Wednesday, October 23, 2013

Apa Yang Anda Tahu Tentang Ekonomi Islam? : Pengenalan Kepada Iqtisaduna - Bahagian 1

Oleh Muhammed Baqir al-Sadr

PRAKATA
Sudah lama masyarakat meminta saya menerbitkan siri Pemikiran Islam, malah mereka juga meminta saya menulis siri baru untuk mereka.

Saya keberatan untuk memenuhi permintaan tersebut kerana ingin menyiapkan bahagian akhir jilid kedua Iqtisaduna. Penerbitan buku ini menjadi faktor meningkatnya permintaan dari masyarakat yang mahukan saya mengeluarkan edisi ringkas yang memudahkan pemahaman mereka dan seterusnya meluaskan akses buku tersebut kepada jumlah pembaca yang lebih ramai.

Atas dasar itu, saya telah menulis siri ini, dengan niat menjadikannya lebih santai dan mudah, mengelakkan ketelitian dan kedalaman fakta yang terdapat di dalam Iqtisaduna. Dalam banyak keadaan saya lebih suka menghuraikan idea berbanding menerangkan kerumitan bentuk dan isinya, kerana penerangan tersebut boleh didapati di dalam karya-karya saya yang lain.

Di samping memperkenalkan siri ini kepada pembaca, saya turut merumuskan idea-idea yang terdapat di dalamnya dan menyediakan isi kandungan untuk setiap idea bagi memudahkan mereka memahami setiap bab.

Siri ini telah menimbulkan satu persoaalan yang memang saya akan berikan jawapannya. Persoalannya ialah – adakah doktrin ekonomi wujud di dalam Islam?

Dalam siri ini, kita secara beransur-ansur boleh menjawab soalan tersebut. Selepas persoalan ditimbulkan, kita akan berusaha menjawabnya beserta semua persoalan-persoalan sampingan yang wujud daripadanya. Selepas itu, kita akan mengkaji jawapan tersebut menerusi pemahaman Islam, menyokongnya dengan bukti-bukti tertentu dan membincangkan sebarang kritikan terhadapnya.

MENJELASKAN PERSOALAN
Apa yang kita maksudkan apabila kita berbincang tentang doktrin ekonomi Islam ialah usaha kita untuk mencari kaedah bagi mengawal ekonomi berdasarkan prinsip keadilan sosial. Apabila kita bertanya tentang doktrin ekonomi Islam, kita meluahkan keinginan kita untuk menjawab persoalan; ada atau tidak Islam membawa satu sistem untuk menuruskan ekonomi sepertimana kapitalisme sebagai contoh, telah melahirkan prinsip kebebasan ekonomi, yang menjadi prinsip dan garis panduan asas dalam menguruskan  ekonomi.

KEPENTINGAN MENIMBULKAN PERSOALAN
Banyak faktor yang membuatkan kita perlu mengemukakan persoalan tersebut, antara yang paling signifikan ialah penolakan kita terhadap sistem kapitalisme dan Marxisme; dua sistem yang memerintah dunia kini. Penolakan Islam terhadap kedua-dua sistem ini menyebabkan individu Muslim berharap Islam mampu menyediakan sistem alternatif untuk menguruskan ekonomi, kerana tanpa kaedah dan metodologi tertentu sukar untuk melaksanakan pengurusan yang efektif.

SALAH FAHAM TERHADAP SOALAN
Setelah kenal persoalannya, menjelaskannya dan menerangkan kepentingannya, kita akan menunjukkan kesilapan sesetengah orang  ketika cuba untuk memahami persoalan ini tanpa terlebih dahulu membezakan di antara doktrin ekonomi dan sains (baca: ilmu) ekonomi dalam Islam. Apa yang kita maksudkan disini ialah doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi.

BAGAIMANA UNTUK MEMBEZAKAN DI ANTARA DOKTRIN DAN SAINS
Untuk mengelakkan salah faham terhadap soalan ini, kita perlu jelaskan perbezaan di antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi. Malah, perbezaan di antara keduanya adalah penting. Doktrin ekonomi, seperti yang kita telah ketahui, berperanan untuk menemukan kaedah untuk mengawal selia kehidupan ekonomi mengikut prinsip keadilan sosial. Bagi sains ekonomi, ia tidak menyediakan sebuah kaedah untuk mengawal selia;  sebaliknya, pendekatannya diekstrak dari masyarakat,  mengkaji kesan dan akibat, seperti ahli sains mengkaji mengkaji keputusan dan kesan-kesan penjanaan haba sebagai contoh.

CONTOH PERBEZAANNYA ANTARA DOKTRIN DAN SAINS
Kita akan menggunakan banyak contoh untuk menjelaskan perbezaan di antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi. Fahaman kapitalis, sebagai contoh, mengawal ekonomi atas dasar prinsip kebebasan ekonomi, oleh itu, ia mengawal pasaran atas dasar kebebasan peniaga untuk menentukan harga barangan mereka. Sains ekonomi tidak berfungsi untuk melahirkan satu lagi kaedah untuk mengawal selia pasaran, sebaliknya, peranannya adalah untuk mengkaji keadaan pasaran di bawah naungan kaedah kapitalis, menyelidik turun naik, penetapan, kenaikan atau kejatuhan harga di pasaran bebas sebagaimana yang ditetapkan oleh kaedah kapitalis.

Oleh itu, doktrin ekonomi, berperanan mendapatkan satu kaedah untuk mengawal selia ekonomi sesuai dengan konsep ekuiti, manakala sains ekonomi mengkaji hasil kaedah tersebut apabila ia digunakan ke atas masyarakat.

PENEKANAN BAHAWA TERDAPAT DOKTRIN DI DALAM EKONOMI ISLAM
Selepas menyenaraikan beberapa contoh yang menjelaskan perbezaan di antara doktrin dan sains, kita akan memberi tumpuan kepada hakikat bahawa yang kita maksudkan sebagai doktrin ekonomi - yang wujudnya di dalam Islam telah menimbulkan persoalan yang rancak - bukanlah sains ekonomi. Sebagai sebuah agama, Islam tidak perlu membincangkan sains ekonomi, astronomi, matematik, dan lain-lain Apa yang kita maksudkan selama ini, sebaliknya ialah doktrin ekonomi itu sendiri. Justeru, penelitian dan penyelidikan kita adalah sama ada Islam menyediakan kaedah untuk mengawal sistem ekonomi, bukan sama ada Islam berkemampuan untuk menjalankan kajian saintifik terhadap pendekatan ekonomi kontemporari, begitu juga kemunculan dan kesan-kesannya. Itu adalah tugas ahli ekonomi.

Siri ini tiba kemudiannnya, pada  huraian terhadap jawapan yang diberikan - yang diperolehi melalui konsep yang dirujuk dari sistem perundangan Islam (Syariah) yang menyerap dan menggabungkan pelbagai bidang ilmu. Kita akan membuktikannya walaupun dengan sifat Syariah dan sumber-sumbernya. Selepas itu, kita akan menghapuskan beberapa keraguan yang dilemparkan terhadap kewujudan ekonomi Islam, dan kita akan menjawabnya juga.

Secara khusus, saya ingin merujuk kepada tuduhan yang mengatakan bahawa Islam telah membawa prinsip etika, tetapi ia tidak membawa sistem ekonomi untuk mengatur kehidupan; maka Islam dituduh hanyalah pendakwah semata-mata, bukan pembuat sistem. Kita akan menjelaskan bagaimana tuduhan ini ditumpukan kepada aspek etika Islam dan telah digunakan untuk membayangi karakter sosiologi Islam itu sendiri walaupun pada hakikatnya Syariah sememangnya menyentuh kedua-dua bidang tersebut. Sebagai sebuah agama, aspek etika diterapkan untuk memupuk etika Islami individu, dan ia telah mempraktiskan kaedah sosiologinya sebagai satu sistem yang dipilih oleh Allah untuk semua umat manusia.

Inilah rumusan apa yang akan kita dibincangkan. Penelitian terhadapnya adalah seperti dibawah.

APAKAH ADA SISTEM EKONOMI DALAM ISLAM?
Mungkin pertanyaan yang paling banyak timbul, yang meniti di setiap bibir dan diulang setiap kali timbul masalah adalah - soalan mengenai doktrin ekonomi di dalam Islam; maka, apakah ada teori ekonomi dalam Islam? Bolehkah kita mencari solusi terhadap kontradiksi di antara kapitalisme dan Marxisme yang menguasai dunia pada masa kini, melalui sebuah sistem baru yang berasal dari Islam dan diekstrak daripada kaedah legislatif dan organisasi Islam itu sendiri? Apakah potensi sistem Islam ini untuk menyediakan taraf hidup yang baik, di samping menyampaikan mesejnya kepada negara yang sedang menderita saat ini hasil dari dilema dan konflik doktrin  yang sengit dan huru hara di antara kapitalisme dan Marxisme?

Merenung pada sistem baru ini, atau tertanya-tanya tentang realitinya dan konteks Islam, bukanlah kemewahan intelektual yang dinikmati individu Muslim, sebaliknya, ia adalah satu ekspresi kekecewaannya terhadap kedua-dua ahli gusti yang bertanding dan satu manifestasi terhadap reaksinya sendiri yang terus menyaksikan kegagalan sepanjang pengalaman hidupnya, kegagalan dua ahli gusti; kapitalisme dan Marxisme, dalam mengisi vakum doktrin dan ideologi dunia Islam.

Memikirkan tentang pengganti Islam, atau bertanya tentang hal itu - selain tambahan kepada indikasi kekecewaan individu Muslim terhadap ahli gusti yang bertanding - ia turut mendedahkan satu trend baru terhadap Islam, dan semuanya mencerminkan kesedaran Islam yang telah mula bersinar dan mengambil tempat dalam fikiran ramai orang di pelbagai peringkat intelektual, sesuai mengikut kadar kesediaan dan responnya masing-masing kepada Islam. Benih-benih kesedaran Islam mula muncul dalam minda sebilangan besar masyarakat dan dimanifestasikan dalam pelbagai bentuk; timbul pertambahan soalan mengenai Islam, wujud kecenderungan emosi yang kuat terhadap Islam, muncul kepercayaan terhadap Islam itu sendiri dan kepercayaan terhadap kepimpinan khilafah - dalam semua bidang - ia adalah kepercayaan yang membumi terhadap kehidupan itu sendiri.

Kesedaran Islam - yang kini menggelegak di dalam minda negara Islam di pelbagai peringkat - adalah elemen yang bersifat serampang dua mata, elemen yang meletakkan persoalan, dan turut sama menginspirasikan jawapan yang memihak kepada Islam. Pada kesempatan lain, ia telah termaktub sebagai kepercayaan dan kesedaran gergasi  yang ditanam tepat di tanah pemikiran yang mewakili Islam di kalangan umat Islam.

Di sisi lain, agama Islam itu sendiri menggerakkan umatnya untuk meletakkan soalan ini kepada iman atau 'ulama yang mewakili mereka, meminta mereka untuk menyediakan pengganti yang lebih baik bagi kedua-dua pihak yang bertanding, kapitalisme dan Marxisme. Islam mengisytiharkan dengan jelas dalam al-Quran, dalam teks perundangan Syariah, dan melalui semua medium lain yang dimilikinya, bahawa ia menentang kapitalisme dan Marxisme.

Sememangnya ia adalah satu tanggungjawab untuk mewujudkan situasi yang positif, selain dari yang negatif, untuk memimpin kita ke jalan yang berbeza mengikut pandangan dan struktur umum yang kita persetujui. Sikap negatif, apabila dipisahkan daripada tindak balas konstruktif yang menggariskan objektif dan maslahahnya, hanya bermaksud kita mengundurkan diri dari medan perjuangan hidup dan tanda akhir sebuah disintegrasi sosial, bukan semata-mata melanggan ideologi baru.

Karena Islam tidak bersetuju untuk dimasukkan dalam kerangka kapitalisme, sosialisme dan Marxisme, maka Islam harus memberikan alternatif, atau sekurang-kurangnya membawa kita kepada satu pilihan. Hal ini menjadi perkara biasa bagi umat Islam yang telah menyedari pandangan negatif Islam terhadap kapitalisme dan Marxisme serta penolakan Islam terhadap kedua-duanya, untuk bertanya tentang sejauh mana kekuatan dan keupayaan Islam untuk memberikan alternatif ini, dan sejauh mana kejayaan yang dapat dicapai sekiranya kita berpuas hati dengan Islam itu sendiri; semua persoalan ini telah memberi inspirasi untuk membangunkan sebuah sistem ekonomi Islam.

Jawapan kita kepada  semua ini adalah: Islam mampu menyediakan kepada kita pendirian yang positif yang kaya dengan ciri-ciri perundangan, polisi umum dan peraturan-peraturan terperinci di mana sebuah sistem ekonomi yang lengkap dapat dirumuskan, sebuah sistem yang berbeza daripada semua doktrin ekonomi yang lain, yang berpaksikan kerangka Islami ; berpaksikan ketuhanan dan harmoni dengan kemanusiaan, semua manusia, dalam ruang spiritual dan material dan dimensi kedua-duanya dalam ruang masa dan tempat.

Ini adalah apa yang akan kita saksikan menerusi penelitian seterusnya.

SISTEM EKONOMI ISLAM YANG BAGAIMANA? 
Apa yang kita maksudkan dengan mengatakan bahawa terdapat sistem ekonomi dalam Islam? Apakah jenis sistem ekonomi Islam yang sedang kita bincangkan sekarang, merujuk kepada keprihatinan kita untuk mengetahui kewujudan sebelum menyatakan keyakinan kita terhadap sistem tersebut?

