Saturday, July 6, 2013

Idea Kalis Peluru

Aku teringat sesi wawancara di antara wartawan R.O.T.T.W dengan M. Nasir suatu ketika dahulu. Maaf, aku tak ingat R.O.T.T.W issue ke berapa kerana sudah hilang dari simpanan aku. Antara persoalan yang menarik ditanyakan kepada M.Nasir ialah mengapa band alternatif tempatan(kalau zaman aku dulu selalu ditulis sebagai band underground) sukar untuk menjual album mereka kepada pendengar mainstream, dan wartawan tersebut merujuk Seven Collar T-Shirt (SCTS) sebagai contoh, band berbakat yang gagal meluaskan pengaruh bunyi mereka ke strata yang lebih tinggi. Buat adik-adik yang tidak kenal nama-nama di atas, aku terangkan satu persatu secara ringkas.

R.O.T.T.W ialah akronim dari Rythms of the Third World, sebuah majalah muzik berpengaruh di Malaysia. M.Nasir ialah pemuzik tersohor yang cuba menceburi bidang pengiklanan dengan menjadi model iklan Kit Kat tetapi percubaan tersebut gagal. SCTS pula ialah band alternatif berbakat yang aku salut muzikaliti mereka (label alternatif terpaksa diletak untuk menunjukkan mereka bukan band arus perdana walaupun aku benci pelabelan seperti ini). Buat mereka yang berminat untuk menjelajah muzikologi SCTS, aku cadangkan cuba dengar Jangan Tinggal Daku, gubahan semula lagu P. Ramlee yang bagi aku paling mudah menangkap gegendang telinga kamu dan lagu terbaik untuk preliminari lagu-lagu SCTS yang seterusnya. Bimbang kalau kamu mula dengan album Freeway, Dreaming & Broke (album pertama), ada kemungkinan indera muzikal kamu akan sewel, dan akhirnya citarasa muzik kamu akan terus dipengaruhi lagu seperti putih-putih melati apa entah yang popular sekarang.

No offense, tiada masalah jika kamu bercitarasa begitu. Semua manusia ada citarasa masing-masing. Yang menjadi masalah ialah kesempitan taste atau citarasa kamu (dalam kes ini citarasa muzik). Jika kamu sudah mendengar segala aneka genre muzik dari Nusrat Fateh Ali Khan sampai Warpaint dan masih kamu berpendapat lagu putih-putih melati apa entah itu terbaik dan memenuhi citarasa kamu, maka teruskanlah. Begitu juga kepada manusia yang merasa diri mereka hebat dan superior kerana mereka mendengar Radiohead, Joy Division, The Smiths atau Bjork, lalu memandang rendah golongan yang mendengar lagu putih-putih melati apa entah tadi, aku katakan kalau setakat itu muzik yang kamu dengar, dan kamu tidak kenal siapa R. Azmi, nasihat aku ialah sapu hingus kamu dahulu. 

