Thursday, June 13, 2013

Muslim dan Radikal

Marxisme/ komunis (selepas ini dirujuk sebagai Marxisme sahaja) adalah ideologi yang kelihatannya akrab dengan anak muda Malaysia kini. Mereka berdiskusi, membaca, mengkaji dan menyelidik tentangnya, malah ada yang mengaku mereka adalah seorang komunis. Aku tidak tahu di tahap mana pemahaman mereka tentang Marxisme, dan tidaklah pula aku mahu merendah-rendahkan pilihan mereka untuk menganuti ideologi tersebut, kerana aku sendiri memang tertarik dengan ideologi Marxisme, terutamanya dengan idea-idea neo-Marxisme, dari The Frankfurt School misalnya. Tetapi tidaklah sampai mengaku seorang komunis. Tidak, dalam era kapitalisme global ini, sukar rasanya untuk mencari seorang komunis yang benar-benar komunis. Malah, tak keterlaluan untuk aku katakan tak pernah ada komunis di dalam dunia ini. Anda boleh rujuk artikel Hishamuddin Rais bertajuk ‘Kenapa saya bukan komunis?’ Itu adalah tafsiran utopia tentang komunis yang mungkin jujur dari beliau. Atau pun sinis.

Walau bagaimana pun, ini satu perkembangan budaya ilmu yang baik sebenarnya, di mana ideologi Marxisme yang suatu ketika dahulu dipaparkan sebagai atheis, kiri, radikal, ganas, militan dan revolusioner di negara ini,  tidak lagi dianggap taboo untuk dibincang dan dikaji. Cuma aku berharap janganlah ideologi ini dipegang hanya kerana mereka terpaut dengan imej ikonik Che Guevara, atau terpana dengan kecantikan Camila Vallejo, atau bersimpati setelah membaca biografi tokoh-tokoh Rejimen Ke-10 PKM, atau sekadar mahu dianggap cool, rebel dan trendy dengan memakai t-shirt atau clothing dengan simbol-simbol seperti hammer and sickle dan clenched fist sambil melaung jargon-jargon Marxisme (yang paling terkenal tentunya borjuis dan proletariat) yang seterusnya sekadar mengabsahkan konsep culture industry. Janganlah ada manusia mengaku sebagai seorang komunis kerana faktor-faktor ini. Terutamanya faktor terakhir. Ianya merendahkan nama komunis itu sendiri.

Sebenarnya aku ingin menyentuh dua pihak yang saling terlibat dalam polemik sosialis/ komunis/ Marxisme dan Islam ini. Satu pihak ialah agamawan yang menyelar golongan sosialis/ komunis/ Marxisme manakala satu pihak lagi golongan Muslim yang menganut ideologi ini atau cenderung menyokong atau simpati kepada ideologi dan penganut ideologi ini. Pertama sekali molek rasanya jika kita terlebih dahulu faham dengan tiga terma ini: sosialis, komunis dan Marxisme. Ketiga-tiga terma ini kadang kadang mengundang keliru kerana sering ditukar ganti di antara satu dengan yang lain. Tetapi ketiga-tiganya membawa maksud yang berbeza. Aku mahu kecilkan skop sosialisme dan komunisme ini dengan mengambil maksudnya dari ideologi Marxisme sahaja, tanpa melihat kepada wacana dan perbincangan tentang dua terma ini dalam skala yang lebih luas.

Ramai yang tahu, ideologi sosialisme dan komunisme ini sudah dibincangkan lama sebelum kemunculan Marx lagi dengan tokoh-tokoh seawal Francois-Noel Babeuf, Jean-Jacques Rousseau, Saint-Simon, Robert Owen, Pierre-Joseph Proudhon dan lain-lain.  Marxisme itu sendiri adalah cabang dari sosialisme. Disebutkan sebagai sosialisme yang paling radikal. Marx bersama BFFnya  Engels (selepas ini gabungan mereka dirujuk sebagai Marx sahaja) telah berjaya merumuskan sosialisme bawaan mereka kepada satu kerangka falsafah yang kukuh merangkumi aspek falsafah, sosiologi, ekonomi dan politik. Untuk membezakannya dari cabang sosialisme yang lain, Freidrich Engels menulisnya sebagai sosialisme saintifik.

Sosialisme saintifik ialah satu kaedah untuk membolehkan perubahan sosial manusia dikaji menerusi kaedah empirikal dimana dinamika sosial, ekonomi dan politik masyarakat dapat dikaji ,diselidik dan diramal berdasarkan pattern tertentu.  Ianya disebutkan sebagai hasil sintesis cemerlang teori falsafah Jerman, teori politik Perancis dan teori ekonomi British. Komunisme pula adalah bentuk masyarakat ideal yang menjadi matlamat Marx berdasarkan teori sosialisme saintifik tadi. Ia adalah condition of a society bukannya sebuah gerakan politik atau militan. Setelah revolusi kelas pekerja berjaya, satu fasa transisi yang disebut sebagai dictatorship of the proletariat akan memimpin masyarakat. Fasa ini dikenali sebagai sosialisme. Ianya bertindak sebagai kerajaan provisional atau sementara sebelum masyarakat komunisme tercapai. Boleh rujuk latar belakang idea Marx di sini.

Sosialisme Marxist bertujuan untuk menyediakan pelan peralihan ke arah masyarakat komunis dengan menyediakan sarana ekonomi, politik dan sosial. Fasa ini perlu ke arah menguasai sepenuhnya capital negara dari golongan kapitalis di samping membentuk sifat sosial masyarakat daripada masyarakat materialistik kepada masyarakat komunis yang saling hidup bersolidariti. Komunisme adalah matlamat Marx. Dan komunisme tidak pernah wujud di dunia sehinggalah artikel ini ditaip. Yang pernah wujud hanyalah parti komunis, bukan negara komunis. Apa itu negara komunis? Komunisme adalah masyarakat tanpa pemilikan harta persendirian, masyarakat tanpa kelas sosial, tanpa penindasan, tanpa eksploitasi, tanpa dominasi. Manusia hidup rukun damai dalam bersolidariti di dalam sebuah komuniti. Bagi Marx komunisme ini seharusnya situasi yang bersifat international, bukan regional.

Sosialisme saintifik ini dikembangkan oleh pemikir-pemikir yang tertarik dengan idea Marx menjadi sebuah analisis sejarah, teori ekonomi dan doktrin politik yang dikenali kemudiannya dengan nama Marxisme. Kini setelah 130 tahun kematian Marx, sekolah pemikiran Marxist ini berkembang dan bercambah menjadi cabang-cabang ilmu yang kaya dengan pelbagai perspektif. Ramai intelektual membahagikan pemikiran Marx kepada dua kumpulan. Pemikiran awal Marx lewat kumpulan tulisannya Economic and Philosophic Manuscripts of 1844 dan pemikiran keduanya, bermula dengan The German Ideology, yang disebutkan sebagai epistemological break di antara kedua kumpulan pemikiran ini. Pemikiran awalnya mempengaruhi aliran humanisme Marxist. Ali Shariati menulis, pemikiran awal Marx tegas menyerang sistem kapitalisme yang merosakkan kemanusiaan manakala pemikiran kedua cuba untuk menyusun sistem sosial dan politik komunisme. Menurut Shariati, pemikiran kedua ini telah membayangi unsur moral dan kemanusiaan yang menjadi teras pemikiran awalnya, digantikan dengan semangat revolusi dan cita-cita politik komunisme dan menjadikan beliau tak ubah seperti ahli politik lain yang dahagakan kuasa.

Antara hujah utama mengapa agamawan menentang komunisme ialah pandangan alam Marxisme itu sendiri yang bersandarkan falsafah dialectical materialism. Pandangan Marx terhadap agama (malah pemikiran materialisnya selepas itu) banyak dipengaruhi oleh Ludwig Feuerbach (Marx memang banyak mencedok idea pemikir-pemikir lain), satu-satunya ahli Kaum Muda Hegelian (Young Hegelians) yang disanjung tinggi oleh beliau. Bagi Feuerbach, manusia meletakkan semua sumber kebaikan yang wujud di dalam diri mereka kepada entiti super sempurna, iaitu tuhan.  Seperti katanya,”what man praises and approves, that is God to him; what he blames and condemned is the nondivine.” Beliau menolak sebarang usaha untuk menilai agama melalui kaedah non-empirical. Pandangan materialis ini memberi kesan besar kepada pemikiran Marx kemudiannya yang sedar bahawa ia boleh digunakan untuk mengkaji hubungan manusia dengan institusi sosial lain yang membelenggu mereka walaupun ia  ciptaan mereka sendiri.  Marx sendiri mengalami alienation hasil interaksinya dengan agama Kristian waktu itu. Ia menjadi agama yang pasif, tidak dapat menampung dinamisme pemikiran Marx yang menggelegak ketika itu. Agama Kristian menjadi eskapisme untuk masyarakat menghilangkan penderitaan mereka dengan berkhayal tentang janji-janji kudus. Berbeza dengan Islam yang bagi aku walau bagaimana superb pun pemikiran kau, walaupun institusi agama menekan dan menindas rakyat, kau masih mampu melihat gagasan pencerahan dan pembebasan Islam di dalam al-Quran. Kerana itu mungkin muncul Islam Liberal, Islam Marxist, Islam Feminis dan sebagainya. Kerana akhirnya yang kau cabar ialah tradisi, bukan Islam itu sendiri yang kau lihat tetap hebat pesan-pesan mulianya, dan tetap kau tak mahu melepaskan diri kau dari Islam, kerana ianya indah. Tapi tidak bagi Marx. Dia melihat agama Kristian ketika itu tidak mampu memecahkan kebuntuan sosial masyarakat malah bersekongkol dengan kelas feudal untuk menindas rakyat. Dia gagal untuk mengaitkan unsur spiritual agama dengan kehidupan manusia kerana sememangnya agama. Bagi aku Islam itu sudah cukup kuat sebagai agama yang membebaskan sehingga aku terfikir apa perlunya seorang Muslim mengaku sebagai Marxist atau komunis. Menggunakan Marxisme sebagai alat analisis satu hal, mengaku seorang komunis bagi aku hal yang lain. Ini mungkin kena fikirkan lagi.