Ini adalah apa yang kita perlu jelaskan terlebih dahulu sebelum perincian lain dihuraikan, kerana apabila  kita mendakwa bahawa terdapat satu sistem ekonomi dalam Islam, kita tidak boleh mengesahkan pernyataan itu melainkan jika ia ditakrifkan secara komprehensif, melainkan kita menerangkan kepada pembaca apa yang kita maksudkan dengan "sistem ekonomi Islam."

Kita maksudkan di sini doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi. Doktrin Islam hanyalah upaya untuk mencari kaedah yang serasi dengan konsep keadilan sosial tertentu dalam usaha untuk menguruskan sistem ekonomi dengan sewajarnya.

Apabila kita, sebagai contoh, menggambarkan seseorang sebagai seorang jurutera, bukan doktor, kita perlu tahu konsep "jurutera". Apakah fungsinya? Apakah pendidikannya? Apakah jenis pekerjaan yang dia lakukan? Apakah perbezaan (dari segi fungsi) antara beliau dan doktor, sebagai contoh? Hanya apabila kita tahu jawapan kepada semua soalan-soalan ini barulah kita boleh memastikan bahawa individu itu benar-benar seorang jurutera, bukan doktor atau yang lain-lain. Juga, apabila dikatakan bahawa sistem ekonomi Islam adalah sebuah doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi, kita mesti memahami konsep umum doktrin ekonomi secara keseluruhan dan fungsinya, sifat pembentukannya dan perbezaan antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi, supaya jelas kepada kita berdasarkan semua ini - identiti sistem ekonomi Islam dan hakikat yang menjadikannya doktrin ekonomi dan bukannya sains ekonomi.

Dalam penilaian saya, penjelasan kepada identiti sistem ekonomi Islam mesti berdasarkan kepada perbezaan yang menyeluruh antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi, dan kepada hakikat bahawa sistem ekonomi Islam adalah sebuah doktrin dan kepercayaan, bukannya sains. Penjelasan tersebut akan banyak membantu kita dalam menguatkan dakwaan bahawa terdapat satu sistem ekonomi dalam Islam, dan ia menyangkal premis mereka yang menafikan kewujudan sistem ekonomi Islam, sekadar mendedahkan kekeliruan mereka dalam hal ini.

Atas dasar ini, kita akan cuba untuk menjalankan kajian umum terhadap doktrin ekonomi dan sains ekonomi, dan perbezaan di antara kedua-duanya.

DOKTRIN EKONOMI DAN SAINS EKONOMI
Setiap seorang dari kita menghadapi dua jenis pertanyaan dalam kehidupan seharian dan menyedari perbezaan antara kedua-duanya: Sebagai contoh, apabila kita ingin bertanya kepada seorang bapa mengenai kelakuan anaknya, kita boleh bertanya kepadanya, "Bagaimana seharusnya sikap anak anda?" atau kita juga boleh bertanya, "Bagaimana sebenarnya sikap anak anda?"

Apabila kita mengajukan soalan pertama kepada bapa tersebut, menanyakan kepadanya bagaimana sikap yang perlu ada pada anaknya dalam menjalani kehidupan, beliau secara spontan akan memberi jawapan berdasarkan prinsip-prinsip, cita-cita dan nilai hidup yang beliau junjung dan anuti . Dia mungkin berkata, "Anak saya harus berani, tabah, bercita-cita tinggi," atau dia boleh berkata, "Dia sepatutnya menjadi hamba yang benar-benar beriman kepada Tuhannya, yakin pada diri sendiri dan sedia berkorban untuk mencapai kebenaran dan kepercayaan yang jitu."

Tetapi apabila kita bertanya kepada bapa yang sama soalan yang kedua, di mana kita bertanya tentang tingkah laku sebenar anaknya, beliau tidak akan merujuk kepada prinsip-prinsip ideal beliau untuk memberikan jawapan, sebaliknya, beliau akan menjawabnya berdasarkan pemerhatiannya sendiri terhadap tingkah laku anaknya. Dia mungkin berkata, "Dia berkelakuan tak senonoh, imannya tak kuat dan pengecut apabila berhadapan dengan masalah dalam kehidupan."

Si bapa mendapat jawapan kepada soalan pertama daripada prinsip-prinsip ideal yang dipercayainya, sementara dia mendapat jawapan untuk soalan kedua dari pemerhatian dan penilaiannya sendiri  terhadap tingkah laku anaknya dalam kehidupan.

Kita boleh menggunakan contoh ini untuk menjelaskan perbezaan di antara doktrin ekonomi dan sains ekonomi. Dalam sistem ekonomi, kita bertemu dua soalan yang berbeza, seperti yang yang dihadapi oleh si bapa ketika ditanya mengenai kelakuan anaknya tadi , oleh itu, kita mungkin boleh bertanya: "Bagaimana sistem ekonomi harus berjalan? " Sementara itu kita juga boleh bertanya: "Bagaimana sebenarnya sistem ekonomi berjalan?" Doktrin ekonomi cuba menjawab soalan pertama, mendapatkan jawapan dari prinsip-prinsip ideal dan konsep keadilan yang diyakininya, sama seperti si bapa yang menjawab soalan pertama berdasarkan prinsip-prinsip ideal yang dianutinya .

Sains ekonomi, di sisi lain , berkaitan dengan soalan kedua : Ia menjawab sebagai berdasarkan pemerhatian dan pengalaman. Sama seperti si bapa menjawab soalan kedua, menyandarkan jawapan beliau kepada pemerhatiannya sendiri terhadap tingkah laku anaknya dan pengalaman beliau bersama dengan anaknya, begitu juga dengan sains ekonomi: Ia menerangkan peristiwa-peristiwa yang menggerakkan sistem ekonomi berdasarkan kepada pemerhatian dan pengalaman .

Oleh itu kita mengetahui bahawa sains ekonomi menemukan apa yang sebenarnya berlaku dalam sistem ekonomi; fenomena sosial dan tabienya, membahas punca dan keterkaitan mereka. Doktrin ekonomi menilai sistem ekonomi dan menggariskan bagaimana ia sepatutnya berjalan bersesuaian konsep keadilan sosial dan kaedah yang saksama untuk mengurusnya. Sains meneroka, manakala doktrin menilai. Sains bercakap tentang apa yang sudah wujud dan sebab-sebab kewujudannya; doktrin membincangkan apa sepatutnya dan tak sepatutnya berlaku.

Marilah kita mulakan dengan ilustrasi yang membezakan antara fungsi sains dalam meneroka dan peranan doktrin dalam menilai:

Contoh Pertama
Mari kita ambil contoh hubungan antara harga pasaran dan tahap permintaan:
Kita semua sedar, daripada pemerhatian seharian kita, hakikat bahawa apabila sesuatu komoditi mempunyai permintaan dan keinginan masyarakat untuk membelinya semakin meningkat, harga akan naik. Jika kita menulis sebuah buku, sebagai contoh buku matematik, dan ia dijual ¼ dinar, dan jika Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menggunakannya sebagai buku teks sekolah, dan jika permintaan pelajar terhadap buku tersebut meningkat, harga pasaran juga akan meningkat. Begitu juga halnya dengan semua barang-barang lain: harga mereka dikaitkan dengan tahap permintaan pasaran, apabila permintaan meningkat, harga juga akan meningkat.

Hubungan antara harga dan permintaan adalah termasuk dalam perhitungan sains dan doktrin , tetapi masing-masing memperlakukannya dari sudut yang tersendiri. Sains ekonomi mengkajinya sebagai fenomena yang terbentuk dan boleh ditemui dalam pasaran bebas;  bebas daripada penguatkuasaan sekatan harga barangan oleh pihak berkuasa. Ia menerangkan bagaimana fenomena ini terbentuk hasil dari kebebasan pasaran, dan ia menemukan tahap hubungan antara harga dan permintaan. Ia menerangkan sama ada hubungan antara harga dan permintaan adalah sama untuk semua komoditi, atau sama ada hanya beberapa harga yang terjejas akibat dari meningkatnya permintaan terhadap komoditi terbabit .

Semua ini dikaji oleh sains untuk menemukan semua fakta yang berkaitan dengan fenomena hubungan di antara harga dan permintaan, dan ia menjelaskan apa yang berlaku dalam pasaran bebas sebagai hasil dari sifat kebebasannya sendiri, menjelaskan semua itu secara saintifik menerusi kaedah penyelidikan saintifik dan pemerhatian umum.

Dalam semua ini, sains tidak menambah apa-apa kepada kenyataan tersebut, sebaliknya, matlamat utamanya ialah untuk memahami dan membentuk idea yang tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku, apa fenomena yang muncul akibat dari pasaran bebas, apa hubungan yang wujud antara fenomena yang muncul, teori yang memunculkan hubungan tersebut, yang mencerminkan realiti luaran dengan lebih tepat dan jelas.

Berkenaan dengan doktrin ekonomi, ia tidak mengkaji pasaran bebas dalam rangka menemukan hasil dari kebebasannya itu dan kesannya ke atas harga, dan ia tidak juga mengkaji bagaimana harga dikaitkan dengan tahap permintaan pasaran bebas itu sendiri, tidak juga ia cuba menelaah mengapa harga komoditi dalam pasaran bebas meningkat apabila permintaan meningkat.
Doktrin tidak melakukan hal seperti itu. Ia tidak sepatutnya begitu. Ia tidak mempunyai hak untuk melakukannya -  kerana penemuan sebab dan akibat atau terbentuknya realiti ke dalam hukum umum yang merefleksi dan mewujudkannya - kedua-duanya adalah ruang lingkup sains dalam apa jua cara; pemerhatian, eksperimen dan deduksi .

Doktrin berinteraksi dengan kebebasan pasaran dengan tujuan untuk menilai kebebasan itu serta menilai hasilnya mengarah kepada apa. Keputusannya nanti adalah hasil dari menghubungkan harga kepada tahap permintaan yang akhirnya menyerang pasaran. Apa yang kita maksudkan dengan menilai kebebasan dan hasilnya adalah untuk menilainya mengikut konsep ekuiti (keadilan sosial) doktrin itu sendiri, kerana setiap doktrin ekonomi mempunyai konsep keadilan sosial masing-masing, jadi penilaian ke atas mana-mana elemen sistem ekonomi bergantung pada tahap keupayaan elemen itu termasuk konsep keadilan sosialnya dalam mempengaruhi konsep doktrin tersebut.

Kebebasan pasaran misalnya, apabila dikaji berdasarkan doktrin, tidak akan diambil kira sebagai suatu fenomena de facto yang mempunyai hasil dan undang-undang saintifik, sebaliknya, dianggap sebagai sebuah sistem ekonomi yang memerlukan ujian tahap ekuitinya sendiri.

Soalan-soalan "Apakah hasil pasaran bebas? Bagaimana harga dikaitkan dengan permintaan? Mengapa setiap satu dikaitkan dengan yang lain?" Semua soalan ini dijawab oleh sains ekonomi.

Soalan-soalan "Bagaimana pasaran harus berfungsi? Adakah kebebasannya menjamin pengagihan komoditi yang adil dan memenuhi keperluan mengikut cara yang digerakkan oleh keadilan sosial?" Semua soalan ini dijawab oleh doktrin ekonomi.
Oleh itu, adalah salah untuk mengharapkan apa-apa doktrin ekonomi untuk menjelaskan kepada kita sejauh mana hubungan antara harga dan permintaan dalam pasaran bebas atau teori penawaran dan permintaan ekonomi sepertimana ahli ekonomi memahami sifat pasaran bebas.

Contoh Kedua
Menurut David Ricardo (1772 - 1823), jika gaji pekerja bebas dari gangguan mana-mana pihak berkuasa, contohnya kerajaan, gaji tersebut akan kekal di tahap yang hanya akan mampu menampung kos sara hidup/ mengekalkan kewujudan pekerja (cukup makan/ sihat untuk terus bekerja). Jika ianya terus meningkat melebihi tahap itu, ia hanya sementara; tidak lama kemudian ia akan kembali ke tahap cukup makan tersebut (terma ini digunakan untuk mudah faham). Ricardo menjelaskan bahawa jika gaji pekerja meningkat di atas paras cukup makan, ia akan membawa kepada peningkatan bilangan pekerja disebabkan oleh peningkatan taraf hidup, perkahwinan dan kelahiran. Selagi pekerjaaan adalah komoditi dalam pasaran bebas, di mana gaji dan harga tidak dikawal, selagi itu juga ia akan tertakluk kepada peraturan yang sama - yakni penawaran dan permintaan. Jika jumlah pekerja bertambah, dan penawaran pekerjaan di pasaran adalah banyak, gaji mereka akan berkurangan sewajarnya. Jadi, apabila harga terus meningkat melebihi tahap cukup makan, akan ada faktor-faktor yang sekali lagi akan memaksa penurunan gaji mereka. Apabila gaji dikurangkan di bawah had cukup makan, penyakit dan kematian akan berlaku yang seterusnya akan mengurangkan bilangan pekerja. Apabila bilangan mereka berkurangan, gaji mereka akan meningkat dan kembali ke tahap cukup makan kerana apabila komoditi kurang, harganya akan meningkat dalam pasaran bebas. Ini adalah apa yang Ricardo namakan sebagai "the iron law of wages".

Dalam "hukum" ini, Ricardo membahaskan apa yang sebenarnya berlaku terhadap pekerja pasaran bebas dan apakah tahap gaji yang stabil dalam pasaran sebegitu, dan faktor-faktor sosial dan alamiah yang mengganggu untuk menetapkan dan mengekalkan tahap itu bersama peningkatan dan pengurangan gaji. Malah, dalam perbincangan hukum ini, Ricardo menjawab soalan "Apa yang sebenarnya berlaku?" Bukan "Apa yang sepatutnya berlaku?" Oleh kerana itu, kajian beliau memasuki ruang sains ekonomi, kerana ia bertujuan untuk mengkaji apakah yang sebenarnya berlaku dan apa hukum yang memunculkan peristiwa tersebut.

