apa?”

Seterusnya kita nampak Paderi Geoghan duduk bersendirian dalam sebuah bilik.

Sementara itu dalam sebuah bilik lain, seorang biskop mengingatkan seorang wanita yang gereja telah banyak berjasa kepada komuniti Boston. Peguam tadi masuk dan biskop memberitahu peguam dia sudah hampir selesai. Biskop berjanji kepada si wanita yang paderi itu akan dibuang dari Boston dan masalah ini takkan berulang lagi. Kemudiannya biskop bersama Paderi Geoghan meninggalkan balai polis menaiki sebuah kereta. Polis muda, sambil merokok, hanya memerhatikan.

Adegan awal ini sebuah premis yang halus dari Spotlight tentang perselingkuhan institusi kuasa untuk mendiamkan setiap ancaman yang boleh menggugat struktur kuasa mereka. Kita nampak kemunculan polis, peguam dan biskop di mana setiap satu mewakili institusi penguatkuasaan, perundangan dan agama. Dan ironinya kemunculan mereka bukan untuk mendakwa tertuduh atau menyiasat pertuduhan, sebaliknya peguam sekadar jadi broker undang-undang, biskop mengingatkan (atau mengugut) ibu mangsa tentang sumbangan gereja kepada masyarakat dan polis melepaskan penjenayah begitu saja.

Kita pergi ke tahun 2001 apabila akhbar The Boston Globe menerima kedua editor baru berbangsa Yahudi bernama Marty Baron (Liev Schreiber). Marty mahu dakwaan tentang pencabulan yang dilakukan Paderi Geoghan terhadap 80 kanak-kanak di 6 kariah yang berbeza dalam tempoh 30 tahun disiasat dengan lebih lanjut. Menurut Marty laporan ini tak mendapat liputan yang sepatutnya, hanya 2 kali dimuatkan dalam kolum kecil The Boston Globe dan tiada laporan susulan dibuat.

Bagi Marty, kes ini menarik kerana peguam kepada mangsa-mangsa cabul itu, Mitchell Garabedian (Stanley Tucci) mendakwa Archbishop Boston (lebih kurang macam Mufti Negeri) tahu tentang salah laku Paderi Geoghan sejak 15 tahun dulu tapi tiada sebarang tindakan yang diambil. Archbishop menafikan dakwaan ini tapi Garabedian mengaku yang dia ada dokumen yang membuktikan sebaliknya. Malangnya dokumen ini ditutup untuk bacaan awam.

Marty mahu mendapatkan perintah mahkamah supaya dokumen ini dibuka untuk orang awam dan mengarahkan siasatan susulan terhadap dakwaan ini dijalankan. Dia menyerahkan tugas ini kepada Spotlight; yakni sekumpulan wartawan penyiasat yang menjalankan kerja penyelidikan yang mendalam terhadap isu-isu yang besar. Spotlight diketuai Robby Robinson (Michael Keaton), dan dianggotai 3 orang wartawan; Michael Rezendes (Mark Ruffalo), Matty Carroll (Brian D’Arcy James) dan Sacha Pfeiffer.

Gereja Katolik adalah institusi yang lebih power dari Majlis Agama Islam Negeri atau JAKIM. Marty ketika dilantik sebagai ketua editor The Boston Globe pun perlu mengadap Archbishop terlebih dulu. Jadi tugasan ini memang mencabar dan berliku. Hasil siasatan awal mereka mendapati kemungkinan 70 paderi terlibat dalam jenayah cabul di Boston. Justeru dakwaan terhadap Paderi Geoghan bukanlah kes terpencil, tapi sebuah skandal pencabulan kanak-kanak yang sistemik melibatkan ramai paderi bukan saja di  Amerika, malah didakwa sampai ke Vatican.

Gereja Katolik Boston selama berpuluh-puluh tahun menutup bangkai jenayah ini dengan apa yang kita faham sebagai penyelesaian dalaman; memindahkan paderi-paderi yang terlibat dari satu kariah ke kariah yang lain, menggunakan peguam untuk menyuap mulut ibu bapa mangsa dengan sejumlah wang tertentu dan menggunakan pengaruh gereja untuk mengugut suara-suara yang cuba mendedahkan skandal ini. Justeru ini bukan jenayah biasa tapi jenayah yang dilindungi oleh sistem dan institusi kuasa.

Keputusan Marty untuk menyiasat skandal ini mewujudkan persepsi bahawa dia seorang Yahudi yang berniat jahat, dia didakwa menyimpan agenda peribadi untuk menaikkan namanya dan dia dituduh sebagai orang luar (bukan asal Boston) yang tak pernah peduli tentang Boston. “Marty bukan orang kita, ”kata Peter Conley kepada Robby.