Aku faham konsep dialectical materialism ini meminggirkan elemen ketuhanan dari kehidupan. Dan kerangka asas konsep ini telah mencambahkan idea-idea Marx mencakupi aspek ekonomi, sosiologi dan politik. Tapi kita bukan cuba memborong semua falsafahnya sebagai akidah kita. Pemikir-pemikir atheis ini semuanya gagal membuktikan ketidakwujudan tuhan secara tuntas atau melalui perspektif falsafah, apa yang mereka mampu lakukan hanyalah mengkritik agama atau membuat quote sinis tentang tuhan dengan harapan tuhan dapat disingkirkan dari kehidupan. Persoalan kewujudan tuhan itu sendiri tidak dibincangkan dengan mendalam dan teliti. Marx pun sama. Kita pun tidak mahu mengambil agama dari dia. Cumanya ada sisi tertentu dari ideanya yang boleh kita jadikan panduan untuk membantu kita memahami manusia dan masyarakat dengan lebih baik. Lebih-lebih lagi ideologi Marxisme ini sudah pun berkembang membentuk disiplin-disiplin sampingan seperti Critical Theory, kritikan sastera, cultural studies, komunikasi media dan sebagainya. Ia sekadar alat untuk membantu, bukan matlamat yang kita tuju. Lihat sendiri bagaimana Sartre yang eksistensialis itu pun cuba menempel dengan Marxisme. Bukanlah maksud aku penyertaan Sartre ke dalam kem Marxist menjadi justifikasi untuk kita mengkaji Marxisme. Cuma kita boleh lihat pengaruh Marxisme itu sendiri menyebabkan raja eksistensialis yang dulu mengkritik Marxisme tiba-tiba mahu kahwin campur dengan Marxisme. Mungkin dia sudah menjumpai matlamat wujudiahnya di dalam Marxisme. Siapa tahu.

Pada pendapat aku, penyokong Marxisme perlu cuba mendapatkan bahan bacaan Marxisme yang lebih kontemporari. Cukuplah dengan membaca The Communist Manifesto atau The German Ideology tu. kalau boleh faham dan tafsirkan Capital lagi bagus. Kita sekarang bukan lagi berhadapan dengan ancaman kapitalisme seperti yang dihadapi oleh Marx. Kapitalisme kini semakin rencam malah imejnya semakin gergasi dan perkasa. Seperti kata Trotsky, “What does this terrible word dialectics mean? It means to consider things in their development, not in their static situation". Maksudnya, jika anda masih bernostalgia tentang kapitalisme kurun ke 18 dan 19, anda sebenarnya masih belum faham wacana dialectical materialism di peringkat paling asas. Kelas sosial masyarakat kini bukan lagi terbahagi kepada proletariat dan borjuis. Kalau al-Quran ada asbabun nuzul, maka tulisan Marx juga perlu dilihat konteks masa dan persekitarannya. Janganlah literalis sangat. 

Agamawan pula perlu mempersiapkan diri mereka dengan sekurang-kurangnya membaca serba sedikit buku culturul studies, falsafah, ekonomi dan teori politik Barat supaya tidak nanti hujah mereka kelihatan selekeh dan komedi di mata masyarakat. Janganlah sekadar membaca buku teks sejarah SPM untuk memahami komunisme. Kepelbagaian bahan bacaan penting untuk kita memahami sisi pandang dan perspektif lawan sebelum kita membidas hujah mereka. Kata-kata seperti ‘kamu sesat’, ‘anda kafir’, ‘tidak ikut Quran dan Sunnah’, tidak dikira sebagai hujah, itu melabel, kerja paling senang untuk mematikan hujah. Ideologi perlu dilawan dengan ideologi. Kita perlu menggalakkan pertarungan idea di ruang awam. Pertarungan idea yang sihat menggalakkan perkembangan budaya ilmu. Sekiranya kita yakin Islam adalah kebenaran maka apa perlu kita takut untuk membentangkan hujah dan dalil kebenaran. Pertarungan ideologi ialah proses di mana ideologi dipasarkan, diiklankan, dibentangkan dengan hujah yang bersifat persuasif dan meyakinkan. Kita berasa takut kerana kita malas membaca, mengkaji dan berfikir. Kita rasa selesa kerana Islam itu cukup sempurna, fikir kita mana mungkin ada ideologi yang lebih baik selain dari Islam. Maka apa sahaja yang datang dari Barat, lebih-lebih lagi dari Marxisme yang kita anggap slogan utamanya ialah ‘agama candu masyarakat’ adalah sesat atau konspirasi Yahudi. Betul Islam memang sempurna, yang tak sempurna ialah kita yang menganutnya. Dan yang ingin merobah dunia ialah kita, bukannya al-Quran dan hadis. Perubahan sosial itu bukan menjelma dengan magis al-Quran dan keramat agama, ianya datang dengan ilmu, idea dan pemikiran yang sofistikated yang menghasilkan tindakan betul. Solusi kepada masalah-masalah di dunia ini takkan pernah wujud jika kita masih goyang kaki dan bersandar kekenyangan sambil mengharapkan nas al-Quran dan hadis merumuskan semuanya untuk kita.  Masalah kita ialah kita malas bekerja dan malas berfikir. Proses beragama ini ialah satu proses perkembangan spiritual dan mental yang mana kita cuba mencari makna dan kebijaksanaan (hikmah) dari kehidupan.

Bagi aku, tidak ada salahnya mengambil sesuatu idea dari pemikir-pemikir bukan Islam selagi mana idea tersebut tidak bercanggah dengan syariat Allah. Seperti kata Rasulullah, kebijaksanaan itu perlu dikutip oleh Muslim di mana sahaja mereka menjumpainya kerana sememangnya ia milik mereka. Bersikap anti ilmu secara semberono yakni dengan menganggap orang Islam itu tahu dan faham segala-galanya tentang dunia dan segala isinya dan memandang segala yang datang dari luar Islam itu sesat adalah satu kesombongan yang nyata. Justeru untuk menolak atau menerima sesuatu idea haruslah kita memahami idea itu secara keseluruhannya. Faham dalam erti kata walaupun kita bersedia menerima idea tersebut, kita masih mampu mengkritiknya dari sudut pandang dan perspektif kita sendiri, melalui worldview Islam. Malah bersedia juga menerima kritikan dari orang lain. Sentiasa terbuka tetapi pada masa yang sama bersifat kritis dan korektif. Kita tidak suka pandangan stereotype orang terhadap Islam, tapi kita boleh pula buat hasty generalization terhadap ideologi lain. Cuba baca Falsafatuna dan Iqtisaduna karya ulamak Syiah, Mohammad Baqir al-Sadr dan lihat huraian dan kritikannya kepada sistem falsafah dan ekonomi kapitalis, sosialis dan komunis dan apa sistem yang Islam tawarkan kepada masyarakat.

Kepada mereka yang menggelarkan diri mereka komunis, aku amat berharap agar kita juga adil dan kritis dengan Marxisme. Proses untuk mencipta utopia komunisme ini berjalan bukan sekadar dengan menundukkan kapitalis, malah yang lebih utama ialah menundukkan hawa nafsu kita sendiri. Kamu ingat komunisme itu boleh tercapai dengan mentaliti masing-masing seperti Firaun, Haman dan Qarun. Kerana itulah negara-negara yang diperintah oleh parti komunis hanya melahirkan diktator-diktator yang kejam dan menindas rakyat mereka sendiri. Matlamat untuk menghapuskan kelas masyarakat tidak kesampaian, sebaliknya yang muncul ialah kelas elit baru. Soviet Union melahirkan kelas nomenklatura dari apparatchik. Ahli politburo dan kroni mereka dalam Parti Komunis China membolot harta negara. Mana pergi slogan from each according to his ability, to each according to his needs? Kalau benar komunisme itu menitik beratkan solidariti, kasih sayang, rasa kebersamaan sesama manusia, maka apa justifikasi Lenin untuk membunuh lebih 700 rakyatnya dalam Pemberontakan Kronstadt, apa justifikasi untuk Stalin merencanakan pembunuhan terancang (The Great Terror) lebih 600 000 orang  terhadap musuh-musuh politik, pesaing dan intelektual yang cuba menentangnya, termasuk di dalamnya ahli-ahli senior Parti Komunis Soviet Union sendiri? Apa justifikasi Mao Zedong dalam meneruskan program Great Leap Forward yang mengorbankan lebih 15 juta rakyat China? Pembunuhan pelajar di Dataran Tianamen hasil kerja siapa, ya atas arahan birokrat kapitalis China,  tapi bagaimana dalam negara komunis ada kapitalis pulak?  Apa pula justifikasi rejim Khmer Rouge Pol Pot yang membantai 1 juta rakyat Kemboja? Itu jumlah yang dibunuh, yang mati kebuluran, yang diseksa di dalam rumah pasung, yang cacat anggota badan belum dikira lagi. Kalau Marx masih hidup dan melihat semua huru hara ini, mungkin dia akan mengulang apa yang pernah disebutkan kepada menantunya, Paul Lafargue, “If they are Marxists, then I am not a Marxist.”

