Monday, July 22, 2013

Marx: Satu Penilaian

Oleh Peter Singer

Pendedahan kepada idea-idea Marx mesti didatangkan dengan penilaian semula. Ketika ramai berhujah bahawa pencapaian utama Marx - yakni teori sejarah dan ekonominya bukanlah penemuan saintifik, saya dari awal lagi sudah pun menolak pernyataan ini, terutamanya sanjungan yang diberikan kepada Marx oleh Engels, disahkan oleh Lenin dan dilaungkan kemudiannya oleh Marxist-Leninist ortodoks. Tetapi persoalannya ialah jika Marx tidak menghasilkan penemuan saintifik tentang ekonomi dan masyarakat, apa sebenarnya yang dicapai olehnya selama ini? Maka berikut ialah pandangan saya tentang idea-idea Marx yang bagi saya tetap kelihatan relevan, di samping idea-ideanya yang perlu dikaji semula dan idea-ideanya yang perlu dibuang. Terlebih dahulu, kita perlu mengkaji dengan lebih lanjut peranan Marx sebagai saintis; kerana Marx sendiri menganggap teorinya sebagai saintifik, dan meramalkan masa depan kapitalisme menggunakan asas-asas yang bersifat saintifik. Beliau meramalkan bahawa:

(a) Jurang pendapatan antara golongan kapitalis dengan golongan pekerja akan meningkat
(b) Lebih ramai pengusaha-pengusaha kecil terpaksa menjadi proletariat dan yang tinggal hanyalah segelintir kapitalis kaya dengan pertambahan jumlah pekerja miskin.
(c) Gaji pekerja hanya cukup untuk memenuhi kos sara hidup.
(d) Kadar keuntungan akan jatuh.
(e) kapitalisme akan runtuh akibat kontradiksi dalaman.
(f) Revolusi proletariat akan muncul di negara-negara perindustrian yang maju.

Selepas lebih seabad Marx meramalkan situasi-situasi di atas, kebanyakan dari ramalan tersebut tersasar sehingga ada yang terfikir mengapa penyokong Marx cuba untuk berhujah bahawa kehebatan Marx terletak pada aspek saintifik teorinya, sedangkan hipotesis-hipotesisnya gagal. Jika dinilai pada konteks masa Marx, jurang antara kaya dan miskin telah berkurangan secara mendadak di seluruh negara perindustrian. Walaupun jurang itu kembali melebar pada akhir abad kedua puluh, situasinya masih baik berbanding abad ke sembilan belas. Sebahagian besar faktornya antara lain kerana gaji pekerja semakin meningkat. Pekerja kini mendapat gaji dan imbuhan melebihi keperluan mereka untuk meneruskan hidup. Kadar keuntungan pula tidak mengalami kemerosotan yang berterusan. Kapitalisme sememangnya mengalami beberapa krisis, tetapi ia tidak runtuh akibat kontradiksi dalaman seperti yang didakwa Marx. Revolusi proletariat pula muncul di negara-negara kurang maju dan bukannya negara-negara maju.

Walau bagaimanapun, tersasarnya ramalan Marx bukanlah menjadi asas untuk kita menolak keseluruhan idea-ideanya. Marx lebih adil untuk dinilai sebagai ahli falsafah dan bukannya sebagai seorang saintis. Kita telah melihat bagaimana ramalan-ramalan Marx muncul dari penerapan dan aplikasi falsafah Hegel kepada perkembangan sejarah dunia serta ekonomi kapitalisme. Tidak ada sesiapa yang menganggap Hegel sebagai saintis, walaupun Hegel, seperti Marx, menyifatkan ideanya sebagai saintifik. Terma-terma didalam bahasa Jerman yang digunakan mereka adalah terma-terma yang sistematik, mendalam dan teliti, dan dalam erti kata itu, sudah tentu mereka boleh dianggap sebagai saintis; tetapi kini kita menganggap Hegel sebagai ahli falsafah, maka kita harus melayan Marx dengan cara yang sama. Dan sebagai ahli falsafah, karya Marx kekal bertahan sehingga kini. Ia telah mengubah pemahaman kita tentang dunia dan mengajar kita apa maksud sebenar kebebasan.

