Monday, August 24, 2015

Menyundal Gone Girl

Setelah menonton Gone Girl beberapa bulan lepas saya memang tak berminat nak tulis tentangnya. Saya malas. Dan setiap manusia berhak untuk malas kata Paul Lafargue. Dan setiap pemalas ada justifikasi untuk kemalasan mereka. Saya tak terkecuali. Saya tergerak hati untuk menulis ini pun selepas membaca semula Topeng Psiko, tulisan yang mengingatkan saya bukan saja kepada Amy, tapi watak-watak lain dalam Gone Girl.

Maka di sinilah saya. Menulis.

Bertahanlah bersama-sama saya kerana seperti selalu, tulisan di blog ini jarang pendek.

Kalau suspense (ketegangan) ialah ekspektasi yang ditangguhkan dan surprise (kejutan) ialah ekspektasi yang salah, maka antara punca kemalasan saya adalah kerana Gone Girl mendatangkan elemen surprise yang mengecewakan. Gone Girl mendatangkan surprise kerana ia beri ekspektasi palsu atau lebih tepat ia tak memenuhi ekspektasi yang saya harap bakal terima dari Fincher. Perasaan saya ibarat Amy yang terlanjur sedar bahawa Nick bukanlah “great, sweet, gorgeous, cool ass guy” yang didambanya sebaliknya “lazy, lying, cheating, oblivious husband” yang berbaloi dilupuskan dari muka bumi. 

Ya, ekspektasi Amy yang salah semata-mata tak menjadikan Amy betul (atau baik) berbanding Nick, tapi tak juga melepaskan Nick dari beban pertanggungjawaban kerana ekspektasi itu bukan muncul dari celah kangkang Amy secara tiba-tiba. Begitu juga bukan maksudnya untuk Gone Girl jadi filem terbaik, Fincher perlu memenuhi setiap ekspektasi saya atau ekspektasi saya adalah gospel yang menjadi piawaian untuk filem bermutu tinggi. Apa yang saya mahu tulis di sini ialah ekspektasi itu muncul dari filem Gone Girl itu sendiri. Gone Girl sebuah filem yang pada awalnya bercita-cita menjadi cerdik atau berusaha nampak cerdik (seperti kebiasaan filem mystery/ psycho-thriller) tapi pengakhirannya terkesan hambar, kalau pun tak nampak bodoh.

Rasa surprise juga muncul apabila banyak ulasan mengangkat Gone Girl sebagai filem yang hebat.
Faktanya Gone Girl bukan filem yang teruk.

Mudah cakap ia biasa-biasa saja. Durasi 2 jam 20 minit saya mengaku ‘terhibur’ dengan Gone Girl dalam skala sederhana. ‘Terhibur’ dalam maksud boleh layan dan tak boring. Tapi aktiviti menonton filem bagi saya, atau lebih spesifik dalam kes ini filem Fincher, bukan sekadar mahu mengundang rasa ‘terhibur’. Mungkin berbanding rasa ‘terhibur’, saya sebenarnya mengharapkan rasa ‘terganggu’. Dan memang saya rasa ‘terganggu’  tapi gangguan ini muncul dalam bentuk kecewa dan penyesalan, bukan gangguan yang mendesak pergumulan emosi yang mendalam.

Lagi pun sudah lama saya tak tonton mystery/ psycho-thriller yang bagus dari Hollywood. Justeru dari pengarah sekaliber Fincher, saya teruja mahukan sebuah kepuasan yang menusuk kesedaran batin saya. Ada yang sebut kepuasan ini sebagai pengalaman sinematik atau pemaknaan yang mendalam atau rasa yang deep atau kepuasan estetik. Tapi tak perlulah kita terlalu berfilsafat dan berwacana untuk akhirnya membelit otak kita dengan jargon berbunga-bunga yang menyusahkan. Dan selepas menonton Gone Girl saya boleh kata buat masa sekarang kiblat filem thriller terbaik ialah dari Korea Selatan. Pergi mampuslah sama Hollywood.