Anda jawab sistem kapitalis pun sama. Ya, aku setuju, malah ianya menzalimi dan mengorbankan lebih ramai manusia. Senarai tragedinya lebih panjang. Kata Randolph Bourne,“War is the health of the state.” Perang anti-kolonialisme, perang neo-imperialisme tajaan Amerika telah mengorbankan ramai manusia. Perang telah menjadi oksigen kepada sistem kapitalis untuk terus bernafas. Konsep permanent war cuba menjelaskan bagaimana perang menjana ekonomi kapitalis melalui dua cara; Pertama melariskan jualan industri militari dan kedua menakluk negara-negara lain untuk menjarah hasil bumi.  Perang di Afghanistan mengorbankan lebih 16 000 orang awam, penaklukan ke atas Iraq mengorbankan lebih 200 000 rakyat Iraq (laporan dari Opinion Business Research ialah 1000 0000 orang). Dan anda masih percaya tujuan perang itu ialah untuk menghapuskan al-Qaeda serta memusnahkan Weapon of Mass Destruction (WMD)? Jangan naif sangat. Paling bangang ialah apabila Bush mengisytiharkan tiada WMD ditemui di Iraq, mengaku setelah korban nyawa mencecah sejuta orang. Ini peranan syaitan yang dikenali, Amerika Syarikat untuk mengekal dan melanjutkan legasi kapitalisme global. Dan aku paling bengang bila ramai orang suka tonton filem-filem propaganda murahan Michael Bay yang suka menonjolkan Amerika sebagai adiwira dunia. WTF??!! Nampaknya aku dah melalut. Berbalik kepada korban nyawa tadi, itu yang mati, yang hidup tapi mati akal dan spiritual, yang hidup bergembira dalam culture industry macam kita ini? Komunisme menentang agama, kapitalisme mematikan ruh beragama. Itu belum kira peranan yang dimainkan oleh Bank Dunia, WTO dan IMF. Di depan mata kita sendiri sekarang, kita berdepan dengan termeterainya Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA), perjanjian perdagangan sulit yang disertai oleh Malaysia. Ini adalah satu lagi projek neo-imperialisme AS untuk meluaskan dominasi, cengkaman dan pengaruh ekonomi serta politik mereka ke atas negara-negara Asia-Pasifik. Melalui TPPA, kuasa kerajaan untuk mengawal dan menentukan polisi perdagangan negara akan terbatas dan kuasa tersebut akan diambil oleh kapitalis-kapitalis asing.

Negara kapitalis juga melahirkan apa yang diistilahkan oleh Sheldon Wolin sebagai inverted totalitarianism. Chris Hedges menyatakan ia berbeza dengan totalitarianisme yang kita kenali. Tulis Hedges,”It finds its expression in the anonymity of the corporate state. The corporate forces behind inverted totalitarianism do not, as classical totalitarian movements do, replace decaying structures with new, revolutionary structures. They do not import new symbols and iconography. They do not offer a radical alternative. Corporate power purports, in inverted totalitarianism, to honor electoral politics, freedom, and the Constitution. But these corporate forces so corrupt and manipulate power as to make democracy impossible." Anda nampak dengan jelas kaitan antara penerangan Hedges dengan situasi di sini bukan?

Membuang terus kapitalis dan menggantikannya dengan sistem komunis bukanlah jawapan yang kita cari kerana akhirnya nanti birokrat elit dalam parti komunis pula yang akan mendominasi dan mengeksploitasi rakyat. Malah dominasinya lebih authoritarian. Tanya Ali Shariati,”is not Marxism more bourgeois than the bourgeoisie?” Boleh rujuk Soviet dan China sebagai case studies. Inilah antara punca perselisihan Mikhail Bakunin dengan Marx di mana Bakunin tidak bersetuju dengan fasa dictatorship of proletariat kerana baginya ia akan mengulangi eksploitasi yang berlaku sebelum ini. Tanya Bakunin, “If the proletariat is to be the ruling class, one may ask whom will it govern? There must be yet another proletariat that will be subjected to this new domination, this new state.” Yang memburukkan keadaan sebenarnya, bukan proletariat yang memerintah tetapi golongan ahli politik. Tak perlulah aku ceritakan di sini apa masalahnya dengan orang politik.

Berbalik kepada masalah yang wujud dalam kerajaan komunis, anda mungkin menjawab ini semua adalah masalah pelaksanaan bukan masalah sistem atau ideologi. Anda juga menjawab sistem tirani serta unsur ekstremisme juga wujud di dalam Islam. Tetapi kita tidak pernah menyalahkan Islam, kita meletakkan beban kesalahan kepada pelakunya yang jahil dalam menginterpretasikan Islam. Itu jawab anda. Ya, aku bersetuju, sudah tentulah pelakunya yakni manusia yang kita salahkan. Dan sifat zalim ini tidak mengenal warna ideologi, baik hijau, merah dan sebagainya. Kuasa dan punca-punca kuasa selalu menzahirkan sifat syaitan manusia. Bagi aku masalah utama bukannya ideologi, tetapi manusia itu sendiri yang berperanan mencipta dan mengubah ideologi. Kerana itu Rasulullah bermula dengan mengubah manusia. Kita lihat ideologi komunisme Marx sudah distorted oleh praksis pemimpin-pemimpin parti komunis. Kerana mereka sendiri yang kononnya paling arif dengan ideologi Marxisme tidak dapat melawan nafsu dan fitrah manusia itu sendiri. Ini juga konflik dalam Marxisme. Persoalannya ialah, adakah sistem Marxisme ini mampu menjinakkan nafsu serakah manusia atau lebih menzahirkannya di mana muncul kelas elit lain pula yang mengambil kesempatan menzalimi masyarakat. Adakah Marxisme membuka pintu seluasnya-luasnya untuk manusia membina solidariti dengan manusia lain dan pada masa yang sama juga membuka ruang seluas-luasnya untuk kemungkinan sebuah pemerintahan diktator? Atau adakah kemungkinan kepada munculnya pemerintahan diktator itu lebih besar dari kemungkinan wujudnya masyarakat yang harmoni dan ideal?

Aku berharap agar kita jangan menonjolkan cult of personality di dalam mana-mana ideologi pun. Anda membenci golongan agamawan terutamanya dari parti politik yang mengamalkan pemujaan tokoh, maka aku berharap anda juga buang sikap cult personality terhadap tokoh-tokoh Marxist. Marx, Lenin, Stalin, Trosky dan Mao bukanlah maksum dan suci. Pendekatan mereka juga perlu dikritik. Kesalahan mereka terhadap rakyat mereka juga banyak walaupun ada manfaat yang mereka bawa kepada negara, tetapi itu tidak memadamkan sejarah hitam yang mereka tumpahkan kepada rakyat mereka sendiri. Cubalah bersikap adil. Kita tidak boleh nafikan kebanyakan negara-negara komunis dan sosialis yang selalu mengamalkan upacara menjunjung pemimpin ke langit  ini. Korea Utara tak perlu sebutlah. Marx pun geleng kepala kalau dia hidup, komunisme kejadah apa siap dengan sistem dinasti pulak.

Oleh kerana itu jugalah aku berharap agar penyokong komunisme ini melihat isu eksploitasi dan ketidakadilan ini menggunakan kanta mata yang kontemporari. Tinggalkan kitab-kitab kuning Marxisme dan luaskan perspektif pandangan  dengan membaca karya-karya neo-Marxisme dan New Left. Idea-idea Marx sendiri adalah sintesis hebat dari beberapa idea pemikir yang lain. Kita boleh lihat konsep dialektiknya yang dipengaruhi Aristotle dan Hegel, konsep konsep alienation yang dipengaruhi Rosseau, theory of value hasil pengaruh David Ricardo dan sebagainya. Marx adalah pembaca yang tegar, yang membaca dari pelbagai sumber pemikiran, walaupun banyak mencedok idea-idea pemikir lain, tapi dia  sentiasa kritis dengan pembacaannya dan lihat apa yang dia tinggalkan kepada dunia. Teori-teori politik, ekonomi, sosiologi dan sejarah yang tidak pernah habis digali dan dibincangkan yang  ideanya sentiasa relevan sampai sekarang.

Akhirnya soalan aku ialah: kepada agamawan; bahagian mana dalam Marxisme (atau komunisme) yang kamu tentang? Takkanlah semua sekali? Marxisme sekarang sudah berkembang pesat idea dan falsafahnya. Cabang mana yang kamu fikir dalam Marxisme merosakkan? Mungkin idea Marxisme tentang agama? Jadi ideanya yang lain kamu setuju?  Adakah kamu rasa terdapat persamaan idea di antara Marxisme dan Islam? Yang mana kamu setuju yang mana kamu tidak setuju? Pilih yang mana satu dan hujahkan dengan teliti dan mendalam. Kalau semua sekali pun, hujahkan dengan teliti dan mendalam juga. Kepada komunis; adakah kamu pasti kamu menyokong 100% ideologi ini. Cabang mana yang kamu sokong? Aliran Marxisme klasik? Yang mana satu, Leninisme, Maoisme, Stalinisme, Trotskyisme?  Kamu faham pendirian Marxisme tentang agama? Mksudnya kamu tetap Islam? Jadi kamu bersetuju dengan sistem politik dan ekonomi Marxist? Kamu rasa kamu sudah bersedia? Atau kamu tidak bersetuju dengan sistem ekonomi dan politik Marxisme? Kamu pernah dengar mixed economy? Jadi kamu hanya tertarik dengan konflik kelas dan idea revolusi?  Jadi sekarang kamu ini betul-betul komunis atau bukan? Habis apa yang aku cadangkan sebenarnya? Aku pun kurang pasti. Ini post paling panjang dan paling aku benci, isi berterabur dan tak komprehensif. Baiklah, aku rasa cadangan aku ialah mari menimbulkan persoalan dan mari cari jawapan. Jangan cari siapa yang betul, cari apa yang betul. Hidup ini kan kembara mencari makna..