Mari kita bincang tentang kebebasan terlebih dahulu, kerana kebebasan menjadi tema yang utama didalam teori Marx (kenyataan ini kelihatan paradoks apabila kita melihat semua rejim yang mengaku menganuti ideologi beliau). Signifikan idea Marx tentang kebebasan akan lebih bermakna jika kita membandingkannya dengan konsep lazim kebebasan liberal  - sama ada di zaman Marx atau zaman sekarang - oleh orang-orang yang menentang campur tangan kerajaan di dalam sistem pasaran bebas. Menurut pendapat mereka yang menganut konsep kebebasan liberal ini, 'saya bebas selagi saya tidak tertakluk kepada gangguan yang disengajakan dari orang lain'. Sudah tentu kebebasan ini mempunyai batasnya. Sebagai contoh, kerajaan akan campur tangan jika saya menyerang jiran-jiran saya; maksudnya saya sengaja mengganggu kebebasan orang lain, oleh itu kebebasan saya sendiri perlu dihadkan untuk memastikan kebebasan orang ramai. Ini adalah konsisten dengan kenyataan yang kebebasan berada di tahap maksimum apabila setiap individu mampu bertindak tanpa gangguan sengaja dari pihak lain. Konsep kebebasan liberal ini sememangnya sesuai dengan teori ekonomi yang diajukan pembela sistem ekonomi kapitalis yang merosakkan, kerana mereka menggambarkan kapitalisme sebagai pilihan bebas berjuta-juta individu. Sebagai contoh, apabila kapitalis menawarkan kerja dengan upah RM1 sejam, untuk 40 jam seminggu, sesiapa pun boleh memilih, tanpa gangguan daripada pihak lain, untuk menerima atau menolak tawaran ini. Jika ada yang menerimanya, kapitalis akan menggunakan tenaga buruh mereka untuk mencapai maksud perniagaan kapitalis, untuk menghasilkan baju sebagai contoh. Kapitalis menjual baju-baju ini pada harga tertentu, dan sekali lagi sesiapa sahaja dengan bebas boleh memilih sama ada untuk membeli baju-baju ini ataupun tidak pada harga yang ditetapkan. Sekiranya ada diantara kita yang boleh menguruskan perniagaan baju yang lebih baik dari kapitalis ini, maka kita bebas menubuhkan syarikat sendiri.

Sudah tentu ini bukanlah gambaran sebenar bagaimana sistem kapitalisme itu beroperasi, tetapi ia boleh menunjukkan kepada kita bagaimana pandangan yang liberal tentang kebebasan boleh digunakan untuk mempertahankan sistem kapitalisme yang kebal dari sebarang bantahan tentang kapitalis tamak yang mengeksploitasi orang miskin dengan menjual komoditi dengan harga yang tinggi. Pembela kapitalisme boleh sahaja mengaku bahawa sesetengah kapitalis mungkin tamak, tetapi mereka juga akan berkata tidak ada sesiapa yang dipaksa bekerja untuk atau membeli dari mana-mana individu kapitalis tertentu. Oleh itu, ketamakan individu kapitalis bukanlah alasan untuk mengutuk sistem pasaran bebas. Marx melihat hujah mempertahankan kapitalisme ini memang jelas, tetapi dia juga melihat ianya terbuka untuk kritikan yang paling asas jika ianya dilihat dari perspektif sejarah yang lebih luas.