Baiklah, secara asasnya filem terbahagi kepada dua elemen. Pertama, elemen cerita yang termasuk di dalamnya plot, watak, tema dan dialog. Kedua, elemen produksi yang membabitkan sinematografi, pencahayaan, kostum, lakonan dan suntingan. Kedua-duanya bukan dualiti yang terpisah dalam filem. Kedua-duanya menghasilkan filem. Filem ialah tentang bagaimana elemen produksi menyampaikan elemen cerita di mana produk akhirnya adalah imej audio-visual yang bercerita atau kita panggil naratif filem.

Jika filem sebuah tulisan, ahli teori filem selalu analogikan bingkai gambar (frame) sebagai perkataan, penggambaran (shot) sebagai ayat, adegan (scene) sebagai perenggan dan sequence sebagai bab. Seperti penulisan, elemen cerita yang baik tapi gagal diterjemahkan kepada produksi yang baik akan menghasilkan filem yang gagal. Begitu juga sebaliknya.

Dalam tulisan kita menggunakan gubahan/susunan/ komposisi perkataan manakala dalam filem kita menggunakan gubahan/susunan/ komposisi imej audio-visual. Tapi gubahan/ susunan/ komposisi ini bukan bermaksud imej visual perlu disusun dengan spektakular menggunakan efek dan manipulasi komputer atau ia semata-mata berkenaan tata susunan imej dalam konteks ruang. Begitu juga tulisan yang baik tak semestinya terkandung jargon atau bahasa berbunga-bunga atau sarat dengan metafora atau hanya berkenaan persoalan diksi. Saya sebut ‘tak semestinya’ kerana boleh saja bahasa berbunga digunakan tapi sekali lagi hasil akhirnya ialah tentang bagaimana keberkesanan penulis untuk menggubah/ menyusun/ mengarang dalam menyampaikan cerita atau naratif penulisan itu sendiri, atau dalam kes ini naratif filem.

Visual yang spektakular tak menjamin ia bakal jadi filem yang baik kerana visualisasi filem adalah visual storytelling dan storytelling sentiasa berkisarkan tentang ‘seseorang menceritakan kepada seseorang tentang sesuatu’. ‘Sesuatu’ inilah kita panggil naratif yang kita akan interpretasikan sebagai mesej atau pengalaman sinematik atau pemaknaan yang mendalam atau rasa yang deep atau kepuasan estetik tadi. ‘Sesuatu’ inilah yang saya gagal dapat dari Gone Girl.

Bila saya sebut filem sebagai storytelling bukan maksudnya filem yang baik mesti ada plot yang rumit atau filem yang baik mesti sarat dengan semangat intelektualiti atau filem yang baik mesti ada dialog yang bijak atau filem yang baik mesti tebal dengan elemen didaktik. Filem bukan buku teks atau buku ilmiah. Kalau nak rasa intelektual pergi baca buku ahli Majlis Profesor Negara, itu pun kalau mereka ada tulis buku. Ini juga saya rasa masalah Gone Girl. Ia cuba menyumbat terlalu banyak benda tapi malas untuk menyusunnya dengan cerdik.

Police Story sebagai contoh tak ada plot yang rumit jauh sekali wacana intelektual. Tapi Police Story ialah salah satu filem terbaik saya pernah tonton, mungkin saya letaknya sebagai filem aksi nombor satu dalam ranking peribadi saya. Dalam Police Story, Jackie Chan menjadikan stuntnya yang gila babi itu sebagai seni dan membungkusnya dalam visual storytelling yang baik. Police Story adalah kompilasi stunt Jackie Chan, medium dia melampiaskan nafsu stuntnya dengan penuh semangat visual yang meluap-luap.

Pencerita yang hebat ialah mereka yang mampu menggali makna yang berbeza, atau merangsang pembaca atau penonton mereka untuk menanggapinya dari konteks yang berbeza, walaupun tema yang dikemukakan hanyalah persoalan-persoalan yang mungkin kita anggap biasa-biasa saja. Ianya memberanakkan pengalaman mental yang baru dan segar atau memunculkan pemaknaan (atau penafsiran) yang jarang atau tak pernah diusik sebelum ini. Dari sini datangnya desakan supaya pengkarya menggunakan kreativiti, satu potensi yang kedengaran murah dalam zaman pascamoden, zaman yang mengiktiraf bahawa ‘kini semua orang boleh menulis’, ‘kini semua orang boleh mengarah’, ‘kini semua orang boleh menyanyi’.

