Thursday, December 14, 2017

Meminjamkan Buku

Oleh Anatole Broyard

"Bagi orang yang mencuri, atau meminjam dan tidak mengembalikan buku ini kepada pemiliknya, biarkan buku ini berubah menjadi ular di tangannya dan mengoyak-ngoyak tubuhnya. Biarkan dia diserang lumpuh, dan semua anggotanya meledak. Biarkan dia merana dalam kesakitan, menangis dengan penuh belas kasihan, dan biarkan tidak ada belas ihsan untuk penderitaan ini sehingga dia bernyanyi dalam kemusnahan. Biarkan ulat buku memamah perutnya ... dan apabila akhirnya dia sampai ke hukuman terakhirnya, biarkan api neraka membakarnya buat selama-lamanya." –
SUMPAHAN  KEPADA PENCURI BUKU DARI BIARA SAN PEDRO, BARCELONA, SEPANYOL
Cuti musim panas adalah masa untuk membaca. Kawan-kawan saya mengunjungi saya untuk meminjam buku kerana koleksi buku saya lebih banyak dari orang lain. Dengan rasa tak bersalah, mereka tidak tahu apa yang saya lalui dalam meminjamkan sebuah buku. Mereka tidak faham bahawa saya menawarkan kepada mereka cinta, kebenaran, keindahan, kebijaksanaan dan ketenangan dari kematian. Tidak juga mereka mengesyaki bahawa perasaan saya meminjamkan buku kepada mereka ibarat perasaan seorang bapa yang terpaksa melepaskan anak perempuan mereka untuk tinggal bersekedudukan dengan seorang lelaki.

Ini bukan bermaksud saya tak suka meminjamkan buku kepada orang lain. Setiap manusia mempunyai ciri-ciri pendakwah dalam diri mereka, dan apabila sebuah buku menggerakkan saya sudah tentu saya mahu memasukkannya ke dalam kepala semua orang. Sekiranya buku ini dibaca secara meluas, dunia akan menjadi tempat yang lebih baik dan indah. Tetapi bukan buku-buku seperti ini yang diminta oleh mereka untuk dipinjam. Berapa ramai kawan telah meminta The Poems yang diambil dari Elizabeth Bishop, atau Johan Huizinga's The Waning of the Middle Ages?

Niat kurang baik untuk meminjamkan buku adalah rasa ingin tahu untuk melihat apa yang akan berlaku, seperti kita tak pedulikan permintaan anak kita yang menangis. Untuk meminjamkan buku yang hebat kepada seseorang adalah seperti memberi tetamu minum arak berkualiti yang boleh menyebabkan sama ada dia bertindak seperti orang bodoh atau dia menjadi terlalu cerdas. Sesetengah pembaca bahkan "pengsan" selepas menerima buku sedemikian: mereka menolak pengalaman membacanya kerana mereka tidak dapat menangani pengalaman itu.   

Kadang-kadang saya ditanya, seolah-olah saya seorang doktor, untuk mencadangkan buku yang sesuai dengan keadaan tertentu – contohnya untuk orang yang baru bercerai atau orang yang mengalami kemurungan. Buku jenis apa yang mahu dibaca oleh orang yang bercerai atau tertekan adalah satu soalan yang bagus: Adakah mereka perlukan buku yang boleh mendamaikan mereka atau mengesahkan keyakinan mereka bahawa semua benda akan berakhir dan tak ada benda yang stabil ? Kenapa tidak ada yang meminta saya menyarankan buku untuk seseorang yang baru jatuh cinta?  

Satu hal yang menjengkelkan apabila orang lain menganggap membaca hanyalah aktiviti santai dan menghiburkan. Mereka suka berpoya-poya dengan buku sementara saya berkahwin dengan buku. Dalam percandaan mereka yang terbatas, mereka hanya meminta buku-buku baru, sementara saya rasa mereka tidak mempunyai hak untuk buku terbaru Leonard Michaels sehingga mereka telah menempuhi Chaucer dan Rabelais. Mereka nostalgik tentang segala hal kecuali buku.

Apabila memikirkan mereka yang membaca di bawah sinar matahari di tepi pantai, merangsang saya untuk mencadangkan kepada mereka buku-buku gelap, ditulis dalam bayang-bayang kesepian, keputusasaan dan kematian. Biarlah mereka ini berasa seram sejuk ketika mereka bersantai dengan tuala mereka. Biarkan "sayap kegilaan" Baudelaire melewati mereka seperti seekor burung camar.