Untuk menjelaskan kritikan Marx, saya akan beralih kepada contoh yang lebih santai dan mudah. Katakan saya tinggal di pinggir bandar dan bekerja di bandar. Saya boleh memandu kereta atau menggunakan bas untuk ke pejabat. Saya memilih untuk tidak menunggu bas, jadi saya menggunakan kereta. 50 000  orang lain yang tinggal berhampiran saya turut menghadapi pilihan yang sama (bas atau kereta) dan membuat keputusan yang sama, yakni menggunakan kereta. Akibatnya, jalan ke bandar sesak dengan kenderaan yang membuatkan perjalanan sejauh 10 batu mengambil masa 1 jam. Dalam keadaan ini, mengikut konsep kebebasan liberal, kami semua telah membuat pilihan masing-masing dengan bebas tanpa gangguan dari mana-mana pihak. Namun hasilnya bukan seperti yang kami inginkan. Jika kami menggunakan bas, perjalanan akan menjadi lancar dan masa yang diambil untuk sampai ke pejabat hanyalah 20 minit. Ini yang kami mahu walaupun dengan ketidakselesaan menunggu di perhentian bas dan sebagainya.  Sudah tentu kami bebas memilih jenis pengangkutan, tetapi apa yang boleh kami lakukan? Walaupun kereta yang banyak akan memperlahankan bas, tetapi mengapa manusia mesti membuat pilihan yang berbeza? Konsep kebebasan liberal telah mewujudkan paradoks: kami secara individu telah membuat pilihan untuk kepentingan masing-masing, tetapi hasilnya tidak menguntungkan sesiapa pun. Rasionaliti individu, irrasionaliti kolektif. Solusinya adalah jelas, yakni sama-sama membuat keputusan secara kolektif. Sebagai individu, kita tidak mampu mewujudkan situasi yang kita inginkan. Tetapi secara kolektif, kita boleh mendapatkan apa yang kita mahu, tertakluk kepada kemampuan sumber dan teknologi kita. Dalam contoh ini, kami boleh bersetuju untuk menggunakan bas.

Marx melihat kapitalisme mewujudkan irrasionaliti kolektif ini. Di dalam sistem pra-kapitalis sudah jelas yang kebanyakan manusia tidak menentukan nasib mereka sendiri, di bawah feudalisme misalnya, golongan petani terpaksa bekerja mengikut telunjuk dan kemahuan pembesar-pembesar. Kapitalisme kelihatan berbeza kerana manusia secara teorinya bebas untuk memilih sama ada bekerja sendiri atau bekerja untuk manusia lain. Tetapi golongan pekerja mempunyai kawalan yang sedikit ke atas nasib hidup mereka sama seperti golongan petani ketika era feudalisme tadi. Ini bukan kerana mereka telah membuat pilihan yang teruk atau kerana sumber dan teknologi yang terbatas, tetapi kerana kesan kumulatif (pengulangan tindakan yang mendatangkan kesan yang lebih hebat dari tindakan pertama atau tindakan individu) hasil dari pilihan individu-individu (yang membentuk sistem masyarakat), di mana tidak ada sesiapa pun - termasuk kapitalis - yang menjangka kesan atau membuat pilihan tersebut. Mereka yang menganuti konsep kebebasan liberal akan mengatakan kita bebas kerana kita tidak ditakluki oleh gangguan yang disengajakan dari manusia lain, Marx mengatakan kita tidak bebas kerana kita tidak menguasai sistem masyarakat. Hubungan ekonomi antara manusia bukan sahaja menentukan gaji dan prospek kerja kita, tetapi juga politik, agama dan ideologi. Hubungan ekonomi ini memaksa kita ke dalam situasi di mana kita bersaing antara satu sama lain berbanding bekerjasama untuk kemaslahatan semua pihak.

Keadaan ini menyisishkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh kemajuan teknologi di dalam penggunaan sumber kita. Perindustrian yang dibangunkan secara berhemah dan rasional sepatutnya membolehkan kita menikmati komoditi dengan usaha yang minimum; bagaimanapun di bawah kapitalisme, kemajuan ini hanya mengurangkan nilai komoditi yang dihasilkan, yang bermaksud pekerja harus bekerja untuk tempoh masa yang sama dengan gaji yang sama. (Ketika menyebutkan hal ini, Marx menjangkakan gaji akan kekal pada paras sara hidup; sebenarnya peningkatan produktiviti telah membuatkan gaji meningkat). Yang lebih memburukkkan keadaan, perancangan dan pengurusan yang lemah di dalam ekonomi boleh membawa kepada krisis pengeluaran berlebihan (overproduction) - pengeluaran berlebihan yang boleh menyebabkan krisis adalah satu petunjuk sebuah sistem yang irrasional - hingga akhirnya membawa kepada kemelesetan di mana ekonomi beroperasi di dalam bentuk yang tidak diinginkan kapitalis mahupun pekerja. (Di sini pendapat Marx boleh diterima kerana kerajaan masih menghadapi kesukaran untuk membasmi pengangguran dan pada masa yang sama menghalang inflasi).