Tadi saya sebut tentang ekspektasi yang salah. Maka ada baiknya terlebih dulu saya sentuh sikit tentang genre filem. Genre bukan sekadar klasifikasi yang mendefinisikan tema (atau style) filem. Genre adalah tentang interpretasi dan apresiasi, tentang pemahaman dan pengiktirafan kita terhadap signifikasi yang hadir dalam sesebuah filem. Ia melibatkan sebuah pemahaman yang spesifik tentang ekspektasi dan hipotesis yang dibawa penonton ketika menonton filem dan ketika berinteraksi dengan filem. Ia tentang ekspektasi kita terhadap semua kemungkinan dalam naratif filem  – tentang motivasi, tentang motif, tentang reaksi, tentang justifikasi. Semua ini dalam bahasa agongnya dipanggil versilimitude. Kalau dalam ilmu semiotik, teks (sama ada imej, perkataan, bahasa tubuh, etc.) adalah gerombolan tanda yang diinterpretasikan atau dikonstruksikan melalui rujukan terhadap konvensyen tertentu yang berkait dengan genre tertentu dalam medium tertentu.

Justeru untuk menuduh filem Ali Setan tak best sebab kurang serius berbanding Jogho adalah satu penilaian yang songsang. Interpretasi dan pengiktirafan kita terhadap Ali Setan muncul dari pemahaman kita yang ianya sebuah filem komedi romantik. Jadi semua signifikasi yang muncul dari filem Ali Setan ditarik dari pemahaman ini. Memang benar kita boleh bandingkan Ali Setan dan Jogho berdasarkan dua elemen  asas tadi. Kita boleh bandingkan kedua-dua filem dari sudut plot, skrip, sinematografi atau lakonan, tapi masih perbandingan tersebut atau keberkesanan kedua-dua filem dalam menyampaikan naratif  harus dirujuk kepada persoalan kedua-duanya merujuk kepada genre apa. Dan Gone Girl menurut saya memunculkan kesan yang hambar kerana gagal memenuhi skema atau konvensi yang cuba dibinanya sejak awal. Persoalannnya Gone Girl ini mahu jadi filem spesis apa.

Kita boleh bahagikan Gone Girl kepada dua bahagian: separuh masa pertama dan separuh masa kedua. Adegan yang memisahkan di antara dua bahagian ini ialah adegan di mana didedahkan bahawa Amy masih hidup dan ‘kematiannya’ adalah rancangannya untuk  menyabitkan Nick sebagai pembunuh.

Secara umumnya, separuh masa pertama Gone Girl adalah msytery thriller, naratifnya lebih dipandu oleh plot atau plot driven, manakala separuh masa kedua naratifnya lebih dipandu oleh karakter atau character driven. Plot driven berkisarkan matlamat tertentu  yang perlu dicapai dengan menfokuskan kepada konflik eksternal, dalam kes Gone Girl separuh masa pertama cuba memecahkan persoalan ‘siapa bunuh Amy?’ atau ‘apa terjadi kepada Amy?’. Character driven menfokuskan kepada konflik internal dan menyelongkar watak dan perwatakan serta hubungan antara watak. Merujuk kepada Gone Girl, separuh masa kedua kita mula menyelami perwatakan Amy dan Nick serta hubungan mereka dengan watak-watak lain.

Pembahagian plot driven dan character driven dalam Gone Girl (juga sering dirujuk sebagai action-based dan agent-based) malah dalam mana-mana filem atau cerita pun – sama seperti genre - bukan bersifat eksklusif dan drastik. Bukan maksudnya jika sesebuah filem itu plot driven maka watak dan perwatakannya kurang diteroka atau kurang memainkan peranan dalam naratif filem. Ketika separuh masa pertama Gone Girl – terutamanya melalui flashback – kita telah dibawa mengenali karakter Amy dan Nick. Begitu juga jika sesebuah filem itu character driven bukan maksudnya naratif filem bergerak tanpa tujuan atau matlamat tertentu. Secara ringkasnya begini; jika peristiwa tertentu mendesak karakter-karakter memberi reaksi maka ia plot driven, tapi jika reaksi karakter-karakter yang memunculkan peristiwa tertentu maka ia character driven.