Berbalik kepada pertanyaan wartawan tadi, M. Nasir menjawab dengan jujur yang lagu-lagu SCTS tidak sedap. Ia tidak mampu mempengaruhi khalayak pendengar yang lebih luas kerana idea muziknya hanya tertumpu kepada golongan-golongan pendengar tertentu. Seingat aku wartawan tersebut kemudiannya bertanya lagi mengapa kebanyakan pendengar mainstream lebih sukakan lagu-lagu bertema 'aku dikecewakan maka dengarlah keluhan hatiku yang luka' (ayat aku sendiri), M. Nasir menjawab kerana bagi mereka lagu-lagu itu lebih sedap. Dua jawapan M. Nasir ini mungkin kelihatan simplistik dan sinis, tetapi bagi aku itulah jawapan paling tepat, bahawa mahu tidak mahu kita terpaksa mengaku lagu-lagu 'cintan' sebegini lebih radio friendly. Aku pun boleh layan lagu-lagu sebegini. Kita suka sesuatu muzik kerana ia sedap dan begitulah sebaliknya. Secara asasnya ia semudah itu. Boleh sahaja kita membuka wacana tentang estetik dan estetika tetapi akhirnya kita tetap membuat dua klasifikasi; muzik ini sedap maka aku dengar, muzik itu tak sedap maka aku abaikan. Itu sahaja. Pertama kali aku mendengar SCTS ialah melalui album Freeway, Dreaming & Broke, sejujurnya album tersebut gagal menghasilkan dopamine untuk meledakkan adrenalin aku. Tak boleh masuk kata orang. Kemudiannya aku menonton video Rock the World III, SCTS membawakan lagu War is Over. Dan lagu ini adalah surat cinta pertama dari SCTS kepada aku. Lagu yang hebat, dengan vokal Duan yang ekpresionis, guitar work yang cemerlang dari Ham, segala-galanya masuk. Album kedua mereka, Drones ternyata membawakan ekspresi muzikal yang lebih matang berbanding album pertama. Selepas itu, aku cuba mendengar semula Freeway, Dreaming & Broke, dan sedikit demi sedikit bunyi-bunyian dalam album tersebut mula memesrai kedua gegendang telinga aku. Dan sampai sekarang mereka masih aku kagum dan hormati.

Ada perkara yang timbul di otak aku  apabila bernostalgia tentang kisah SCTS dan pandangan M. Nasir ini. Perkara tersebut ialah sikap manusia terhadap idea dan pembungkusan idea. Idea seperti juga lagu atau hasil seni yang lain, ianya akan menarik masyarakat melekat atau istiqamah terhadapnya, hanya apabila masyarakat dapat mengaitkan dirinya (worldview) dengan idea tersebut. Worldview atau pandangan alam atau pandangan hidup dibentuk oleh kepercayaan, sikap, budaya, dan nilai moral. Worldview terhadap citarasa muzik bukanlah bersifat statik dan beku, ianya sentiasa berubah, tak kira sama ada kau malas membaca atau berfikir, perubahan worldview di dalam diri kau pasti berlaku akibat pengaruh persekitaran selagi mana kau bernafas di dalam planet bumi ini-kerana kau makhluk yang bersosial, walaupun kau mengaku kau anti-sosial; sama ada progresif atau regresif, banyak atau sedikit perubahan tersebut ianya terpulang kepada kerangka worldview yang kau pegang sebelum ini, iaitu tahap keterbukaan kau mencerap idea-idea lain dan sejauhmana idea-idea baru memberi kesan kepada kerangka worldview tadi. Ianya proses yang bersifat interaktif, saling berkomunikasi dan mempengaruhi. Mengapa aku tidak berminat bila pertama kali mendengar album Freeway, Dreaming & Broke, dan kemudian boleh pula menerimanya sejurus selepas tertarik dengan album Drones (malah kadang-kadang aku rasakan Freeway, Dreaming & Broke lebih ekspresif, melankolik dan membuai emosi berbanding dua album selepasnya). Itu adalah proses menanam persepsi dan perspektif. Kali pertama mendengar secara pasif, kali kedua mendengar secara interaktif, lebih intim dan teliti, bukan setakat menadah telinga, tapi telinga mencari dan menangkap ritma bersama emosi dan akal. Bermula dengan sesuatu yang mudah dan akhirnya bersedia menerima yang lebih mencabar dan radikal.  