Hubungan ekonomi muncul di depan mata kita sebagai kuasa semula jadi yang membutakan. Kita tidak melihat mereka menyekat kebebasan kita - malah jika kita melihat menggunakan kanta kebebasan liberal memang ia tidak menyekat kebebasan kita, kerana ianya (hubungan ekonomi) bukan hasil dari campur tangan sengaja manusia. Marx sendiri faham bahawa kapitalis tidak bertanggungjawab secara langsung kepada hubungan ekonomi antara masyarakat, malah mereka sendiri sebenarnya dikawal oleh hubungan ini sama seperti golongan pekerja. Namun hubungan ekonomi ini tetap hasil kerja tangan kita, dipilih secara tidak sengaja namun tidak dinafikan hasilnya adalah pilihan kita secara individu dan tertakluk kepada kemahuan kita sendiri. Kita belum benar-benar bebas sehingga kita secara kolektif menguasai ciptaan kita dan bukan sebaliknya. Itulah kepentingan ekonomi terancang. Di dalam ekonomi yang tidak terancang manusia sengaja membiarkan pasaran menentukan kehidupan mereka; oleh itu perancangan ekonomi adalah pengembalian semula maruah dan kedaulatan manusia dan merupakan langkah penting ke arah kebebasan sebenar manusia. Pandangan Marx yang mendalam mengenai sifat kebebasan telah menjadi pencabar kepada mana-mana aliran falsafah politik liberal. Ianya adalah teras kecaman Marx terhadap alienation di dalam 1844 Manuscript, begitu juga kritikannya kepada pasaran bebas di dalam Capital. Sekiranya Marx mahu diletak bersama Hobbes, Locke, Rousseau dan Hegel sebagai tokoh utama dalam pemikiran politik Barat, maka ia seharusnya disandarkan kepada kritikannya terhadap konsep kebebasan liberal. Konsep kebebasan alternatif yang didukung Marx terkandung kesukaran yang tidak pernah diteroka dan disemak dengan gigih oleh Marx, kesukaran yang boleh dikaitkan dengan mutasi pandangan Marx yang menjadi perkakas di tangan rejim autoritharian. Inilah masalah untuk mendapatkan kerjasama dalam usaha bersama untuk mengawal masyarakat.

Kita kembali semula kepada senario tadi. Semua penduduk di kawasan pinggir bandar termasuk saya telah mengadakan pertemuan untuk membincangkan masalah kami. Semua akhirnya bersetuju adalah baik sekiranya kami meninggalkan kereta masing-masing di rumah. Kami gembira kerana masalah kesesakan jalan raya dapat di atasi. Namun, ketika pulang ke rumah, sesetengah dari kami mula berfikir: "Jika semua orang menggunakan bas esok, jalan akan lengang. Jadi lebih baik aku memandu kereta. Selain keselesaan, dengan jalan yang lengang, akan mempercepatkan perjalanan aku berbanding menggunakan bas". Hujah ini benar dari sudut pandang kepentingan diri. Selagi ramai yang menggunakan bas, beberapa orang boleh mengambil kesempatan daripada pemikiran sosialistik majoriti ini, tanpa mereka sendiri memberi atau berkorban apa-apa. Apa yang perlu dilakukan majoriti tentang perkara ini? Adakah mereka perlu membiarkan kesedaran individu yang membuat pilihan dan seterusnya merosakkan sistem melalui cara ini? Jika perkara ini dibiarkan berleluasa, terdapat risiko yang sistem ini akan korup - kali pertama mungkin hanya beberapa orang sahaja yang menggunakan kereta, namun lama kelamaan lebih ramai akan menggunakan cara yang sama, kerana tiada sesiapa yang mahu diri mereka dipergunakan. Atau majoriti perlu memaksa minoriti menggunakan bas? Itulah jalan yang mudah. Ia boleh dilakukan atas nama freedom for all, tetapi ia boleh membawa kepada freedom for none. Marx sangat komited terhadap punca kebebasan manusia. Apabila ditanya ketika permainan parlour Victoria (indoor games yang popular ketika era Victoria), apakah karakter yang paling beliau benci, beliau menjawab: 'Servility' (memperhambakan diri), dan motto kegemarannya pula ialah: 'de omnibus dubitandum' - Anda mesti meragui segalanya'. Walaupun personaliti Marx sendiri terdapat elemen authoritarian, tidak boleh dinafikan beliau akan terkejut dengan tindakan zalim Lenin dan Stalin yang menggunakan namanya untuk mengabsahkan tindakan mereka. (Malah ada kemungkinan Marx menjadi mangsa awal pembersihan dalaman (purges) yang dilakukan Stalin). Menurut Marx, komunisme tidak akan terbentuk sebagai entiti politik. Oleh itu tidak perlu sebarang pemaksaan kerana komunisme akan menamatkan konflik antara kepentingan individu dan manfaat bersama. Berakhirnya konflik ini akan membawa bersama-samanya sebarang ancaman terhadap kebebasan masyarakat untuk menguasai aspek ekonomi dan sosial mereka dan mereka bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki. Di sini - sumbangan agung kedua Marx kepada pemikiran moden - yakni pandangannya terhadap sifat alamiah manusia - yang dijalinkan dengan idea kebebasannya. Menurut Marx, sifat manusia bukanlah tetap dan statik, tetapi berubah, selaras dengan kondisi ekonomi dan sosial zaman tertentu, lantas mewujudkan prospek untuk mengubah masyarakat dengan menukar dasar ekonomi yang meraikan sifat tamak, egoisme dan bernafsu serakah.

