Monday, January 2, 2017

2. Cermin Yang Mengejek




Jika struktur mental kita ibarat rumah, maka setiap batu bata yang disusun, setiap pintu dan jendela dan atap yang dipasang terdiri dari pelbagai cerita-cerita kecil yang kita kutip untuk disesuaikan dengan tiang-tiang cerita yang dipasak lebih awal. Tiang-tiang cerita ini adalah cerita-cerita besar yang boleh kita namakan sebagai metanaratif (cerita tentang cerita).  

Sepanjang hidup - bergantung kepada keterbukaan kita untuk mengubahsuai conception of selfhood - kita akan menemui cerita-cerita baru yang mungkin akan melemahkan atau menguatkan struktur mental yang sedia ada. Kita mungkin akan menemui cerita-cerita yang membuatkan kita terpaksa menggantikan batu-bata, pintu, jendela atau atap rumah dengan cerita-cerita baru yang lebih kukuh dan sesuai dengan tiang-tiang metanaratif. Atau mungkin kita terpaksa merobohkan seluruh rumah kerana tiang-tiang metanaratif itu sendiri bermasalah kerana kita tak mahu rumah kita senget dan rebah. Mungkin tiang, pintu, jendela, dinding dan atap cerita kita perlu sentiasa ditukar ganti kerana musim kehidupan sentiasa  berubah dan ribut pengalaman sukar dijangka. 

Naratif berupaya membuka ruang imaginasi yang luas, walaupun akhirnya ia bakal menuju kepada interpretasi yang sempit, dan mungkin interpretasi itu bakal mengundang lebih banyak interpretasi yang lain, sekali lagi terpulang kepada tahap keterbukaan individu atau bergantung kepada kesesuaian naratif-naratif lain (atau metanaratif) yang kita pasakkan sebagai tiang cerita. Jadi sebuah cerita boleh diolah tafsir dan diceritakan semula dari pelbagai sudut oleh pelbagai jenis manusia.

Mungkin benar apa yang ditulis oleh Joseph Campbell dalam karya monumentalnya, The Hero With A Thousand Faces, yakni dunia ini dilingkungi oleh cerita atau mitos yang sama, cuma diceritakan semula dalam pelbagai variasi yang berbeza. Dalam karya ini Campbell menulis yang semua cerita agung atau mitos dalam dunia ini mempunyai struktur kisah yang sama, yakni kembara seorang hero mencari sesuatu atau dalam terma Campbell corak ini dinamakan monomyth.

Monomyth menceritakan tentang seorang manusia biasa yang dilahirkan di sebuah tempat yang biasa-biasa. Dia kemudiannya menerima panggilan untuk mengembara atau keluar dari lingkungannya bagi menyelesaikan masalah. Pada mulanya dia menolak panggilan ini kerana takut, tapi setelah dinasihati oleh seorang mentor yang bijak dan baik hati, si hero menyertai kembara ini. Dia menempuh pelbagai cabaran dan ujian, bertemu ramai kawan dan mengalahkan ramai lawan, juga menerima pelbagai pertolongan dan bantuan. Hero akhirnya tiba di puncak kembara, menerima tentangan yang maha hebat dan hampir tewas. Setelah berjaya mengharungi tentangan itu, dia berjaya mendapatkan harta karun/pedang/kuasa/ilmu. Hasil dari kembara ini menukar karakter si hero dan dia memanfaatkan harta karun/pedang/kuasa/ilmu yang dimilikinya dengan pulang ke tempat asalnya dan mentransformasikan komunitinya.

Campbell menulis konsep monomyth ini berdasarkan idea ‘archetypes’ atau ‘tipainduk’ yang diperkenalkan gurunya, psikologis tersohor Carl Jung. Menurut Jung, archetypes ialah elemen atau karakter yang sering muncul dalam mimpi dan mitos manusia merentas sempadan pelbagai budaya. Ianya adalah refleksi dari minda manusia yang kemudiannya menterjemahkan idea ini dalam naratif kehidupan mereka. Karakter-karakter yang sering muncul dalam naratif manusia seperti hero muda, mentor atau pendeta yang bijaksana, perempuan yang boleh bertukar rupa (dalam mitos Melayu tentunya nenek kebayan) dan sebagainya adalah cerminan dari archetypes minda manusia, cara minda manusia beroperasi (sebab itu bukan semua mitos bersifat dongeng) secara collective unconscious.