Tapi yang terlebih penting, dari perspektif subjek yakni orang yang menerima idea; objek yakni idea itu sendiri haruslah bersifat persuasif. Jadi dalam hubungan ini mana yang lebih penting, objek atau subjek. Persoalan ini tidak membawa kita ke mana-mana sebenarnya tetapi oleh kerana fokus aku ialah pembungkusan idea, maka objek atau idea itu sendiri yang akan ditekankan di sini. Aku ingin merujuk kepada PAS dalam soal ini. Kerana mereka parti politik yang membawa nama Islam. Maknanya mereka bermatlamat untuk mempengaruhi masyarakat melalui pendekatan politik dengan ideologi bercorak Islam. Ini gagasan besar dan bukan lagi soal lagu putih-putih melati apa entah tadi. Gagasan politik maksudnya PAS cuba mempengaruhi semua peringkat masyarakat untuk menerima idealisme mereka yang pastinya bersifat polisi dan dasar awam (kerana mereka parti politik) yang natijahnya nanti akan dipikul oleh masyarakat. Tidak timbul kalau kau mahu kau terima, kalau tidak mahu kau tinggalkan. Mustahil PAS hanya mahu ahli-ahli dan penyokongnya sahaja yang mendokong ideologi mereka. Masalahnya PAS cuba memaksa masyarakat menerima idea mereka yang mudah dan separuh siap itu. Kata Einstein "make things simple, not simpler". Idea yang kompleks memerlukan penerangan yang kompleks, bukan selamanya mudah dan santai. Maka masyarakat perlu dipersiapkan untuk menerima perkembangan idea yang kompleks tersebut. Aku melihat penyampaian idea ialah satu bentuk komunikasi dan semua komunikasi melibatkan tahap mesej dan hubungan. Pertama: komunikasi sebagai aksi - sebaik sahaja mesej dihantar maka komunikasi berlaku tidak kira mesej itu diterima atau pun tidak. Kedua: komunikasi sebagai interaksi - mesej dihantar dan maklumbalas diterima. Dan ketiga: komunikasi sebagai transaksi - pemahaman timbul di antara penghantar dan penerima mesej lalu mewujudkan perkongsian nilai dan makna.

Menyampaikan idea ialah satu bentuk komunikasi. Maka sebelum menyampaikan idea, matlamat dan objektif perlu ditetapkan supaya kita dapat menentukan model komunikasi mana yang akan kita ikut (yang sesuai dengan matlamat kita), di mana ini seterusnya akan mencambahkan kaedah komunikasi yang spesifik mengikut model yang spesifik. Model komunikasi terawal yang dibangunkan oleh Claude Shannon dan Warren Weaver (Shannon & Weaver Model) telah meletakkan komunikasi sebagai proses yang bersifat linear (one-way-process). Aku sudah hantar maklumat dan kau terima atau tidak itu masalah kau. Model kuno ini melihat pertukaran maklumat itu sebagai proses yang pasif, tidak ada simbiosis dan sintesis. Ini model komunikasi yang selalunya dipraktikkan oleh PAS. Tetapi, jika ada maklum balas yang bersifat kritikan pula akan ditentang dengan nada sinis dan dianggap sebagai tohmahan untuk melawan tuhan atau si pengkritik dengan mudah dilabel macai kerajaan. Sikap ini menggambarkan mentaliti kelas ketiga PAS yang sentiasa menganggap suara-suara ancaman itu ialah suara pro-kerajaan atau anti-Islam, sikap houlier-than-thou yang tak ubah seperti peminat-peminat Radiohead, Joy Division, The Smith atau Bjork tadi.

Aku memilih PAS kerana ada nilai sentimental dalam hubungan aku dan PAS. Ketika sekolah menengah, politik bagi aku ialah UMNO vs PAS, dan aku sokong PAS. Ketika belajar di universiti, politik bagi aku kapitalis vs proletariat, dan aku sokong PAS. Habis belajar, politik bagi aku mustad’afin vs mustakbirin, masih aku sokong PAS. Ketika mula bekerja, politik bagi aku ialah tahi, tetap aku simpati pada PAS. Dan sekarang pun, walaupun banyak perkara yang aku kesal dengan PAS, tetap aku menaruh sedikit harapan untuk PAS. Jadi apa masalahnya dengan PAS? Masalah PAS banyak. Dan masalah-masalah ini melahirkan simptom-simptom sampingan yang merosakkan PAS itu sendiri secara perlahan-lahan. Salah satu dari masalah PAS ialah kegagalan (atau kemalasan) untuk mengenengahkan idea menggunakan saluran dan kaedah yang sesuai di mana akibatnya idea mereka lebih menimbulkan konflik dari pemahaman, kelihatan kurang meyakinkan, dilihat tidak praktikal, sering menimbulkan salah faham dan nampak selekeh.