Walaupun pembahagian ini tak eksklusif, ianya perlu dikendalikan dengan baik kerana ia adalah asas kepada naratif filem. Tambahan pula Gone Girl cuba memasukkan double plot ini ke dalam sebuah naratif filem. Oleh itu, walaupun corak plotnya sikit berbeza tapi kedua-dua separuh masa pertama dan kedua perlu mewujudkan konsistensi dan kontinuiti kerana kedua-duanya membentuk totaliti naratif filem. Konsistensi yang saya maksudkan bukan kerana pembahagian Gone Girl kepada separuh masa atau double plot tadi. Tapi kerana Gone Girl gagal memberikan intensiti atau kedalaman atau penerokaan yang lebih jelas terhadap plot dan karakter-karakternya.

Jadi elemen misteri di dalam separuh masa pertama itu bukan diwujudkan hanya untuk memanjangkan durasi filem, tapi turut menyumbang kepada kesinambungan separuh masa kedua. Apa yang hampeh dalam Gone Girl ialah separuh masa pertama seolah-olah bercerai talak tiga dengan separuh masa kedua. Separuh masa pertama yang nampak cerdik disambung oleh separuh masa kedua dengan plot holes yang menggoyahkan kecerdikan tadi.

Menonton Gone Girl tak boring kerana plotnya distrukturkan dengan baik (sekurang-kurangnya di separuh masa pertama) dan sinematografinya cantik. Itu saya boleh puji. Sekurang-kurangnya dengan struktur plot yang baik kita boleh layan Gone Girl dengan tenang. Saya sendiri masih beriman yang three-act structure adalah fardhu ain dalam setiap naratif. Dan Gone Girl sangat patuh kepada syariat ini. Kita boleh lihat three-act structure disusun dengan baik dalam setiap separuh masa Gone Girl. Contohnya, ketika babak akhir separuh masa pertama mendedahkan yang Amy masih hidup dan Nick tak bersalah, ia mencadangkan Act 3 sekaligus Act 1 atau the end of the new beginning. Sebagai resolusi, Nick tak bunuh Amy dan sebagai setup plot baru, bagaimana Nick mahu membuktikan dia tak bersalah.  

Tapi kepuasan batin ketika separuh masa kedua kurang atau tak sampai. Saya rasa ini masalah yang sering membingungkan kita – ini juga yang berlaku kepada Gone Girl - kerana kita cenderung menganggap sesebuah filem itu baik apabila ‘cerita’nya mudah faham dan ‘gambar’nya cantik. Dan pengalaman menonton hanya tersangkut di tahap ‘cerita’ dan ‘gambar’ atau plot dan sinematografi.

Gone Girl sebenarnya ada struktur plot yang baik tapi gagal dihubung jalinkan dengan berkesan, ada watak yang punya potensi menarik tapi karakterisasinya gagal diteroka (salah satu puncanya akibat lakonan yang lemah) dan ada tema yang baik tapi dimunculkan secara dangkal. Natijahnya sinematografi yang baik oleh Cronenweth gagal menangkap semangat naratif Gone Girl. Ia mewujudkan kemiskinan naratif visual untuk mencurahkan apa yang sebenarnya ia mahu sampaikan. 

Pendek kata, Gone Girl gagal mewujudkan intensiti dalam naratifnya. Baik intensiti dari segi plot, karakter, tema mahu pun sinematografi. Ia macam menonton produk yang separuh siap, tak bersungguh dan macam nak tak nak saja.

Ramai puji lakonan Pike dalam Gone Girl. Sebenarnya ini satu pujian yang bangang kerana lakonannya masih selapis dan tak banyak beza dengan filem-filemnya sebelum ini. Watak dan penghayatan yang sama boleh ditonton dalam Jack Reacher dan Fracture. Saya tak tahu celah mana lakonannya boleh dikatakan hebat. Manakala Affleck macam biasa, masih kekal menjadi Affleck, yakni lelaki dengan emosi kayu yang jelas ‘berlakon’ dengan bersahaja. Saya bayangkan kalau watak ini diberi kepada adiknya Casey, hasilnya pasti jauh memberangsangkan.