Corak monomyth ini dapat dikesan dalam beratus ribu naratif, dari biografi tokoh sejarah seperti Rasulullah dan Buddha sehinggalah watak fiksyen seperti Luke Skywalker dan Neo, mempengaruhi pelbagai tukang cerita dari pengarah filem seperti Steven Spielberg sehinggalah penulis seperti J.K. Rowling. Plotnya sama tapi skripnya berbeza. Kalau mengikut teori Jungian, faktor yang menyebabkan corak naratif monomyth sentiasa berjaya dan mempunyai daya tarikan yang kuat kepada pembaca atau penonton ialah kerana ia muncul dari fitrah collective unconscious kita semua.

Kalau mengikut teori mimesis, seni adalah representasi kehidupan. Seni adalah gambaran/ peniruan/perwakilan kehidupan. Tapi jika kita merujuk kepada teori monomyth kehidupan juga boleh dikatakan sebagai representasi seni. Kehidupan itu sendiri dikonstruk dalam proses bawah sedar sebagai gambaran terhadap apa yang berlaku di dalam minda tak sedar kita semua. Jadi naratif menggambarkan kehidupan seiring dengan kehidupan menggambarkan naratif. Malah apa yang kita faham sebagai ‘kehidupan’ atau ‘realiti’ atau ‘hakikat’ itu sendiri adalah proses mengumpul, memanggil dan membina semula memori atau pengalaman atau makna yang sudah pun sedia disusun secara selektif dalam binaan pelbagai jalinan naratif.

Dan sebagai author atau pengarang kita sedar kita tak pernah mencapai kebebasan mutlak untuk menulis naratif hidup kita sesuka hati. Kita tak bebas sepenuhnya untuk menulis takdir hidup kita. Dalam banyak keadaan kita adalah pengarang bersama (co-author) dalam sebuah naratif yang lebih besar. 

Naratif setiap individu adalah sebahagian dari jaringan naratif yang mengikat pelbagai naratif manusia lain. Kita adalah watak utama dalam naratif kita dan pada masa yang sama watak pembantu dalam naratif manusia lain, dan setiap naratif membataskan naratif-naratif lain. Justeru, naratif kendiri ini bersifat korelatif, yakni berkait secara sistemik. Kita sebahagian dari cerita manusia lain sebagaimana manusia lain juga sebahagian dari cerita kita. Pada masa yang sama cerita kita dan cerita manusia lain bercantum dalam naratif besar yang berada di luar jangkauan dan kekuasaan kita.  

Cerita kehidupan kita adalah sama kerana hidup adalah pengulangan cerita dan pencerita yang hebat sedar akan hal ini. Cuma mereka bijak menukarkan perspektif cerita kita. Menjadikan yang pelik nampak biasa dan menjadikan yang biasa nampak pelik. Pencerita yang hebat memantulkan wajah kemanusiaan dengan ‘cermin-cermin yang mengejek*’ yang menyedarkan kita bahawa karakter yang keliru, korup, rosak akhlak, zalim dan bernafsu babi dalam cerita mereka itu bukan orang lain, tapi diri kita sendiri.

Dan tak ramai yang boleh menerima perspektif begini kerana tak ramai suka perspektif mereka diganggu. Tak ramai yang suka cermin yang mengejek. Mungkin bagi mereka cermin tak sepatutnya mengejek, cermin harus memantulkan kebenaran. Mereka mahu cermin yang memantulkan wajah kemanusiaan mereka yang segak, bahagia dan selamat. Sebab itu kaum penulis, seniman, sasterawan dan penyair selalu dianggap ancaman kepada masyarakat.
----------------------------
*Rangkai kata ini saya pinjam dari sebuah esei A. Samad Said yang saya lupa tajuknya. Saya juga lupa atas konteks apa Pak Samad merujuk rangkai kata ini. Saya cuma ingat ia datang dari Pak Samad dan saya ingat sebab saya suka penyimpangan semantiknya; ‘cermin-cermin yang mengejek’.



1 comment:

  1. Roulette, Roulette, Baccarat, Blackjack & More! - Lucky Club
    LuckyClub.live brings you the best online Roulette and Baccarat experience with new players! luckyclub

    ReplyDelete