Doktrin ekonomi, di sisi lain, apabila berhadapan dengan gaji pekerja, ia tidak bertujuan untuk mengkaji apa sebenarnya berlaku dalam pasaran bebas. Sebaliknya, ia menemukan satu kaedah untuk mengawal selia, kaedah yang selaras dengan konsep keadilan sosialnya sendiri. Ia membincangkan asas di mana gaji yang patut dikawal selia, mengkaji kemungkinan sama ada prinsip kebebasan ekonomi sesuai untuk menjadi asas  mengawal gaji mengikut konsep keadilan sosialnya.

Justeru, kita tidak menganggap fungsi doktrin ekonomi untuk menjadi apa-apa selain daripada mentakrifkan bagaimana pasaran harus dikawal mengikut konsep keadilan sosialnya sendiri: Perlukah ia dikawal selia mengikut prinsip kebebasan ekonomi atau ada asas-asas yang lain? Sains ekonomi mengkaji pasaran yang sudah dikawal selia, mendasarkan kajian ke atas prinsip kebebasan ekonomi, sebagai contoh, untuk mengetahui apakah peristiwa yang berlaku di pasaran yang dikawal selia mengikut prinsip yang sama, bagaimana harga komoditi di dalamnya ditetapkan, bagaimana upah buruh ditentukan dan bagaimana ia meningkat atau menurun. Dalam erti kata lain sains mengkaji; doktrin menilai dan menghakimi.

Contoh Ketiga
Mari kita ambil contoh ketiga dan mari kita tentukan sudut dari mana sains ekonomi mengkaji pengeluaran mengikut doktrin ekonomi, supaya kita dapat membezakan antara kedua-duanya.

Sains ekonomi mengkaji kaedah umum pengeluaran yang membantu pertumbuhan pengeluaran seperti taburan tenaga buruh, pengkhususan, dan lain-lain. Dua projek yang menghasilkan jam tangan misalnya, setiap projek mengandungi sepuluh pekerja. Setiap pekerja dalam projek pertama perlu menghasilkan satu jam tangan. Dalam projek yang lain, pekerja diagihkan; setiap pekerja diamanahkan untuk menjalankan satu operasi yang diperlukan untuk membuat jam tangan. Beliau mengulangi operasi ini secara berterusan, tanpa mengambil bahagian dalam apa-apa kerja lain dalam proses pengeluaran jam tangan tersebut. Penyelidikan saintifik dalam ekonomi mengkaji kedua-dua projek ini, kaedah berbeza yang diguna pakai dan kesan setiap projek pada pengeluaran dan pada pekerja itu sendiri.

Sains ekonomi juga mengkaji segala-galanya yang berkaitan dengan pengeluaran ekonomi yang bersifat alamiah,seperti hukum sebab disebalik rendahnya pengeluaran tanaman dalam bidang pertanian yang mengatakan bahawa peratusan peningkatan dalam pengeluaran pertanian adalah kurang daripada pembiayaannya. Sains ekonomi mengkaji semua ini kerana ia menunjukkan penemuan fakta-fakta di peringkat ekonomi, menjelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran secara semula jadi, baik positif atau negatif.

Berkenaan dengan doktrin, ia melibatkan isu-isu berikut:
Adakah perlu pengeluaran kekal bebas, atau ia perlu tertakluk kepada perancangan kerajaan? Adakah perlu peningkatan dalam pengeluaran dianggap sebagai objektif penting, atau ia harus dilihat sebagai matlamat akhir yang perlu dicapai? Jika peningkatan pengeluaran dianggap sebagai matlamat akhir yang perlu dicapai, apakah had dan rangka kerja yang dikuatkuasakan oleh sifat "matlamat akhir" tersebut? Adakah dasar pengeluaran perlu menjadi asas bagi mengawal selia pengedaran, atau adakah ia sebaliknya? Dalam erti kata lain, yang mana satu dari keduanya harus dikawal untuk kepentingan yang lain? Perlukah kita mengawal pengagihan kekayaan dengan cara yang akan meningkatkan pengeluaran dan membantu pertumbuhan ekonomi, supaya kepentingan pengeluaran akan menjadi asas bagi pengagihan?

Jika negara memerlukan undang-undang faedah ke atas bon komersial untuk menarik pelaburan dalam bidang pengeluaran, adakah perlu langkah-langkah tertentu diambil dalam hal ini dan pengagihan dikawal mengikut faedah pelaburan syer, atau perlu kita mengawal pengagihan kekayaan mengikut keperluan pengagihan yang saksama, mengehadkan pengeluaran dengan kaedah dan cara yang serasi dengan konsep pengagihan yang saksama?

Semua ini adalah termasuk dalam ruang doktrin ekonomi, bukan sains ekonomi, kerana ia dikaitkan dengan peraturan pengeluaran dan bagaimana polisi umum diuruskan.

Dari contoh-contoh sebelumnya, kita boleh lihat garis yang berbeza di antara sains dan doktrin: garis penemuan dan perkenalan dengan rahsia sistem ekonomi dan pelbagai fenomena yang terhasil darinya, dan garis penilaian dan penemuan cara-cara untuk mengawal kehidupan ekonomi mengikut konsep keadilan sosial tertentu.

KESIMPULAN DARI CONTOH-CONTOH YANG DIBERIKAN
Melaluinya kita dapat membezakan di antara idea-idea saintifik dan idea-idea doktrinal. Idea saintifik berkisar penemuan realiti, kerana ia adalah usaha untuk mengetahui punca, akibat dan hubungan. Ia seperti mikroskop untuk sistem ekonomi. Sama seperti seseorang meletakkan cermin mata di matanya (untuk penglihatan yang lebih baik), tujuannya adalah untuk melihat realiti, tanpa menambah atau mengubah apa-apa di dalamnya, begitu juga dengan corak  pemikiran saintifik yang megambil kira peranan undang-undang dan pelbagai hubungan. Kata kunci idea saintifik adalah "penemuan ".

Berkenaan idea doktrinal, ia bukan cermin yang merefleksikan realiti. Sebaliknya, ia adalah satu penilaian situasi tertentu bersandarkan konsep umum realiti. Doktrin mengatakan: "Ini yang sepatutnya berlaku."

Ini adalah terjemahan bebas yang tidak mengikut skema penterjemahan tertentu. Kesilapan penterjemahan tidak dapat dielakkan akibat kelemahan dalam menterjemah dan kelemahan dalam bidang ekonomi. Untuk pemahaman yang lebih baik pembaca dinasihatkan untuk merujuk teks asal terjemahan berbahasa Inggeris di sini. Untuk wacana yang lebih mendalam dan teliti boleh muat turun teks penuh Iqtisaduna di sini. Semoga Allah merahmati kita.



Romantika Yunani dan Realisme Manusiawi

If there's any kind of magic in this world, it must be in the attempt of understanding someone, sharing something. I know, it's almost impossible to succeed, but…who cares, really? The answer must be in the attempt. 
 - Celine, Before Sunrise -

Di dalam filem Before Midnight, 8 manusia bersembang perihal cinta dan kehidupan di meja makan. Tapi ini bukan sembang kosong, hambar dan kering - bukan sembang tentang pembelian saham Teratai Holdings, niat untuk membeli belah ke Paris atau lain-lain sembang korporat bernada klise yang sering kita tonton di dalam drama TV dan filem tempatan. Menonton adegan meja makan di dalam drama TV dan filem tempatan membuatkan aku mencarut separa sedar. Kalau kita perhatikan, adegan di meja makan adalah antara adegan yang selalu diselit di dalam drama atau filem, aku kurang pasti kenapa tapi rasanya ia sebuah mise en scene semulajadi - sudah sedia comel dan menarik - hanya menunggu kreativiti sang direktur untuk mengisinya dengan dekorasi dialog yang segar. Mungkin juga ia cara paling mudah untuk mengumpulkan seramai watak yang boleh (terutamanya ahli keluarga) di dalam satu adegan lantas menghamparkan persoalan, mempertentangkan watak dan perwatakan kerana ironinya adegan meja makan ini bukan sekadar memuatkan nafas cerita yang romantik, penuh semangat kekeluargaan dan meluahkan detik bahagia, selalu juga ia diisi dengan rasa melankolik, kekeliruan dan mendedahkan konflik yang selama ini dipendam. Satu metafora bahawa interaksi antara watak-watak adalah untuk menimbulkan persoalan, berkonflik dan menghadirkan solusi. Di meja makan tersebut, Anna mengungkapkan pesan neneknya, "Her big advice was to not to be too consumed with romantic love. Friendships and work, she said, brought her the most happiness." Yang kemudian disambut oleh Ariadni, "I couldn't agree more. I mean, that's the thing that fucks us up.This idea of a soul mate, of someone who will come to complete us and save us from having to take care of ourselves."

Before Midnight adalah sekuel yang melengkapkan trilogi Before - dua filem lain ialah Before Sunrise (1995) dan Before Sunset (2004); sebuah trilogi yang memakan masa 18 tahun dengan rentang masa 9 tahun setiap filem. Tempoh 18 tahun adalah refleksi masa yang jujur terhadap perkembangan rohani, emosi dan jasmani dua watak utamanya - Jesse dan Celine - dalam usaha mereka meneroka dan memahami hubungan sepasang kekasih, manusia dan kemanusiaan. Kita menelusuri perjalanan hidup pasangan kekasih ini saat  mereka masih muda remaja mengharungi one night stand di Vienna  lalu berpisah membawa haluan masing-masing (Before Sunrise), bertemu semula 9 tahun kemudian di Paris (Before Sunset) sehinggalah mereka memiliki kembar comel dan menghabiskan cuti musim panas mereka di Greece (Before Midnight). Selain dari garis kedut dan kerut yang jelas kelihatan di wajah Jesse dan Celine seiring pertambahan usia mereka, kita turut menyaksikan perubahan idealisme dan persoalan yang bermain di fikiran mereka di setiap sekuel.

Trilogi ini telah menyembelih riwayat dongeng cinta jiwang yang selalu dipersembahkan kepada kita saban waktu - dari novel hingga ke drama TV - di mana cinta dimaknakan sebagai pasangan manusia yang hidup berkasih sayang bagai di sorga dan kehidupan dimaknakan sebagai usaha manusia untuk mengejar cinta yang penuh utopia tersebut. Romantisme sebegini cepat lusuh dan luput. Malah lebih malang lagi jika kita membaca novel pop dan menonton drama TV tempatan, kita diajar secara tak langsung bahawa untuk mencapai cinta yang ideal kita perlu menjadi seorang materialis; dengan suami anak hartawan, memiliki kereta mewah, rumah tahap mansion yang wajib ada swimming pool dan berbulan madu di Eropah - antara perkara yang bagi aku hanya menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah di Malaysia. Kesian orang Melayu. Mahu menghirup udara cinta pun perlu menggunakan tabung oksigen kapitalis. Konflik yang wujud pun sekadar kebencian ibu mertua terhadap menantu, kehadiran orang ketiga dan yang terbaru sekarang musim kahwin paksa. Jadi yang disentuh cuma sisi-sisi cinta yang amat superfisial. Jangan beritahu aku cerita itu sekadar hiburan atau TV dan filem tak memberi impak yang besar kepada hidup kita. Robert Kolker bertanya dari mana kita tahu cara untuk bercium? Sudah tentu jawapannya bukan melalui buku Permata Yang Hilang. 

Trilogi ini memberitahu kita bahawa cinta dan kehidupan bukan semata-mata mencari romantisme dan kebahagian material atau melarikan diri dari konflik. Konflik pasti datang. Bahkan konfliklah yang memaknakan cinta dan kehidupan, lantas kita disaran untuk berjihad menguruskan konflik. Kerana itu usaha mencari soulmate yang tak berkesudahan sekadar melahirkan love sickness yang merealisasikan tragedi Yunani yang hiba. Tak ada salahnya berangan-angan sampai ke Neverland tentang cinta yang idealis, yang menjadi masalah bila kita menganggap ia utopia yang wajib dicapai lalu bila realiti datang menyapa angan-angan, kita akan jatuh tersembam ke bumi kerana kita tak pernah sedar yang realiti itu menggigit, dan jika kita lemah ia mampu melapah kita sampai mati. Perbezaan sifat alamiah, personaliti dan cara berfikir antara lelaki dan perempuan itu memang akan menimbulkan konflik dan itulah nikmatnya berpasangan yang melengkapkan dialektik kehidupan - ada turun naik, ada dinamisme dan ada advencer.

Jesse dan Celine di dalam trilogi ini juga masing-masing memiliki karakter yang berbeza dan kita menyaksikan turun naik hubungan mereka. Sebab itu kalau falsafah cinta yang kita pegang ialah untuk mencari pasangan yang mempunyai minat dan personaliti yang sama macam diri kita sendiri; ada kebarangkalian misi tersebut akan gagal - sama ada gagal menemui pasangan sebegitu atau pun kita (kononnya) berjaya menemuinya tapi dia tak memenuhi ekspektasi  yang kita harapkan - kerana mustahil wujudnya manusia yang identikal dengan kita. Eksistensi setiap manusia adalah unik dan tiada pendua. Kata Celine "everyone is made up of such beautiful specific details." Tapi jangan salah faham, aku juga tak menganut ideologi cinta 'you complete me'. Frasa tersebut yang menjadi manifesto falsafah cinta kontemporari (dipopularkan aktor Tom Cruise lewat filem Jerry Maguire) mungkin meminjam secubit epistimologi cinta Plato di dalam The Symposium, seperti yang diungkapkan oleh Aristophanes; bahawa mencari cinta itu adalah mencari alter ego masing-masing yang telah dipisahkan Zeus. Aristophanes ialah komedian tersohor di Athens, walaupun dia sendiri (baca: Plato) menyebut (di dalam Symposium) kisah itu adalah mitos yang tak perlu diambil serius, ada kemungkinan tesisnya tentang 'the other half' adalah serius; tentang keinginan manusia untuk mencari dirinya 'yang satu lagi' seterusnya mencapai tahap sempurna.