Marx menjangka penghapusan harta persendirian dan kewujudan institusi pemilikan bersama di dalam sumber pengeluaran dan pertukaran akan mendorong sifat kebersamaan dan solidariti masyarakat di mana manfaat bersama menjadi prioriti berbanding kepentingan dan cita-cita individu. Melalui cara ini kepentingan individu dan manfaat bersama menjadi harmoni. Pandangan Marx tentang sifat manusia kini sangat luas diterima sehinggakan konsep sifat manusia pra-Marxist kelihatan tidak lagi relevan. walaupun teori Marx sendiri tidak saintifik, ideanya telah meletakkan batu asas yang kukuh kepada ilmu sains sosial baru yang meneroka hubungan antara elemen-elemen pengeluaran yang bukan sahaja menghasilkan makanan malah ideologi politik dan kepercayaan agama. Tidak dapat dinafikan ini adalah elemen yang berharga untuk dikaji oleh sejarawan dan sosial saintis. Marx membuka wacananya dengan memusnahkan andaian bahawa kehidupan intelektual dan spiritual kita bebas sepenuhnya dari pengaruh ekonomi. Jika know thyself adalah unsur penting falsafah, maka sumbangan Marx kepada pemahaman diri manusia pula adalah satu lagi sebab untuk meletakkan beliau sebagai ahli falsafah tersohor.

Jadi kita telah menyanjung Marx kerana menyedarkan kita tentang kuasa ekonomi dan sosial yang boleh mempengaruhi kita, bagaimanapun perlu juga disebut bahawa pandangan beliau tentang sifat manusia itu salah sebenarnya. Sifat manusia tidak mudah dilentur seperti yang dipercayainya. Sifat ego, sebagai contoh, tidak dapat dihapuskan sekadar dengan penyusunan semula ekonomi atau melimpahnya material di tangan manusia. Apabila keperluan asas dipenuhi, keperluan baru akan muncul. Di dalam masyarakat kita, manusia tidak sekadar mahu pakaian, tetapi pakaian yang bergaya; bukan hanya mahukan tempat berteduh dan berlindung, tetapi rumah mewah tempat menunjuk kekayaan dan citarasa. Keinginan ini muncul bukan hanya disebabkan oleh pengiklanan, kerana ia juga wujud di dalam dunia bukan kapitalis,  dan sering menghadapi penolakan dari ideologi rasmi. Melainkan keseragaman yang ketat dikuatkuasakan dan kemudian mungkin keinginan ini boleh disingkirkan. Dan tidak mungkin kita mampu memenuhi keinginan material semua manusia. Bagaimana kita dapat menyediakan untuk semua manusia sebuah rumah terpencil dengan kedudukan menghadap ke laut, tetapi mudah dicapai dari bandar?