Where all think alike, no one thinks very much
-Walter Lippman-



Wednesday, May 29, 2013

Reben Putih




Menonton The White Ribbon, tanpa kesabaran, anda hanya bertahan 30 minit. Selepas itu mungkin anda berhenti, buka ASTRO & terus menonton rancangan selebriti berlakon memasak. Ia bergerak perlahan. Oh ya, ini filem Jerman yang diarahkan oleh Michael Haneke. Format hitam putih. Filem ini bukan jenis filem yang akan diulang tonton, paling banyak anda tonton dua kali seumur hidup.

Pertama, untuk tahu filem ini tentang apa, dan kali kedua untuk faham filem ini sebenarnya tentang apa (itu pun kalau betul-betul berminat untuk faham kerana kesabaran menghabiskan 2 jam 20 minit ketika menontonnya kali pertama , tapi masih tak faham adalah satu penghinaan, jadi perlu menonton kali kedua). Mustahil kali ketiga. Tapi percayalah, jika tujuan kita menonton dan memahaminya ialah untuk mendapat jawapan, kita akan kecewa, seperti kata Niels Niessen, filem-filem arahan Haneke bertindak sebagai "medium of questions instead of answers". Ia hanya menimbulkan persoalan-persoalan untuk difikirkan. Dan persoalan-persoalan ini membuka intrepretasi yang selebar-lebarnya dari akal kita. Filem-filem Haneke menepati konsep filem sebagai dialektik di antara pengkarya dan penonton seperti yang disebutkan oleh Samuel Beckett. Filem ini mendapat Palme d'Or di Cannes tetapi tewas di Oscar. Oscar anugerah cikai dan sampah, jadi menang di Oscar itu kadang-kadang satu penghinaan sebenarnya. Dan filem-filem yang kalah itu sebenarnya wajib ditonton.

Ini filem kedua Haneke yang aku tonton, yang pertama pastinya Funny Games yang penuh dengan gangguan emosi, psikologi dan batin itu. Sampai sekarang aku gagal menontonnya sehingga tamat. Aku tidak akan mengulang tonton Funny Games sama seperti aku tidak akan mengulang tonton The White Ribbon. Menonton filem-filem ini sekali lagi hanya menimbulkan perasaan tidak senang dalam hati, gelisah dengan imej visualnya, rasa terganggu yang bukan kepalang, kesimpulannya ini memang hasil karya realisme peringkat tinggi. Ia betul-betul mendera kemanusiaan aku. Inilah keistimewaan Haneke, dia bijak memprovokasi penonton. Jika Funny Games menikam hati dan naluri kemanusiaan, The White Ribbon mencabar dan mengetuk akal untuk kita cuba mengupas apa sebenarnya yang berlaku di kampung yang bernama Eichwald itu. Jawapannya bagi aku cuma satu, kemanusiaan yang koyak dicarik-carik penindasan.

Kita boleh menonton filem-filem aksi plastik Michael Bay dan melihat beribu-ribu nyawa manusia dikorbankan dengan aksi tembakan, letupan dan dentuman bom di sana sini. Kita juga boleh menonton koleksi filem Saw (yang sudah sampai siri ke berapa entah) berulang kali walau berapa banyak anggota badan dipotong, dihiris dan disiat. Kita masih boleh tersenyum dan bersandar di sofa sambil minum kopi atau makan apam balik, berhibur dengan kematian dan kemusnahan dalam filem-filem tersebut. Filem-filem ini tidak pernah mengganggu akal atau pun jiwa kita. Kita bertenang dengan kematian dan kerosakan kerana imej-imejnya bukan realiti. Ia adalah mediated image. Ianya telah melalui proses suntingan. Sebagai penonton kita tahu ia bukanlah realiti, tetapi apabila imej visual mula menyentuh retina mata kita seboleh mungkin kita cuba untuk engage dengan imej tersebut, cuba untuk memasuki dunia visual itu dan merasakannya sebagai naratif dan pengalaman yang kita lihat di depan mata kita sendiri. Salah satu keistimewaan filem adalah bahasanya (semiotik dan sintax) yang mampu membawa penonton lebih dekat menghampiri realiti berbanding media-media lain. Dan Haneke cuba membawa realiti sedekat mungkin kepada penonton. Beliau tidak lagi mahu penonton tertipu dengan imej visual yang dicitrakan Hollywood yang penuh kepalsuan, yang cuba memenuhi estetik manusia dengan mengaitkan keganasan sebagai sumber hiburan. Seolah-olah Haneke mengetuk kepala kita dan berkata, "Sekarang cuba jawab apa yang kau seronok sangat tengok keganasan ni?"

Akhirnya aku sendiri pun tak pasti aku ingin menulis tentang The White Ribbon atau tentang filem-filem Haneke secara keseluruhannya. Tulisan ini pun sudah berterabur kesan dari kecelaruan politik dalam negara yang menjengkelkan aku. Bila sebut tentang kecelaruan politik negara aku rasakan ada sesuatu yang boleh aku kaitkan dengan The White Ribbon. Di dalam filem tersebut, insiden-insiden yang berlaku adalah sekadar presented problems yang cuba kita cari jawapannya melalui soalan SIAPA dan BAGAIMANA, sedangkan real problems (inilah persoalan yang Haneke cuba timbulkan) tertanam jauh di dalam yang memerlukan kita bertanya secara jujur soalan MENGAPA. Percayalah, punca kebobrokan politik negara juga tertanam jauh, mungkin kita tidak bersedia untuk menggali dan mendapatkannya kerana ia mungkin mengganggu keselesaan dan kepentingan diri kita sendiri. Sama seperti The White Ribbon. Dan kezaliman serta penindasan terus berlaku..

Wednesday, April 3, 2013

Perkakas Indoktrinasi Negara

Bagi menjawab persoalan reproduction of social formations, Marx berhujah bahawa struktur sosial yang gagal untuk mengembang biakkan legasi kekuasaannya atau mengekalkan formasi sosialnya (Marx merujuknya sebagai conditions of production) akan pupus. Oleh kerana itulah rejim yang berkuasa akan berusaha sedaya mungkin untuk menguatkan dominasi ke atas rakyat bukan sahaja dengan menggunakan kekerasan tetapi pada masa yang sama cuba  menanam ideologi ke dalam minda rakyat untuk mengekalkan dominasi tersebut demi menjamin kelangsungan kuasa.

Karl Marx membahagikan sistem masyarakat kepada dua bahagian; base dan superstructure. Base adalah asas utama iaitu sistem ekonomi (sumber dan kuasa pengeluaran), yang menjadi penggerak kehidupan masyarakat. Base inilah yang mewujudkan dan membentuk superstructure, iaitu institusi-institusi sosial (bukan ekonomi) seperti politik, pendidikan, agama, media massa dan sebagainya. Hubungan base dan superstructure ini bersifat saling menguatkan di antara satu dengan yang lain. Base akan membentuk setiap institusi di dalam superstructure mengikut kehendak, perintah, doktrin dan pemahamannya (institusi ini sudah tentu dianggotai oleh pengikut-pengikut setia mereka). Superstructure yang di bentuk ini pula akan membantu mengekalkan dominasi dan legitimasi base di dalam sistem masyarakat. Marx percaya perubahan sosial hanya berlaku apabila rakyat menguasai base setelah revolusi diwujudkan dan kemudiannya superstructure secara automatik akan menjadi milik rakyat. Bagi Marx, dengan hanya menguasai superstructure, perubahan sukar dilakukan dan jika berjaya sekali pun ianya mengambil masa yang panjang.

Konsep hegemony yang disebutkan oleh Antonio Gramsci juga cuba menghuraikan konsep reproduction of social formations ini. Berbeza dengan Marx, Gramsci melihat unsur yang terdapat di dalam superstructure itu sendiri memainkan peranan yang penting dalam agenda perubahan sosial. Gramsci cuba mengkaji mengapa gerakan pekerja gagal menghasilkan revolusi malah seperti yang menimpa negaranya, Itali, faham fasisme pula yang muncul. Mengapa rejim penindas mampu mengekalkan dominasi mereka dan terus mendapat restu dan mandat dari rakyat. Bagi Gramsci, dominasi, selain ditandakan oleh penguasaan ekonomi turut terhasil dari penguasaan intelektual dan ideologi. Penguasaan rejim penindas telah mewujudkan sebuah fahaman budaya dan worldview yang terpasak kukuh di minda rakyat melalui konsensus politik dan pemikiran.

Oleh kerana itu, kemahuan dan kehendak rejim pemerintah dilihat sebagai common sense, satu fitrah, sesuatu yang baik, suci dan mulus untuk kebaikan semua pihak. Malah Gramsci merasakan bahawa rakyat terus memberikan sokongan kepada rejim penindas bukanlah semata-mata kerana mereka disihir oleh indoktrinasi tetapi nilai dan pandangan hidup mereka sudah dibentuk oleh ideologi rejim penindas dan sokongan tersebut ditanggapi oleh mereka sebagai sesuatu yang rasional dan wajar. Justeru itu, rakyat seumpama dikenakan genjutsu tahap kotoamatsukami apabila terus tunduk dan patuh kepada setiap arahan. Malah setiap tindakan rejim pemerintah pantang dicabar atau ditolak kerana mereka melihat penolakan terhadap tindakan tersebut seolah-olah mengganggu gugat kewujudan dan keamanan mereka sendiri dan negara secara keseluruhannya. Arahan dan tindakan rejim penindas kini menjadi wahyu-wahyu suci yang disurahkan di media massa dan kita sebagai rakyat yang berjiwa hamba wajib dengar dan patuh. Selagi mana rejim penindas mampu memberikan alasan yang rasional (yang mampu diartikulasikan oleh minda rakyat yang ditindas) , walau kelihatan bodoh sekalipun alasan tersebut (rasional tidak semestinya benar dan pintar) maka ianya akan diterima oleh rakyat.