Justeru, idea mesti disampaikan dalam model komunikasi yang bersifat perkongsian makna; yakni interaktif dan transaktif. Sebagai contoh dalam isu pelaksanaan hudud. Hudud walaupun isu yang popular dan dijuarai oleh PAS, tetapi jika kita berfikir sejenak, adakah pemahaman masyarakat  sekarang tentang isu hudud , semakin mendalam atau ianya masih di permukaan, masih berlegar dan membebel tentang soal yang sama, masih sama ketika 10 tahun dahulu ia dibincangkan. Kerana tidak ada perkongsian makna yang intim dan segar tentang hudud. Sisi-sisi baru dan perbincangan yang kontemporari berkenaan dengan hudud tidak pernah dijengah dan diselak. Dan PAS hanya serius dengan hudud hanya apabila ia disergah oleh Utusan Malaysia, selepas itu baru terkial-kial mencari maklumat, menyemak semula hujah lama, sekadar untuk menjawab tuduhan yang dangkal dengan jawapan yang dangkal, sifat reaksioner yang yang biasa dikaitkan dengan PAS. Sehingga kita pulak tertanya-tanya berapa seriuskah PAS, dari skala 1 sampai 10 untuk melaksanakan hudud. Jawapannya, bergantung kepada Utusan Malaysia. Apabila Utusan Malaysia mempermasalahkan hudud, skala serius itu naik sampai 8 tapi untuk hari-hari biasa ia menurun ke angka 0.

Hudud kelihatan seperti isu yang baru walau kerap kali ia dimainkan oleh ahli politik kerana graf pemahaman kita masih sama; mendatar (dan kalau meningkat pun hanya sedikit). Masyarakat di Malaysia ini rata-ratanya masih jahil tentang hudud. Maka jika benar-benar serius untuk melaksanakan hudud bentangkanlah hujah, wujudkan wacana dan forum dan raikanlah kritikan dan perbezaan pandangan kerana hudud takkan terus terlaksana secara automatik jika PR memerintah atau Haji Hadi jadi PM sekalipun. Untuk menjadikan hudud satu undang-undang di Malaysia, ia perlu mendapat persetujuan Parlimen dengan jumlah sokongan tertentu yg membabitkan pindaan undang-undang tertentu. Soal perlu atau tidak pindaan ini pun masih dibincangkan sehingga hari ini. Ini hukum demokrasi berparlimen. Ianya tak semudah hari ni ke Putrajaya, esok turun harga minyak. Aku tau banyak wacana dan seminar mengenai hudud dijalankan. Masalahnya sampaikah isi perbincangannya kepada masyarakat atau sekadar berlegar di kalangan agamawan, ahli-ahli akademik dan golongan terpelajar sahaja. Hasil wacana dan seminar itu makin mencerahkan akal masyarakat atau makin mengelirukan mereka. Seperti mana kata M. Nasir, ada lagu sedap, ada lagu tak sedap. Begitu juga dengan idea, ada idea yang kita rasakan sesuai dan kita pakai, ada idea yang kita rasakan tidak sesuai dan kita tinggalkan. Persoalannya, bagaimana PAS ingin menjadikan idea mereka sesuai, bermakna dan relevan kepada masyarakat di semua peringkat. Bagaimana menjadikan idea itu menarik dan boleh 'masuk'. Perkara yang sama terjadi kepada  konsep negara Islam atau negara berkebajikan. Kalau Sartre boleh tulis Being and Nothingness dengan 700 muka surat hanya bersandarkan fahaman eksistensial yang absurd itu takkan PAS tidak mampu merumuskan konsep negara Islam ideal mereka dengan fakta dan hujah yang konkrit.