Dari satu sisi, mungkin watak Nick diberi kepada Affleck bertujuan menggunakan ‘kekayuan’ lakonan beliau untuk mendatangkan rasa curiga penonton terhadap watak tersebut dalam separuh masa pertama Gone Girl. Mungkin ‘kekayuan’ Affleck yang charming – dengan wajah ‘aku tak peduli’, ‘hambar’ dan ‘plastik’ - berguna dalam menghidupkan karakterisasi Nick dalam adegan tertentu, terutamanya separuh masa pertama, tapi untuk perkembangan seluruh naratif filem ‘kekayuan’ Affleck menjadi tawar dan gagal.

Kesimpulannya Pike dan Affleck gagal menonjolkan emosi terdalam untuk watak masing-masing. Kita bukan saja tak kenal Amy dan Nick malah kita tak dapat menangkap atau menjiwai roh perhubungan mereka. Adegan flirting mereka terlalu klise, dialog ketika mereka bercanda macam dibuat-buat untuk nampak elegan dan yang paling penting perwatakan mereka gagal diteroka. Saya tak pernah baca novel Gone Girl. Tapi saya pernah baca yang filemnya adalah adaptasi yang ‘jujur’ dari novel. Sesuatu  yang memang saya jangka kerana penulisnya, Gillian Flynn menulis sendiri lakon layar untuk adaptasi novelnya. Maafkan saya kalau saya melakukan generalisasi, tapi satu penyakit kebanyakan novelis yang sukar disembuhkan ialah mereka terlampau sangap untuk tonton adaptasi novel mereka dilakukan secara baku dan literal, sebuah keinginan yang dinamakan dengan terma ‘adaptasi yang jujur’. Sebab itu saya anggap satu kesilapan untuk novelis sendiri mengadaptasi karya mereka ke filem.

Dalam novel mungkin dialog Gone Girl nampak bertenaga dan berkesan, tapi kalau Flynn cuba pindahkan dialog yang hampir sama ke dalam filem – apatah lagi dengan lakonan yang kayu dan hambar – hasilnya pasti mengecewakan. Bukan maksudnya naratif filem tak mampu menangkap naratif tulisan (atau sebaliknya), tapi dalam mengusung naratif masing-masing semangat tulisan berbeza dengan semangat audio-visual. Sebab itu seorang novelis yang baik belum tentu boleh jadi penulis lakon layar yang baik. Contohnya, bagaimana pembikin filem mahu mengadaptasi Catcher In The Rhye, dengan setiap langgam bahasa J.D. Salinger yang maha energetik itu? Adakah untuk menghidupkan watak Houlden Caulfield kita perlu bergantung harap kepada monolognya semata-mata?

Cuba bandingkan pula intonasi suara Scarlett Johannson dalam Her dengan intonasi suara Pike ketika menulis diarinya dalam Gone Girl. Memang jauh berbeza. Ia bukan soal suara serak basah Johannson lebih seksi atau lebih sensual, tapi intonasi suara Johannson menghidupkan karakterisasi (dan dari satu sisi bersesuaian dengan karakternya) walaupun kita tak pernah nampak wajahnya atau mimik mukanya atau bahasa tubuhnya. Di tangan Johannson, watak Samantha ‘hidup’ manakala di tangan Pike watak Amy tenggelam.

Dari separuh masa pertama hingga separuh masa kedua Gone Girl, saya tak nampak perkembangan watak Nick dan Amy. Tak ada beza antara Nick yang pada awalnya menjadi suspek dan Nick yang cuba membela dirinya. Begitu juga tak ada beza antara Amy yang ‘mati’ dan Amy yang psiko.

Maka ketika konflik muncul, saya tak pasti apa emosi/ perasaan yang dapat saya laburkan untuk filem ini. Sebab itu ending Gone Girl tak mendatangkan kesan yang berbekas di hati saya. Ini bukan kerana saya spesis penonton yang terdesak mahukan poetic justice dalam setiap ending, tapi kerana saya tak tahu adakah saya perlu bersimpati dengan Nick atau marah dengan Amy atau melihatnya sebagai sebuah elegi kemanusiaaan yang hampa. Untuk Gone Girl dipandang sebagai sebuah tragedi pun rasanya jauh panggang dari api.