Pendek kata, Marty dicitrakan sebagai Yahudi yang cuba berkonspirasi menggoncang kerukunan hidup masyarakat Katolik Boston. Isu yang didedahkan tak pernah dinilai, malah disanggah dengan jawapan eskapisme yang bersembunyi di sebalik simbol kolektif seperti “gereja banyak berjasa kepada masyarakat”, “mereka (elit gereja) adalah orang-orang baik yang banyak beri sumbangan kepada bandar ini” dan “kita tak boleh nafikan kebaikan Archbishop hanya kerana keburukan segelintir paderi” dan sebagainya. Polis pula cakap “tak ada siapa yang sanggup gari tangan paderi”, dan peguam pula cakap “kebanyakan mangsa hanya mahukan perhatian dan duit”.

Tapi pengarah dan penulis lakon layarnya, Tom McCarthy tak menonjolkan cerita ini dari perspektif antagonisme ‘Gereja Katolik vs Boston Globe’. Gereja Katolik bukan penjahat dan Boston Globe bukan hero. Martin Luther King, Jr. pernah cakap “tragedi sebenar muncul bukan dari penindasan yang dilakukan oleh orang jahat, tragedi sebenar muncul dari diamnya suara orang baik terhadap penindasan tersebut”.

Ini yang berlaku di Boston dan McCarthy mahu menyampaikan mesej bahawa salah laku paderi dan penyelewengan Gereja Katolik ini sudah sampai ke pengetahuan umum sekian lama tapi masyarakat hanya berdiam diri. Sebelum Boston Globe mendedahkannya akhbar lain pernah melaporkan skandal yang sama. Robby sendiri pernah terima maklumat tentang skandal ini beberapa tahun yang lalu tapi memilih untuk mengabaikannya. Ada yang pesimis skandal ini takkan dapat perhatian jika didedahkan, ada yang bimbang jika didedahkan ahli keluarga yang taat dengan ajaran Katolik mungkin kecil hati dan ada yang takut jualan akhbar akan menurun (Marty pernah diingatkan yang 54% pembaca The Boston Globe adalah Katolik).

Ini sikap ‘I know, but I don’t want to know that I know, so I don’t know’, yang dinamakan Zizek sebagai penyakit fetishist disavowal, pemujaan kepada sikap ketakbertanggungjawaban. Saya tahu tapi saya enggan untuk menanggung kesan dari pengetahuan ini, supaya saya boleh terus berlakon seolah-olah saya tak tahu.

Ada ibu mangsa menceritakan tekanan untuk mendiamkan pencabulan ini bukan saja datang dari gereja tapi juga dari kawan-kawan dan masyarakat. Masyarakat juga memikul beban dosa kerana kita ‘berfungsi’ sepertimana struktur kuasa dan kekuasaan mahu kita ‘berfungsi’. Berapa kali dalam filem ini kita melihat watak-wataknya mengungkapkan ayat “I was doing my job”. Polis enggan siasat sebab hendak jaga kestabilan, peguam hanya menjalankan tugas untuk selesaikan urusan anak guamannya, akhbar sekadar melaporkan berita. Pendek kata semua orang sekadar ‘cari makan’.

Harold Laswell pernah memperkenalkan terma collective symbols (atau master symbols) ketika mengajukan teori propagandanya. Kata Laswell untuk menjadikan sesebuah propaganda itu efektif, sebuah conditioning process perlu dijalankan ke atas masyarakat dengan mengenalpasti idea, imej dan tanda tertentu yang dikongsi bersama yang boleh dihubungkan secara terus dengan emosi tertentu (perasaan marah contohnya). Idea, imej dan tanda ini ditanam secara sofistikated melalui ucapan, tulisan, gambar atau muzik.

Idea, imej dan tanda ini apabila sudah subur akan membuahkan simbol kolektif yang mudah  dimanipulasi untuk menggerakkan emosi masyarakat. Simbol ini membina mitos (doktrin dan formula yang mengisi imaginasi masyarakat), naratif (konsepsi hidup) dan struktur nilai (mencipta hierarki sosial; siapa berkuasa, kenapa mereka berkuasa) kumpulan sosial tertentu. Justeru apabila propaganda datang menyapa masyarakat, ia tak lagi jadi propaganda tapi sebuah kebenaran yang perlu dibela atau hak yang perlu dipertahankan.

Aku tak maksudkan yang simbol kolektif ini palsu, mungkin ia benar mungkin tidak, tapi konteksnya di sini simbol itu dimanipulasi untuk kepentingan kuasa elit. Hal ini berlaku kerana kefahaman masyarakat tentang simbol ini bukan muncul sebagai wacana idea yang konkrit tapi sekadar permainan persepsi yang mudah dikawal.