Di sini penting idea dilihat sebagai perkongsian makna. Masing-masing memberi input dan maklum balas supaya idea tersebut kelihatan lebih kuat dan meyakinkan. Perkongsian makna bermaksud kita berkongsi makna yang tidak diperselisihkan di samping cuba mencari sisi-sisi lain di mana mungkin terdapat makna lain yang boleh dikongsi. Kritikan sama ada negatif atau positif seharusnya memberi nilai tambah kepada idea itu sendiri sekiranya kita rajin menyemak semula dan membuat revision terhadap idea terbabit. Kata V dalam V for Vendetta 'ideas are bulletproof'. Kata-kata ini tepat kerana idea mustahil dapat dimusnahkan dengan peluru, ia hanya boleh ditembak dengan idea itu sendiri. Oleh kerana zaman sekarang sukar sekali untuk mencari polymath seperti al-Kindi, al-Razi, Ibnu Sina, al-Ghazali dan Ibnu Rusyd, maka mustahil idea-idea kita boleh berdiri sendiri, ia memerlukan sumbang saran, perbaikan, kritikan dan dari pihak lain untuk menjadikan idea tersebut holistik, komprehensif dan praktikal.

Imam al-Ghazali telah dituduh sebagai punca kemunduran pemikiran saintifik, rasionaliti dan falsafah di dalam Islam apabila beliau menulis Tahafut al-Falasifah. Benar atau tidak tuduhan tersebut bukan untuk dibincangkan di sini. Beliau telah menyerang tiga elemen utama yang didokong oleh ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan Neoplatonisme. Hujah al-Ghazali dibalas oleh Ibnu Rusyd menerusi Tahafut al-Tahafut. Polemik intelektual ini membahagikan dunia kepada dua kutub pemikiran, pemikiran al-Ghazali dikatakan mempengaruhi epistemologi Islam dan pemikiran Ibnu Rusyd mempengaruhi epistemologi Barat. Moral of the story ialah, pertamanya; pertarungan idea sentiasa menguatkan idea itu sendiri. Ianya takkan pernah tamat dan akan kekal selagimana idea tersebut dilihat relevan kepada masyarakat. Apabila hujah al-Ghazali dikritik oleh Ibnu Rusyd, adakah Tahafut al-Falasifah tenggelam begitu sahaja dan nama al-Ghazali ditolak dari korpus intelektual Islam. Begitu juga dengan Ibnu Rushd, adakah serangan balasnya terhadap al-Ghazali  Jawapannya tidak. Malah kedua-dua hujah dari dua tokoh ini diperhalusi, diteliti dan diwacanakan dan kedua-duanya dianggap telah memperkayakan tradisi falsafah Islam keseluruhannya. Tetapi syaratnya, idea dan persembahan idea itu sendiri perlulah kemas, berlandaskan hujah keilmuan dan bersifat persuasif. Dan yang menghasilkan idea itu pun perlulah faham sebenar-benarnya dengan idea yang dikemukakan.