Di dalam struktur masyarakat yang berbeza, keinginan egoistik akan mengambil bentuk yang berbeza. Ini tidak bermakna ia boleh dihapuskan sekaligus, tetapi untuk menunjukkan ia adalah ekspresi dari keinginan yang paling asas. Terdapat juga keinginan untuk status, dan mungkin kadang-kadang keinginan untuk kuasa yang boleh meningkatkan status. Tidak dinafikan kapitalisme menyerlah dan membebaskan keinginan ini. Terdapat sistem masyarakat di mana persaingan untuk status dan kuasa adalah lebih terkawal. Terdapat juga masyarakat yang kurang persaingan ini. Namun keinginan untuk status dan kuasa wujud di dalam diri manusia, dalam pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat yang berbeza. Ia cenderung untuk timbul walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menyekat mereka. Tiada sistem masyarakat, tidak kira sehebat manapun retorik egalitariannya, mampu menghapuskan perbezaan di antara pemerintah dan yang diperintah malah tidak wujud sistem masyarakat yang berjaya membahagikan perbezaan ini hanya kepada ketua dan pengikut: kerana menjadi pemerintah bermaksud anda memiliki status khas dan keistimewan khusus. Semasa era komunis, pegawai-pegawai penting dalam Kesatuan Soviet mempunyai akses kepada kedai-kedai khas yang menjual makanan di mana rakyat biasa tidak mempunyai akses ke atasnya; China sebelum membenarkan perusahaan kapitalis masuk ke dalam sistem ekonominya, menaiki kereta mewah hanyalah dihadkan kepada pelancong dan pegawai-pegawai tinggi di dalam hierarki parti (dan keluarga mereka). Boleh kita kaji di semua negara komunis, penghapusan rejim pemerintah lama akan diganti dengan kemunculan bos-bos parti dan birokrat elit, yang tingkah laku dan gaya hidup mereka tidak lebih alim dan zuhud daripada rejim terdahulu. Akhirnya, tiada siapa percaya kepada sistem itu lagi, ditambah pula dengan ketidakmampuannya untuk menyaingi produktiviti sistem yang kurang kerenah birokrasinya. Dan sistem kapitalis yang dipacu semangat egoistis membawa kepada kejatuhannya. Saya menyebut kegagalan sistem yang didakwa sebagai komunis bukan dengan tujuan untuk mengatakan inilah sistem ideal yang diimpikan Marx - jelas sekali bukan - tetapi untuk meminta anda berfikir apa yang boleh dipelajari dari eksperimen sejarah ini. Sebelum menjawab soalan ini, kita harus mengambil perhatian bahawa sistem hierarki ini tidak terhad kepada masyarakat manusia.

Terdapat sistem hierarki yang jelas di kalangan burung dan mamalia yang lebih sosial sifatnya , termasuk spesies yang paling hampir dengan manusia. Para petani sejak dahulu sedar bahawa ayam peliharaan telah membangunkan sistem 'perintah mematuk' di mana setiap ayam mempunyai ranking atau pangkat tersendiri, yang membolehkan ia mematuk ayam lain yang mempunyai pangkat yang lebih rendah dan seterusnya menjauhkan makanannya dari ayam tersebut, dan terpaksa menyerahkan makanan kepada ayam yang lebih tinggi kedudukan darinya. Kajian yang mendalam telah menunjukkan bahawa hierarki yang sama wujud di kalangan serigala, rusa, singa, babun dan cimpanzi (sekadar menyebut beberapa spesis). Justeru, kita mempunyai bukti yang tidak djumpai oleh Marx - bukti kegagalan mewujudkan masyarakat egalitarian dengan menghapuskan pemilikan harta persendirian dan sumber pengeluaran dan pertukaran; dan bukti sifat hierarki yang wujud di dalam komuniti bukan manusia. Bukti-buktinya belum komprehensif, tetapi cukup untuk mencapai penilaian sementara bahawa ianya tidak semudah yang difikirkan Marx untuk mengharmonikan konflik kepentingan manusia.

