Thursday, December 14, 2017

9. Cerita Dialektika Yunani



Nietzsche dalam Homer’s Contest memberikan ulasan yang menarik tentang serangan Plato terhadap seni retorik, oratori dan drama tragedi. Menurut Nietzsche, dunia Yunani itu ialah dunia yang sarat dengan perlawanan atau pertandingan yang sihat. Umat Yunani hidup dan bernafas dengan oksigen perlawanan dan kemenangan di mana natijah dari situasi ini melahirkan sebuah iklim budaya yang subur dan rancak.

Dalam dunia Yunani, filosofis beradu kekuatan intelektual dengan filosofis yang lain. Perajurit beradu kehandalan bertarung dengan perajurit yang lain. Dramatis bertanding kepakaran artistik dengan dramatis yang lain. Kata Nietzsche, dalam dunia Yunani tak ada individu boleh jadi terbaik / terhandal / terhebat, kerana apabila muncul yang terbaik / terhandal / terhebat, bermakna pertandingan sudah selesai dan sumber atau paksi budaya Yunani berada dalam bahaya. Budaya ‘pertandingan’ ini menyebabkan umat Yunani sentiasa ketagih dan gigih untuk menyingkirkan yang terbaik demi memastikan pertandingan ini dapat diteruskan dan budaya mereka terus hidup.

Corak hidup umat Yunani yang sentiasa curiga dan meneroka ini menjadikan budaya hidup mereka bukan sebuah institusi yang disimpan dalam bilik kebal dan selamat dari diceroboh, tapi sumber stimulasi yang sentiasa diperbaharui dengan mengalu-alukan sebarang perlawanan. Pedagogi pendidikan Yunani ialah setiap bakat mesti didedahkan kepada perlawanan dan pertandingan. Mereka jijik dengan ayat ‘satu-satunya genius yang kita ada’ dan bahaya yang bakal muncul dari situasi ini. Jadi mereka menginginkan - sebagai perlindungan dari seorang genius - satu lagi genius.

Guru lawan guru. Murid lawan murid. Ahli muzik lawan ahli muzik. Sofis lawan sofis. Kata Nietzsche, “Betapa indahnya! Sampaikan seniman sendiri membenci seniman!”

Jadi satu kesimpulan yang boleh ditarik dari dialog-dialog Plato ialah kita sedang menyaksikan satu pertandingan di antara Plato dengan seni oratori, dengan seni retorik dan dengan seni drama pada zamannya supaya Plato akhirnya boleh tunjuk jari tengahnya sambil berkata, “Tengoklah dunia, aku boleh buat apa yang musuh aku buat; malah aku boleh buat lebih hebat dari mereka. Tak ada Protagoras yang boleh cipta mitos sehebat mitos aku, tak ada dramatis yang boleh buat drama yang memukau macam aku buat dalam Symposium, tak ada pendebat boleh mengarang macam aku buat dalam Gorgias – dan sekarang aku sudah tumpaskan semua orang dan mencela semua seni. Hanya perlawanan yang menjadikan aku seorang penyair, sofis dan orator sekaligus.”


Dengan menyingkirkan dramatis, penyair, sofis dan orator terbaik di zamannya, Plato sebenarnya menduduki takhta mereka. Dan sebagai ahli falsafah yang pada fikiran Plato memang berada di kedudukan tertinggi, tanpa ragu-ragu dia boleh menobatkan dirinya sebagai ‘the philosopher’s king”. Bagi Nietzsche, falsafah bukan usaha ‘the will to truth’ atau hasrat untuk mendapatkan kebenaran, tapi ‘will to power’ atau hasrat ahli falsafah untuk menguasai atau menundukkan pesaing mereka. Memang tragik pendapat Nietzsche.

No comments:

Post a Comment