Saya tak ada masalah dengan double plot dalam Gone Girl. Saya juga tak ada masalah dengan twist di akhir separuh masa pertama yang mendedahkan rancangan sebenar Amy. Masalahnya di sini bukan pada double plot atau twist yang terlalu awal. Saya percaya dua elemen ini jika dikendalikan dengan baik boleh buat Gone Girl jadi filem yang cantik. Saya boleh bagi contoh filem yang berjaya melakukannya dengan baik, yakni Vertigo arahan Hitchcock.

Tujuan saya letakkan Vertigo sebagai perbandingan bukan untuk merendahkan Gone Girl selumat-lumatnya. Maklumlah Vertigo memang masterpiece Hitchcock ditambah pulak sekarang duduk di takhta Greatest Movies of All Time. Saya letakkan Vertigo kerana ia punya double plot, genre dan karakter-karakter yang hampir sama dengan Gone Girl. Vertigo menceritakan tentang fetish, obsesi dan permainan kuasa dalam hubungan gender antara manusia, tentang bagaimana manusia mengolah persepsi, tentang suami yang mahu bunuh isterinya, tentang lelaki yang cuba mensimulasikan perempuan yang tak wujud, tentang misteri kematian yang didedahkan di separuh masa pertama dan endingnya – sama seperti Gone Girl -  yang kalau pun tak pesimis, jelas bukan sebuah happy ending yang menuju jannah.

Vertigo memberanakkan kekayaan interpretasi dengan kedalaman bahasa filemnya tanpa perlu berpoya-poya untuk menyumbat seribu satu tema atau persoalan secara dangkal seperti Gone Girl. Dan perhatikan intro/ ending Vertigo dan Gone Girl. Kedua-duanya meletakkan ending (atau kesudahan) watak (atau watak-watak) utama di kondisi yang sama seperti di intro. Sebuah pengulangan nasib yang absurd. Dalam Vertigo Scottie buat kesekian kalinya berhadapan dengan situasi jatuh bangunan yang tragis. Dalam Gone Girl, sama seperti intro, endingnya Nick mengusap kepala Amy sambil bermonolog. Cuma Hitchcock memang genius sebab jadikan adegan jatuh bangunan ni sebagai pencetus dalam setiap three-act structure. Permulaan, pertengahan dan pengakhiran Vertigo saling bertindak balas terhadap adegan jatuh bangunan.

Perkembangan plot Vertigo memang tak serupa tapi sama dengan Gone Girl. Malah tema yang cuba diungkapnya pun tak lari jauh, cuma mungkin Fincher menyudutkannya dari perpsektif yang lebih postmodern. Plot Vertigo, seperti juga Gone Girl bergerak dari mystery thriller kepada psycho-thriller. Dari cerita yang dipandu plot kepada cerita yang dipandu karakter. Dari ‘apa terjadi kepada Madeleine?’ kepada ‘apa yang berlaku di antara Madeleine (atau Judy) dan Scottie? Lakonan Scottie dan Kim Novak bagi saya biasa saja, tapi Hitchcock menjadikan pesona mereka nampak sangat elektrik.

Mungkin ada yang tak setuju dengan tulisan ini. Mungkin ada yang anggap kegagalan saya menghargai Gone Girl berpunca dari tanggapan saya yang salah yakni menganggap Gone Girl sebagai sebuah filem mystery/ psycho-thriller yang baku, sedangkan ianya sebuah naskah satira sosial yang kompleks. Mungkin ada yang mengajukan bahawa kehambaran hubungan Nick dan Amy itu sendiri adalah perlambangan yang ingin ditonjolkan kepada penonton tentang kedangkalan atau spectacle hubungan mereka berdua. Masalahnya ialah saya tak terkesan dengan kompleksiti Gone Girl dan saya tak nampak, bukan saja kedangkalan tapi karakterisasi Nick dan Amy itu sendiri. Jadi dangkal di sini lebih merujuk kepada penjiwaan watak atau perwatakan kedua-dua mereka. Jelas Pike dan Affleck bukan mencitrakan hubungan yang dangkal tapi menonjolkan lakonan yang tak bermutu.