Louis Althusser memperkenalkan konsep yang hampir sama dengan Gramsci iaitu teori Ideological State Apparatuses (perkakas indoktrinasi negara) atau ISA. Beliau telah membezakan di antara ISA dengan Repressive State Apparatus (RSA). RSA yang terdiri daripada kerajaan dan pentadbiran, ketenteraan, polis, mahkamah, penjara dan lain-lain berfungsi dengan kekerasan dan paksaan. Manakala ISA pula bertindak di bawah sedar dengan menyampaikan 'ideologi' secara terancang dan sistematik. RSA memberi ketakutan kepada rakyat dalam bentuk fizikal (kekerasan) manakala ISA menimbulkan ketakutan (malah mewujudkan kepatuhan) di dalam bentuk pemikiran. Althusser membahagikan ISA kepada beberapa cabang iaitu religious ISA (institusi agama), educational ISA (sistem pendidikan bermula dari tadika hingga universiti), family ISA, legal ISA, political ISA, trade union ISA, communication ISA (akhbar, radio, televisyen) dan cultural ISA (sastera, seni, sukan).

Kedua-duanya (RSA dan ISA) menjalankan fungsi yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama iaitu melanjutkan legasi pemerintah. Althusser mengatakan walaupun ISA dilihat seperti sebuah badan persendirian atau swasta (yakni bukan kerajaan) namun pemisahan tersebut (kerajaan dan swasta) tidak terpakai dalam konteks ini kerana ia hanya wujud dalam lingkungan dalaman undang-undang negara (the state) itu sendiri. Negara (the state/ rejim pemerintah) adalah bersifat above the law, mereka bebas dari klasifikasi kerajaan-swasta malah merekalah yang  yang memberi makna atau definasi tentang apa itu kerajaan dan apa itu swasta. Oleh itu jangan buang masa anda dengan berhujah kepada rejim penindas tentang pembahagian kerajaan-swasta atau awam-persendirian, atau menyoal penyalahgunaan harta awam untuk kepentingan parti politik penindas, kerana mereka tidak akan pernah peduli dengan teriakan dan amarah anda. Kebodohan itu tidak perlu diteruskan. Apa guna kita mempersoalkan tentang kezaliman atau penyelewengan mereka sedangkan itulah faktor mengapa kita menentang mereka. Ibarat berlawan pedang dengan seseorang, setelah bertarung dengan sengit, pihak lawan telah mencantas tangan kita dan selepas itu kita sibuk pula bertanya kenapa dia berbuat demikian. Sekali lagi, kebodohan ini harus dihentikan.

Dalam bahasa paling mudah, sesiapa yang menguasai ekonomi masyarakat (material production) pada masa yang sama turut menguasai minda masyarakat (mental production). Di negara tercinta ini, keadaan ini begitu terserlah. Anda boleh melihat bagaimana rejim pemerintah menggunakan seluruh kekuatan superstructure (institusi pendidikan, media massa, masjid dan jabatan agama, pihak berkuasa, NGO) untuk memberi justifikasi ke atas setiap tindakan mereka dan pada masa yang sama cuba untuk mengekalkan status quo mereka. Dan kelihatan kini superstructure rejim negara tercinta ini tidak mampu lagi menghasilkan propaganda pintar dan berkesan untuk memujuk akal dan perasaan rakyat. Tipu helah dan penipuan mereka tidak mampu lagi dirasionalkan dan kebodohan dan kebebalan ini makin terserlah, tidak mampu ditutup lagi. Kita boleh katakan rejim penindas gagal dalam reproduction of social formations.

Kita perlu menyambut baik saranan Chris Hedges dalam Death of the Liberal Class. Hedges menulis, "Hope will come with the return of the language of class conflict and rebellion, language that has been purged from the lexicon of the liberal class. This does not mean we have to agree with Karl Marx, who advocated violence and whose worship of the state as a Utopian mechanism led to another form of working class enslavement, but we have to learn again to speak in the vocabulary Marx employed". Rakyat negara tercinta ini (terutamanya Melayu) sekian lama didoktrinkan dengan vocabulary patuh dan taat yang melulu. Perkataan-perkataan menyembah manusia membabi buta seperti daulat, derhaka, tulah dan sebagainya perlu dibuang dari kamus hidup kita dan kita perlu mula menggunakan perbendaharaan kata yang bersifat kritis dan analitis. Setiap segmen dalam hidup ini perlu dinilai dengan akal dan mata hati yang sedar sepenuhnya akan kebebasan diri kita dari sebarang belenggu dan penindasan oleh manusia lain.

Oleh kerana itu ideologi harus dilawan dengan ideologi. Dan untuk meruntuhkan sesuatu ideologi harus faham dahulu ideologi tersebut. Secara peribadi, aku lebih percaya perubahan sosial itu harus bermula dari perubahan ideologi dan pemikiran daripada revolusi yang kosong makna dan diisi dengan emosi melulu serta nafsu semata-mata. Aku percaya kerana manusia paling agung dalam sejarah dunia telah membuktikannya. Namanya Muhammad bin Abdullah.
p/s: Hari ini parlimen dibubarkan.

Wednesday, March 6, 2013

Seni Yang Mencerahkan

Autonomi seni adalah teori yang melihat seni sebagai bidang yang mandiri dan bebas. Seni dianggap sebagai ekspresi estetik yang terpisah dari disiplin ilmu yang lain dan kewujudannya tidak boleh dinilai oleh sebarang bentuk disiplin luar sama ada bersifat moral, sosial atau politik. Seni adalah untuk seni.

Aku berpendapat teori ini perlu disanggah. Namun jika difikirkan dengan cermat, bagi aku autonomi seni ini bukanlah bermaksud bahawa seni itu terpisah secara total dari realiti kehidupan (moral, sosial dan politik) tanpa ada penghubung atau jalinan dan saling kaitan, kerana mustahil  sesebuah karya seni (malah karyawan itu sendiri) wujud dengan keterasingannya dari kehidupan dan seterusnya akan memunculkan persoalan yang lain pula, dari mana sumber/ ilham atau ekspresi seni itu datang jika tidak dari kehidupan? Jika pencipta seni dan sumber seni itu sendiri adalah dari kehidupan, walau pun yang dilihat hanyalah nilai estetiknya, maka tidakkah interpretasi dan penilaian terhadap seni itu sendiri harus berdasarkan kepada realiti yang berasaskan nilai sosio-budaya khalayak terbabit, kerana kesedaran estetik mustahil datang secara tiba-tiba.  

Oleh itu, apresiasi terhadap seni hanya berlaku apabila seni dibawa ke luar dari dunianya (atau dunia  pengkaryanya) dan dihantar masuk ke minda dan jiwa khalayak yang seterusnya akan mengasosiasikan ekspresi seni tersebut berdasarkan konsep worldviewnya. Menurut Francis Hutcheson,  kecantikan yang difahami manusia bukanlah bergantung kepada kualiti sesebuah objek tetapi ianya ialah idea yang ditanam di dalam diri kita.Tidaklah menghairankan jika berlaku lambakan filem, drama, muzik dan novel yang ringan dan amat hedonisme sifatnya (terutama di Malaysia) kerana  worldview atau fikrah khalayak itu sendiri yang amat miskin dan kontang citarasa estetiknya. Ini semua merujuk kepada konsep supply and demand. Jika kita menghargai dan meminta kebodohan, maka kebodohanlah yang dilonggokkan kepada kita.

Persoalannya, bagaimana kita boleh menggilap citararasa seni kita? Bukankah citarasa itu subjektif sifatnya? David Hume dan Immanuel Kant bersependapat bahawa citarasa bukanlah sesuatu yang terpisah tetapi merupakan tindak balas kompleks yang melibatkan persepsi, imaginasi dan penilaian. Aku rasa ketiga-tiga faktor ini bukanlah wujud secara semulajadi tetapi diprogramkan di dalam minda dan jiwa kita melalui kepercayaan, pengetahuan, pengalaman dan latar sosio-budaya yang akhirnya membentuk kerangka pemikiran seseorang individu.  Mungkin boleh aku katakan bahawa persepsi, imaginasi dan penilaian inilah yang dikatakan worldview (pandangan hidup) atau mungkin sebahagian daripada worldview. Mengikut mazhab pemikiran aku (aku namakannya tradisionalisme liberal-sosialis), citarasa seni ini sememangnya dibentuk melalui proses-proses tertentu (bermakna ia bukan muncul secara tiba-tiba). Ianya memang subjektif (tidak seragam) tetapi kesubjektifannya itu dalam bentuk pola yang sekata. Maksudnya ia boleh dipupuk dan disemai untuk membenihkan sebuah citarasa yang spesifik. Hume mengatakan sememangnya sukar untuk membuat penilaian yang objektif terhadap seni jika kita menggunakan sentimen semata-mata. Tetapi menurut Hume, penilaian yang rasional boleh dibuat apabila common sense diguna pakai. 

Aku suka terjemahkan common sense ini sebagai akal budi. Ianya memang tidak tepat kerana konsep akal budi ini tidak diperincikan di dalam falsafah epistemologi Barat. Walaupun penilaian menggunakan akal budi itu sendiri tidak menghasilkan penilaian berbentuk benar dan salah setidak-tidaknya jika diberi pilihan kita boleh memilih yang terbaik. Kita mungkin tidak dapat membantu atau meyakinkan seseorang dengan pilihan kita tetapi kita boleh mengabaikan orang yang memilih Lagenda Budak Setan berbanding Tulang-tulang Berserakan, sebagai contoh. Menurut Aminudin Mansor, akal budi bertujuan untuk “mengembangkan kekuatan atau kemampuan akal dan melatihnya agar dapat dipergunakan pada jalan yang baik dan abadi melalui proses analisis, mencari sebab musabab, hikmah dan sebagainya." Malah konsep akal budi ini juga telah digunakan oleh nenek moyang kita untuk menghasilkan pelbagai seni sastera yang tinggi kualitinya. Kata Za'ba, "Pembangunan ‘akal budi’ dalam masyarakat Melayu sejak dahulu terpancar melalui pertuturan, kebudayaan, ukiran, dan tingkah laku serta hati budi seseorang. Melalui hasil kesenian khususnya kesusasteraan ‘akal budi’ terpancar dalam nyanyian, pantun, gurindam, seloka, syair, peribahasa dan sajak. Melalui hasil kesenian dan kesusasteraan terpancar ketinggian tamadun bangsa dan budaya bangsa yang dapat ditegakkan menunjangi kehidupan masyarakat sejak dahulu hingga sekarang.”