Ada kalanya seseorang akan meminta buku tertentu, dan saya akan cuba menolak permintaan mereka kerana takut yang mereka tidak akan mampu berlaku adil kepada buku itu. Helen Vendler berkata bahawa I. A. Richards, salah seorang pengkritik puisi yang hebat, sentiasa cuba melindungi buku-buku kegemarannya dari penafsiran yang cuai. Mallarme juga berkongsi sikap yang sama. Beliau berkata, "Jika seseorang yang mempunyai kecerdasan sederhana dan persediaan sastera yang tidak mencukupi secara tidak sengaja membuka salah satu buku saya dan berpura-pura menikmatinya, jelas ada kesilapan berlaku. Semua mesti diletakkan ke tempatnya."

Kawan saya tak ramai yang miskin. Jadi dengan itu muncul persoalan: Jika anda benar-benar ingin membaca buku ini, jika anda serius, mengapa anda tidak keluar dan membelinya? Kenapa anda tidak melayan buku yang seperti mana anda melayan perkara-perkara baik yang lain? Dalam Loitering with Intent, heroin Muriel Spark memerhati bahawa orang ramai sering bertindak seolah-olah buku adalah sangat misteri dan sukar diperoleh. Kepada pencinta buku yang setia, idea membaca buku yang dipinjam adalah menjijikkan, kebiasaan yang mirip dengan kelakuan mengintai orang.  

Kadang-kadang saya menemukan buku yang sangat luar biasa sehingga saya ingin simpan pengalaman membacanya kepada diri saya sendiri. Buku sedemikian seolah-olah memberikan kelebihan yang besar, untuk menjadikan pembacanya lebih diminati, cerdas, atau mendalam daripada mereka yang tidak membacanya. Untuk meminjamkan buku sedemikian, untuk melepaskan kelebihan yang sangat berharga dalam dunia yang penuh persaingan ini, kelihatannya sangat bodoh. Rahsia dalam buku seperti ini sepatutnya disimpan untuk situasi yang mendesak, untuk kecemasan yang indah.

Saat sebuah buku dipinjamkan, saya mulai merindukannya. Mengikut T. S. Eliot, setiap buku baru yang ditulis mengubah setiap buku sebelumnya. Dengan cara yang sama, setiap buku yang dipinjamkan mengubah buku-buku lain yang tersisa di rak saya. Keragaman perpustakaan saya, unit mikro yang halus, menjadi rosak. Fikiran saya menerawang ke ruang kosong seperti lidah pergi ke rongga. Keamanan saya diceroboh, keseimbangan saya dijatuhkan, perasaan saya dikelirukan, benteng saya terhadap kekacauan dirempuh. Sehingga buku itu dikembalikan, saya berasa seperti ibu bapa yang menunggu kepulangan anak remaja mereka dari parti liar. Dalam Zuckerman Unbound, abang Zuckerman berkahwin dengan seorang gadis sebagai satu-satunya cara untuk mendapatkan semula buku yang dipinjamkannya kepada gadis itu. Sesetengah penggila buku akan segera memberikan sebuah buku daripada menderita kegelisahan akibat meminjamkannya. 

Bahagian paling berbahaya ketika meminjamkan buku ialah ketika ia dipulangkan semula. Pada masa itu, persahabatan digantung oleh benang. Saya cuba cari kesakitan atau keghairahan, saya cuba cari air mata, saya cuba cari transfigurasi, saya cuba cari tangan yang gementar atau suara yang pecah, tetapi apa yang biasanya dikatakan oleh peminjam ialah, "Saya suka buku ini."

Saya sukakannya - seolah-olah itu adalah tujuan  buku.

Artikel ini dimuatkan dalam buku A Passion For Books: A Book Lover’s Treasury of Stories, Essays, Humor, Lore, and Lists of Collecting, Reading, Borrowing, Lending, Caring for, and Appreciating Books. Tak perlulah kami jelaskan buku ini tentang apa kerana judulnya sudah menceritakan semuanya. Antara ‘buku tentang buku’ yang lazat dibaca. 


1 comment:

  1. Bro, kau tak menulis sesuatu selepas kejatuhan rejim najib. Apakah kau terlalu sedih? Atau terlalu gembira hingga terlupa kerja² penulisan? Come on, cogito ergo sum.. Kau menulis bermakna kau ada. Harap kau respon. Terima kasih

    ReplyDelete