Thursday, December 14, 2017

7. Plato vs Aristotle



Lukisan mural di atas bertajuk School of Athens (Scuola de Atene). Ia dilukis oleh pelukis tersohor era Renaissance, Raphael antara tahun 1509 sehingga 1511 dan kini menghiasi Apostolic Palace (kediaman rasmi Pope) di Vatican City. Lukisan ini memaparkan beberapa ahli falsafah kuno dengan dua subjek utama dalam lukisan ini ialah Plato dan Aristotle.

Dalam lukisan ini, Plato sedang memegang karya kosmologinya berjudul Timaeus dengan tangannya menunjuk ke atas sebagai indikasi yang dia mengutamakan dunia transenden, abstrak dan teoretikal Form. Aristotle pula sambil memandang Plato kelihatan memegang karyanya Nicomachean Ethics dengan tangannya direndahkan ke bawah sebagai indikasi yang dia berminat dengan dunia empirical dan praktikal. Jika kita meneliti teori Plato dan Aristotle tentang seni dan tragedi, kita boleh lihat bahawa kedua-duanya merumuskan teori masing-masing berdasarkan faham metafizik dan etika yang mereka anuti.

Plato seorang idealis yang beriman dengan dunia transenden Form. Aristotle percaya Form tak sepenuhnya berkait dengan setiap objek atau konsep di dunia (material) ini. Bagi Aristotle setiap objek atau konsep perlu dianalisa berdasarkan esensi objek atau konsep itu sendiri. Plato percaya intelek atau akal cukup untuk mengenal kualiti sesuatu objek. Aristotle pula berpendapat intelek atau akal perlu dibantu dengan pemerhatian dan pengalaman.

Hasilnya Plato mengajukan teori preskriptif tentang tragedi. Melalui teori preskriptif Plato menilai bagaimana seni dan tragedi sepatutnya dibuat. Ianya bersifat induktif. Plato menentukan sistem nilainya terlebih dulu dan kemudian baru menilai tragedi berasaskan sistem nilai tadi. Aristotle pula mengajukan teori deskriptif tentang tragedi. Ianya bersifat deduktif. Aristotle memeriksa setiap elemen dalam tragedi dan kemudian barulah beliau mencapai kesimpulan tentang esensi sebenar tragedi berdasarkan pemeriksaan tadi.

Dari segi etika, Plato dan Aristotle percaya kebaikan (arĂȘte) akan membawa kebahagiaan / keberkatan hidup (eudaimonia). Cuma mereka berbeza tentang kaedah mendapatkan kebaikan. Plato kata ilmu pengetahuan itu adalah kebaikan. Bila kita tahu apa itu kebaikan seterusnya kebaikan-kebaikan lain akan datang dan manusia akan capai kebahagiaan. Bagi Aristotle pula kebaikan hanya boleh dicapai melalui latihan dan kebiasaan. Manusia yang baik ialah manusia yang tahu perkara yang baik dan bertindak dalam kehidupannya dengan baik. Tak cukup sekadar kita tahu apa itu kebaikan, kita juga mesti bertindak melalui pilihan-pilihan hidup kita dengan baik.

Bayangkan seorang lelaki yang mempunyai karakter yang baik, tapi memilih untuk tidur sepanjang hidupnya. Atau seorang lelaki yang koma, bolehkah kita mengatakan yang dia menjalani hidupnya dengan baik? Kata Aristotle tindakan untuk tidur ini umpama tumbuh-tumbuhan atau fetus di dalam rahim, kedua-duanya hidup tapi tak menjalani aktiviti yang baik di dalam hidup mereka.

Aristotle bagi analogi begini: Di dalam sebuah perlumbaan kita hanya bertepuk tangan kepada mereka yang benar-benar menyertai perlumbaan itu, bukan pada mereka yang kita anggap mempunyai fizikal dan stamina yang baik tapi sekadar memerhatinya di luar perlumbaan. Seperti mana kita tak puji orang yang ada stamina dan fizikal yang baik tapi tak menyertai perlumbaan sebagai pelumba yang baik, begitu juga kita tak puji orang yang tahu apa itu kebaikan atau mempunyai karakter yang baik tapi tak menjalani aktiviti hidup yang signifikan sebagai seorang yang baik.

Aristotle tak maksudkan hidup ini seperti perlumbaan di mana mereka yang menang saja layak dipuji. Maksud Aristotle ialah kondisi mental atau pengetahuan saja tak cukup untuk mencapai eudaimonia, seseorang perlu buat sesuatu untuk menunjukkan bahawa dia peserta yang aktif dalam kehidupan.

Oleh sebab itu Aristotle menghargai tindakan atau aksi yang dipilih oleh watak-watak dalam tragedi. Malah Aristotle menekankan kepentingan tindakan berbanding watak dalam tragedi. Mempunyai karakter yang baik atau tahu apa yang baik tak cukup untuk mencapai atau memenuhi keberkatan hidup atau eudaimonia. Seorang individu boleh jatuh kerana peristiwa-peristiwa di luar kawalannya. Hexis dan praxis, karakter dan tindakan, menurut Aristotle adalah berkait antara satu sama lain sehinggakan mustahil untuk kita bercakap tentang karakter manusia tanpa menyentuh tentang tindakan dan pilihan hidup mereka, dan keterbatasan manusia dalam melakukan kedua-duanya.


Tragedi meneroka jurang di antara kebaikan kita dan cara kita hidup, di antara siapa kita bersandarkan karakter, nilai, aspirasi yang kita anuti dan bagaimana kita mampu menjalani hidup dengan nilai-nilai tersebut. Tragedi merepresentasikan realiti dengan mempersoalkan realiti, dengan menilainya dari tindakan-tindakan yang dilakukan watak-watak sebagai pelaku cerita manusia.

No comments:

Post a Comment