Berbalik kepada autonomi seni tadi, ia sebenarnya  adalah usaha untuk menjarakkan (bukan memisahkan) seni dari penilaian bersifat moral, sosial dan politik yang rigid dan keras. Contoh, apabila menonton video Gangnam Style (atau menonton video-video parodinya yang ternyata lebih menjengkelkan), penilaian yang bersifat moral perlu diketepikan. Kita dilarang untuk mengatakan bahawa video tersebut bersifat lucah, tidak membina minda, mempromosikan budaya hedonisme, menganjurkan cara hidup bebal dan sebagainya. Kita hanya perlu duduk dan menikmati video tersebut seadanya. Biarkan muziknya yang catchy dan videonya yang menjentik nafsu visual kita menghantar rasa estetiknya secara terus ke dalam jiwa kita. Biarlah muzik video itu yang berbicara sendiri tanpa gangguan daripada hukum-hukum moral. Atau jika anda menonton filem Bukit Kepong, tidak perlu sebarang tafsiran berdasarkan fakta sejarah dan ilmiah, pedulikan siapakah pemuda Melayu yang mengetuai serangan tersebut, persetankan kajian dan penyelidikan tentang cerita di sebalik cerita, biarkan Bukit Kepong berdiri sebagai sebuah seni, sebuah filem perang. Jadi apa masalahnya dengan pemikiran begini? Masalahnya ialah banyak sampah sarap bakal dilonggokkan atas nama ekspresi kemanusiaan dan estetik dan kita tanpa rasa bersalah serta malu menikmatinya kerana ia dinamakan seni. Akibatnya, pemikiran kita yang sudah sedia bobrok menjadi semakin songsang sehingga sukar untuk membuat penilaian dan pilihan.

Bagi aku seni itu harus memaparkan kebenaran, jati diri, perjuangan dan citra masyarakat serta merakam semangat zaman. Ia harus bertindak sebagai medium pencerahan dan kesedaran yang menyuluh minda dan jiwa masyarakat. Memang benar seni adalah ekspresi pengkarya. Namun kita tidak boleh hanyut dibawa arus songsang dan jahil dengan menikmati semua yang disogokkan kepada kita. Zaman ini adalah zaman di mana seni hanya menfokuskan kepada nilai hiburan hedonisme. Kita berhibur, berduka nestapa, menangis, senyum, teruja dan ketawa semahunya tanpa ada sedikit pun usaha untuk berfikir, bertafakur dan mengkaji apa sebenarnya yang dihidangkan kepada kita. Herbert Marcuse menyebut bahawa khalayak telah dibius minda mereka secara kolektif dengan idea-idea yang memudaratkan melalui hiburan-hiburan melampau dan  mereka tidak sedar perkara tersebut berlaku. Hasil-hasil seni yang disogokkan kepada kita hari ini adalah mesej dan propaganda hanyir yang sedikit demi sedikit (tanpa kita sedar) membentuk pandangan hidup kita dalam menanggapi dunia ini dan alamnya. 

Seni perlu menggerakkan pemikiran serta mencerdaskan akal dan bukannya menjadikan khalayaknya pasif dan dungu. Biar kita sebagai khalayak ini berfikir walau sekejap (tetapi mendalam) dan mengaitkan seni itu sendiri dengan jiwa dan rasa kemanusian yang ada di dalam diri kita. Maksud aku hasil seni itu nanti mampu melahirkan masyarakat yang matang, berilmu dan sentiasa berfikir untuk melakukan kebaikan atau paling tidak menjauhi keburukan. Biarlah rasa sedih, gembira, teruja, malu atau apa sahaja perasaan yang terhasil dari apresiasi seni ini adalah pergumulan kita dengan jiwa dan batin kita (iaitu rasa yang asli dan autentik dari dalam diri kita) bukannya akibat dari estetik hedonisme yang timbul di permukaan hati dan kemudiannya ghairahnya hilang entah kemana. 

Satu lagi dilema ialah kita semakin kekurangan karya-karya seni  yang mampu menjadi pesaing kepada karya-karya bebal ini. Karya-karya yang mempunyai idealisme kemanusiaan yang tinggi, yang mengungkapkan sejarah perjuangan manusia, yang mengangkat kekayaan warisan ilmu serta adat dan budaya tanahair, yang menceritakan jerih payah dan pahit getir manusia miskin dan tertindas, sukar untuk mencari karya-karya mahal begini di Malaysia. Kita hanya mampu mencela karya-karya yang tidak sealiran dengan kita tetapi malangnya kita tidak mampu menawarkan alternatif yang lebih baik. Ini sama seperti kita menyalahkan gerakan Kristianisasi yang menyebarkan agama mereka sedangkan pada masa yang sama kita gagal untuk menawarkan keunggulan ad-din kita. Kita hebahkan kejayaan misi mereka yang secara tidak langsung sebenarnya menunjukkan kegagalan kita. Ya, aku dan engkau. Kita gagal.

"Seni itu adalah bangunan atas dari kehidupan. Jadi di bawah seni ada masyarakat, ini merangkumi basis dari yang telah lewat, merangkumi basis yang akan datang. Jadi tanpa basis, tidak mungkin ada seni. Tapi soalnya bangunan atas ini mahu menengok kepala atau tidak. Kalau ia tidak mahu menengok kepala, itu beerti bahawa dia menjadi puncak yang terdiri sendiri. Dan itu tidak ada. Bahasa yang dia pakai berasal dari masyarakat. Kandungan bahasa yang dia pergunakan itu juga pengalaman bangsanya sendiri. Bagaimana dia tidak menengoknya. Kalau dia tidak mahu melihatnya, segala basisnya sendiri, dia tidak perlu di puncak situ. Bikinlah menara gadingnya sendiri."
-(Pramoedya Ananta Toer, temuramah dalam Nadi Insan No. 24)-



Friday, February 8, 2013

Sang Rausyanfikir

Bulan ini aku telah membaca tiga tulisan Ali Shariati. The Visage of Prophet Mohammad, Fatima is Fatima dan Once Again Abu-Dhar. Sungguh, intelektual hebat ini aku kenal harum namanya sudah lama. Sudah bertahun-tahun. Tetapi entah mengapa tak tergerak di hati aku untuk membaca karya-karyanya. Aku mengenalinya dari tulisan orang lain. Memahami gagasan rausyanfikir, menyelami pertentangan mustadh'afin dan mustakbirin, mengenali sintesis Marxisme dan Islam, memahami falsafah haji, semuanya dari sumber kedua. Malah minat aku untuk membaca tentang komunisme dan Marxisme pun bertolak dari pembacaan aku tentang Syariati. Lalu, aku tinggalkan dulu Shariati dan aku baca The German Ideology, The Communist Manifesto, Das Kapital (yang belum mampu aku hadam sepenuhnya) dan beberapa tulisan dari intelektual Marxisme yang lain. Tetapi rasanya tindakan aku tepat, sedikit sebanyak Syariati juga menggunakan pendekatan dialektik Hegel yang mempengaruhi Marx. Oleh itu, untuk lebih memahami idealisme Shariati harus lebih dulu faham apa itu komunisme dan Marxisme. Juga harus menelaah Syiah dari sudut teologi dan tasawwurnya. Kemudian baru kita boleh melihat saling kaitan antara keduanya dan bagaimana Shariati memadukan dua ideologi ini untuk membina kerangka idealisme dan gagasan pemikirannya serta bagaimana gagasan ini boleh menghasilkan sebuah revolusi. Dan kini, setelah membaca hanya tiga karya Shariati ini (belum habis dibaca sebenarnya), aku mula faham mengapa beliau disebut antara ideolog yang menggerakkan Revolusi Iran.

Melalui tiga karya ini, aku boleh membayangkan bagaimana Syariati mampu mempengaruhi dan mencerahkan pemikiran rakyat Iran. Bagaimana Shariati mengajar mereka untuk menjadi revolusioner atas nama agama, atas nama iman, iaitu kebenaran yang tak terkalahkan. Mungkin ada yang sinis, apalah sangat gambaran tentang pengaruh Shariati terhadap Revolusi Iran yang boleh aku dapat dari tiga buku ini, sedangkan aku tidak pernah membaca karya-karya Shariati yang lain yang lebih sarat mengusung idealisme dan pemikirannya. Memang karya-karya ini boleh dikatakan karya 'ringan' Shariati. Namun, Revolusi Iran itu adalah kebangkitan seluruh peringkat masyarakat. Untuk memungkinkan terjadinya revolusi politik, partisipasi semua golongan rakyat hukumnya wajib. Lelaki, wanita, golongan profesional, guru, pensyarah, petani, buruh, pelajar, golongan pertengahan, golongan miskin, semuanya bangkit menjatuhkan rejim Pahlavi. Ini bukan demonstrasi, ini revolusi. Semuanya ini berlaku hanya apabila kesedaran dan idealisme ditanamkan di dalam akal dan jiwa mereka, apabila mereka mampu berfikir dengan jernih secara kolektif apa yang terbaik untuk mereka. Maka Shariati mendekati dan menyampaikan mesejnya kepada semua golongan ini. Ketiga-tiga karya ini khusus untuk rakyat biasa memahami di mana posisi mereka, apa masalah sebenar yang mereka hadapi, apa yang sepatutnya mereka perjuangkan dan siapakah peribadi yang perlu mereka jadikan contoh. Di sinilah terserlah kepintaran Shariati menawarkan solusi dan memberikan contoh yang dekat di hati rakyat Iran khususnya penganut Syiah.