Dan ini bukanlah pandangan Plato tentang cinta, malah dialog lain dalam Symposium seperti yang disebut oleh Diotima (yang diriwayatkan oleh Socrates) menyanggah tesis mencari yang satu lagi ini. Menurut Diatoma (baca: Plato) cinta bukanlah keinginan untuk mencari 'yang satu lagi' tapi keinginan untuk memiliki kebaikan yang abadi. Apabila kita mencintai sesuatu, kita ingin memiliki kebaikan yang ada di dalamnya buat selama-lamanya. Justeru, kerana ketaksempurnaan manusia, memiliki kebaikan yang abadi adalah mustahil, jadi keinginan ini hanya dapat dipenuhi melalui proses reproduksi - sebuah proses melahirkan kecantikan - secara fizikal dan mental. Jadi reproduksi kecantikan menjadi subjek cinta, bukan kecantikan itu sendiri.

Secara fizikal, proses reproduksi melahirkan manusia-manusia baru yang meneruskan kelangsungan dan keabadian manusia. Secara mental, proses reproduksi (perkongsian) melahirkan idea dan kebijaksanaan baru yang menurut Diatoma bersifat lebih abadi dari manusia itu sendiri. Oleh kerana realiti tertinggi bagi Plato ialah idea, maka sang pencinta sebenar ialah mereka yang mampu membuka misteri kepada kebaikan mutlak yang boleh menerangkan maksud cinta yang hakiki. Jadi pencinta sebenar ialah para filosofis yang tidak lagi terikat dengan kecantikan duniawi - tapi menghamparkan sebuah kebijaksanaan yang transenden menuju kecintaan metafizik. Ya, memang sufistik falsafah cinta Plato. Ini asal cinta platonik; sebuah frasa yang kini terpesong jauh dari maksud asalnya.

Bagi aku paradigma 'you complete me' ini adalah pandangan yang juling tentang hubungan cinta manusiawi kerana motivasi manusia untuk mencapai kesempurnaan akhirnya menghantar manusia kepada rasa untuk mencuba-cuba, menjadikan pasangan masing-masing seperti lampin pakai buang dan menjadikan matlamat hubungan cinta adalah untuk memenuhi ekspektasi individu bukan perkongsian makna hidup yang kolektif. Justeru Allah mengikat cinta manusia dengan perkahwinan; sebuah perjanjian yang Allah sebut sebagai mitsaqan ghaliza - sebagai amaran bahawa ia ikatan yang menuntut perjuangan dan komitmen dari setiap pihak, bukannya makmal untuk menguji hipotesis cinta sejati. Cinta sesama manusia adalah perkongsian makna yang kolektif, cinta kepada Allah adalah pengalaman peribadi.

Berbalik kepada trilogi Before, ia hanya berkisarkan Jesse dan Celine. Tak ada watak lain yang signifikan. Cuma di dalam Before Midnight mereka berinteraksi dengan watak-watak lain dalam durasi yang panjang. Di sepanjang trilogi anda hanya menikmati sembang mereka yang realistik dan segar tentang cinta, institusi keluarga, masa depan, politik, feminisme, metafizik dan macam-macam lagi. Mereka berjalan, duduk, berdiri dan berbaring; semuanya dipandu dengan dialog. Filem ini banyak menggunakan long takes. Mereka saling bertanya, menjawab, membenarkan, mempersoalkan dan  mengkritik. Kita akan berjumpa banyak quotes menarik dari Jesse dan Celine. Mereka seolah-olah mewakili umat manusia meneroka misteri cinta dan kehidupan dengan persoalan yang nampak mudah tapi memerlukan perenungan yang kompleks. Cinta dan kehidupan bagi mereka adalah subjek yang tak pernah mencapai kata putus dan perlu sentiasa digali oleh manusia. Bagi aku, filem ini lebih banyak menimbulkan persoalan dari memberi jawapan. Tontonan kali kedua akan membawa perspektif baru berbanding menontonnya kali pertama dan begitulah seterusnya.

Dan sudah tentu melalui Jesse dan Celine kita tahu bahawa cinta romantik bukan matlamat yang perlu dikejar manusia. Tandanya sudah diberi ketika pertemuan terawal mereka di dalam keretapi (Before Sunrise) yang penuh simbolik apabila Celine menukar tempat duduknya berdekatan dengan Jesse kerana diganggu pertengkaran sepasang suami isteri (atau kekasih), seterusnya dialog awal mereka tentang konflik pasangan yang dipanjat usia. Kemudian pelawaan Jesse kepada Celine supaya menemaninya bersiar-siar di Vienna. Menurut Jesse ini merupakan peluang yang perlu diraih Celine untuk mengenali dirinya, supaya nanti jika rumahtangga Celine berantakan tak timbul sesal di hatinya kerana tak mengambil peluang sebegini (untuk mengenali lelaki-lelaki lain yang pernah muncul dalam hidupnya). Dialog Jesse ini satu ironi kerana akhirnya setelah bersama dalam Before Midnight mereka tetap berkrisis. Penunjuk bahawa krisis antara pasangan itu tak dapat dielakkan kecuali kita berpasangan dengan malaikat. Lokasi filem ini di bumi mitos dan tragedi, Greece juga seolah-olah satu petanda bahawa kisah cinta mereka akan ditimpa konflik. Lantas hidup ini mahu dianggap sebagai utopia, tragedi atau perjuangan menghapuskan tragedi dan mencapai utopia? Kata Jesse, "This is real life. It's not perfect, but it's real."

You know what drives me crazy? It's all these people talking about how great technology is, and how it saves all this time. But, what good is saved time, if nobody uses it? If it just turns into more busy work. You never hear somebody say - 'With the time I've saved by using my word processor, I'm gonna go to a Zen monastery and hang out'. I mean, you never hear that.
- Jesse, Before Sunrise -

Friday, October 11, 2013

Keluarga Corleone, Filem dan Sinema Orang Tua

Kalau Akil di dalam filem KIL suka filem romantik komedi, aku pula suka filem gangster. Cuma aku agak terkilan bila dia menyebut filem rom-com kegemarannya ialah Notting Hill. Aku berharap sangat filem itu ialah Ali Setan. Ini tak bermaksud aku menidakkan kebagusan Notting Hill (jalan ceritanya cemerlang, lakon layarnya cerdik dan dibintangi pula pasangan paling charming di Hollywood), tetapi di dalam genre rom-com aku sangat nasionalis dan selektif, bagi aku pemuda pemudi Melayu generasi  Y sepatutnya mengundi Ali Setan sebagai filem rom-com favourite mereka. Itulah tanda selemah-lemah patriotisme. Berbalik pada soal filem gangster, semalam aku menonton Company arahan Ram Gopal Varma (RGV). Setelah menontonnya, tak putus-putus hati aku memanjat pujian kepada filem ini, kemudiannya aku berbaring, berfikir dan lintasan-lintasan persoalan datang menerjah kepala aku silih berganti (aku tak ada masalah psikiatri, ini rutin jika filem yang aku tonton sangat best)  - bagi aku ini sebuah mahakarya yang lebih hebat dari Rakht Charitra, Sarkar dan Satya. RGV nama yang sinonim dengan filem gangster, sama seperti Takeshi Kitano di Jepun, Martin Scorsese di Hollywood dan Johnnie To di Hong Kong. Perlu diingatkan untuk filem bergenre gangster aku bersikap internasional bak komunis. Tidak kira filem dari negara apa pun jika mendapat review yang positif aku akan menontonnya. Cuma di Malaysia, berbanding genre rom-com yang ada Ali Setan, untuk genre gangster aku tak jumpa lagi. Mungkin setakat ini aku boleh anggap Matinya Seorang Patriot adalah yang terbaik kerana aku rasa ia boleh digolongkan sebagai filem gangster. Filem ni kan ada unsur The Godfather..

Setakat ini filem-filem gangster Malaysia memang tak ada momen yang memberi inspirasi, karakter yang berkarisma dan plot yang mengagumkan aku. Ambil KL Gangster sebagai contoh, selain dari para gangsternya yang bercakap macam ahli parlimen dan aksi bergasak yang plastik, aku tertanya-tanya apa yang gangsternya mereka ini serta apa motivasi dan motif yang menggerakkan tindakan-tindakan mereka? Memang motifnya ada tetapi tak diangkat dengan kuat. Prekuelnya pun pakai template yang sama, cuma kali ini Sofi Jikan tampil lebih puitis (lebih ahli parlimen dari ahli parlimen), aksi meletup sana sini yang lebih plastik (Tailong menembak di atas Hummer misalnya) dan plot yang lebih  hancur.

Di sebalik mulut gangster yang macam bertih jagung kena bakar, jalan ceritanya lemah sehingga tak mampu mengangkat watak dan perwatakan dan melukiskan konflik yang bermakna untuk menjustifikasikan tindakan dan aksi setiap watak. Kesimpulannya, apa yang ditambah di dalam prekuel ini ialah sikap berlebih-lebihan di dalam menghidupkan cerita sehinggakan kehadiran Rosyam Nor pun tak memberi kesan yang signifikan (malah perwatakannya juga berlebih-lebihan), mungkin kekuatan karakter Tailong berbanding gangster lain ialah dia mampu merogol orang di atas meja. Itu saja. Karakter Namron dalam filem Langgar lebih menarik bagi aku. Dan orang macam Namron, kalau kau bagi  dia berlakon watak Haris dalam Ombak Rindu pun aku sanggup tonton.

Untuk melakonkan watak gangster, mulut becok dan aksi kau membantai orang tanpa belas kasihan semata-mata tidak akan membantu menguatkan karakter apatah lagi cerita kau. Usaha Marlon Brando untuk membina persepsi penonton terhadap karisma Don Vito Corleone sudah berjaya di minit kedua tanpa perlu Brando mengucapkan sebarang dialog (hanya isyarat tangan mengarahkan agar tetamunya diberi minuman), malah wajahnya membelakangkan kamera. Michael Corleone sepanjang trilogi The Godfather hanya sekali menggunakan pistol tapi itu tak menghilangkan machismo dan bravadonya sebagai kepala mafia.

Tapi ada yang melabel  The Godfather  filem yang bosan kerana permulan filem tersebut yakni majlis perkahwinan Connie sudah memakan masa 27 minit (mungkin mereka tak dapat terima intro filem gangster ialah kenduri kahwin),  ironinya adegan tersebut  telah memperkenalkan penonton kepada plot dasar, setiap watak dan perwatakan di dalam keluarga mafia Corleone tanpa perlu diberitahu secara terus tentang siapa buat apa dan kenapa. Nah, ini namanya bahasa filem. Kalau mahu membebel dengan bahasa bombastik dengan niat untuk menunjukkan karakter kita tersangatlah pailang lebih baik kita buat drama radio. Ini masalah masyarakat kita yang mahu cepat dan mudah dalam segala hal - dari belajar sampai ke hal menonton filem. .

Filem gangster seperti juga gangster itu sendiri sudah melalui banyak transformasi. Tapi dari dulu sampai sekarang ada beberapa elemen yang masih dikekalkan, ada motif yang bersifat generik, yang dibawa dari satu filem ke satu filem, yang mencirikan sesebuah filem itu sebagai sebuah filem gangster. Kita boleh sebutnya sebagai codes of conduct yang kekal zaman berzaman - sepertimana ritual atau undang-undang tertentu atau bai'ah yang mendefinisikan kumpulan gangster tertentu. Filem-filem gangster selalunya memegang semangat anti hero dan anti autoriti di mana undang-undang itu digambarkan sebagai perkakas yang boleh dimanipulasikan oleh mana-mana pihak. Melalui filem-filem gangster kita dibawa ke dunia yang wataknya bersifat kabur. Konflik dan krisis wujud bukan sahaja diantara gangster dengan gangster dan  gangster dengan pihak berkuasa, malah dengan anggota keluarga, yang cuba menjustifikasikan kewujudan dan peranan masing-masing di dalam dunia yang polos, yang sudah hilang garis moral, nilai baik dan jahat  - yang tinggal hanya semangat untuk meneruskan survival masing-masing. Secara tak langsung filem-filem gangster juga menampilkan kritik sosial terhadap status quo.

Aku petik kata-kata Malik (berdasarkan watak crimelord Dawood Ibrahim) ketika intro filem Company,"Whatever you say...everything one does in life is for a profit, This business is done for a profit too. Without paying taxes or keeping accounts. Because this business is run on fear, not papetwork. Anyone wishing to enroll can enlist. But he can't pull out. And most importantIy, anyone breaking our rules...is broken down. Friendship, respect, loyalty...everything has but one goal - profits. And profits there will be..." Bagi aku pernyataan Malik ini adalah manifesto yang tepat untuk menggambarkan siapa itu gangster dan bagaimana sebenarnya semangat filem gangster harus dibuat. Gangster seperti juga ahli politik bermatlamatkan kuasa, pengaruh dan wang. Bezanya ahli politik mencapai matlamat melalui jalan undang-undang dan gangster melalui jalan kekerasan. Jadi kekerasan dan jenayah itu hanyalah wasilah untuk mencapai tujuan bukannya matlamat yang dituju. Justeru, filem-filem gangster secara umumnya berkisarkan usaha manusia mencari kuasa, bagaimana mempertahankan kuasa itu dan kesan yang diterima hasil dari usaha tersebut.  Bila kita sebutkan kuasa atau pengaruh, ianya tidak dapat lari dari permainan politik. Filem-filem gangster terbaik mempunyai permainan politik yang kemas dan menarik. Dunia di dalam filem gangster ialah dunia perlawanan yang gelap, kotor dan mengelirukan. Ya, KL Gangster ada  elemen-elemen ini (maksudnya Syamsul Yusof dan penulis skripnya faham genre ini) tapi ianya disentuh dengan malas, yang ditekankan hanya aksinya yang mati pucuk itu. Malah ada momen-momen tertentu di dalam KL Gangster (dan filem-filemnya yang lain) yang menunjukkan Syamsul ada sentuhan cinematik yang baik cuma tak digilap dengan berkesan.