Institusi kuasa cenderung mengaitkan kewujudan mereka dengan simbol kolektif. Merekalah pelindung, pembela, Messiah dan benteng terakhir yang akan mempertahankan simbol kolektif tadi. Dengan mewujudkan culture of fear, maka apa saja perkara yang mengganggu kestabilan struktur kuasa ini dianggap ancaman yang perlu dinafikan. Masyarakat dikhutbahkan yang kestabilan struktur kuasa adalah jalan selamat yang melindungi kepentingan semua lapis masyarakat. Justeru ancaman kepada struktur kuasa adalah ancaman kepada simbol kolektif dan ancaman kepada simbol kolektif adalah ancaman kepada masyarakat itu sendiri.

Sebab itu Garabedian cakap hanya orang luar (outsider) sepertinya yang berbangsa Armenia dan Marty yang berbangsa Yahudi saja boleh membongkar skandal ini. Marty bukan saja Yahudi tapi dia juga bukan penduduk asal Boston. Mungkin jika dia seorang Kristian Katolik yang warak dia takkan arahkan anak buahnya dedahkan skandal ini. Malah semua wartawan Spotlight mengaku mereka lapsed Catholic, yakni penganut Katolik yang tak lagi terikat dengan praktik Katolik.

Skandal jenayah begini hanya boleh dipecahkan oleh individu yang bebas dari permainan persepsi yang muncul dari simbol kolektif tadi. Individu yang merdeka dari ethical illusion dan berani berkata jenayah tetap jenayah walau bagaimana cantik sekali pun kita membungkusnya dengan kata-kata, dan jenayah tetap jenayah walau siapa pun yang melakukannya. Dan hari ini kita juga wajib mengambil posisi yang sama, dengan menjadi outsider, melepaskan prejudis, sentimen dan nostalgia yang mengikat kita kepada simbol kolektif yang mengelirukan dan menghalalkan banyak jenayah di dalam negara ini.

Sebelum menontonnya, aku jangka Spotlight akan melondehkan aib Gereja Katolik dengan nada subversif, kecaman dan kontroversi. Aku jangka Spotlight sebuah filem yang menyerang hendap institusi gereja tanpa belas ihsan dan aku bakal menyaksikan wartawan berperwatakan hero yang pintar bermain hujah yang mengagumkan. Ya, aku terbayangkan Newsroom dengan dialog bertubi-tubi Aaron Sorkin.

Tapi Spotlight tak berminat dengan kontroversi dan tak berniat mengangkat sesiapa sebagai hero. Ia sebuah filem doku-drama yang diolah dengan halus dan beradab. Keutamaan filem ini bukan untuk mengangkat watak tapi mengangkat cerita itu sendiri walaupun tak dinafikan kejayaannya banyak bergantung kepada kekuatan pelakon-pelakonnya. Kita menikmati filem ini bukan dari garisan antagonis-protagonis yang jelas tapi kekuatan karakter watak-watak dalam memainkan peranan masing-masing untuk menghidupkan cerita.

Spotlight enggan berlebih-lebihan. Tak ada muzik suspen dan thriller, tak ada elemen yang sensasi dan tak gelojoh untuk nampak dramatik. Semuanya dalam mood profesional dan tersusun. Dalam filem ini kita takkan nampak Archbishop Boston berkonspirasi dengan paderi lain untuk menafikan usaha para wartawan Spotlight. Begitu juga kita takkan nampak wartawan Spotlight mengeji Gereja Katolik dengan bahasa berapi-api. Ini tak bermaksud skripnya mendatar dan menjemukan. Cuma bahasanya tepat, licik, berdiplomasi dan penuh kiasan. Tom McCarthy sebagai pengarah tahu apa yang ingin disampaikan dan yang paling penting dia tahu cara menyampaikannya.

Dengan mengambil kira ia berdasarkan kisah benar malah subjek filem ini sangat sensitif, McCarthy bijak kerana berjaya mengartikulasikan filem Spotlight dengan nada dokumentari yang menarik dan seterusnya membuka peluang untuk filem ini dihargai bukan saja oleh manusia yang mencari point untuk balun Gereja Katolik, tapi juga ditonton oleh penganut Katolik itu sendiri.