Boleh dikatakan ketiga-tiganya ialah biografi ringkas dengan isinya yang tidak terlalu berfalsafah atau berbau intelek. Tetapi cubalah baca bahasanya yang menggugah jiwa, membangunkan semangat dan retoriknya yang memukau perasaan. Di satu saat kita akan dibuai perasaan sedih, pilu, marah, manakala di saat yang lain bangkit semangat baru, seperti jasad ini diisi oleh roh pahlawan yang menyala-nyala api perjuangannya. Aku benar-benar terpukau dengan kehebatan Shariati menulis. Perlu diingat, karya yang aku baca adalah merupakan terjemahan bahasa Inggeris dari bahasa asalnya, iaitu Parsi. Sudah pasti ada kekurangan dan kekangan linguistik dalam proses penterjemahan untuk mengungkapkan maksud, hasrat dan semangat sebenar Shariati. Tetapi tetap dapat aku rasakan mesej yang ingin disampaikan. Bayangkan rakyat Iran yang membaca karya-karya ini di dalam bahasa asalnya. Bayangkan rakyat Iran yang sememangnya terkesan dengan tema penindasan, Rasulullah serta ahlul bait. Shariati menjelmakan sendiri watak rausyanfikir itu di dalam dirinya. Inilah fungsi sebenar intelektual yang bukan hanya berteori dan bermain falsafah di dewan kuliah atau seminar, atau berceramah tentang sesuatu yang dia sendiri tidak memahami atau menguasainya dengan mendalam, sekadar memuaskan nafsu intelek kononnya, melontarkan jargon-jargon yang kaku dan beku.

Intelektual atau ulamak atau ilmuwan (berikan apa saja nama) wajib cakna dengan masalah masyarakat, malah perlu turun menyantuni masyarakat dan merasakan sendiri denyut nadi mereka serta menyiasat sehingga ke akar untuk mengetahui masalah yang menimpa mereka. Kadang-kala intelektual kita setara sahaja tahap pemikirannya dengan pelajar atau mahasiswa mereka, sekadar menjadi penghafal teori dan ilmu. Kalau ulamak pula sekadar melontarkan ayat-ayat Quran, hadis Nabi dan pendapat ulamak-ulamak lain (yang semuanya bukan dari Malaysia) untuk menjawab persoalan masyarakat Malaysia. Itulah kemampuan kebanyakan intelektual dan ulamak kita, suka menempel dan mengikut punggung intelektual luar dan teori-teori yang pernah mereka pelajari. Yang agamawan ambil model penyelesaian masalah dari Arab Saudi dan Mesir, yang sosialis ambil model dari Cuba dan Libya, yang komunis hanya membaca The Communist Manifesto (dan terus mengaku komunis tegar), yang liberal ambil contoh dari United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang hedonis mengimport hiburan dari Korea Selatan. Aduh, adakah semuanya kita mahu cedok dari luar. Tumpul sangatkah otak intelektual dan ulamak kita hingga bebal untuk merumuskan persoalan yang muncul di tanah air sendiri, kerana penyelesaian masalah masyarakat baik dari segi politik, sosial dan ekonomi wajib bersifat setempat kerana situasi dan latar sosio-budaya yang berbeza, yang memunculkan punca masalah dan solusi yang juga berbeza. Kata Rendra dalam puisinya:

Kita harus berhenti membeli rumus-rumus asing.
Diktat-diktat hanya boleh memberi metode,
tetapi kita sendiri mesti merumuskan keadaan,
Kita mesti keluar ke jalan raya,
keluar ke desa-desa,
mencatat sendiri semua gejala,
dan menghayati persoalan yang nyata.  

Friday, February 1, 2013

Kemanusiaan dalam Liberal Arts

Baru menonton Liberal Arts, arahan, lakonan dan tulisan Josh Radnor (Ted Mosby dalam How I Met Your Mother). Sebuah filem yang menarik dan membuatkan aku begitu kepingin untuk menonton filem pertama arahan beliau, happythankyoumoreplease. Liberal Arts  bercerita tentang perjalanan beberapa manusia mencari makna dalam fasa baru hidup mereka. Makna cinta, kesepian, pengalaman, jati diri, hubungan manusia dengan manusia, pandangan alam, citarasa seni dan lain-lain lagi. Pencarian ini semuanya dilukiskan oleh manusia-manusia yang terlibat di dalam dunia akademik (yang belajar dan pernah belajar/ mengajar tentang liberal arts). Mesej yang menunjukkan bahawa konflik, krisis diri dan makna kehidupan perlu sentiasa diteroka dan diberi definisi baru. Walaupun kita belajar liberal arts sekalipun (sastera, sains kemanusiaan, seni, falsafah, etc.)  tidak beerti kita sudah memahami hakikat sebenar diri kita. Hakikat diri manusia itu ialah kita sentiasa belajar mengenal diri, Tuhan dan alam, sentiasa berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Kita akan dihadapkan dengan pilihan-pilihan hidup yang setiap satu ada musibah dan manfaatnya yang tersendiri.  Kita akan sentiasa berhadapan dengan wilayah-wilayah baru dalam kehidupan. Yang semuanya mengajar kita menjadi lebih dewasa dan semakin 'sedar diri'. Seperti kata Zibby (lakonan Elizabeth Olsen) kepada Jesse (Radnor) di dalam filem ini: "Have you ever thought about that? How everything in life is basically improvised? There’s no script. We’re just making this up as we go."

Dan ketika melawat Dean di hospital yang cuba membunuh diri akibat tekanan emosi, Jesse memberi cadangan kepadanya supaya membaca siri novel Twilight (Dean amat meminati novel Infinite Jest tulisan David Foster Wallace yang kesudahan hidupnya juga membunuh diri).  "Trust me, they will empty your mind completely", kata Jesse merujuk kepada siri  dongeng pontianak jiwang tersebut.

Friday, January 18, 2013

Filem: Seni atau Hiburan?


Seni itu keindahan dan kecantikan. Apa sahaja yang dianggap indah dan cantik disebut sebagai hasil atau karya seni. Ini adalah tanggapan umum yang boleh diterima pakai untuk menafsirkan apa itu seni. Kamus Dewan mendefinisikan dua maksud utama seni sebagai; 1) Halus (kecil, elok) dan 2) karya (sajak, lukisan, muzik, dll) yang dicipta dengan bakat (kecekapan). Kesimpulannya seni itu ialah karya indah lagi molek yang dihasilkan dengan penuh ketelitian berdasarkan bakat dan kebolehan sang pengkarya. Ini hanyalah takrif umum. Maksud 'halus' di dalam Kamus Dewan itu sendiri menggambarkan karya seni itu dihasilkan dengan penuh ketelitian dan ekspresi, melibatkan perahan fizikal, mental dan jiwa sang pengkarya. Justeru, apa sahaja karya yang dihasilkan dengan cincai dan tidak bersungguh-sungguh dan gagal menepati ciri-ciri dan kriteria utama yang ditetapkan dalam sesebuah kerja seni tertentu, bolehlah dibuang label 'seni' dari karya tersebut. Semudah itu.

Seni itu terbahagi kepada juzuk-juzuk dan pembahagiannya yang tersendiri. Sebelum pergi lebih jauh, perlu aku nyatakan di sini bahawa skop penulisan ini hanya akan memfokuskan kepada salah satu bidang seni yang popular di Malaysia (atau yang aku anggap popular) iaitu filem. Tetapi, sejak dahulu sehingga kini status filem sebagai seni masih diperdebatkan. Adakah filem boleh disebut sebagai seni? Atau ianya semata-mata hiburan?

Golongan yang skeptik terhadap filem sebagai seni berhujah bahawa filem adalah semata-mata imej yang bergerak. Ianya sekadar fotografi yang melalui proses mekanikal dan seterusnya menghasilkan gerakan, situasi dan peristiwa. Bagi mereka, filem hanya merakamkan realiti di mana kebanyakan elemen didalamnya ialah semulajadi dan tidak memungkinkan campur tangan sepenuhnya seseorang pengkarya ke atas sesebuah filem. Pengkarya filem tidak dapat meluahkan kreativiti artistiknya ke tahap maksima dan menyebabkan filem itu sendiri gagal untuk berhubung dengan khalayak dalam menyatakan ekspresi pengkarya. Malah sekiranya filem ini mampu menyampaikan rasa estetiknya atau idea dan mesejnya kepada khalayak, peranan pengkarya filem ke atas filem tersebut masih boleh dipersoalkan. Adakah filem tersebut berjaya kerana unsur artistik atau kreativiti yang dihasilkan pengkarya atau disebabkan oleh wujudnya elemen-elemen semulajadi dan realiti di dalam filem tersebut, yang berada di luar kawalan pengkarya itu sendiri.

Untuk menjawab hujah ini kita perlu sedar bahawa fotografi dan filem bukanlah merakamkan realiti tetapi sekadar merakam imej kepada realiti. Ianya adalah representasi visual kepada apa yang kita faham sebagai realiti. Malah sesebuah filem telah menerima campur tangan dari pengkarya filem apabila filem itu dirakamkan. Mereka telah menentukan jenis lensa tertentu, penataan cahaya tertentu, situasi tertentu, lokasi tertentu untuk shot tertentu. Itu belum dikira props dan set yang digunakan, lakon layar yang disediakan, solekan dan sebagainya. Setiap susun atur, kelakuan, situasi dan dialog yang dituturkan segalanya telah ditentukan mengikut perkiraan kreativiti dan artistik pengkarya filem. Apabila selesai dirakamkan, imej ini akan terus di manipulasi, disunting dan diubahsuai di studio. Kita boleh bayangkan berapa ramai tenaga kerja yang menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan sesebuah filem. Oleh itu, ianya bukan lagi realiti tetapi kita menanggapinya sebagai realiti. Inilah yang cuba dimaksudkan oleh Rene Magritte dengan lukisan terkenalnya, la trahison des images (Kecurangan Imej).