Aku bukan menafikan peranan skrip di dalam filem tapi setiap seni ada bahasa masing-masing. Jika sastera meluahkan makna melalui perkataan maka filem meluahkan makna melalui imej visual. Jadi jangan salah tempat duduk. Bahasa filem terangkum melalui elemen ceritanya  (naratif-tema, plot, dialog, karakter) dan produksinya (visual-lakonan, pencahayaan, pengambaran, suntingan). Kalau semata-mata mengharapkan kekuatan skrip atau lakon layar untuk mengangkat naskah filem, jadi lebih baik skrip itu dibukukan berbanding difilemkan. Semua yang kita anggap seni (dalam kes ini filem) diukur oleh kemampuan kita  menyerap beragam nilai, tanda, makna dan mesej (namakan apa saja yang kau mahu) dengan membaca teks atau bahasa seni tersebut. Bila kita katakan filem ini hampeh maksudnya kita gagal menyerap makna dari teks filem tersebut atau filem tersebut gagal  menghantar sesuatu yang bermakna kepada kita atau pun tanda-tanda yang kita kumpul tak mampu membentuk makna yang signifikan kepada kita.

Martin Scorsese di dalam artikelnya, The Persisting Vision: Reading the Language of Cinema menekankan peri pentingnya kita lebih-lebih lagi golongan remaja  diajar tentang kemahiran celik visual (visual literacy). Menurut Scorsese, setiap hari kita dihadapkan dengan pelbagai imej visual yang bukan semuanya boleh dikunyah seperti makanan segera dan dihadam begitu sahaja. Ujar Scorsese,” ..we need to educate them to understand the difference between moving images that engage their humanity and their intelligence, and moving images that are just selling them something.” Beliau mengimbau  nostalgia  ketika dibawa menonton filem oleh ibu bapanya. Pengalaman menonton imej di skrin menyedarkan beliau tentang makna yang dikongsi dia dan ibu bapanya di dalam kehidupan. Imej visual di filem telah merefleksikan kenyataan dan perasaan yang halus, yang selama ini kurang dipeduli dan tak dihargai oleh kita, perkara-perkara yang mungkin tak akan atau tak boleh kita bincangkan; isyarat dan bahasa tubuh, pandangan, reaksi antara watak, cahaya dan bayangan. Menurut Scorsese, filem bukanlah kehidupan, tapi perenungan terhadap kehidupan, sebuah dialog  yang tak pernah putus dan padam. Justeru kata Scorsese,” And we have no choice but to treat all these moving images coming at us as a language. We need to be able to understand what we’re seeing and find the tools to sort it all out."

Jadi proses mengumpul tanda atau simbol dan membentuknya menjadi makna adalah proses yang sentral ketika menonton filem. Ibarat memancing ikan - kita tak mahu memancing di tempat yang sama dan membawa hasil yang sama. Atau memancing di tempat lain tetapi hasilnya masih sama. Solusinya kita perlu mengkaji dan belajar kaedah memancing yang efektif agar kita kenal mana satu lubuk yang baik dan mana satu lubuk yang hampeh supaya dengan kemahiran yang telah kita pelajari kita boleh dapat hasil lumayan di lubuk yang tak pernah kita peduli atau di lubuk yang dahulu menghampakan kita. Menambah kemahiran untuk menggali dan mengumpul makna dan pada masa yang sama menajamkan citarasa. Kemampuan ini hanya dapat dicapai jika kita memperbaiki literasi visual kita supaya nanti filem seperti Life of Pi yang dahulu sudah memberi pengalaman visual yang mengagumkan kepada kita dari sudut special effects, kini menambahkan lagi kekaguman kita dari sudut tanda dan simbolisme. 

Apa yang menjadi masalah ialah kita kurang bersungguh menjadi penonton yang perseptif dan sensitif. Hubungan kita dengan filem tidak ramah dan intim. Kita dambakan filem terus menyuap mesejnya kepada kita secara berterus terang. Kita mahu yang mudah, spontan dan laju kerana kita malas menangkap dan menghimpun makna, seterusnya mencamtumkan  perca-perca bunyi dan visual yang dikumpul itu menjadi pengalaman artistik dan estetik yang lebih menggiurkan. Kita mahu filem yang agresif tapi kita tak mahu berinteraksi dengan filem. Tercengang di depan filem menunggu untuk dikhutbah, dipukau dan dihiburkan. Sama seperti membaca buku contohnya, seperti yang disebutkan Mortimer Adler di dalam How To Read A Book. Menurut Adler, tak pernah wujud  aktiviti membaca yang pasif.  Ramai orang menyangka, berbanding dengan aktiviti menulis yang jelas merupakan aktiviti yang aktif, membaca adalah sepenuhnya pasif (atau kurang aktif). Dalam bentuk komunikasi, membaca diibaratkan seperti menerima mesej daripada seseorang yang secara aktif terlibat di dalam aktiviti menghantar mesej.

Tegas Adler, kesilapan yang berlaku adalah apabila kita menganggap bahawa menerima mesej (membaca) adalah seperti menerima hukuman dari mahkamah. Sebaliknya, menurut Adler peranan pembaca adalah lebih kepada penangkap bola dalam permainan besbol.  Memukul dan menangkap bola kedua-duanya adalah aktiviti yang aktif, yang membezakannya cuma sifat aktiviti tersebut. Pemukul memulakan gerakan bola dan penangkap mematikan gerakannya. Dalam aktiviti ini, satu-satunya benda yang pasif adalah bola tersebut.  Tapi, berbanding dengan bola di mana hasilnya hanyalah dua; dapat ditangkap atau tidak dapat ditangkap – membaca adalah aktiviti yang lebih kompleks, hasil yang kita terima dari aktiviti membaca bergantung kepada usaha yang kita curahkan dan kemahiran yang kita miliki. Tulis Adler ,”The amount the reader “catches” will usually depend on the amount of activity he puts into the process, as well as upon the skill with which he executes the different mental acts involved.” Analogi yang sama boleh dipakai untuk aktiviti menonton filem yakni sejauhmana kita mempersiapkan diri kita dengan kemahiran membaca bahasa filem.

Banyak filem Malaysia selalu sangat menjadikan Hollywood sebagai kiblat. Mungkin mereka ini tak pernah faham kalau kita cuba untuk menarik perhatian Hollywood (atau mana-mana pengedar filem antarabangsa) dengan cara menyuntik kebodohan Hollywood itu sendiri ke dalam filem kita, maka selamanya kita akan gagal dan dipinggirkan. Secara logiknya untuk apa mereka perlu menonton filem-filem kita yang merupakan duplikat murahan dari filem-filem mereka. Mereka boleh menonton aksi yang lebih hebat dari KL Gangster atau cerita yang lebih menarik dari Vikingdom (siri TV Vikings misalnya) yang sudah tentu lebih berbaloi. Satu-satunya cara untuk menembus masuk Hollywood (atau pasaran filem lain) adalah menghasilkan antitesis kepada Hollywood yakni menawarkan penawar kepada kebengapan filem-filem yang mereka hasilkan.

Mengambil unsur-unsur dari Hollywood (atau dari mana sekali pun) tidak menjadi masalah kerana bagi aku maksud originaliti (yang benar-benar tulen) di dalam seni itu pun terlalu absurd (kita hanya mencedok, meminda dan mengimprovisasi hasil yang sudah sedia wujud), yang menjadi masalah bila unsur-unsur yang diambil itu dibikin secara malas dan selekeh, atau disalin bulat-bulat atau diklonkan terus dari filem asal. Scorsese pun cedok (atau bahasa halusnya remake) Infernal Affairs, tapi di tangan Scorsese, Infernal Affairs sirna dan The Departed muncul sebagai sebuah reinkarnasi  yang berbeza dari induknya. Filem gangster Korea Selatan, New World banyak mengambil elemen The Godfather dan Infernal Affairs dan menyatukannya  dalam bentuk yang lebih segar dan dramatik -  membuatkan aku bertambah kagum dengan pengarah-pengarah filem dari sana yang bijak menggunakan bahasa filem untuk menjentik emosi dan psikologi manusia  (kerana itu aku boleh faham mengapa ramai orang suka drama pop Korea). Dan kerana itu juga aku menanam niat (niat ini ditanam selepas aku menonton drama IRIS) untuk tidak menonton drama-drama pop Korea kerana ia boleh menyebabkan ketagihan (ya, aku risau aku ketagih), ketagihan untuk melayan perasaan yang melankolik, dan ketagihan dalam bentuk apa pun adalah satu penyakit, dan dihinggapi penyakit adalah tanda tak sihat.

Aku tak ada masalah dengan filem yang mudah, spontan dan laju. Memang filem ini untuk berhiburlah  dan secara dasarnya aku setuju dengan Francois Truffaut yang mengatakan semua filem adalah serius dan hiburan pada masa yang sama, dan aku tolak apa yang disebutkan oleh Theodore Adorno tentang filem adalah sebahagian dari culture industry yang menimbulkan sikap pasif dan conformity kepada penonton.  Pasif dan conformity hanya wujud apabila paradigma atau perspektif manusia melihat filem (atau membaca filem) sudah juling. Cuma bagi aku hiburan ini ada dua - pertama membuatkan kita sedar diri dan kedua membuatkan kita lalok. Itu saja.

Ada orang cakap kita tak perlu faham segala macam teori filem untuk faham filem melainkan kau seorang ahli akademik atau pengarah filem atau kau betul-betul berminat mengkaji filem. Aku separa setuju dengan kenyataan ini, kerana bila difikirkan semula, tak berbaloikah filem untuk dikaji? Ini persoalan yang ditanya oleh Robert Kolker di dalam bukunya, Film, Form and Culture. Jika kita boleh berdiskusi tentang politik, sukan dan sebagainya dengan kritis (malah siap baca teori politik klasik), maka apa merit yang kurang pada filem sehingga kita kurang peduli untuk membaca, mengkaji dan mewacanakannya pada peringkat yang lebih tinggi? Mengapa wujud label filem berat atau filem ilmiah? Bagi aku sebarang usaha pelabelan mudah begini yang bertujuan mengongkong citarasa manusia pada genre atau pengarah tertentu hanya memandulkan estetik manusia. Bagaimana kita ingin menyukat berat-ringan atau ilmiah-tak ilmiah sesebuah filem? Dan apa itu filem berat atau filem ilmiah? Aku tak pernah bermimpi satu hari nanti setiap kali menonton filem kita perlu bawa pen dan kertas seperti hadir ke kuliah, mengambil nota dengan dahi berkerut dan kepala mengangguk macam burung belatuk. Berperilaku begini ketika menonton filem adalah sangat sarkis. Aku rasa Mansor Puteh atau Hassan Mutalib pun tak buat begini.

Christian Metz kata kita enjoy sesebuah filem bukan sebab kita faham teknikaliti filem, tapi kita boleh faham teknikaliti filem sebab kita enjoy filem itu sendiri (walaupun teori semiotik Metz sendiri sebenarnya  agak kompleks bagi aku). Kata Rogert Ebert pula ‘film theory has nothing to do with film.’ Sebab itu kritikan dan ulasan filemnya dibaca ramai orang, kerana dia mengulas dengan ekspresif,  santai dan jenaka tanpa bertele-tele dengan teori filem. Ebert menyatakan pendapatnya dengan bahasa orang biasa kenapa filem itu bagus dan kenapa filem ini tak bagus. Tapi aku tak fikir Ebert langsung tak pernah baca sebarang teori filem, malah dari kritikannya (walaupun disampaikan dalam bahasa yang santai) kita tahu dia sebenarnya faham struktur, bentuk dan bahasa filem. Aku tak ada masalah kalau Makcik Senah, jiran yang aku sayang, tak pernah peduli tentang teori filem. Tapi kalau ada manusia yang kaji teori ekonomi Keynesian, baca teori politik Thomas Hobbes, John Locke dan Karl Marx, nak pula beriman dengan idealisme Sekolah Frankfurt – tiba-tiba tak berminat mengkaji tentang filem dan menganggap siri filem Transformers itu filem aksi terbaik, bagi aku kalau pun ini bukan tanda akhir zaman pastilah tanda yang mengesahkan Malaysia akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Secara peribadi, dari sekian banyak teori filem, kalau sudah malas baca teori lain (sebab menonton The Godfather pun dianggap membosankan apatah lagi nak faham teori filem) mungkin teori kognitif David Bordwell dan Noel Carroll antara teori yang boleh diteliti (kerana teori kognitif mereka  menyanggah teori-teori lain yang mereka panggil Grand Theory, jadi membaca teori mereka sedikit sebanyak kita boleh faham teori-teori lain, selain teori mereka bersifat wasatiyyah). Tapi yang pasti filem dan peranannya tak boleh dipandang enteng. Antara sebab mengapa filem jadi mukjizat seni paling afdal ialah kerana bentuk, struktur, wacana dan idea yang diusung filem telah  disembunyikan oleh filem itu sendiri.  Kalau dalam terma Louis Althusser, interpellation itu mungkin lebih mudah berlaku di dalam filem. Jadi perbahasan tentang filem yang lebih elegan tidak harus tertumpu soal sinopsis sahaja. Filem dikonstruk dari pelbagai elemen yang dibina di dalam sejarah dan pembangunan budaya itu sendiri, jadi sebagai produk budaya setiap bentuk dan isi filem berkembang mengikut sejarah, politik dan milieu tertentu – hasil interaksi pengkarya filem tersebut dengan semangat zamannya yang sudah pasti membawa gagasan, konsep, paradigma dan worldview tertentu. Justeru untuk membedah filem sedikit sebanyak kita perlu memahami konsep asas filem, kalau tak pun teori filem.