Dengan cara ini Spotlight bukan menembak sensitiviti penonton dengan machine gun, tapi menyuntik jarum halus yang terkandung serum kebenaran yang perlahan-lahan menyedarkan kita. Spotlight bukan melancarkan perang terhadap Tuhan atau Kristian Katolik atau mana-mana agama pun tapi mahu membongkar bagaimana struktur kuasa mengeksploitasi simbol kolektif masyarakat baik atas nama agama, kaum atau nasionalisme seterusnya serta bagaimana simbol tadi digunakan untuk memalingkan kita dari jenayah yang menyorok di sebalik simbol-simbol ini.

Dalam Spotlight ada paderi mengaku dengan selamba yang dia pernah cabul kanak-kanak tapi dia kata dia tak pernah merasa kepuasan seksual atau berbangga dengan pencabulan itu. Dia juga cakap ada beza antara cabul dan rogol. Dan perbuatannya itu bukan rogol kerana dia tahu perbezaan antara cabul dan rogol sebab dia sendiri pernah kena rogol.

Bagi aku dia menganggap kerja mencabul itu satu yang normal untuk dibuat oleh seorang paderi. Sama seperti penerima rasuah anggap suatu yang normal untuk terima rasuah walaupun dia tak pernah berbangga dengan tindakannya itu. Penerima rasuah juga mungkin mengatakan dia bukan terima rasuah tapi duit kopi, derma ikhlas, wang ihsan dan sebagainya. Abnormaliti sudah jadi normaliti. Kita lihat di sini bagaimana seseorang merasionalisasikan jenayah melalui kebiasaan yang sudah menjadi budaya.

Soalnya bukan perasaan puas atau tak puas, bangga atau tak bangga, soalnya aktiviti rasuah itu adalah jenayah. Jenayah wujud bila ada pihak yang dizalimi. Rasa bangga bukan kriteria yang menentukan sesuatu aktiviti itu jenayah atau tidak. (Banyak kajian menunjukkan kebanyakan jenayah seksual (rogol, liwat, cabul dan sebagainya) dilakukan bukan untuk mendapatkan kepuasan seksual tapi motivasinya muncul dari usaha mendapatkan kuasa dan kawalan (power and control) terhadap mangsa. Motivasi yang sama boleh dikaitkan dengan rasuah. Penerima rasuah terima rasuah bukan sebab kesempitan wang tapi sebab mereka sedar mereka ada power and control untuk mendapatkan wang dengan cara mudah).

Aku sebutkan tadi yang Spotlight tak bertujuan mencabut iman dari hati manusia. Dan aku mahu tambah di sini, Spotlight pada satu sisi ingin menguatkan harapan manusia kepada iman. Seperti yang disebutkan oleh salah seorang mangsa, “Jenayah (cabul) ini bukan saja pencabulan fizikal tapi juga pencabulan spiritual”. Paderi memilih mangsanya dari kumpulan sasaran yang sama, maksudnya semua mangsa cabul punya latar belakang yang sama; datang dari keluarga miskin, tak ada bapa dan perlukan kasih sayang. Justeru mereka dan keluarga mereka rasa dihargai bila ada orang yang beri perhatian. Apatah lagi orang itu manusia yang dekat dengan Tuhan. 

Jadi bila mereka dicabul ia bukan saja mencabut rasa percaya mereka kepada paderi tapi juga mencabut iman mereka kepada Tuhan. Ramai dari mereka tak dapat terima kenyataan yang mereka telah dicabul lalu memilih untuk jadi alkoholik, penagih dadah atau paling teruk membunuh diri. Sebab itu kita kena sedar institusi kekuasaan yang tak dikritik akan menghancurkan kepercayaan masyarakat kepada sebarang autoriti kuasa. Begitu juga institusi agama yang tak dikritik akan membunuh kepercayaan masyarakat kepada autoriti agama atau membunuh kepercayaan kepada Tuhan itu sendiri.   

Selepas skandal ini pecah, Cardinal Law letak jawatan sebagai Archbishop Boston dan dilantik mengetuai Santa Maria Maggiore, antara gereja berpengaruh di Vatican. Kesimpulannya, Cardinal Law bukan letak jawatan tapi dinaikkan pangkat. (Bukan di Malaysia pun pernah berlaku benda yang sama? )

Kata Martin Luther King, Jr. "Akan datang satu masa di mana kita perlu memilih kedudukan yang tak selamat, tak politikal, tak juga popular, tapi kita mesti memilihnya kerana hati nurani kita beritahu itulah kedudukan yang benar".

Rasanya kita sudah sampai di persimpangan di mana kita perlu mengambil kedudukan yang benar. Cahaya spotlight tak selalu bersinar untuk menunjuk arah jalan kepada kita. Lampunya mungkin rosak, kuasanya mungkin habis, dan kegelapan pasti datang kembali menyapa kita. 


No comments:

Post a Comment