Inilah kuasa dan pengaruh sebenar filem atau televisyen, iaitu ia mencipta imej untuk realiti, kelahiran semula realiti di dalam bentuk yang diinginkan dan diimaginasikan oleh manusia. Sejarah juga merakamkan bahawa manusia belajar melukis sebelum menulis. Dinding-dinding gua menjadi kanvas manusia pra sejarah melakarkan kisah hidup, intepretasi dan imaginasi mereka terhadap realiti. Ini menjadi bukti bahawa sejak awal lagi manusia sememangnya mempunyai keinginan untuk mencipta dan mengkonstruk realiti baru. Manusia ingin mengawal dan mengubah realiti. Ironi juga, rancangan yang disebut realiti TV itu pun adalah sebesar-besar penipuan kepada realiti. Sila tonton The Truman Show untuk lebih memahami konsep realiti TV ini.

Keberkesanan mesej dan rasa estetik pula tidak sepatutnya menjadi piawaian untuk menentukan sama ada sesebuah medium itu layak dianggap seni ataupun tidak. Ini kerana ianya bergantung kepada pemahaman dan intrepretasi khalayak sebagai audiens. Lukisan Mona Lisa yang dianggap 'the best known, the most visited, the most written about, the most sung about, the most parodied work of art in the world' itu pun tidak difahami oleh kebanyakan manusia. Kita menganggap ia istimewa kerana sekian lama manusia dan media mengagungkannya. Secara peribadi, aku lebih berminat kepada karya-karya Bayu Utomo Radjikin berbanding Mona Lisa. Malah elemen-elemen yang menimbulkan estetik dan keghairahan terhadap seni itu pun (sekali lagi Mona Lisa boleh dijadikan contoh kes) sukar dijustifikasikan adakah bersifat luaran (dari seni itu sendiri) atau dalaman (interpretasi manusia).

Antara isu lain ialah, jika filem itu sebuah kerja seni maka siapa artis atau pengkarya utama yang mendominasi dan menentukan hala tuju filem itu secara keseluruhannya. Ramai yang akan menjawab pengarah. Timbul persoalan yang lain benarkah pengarah mendominasi bentuk dan isi sesebuah filem? Bagaimana dengan penulis lakon layar? Bagaimana dengan jurugambar? Bukankah kesatuan idea dan kreativiti individu-individu ini yang melengkapkan filem? Bukankah kewujudan filem adalah hasil koloborasi sekumpulan manusia? Mengapa di majlis anugerah filem, Filem Terbaik di sampaikan kepada penerbit filem? Akhirnya siapa yang menghasilkan filem? Persoalan-persoalan ini dibangkitkan kerana wujud pernyataan yang tidak rasmi (tetapi popular dan kuat bukan sahaja di kalangan karyawan seni malah juga ahli akademik) bahawa untuk sesebuah medium itu dianggap seni (ataupun sebagai bidang pengkajian yang serius), seorang maestro perlu dikenal pasti. Maestro yang mendominasi dan menumpahkan kemahiran artistik dan kreativitinya ke dalam sesebuah filem. Maestro yang meninggalkan signature stylenya di dalam setiap filem. Dan muncul auteur theory menyelesaikan kekusutan ini dengan memberi jawapan, sang pengarahlah maestro yang kita cari!

Auteur theory (bahasa Perancis untuk pengarang/ author) pada asalnya adalah berupa kritikan dari sekumpulan pemuda Perancis terhadap industri perfileman negara mereka yang dibanjiri filem-filem yang buruk dan sampah. Para pemuda ini yang muncul sebagai antara pengkritik dan akhirnya pembikin filem yang berpengaruh- antaranya Francois Truffaut dan Jean-Luc Godard- telah mengangkat filem-filem Amerika sebagai contoh yang perlu diikuti oleh pengkarya filem Perancis. Mereka menyatakan pengarah-pengarah seperti Orson Welles, Alfred Hitchcock dan John Ford telah meninggalkan signature style di dalam setiap filem mereka dan biar siapa pun penerbit, penulis lakon layar, jurukamera atau pelakon, kita akan tetap melihat kesinambungan style/ teknik di dalam setiap filem arahan mereka. Inilah yang menjadi asas kepada auteur theory.

Teori ini dikembangkan di Amerika oleh Andrew Sarris (Sarris yang menggelarnya auteur theory). Prinsip utama teori ini ialah meletakkan pengarah sebagai nadi utama yang menggerakkan struktur (bentuk dan isi) sesebuah filem. Namun Sarris meletakkan tiga kriteria utama yang melayakkan seseorang pengarah itu digelar auteur. Pertama, seorang pengarah haruslah menguasai kemahiran teknikal di dalam menghasilkan filem. Kedua, seorang pengarah mesti mempunyai signature style yang tersendiri di mana ianya boleh dilihat di dalam setiap filem arahannya (bukan sahaja dalam bentuk teknikal malah idea dan simbol yang mengekspresikan pemikiran pengarah itu). Ketiga, kriteria terpenting, iaitu worldview atau pandangan alam seorang pengarah yang muncul secara konsisten di dalam setiap filemnya. Auteur theory ini pun menerima banyak kritikan daripada ahli teori filem yang mempersoalkan adakah semata-mata sang pengarah yang memberi sumbangan terbesar dari sudut artistik dan kreativiti kepada sesebuah filem. Bagi aku auteur theory bukan sekadar usaha meletakkan peranan pengarah sebagai pengarang utama tetapi lebih kepada menjawab persoalan apa sebenarnya peranan pengarah di dalam sesebuah filem. Aku bersetuju pengarah yang baik harus memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Sarris kerana filem bukan sahaja membawa representasi visual tetapi juga mengusung wacana dan idea pengarah. Pengarah memang mendominasi bentuk dan isi filem tetapi aku lebih suka melihat filem sebagai hasil artistik dan kreativiti kolektif sekumpulan pengkarya.

Sesetengah pengkaji seni pula menyatakan bukan semua filem boleh dimasukkan sebagai kerja seni kecuali filem-filem yang diangkat sebagai art film atau avant garde film yang ditayangkan di art house atau galeri seni manakala filem-filem yang dihasilkan untuk tontonan umum tidak layak diklasifikasikan sebagai seni. Pembahagian yang rigid dan keras sebegini membuatkan apa yang dikatakan 'seni' itu sendiri kelihatan bersifat elitist, eksklusif dan hanya mampu dinikmati oleh segolongan kecil penonton. Noel Carroll, seorang ahli falsafah seni Amerika menjelaskan 4 sebab dalam percubaannya untuk mempertahankan bahawa filem yang dihasilkan untuk tontonan umum juga layak di anggap seni. Pertama, filem mempunyai genre dan bentuk, yakni berasal dari genre dan bentuk karya-karya seni awal yang lain. Kedua, pengkarya filem telah melibatkan diri mereka di dalam aktiviti-aktiviti yang bersifat artistik untuk menghasilkan filem; penulisan, lakonan, seni pengambaran dan sebagainya. Ketiga, secara asasnya, aktiviti-aktiviti di atas sememangnya dipersetujui oleh pengkaji-pengkaji seni sebagai kerja-kerja seni. Aku amat bersetuju dengan sebab ketiga ini. Dan keempat, Carroll menjelaskan bahawa mereka yang menolak status seni hanya kerana ia popular mempunyai kefahaman yang juling tentang perbezaan di antara hasil seni dan bukan seni berdasarkan perbezaan penilaian yang bersifat tinggi/ rendah, seperti seni yang baik/ seni yang buruk dan seni berkualiti tinggi/ seni berkualiti picisan. Sesetengah filem popular mungkin kurang berkualiti dari art filem tetapi ia tetap sebuah kerja seni.

Filem-filem untuk tontonan umum juga selalunya dikaitkan dengan motif keuntungan di mana seolah-olah wujud hubungan yang kontra di antara seni dan perniagaan. Sesebuah karya yang dihasilkan untuk orang ramai seolah-olah hilang nilai artistik, kreativiti dan seni dari karya tersebut. David Bordwell menyebut ketika era Renaissance di Itali, para pelukis telah dibayar oleh gereja untuk menggambarkan kisah-kisah di dalam Bible. Malah Michaelangelo dan Leonardo Da Vinci turut dibayar atas hasil seni mereka dan ini tidak mengurangkan status seni atau kreativiti artistik mereka.

Ini adalah antara isi yang mendasari perbincangan tentang status filem sebagai seni. Masih banyak lagi sebenarnya yang menjadi isi pertikaian. Justeru aku menganggap adalah lebih selesa untuk kita menganggap semua filem adalah kerja seni kecuali yang tidak menepati kriteria-kriteria tertentu. Ini lebih baik daripada menganggap semua filem bukan kerja seni kecuali yang menepati kriteria-kriteria tertentu. Walau pelbagai perdebatan muncul, kita tidak boleh menidakkan filem telah menjadi medium yang paling berkuasa dan luas skop penyampaiannya. Filem telah dibuktikan berjaya menjadi sumber hiburan, medium propaganda, komoditi ekonomi, wacana pemikiran serta budaya dan saluran hedonisme. Di Malaysia, kebanyakan penonton filem malah mungkin para pengarahnya menganggap filem semata-semata hiburan sedangkan di luar kesedaran kita filem-filem telah menghantar idea dan mesej secara tidak langsung kepada kita melalui bahasa filem itu sendiri. Ini aku jelaskan kemudian.