Kini majoriti filem-filem Malaysia menjadi apa yang disebut Francois Truffaut sebagai sinema orang tua (cinéma de papa). Truffaut merujuk terma ini kepada filem-filem di Perancis ketika itu yang hilang dinamik visualnya kerana seolah-olah bergantung harap kepada penulis skrip untuk menggerakkan filem. Truffaut dan mentornya, Andre Bazin, serta komrad mereka yang lain - Jean-Luc Godard, Claude Chabrol, Eric Rohmer dan Jacques Rivette – semuanya anak muda, adalah cinephile yang menyumbang kritikan tentang filem dan dunia filem didalam jurnal filem Cahiers du Cinema (yang dipelopori Bazin). Kritikan-kritikan mereka yang tak kenal belas kasihan telah mengejutkan dunia filem dari lena yang panjang dan merevolusikan cara pandang lama dalam melihat filem. Mereka mahu filem dilihat sebagai seni yang serius dan untuk menunjukkan betapa seriusnya mereka untuk melakukan perubahan, demi menyampaikan semangat visualistik mereka yang meluap-luap dan menutup mulut kaum tua perfileman Perancis, maka mereka sendiri menghasilkan filem. Kami buat apa yang kami cakap, kata mereka. Anak-anak muda ini membawa perubahan dari segi teknikal atau style filem – memang anarki, bereksperimentasi  dengan skrip, sinematografi dan suntingan – semuanya melawan konvensi. Anak-anak muda inilah yang melahirkan French New Wave (La Nouvelle Vague).

Apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya kerana majoriti pengarah muda pun sudah nyanyuk idealisme filemnya yang secara langsung menggambarkan betapa anak-anak muda Malaysia memang nampak rebel dari segi jasmani tapi tenat dari segi idealisme dan pemikiran. Negara-negara lain sudah menghasilkan generasi muda yang mengubah lanskap filem negara masing-masing - Indonesia dengan Riri Riza, Mira Lesmana, Rudy Soedjarwo, Rizal Mantovani, China dengan Zhang Yimou, Chen Kaige, Tian Zhuangzhuang, Iran dengan Abbas Kiarostami, Majid Majidi, Jafar Panahi - soalnya Malaysia bila lagi? Dulu kita pernah ada gelombang ini dengan kehadiran Rahim Razali, Nasir Jani, Hafsham, Mansor Puteh - tapi nama-nama ini sekarang sudah memanjat usia, sudah tidak aktif malah ada yang sudah pencen. kemudian muncul generasi kedua dengan U-Wei Haji Saari, Adman Salleh, Mahadi J. Murat, Shuhaimi Baba, kemudian datang generasi Amir Muhammad, Ho Yuhang, James Lee, Osman Ali tapi mereka tak membawa satu gelombang besar sekadar riak-riak kecil kerana kita sendiri tidak menghargai mereka. Ya, anak-anak muda Malaysia ini suka sangat melaungkan perkataan reformasi, revolusi, islah dan sebagainya. Tapi mereka sendiri takut, trauma dan marah dengan perubahan. Jasad mereka mungkin lepas bebas, tapi minda, urat dan tulang belulang mereka dikurung hegemoni feudalisme dan kekolotan. Harapan aku mereka bertaubat dengan membaca sejarah generasi muda sahabat nabi. Kalau takut dituduh tak intelektual baca sejarah generasi muda French New Wave. Boleh ke berubah dengan membaca sejarah? Jawabnya,"The answer is blowing in the wind."


Sebab (orang macam) kau la Nasir Jani, Hussein Haniff semua mengamuk macam tu, pasal soalan macam ni la...mangkuk hayun!! - Johan Iskandar (KIL)

Tuesday, October 1, 2013

Siapakah Pernah Mengukur Berapa Dalam Sepiku Yang Riuh

Tahun 2022. Lokasinya di Amerika Syarikat (AS). Kerajaan telah meluluskan aktiviti tahunan digelar The Purge - hari di mana rakyat diperuntukkan 12 jam untuk melakukan aktiviti jenayah - bunuh, rompak, rogol, pendek kata semua dibenarkan. Tiada sekatan undang-undang, tiada campur tangan polis dan anggota keselamatan, tiada rawatan perubatan, tiada bomba - negara dalam status anarki total untuk tempoh 12 jam tersebut . Syaratnya cuma dua; pegawai kerajaan yang menduduki ranking 10 dan ke atas tidak boleh diapa-apakan dan senjata berkelas 4 tak boleh digunakan.

The Purge dinilai sebagai katarsis psikologi, wahana manusia melepaskan ketegangan jiwa dan kenanaran emosi. Kerana unsur celaka di dalam diri manusia ini tak dapat dibunuh begitu saja, maka hajat dan kemahuannya perlu ditunaikan dan hanya selepas itu manusia akan tenang dan tenteram. Itu rasionalnya program ini diwujudkan. Seperti kata seorang pengulas,"The denial of our true selves is the problem." Jadi setiap tahun The Purge menjadi tempat manusia melampiaskan segala nafsu binatang, kemarahan, dendam dan kebencian lalu menjelmakan sisi psikopat mereka yang sebelum ini dikurung.

Adakah program The Purge ini berjaya? Diceritakan kepada kita hasilnya positif; ekonomi AS meningkat, kadar pengangguran berada di tahap 1% dan jenayah semakin berkurangan. Jadi jawapannya ya, program ini berjaya mentransformasikan AS. Tapi setiap perkara ada dua perspektif (sekurang-kurangnya). Sisi gelap program ini pula didedahkan sebagai usaha golongan elit AS menyahkan apa yang mereka anggap kudis dan nanah pada batang tubuh masyarakat; mereka yang digelar non-contributing member. Logik jugak, patutlah kemiskinan dan pengangguran kurang - rupa-rupanya memang banyak penganggur dan orang miskin disembelih ketika The Purge. Golongan inilah yang terdedah menjadi mangsa dan punching bag kepada segala jenayah kebinatangan tersebut kerana mereka tak mampu melindungi diri mereka. Mereka tak mampu beli senjata, mereka tak mampu lengkapkan rumah mereka dengan sistem sekuriti canggih, mereka tak mampu membina rumah berkubu tahap Fort Knox, malah mereka mungkin tak ada rumah. Tapi golongan elit boleh menggunakan kekayaan untuk memastikan mereka selamat. Siap boleh pulak ada peraturan pegawai tinggi kerajaan tidak boleh diapa-apakan ketika The Purge berlangsung. Kalau dilihat dari satu sisi ini adalah massacre kaum marhaen yang dilindungi oleh undang-undang.

Filem The Purge membawakan persoalan politik dan moral yang menarik tapi sayang ia tidak diteroka dengan jitu. Persoalan-persoalan ini hanya ditampal-tampal seperti aksesori, bukannya menjadi tema yang serius mahu ditonjolkan di dalam filem, sudah tu tampal pun kurang kemas - macam budak-budak tampal sticker chewing gum di peti ais atau seperti filem-filem Melayu pseudo seram yang tampal ayat al-Quran di awal cerita; hodoh dan menyakitkan hati. Filem ini tidaklah sampai menyakitkan hati. Cuma sayang sangat sebab persoalan yang ditimbulkan sudah cantik, cuma garapannya lemah. Walaupun kelihatan niat dan semangat  pengarah yang jugak penulis lakon layar itu ada, maksudnya dia cuba jugak selitkan semua persoalan ini di setiap babak dan dialog, tapi macam aku cakap ia tidak cukup untuk mengangkat filem ini menjadi naskah yang sarat nuansa politikal.

Filem ini mengingatkan aku tentang dua perkara yang disinggung oleh Max Weber dan dihuraikan lebih lanjut oleh Sekolah Frankfurt. Pertama tentang rasio-instrumental. The Purge ini natijah dari kaedah berfikir means-end calculation. Seolah-olah kebenaran dan kemaslahatan hidup itu dapat dicapai semata-mata oleh penalaran manusia. Kehidupan dioperasikan bagai mesin dan robot. Yang pelik bukan manusia yang mencadangkan program tersebut tapi manusia yang menerimanya. Hidup kini tidak lagi merefleksikan wajah dan makna sebenar kemanusiaan. Hidup mahu mencapai matlamat melalui jalan terpantas dan efektif dengan menganjingkan sisi kemanusiaan yang lebih substantif dan kompleks. Sama macam orang yang tak mengendahkan kematian ramai tahanan di lokap polis atas alasan mereka penjenayah. Pemikiran macam ini boleh menjadi asas kepada wujudnya program The Purge. Jerit pekik reformasi, perubahan sosial atau revolusi misalnya dikumandangkan oleh manusia yang tidak pernah mengerti apa sebenarnya yang membelenggu manusia. Apa sebenarnya hakikat manusia, apa makna manusia dan kemanusiaan ini? Kerana itu kelihatan manusia yang kononnya revolusioner dan penuh semangat marhaenisme ini sendiri lebih besar kepala dan zalim dari sosok atau sistem yang mereka tentang. Tak percaya, berikan mereka kuasa atau gerombolan pengikut - silap hari kita jugak disepak seperti bola jika berbeza pendapat dengan mereka. Yang melawan tak lebih baik dari yang dilawan. Masalahnya bukan sama ada kita kapitalis, sosialis, komunis atau Islamis, masalahnya pemikiran kita tak rebel langsung.

Keduanya tentang dominasi rasional-legal - tentang birokrasi, bagaimana prosedur dan undang-undang dijadikan legitimasi untuk menjustifikasikan sesuatu perkara walaupun perkara itu sendiri melanggar norma kemanusiaan. Secara peribadi aku rasa tak mustahil kalau satu hari nanti program gila isim seperti The Purge ini benar-benar diwujudkan. Allah sendiri sebut manusia itu sukakan kezaliman, melampaui batas, sombong, bodoh dan zalim. Kerosakan di dunia ini hasil tangan manusialah, bukannya anjing. Oleh kerana itu banyak perkara yang apabila sudah diabsahkan, sudah dilegitimasi, sudah diberi mean-end calculation, faedahnya sudah dapat dilihat dan dicapai (program The Purge telah mengurangkan pengangguran dan jenayah), maka wajah kezaliman itu boleh dihilangkan dengan rasionalisasi manfaat dan kejayaan. Undang-undang dan legitimasi sudah menjadi instrumen penindasan di mana masyarakat diajar supaya conform dan tunduk kepada penalaran undang-undang dan hukum negara; kononnya demi kebaikan kolektif masyarakat. Yang menindas bukan lagi manusia tetapi sistem yang diciptakan manusia sendiri. Melawan sistem atau undang-undang yang menindas difahamkan sebagai melawan negara. Akhirnya bukan undang-undang tersebut yang diperiksa dan dinilai tetapi manusia yang menentangnya.

Manusia sudah menjadi one-dimensional man kata Herbert Marcuse. Manusia hanya meneruskan kelangsungan sistem dan makna hidup yang sudah disediakan untuk mereka. Taken for granted. Mereka dihipnosis oleh delusi hedonisme dan kesibukan duniawi yang parah. Fizikal dan mental manusia sudah hilang semangat untuk melakukan perenungan bersifat konstruktif dan kritikal terhadap makna hidupnya. Makna hidup dinilai berdasarkan tolok ukur kuantitatif bukan kualitatif. Imaginasi, kreativiti dan emosi manusia kian tumpul akibat dihentak konsumerisme dan media massa. Maka kemiskinan, penindasan dan kezaliman hanya tinggal menjadi bahan sejarah, statistik dan data perangkaan birokrasi negara sepertimana apabila tamatnya The Purge keesokan harinya, ia sekadar menjadi komentar berita bagai Hasbullah Awang mengulas perlawanan bola sepak. Kata seorang lelaki di dalam dialog akhir The Purge,"This country has taken everything from me."

*Tajuk sempena memperingati Allahyarham T. Alias Taib

Thursday, September 26, 2013

Weber dan Rasionalisasi

Asalnya ingin menulis tentang Sekolah Frankfurt, tapi sudah banyak ditulis orang. Jadi aku rasa kita patah balik kepada asal mula idealismenya Sekolah Frankfurt. Selain dari falsafah Marx, Freud dan Hegel yang memang jelas kelihatan di dalam Sekolah Frankfurt, ada seorang sosiologis yang dianggap sebaris dengan Karl Marx dan Emile Durkheim, namanya Max Weber. Menafikan pengaruh Weber ke atas Sekolah Frankfurt ibarat menafikan Man Kidal seorang kidal. Weber bukan sahaja meninggalkan pengaruh kepada generasi pertama Sekolah Frankfurt seperti Adorno dan Horkheimer malah Habermas turut melanjutkan idea dan teori Weber. Maurice Merleau-Ponty di dalam bukunya, Adventures of the Dialectic menggunakan terma Weberian Marxism untuk merujuk kepada "Western-Marxist thinkers who systematically used certain key ideas of Max Weber". Sekolah Frankfurt termasuk di dalam kumpulan ini. Baiklah, ketika kita tahu Sekolah Frankfurt sememangnya menyambung legasi kritikan Marx terhadap sistem kapitalis yang dilihat menindas manusia, maka apa pula sumbangan Weber kepada Sekolah Frankfurt? Jika kedua-dua pemikir ini menyumbang kepada munculnya Critical Theory atau Teori Kritis bawaan Sekolah Frankfurt, apa persamaan idea-idea Marx dan Weber yang dikongsi Sekolah Frankfurt serta apa pula perbezaannya?