Jika bukti ini benar, ia mempunyai kesan yang mendalam ke atas idea Marx yang positif. Sekiranya perubahan dasar ekonomi masyarakat tidak dapat membawa individu untuk melihat bahawa kepentingan diri dan kepentingan masyarakat adalah sama, maka komunisme yang dianjurkan Marx perlu ditinggalkan. Kecuali mungkin untuk tempoh masa yang singkat di mana struktur ekonomi masyarakat di dalam proses tranformasi kepada pemilikan sosial, Marx tidak pernah bermaksud bahawa masyarakat komunis perlu memaksa individu bekerja demi kebaikan bersama. Wujudnya pemaksaan menandakan alienation tetap wujud, alienation dari manusia kepada manusia; masyarakat yang dipaksakan tidak akan menyelesaikan persoalan sejarah, tetapi persoalan itu dimuntahkan semula dalam bentuk yang baru, ia tidak akan mengakhiri pemerintahan kelas, tetapi sekadar menggantikan kelas pemerintah lama dengan kelas pemerintah yang baru. Walaupun kelihatan absurd untuk menyalahkan Marx untuk situasi yang tidak dijangkanya, jarak diantara masyarakat komunis ideal idaman Marx dan bentuk negara komunis yang wujud pada abad ke 20 mungkin dapat dikesan asalnya dari salah faham Marx tentang fleksibiliti sifat manusia.

Sesuatu yang sedih dan ironis untuk membaca beberapa catatan pendek yang ditulis Marx pada tahun 1874, sebagai reaksinya ketika membaca tulisan Bakunin berjudul Statism and Anarchy. Marx memetik beberapa petikan dari karya pesaing anarkisnya dan memberi komen untuk setiap petikan. Oleh itu ia kelihatan seperti dialog di antara Marx dan Bakunin. Salah satu bahagian tersebut ialah:

Bakunin: Hak untuk mengundi oleh seluruh rakyat dan para perwakilan, ini adalah ayat terakhir dari Marxist dan juga sekolah pemikiran demokratik. Muncul daripadanya ialah kezaliman pemerintahan oleh minoriti, penipuan ini merbahaya kerana pentadbiran minoriti ini ditutup oleh kata-kata ia kehendak rakyat.

Marx: Di bawah harta kolektif, yang dikatakan sebagai kehendak rakyat itu akan hilang untuk memberi laluan kepada kehendak sebenar koperasi.

Bakunin: Keputusannya, majoriti rakyat akan diperintah oleh minoriti istimewa. Tetapi, Marxsis berkata, minoriti ini akan terdiri daripada golongan pekerja. Ya, memang benar, tetapi sebenarnya bekas pekerja yang, apabila mereka menjadi wakil atau pemerintah rakyat, tidak lagi menjadi pekerja.

Marx: Tidak lebih daripada pengeluar hari ini yang tidak lagi menjadi kapitalis apabila dia menjadi ahli majlis perbandaran.

Bakunin:  Dan dari ketinggian status tersebut mereka mula memandang rendah kepada seluruh dunia pekerja. Ketika itu mereka tidak lagi mewakili rakyat tetapi diri mereka sendiri dan mereka sendiri pun mengaku mentadbir rakyat. Mereka yang ragu-ragu tentang situasi ini ialah mereka yang jahil tentang sifat manusia.

Marx: Kalau saudara Bakunin faham benar tentang kedudukan pengurus di dalam koperasi kelas pekerja, dia boleh menghantar semua mimpi ngerinya tentang authoriti kepada syaitan. Dia sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri: apakah bentuk yang boleh diambil oleh pentadbiran, berdasarkan situasi negara pekerja ini - jika dia mahu memanggilnya itu?

Seabad selepas Marx menulis kata-kata di atas, kita dapat perhatikan negara-negara yang diperintah oleh golongan pekerja (kononnya) lebih banyak merealisasikan bantahan Bakunin berbanding jawapan Marx. Marx melihat kapitalisme adalah sistem yang membazir, tidak rasional, sistem yang mengawal kita sedangkan kita yang sepatutnya mengawal sistem. Idea ini masih sah, tetapi kini kita boleh melihat bahawa pembinaan sebuah masyarakat yang bebas dan adil merupakan satu tugas yang lebih sukar daripada apa Marx impikan.

Terjemahan longgar dari Bab 10 - Marx: An Assessment dari  Marx: A Very Short Introduction

No comments:

Post a Comment