Saturday, February 14, 2015

Apa Yang Kita Bualkan Apabila Kita Berbual Tentang Cinta

Dalam cerpen What We Talk About When We Talk About Love, Raymond Carver menulis tentang dua pasangan bersembang perihal cinta di meja makan. Ya, itu saja plot cerpen ini. Dan Carver berjaya menumpahkannya dalam bentuk kata-kata dengan penuh minimalis dan santai. Sudah tentu cerpen ini tidak mengungkapkan cinta dalam bentuk jambangan bunga, love you 'till jannah dan tema cinta tipikal yang lain.

Carver berjaya menimbulkan keghairahan yang amat halus kepada kita untuk menyoal semula pemahaman kita tentang cinta dari lubuknya yang paling dasar, atau dalam kata lain dari sisinya yang lebih gelap, sisi yang tak pernah disuluh sebelum ini. Dia seolah-olah mahu memberitahu kita masih ada perkara yang belum mampu diungkapkan manusia dengan perkataan dan tulisan, walaupun semudah persoalan cinta, tema yang usianya setua sejarah umat manusia itu sendiri. Dan manusia kerap mendabik dada bercakap tentang perkara yang mereka sendiri pun tak berapa faham.

Mungkin betul kata Alberto Manguel, "Maybe this is why we read, and why in moments of darkness we return to books: to find words for what we already know."

Saya sentiasa berpendapat buku (atau tulisan) yang baik sentiasa mengajak pembacanya berfikir secara reflektif dan kontemplatif, bukan mabuk berangan-angan. Ya, angan-angan perlu dibezakan dengan imaginasi, jika yang pertama hanya tersangkut di tempurung kepala (atau jika hobi anda melayan bahan porno ia akan tersangkut di celahan skrotum anda), tapi yang kedua menerawang jauh mencari sisa-sia harapan untuk mendamaikan kecelakaan manusia pascamoden.

Kita baca kerana Tuhan suruh kita baca, kerana membaca seperti juga cinta, adalah esensi manusia. Kerana dengan membaca kita memperkaya pengalaman, mengkomunikasikan gambaran mental yang masih terkurung di otak kita selama ini.

Selalu kita sedar semakin banyak yang kita baca, semakin sikit yg kita tahu. Itu bukan titik untuk kita berhenti membaca, tapi permulaan yang jujur untuk mengesahkan bahawa kita makhluk yang terbatas, dan membaca adalah struggle kita yang berterusan untuk mencari pemaknaan yang belum selesai.

Dalam Islam, membaca bukan hobi, bukan aktiviti sampingan, ianya kewajipan.

No comments:

Post a Comment