Kita lihat persoalan ini satu persatu. Kita pergi kepada rentang masa di antara Marx dan Weber. Kedua-duanya lahir di Jerman, namun ketika Marx menghembuskan nafas terakhirnya, Weber baru selesai menamatkan pendidikan menengah dan baru memulakan khidmat ketenteraan (baca:PLKN). Mereka tidak pernah bertemu, berbincang dan berwacana. Persamaan yang jelas ialah dua manusia ini ulat buku yang serius. Mereka juga mengkaji industrialisasi yang memunculkan kapitalisme dan kesannya kepada institusi masyarakat. Secara asasnya mereka berkongsi pendapat bahawa hubungan antara masyarakat dimaknakan oleh konflik. Marx menjelaskan konflik tersebut wujud kerana pertentangan antara kelas masyarakat, manakala Weber berpendapat ia berpunca dari pelbagai faktor, bukan hanya terbatas kepada ekonomi dan politik. Weber juga bersetuju dengan Marx bahawa kapitalisme telah menyekat kebebasan manusia. Bagi Marx kapitalisme telah mewujudkan alienation kepada manusia yang tidak menguasai alat pengeluaran (means of production),  manakala bagi Weber pula kapitalisme datang bersama rasionalisasi (rationalization) yang mengurung manusia di dalam 'iron cage' yang dibentuk oleh birokrasi. Dua konsep ini - alienation dan rationalization - adalah konsep utama (walaupun Marx kemudiannya condong ke arah revolusi politik) yang menjadi tunjang pemikiran kedua-dua pemikir ini di dalam menyikapi ancaman kapitalisme terhadap kemanusiaan. Malah Weber mempunyai hubungan yang rapat dengan Association of Social Policy (Verein für Sozialpolitik), kumpulan pemikir liberal yang cuba mewujudkan reformasi sosial yang progresif. Weber dianggap antara generasi muda yang signifikan di dalam kumpulan tersebut yang cuba menghubungkan idea progresif Marx dengan idea liberal.

Marx dan Weber melihat struktur masyarakat moden dibentuk oleh faktor persekitaran yang saling berkait di antara satu dengan yang lain. Malah kedua-duanya percaya kesedaran manusia memainkan peranan yang penting ke arah perubahan sosial. Bezanya Marx melihat kesedaran tersebut akan menghasilkan revolusi dan emansipasi manusia manakala Weber nyata bersifat pesimis, melihatnya sebagai kelebihan yang dimiliki masyarakat moden berbanding masyarakat tradisional sebelum ini. Bagi Weber, dunia akan datang akan hanya menguatkan cengkaman rasionalisasi-formaliti dan birokrasi. Sebelum anda gelojoh menuduh Weber sebagai macai kapitalis kita perlu faham faktor yang menyebabkan wujudnya perbezaan pandangan terhadap sistem kapitalisme di antara dua pemikir ini. Anthony Giddens menyebut bahawa tulisan Weber bukan sekadar mengkritik teori Marx per se tetapi sebagai satu tindak balas terhadap pengaruh kuat pemikir dan ahli politik Marxist terutamanya dari Social Democratic Party (SDP), pendokong kuat Marxisme di Jerman ketika itu. Jerman ketika itu tidak lagi seperti yang digambarkan oleh penulisan Marx lewat 1840an, ianya telah maju di dalam politik dan ekonomi, suatu situasi yang unik menurut Giddens, yang tidak pernah diramal apatah lagi dijangka oleh  SDP mahu pun golongan liberal di Jerman. Situasi sosial inilah yang membentuk kerangka fahaman Weber tentang bentuk dan struktur masyarakat.

Marx dan Weber hidup di dalam dua rentang masa yang berbeza dan realiti sosial yang mendepani mereka membentuk dua pemikiran yang berbeza. Kemungkinan Weber melihat cita-cita revolusi SDP tidak lagi relevan tetapi beliau melihat muncul masalah baru yang menjadi ancaman kepada masyarakat - birokrasi. Apa yang ditakuti Weber ialah sekiranya sosialisme terbentuk ianya akan terus menguatkan cengkaman birokrasi malah tanpa kuasa check and balance untuk mengekangnya, maka yang wujud hanyalah penindasan dan kezaliman yang lebih teruk. Kedua-duanya melihat dari sudut pandang yang berbeza. Marx mementingkan praksis;dia bukan sekadar melakukan analisis dan menghamparkan teori malah turut ghairah menawarkan solusi yakni bagaimana perubahan total terhadap kapitalisme boleh dilakukan. Manakala Weber cuma membedah dengan pisau analisisnya bagaimana sistem kapitalisme itu bermula dan kesannya terhadap masyarakat. Seperti kata Karl Wolit, "Marx proposes a therapy while Weber has only a ‘diagnosisto offer". Malah kalau boleh disebut fikrah mereka tentang bagaimana analisis terhadap sosiologi harus dibuat dan bagaimana perubahan sosial itu berlaku juga berbeza.

Marx menggunakan metodologi materialist conception of history untuk mengembangkan teori dialektika materialismenya dalam melihat perkembangan sejarah dan sosiologi. Bagi Marx sejarah adalah sebuah dialektik yang boleh dikesan pattern, norma dan bentuk tertentu seterusnya mewujudkan sebuah teori sains yang boleh disahkan. Usaha Marx mengahwinkan sains dan revolusi ini telah disangkal oleh Weber. Kita wajib tahu yang Weber telah memberi sumbangan yang signifikan di dalam meletakkan batu asas kepada konsep analisis dan penyelidikan di dalam sosiologi dengan memisahkan di antara nature science dan social science. Di dalam Objectivity in Social Science and Social Policy, Weber mengemukakan soalan,"In what sense are there objectively valid truths in those diciplines concerned with social and cultural phenomena?" Ini kerana ketika itu untuk menghasilkan sebuah penyelidikan yang objektif di dalam bidang sains sosial kelihatannya mustahil akibat dari kesukaran penyelidik memisahkan nilai budaya atau pandangan alam mereka yang bersifat peribadi dari subjek kajian. Maka terhasillah analisis separuh masak yang dipengaruhi oleh nilai dan kepentingan agama, politik atau ideologi pemikir terbabit. Contoh paling dekat adalah Marx, mungkin itu tempelak Weber. Malah ini juga sebab mengapa kita melihat teori Marx mempunyai kelompangan, maha idealis dan separuh masak; teori yang sama yang cuba diaplikasikan oleh pendokong Marx yang berada di luar lingkaran realiti empirikal kajian beliau yang akhirnya hanya mengesahkan kegagalan teori tersebut. Maka Weber melaungkan konsep verstehen (memahami), yakni upaya menginterpretasikan aksi sosial menerusi pemahaman yang komprehensif, bukan terpotong-potong dan sekerat-sekerat, mengkaji motif, konflik dan reaksi dari sudut pandang dan konteks pelaku (empati) dan seterusnya melihat pelaku sebagai subjek bukannya objek. Teori komunikasi Habermas bertolak dari sini (Habermas mengkonstruk kembali konsep tersebut) yakni bagaimana komunikasi intim dan bermakna antara manusia boleh dijalankan.

Tulis Weber,sains sosial adalah "an empirical science of concrete reality. Our aim is the understanding of the characteristic uniqueness of the reality in which we move." Hubungan subjektif-objektif didalam kajian sosial menurut Weber adalah kompleks; untuk mendapatkan pengetahuan yang objektif dan valid di dalam kajian sosial memerlukan pencerapan realiti empirikal berdasarkan kategori yang subjektif.  Subjektif ini yang dimaksudkan sebagai verstehen yakni  menginterpretasikan aksi sosial dari sudut pandang pelaku aksi tersebut. Oleh itu bagi Weber kajian sosial haruslah berpijak di bumi nyata berdasarkan kondisi dan pola tertentu yang khusus serta unik, dan yang terlebih penting kajian itu sendiri harus signifikan dan bermakna kepada realiti sosial masyarakat terbabit. Bagi Weber, konsep empirikal di dalam sains sosial harus mengambil bentuk yang lain dari konsep empirikal didalam sains tabie kerana masing-masing mempunyai sifat, objek dan tujuan yang berbeza. Sains tabie mengkaji menerusi kaedah kuantitatif-empiris manakala sains sosial menerusi kaedah interpretatif.

Weber menamakan nilai objektif di dalam penyelidikan sains sosial sebagai value-free. Value-free itu sendiri menjadi asas kepada sains secara umumnya; baik sains tabie atau sains sosial. Maksudnya nilai moral, ekonomi, politik dan kepentingan peribadi penyelidik tidak boleh menceroboh masuk dan seterusnya memberi kesan kepada subjek kajian. Tulis Weber,"There is no absolutely ‘objective’ scientific analysis of culture . . . (because) . . . all knowledge of cultural reality . . . is always knowledge from particular points of view". Maksudnya Weber sedar usaha untuk mendapatkan kajian sosial yang sepenuhnya value-free adalah mustahil tetapi usaha pemisahan ini perlu dilakukan demi mendapatkan hasil yang objektif. Kerana itu Weber memisahkan di antara what is yakni ruang sains, dan what ought to be iaitu ruang nilai. Sosiologi harus menumpukan usaha untuk menjawab persoalan pertama (what is) dan kesilapan Marx ialah dia cuba menjawab kedua-dua persoalan. Kerana itu jugak Weber memperkenalkan konsep ideal type yang merupakan tolok ukur bersifat umum yang menonjolkan elemen kesubjektifan yang boleh dikongsi oleh semua pihak dari sesebuah fenomena sosial agar fenomena tersebut dapat ditafsir dengan lebih sistematik. Weber mendefinisikan sosiologi sebagai tindakan sosial (social action). Dan tindakan sosial manusia terbahagi kepada empat: rasional-intrumental, rasional-nilai, tradisional dan afektif. Oleh itu secara asasnya tindakan manusia dipengaruhi oleh rasionaliti, tradisi dan emosi.

Weber menyenaraikan tiga bentuk dominasi kuasa dalam sistem masyarakat. Setiap dominasi kuasa memerlukan legitimasi supaya autoriti mereka diterima dan kuasa mereka dapat disahkan dari sudut moral. Legitimasi datang dalam pelbagai bentuk mengikut dominasi-dominasi tertentu. Dominasi pertama ialah tradisional. Ianya sebuah legitimasi warisan. Weber membahagikannya kepada dua; 1. Patriarchalism - wujud di dalam kumpulan/ komuniti kecil yang tidak memerlukan apparat pentadbiran dan 2. Patrimonialism - wujud didalam struktur organisasi  berskala besar yang memerlukan apparat pentadbiran. Menurut Weber dominasi tradisional menghalang perkembangan kapitalisme kerana ia tidak mempunyai undang-undang dan regulasi yang muktamad - mungkin boleh disebutkan kepatuhan total kepada pemimpin adalah satu-satunya undang-undang muktamad yang ada - berbanding kapitalisme moden yang mementingkan prosedur, regulasi, logik dan undang-undang. Dominasi kedua ialah legal-rasional. Dominasi ini ditandakan oleh undang-undang dan legitimasinya diterima melalui prosedur. Secara umumnya, masyarakat boleh menerima legitimasi undang-undang jika ia digubal melalui kaedah dan saluran yang betul (atau yang mereka yakin sebagai betul), begitu juga dengan kepimpinan, masyarakat merasakan pemimpin berhak untuk bertindak atas situasi tertentu sekiranya pelantikan mereka dibuat melalui prosedur yang disahkan. Oleh itu Weber meletakkan sistem negara moden tertakluk di bawah dominasi ini. Oleh kerana undang-undang atau prosedur menjadi sumber legitimasi, maka apparatus pentadbiran yang digelar Weber sebagai birokrasi diwujudkan untuk menguatkuasakan undang-undang. Dominasi ketiga ialah karismatik yang dikaitkan dengan pesona. Weber menyebutkan pemimpin karismatik mampu mengaitkan dirinya dengan situasi masyarakat dan memberi harapan dan inspirasi kepada mereka. Perkataan charisma itu sendiri mempunyai konotasi agama; dikaitkan dengan konsep ketuhanan - para nabi sebagai contoh, tapi maksudnya tidak sempit kepada tokoh agama semata-mata. Menurut Weber kepimpinan karismatik akan muncul bila masyarakat dilanda krisis dan hilang arah tuju dan biasanya tindakan kepimpinan ini bersifat revolusioner dan berlawan dengan status quo. Menurut Weber, dua dominasi yakni tradisional dan legal-rasional boleh berubah kepada karismatik sekiranya legitimasi mereka sudah ditolak oleh masyarakat.

Bagaimana pula rasionalisasi boleh menindas manusia? Perkataan rasional itu sendiri bunyinya intelek, adil dan baik. Malah sering dikumandangkan seolah-olah berfikir secara rasional itu adalah rukun iman dalam cara berfikir. Ambil sahaja rasionalisasi subsidi minyak sebagai contoh. Ya, perkataan itu cantik sekali - dihidangkan kepada kita dengan daya pujuk yang meyakinkan - perkataan 'rasional' yang digunakan sudah menggambarkan bahawa ia tindakan yang wajar dan waras, siapa yang menentang sudah tentu irrasional, tak progresif, jumud dan suka menonton filem-filem KRU. Inilah yang cuba dijawab oleh Weber.  Disini Weber memberitahu kita tidak semua yang rasional itu muluk dan indah - dan upaya manusia mendewakan rasionaliti akhirnya memenjarakan kemanusiaan itu sendiri. Rasionaliti ialah kaedah berfikir, manakala rasionalisasi ialah proses rasionaliti berinteraksi dan berkembang di dalam usaha manusia membuat keputusan. Kalau boleh dirumuskan rasionalisasi ini proses berfikir secara mekanistik, metodikal, praktikal - yang meletakkan kaedah terbaik ialah kaedah yang paling efisien untuk mencapai tujuan. Segalanya diperhitungkan dengan sifir = kaedah-sebab-akibat-matlamat. Kata Weber tentang rasionalisasi ialah "one can, in principle, master all things by calculation".