Gone Girl bagi pengkagumnya mungkin adalah filem yang sarat dengan nuansa postmodern yang mengajukan ‘the impossibility of final meaning’. Gone Girl seperti seni (dan falsafah) postmodern yang lain cuba menentang kepastian, kesatuan, autoriti, teleologi, totalisasi dan hierarki makna. Apa yang kita nampak bukanlah realiti yang sebenarnya, melainkan ianya adalah spectacles dan simulacrum yang saling bertumpang tindih.

Sebagaimana Nick dan Margo menamakan bar mereka sebagai The Bar dan Detektif Boney menyebut nama tersebut sebagai “very meta”, secara tak langsung ia jadi petunjuk yang meletakkan Gone Girl sebagai sebuah metafiction, style yang selalu dikaitkan dengan seni postmodern. Metafiction ialah fiksyen yang bercerita tentang fiksyen, fiksyen yang merefleksikan dirinya sendiri, fiksyen yang mahu menyedarkan penonton (selalunya secara ironi dan sinikal) yang mereka sebenarnya menonton sebuah fiksyen. Jadi jangan persoalkan kenapa mudah sangat plan Amy atau betapa tak munasabahnya penjelasan Amy di hospital atau kenapa pihak berkuasa bengap sangat percayakan Amy.

Ya, saya boleh faham logika seni postmodern ini. Dan yang lebih celaka saya boleh menikmatinya jika dari awal secara konsisten ia sedar dan cuba menyedarkan kita akan wujudiahnya sebagai produk bernuansa postmodern. Sekali lagi saya bercakap tentang konsistensi dan koherensi. Saya boleh menikmati Annie Hall dengan segala pencak postmodernnya kerana ia konsisten menyedarkan kita tentang tema-tema postmodern, tema-tema yang kalau diteliti tak jauh berbeza dengan Gone Girl. Cuma Annie Hall membalut komedi romantik dengan nuansa sinikal dan ironi yang cerdik manakala Gone Girl cuba memborong semua tema dengan nafsu ghairah yang semberono tanpa intensiti yang sepatutnya.

Apa yang babi dengan seni postmodern ialah pencandunya sering melihat SEMUA tentangan terhadap penyeragaman (uniformity) dan penyusunan (systematization), tema anti-koherensi, anti-klise, anti-genre dan pelbagai penolakan terhadap konvensi seni moden sebagai tema generik yang mendefinisikan postmodern. Jadi bila saya cakap Gone Girl bercelaru dan naratifnya tak konsisten, mereka akan jawab itulah seni postmodern, anti kepada segala susunan, konvensyen, order, identiti dan nilai moden. Pandangan merapu ini menilai setiap sampah yang diasosiasikan sebagai postmodern adalah hasil seni terbaik jika ia mengkritik semangat skema produk post-industrial society dan budaya kapitalisme-liberal borjuis.

Argumen saya ialah kerana kritikan itu dihamparkan dalam bentuk seni maka ia perlu ‘berseni’. Masalahnya di sini bukan postmodern, walaupun tak dinafikan postmodern cenderung menganggap penilaian seni adalah subjektif (dan secara tak langsung mengiktiraf banyak sampah yang menyamar sebagai seni), tapi kegagalan menyampaikan naratif filem dengan cermat kerana setiap seni masih terikat dengan konvensi dan skema tertentu. Macam saya cakap di awal tadi, kalau merujuk kepada genre, maka disitu datang interpretasi dan apresiasi yang seterusnya mewujudkan penilaian. Kau tak boleh sapu cat pada punggung kau dan tekapkan pada kanvas dan kemudian kau namakan hasil tekapan itu sebuah seni avant garde. Tak adik-adik, itu bukan avant-garde apatah lagi seni, itu hanyalah tekapan punggung kau yang tak beri makna yang signifikan. Satu-satunya makna yang boleh ditarik dari lukisan itu ialah otak kau sama seperti punggung kau; masing-masing buta seni.


Saya boleh faham tema postmodern yang diteroka Fincher dalam filem-filemnya sebelum ini. Saya boleh faham wacana postmodern dan saya boleh menghargainya pada sisi-sisi tertentu. Tapi Gone Girl cuba menjadi kecelakaan yang paling saya benci pada postmodern, yakni ia tak tahu apa sebenarnya yang ia mahu jadi. 

No comments:

Post a Comment