Apabila ada yang mengatakan bahawa al-Ghazali mematikan semangat saintifik dan rasionaliti di dalam Islam, aku katakan (sekiranya benar tuduhan tersebut) itu bukan salah al-Ghazali tetapi salah kita sendiri, kita sendiri yang bebal dan bengap tetapi berpura-pura mahir dalam ilmu falsafah. Maksud aku begini, kalau benar kita rasakan hujah al-Ghazali salah, maka datangkanlah hujah kita untuk melawannya. Kalau pun kita tak mampu (aku tahu kita memang tak mampu) huraikan sahaja Tahafut al-Tahafutnya Ibnu Rusyd, permudahkan isi kritikan beliau agar masyarakat faham bahawa al-Ghazali salah. Tetapi, masalah sebenarnya bukan kesalahan al-Ghazali tetapi kebengapan kita dalam menghalusi polemik tersebut. Kedua-dua buku tersebut pun kita tak pernah sentuh, tiba-tiba terbaca artikel tentang kesalahan al-Ghazali di FB, rasa teruja, share dulu dan kemudian terus mengaku faham idea al-Ghazali (faham maksudnya kita mampu mengkritik dengan hujah yang baik). Kalau pun kita menjawab sukar untuk mengubah hegemoni pemikiran (kalau boleh disebut begitu) al-Ghazali ke atas umat Islam kerana ianya sudah terpasak kukuh, maka tidakkah itu sendiri menunjukkan kehebatan idea al-Ghazali itu sendiri dari sudut elemen persuasifnya hingga masih kekal diangkat masyarakat Islam zaman berzaman. maksudnya kita sendiri tidak mampu melawan idea itu, malah kalau boleh disebut Ibnu Rusyd sendiri gagal. Mungkin perkara yang sama boleh dirujuk kepada pemikiran Ibnu Rusyd di Barat di mana pemikiran al-Ghazali sukar diterima di sana. Idea itu bertahan kerana ia kuat, kuat dari segi apa, itu persoalan yang lain, tetapi kesediaan masyarakat untuk menerima sesuatu idea itu menunjukkan idea tersebut ada sesuatu yang istimewa. Ia berbalik kepada apa yang aku katakan di awal tadi; lagu sedap kita dengar, lagu tak sedap kita tak dengar dan semuanya kembali kepada worldview individu tersebut.

Contoh seperti kita membuka restoran laksa, tetapi laksa kita kurang laris kerana kita ada pesaing yang juga menjual laksa. Laksanya tersangatlah laris walaupun kita berasa hairan kerana bagi kita laksa kita lebih sedap. Untuk mendapatkan perhatian pelanggan kita perlu menyiasat apa rahsia laksanya dan apa punca masalah laksa kita kurang laris. Hanya dengan beranggapan laksa kita lebih sedap dan terus menyalahkan pesaing kita dengan menuduhnya memakai tangkal pelaris atau pengamalan Islamnya lemah kerana kita tidak pernah melihatnya bersolat takkan menyelesaikan masalah kekurangan pelanggan di restoran kita. Dengan menghebohkan kepada orang ramai bahawa laksa kita lebih sedap dari laksa pesaing kita juga mustahil menyelesaikan masalah. Tumpuan orang ramai terhadap restoran pesaing kita adalah bukti nyata yang menunjukkan laksa mereka memang istimewa dari laksa kita. Apa yang istimewa? Sama ada kuahnya pekat, laksanya diperbuat dari tepung gandum, telur goreng mata dihidangkan bersama laksa, kuahnya dari belut, ini semua persoalan yang perlu kita tangani. Dan yang pasti untuk menarik kembali pelanggan datang ke restoran kita ialah dengan menghasilkan laksa yang lebih baik dari pesaing kita, selama mana kita masih gagal menyaingi mereka menunjukkan mereka masih yang terbaik walaupun bermacam usaha yang kita lakukan. Faktor paling utama ialah kegagalan kita memenuhi selera pelanggan. Begitulah juga dengan idea, lebih-lebih lagi kita yang memperjuangkan ideologi Islam dan beriman bahawa Islam itu rahmatan lil alamin. Bagaimana Islam yang bersifat syumul, tawazun, waqi'iyyah dan wasatiyyah boleh gagal memenuhi keperluan dan aspirasi spiritual, mental dan fizikal masyarakat manusia? Kita sendiri yang sebenarnya gagal mencungkil dan menggali makna Islam dan menterjemahkannya dalam bentuk idea yang progresif dan praktikal.