Rasionalisasi ialah produk kelahiran modeniti yang paling signifikan. Pada akhir abad ke 17 dan abad ke 18, laungan sapere aude bergema - tanda bermulanya zaman Enlightment di Eropah. Reformasi pemikiran dan intelektualiti berlaku - dogma, taklid, mistisisme tradisi dan hegemoni lapuk cuba disingkirkan. Semua pemikiran jumud disemak dan dipersoalkan. Pemikiran saintifik dan rasionaliti dijunjung di kepala. Jonathan H. Turner menyebut bahawa ketika ramai pemikir Enlightment dan ahli sains sosial meramalkan manusia sedang menuju ke arah perkembangan sosial yang progresif, hanya Weber menyifatkan sebaliknya. Rasionaliti akhirnya menjadi seperti Skynet didalam filem Terminator - awalnya dicipta manusia untuk mengurangkan risiko kesalahan dan menjadikan proses membuat keputusan menjadi lebih tersusun dan efisien - namun akhirnya bertindak membantai umat manusia sampai lebam. Rasionaliti yang diharap menjadi kemudi pembebasan manusia kini telah mewujudkan birokrasi yang kian mencengkam dan menghimpit manusia. Proses rasionalisasi ini telah menembus ke segenap penjuru dan ruang lingkup kehidupan masyarakat termasuk dalam politik, budaya dan ekonomi. Weber setuju rasionalisasi ini telah mengubah dan membawa paradigma baru dalam pemikiran manusia, membebaskan manusia dari perhambaan dogmatisme, kepercayaan tradisional, mitos agung dan sebagainya tetapi secara langsung ia telah berkembang ke tahap sehingga manusia menjadi hamba rasionaliti - sebagaimana manusia tunduk kepada pasaran menurut Marxisme. Rasionalisasi melahirkan birokrasi - sebuah mekanisme menguruskan hal ehwal komuniti, organisasi atau negara demi mencapai matlamat atau visi masing-masing melalui rule of reason.  Dalam wilayah rasionalisasi, makna dan objektif atau maqasid kemanusiaan kurang diendahkan, semuanya berpaksikan hukum sebab-akibat. Manusia dan kemanusiaan dioperasikan seperti kalkulator - mudah dihitung dan dijangka hingga akhirnya kompleksiti, emosi dan fitrah manusia itu tidak dijengah. Nilai moral dan etika menurut rasionaliti sekadar menjadi disiplin yang diprogramkan untuk mencapai maksud tertentu bukan makna yang mengakar didalam spiritual dan meneguhkan peribadi.

Rasionalisasi melahirkan kapitalisme kata Weber. Weber melihat ada saling kaitan dan hubungan yang jelas diantara sistem pasaran bebas dan sistem kewangan dengan rasionalisasi. Apabila sistem Barter tidak mampu menyelesaikan perbezaan kehendak dalam pertukaran barang, sistem wang diperkenalkan. Sistem tukaran menjadi efisien dan efektif apabila wang menjadi medium transaksi lalu mengembangkan pasaran dan kuasa pasaran. Urusan jual beli dan perdagangan menjadi lancar dan sistem peminjaman dijalankan kerana hutang dan kadar faedah kini boleh dihitung dengan wang. Pasaran kini dirasionalisasikan - tiada lagi unsur moral, nilai tradisi dan yang seumpamanya. Kini, sistem ekonomi tradisi disingkirkan dan digantikan dengan elemen untung rugi yang dihitung dengan wang, faedah dan monopoli pasaran. Dengan wang, perdagangan kini menular ke luar sempadan geopolitik dan kuasa negara kini menjadi lebih dominan apabila semua sumber boleh dibeli dengan wang. Demi menjamin legitimasi kuasa - birokrasi ditambah, undang-undang baru digubal. Rasionaliti pasaran ini akan beranak pinak di dalam sistem masyarakat sehingga pasaran menentukan kedudukan ekonomi sesebuah negara. Maka muncul birokrasi dan dominasi rasional-legal di dalam ekonomi negara untuk memastikan perjalanan transaksi perdagangan ini dilindungi dan dilegitimasikan. Undang-undang seperti percukaian dan perjanjian perdagangan diperkenalkan demi menjamin kelangsungan pendapatan negara.

Weber mengkaji kapitalisme menerusi sosiologi agama. Di dalam karya monumentalnya, The Protestant Ethic and the Spirit of Capitalism (Protestant Ethic), Weber telah menunjukkan bagaimana nilai etika dan moral yang dipegang masyarakat Kristian Protestant telah melahirkan sistem kapitalisme moden di Barat - sebuah ekonomi yang dirasionalisasikan. Ianya adalah siri pertama dari siri kajian sosiologi agama Weber; menyusul selepasnya ialah The Religion of China (1913), The Religion of India (1916) dan Ancient Judaism (1917). Sayang kajiannya tentang Islam tidak siap sepenuhnya. Weber menjelaskan agama (di dalam kes ini Protestant aliran Calvinisme) bukan hanya candu sebaliknya boleh menjadi agen pencetus perubahan. Di dalam Protestant Ethic, soalan utama yang dikemukakan Weber ialah mengapa kapitalisme moden muncul di Barat dan bukan di belahan dunia lain. Sedangkan jika dibandingkan dari sudut teknologi, ekonomi dan ilmu pengetahuan, negara seperti India dan China mempunyai kemampuan yang sama dengan Barat. Tanya Weber,"Why did not the scientific, the artistic, the political, or the economic development there (China dan India) enter upon that path of rationalization which is peculiar to the Occident?". Hasil dari analisisnya Weber berpendapat perubahan signifikan yang berlaku didalam masyarakat Barat ialah perubahan sistem nilai dan kepercayaan yakni apabila mereka beralih dari Katolik kepada Protestan - perubahan yang tidak wujud di India dan China. Kapitalisme muncul bersama semangat rasionalisasi. Menurut Weber, konsep predestination didalam Calvinisme (aliran Protestant yang paling kuat mendokong konsep ini) - bahawa manusia sejak azali sudah ditentukan nasib akhir hidup mereka sama ada ke syurga atau neraka telah secara tidak langsung menggembleng semangat kapitalisme. Walaupun tidak boleh mengubah takdir yang telah ditetapkan, keresahan psikologi dan tekanan batin golongan Calvinist meronta-ronta mencari jawapan adakah mereka terselamat atau tidak dan apakah ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka terselamat. Jawapannya ada dan syaratnya ada dua. Pertama, setiap Calvinist perlu kuatkan iman dan sentiasa percaya mereka adalah yang terpilih dan setiap keraguan tentangnya adalah bisikan dari syaitan. Dan kedua menggiatkan kerja supaya keyakinan diri menjadi tinggi untuk menepis keraguan-keraguan yang datang. Oleh itu, untuk mendapatkan salvation adalah usaha individu itu sendiri, masing-masing perlu bekerja keras untuk menjadi golongan yang akan diselamatkan. Bagaimana menjalani hidup yang dirahmati tuhan? Mereka perlu mengamalkan cara hidup asketik dan bekerja dengan tekun. Kata Weber mereka perlu 'methodically supervise his own state of grace in his own conduct , and thus to penetrate it with asceticism". Mengamalkan cara hidup asketik bermakna mengumpul kekayaan. Paradigma lama yang menganggap menompok harta sebagai satu dosa kini telah bertukar sebaliknya. Menjadi kaya dan berjaya akhirnya menjadi tanda aras yang hidup mereka dirahmati tuhan. Tetapi menggunakan kekayaan untuk jalan keduniaan adalah satu dosa oleh itu kekayaan dan harta tersebut digunakan untuk pelaburan yakni menambah lagi harta. Begitu secara ringkas menurut Weber bagaimana etika Protestant menggalakkan kapitalisme yakni melalui usaha mengumpul harta. Namun begitu Weber mengakui ini hanyalah salah satu faktor yang kerana banyak faktor-faktor lain seperti industrialisasi, ekonomi komersial dan sebagainya yang menjadi faktor pelengkap lahirnya kapitalisme moden. Tetapi akhirnya, etika ini juga runtuh dan motif agama kini disisihkan. Kata Weber 'To-day the spirit of religious asceticism - whether finally, who knows? - has escaped from the cage... But victorious capitalism, since it rests on mechanical foundations, needs its support no longer. The rosy blush of its laughing heir, the Enlightenment, seems also to be irretrievably fading, and the idea of duty in one’s calling prowls about in our lives like the ghost of dead religious beliefs'. Muncul bersama kapitalisme ini ialah rasionalisasi dalam hidup.

Perkataan rasionalisasi ini digunakan oleh Weber untuk merujuk kepada konsep yang pelbagai. Menurut Kenneth Allan di dalam bukunya Explorations in Classical Sociological Theory: Seeing the Social World, Weber menggunakannya di dalam tiga bentuk. Pertama, Weber menggunakannya untuk menerangkan kaedah berfikir mekanistik yakni tindakan rasional yang dinisbahkan sebagai cara paling efektif mencapai matlamat (means-end calculation) - ia bersifat individual dan spesifik. Kedua, Weber menyebut rasionalisasi untuk menerangkan tentang birokrasi yakni kaedah mengurus manusia. Ketiga, Weber menggunakan rasionalisasi untuk maksud yang lebih umum. Antaranya untuk menerangkan tentang proses disenchantment yang terhasil dari rasionalisasi. Disenchantment bermaksud mengosongkan dunia dari elemen magis dan spiritual atau dalam kosa kata agama ia muncul sebagai makhluk yang bernama sekularisasi. Kelahiran birokrasi, perkiraan kaedah-matlamat (means-end calculation), sains, dan sekularisasi telah meredam emosi, misteri, tradisi dan kemanusiaan dari dunia ini. Nilai-nilai mulia dan intrinsik dalam diri manusia menurut Weber mula meminggir. Weber melihat perkara ini bukan sahaja menimpa ruang politik dan agama, malah bidang seni turut hilang semangat kreatifnya. Menarik lagi, kalau menurut George Ritzer di dalam buku The McDonaldization of Society, makanan kita turut diserang wabak rasionalisasi. Di dalam bukunya Ritzer menyatakan bahawa birokrasi di Amerika Syarikat kini diganti oleh hegemoni McDonaldization yang dicirikan oleh empat elemen; efficiency, calculability, predictability dan control through the substitution of nonhuman for human technology. Malah wabak ini bukan sahaja menimpa restoran-restoran fast-food malah banyak sektor perniagaan bukan makanan turut cuba menggunakan template sebegini. Lebih teruk ia sudah menjangkiti bidang perubatan, akademik, media massa dan penjagaan kanak-kanak. Semuanya mahu jadi makanan segera! Tips kurus dengan cepat, panduan kaya dalam masa 15 hari, universiti yang berbangga dengan kuantiti berbanding kualiti penyelidikan, program pengajian fast track, junk journalism, lambakan sekuel (atau prekuel) filem-filem sampah; ini semua hasil McDonaldization yang tercetus dari rasionalisasi. Ini yang disebutkan oleh Weber sebagai iron cage yang mengurung manusia. Mengurung fitrah, potensi, makna dan maksud kemanusiaan itu sendiri.

Ramai yang kritikal dengan pesimisme Weber di dalam melihat modenisme dan rasionalisasi, lebih-lebih lagi pendokong Marxisme yang melihat Weber tidak menawarkan sebarang harapan tentang emansipasi manusia. Teori Weber seolah-olah melihat manusia selamanya disumpah untuk hidup seperti robot kalaupun tidak seperti anjing. Tetapi menjelang 1930an, ramalan Weber muncul satu demi satu (ketika utopia Marx hancur berkecai) dan para Marxist mula membuka mata tentang apa yang disebutkan Weber. Kelahiran rejim fasis di Jerman dan Itali, Stalinisme melanda Rusia, gagalnya gerakan pekerja, berkembangnya organisasi-organisasi korporat yang menarik manusia-manusia yang rela diperkudakan sistem pasaran; semuanya menumbuhkan birokrasi autoritarian hasil rasionaliti. Manusia moden yang bebas dari kongkongan agama dan tradisi kini dipenjarakan oleh kuasa pasaran bebas, apparat birokrasi negara dan birokrasi korporat. Manusia mula berteriak tentang makna kidup dan kemanusiaan yang koyak dicarik-carik kemodenan. Maka di sinilah muncul Sekolah Frankfurt yang cuba merungkaikan situasi penindasan dan kebobrokan makna kehidupan yang berlaku di abad ke 20 seperti yang dijelaskan oleh Weber dengan menggunakan vokabulari pembebasan Marx. Agenda Sekolah Frankfurt ialah untuk mengembalikan teori radikal sains sosial di atas landasan praksis yang tidak terikat dengan fahaman ortodoks Marxisme malah tidak juga sekadar mengisi laporan demografik negara, lembaran-lembaran statistik atau terperuk di bilik kuliah akademik. Weber menggunakan terma iron cage sebagai simbol yang manusia akan terus dikurung - tak dapat lepas lari. Kata Weber dalam bahagian akhir Protestant Ethic, 'Specialists without spirit, sensualists without heart; this nullity imagines that it has attained a level of civilization never before achieved'. Adakah kita berkongsi pesimisme Weber (dan generasi pertama Sekolah Frankfurt)? Atau Habermas sudah menemui cahaya di hujung terowong??!!