Apabila kita sebutkan idea harus bersikap persuasif kita harus melihat idea bukan hanya sebagai representation tetapi juga presentation. Apabila PAS ingin mengajukan hukum hudud atau konsep negara berkebajikan idea tersebut bukan dihasilkan semata-mata mewakili PAS sebagai badan politik tetapi idea itu sendiri perlu berdiri sendiri di mana masyarakat boleh mengaitkan idea tersebut dengan diri mereka secara langsung. Teknik persuasif selalu dikaitkan dengan konsep retorik yang dibangunkan Aristotle. Kata Aristotle retorik ialah "the faculty of observing in any given case the available means of persuasion." Aristotle mengatakan retorik ialah seni yang boleh mengemukakan kebenaran dan mampu meyakinkan khalayak yang kurang kemampuan intelektual terhadap sesuatu isu. Ulamak PAS pun tahu di dalam Islam juga mempunyai tradisi ilmu retoriknya yang tersendiri, disebut sebagai balaghah. Ianya disiplin ilmu yang berkembang hebat  di dalam tradisi Islam di mana pesan-pesan Al-Quran sendiri penuh dengan elemen balaghah. Kata Ali al-Jarim dan Mustapa Amin seperti yang diterjemahkan oleh Dr. Azhar Muhammad, balaghah ialah " Melaksanakan makna yang unggul lagi jelas, dengan ibarat yang betul lagi lancar, memberi kesan tarikan yang mendalam kepada diri seseorang, beserta kesesuaian setiap ucapan yang dilafazkan dengan tajuk perbincangan, di samping bersesuaian dengan orang yang ditujukan ucapan itu".  Balaghah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu al-ma’ani (kaedah menyesuaikan lafaz ayat dengan maksud idea), al-bayan (kaedah menyelaraskan idea asal dengan bentuk penyampaian dan konteks persekitaran serta khalayak - content knowledge & procedural knowledge) dan al-badi’ (kaedah menggubah bahasa) dan ilmu-ilmu ini wajib diketahui oleh seorang mufassir. Aku rasa ilmu ini memang dipraktikkan oleh PAS kerana mereka parti politik, cuma ianya tidak dikaji dengan teliti, sekadar dipraktikkan secara murahan dan sambil lewa dengan topik yang mudah dan popular.

Kata Ziauddin Sardar dalam bukunya Masa Hadapan Islam: Bentuk Idea Akan Datang (terjemahan dari Islamic Future: The Shape of Ideas to Come), "Agama Islam dan masyarakat Islam adalah seperti sebuah bangunan yang indah tetapi tua dan telah menjadi lemah kerana terabai sekian lama. Asasnya adalah sangat kukuh, tetapi pembinaan batu bata memerlukan perhatian segera, plasternya perlu diganti, bahagian hadapannya perlu dihiaskan semula untuk menjadikannya lebih menarik.Di dalamnya bangunan itu memerlukan keselarasan dengan keperluan sezaman, masa kini dan masa hadapan.Kita perlu membina semula peradaban Islam: jika tidak dengan cara sedikit demi sedikit maka kemudian sudah pasti dengan cara yang sewajarnya."
 
*Imam al-Ghazali menulis Maqasid al-Falasifah sebelum menulis Tahafut al-Falasifah. Aku selalu berharap ulamak atau intelektual PAS menulis buku bertajuk Marxism and Socialism: An Introduction (Volume I,II & III), kemudian baru mereka tulis Marxism and Socialism: An Islamic Critique and Perspectives (Volume I, II & III) lepas tu confirm Anwar Ibrahim, IKD, budak Jalan Telawi, budak UBU, semua hormat PAS terutamanya Majlis Syura Ulamak. Hishamuddin Rais dan Dr. Nasir PSM juga berkemungkinan mendaftar sebagai ahli PAS seumur hidup.

No comments:

Post a Comment